Jumaat, 26 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Buah tangan pereka muda

Posted: 26 Oct 2012 08:43 AM PDT

MENGHASILKAN pakaian bukan hanya perlu dipelajari secara formal di sekolah fesyen, tetapi minat serta kesungguhan dalam rekaan akan menentukan kreativiti pereka.

Buktinya, ramai pereka tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang fesyen, namun mampu menghasilkan busana indah dan mempunyai nilai estetika tersendiri.


Bagi pereka muda Mohamad Zakwan Mohamad Anuar, 21, kegemaran melihat himpunan fesyen era 20-an dan 30-an sama ada menerusi majalah mahupun pertunjukan fesyen membentuk dirinya menjadi lebih kreatif sekali gus menambah minat kepada bidang seni rekaan. Dia yang sedang menuntut dalam jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, sejak berusia 12 tahun sudah mampu menilai keindahan pakaian bukan saja daripada segi corak, tetapi potongan serta perhiasan digunakan. Semua ini dipelajari menerusi pembacaan serta kegemaran melihat sesuatu yang cantik. "Ketika di sekolah rendah saya mengambil mata pelajaran ekonomi rumah tangga dalam bidang jahitan. Daripada situ sedikit sebanyak saya mempelajari asas jahitan dan mula menanam minat menjadi pereka fesyen satu hari nanti," katanya.

Melihat potongan di bawah label Zakwan Anuar, ternyata dia mempunyai cita rasa tersendiri. Tanpa perlu mengenakan fesyen yang sarat, Zakwan memilih untuk menerapkan rekaan sederhana, ringkas dan kemas sama ada menerusi warna, fabrik mahupun perincian.


Mengambil inspirasi era 20-an sebagai latar, Zakwan memperkenalkan himpunan sedia dipakai dengan memberi tumpuan kepada seluar, jaket dan kemeja sebagai asas. Setiap padanan mengetengahkan konsep suai padan menerusi rekaan skirt dan gaun pendek pada fabrik polos serta bercorak. "Saya mengambil kira wanita moden masa kini yang aktif, namun sentiasa anggun dan cantik dalam penampilan mereka. Maka lahirlah koleksi yang memberi ilham kepada wanita menggayakan padanan untuk semua majlis," katanya yang pernah mengadakan pertunjukan fesyen di pentas peragaan Stylo dan Minggu Fesyen Malaysia Antarabangsa (Mifa). Pereka kelahiran Pahang ini gemar melihat pertunjukan fesyen luar negara yang disifatkan sangat ke hadapan dan melangkaui masa. Mungkin apa yang dipaparkan tidak mampu ditiru seratus peratus namun kreativiti mereka harus dipuji. "Rujukan saya daripada pertunjukan fesyen antarabangsa kerana koleksi dipaparkan memberi ilham dalam menghasilkan rekaan. Daripada situ saya mengambil sedikit demi sedikit dan membuat pengubahsuaian daripada segi potongan dengan meletakkan ciri-ciri kemelayuan sebagai asas," katanya yang meminati rekaan Radzuan Radziwill serta Tom Abang Saufi kerana unik dan bercita rasa asli. Melihat fesyen diketengahkan, keistimewaan Zakwan pada pemilihan fabrik broked yang jarang digunakan. Walaupun ia sedikit tebal, sekiranya pereka tahu menyesuaikannya ia tidak nampak janggal. Selain itu fabrik satin serta crepe turut menjadi pilihannya. "Saya banyak menggunakan broked pada jaket dan seluar kerana coraknya begitu unik dan berseni. Sekali pandang ia seakan berkilat dan nampak seperti corak songket," ujarnya yang mula membuka butik yang dikongsi bersama lima pereka lain pada Julai 2012 lalu. Daripada segi warna, anak sulung empat beradik ini begitu meminati rona pastel seperti hitam dan putih serta malap namun mempunyai 'kuasa' apabila dipakai wanita. Bagi Zakwan, selain fabrik pemilihan warna sangat penting dalam menentukan ketahanan serta menonjolkan daya tarikan seseorang. Koleksi musim bunga dan panas 2013 ini ditujukan untuk semua golongan hawa bermula remaja sehingga penghujung 40-an.


Butik Seethrough dibuka dari jam 11 pagi hingga 9 malam. Untuk setiap padanan harga, ia bermula di antara RM200 hingga RM800.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


Hiasi ruang meja

Posted: 26 Oct 2012 08:25 AM PDT

RUANG meja yang diberi penampilan baru berupaya mengubah suasana biasa menjadi lebih ceria dan bersemangat.

Kehadiran gubahan ringkas bunga-bungaan segar tentunya tidak dinafikan daya tarikannya.

Biarpun kecil atau sederhana gubahannya, reka letak menarik mampu menyerlahkan kelainan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Ugut potong telinga guru

Posted: 25 Oct 2012 03:29 PM PDT

KUALA TERENGGANU: Tiga beradik layak digelar samseng kini diburu polis selepas mencederakan seorang guru akibat tidak berpuas hati mangsa menampar anak seorang daripada mereka di Masjid Kayu Ulul Albab, Seberang Jertih, Besut.

Dalam kejadian pada 24 Ogos lalu, guru berusia 42 tahun itu dipukul tiga beradik terbabit dikenali sebagai Azizan Awang, 34, Afizol, 39, dan Anuar, 47, selepas berang mangsa menampar kanak-kanak berkenaan yang dikatakan membuat bising ketika di masjid.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas kanak-kanak itu tidak mengendahkan teguran guru terbabit beberapa kali.

sebelum kejadian guru itu menegur anak suspek kerana bising dalam masjid namun tidak diendahkan kanak-kanak terbabit.


Menurutnya, mangsa kemudian menampar kanak-kanak itu yang memaklumkan bapanya menyebabkan guru berkenaan dipukul tiga beradik itu.


"Akibatnya, mangsa cedera dan dirawat di Hospital Besut sebelum membuat laporan polis. Bagaimanapun perasaan tidak puas hati suspek tidak berakhir di situ apabila mereka melawat mangsa di hospital dan mengugut memotong telinganya jika mangsa enggan menarik semula laporan polis yang dibuat.

"Bimbang kejadian tidak diingini, mangsa yang ketakutan menarik semula laporan itu, tetapi mengubah fikiran dan membuat semula laporan di Balai Polis Jertih, Besut pada 4 Oktober lalu.


"Usaha memburu tiga beradik itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja menyebabkan cedera parah dan Seksyen 506 KK sama kerana melakukan ugutan jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, polis memburu tiga lelaki lain dipercayai terbabit beberapa kes jenayah kekerasan hingga menyebabkan kecederaan di daerah Besut sejak Julai lalu.


Katanya, Che Wan Sharmizie Che Mat, 31, dipercayai menetak seorang guru sekolah rendah dengan parang panjang hingga cedera parah di badan, kaki dan tangan, Selasa lalu.


"Dua suspek lain ialah Mohd Amir Che Ya, 24, yang disiasat mengikut Seksyen 148 KK kerana memiliki senjata bahaya dalam rusuhan hingga mencederakan seorang lelaki pada 1 Oktober lalu dan Zamri Husin, 30, atau dikenali sebagai Awie bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 KK.


"Kami memandang serius beberapa siri jenayah kekerasan di Terengganu terutama Besut dan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memburu suspek.


bagi memastikan mereka yang bersalah dikenakan tindakan sewajarnya.


"Keluarga atau rakan diingatkan tidak cuba melindungi suspek dan memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan mereka," katanya.


Mereka mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222 atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, 09-6246222.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


‘Begitulah bila nak raya’

Posted: 25 Oct 2012 03:26 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga ayam kepada RM7 hingga RM7.50 sekilogram tidak membebankan kebanyakan warga kota untuk mendapatkan bekalan bahan mentah itu sempena Aidiladha yang disambut hari ini berbanding harga siling ketika Aidilfitri lalu iaitu RM6.80 sekilogram.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar awam sekitar ibu kota termasuk di Pasar Chow Kit mendapati rata-rata pengunjung berpuas hati dengan harga berkenaan ketika ini selain menyifatkan kenaikan itu perkara biasa menjelang musim perayaan.


Selain itu, harga sayur-sayuran dan ikan juga tidak mengalami sebarang perubahan. walaupun ada pihak mendakwa harga bagi barangan itu akan naik berikutan musim hujan sejak beberapa minggu lalu mungkin akan mengurangkan bekalan di pasaran. Bagi peniaga pula, mereka tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan daripada pemborong meskipun berlaku sedikit kenaikan dalam kos pengeluaran ayam akibat kenaikan harga makanan ayam diimport dari luar negara.

Peniaga ayam segar, Mohd Nazri Mohd Yunus, 32, berkata dia bernasib baik kerana pembekalnya bukan saja tidak menaikkan harga ayam malah menurunkan sedikit harganya membolehkan dia menjualnya pada harga RM7 sekilogram.


"Sambutan pelanggan juga amat menggalakkan walaupun harga ayam Aidilfitri lalu lebih murah berbanding ketika ini. Lebih 500 ekor ayam di gerai saya dapat dijual sejak semalam (kelmarin)," katanya.


Bagaimanapun, bagi peniaga ayam, Azlan Sidi, 35, permintaan terhadap ayam menjelang Aidiladha tahun ini agak berkurangan berbanding tahun lalu dan mengakui peniaga sepertinya berdepan masalah sama.

"Tahun lalu permintaan terhadap ayam amat tinggi hingga mencecah lebih 1,000 ekor manakala ayam pencen pula mencecah 1,500 ekor. Sehingga jam 11 pagi tadi (semalam) ayam yang terjual hanya kira-kira 400 ekor saja," katanya.


"Permintaan pembeli semakin kurang mungkin kerana ramai di antara mereka yang lebih gemar membeli ayam di pasar raya besar sekitar bandar raya," katanya.

Sementara itu, bagi peniaga kelapa dan santan, Azlan Shah Ismail, 26, permintaan terhadap bahan itu agak berkurangan walaupun dijual pada harga sama tanpa sebarang peningkatan iaitu RM6 sekilogram bagi santan dan kelapa sekitar RM2 hingga RM2.50 setiap biji. "Keadaan amat berbeza tahun lalu apabila 2,400 biji habis dijual sehari sebelum Aidiladha namun kali ini walaupun bekalan sebanyak 2,000 biji pun hanya separuh daripadanya yang dapat dijual," katanya.


Pengguna, Abdul Rahman Abd Karim, 56, berkata walaupun berlaku kenaikan harga barang keperluan seperti ayam sekitar 20 sen hingga 50 sen, ia tidak menjejaskan peruntukan perbelanjaannya untuk sambutan Aidiladha.


"Biasalah ada turun naik harga, namun tidaklah terlalu mendadak hingga menjejaskan pengguna. Malah harga kebanyakan barangan keperluan lain seperti sayur dan ikan juga jauh berbeza," katanya.


Bagi Maznah Yahya, 46, dia berpuas hati kerana rata-rata peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati malah jika ada kenaikan sekali pun ia tidak terlalu ketara.


"Walaupun harga barangan keperluan seperti ayam agak mahal di pasar, saya lebih gemar membeli di sini kerana lebih segar berbanding di pasar raya besar. Memanglah pasar raya besar sering membuat promosi dan harganya jauh lebih murah tapi kesegarannya tidak terjamin," katanya.


Nick Noornazeela Zaidi, 27, pula berkata walaupun harga sesetengah barangan naik, orang ramai tetap membeli barangan terbabit berikutan ia keperluan dalam kehidupan seharian dan menggalakkan orang ramai berbelanja secara berhemah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pengorbanan adik-beradik

Posted: 25 Oct 2012 11:58 AM PDT

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada tanggal 1 Zulhijjah dalam kalendar Islam diraikan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Bagi umat Islam yang terpilih menjadi tetamu Allah, mereka cukup bertuah kerana dapat bersama jutaan lagi umat Islam yang lain mengerjakan ibadah haji di Baitullah, Tanah Suci Makkah sekali gus menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

Jika 1 Syawal adalah hari kemenangan umat Islam, Aidiladha atau Hari Raya Qurban pula mengajak kita untuk sama-sama mengingati dan menghayati kisah pengorbanan agung, Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam menunaikan perintah Allah SWT.

Begitulah pengertian sebenar di sebalik sambutan Hari Raya Aidiladha. Sebagai umat Islam, kita juga dituntut untuk melakukan pengorbanan sama ada besar atau mungkin cuma sebesar zarah sekali pun. Besar atau kecil tidak penting asalkan pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas dan mengharap keredaan Allah itu mampu meningkatkan keinsafan dalam diri kita.


Menyentuh mengenai pengertian Aidiladha, model jelita dan pelakon terkenal yang juga pasangan adik-beradik berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Natasha dan Tania Hudson juga memiliki pandangan dan pengertian masing-masing.

Tasha tangguh umrah kali kedua

PELUANG menjejakkan kaki buat kali pertama ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu ternyata meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam diri model, pengacara dan aktres terkenal, Natasha Liana Hudson, 29.

Natasha yang lebih mesra disapa Tasha dan kini bergelar isteri kepada penyanyi dan komposer muzik, Carleed Khaza atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 33, mengakui hatinya cukup rindu untuk kembali ke Tanah Suci Makkah buat kali kedua.

"Sebenarnya, pemergian saya ke buat umrah tanpa dirancang sebelum ini. Namun, saya sudah lama impi nak buat umrah dan bila ada rezeki, saya nekad ke tanah suci sendirian mengikut pakej umrah tanpa ditemani mama dan ahli keluarga lain.

"Terus terang, selepas buat umrah kali pertama, saya berasa rindu untuk ke sana semula. Sebagai model, saya pernah melancong ke pelbagai negara di seluruh dunia tapi perasaannya cukup berbeza sama sekali bila kita berada di tanah suci.

"Sukar saya gambarkan perasaan ketika menatap Kaabah buat kali pertama. Bagi saya, ia tempat yang paling tenang di dunia Di situ semua manusia sama di sisi Allah tanpa membezakan pangkat atau darjat mereka," katanya.

Berkongsi pengalaman ketika di sana, kata Tasha, banyak perkara yang menimbulkan keinsafan dalam dirinya sepanjang di sana.

"Selain dapat pengalaman solat depan jenazah, perkara yang banyak membuka mata saya ialah mengenai teman sebilik yang juga seorang mualaf ketika di sana.
Walaupun baru setahun memeluk islam, banyak ilmu agama yang dia lebih tahu dari kita yang memang sudah dilahirkan sebagai orang islam. Kisah hidupnya juga lebih kurang sama dengan saya yang pernah bercerai sebelum ini.

"Pengalaman lain yang turut menimbulkan kesedaran dalam diri ialah bila saya menangis tanpa henti ketika berdoa di Raudah. Saya tidak kisah dipijak dan dilangkah jemaah lain asalkan saya dapat solat dan berdoa di situ. Saya sangat bersyukur kerana segala ibadah di sana dipermudahkan dan apa yang saya doa turut dimakbulkan Allah," katanya.

Ditanya bila hatinya benar-benar terbuka untuk berhijab, akui Tasha yang kini mengandung tiga bulan, semuanya bermula sebaik saja dia kembali dari tanah suci.

"Sebaik saja sampai ke rumah, saya menangis kerana merindui tanah suci. Tiga minggu selepas kembali dari tanah suci, saya terus berhijab kerana berasa seperti ada yang tidak kena bila keluar rumah tanpa bertudung. Selepas berhijab barulah saya berasa tenang dan gembira dan perasaannya juga susah saya nak terangkan pada orang.

"Selain itu, saya juga merancang buat umrah kali kedua bersama Carleed tapi ia terpaksa ditangguhkan kerana saya mengandung. Insya-Allah, kami akan ke sana lagi pada tahun depan. Pada masa sama, Carleed juga sudah buat umrah kali pertama sebelum kami berkahwin dulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, ibu kepada Nessa Helena, 3, yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita sempena Festival Filem Malaysia ke-20 (filem Chermin) ini berkata, rezekinya juga murah dalam bidang pengacaraan, selepas berhijrah, baru-baru ini.

"Saya dapat banyak tawaran mengacara program dengan stesen TV Al-Hijrah, ketika ini. Antaranya, program yang mengupas topik kekeluargaan sebanyak 26 episod, Sembang Santai Cikgu Sidek dengan penampilan penulis terkenal, Profesor Datuk Dr Sidek Baba. Selain itu, ialah program Soal Wanita juga untuk stesen TV Al-Hijrah.

"Saya juga memilih untuk kembali dalam bidang pengacaraan kerana perlu seimbangkan karier dan keluarga selepas berumah tangga. Selain mengacara, saya juga fokus pada bisnes tudung online yang baru diceburi," katanya.

Korban kambing untuk Tania di Tanah Suci

JIKA Tasha temui ketenangan di Tanah Suci Makkah, adiknya, Tania turut menyimpan hasrat sama untuk menunaikan ibadah umrah sekali gus berhijab bila sampai masanya nanti. Bagi pelakon filem aksi Balistik arahan Silver terbitan Suhan Movies Trading dan Asia Tropical Film ini, dia turut bersyukur dengan perubahan imej kakaknya yang tampil berhijab selepas kembali dari Tanah Suci.

"Sepanjang buat umrah, Tasha selalu berhubung menerusi 'WhatsApp' dengan saya dari sana. Selain bercerita pengalamannya di sana, dia turut merakamkan suara azan yang berkumandang secara 'live' dari tanah suci untuk saya sama-sama menghayatinya.

"Pada mulanya, saya terkejut bila tengok imej baru Tasha yang berhijab bila balik dari umrah. Namun, sebagai adik, saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat karier dan kehidupannya bersama keluarga," katanya.

Kata Tania, selain Tasha, ibunya, Ratna Hussin juga sudah beberapa kali buat umrah ketika bertugas sebagai pramugari Air Asia dulu.

"Namun, pada tahun ini, baru mama berpeluang buat ibadah haji di tanah suci dan akan kembali ke tanah air pada penghujung November nanti. Mama ke sana bersama dua lagi ibu saudara untuk mengerjakan ibadah yang juga rukun islam kelima itu.

"Lebih bermakna, mama juga buat ibadah korban dengan mengorbankan kambing untuk saya di sana. Insya-Allah, bila ada rezeki, saya berhasrat untuk ke tanah suci bersama mama pula nanti.

"Maklumlah, Tasha sudah berkahwin dan ada komitmen pada anak dan suaminya pula," katanya yang turut menjadi artis undangan dalam filem komedi Mana Mau Lari arahan Profesor Madya A Razak Mohaidden.

Mengenai sambutan Aidiladha tahun ini, Tania berkata, dia akan beraya di rumah nenek di sebelah ibunya di Tapah, Perak.

"Saya akui memang sunyi bila menyambut raya tanpa mama di sisi. Tapi suasana Aidiladha di kampung tetap meriah apabila kami sekeluarga berkumpul di sana.

"Maklumlah, keluarga mama besar kerana dia memiliki seramai 12 adik beradik.
Bayangkan bila kami semua berkumpul bersama sepupu dan anak-anak masing-masing pasti suasana sambutan Aidiladha di rumah nenek cukup meriah," katanya.
Sementara itu, Tasha dan Tania juga mengucapkan Selamat menyambut Aidiladha buat semua pembaca setia Rap di luar sana.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


TV utamakan kualiti produk

Posted: 25 Oct 2012 10:23 AM PDT

BARU-BARU ini, pengarah veteran, Othman Hafsham, 72, meluahkan rasa kecewanya mengenai bayaran murah yang didakwa diberikan stesen TV terhadap karya penggiat seni.

Lantang menyatakan rasa dukacitanya dan berkata, perkara itu jelas memberi tekanan kepada penggiat seni yang tiada pilihan selain menjual juga produk mereka, Othman menggesa stesen TV tempatan sepatutnya membayar jumlah setimpal kepada mereka.

Dia turut mendakwa keempat-empat stesen TV di bawah Media Prima Berhad juga memberikan bayaran mendukacitakan dan sudah menetapkan harga yang sama serta sangat murah.

Isu berkenaan kemudian mendapat perhatian Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan presidennya, Jurey Latiff Rosli, tampil memperjuangkan kepentingan penerbit TV tempatan yang selama ini seolah-olah ditindas stesen-stesen TV tempatan.


Dakwaan itu menggesa Media Prima Berhad tampil bersuara dan kelmarin, satu pertemuan antara Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar bersama Jurey diadakan bagi menyelesaikan kemelut dan salah faham berkenaan.


Ahmad Izham yang tampil pada sidang media berkenaan sejurus selepas pertemuan itu menjelaskan bahawa adanya salah faham dan Media Prima sendiri sebenarnya membayar harga kepada penerbit seperti yang ditetapkan selama ini.

"Selama lebih 28 tahun lalu, syarikat kami sentiasa memberi sokongan dan peluang kepada penggiat seni untuk mengetengahkan karya mereka walaupun dilanda kemelesetan sekali pun.

"Sepanjang tempoh itu juga, kami memberi bayaran lebih kerana menyedari penerbitan sesuatu karya bukannya mudah dan memerlukan pulangan yang setimpal.
Stesen TV3 khususnya, sentiasa sedia memberikan bayaran tinggi untuk pembelian program tempatan.

"Bagaimanapun, ada penetapan tertentu terhadap bayaran mengikut program dan antara elemen penting kami utamakan juga tentunya kualiti yang seharusnya ada dalam kandungan setiap produk itu sendiri.

"Dalam mesyuarat itu, kami juga ada dimaklumkan mengenai jumlah bayaran rendah yang dimaksudkan persatuan berkenaan. Terdapat kesilapan di situ dan angka yang diutarakan itu bukanlah seperti bayaran sebenar pihak kami," katanya.

Sangat mengambil berat mengenai permasalahan itu, Ahmad Izham juga berharap penggiat seni tanah air selepas ini akan tampil dengan produk yang lebih berkualiti untuk dijual kepada syarikat berkenaan.

"Saya sudah membincangkan perkara berkenaan bersama Jurey dan memberi jaminan kepada setiap produser untuk karya mereka ditayangkan dengan syarat, kualitinya mestilah bagus.

"Dengan reputasi yang ada pada syarikat ini, kami sangat mengalu-alukan selepas ini program yang diusulkan bukannya kandungan biasa dan mestilah menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Alasan kahwin 11 kali

Posted: 25 Oct 2012 03:49 PM PDT

Oleh Riadz Radzi, Hadzlan Hassan, Shamran Sarahan, Yusmizal Dolah Aling dan Nurasyikin Ramli
am@hmetro.com.my

KAJANG: "Saya nak cari yang terbaik, tapi setiap kali berkahwin saya gagal." Itu alasan diberikan lelaki berperwatakan alim yang didakwa berkahwin 11 kali ketika disoal siasat penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejurus ditahan, awal pagi semalam.

Kisah Mohd Razis Ismail, 30, didedahkan Metro Ahad pada 21 Oktober lalu selepas mendapat aduan daripada sebahagian isterinya, sekali gus mendorong Jais melakukan siasatan sebelum menahannya.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi Jais diketuai Penolong Pengarahnya, Shahrom Maarop di sebuah kedai makan di Bandar Tun Hussein Onn, di sini, jam 1 pagi semalam.

Dia didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, di sini, jam 3 petang semalam, atas dua tuduhan iaitu memalsukan dokumen untuk bernikah dan bernikah tanpa kebenaran mahkamah.


Ketika disoal siasat, Mohd Razis bagaimanapun menafikan dia berkahwin 11 kali, sebaliknya hanya sembilan kali dengan yang terbaru pada Ogos lalu, namun dia gagal mengingati dengan tepat maklumat peribadi semua isterinya dengan alasan hanya berjumpa sekali-sekala sebelum bercerai.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


‘Tolong selamatkan aku!’

Posted: 25 Oct 2012 03:49 PM PDT

JEMPOL: "Tolong selamatkan aku long, guna talian antarabangsa, ini pun curi-curi," itulah kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS), Nik Rosmalina Nik Mat, 28, yang hilang sejak 15 Oktober lalu bersama anak perempuannya berusia tiga tahun dan kini didakwa berada di Pulau Lombok, Indonesia.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan isteri peneroka Felda Lui Selatan 1 itu hilang dipercayai angkara seorang lelaki yang menyimpan gambar mengaibkan wanita berkenaan dan mengugut menyebarkannya jika dia enggan mengikut arahannya.

Kelmarin, suaminya, Salleh Hussin, 54, membuat laporan di Balai Polis Sungai Lui selepas kakak Nik Rosmalina di Kelantan menerima beberapa pesanan SMS meminta tolong membantunya kerana mendakwa 'dilarikan tanpa sedar' di Kampung Batunyala, Lombok Tengah, Indonesia.

"Sebaik diberitahu mengenai SMS itu oleh kakak isteri di Kelantan, saya segera membuat laporan polis pada hari sama sebab terlalu bimbangkan keselamatan isteri serta anak kesayangan, Nur Alia Nadia.


"Isteri turut memberikan alamat kedudukannya iaitu Kampung Batunyala, Praya, Lombok Tengah, Indonesia. Manakala, lelaki yang didakwa membawa mereka ke sana bernama Edy Gunawan dan ibu lelaki itu pula Sakmah Sinom.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Dara laku RM2.4 juta, teruna cuma RM9,000

Posted: 25 Oct 2012 02:56 PM PDT

SYDNEY: Seorang penuntut dari Brazil memperoleh bayaran AS$780,000 (RM2.4 juta) hasil lelongan dara di Internet, manakala seorang teruna cuma dibayar AS$3,000 (RM9,000).

Menurut dokumentari berjudul Virgins Wanted dihasilkan seorang karyawan Australia, Catarina Migliorini, 20, dibida 15 peminat dan akhirnya ia dimenangi seorang lelaki warga Jepun - hanya dikenali sebagai Natsu - malam kelmarin.


Sebahagian besar peminat yang ingin meniduri Catarina datang dari Brazil, selain India, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Pemuda yang melelong terunanya dikenali sebagai Alex Stepanov, 21, berasal dari Sydney.


Seorang wanita Brazil memenangi bidaan ke atas Stepanov. Media melaporkan, Catarina akan "dihantar" kepada pembelinya menggunakan kapal terbang.


Dia juga akan ditemubual di sebuah lokasi rahsia bagi menceritakan pengalaman sebelum dan selepas mengorbankan daranya.

Karyawan yang menghasilkan Virgins Wanted, Jason Sisely, berkata dia memulakan projek berkenaan pada 2009 dan berdepan dengan tentangan banyak pihak apabila poster mengenainya dinaikkan di Sydney serta Melbourne.


Katanya, dia terkejut melihat reaksi orang ramai.

"Sejak lelongan ditutup Catarina amat teruja.


"Dia bercakap dengan keluarganya dan mereka juga gembira dengan apa yang berlaku," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


Tarzan wanita dari Colombia

Posted: 25 Oct 2012 02:54 PM PDT

BRADFORD: Seorang wanita Yorkshire mendakwa dia menghabiskan masa kecilnya di kawasan hutan pedalaman di Colombia dan membesar bersama keluarga monyet.

Menurut Marina Chapman, bukan itu saja persamaan hidupnya dengan cerita legenda terkenal dunia, Tarzan. Menurut Marina, dia terpaksa tinggal di kawasan hutan tebal selepas diculik sekumpulan penjenayah sebelum ditinggalkan di kawasan terpencil.


Katanya, ketika itu dia baru berusia lima tahun.

"Saya bernasib baik kerana diselamatkan dan dibesarkan sekumpulan monyet di kawasan hutan itu," katanya. Sejak itu, kata Marina, dia diajar menangkap arnab dan burung tanpa sebarang kelengkapan.


Marina hanya diselamatkan selepas seorang pemburu menemuinya secara kebetulan dan menjualnya ke sebuah rumah pelacuran di bandar Cucuta.


Nasib wanita itu baik apabila dia berjaya melarikan diri dan menghabiskan masa bertahun-tahun di jalanan. Ketika itu, kata Marina, tuah sekali lagi menyebelahinya apabila ada satu keluarga mengambilnya sebagai pembantu rumah.

"Di situ, saya dilayan dengan baik dan dianggap sebahagian daripada keluarga mereka," katanya. Hanya selepas berusia 25 tahun, barulah Marina diajak mengunjungi Bradford bersama jiran majikannya. Di situ, kata Marina, dia menemui lelaki yang kemudian menjadi suaminya, John Chapman, yang ketika itu berusia 29 tahun. Mereka berkahwin pada 1977. Kata Marina, dia tampil mendedahkan kisah hidupnya untuk memberi kesedaran terhadap kegiatan perdagangan manusia.


"Kegiatan ini memang berlaku di Amerika Selatan," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tugas berat Zulfahmi

Posted: 25 Oct 2012 02:48 PM PDT

PELUMBA Moto3 negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin, yang berjaya meraih kedudukan kedua pada MotoGP Grand Prix Malaysia Ahad lalu, dijangka menghadapi tugas berat di GP Australia di Phillip Island, hujung minggu ini.

Namun begitu, Litar Phillip Island bukan sesuatu yang janggal bagi pelumba berusia 21 tahun itu kerana dia pernah bersaing sebanyak dua kali dalam kategori GP125cc di litar itu.


Bagaimanapun, dia hanya mampu menduduki tempat ke-20 tahun lalu dan gagal layak pada penampilan sulung pada 2010.

"Perlumbaan GP Australia adalah amat sukar dengan ciri litarnya agak ketat, pantas serta berangin...ia amat mencabar bagi pelumba," kata pelumba kelahiran Banting, Selangor itu, semalam.


Bermula hari ini hingga Ahad, Litar Phillip Island sepanjang 4,448 meter, yang mempunyai tujuh selekoh kiri dan lima kanan serta laluan lurus utama sepanjang 900 meter itu dianggap litar paling lancar dalam kalendar MotoGP dunia.


"Litar itu amat berbeza dengan Sepang. Sememangnya saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang terbaik," kata pelumba pasukan Team AirAsia-SIC-Ajo itu.

Zulfahmi berkata keutamaannya adalah untuk mempertahankan tempat ketujuh keseluruhan. Dia kini mempunyai 112 mata, 18 mata di depan Miguel Oliveira dari Sepanyol yang berada di belakangnya.


Berbaki dua pusingan dalam siri kejuaraan dunia musim ini, gelaran Moto3 dunia musim ini sudah dimenangi pelumba berusia 22 tahun dari Jerman, Sandro Cortese selepas mengumpul 280 mata apabila menjuarai GP Malaysia 2012.

Tempat kedua diduduki pelumba pasukan Kalex KTM, Luis Salom dari Sepanyol dengan 207 mata.


Sementara itu, baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali mengumumkan Zulfahmi ditawarkan untuk menunggang bagi pasukan berprestij Red Bull KTM Ajo Racing bagi musim depan.


Menurutnya tawaran kepada Zulfahmi itu adalah bagi mengisi tempat Cortese yang akan berlumba dalam kategori Moto2.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


‘Salah Mancini’

Posted: 25 Oct 2012 02:46 PM PDT

AMSTERDAM: Micah Richards meletakkan kesalahan kepada pengurus Roberto Mancini selepas kekalahan 1-3 Manchester City di tangan Ajax sehingga menyebabkan impian Liga Juara-Juara kelab itu semakin tertutup.

City tewas di Amsterdam Arena awal pagi semalam namun Richards berasakan kekalahan itu tidak dibantu dengan keputusan Mancini menukar strategi kepada tiga pemain pertahanan sewaktu pasukan pelawat itu ketinggalan 1-2 pada separuh masa kedua.


Tindakan itu dilakukan Mancini ketika perlawanan berbaki setengah jam, namun dalam tempoh lima minit Christian Eriksen meledak jaringan bagi memberikan kelebihan berganda buat Ajax dengan juara liga Inggeris itu gagal mempamerkan kebangkitan.

Secara tiba-tiba Mancini mengubah formasi dengan menggunakan empat pertahanan semula namun segala-galanya sudah terlewat.


Kekalahan itu menyebabkan City menghuni tempat tercorot Kumpulan D, ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund dan lima mata kepada Real Madrid ketika berbaki tiga perlawanan.


Bercakap kepada Sky Sports selepas wisel penamat, Richards berkata pemain City tidak selesa dengan perubahan taktikal pengurus mereka.

"Ia adalah sesuatu yang kami tidak selalu tekankan semasa latihan dan pada babak kedua kami melepaskan gol selepas menggunakan tiga pertahanan," kata pemain pertahanan kanan itu.


"Kami perlu membaikinya. Kami gembira untuk beraksi namun saya fikir pemain lebih gemar menggunakan empat pertahanan. Ia (tiga pertahanan) adalah kehendak pengurus." Ketika sidang media selepas perlawanan, Mancini jelas kecewa namun menolak andaian keputusan taktikal dilakukannya menyebabkan peluang City untuk bangkit tidak berhasil.

"Kami mengubah taktikal selama lima minit kerana mahu seorang pemain berada di kawasan lawan," katanya. "Namun di atas padang, kami sentiasa mempunyai 11 pemain.


"Jika ada pemain yang mahu menjadikannya sebagai alasan, ia OK namun itu bukan penyebabnya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved