Rabu, 27 Februari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Nurliana tak cepat mengalah

Posted:

Dia mengambil masa beberapa bulan sebelum benar-benar dapat menyesuaikan diri mengajar di sekolah pendidikan khas.

Walaupun pernah tiga kali menjalani latihan amali di beberapa sekolah sepanjang tempoh lima tahun setengah menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur, cabaran yang digalas kini terasa amat berbeza buat Nurliana Hassan, 27.

"Ramai yang beranggapan profesion sebagai se-orang guru itu kerjanya mudah. Namun hakikatnya, ia memerlukan kekuatan diri dari segi mental dan fizikal apatah lagi perkembangan dunia pendidikan masa kini yang penuh cabaran.

"Percayalah, ia tidak semudah seperti yang disangka kerana kami juga mengharungi seribu satu kesenangan dan kesulitan ketika mengajar pelajar terutama anak-anak istimewa di dalam kelas pendidikan khas.

Foto

Nurliana Hassan


"Jika pelajar normal boleh berlaku kasar, begitu juga pelajar pendidikan khas ini dan kadang-kadang tingkah laku mereka sukar dijangka. Kalau seorang guru itu tidak mempunyai iman serta tahap kesabaran yang tinggi, pastinya pelajar berkenaan dimarahi dan sebagainya," katanya.


Menggalas cabaran sebagai guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Senawang, Negeri Sembilan, dia harus berhadapan dengan 11 pelajar yang mempunyai masalah disleksia, sindrom Down dan lembam.

Mengajar bersama se-orang lagi guru, mereka turut mempunyai seorang pembantu yang akan mengurus keperluan pelajar seperti ketika mereka mahu makan atau pergi ke tandas.

Tidak mahu menipu, di awal tempoh kerjayanya, dia pernah mengeluh dengan kerenah pelajar tetapi tidak mahu cepat mengalah kerana ia satu tanggungjawab
murni untuk membantu mendidik mereka supaya sekurang-kurangnya dapat berdikari seperti insan normal lain.

Baginya, merungut bukanlah satu penyelesaian terbaik dan menyalahkan orang lain juga bukan jawapan paling bagus. Tidak ramai yang sanggup memilih subjek ini apatah lagi bagi guru muda dan belum berkahwin.

"Jujurnya, hasrat saya mahu mengajar subjek matematik atau Bahasa Inggeris tetapi hasrat itu tidak ke-sampaian dan saya menjadi guru di sekolah pendidikan khas.

"Bagaimanapun, saya tetap gembira dengan peluang yang diberikan kerana saya mempunyai ilmu baru dan lain daripada guru biasa iaitu memahami bahasa isyarat.

"Selain itu, saya juga harus mengetahui bahasa tubuh pelajar kerana ramai antara mereka yang kurang fasih bertutur," jelasnya.

Untuk memastikan semua pelajarnya menumpukan perhatian dengan pembelajaran yang sedang berlangsung juga menjadi dugaan terbesar buat Nurliana.

Ini kerana, kebanyakan daripada mereka tidak tahu duduk diam, berkhayal dan suka bercakap. Justeru, pendekatan memujuk dan mengajar mereka satu persatu diambil oleh Nurliana agar anak muridnya tidak tercicir.

Program Pendidikan Khas adalah tempat untuk anak istimewa menimba ilmu yang mana guru memberi perkhidmatan dan sumbangan dalam bentuk bimbingan, nasihat, tunjuk ajar, pengajaran dan pembelajaran.

Oleh kerana itu, Nurliana sedar dan bersungguh-sungguh memberikan perkhidmatan sebaiknya. Wajar difahami, masyarakat khususnya ibu bapa meletakkan harapan tinggi dalam perkembangan anak istimewa.

Bagaimanapun, terdetik di hati Nurliana bahawa tugas mendidik dan mengajar mereka bukan 100 peratus jatuh ke tangan seorang insan bergelar guru.

"Memang tugas warga pendidik mengajar pelajar tetapi saya percaya pendidikan bermula dari rumah. Kami mengajar dan membantu mereka sekadar yang mampu tetapi ibu bapa juga seharusnya memainkan peranan penting.

"Sekiranya di rumah, anak perlu dilatih sebagaimana mereka boleh mengawal diri di sekolah dan bukannya dibiarkan saja tanpa sebarang perhatian.

"Jika mereka sudah terbiasa dengan pengabaian atau sikap sambil lewa ibu bapa ketika mereka memberontak, merengek mahupun melakukan sesuatu aktiviti, tidak mustahil ia menjadi sebati di dalam diri anak," katanya yang baru mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Mohd Faisal Samian, tiga minggu lalu.

Mendapat sokongan padu daripada keluarga tercinta terutama ibu bapanya iaitu Roziah Sulaiman, 50, dan Hassan Siraj, 52, Nurliana tetap percaya dengan niat yang betul berbekalkan semangat dan kesungguhannya dalam usaha mendidik anak-anak terpilih ini, jalannya pasti dipermudahkan oleh Tuhan.

Selain kesibukan mengajar di sekolah, Nurliana juga mampu membahagikan masa dengan baik meneruskan minatnya terhadap bidang fesyen. Suka berpenampilan cantik dan menarik, dia serius berniaga secara dalam talian sejak tiga tahun lalu.

Walaupun suka berniaga, ia tidak menjejaskan tumpuannya sebagai guru. Tugas mendidik tetap diutamakan kerana ia adalah cinta pertamanya yang mahu berbakti kepada bangsa dan negara.

Oleh itu, Nurliana menjadikan perniagaan dalam talian sebagai mata pencarian sampingan tanpa menjejaskan tumpuan untuk menggalas tanggungjawab mulia mendidik anak bangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Terapi penggelek jarum mikro

Posted:

'Hendak cantik, sakit pun tidak mengapa' - ungkapan klise yang sering kita dengari terutama apabila membabitkan proses rawatan untuk mengekalkan awet muda wajah dan tubuh badan.

Mungkin ada kebenarananya di sebalik ungkapan ini. Begitu juga yang penulis rasai apabila berkunjung ke Jemari Spa & Beauty House baru-baru ini.

Pakej rawatan terapi peng­gelek jarum mikro kali ini menarik perhatian penulis.

Bentuknya seperti peng­gelek tangan yang dileng­kapi jarum kecil mengikut saiz, bertujuan melukakan kawasan kulit bermasalah.


Sebanyak 192 jarum mikro diletakkan secara tersusun dalam lapan barisan sekata dan ia disadur emas 14 karat bagi mengekalkan keutuhan genggaman jarum pada penggelek.


Menurut pemilik spa berkenaan, Farahtul Adilah Sharudin, 32, kaedah yang dibawa masuk ke pasaran kecantikan tempatan sejak setahun lalu ini sudah agak lama diamalkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Malah, ia dikatakan berkesan bagi menghilangkan kesan parut serta pigmentasi pada kulit. Caranya dengan melayangkan peng­gelek berkenaan pada bahagian bermasalah secara perlahan-lahan berulang kali.

"Kaedah ini banyak membantu wanita mengurangkan masalah kedutan pada kulit serta memperbaiki tekstur kulit secara menyeluruh.

"Ia juga boleh digunakan untuk membantu menghilangkan kesan regangan kulit, bukaan liang pori yang besar serta penuaan kulit," katanya.

Jika saiz jarum digunakan kecil antara 0.07 milimeter, kulit wajah akan kelihatan kemerah-merahan apabila dilayangkan penggelek berkenaan manakala makin besar saiz jarum digunakan kulit akan mengalami kesan luka.

"Kebiasaannya kami tidak menggunakan jarum yang besar kerana kaedah ini juga perlu disesuaikan dengan keadaan kulit wanita Asia.

"Jarum paling besar pernah digunakan mempunyai bersaiz 1.5 milimeter, namun proses terbabit akan menyebabkan rasa sakit, kulit luka dan berdarah," katanya ketika ditemui di cawangan butik kecantikannya di Jalan 4/6B Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Apabila kulit asal dilukakan, proses penyembuhan yang berlaku menyebabkan peningkatan kolagen dan mempercepatkan pertumbuhan sel kulit baru.

Disebabkan proses rawatan terbabit membabit­kan kesan luka dan darah pada kulit, bagi memastikan kebersihan jarum digunakan, setiap pelanggan memperoleh penggelek jarum mikro berbeza.

Malah, ia akan disteril terlebih dulu sebelum digunakan serta boleh digunakan secara berulang kali sehinggalah mata jarum digunakan tumpul sebelum ditukar baru.

Walaupun boleh dibawa balik, pelanggan tidak digalakkan melakukannya sendiri tanpa pengawasan pakar bertauliah bagi me­ngurangkan risiko kesihatan lain.

"Selain itu, pelanggan yang tidak mampu menahan sakit apabila jarum dilayangkan pada kulit wajah akan diberikan ubat bius untuk mengurangkan rasa sakit.

"Tetapi ia akan diberikan apabila pelanggan memintanya saja. Kemudian barulah proses menggelek dilakukan mengikut kesesuaian," katanya.

Terapi jarum mikro ini perlu dilakukan pada waktu petang untuk mengelakkan wajah kembali terdedah kepada sinaran cahaya matahari bagi mengelakkan pembentukan melanin secara drastik.

Proses rawatannya memakan masa tiga jam dan ia dimulakan dengan rawatan wajah bagi membersihkan kulit menggunakan kaedah dua kali basuhan iaitu pembersih susu dan gel, diikuti proses sentalan wajah.

Kemudian barulah proses menggunakan penggelek jarum mikro dilakukan selama 20 minit. Bagi mereka yang menggunakan ubat bius, tempoh 'bertenang' selama 30 minit diberikan sebelum memulakan rawatan.

Wajah akan dibahagikan kepada empat bahagian terlebih dulu iaitu pipi kiri dan kanan, dahi serta hidung. Ia dimulakan dari bahagian dagu dan digerakkan mengikut bahagian wajah yang dibahagikan sebelum ini.

Tempoh untuk melakukan rawatan kali kedua terapi berkenaan juga bergantung kepada saiz jarum digunakan kerana makin panjang jarum, masa penyembuhan kulit juga bertambah. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari www.jemarispa.weebly.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Diculik rakan lama

Posted:

Ampang: Seorang pemandu teksi melalui azab dan penyeksaan selama lebih dua jam selepas diculik lapan lelaki, Ahad lalu.

Mangsa bukan saja disiram dengan air panas, malah turut dititis cecair lilin pada seluruh badan, dicucuh rokok selain dipukul dengan paip getah.


Kejadian awal pagi itu menyebabkan lelaki berusia 44 tahun terbabit cedera serius di badan selain patah tangan kanan sebelum diselamatkan polis hasil maklumat awam yang menyedari mangsa diculik.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Liong berkata, sebelum diculik, dia dan seorang rakan pergi ke sebuah kelab malam di Taman Maluri, di sini, untuk minum jam 1 pagi.


"Ketika minum, saya dihampiri sekumpulan lelaki yang menarik badan dan mencampak saya ke dalam sebuah kereta Toyota Vellfire.


"Saya dibawa ke sebuah kelab malam di Pandan Perdana dan dikurung dalam sebuah bilik. Ketika itu baru saya tahu dalang penculikan itu seorang daripada rakan lama saya yang dikenali sejak lima tahun lalu," katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta, di Ampang, di sini, semalam.

Foto

LIONG menunjukkan kesan kecederaan yang dialaminya.

Foto

LIONG menunjukkan kesan kecederaan yang dialaminya.

Liong berkata, lelaki terbabit yang juga ahli perniagaan menculiknya kerana tidak berpuas hati selepas seorang rakan kongsi menipunya sehingga kerugian RM500,000 sebelum melarikan diri.


"Saya memperkenalkan rakan lama saya itu dengan rakan kongsinya lima tahun lalu. Mereka kemudian sepakat menjalankan perniagaan bersama. Selepas itu, saya tidak mencampuri urusan mereka dan kami terputus hubungan.

"Rakan menyangka saya terbabit penipuan itu dan menyuruh menggantikan wang berkenaan. Saya, menafikan dakwaan itu dan memberitahu tiada wang," katanya.


Bagaimanapun, rakannya itu marah lalu mengikat kedua-dua tangan dan kaki sebelum memukul menggunakan paip getah dan menyiram punggungnya dengan air panas.


Mangsa berkata, dia meraung kesakitan merayu minta dilepaskan, namun rayuannya tidak diendahkan, malah diperlakukan lebih kejam apabila badannya dititis lilin dan dicucuh rokok oleh ahli kumpulan terbabit.


"Akibat pukulan kuat, tangan kanan saya patah. Seluruh badan dan punggung saya berasa pedih dan melecur. Saya terpaksa menempuh derita itu selama dua jam sebelum diselamatkan polis," katanya.


Mujur ketika diculik, rakannya segera menghubungi keluarganya yang kemudian membuat laporan polis.


Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Md Nazri Zawawi berkata, pihaknya yang mendapat maklumat kejadian itu menahan lima lelaki.


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 325, 363 dan 385 Kanun Keseksaan dan dituduh di Mahkamah Ampang, di sini, esok (hari ini).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Kaya bukan ukuran

Posted:

Pada usia 26 tahun, molek benar kata orang tua-tua jika si gadis sudah berumah tangga. Setuju dengan pendapat itu namun bagi penyanyi genit, Mila Jirin, dia belum bersedia jauh sekali punya perancangan ke arah itu.

Malah, juara musim ke-5 Akademi Fantasia (AF) ini atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin menetapkan empat tahun lagi untuk berkahwin.

"Berkawan itu saya tidak nafikan. Ada dua, tiga orang yang sedang saya kenal tetapi kena pilih mana yang paling sesuai. Maklumlah jadi orang perempuan kenalah memilih.

"Bukanlah mencari yang kaya raya, tetapi cukuplah dengan memiliki ketokohan sebagai suami yang bertanggungjawab. Mungkin di usia sekarang saya masih belum menemui calon kerana tanggungjawab saya sebagai anak sulung sendiri sudah cukup besar.

Foto

Mila Jirin

Foto

AIZAT, NAJWA DAN DATUK JEFRYDIN akan memeriahkan Putrajaya.


"Dua orang adik saya masih belajar. Seorang sedang melanjutkan pengajian dalam peringkat ijazah di salah sebuah universiti dan seorang lagi bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini," katanya kepada RAP baru-baru ini.


Mila berkata, ada yang bertanya apa masalahnya untuk berkahwin jika adik-adik masih belajar? Namun, dia sebenarnya mahu pastikan dua adiknya itu terutamanya Nurrafifah, 20, tamat pengajian dulu.

"Saya tanggung segala kos kerana dulu saya mahu menyambung pengajian ke universiti tetapi tak berpeluang. Jadi apabila adik saya menerima tawaran menyambung pengajian, sayalah orang yang paling gembira.

"Jika saya berkahwin mungkin saya tidak dapat membantunya. Jadi sebagai kakak saya membuat pengorbanan sementara waktu ini demi merealisasikan cita-cita adik saya dalam masa yang sama kejayaannya nanti menebus impian saya yang tidak tercapai ," katanya.

Ditemui di Astaka Morocco, Taman Botani, Putrajaya sempena Majlis Pelancaran Karnival Wow Putrajaya, baru-baru ini, Mila rupa-rupanya beralih bidang sebagai tauke 'funfair' atau lebih tepat, tauke 'karnival'.

Pasti ramai yang kurang faham dengan gelaran yang diberikan. Sebenarnya pembabitan syarikat Mila iaitu Luvmila Corporation Sdn Bhd sudah masuk tahun kedua mengendalikan Karnival Wow! Putrajaya.

"Tahun pertama saya terbabit dalam karnival ini ialah pada 2009. Saya hadir bagi memenuhi jemputan sebagai artis undangan. Sejak itu, saya berhubungan baik dengan penganjur hinggalah tahun lalu mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskan acara ini.

"Kebetulan saya memang minat memperluaskan pengetahuan dalam bidang perniagaan yang memfokuskan acara pengurusan acara dan pentas. Justeru, tahun lalu saya memberanikan diri untuk menggalas tanggungjawab sebagai penganjur bersama dengan pihak Perbadanan Putrajaya," katanya.

Karnival Wow! Putrajaya di Laman 1Malaysia, Presint 2, Putrajaya yang bermula esok hingga Ahad ini akan dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal antaranya Datuk M Nasir, Ella, Azlan & Typewriter, Hazama, Stacy, Najwa Latif, Aizat Amdan, Mas Idayu, Reshmonu dan dua penghibur veteran, Datuk M Daud Kilau dan Datuk Jeffry Din.

"Jika tahun lalu karnival ini mendapat perhatian 150,000 pengunjung, tahun ini seiring pengisian yang lebih 'wow', kami berharap ia mampu mencecah 200,000 penonton," katanya.

Kecewa dengan album

Berbicara mengenai perkembangan kerjaya muziknya, Mila meluahkan rasa terkilan dan kecewa apabila album kedua, Persis Mutiara yang dipasarkan tahun lalu tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

"Album kedua itu tidak mendapat sambutan yang baik, malah lagu-lagunya juga tidak diputarkan stesen radio tempatan. Saya sebenarnya sudah pun mempersiapkan diri menghadapi situasi seperti ini memandangkan industri muzik sekarang agak lemah. Penjualan album tidak memberangsangkan kerana ketika ini muncul banyak medium alternatif yang membolehkan peminat memuat turun lagu secara percuma.

"Dari pengalaman lepas, saya ba-nyak belajar supaya jangan terburu-buru dan untuk album ketiga ini saya menggunakan strategi di mana mengenengahkan satu demi satu single sebelum dimuatkan dalam album," katanya.

Mila berkata, setakat ini satu single berjudul Cinta Kasih duetnye bersama Nubhan turut digunakan sebagai lagu tema drama bersiri, Cinta Qaseh yang hangat bersiaran di Slot Lestary, TV3.

"Insya-Allah untuk album ketiga ini saya menyahut cabaran untuk menghasilkan lagu sendiri memandang 'trend' sebegini lebih diterima. Mungkin jika seseorang penyanyi menghasilkan lagu sendiri, karya-nya lebih telus kerana ia datang dari hati. Tengoklah nanti, jika hasilnya baik, tahun ini lagu itu akan dimuatkan ke dalam album nanti," kata-nya.

Dalam perkembangan lain, Mila akan muncul menerusi filem 'Kami Histeria' yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Turut menerajui filem ini bersama Mila adalah Diana Danielle, Sarah Ali, Nad Zainal, Umi Omar dan pelakon berpengalaman Nur Fazura.

Filem genre komedi seram itu diterbitkan RedFilems dan diarahkan Shamyl Othman.

"Filem ini mengisahkan kumpulan muzik perempuan dan saya memegang watak sebagai Ain. Watak Ain memerlukan saya menjadi seorang yang banyak cakap yang menjeng-kelkan orang, tetapi persepsi penonton akan berubah terhadapnya apabila menonton keseluruhan cerita nanti," kata Mila.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Konsert Nusantara

Posted:

Selepas Konsert Klasikal 'Romantique' Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pada pertengahan Januari lalu mendapat sambutan menggalakkan, kalendar program 2013 Istana Budaya (IB) bakal diisi Konsert Nusantara membariskan artis popular Malaysia dan Indonesia 7 hingga 9 Mac ini bermula jam 8.30 malam.

Dengan barisan penghibur bertaraf bintang seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Ziana Zain Hafiz, Bob, Jimmy Palikat, Black dan Stacy serta penyanyi Indonesia seperti Endang S Taurin bagi mengeratkan hubungan baik dua negara serumpun.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, idea mengadakan konsert ini dicetuskan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim bagi mengeratkan hubungan baik dua negara serumpun.

"Konsert ini pertama kali diadakan dan dianggap sebagai pembuka tirai persembahan artis nama besar IB untuk 2013. Ia bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan kekayaan lagu, muzik dan tari nusantara dengan penekanan pada budaya masyarakat Indonesia dan Malaysia.


"Itulah sebabnya tema 'Kita Serumpun Kita Bersaudara' dipilih dalam persembahan nanti kerana ia memaparkan asimilasi budaya dengan adanya lagu, muzik dan pelbagai jenis tarian dari masyarakat Bugis, Bawean, Aceh, Minang, Jawa, Sunda, Batak dan Mendailing.


"Konsert ini turut bertujuan memaparkan dua negara serumpun di mana penghijrahan antara masyarakat-masyarakat itu menyebabkan gabungan dan pencampuran budaya di Malaysia," katanya.

Katanya, Endang dan Elly akan beraksi pada ketiga-tiga malam dan Rossa pada 7 Mac. Manakala artis tanah air iaitu Siti Nurhaliza, Hafiz, Bob dan Jimmy Palikat pada malam 7 Mac iaitu malam pembukaan.

Mohamed Juhari berkata, persembahan pada malam berikutnya diisi dengan Black dan Stacy serta Ziana Zain M Nasir pada 9 Mac.

"Persembahan artis pula berlangsung dua segmen di mana mereka akan menyanyikan lagu rakyat. Pada segmen kedua barulah mereka menyampaikan lagu popular masing-masing.

Saya dapat merasakan persembahan ini menarik kerana akan menggabungkan tari muzik dan nyanyian," katanya.

Juhari turut menganggap kerjasama menerusi Konsert Nusantara memperlihatkan hubungan erat Malaysia dan Indonesia menjayakan sebuah pementasan.

"Saya sangat berharap konsert ini ditonton oleh generasi baru kerana tujuan utamanya ialah untuk memperkenalkan budaya nusantara. Proses asimilasi budaya adalah satu benda biasa dalam penghijrahan.

"Apabila berlakunya percampuran budaya dengan masyarakat setempat, sudah tentunya ada sedikit perbezaan dari asal. Ini adalah persembahan pertama yang menampilkan keseluruhan budaya dan kaum masyarakat Indonesia," katanya.

Juhari berkata, tiket untuk menonton konsert berkenaan berharga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200, RM250 dan RM300.

Ia boleh didapati menerusi laman web redtix.airasia.com atau http://www.airasiaredtix.com/ dan juga boleh menghubungi terus talian 03-8775 4666.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Lelaki bogel luar bilik hotel

Posted:

Lain kali, apabila anda mahu keluar dari bilik hotel, sesuatu yang perlu anda ingat ialah: Jangan sesekali melakukannya tanpa pakaian di badan.

Rakaman video seorang lelaki yang tersilap langkah itu kini muncul di YouTube dan menjadi tontonan ramai.


Melalui rakaman kamera litar tertutup berkenaan, lelaki tidak dikenali itu dilihat meletakkan dulang berisi sisa makanan di luar biliknya tanpa berpakaian.

Disebabkan terleka, pintu bilik hotel itu tertutup sendiri dan dia tidak memiliki kunci untuk membukanya. Dalam keadaan bogel, lelaki terbabit merayau ke sana-sini di sekitar hotel sambil cuba pergi ke kaunter penyambut tetamu.


Tanpa sesuatu untuk melindungi kemaluannya, dia cuma bergantung kepada dulang makanan yang menjadi punca masalahnya sementara dia berjalan mencari penyelamat.


Namun, sebelum sampai ke kaunter penyambut tetamu, lelaki terbabit terpaksa berdepan dengan ramai pelawat hotel berkenaan.

Foto

GELAGAT seorang lelaki berbogel yang terperangkap apabila pintu bilik hotelnya tertutup secara automatik.

Foto

GELAGAT seorang lelaki berbogel yang terperangkap apabila pintu bilik hotelnya tertutup secara automatik.

Foto

PENGUNJUNG hotel terkejut melihat lelaki bogel di lobi.

Seorang ibu dan anak lelakinya pula terpaksa berkongsi lif dengan lelaki terbabit dan reaksi mereka ternyata kurang menyenangkan. Walaupun amat terdesak, lelaki malang itu masih terpaksa bersusah-payah mendapatkan bantuan daripada petugas di situ kerana mereka tetap mahukan dia menunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan sebelum kunci baru diberikan.


Sehingga semalam, rakaman video itu ditonton lebih 50,000 kali. Bagaimanapun, sebahagian besar penonton curiga terhadap kesahihan insiden itu dan yakin, ia dirancang lebih awal. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Janet Jackson kahwini bilionair

Posted:

Los Angeles: Penyanyi, Janet Jackson semalam mengaku sudah berkahwin dengan ahli perniagaan Qatar tahun lalu, sekali gus menafikan khabar angin kononnya perkahwinan itu akan berlangsung tahun ini.

Janet, 46, adik mendiang Michael Jackson, bertunang dengan bilionair Wissam Al Mana, 37, tahun lalu tetapi merahsiakan perkahwinannya.


"Khabar angin majlis perkahwinan besar-besaran tidak benar sama sekali. Kami berkahwin dalam majlis ringkas dan tertutup tahun lalu," kata Janet dan Wissam, dalam kenyataan kepada Entertainment Tonight. "Perkahwinan kami merupakan satu sumbangan kepada tabung kebajikan kanak-kanak kegemaran kami," sambung kenyataan itu.

Janet memang terkenal kerana merahsiakan kehidupan peribadinya daripada media. Dia jarang bercakap mengenai bekas suaminya.


Dia berkahwin dengan penyanyi soul, James DeBarge pada 1984 dan bercerai setahun kemudian. Perkahwinannya pada 1991 dengan pengarah video muzik, Rene Elizondo juga berakhir dengan perceraian pada 2000. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Anggota perlu tampil

Posted:

Kuantan: Anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus tampil dan mengemukakan cadangan jika mahu Artikel 88 Statut badan itu dikaji semula.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, artikel itu dibuat serta dilulus anggota gabungan FAM, bukan atas arahan presiden, timbalan presiden atau naib presiden.


"Kalau perlu dikaji semula, anggota gabungan harus tampil dan mencadangkan supaya dapat dikaji, saya sudah maklumkan kepada jawatankuasa perundangan FAM supaya kaji semula, kalau boleh kita perhalusi, tetapi jangan bila kita dah tarik artikel ini sewenang-wenangnya kita nak mengutuk.

"Ini tidak akan mencerminkan kematangan sukan bola sepak, nak mengutuk senang tapi kita nak memperkemaskan lagi itulah seelok-eloknya." Artikel 88 memperuntukkan hanya presiden dan setiausaha agung berhak mengkritik FAM dan struktur organisasinya.


Beliau yang juga Tengku Mahkota Pahang turut tidak bersetuju dengan tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M).


Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan saingan Liga M yang disifatkannya masih berada di tahap amatur ketika bola sepak Malaysia sudah lama di era profesional.

Foto

TUNKU Ismail bakal dibicara FAM?

Justeru, tindakan itu mendedahkan dirinya kepada 'bahaya' dan bakal berdepan Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana didakwa melanggar Artikel 88 apabila mengkritik badan itu secara terbuka.


"Saya tidak setuju dengan teguran itu kerana ia secara 'spontan'," katanya.

Beliau berkata, walaupun timbul persoalan mengenai mutu pengadilan Liga M yang menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak tempatan, Tunku Ismail perlu mengemukakan bukti atau asas kukuh mengenai perkara itu.


"Mungkin jika disertai asas dan fakta, kita boleh kaji semula perkara itu, kita harus perkemaskan.


"Saya akui memang ada kelemahan tapi kita boleh perkemaskan dan lihat semula mutu pengadilan...kita akan kaji.


"Jangan cepat menghukum, ikutlah saluran terbaik." Tengku Abdullah berkata, sesiapa saja perlu mengikut saluran betul atau sepatutnya melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu dan tidak terus melalui media yang hanya boleh menghangatkan situasi.


"Ikut saluran terbaik, bagi surat atau jumpa Setiausaha FAM.


"Sekretariat FAM akan mengkaji, jika teguran itu dapat diperbetul, kita akan betulkan." Menurutnya, lebih penting adalah sesiapa saja perlu menggunakan saluran betul iaitu melaporkan kepada FAM berhubung perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati bola sepak Malaysia.


Ditanya mengenai desas-desus peletakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak, Tengku Abdullah memaklumkan beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.


"Wallahua'lam... lebih baik awak tanya dia (Taufek)." Sementara itu, Tengku Abdullah berkata, FAM perlu bijak menangani situasi dihadapi badan itu kini umpama berdepan kemelut berikutan beberapa isu panas menjadi perbualan hangat peminat bola sepak tempatan termasuk kes penggantungan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dan yang terbaru membabitkan kritikan Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Goyah sebelum mara

Posted:

Dubai: Roger Federer memulakan aksi mempertahankan kejuaraan Terbuka Dubai dengan agak goyah apabila terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama menentang seorang pemain yang lebih popular daripadanya, kelmarin.

Pemegang rekod terbanyak kejuaraan Grand Slam itu berkata, sebelum perlawanan dia perlu mengambil masa lebih lama menyesuaikan diri menentang pemain yang tidak pernah ditemuinya dan mengalami masalah berdepan pemain terbaik dunia Arab, Malek Jaziri yang menerima sorakan padu penonton apabila kalah set pertama.


Apabila Federer menemui semula sentuhannya dan memenangi dua set berikutnya dalam kurang 75 minit, kemenangan 5-7, 6-0, 6-2 itu turut menyaksikan dirinya menerima tepukan gemuruh.

"Orang mungkin anggap undian ini mudah kerana dia seorang pemain wild card," kata Federer.


"Saya anggap sebaliknya kerana saya tidak tahu corak permainannya, pukulan kegemarannya, semua perkara itu.


"Perlawanan seperti ini kerap menjadi perlawanan besar di Timur Tengah. Pusingan pertama sentiasa mencetus tekanan sebagai juara bertahan dan saya mahu bermula dengan baik. Ia bukannya perlawanan mudah buat saya." Namun semua drama itu agak tidak munasabahl.

Pemain kurang ternama itu tidak bermain lebih tiga bulan kerana kecederaan lutut dan menduduki ranking di luar kelompok 100 terbaik serta hanya menyertai kejohanan sebagai pemain wild card.


Namun Malek memang berbakat. Pemain Tunisia itu melakukan servis pertama dengan kelajuan 217 kmj dan beraksi tanpa tekanan sebagai pemain bukan pilihan yang mampu mengancam pemain utama.

Federer juga memiliki kelebihan disebabkan tahap kecergasan lawannya yang mencurigakan.


"Ia turut bermain di fikiran saya, anda lihat sendiri, balutan besar di lututnya selain tidak beraksi langsung tahun ini," kata Federer. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


2 lemas main air banjir

Posted:

Machang: Keseronokan bermain air banjir membawa padah apabila dua remaja terbunuh selepas bot yang mereka naiki bersama lima rakan terbalik di kolam ikan sedalam 2.4 meter di Kampung Pertok, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi sebelum mayat Muhammad Zulkhairi Ab Talib, 15, dan Mohammad Ariff Johan Mohd Noh, 13, ditemui kira-kira setengah jam kemudian oleh penduduk kampung.

Abang kepada Muhammad Zulkhairi, Mohd Zahari, 29, berkata sebelum itu sebaik selesai bersarapan, ibu mereka, Hanifah Mamat, 53, sudah menasihatkan adiknya supaya tidak keluar rumah.

"Adik tidak ke sekolah hari ini (semalam) kerana jalan ke sekolah ditenggelami banjir. Bagaimanapun, dia tetap keluar dan kira-kira jam 11 pagi, seorang jiran memaklumkan adik lemas," katanya.

Foto

HANIFAH (tengah) ditenangkan ahli keluarga selepas mengetahui anaknya lemas.

Foto

PENDUDUK kampung menunjukkan tempat mangsa lemas.


Mayat pelajar Sekolah Menengah (SMK) Temangan dan SMK Pankal Meleret itu dibawa ke Klinik Kesihatan Temangan sebelum dirujuk di Hospital Machang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

'Super Syafiq'

Posted:

Bagan Serai: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mendapat julukan 'budak Superman' berikutan masih hidup dan mampu berjalan walaupun selepas buah pinggang, limpa, tulang rusuk dan paru-parunya cedera teruk akibat dilenyek traktor mengangkut buah kelapa sawit.

Muhd Syafiq Abdul Hamid, 10, digilis traktor mengangkut buah sawit seberat lebih tiga tan ketika dalam perjalanan menuju pusat pengumpulan sawit Changkat Lobak, Alor Pongsu, di sini, jam 2.30 petang, 29 Januari lalu.

Pemeriksaan doktor mendapati Muhd Syafiq mengalami kecederaan organ dalaman yang teruk menyebabkan dia ditahan untuk menerima rawatan di hospital selama 26 hari termasuk 16 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.

Bagaimanapun, bapanya, Abdul Hamid Dahaman, 48, berkata, keanehan berlaku kerana anak bongsunya itu bukan saja tidak menunjukkan kesan kecederaan fizikal teruk sejurus kejadian, malah kini mampu berjalan.

Foto

ABDUL Hamid menunjukkan kesan timbul tulang bahu kanan anaknya, Muhd Syafiq yang patah manakala isterinya menunjukkan surat pengesahan dari Hospital Taiping.


"Doktor turut menganggap apa yang berlaku ke atas Muhd Syafiq satu keajaiban daripada Tuhan kerana dia masih hidup biarpun banyak organ dalamannya cedera teruk," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved