Selasa, 19 Mac 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


SCFM kini ada 4,000 ahli

Posted:

Mereka bukan calang-calang wanita, ada yang bergelar jurutera, pakar perubatan, arkitek, penerbit, guru, peguam dan juga suri rumah sepenuh masa. Namun menariknya walaupun memiliki status dan latar belakang berbeza, mereka mempunyai pengalaman yang sama bergelar seorang ibu.

Gelaran ini menyatukan mereka di alam maya. Walaupun tidak pernah bertemu, pendapat diberikan dalam laman sosial Secret Club for Mommies (SCFM) menjadikan mereka saling mengenali antara satu sama lain. Ini kerana permasalahan dibincangkan adalah berdasarkan pengalaman sendiri dan ia lebih baik daripada sebuah buku.

Bagi pengasas SCFM, Asfahana Abu Samah, 31, idea menubuhkan SCFM selepas menyedari setiap wanita mempunyai kisah peribadi yang perlu dikongsi bersama. Ketika sedang menyusukan anak, Dhia Ayeesha Khusri pada Oktober 2010, Asfahana terbaca kisah mengenai kelahiran dalam blog seorang rakan yang begitu menakjubkan, menginsafkan serta meninggalkan kesan mendalam kepadanya.

"Dari situ saya mula terfikir pengalaman setiap ibu yang melahirkan anak berbeza-beza. Ada melalui tempoh kesakitan sekejap, ada mengambil masa berjam-jam lamanya. Ada pula boleh melalui kelahiran secara normal dan ada menerusi pembedahan. Cerita yang pelbagai ini menyebabkan saya tergerak membuka 'ruang' untuk ibu berkongsi kisah mereka dalam laman sosial SCFM," katanya.

Foto

SEBAHAGIAN ahli kelab SCFM yang ditemui, baru-baru ini.


Mengambil keputusan berhenti kerja selepas melahirkan anak pertama, Dhia Ayeesha pada usia 29 tahun kerana ingin menyusukan bayinya sepenuh masa, dalam tempoh setahun bergelar ibu, Asfahana mengakui banyak pengalaman dan kepuasan diperoleh terutama dari segi masa serta aktiviti bersama keluarga.


"Apabila bergelar ibu, banyak perkara yang perlu saya pelajari. Saya seorang yang suka membaca. Selain buku dan majalah, bahan bacaan yang paling saya gemari adalah kisah serta pengalaman orang lain kerana dari situ saya seolah-olah berada di tempat mereka," ujarnya jujur.

Memiliki Ijazah Komunikasi Masa daripada Kolej Universiti Teknologi Limkokwing dan bekerja dalam bidang penyiaran selama enam tahun, Asfahana tidak pernah menyesal melepaskan jawatan sebagai penerbit eksekutif di sebuah syarikat produksi kerana pengalaman bergelar ibu sepenuh masa itu tiada nilainya jika dihitung dengan wang ringgit. Ia sangat hebat dan patut dikongsi bersama ibu yang lain.

Sebagai suri rumah, dia tidak teragak-agak melepaskan jawatan kerana yakin dapat menjaga sendiri anak. Walaupun pada mulanya tertekan kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan jadual harian serta tugasan yang dilakukan sama setiap hari, namun lama-kelamaan dengan berkongsi masalah dengan ibu di SCFM, sedikit sebanyak ia dapat menenangkan Asfahana, selain memberi idea dan kepada kehidupan yang lebih luas serta positif.

"Pada bulan pertama memang saya rasa sedikit tertekan memandangkan sebelum ini masa banyak dihabiskan di pejabat. Ditambah pula setiap hari saya perlu melakukan perkara yang sama. Namun dengan adanya SCFM, saya dapat berkongsi masalah dengan mereka, sekali gus mengurangkan tekanan," katanya.

Bermula hanya dengan ratusan ahli, kini laman sembang ini mencecah sehingga 4,000 orang terdiri daripada wanita daripada pelbagai peringkat usia. Bermula dengan kisah mengenai kehamilan dan kelahiran, lama-kelamaan topik dibincangkan semakin meluas kepada kekeluargaan, hal berkaitan wanita, anak, kerjaya, kecantikan serta berkongsi masalah peribadi.

Objektif utama penubuhannya untuk membantu ibu mencari jawapan kepada permasalahan mereka. Setiap pertanyaan diutarakan akan dijawab ahli kelab menerusi pandangan, panduan dan idea bagi menyelesaikan setiap masalah.

"Di SCFM biasanya isu dibincang berdasarkan pengalaman sendiri. Ini kerana saya percaya pengalaman individu adalah lebih baik berbanding sebuah buku. Bukan itu saja, SCFM juga menjadi tempat rujukan bagi ibu baru serta wanita yang baru melangkah ke gerbang perkahwinan untuk mendapatkan panduan mengenai masalah mereka," jelasnya yang turut terbabit bersama bahagian pentadbiran bagi memantau setiap soalan diutarakan ahli kelab.

Menerusi laman sosial ini juga ia sebagai jalinan hubungan silaturahim serta persahabatan alam maya yang tiada penghujungnya. Walaupun ada di antara mereka tinggal di negara berbeza seperti Paris, Perth, Australia, Brunei dan Dubai, namun setiap daripadanya mempunyai matlamat sama iaitu ingin berkongsi cerita.

Hampir tiga tahun penubuhan kelab, SCFM sudah mengadakan lapan perjumpaan berkonsepkan 'port luck' dengan beberapa aktiviti diadakan. Selain itu, hasil jualan amal kemeja-T turut disumbangkan kepada beberapa badan kebajikan seperti Asrama Penyayang Nur Iman, Setapak; Rumah Titian Kasih Titiwangsa; Rumah Opah Hasnah & 15 Cucu, Klang; Institut Taufiq Islami, Klang; Rumah Amal Siraman Kasih, Rawang, Rumah Titian Ashraful Rohaniah Teluk Intan dan Pusat Jagaan Lambaian Kasih. Malah lebih banyak aktiviti berbentuk amal akan diadakan dari masa ke semasa bagi memberi faedah bukan saja kepada ahli kelab tapi masyarakat amnya.

Walaupun kini Asfahana bergelar suri rumah namun dia tidak pernah menyesal melepaskan jawatan penting dengan gaji empat angka kerana selain menguruskan keluarga dan anak-anak, dia dapat membuka perniagaan dalam talian menjual tudung dan pakaian Cecantik Project yang mendapat sokongan daripada suami dan rakan-rakan.

"Harapan saya agar SCFM dapat menjawab 1,001 soalan mengenai dunia keibubapaan dan membantu wanita dalam pelbagai masalah berkaitan kekeluargaan, kewanitaan dan kecantikan serta menjadikan SCFM sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili ibu di Malaysia," jelasnya.

Hidup lebih bermakna

Bagi Siti Rozana Abd Latif, 34, sejak mengenali laman sosial Secret Club For Momies (SCFM), kehidupannya lebih bererti dan dipenuhi dengan perkara yang memberikan semangat. Ini kerana selain berkongsi panduan keibubapaan, dia turut menyelami perasaan yang sama dengan suri rumah yang mempunyai anak istimewa.

"Penjagaan untuk anak istimewa, Alfi Zuhriy Adam Ronny, 3, berbeza dengan kanak-kanak normal lain. Apa yang saya perhatikan, dia memerlukan lebih perhatian daripada ibu bapa. Menerusi laman SCFM, saya dapat berkongsi masalah sekiranya ada ibu memiliki anak yang sama dengan saya," katanya yang menghantar Alfi ke sekolah khas Kiwanis sejak dia berusia setahun.

Dia yang berhenti kerja selepas melahirkan anak pertama menjelaskan keputusan ini diambil selepas mendapat sokongan suami. Lagi pun suami bekerja di luar daerah dan jarang pulang ke rumah, jadi perhatian dan tanggungjawab 100 peratus diserahkan kepada Rozana.

"Pada tahun pertama saya merasakan sedikit tertekan kerana persekitaran sangat berbeza seperti mana saya bekerja. Biasa-nya aktiviti harian sangat padat di pejabat, bertemu kawan-kawan dan boleh bertukar cerita. Apabila sudah bergelar suri rumah, saya mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Setiap hari saya melakukan perkara sama, menghantar dan mengambil anak di sekolah, memasak dan mengemas rumah. Setiap bulan saya perlu meminta duit daripada suami.

"Keadaan ini berbeza sekiranya saya bekerja. Laman sosial SCFM sangat membantu bagi memberikan semangat kepada saya. Saya banyak berkongsi dengan rakan lain terutama suri rumah mengenai pelbagai permasalahan bagi menjadikan hidup lebih ceria dan bermakna.

"Lama-kelamaan apabila anak semakin bertambah, saya sudah dapat menyesuaikan diri malah tidak timbul istilah bosan. Saya sangat menghargai masa yang ada," katanya yang ingin memperbetulkan persepsi orang ramai mengenai suri rumah tangga yang hanya duduk di rumah saja.

Hakikatnya jauh berbeza kerana suri rumah pada zaman moden ini sangat berpengetahuan dalam mendidik anak serta tahu apa yang mereka inginkan.

"Saya tidak sangka de-ngan melayari laman sosial SCFM dan menjadi pengguna aktif, saya dapat bertemu rakan lama yang hampir 18 tahun tidak ditemui. Dia kawan sekolah rendah dan sangat rapat suatu ketika dulu. Entah macam mana hubungan kami terputus dan bertemu semula di ruang SCFM," katanya membuka cerita.

Melihat perwatakan wanita tinggi lampai ini, sudah semestinya dia seorang yang sangat mementingkan kecantikan. Tambahan pula kerjaya di awan biru sebagai pramugari menyebabkan Sariza Said, 35, memilih SCFM sebagai medan rujukan bagi mendapatkan panduan mengenai isu kecantikan.

Diberi gelaran kakak di dalam SCFM kerana lebih berusia berbanding ahli lain juga pendapat yang matang serta digemari individu lain, Sariza menjelaskan, dia mula menyedari kehadiran laman sosial SCFM selepas dicadangkan seorang rakan.

"Selepas menyertainya, saya menjadi 'ketagih' kerana setiap isu diketengahkan bagaikan dekat di hati saya. Begitu juga dengan jawapan daripada ahli kelab menjadikan kami seperti rakan baik walaupun belum pernah bersua muka," katanya yang tidak melepaskan peluang membaca status rakan-rakan walau di mana berada.

Biasanya apabila sampai di satu destinasi, perkara pertama dilakukan adalah membuka telefon bimbit atau komputer riba kemudian menghantar status terkini atau membalas komen diberikan rakan.

Tambah Sariza, dengan perkembangan teknologi komunikasi semuanya dapat dilakukan dengan cepat dan mudah. Misalnya masalah diutarakan dengan sekejap mendapat maklum balas positif ahli kelab. Lebih penting setiap jawapan diberikan sangat rasional kerana daripada pengalaman masing-masing dan sangat membantu menyelesaikan masalah.

Walaupun seorang yang aktif dan tegar dalam memberikan pendapat dan komen, bagi Sariza, semua ini tidak menjejaskan jadual harian sebagai pramugari, isteri dan ibu kepada lima anak. Malah dia mendapat sokongan suami terutama apabila perlu menghadiri mana-mana perjumpaan anjuran SCFM.

"Suami tidak pernah merungut kerana saya asyik berinternet. Ini kerana dia tahu saya bukanlah bercakap kosong atau melayari laman yang tidak berfaedah. Setiap ayat yang dihantar semua memberi makna kepada saya mahupun orang lain. Ia ibarat saya dikelilingi rakan yang sanggup memberikan nasihat walau di mana saya berada," katanya yang turut membawa suami menyertai mana-mana perjumpaan dengan ahli kelab lain.

Bagi perunding kewangan, Rozaimi Ishak, 30, menjadi ahli kelab SCFM sejak setahun lalu banyak memberi panduan kepadanya dalam melayari kehidupan sebagai ibu terutama dari segi penjagaan anak. Sebelum ini dia bergantung kepada ubat-ubatan moden yang diberikan doktor, namun selepas membaca status rakan serta pengalaman mereka dalam mendidik anak, barulah Rozaimi tahu terdapat banyak rawatan alternatif yang boleh digunakan.

"Kali pertama menyertai kumpulan ini, saya dapati banyak panduan berguna yang boleh saya ikuti. Misalnya apabila anak demam selain ubat dari hospital boleh menggunakan bawang merah dipotong dan direndam di dalam air kemudian diletakkan di tempat tidur bayi. Kaedah ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan suhu badan anak," katanya.

Rozaimi yang sebelum ini menyertai kumpulan ibu menyusu dan hamil memberitahu topik perbincangan dalam SCFM lebih meluas dan tidak terhad untuk ibu saja. Malah wanita belum berkahwin dan bakal menjadi ibu sangat sesuai menyertainya.

Sebagai perunding kewangan, laman SCFM juga adalah tempat terbaik bagi berkongsi pendapat dengan wanita mengenai insurans dan kewangan. Maklum balas ini dapat digunakan untuk lebih memahami kehendak mereka terutama ibu mengenai kepentingan perlindungan insurans.

"Apa yang menarik-nya, saya menggunakan SCFM untuk mengetahui pendirian wanita mengenai sesuatu isu terutama berkaitan kewangan. Ada yang percaya kepentingan insurans ada pula sebalik-nya. Ia bergantung kepada kehendak masing-masing. Apa yang penting saya selesa berurusan dengan ahli kelab sama ada di alam maya atau di luar menerusi aktiviti diadakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Gubahan bakul perahu

Posted:

PEMILIHAN gubahan untuk dijadikan hantaran ada kalanya agak memeningkan kerana terlalu banyak bahan yang ingin digabungkan dalam satu gubahan.

Tahukah anda, sekiranya terlalu mencampuradukkan bahan asas, gubahan yang dihasilkan itu akan menjadi seperti 'kereta berhias' kerana terlalu sarat.

Penting bagi setiap ­penggubah untuk memasti­kan pemilihan barangan yang dikehendaki menepati kehendak bakal pengantin.

Bagi pengasas perniagaan dalam talian Pengantin Cenderahati, Siti Khatijah Idris, walaupun gubahan yang dihasilkan ringkas ­tetapi jika kena dengan gaya susunannya, ia akan menjadi mewah dan menarik.


"Tidak perlulah menggunakan barangan ­berjenama mahal semata-mata untuk mendapatkan gubahan ­terindah kerana ia boleh menjadi satu bentuk pembaziran.


"Cukuplah sekadar melakukannya secara bersederhana namun ­dengan gaya dan kreativiti tersendiri agar hasil gubahan yang dilakukan memberikan satu kepuasan tersendiri," katanya.

Dia yang turut mengadakan kelas gubahan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan dunia gubahan berkata, asas pembelajaran gubahan tidak sesukar mana.

Malah individu yang ­tiada kemahiran boleh menyertainya kerana ia boleh diasah melalui penghasilan gubahan secara berterusan.

"Kombinasi warna digunakan dan kedudukan tinggi atau rendah bunga yang diletakkan perlulah seimbang bagi memastikan bentuk gubahan terhasil lebih menyerlah.

"Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru kerana melaluinya kita boleh mempelajari perkara baru bagi membaik pulih asas gubahan yang diketahui," katanya.

Bagi yang inginkan kelainan, bolehlah mencuba gubahan hantaran bakul perahu. Di samping itu, bagi melihat lebih banyak gubahan hantaran disediakannya, layari ctktsouvenir.blogspot.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Lelaki bakar diri

Posted:

Kuala Lumpur: Akibat tekanan perasaan, seorang lelaki berusia 40-an dipercayai cuba mengambil nyawa sendiri dengan menyimbah petrol ke badan sebelum membakar dirinya dalam kejadian di Blok B, PPR Seri Semarak, Setapak, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang dipercayai mengalami tekanan perasaan diselamatkan orang ramai bagaimanapun mengalami kesan melecur di keseluruhan badannya.


Sumber berkata, lelaki terbabit yang tinggal berseorangan mengalami tekanan perasaan sebelum mengambil keputusan untuk membunuh diri.

"Orang ramai menyedari kejadian itu selepas tubuhnya terbakar namun sempat menyelamatkannya," katanya.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.07 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba Setapak tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.


Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian pihaknya nampak seorang lelaki berusia 40-an yang terbakar seluruh badannya terbaring di lantai dan api sudah dipadamkan orang ramai sebelum bomba sampai.

Foto

BANTAL yang terbakar di tempat kejadian.

Foto

ANGGOTA polis memeriksa kawasan kejadian, malam tadi.

"Lelaki berkenaan mengalami kesan melecur di seluruh badan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Topi ayah ubat rindu

Posted:

Kangar: Topi milik Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, seorang daripada 10 wira negara yang gugur dalam pertempuran dengan pengganas di Sabah, masih kerap dipakai anak sulungnya, Noor Aqmar Amiruddin, 5, sebagai pengubat rindu.

Ibu kanak-kanak itu, Nor Aziah Noor, 28, berkata, Noor Aqmar gemar memakai topi arwah suaminya kerana ketika Allahyarham masih hidup, dia selalu memuji anaknya kelihatan kacak apabila memakai topi itu.

"Sebab itu dia suka pakai topi ayahnya. Dia kuat semangat dan sering pujuk bila saya menangis setiap kali teringatkan arwah, tapi pada masa sama dia juga sering mengigau dengan memanggil nama ayahnya, mungkin kerana terlalu rindu," katanya.

Nor Aziah ditemui di rumahnya, di sini, semalam, ketika menerima kunjungan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron yang turut menyampaikan sumbangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Foto

NOOR Aqmar memakai topi arwah ayahnya, Zulkifli.


Menurutnya, selain Noor Aqmar, pasangan itu dikurniakan seorang lagi anak, Noor Muhammad Akhil yang berusia setahun.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Cacat penglihatan tak patah semangat

Posted:

Kuala Lumpur: Walaupun kekurangan sifat seperti manusia biasa, kegigihannya menjadi faktor penentu untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2012 yang diumumkan di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Muar Lok Weng Hang, yang cacat penglihatan sejak kecil berkata, keadaan dirinya itu tidak sedikitpun mematah semangatnya dalam menempuhi cabaran untuk mendapat keputusan 4A dalam semua mata pelajaran diambil.

Dalam keadaan yang sukar itu katanya, dia berkongsi ilmu bersama 20 pelajar normal dan empat pelajar sepertinya yang kelainan upaya di dalam kelas.

"Kebiasaan ketika cikgu menulis di papan putih, mereka akan membantu dan membacakan apa yang terpapar kepada saya," katanya.

Foto

WENG Hang dikucup ibunya yang menangis kegembiraan.


Lok berkata, baginya, kesukaran untuk mencari bahan rujukan bukanlah alasan sebagai seorang pelajar tetapi usaha yang berterusan adalah resipi untuk mendapatkan kejayaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Lima beradik kongsi satu isteri

Posted:

New Delhi: Seorang ibu muda semalam mendedahkan dia mempunyai lima suami.

Lebih menarik lagi, kelima-limanya adalah adik-beradik.


Rajo Verma, 21, tinggal dalam sebuah rumah satu bilik dengan kelima-lima suaminya dan tidur bersama suami berbeza setiap malam mengikut giliran.

Suri rumah itu juga tidak tahu siapa bapa bayi lelakinya.


Rajo berkata: "Pada awalnya, ia rasa agak pelik. Dan saya tidak mempunyai suami kegemaran." Suami pertamanya, Guddu, 21, menegaskan: "Kami semua melakukan seks dengannya tetapi saya tidak cemburu. Kami sebuah keluarga besar yang bahagia." Pasangan itu berkahwin mengikut istiadat Hindu yang diatur keluarga mereka empat tahun lalu dan dia menjadi satu-satunya suami Rajo yang sah. Tetapi adat di kampung mereka mewajibkan Rajo turut mengambil adik-beradik suaminya sebagai suami. Mereka ialah Bajju, 32, Sant Ram, 28, Gopal, 26, dan Dinesh — yang dikahwininya tahun lalu ketika pemuda itu mencecah usia 18 tahun.


Abang sulung Bajju berkata: "Saya menganggap Rajo sebagai isteri saya dan tidur bersamanya sebagaimana adik saya yang lain." Rajo memasak, mengemas dan menjaga bayinya, Jay yang berusia 18 bulan ketika semua suaminya pergi bekerja di Dehradun, utara India.

Foto

RAJO Verma mendukung bayinya Jay bersama lima suaminya (dari kiri) Sant Ram, Bajju, Gopal, Guddu dan Dinesh di depan rumah mereka.

Foto

RAJO memasak, mengemas rumah dan menjaga anak ketika kelima-lima suaminya pergi bekerja.

Rajo berkata mengenai tradisi purba bergelar poliyandri: "Ibu saya turut berkahwin dengan tiga beradik. Bila saya berkahwin saya tahu saya terpaksa menerima semua lelaki itu sebagai suami." "Saya tidur dengan mereka mengikut giliran. Kami tiada katil, kecuali beberapa selimut. "Yang menariknya, saya mendapat lebih perhatian dan kasih sayang daripada kebanyakan isteri lain." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Keinginan Kate, William berbeza

Posted:

London: Duchess of Cambridge semalam berkata, dia berharap anak dalam kandungannya ialah lelaki.

Namun, Kate yang hamil lima bulan berkata, suaminya, Putera William lebih suka bayi perempuan.


Kate membuat pendedahan itu ketika bercakap kepada seorang anggota tentera ketika lawatan pasangan terbabit ke berek Mons di Aldershot, Hampshire untuk perarakan Hari St Patrick, kelmarin.

Selepas perarakan, pasangan terbabit bersembang dengan beberapa tentera dari batalion pertama Pengawal Irish.


Seorang anggota, Lee Wheeler, 29, berkata: "Saya bercakap dengan Kate mengenai bayinya.


"Saya bertanya kepadanya, 'Adakah anda tahu sama ada dia lelaki atau perempuan?'. Puteri itu menjawab, 'Belum tahun lagi.' "Kate berkata, 'saya mahu anak lelaki tetapi William inginkan anak perempuan.' "Saya bertanya lagi sama ada dia sudah mempunyai nama dan Kate sekali lagi berkata, 'belum lagi'".

Jason Perry, 33, juga bersembang dengan Duchess of Cambridge itu mengenai kehamilannya.


Perry berkata: "Saya ucapkan tahniah kepadanya dan berharap semuanya berjalan baik. Dia menjawab, 'Ya, sudah tentu.'" "Saya bertanya kepadanya sama ada dia teruja untuk menimang cahaya mata pertama. Dia menjawab, 'Sudah tentu.'" - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Perjuangan suami bebaskan isteri

Posted:

Oleh Roslen Fadzil (Yang membuat liputan antarabangsa Django Unchained, baru- baru ini)

Dua trofi yang diraih dalam Academy Awards ke-85, baru-baru ini sudah cukup membuktikan Django Unchained sebuah karya yang unggul daripada pengarahnya, Quentin Tarantino. Selain menang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Christoph Waltz, Django Unchained juga memperoleh satu lagi oskar melalui Lakon Layar Terbaik cetusan Tarantino.

Sekali pun bintang utama-nya, Jamie Foxx, tidak dicalonkan dalam acara berprestij itu, peluang berlakon bersama pengarah handalan seperti Tarantino sangat besar ertinya selepas mencipta nama dalam banyak filem yang gah seperti Ali, Collateral, Ray, Miami Vice dan Dreamgirls.

Melalui Django Unchained, Foxx, 45, memegang peranan utama sebagai Django, koboi kulit hitam yang ingin membebaskan isterinya, Bloomhilda (Kerry Washington) daripada kancah hamba abdi di sebuah ladang, dua tahun sebelum meletusnya Perang Saudara di Amerika.

Django bagaimanapun tidak keseorangan kerana dibantu Dr King Schultz (Christoph Waltz) yang kebetulan sedang mencari pembunuh yang sangat dikehendaki kerajaan.


Mereka berdua akhirnya sampai di sebuah ladang milik Calvin Candie (Leonardo DiCaprio) yang berhati kejam dan di situlah babak terjadinya kemuncak kisah yang mendebarkan ini.


Memperkatakan mengenai pembabitannya dalam filem ini, Foxx tidak menolak bahawa dia sememangnya terus jatuh cinta dengan skrip filem itu apabila pertama kali menatapnya.

"Selepas membacanya, saya terus terpegun dengan jalan cerita filem ini. Kemudian saya bertemu Quentin di rumahnya dan memberitahu filem ini akan menjadi satu karya hebat dan unggul.

"Di situ juga saya mula berkongsi apa yang saya tahu mengenai sejarah dunia perhambaan. Saya memang berasal dari wilayah Selatan dan saya bersedia melakonkan watak itu," katanya.

Foxx mengakui dia sangat teruja untuk membintangi Django Unchained kerana watak itu sendiri sangat selari dengan dirinya.

"Seperti yang saya katakan, ia memang kena dengan diri saya lelaki kulit hitam dari wilayah Selatan yang mahu hidup bebas dalam cara saya sendiri. Itulah Django. Django hanya mahukan isterinya semula. Hanya wanita itu dia mahukan.

Dia bukannya hendak menghapuskan perhambaan, sebaliknya mahukan haknya semula," jelas Foxx yang berpendapat filem ini berbeza dengan karya klasik 1960-an, Django arahan Sergio Corbucci, lakonan Franco Nero.

Sebagai persiapan melakonkan peranannya itu, Foxx terpaksa membuat latihan rapi dalam pelbagai aspek antaranya, berlatih menunggang kuda dan mengendalikan senjata api.

"Pertama sekali, saya kena kuruskan badan agar sesuai dengan zaman itu. Saya mahukan bentuk badan yang tepat. Apapun saya lega kerana mendapat persetujuan daripada Quentin untuk menggunakan kuda saya sendiri untuk filem itu. Jadi sebelum penggambaran bermula, kami kena latihkan kuda saya itu agar boleh beraksi dengan baik. Saya juga terpaksa berlatih menggunakan senjata api selama berjam-jam lamanya bersama beberapa 'tipu muslihat' untuk penggambaran," ujarnya.

Kagum dengan Tarantino

Ditanya mengenai Tarantino serta cara bekerja dengannya, Foxx berkata, pengarah filem Pulp Fiction dan Inglorious Basterds itu sangat menjiwai filemnya yakni begitu 'passionate'.

"Memang saya tahu Quentin sangat menjiwai karyanya itu, namun ia sebenarnya di luar daripada jangkaan saya. Setiap kali datang ke set penggambaran, dia akan menjadi seperti watak dalam filem itu.

"Sebagai contoh hari itu kalau ada babak besar Django, dia akan bersikap seperti Django. Esok pula dia akan menjadi seperti Calvin Candie (Leonardo).

Itulah yang seronok mengenai Quentin. Dia juga suka melawak dan membuatkan orang lain ketawa. Selain itu, dia juga suka memainkan muzik kalau penggambaran kami berehat, macam ada pesta pula di lokasi," kata Foxx yang juga penyanyi hip hop dan R&B yang terkenal dengan album seperti Peep This (1994), Intuition (2008) dan Best Night of My Life (2010).

Foxx berkata lagi, kemampuan Quentin membuatkan ramai orang mahu menonton filem beliau dan sentiasa ingin mendengar apa yang mahu diperkatakannya kerana dia selalu berfikir di luar kotak pemikiran biasa.

"Quentin sendiri terkedu apabila saya memberitahunya yang dia antara karyawan seni yang paling banyak orang 'Google'," kata Foxx sambil tertawa kecil.

Mengenai Waltz pula, Foxx tanpa ragu-ragu mengakui yang dia sangat mengagumi lakonan beliau terutama dalam Inglorious Basterds.

"Apabila kami bersama, banyak perkara yang kami bincangkan. Namun apabila tiba soal isu perkauman, dia terus terang akui tidak banyak yang dia tahu mengenai perkara itu dan menyerahkan hal berkenaan kepada saya. Bagi saya, Christoph seorang pelakon yang sangat bersahaja dan benar-benar menjiwai setiap peranan yang diserahkan," komen Foxx dengan bersungguh-sungguh.

Foxx turut mengakui kehebatan DiCaprio yang tampil memegang watak jahat dengan cemerlang selain Washington sebagai seorang isteri yang terseksa secara mental dan fizikal.

Bagi Foxx, peluang yang diberikan Tarantino kepadanya cukup besar. Cabaran paling berat yang perlu digalas beliau adalah membuang jauh-jauh dirinya sebagai Jamie Foxx dan datang ke set penggambaran setiap hari sebagai Django. Akhirnya dia temui kepuasan itu dengan bimbingan Tarantino.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Soseh Soseh: Isteri penyanyi gelojoh

Posted:

Penganjur baru nak tanya, belum berbincang apa-apa lagi tetapi dengan gelojohnya isteri yang juga merangkap pengurus kepada artis ini bertanya, pihak penganjur ada duit ke nak bayar persembahan suaminya nanti. Amboi... lambang seorang wanita yang tamak dan tak sedar diri siapa dia dulu sebelum berkahwin dengan artis itu.

Penganjur ini bukan calang-calang orang kerana pasukan mereka pernah menganjurkan konsert artis luar negara dan setahu SS segalanya berjalan lancar. Tak ada sebarang rungutan pun daripada mana-mana artis yang pernah bekerjasama dengan penganjur itu termasuklah dalam soal bayaran kerana mereka tahu menilai tahap kemampuan dan profesionalisme seseorang artis itu.

Khabarnya penganjur konsert ini bercadang nak mengadakan konsert untuk artis ini kerana dia sememangnya mempunyai peminat yang ramai. Artis ini pula walaupun sudah sangat popular, tidak begitu cerewet orangnya dan dia sangat menghargai peminat yang menyokong kerjaya seninya selama ini.

Bagaimanapun, ada beberapa pihak yang pernah bekerja dengan artis itu kurang senang dengan sikap si isteri yang agak mata duitan. Sebelum sebut soal bayaran, duduklah berbincang dulu, tanyalah konsert nak buat di mana, bila tarikhnya dan adakah artis lain terbabit sama sebagai membuka tirai konsert.


Ini belum sempat penganjur mengatakan apa-apa, si isteri dah tanya pasal bayaran, terus penganjur angkat kaki. Duit itu memang keperluan penting dalam kehidupan kita tetapi janganlah terlalu bersikap gelojoh dan gopoh. Janganlah terlalu mengambil kesempatan di atas populariti suami.

SS: Jangan bersikap tamak kerana ia boleh memakan diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Pemain import punca longlai

Posted:

Shah Alam: Adakah tepat langkah membenarkan pemain import kembali mewarnai kancah bolasepak tempatan?

Persoalan terbabit timbul selepas menyaksikan skuad negara dibelasah 1-4 oleh Arab Saudi dalam aksi persahabatan malam kelmarin dengan pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Safiq Rahim menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya pada minit ke-70 pada pertemuan di Stadium Shah Alam itu.


"Anda boleh lihat kita tidak mempunyai penyerang yang mampu menjaringkan gol dengan jaringan skuad negara dilakukan Safiq yang bukannya penyerang. Kita perlu sedar dengan situasi ini berbanding lawan (Arab Saudi) yang mempunyai penyerang berkaliber," kata pengendali negara, Datuk K Rajagobal selepas tamat perlawanan itu, malam kelmarin.

Menurut Rajagobal, skuad negara hanya mempunyai Norshahrul Idlan Talaha sebagai penyerang semula jadi selain Abdul Hadi Yahya yang tersenarai dalam kem latihan pusat kali ini.


"Pemain lain seperti Mohd Amri (Yahyah) lebih kepada posisi di belakang dan bukannya penyerang semula jadi. Kita tidak mempunyai Safee Sali (gambar) ketika ini (akibat kecederaan) yang boleh disifatkan seorang pemain yang kuat untuk membolehkan kita mengamalkan corak permainan diamalkan sejak dua tahun lalu. Sekarang dia tidak ada dalam skuad kebangsaan.


"Anda boleh lihat liga (domestik) sekarang. Pasukan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor, Kelantan... siapa penyerang mereka? Kita kena menerima hakikat ini. Tapi, tiada apa yang boleh dilakukan, ini yang berlaku dalam liga, semua pihak boleh memberikan pandangan, namun bukan senang untuk pemain beraksi di pentas berbeza," katanya.

Foto

SAFIQ (kiri) jaring gol tunggal negara di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Selain Norsharul, kem latihan pusat kali ini juga tidak mempunyai penyerang yang mampu memenuhi hasrat pengendali negara itu untuk menggegar kubu lawan menjelang aksi penting menentang Yaman untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2015 yang dijadual berlangsung Jumaat ini.


Penjaring tempatan terbanyak Liga Super ketika ini, Mohd Fauzi Roslan dari Pahang yang sudah menjaringkan enam gol diletakkan dalam senarai pemain simpanan selain Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Selangor) dan A Thamil Arasu (Harimau Muda A).

Penyerang import ATM, Marlon Alex James mendahului senarai penjaring keseluruhan ketika ini dengan meledak tujuh gol selain penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Jean-Emmanuel Effa Owona yang kini bersama Terengganu, meledak empat gol.


Bagaimanapun Rajagobal melihat sesuatu yang positif dalam aksi bertemu Arab Saudi itu apabila menjelaskan ia memberikan gambaran lebih jelas terhadap pemain yang akan diturunkan apabila menentang Yaman di Stadium Shah Alam nanti.


Beliau turut puas hati dengan persembahan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang pertama kali menyarung jersi negara.


"Saya akan fikirkan (peluang untuknya tersenarai), namun dengan tempoh 45 minit dia diturunkan, saya puas hati dengan persembahannya. Saya turut puas hati dengan aksi penjaga gol Selangor, Norazlan (Razali)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Peserta Kenya sapu bersih

Posted:

Dungun: Peserta Kenya menyapu bersih tempat pertama hingga keempat kategori Antarabangsa Lelaki dan Wanita Cabaran Gunung Berembun Antarabangsa Terengganu 2013 di Hutan Lipur Air Terjun Chemerong, kelmarin.

Thomas Kipkosaei muncul juara antarabangsa Lelaki untuk menggondol wang tunai RM1,500 selepas menamatkan larian dengan catatan masa 2 jam 14 minit dan 10 saat manakala rakan senegara Geoffrey Birgen, kedua, 2:17.21s, menerima RM1,200. Mohamed Temam Hussien, ketiga dan Ale Munene Njue, keempat.


Kategori antarabangsa Wanita pula milik Alganesh Mohammed Kemal selepas mencatat 2:42.31s untuk memenangi RM1,500 manakala Carolin Kigen di tempat kedua 2:48.29s menerima RM1,200 dan Grace Wayua Kitgnga, ketiga, RM800.

Bagi kategori Terbuka Lelaki, peserta Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhaizar Mohamad muncul juara untuk menerima RM1,500 manakala pelari Terengganu, Mohamad Afendi Nudin, kedua, RM1,200.


Kategori Terbuka Wanita pula diungguli dua peserta Kuala Lumpur apabila Azlinawati Hussain dan Foo Kam Miew muncul juara dan naib juara untuk membawa pulang RM1,200 dan RM1,000.


Dua peserta Terengganu, Rusli Sulong dan Rozmi Yunus muncul juara dan naib juara Veteran Lelaki untuk membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM800.

Seramai 681 peserta dari seluruh negara, termasuk dari Singapura, Thailand, Kenya, Jerman serta Britain mengambil bahagian dan hadiah disampaikan Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun Mohd Razif Abd Majid serta Presiden Persatuan Kembara Negara Datuk Mohd Khalid Mohd Yunus.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved