Rabu, 12 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pekerja jatuh pelantar tapak pembinaan runtuh

Posted: 11 Oct 2011 01:08 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Ketika sibuk menyapu di pintu masuk, secara tiba-tiba saya terdengar satu dentuman kuat diikuti bunyi kecoh dari arah tapak pembinaan bersebelahan KL Sentral," kata pekerja pembersihan, Adrasyid, 37, ketika ditemui wartawan Harian Metro di KL Sentral, di sini, semalam.

Sejurus terdengar dentuman pada jam 11 pagi itu, saksi berkenaan bergegas ke bahagian luar bangunan untuk melihat kejadian dan mendapati berlaku runtuhan di tapak pembinaan pusat beli-belah kira-kira 50 meter dari KL Sentral.


Dalam kejadian itu, satu bahagian pelantar di tapak pembinaan berkenaan runtuh menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh berusia 35 tahun terjatuh dari ketinggian empat meter sebelum terperangkap di bawah timbunan konkrit.

Difahamkan, pekerja berkenaan menyapu konkrit di pelantar berkenaan dan tidak sempat menyelamatkan diri sebelum beberapa pekerja lain yang menyedari insiden terbabit memberi bantuan.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata pasukan bomba dan penyelamat yang tiba sebaik mendapat laporan kejadian membawa keluar mangsa pada jam 11.20 pagi.


"Berdasarkan pemeriksaan, konkrit di pelantar berkenaan dipercayai belum kukuh dan siap sepenuhnya menyebabkan berlaku runtuhan.

"Ketika melakukan kerja berkenaan, mangsa lengkap memakai alat keselamatan termasuk topi keselamatan bersama sembilan pekerja lain.


"Bagaimanapun, tahap kecederaan mangsa belum dapat dipastikan dan dia sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut," katanya.

Laporan awal menyatakan mangsa cedera ringan pada bahagian luaran, namun pemeriksaan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat kecederaan dalaman.


Menurut Wan Abdul Bari, pihaknya sudah memberi arahan kepada pekerja untuk mengosongkan tapak berkenaan dan menghentikan seketika proses pembinaan sehingga pemaju memberi kebenaran memulakan semula kerja.

Full content generated by Get Full RSS.

Perluas khidmat SRS perangi jenayah

Posted: 11 Oct 2011 11:38 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Perkhidmatan Skim Rondaan Sukarela (SRS) perlu diperluaskan ke lebih banyak kawasan perumahan di bandar raya ini selain dipertingkat dalam usaha memerangi jenayah," kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa, peranan SRS dalam menjaga keselamatan akan lebih mudah disebabkan perkongsian maklumat antara mereka.


"Kita sedia maklum wujudnya kekurangan tempat atau premis yang mengehadkan pengurusan kerja SRS dan rukun tetangga di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Bagaimanapun, kementerian tiada halangan untuk berbincang dan bekerjasama bagi menangani masalah ini disamping berusaha melengkapkan peralatan meronda untuk kemudahan petugas," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Taman Seri Sentosa, di sini, kelmarin.


Majlis turut menyaksikan Nong Chik melancarkan Program Jom Ronda Bersama dan meronda beberapa kawasan sekitar bersama anggota SRS dan pegawai polis.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Perut ibu dibelah, anak dicuri

Posted: 11 Oct 2011 09:20 AM PDT

MADISON: Seorang wanita Wisconsin yang mempunyai tiga anak tetapi gagal memberikan zuriat kepada teman lelaki barunya, semalam didakwa kerana membunuh seorang wanita hamil, membelah perut mangsa dan mengambil bayi itu untuk dijadikan anaknya.

Menurut aduan dikemukakan pihak berkuasa, mangsa, Maritza Ramirez-Cruz, 23, hamil anak keempatnya dan bercadang menamakan bayi itu Omar.


Wanita keturunan Puerto Rico itu tidak pernah menyangka bakal menemui ajal di tangan Annette Morales-Rodriguez yang mengaku berkeliaran di kawasan Milwaukee selama dua minggu untuk mencari wanita hamil.

Pada 6 Oktober, Annette terjumpa Maritza - dijadual bersalin beberapa minggu lagi - dan menawarkan mangsa menaiki keretanya.


Bagaimanapun, Annete mendakwa dia perlu pulang dulu ke rumah untuk menukar kasut, manakala Maritza meminta kebenaran menggunakan tandas suspek.


Dokumen mahkamah menyatakan, sebaik saja Maritza keluar dari tandas, Annette, 33, memukul kepalanya dengan kayu besbol.

Apabila Maritza terbaring, Annette mencekiknya hingga pengsan sebelum membelah perut mangsa dengan meniru prosedur pembedahan Cesaerean seperti pernah ditontonnya dalam siaran televisyen.


Annette kemudian menyorok mayat Maritza di tingkat bawah rumahnya.

Petang hari itu, pasukan paramedik tiba di rumah Annette selepas dia mendakwa kononnya dia baru bersalin dan bayi berkenaan mengalami kesukaran bernafas.


Bagaimanapun, paramedik gagal menyelamatkan bayi berkenaan, manakala Annette dibawa ke hospital.


Di situ, doktor kehairanan kerana mendapati tiada sebarang tanda Annette hamil atau baru bersalin.


Siasatan lanjut polis mendapati Annette bukan ibu kepada bayi yang mati di rumahnya.


Pegawai polis Wisconsin, Edward Flynn, berkata pemeriksaan di rumah Annette membolehkan polis menemui mayat Maritza yang disembunyikan sebelum itu. Doktor berkata, Maritza mati akibat kehilangan darah yang banyak. - DM

Full content generated by Get Full RSS.

Peminat menangis Rain masuk kem tentera

Posted: 11 Oct 2011 09:14 AM PDT

SEOUL: Bintang pop Korea Selatan, Rain, memasuki kem tentera semalam untuk memulakan perkhidmatan ketenteraan wajib disaksikan peminat yang menitiskan air mata untuknya.

Sambil tersenyum dan memberikan tunduk hormat, Rain melambaikan tangan kepada kira-kira 1,000 orang yang menunggu di luar kem di utara Seoul.


"Terima kasih kerana datang. Kita berjumpa lagi nanti," katanya.

Turut berada di situ, sekumpulan wartawan.


Kebanyakan peminat, termasuk beratus-ratus dari Jepun, Taiwan, China dan negara lain di Asia, menangis ketika Rain, 29, hilang daripada pandangan mereka.


Rain - atau nama sebenarnya Jung Ji-Hoon - seorang daripada penyanyi lelaki Korea Selatan paling popular dan turut menyumbang kepada kebangkitan budaya pop negara itu di seluruh dunia.

Dia akan menjalani latihan asas selama lapan minggu di kem itu sebelum ditempatkan di mana-mana pangkalan tentera untuk 22 bulan.


Masih dianggap berperang dengan Korea Utara secara teknikal, Korea Selatan mewajibkan semua lelaki negara itu menyertai tentera. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Bob Lokman tiada tauliah

Posted: 11 Oct 2011 01:14 PM PDT

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan membuat tangkapan terhadap selebriti yang juga pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat, kelmarin.

Pengarah Jais, Marzuki Hussin, berkata Bob Lokman atau nama sebenarnya, Muhammad Hakim Lokman, 47, tidak memiliki tauliah dan tidak pernah memohon daripada Jais untuk memberikan ceramah kepada umum.

"Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat awam. Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, sumber Jais berkata selebriti itu bersama dua lagi iaitu Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohd Sany Hamzan dan nazir masjid berkenaan ditahan Jais ketika berucap selepas solat Maghrib di hadapan 70 jemaah.


Katanya, mereka dibawa ke balai polis berhampiran sebelum dilepaskan atas jaminan polis.


Bagaimanapun, katanya, Bob Lokman dan dua lagi rakannya gagal hadir di Ibu Pejabat Jais di sini, sebelum tengah hari semalam, walaupun diminta berbuat demikian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Jatuh dari tingkat 12

Posted: 11 Oct 2011 12:11 PM PDT

GOMBAK: Cubaan seorang pegawai imigresen untuk melarikan diri daripada polis berakhir dengan tragedi apabila dia maut dengan cebisan otak bertaburan selepas terjatuh dari tingkat 12 Kondominium Magnaville, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, empat anggota Jabatan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pergi ke rumah Mohd Irwan Mohd Ishak, 29, bagi menyiasat kes penipuan membabitkan mangsa.

Bagaimanapun mangsa yang disyaki panik selepas mendapat tahu kehadiran anggota polis nekad memanjat tingkap kediamannya untuk ke ruang tangga berhampiran sebelum dia dikatakan tergelincir dan terjatuh.

Akibat kejadian, mangsa yang ditemui dalam keadaan terlentang, maut di tempat kejadian dengan kepalanya pecah.


Isteri mangsa, Suridah Suhardi, 35, berkata, ketika kejadian suaminya baru bangun daripada tidur dan memberitahu dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa dan menyuruh sekumpulan lelaki yang mengaku sebagai polis pergi dari situ.


"Sebelum ini, suami saya sudah berpesan yang dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa dan jangan membuka pintu jika ada orang mencarinya," katanya.

Menurutnya, dia kemudian berjumpa sekali lagi dengan anggota polis terbabit dan memberitahu suaminya tidak mahu berjumpa dan menyuruh mereka pergi ke rumah ibu suaminya jika ingin menyelesaikan apa-apa masalah.

"Saya kemudian menutup semula pintu dan pergi ke arah suami. Pada ketika itu, dia memberitahu ingin keluar menggunakan tingkap bilik dan menggunakan tangga untuk turun ke bawah.

"Saya menghalangnya kerana bimbang dia akan terjatuh dan dia pada mulanya dia seperti tidak jadi melakukan perkara itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Suridah berkata, bagaimanapun ketika dia sedang sibuk menguruskan anak lelaki berusia dua tahun di bilik air, suami sekali lagi bertindak memanjat tingkap untuk turun ke bawah sebelum terjatuh.

"Dia mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan untuk berehat di rumah akibat tekanan kerja dan sepatutnya bekerja semula awal tahun depan," katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, anggota polis yang pergi ke kediaman mangsa ada memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan memaklumkan mereka mencari orang bernama Irwan.

"Wanita terbabit kemudian memberitahu suaminya yang dicari mereka sedang mandi dan meminta tunggu sebentar.

"Anggota polis kemudian menunggu di luar sementara wanita terbabit terus mengunci pintu rumah. Lebih kurang 15 minit kemudian mereka sekali lagi mengetuk pintu rumah dan dibuka isteri mangsa," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, wanita terbabit memberi alasan suaminya tiada dan berada di rumah ibu dan terus menutup pintu.

"Tidak lama kemudian, anggota polis yang masih menunggu di luar kediaman itu terdengar bunyi seperti benda terjatuh. Hasil pemeriksaan, mereka mendapati mangsa telah terjatuh ke bawah (kondominium) apabila cuba melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Difahamkan, mangsa sebelum ini pernah berjumpa dengan pakar psikologi akibat tekanan dengan kerja dan mengambil cuti tanpa gaji bagi menenangkan fikirannya.

Mangsa meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia enam tahun dan dua tahun.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Farah rindu suami di Chiang Mai

Posted: 11 Oct 2011 07:12 AM PDT

PELUANG mendekati jiwa dan personaliti Farah Diana Anuar sepanjang mengikuti penjelajahannya di negara Gajah Putih minggu lalu membuka ruang melihat kematangan dan kebahagiaan yang tidak mampu disorok lagi si empunya senyuman manis ini.

Meskipun bicaranya halus dan sesekali menyusun berhati-hati cerita yang ingin dikongsi, bintang popular yang lahir dari program Akademi Fantasia musim kedua ini sudah berani untuk berkongsi saat bahagianya sejak bergelar isteri, tiga bulan lalu.

Belum sempat soal pengalaman dan perkembangan seninya diungkap, lekas episod indahnya memimpin kebahagiaan hidup berumah tangga menjadi topik utama disembangkan terutama apabila terpaksa berjauhan dengan insan tersayang, Johan Johari hampir sebulan bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengantara program Rasa Halal di Laos dan Thailand.

Jelasnya, itulah pengorbanan dan bukti persefahaman antara mereka kerana segala-galanya adalah tuntutan kerjaya yang mustahil diketepikan meskipun jauh di lubuk hatinya, terdetik perasaan rindu yang tidak mampu digambarkan.


"Dulu ketika mengendalikan Rasa Halal sepanjang lima musim, saya tidak perlu fikirkan sesiapa kerana masih sendiri. Namun kini apabila mendapat saja jadual penggambaran, saya terus memikirkan suami yang akan saya tinggalkan sementara.


"Saya bersyukur kerana Johan sentiasa memahami dan dia sendiri yang menyuruh untuk saya kekal mengacarakan program itu.

"Memang saya akui fikiran saya melayang merindui suami namun alhamdulillah setiap hari kami akan berhubung dan bertanya khabar.

"Namun ia bukanlah sesuatu yang baru atau pelik bagi kami kerana sejak bercinta lagi, memang kami berdua jarang bertemu kerana masing-masing sibuk dengan kerja dan kebetulan Johan tinggal bersama keluarga serta bekerja di Pulau Pinang, saya pula di Kuala Lumpur.

"Apapun manisnya, Johan datang membuat kejutan kepada saya pada awal Oktober lalu ketika saya bersama tenaga kerja berada di Bangkok. Sempat juga dia meluangkan masa selama tiga hari untuk bertemu saya dan menghabiskan masa bersama. Itu sudah cukup menghilangkan rasa rindu saya kepadanya," katanya yang menetap bersama suami dan keluarga mentuanya di Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Ditanya pula pengalaman dan rutin hariannya sepanjang bergelar isteri, anak ketiga daripada enam beradik yang juga kelahiran Kuala Lumpur ini seronok menceritakan gelagatnya yang kini gigih belajar untuk menyediakan masakan kegemaran suaminya iaitu udang masak sambal.

Meskipun terikat dengan jadual kerja dan percaturan seni yang bagai tiada akhirnya, Farah yang turut mengacarakan program bual bicara Nasi Lemak Kopi O
di TV9 menyifatkan rasa penat yang dirasainya dalam mengukuhkan lagi ikatan
kasih sayang dalam perkahwinan adalah satu kepuasan yang sukar di gambarkan.

"Kelakar juga apabila saya mengambil keputusan untuk berkahwin di usia muda seperti ini kerana masih terlalu banyak yang perlu saya pelajari.

"Bagaimanapun, saya tidak menyesal dan suami pula sentiasa di belakang menyokong. Mujur ibu mentua dan keluarga suami juga begitu akrab dengan saya dan mereka juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

"Sebenarnya sepanjang bercinta, kami bukanlah seperti pasangan biasa yang setiap hari bertemu sebaliknya hanya beberapa kali saja kami sempat dating kerana begitu sibuk ketika itu.

"Lantas keputusan kami berkahwin ini adalah untuk lebih mengenali antara satu sama lain dan terus menyulam rasa cinta antara kami selain menguatkan lagi keserasian yang ada.

"Setakat ini, segala kelengkapan dan keperluan suami baik untuk kerja dan peribadinya sudah mampu saya uruskan sendiri.

"Malah, saya sendiri sudah cekap menyediakan masakan kari buatnya. Cuma jika ada kelapangan, saya akan duduk bersama ibu mentua untuk belajar cara memasak dan bagaimana untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

"Sekarang saya memang sedikit sibuk berulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur memandangkan saya masih terikat mengendalikan program Nasi Lemak Kopi O setiap Jumaat dan undangan persembahan," katanya yang mengakui tidak pernah merancang untuk menimang cahaya mata sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada rezeki.

Jika ada yang tertanya mengapa si pemilik wajah manis dengan raut pesona anggun masih kekal mengendalikan program Rasa Halal sepanjang enam musim, mungkin perlu memberi peluang memerhati komitmen dan kesungguhannya di lokasi penggambaran.

Letak ke tepi soal penat dan letih kerana sentiasa terkejar-kejar dengan kesuntukan masa, Farah hanya menyifatkan disiplin adalah kunci utama bagi menghidupkan apa saja tugas dan tanggungjawab yang diberi.

"Bayangkan saya terpaksa menyiapkan semua 13 episod Rasa Halal dalam masa kurang dari sebulan dengan menjelajah beberapa negara yang tidak semudah ditonton di televisyen.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tenaga kerja program ini sudah bagaikan keluarga yang mana saya tidak berasa janggal untuk berbincang atau memberi pandangan.

"Sudah enam musim Rasa Halal bersama saya dan memang dapat saya rasakan hubungan itu. Ia begitu dekat kepada saya dan sentiasa memberikan pengalaman baru.

"Tidak setakat berpeluang pergi melawat ke negara orang, malah saya juga
punya ruang terbaik bagi mengenali budaya, masyarakat dan jenis makanan mereka.

"Bagi musim keenam, saya akan menyuntik beberapa pembaharuan dan kelainan. Saya akan cuba berkongsi maklumat secara santai dan bersahaja selain lebih cenderung mempamerkan budaya dan komuniti Islam di sana. Insya Allah, penonton akan melihat perbezaan dan kelainan bagi musim baru ini," katanya.

Selepas mengembara mengenali pelbagai cara penyediaan makanan halal dan tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi ke beberapa negara termasuk Hong Kong, China dan Vietnam, Rasa Halal Laos dan Thailand. Musim baru ini akan disiarkan setiap Selasa, jam 7.30malam mulai 6 Disember di Astro Oasis.

PROFIL:

NAMA SEBENAR: Farah Diana Anuar
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1985
UMUR: 26 Tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak ketiga dari enam adik-beradik
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Johan Johari
PENDIDIKAN: Jurusan Seni Persembahan (Muzik dan Vokal) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
JURUCAKAP PRODUK: Power Roots, Intimate, Syahirah

PROGRAM: Fulus Mania (Durian Runtuh) Di Astro Ria, Rasa Halal Orient (Astro Oasis) Musim 1 Hingga 6, Generasi Asli @ 1Malaysia dan Nasi Lemak Kopi O

ALBUM: Antara Dua dan Fantasia
DRAMA: Popular dan Akademi
FILEM: Man Laksa

PENCAPAIAN: Artis Harapan Terbaik AIM ke-12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize Di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2005

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada lagi alunan Lembaran Terakhir

Posted: 11 Oct 2011 06:56 AM PDT

HUJAN pagi semalam seakan membawa khabar sedih pemergian Biduan Negara, Datuk Mohd Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais, jam 9.20 pagi.

Allahyarham yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam pada 1 Oktober lalu akibat sesak nafas, meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Penyanyi yang popular dengan lagu Di Ambang Sore, Budi Setahun Segunung Intan dan Azizah itu mula dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Selangor kerana mengadu penat selepas menjayakan satu persembahan Aidilfitri di Matic, Jalan Ampang pada 9 September sebelum dipindahkan ke DEMC kerana mempunyai rekod perubatan di situ.

Dalam usia emas, Allahyarham mempunyai penglihatan yang baik dan lebih suka memandu kereta sendiri biarpun pada malam hari kerana tidak percaya kalau orang lain yang memandu.


Ke mana pun pergi, lebih yakin memandu sendiri dan hidup sendirian selepas kematian isteri, Datin Mas Alilah Mas Nayin pada 22 Jun 2009.


Allahyarham juga tidak mengamalkan amalan tertentu untuk menjaga suara kerana baginya suara adalah anugerah Tuhan.

Namun, katanya, sejak kecil ibunya tidak membenarkan dia minum ais batu.

Katanya, ais itu sejuk di luar tapi panas di dalam. Dia tidak pernah menyentuhnya sejak sekolah rendah lagi kerana mengikut kata-kata ibunya yang dipegang sehingga hayatnya.

Walaupun dipanjat usia dan keadaan kesihatan kurang sihat, Allahyarham tetap bersemangat menyanyi. Ketika menjayakan Konsert Terima Kasih Harian Metro pada 26 Mac lalu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Allahyarham berganding dengan artis generasi baru, Bunkface untuk lagu popularnya, Umpan Jinak Di Air Tenang dan persembahan mereka disaksikan 100,000 penonton.

Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengakui sebagai anak seni yang sama-sama berjuang dengannya, pemergian Ahmad Jais amat dirasai.

"Saya pernah menjayakan beberapa persembahan bersama arwah dan menyifatkan beliau seorang individu yang ceria dan gembira. Tidak pernah saya melihat dia dalam 'mood' yang tak baik sebaliknya muncul dengan wajah riang. Seorang yang mesra dan mudah didekati.

"Malah, arwah juga seorang yang sentiasa menjaga penampilannya. Setiap kali muncul di pentas, beliau pasti tampil kemas dalam gaya tersendiri. Kali terakhir saya bersua serta beraksi di pentas sama dengannya sekitar Jun lalu.

"Saya kagum kerana arwah anak seni sejati yang aktif dalam bidang seni sepanjang hayatnya.

"Saya yakin dengan keikhlasan dan ketelusan arwah menghiburkan masyarakat, beliau disayangi ramai orang dan peminat yang sentiasa menyokongnya," katanya.

Jamal Abdillah menyifatkan beliau seorang yang begitu merendah diri dan tidak pernah menunjukkan kesusahan dalam kepayahan dialaminya.

"Arwah sentiasa mengukir senyuman dan tampil dengan wajah gembira. Saya juga tidak pernah mendengar beliau merungut mengenai apa-apa pun berkaitan industri hiburan tanah air.

"Bagaimanapun, industri hari ini (semalam) kehilangan seorang artis yang memiliki suara tiada tandingan dan galang gantinya. Kini tiada lagi suara lemak merdu dan meruntun jiwa dapat menghiburkan pendengar dengan dendangan lagu Melayu asli yang hebat, mantap dan bertenaga. Usia tidak menjadi penghalang arwah menampilkan persembahan terbaik," katanya.

Penyanyi Aishah yang juga popular dengan lagu Bahtera Merdeka menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang suka berterus-terang.

Katanya, dalam satu persembahan arwah pernah bertanya kepadanya mengapa suka sangat mendendangkan lagunya.

"Ketika itu, kami baru beraksi di pentas sama, jadi saya terkejut. Sebenarnya arwah mahu memuji saya kerana dapat menyanyikan lagu Bahtera Merdeka dengan baik.

"Saya masih ingat kata arwah yang beliau pun tidak pernah terfikir menyanyikan lagu itu dengan lenggok.

"Pernah beberapa kali membuat persembahan bersama, arwah yang sering melihat saya membawa anak di belakang pentas, menegur mengatakan tidak tahu bagaimana saya mampu menguruskan anak dan menyanyi dalam masa yang sama.

"Sebagai seorang yang mengambil berat, jika saya tidak membawa anak bersama, beliau akan tanya juga. Begitulah sikap arwah yang ceria, peramah dan sangat suka berterus-terang. Apa saja yang beliau suka atau tidak suka, pasti diluahkannya," katanya.

Dilahirkan di Kapar, Klang, Selangor pada 28 Mac 1936, Allahyarham berhijrah ke Singapura pada 1959 dan sering menyertai pertandingan menyanyi dan menjadi juara pertandingan Lagu Asli Singapura pada 1959 dan 1960 hingga tidak dibenarkan bertanding pada 1961.

Tidak patah semangat, Ahmad Jais menyertai Lagu Pop Singapura dan menjadi juara pada 1961 lalu kembali menyertai Lagu Asli Singapura pada 1962 dan menjadi juara.

Sewaktu membuat persembahan di Panggung Victoria bersama kumpulan Seriwarna, kehebatan suaranya menyanyikan lagu Di Ambang Sore diperakui tokoh muzik terkenal Singapura, Zubir Said yang banyak terbabit dengan dunia rakaman.

Panggung Victoria juga menjadi tumpuan golongan elit dan bangsawan hingga ramai membuka mata dengan kemerduan suaranya.

Album pertama dirakamkan pada 1965 dengan lagu Kucupan Azimat dan Ahmad Jais merakamkan lebih 100 lagu dan menghasilkan 15 album.

Antara lagu popularnya, Bunga Ku Puja Di Petik Orang, Dikau Pujaan, Gelisah, Bahtera Merdeka, Harapan Kecewa, Kau Pergi Tanpa Relaku dan Lembaran Terakhir.

Selain menyanyi solo, Allahyarham juga terkenal dengan lagu duet bersama pasangannya, Allahyarham Datin Rafeah Buang menerusi lagu Juwitaku Sayang dan lagu Budi Setahun Segunung Intan duet dengan Kartina Dahari yang dimuatkan dalam filem Aksi Kucing.

Setiap kali menyambut Aidilfitri, alunan suaranya untuk lagu Selamat Hari Raya menjadi kemestian menjelang Syawal.

Kemuncak kariernya dalam bidang seni hadir pada 23 Mac 2007 apabila mengadakan Konsert Bahtera Merdeka anjuran Istana Budaya diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Sepanjang kariernya, Allahyarham turut berlakon filem Aksi Kucing, Dara Kula dan Si Badul. Pada 2001 menerima anugerah Artis Sepanjang Zaman Papita dan Anugerah Biduan Veteran di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 (ABPBH 2002).

Allahyarham menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda ke-63 pada 2006.

Al-Fatihah...semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang dikasihi Allah...amin.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Gergasi Merah kian membara

Posted: 11 Oct 2011 10:14 AM PDT

PERAK berdepan tugas lebih berat menjelang suku akhir kedua Piala Malaysia, Jumaat ini apabila jurulatih Selangor, P Maniam menjangkakan prestasi pemainnya akan terus meningkat bagi memastikan tiket ke separuh akhir berada dalam genggaman.

Pengendali berusia 43 tahun itu menjelaskan terdapat peningkatan dalam permainan dipamer barisan Merah Kuning terutama selepas mencalar rekod tanpa kalah Perak pada peringkat kumpulan apabila menang 3-1 di Stadium Shah Alam, kelmarin.


"Jika anda lihat, mereka sudah meningkat sejak menewaskan PDRM (4-1) dan Kuala Lumpur (2-1) pada peringkat kumpulan sebelum ini. Pemain beraksi dengan penuh semangat bagi memastikan kemenangan.

"Selain kelibat beberapa pemain di barisan depan yang menyerlah dan mengancam kubu lawan, saya turut puas hati dengan kekentalan benteng pertahanan yang diketuai (Mohd) Nasriq (Baharom) dan (Mohd) Asraruddin (Putra Omar)," katanya yang pernah menyuarakan kebimbangan mengenai dua posisi terbabit sebelum ini.


Malah Maniam berkata, juara 32 kali Piala Malaysia itu akan terus menggunakan corak permainan sama apabila beraksi di Ipoh.


"Apabila turun beraksi dalam aksi suku akhir kedua, saya harap pemain tidak menganggap sudah mempunyai kelebihan sebaliknya bermain untuk mencatatkan kemenangan walaupun sukar," katanya.

Namun beliau tetap mengingatkan anak buahnya terhadap tentangan Perak kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar yang pasti mempunyai strategi tersendiri selain kehadiran semula lima tonggak Seladang yang digantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.


Dua jaringan menerusi sepakan percuma menarik Mohd Safiq Rahim pada setiap babak memastikan Selangor selesa mendahului sebelum Mohd Amirulhadi Zainal tenang meledak gol ketiga bagi memastikan kemenangan tuan rumah dengan Failee Ghazali menjaringkan gol sagu hati pelawat.

Full content generated by Get Full RSS.

Padah gagal kawal emosi

Posted: 11 Oct 2011 10:03 AM PDT

KEMENANGAN bergaya Terengganu menewaskan Kelantan 3-1, malam kelmarin, terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila dua pemain utamanya yang juga pemain kebangsaan, Mohd Zubir Azmi dan Ismail Faruqi Ashari dilayangkan kad merah.

Derita sama juga dialami pelawat apabila pengadil Mohd Nafeez Abd Wahab turut memerintahkan tiga pemain Kelantan, Mohd Syakir Saari, Daudsu Jamaluddin dan Aziz Ismail keluar padang kerana menerima kad merah.


Jurulatih Irfan Bakti Abu Salim berkata, perlawanan yang bermula rancak bertukar menjadi sedikit tegang pada pertengahan babak pertama yang menyaksikan pemain kedua-dua pasukan gagal mengawal emosi sekali gus menyaksikan lima kad merah dilayangkan pengadil.

"Jika pemain kedua-dua pasukan berjaya mengawal emosi, insiden layangan kad merah mungkin dapat dielakkan. Pertembungan dua finalis Piala FA musim ini memang amat dinantikan peminat dan sudah dijangka sengit, apatah lagi dua pasukan itu berjiran dan seharusnya pemain mampu mengawal emosi masing-masing serta bermain dengan penuh semangat kesukanan," katanya.


Bagaimanapun, secara keseluruhan jurulatih berasal dari Kelantan itu bangga dengan corak persembahan pemain yang berjaya mengambil peluang terhidang untuk membawa bekalan selesa pada perlawanan suku akhir kedua di Kota Bharu, Jumaat ini.


"Biarpun perlawanan agak panas dan ditambah insiden kad merah dan kuning, secara jujurnya saya puas hati dengan persembahan pemain yang berusaha keras memburu jaringan untuk menewaskan lawan," katanya.

Pada perlawanan itu, Terengganu berjaya mendahului Kelantan hasil jaringan Ismail Faruqi pada minit ke-43 sebelum diikat Mohd Badri Radzi menerusi sepakan penalti m-78.


Tuan rumah kemudian menambah dua gol lagi menerusi sepakan penalti Abdul Manaf Mamat m-88 sebelum kapten, Mohd Mazuki Yusof menambah derita pelawat untuk gol ketiga.

Ditanya peluang Terengganu untuk layak ke separuh akhir, jurulatih berusia 60 tahun itu yakin anak buahnya mampu memperagakan aksi bertenaga pada perlawanan kedua kelak.


"Andai aksi yang dipamerkan malam itu (kelmarin) menjadi ukuran, saya percaya Terengganu mampu melangkah ke separuh akhir biarpun bakal menerima tentangan sengit di Kota Bharu.


"Saya juga percaya ketiadaan Ismail dan Zubir tidak akan menjejaskan rentak pasukan kerana kita mempunyai pemain lain untuk menggantikan tempat mereka," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved