Rabu, 26 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Catat impian, harapan atas kertas

Posted: 26 Jun 2013 05:36 AM PDT

Wanita yang duduk di hadapan penulis bukan calang-calang orang. Mendengar kisah suka dan duka bergelar usahawan, sememangnya dia seorang yang tabah dan kuat semangat.

Pernah jatuh kemudian dia bangkit semula, kegagalan dalam perniagaan menjadi perkara biasa kerana bagi Ketua Pegawai Eksekutif Gaia Plas dan Gagasan Group of Companies, Rina Shahar, untuk berjaya seseorang itu harus berdepan cabaran.

Kemampuan untuk menghadapi apa juga rinta­ngan menjadi penentu kepada kejayaan.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana dengan ayah bekerja sebagai pemandu jentera tolak, memberi inspirasi kepada Rina untuk mengubah nasib keluarga.

Foto

RINA bersama kakitangan syarikat Gaia Plas Sdn Bhd.


Dia berusaha mencari wang dengan berniaga kerepek dan nasi lemak di sekolah. Duit itu kemudiannya digunakan untuk perbelanjaan sekolah.


Tidak terhenti setakat itu, apabila ada masa terluang terutama ketika cuti sekolah, dia mencari kerja ­sambilan.

Tidak seperti remaja lain yang bercita-cita melanjut­kan pengajian di universiti, Rina mempunyai persepsi berbeza. Dengan hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia percaya pada kebolehan diri dan yakin suatu hari nanti mampu membina empayar perniagaan.

"Memang niat saya mencari kerja selepas SPM kerana ingin membantu keluarga. Akhirnya saya diterima bekerja di syarikat perbankan. Walaupun menerima gaji bulanan, saya masih meneruskan kerja sambilan.

"Ketika itu, saya perhatikan ramai orang Cina menjual tayar dan besi buruk, tiada pula orang Melayu melakukannya. Saya mula terfikir inilah perniagaan yang akan saya lakukan. Biar pun ia kotor dan busuk kerana terpaksa mengangkat besi dan tayar buruk, saya sukakannya," katanya.

Berbekalkan sebuah van yang disewa, dia memulakan operasi pada Sabtu dan Ahad untuk mencari tayar terbuang terutama di kilang dan kawasan perumahan. Dia langsung tidak menyangka pekerjaan yang tidak pernah difikirkan itu memberikan hasil lumayan melebihi gaji bulanan.

"Bayangkan untuk 100 kilogram tayar pada bahagian tiub yang dikumpul, saya mampu mendapat ratusan ringgit sehari. Ia tentunya satu pendapatan yang tidak pernah dijangka," ujarnya.

Menyedari hasil yang semakin bertambah, akhirnya Rina berhenti kerja dan menubuhkan syarikat sendiri. Dari situ, dia mula belajar berurusan dengan syarikat besar untuk mendapatkan kontrak pembelian kabel. Untungnya, disebabkan tidak banyak syarikat Bumiputera menjalankan perniagaan ini, dia sentiasa mendapat kontrak.

"Ketika itu, perniagaan besi buruk dan kabel elek­trik mendatangkan hasil yang sangat lumayan. Saya sendiri tidak pernah terfikir mampu pergi sejauh itu membuka syarikat dan kilang pemprosesan besi buruk dan kabel elektrik sehingga mampu bergelar jutawan pada usia 22 tahun," ujarnya.

Menyedari terdapat sesuatu yang boleh dikembang­kan menerusi perniagaan besi dan tayar, Rina memperluaskannya kepada perusahaan plastik pada 2006 menerusi penghasilan botol ubat untuk hospital kerajaan. Ketika itu tidak ramai usahawan Bumiputera melakukannya dan ini memberi peluang kepada Rina mendapat kepercayaan daripada pihak kerajaan sehingga dia menambah kepada pembuatan botol minyak masak serta bahan kimia.

Namun benar kata pepatah, langit tidak selalunya cerah, mungkin ada silapnya, perniagaan yang dijalankan mula me­ngalami kerugian sehingga me­nyebabkan dua kilang terpaksa ditutup.

"Siapa yang tidak kecewa apabila hasil usaha selama ini terkubur begitu saja. Apatah lagi ketika itu saya gagal mempertahankan rumah tangga sehingga terpaksa berpisah dengan suami. Bagi mengubat kedukaan, saya melarikan diri ke Mesir dengan harapan mendapat ketenangan. Namun, sebaliknya berlaku apabila hati saya tidak pernah tenteram. Perasaan begitu kuat untuk kembali ke Malaysia," katanya.

Buka semula perniagaan

Sekembalinya ke Malaysia, dia yang pernah bergelar usahawan berjaya suatu ketika dulu ingin membuka semula perniagaan. Walaupun dihambat rasa takut pada kegagalan, Rina berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki kesilapan lalu.

"Perkara pertama yang saya lakukan adalah me­ngikuti program motivasi. Dari situ, saya memperoleh apa yang tidak pernah saya lakukan dan utamakan iaitu menjaga hubungan dengan Allah. Saya mula mengenali kekuatan dan kelemahan diri serta berusaha memperbaikinya.

"Dulu saya lupa, dalam perniagaan bukan hanya keuntungan semata-mata, tetapi menjaga hubungan dengan Allah adalah tanggungjawab paling besar dan utama. Saya mula mengeluarkan zakat perniagaan kerana ia hak Allah. Lama-kelamaan perniagaan saya semakin maju dan memperoleh keuntungan berganda," katanya.

Usaha Rina bukan setakat di situ saja, dia juga menubuhkan Gagasan Event bagi menjalankan program amal untuk anak yatim serta mereka yang memerlukan, selain menambah pembelian kenderaan jenazah untuk diberikan kepada kawasan tertentu.

Enggan berada di tahap lama dan sentiasa kreatif dalam mempelbagaikan hasil jualan, Rina tekad mencari cabang perniagaan yang jarang dilakukan peniaga Melayu. Menyedari anak­nya gemar rancangan kartun Boboiboy, dia berusaha mendapat lesen dan kelulusan me­ngeluarkan produk Boboiboy seperti anak patung, topi, alat tulis dan bekas air.

"Sebelum menghasilkan koleksi rangkaian anak patung Boboiboy, saya mendapatkan penjelasan daripada jabatan agama Islam mengenai status halal atau haram menyimpan anak patung di rumah.

"Saya difahamkan anak patung yang bersifat statik dan kekal dalam keadaan rupa bentuk asal haram disimpan. Jadi menerusi rekaan, saya cuba tampilkan anak patung yang boleh ditanggalkan dan dicantum semula bagi mengelak sebarang salah faham pada kemudian hari," katanya.

Menjadikan perjalanan kerjaya wanita ini lebih lancar, Petronas berminat melamar produk Boboiboy untuk diletakkan di hampir 800 Kedai Mesra Petronas di seluruh negara. Malah, ia turut dipasarkan di luar negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Brunei dan Dubai.

Dengan menempuh pelbagai cabaran, jatuh bangun dalam perniagaan, Rina percaya selain kekuatan diri, menjaga hubungan dengan Tuhan serta menghasilkan produk untuk masyarakat adalah satu perkara yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan di penghujungnya.

Selain itu, ­banyak bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan sememangnya penting bagi mendapat keberkatan.

"Apa yang saya lalui dulu dan kini semuanya ditentukan oleh-Nya. Kita hanya merancang, tetapi perencana terbaik adalah Allah. Dia yang memberi rezeki dan bila-bila masa saja dia mampu menarik kembali apa saja yang menjadi milik kita. Oleh itu, kita harus sentiasa beringat," katanya.

Rina yang dicalonkan untuk anugerah SME Terbaik Asia 2013 di Singapura, baru-baru ini turut berkongsi rahsia kejayaan iaitu amalan menulis surat sejak 15 tahun lalu sehing­ga sekarang. Ini dilakukan dengan mencatat di atas sekeping kertas apa saja yang tersirat juga impian, harapan dan cita-cita pada setiap tahun.

"Saya menulis cita-cita dan impian pada setiap tahun dengan lebih spesifik kerana saya percaya apa yang saya fikir, harap, rasa dan sebut pada setiap hari adalah satu doa. Bayangkan sekiranya harapan ini sentiasa tersemat di hati, tidak mustahil ia akan menjadi satu kenyataan suatu hari nanti.

"Memang benar setiap kali membaca kembali surat itu saya merasakan ia bagaikan satu mimpi. Apa saja yang saya harapkan dan catatkan semuanya menjadi kenyataan, malah ia menjadi semangat kepada saya memberikan yang terbaik dalam apa juga yang saya lakukan pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Hias kuku di jalanan

Posted: 26 Jun 2013 05:30 AM PDT

Secara logiknya, kita akan memilih salun yang cantik dan selesa untuk merias kuku tangan mahupun kaki, tetapi di Nigeria, perkhidmatan ini boleh dilihat di mana-mana terutama di tepi jalan bandar besar.

Perkhidmatan merias kuku di tepi jalan seolah-olah menjadi lambang kepada bandar Lagos. Inilah gaya hidup warga kota besar yang mempunyai kira-kira 15 juta penduduk mendapatkan rawatan merias kuku sebahagian daripada perkhidmatan menghias diri peribadi yang biasa di sini.

Biasanya penghantaran sut baju yang ditempah ke rumah atau pejabat hanya untuk golongan berada, tetapi di Lagos, sebahagian besar penduduk daripada kelas pertengahan juga mendapatkan perkhidmatan sama daripada tukang jahit mereka.

Jika di kebanyakan negara mendapatkan perkhidmatan merias kuku di mana kaki akan direndam, dicuci, kuku dipotong rapi dan disapu losen pelembap dianggap satu kemewahan, namun di Lagos, ia untuk semua orang daripada setiap latar belakang, kata Bashir Haruna, 52, yang kadangkala turut mengambil peluang memperlihatkan kemahirannya di luar Kelab Polo bagi menambah pendapatan.

Foto

SEBAHAGIAN daripada perias kuku jalanan tekun memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Foto

INDUSTRI penjagaan kuku tidak formal dikuasai penduduk dari Nigeria utara.


Ketika waktu puncak, Haruna duduk di tempat kerjanya di tepi jalan berdebu di tengah pusat komersial. Bau busuk sampah menemani pelanggannya ketika dia membersihkan kuku kaki dan tangan mereka.


"Minyak India akan membuatkan kuku anda lembut," kata Haruna ketika rakan perias kuku, Mustapha Abdulrahaman menyapukan losen ke kakinya.

Sapuan losen atau minyak itu adalah sebahagian daripada rawatan yang harganya cuma 0.24 euro atau RM1.20.

Sektor penjagaan kuku tidak formal di Lagos dikuasai warga Nigeria dari utara yang kebanyakannya terdiri daripada etnik Hausa dan beragama Islam seperti Mustapha.

Bahagian utara Nigeria diselubungi kemiskinan dan dianggap sebagai kelompok penduduk yang sangat teruk oleh penganut Kristian di bahagian selatan. Keadaan semakin buruk apabila timbul rusuhan yang diketuai kumpulan Boko Haram yang mengorbankan beratus-ratus nyawa sejak 2009. Ia secara tidak langsung menyekat perkembangan ekonomi di Nigeria.

Mustapha, 30, menceritakan bagaimana dia mengembara ke seluruh Nigeria, negara di Afrika yang paling padat penduduknya selama 12 tahun bersama-sama beberapa pengetip kuku yang dibungkus dalam sapu tangan dan mengunjungi kediaman pelanggan tetapnya.

"Saya tidak menetap di satu-satu tempat. Di tempat sekarang pun saya tidak duduk di satu tempat khas, sebaliknya berjalan mencari pelanggan. Orang yang kenal akan memanggil saya untuk memotong kuku mereka," kata Mustapha dalam dialek Hausa.

Merantau cari rezeki

Perkhidmatan yang ditawarkan Mustapha dengan pengalaman berpuluh-puluh tahun tentu tidak sama dengan pendatang baru dalam industri ini, Kabiru Garba, 16.

Dia berasal dari negeri Katsina, juga terletak di utara Nigeria. Pada usia semuda itu, sejak tahun lalu Garba mula merantau ke Lagos sendirian tanpa keluarga.

Dia menyewa sebuah katil di tanah besar yang menjadi tempat tinggal sebahagian besar warga kota Lagos, menggunakan perkhidmatan bas setiap pagi untuk ke Pulau Ikoyi dan memulakan kerjanya.

Sambil berjalan dia akan mengetuk dua keping besi, bunyinya cukup kuat untuk didengari pelanggan sebagai pemberitahuan kehadirannya.

Antara pelanggan tetapnya ialah pemandu teksi persendirian yang meletakkan kereta mereka di luar kawasan bangunan pejabat dan pekerja jeti di Kelab Perahu Lagos, di mana keahlian untuk kelab ini hanya dikhususkan kepada golongan mewah.

Menurut Mustapha, dia biasanya melakukan 35 rawatan merias kuku tangan dan kaki setiap hari. Garba pula mengakui hanya mempunyai 16 pelanggan sehari yang membolehkannya memperoleh kira-kira RM12.80 selepas seharian bekerja dalam cuaca yang kadangkala panas membakar.

"Saya sudah biasa kerja teruk," kata Garba yang memakai topi bola baling warna merah yang sudah agak uzur keadaannya.

Beberapa pelanggan yang ditemui berkata, mereka tidak kisah duduk di tepi jalan, di bangku di kawasan letak kenderaan atau di atas pembetung dipenuhi sampah.

Lucky Paul, 52, daripada kelab bot mewah berkata, dia biasanya memotong kukunya di rumah.

"Memang biasanya saya potong kuku di rumah, tetapi pemotong kuku saya kadang-kadang tidak tahu diletakkan di mana," katanya ringkas.

Bagi Haruna, pekerja di Kelab Polo berkata, ada masanya dia dipaksa untuk memotong kuku, tetapi bukan kuku sendiri.

"Saya potong kuku teman wanita saya. Dia suka dimanjakan begitu. Adakalanya saya upah orang untuk memotong dan merapikan kukunya, tetapi katanya, dia lebih suka kalau saya yang melakukannya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Dengar dentuman kuat

Posted: 25 Jun 2013 02:52 PM PDT

Putrajaya: "Mulanya saya nampak awan gelap diikuti bunyi angin. Selepas itu, saya nampak sampah berterbangan dan zink jatuh diiringi bunyi dentuman kuat," kata Mohd Ridzuan Mat Sharif, 33, penduduk Blok B Kuarters Kerajaan Presint 15, di sini ketika menceritakan ribut di kawasan kediamannya, semalam.

Dalam kejadian itu jam 6.45 petang itu, sebahagian bumbung zink di tingkat 15, blok berkenaan jatuh secara tiba-tiba berikutan angin kencang dan hujan lebat sebelum menimpa pondok rehat di bawah bangunan itu, selain merosakkan lampu jalan di situ.


Mohd Ridzuan yang juga pensyarah di sebuah institut kemahiran berkata, ketika kejadian, dia sedang melayari Internet di rumahnya yang terletak di tingkat satu blok berkenaan.

"Saya ingatkan ada pembenihan awan kerana hujan begitu lebat disertai angin kencang. Pada awalnya angin terbabit hanya menumbangkan pokok di kawasan sekitar dan kepingan zink serta sampah berterbangan.


"Namun, tiupan angin bertambah kuat sebelum bumbung zink di tingkat atas bangunan jatuh disusuli bunyi dentuman kuat," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Mohd Ridzuan berkata, sejak tinggal di situ kira-kira dua tahun lalu, kejadian bumbung runtuh itu kali pertama dilaporkan berlaku ketika hujan lebat dan angin kuat. "Sebelum ini, jika hujan lebat dan angin kuat, tidaklah sampai begini (bumbung runtuh), tetapi kali ini ia meruntuhkan sebahagian bumbung selain merosakkan infrastruktur di kawasan ini. "Sepuluh minit sebelum hujan lebat dan angin kuat, polis ada meronda di kawasan ini dan mereka kembali semula ke sini sebaik menerima maklumat ada bumbung runtuh," katanya. Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditemui di tempat kejadian berkata, beliau menerima laporan mengenai bumbung berkenaan runtuh daripada penduduk di situ kira-kira jam 7 malam semalam.

Foto

SEBAHAGIAN bumbung bangunan kuarters kerajaan Presint 15 yang diterbangkan ribut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Ayah macam binatang!

Posted: 25 Jun 2013 03:08 PM PDT

Kuala Terengganu: Tangisannya yang didengar jiran menyelamatkan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun daripada terus menderita kelaparan selepas beberapa hari dikurung sendirian tanpa diberi makan dan minum di Taman Perumahan Gong Badak, di sini.

Lebih menyayat hati, ketika diselamatkan polis kira-kira jam 4.30 petang kelmarin mangsa ditemui dengan kesan cucuhan puntung rokok di badannya dipercayai akibat didera, selain kedua-dua kaki melecur serta bernanah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kanak-kanak itu ditemui polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam keadaan lemah akibat kelaparan serta kesakitan.

Menurutnya, sebelum itu pegawai JKM terbabit yang berusia 41 tahun itu menghubungi Balai Polis Gong Badak, di sini, dan memaklumkan aduan diterimanya mengenai mangsa yang dikurung serta meminta bantuan polis untuk ke tempat kejadian.

Foto

KEADAAN kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera dipercayai akibat didera bapa tirinya.


"Pegawai JKM itu dihubungi jiran mangsa yang terdengar tangisan seorang kanak-kanak di dalam rumah yang disewa bapa tirinya berusia 26 tahun.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Penyokong mengamuk!

Posted: 25 Jun 2013 03:08 PM PDT

Kota Bharu: Apa sudah jadi dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)? Ketika penyokong setia berduyun-duyun hadir, dengan ada antaranya tercegat di kaunter jualan tiket perlawanan akhir Piala FA seawal jam 6 pagi, mereka bagaikan dikhianati apabila hanya 16 tiket dijual, semalam.

Keadaan itu menyebabkan penjualan tiket di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) kecoh, selepas tiket habis dijual dalam tempoh kurang 15 minit, apabila penyokong Kelantan yang berang menyerbu masuk ke stadium untuk mengejar penjual tiket.

Penjualan tiket bermula jam 9 pagi itu pada mulanya tenang, namun suasana bertukar kecoh dan tidak terkawal selepas pengumuman tiket habis dijual dibuat pada jam 10.30 pagi.

Kira-kira 3,000 penyokong The Red Warriors (TRW) hadir untuk membeli tiket, namun mereka mendakwa hanya 16 tiket dijual kepada empat pembeli sebelum diisytiharkan habis dijual.

Foto

KIRA-kira 2,000 penyokong menyerbu stadium selepas tidak berpuas hati tiket perlawanan akhir Piala FA habis dijual.

Foto

PENYOKONG meluahkan protes mereka.


Penyokong bertambah berang apabila KAFA menggantikan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dengan tiket perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang yang berlangsung malam tadi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: White House jadi tumpuan

Posted: 25 Jun 2013 05:23 AM PDT

Dramatik dan eksplosif adahlah tanda-tanda sebuah filem dari pengarah Roland Emmerich tetapi walaupun tema aksi bukan asing kepadanya, 'White House Down' merupakan satu cabaran unik bagi Emmerich.

Setelah meletupkan White House di dalam 'Independence Day' (1996) dan menghempaskan pengangkut pesawat USS John F. Kennedy melaluinya dalam filem '2012' (2009), Emmerich berdepan dengan satu dilema - bolehkah dia menjadikan White House sebagai sasaran sekali lagi?

Jawapannya adalah "Ya".

Melihat pada watak-watak yang diketengahkan serta naratif cerita yang berbeza dan menggabungkan elemen aksi dengan genre 'political thriller', Emmerich memutuskan untuk menghidupkan skrip yang ditulis James Vanderbilt.


Berbeza daripada usahanya yang lepas, kali ini White House menjadi fokus utama filem 'White House Down'. Pengambilalihan White House membawa kepada krisis global dengan akibat yang tidak dapat dibayangkan.


Bagi memastikan White House yang ditampilkan di layar perak cukup realistik, Emmerich dan kumpulan produksinya telah mendapatkan khidmat nasihat dari McLarty Associates melalui bahagian filem dan hiburannya iaitu McLarty Media.

Meskipun kisah 'White House Down' hanyalah satu rekaan tetapi ia berlatarbelakangkan dunia yang nyata, yang mempunyai budaya dan peraturan yang jelas. Persoalan yang mungkin bermain di fikiran ramai sebelum ini – Apa rupa terminal komputer di White House? Apa yang kelihatan di skrin monitor bila pekerja White House 'log in'? Butang jenis apa yang dipakai anggota Kongres di lapel baju mereka supaya pihak keselamatan tahu mereka ahli Kongres? Bagaimana dialog politik dan tentera? Apa tindakan polis apabila sekumpulan orang berkumpul di White House? – semuanya akan dipertontonkan secara terperinci di 'White House Down'.

Ceritanya bermula dengan John Cale (lakonan Channing Tatum), seorang anggota polis yang telah ditolak permohonannya untuk menyertai Secret Service yang bertanggungjawab mengawal keselamatan Presiden James Sawyer (Jamie Foxx). Enggan mengecewakan anak perempuannya yang meletak Sawyer sebagai idolanya, Cale membawanya menyertai lawatan ke White House.

Malangnya pada hari itu, White House diserang sekumpulan lelaki bersenjata. Kini, terpulang pada Cale untuk menyelamatkan anaknya, Prsiden dan tanahairnya.

'White House Down' akan menemui penonton bermula 27 Jun 2013.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Rosli masih gah di pentas

Posted: 25 Jun 2013 05:15 AM PDT

Seperti dijanjikan, Rosli Mohalim yang juga pemain gitar kumpulan rock legenda, Sweet Charity menampilkan aksi mantap dalam persembahan Tribute To 70's Rock di Ancasa Hotel & Spa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam kalangan generasi baru, nama Rosli mungkin agak asing. Namun, bagi peminat Sweet Charity dan pengikut tegar muzik rock era 70-an, Rosli adalah antara yang terhebat.

Sebelum kemunculan pemain-pemain gitar hebat tempatan seperti Man Kidal, Hillary Ang, Allahyarham Samad Lefthanded, Joe Wings, Kid Search, Sham Kamikaze dan Edrie Hashim, Rosli terlebih dulu mencuri perhatian peminat.

Kini dalam usia 59 tahun, dia masih gagah di pentas dengan gitar Fender Stratocaster American Standard yang menjadi pilihannya sejak dulu.

Foto

WALAUPUN tidak ramai penonton, namun sebahagian besarnya adalah peminat tegar Rosli dan Sweet Charity.

Foto

BERSAMA gitar Fender Stratocaster American Standard, Rosli memukau penonton dengan permainan mantap.


Jadi, tidak hairanlah persembahan khasnya di Casa RnB hotel berkenaan tempoh hari mendapat sambutan lebih 100 peminat setianya yang sebahagian besarnya berusia lewat 30-an hingga 50-an.


Malah, ada sekumpulan peminat sanggup datang dari Ipoh, Perak semata-mata untuk menyaksikan persembahan istimewa pemain gitar itu.

"Ini persembahan berskala kecil istimewa untuk mereka yang meminati permainan gitar saya dan peminat lagu rock era 70-an. Ia lebih kepada nostalgia kerana lagu itulah yang banyak memberi pengaruh kepada karier muzik saya hingga sekarang," katanya.

Rosli yang diiringi pemuzik seperti Fatzlane (penyanyi), Shahrin (penyanyi), Mascolin (keyboard), Awie (bass), Yunus (bass), Syed (dram) dan Mie Apache (dram). Mereka silih berganti mengiringi persembahan Rosli.

Dengan hanya instrumentasi minimum iaitu gitar, bass, dram dan keyboard, kumpulan yang juga dikenali sebagai Rosli Mohalim & Friends ini menampilkan teknik permainan cukup mantap membawakan lagu-lagu 'cover' daripada band-band rock 70-an seperti Deep Purple, Black Sabbath, Led Zeppelin, Rolling Stones, The Beatles, Rainbow, Bad Company, Creedance Clearwater Revival dan banyak lagi.

Bermula dengan lagu Come Together (The Beatles), American Woman (The Guess Who) dan Them Changes (Buddy Miles dan Carlos Santana), Rosli turut menunjukkan bakatnya sebagai penyanyi.

Kemudian bersama penyanyi Fatzlane dan Shahrin, mereka silih berganti membawakan lagu You Really Got Me (The Kinks), Ready For Love (Bad Company), I Want To Break Free (Queen), Temple Of The King (Rainbow), Honky Tonk Woman (The Rolling Stones), Black Night (Deep Purple) dan Stairway To Heaven (Led Zeppelin).

Kelebihan dimiliki Rosli ialah beliau mampu memainkan lagu terbabit de­ngan 'sound' dan 'tone' yang seakan-akan sama dengan lagu asalnya seperti mana yang kita dengar menerusi piring hitam atau cakera padat.

Rosli kemudian menghangatkan ruang persembahan yang kecil itu dengan lagu Smoke On The Water (Deep Purple), Paranoid (Black Sabbath), Purple Haze (Jimi Hendrix), Whole Lotta Love (Led Zeppelin), Born To Be Wild (Steppenwolf), Highway Star (Deep Purple) sebelum menutup persembahan dengan lagu Burn (Deep Purple).

Di pentas yang sama penonton turut 'dikejutkan' dengan persembahan istimewa daripada band jemputan iaitu Soundmakers.

Apa yang menarik, band terbabit dianggotai lima remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan mereka memainkan lagu-lagu rock era 70-an dan 80-an.

Soundmakers yang diang­gotai Hakim, 16 (penyanyi), Wan, 17 (gitar), Jimi, 17 (bass), Syafiq, 17 (dram) dan Hafiz, 12 (keyboard) membawakan tiga lagu iaitu Have You Ever Seen A Rain (Creedance Clearwater Revival), Knockin' On Heaven's Door (Guns N' Roses) dan Highway Star (Deep Purple).

Dalam pada itu, Rosli yang ditemui selepas persembahan bercadang mengadakan persembahan setiap bulan di situ.

"Mungkin selepas ini kita akan membuat tema berbeza setiap bulan. Contohnya bulan ini, kami memainkan lagu Deep Purple manakala bulan seterusnya lagu daripada Led Zeppelin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Rancang pengebumian sendiri

Posted: 25 Jun 2013 09:03 AM PDT

London: Ketika orang biasa sibuk merancang sambutan hari lahir atau merancang percutian apabila berusia 40 tahun, Angelica Bull pula memilih merangka pelan pengebumiannya sendiri.

Di sebalik usia yang masih awal dan tidak menghidap sebarang penyakit, Angelica mula membuat perancangan itu tiga tahun lalu. Katanya, semua butiran pengebumian itu dicatatkan, termasuk jenis bunga yang akan dijadikan hiasan, lagu yang akan dimainkan serta jenis keranda yang diingini.


"Tidak ketinggalan, tempat saya dibaringkan untuk diberi penghormatan terakhir serta jenis hidangan kepada tetamu," katanya.

Menurut Angelica, 43, dia menyimpan wang bernilai £6,000 (RM29,498) untuk menampung kos menguruskan mayatnya.


Kata pekerja pentadbiran itu, pengebumian berkenaan menggambarkan bagaimana dirinya mahu dikenang.


Sebagai seorang yang sentiasa membuat perancangan awal dalam semua perkara, sesetengah kawannya menganggap dia aneh. "Tetapi mereka tidak akan menganggap saya pelik jika saya mati esok," katanya,. Wanita berasal dari Bermondsey di Tenggara London itu berkata, dia memikirkan perancangan untuk mati ketika berusia 40 tahun.

Foto

ANGELICA mencuba keranda yang dipilihnya.

Foto

BUTIRAN pengebumian dicatatkan supaya ia dapat berjalan lancar.

"Semua orang berkata, hidup bermula pada usia 40 tahun, tetapi saya asyik terfikir jika keadaan sebaliknya berlaku," katanya. Angelica mula mengumpul katalog dari syarikat menguruskan mayat untuk mencari keranda yang sesuai serta kelengkapan lain. Untuk muzik, Angelica memilih tiga lagu, iaitu The Sheik Of Araby oleh Louis Prima, One nyanyian U2 dan Gimme Shelter (Rolling Stones). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Flo Rida berhabis wang demi kereta

Posted: 25 Jun 2013 08:51 AM PDT

Miami: Memiliki kereta bernilai AS$1.7 juta (RM5.4 juta) ternyata tidak memadai bagi penyanyi rap Flo Rida apabila dia menghabiskan lebih banyak wang untuk menghiasi kenderaan itu.

Bagi Flo Rida, kereta Bugatti Veyron itu hanya kelihatan sempurna apabila dihiasi dengan pelbagai ciri kemewahan. Dia mempamerkan kemegahan itu ketika berdepan masalah kewangan. dan tahun lalu hak pemilikan rumahnya dilucutkan kerana terbabit dalam tunggakan cukai bernilai AS$1 juta (RM3.2 juta).


Flo Rida memilih syarikat Metro Wrapz untuk menghias kereta itu.

Katanya, warna asal kereta itu ialah putih sebelum ditukar menjadi krom. "Nampaknya Flo Rida mahu memiliki kenderaan yang lain daripada lain," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Kecoh di Stadium Perak

Posted: 25 Jun 2013 03:26 PM PDT

Ipoh: Pasukan dari Singapura, LionsXII FC semakin menghampiri kejuaraan Liga Super buat kali pertama walaupun terikat 1-1 pada perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Keputusan seri itu meletakkan anak didik V Sundramoorthy terus unggul di persada Liga Super dengan kutipan 40 mata, kelebihan empat mata ke atas Selangor yang merampas tangga kedua dari Johor Darul Takzim (DT), dengan saingan liga berbaki dua perlawanan.


Bagaimanapun kekecohan berlaku apabila pemain Perak Khairi Kiman diarah keluar padang oleh pengadil kerana mengutip kad kuning kedua pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Situasi itu menyebabkan kem Perak yang tidak berpuas hati menyerbu masuk ke padang dan cuba berdepan dengan pengadil sehingga berlaku kekecohan apabila pemain LionsXII turut bertindak balas sehingga memaksa pegawai keselamatan dan pegawai kedua-dua pasukan meleraikan mereka.


Pada perlawanan di Ipoh itu, skuad Seladang berada di depan menerusi jaringan Paulo Rangel pada minit ke-58 sebelum Shahfiq Ghani menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-75.

Foto

PEMAIN Perak dan LionsXll terbabit dalam pergaduhan pada masa kecederaan babak kedua sehingga terpaksa dileraikan pegawai keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Rayuan ditolak!

Posted: 25 Jun 2013 03:23 PM PDT

Kuala Lumpur: Pemain Johor Darul Takzim (Johor DT), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak sah tidak akan beraksi pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini apabila hukuman penggantungan dua perlawanan dikekalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, penggantungan akibat dikenakan kad merah terus itu tidak boleh dirayu kerana ia hukuman yang berkuat kuasa serta-merta.


"Keputusan pengadil melayangkan kad merah itu muktamad. Jawatankuasa Tatatertib tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menggubal atau meminda undang-undang kad merah dilayangkan secara terus pada perlawanan itu memandangkan ia keputusan dibuat pengadil perlawanan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa.

"Hukuman itu termaktub dalam Perkara di bawah 35.3 (2) Kod Tatatertib yang menyatakan mana-mana pemain menerima dua kuning dan dilayangkan kad merah akan kekal menjalani hukuman penggantungan automatik," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib mengenai hukuman kad merah di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.


Aidil, tonggak pertahanan Johor DT dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Zam Zaidi pada aksi Liga Super menentang Lions XII yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura, minggu lalu.


Aidil dikenakan kad merah itu berikutan terjahan keras dilakukannya terhadap Irwan Shah pada penghujung babak perlawanan. Johor Darul Takzim (DT) sebelum ini membuat rayuan rasmi kepada FAM agar kad merah Aidil itu ditarik balik bagi membolehkannya beraksi di final Piala FA.

Selain penggantungan menentang Kelantan, Aidil turut digantung daripada beraksi pada perlawanan menentang Felda United malam tadi.


Mengikut peraturan pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setiap pemain dilayangkan kad merah terusakan dikenakan penggantungan dua perlawanan dalam semua pertandingan sama ada Liga Super atau Piala FA. Pada masa sama, FAM mengurangkan hukuman dikenakan terhadap pemain Terengganu, Ismail Faruqi daripada enam bulan kepada tiga bulan dan didenda RM5,000 atas kesalahan menyondol kepala kepada pengadil dan mengeluarkan kata-kata kesat sewaktu Terengganu menentang Pahang pada Liga Super sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved