Jumaat, 23 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pilihlah 20 pakej menarik

Posted: 23 Sep 2011 07:07 AM PDT

PADA setiap majlis perkahwinan, penampilan raja sehari sememangnya paling menjadi tumpuan.

Jika pengantin perempuan tampil ibarat permaisuri rupawan, pengantin lelaki
pun harus segak dalam persalinan ibarat pahlawan yang gagah. Saat indah itu sememangnya amat istimewa dan akan menjadi kenangan kepada pasangan pengantin untuk diabadikan selama-lamanya.


Jika dulu, busana pengantin tidak mempunyai banyak pilihan dan terhad kepada fesyen daripada songket saja. Namun kini, aliran terkini fesyen pengantin menyaksikan lebih banyak rekaan baru dan moden ditampilkan.

Bagi pasangan bakal raja sehari yang mahu mencari kelainan di hari bahagia mereka, Euro Moda dan Gulati's Silk House (Gulati's) menyediakan pakej perkahwinan yang mampu memenuhi peruntukan kewangan.

Lebih 20 pakej menarik ditawarkan dengan pelbagai pilihan fabrik untuk persiapan baju pengantin lelaki dan perempuan.

Ia disediakan dalam tiga jenis pakej menarik iaitu bajet rendah yang bermula daripada RM250 hingga RM650, bajet sederhana (RM750 hingga RM1,800) dan pakej eksklusif yang berharga daripada RM2,000 hingga RM7,000.

Antara fabrik yang boleh didapati ialah renda Jepun kosong bersama kain alas dalam, baju Melayu satin, renda Perancis Sophie Hallete, sifon manik bersama baju Melayu satin, renda Gucci, kain net Gucci, renda Perancis Solstiss polos serta baju Melayu Cerutti.

Pelanggan juga tidak perlu risau memikirkan untuk mencari kedai jahit bagi menempah busana kerana Euro Moda kerana Gulati's juga menyediakan perkhidmatan jahitan dengan rekaan terbaru yang pasti memenuhi cita rasa.

Turut didapati aksesori pelengkap gaya pengantin lelaki seperti tali leher, baju rompi, kasut, kemeja, kafling serta pin tali leher.

Untuk persiapan kenduri pula, jika keluarga pengantin mahu bergaya mengikut tema, Euro Moda dan Gulati's juga menyediakan aneka pilihan mengikut peruntukan kewangan dan cita rasa kedua-dua pihak.

Diskaun juga diberikan kepada pelanggan yang memiliki kad keahlian G-kard. Kad keahlian istimewa itu boleh didapati percuma di semua rangkaian Euro Moda dan Gulati's di seluruh negara.

Sempena promosi yang berlangsung sehingga akhir tahun itu, Euro Moda dan Gulati's turut mengadakan cabutan bertuah beli dan menang.

Pelbagai hadiah menarik ditawarkan antaranya kereta, motosikal, televisyen LCD, sutera Itali dan tudung koleksi Aalia. Ada 18 cawangan Euro Moda dan Gulati's di seluruh negara yang boleh dikunjungi untuk memenuhi impian perkahwinan masing-masing.

INFO FABRIK EURO MODA:

  • Fabrik sifon Perancis polos hadir dalam tiga kombinasi iaitu sulaman berton senada, dwi ton dan campuran warna-warni kontras dan segar memberikan kelainan kepada si pemakai. Rekaan kurung moden dan kebaya mengikut acuan badan tambah molek dengan perincian sulaman berat di kaki baju.
  • Fabrik renda Perancis pula cukup romantis dijadikan gaun dan kebaya mewah.
    Tekstur lembut dengan taburan manik, sekuin, bebatu swarovski dan benang timbul menambah seri pengantin di pelamin. Pilihan fabrik polos datang dengan warna senada atau dwi warna dan diserikan sulaman senada atau kontras untuk mencipta kesan elegan.
  • Jenama Solstiss cukup terkemuka dengan rekaan renda Perancis bersulam manik, maka semua koleksinya bermula serendah RM380 semeter. Ilham baju pengantin semakin rancak dengan pilihan renda Perancis bersulam ringkas, ada juga yang berat di kaki fabrik dengan sulaman ringan serta ada yang berat kedua-duanya.
  • Fabrik renda pereka Vanoni juga sangat unik untuk koleksi busana perkahwinan. Rona lembut berkrim seperti putih susu, merah jambu, hijau limau nipis, biru langit dan ungu lembut membuatkan gaya pengantin tampak manja di hari bahagia. Apa yang menarik, Vanoni mengadaptasikan teknik applique (corak timbul), membuatkannya cukup hebat menjadi vel dan gaun kembang.
  • Baju pengantin daripada fabrik renda sangat sesuai digandingkan dengan kain sutera chamuse sebagai pelapik kerana sifatnya yang mampu menahan berat sulaman timbul seperti manik, sekuin dan batuan kecil. Euro Moda turut menawarkan pelapik daripada fabrik satin duchess untuk kain net atau sifon.

    Tip penjagaan pakaian daripada fabrik renda:

  • Gunakan cucian kering untuk mengekalkan kilauan dan kualiti sulaman yang ditaburi manik dan sekuin.
  • Selalu membalutnya dengan kertas dan lipat dengan cermat.
  • Jauhkan tempat simpanan daripada cahaya matahari agar tidak melusuhkan warna dan sulamannya.
  • Busana daripada renda juga tidak digalakkan untuk digantung kerana sulaman berat boleh 'menarik' pakaian hilang bentuk asal.
  • Periksa kesihatan di gerai Variasi

    Posted: 23 Sep 2011 06:34 AM PDT

    PENGUNJUNG Karnival Gegaria Harian Metro 2011 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perak jangan lupa mengunjungi gerai Variasi untuk mendapat pemeriksaan kesihatan percuma.

    Perkhidmatan kesihatan percuma itu disediakan Management & Science University (MSU) Shah Alam, Selangor hari ini dan esok.

    Sempena program itu, pengunjung boleh melakukan pemeriksaan tekanan darah, kolestrol dan tahap kesihatan mereka.

    Pengarang Rencana Harian Metro, Roslan Ibrahim, berkata ini kali kedua MSU mengambil bahagian dalam program perkhidmatan kesihatan percuma sempena Karnival Gegaria.


    Beliau berkata, ketika karnival di Plaza Angsana, Johor Bahru, pada Julai lalu, sambutan pengunjung amat memberangsangkan.


    "Seramai 800 pengunjung mendapatkan perkhidmatan kesihatan percuma yang dikendalikan pegawai perubatan MSU di gerai Variasi sepanjang dua hari karnival itu.

    "Kami berharap warga Ipoh juga memberi sambutan yang sama untuk program kesihatan percuma ini," katanya.

    Sementara itu, acara lain yang diadakan di gerai Variasi ialah demontrasi kraf hasil rimba yang menggunakan pelbagai barangan dari hutan dan diolah semula dalam bentuk seni menarik.

    Orang ramai juga boleh mengambil bahagian dengan bengkel kraf hasil rimba dengan mendaftar nama mereka di gerai Variasi.

    "Inilah peluang anda untuk mempelajari bagaimana menghasilkan seni kraf daripada barangan hutan secara mudah tetapi komersial.

    "Mungkin selepas bengkel ini, anda boleh menghasilkan sendiri seni kraf rimba untuk dipasarkan," katanya.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Dinding, lantai rumah pula merekah

    Posted: 22 Sep 2011 09:43 AM PDT

    PUCHONG: Selepas beberapa siri mesyuarat diadakan, masalah tanah runtuh yang menghantui penduduk Bandar Puteri 9, di sini, belum menemui penyelesaiannya apabila timbul pelbagai masalah lain selepas kejadian tembok penghadang cerun runtuh Mei lalu.

    Walaupun pemaju sudah membaik pulih dinding yang runtuh, masalah menjadi lebih serius apabila berlaku rekahan di dinding serta lantai rumah penduduk di situ, sekali gus menyebabkan air dari bawah tanah keluar melalui celahan lantai itu.


    Penduduk mendakwa, masalah berlaku disebabkan pemaju gagal membina sistem cerucuk yang baik bagi mengukuhkan tapak rumah dan menyediakan saluran air hujan di kawasan terbabit dengan lebih sistematik dan selamat.

    Penduduk, M Paramanathan , 47, berkata selepas kejadian tembok runtuh, dia mula menyedari terdapat rekahan di beberapa bahagian pagar dan jalan sekitar rumahnya dan lebih membimbangkan rekahan terbabit semakin merebak. "Kerisauan saya tidak pernah berakhir dan tertekan apabila memikirkan kedudukan rumah saya di hujung jalan dan bersebelahan cerun.


    "Sejak peristiwa tanah runtuh, kami sekeluarga tak tidur nyenyak," katanya yang baru enam bulan mendiami rumah itu.


    Bagi penduduk, Chin, 50, berkata dia berharap pemaju tidak lepas tangan memandangkan masalah itu membabitkan keselamatan dan nyawa ramai pihak.

    "Saya percaya masalah ini boleh diatasi dengan adanya sistem cerucuk yang sistematik dan konsisten terutama bagi kedudukan rumah di kawasan berbukit yang berisiko berlaku tanah runtuh. "Sekiranya tiada tindakan diambil, saya khuatir perkara lebih buruk berlaku. Jika hujan lebat berlarutan setiap hari lebih banyak air akan diserap dan menjadikan dasar tanah lembut," katanya.

    Peniaga bantah kenaikan 100%

    Posted: 22 Sep 2011 09:40 AM PDT

    SHAH ALAM: Kebanyakan peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini mempertikaikan kenaikan kadar baru sewa antara 30 hingga 100 peratus yang akan bermula Januari tahun depan.

    Mereka yang berniaga puluhan tahun di kompleks itu berpendapat perkara berkenaan membebankan peniaga yang kebanyakannya Bumiputera.


    Pemilik premis pakaian, Mustafa, 43, berkata dia tidak bersetuju dengan cadangan pihak pengurusan yang ingin menaikkan kadar sewa itu.

    "Kenaikan kadar sewa kepada peniaga di sini bukan pertama kali berlaku. Namun, kenaikan kali ini begitu terasa kerana ada beberapa kedai yang menerima kenaikan 100 peratus.


    "Walaupun mungkin kenaikan 30 peratus, tetapi ia sangat dirasai kerana perniagaan yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini," katanya.


    Mustafa berkata, pihak pengurusan diminta mengkaji semula perkara terbabit kerana tidak semua peniaga memperoleh keuntungan berlipat ganda pada setiap bulan.

    Bagi Ramlah, 40, yang perlu membayar sewa RM1,000 mulai tahun depan berbanding RM700 ketika ini, berkata sudah lama pihak pentadbiran tidak menaikkan kadar sewa.


    "Kadar sewa baru ini mungkin dianggap masih berpatutan berbanding tempat lain. Jadi, saya rasa ia patut kerana harga sewa sekarang pun tidak mahal.

    "Ia lebih murah berbanding sewa kedai di tempat lain dan saya tidak tahu pula pada masa depan," katanya yang berniaga sejak 20 tahun lalu.


    Sementara itu, jurucakap Bahagian Korporat PKNS ketika dihubungi berkata, kenaikan kadar sewa berkenaan disebabkan kerja pengubahsuaian yang akan menaikkan imej kompleks itu.


    "Kenaikan sewa kepada peniaga tidak banyak. Semuanya kerana kami mahu Kompleks PKNS kelihatan lebih menarik supaya setanding dengan pusat perniagaan lain.


    "Kenaikan kadar sewa juga berbeza mengikut kedudukan sesebuah kedai itu. Jika ia berada di depan, kadar sewanya agak tinggi berbanding kedai di belakang," katanya.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Carla tak sabar nak minum arak, merokok semula

    Posted: 22 Sep 2011 08:24 AM PDT

    PARIS: Wanita pertama Perancis, Carla Bruni-Sarkozy, berkata dia tidak sabar untuk melahirkan anak supaya dapat minum arak dan merokok semula.

    Bekas model dan ahli muzik berusia 43 tahun itu memberitahu akhbar Le Parisien, dia begitu bosan kerana tidak dapat minum arak dan merokok sepanjang lapan bulan hamil.

    "Terus terang saya katakan saya tidak dapat sabar lagi. Saya menghabiskan banyak masa dengan duduk atau baring. Saya tidak boleh minum arak atau merokok. Saya tidak sabar untuk bersalin," katanya.

    Carla dijadual melahirkan kandungannya enam minggu lagi. Ia anak keduanya dan yang pertama dengan Presiden Nicolas Sarkozy.


    Carla mempunyai anak, Aurelien yang dilahirkan pada 2001 hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya, Raphael Enthoven.


    Rakan Carla memberitahu akhbar itu, kerana dia hamil selepas usia 40 tahun, doktor menasihatinya supaya banyak berehat. — Agensi

    George Soros antara 10 paling kaya

    Posted: 22 Sep 2011 08:23 AM PDT

    NEW YORK: Pelabur, George Soros, pada usia 81 tahun, buat kali pertama tersenarai antara 10 orang paling kaya di Amerika Syarikat.

    Tidak mengejutkan, Bill Gates sekali lagi menduduki tangga teratas senarai berkenaan dengan harta berjumlah AS$59 bilion, meningkat AS$5 bilion, lapor Majalah Forbes semalam dalam edisi 2011 senarai tahunan orang paling kayanya.


    Pengasas Microsoft itu menjadi orang paling kaya Amerika sejak 1994.

    Setiap mereka yang berada dalam senarai 20 paling kaya menyaksikan kekayaan mereka meningkat, kecuali Warren Buffet yang hartanya merosot sebanyak AS$6 bilion kepada AS$39 bilion ekoran kejatuhan sahamnya dalam Berkshire Hathaway. Buffett sebelum ini menggesa Presiden Barack Obama supaya meningkatkan cukai terhadap jutawan dan berikrar akan mendermakan 99 peratus hartanya untuk kerja kebajikan.


    Menduduki tangga ketujuh, Soros memiliki harta berjumlah AS$22 bilion selepas menggabungkan harta bersihnya bernilai AS$7.8 bilion dengan pelaburannya dalam emas dan sekuriti berkaitan.


    Soros menukarkan sahamnya kepada tunai pada musim bunga lalu, membolehkannya mengekalkan keuntungan dan mengelak daripada kerugian ketika kegawatan pasaran ekoran krisis hutang di Eropah.

    Sementara itu, Buffet menduduki tangga kedua dan kemerosotan hartanya berpunca daripada kejatuhan saham nya dalam Berkshire Hathaway sebanyak sembilan peratus antara 25 Ogos 2010 dan 26 Ogos 2011. "Beliau juga adalah bilionair paling dermawan," kata Luisa Kroll, Pengarang Forbes. Menduduki tangga ketiga senarai itu ialah pengasas Oracle, Larry Ellison, yang nilai kekayaannya meningkat sebanyak AS$6 billion kepada AS$33 billion. - AP

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Tugas besar Alif

    Posted: 22 Sep 2011 06:06 AM PDT

    PELUANG menjadi pengacara sentiasa ada buat Muhammad Alif Mohd Satar sekalipun bermula sebagai seorang penyanyi.

    Selepas pertandingan On In A Million (OIAM), Alif semakin mendapat ruang menjadi hos pelbagai program TV.

    Kepetahannya di depan lensa kamera TV mungkin satu kelebihan membuatkan dirinya semakin diterima.

    Terbaru Alif, 21, diberi kepercayaan mengendalikan acara menarik, My Kids Awards yang akan berlangsung esok, Sabtu, di Sunway Lagoon Amphitheater, jam 5.30 petang.


    Ia dipancarkan secara langsung menerusi saluran suka ramai TV3.


    Dalam majlis yang julung kali dianjurkan itu, Alif akan bergandingan dengan pengacara 8TV Quickie serta penyampai Fly FM, Tham Zher Peen.

    Menariknya, My Kids Awards mempertandingkan tujuh kategori iaitu Penyanyi Kanak-Kanak Lelaki Popular, Penyanyi Kanak-Kanak Perempuan Popular, Pelakon Kanak-Kanak Lelaki Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Perempuan Terbaik, Watak Animasi Paling Comel, Pengacara Paling 'Cool' dan Program TV Paling Hebat.

    Manakala Anugerah Khas My Kids Awards 2011 pula ialah bagi kategori Idola Terhebat, Atlit Idola, Pengacara Paling Hot dan Artis Paling 'Cool'.

    Anugerah ini antara lain bertujuan bagi memartabatkan bakat si kecil Malaysia sambil menggalakkan lebih ramai bakat baru muncul.

    Menurut Alif yang sinonim sebagai pengacara program remaja dan kanak-kanak seperti Remaja, Siapa Pintar dan Idola Kecil, anugerah petang esok adalah satu langkah terbaik bagi menyuntik semangat kepada anak-anak muda Malaysia menyumbang sesuatu kepada bidang seni dan hiburan negara.

    "Saya terkejut sebaik diberitahu akan menjadi hos bersama Zher. Mungkin saya dipilih sebab sejak dulu lagi saya banyak mengendalikan program bercorak remaja.

    "Saya akan mengendalikan majlis itu dalam bahasa Melayu manakala Zher pula bahasa Inggeris. Saya yakin sebagai titik permulaan, majlis ini satu platform yang baik kepada industri hiburan," katanya.

    Rakannya Zher juga gembira mendapat peluang menjayakan majlis itu. Inilah pertama kali Zher mengacarakan sebuah majlis besar dan sangat teruja mengendalikannya bersama Alif.

    Sebelum ini Zher, 26, memulakan tugas di TV3 di bahagian Pembangunan Kandungan. Dia yang tidak lekang mengukir senyuman mengakui berdebar untuk melangkah ke pentas utama majlis itu nanti.

    "Setakat ini, saya dan Alif sudah duduk berbincang mengenai perjalanan majlis itu nanti. Kami sudah fikirkan gimik sesuai bagi memeriahkan majlis itu nanti. Maklumlah ia sebuah anugerah untuk kanak-kanak, jadi kami ingin jadikan ia sebuah gelanggang yang penuh keceriaan dan warna-warni," katanya.

    Difahamkan, pemenang anugerah itu ditentukan berdasarkan jumlah undian tertinggi yang diterima menerusi laman web www.tv3.com.my/mykidsawards dan laman facebook My-Kids-Awards-TV3-Kids sepanjang tempoh undian bermula 23 Mei 2011 sehingga 10 September 2011.

    Majlis penganugerahan itu akan diserikan dengan persembahan yang menghiburkan dari Aizat, Harris (Idola Kecil 3), Dayana (Idola Kecil 2), Prince of Pop (P.O.P.), Caprice & Nik Irfan dan kumpulan tarian The Leeleesm.

    Sementara itu, Alif berkata, drama 13 episod lakonannya, Cuak kini sedang ditayangkan di Astro Ceria. Dia juga masih sempat ke pentas program realiti kanak-kanak, Idola Kecil bagi musim keempat yang kini dalam proses uji bakat.

    Dia turut mempertaruhkan lagu terbarunya Lelaki Seperti Aku yang kini hangat diputarkan di radio selepas diminati dengan lagu Jangan Nakal.

    "Siapa sangka, walaupun hanya bertapak dalam program OIAM, pintu rezeki saya mula terbuka luas.

    Saya selalu dihujani tawaran untuk menjadi pelakon dan mengacara beberapa
    program TV.

    "Semua itu adalah satu pengalaman yang baik untuk kerjaya seni saya dan menjadi proses pembelajaran untuk memperbaiki mutu persembahan. Bagaimanapun fokus
    utama saya masih kepada bidang nyanyian yang menjadi minat sejak kecil lagi. Alhamdulillah jika melihat pada aspek kerjaya nyanyian saya, ia meningkat dengan sangat baik.

    "Insya-Allah Oktober depan, album penuh kedua saya terbitan Sony Music Entertainment akan dipasarkan. Kelainannya berbanding album pertama dulu adalah dua lagu Inggeris akan dimuatkan iaitu There We Go serta sebuah lagu duet bersama penyanyi remaja Filipina, Julia Abueva berjudul Timeless.

    "Justeru saya mengharapkan agar peminat akan terus menyokong dan mendapatkan album kedua saya itu nanti," katanya.

    Meskipun jarang berbual dan bekerjasama, pada pertemuan itu, rupa-rupanya Alif dan Zher pernah belajar di sekolah menengah yang sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas.

    Zher pernah mengendalikan program bual bicara popular, Malaysia Hari Ini (MHI) selama lebih kurang enam bulan terus sibuk di konti Fly FM setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam hingga 10 malam mengendalikan segmen Fly 30 Countdown Show.

    "Saya memang suka bercakap dan berbual. Justeru kerjaya pengacaraan dan penyampai radio adalah satu cabang karier yang memberikan kepuasan.

    "Saya sangat seronok melayan pendengar dan menghiburkan mereka selama tiga jam setiap malam di Fly FM. Selain memutarkan lagu-lagu dalam carta, saya juga berpeluang bersembang dengan pendengar," katanya.

    PROFIL

    Nama penuh: Tham Zher Peen
    Tarikh lahir: 10 Disember 1985
    Usia: 26 tahun
    Tempat Lahir: Kuala Lumpur
    Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media
    Keluarga: Anak bongsu daripada dua beradik
    Kerjaya: Pengacara, model, penyampai radio
    Program: 8TV Quickie, penyampai Fly 30 Countdown Show Fly FM

    PROFIL

    Nama penuh: Muhammad Alif bin Mohd Satar
    Tarikh lahir: 19 September 1990
    Usia: 21 tahun
    Tempat lahir: Kuala Lumpur
    Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
    Keluarga: Anak sulung daripada empat beradik
    Kerjaya: Penyanyi, pengacara, pelakon
    Album: Jangan Nakal
    Drama: Dendam, Suria Di Cordoba, Cuak
    Program: Remaja, Chop!, Idola Kecil, Siapa Pintar
    Teater: Peterpan The Musical

    Konsert janji kehebatan

    Posted: 22 Sep 2011 05:54 AM PDT

    KARNIVAL Gegaria Harian Metro 2011 (KGHM2011) yang bermula hari ini hingga Ahad di Dataran Bandaraya Ipoh, Perak Darul Ridzuan akan dipenuhi pelbagai aktiviti buat pengunjung.

    Menariknya setiap kali karnival ini diadakan, pengunjung berpeluang bertemu ramai artis terkenal yang sama memeriahkannya terutama menerusi Konsert Gegaria yang akan berlangsung malam esok.

    Bezanya sambutan Karnival Gegaria di Perak apabila konsert dimulai dengan Pelancaran Logo Tahun Melawat Perak.

    Penyanyi yang akan muncul di pentas malam esok ialah Black, Alyah, Jaclyn Victor, Awie Rafael dan Tom My Star LG.


    Lebih menghangatkan lagi suasana konsert kali ini kumpulan rock otai handalan yang juga anak kelahiran Perak, May akan turut sama menggegarkan Dataran Bandaraya Ipoh.


    Suasana pasti lucu dengan kemunculan bintang komedi popular, Along Raja Lawak yang akan berceloteh. Malah Along tidak sabar-sabar untuk pergi ke Ipoh bertemu peminat di sana.

    Dia menyifatkan konsert Gegaria Harian Metro peluang terbaik berjumpa peminat yang menyokong kerjayanya sejak zaman Raja Lawak dan filem Adnan Sempit.

    "Melihat senarai penyanyi yang akan membuat persembahan, saya dapat membayangkan konsert itu akan menjanjikan kehebatannya. Saya pernah mengikuti konsert anjuran Harian Metro di Kota Tinggi dan ternyata sambutannya begitu hangat," katanya.

    Sementara itu, gerai unit hiburan RAP turut menganjurkan pelbagai pertandingan seperti Pencarian Gadis Metro, Metro Idol dan Juara Band Metro.

    Pertandingan karaoke Metro Idol akan diadakan esok bermula 11 pagi diikuti pertandingan Pencarian Gadis Metro, jam 4.30 petang.

    Juara Pencarian Gadis Metro akan diumumkan sebaik selesai pertandingan sementara 10 peserta terbaik karaoke Metro Idol akan layak bertanding dalam final pada Ahad ini, jam 4.30 petang. Yuran bagi Metro Idol adalah RM30 dan dibuka sejam dari jam 10 pagi. Manakala pendaftaran percuma bagi pertandingan Pencarian Gadis Metro bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

    Bagi yang ingin menyertai Juara Band Metro pada Ahad ini, perlu mendaftarkan nama kumpulan masing-masing dengan bayaran RM80 pada esok, Sabtu bermula jam 10 pagi hingga jam 3 petang.

    Menghangatkan lagi gerai RAP, petang esok dari jam 2.30 petang hingga 4 petang adalah aktiviti Sesi Beramah Mesra membabitkan bintang kacak My Starz LG, Nashrin yang kini popular dengan lagu Percaya Pada Luka.

    Selain itu, dua lagi artis Warner Music Malaysia, Awie Rafael dan Tom My Starz LG juga akan serta.

    Manakala aktiviti pada Ahad ini juga akan diisi dengan senaman irama dan sukaneka membabitkan pengunjung dan artis seawal jam 8.30 pagi.

    Jam 11 pagi hingga 1.30 petang, pertandingan Juara Band Metro akan dilangsungkan sebelum Sesi Beramah Mesra bersama Tomok, jam 2 petang.

    Gerai RAP kemudiannya akan diambil alih pelakon filem Klip 3GP termasuk One Nation Emcees, Amanda Misbun, CK Bakar, Sabhi Saddi dan Sara Ali.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Tidur atas najis

    Posted: 23 Sep 2011 12:32 AM PDT

    KUALA LUMPUR: Dua remaja lelaki berusia 16 tahun dirantai, seorang warga emas berusia 68 tahun dibiarkan tidur dan tinggal bersama kira-kira 40 anjing, manakala sepasang suami isteri yang uzur dibiarkan berbaring atas katil dipenuhi najis.

    Lebih menyedihkan apabila bilik tidur tiga lagi warga emas sudah usang dengan atap dan dinding bocor menyebabkan mereka basah dan kesejukan ketika hujan manakala lapan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun berhimpit dalam bilik tidur seluas kira-kira enam meter persegi.

    Begitu kehidupan daif ditanggung empat warga emas berusia 50 hingga 70 tahun serta lapan kanak-kanak termasuk dua remaja yang berlindung di sebuah pusat kebajikan tidak berdaftar sejak tiga tahun lalu.

    Difahamkan, pusat kebajikan itu turut menyediakan khidmat asuhan kanak-kanak dan 36 orang dilaporkan dihantar waris ke pusat terbabit.


    Penderitaan warga emas dan kanak-kanak itu berakhir apabila seorang waris iaitu ibu seorang remaja yang dirantai melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL), baru-baru ini.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    ‘Kail’ duit masjid

    Posted: 22 Sep 2011 10:01 AM PDT

    SEGAMAT: Seorang penganggur membuat helah mahu melakukan Qiamullail bagi membolehkannya bermalam di Masjid Jamek Chaah di sini, tetapi misi sebenarnya ialah mencuri wang daripada dua tabung rumah ibadat berkenaan.

    Sebelum kejadian 15 September lalu, jemaah di masjid berkenaan merungut kerana jumlah kutipan tabung masjid berkurangan sedangkan setiap bulan, ia mampu mengumpul sumbangan mencecah RM3,000.


    Bagaimanapun, misteri itu terbongkar selepas suspek berusia 19 tahun ditahan pada jam 12.15 tengah hari ketika sibuk mencuri wang di satu daripada tabung berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, sehari sebelum kejadian, ada jemaah memaklumkan suspek dilihat tidur di dalam masjid dan memaklumkan mahu melakukan ibadat itu.


    "Jemaah masjid berkenaan meminta remaja terbabit bermalam di lokasi lain, tetapi dia enggan.


    "Keesokan harinya, beberapa jemaah masjid datang ke sana bersama seorang daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat untuk meninjau persiapan akhir tahlil yang akan diadakan pada malam itu dan mendapati sebuah Proton Satria berwarna merah diletak di pekarangan masjid," katanya, semalam.

    Menurut Mohamad, anggotanya itu yang tidak sedap hati melakukan pemeriksaan di sekitar masjid, tetapi gagal menemui pemandu serta penumpang Satria terbabit.


    Mohamad berkata, anggotanya kemudian membuka pintu tepi masjid perlahan-lahan dan terlihat seorang lelaki berada ditepi tabung itu.

    "Anggota polis berkenaan mengawasi perlakuan remaja terbabit selama lima minit dan mendapati suspek sedang 'memancing' wang. Dia turut merampas dawai serta lampu suluh daripada suspek itu.


    "Pemeriksaan terhadap suspek turut menemui wang kertas yang dilipat kecil berjumlah RM64 di dalam dompetnya dipercayai hasil curi daripada tabung masjid," katanya. Menurut Mohamad, suspek berasal dari Kampung Jawa, Chaah ditahan untuk siasatan lanjut.


    Sementara itu, imam masjid itu, Mohamad Syafiq, 27, berkata, pihaknya tidak pernah mengunci pintu rumah ibadat berkenaan bagi memudahkan pengunjung beribadat pada bila-bila masa.


    "Terdapat dua tabung dan pengiraan jumlah kutipan dibuat setiap Jumaat sebelum ia disimpan di bank oleh bendahari masjid.


    "Kebiasaannya, pungutan bulanan mencecah RM3,000 namun ia berkurangan sejak kebelakangan ini, kami akhirnya mengetahui puncanya selepas lelaki terbabit ditahan," katanya.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Harapan masih ada

    Posted: 22 Sep 2011 08:45 AM PDT

    TIDAK guna meratapi kegagalan sebaliknya jurulatih Ong Kim Swee menuntut anak buahnya bangkit menerusi dua perlawanan di laman sendiri menentang Syria dan Bahrain, November ini bagi menghidupkan peluang mereka dalam kempen kelayakan Olimpik London 2012.

    Bagaimanapun tugas lebih getir menanti pengendali negara itu bukan saja selepas Malaysia tumpas 0-2 di tangan Jepun pada aksi pembukaan Kumpulan C kelmarin, sebaliknya beliau terpaksa berdepan dua misi penting dalam satu masa.


    Fokusnya bukan saja terarah kepada kempen kelayakan Olimpik, sebaliknya mempersiapkan pasukan bawah 23 tahun negara mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Indonesia, November ini.

    "Sekarang keutamaan saya membentuk pasukan menghadapi Sukan Sea, tapi dalam masa sama saya perlu pastikan pemain skuad Olimpik dalam keadaan terbaik.


    "Pemain kita masih kurang pendedahan dan perlawanan berkualiti berbanding pemain Jepun yang beraksi dalam Liga-J setiap minggu.


    "Kalau boleh memang saya nak mengadakan perlawanan setiap minggu untuk skuad Olimpik tapi saya juga kena fikirkan mengenai Sukan Sea kerana saya akan membawa pasukan berbeza walaupun majoriti pemain skuad Sukan Sea adalah pemain Olimpik," katanya yang ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Fukuoka semalam.

    Tambah menyukarkan perancangan Kim Swee, 41, apabila beliau tidak mempunyai banyak masa membuat persiapan menghadapi Syria bagi aksi kedua meskipun pasukan itu bersetuju menunda tarikh perlawanan kepada 24 November.


    Ini kerana jika Malaysia mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir Sukan Sea, mereka bakal beraksi pada penentuan tempat ketiga atau final pada 22 November.

    "Saya masih tak pasti sama ada Syria setuju untuk meminda tarikh perlawanan daripada 23 November kepada 24 November.


    "Jika mereka bersetuju sekalipun saya hanya mempunyai tempoh sehari untuk mempersiapkan skuad Olimpik sebelum menentang Syria selepas Sukan Sea berakhir," katanya.


    Selepas tewas kepada Jepun 0-2 di Stadium Tosu, kelmarin, Malaysia akan meneruskan kempen merebut slot ke London bertemu Syria pada 23 atau 24 November dan Bahrain (27 November) di Kuala Lumpur.

    Angin baru Selangor

    Posted: 22 Sep 2011 08:41 AM PDT

    LUPAKAN kekecewaan ditinggalkan K Devan dan fokus untuk mencari kemenangan mutlak apabila turun menentang PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam esok.

    Itu harapan ketua jurulatih Selangor yang baru, P Maniam kepada anak buahnya bagi memastikan 'Misi 33' yang dilancarkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk meraih Piala Malaysia musim ini terus relevan sehingga perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D.


    "Memang pemain agak kecewa dengan keputusan mengejut beliau (Devan) namun sebagai pemain profesional mereka perlu menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

    "Itu yang saya nampak selepas mengetuai sesi latihan sejak Selasa lalu dan mereka kini semakin bersemangat untuk berdepan PDRM, pasukan yang ditewaskan 2-0 di pusingan pertama sebelum ini," kata pengendali berusia 43 tahun itu yang bertindak sebagai penolong jurulatih sebelum ini.


    Mengenai perancangannya menentang pasukan tercorot Kumpulan D itu, Maniam berkata sebahagian besar pemain yang menjadi pilihan Devan dalam kesebelasan utama sebelum ini akan dikekalkan kerana yakin dengan kualiti yang dimiliki mereka.


    "Saya akan melakukan perubahan taktikal dan mengharapkan perubahan karektor pemain untuk memberikan aksi seratus peratus dalam baki dua perlawanan ini," katanya yang turut menyedari ia bukannya tugas yang mudah terutamanya dengan keupayaan PDRM mengikat Kuala Lumpur minggu lalu untuk meraih mata.

    Selangor yang kini mengumpul empat mata perlu mencatatkan kemenangan dalam pertemuan menentang PDRM sambil mengharapkan Kuala Lumpur yang kini mengumpul lapan mata tewas atau seri menentang pendahulu kumpulan, T-Team (sembilan mata).

    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved