Ahad, 28 Ogos 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Minta air masak dari tuan rumah

Posted: 28 Aug 2011 07:01 AM PDT

"RAYA tahun ini saya berazam mengekalkan berat badan Ramadan. Tidak mahu ulang pengalaman dulu, selepas seminggu raya pinggang kain dan seluar semuanya ketat," kata seorang teman penuh semangat.

Senyumnya meleret selepas melihat berat badannya turun tiga kilogram - hasil berpuasa selama sebulan.

Pertambahan berat badan ketika Syawal atau mana-mana musim perayaan adalah perkara biasa yang berlaku di seluruh dunia. Ramai gembira apabila berat badan mereka turun ketika Ramadan tetapi malangnya kegembiraan itu tidak panjang hayatnya kerana berat yang hilang itu cepat kembali, menuntut 'tempat asalnya'.

Persoalannya bagaimana berat badan kita boleh bertambah dengan begitu cepat sedangkan untuk menurunkannya terasa begitu seksa. Ini menyebabkan ada yang putus asa untuk mengawal pemakanan kerana usaha itu dianggap tidak memberi kesan atau membawa sebarang perubahan.


"Memang ramai orang turun berat badan pada Ramadan tanpa melakukan apa-apa.

Penurunan berat ini sebenarnya menandakan mereka kehilangan berat air dan tisu otot kerana jumlah pengambilan makanan ketika Ramadan pada umumnya lebih rendah berbanding keperluan harian untuk mengekalkan berat asal. Ia bukan kehilangan lemak badan.

"Oleh kerana penurunan berat itu disebabkan kehilangan air dan tisu otot, maka berat badan akan kembali seperti asal sebaik anda mengambil makanan secukupnya.
Ada yang jadi lebih berat berbanding sebelum berpuasa kerana terlalu banyak makan ketika hari raya," kata Pakar Perunding Diet, Indra Balaratnam.

Menurutnya, pada musim perayaan begini kebanyakan orang 'cuti' daripada melakukan aktiviti harian, jadi kenaikan berat badan akibat terlalu banyak makan akan berlaku dengan cepat. Jadi tidak hairanlah jika ada yang mendapati baju mereka ketat pada minggu pertama hari raya.

Memang diakui sukar untuk menolak tarikan makanan yang enak apatah lagi jika dihidangkan dengan sajian kegemaran. Untuk itu, Indra memberikan panduan untuk makan secara berhemah pada hari raya ini:

  • Ingat bahawa anda akan mengunjungi beberapa rumah dalam sehari dan semuanya menghidangkan sajian yang membuka selera. Jadi hadkan saiz hidangan bagi setiap rumah. Jangan isi makanan hingga penuh pinggan atau makan terlalu kenyang.
  • Minum segelas besar air masak (air kosong) sebelum makan. Ia boleh membuatkan anda berasa kenyang. Jika tuan rumah tidak menyediakan air masak, minta dengan baik atau pergilah ke dapur untuk mengambilnya sendiri. Apa yang hendak dimalukan kerana tuan rumah adalah saudara mara atau sahabat anda sendiri.
  • Selepas makan, bangun dari meja dan duduk di tempat lain untuk bersembang dengan saudara mara yang lain. Jika anda duduk terlalu lama di meja makan, akan ada kemungkinan untuk anda makan lagi, sedikit demi sedikit.
  • Luangkan lebih masa untuk berbual dengan ahli keluarga dan sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa. Inilah tujuan berhari raya, untuk saling kunjung mengunjung dan merapatkan silaturahim.
  • Jangan lupa makan ubat terutama bagi pesakit yang perlu mengambil ubat sepanjang hayat seperti pesakit kencing manis, tekanan darah tinggi atau paras kolesterol tinggi. Pastikan ubat diambil setiap hari seperti diarahkan doktor.

    Sentiasa bawa bekalan ubat ke mana saja anda pergi, kerana dalam musim perayaan ini akan ada kecenderungan untuk bermalam di rumah saudara mara. Kegagalan mengambil ubat boleh membuatkan anda berasa tidak sihat. Malah ia juga boleh menjejaskan kawalan penyakit anda.

    Budaya air masak

    Pada musim perayaan ini sangat jarang orang menghidangkan air kosong. Malah ketika inilah anda boleh melihat pelbagai jenis minuman berkarbonat terhidang di atas meja, termasuk jenama yang anda tidak pernah tahu kewujudannya.

    Malah tidak salah jika sentiasa membawa botol air berisi air masak ke mana saja kita pergi. Bawalah botol air kecil yang boleh dimasukkan ke dalam beg tangan atau beli air minuman (500 mililiter) supaya ia boleh diminum ketika dalam perjalanan, terutama pada cuaca panas.

    Budaya orang kita, jarang meminta lebih daripada apa yang dihidangkan kerana ia dianggap tidak sopan. Namun dalam hal ini, tidak salah jika anda meminta air masak untuk menggantikan minuman manis. Ini kerana minuman manis mengandungi kalori kosong yang tidak diperlukan badan. Ia hanya akan menambah pengambilan kalori yang sudah sedia ada banyak daripada makanan lain.

    "Air masak adalah pilihan yang baik. Memang jarang tuan rumah menghidangkan air masak tetapi anda boleh minta atau cari sendiri di dapur kerana anda berkunjung ke rumah saudara mara atau kawan-kawan.

    "Lagipun, kalau mengunjungi lima rumah sehari, bermakna sehari suntuk anda hanya minum minuman manis. Jadi tidak perlu malu untuk minta air masak kerana kesihatan anda lebih penting. Keluarga dan kawan-kawan akan menyokong pilihan anda untuk menjadi lebih sihat.

    "Pada mulanya memang agak kekok, tetapi tiada salahnya menjadi pemula budaya. Maknanya anda memulakan budaya minum air masak pada musim perayaan sama ada ketika berkunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai," katanya.

    Malah anda juga boleh menjadi pencetus ilham menghidangkan air masak kepada tetamu. Jika dulu, menghidangkan air masak pada musim perayaan mungkin agak 'pelik' tetapi kini keadaan sudah berubah. Semakin ramai yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap kesihatan.

    Bagaimanapun bukanlah memberikan tetamu air masak semata-mata tetapi disertakan dengan minuman manis lain, supaya tetamu boleh membuat pilihan.

    Jika menghidangkan air manis, kurangkan jumlah gula supaya minuman yang dihidang sekadar manis buah saja. Bagi minuman panas, jangan dibancuh dengan gula atau susu. Sediakan gula dan susu di dalam bekas berasingan supaya tetamu boleh menentukan sendiri tahap kemanisan minuman mereka, kata Indra lagi.

    Panduan mengawal pengambilan gula:

  • Jangan terlalu banyak makan biskut dan kek. Kalau mahu, makanlah sedikit selepas mengambil sajian berat. Cukuplah menjamah satu atau dua keping biskut mahu pun kek, sekadar untuk rasa.
  • Lebihkan minum air masak, kurangkan minuman manis. Jika mahukan air manis, kurangkan sukatan gula.
  • Kecilkan saiz hidangan anda. Hadkan juga pengambilan ketupat dan lemang. Malah kandungan karbohidrat dalam bihun juga sama dengan nasi. Jadi jangan fikir anda makan 'sedikit' dengan memilih bihun berbanding nasi. Ini kerana kandungan karbohidrat secawan bihun sama dengan secawan nasi.

    Karbohidrat ini akan ditukarkan ke dalam bentuk gula ringkas untuk digunakan sebagai tenaga. Inilah sebabnya selain mengawal pengambilan minuman dan makanan manis, kita juga perlu mengecilkan kuantiti hidangan mengandungi karbohidrat.

  • Jika anda membakar kek atau biskut, kurangkan sukatan gula berbanding resipi asal. Anda boleh mengurangkan 1/3 kandungan gula bagi kek dan biskut tanpa perlu risau ia 'tidak jadi', malah dalam sesetengah keadaan, rasanya lebih enak. Inilah cara yang baik untuk mengurangkan gula tambahan.
  • Sentiasa hidangkan buah-buahan untuk keluarga dan tetamu sebagai pilihan sihat dan menyegarkan. Ia boleh dimakan begitu saja atau dijadikan jus, tetapi ingat jangan masukkan gula ke dalam jus anda itu.

    Perkara penting:

  • Rancang hari anda. Jika anda tahu berapa banyak rumah yang akan dikunjungi, makan sedikit di setiap rumah.
  • Jangan tamak bila berhadapan dengan makanan dan mengisi sepenuh pinggan. Ambil yang anda teringin hendak makan saja, dalam kuantiti kecil. Selepas sebulan berpuasa, jangan beri 'kejutan' kepada perut dengan makan mengikut kemahuan kerana ini adalah antara sebab mengapa ramai mengalami masalah kerap berulang ke tandas terutama pada hari pertama dan kedua Aidilfitri. Tujuan mengunjungi sanak saudara dan rakan adalah untuk mengeratkan hubungan, bukan semata-mata mahu makan.
  • Pilih makanan yang tidak terlalu berminyak. Jika makanan kegemaran anda itu terlalu banyak minyak, ambil sedikit saja. Kalau ada pilihan lain, ambil makanan yang kurang berminyak.
  • Minum banyak air masak sebelum makan. Ia akan membuatkan anda berasa kenyang dan membantu mengelakkan anda makan terlalu banyak.
  • Isi sebahagian besar pinggan anda dengan sayur-sayuran, sekurang-kurangnya setengah pinggan. Kebanyakan orang kurang makan sayur sepanjang Ramadan dan inilah masa terbaik untuk menambah semula pengambilan serat harian anda.
    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kita mengambil lima hingga sembilan hidangan serat (sayur dan buah) sehari.
  • Makan perlahan-lahan dan kunyah makanan hingga benar-benar lumat sebelum ditelan. Tunggu 20 minit sebelum anda mengambil hidangan kali kedua. Melalui cara ini, anda memberikan peluang perut berkomunikasi dengan otak bagi memberitahu ia sudah penuh atau berasa kenyang.
  • Masakan utama pada hari raya biasanya tertumpu kepada lauk pauk yang menggunakan banyak rempah atau santan; dan jarang sekali kita menghidangkan sajian sayur-sayuran. Jika adapun, jumlahnya sangat kecil.

    Jika bimbang sajian sayur-sayuran anda tidak 'laku' atau kurang mendapat sambutan, memadailah anda menghidangkan sayur mentah yang boleh dijadikan ulam seperti timun, kacang panjang, kacang botol, kubis, tomato, lobak merah, daun selom atau pegaga.

    Fikirkan resipi kreatif bagi menarik minat keluarga terutama anak-anak untuk makan sayur dengan membuat salad sayur bercampur buah. Pilih sayur yang rasanya boleh diterima anak-anak. Bahkan tidak salah jika memasukkan sayur ke dalam masakan lauk pauk anda.

    "Makan masa musim perayaan seharusnya sama seperti waktu lain. Individu yang ada pemikiran begini tidak akan mengalami masalah terlebih makan pada hari raya kerana mereka tahu bagaimana hendak mengawal diri sendiri.

    "Walaupun anda sudah berpuasa sebulan, janganlah 'balas dendam' dengan makan banyak kerana sepanjang Ramadan anda juga sudah menikmati pelbagai juadah ketika berbuka. Bagaimanapun bukanlah bermakna anda tidak boleh menikmati hidangan perayaan tetapi biarlah diambil secara bersederhana," katanya.

  • Larian Kanak-Kanak Giant

    Posted: 28 Aug 2011 06:44 AM PDT

    MEREKA yang sudah mendaftar bagi mengikuti Larian Kanak-Kanak Giant 2011 boleh menuntut pek larian pada 10 dan 11 September ini bagi membolehkan peserta mengikuti pelbagai acara menarik sempena program berkenaan.

    Pengarah Pemasaran GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ho Mun Hao, berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya klinik larian, permainan pentas, kemunculan maskot dan sudut kanak-kanak dan ibu bapa menanti kehadiran peserta.

    Klinik larian selama dua hari itu akan dikendalikan pakar terapi sukan pada jam 12 tengah hari dan 7 malam bagi menyediakan peserta mengenai tatacara yang perlu dilakukan bagi mengelakkan kecederaan ketika mengikuti larian berkenaan.

    Selain itu, untuk kanak-kanak akan diadakan pertandingan mewarna termasuk aktiviti seni dan kraf.


    Pek larian yang mengandungi baju-T dan baju luar perlu dituntut di Viva Home, Plaza Uncang Emas (Ue3), Jalan Loke Yew bermula jam 10 pagi sehingga 9 malam.


    Sementara itu, beg cenderahati bernilai RM100 akan diedarkan kepada peserta pada hari larian berkenaan berlangsung.

    Program Larian Kanak-Kanak Giant 2011 yang akan berlangsung pada 16 September ini di Taman Metropolitan, Kepong adalah acara yang diadakan khusus untuk kanak-kanak, tetapi mensasarkan pembabitan seluruh ahli keluarga sempena sambutan Hari Malaysia.

    Ho berkata, pihaknya mensasarkan penyertaan 3,000 kanak-kanak memandangkan maklum balas yang diperoleh amat memberangsangkan.

    "Menerusi acara berorientasikan kekeluargaan ini kami berharap ia dapat membantu mengeratkan lagi hubungan ahli keluarga melalui aktiviti sukan menyeronokkan sebegini selain menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif di kalangan kanak-kanak.

    "Kami komited dalam menyokong usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan berharap program ini bakal menjadi acara tahunan pada masa akan datang," katanya.

    Larian berkenaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertandingan yang membabitkan persaingan dan berbentuk santai.

    Empat kategori larian yang akan dipertandingkan setiap satunya berdasarkan kumpulan usia iaitu empat hingga enam tahun, tujuh hingga lapan tahun, sembilan hingga 10 tahun serta 11 hingga 12 tahun.

    Bagi peserta berusia usia empat hingga enam tahun, mereka akan melakukan larian secara santai. Bagaimanapun, setiap peserta akan memperoleh pingat dan sijil penyertaan pertandingan terbabit.

    Hamper akan diberikan kepada kelompok tiga pemenang teratas untuk setiap kategori yang dipertandingkan manakala pemenang utama bakal membawa pulang pingat dan wang tunai bernilai antara RM500 hingga RM3,000.

    Untuk membolehkan pelanggan layak menyertai acara berkenaan mereka perlu membuat pembelian dengan harga minimum RM20 bagi mana-mana belian barangan penaja acara ini di Giant.

    Yuran pendaftaran untuk setiap kanak-kanak yang ingin menyertai larian berkenaan ialah RM15 manakala penyertaan penjaga yang menemani anak adalah percuma.

    Setiap peserta akan menerima baju-T, pingat dan sijil penyertaan, sebagai tambahan kepada beg cenderahati.

    Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program larian kanak-kanak Giant 2011 ini, boleh layari www.giantkidsrun.com.my ataupun dapatkan borang penyertaan di kaunter khidmat pelanggan di semua pasar raya Giant sekitar Lembah Klang.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Tolak baju baru

    Posted: 27 Aug 2011 07:42 AM PDT

    KUALA TERENGGANU: "Arwah berpesan kepada isterinya supaya tidak membelikannya baju raya tahun ini walaupun mereka sekeluarga sentiasa berpakaian sedondon setiap kali menyambut hari lebaran.

    "Namun, isterinya tetap menyediakan baju raya itu tanpa memaklumkan arwah dan siapa sangka pesanan itu adalah petanda arwah akan meninggalkan keluarganya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri," kata Maznah Bakar, 43, kakak ipar kepada Sukri Awang, 38, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Bukit Kolam, Hulu Terengganu, pagi kelmarin.


    Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Sukri yang duduk di sebelah kiri penumpang bahagian depan cedera parah di dada dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Hulu Terengganu manakala isterinya yang juga adik kepada Maznah, Norwani Bakar, 36, cedera di rusuk namun dirawat sebagai pesakit luar.

    Selain itu, tiga anak pasangan berkenaan iaitu Mohd Amin, 6, yang cedera di rusuk dan Mohd Naim, lima bulan, yang mengalami pendarahan di kepala dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, manakala Mohd Amni, 3, yang cedera di muka ditempatkan di wad biasa HSNZ.


    Ketika kemalangan, mereka yang menetap di Kem Tentera Iskandar, Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke kampung Norwani di Bachok, Kelantan bagi menyambut Aidilfitri.


    Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Civic dipandu Norwani dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil terbabas ke sebelah kanan jalan lalu dilanggar sebuah kenderaan Honda Accord yang datang dari arah bertentangan.

    Menurut Maznah, Norwani juga bersikap pelik apabila tidak memberitahu kepulangan mereka sekeluarga, sedangkan sebelum ini mereka biasanya memaklumkan perkara itu setiap kali pulang beraya di rumahnya di Kampung Alur Pilai, Jelawat, Bachok.


    "Sebelum ini, saya tanya sama ada mereka akan pulang beraya tetapi Norwani memaklumkan tidak tahu kerana suaminya bekerja. Mungkin dia dan arwah suaminya merahsiakan kepulangan mereka kerana ingin membuat kejutan.

    "Difahamkan, mereka bertolak daripada Kem Tentera Iskandar jam 12 tengah malam Khamis lalu. Jika saya tahu hal itu, pasti saya tidak membenarkan mereka pulang kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku," katanya yang ditemui di HSNZ di sini, semalam.


    Maznah yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, dia turut berasa tidak sedap hati pada hari kejadian dan segala perasaannya terjawab apabila menerima panggilan daripada Norwani memaklumkan dia dan keluarga terbabit kemalangan.


    "Norwani menghubungi saya selepas kejadian itu sebelum panggilan terputus disebabkan telefonnya rosak. Namun ketika cuba menghubunginya semula, saya terdengar bunyi ambulans dan menyangka mereka sekeluarga hanya terbabit dalam kemalangan biasa.


    "Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda, apatah lagi mengenangkan tragedi berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri," katanya.


    Seorang rakan Sukri yang enggan dikenali memaklumkan, arwah sememangnya teruja untuk pulang beraya pada malam sebelum kejadian walaupun isterinya mencadangkan mereka pulang pada keesokan harinya.


    "Arwah baru saja bertugas di kem ini selama tiga hari selepas dipindahkan dari Melaka. Dalam tempoh itu, arwah tidak pernah tinggal menunaikan solat sunat tarawih, cuma dia kelihatan tidak sabar-sabar untuk pulang berhari raya pada malam sebelum kejadian," katanya.


    Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, 153 kes kemalangan dilaporkan di negeri ini dalam tempoh empat hari Ops Sikap 24 dilancarkan sejak 23 Ogos lalu membabitkan lapan kemalangan maut dengan lapan kematian.

    Lelaki disyaki dera anak tiri ditahan

    Posted: 27 Aug 2011 07:40 AM PDT

    HULU SELANGOR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mendera anak tirinya berusia tiga tahun, menyebabkan mangsa kini terlantar di hospital akibat patah gigi dan lebam seluruh badan.

    Sehingga kini, mangsa dilaporkan belum sedarkan diri selepas dihantar ke Hospital Sungai Buloh oleh ibunya, kelmarin.


    Menurut sumber, doktor yang merawat mangsa mengesyaki dia didera berdasarkan kesan lebam baru dan lama di leher, telinga dan badannya, menyebabkan pengamal perubatan itu membuat laporan polis.

    "Susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis menyerbu rumah mangsa sebelum menahan seorang lelaki yang juga bapa tirinya di sebuah rumah di Bukit Sentosa bagi membantu siasatan," katanya.


    Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai didera berulang kali sejak sebulan lalu selepas ibunya berkahwin dengan lelaki itu lebih setahun lalu.


    Sumber itu berkata, ibu mangsa adalah warga Indonesia dan pernah berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh sebelum pasangan itu bercerai.

    "Polis akan mendapatkan keterangan lanjut daripada ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu, namun sehingga kini dia belum berbuat demikian," katanya.


    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

    Menurutnya, suspek kini direman empat hari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 200.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Puluhan ribu berpindah

    Posted: 27 Aug 2011 07:05 AM PDT

    NEW YORK: Berpuluh ribu penduduk di pantai timur Amerika Syarikat meninggalkan kediaman mereka dan pusat peranginan di kawasan itu, semalam ekoran taufan Irene yang menyebabkan lapangan terbang, sistem pengangkutan dan pusat perniagaan ditutup.

    Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mengarahkan perpindahan penduduk secara besar-besaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan penutupan sistem kereta api bawah tanah di bandar raya itu, manakala Presiden Barack Obama memendekkan percutian musim panasnya untuk kembali ke Washington. Taufan kategori kedua yang bertiup selaju 160 kilometer per jam itu melanda pantai Carolina Utara, semalam sebelum bergerak ke kawasan pantai menuju ke Washington, New York dan Boston. Bandar raya New York yang menjadi kediaman lebih 65 juta orang itu menghadapi ancaman banjir, ribut, bekalan tenaga terputus dan kemusnahan yang dikatakan pakar mungkin mencecah kerugian AS$12 bilion (RM36 bilion). Sementara itu, Bloomberg dalam sidang akhbar semalam mengarahkan perpindahan secara besar-besaran yang pertama penduduk dari kawasan rendah di bandar raya itu yang dihuni kira-kira 250,000 orang memberi amaran bahawa ia adalah perkara hidup dan mati. "Kita tidak pernah mewajibkan penduduk berpindah sebelum ini dan kita tidak akan melakukannya sekarang jika keadaan taufan itu tidak serius," katanya. - AFP

    8,000 penerbangan dibatal

    Posted: 27 Aug 2011 07:03 AM PDT

    NEW YORK/WASHINGTON: Syarikat penerbangan membatalkan hampir 8,000 penerbangan hujung minggu ekoran taufan Irene yang melanda pantai timur Amerika Syarikat, memaksa syarikat penerbangan memindahkan pesawat ke kawasan lebih selamat dan menghentikan perkhidmatan di hab penerbangan paling sibuk di AS itu.

    Tindakan menutup rangkaian pengangkutan itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengelakkan masyarakat terdedah kepada taufan Irene. Sistem pengangkutan kereta api bawah tanah dan bas juga dikerah menghentikan operasi perkhidmatan. Pengguna jalan raya pula diminta tidak berada di lebuh raya dan jambatan utama akan ditutup sekiranya taufan itu mengatasi kelajuan dihadkan. - Reuters

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Depan Mata: Sultan puji Hasnah

    Posted: 07 Aug 2011 07:48 AM PDT

    Biar ku bersedih
    biar aku merintih
    setelah gagal berkasih
    lari bersama pedih

    ITU antara bait lagu Bersedih yang cukup sinonim dengan penyanyi 60-an, Hasnah Haron. Bertemu dengannya pada 24 Mei lalu di Restoran Puteri, Sungai Penchala, nyata itulah pertemuan pertama dan terakhir.

    Dalam usia 64, penyanyi kelahiran Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 ini meninggal dunia pada 1 Ogos lalu, jam 8 pagi selepas lima hari dimasukkan ke hospital, Johor Bahru kerana barah pangkal rahim yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.

    Ketika itu juga, umat Islam seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sehari sebelum itu, kebetulan saya menghubungi pemilik Restoran Puteri, Rubiah Suparman dan dimaklumkan Hasnah yang juga kawan baiknya sejak remaja dalam keadaan nazak. Berita itu baru saja disampaikan anak perempuannya, Haslinda Mohd Eunos (Linda).


    Sememangnya itulah pertama kali bertemu dengannya tetapi orangnya ramah begitu juga Linda yang sudi bercerita keadaan ibunya. Linda membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan cara Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak yang diusahakan pelakon Ashraf Muslim.


    Badannya kurus kerana kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat tetapi apabila diminta bercerita mengenai zaman popularitinya sejak menghasilkan album pertama pada 1969, wajahnya nampak ceria.

    Malah apabila diminta menyanyikan lagu Bersedih, beliau tidak keberatan begitu juga apabila ditanya lagu popular lainnya, terus menyanyikan lagu Sabar Menanti dan Siti Zubaidah. Suaranya juga tetap merdu.

    Linda mengatakan ibunya sering bermuram dan enggan keluar rumah seolah-olah tiada semangat. Bagaimanapun apabila dibawa ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan-rakan seangkatan, Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad, Datuk Jeffrydin dan Datuk Yusni Hamid, wajahnya nampak riang. Mereka diundang Kak Rubiah ke restorannya untuk bertemu.

    Linda sempat memohon kalau ada rakan-rakan atau peminat ibunya ingin berjumpa, boleh berkunjung ke rumah mereka. Mungkin cara itu mampu membuatkan ibunya lebih bersemangat untuk terus hidup sekali gus melawan penyakit yang belum ada penawarnya. Malah, dia akan membawa ibunya turun ke Kuala Lumpur lagi jika keadaan kesihatannya mengizinkan.

    Kata Linda, ibunya juga tidak suka menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi lagi kerana membuatkan badannya tidak selesa dan menyambut baik saranannya untuk mencuba rawatan Islam.

    Selepas bertemu Ashraf, mereka dimaklumkan ada dua benda dalam badan Hasnah. Pertama kanser pangkal rahim tahap tiga dan merebak ke paru-paru dan kedua ada sihir dengan kehadiran 30 jin. Ashraf membekalkannya dengan Surah al-Mukminin dan Surah Hud untuk dibaca setiap hari lepas solat.

    Berbual dengan Linda mengenai dirinya sebagai anak penyanyi dan kini memikul tanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-beradik lain, katanya, ketika kecil dia dan adiknya Mohd Lufthi tidak pernah tahu ibu mereka bekerja sebagai penyanyi. Mereka juga tidak pernah melihat sendiri ibu mereka menyanyi.

    Pernah satu ketika ibu mereka terpaksa membawa anak-anak bekerja, mereka dikunci dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar sehingga ibunya selesai bekerja, semata-mata tidak mahu anaknya tahu pekerjaannya. Hasnah juga tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya menjadi orang seni.

    Apabila dewasa, bagi Linda tiada apa yang harus dibanggakan menjadi anak penyanyi. Bagaimanapun, perasaan itu mula berubah apabila bertemu Sultan Johor dan memuji ibunya sebagai wanita yang baik dan menjaga pergaulannya walaupun berada dalam dunia glamor.

    Terasa bangga di hatinya apabila ibunya diangkat begitu tinggi dan kini sebagai anak, Linda bertanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-adiknya. Hasnah mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd Eunos dan tiga anak bersama suami kedua, Syed Murshed.

    Sejak sakit dan tidak lagi menyanyi, ibunya banyak menghabiskan masa mengikuti kelas agama di masjid berhampiran rumahnya. Dengan peribadi yang baik dan sentiasa menjaga maruah diri, Hasnah dipanggil Yang Maha Esa pada 1 Ramadan lalu.

    Bak kata Linda, ia satu anugerah buat dirinya apabila ibunya pergi dalam bulan Ramadan yang mulia kerana ia menjadi impian semua umat Islam. Ketika hayatnya, Hasnah Haron banyak dilemparkan tohmahan dan pandangan sinis yang dilalui tetapi, semua itu ditelannya dengan sabar walaupun hatinya sedih dan merintih.

    Walaupun kehilangan ibu yang melahirkannya dia dan adik-beradik menyambut Aidilfitri tidak lama tanpa ibu, Linda reda dengan pemergian ibunya.

    Kini genap seminggu arwah pergi dan bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru tetapi suaranya yang mendayu pasti terus berkumandang.

    Bait akhir lagu Bersedih, 'Usah lagi dikenang, pada aku yang malang, nanti engkau kan sedu, di sisi jasadku kaku' pasti membuatkan kita mendengar bergenang air mata. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Fergie hati-hati

    Posted: 27 Aug 2011 07:22 AM PDT

    MANCHESTER, United Kingdom: Sir Alex Ferguson mengingatkan Manchester United perlu berwaspada dengan kebangkitan Arsenal apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam ini.

    Juara bertahan itu memulakan kempen penuh bergaya dengan kemenangan berturut-turut manakala Arsenal pula hanya berjaya mengutip satu mata.


    United mungkin mempunyai kelebihan lapan mata selepas perlawanan di Old Trafford itu tetapi Ferguson enggan mememandang mudah aksi itu.

    Beliau sedar Arsenal dan pengurusnya Arsene Wenger kini terluka selepas permulaan hambar serta penjualan dua bintang, Cesc Fabregas dan Samir Nasri.


    Namun, Feruson mengiktiraf kemampuan Arsenal selepas menewaskan Udinese untuk layak beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan ia pastinya menaikkan semangat pemain kelab itu.


    "Mereka menjawab segala kritikan kerana ramai menyangka mereka akan tersingkir tapi saya tidak fikir begitu," katanya.

    "Saya yakin mereka menang. Perlawanan hari ini menjadi satu lagi batu loncatan buat mereka.


    "Mereka pasti cuba menang tapi prestasi kami baik dan tidak sabar menantikan perlawanan itu.

    "Pertembungan ini selalunya hangat dan penting menentukan kedudukan liga pada hujung musim. Ia perlawanan yang sering dinantikan," katanya.


    Wenger yakin zaman tidak berdisiplin kini sudah berakhir.


    "Saya percaya kami lebih mantap Ahad ini dan mempamerkan persembahan hebat," katanya.


    "Kami tertekan dan anda boleh rasakan suasana tegang dalam pasukan sebelum perlawanan menentang Udinese. Pada perlawanan pertama saya boleh rasakan kedudukan skuad terancam dan ia terserlah ketika menentang Liverpool.


    "Semua itu sudah berakhir dan saya yakin anda akan melihat pasukan yang lebih meyakinkan di Manchester," katanya.


    Pertahanan, Thomas Vermaelen menjalani ujian kecergasan tetapi Laurent Koscielny dijangka kembali manakala Tomas Rosicky dan Johan Djourou bakal kembali cergas. - AFP

    Messi julang Barcelona

    Posted: 27 Aug 2011 07:19 AM PDT

    MONACO: Cesc Fabregas menjaringkan gol pertamanya buat Barcelona ketika juara Eropah itu mengetepikan cabaran Porto 2-0 untuk menjuarai Piala Super, semalam.

    Fabregas, yang berpindah dari Arsenal dengan bayaran 29 juta euro (RM125.5 juta) awal bulan ini menjaringkan gol dua minit sebelum tamat perlawanan selepas diturunkan sebagai pemain gantian lapan minit sebelum itu.


    Lionel Messi meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-39 ketika skuad gergasi Sepanyol itu menambah gelaran Piala Super Eropah selepas Piala Super Domestik, minggu lalu.

    Porto, juara Liga Europa musim lalu menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Jorge Rolando dan Fredy Guarin dilayangkan kad merah pada hujung permainan. Jaringan Fabregas pasti dikenang sebagai antara yang tercantik pernah dijaringkannya.


    Messi menyungkit bola melepasi barisan pertahanan untuk disambut Fabregas yang dengan tenang mengawal bola di dada sebelum melakukan voli melepasi Helton di gawang Porto.


    Ia adalah jaringan pertama Fabregas selepas dia menjaringkan gol Arsenal ke atas Huddersfield dalam Piala FA Januari lalu.

    "Terima kasih atas sokongan anda. Apa yang boleh saya ingati ketika ini adalah apa yang dilakukan Arsenal untuk karier saya. Pastinya akan saya kenang selama-lamanya," tulis Fabregas di laman Twitter selepas Barcelona memenangi Piala Super kedua dalam tempoh tiga tahun.


    Messi menyumbang jaringan awal buat Barcelona di Stade Louis II apabila Porto kehilangan bola di bahagian tengah dan lenggokan tubuh Messi berjaya memperdayakan Helton sebelum menolak bola ke gawang.

    Jurulatih Barcelona, Josep Guardiola memuji bintang Argentina itu.


    "Kami semua tahu apa yang Leo mampu lakukan. Dia melakukan perkara hebat biarpun ketika latihan," kata Guardiola.


    "Bila kami dalam perlawanan akhir, saya sedar kami boleh mengharapkannya. Pemain saya sungguh bangga. Mereka masih muda dan inginkan kejayaan," katanya. - AFP

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Ada maklumat dirahsia

    Posted: 27 Aug 2011 08:10 AM PDT

    SUNGAI SIPUT: Ada yang menghantar surat berserta biodata lengkap seperti surat memohon kerja, meluahkan perasaan secara bertulis, malah tidak kurang yang lebih 'gentleman' berjumpa ayahnya semata-mata mahu menyampaikan hasrat di hati.

    Memegang status janda popular menyebabkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 34, menjadi perhatian ramai lelaki, sama ada orang kebanyakan mahupun berstatus VIP.


    Lebih-lebih lagi kisahnya menjadi perhatian tiga tahun dulu berikutan kesanggupannya menjalani hukuman sebat atas kesalahan minum arak dan sejak itu setiap perkembangannya menjadi hiasan di dada akhbar hinggalah kisah perceraiannya dengan seorang warga Singapura.

    Namun, buat masa ini, tidak terlintas di hati wanita kelahiran Kampung Jawang, di sini, itu untuk mengakhiri zaman jandanya, apatah lagi dia baru kehilangan anak sulung, Mohamad Azfar Muhammad Affandi, 9, akibat lemas pada 8 Mei lalu.


    Kartika tidak menafikan tertarik dengan surat 'lamaran' diterima, namun individu yang melamarnya merahsiakan beberapa maklumat, terutama status terkini.


    "Surat yang saya terima rata-rata menyertakan maklumat positif, namun saya terpaksa menolak kerana mereka masih berstatus suami orang.

    "Saya tidak percaya 100 peratus maklumat diberi, sebaliknya melakukan siasatan bagi memastikan ia benar," katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.


    Menurutnya, dia tidak sanggup menghancurkan hati wanita lain semata-mata mahu mengakhiri status janda kerana percaya faktor takdir yang pasti berbalik kepadanya jika melakukan sesuatu yang buruk.

    Katanya, bukan bermakna dia menutup pintu hatinya kepada lelaki lain selepas bercerai dengan bekas suami, Muhammad Afandi Amir, 39, tahun lalu, tetapi Kartika enggan memikirkannya dalam masa terdekat.


    "Saya baru mengambil alih perniagaan inap desa Perak River Safari daripada ayah dan tumpuan kini hanya kepada kerja untuk mempromosikannya yang diuruskan bersama dua abang saya.


    "Wanita mana tidak mahu hidup bersama lelaki bergelar suami, tetapi ia (berkahwin) bukan keutamaan saya dalam tempoh lima tahun ini.


    "Namun, jika ditakdirkan bertemu jodoh dalam tempoh itu, siapalah saya untuk menolaknya," katanya.


    Kartika berkata dia tidak meletakkan syarat bagi mereka yang ingin menyuntingnya sebagai suri hati tetapi paling penting, lelaki berkenaan menerima anaknya, Wann Kaitlynn Saridewi Muhammad Affandi, 7.


    Katanya, anak adalah keutamaannya kini, lebih-lebih lagi sejak melalui kejadian sedih yang meragut nyawa anak sulungnya ketika insan lain yang bergelar ibu gembira menyambut Hari Ibu.


    Bagaikan menjadi penawar duka, Kartika menerima seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang diberi seorang wanita seminggu selepas pemergian Azfar untuk dijadikan anak angkat.


    Kanak-kanak perempuan itu yang dikenali sebagai Qaisara tidak dianggap pengganti Azfar, sebaliknya sebagai kawan kepada Wann Kaitlynn.


    "Qaisara tidak akan sama dengan Azfar kerana anak sulung saya mempunyai tempat istimewa dalam hati saya dan dia (Azfar) tetap saya kenang dan sayang sehingga ke hujung nyawa.


    "Bagaimanapun, saya tetap mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada Qaisara kerana dia adalah amanah yang perlu saya pelihara dengan sewajarnya," katanya.


    Seperti Azfar, Qaisara tergolong dalam kategori kanak-kanak istimewa kerana mengalami masalah lembam tetapi Kartika reda menerima kekurangan anak angkatnya itu.

    Ke rumah mentua

    Posted: 27 Aug 2011 08:10 AM PDT

    KUALA LUMPUR: "Insya-Allah, tahun pertama bergelar isteri, saya akan mengikut abang pulang berhari raya di kampungnya di Sungai Besar (Selangor)," kata isteri muda pengacara dan penyampai radio popular, Salih Yaacob, Samihah Sheikh Ali, 25.

    Samihah atau lebih mesra dengan panggilan Emi mengikat tali perkahwinan dengan Salih penghujung Mei lalu, mengakui ia adalah pengalaman baru baginya yang sebelum ini meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Mersing, Johor.


    "Sekarang saya berada di kampung (Mersing) dan akan pulang ke Kuala Lumpur, Ahad (hari ini) ini menaiki bas bagi menyediakan persiapan raya di keluarga mentua pula.

    "Selama empat bulan bergelar isterinya, saya mula memahami sikapnya yang terlalu bersederhana malah persiapan hari raya kali ini pun ditentukan abang dan kakak (madu) yang lain," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


    Menurutnya, Salih sering mengingatkannya mengenai sambutan perayaan secara sederhana dan mengikut kemampuan mereka, selain membuang tanggapan hanya menziarahi kubur serta bermaafan di Aidilfitri. Menjawab persoalan mempunyai keistimewaan bergelar isteri muda, Emi menafikan tanggapan berkenaan malah menyifatkan suaminya bersikap adil terhadap keempat-empat isterinya.


    Malah ia terbukti sepanjang Ramadan lalu, apabila mereka sekeluarga kerap berbuka puasa bersama-sama sekali gus mengeratkan lagi hubungan mesra yang sedia ada.

    Emi juga tidak menolak kemungkinan mereka sekeluarga bakal menyambut hari raya bersama-sama, namun tarikhnya masih belum ditentukan Salih.


    Lebih melegakan Emi yang juga pembantu peribadi Salih, adalah pengertian dan sokongan ibu bapanya yang sentiasa memahami kedudukannya mempunyai keluarga besar.

    Sementara itu, Salih ketika dihubungi berkata, menyedari tanggungjawab besar yang dipikulnya apabila memiliki keluarga besar, dia mempraktikkan sistem giliran pulang ke kampung empat isterinya.


    "Saya beruntung apabila dianugerahkan isteri yang memahami dan berdikari. Malah diakui keempat-empat isteri saya bijak memainkan peranan mereka sendiri sambil mendapatkan pandangan saya sebagai suami sebelum membuat keputusan.


    "Saya tidak pernah menghalang isteri jika mereka ingin menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa masing-masing biarpun lebih afdal mereka berada di sisi saya kerana memahami kerinduan mereka terhadap keluarga," katanya.


    Menurutnya, dia akan mencuri masa untuk menziarahi keluarga mentuanya di Kajang, Selangor (isteri pertama), Bagan Serai, Perak (isteri kedua), Alor Setar, Kedah (isteri ketiga) dan Mersing (isteri keempat).


    Katanya, dia akan memanfaatkan sebarang jemputan pertunjukan pentas di tiga negeri berkenaan untuk beraya di kampung mentuanya. Selain itu, Salih berkata, dia bercadang mengadakan rumah terbuka untuk peminat namun enggan menetapkan sebarang tarikh kerana bimbang hajat itu tidak kesampaian.


    Tambahan pula, dia kini bakal melancarkan produk berasaskan makanan jenamanya sendiri bulan depan.

    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved