Sabtu, 12 November 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Global: Wanita Libya turut tumbang Gaddafi

Posted: 02 Oct 2011 08:51 AM PDT

"Orang lelaki mati ketika mereka terpaksa berjuang tanpa senjata dan sanggup bergadai nyawa demi melindungi kami sedangkan kami duduk di rumah tidak buat apa-apa. Kami seolah-olah jadi barang antik," kata wanita bertudung itu lagi sambil cuba membetulkan cara dia memegang senjata api.

"Konco-konco Gaddafi boleh datang bila-bila masa, saya bersedia mempertahankan diri sendiri dan rumah kami jika perlu," katanya lagi.

Pelatih sukarelawan di pusat latihan ketenteraan itu berkata, mereka berasa sangat tidak berdaya ketika pergerakan menumbangkan pemerintahan Gaddafi terutama apabila mendengar berita ada wanita dirogol oleh askar. Kini mereka tidak mahu lagi duduk diam, sudah sampai masa untuk menunjukkan bahawa wanita juga boleh melindungi keluarga.

Sekurang-kurangnya 200 wanita sudah berjaya menamatkan program latihan itu sejak ia dimulakan di Kawasan Ketenteraan Teknikal Benghazi hujung Mac lalu. Mereka diberikan pilihan menyertai Pasukan Keselamatan Kebangsaan yang beroperasi seperti Pengawal Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat dan membenarkan wanita berkenaan bergerak di kawasan sendiri. Belum ada cadangan untuk menghantar tentera wanita ini ke barisan hadapan pertahanan negara.


Satu unit yang dianggotai 20 tentera wanita tidak bersenjata bertugas ketika Perdana Menteri British, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat Benghazi bulan lalu dan memberikan ucapan di depan ramai penduduk Libya.


Pasukan keselamatan wanita itu berdiri memerhatikan dan mencari wanita yang mencurigakan kerana bimbang jika ada penyerang yang menyamar dengan memakai pakaian perempuan.

Menurut komander tentera di Benghazi, Abdul Basit Haron, pejuang revolusi termasuk wanita akan menerima sekali bayaran berjumlah RM15,000. Pembabitan wanita dalam ketenteraan sangat penting kerana ia boleh membangkitkan dan menguatkan semangat tentera.

Ini kerana wanita berasa mereka diketepikan dan sanggup datang ke sini untuk membuktikan bahawa mereka setanding dengan lelaki. Mereka mahu menunjukkan kepada dunia keberanian dan sikap terbuka penduduk Libya.

Sebenarnya peranan wanita masih menjadi isu sensitif di negara Islam konservatif itu. Malah, sepanjang pemerintahan Gaddafi, polisi yang dibentuk bertujuan memecahkan pantang larang turun temurun mengenai pekerjaan wanita dan status mereka. Gaddafi sendiri melantik pengawal peribadi wanita tetapi peluang yang diberikan untuk wanita mengisi jawatan di dalam kerajaan masih sangat terhad.

Tentera wanita adalah satu perkara yang sangat asing di kebanyakan negara Arab tetapi kini ia menjadi pemandangan biasa di Libya. Di mana-mana ada saja tentera wanita beruniform, bertudung, bercermin mata hitam dan bermekap tebal mengawal bandar. Satu kumpulan wanita dilaporkan mempunyai pusat soal siasat sendiri bagi menahan aktivis antiGaddafi.

Kolonel Sabriya Mohammed al-Shraidi, anak kelahiran Benghazi yang menamatkan pelajaran di sekolah ketenteraan pada 1986 dan kini berada

di unit penyiasatan tentera berkata, lapan pegawai ditugaskan melatih 36 sukarelawan - iaitu kumpulan keempat yang akan tamat latihan tidak lama lagi.

"Kebanyakan wanita ini adalah suri rumah dan ada yang bekerja. Mereka tiada pengalaman dalam ketenteraan dan tidak tahu bagaimana menggunakan senjata. Jadi mereka datang ke sini untuk menjalani latihan, jika perlu mempertahankan diri sendiri dan anak-anak. Kita tidak tahu bila kemahiran ini diperlukan, segala-galanya boleh terjadi," katanya.

Pelatih tentera ini diberikan pelbagai latihan menggunakan semua jenis senjata ringan dan ilmu mempertahankan diri. Mereka yang diberikan latihan ini akan membantu menjaga keselamatan ketika demonstrasi, di bank dan institusi lain.

"Ramai orang anggap wanita tidak elok masuk tentera. Anggapan ini salah. Ramai wanita terbabit dalam bantuan kemanusiaan dan penyeludupan senjata api untuk pemberontak dengan menyembunyikan senjata dalam jubah mereka.

"Sebenarnya wanita sudah banyak memberi sumbangan dalam revolusi ini melalui pelbagai cara. Tetapi mereka masih dipinggirkan dan diketepikan. Kini sudah ada peluang untuk kami menunjukkan sumbangan secara terang-terangan, tiada apa yang hendak dimalukan apabila menjadi tentera. Masyarakat sekarang bukan lagi seperti zaman Gaddafi dulu yang memandang rendah wanita yang masuk tentera," katanya.

Wafa al-Rayth, 29, suri rumah, berkata dia menyertai program ketenteraan itu untuk menunjukkan pada dunia bahawa wanita Libya berupaya berganding bahu dengan lelaki dalam menjaga keamanan negara.

"Sudah sampai masa kami membantu meluaskan keamanan dan mengawal negara, terutama dalam tradisi kami yang memerlukan wanita mengawal tempat perjumpaan wanita dan memeriksa beg mereka bagi memastikan tiada lelaki menyamar untuk melakukan jenayah," katanya.

Bagi jurutera berusia 20 tahun, Lameis Aghnaish, dulu ketika era Gaddafi dia cuba berhijrah ke negara lain tetapi kini dia bangga tinggal di Libya.

"Dulu hidup kami sangat susah, sebab itulah saya mahu berhijrah. Masa itu saya tidak rasa sayang pun pada negara, tetapi keadaan kini sudah berubah. Saya sanggup mati demi negara ini. Saya akan kembali bekerja selepas keadaan kembali aman. Apa yang penting kini ialah memastikan negara aman dan selamat," katanya. - AP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


MPS gempur penjaja jajan di pekarangan sekolah

Posted: 11 Nov 2011 10:44 AM PST

SELAYANG: Biarpun beberapa kali digempur Majlis Perbandaran Selayang (MPS), penjaja makanan ringan di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih, di sini, tetap aktif menjalankan perniagaan mereka kerana menerima permintaan tinggi daripada murid.

Dengan menggunakan taktik baru, penjaja mempamerkan jualan dalam but kereta, van, motosikal, menggantung jualan pada basikal dan menjaja sambil membimbit karung plastik besar.


Ketua Bahagian Pengurusan Penjaja Jabatan Pelesenan MPS, Mohd Zikry Zulkifle, berkata pihaknya menerima aduan ibu bapa yang tidak menyenangi kegiatan penjaja terbabit kerana menjual makanan ringan di luar perkarangan sekolah serta mengganggu lalu lintas di kawasan itu.

"Kami tidak mengeluarkan sebarang permit menjual makanan ringan di kawasan sekolah dan ia dilarang. Peniaga yang masih ingkar akan dikenakan denda kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan barang niaga disita," katanya.


Dalam operasi itu, enam bakul dipenuhi pelbagai makanan ringan dirampas dan empat motosikal menjual aiskrim disita.


Tiga daripada empat peniaga aiskrim bermotosikal diserahkan kepada pihak imigresen kerana berniaga tanpa lesen dan tidak mempunyai permit sah.

Full content generated by Get Full RSS.

Berebut dapatkan Samsung Galaxy Note

Posted: 11 Nov 2011 10:43 AM PST

KEGHAIRAHAN terhadap model telefon pintar terbaru Samsung Galaxy Note menyaksikan ramai peminat telefon berkenaan sanggup beratur seawal jam 5.30 pagi semalam di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur untuk menjadi antara individu pertama yang memilikinya di Asia Tenggara.

Ini menyebabkan pintu gerai jualan telefon bersaiz 5.3 inci yang sepatutnya dibuka pada jam 11 pagi terpaksa diawalkan setengah jam berikutan kehadiran lebih 200 orang yang berebut-rebut untuk mendapatkannya.

Kehadiran orang ramai di pusat beli-belah itu susulan iklan di akhbar bahawa Samsung menawarkan 100 pembeli pertama produk itu akan menerima kasing percuma yang disalut kemasan kristal Swarovski.

Ahli perniagaan, Jacky Chew, 44, yang diiktiraf pembeli ke-100 berpuas hati dengan pembeliannya yang berbaloi walaupun terpaksa menempuh kesesakan jalan raya sebelum tiba di pusat beli-belah itu.


"Saya ingat sudah lambat untuk mendapat-kan kasing itu tapi nasib saya baik," katanya yang menganggap produk Samsung sesuai dengan kehidupan sehariannya yang sibuk.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kerja keras Shakira diiktiraf

Posted: 11 Nov 2011 09:03 AM PST

LAS VEGAS: Pinggulnya memang tidak pernah berbohong, begitu juga dengan jualan albumnya yang tinggi.

Bintang pop antarabangsa Shakira telah diberi penghormatan sebagai Artis Terbaik Penyanyi Latin 2011 di Las Vegas, semalam.

Penyanyi yang berusia 34 tahun yang berasal dari Colombia diberi penghormatan itu di majlis makan malam yang dihadiri oleh bintang ternama penyanyi Latin termasuk penyanyi dari Venezuela yang terkenal, Franco De Vita, penyanyi rock Mexico, Alejandra Guzman dan lagenda salsa, Gilberto Santa Rosa.

Album Shakira dalam bahasa Sepanyol dan Inggeris telah terjual sebanyak 60 juta dan merupakan artis termuda yang menerima anugerah itu.


Penyanyi Latin yang pernah menerima anugerah itu termasuk Carlos Santana, Gloria Estefan dan Ricky Martin.


Sebelum itu Shakira berjalan di karpet merah dengan memakai gaun potongan greek, manakala rambut panjang berwarna perangnya ditocang.

"Ini adalah hari yang paling penting dalam hidup saya," katanya.
"Saya rasa gembira, rasa dihormati dan juga rasa rendah diri dengan anugerah ini."

Majlis anugerah itu adalah kemuncak penghormatan yang di berikan untuk Shakira. Beberapa hari lalu dia mendapat bintangnya sendiri di 'Hollywood Walk of Fame' di Los Angeles.

Penyanyi lagu 'Hip Don't Lie' ini juga dicalonkan untuk tiga anugerah, termasuk album terbaik di Anugerah Grammy Latin ke 12 di Las Vegas.

Full content generated by Get Full RSS.

Bapa Jodie Foster hadapi tuduhan menipu

Posted: 11 Nov 2011 09:01 AM PST

LOS ANGELES: Bapa kepada aktres terkenal Jodie Foster mungkin terpaksa berhadapan dengan penjara 20 tahun atas kesalahan penipuan hartanah kerana dikatakan menggunakan hubungan dengan pelakon terkenal itu untuk menipu wang pelanggan, kata pendakwaraya, semalam.

Lucius Fisher Foster III, 89 tahun didakwa dengan 17 tuduhan larseni (mencuri) dan tujuh tuduhan membuat kontrak tanpa lesen selepas dikatakan menipu pelabur kira-kira AS$100,000 (RM320,000) kata timbalan pendakwaraya Don Cocek.

Foster yang memutuskan hubungan dengan anak perempuannya menawar untuk membina 20 rumah di Lembah San Fernando di utara Los Angeles selepas menghubungi mereka melalui laman web hartanahnya atau yang disyorkan oleh ejen hartanah lain.

"Dia memberitahu sekurang-kurangnya separuh daripada mangsa itu yang dia adalah ayah kepada Jodie untuk mendapatkan kepercayaan mereka," kata Cocek.


Setiap mangsa dikatakan telah memberi wang deposit sebanyak AS$5,000 (RM15,700) kepada Foster dan menerima kontrak untuk rumah mereka dibina, "tetapi tiada satu rumah pun yang telah dibina", kata pendakwaraya.


Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 17 November ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Jangan terjerat

Posted: 11 Nov 2011 10:39 AM PST

PENJAGA gol negara, Khairul Fahmi Che Mat mengingatkan rakan sepasukan kedudukan mereka masih belum selamat meskipun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan awal kempen Kumpulan A Sukan Sea Indonesia.

Baginya, semua pemain usah bermegah dengan kejayaan menundukkan juara 13 kali, Thailand dan seri 0-0 dengan satu lagi pasukan pilihan, Singapura sebaliknya terus fokus kepada perlawanan menentang Kemboja esok.


Khairul Fahmi, 22, berkata, sikap memandang rendah keupayaan Kemboja hanya akan mengundang padah.

"Semua pasukan masih ada peluang, kita tidak boleh bermegah dan puas hati dengan kejayaan menewaskan Thailand.


"Masih ada dua perlawanan penting untuk kita hadapi dan segala kelemahan yang ada perlu segera diperbaiki," katanya.


Khairul Fahmi, tonggak kejayaan Harimau Malaya menjulang trofi Piala Suzuki AFF Disember lalu menganggap mereka perlu berhati-hati dengan Kemboja yang mahu memburu kemenangan selepas tumpas kepada Indonesia (0-6) dan Singapura (1-2).

"Kemboja belum mengutip sebarang mata lagi dan mereka pasti berjuang habis-habisan, kami harus berjaga-jaga," katanya yang turut popular dengan panggilan Apek.


Jika Malaysia berjaya memungut tiga lagi mata, kedudukan skuad kendalian Ong Kim Swee untuk menempah slot ke separuh akhir cerah meskipun perlu berdepan perlawanan paling dinantikan Kumpulan A, menentang Indonesia Khamis depan.

Full content generated by Get Full RSS.

Idam satu pingat

Posted: 11 Nov 2011 10:31 AM PST

HENDRAWAN adalah bintang idolanya dan pemain badminton negara, Arif Latif tidak menyangka dia dapat berlatih di bawah pemain pujaannya itu dua tahun lalu.

Kejayaan Hendrawan, jurulatih dari Indonesia yang muncul juara perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia 2001 di Seville, Sepanyol menjadi pembakar semangat buat anak muda berusia 22 tahun dari Seremban itu untuk menyerlah pada peringkat antarabangsa.


Nyata Arif, adik kepada pemain beregu Zakry Latif, agak tertekan apabila ramai yang harap dia mampu menjadi pengganti pemain nombor satu dunia ketika ini, Datuk Lee Chong Wei ketika rakan seangkatannya dari China, Chen Long sudah mula mampu mencabar.

"Saya hadir di sini dengan sasaran peribadi untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat. Saya akan cuba melakukan kejutan walaupun sedar ada jurang antara saya dengan pemain lain terutama dari negara tuan rumah, Indonesia," katanya yang tampil buat julung kali pada temasya Sukan Sea.


Selain acara berpasukan yang bermula hari ini, Arif turut melontarkan cabaran dalam acara individu di samping Liew Daren.


Dia meramalkan berdepan kesukaran dalam acara perseorangan namun menganggap itu bukannya sesuatu yang mustahil kerana pernah memberikan saingan sengit kepada bintang Indonesia, Taufik Hidayat dan Simon Santoso sebelum ini.

"Saya akui lambat meningkat berbanding pemain seperti Chen Long tapi saya tetap berasa ada peningkatan ketara tahun ini," katanya yang dipanggil Areyep di kalangan rakan dan keluarga sejak kecil dan akan turun sebagai perseorangan kedua dalam acara berpasukan.


Dalam undian acara berpasukan lelaki, Malaysia, pilihan kedua di belakang Indonesia, diundi bertemu Vietnam pada suku akhir petang ini manakala skuad wanita yang mengejutkan apabila memenangi pingat emas di Vientiane dua tahun lalu, menghadapi laluan sukar ke perlawanan akhir kerana diundi bertemu tuan rumah pada separuh akhir. Pada suku akhir pagi ini, mereka bertemu Filipina.

Menanti skuad lelaki negara pada separuh akhir sama ada Singapura atau Filipina.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Dikubur pasir

Posted: 11 Nov 2011 11:12 AM PST

SLIM RIVER: Usaha seorang bapa, Zaidi Muhammad, 43, menjejak anaknya yang 'ghaib' sejurus tragedi bas sekolah dirempuh treler membawa lima tan pasir di sini, semalam, berakhir hiba apabila pelajar itu ditemui sudah meninggal dunia di bawah timbunan pasir setinggi dua meter kira-kira enam jam selepas nahas.

Maysarra Zaidi, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, antara empat yang terkorban dalam kemalangan pada jam 4.45 pagi di Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Behrang, di sini.


Tiga lagi mangsa ialah rakan sekolah Maysarra, Khairul Anwar Azhan, 15, guru mereka, Siti Hajar Mohamed, 33, dan Ketua Wanita Umno Cawangan Alor Teja, Alor Setar, Basarah Saad, 45, yang cuba membantu kumpulan pelajar berkenaan selepas bas mereka terbalik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintenden Md Tahir Kasim, berkata Maysarra, Khairul Anwar dan Siti Hajar antara 60 pelajar dan tujuh guru yang menyertai rombongan ke ibu negara dengan menaiki dua bas, namun satu lagi bas tidak terbabit kemalangan itu.


"Basarah menaiki bas lain bersama rombongan Wanita Umno Kedah dalam perjalanan menghadiri satu program di Tanjung Karang, Selangor. "Bas itu berhenti di tempat kejadian atas permintaan Basarah yang mahu menghulurkan bantuan, namun dia yang juga ibu tunggal tiga anak menemui ajal apabila dirempuh treler terbabit," katanya.


Sementara itu, kehilangan Maysarra bermula apabila ayah dan abangnya, Faiz Zaidi, 16, yang bergegas dari rumah mereka di Taman Angsana, Kulim, gagal mengesan pelajar itu di Hospital Slim River (HSR) Zaidi yang juga juruteknik di sebuah institut kemahiran di Kulim dan Faiz hampa serta kebingungan apabila mendapati nama Maysarra tiada dalam senarai mangsa cedera atau terkorban.

Berikutan itu, dua beranak berkenaan ke lokasi kejadian untuk mencari jawapan kehilangan anaknya. Hanya kira-kira setengah jam kemudian, baru mereka dimaklumkan mayat Maysarra ditemui di bawah timbunan pasir pada jam 10.45 pagi semalam.


Difahamkan, sebelum itu anggota penyelamat tidak menyedari ada mangsa tertimbus di bawah timbunan pasir di situ serta menyangka semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera sudah dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Ketika ditemui wartawan di HSR selepas itu, Zaidi yang ditemani isterinya, Mazylina Abdullah, 35, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kematian anaknya, sebaliknya hanya menitiskan air mata.


Namun, Faiz memberitahu adiknya harapan keluarga kerana memperoleh 8A dalam ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini. "Dia sangat rajin belajar, malah antara pelajar harapan di sekolahnya untuk mencapai keputusan cemerlang dalam PMR tahun ini," katanya.


Faiz berkata, tiada perubahan ketara dilihat pada adiknya sebelum ini, malah arwah kelihatan tidak sabar untuk mengikuti rombongan berkenaan. "Ini rombongan kedua arwah," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik HSR di sini, semalam.


Jenazah Maysarra dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Teja, Alor Setar, Kedah.

Full content generated by Get Full RSS.

Dapat suami pada hari lahir

Posted: 11 Nov 2011 11:04 AM PST

KUALA KUBU BHARU: Lebih tiga tahun bersendirian, penyanyi Norazlan Abdul Aziz atau Lan A To Z, 42, akhirnya kembali memegang status suami. Hanya dengan sekali lafaz, Lan dan pasangannya, Siti Nur Ain Daut atau Ain, 24, selamat diijabkabulkan dalam majlis yang berlangsung di Masjid Jamek Ar-Rahimah, di sini, pada jam 11.11 pagi di sini, semalam.

Berwalikan abang sulung Ain, Mohd Firdaus, 30, pasangan berpakaian sedondon warna putih ini dinikahkan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Zulkhairi Jaik, dengan disaksikan hampir 50 tetamu terdiri daripada keluarga pengantin dan peminat. Tarikh akad nikah ini dipilih sebagai simbolik ulang tahun kelahiran Ain pada 11 November.


Lan turut menyerahkan wang hantaran bernilai RM11,111 manakala mas kahwin berjumlah RM300. Lan juga menyerahkan sembilan dulang hantaran berupa cincin berlian, al-Quran, pakaian dan alat solek serta dibalas 11 dulang hantaran daripada Ain.

Ditemui selepas itu, Lan bersyukur kerana segala-galanya berjalan lancar. Dia mengakui perasaan gementarnya hanya apabila berada di hadapan kadi.


"Saya memang tenang ketika saat terakhir akad nikah. Bagaimanapun, bila di depan ramai orang, perasaan gementar tiba-tiba muncul.


"Bagaimanapun, saya cuba tenangkan diri dan akhirnya dengan sekali lafaz. Ain menangis terharu kerana impiannya untuk bergelar isteri pada ulang tahun kelahirannya menjadi kenyataan.

"Dia mendapat hadiah yang paling istimewa dalam hidupnya iaitu seorang suami. "Saya berjanji akan menjaganya sebaik mungkin. Kami berjanji akan mempertahankan rumah tangga ini hingga ke akhirnya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Tidak lagi fobia bahasa Inggeris

Posted: 11 Nov 2011 07:05 AM PST

LENSA kamera dan pentas peragaan sudah sebati dalam kehidupan aktres jelita Korea Selatan, Mun Geun-young sejak usianya 12 tahun. Malah, pada umur semuda itu juga, dia berjaya menyerlahkan bakatnya apabila meraih Model Edubox Kone Award.

Selain merangkul anugerah berprestij itu pada 1999, pada tahun sama juga membuka ruang buat Geun-young mengetengahkan bakat lakonannya untuk kali pertama di layar perak dengan membintangi filem dokumentari On The Way yang diarahkan Choi Jae Eun.

Selepas percubaan sulungnya, tawaran lakonan untuk Geun-young terus berlanjutan apabila dia kemudian dilamar stesen Korean Broadcasting System (KBS) untuk berlakon dalam drama Burnt Rice Teacher and Seven Potatoes sebagai Han Mi-soo.

Memberikan hasil lakonan mantap dan tidak mengecewakan pihak produksi, Geun-young yang semakin mendapat kepercayaan KBS mendapat peluang berlakon drama percintaan hebat dan meruntun jiwa, Autumn in My Heart untuk watak heroin berusia 13 tahun.


Lakonannya amat berkesan ketika membawakan karakter Choi Eun-suh kerana Geun-young bijak bermain emosi terutama ketika babak menangis. Pandangan matanya yang polos dengan deraian air mata deras serta tak henti mengalir, berjaya membuatkan penonton merasai kesedihannya.


Menerusi drama popular itu juga, Geun-young memperoleh pengiktirafan pertamanya dalam lakonan dengan memenangi kategori Pelakon Wanita Harapan Terbaik di KBS Drama Awards. Lebih sedekad bergelar selebriti, hingga kini Geun-young sudah merangkul pelbagai anugerah.

Sekalipun di puncak kejayaan, Geun-young tetap mengutamakan pendidikannya dalam bidang fesyen. Bagaimanapun, baru-baru ini Geun-young membuat keputusan terbang ke New York, Amerika Syarikat dan sekali gus meninggalkan satu semester pengajiannya untuk bercuti.

Di negara 'Uncle Sam' itu, Geun-young yang dalam lawatan untuk bersua dengan kenalannya tidak membuang masa begitu saja. Aktres kecil molek berwajah keanak-anakan ini mengambil peluang mendaftar di sebuah kolej bahasa untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggerisnya.

Geun-young dikatakan sudah mendaftar sebagai pelajar di akademi bahasa swasta terkenal Amerika, 'Kaplan East Village' untuk mengikuti kursus bahasa untuk jangka pendek. Selain itu, Geun-young turut mengkaji gaya hidup remaja di Barat.

Bersesuaian dengan imej dirinya yang menjadi ikon popular di Korea, Geun-young berpendapat dia perlu membuat kajian terhadap gaya hidup golongan belia yang lebih menjurus pada hiburan. Bagi membolehkan kajiannya berhasil, Geun-young belajar dengan rajin.

Berdasarkan satu kenyataan dikeluarkan pihak pengurusannya, lawatan Geun-young ke New York itu bukan saja untuk bertemu kenalan, tetapi ingin mengetahui dan memahami gaya hidup sebenar rakan-rakannya. Geun-young dijangka berada di New York selama dua bulan.

Selepas perjalanan indah ke New York berakhir, Geun-young merancang memperkenalkan projek terbarunya dan akan meneruskan pengajian di Universiti Sungkyunkwan untuk tahun keempat dalam semester pertama.

Pada 21 Oktober lalu, Geun-young menerusi laman Cyworld, berkongsi maklumat di terkini dirinya di New York. Geun-young memaklumkan kepada peminatnya, dia luangkan juga masa menulis untuk melepaskan rindu di hatinya kerana berada jauh di perantauan.

"Ketika mula-mula menjejakkan kaki di sini, saya benar-benar sangat kesunyian. Ia sesuatu yang menakutkan dan sukar bagi saya menempuhinya. NaGeun-young, saya sedar perlu berusaha untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling.

"Sekarang saya tidak takut atau gentar untuk berhadapan apa saja halangan yang datang. Saya yakin dapat mengisi masa yang ada ini dengan melakukan banyak perkara berfaedah. Malah, paling utama perasaan fobia terhadap bahasa Inggeris sudah tiada lagi.

"Cuma, kesepian yang masih tak mampu diatasi. Saya sering teringat pada koleksi barang yang berharga dalam hidup ini. Justeru, ia juga membuatkan saya tidak pasti dengan apa yang dipelajari sepanjang berada di sini. Apakah saya akan berjaya?

"Bagaimanapun, sebenarnya saya tak pernah terfikir akhirnya akan membuat keputusan untuk belajar di sini (New York). NaGeun-young, yang pasti saya suka tinggal di sini dan berharap semuanya berjalan lancar seperti apa yang saya inginkan," katanya.

Menurut Geun-young, dia berdoa kesihatannya tidak terganggu kerana sudah bertekad sebaik pulang semula ke Korea, dia mahu membuktikan diri sebagai pelakon yang hebat dan dibanggakan. Ujarnya, dia juga akan pastikan dirinya bukan individu memalukan.

Lakonan Geun-young dalam kisah Cinderella moden

KISAH dongeng puteri jelita, Cinderella bukan saja popular di Hollywood, tetapi cukup terkenal di seluruh dunia. Justeru, tidak ketinggalan mengadaptasi kisah menarik ini, ia turut diterbitkan dalam versi Korea menerusi Cinderella's Stepsister.

Drama 30 episod terbitan stesen KBS2 pada tahun lalu, disiarkan di TV2 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 5 petang bermula 17 November ini. Semestinya penggemar drama Korea di negara ini tidak melepaskan peluang menantikan siarannya.

Dibintangi Geun-young sebagai watak utama, Eun-jo yang kehilangan bapa dan ibunya pula menemui cinta baru dengan lelaki yang mempunyai anak perempuan, Hyo-seon. Mereka tinggal bersama apabila ibunya berkahwin.

Hyo-seon menonjolkan karakter baik di hadapan mata ibu bapanya manakala Eun-jo pula sering dilihat 'jahat' dan diabaikan. NaGeun-young, Eun-jo berkawan baik dengan Hong Ki-hoon di kolejnya dan ini tidak disenangi Hyo-seon.

Memendam perasaan terhadap Ki-hoon, mendorong Hyo-seon membuat pelbagai onar untuk mendapatkan cinta lelaki itu hingga Hyo-seon menabur fitnah terhadap Eun-jo mengatakan kepada Ki-hoon cintanya hanya dipermainkan.

Lapan tahun berlalu, Eun-jo yang akhirnya melarikan diri meninggalkan keluarganya bertemu Han Jeong-woo. Mereka berkawan rapat kerana Eun-jo berasakan Jeong-woo adalah adik lelakinya yang hilang. Hyo-seon pula bercinta dengan Ki- hoon.

Suatu hari, Ki-hoon bertemu semula dengan Eun-jo. Saat itu, dia berasakan cintanya pada gadis itu tidak pernah pudar walaupun lapan tahun sudah berlalu. Wujudlah kisah cinta tiga segi antara Eun-jo, Ki-hoon dan Hyo-seon.

Apakah yang berlaku seterusnya? Adakah akan wujud campur tangan ibu bapa? Barisan pelakon lain yang membintangi drama percintaan remaja ini ialah Seo Woo, Chun Jung Mying, Tae Cyeon, Lee Mi Sook, Kim Gab Soo dan Kang Sung Jin.

Full content generated by Get Full RSS.

Peluang menang hadiah besar!

Posted: 11 Nov 2011 06:38 AM PST

PELBAGAI hadiah bernilai RM25,000 ditawarkan sebagai imbuhan cabutan bertuah buat pengunjung yang datang menyaksikan Showcase OMG Gempak! sempena Pelancaran Red Box Ria Berwajah Baru yang diadakan pada 19 November ini.

Bertempat di Tingkat 7, KL SOGO Multipurpose Hall, program itu bermula jam 2 petang dan turut membariskan nama yang menjadi pujaan ramai ketika ini.

Mereka adalah kumpulan Forteen, popular dengan lagu Berdua Bersatu, Iqa Mentor (Di Penghujungnya), Tiga (Lelaki Tak Guna) dan Chomell Fana (BFF).

Apa yang menarik showcase diadakan secara undangan ini turut menampilkan khas penyanyi tersohor Ning Baizura yang baru saja melancarkan klip video terbarunya, Bila serta pendatang baru berbakat besar yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif. Kini Najwa tampil dengan single keduanya, Carta Hati.


Pengarah Urusan Kumpulan Red Box Karaoke, Valerie Choo, berkata selain memperkenalkan wajah baru Red Box Ria penganjuran acara itu juga sebagai tanda penghargaan pihaknya kepada pelanggan setia di pusat karaoke keluarga yang cukup popular itu.


"Sejak Red Box beroperasi pada 2000, sambutan yang diberikan pengunjung cukup baik sekali sehingga Red Box mampu berdiri menjadi jenama terkenal.

"Tambah membanggakan, semua cawangan kami menerima respons sangat memberangsangkan. Pelanggan sukakan konsep hiburan dan keluarga yang kami ketengahkan selain Red Box termasuk Green Box iaitu satu lagi jenama pusat karaoke di bawah pengurusan kami," katanya kepada Rap.

Valerie berkata, 'showcase' itu tidak mungkin menjadi satu kenyataan tanpa jalinan usaha sama di antara Red Box dan KRU Studios yang kini dalam rangka promosi album kompilasi terbaru 'OMG Gempak!'

Berkongsi misi yang sama untuk mempromosikan produk masing-masing, Red Box dan KRU Studios sepakat menamakan persembahan itu sebagai Showcase OMG Gempak!
Penganjuran showcase ini turut menyaksikan pembabitan pelbagai pihak dan Harian Metro misalnya dilantik sebagai akhbar rasmi.

Seiring kerjasama itu, Red Box Ria bermurah hati untuk memberikan 50 pas VIP untuk dimenangi seramai 25 pemenang (seorang pemenang akan mendapat dua pas VIP) berserta 25 baucar karaoke Red Box Ria yang setiap satunya bernilai RM100 kepada pembaca bertuah Akhbar No: 1 Malaysia ini.

Caranya mudah, anda hanya perlu menyertai kuiz mudah yang di bawah artikel ini dan lengkapkan slogan khas yang diberi. Ketepatan jawapan serta slogan paling kreatif akan memungkinkan anda menang.

Penyertaan bermula sekarang dan tarikh tutupnya pada 16 November 2011. Borang penyertaan perlu dihantar lengkap bersama artikel asal ini.

Seramai 25 pemenang bertuah akan dihubungi Harian Metro dan mereka boleh menebus pas VIP dan baucar karaoke Red Box Ria itu di kaunter Harian Metro, yang disediakan di pintu masuk KL SOGO Multipurpose Hall, pada hari 'showcase' ini mulai jam 12 tengah hari.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved