Isnin, 17 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tepuk bahagian lemah!

Posted: 17 Sep 2012 09:07 AM PDT

SEDANG leka berjalan menuju ke kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah, tiba-tiba beg tangan anda direntap oleh individu tidak dikenali yang menutup kepalanya menggunakan topi keledar.

Anda terkejut dan panik. Namun secara spontan juga, tindakan refleksi minda dan tubuh membuatkan anda melawan individu terbabit bagi mempertahankan barangan berharga.

Akibat tidak berdaya kerana individu itu yang diklasifikasikan sebagai penjenayah lebih berani serta kuat, anda tewas melawan. Bukan saja beg tangan itu berjaya dilarikan malah diri anda turut tercedera.

Jika direnungkan sejenak, berbaloikah tindakan ini? Pernahkah anda terfikir bahawa langkah berkenaan membahayakan nyawa diri sendiri yang pada akhirnya akan mengundang duka kepada ahli keluarga lain sekiranya kejadian serius seperti kematian?


Benar, ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi jika kita boleh berbuat sesuatu untuk menghalang daripada perkara itu terjadi, pasti pengakhiran ceritanya berbeza.


Wakil Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, menasihati orang ramai sama ada lelaki mahupun wanita agar melepaskan saja barangan berharga (seperti beg tangan, dompet atau barang kemas) demi nyawa.

"Jangan mempunyai perasaan jenayah tidak akan terjadi pada diri kita. Pencuri, perompak, penyamun, penjenayah atau apa saja anda gelarkan manusia ini, mereka tidak berperikemanusiaan. Mereka cukup berani untuk melakukan apa saja ke atas diri anda sekiranya matlamat mereka tidak tercapai atau gagal.

"Menyerang, mencederakan dan membunuh adalah trend terkini yang dilakukan mereka. Justeru nasihat saya, berikan saja apa yang mereka mahu asalkan kita selamat.

"Ini kerana, saya pasti anda tahu tahap kecergasan diri sendiri. Kalau difikirkan semula, saya berpendapat biar anda mengalami kerugian harta benda daripada kehilangan nyawa," katanya.

Satu lagi perkara yang harus sentiasa diingat dan disematkan dalam pemikiran kita adalah jangan menyerang kembali sebaliknya, mempertahankan diri daripada menjadi mangsa serangan.

Apa yang penting adalah kesedaran untuk mempertahankan diri daripada menjadi mangsa. Ini diikuti dengan langkah pencegahan dan akhirnya, persiapan diri untuk menghadapi pihak lawan menggunakan taktik mudah dan selamat.

Pendek kata, ia bukan seni mempertahankan diri yang lain seperti silat, karate dan taekwando sebaliknya, ia lebih menekankan kepada konsep menyelamatkan diri sewaktu serangan.

Saiful Hamiruzzaman atau lebih mesra disapa Master Saiful bukan orang baru dalam bidang seni mempertahankan diri kerana selain memiliki tali pinggang
hitam untuk silat dan taekwando sejak di sekolah rendah, dia berpengetahuan di bidang seni mempertahankan diri ikibujitsu (gabungan seni mempertahankan diri aikido dan jujitso).

Selain itu, pengasas kelas mempertahankan diri dikenali sebagai Kick Start ini juga berpengalaman sebagai tenaga pengajar teknik mempertahankan diri di luar negara termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara Eropah.

"Apabila berhadapan dengan penjenayah, perkara penting adalah pemikiran kita sewaktu menghadapi sesuatu situasi. Jika tiada keyakinan, apa sekalipun sukar kita hadapi malah 80 peratus persiapan diri untuk berdepan lawan adalah daripada segi persiapan mental manakala hanya 20 peratus secara fizikal.

"Teknik dan taktik juga penting. Justeru, kita harus tahu bahagian anggota tubuh lawan yang perlu diserang terlebih dulu.

"Anda boleh menepuk, memukul atau mencubit bahagian tepi kepala iaitu di kawasan telinga, tengkuk, lutut, kaki dan dada penjenayah kerana lokasi itu dikenal pasti sebagai bahagian lemah mereka.

"Namun pada zaman kini, menendang bahagian kemaluan mereka mungkin sudah tidak berhasil kerana sejenis peralatan perlindungan diri berbentuk seluar dalam lelaki dan keras di kawasan tengahnya dipakai sebab ia mudah didapati di pasaran (banyak di kedai menjual barangan sukan)," jelasnya yang tidak menafikan, mempelajari seni mempertahankan diri seperti silat dan karate adalah suatu bonus tetapi tidak semua orang mampu mengikutinya.

Tambah menarik, teknik mempertahan diri yang umumnya menggunakan senjata kecil seperti beg tangan, kunci dan kasut amat membantu melindungi diri wanita daripada berdepan dengan serangan, pencabulan atau rogol.

Justeru, mempelajari teknik mempertahankan diri seperti mengenali tempat sensitif yang menjadi tumpuan sekiranya diserang amat diperlukan.

Paling utama ialah bersedia serta yakin terhadap tindakan diambil amat membantu kita mengatasi masalah sekiranya berdepan musuh yang tidak dijangka kerana yang penting utamakan teknik yang mengajar kita untuk mengelak, bukan melawan balik musuh.

Sementara itu, pusat kecergasan Celebrity Fitness yang mempunyai lebih 100,000 ahli di 30 cawangan termasuk di Indonesia, India dan Malaysia, buat julung kalinya mengadakan bengkel mengenai pencegahan jenayah yang berlangsung selama dua jam di cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bertujuan meningkatkan kesedaran, memberi panduan dan tunjuk ajar kepada ahlinya dan orang ramai, bengkel ini mendedahkan mereka mengenai kepentingan dan langkah bijak yang harus diambil untuk menyelamatkan diri ketika diserang penjenayah.

Pengurus Pemasaran Celebrity Fitness, Evelyn Low, berkata dengan pelbagai kejadian jenayah yang berlaku sejak akhir-akhir, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk berkongsi pengetahuan mengenai bahaya perkara ini.

"Kami berfikir bengkel ini dapat memberi manfaat supaya orang ramai mempunyai persediaan awal apabila berhadapan dengan situasi tidak diingini ini," katanya sambil menambah, inisiatif ini turut disokong oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCPF.

Peserta bengkel pada hari berkenaan turut didedahkan dengan rutin senaman Body Combat. Demonstrasi itu menunjukkan latihan fizikal dan Body Combat boleh digabung dan digunakan sebagai seni pertahanan diri dalam situasi genting.

Fakta:

  • Sukar mengenali penjenayah kerana kadangkala sikap orang biasa yang marah atau berdendam mendorong mereka melakukan kekasaran yang boleh mencederakan termasuk lelaki atau wanita dalam pelbagai bentuk fizikal.
  • Selain berserah kepada takdir semata-mata, usaha melindungi diri adalah tanggungjawab sendiri. Selain itu, maklumkan kepada keluarga dan rakan sekiranya ada pihak tertentu yang sering mengganggu kerana biasanya keganasan dilakukan secara terancang.
  • Menurut statistik dikeluarkan PDRM, 79 peratus mangsa keganasan adalah lelaki manakala selebihnya wanita dan kanak-kanak.
  • Statistik jenayah di Malaysia pula menurun sebanyak 30 peratus manakala jenayah kekerasan kekal dengan lima hingga 15 peratus (37,000-42,000 kes dilaporkan setiap tahun).
  • Kita perlu bertindak dengan bijak! Teknik pukul di bahagian tertentu dan lari sekuat hati adalah langkah sebaiknya dilakukan oleh orang ramai.
  • Tarik nafas dan kemudian menghembuskannya dengan kuat selama beberapa kali setiap hari bagi meningkatkan keyakinan diri serta mengelakkan perasaan cepat panik.

    Panduan membantu mengelak menjadi mangsa ragut dan penyeluk saku:

  • Elakkan diri daripada membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak.
    Penggunaan kad debit atau kad kredit boleh dijadikan pilihan.
  • Pastikan anda menutup atau zip beg tangan dengan cermat. Jika keluar dari bank, jangan memegang dan memeluk beg tangan anda dengan kuat di bahagian depan kerana ia boleh membuatkan penjenayah menjadikan anda sasaran mereka (mereka beranggapan ada duit yang banyak di dalam beg itu).
  • Jangan letak atau tinggalkan beg tangan atau dompet anda di dalam bakul atau troli semasa membeli-belah.
  • Jangan tertidur di dalam pengangkutan awam atau membiarkan barangan berharga anda tanpa diawasi.
  • Sila periksa dompet atau beg tangan anda dengan segera sekiranya mengesyaki ada individu cuba menolak atau berasak-asak ke arah anda.

    Panduan membantu mengelak kejadian rogol:

  • Sebagai ibu bapa, ambil tahu lokasi anak anda.
  • Jika keluar berseorangan, pastikan rancang perjalanan dan teman anda itu diketahui orang tersayang.
  • Berhati-hati dengan persekitaran terutama di kawasan gelap dan sunyi.
  • Tunjukkan keyakinan diri semasa berjalan.
  • Jangan berjalan berseorangan terutama di waktu malam.
  • Jika anda (wanita) menggunakan pengangkutan awam, pastikan duduk bersama penumpang wanita.
  • Ketika berada di kawasan awam, sentiasa berwaspada terhadap individu tidak dikenali.
  • Berhati-hati dan pastikan anda sudah bersiap sedia dengan kunci semasa berjalan menghala ke kenderaan sama ada di kawasan letak kenderaan berbumbung atau terbuka.
  • Letak kenderaan di kawasan yang terang dan minta pengawal keselamatan mengiringi anda ke kenderaan jika berasa tidak selamat.
  • Gunakan lif bersama-sama orang ramai dan bukannya berseorangan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Cikgu Rania 2 (Siri 11): Soal hati

Posted: 17 Sep 2012 08:14 AM PDT

RANIA tersentak apabila secara tidak sengaja dia terpandangkan satu wajah yang terimbas di dalam video pernikahan Rais-Murni. Sungguhpun video terpasang dan menayangkan peristiwa yang berlaku siang tadi tetapi sebahagian besar ahli keluarganya sibuk berbual-bual sesama sendiri.

Dicapainya alat kawalan jauh lalu diputarkan semula rakaman yang selintas pandang disuluh matanya sebentar tadi.

"Kejap eh...," ujarnya tanda hormat pada beberapa pasang mata yang menonton rakaman video. Kali kedua melihat, matanya tidak berbohong.

Memang sah! Hati Rania berdetik. Itulah wajah perempuan muda yang dilihat bersama ayah di Pavilion lama dulu. Rupa-rupanya dia hadir pada majlis pernikahan Abang Rais dan Murni. Kenapa aku tak perasan? Fikir Rania dalam keriuhan suara saudara-maranya. Sambil memuat naik beberapa gambar perkahwinan di akaun Facebooknya, dia menjeling ayah yang leka berbual-bual dengan Abang Ridhwan.


Ibunya pula membelek-belek hadiah yang baru dibuka Rais. Murni diam bersimpuh di sisi Abang Rais. Sesekali Kak Rindu dilihat bercakap-cakap dengan Murni.

Rania bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya dapat menerima Murni seadanya.
Cuma sekarang yang mengganggu benaknya ialah perempuan muda dalam rakaman video itu.

Mesti ayah yang jemput dia. Siapa perempuan misteri itu? Fikir Rania lagi namun lamunannya tidak dapat bertahan lama. Suara riuh rendah ahli keluarga menenggelamkan lamunannya. Abang Ridhwan sibuk mengusik menyuruh pasangan pengantin baru masuk bilik. Rais biasa biasa sahaja tetapi Murni tersipu-sipu.
Puan Sri Zalia menjeling menyampah.

Pengantin baru apa! Dah ditebuk tupai pun! Wanita itu mencela di dalam hati.
Macam mana Abang Rais akan lalui malam ini? Fikir Rania. Setakat ini yang tahu tentang Murni hanya ahli keluarga terdekat kecuali Abang Ridhwan dan Abang Iskandar. Puan Sri Zalia berkali-kali berpesan pada Kak Rindu supaya menyimpan rahsia itu. Nasib baik Kak Rindu dapat menerima Murni tanpa banyak kerenah.
Mula-mula Kak Rindu agak terkejut apabila dimaklumkan ibunya tapi apabila disedarkan oleh Rania tentang status 'duda' yang disandang Rais, Kak Rindu terdiam sejenak.

"Tak apalah mama, kalau Rais suka!" ujar Kak Rindu semasa dimaklumkan oleh Puan Sri Zalia tentang cerita sebenar di sebalik pernikahan Rais. Rania ingat peristiwa itu kerana dia ada bersama mereka sewaktu emaknya pecahkan rahsia Murni. Oleh sebab tidak banyak yang membantah, Puan Sri Zalia akhirnya diam dan akur menerima ketentuan takdir. Nasib baik perut Murni tidak ketara besarnya maka situasinya dapatlah disorokkan.

Namun perasaan tidak suka ibunya pada Murni tidak semudah itu hilang. Melihat air muka emaknya pun Rania tahu. Tapi bagaimana pula kalau ibu tahu tentang rahsia ayah? Rania bersoal jawab sendiri. Tapi persoalan itu mati begitu sahaja apabila Ridhwan menyakatnya pula. Terkebil-kebil Rania apabila topik cerita sudah berubah. Nama Ummar Qayyum pula yang disebut-sebut. Puan Sri Zalia paling seronok membentangkan perancangannya menjelang pernikahan Rania bersama Ummar Qayyum.

"Kali ni biarlah betul-betul jadi ya Ren, jangan macam yang sudah-sudah!" Tak puas-puas Ridhwan menggiat.

"Tak apalah juga banding dengan abang yang langsung tak pernah jadi pun!" sanggah Rania balik.

"Abang kan kalau dah suka jadi terus. Tak ada bertunang-tunang pun, terus saja nikah," kata Ridhwan.

Jauh di sudut hati tergerak juga impian untuk memiliki keluarga sendiri. Dia sudah pun berfikir dan merancang ke arah tersebut cuma perancangan itu masih berlakar dalam fikiran.

"Ren pun macam tu juga, nanti terus nikah saja." Rania bersetuju dengan pandangan Ridhwan.

"Mana boleh. Ren punya kena buat betul-betul," sampuk Puan Sri Zalia. Dia sudah merancang macam-macam.

"Mama, kan Ren dengan Qayyum dah cakap hari tu. Kami nak simple sangat," tekan Rania.

Puan Sri Zalia terdiam. Dia malas bergaduh sebab masih penat. Lebih dari itu, majlis tersebut akan menjadi urusannya. Tahulah dia bagaimana untuk dikendalikan.

"Buat simple macam hari ni okey juga apa!" tambah Ridhwan. Kemudian, tidak semena-mena dia mengusik Rais. Terkebil-kebil Rais dibuatnya.

"Kau ni apa kena Rais? Dari tadi abang tengok ketat saja muka."

"Abang Rais penatlah Abang Ridhwan," Rania tolong jawab. Dia sedar mood Rais masih tidak menentu. Adakalanya dia boleh bergelak tawa tapi ada ketikanya Rais akan mendiamkan diri. Sejak peristiwa penangkapan kes khalwat dulu, Rais bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Dia lebih banyak membawa halnya sendiri.
Mudah-mudahan masa akan merawat luka Rais, doa Rania.

Murni yang duduk tidak jauh darinya sudah beberapa kali menguap. Hendak minta diri segan barangkali, fikir Rania. Kak Rindu membantu Iskandar mengangkat anak-anak mereka yang sudah pun terlentuk di ruang tamu. Ayah juga sudah minta diri untuk masuk ke bilik. Yang masih ada di ruang tamu besar ialah emak, Rais, Murni dan Ridhwan yang duduk di sebelahnya. Cuba diintai apa yang ditaip Rania tapi segera dihalang Rania.

"Janganlah sibuk nak tengok FB orang."

"Mesej dengan Abang Qayyum eh."

"Suka oranglah."

"Bagi abang e-mel Kak Ros," ujar Ridhwan spontan.

"Kak Ros mana?" tanya Rania balik agak teruja.

"Berapa banyak Kak Ros yang Ren kenal?"

"Maksud abang, Ros Ilyani?" tekan Rania.

Ridhwan angguk.

"Hah! Nak buat apa? Nak mengurat Kak Ros eh!" jerit Rania.

Ridhwan tertawa tetapi Rais pula yang terkejut mendengarnya.

"Masih single lagi rupanya kakak angkat kesayangan Ren tu?"

Bermakna kata-kata yang terungkap dek Ridhwan. Puan Sri Zalia turut berminat mendengarnya.

"Kenapa? Abang Ridhwan berminat ke?"

"Berminat juga," akui Ridhwan jujur.

"Wow...ini sudah bagus. Mama dengar tu mama," jerit Rania lagi.

Wajahnya gembira benar sehingga lupa akan kewujudan Rais yang masih terkedu.

"Kalau Ridhwan berkenan pada Ros Ilyani, kecil tapak tangan nyiru mama tadahkan," kata Puan Sri Zalia yang sama naik. Berseri air mukanya.

"Misi keamanan Abang Ridhwan macam mana pula?" usik Rania.

"Dah sampai masa abang berumah tangga, abang tinggallah..."

"Bagus...bagus! Sambil sambil tu bolehlah Ridhwan uruskan perniagaan ayah.
Sepatutnya anak beranak yang menerajui syarikat keluarga dan bukan orang luar."
Bersemangat benar Puan Sri Zalia mengusulkan ideanya. Selama ini syarikat milik keluarga mereka diuruskan oleh orang kepercayaan suaminya sementelah dia begitu sibuk dengan urusan kerja yang tidak pernah habis. Gembira benar Puan Sri Zalia mendengar berita itu. Sekali lagi dia memasang angan-angan.

Murni mencuri pandang ke arah Rais. Wajah suaminya itu tidak ceria. Dia pernah mendengar cerita tentang percintaan tak menjadi antara Rais dengan Ros Ilyani.
Sekarang abang Ridhwan pula yang berkenan pada Ros Ilyani, tak pelikkah?
Fikirnya yang lebih banyak bermonolog sendirian. Sungguhpun suasana meriah di rumah banglo mewah itu meraikan pernikahan dia dan Rais tapi dia tetap berasa terpinggir. Dia sunyi dalam kemeriahan tersebut. Dia larut dalam pelbagai perasaan. Dia sedar siapa dirinya apabila berada dalam keluarga besar Tan Sri Razlan.

Dia memerhatikan setiap gerak geri ahli keluarga tersebut. Meskipun ahli keluarga yang lain dapat menerima dirinya seadanya tapi tidak Puan Sri Zalia.
Dia perasan pandangan sinis Puan Sri Zalia padanya sejak dahulu sehingga sekarang tidak pernah berubah walaupun kini dia sudah bergelar isteri kepada Rais dan menjadi menantu di rumah mewah itu. Dia tak pernah lupa. Hingga saat ini, sebelah mata pun Puan Sri Zalia tidak pandang padanya. Kerana itu, dia terpaksa menjaga tingkah lakunya.

Dia tersedar daripada lamunan apabila Rais mencuit bahunya mengajak naik.
Murni mengikut sahaja. Dia diisyaratkan oleh Rais supaya menyalami tangan Puan Sri Zalia. Huluran tangannya disambut tetapi Puan Sri Zalia memandang ke arah lain. Wanita itu masih sibuk berbicara tentang hal Ros Ilyani bersama Rania dengan Ridhwan.

Semasa menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas, sekali lagi Rais melemparkan pandangan ke bawah. Ceria wajah Ridhwan bercerita tentang Ros Ilyani membuatkan jiwa raganya berasa tidak menentu. Masuk ke bilik pengantin yang dihias indah, terus direbahkan tubuhnya di atas katil. Murni serba salah.
Dingin hawa di kamar pengantin makin mencengkam jiwa raganya. Dia tidak tahu apa peranan yang perlu dimainkan. Di birai katil dia duduk bersimpuh menunggu arahan. Menyedari Murni duduk tidak jauh darinya, Rais bangkit. Matanya mengantuk benar. Dia masuk ke bilik air dan berwuduk. Selesai solat Isyak, dia keluar bilik dan masuk semula dengan tilam bujang. Dibentangkan agak jauh dari katil pengantin bersaiz king.

"Awak tidurlah kat atas. Saya tidur kat bawah," ujarnya.

Berderau darah Murni mendengarnya. Tidak cukup dengan emaknya, anaknya juga turut mendera perasaanku. Murni membersihkan diri dan bersolat. Kemudian, dia mencapai sepasang baju tidur miliknya. Baju tidur yang harganya hanyalah dua puluh ringgit sahaja. Sehelai baju tidur kain satin pemberian Rania dipandang sepi. Sudah tentu mahal sebab kainnya halus dan lembut sekali.

Untuk apa baju cantik macam ini! Detik hatinya seraya memandangi Rais yang sudah pun terlena di atas tilam bujang. Bencikah kau pada aku kerana terpaksa mengahwini aku? Kau marah kerana terpaksa menjadi pak sanggup? Kau yang buat keputusan itu bukan aku yang paksa! Detik hatinya lagi.

Dipandang pula baju pemberian Rania. Dia sedar kebaikan Rania terhadap dirinya tetapi hatinya tidak terpujuk dek kebaikan itu. Sehingga saat ini, dia masih menganggap Rania punca segala masalah yang dihadapi. Kalau tidak kerana Rania, sudah tentu dia yang menjadi pilihan Ummar Qayyum dan barangkali sekarang sudah pun berkahwin dengan lelaki itu kalau tidak kerana munculnya Rania.

Dengkur halus Rais kedengaran memecah sunyi. Murni meraba-raba perutnya.
Macam-macam yang ada di fikirannya tapi seketika dinyahkan semua persoalan yang hinggap. Buat apa aku fikir, tahulah mereka apa yang hendak dibuat, putusnya sendiri. Dia membuka pintu bilik. Di bawah suara bising-bising sudah makin sepi. Diintai dari sisi tangga. Yang ada cuma Ridhwan seorang. Dia masuk semula ke bilik. Walaupun penat, tapi dia tidak mampu tidur sungguhpun sejak tadi mulutnya menguap.

Kamar indah yang begitu sejuk dengan alat penyaman udara bertambah sejuk apabila sepi melanda. Bersama sunyi malam, hati Murni turut dicengkam sunyi.
Direbahkan tubuhnya di atas katil. Dia tetap terkenangkan Ummar Qayyum.
Saat-saat indah bersama Ummar Qayyum di kampung tetap segar dalam ingatannya.
Alangkah indahnya saat itu tatkala mereka bertiga riang bersama. Dia, Ummar Qayyum dan Nenek Ninda. Sesekali Ummar Qayyum pulang ke kampung bersama Ashraf Daniel. Semakin gamat dan meriah suasana itu. Kenapa detik-detik indah itu tidak bertahan lama? Kenapa?

Ah! Kalau tidak kerana Rania, cantik sungguh perjalanan hidupku. Nenek Ninda sudah merancangkan pernikahan aku dengan Abang Qayyum bila tiba-tiba Rania muncul. Punah dan hancur harapanku! Setitis air mata Murni jatuh menimpa pipinya. Di atas katil besar, dia berkalih tubuh. Matanya kini menghadap tubuh Rais yang lengkap berselimut. Wajah Rais bersih. Tidurnya lena benar.

Kalau Rais dapat menerimaku dengan sepenuh jiwa raganya, mampukah aku melupakan Ummar Qayyum? Hatinya berdetik demikian. Dapatkah Rais menerimaku?
Dia bersoal jawab sendiri. Sekali lagi dirabanya perut. Dia bangkit dari katil dan mengadap Rais. Di celah-celah cahaya lampu meja, dia perhatikan wajah Rais.

Buat apa kau kahwin dengan aku kalau begini layanan kau? Murni dihanyutkan oleh sehiris perasaan yang pelik. Kerana tidak dapat tidur, dia melayari Internet. Dia membaca komen-komen di Facebooknya. Dapat dikesan, Rania juga masih belum tidur. Masih aktif berinternet.

Sedang memadu kasih di laman maya bersama Qayyumkah perempuan itu? Berlagak baik. Aku benci! Marah benar Murni. Perutnya diraba lagi. Teringat pula perlakuan Ummar Qayyum di kampung dulu. Begitu dia melayanku bila perempuan itu ada bersama? Kutebalkan muka ikut kau balik ke kampung dengan harapan masih ada sisa-sisa harapan untukku tapi ternyata kau benar-benar sudah berubah ya Qayyum. Dia tidak pernah lupa bagaimana Ummar Qayyum merentap tangannya sewaktu
tangan Ummar Qayyum digenggam.

Tak mengapa, ini hari kau! Murni ketap bibirnya. Dia marah tiba-tiba. Sakit hatinya bila mengenang hubungan cinta yang terjalin antara Ummar Qayyum dengan Rania. Dia tutup laptop dan masuk selimut. Dalam susah payah untuk melelapkan mata, di tertidur juga tapi terkejut apabila dibangunkan oleh Rais. Matanya sangat mengantuk. Dia terpinga-pinga.

"Solat Subuh!" arah Rais.

Sungguhpun mengantuk, Murni bangkit dan solat sendiri. Rais yang sudah selesai solat subuh, sambung tidurnya balik. Sekali lagi Murni dibiarkan sendiri.
Matanya mengantuk tetapi dia takut hendak menyambung tidur bimbang tidak terbangun. Apa pula pandangan ahli keluarga Rais kalau aku terlewat bangun? Dia keluar kamar jam 8 pagi. Di tingkat bawah, beberapa orang pekerja wanita sedang asyik berkemas. Barangkali pekerja tambahan yang diupah tuan rumah. Sewaktu dia terkial-kial di ruang tamu, Rania yang sudah siap mandi dan kemas berpakaian menegurnya.

"Dah bangun dah?"

Murni angguk.

"Jom kita sarapan sama-sama."

Makcik Rohaya sibuk di dapur. Rania mengintai menu sarapan pagi. Nasi lemak dengan sambal bilis di pagi hari memang menyelerakan. Makcik Rohaya ramah melayan Rania. Langsung tidak ditegur Murni yang duduk di sebelah Rania.

"Abang Rais belum bangun Ren?" Soalan itu Makcik Rohaya tanyakan pada Rania.

"Belum bangun Abang Rais?" Rania tanyakan pula pada Murni.

"Lepas subuh dia tidur balik," sahut Murni.

Sekeliling dapur dipandang Murni. Bersih dan kemas. Dia tidak pasti siapa yang mengemaskan dapur. Sama ada Makcik Rohaya ataupun pekerja-pekerja upahan.

"Mama belum bangun mak cik?"

"Ada, kat belakang. Tengah belek pokok-pokok bunga ros dia."

"Mama dah makan?"

"Belum. Pergilah ajak mama makan sekali," arah Makcik Rohaya.

Rania menuju ke arah taman di belakang. Dari pintu dapur, dia melihat ibunya asyik dengan pokok-pokok bunga rosnya.

"Jom sarapan sama-sama mama," ajak Rania.

"Ren dah bangun?"

"Dah, ramai ramai kat rumah ni, buat apa tidur. Baik join, sarapan sama-sama," ujar Rania.

"Kak Rindu belum bangun lagi."

"Murni ada tu. Jom," beritahu Rania.

"Rais?"

"Tidur."

Rania masuk beriringan dengan ibunya. Murni senyum pada Puan Sri Zalia tapi tidak diendahkan. Makcik Rohaya menyendukkan nasi lemak ke pinggan. Dituangkan minuman pada Puan Sri Zalia dan Rania tetapi Murni dibiarkan menuang air sendiri.

"Makanlah Murni," pelawa Rania apabila melihat Murni teragak-agak.

Puan Sri Zalia sibuk bercerita berbagai-bagai dengan Makcik Rohaya. Kisah Ridhwan yang berkenankan Ros Ilyani turut menjadi bahan bualan mereka. Sesekali Murni perasan mereka berdua menyindirnya tapi ditahankan sahaja telinganya.
Masuk kisah Ummar Qayyum dengan Rania, Murni rasa panas punggung. Sesenduk nasi lemak di pinggan terasa payah untuk dihabiskan.

"Cantik sangatlah Ren dengan Qayyum nanti, mak cik tak sabar nak tunggu detik-detik bersejarah tu."

"Saya nak buat meriah tapi awal awal Ren dah marah. Dia nak ringkas ringkas saja. Nak buat kat rumah," adu Puan Sri Zalia pada Makcik Rohaya.

"Hiss, mana boleh ringkas-ringkas. Majlis Rais bolehlah ringkas tapi Ren punya kena meriah tau, kena buat kat hotel tau!" Makcik Rohaya mencelah.

"Abang punya pun tak ringkas juga. Dah masuk mama, mana boleh jadi simple walaupun buat kat rumah," sindir Rania selamba.

"Perkahwinan berlaku sekali sahaja Ren. Apa salahnya kalau buat meriah sikit.
Mama dah carikan hotel lima bintang untuk kahwin Ren nanti," nasihat Puan Sri Zalia.

"Mama meriah tak semestinya mewah kan?"

"Ren, satu-satunya anak mama yang belum bernikah, mestilah mama nak buat betul-betul..."

"Mama ni, tak payahlah nak kecoh-kecoh. Tenang mama, lagipun baru semalam majlis Abang Rais berlangsung, mama tak penat ke?"

"Abang Rais punya lain." Panjang bunyi suara Puan Sri Zalia bila disebut 'lain'. Kemudian dia menjeling pada Murni yang nampak tidak selesa bersama mereka.

"Itu perkahwinan kedua abang. Ren punya yang pertama tau."

"Betul kata mama tu Ren, apa salahnya kalau buat besar-besaran," Makcik Rohaya menambah nasi lemak dalam mangkuk tambah.

"Makcik Ninda dah pesan, sambut menantu dia nak buat kat kampung. Jadi kita buatlah kat hotel."

Rania mendengus. Dia malas hendak bertekak dengan ibunya. Murni yang sejak tadi menjadi pendengar setia tak berani menyampuk pun. Dia sedar siapa dirinya.
Tak masuk senarai untuk membincangkan urusan keluarga itu. Tapi dia berasa hiba setiap kali mendengar nama Ummar Qayyum. Sesuap nasi lemak di pinggan digagahi makan. Selesai, dia bangkit dan membawa pinggan ke sinki di dapur belakang.

"Yang untung orang tu, tak pasal pasal masuk dan duduk dalam dulang emas."
Jelingan Makcik Rohaya penuh makna. Hatinya panas sahaja setiap kali melihat muka Murni.

Rania menoleh dan merenung Makcik Rohaya. Dia tidak berkenan dengan cara Makcik Rohaya melayan Murni.

"Mak cik, Murni dah jadi sebahagian daripada keluarga kita," ucap Rania berlapik dan perlahan takut didengari Murni.

"Mak cik tahu Ren tapi mak cik dapat rasa hatinya tak baik. Mak cik dapat rasa dia ada niat serong. Telunjuk lurus kelingking berkait." Muka Makcik Rohaya selamba.

Puan Sri Zalia diam cuma. Kisah Murni sudah tidak masuk dalam agendanya kini.
Dia lebih memikirkan tentang perkahwinan Rania dengan Ummar Qayyum.

Bunyi benda jatuh di ruangan dapur basah diiringi jeritan Murni mengejutkan mereka bertiga. Rania bergegas ke belakang. Di lantai dapur, tubuh Murni tergolek.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Padah langgar lampu merah

Posted: 16 Sep 2012 11:55 AM PDT

SUNGAI BULOH: Dua maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Jalan Sungai Buloh-Subang, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, T Jeganathan, 22, dan T Kanikanan, 27, adalah penumpang kereta Proton Wira dan mereka maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.


Kejadian jam 3.10 pagi itu dipercayai berlaku apabila Proton Wira dari Sungai Buloh yang dinaiki mangsa membelok ke kanan untuk memasuki persimpangan stesen berkenaan sebelum dirempuh sebuah Proton Waja.

Sumber polis trafik berkata, Proton Waja dari Subang itu tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian kiri Proton Wira dinaiki mangsa.


"Akibat rempuhan kuat itu, Proton Waja terbabit berpusing ke arah bertentangan manakala Proton Wira pula terseret beberapa meter," katanya.


Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku apabila sebuah daripada kereta terbabit melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansor mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dalam kejadian berasingan di Kilometer 20 Lebuhraya Karak arah Tol Gombak, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas.

Mangsa, Raja Mohamad Fahmy Izzudin Raja Zulkifli, 21, yang menerima rawatan di Hospital Selayang disahkan meninggal dunia jam 10 pagi, tiga jam selepas kejadian itu.


Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Sunway menunggang dalam keadaan hujan lebat menyebabkan motosikalnya hilang kawalan dan terbabas.


Polis meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03- 6126222/2273.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Lelaki mahu bantu kenalan pengsan dikeroyok

Posted: 16 Sep 2012 11:54 AM PDT

GOMBAK: Niat untuk membantu pemandu sebuah kereta yang disangka rosak di Lebuhraya Karak bertukar episod malang kepada seorang lelaki apabila dia bukan sahaja di maki hamun, malah dibelasah dua lelaki sehingga pengsan, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 37 tahun yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur terserempak sebuah kereta yang berhenti di laluan kecemasan memberhentikan kenderaannya untuk menolong selepas dia mengenali seorang daripada mereka.


Menurut sumber, tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa bertanya kenalannya itu mengenai masalah mereka.

"Bagaimanapun, kenalannya itu tidak menyenangi kehadiran mangsa dan memarahi serta menghamburkan kata-kata kesat.


"Terkejut dengan tindakan suspek yang tiba-tiba naik angin dan memaki hamunnya, mangsa mempersoalkan tindakan lelaki itu," katanya.


Sumber berkata, suspek yang berang mangsa masih tidak beredar dan mempersoalkan tindakannya menolak mangsa sebelum berlaku pertengkaran.

"Malah, pertengkaran mereka bertambah ganas apabila kedua-dua suspek memukul mangsa di kepala dengan objek tumpul menyebabkan dia cedera di kepala.


"Tidak cukup dengan itu mereka menyepak perut mangsa dan membelasahnya sehingga pengsan," katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri selepas terlihat kenderaan lain berhenti untuk membantu mangsa yang berlumuran darah di kepala dan tidak sedarkan diri.


"Mangsa dihantar ke Hospital Bentong dan ditahan di wad selama satu hari selepas cedera teruk di kepala.


"Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Selayang," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


‘Jangan tindas saya sesuka hati!’

Posted: 16 Sep 2012 08:50 AM PDT

"NAMPAKNYA mereka dah semakin melarat-larat. Sudahlah gosip antara Aidil (Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak) dan Jue Aziz menyusahkan saya kerana saya terpaksa menjawab kepada pihak media yang ingin mendapatkan kepastian berhubung isu berkenaan.

"Kemudian, cakap pula saya menuduh Ayu Raudhah yang memperkenalkan Aidil kepada Jue. Walhal semaklah kembali mana-mana kenyataan saya dalam media, saya tak pernah pun membangkitkan nama Ayu langsung!

"Terbaru, perbualan saya di twitter dengan seorang kawan yang ditujukan khas pada Aidil sudah disalah tafsir apabila Ayu Raudhah pula terasa saya mengata dia," kata pelakon sensasi Rita yang tampil membuat penjelasan atas tuduhan kononnya dia menghina Ayu Raudhah dalam laman twitter.

Rita berkata, ramai pihak memberikan komen di twitter selepas suaminya juga pemain skuad kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, mengeluarkan kenyataan di sebuah akhbar, baru-baru ini. Dalam kenyataan itu, Aidil melahirkan rasa simpati kepada adik iparnya (Ayu Raudhah) yang sedang mengandung kerana tertekan dikaitkan sebagai individu yang memperkenalkan Aidil dan Jue.


"Kenalan saya itu yang menggunakan nama 'darofyna', memberikan pendapatnya dan berkata masa saya mengandung dulu, Aidil sendiri sanggup nak ceraikan saya dan Aidil tak fikir pula nak jaga emosi saya.


"Kami berkomunikasi mengenai kenyataan Aidil dalam akhbar yang berasa simpati apabila emosi adik iparnya terganggu.

"Kemudian saya membalas dan berkata sekarang barulah dia (Aidil) sedar bagaimana perasaan saya ketika mengandung dulu macam mana. Allah Maha Adil. Itu saya tujukan kepada Aidil dan sekali lagi saya tegaskan kami hanya berbual soal Aidil.

"Tapi kenapa pula Ayu nak terasa? Patutlah Aidil hantar mesej maki hamun saya tiba-tiba? Dia kata saya hati busuk dan macam-macam.

"Ingat saya ini tak ada perasaan ke? Tiba-tiba nak serang dan tuduh saya mengata Ayu. Serius saya tak faham dengan mereka ini. Kalau dah tak suka saya, kenapa sibuk intai twitter saya, sedangkan twitter saya tertutup yakni 'private' dan 'lock'. Ia hanya untuk peminat saya saja," kata Rita.

Rita menambah lagi, sebelum ini Ayu dan suaminya, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, pernah menyamakan dirinya dengan anjing, apabila setiap kali kenyataan Rita keluar di sebuah akhbar mingguan.

"Ada orang sampaikan kepada saya, mereka suami isteri mengata kenapa anjing ni selalu menyalak setiap hari Ahad? Sumber itu memaklumkan, pasangan berkenaan memang tujukan kepada saya selepas sumber itu sendiri bertanya kepada mereka.

"Tapi saya tak kisah pun, suka hati mereka nak kata apa sebab mereka ada mulut. Saya tidak rugi apa-apa. Lagi saya dihina lagi besar pahala saya dapat. Namun, apa yang sangat disesalkan Aidil tak nampak pula kesalahan mereka berdua.

"Malah Ayu yang tuduh saya kaitkan dia dalam rumah tangga saya. Saya nak tanya dia, bukan ke dia sendiri yang kaitkan dirinya dalam rumah tangga saya ketika dia menolong hantar Aidil dan masuk ke dalam perkarangan rumah saya untuk mengambil motosikal Aidil sewaktu Aidil melarikan diri dari rumah dulu? Itu bukan bersubahat namanya?

"Tolonglah, ini membabitkan hidup saya. Kalau dia seorang yang bijak, bukan itu caranya dia hendak tolong sekali pun membabitkan abang ipar ke atau abang kandung. Tak manis rasanya.

"Bukankah lebih elok nasihat yang baik-baik abang iparnya itu dan bukan tolong ambil motosikal dan keluar dari rumah. Sekarang dia pula yang tuduh saya babitkan dia dalam masalah rumah tangga saya dengan Aidil.

"Apa yang dia (Ayu Raudhah) mahu sebenarnya? Kalau dia nak sangat keluar dalam akhbar dan ghairah sangat nak bagi kenyataan, berilah kenyataan isu orang sedang perkatakan sekarang kononnya pernah nampak dia keluar makan bersama suami saya, Aidil dan Jue. Kenapa nak buat kenyataan benda yang tak ada, tapi nak diadakan? Mengapa dia sibuk nak terasa benda yang saya tidak tujukan kepada dia?" kata Rita lagi.

Mohon menghentikan semua tohmahan kerana apa yang dilaluinya bersama anak kini semakin berat tambahan pula Aidil tidak lagi memerlukan dirinya, Rita minta dia lepaskan secara baik bukan mengheret dirinya dalam pelbagai masalah yang dicipta sendiri oleh Aidil dan mereka di sekelilingnya.

"Lebih tujuh bulan Aidil tinggalkan saya dan anak dan itu sudah cukup untuk saya faham dia sudah tidak perlukan kami lagi.

"Saya mencari kekuatan untuk mengharungi saat-saat ini kerana yang lebih penting buat saya adalah perasaan anak yang wajar mendapat kebahagiaan.

"Berhubung kontroversi yang sedang berlaku, ia bermula dengan kisah skandal Aidil dan Jue, disusuli pula pertuduhan kononnya saya menuduh Ayu menjadi orang tengah yang memperkenalkan Aidil kepada Jue, sekarang ini, kenyataan saya di twitter pula disalah tafsir. Dalam situasi yang berlaku, Aidil sepatutnya menjadi pendamai kerana dia suami saya.

"Saya tak kisah Aidil cuba mempertahankan adik iparnya Ayu mahupun Jue sekalipun, tapi Aidil seharusnya memohon kepada pihak media mahupun pihak tertentu supaya tidak mengganggu hidup saya yang terpaksa mencari rezeki dan siang malam demi menjaga anaknya sendiri.

"Walaupun sudah tiada lagi cinta, bukan bermakna dia sewenangnya membiarkan saya terus-terusan diperkotak-katikkan. Janganlah tindas saya sesuka hati! Sebagai suami dia tidak berbuat sesuatu yang boleh meredakan keadaan. Malah, kenyataannya dengan jelas berat sebelah dan hanya membakar keadaan.

"Apabila anaknya sendiri besar nanti dan kalau mereka terbaca kisah kontroversi pernah melanda kami, saya bimbang ia membakar kebencian anak terhadap dirinya sendiri yang tidak pernah sedikitpun cuba mempertahankan saya sebagai ibu mereka, tetapi lebih sedia membela orang lain yang menghancurkan rumah tangga kami," kata dengan nada yang kesal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Kehadiran artis menyeri suasana

Posted: 16 Sep 2012 08:32 AM PDT

KEMERIAHAN sambutan rumah terbuka The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dirasai apabila kehadiran tetamu bukan saja daripada kalangan kakitangan sendiri malah ia bertambah meriah dengan kehadiran ramai rakan artis.

Antara artis yang kelihatan dan mengadakan persembahan pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu itu ialah Rozita Che Wan, Alyah, Awan Band, Suki Low, Sharifah Zarina, Caroline Mentor, Dafi, Asmidar, Aril dan Along Raja Lawak bertindak selaku pengacara majlis.

Penyanyi yang sedang popular dengan single Memandang Awan, Sharifah Zarina ketika ditemui berkata, dia gembira saat dihubungi untuk hadir ke majlis rumah terbuka berkenaan malah ini adalah jemputan kali kedua yang diterimanya.

"Seronok apabila dijemput hadir dan dapat berkumpul bersama-sama serta berkongsi pentas dengan rakan artis yang lain. Hampir tiga tahun menyepi apabila berpeluang hadir ke majlis seperti ini ia adalah peluang untuk saya mendekatkan diri di samping memperkenalkan lagu baru kepada orang ramai.


"Malah sepanjang Syawal ini saya juga tidak putus-putus menerima jemputan sehinggalah ke Syawal terakhir. Walaupun penat saya puas hati dan gembira kerana rindu untuk bersama-sama teman artis lain terubat di samping itu dapat berkongsi cerita dengan mereka," katanya.


Sementara itu, juara Mentor musim ke-6, Caroline turut merasa gembira apabila jadual hariannya penuh dengan jemputan majlis rumah terbuka.

Menurutnya, majlis seperti itu perlu diadakan bagi merapatkan silaturahim di kalangan kakitangan dan juga artis yang dijemput hadir.

"Terasa sungguh kemeriahannya dengan makanan yang enak-enak disediakan saya rasa gembira dan berharap akan dijemput lagi oleh NSTP pada masa akan datang.

"Bagi saya inilah peluang untuk memperkenalkan diri kepada peminat, walaupun sudah menjadi juara Mentor bukan bermakna saya sudah popular dan kerana itu saya masih perlu hadir ke majlis keramaian dan rumah terbuka seperti ini bagi mendekatkan diri dengan peminat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mohammad Azlan Abdullah, berkata selain meraikan Aidilfitri, majlis seperti ini juga boleh merapatkan lagi hubungan 'kekeluargaan' melalui jalinan kerjasama di kalangan kakitangan.

Hadir dalam majlis berkenaan, Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Turut hadir Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), Datuk Johan Jaafar; Pengarah Urusan Kumpulan MPB; Datuk Amrin Awaluddin serta Pengarah Eksekutif Berita Dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib.

Tetamu dihidangkan dengan aneka juadah istimewa termasuk lemang, sate, laksa dan pemanis mulut sambil dihiburkan dengan alunan muzik tradisional daripada kumpulan pemuzik yang dijemput khas daripada Tebrau, Johor.

Selain itu, NSTP turut mengadakan promosi pembelian langganan e-Paper dengan bayaran RM10 untuk setahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Wajar terima’

Posted: 16 Sep 2012 11:23 AM PDT

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) menganggap pelawaan yang diterima oleh skuad bawah 23 tahun (B-23) untuk beraksi dalam Liga Brazil adalah satu peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan begitu saja.

Katanya, tawaran itu adalah satu petanda baik dan FAM perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap tawaran berkenaan tetapi ianya mesti dikaji dengan lebih teliti dan pemain perlu bersikap positif serta menampilkan keupayaan sebenar.


"Peluang seperti ini perlu dikaji lebih teliti, jangan cepat melompat dan pemain pun harus mempunyai sikap positif supaya peluang yang diberikan dapat digunakan sebaik mungkin.

"Bukan sahaja di Brazil, malah negara-negara lain juga akan menjemput kita bermain dari semasa ke semasa," katanya kelmarin.


Skuad B-23 kendalian Ong Kim Swee dilaporkan berpeluang menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Sea Myanmar tahun depan.


Bagaimanapun, tawaran itu masih dalam peringkat perbincangan malah FAM masih belum memberikan kata putus mengenainya.

Justeru, Tengku Abdullah menegaskan, FAM perlu mengkaji dengan lebih mendalam baik buruk tindakan itu sebelum memberikan persetujuan.


"Saya hendak nyatakan di sini, bukan saja Malaysia tetapi banyak juga negara-negara Asean dipelawa bermain di liga itu. Kalau kita tidak ambil perhatian kita akan kerugian," katanya.

Selain dilihat sebagai satu pengiktitrafan, tawaran dikemukakan Brazil itu dianggap sebagai batu loncatan untuk terus meningkat dan muncul kembali sebagai salah satu daripada pasukan digeruni di rantau Asean.


Mengulas kekalahan 0-2 skuad senior kepada Vietnam dalam perlawanan persahabatan di Shah Alam, Selasa lalu, Tengku Abdullah berharap ia dijadikan satu pengajaran buat jurulatih dan pemain.


"Rajagopal sudah boleh mengenal pasti kelemahan dalam pasukan hasil kekalahan itu dan mengenal pasti pemain yang akan menganggotai skuadnya menghadapi Piala AFF Suzuki, November depan," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Amri meluap-luap

Posted: 16 Sep 2012 11:20 AM PDT

PENGGANTUNGAN tiga perlawanan dan kehilangan lilitan lengan sebagai kapten dalam skuad Selangor nyata membakar semangat Mohd Amri Yahyah untuk memberikan aksi terbaik sehingga berjaya melonjakkan Selangor mara ke suku akhir Piala Malaysia walaupun pada awalnya peluang Merah Kuning dilihat kabur.

Kehadirannya umpama penyelamat apabila membantu Merah Kuning mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dan lebih penting dua jaringannya ketika kemenangan 2-0 ke atas Sarawak pada Jumaat lalu memastikan pasukannya bergelar juara Kumpulan D bagi mengatasi Pahang.


"Sebagai seorang pemain, adalah penting untuk melihat pasukan melangkah lebih jauh dan saya bersyukur kami sudah berjaya melepasi peringkat kumpulan. "Perkara lain adalah tidak penting," katanya yang digantung tiga perlawanan awal peringkat kumpulan berikutan insiden membabitkan kekasaran ke atas pemain Kelantan, Muhammad Ghaddar dalam saingan Liga Super.

Tanggungjawab itu digalas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim dipilih pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjadi kapten Merah Kuning.


Malah pemain berusia 31 tahun bertekad untuk meneruskan sentuhan jaringannya apabila bertemu Johor FC pada suku akhir pertama pada Jumaat ini.


Selain meningkatkan gandingannya bersama Bosko Balaban di jentera serangan, dia turut mahu memastikan episod disingkirkan Johor FC dalam saingan Piala FA tidak berulang.

"Setiap pasukan yang layak ke suku akhir tidak boleh dipandang rendah. Malah saya melihat Johor FC umpamanya mempunyai kemampuan dan kebolehan tersendiri apabila mampu mengikat LionsXII pada peringkat kumpulan selain mempunyai barisan pemain berpengalaman seperti dua bekas pemain kebangsaan, Eddy Helmi Abdul Manan dan Khairunisam Shahabudin.


"Paling penting adalah kami mencari gol awal bagi memastikan jaringan tempat lawan dapat dilakukan bagi memberikan kelebihan apabila beraksi di Stadium Shah Alam pada 26 September," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Tingkat keselamatan siber

Posted: 16 Sep 2012 10:33 AM PDT

TREND Micro Inc, sebuah syarikat penyedia keselamatan cloud global, berharap Bajet 2013 yang akan diumumkan nanti akan mengandungi pendekatan holistik bagi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan memberikan penekanan lebih besar kepada keselamatan siber.

Ini sejajar dengan program Digital Malaysia (DM) yang bakal menjana pelaburan bernilai RM31.1 bilion dan mewujudkan 160,000 pekerjaan menjelang 2020.


Pengarah Urusan Trend Micro bagi rantau Asia Tenggara, Goh Chee Hoh berkata, dalam usaha merealisasikan DM dengan jayanya bagi meningkatkan tahap keselamatan siber seharusnya menjadi keutamaan teratas dalam agenda negara. "Melalui ini, keyakinan pelabur akan meningkat, sekali gus menghasilkan lebih banyak pelaburan yang akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan menjadi sebuah ekonomi digital yang maju menjelang 2020.

"Keupayaan bajet kali ini mengubah ekosistem sekarang dan memastikan Malaysia berdaya saing di peringkat global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Ali sudah temu jodoh

Posted: 16 Sep 2012 10:30 AM PDT

LONDON: Berdasarkan kecederaan parah yang dialami ketika perang Iraq pada 2003, tidak ramai menjangka Ali Abbas akan dapat hidup lama.

Tetapi semalam, pemuda kacak yang berusia 21 tahun itu, mampu bergaya dengan pakaian yang akan dipakai pada majlis perkahwinannya.

"Anda boleh kata saya melalui perjalanan yang jauh. Tetapi, dengan menaiki pesawat untuk pulang ke Baghdad esok bagi persiapan perkahwinan saya akan menjadi langkah paling besar pernah saya lakukan.

"Saya gementar, tetapi pada masa sama, teruja. Pernah saya terfikir bahawa saya tidak akan berkahwin," katanya dalam satu wawancara di London beberapa hari lalu.


Sembilan tahun lalu, gambar memilukan yang tersebar ke seluruh dunia, menunjukkan Ali dengan kesan melecur pada tubuhnya dan tanpa kedua-dua tangan, menjadikan dia wajah ikonik Perang Iraq.


Dia hanya berusia 12 tahun apabila dia hilang kedua-dua tangannya sementara 60 peratus badannya melecur akibat serangan tentera Amerika Syarikat.

Enam belas anggota keluarganya, termasuk ibu bapanya terbunuh dalam serangan itu.

Ali masih ingat saat menakutkan yang mengubah kehidupannya.

"Siling dan dinding rumah saya runtuh ke atas kami. Rumah kami terbakar. Saya mendengar keluarga saya menjerit dan badan saya terbakar," katanya.

Seorang jiran, pemandu teksi, menyelamatkan Ali dari kebakaran itu.

Kesengsaraannya menyentuh hati jutaan orang di seluruh dunia. Dia diterbangkan ke Kuwait untuk menjalani pembedahan menyelamat nyawanya sebelum dibawa ke Britain dan dilengkapkan dengan dua tangan palsu oleh pakar di Hospital Queen Mary di London.

Ali lulus ujian untuk mendapatkan kerakyatan Britain dan secara rasmi menjadi warga negara itu pada Jun 2010.

Meskipun berusaha menganggap Britain sebagai kediamannya, Ali pulang ke Iraq setahun sekali untuk menemui adik perempuan dan saudara maranya yang lain.

Dalam satu kunjungannya itu, dia terpikat dengan rakannya ketika kanak-kanak, Ankam Hamza.

"Saya masih mengingati Ankam ketika sama-sama kecil dulu. Dia anak perempuan seorang saudara jauh saya, Mohammed, orang pertama menjaga saya ketika di hospital di Kuwait dan apabila saya diterbangkan ke Britain.

"Kerana kecederaan yang saya alami, saya langsung tidak terfikir untuk berkahwin atau menemui gadis yang akan mencintai saya.

"Tetapi kunjungan ke negara asal saya pada 2010 mengubah segala-galanya.

"Ankam berkawan dengan adik saya, Hedel dan datang ke kediaman keluarga saya.

"Adik saya berseloroh, 'Ali masih bujang. Mungkin kamu boleh berkahwin dengannya.' Dia menjawab serta-merta, 'Saya bersedia.'

"Saya terlalu malu untuk bercakap dengannya. Saya meminta kebenaran ibu Ankam untuk bercakap dengannya mengenai kemungkinan kami bertemu dan bertunang.

"Dua hari kemudian, keluarganya menghubungi saya dan merestui hubungan kami. Kami berkenalan dengan lebih dekat selama dua bulan sebelum mengambil keputusan berkahwin.

"Saya berterus terang dengannya dan memberitahu keadaan saya yang cacat. Dia menjawab, 'Saya terima seadanya.'" - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Buka kereta guna klip

Posted: 16 Sep 2012 12:17 PM PDT

SUBANG JAYA: Kegiatan jenayah seorang ibu beranak empat yang layak digelar 'Minah Gyver' kerana kemahirannya membuka kenderaan untuk mencuri barangan di dalamnya sejak empat tahun lalu, berakhir apabila dia dicekup polis.

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan ketika cuba mencuri barangan dalam kenderaan jemaah yang menunaikan solat Jumaat di tempat letak kereta sebuah masjid di SS15, di sini, kira-kira jam 2 petang, Jumaat lalu.

Sumber polis berkata, suspek berkemahiran membuka kereta dengan hanya menggunakan klip sebelum mencuri barangan ditinggalkan di dalamnya dan dia juga bergerak sendirian.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Drebar mati tertimbus

Posted: 16 Sep 2012 12:15 PM PDT

KUALA BERANG: "Menyedari tanah runtuh, saya menjerit mengarahkan abang dan rakan lari menyelamatkan diri, tapi mereka tidak sempat kerana kejadian berlaku terlalu pantas," kata Mohd Zuraimi Daud, 19.

Mohd Zuraimi yang juga pemandu jengkaut adalah adik kepada Mohd Azharulnizam, 24, pemandu lori tanah yang mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Kuala Ping, di sini, jam 5 petang kelmarin.


Menurutnya, selepas mendapati abang dan rakannya Mohd Hanifah Mohd Nawi, 19, tertimbus, dia terjun jengkaut bagi menyelamatkan mereka dan mendengar suara Mohd Hanifah yang hampir tertimbus seluruh badan meminta tolong.

"Saya segera mengorek tanah bagi membolehkan Mohd Hanifah bernafas sebelum dia dikeluarkan orang ramai dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu oleh penduduk kampung.


"Saya dan penduduk berusaha mencari abang, tetapi tidak berjaya," katanya ketika dihubungi di rumah sepupunya di Kampung Payang Kayu, 15 kilometer dari rumah ibunya di Kampung Langgar, di sini, semalam.


Mohd Zuraimi berkata, dia tidak menggunakan jengkaut untuk mengorek tanah itu kerana tidak tahu kedudukan abangnya tertimbus, selain bimbang abangnya cedera terkena mata jentera berkenaan.

"Ketika kejadian, arwah abang dan rakannya berada satu meter dari bukit itu," katanya sambil memberitahu kejadian itu berlaku pada hari pertama dia melakukan kerja menarah dan mengisi tanah bukit di tempat kejadian.


Mohd Zuraimi berkata, mayat Mohd Azharulnizam dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat selepas satu jam usaha mencari.

Jenazah Mohd Azharulnizam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Butut, dua kilometer dari rumahnya jam 11.30 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved