Selasa, 2 Julai 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Nak jadi arkitek bukan pelakon

Posted: 02 Jul 2013 08:26 AM PDT

Betul! betul! betul! Perkataan ini bukan saja sering menjadi sebutan dan ajukan kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa sama ada yang masih bujang atau sudah 'lama' menjadi ibu bapa.

Menerusi 'tagline' itu juga, ia mencetus fenomena tersendiri, bukan saja di negara ini bahkan di negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

Dengan nada suara halus bertubuh kecil, gelagat watak comel kartun Upin dan Ipin yang mengungkapkan perkataan ini cukup popular dalam kalangan kanak-kanak.

Mungkin tidak ramai yang tahu, di sebalik suara unik animasi popular berkenaan, tersembunyi wajah si cilik yang kini sudah mening­kat remaja, Asyiela Putri Azhar, 13, yang cukup sinonim dengan karakter itu.

Foto

ASYIELA Putri gadis pemalu berbakat besar.

Foto

SOKONGAN ahli keluarga menjadi tulang belakang kejayaan Asyiela Putri.

Foto

PELAJARAN dan minat bergerak seiring.


Tidak seperti pelakon cilik lain yang semakin popular, bintang alih suara ini berbeza dengan mereka.


Wajahnya tidak menghiasi kaca televisyen mahupun panggung wayang tetapi hanya gadis kecil yang meminjamkan suara untuk dua watak yang begitu diminati.

Mendengar saja suara comelnya ketika menjayakan watak terbabit, tidak terlintas dalam fikiran dia sebenarnya remaja yang pemalu. Di luar studio, dia tidak banyak bercakap, tidak seperti celotehnya ketika menjayakan watak itu.

Bagaimanapun, apabila menjawab setiap pertanyaan yang diajukan, pemilik nama indah ini akan bercerita penuh semangat sambil menguntum se­nyuman manis walaupun pada pertemuan yang diatur minggu lalu dia kurang sihat.

"Walaupun saya dikenali melalui siri kartun ini, saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi pelakon popular suatu hari nanti.

"Setakat ini, cita-cita saya nak jadi arkitek. Saya belum bersedia menjadi pelakon sebab kalau jadi pelakon, kena berani tetapi saya pula pemalu.

"Kini, saya lebih selesa bersama Upin dan Ipin serta bekerja di belakang tabir. Untuk menjadi pelakon, saya rasa buat masa ini, saya belum ke arah itu. Lagipun, saya masih muda dan banyak perkara perlu dilakukan terutamanya kejayaan dalam bidang akademik," katanya.

Anak bongsu kepada pasangan Azhar Ahmad@Salleh, 47, dan Eda Huraini Hussain, 45, ini bagaimanapun menyatakan dia bukan seorang yang pemalu hingga sukar didampingi sebaliknya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan teman baru atau suasana persekitaran.

Ketika ditemuramah, kelihatan keakraban dia dan ibunya. Sesekali Eda Huraini akan memperbetulkan juntaian rambut sambil mengusap lembut rambut Asyiela Putri.

Menurut ibunya, selepas menyertai pelbagai aktiviti promosi Upin dan Ipin di dalam dan luar negara, ternyata keyakinan diri yang ditunjukkan oleh Asyiela Putri tatkala berhadapan orang ramai begitu berbeza dibandingkan rakan
seusia.

"Asyiela mula menjadi suara latar bagi watak Upin dan Ipin seawal umurnya 10 tahun dan apabila dia perlu mengikut siri jelajah atau promosi rancangan berkenaan pada mulanya dia gugup tetapi kini rasa gementarnya sudah hilang.

"Kami sekeluarga boleh lihat tiada riak takut, malu atau gementar lagi pada wajahnya ketika sedang bekerja sebaliknya bertukar watak menjadi kanak-kanak pemalu dan pandai menyesuaikan diri.

"Seperti kakaknya, Adreena Putri, Asyiela anak yang baik, rajin dan tidak banyak kerenah. Dia juga seperti kanak-kanak lain yang suka bermain, mengusik, menonton televisyen dan makan makanan kegemarannya iaitu sushi.

"Apa yang saya perhatikan sejak kecil, Asyiela seorang yang memilih dalam bab makanan, dia tidak suka makanan pedas tetapi gemar sayur-sayuran. Asyiela tidak mengambil sebarang makanan tambahan tetapi saya akan pastikan dia minum susu setiap hari untuk kecerdasan minda dan kecergasan badan," katanya.

Bersekolah dalam ting­katan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Precint 11 (1), menurut Azhar, Asyiela dan kakaknya meminati seni dan mereka berdua pandai bermain alat muzik seperti gitar dan piano, menyanyi serta gemar mengambil gambar.

Baginya, ibu bapa harus memberi sokongan terhadap minat anak dan perlu memantaunya supaya bidang pelajaran dan minatnya berjalan seiring.

Peluang menjadi suara latar bagi watak Upin dan Ipin dilihat sebagai pendedahan kepada Asyiela Putri terhadap perkara baru tetapi ia mestilah bersandarkan minat dan dalam situasi ini, anaknya memang menggemari kartun kesukaan ramai itu sejak kecil.

Bukan dibuat-buat, suara Asyiela Putri memang persis Upin dan Ipin ketika kecil cuma selepas meningkat remaja suaranya sedikit berubah tetapi masih boleh membuat suara comel itu.

"Saya dan isteri amat mementingkan pelajaran mereka dan daripada awal saya sudah nyatakan, jika mereka sukakan sesuatu perkara kedua-dua perkara ini perlu diseimbangkan.

"Mereka memahaminya dan saya bersyukur sebab isteri sentiasa ada di samping mereka serta secara tidak langsung menjadi pengurus peribadi terutamanya untuk Asyiela.

"Guru sekolah Asyiela sangat baik dan memberi sokongan justeru kami tidak ada masalah. Tahun lalu, walaupun Asyiela sibuk dengan pelbagai urusan dan kadang-kadang penat memenuhi jadualnya, dia berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Alhamdulillah, berkat usahanya mengulangkaji pelajaran selepas melakukan sesi rakaman suara dan aktiviti kokurikulum di sekolah, dia mendapat kejayaan ini," katanya yang bekerja sebagai pensyarah animasi di Universiti Multimedia (MMU).

Di sekolahnya dulu, siri animasi berkenaan adalah kartun popular yang begitu diminati. Ramai yang mengetahui suaranya digunakan untuk siri itu, dan ramai juga yang menyuruh Asyiela Putri membuat suara Upin dan Ipin di sekolah.

Amat meminati subjek Matematik, Asyiela akui dia perlu membahagikan masa dengan bijak antara pelajaran dan minatnya agar tidak tercicir.

Seperti biasa, dia juga seperti pelajar lain yang akan ke sekolah pada waktu pagi cuma bezanya, sebelah petang pula ke studio untuk proses rakaman suara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Pelihara peralatan dapur

Posted: 02 Jul 2013 08:18 AM PDT

Berbicara mengenai bahagian dapur, golongan wanita lebih handal mengenal setiap satu peralatan di dalam ruangan ini.

Malah, ia adalah ruang 'kerja' kedua selepas pejabat apabila pulang ke rumah untuk menyediakan hidangan enak buat seluruh ahli keluarga.

Teringat waktu dulu, kebanyakan golongan ibu akan melenting apabila suami atau anak mengacau mereka di dapur kerana khuatir setiap peralatan di dapur termasuk permukaan sinki atau meja atas kabinet akan calar dan rosak.

Tetapi kini keadaannya sudah berubah kerana ibu moden mengalu-alukan pertolongan daripada ahli keluarga di dapur supaya dapat meningkatkan kemesraan di antara satu sama lain.

Foto

SPAN penyental mesra alam Scotch-Brite Greener Clean.


Mereka juga lebih bijak memilih produk atau peralatan dapur yang sesuai dan berkualiti tinggi untuk melindungi barangan di dapur.


Apatah lagi, kini terdapat juga pelbagai peralatan dapur yang diperbuat daripada bahan mesra alam contohnya penyental lembut rangkaian 3M Scotch-Brite Greener Clean untuk digunakan ketika kerja pencucian di dapur.

Produk mesra alam yang diperbuat daripada serat semula jadi tumbuhan agave ini sesuai bagi mereka yang mahukan gaya hidup menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

Terdapat empat produk penyental dalam rangkaian Scotch-Brite Greener Clean ini iaitu span sental tanpa calar dan penggosok halus, span pembersih dan boleh mengembang.

Span sental tanpa calar dapat membersihkan secara efektif permukaan dan peralatan dapur yang tidak melekat tanpa mencalarkannya. Ciri mesra alam tambahan produk ini adalah pek pembungkusnya diperbuat 100 peratus daripada bahan kitar semula.

Untuk peralatan dapur yang mudah calar, gunakan span penggosok halus yang boleh membersih secara lembut tetapi menyeluruh. Sifatnya yang semula jadi tidak mencalar membolehkan golongan wanita membersihkan permukaan peralatan dapur, jubin seramik dan permukaan kaca tanpa khuatir.

Dengan menggunakan span pembersih dan boleh mengembang, dapur boleh berada di dalam keadaan sentiasa bersih dan kering. Semua span yang tahan lama ini juga mudah untuk dibasuh dan boleh digunakan semula.

Rangkaian Scotch-Brite Greener Clean dijual bermula pada harga RM6.95 di kedai runcit utama di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.scotch-brite.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Julfekar rebah

Posted: 01 Jul 2013 01:07 PM PDT

Kuala Lumpur: Tanpa disangka, semangat untuk bersukan yang baru nak dipupuk membawa padah kepada komposer Julfekar Ahmad Shah apabila ketika sedang bersiap-siap untuk bermain badminton di Kompleks Sukan Cheras, Ahad lalu, tiba-tiba dia rebah dan terus tidak boleh bergerak.

Menurut Julfekar, dua artis di bawah naungan syarikatnya, MilleniumArt dan Dream Music Sdn Bhd, Min Yasmin dan Hafeez Hai yang mengajaknya bermain badminton dan dia dengan penuh bersemangat membeli satu set peralatan dan pakaian sukan.

"Kejadian berlaku di rumah pada jam 9.30 pagi, sedang saya memusingkan badan untuk mengikat tali kasut tiba-tiba saya terdengar bunyi pada bahagian pinggang dan selepas itu saya terus rebah serta tidak boleh bergerak.

"Terus Min dan Hafeez menghubungi ambulans dan saya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras. Sebaik saja tiba di hospital, menerusi pemeriksaan awal mendapati gelinciran pada tulang pinggul saya tetapi pihak hospital akan mengesahkannya selepas membuat rawatan susulan pada 12 Julai ini," katanya.

Foto

ANGGOTA paramedik merawat Julfekar.


Buat masa ini Julfekar diminta berehat dulu sebelum dia datang semula ke hospital untuk menjalani pemeriksaan Imbasan Resonen Magnetik. Bagaimanapun menurutnya, dia tidak boleh berehat kerana banyak kerja.


Ketika dihubungi semalam, dia berada di studio merakamkan lagu raya bersama artis syarikatnya dengan bertongkat.

"Saya sudah sewa studio ini, jadi saya perlu selesaikan kerja mengikut jadual. Walaupun masih sakit dan terpaksa bertongkat, saya datang juga. Hati rasa muda, tetapi usia tua tidak boleh dilindungi. Selepas ini terpaksalah saya menjaga kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tugas besar Neymar

Posted: 01 Jul 2013 11:01 AM PDT

Rio de Janeiro: Bintang Brazil Neymar (gambar) memikul tugas besar apabila dilabel sebagai 'pengganti Pele' sejak membuat penampilan pertama untuk negaranya pada 2010 di East Rutherford, New Jersey.

Pemain yang dilahirkan dengan nama Neymar da Silva Santos Junior itu berjaya menjaringkan gol buat negaranya yang amat mengharapkan wira bola sepak sekali gus harapan diletakkan kepadanya semakin memuncak.


"Kami bermain lebih baik daripada apa yang dijangkakan," kata Neymar selepas membantu Brazil menumpaskan juara dunia Sepanyol pada final Piala Konfederasi semalam.

"Saya amat gembira. Kami berjaya menggembirakan ramai orang tapi kami tidak boleh leka dengan kejayaan ini," katanya.


Pele sudah membuat satu penanda aras yang tinggi untuk dicapai Neymar apabila memenangi Piala Dunia pada usia 17 tahun namun pada usia itu Neymar baru saja menyertai bekas kelab Pele, Santos.


Dia juga gagal mengubah nasib malang pada Sukan Olimpik tahun lalu di London.

Foto

BINTANG Brazil meraikan kemenangan mereka.

Bagaimanapun semalam, pemain muda kelahiran Mogo Das Cruzes di Sao Paolo itu membuktikan dirinya boleh diharapkan untuk memenangi kejuaraan antarabangsa selepas mempamerkan aksi menakjubkan menentang Sepanyol apabila menyumbang gol selain turut mencipta gerakan gol buat Fred.


Cara pemain berusia 21 tahun itu memporak-perandakan pertahanan Sepanyol membuktikan dia memiliki keyakinan tinggi untuk mengikut jejak langkah Pele.

Sebelum kejohanan bermula, dia menyatakan skuad yang dibentuk itu tidak cukup bagus untuk muncul juara namun dengan dibarisi ramai pemain berbakat, Selecao kini dianggap pasukan terbaik apabila menjadi tuan rumah Piala Dunia tahun depan.


Neymar juga akan beraksi di La Liga bersama Barcelona dan dia akan bergandingan dengan Lionel Messi dan jika gandingan itu berjaya, sudah pasti akan mencetuskan kegerunan mana-mana pasukan di Sepanyol dan seluruh Eropah.


"Saya akan menyertai salah sebuah kelab terbesar dunia. Saya harap boleh menyesuaikan diri dengan cepat supaya boleh beraksi baik pada Piala Dunia tahun depan," kata Neymar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Saingan makin sengit

Posted: 01 Jul 2013 10:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas lima pusingan berakhir dan memasuki musim rehat bersempena Ramadan tidak lama lagi, buruan mahkota juara Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 kini semakin sengit.

Memasuki pertengahan musim, saingan kelas perdana CP130 menyaksikan lima pelumba berbeza sudah bergelar juara dan sukar meramalkan siapa yang bakal dinobat juara keseluruhan pada hujung musim.


Usaha Azlan Shah Kamaruzaman mempertahankan gelaran juara keseluruhan 2012 bermula dengan baik apabila memenangi perlumbaan pusingan pertama di Batu Kawan, namun tewas kepada pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin pada pusingan kedua di Melaka.

Rakan sepasukan Azlan, Mohd Affendi Rosli pula memenangi perlumbaan pusingan ketiga di Kuala Terengganu diikuti Mohd Zamri Baba pada pusingan keempat di Muar, Johor.


Pelumba muda, Mohd Zaqhwan Zaidi pula memenangi pusingan kelima yang berakhir di Teluk Intan, Perak, semalam.


Di sebalik gelaran juara yang sering bertukar ganti, kematangan dan aksi konsisten menjadi faktor utama dalam saingan merebut gelaran juara keseluruhan musim ini.

Berbekal pencapaian konsisten menaiki podium pada empat daripada lima pusingan perlumbaan, pelumba berusia 17 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli kini mendahului carta keseluruhan dengan 75 mata, dua mata mengatasi Mohd Zaqhwan dan Ahmad Fuad Baharudin yang berada di tangga kedua dan ketiga dengan 73 mata, namun dibezakan melalui jumlah kemenangan.


"Setakat ini kempen saya berjalan lancar dan terima kasih kepada pasukan yang banyak memberi sokongan. Walaupun mendahului, saya tidak boleh memandang ringan lima perlumbaan akan datang. "Ini kerana enam pelumba teratas hanya dipisahkan 13 mata dan jika gagal menamatkan mana-mana saingan selepas ini, kedudukan saya pasti jatuh. "Amat penting sekali untuk kekal fokus," kata Ramdan yang juga juara CP115 pada 2011.

Pungutan mata tidak begitu konsisten dilihat menjadi penghalang utama buat pelumba senior dalam kelas ini. Selain Ahmad Fuad, Azlan Shah terpaksa mengejar mata selepas tidak dapat beraksi pada Pusingan 4 akibat masalah kecederaan dan kini menghuni tangga keempat dengan 67 mata. Walaupun masih bergelut dengan kecederaan saraf tangan, rakan sepasukan Azlan, Mohd Affendi masih berupaya berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 63 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Hiburan buat seisi keluarga

Posted: 01 Jul 2013 05:00 AM PDT

Filem animasi 'Despicable Me 2 in 3D' menawarkan sesuatu baik untuk penonton kanak-kanak mahupun dewasa, bagi Steve Carrell. Sebagai seorang ayah kepada dua orang anak kecil, dia dapat berhubung dengan ceritanya.

"Apa yang dipersembahkan itu amat jujur dan ikhlas. Bila anda mempunyai anak, ia akan mengubah setiap aspek hidup anda tetapi dalam cara yang baik. Kanak-kanak akan menyukai jenaka 'Despicable Me 2 in 3D' sementara ibu bapa akan mengenali melalui pengalaman sendiri apa maknanya bila mempunyai anak-anak."

Katanya lagi, dia memahami situasi Gru yang sukar untuk melepaskan anak sulungnya Margo yang semakin menginjak ke alam dewasa.

"Melihat Margo memasuki alam berpacaran itu satu transisi yang amat besar bagi Gru, seperti kebanyakkan bapa. Bila melihat anak-anak perempuan mereka semakin matang dan menaruh minat terhadap lelaki, mereka bukannya cemburu tetapi tidak dinafikan wujudnya satu 'tension' di antara si ayah dan budak-budak lelaki yang meminati anak perempuan mereka."


Tambah Carell, apa yang membezakan 'Despicable Me 2 in 3D' berbanding filem animasi lain adalah jenaka serta jiwanya.


"Ia mungkin sebuah filem animasi tetapi ia juga menyelitkan elemen-elemen kemanusiaan. 'Despicable Me' dan 'Despicable Me 2' adalah filem yang bijak, lawak dan menyentuh perasaan. Para penulis telah berjaya mencipta sesuatu yang istimewa dan unik."

Jika anda sedang mencari aktiviti yang boleh dinikmati seisi keluarga, apakata anda menonton 'Despicable Me 2 in 3D' di pawagam bermula 4 Julai 2013.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/01

Sang Pencinta pukau penonton

Posted: 01 Jul 2013 03:30 AM PDT

Karismanya di pentas begitu terserlah. Kawalan vokal pula mantap dan bertenaga. Manakala, persembahan penuh dengan sifat jati diri kemelayuan yang disuntik dengan elemen moden menjadikan semua yang hadir berasa terhibur.

Itulah yang dirasai penonton ketika menyaksikan Konsert M Nasir Sang Pencinta yang berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 28 hingga 30 Jun lalu.

Hampir dua jam setengah, penonton terpegun dengan energi hebat Nasir dalam konsert anjuran Bombbay Worldwide dengan kerjasama Red On Black dan Belbis serta sokongan IB ini.

Penampilan Aznan Alias selaku Pengarah Muzik dan Mohd Rafi Shafie sebagai 'string arranger' serta gabungan pemuzik handalan tanah air dan iringan string daripada OSK (Orkestra Simfoni Kebangsaan) yang bergandingan dengan gamelan OTM (Orkestra Tradisional Malaysia), sememangnya menjanjikan sebuah persembahan hebat dari penyanyi bergelar 'sifu' ini.

Foto

AKSI-AKSI hebat M Nasir dalam konsertnya.

Foto

Peminat terpegun dan terhibur menonton persembahan M Nasir


Intro konsert dimulakan dengan penampilan sekumpulan individu bertopeng yang melontarkan bicara Ku Mahu Hidup Seribu Tahun Lagi dan kemudiannya bermonolog.


Kemudiannya Nasir tampil dengan lagu pertama berjudul Dalam. Ketika ini, set pentas diliputi dengan skrin yang memancarkan ilustrasi berbentuk 3D di mana Nasir berada didalamnya. Ia mewujudkan satu pemandangan yang indah.

Biarpun lagu ini kurang mesra di telinga peminat dan sukar mengajak mereka untuk bersama-sama menyanyi, Nasir ada sebab tersendiri memilihnya sebagai pembuka pentas.

Kemudiannya dia menyampaikan lagu Bahtera Raudah dan diikuti dengan lagu Apokalips. Di sini barulah situasi penonton seakan mula bernafas dan terhibur dengan persembahan yang ditampilkan.

Seterusnya suasana terus bersemarak apabila lagu Keroncong Untuk Ana, Hidayah, Rajawali dan Perang Yang Lagi Satu didendangkan kepada penonton.

Seperti yang diketahui, Nasir bukan terikat dengan skrip, justeru setiap patah kata yang keluar dari mulutnya bersifat spontan, namun mempunyai pengertian mendalam.

Peminat setia sudah sinonim dengan penghayatan mendalamnya ketika menyampaikan lagu. Ada kala lagaknya seperti orang bersilat, mengikut irama yang disampaikan. Dia juga tidak duduk diam apabila bergerak ke segenap pelosok pentas termasuk mencelah di antara pemuzik.

Tiada sebarang cacat cela gabungan Nasir bersama pemuzik pengiringnya sepanjang konsert ini. Masing-masing sudah memahami gaya nyanyian dan gimik persembahannya.

Bahkan sesuatu yang menghiburkan pemuziknya seakan menjadi jentera penggerak yang mewarnai persembahan Nasir. Gaya tersendiri mereka juga turut menghidupkan persembahan ini.

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu Mantera Semerah Padi yang turut sama dinyanyikan oleh penonton serta lagu Hijab Kekasih. Begitu syahdu mendengar lagu ini disampaikan dengan penuh perasaan.

Selepas itu, M Nasir tampil berbeza menerusi segmen akustik bersama string. Pilihannya ialah menyanyikan semula lagu ciptaannya yang pernah dipopularkan oleh artis lain iaitu Layang-Layang Terputus Tali (Alleycats), Meniti Titian Usang (Search) dan Srikandi Cintaku (Bloodshed).

Lagu-lagu ini sememangnya meninggalkan nostalgia terhadap peminat dan sekali lagi mereka bersama-sama menyanyikannya. Nasir tidak ketinggalan menyanyikan lagu baru berjudul Aku Dah Bilang dan seterusnya lagu Tanya Sama Itu Hud Hud.

Setiap kali lagu bertukar, ilutrasi grafik di belakang pentas juga berubah mewujudkan mood yang berlainan kepada penonton. Ini antara pembaharuan dan kelainan yang ditonjolkan dalam konsert ini.

Lagu seterusnya Akar Kita, Bukalah Hati Mu dan Wadi serta Mustika (diiringi muzik gamelan), Sahabat Gua dan Ada.

Selepas gimik meninggalkan pentas buat seketika, dia tampil semula dengan lagu Sesat Di Kuala Lumpur dan mengakhiri persembahan dengan lagu Sentuhan Listrikmu.

Tidak perlu banyak berceloteh, peminat tetap gembira menyaksikan persembahan Nasir. Namun siapa sangka seniman hebat ini juga pandai bergurau apabila cuba mengajuk gaya gwiyomi membuatkan semua yang hadir ketawa.

Mengulas mengenai perasaannya, Nasir terharu apabila berpeluang beraksi lagi di IB selepas kali pertama melakukannya pada konsert Alam Muzik empat tahun lalu.

"Terima kasih kepada Bombbay (Zamberi Shaari), yang percaya dengan saya. Dia bersungguh-sungguh untuk melaksanakan konsert ini. Walaupun saya ada bercita-cita nak buat, tapi saya jenis suka bertangguh.

"Bombbay penuh dengan cita-cita dan semangat tinggi. Saya kagum dengan usahanya untuk merealisasikan konsert ini," katanya.

Gandingan mereka sememangnya serasi dan bagi Bombbay, tanpa Nasir, konsert ini tidak akan dapat dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Benjy, 5 rakan didakwa milik syabu

Posted: 01 Jul 2013 09:43 PM PDT

AMPANG: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dan lima rakannya termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memiliki 4.7 gram syabu, minggu lalu.

Selain Benjy,34, turut didakwa atas tuduhan sama ialah Zain Amir Zainal Khairi, 37, Imran Radzi Ibrahim, 32, Asmanizam Mohamed Akhir, 32, Norazila Arzami, 27, dan Afifi Hamidi, 27.

Kesemua tertuduh tidak mengaku salah terhadap pertuduhan itu kecuali Zain Amir yang mengaku salah.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,800 setiap seorang dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

RM15,000 upah 'cabut nyawa'

Posted: 01 Jul 2013 12:03 PM PDT

Kuala Lumpur: Antara RM5,000 hingga RM15,000. Itu harga atau upah dikenakan pembunuh upahan yang turut digelar 'malaikat maut' bagi membunuh atau menghapuskan sasarannya.

Difahamkan, 'kontrak' pembunuh upahan adalah kes terpencil di Malaysia namun sejak kebelakangan ini ia mula hangat diperkatakan semula selepas beberapa kes kematian dikaitkan dengan mereka termasuk beberapa kes berprofil tinggi.

Antaranya ialah kes membabitkan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak dua lelaki bermotosikal jam 8.15 pagi 26 April lalu ketika kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Murano dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat menghala Lebuh Wawasan di Putrajaya.

Menurut sumber, RM5,000 hingga RM15,000 adalah harga dikenakan pembunuh upahan bagi sasaran biasa. Namun, harga itu boleh mencecah ratusan ribu ringgit sekiranya sasarannya golongan kenamaan, berpangkat tinggi atau pun personaliti.

Foto

LOKASI pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam dipercayai angkara pembunuh upahan.


"Berdasarkan maklumat risikan, pembunuh upahan kebanyakannya terdiri daripada rakyat negara jiran yang menyusup masuk ke negara ini selepas mendapat 'kontrak' namun pembabitan warga tempatan juga dipercayai berlaku," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


47 tahun simpan tulang

Posted: 01 Jul 2013 09:33 AM PDT

Houston: Seorang doktor Amerika Syarikat yang menyimpan tulang tangan pesakit yang dipotong untuk dijadikan kenang-kenangan perang, mengembalikannya kepada lelaki terbabit 47 tahun kemudian.

Dr Sam Axelrad membawa pulang tulang tangan lelaki Vietnam itu pada 1966 selepas rakannya merebus anggota badan itu untuk menanggalkan semua daging dan otot yang ada padanya.


Tulang itu kemudian disusun semula seperti sepatutnya sebelum diserahkan kepada Axelrad sebagai cenderahati. Semalam melaporkan, Axelrad mengunjungi Vietnam sekali lagi untuk bertemu dengan lelaki pemilik tangan berkenaan, Nguyen Quang Hung, 73, yang pernah berkhidmat sebagai tentera Vietnam Utara.

Axelrad berkata, pada 2011 dia menemui tulang berkenaan dalam beg tentera di rumahnya yang dibiarkan selama beberapa dekad. Katanya, dia membawa pulang tulang tangan sebagai kenang-kenangan.


"Tetapi saya tidak melihatnya bertahun-tahun kerana ia boleh mengingatkan saya kepada pengalaman zaman perang," katanya. Selepas terjumpa tulang berkenaan, kata Axelrad dia berusaha mengesan lelaki terbabit dan cuba memulangkannya.


Sementara itu, Quang Hung berkata, dia pelik kerana ada doktor yang mahu menyimpan tulang manusia sebagai cenderahati.

Foto

AXELRAD (kiri) menunjukkan tulang tangan kanan Quang Hung.

Bagaimanapun, dia gembira kerana mendapat semula bahagian anggota badannya yang dipotong.


"Tangan saya terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman selepas terkena tembakan tentera AS," katanya. Axelrad bertemu Quang Hung di bandar An Khe, dekat Qui Nhon semalam. Quang Hung ditembak pada Oktober 1966 dalam serang hendap kira-kira 74 kilometer dari An Khe di tengah Vietnam.

Selepas terapung-apung mengikut aliran sungai, dia berlindung di kawasan gudang padi selama tiga hari sebelum dibawa helikopter tentera AS untuk mendapatkan rawatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Akrobat maut terjatuh dalam persembahan

Posted: 01 Jul 2013 09:24 AM PDT

Carson City (Nevada): Seorang akrobat berpengalaman dan ibu kepada dua anak terbunuh selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter ketika mengadakan persembahan di Las Vegas semalam.

Sarah Guyard-Guillot, 31, terhempas ke kawasan lapang di tepi pentas selepas wayar keselamatannya dipercayai terlucut. Wanita berasal dari Perancis itu sedang dinaikkan sebagai persediaan melakukan babak terakhir di MGM Grand apabila kemalangan berlaku. Saksi, Dan Mosqueda berkata, dia terdengar jeritan dan bunyi mengerang sebelum seorang lagi anggota kumpulan berkenaan menangis di atas pentas. Mosqueda berkata, pada awalnya penonton menyangka aksi itu memang disengajakan sebagai sebahagian daripada persembahan akrobatik. "Namun, kami mendengar jeritan, kemudian suara mengerang kesakitan dan ada orang menangis di atas pentas," katanya. Pertunjukan dihentikan serta-merta sejurus kemudian. Penganjur juga menawarkan untuk memulangkan harga tiket yang dibeli penonton sebelum meminta orang ramai beredar. Sarah dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved