Sabtu, 23 Mac 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Malang bantu jiran

Posted:

Niat seorang jiran meninjau keadaan satu keluarga yang dirompak enam penjenayah berparang di sebuah taman perumahan di pekan ini bertukar detik mengerikan apabila kepalanya terkena libasan seorang suspek hingga terpaksa menerima tujuh jahitan, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa, Mohd Hisham Kamal, 39, yang terdengar jeritan ahli keluarga itu berlari ke rumah berkenaan sebelum diserang ahli kumpulan penyamun berkenaan dan menyebabkannya menggelupur kesakitan.


Dia sebelum itu terdengar jeritan jirannya, Salmah Khamis, 75, dari arah tingkap bilik belakang memaklumkan rumah disamun enam penjenayah bersenjata terbabit.

Menurut Hisham, ketika kejadian dia yang berada di dalam kereta bersama isteri dan ahli keluarganya terkejut apabila mendengar jeritan wanita berkenaan. "Pada waktu itu, saya baru pulang membeli barang keperluan di Masjid Tanah dan terus menuju ke rumah jiran sebelum melihat seorang lelaki bertopi keledar berdiri sambil memegang sebilah parang.


"Lelaki terbabit kemudian meluru ke arah saya dan melibas parang ke kiri dan kanan kerana tidak mahu saya pergi ke situ. Saya mengundur untuk melarikan diri namun terlanggar sebuah kereta di tepi jalan.


"Sejurus terjatuh, seorang lagi lelaki menuju ke arah saya yang segera mencabut besi pengelap cermin depan sebuah kereta untuk mempertahankan diri. Dua penyamun terbabit seterusnya melarikan diri," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Kata beliau, insiden itu turut disaksikan ahli keluarganya yang panik melihat dirinya diserang dua penyamun bersenjata dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.


Pemilik rumah, Md Yusuf Ahmad, 47, yang menunaikan umrah bersama keluarganya semalam, ketika kejadian dia sedang membuka pintu pagar luar rumah untuk menghantar sedikit makanan kepada jemaah masjid berdekatan sebelum berlepas ke Makkah.

"Tiba-tiba terdengar bunyi enjin tiga motosikal di luar bersama enam lelaki bertopi keledar yang meluru masuk ke dalam rumah.


"Seorang daripada mereka menendang saya hingga terlentang ke lantai sebelum mengarahkan ibu (Salmah) menanggalkan cincin emas dipakai. Mereka kemudian bertindak mengeluarkan parang dan mengacukannya ke leher ahli keluarga dan turut meminta menyerahkan semua barang berharga," katanya ketika ditemui.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Pengganas ikat suri rumah

Posted:

Lebih 1,000 penduduk dari beberapa kampung di Felda Sahabat 43, di sini, diarah berpindah selepas empat saki-baki pengganas dikesan menceroboh sebuah rumah di Kembara Sakti, kelmarin sebelum mengikat seorang suri rumah dan rumahnya kemudian terbakar.

Empat pengganas terbabit memecah masuk rumah Maimunah Itin, 26, jam 3 petang kelmarin dipercayai untuk mencari makanan ketika wanita itu tinggal seorang diri kerana suaminya, Suhaimi Omar Basah, 30-an, keluar bekerja.


Bagaimanapun, dia yang diikat kaki dan tangan dengan tali berjaya melucutkan ikatan sebelum lari menyelamatkan diri ketika pengganas terbabit leka menggeledah rumahnya.

Jiran Maimunah, Mohammad Ahmad, 44, berkata, selain rumah wanita itu, sebuah lagi rumah yang terletak bersebelahan turut musnah dijilat api.


"Sebaik mengetahui rumah Maimunah dimasuki pengganas, penduduk kampung menghubungi pasukan keselamatan, namun apabila mereka datang beberapa minit kemudian, pengganas sudah melarikan diri.


"Pasukan keselamatan mengepung kampung kami dan saya melihat sekurang-kurangnya 12 tembakan gas pemedih mata dilepaskan untuk mengusir kumpulan pengganas," katanya ketika ditemui, semalam.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Jerit hayun parang

Posted:

Enam penjenayah menaiki tiga motosikal berkuasa tinggi sempat memberi amaran sambil menghayun parang ke arah kumpulan kanak-kanak yang bermain sebelum menyamun rumah milik seorang jurubahasa mahkamah di sebuah taman perumahan di Pengkalan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, semua lelaki menaiki motosikal Kawasaki Ninja itu menceroboh masuk kediaman mangsa, A Kumaran, 48, yang turut dihuni isteri, N Sunitha, 41, dan tiga anaknya berusia enam hingga 14 tahun.


Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang bertugas di Mahkamah Majistret Alor Gajah baru tiba di rumahnya dan hanya sempat menanggalkan sebelah kasut sebelum enam suspek meluru masuk.

Menurut Sunitha, penjenayah itu menjerit seperti dirasuk sambil menghayun parang mereka ke udara seperti 'koboi' dan terus meletakkan motosikal mereka di pekarangan rumah sebelum bertindak menolak suaminya ke lantai.


"Seorang daripada mereka kemudian mengacu parang ke leher suami dan mengheret masuk ke dalam rumah lalu mengepung kami sekeluarga selain turut memusnahkan fius menempatkan sistem penggera keselamatan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Misi hebat anak jati Jelebu

Posted:

Jika dibongkar susur-galur kisah karier rapper muda ini di laman maya, kebanyakannya berkisar sisi 'buruk' meskipun dia tidak berapa dikenali terutamanya dalam kalangan peminat Melayu.

Pasti ada yang melabel dirinya 'poyo' kerana mencerminkan dirinya lebih ke arah kebaratan dan selalu bertutur bahasa Inggeris pelat setiap kali membuat penampilan baik di kaca TV mahupun majlis tertentu.

Terjun sudah agak lama dalam industri, enam tahun berjuang sebagai anak seni, karyanya juga banyak dihasilkan dalam bahasa Inggeris menjadikannya lebih tertumpu kepada peminat 'urban'.

Bersua pertama kali dengannya, Ariz Ramli atau Caprice, 25, bukan sembarangan menjalani hidupnya kerana pelbagai agenda diatur demi jaminan pada masa hadapan.


Mungkin menilai daripada tubuh kecilnya serta bagaimana pembawaan diri anak jati Jelebu, Negeri Sembilan ini menampakkan dia seorang yang jenis semberono namun dia nyata pemuda serius.


Mengakui sudah lali dengan persepsi sedemikian, Caprice lebih memilih untuk mencatur kejayaan buat dirinya dan mengabaikan perkara yang cuma hanya membuang masa.

"Jujur, saya tidak pernah kisah jika begitulah orang memandang diri saya. Tapi, saya ingin tegaskan kedudukan yang dicapai sekarang juga dimulakan dengan kesusahan dan pengalaman lalu membuat saya lebih matang.

"Inilah cara saya membawa diri, berkarya dan memuaskan hati namun jelas hanya golongan tertentu boleh menerimanya. Apapun, ia bukan halangan buat saya terus mara ke hadapan menggapai impian saya," katanya.

Mengakui popularitinya tidak megah dalam kebanyakan peminat, Caprice juga akur namun tidak terkesan kerana perjuangannya masih mendapat sokongan kuat terutamanya gadis muda.

Sudah menghasilkan enam lagu inggeris dan terbaru mempertaruhkan single Watlek Watpeace, dia kini dalam proses merangka strategi memperluaskan namanya.

Apatah lagi kini lagu duet bersama penyanyi tersohor, Ramlah Ram berjudul 5.00 Minit semakin kerap dimainkan di corong radio. Dia mengharapkan lagu itu membuka mata ramai mengenai kehadirannya.

"Tidak dinafikan, peminat saya ramai daripada kalangan 'urban' dan gadis remaja tapi bersyukur kerana sokongan itu sudah cukup untuk saya mengurut dada. Apapun, semestinya saya tidak mahu terlalu selesa kerana masih ramai belum sedar akan siapa Caprice.

"Untuk itu, lagu terbaru Watlek Watpeace saya hasilkan 50 peratus bahasa Melayu dan 50 peratus bahasa Inggeris sebagai strategi memancing lebih peminat," jelasnya.

Kesibukan penyanyi yang mendapat jolokan 'Prince of Damansara' ini tidak terbatas pada bidang nyanyian saja, malah dia juga sudah memiliki jenama pakaiannya sendiri iaitu Hustle & Faith.

Caprice turut menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Whats Up Entertainment Records dan aktif berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan membuka syarikat berasaskan teknologi maklumat (IT) di Putrajaya.

Sangat mementingkan jaminan hidup pada masa depan, dia rela mengabdikan dirinya dengan kesibukan itu sebagai persediaan menghadapi segala kemungkinan nanti.

"Di samping mengatur karier seni, saya juga menaungi kumpulan yang pernah menjuarai Showdown, Dem Lepak Boyz dan menjadikan mereka penari tetap bagi mengiringi setiap persembahan pentas saya.

"Tidak dilupakan, syarikat IT saya semakin berkembang dan meskipun terkejar ke sana sini, saya amat gembira dengan pencapaian diri sendiri setakat ini," katanya.

Beraksi di Twin Towers Alive 2013

Terpilih antara artis tempatan yang akan beraksi di Twin Towers Alive 2013 (TTA2013), Caprice turut menjanjikan satu persembahan paling 'gempak' pada acara berprestij itu.

Menghangatkan pentas pada hari kedua iaitu malam ini dan berkongsi pula dengan bintang antarabangsa terkenal iaitu Backstreet Boys dan 2NE1, Caprice mengakui sangat berbangga diberi penghormatan sedemikian.

"Ini kali kedua saya berkongsi pentas dengan artis antarabangsa dan sebelum ini sudah pernah menjadi artis pembuka tirai buat Akon. Semestinya, perasaan teruja itu sangat kuat dan sebaik mendapat tawaran berkenaan, saya terus mulakan latihan.

"Malam ini, saya mendendangkan empat lagu termasuklah memperdengarkan buat kali pertama Watlek Watpeace khas buat penonton yang hadir. Saya juga mahu mengajak penonton nanti untuk melakukan tarian yang jadi fenomena sekarang, Harlem Shake bersama penari nanti," katanya.

Banyak berjalan ke luar negara, ditanya sekiranya dia sudah ada perancangan untuk melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa pula, Caprice tidak beria-ria ke arah itu.

Baginya, dia selesa menyerahkan saja peluang itu biar datang sendiri kepadanya.
"Setakat ini, saya selesa berkarya di sini saja, namun persembahan pada acara besar seperti TTA2013 diharap menjadi batu loncatan untuk lebih dikenali.

Mengenai rancangan menembusi pasaran luar, biarlah masa yang menentukan. Saya 'go with the flow' saja," katanya.

Caprice mula bertapak dalam industri sejak 2006 dan popular menerusi laman YouTube. Antara lagu popularnya termasuklah Chikaro dan Fantasy Girl serta kerap melakukan 'cover version' lagu popular seperti Baby (Justin Bieber) dan Just the Way You Are (Bruno Mars) dalam bahasa Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Yuna penyeri The Croods

Posted:

Lembaran 2013 nyata membawa sinar besar buat penyanyi lagu Terukir Di Bintang, Yunalis Zarai, 27. Apa tidaknya, selepas memenangi Anugerah Juara Lagu Ke-27 pada awal Januari lalu, pencapaiannya semakin menyerlah.

Mesra dengan panggilan Yuna, usaha anak jati dari Subang Jaya, Selangor itu untuk menapak serta membina namanya di persada muzik antarabangsa terutama di Amerika Syarikat nampaknya membuahkan hasil cukup positif dan memberangsangkan.

Segala kepayahan Yuna sebelum ini mula terbalas apabila satu demi satu peluang diraihnya dan paling bermakna sudah tentu jalinan kerjasama yang diperoleh daripada karyawan muzik ternama di Hollywood seperti David Foster.

Menjadi artis naungan label Verve Music Group dimiliki Foster yang pernah memenangi trofi Grammy sebanyak 16 kali pastinya ibarat 'bulan jatuh ke riba' buat Yuna. Berkat kesabaran dalam perjuangan seninya kian terbalas.


Bersama Verve, kini Yuna juga sudah merakamkan beberapa lagu sentuhan Foster. Pun begitu, peluang besar yang membuka mata masyarakat Malaysia terhadap pencapaian Yuna di Amerika ketika ini apabila dia dipilih menyanyikan lagu tema, Shine You Way untuk filem animasi, The Croods.


Diarahkan Kirk De Mincco dan Chris Sanders, The Croods juga adalah produk seni terbitan produksi ternama Hollywood, DreamWorks Studios milik sutradara tersohor, Steven Spielberg bersama rakan kongsinya, Jeffrey Katzenberg dan David Geffen.

Yuna yang berbicara mengenai peluang kerjasamanya dalam filem The Croods itu melalui jawapan yang dihantar menerusi e-mel memaklumkan, dia memperoleh tawaran itu daripada pihak DreamWorks yang menghubungi ejennya.

"Mereka (DreamWorks) menghubungi ejen saya dan bertanya sama ada saya mahu bekerjasama dalam projek filem itu. Apapun, saya bangga dapat bekerjasama dengan komposer dan penerbit hebat seperti Alan Silvestri.

"Pengalaman bekerja de-ngan Silvestri cukup menyeronokkan dan tidaklah sukar. Bagi saya, dia seorang yang begitu profesional dan mudah bekerja dengannya. Bahkan, syukur semuanya berjalan lancar," kata Yuna.

Yuna yang juga pertama kali berduet dengan vokalis Owl City, Adam Young untuk menyanyikan lagu Shine You Way itu memaklumkan mereka berdua sebenarnya tidak bertemu ketika sesi rakaman lagu itu dilakukan.

Serasi dengan Adam Young

Ujar Yuna, rakaman dilakukan secara berasingan kerana ketika itu Young berada di Minessota dan dia pula di Los Angeles (LA). Bagaimanapun, Yuna berkata, mereka berpeluang bersua muka ketika menjalani penggambaran muzik video lagu itu.

Dia seorang penyanyi yang berbakat, baik, sangat bagus dan manis orangnya. Selain itu, kami juga boleh serasi kerana mempunyai banyak persamaan.

"Kami berdua bukan saja masih mentah, tetapi kami juga pemalu dan perjalanan muzik kami pun bermula di laman sosial, myspace," katanya memberitahu rakaman lagu Shine You Way dilakukan sekitar Januari lalu dan Yuna mengambil masa selama dua hari untuk merekodkannya.

Mengulas mengenai peluang kerjasamanya dengan produksi gergasi Hollywood seperti DreamWorks, Yuna berkata, dia tidak pernah terfikir sama sekali akan memperoleh peluang yang hebat itu.

"Apatah lagi, selama ini pun sejak remaja saya sudah menonton filem animasi terbitan DreamWorks. Jadi, apabila mendapat peluang bekerjasama dengan mereka, ia adalah satu perasaan yang hebat dan saya teruja.

"Bagaimanapun, buat masa ini saya belum dapat menonton sepenuhnya filem The Croods. Saya hanya menonton sedikit saja sebelum memulakan rakaman lagu Shine You Way.

"Apapun, bagi saya filem ini mempunyai plot cerita yang sangat baik kerana ia mengajar penonton untuk menjadi yakin, tidak pernah takut serta memupuk hubungan kekeluargaan yang erat. Ia juga bagaikan satu pengembaraan dan banyak perkara baru boleh dipelajari," katanya.

Menyentuh pula pembabitannya dalam mana-mana promosi untuk The Croods, Yuna berkata, dia tidak turut serta.

Bahkan, berbicara mengenai projek terbarunya, Yuna berkata, dia kini bersiap sedia untuk terbabit dalam rakaman EP dan kemudian fokus pula pada proses rakaman album keduanya.

Menurut Yuna, rakaman EP dibuat sebagai pengenalan kepada projek terkininya dengan label baru, The Verve. The Croods yang kini sudah ditayangkan di seluruh dunia turut meminjam suara bintang terkenal Hollywood seperti Nicolas Cage, Ryan Reynolds dan Emma Stone.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Wanita ketagih minum darah

Posted:

Seorang wanita mengaku, dia memerlukan 36 liter darah babi setiap minggu untuk memuaskan dirinya yang sentiasa dahagakan darah.

Dikenali hanya sebagai Michelle, wanita itu berkata, sejak 10 tahun lalu, dia meminum darah - termasuk darah manusia - setiap minggu dan jumlah itu jika dikumpulkan boleh memenuhi 23 tab mandi.


"Saya ketagih darah sama seperti seseorang perokok ketagih rokok.

"Darah itu diminum ketika saya membaca, berehat atau melukis," katanya.


Bekerja sebagai pelukis tatu, Michelle, 29, berkata kadang-kadang darah itu dicampur dengan sup atau ditumis.


"Jika saya meminum Bloody Mary (sejenis minuman bercampur darah), hakikatnya saya minum darah sebenar," katanya.

Michelle berkata, dia lebih gemar meminum darah babi berbanding lembu kerana rasanya yang keras serta lebih masin.


Pada masa sama, kata Michelle, dia mencuba darah manusia - sama ada lelaki atau wanita.

"Darah lelaki berbeza daripada darah wanita," katanya. Walaupun ketagih, Michelle tidak menganggap dirinya sebagai 'pontianak' sebaliknya manusia biasa yang sangat menikmati kesedapan darah.


Katanya, dia menghisap darah terus dari tangan kawan lelakinya, Johnny, seminggu sekali.


Setiap hisapan, katanya, boleh berlangsung antara 30 saat hingga lima minit.


Kata Michelle, dia juga pernah menghisap darah daripada orang lain sebelum ini.


"Ia tidak membahayakan sesiapa kerana hanya orang yang rapat dengan saya diambil darahnya.


"Setiap daripada mereka juga disahkan bebas daripada sebarang penyakit, termasuk HIV," katanya. Ketagihan kepada darah itu bermula sejak Michelle di usia remaja lagi.


Katanya, jika tertekan, dia menoreh tangannya dan tertarik melihat darah itu mengalir. Sejak itu, kata Michelle, dia sudah meminum kira-kira 4,500 liter darah.


Ibunya juga diberi tahu mengenai tabiat aneh itu.


"Ibu saya menangis sebaik saja saya memberitahunya dan menganggap saya pelik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Komuniti Bollywood sokong Sanjay Dutt

Posted:

New Delhi: Komuniti perfileman India terkejut dengan keputusan mahkamah yang mengekalkan keputusan bersalah terhadap aktor popular Bollywood, Sanjay Dutt (gambar) berhubung kes senjata api.

Mereka semalam menyuarakan sokongan terhadap pelakon berkenaan yang diarah oleh hakim mahkamah tinggi supaya melapor diri di penjara dalam masa sebulan untuk menjalani hukuman jel selama lima tahun.


Bintang dan pengarah ternama Bollywood menulis dalam laman Twitter untuk menyuarakan sokongan kepada Dutt selepas hakim berkenaan membuat keputusannya. Dutt didapati bersalah kerana memiliki senjata api secara haram. Senjata berkenaan dibekalkan kepadanya oleh ketua penjenayah yang bertanggungjawab terhadap serangan yang mengorbankan 257 orang.

Pelakon terkenal Ranbir Kapoor dan Vidya Balan adalah antara selebriti kelas A Bollywood yang mengunjungi Dutt di kediamannya untuk menawarkan simpati dan sokongan kepada aktor itu dan keluarganya.


Penganalisis industri perfileman berkata, tempoh penahanan Dutt itu akan memberi tamparan teruk kepada sektor perfileman India. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Harimau Malaya kembali bernafas

Posted:

Skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Yaman malam tadi, kemenangan bukan saja menghidupkan kembali kempen kelayakan Piala Asia 2015 tapi turut meredakan tekanan ditanggung pengendali Datuk K Rajagobal.

Kemampuan Rajagobal yang diulit kontroversi angkara kenyataan terhadap polisi pemain import Liga Malaysia baru-baru ini mula dipertikaikan dan kemenangan pertama dalam empat perlawanan selepas kalah di separuh akhir Piala AFF di tangan Thailand tahun lalu itu pasti melegakan pengendali berusia 56 tahun itu.


Kekalahan aksi pembukaan kempen kelayakan Kumpulan D membuatkan pertembungan di Stadium Shah Alam itu penting buat Malaysia dan Yaman.

Harimau Malaya tewas 0-2 di tangan Qatar di Doha bulan lalu manakala Yaman yang dilabel pasukan paling lemah dalam kumpulan turut mengalami nasib sama, kecundang kepada Bahrain.


Menurut Rajagobal, tiga mata yang diraih memberi kelegaan kepadanya selepas tekanan yang dialami sebelum perlawanan malam tadi.


"Saya lega dengan kemenangan ini dan saya sentiasa percaya dengan barisan pemain saya. Saya bangga dengan kemenangan ini dan kita akan lihat apa yang akan terjadi selepas ini.

"Kita dapat lihat yang kita ada banyak peluang tapi gagal diambil dengan baik di depan gol. Tapi apa yang bagus apabila pemain terus berusaha mendapatkan gol. Saya gembira secara keseluruhan kerana kami mencipta banyak peluang dan menentang Yaman sebuah pasukan yang bagus," katanya.


Bagi jurulatih Yaman, Tom Saintfiet beliau kecewa dengan kekalahan itu dan menyalahkan anak buahnya yang gagal menghukum pasukan tuan rumah pada babak pertama.

"Saya kecewa dengan kekalahan perlawanan malam ini (tadi), kami beraksi baik pada awal babak pertama dan menjaringkan satu gol. Kami memperoleh dua, tiga peluang terbaik selepas itu, tapi kami gagal menyempurnakannya. Pada saya, keputusan seri 1-1 atau 2-2 yang adil bagi perlawanan ini," katanya.


Pada aksi kali ini Rajagobal kembali mempertaruhkan 'muka lama' dalam skuad termasuk kapten Safiq Rahim dan K Gurusamy bergandingan di bahagian tengah serta penyerang Norshahrul Idlan Talaha yang diketepikan sebelum ini.


Hujan pada minit ke-10 seakan-akan memberi rahmat buat Yaman yang menduduki ranking ke-170 dunia apabila mendahului permainan dua minit kemudian menerusi sepakan menarik penyerang berusia 20 tahun, Aiman Al-Hagri dari luar kotak penalti.


Aiman yang beraksi dengan kelab Bahrain, Al Najma sekali lagi mencemaskan gawang negara dengan gerakan solo pada minit ke-14, mujurlah Khairul Fahmi Che Mat tangkas menyelamatkan keadaan.


Bagaimanapun keadaan berubah pada minit ke-26 apabila bola hantaran lintang Mahali Jasuli dari sebelah kanan terkena pemain pertahanan lawan sebelum singgah ke kaki Azamuddin Mohd Akil yang mudah menolak masuk bola di depan pintu gol untuk gol penyamaan Malaysia.


Skuad negara menguasai permainan selepas itu dan mengatur asakan, namun beberapa peluang termasuk tandukan Norshahrul pada minit ke-42 berjaya ditepis keluar penjaga gol Yaman Salem Abdullah Saed.


Dua percubaan di depan gol oleh Norshahrul pada minit ke-74 dan 77 nyata mengecewakan 15,000 penyokong Harimau Malaya sekali gus menambah debaran Rajagobal yang bingkas membuat pertukaran memasukkan Khyril Muhymeen Zambri serta Mohd Badhri Radzi.


Ternyata percaturan itu berhasil apabila Khyril menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-79 selepas menerima hantaran Norshahrul.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Tiada hubung kait dengan Blues

Posted:

Jurulatih Russia Fabio Capello (gambar) menegaskan beliau tidak pernah berhubung dengan Chelsea selepas dirinya dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Perdana itu.

Dengan pengurus sementara Chelsea Rafael Benitez dijangka meninggalkan kelab itu apabila kontraknya berakhir hujung musim ini, Capello bekas pengurus England dilapor menjadi buruan pemilik Blues Roman Abramovich untuk mengambil alih kerusi panas itu.


Nama Capello menjadi sebutan sebagai pengurus baru Chelsea sebelum Benitez dilantik menggantikan Roberto Di Matteo, November lalu dan bekas pengurus Real Madrid dan AC Milan itu sekali lagi menjadi perhatian awal bulan ini.

Namun pengendali dari Itali itu membuat permulaan cemerlang bersama Russia dengan menduduki tangga teratas Kumpulan F hasil empat kemenangan berturut-turut dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014 di Brazil.


Anak buah Capello berdepan Ireland Utara di Belfast, awal pagi esok sebelum berkunjung ke London bagi perlawanan persahabatan menentang Brazil Isnin ini.


Perlawanan persahabatan itu berlangsung di Stamford Bridge namun Capello menyatakan, beliau tidak mungkin menjadi pengurus kelab barat London itu dalam masa terdekat.

"Saya tidak tahu dikaitkan dengan Chelsea. Saya gembira di Russia dan memberi fokus kepada kelayakan Piala Dunia," katanya.


Capello tidak berminat membicarakan tawaran pengurus Blues sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada cabaran dihadapi di Belfast.

Russia sudah biasa dengan cuaca sejuk di Windsor Park namun apa yang membimbangkan Capello adalah tiupan angin kencang seperti disaksikan pada sesi latihan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved