Isnin, 15 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Binatang manja terbiar

Posted: 15 Apr 2013 11:38 AM PDT

Sifat cintakan haiwan yang ada dalam dirinya membuatkan Sherrina Krishnan, 42, sanggup meredah hujan dan panas sejak tujuh tahun lalu demi membantu ribuan kucing terbiar supaya ia mendapat tempat tinggal yang lebih baik dan penjaga penyayang.

Malah, dia sanggup mengeluarkan wang sendiri setiap bulan sehingga beberapa tahun untuk diberikan kepada pemilik kucing yang mahu menjaga haiwan itu, namun tidak mampu membelikan makanan kucing.

Semua itu dilakukan bukan untuk mendapat nama ataupun penghargaan, tetapi dilakukan demi membantu haiwan lemah berkenaan tanpa mengharapkan sebarang balasan atau sumbangan sesiapa.

Biarpun bukannya orang berada, sebahagian rezeki yang diperoleh hasil kerja keras dalam bidang produksi video korporat dan penasihat kreatif, digunakan untuk membantu haiwan manja berkenaan.

Foto

ANTARA kucing yang menunggu penjaga.

Foto

SEEKOR daripada kucing yang diselamatkan Sherrina.


Menurut Sherrina, segala-galanya bermula pada 2006 ketika hidupnya seakan-akan berada dalam terowong gelap kerana apa saja yang dilakukannya pada waktu itu seolah-olah tidak menjadi hingga menyebab­kannya tiada wang.


Ketika itu, semua usahanya untuk menjalankan perniagaan tidak menjadi. Malah, tiada yang berminat menawarkannya kerja sehingga wanita cekal itu terpaksa menumpang berteduh di rumah kakaknya kerana tiada wang untuk membayar sewa.

Hampir setiap hari juga dia memandu kereta ke rumah ibunya semata-mata untuk makan kerana keadaannya yang ketika itu tidak berduit.

"Ketika itu terdetik dalam hati, saya tidak boleh terus hidup begini. Saya memberikan dua pilihan pada diri sendiri, sama ada terus duduk bersedih dan menangisi nasib atau melakukan sesuatu dalam hidup.

"Tidak lama selepas itu, saya memandu ke arah rumah ibu saya untuk makan, tetapi ketika itu hujan sa­ngat lebat dan air melimpah memasuki longkang. Pada waktu itulah saya melihat beberapa ekor anak anjing yang masih terlalu kecil sedang bergelut supaya tidak ditolak air deras ke dalam longkang manakala ibu anjing pula menyalak melihat anaknya.

"Ketika itu juga saya terus memberhentikan kereta dan keluar menyelamat­kan anak anjing berkenaan daripada hanyut ke dalam longkang, namun saya gagal membawa ibunya sekali kerana ia enggan ikut," katanya.

Apabila dibawa pulang, ibu Sherrina mempersoal­kan mengenai keadaan anak anjing itu dan siapa yang akan menjaganya memandangkan Sherrina sendiri tidak mampu.

Ketika itu, hanya pesanan ringkas (SMS) yang menjadi penghubung komunikasi antara rakan dan dia menggunakannya sebaik mungkin untuk memaklumkan kepada semua rakan selain meminta mereka menghantar pesanan itu kepada seramai yang mungkin.

Pesanan berkenaan adalah bagi mencari sesiapa yang berminat, mampu menyayangi dan menjaga anak anjing berkenaan dengan baik. Dalam masa seminggu saja, semua anak anjing itu sudah mendapat tuan baru yang menjaga mereka dengan penuh kasih sayang.

Bermula dari situ, Sher­rina seolah mendapat semangat baru dan mula membantu haiwan terutama kucing terbiar dan sehingga kini, dia sudah membantu kira-kira 3,000 kucing dan anjing melarat dengan mencarikan penjaga yang berminat.

Mungkin ia satu kebetulan, tetapi menurut Sherrina, kehidupannya berubah sama sekali sejak dia mula aktif membantu menyelamatkan kucing terbiar.

Perniagaannya semakin meningkat naik, ramai orang berminat untuk berurusan dengannya dan rezeki bertambah.

Seiring kemajuan media komunikasi, dia kini meng­gunakan pelbagai laman sosial termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan blog untuk mengiklankan gambar kucing yang diselamatkan bagi mencari sesiapa yang berminat untuk menjaga.

Antara laman sosial yang digunakannya untuk mengiklankan kucing dan anjing terbiar adalah www.petadoption2u.blogspot.com dan rescue2rehome.blogspot.com.

Melakukannya secara sukarela, Sherrina tidak pernah mengenakan caj kepada sesiapa yang ingin mengambil kucing daripadanya kerana niatnya hanya mahu mencarikan tempat tinggal yang lebih baik untuk kucing terbabit, daripada membiarkannya mati di jalanan.

"Saya dapat melihat ramai sebenarnya yang sayangkan kucing, tetapi apabila mereka melihat kucing terbiar, mereka tidak tahu hendak buat apa. Apabila saya iklankan gambar kucing di laman sosial, ramai yang datang ke rumah untuk melihat kucing yang sesuai untuk dibawa pulang.

"Malah ada yang datang menghabiskan masa di rumah saya hingga berjam-jam untuk melihat kucing. Seorang lelaki sanggup duduk selama lapan jam semata-mata untuk memerhatikan dan memilih kucing," kata­nya.

Biarpun Sherrina mencari orang yang berminat untuk menjaga kucing, dia tidak sewenang-wenangnya menyerahkan haiwan itu kepada sesiapa saja, sebaliknya mencari individu yang benar-benar bertanggungjawab dan sayang pada kucing.

Dia turut menekankan kepentingan melakukan pemandulan kucing yang diberikan kepada pemilik baru kerana keadaan itu boleh menghentikan kitaran kucing yang teraniaya dan terbiar apabila tiada orang mahu menjaganya.

"Lainlah sekiranya mereka betul-betul tidak kisah untuk menjaga kucing yang banyak, tetapi selalunya kucing berkenaan dibuang di tepi jalan dan ia akan hidup melarat dan mungkin mati akibat penyakit atau kelaparan.

"Dengan melakukan pemandulan, kucing berkenaan akan mendapat perhatian dan penjagaan sewajarnya kerana ia cukup makan berzat dan hidup selesa. Jika kita berjalan di kawasan tertentu di tengah ibu kota hari ini, di bawah kereta mesti ada seekor kucing melarat dan keadaan ini sangat menyedihkan.

"Ada orang yang berkata, kasihan kucing jika dimandulkan kerana tidak merasa mendapat anak, tetapi jika anak-anak kucing itu ditinggalkan begitu saja di tepi jalan, lebih kasihan pada mereka kerana tidak ada orang sudi menjaga mereka dan hidup melarat," katanya.

Sherrina turut mendapatkan khidmat doktor haiwan yang kini sudah seperti rakan baiknya, untuk memandulkan kucing yang diselamatkan bagi menghentikan kitaran kucing melarat.

Katanya, dia juga sering menerima panggilan telefon daripada orang yang memintanya pergi ke kawasan yang dimaklumkan untuk menyelamatkan kucing yang ada. Namun, dia berpendapat, semua orang harus menjalankan tanggungjawab menyelamatkan haiwan tanpa mengharapkan orang lain atau bersikap lepas ta­ngan.

"Tetapi jika ada orang Islam yang menelefon saya untuk maklumkan ada anjing untuk diselamatkan, saya akan pergi dengan segera me­ngambil anjing itu kerana saya sedar ia menyentuh soal hukum agama," katanya.

Menurutnya lagi, kucing seharusnya diberikan makanan terbaik dan kurang garam bagi membolehkan ia hidup lebih lama dan sihat, bukan sekadar tangkap muat atau menjaga bajet. Makanan sebegitu selalunya lebih mahal dan boleh dibeli dari kedai binatang peliharaan.

Disebabkan rasa tanggungjawab yang menebal dalam dirinya untuk membantu kucing terbiar, dia juga sanggup mengeluarkan belanja antara RM300 hing­ga RM400 sebulan untuk diberikan kepada individu yang mengambil kucing daripadanya, tetapi tidak cukup wang membelikan makanan kucing yang berkualiti.

Menariknya, Sherrina sukar mengingati individu yang mengambil kucing daripadanya untuk dijaga, sebaliknya tidak pernah lupa nama kucing yang diberikan kepada mereka.

Sherrina memberikan nama kepada setiap kucing yang diselamatkan dan apabila ditegur individu yang mengenalinya kerana pernah mengambil kucing daripadanya, soalan pertama yang terpacul dari mulut wanita itu adalah bertanya­kan nama kucing terbabit.

"Malah, saya dengan individu yang mengambil kucing daripada saya sudah menjadi seperti kawan baik. Mereka selesa dengan saya dan boleh menghubu­ngi saya bila-bila masa jika mempunyai sebarang pertanyaan atau masalah me­ngenai kucing.

"Mereka menjadi rapat dengan saya selepas me­ngetahui saya hanya mahu mencari penjaga yang baik untuk kucing yang diselamatkan dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Pada mulanya, kebanyakan mereka tidak berapa faham dengan apa yang saya lakukan.

"Sementara hidup di atas bumi ini, saya rasa penting untuk setiap daripada kita membantu orang lain, haiwan dan melakukan kerja kebajikan kerana kita pun tidak hidup lama dalam dunia ini," katanya.

20 fakta kucing:

1. Haiwan peliharaan boleh dimandulkan atas sebab kebajikannya dan masyarakat berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu "bahawa mengembiri binatang kesayangan seperti kucing atau anjing hukumnya adalah diharuskan dengan sebab tertentu iaitu bagi menjaga muslahat ummah."

2. Kedua-dua kucing dan manusia mempunyai kawasan sama pada otak yang mengawal emosi.

3. Kucing mempunyai 230 tulang dan 500 otot rangka, berbanding manusia dengan 206 tulang dan 650 otot rangka.

4. Tulang selangka kucing tertanam pada otot di bahagian bahu, membolehkannya melepasi mana-mana bukaan sebesar saiz kepalanya.

5. Pendengaran kucing jauh lebih sensitif iaitu ia boleh mendengar sehing­ga 65 khz (kilohertz), berbanding manusia dan anjing. Pendengaran manusia terhenti pada 20 khz.

6. Kucing boleh melihat enam kali lebih tajam pada waktu malam berbanding manusia dan hanya memerlukan satu per enam daripada cahaya yang diperlukan manusia. Luas pandangannya adalah 200 darjah.

7. Kucing berbulu putih suci dan bermata biru selalunya pekak.

8. Sepuluh peratus daripada tulang kucing berada pada ekornya dan ia digunakan untuk mengimbangi tubuhnya.

9. Kucing tidak sukakan bauan limau.

10. Kucing menggunakan misainya untuk menjangka jarak dan mengesan perubahan kecil dalam tekanan udara.

11. Kucing terdiri daripada pelbagai jenis baka antaranya Polydactyl, American Curl, American Wirehair, Asian Semi-Longhair, Bambino, Munchkin, Bombay, Sphynx, Ragdoll, Turkish Van, Abyssinian, Birma, Siam, Parsi, Norwegian, Maine Coon, Aegean, American Bobtail, Brazilian Shorthair, British Shorthair, British Longhair dan Burmilia.

12. Kucing minum air menggunakan bahagian bawah lidahnya.

13. Kucing berjalan di atas jarinya. Ia juga boleh melompat lima kali ganda daripada ketinggiannya.

14. Kajian sains mendapati, perbuatan membelai kucing boleh menurunkan tekanan darah tinggi seseorang.

15. Kucing juga didapati memberi tindak balas lebih baik kepada wanita berbanding lelaki, kemungkinan disebabkan wanita mempunyai suara lebih nyaring.

16. Kucing berjari enam biasa terdapat di Boston dan Massachusetts, Amerika Syarikat.

17. Pada Perang Dunia Pertama, kucing tinggal bersama askar di dalam khemah dengan tugasnya membunuh tikus.

18. Masyarakat Mesir Purba menganggap kucing haiwan suci dan dan patung kucing yang mereka bina adalah berdasarkan kucing daripada baka Abyssinian.

19. Kucing tidak terdapat dalam zodiak Cina tetapi wujud dalam zodiak orang Vietnam.

20. Kucing betina sa­ngat subur dan ia bermakna setiap anak kucing yang ada boleh mempunyai bapa yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Bantu gelandangan

Posted: 15 Apr 2013 10:06 AM PDT

Di kawasan kaki lima kedai sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni dan Puduraya, sekumpulan remaja asyik mengagih makanan dan minuman kepada gelandangan yang menjadikan ruang hadapan kedai sebagai tempat tidur mereka.

Tanpa mengira usia dan jantina, ada yang membawa anak bersama menikmati makanan yang diberikan sekumpulan sukarelawan dengan penuh rasa kesyukuran.

Mereka yang membantu ini terdiri daripada pelajar Universiti Malaya, Kolej Consist, Subang Helps Everyone dan Kindness manakala makanan sukarelawan ditaja oleh Bom Kitchen.

Selain itu, terdapat sukarelawan baru dari Subang Helps Everyone, yang terdiri daripada sekumpulan anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang turut menyumbangkan bakti mereka kepada gelandangan.


Menariknya pada usia semuda ini, mereka sudah berminat melakukan aktiviti amal yang tidak hanya memberi tumpuan kepada misi gelandangan, tetapi juga aktiviti membabitkan rumah kebajikan anak yatim dan orang tua.


Misi membantu gelandangan dengan nama Feed The Homeless bermula tepat jam 12.30 pagi pada 3 Mac lalu berjaya mengumpulkan lebih 20 sukarelawan diketuai Muhammad Kamarulazizi sebagai ketua projek. Mereka berkumpul di Bangkok Bank bersebelahan Pasar Seni sebelum bergerak ke lokasi terpilih.

Bagi memudahkan kerja pengagihan, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan dan bergerak di sekitar Pasar Seni, Masjid Jamek dan Pudu dengan memberikan lebih 200 pek makanan dan air kepada setiap gelandangan yang berakhir di Masjid Negara.

Turut mengikuti rombongan ialah salah seorang aktivis dari Gaza, Malaka Mohammed yang terkenal dengan usahanya membantu salah seorang tahanan penjara Samer Issawi yang kini menjalankan mogok lapar di penjara Israel.

Pembabitan Malaka memberi inspirasi kepada sukarelawan tempatan supaya ikhlas membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Dia juga berkongsi pengalaman ketika di Gaza mengenai kehidupan seharian di sana.

Acara berakhir sekitar jam 4 pagi selepas menghabiskan 200 pek makanan kepada gelandangan sebelum sukarelawan pulang ke rumah.

Bagi Muhamad, dia mengharapkan lebih ramai sukarelawan muda tampil menghulurkan bantuan yang secara tidak langsung dapat membentuk generasi muda yang penyayang serta mempunyai sikap saling membantu antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


90% bekalan pulih hari ini

Posted: 14 Apr 2013 12:58 PM PDT

Ampang: Gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa taman perumahan sekitar Bukit Antarabangsa di sini, masih berlanjutan sejak Jumaat lalu, namun lori bekalan air daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sentiasa sampai mengikut jadual.

Tinjauan Harian Metro ke beberapa taman perumahan sekitar Bukit Antarabangsa seperti di Taman Bukit Utama, Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Mulia mendapati beberapa lori tangki digerakkan bagi memberi bantuan air.


Penduduk Taman Bukit Utama, Megat Amirul Ashraf Megat Azhar, 22, berkata, sebanyak tiga lori tangki SYABAS sampai sekitar jam empat petang sejak Jumaat lalu bagi menyalurkan bantuan bekalan air.

"Kami difahamkan, notis gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang ini akan berakhir esok (hari ini)," katanya.


"Untuk menjimatkan penggunaan air kami hanya makan di luar dan mengehadkan aktiviti luar. Kami juga berpuas hati dengan tindakan pantas pihak SYABAS yang sentiasa bertungkus-lumus menyelesaikan masalah ini," katanya.


Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS berkata, kerja pembaikan paip pecah di Kampung Melayu Batu Caves, Gombak siap sepenuhnya pada jam 7 malam 12 April lalu.

Foto

PENDUDUK Taman Bukit Utama menadah air yang dibekalkan SYABAS.

"Bekalan air kepada 61,392 akaun pengguna di 55 kawasan yang mengalami gangguan di Wilayah Gombak sudah pulih. Bagi Wilayah Kuala Lumpur, 70 peratus daripada 28,368 akaun pengguna di 28 kawasan sudah dipulihkan.


"Manakala di kawasan lain akan pulih secara berperingkat dalam tempoh sehari atau dua hari lagi terutama di kawasan tinggi. Berikutan itu, kami memberi jaminan menjelang esok (hari ini) hampir 90 peratus kawasan terjejas akan pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Impak besar Wan Zack

Posted: 14 Apr 2013 10:54 AM PDT

Okinawa, Jepun: Impak diberikan pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor pada penampilan pertama bersama kelab barunya, FC Ryukyu kelmarin menjadi bualan hangat peminat bolasepak kelab liga divisyen tiga Jepun itu.

Ternyata aksi yang dipamerkan bekas pemain Harimau Muda berusia 22 tahun itu ketika membantu FC Ryukyu menewaskan Sagawa Printing SC 2-1 tidak mengecewakan.


Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu Sotaro Shinoda berkata, ramai peminat mula berbicara mengenai persembahan Wan Zack Haikal menerusi laman web rasmi kelab serta medium internet lain seperti Facebook.

"Ramai peminat terkejut apabila Wan Zack Haikal menyatakan dia tidak berpuas hati dengan permainannya kerana beraksi kurang baik sedangkan peminat semua menganggap dia beraksi dengan begitu baik," katanya.


Wan Zack Haikal, pemain kelahiran Pahang yang mengikat kontrak selama dua tahun dengan FC Ryukyu, beraksi selama 80 minit pada penampilan sulung di Stadium Okinawa Athletic kelmarin.


Meskipun tidak menjaringkan gol namun gerakannya di bahagian sayap kiri banyak memberikan masalah kepada pertahanan lawan yang kerap mengasarinya sehingga dia terpaksa dikeluarkan kerana mengalami sedikit kesakitan di pangkal paha.

Foto

WAN ZACK (kiri) pamer aksi menakjubkan walau gagal jaring gol.

Seorang lagi pemain negara, Nazirul Naim Che Hashim tidak diturunkan kerana dilanda kecederaan buku lali kanan ketika latihan.


Aksi Wan Zack Haikal itu bukan saja memikat hati peminat kelab yang berpangkalan di Okinawa itu malah turut mendapat liputan akhbar tempatan seperti Okinawa Times dan Ryukyu Shimbo semalam.

Menurut Shinoda, selepas permulaan yang baik dipamerkan Wan Zack Haikal kini peminat kelab itu mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripadanya.


"Ramai peminat tidak menyangka dia boleh bermain dengan baik pada perlawanan pertama dan sekarang mereka yakin dia boleh tampil lebih hebat jika mendapat keserasian bersama pemain lain," katanya.


Kemenangan ke atas Sagawa itu melonjakkan FC Ryukyu ke tangga keempat dengan mengumpul 11 mata selepas enam perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

PSG makin selesa

Posted: 14 Apr 2013 10:48 AM PDT

Paris: Jaringan separuh masa kedua Blaise Matuidi sudah cukup buat Paris St Germain melakar kemenangan 1-0 ke atas kelab bawahan liga Troyes dan melebarkan kelebihan 10 mata di kedudukan teratas Ligue 1, kelmarin.

PSG, yang mengikat Barcelona 1-1 pada awal pagi Khamis lalu namun tersingkir dalam kancah Liga Juara-Juara menerusi peraturan gol tempat lawan, mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar.


"Amat sukar kerana kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk kembali cergas. Kami tahu ia bukan alasan namun kami tidak mempunyai pengalaman yang cukup dalam menangani situasi ini," kata penjaga gol PSG, Salvatore Sirigu.

"Kami hanya mahu melakukan tugas kami dan kami perlu meningkat. Kami tidak boleh mengulangi persembahan yang dipamerkan pada separuh masa pertama malam ini (kelmarin)." Matuidi mencetus kemenangan dengan menyempurnakan peluang yang jarang diperoleh apabila rembatannya mengatasi penjaga gol Yohann Thuram-Ulien berikutan hantaran silang Gregory Van der Wiel.


PSG kini mengumpul 67 mata dan 10 mata mengatasi Olympique Marseille ketika saingan berbaki enam perlawanan.


"Sepuluh mata adalah jurang yang besar namun Marseille dan Lyon masih mengejar kami. Kami perlu berhati-hati hingga hujung musim," kata Sirigu.

Marseille yang mengumpul 52 mata di kedudukan kelima bertandang ke Lille, semalam.


Pendahulu liga itu mencipta peluang pertama selepas perlawanan memasuki tiga minit dengan Kevin Gameiro, menggantikan pemain yang digantung Zlatan Ibrahimovic untuk mengetuai jentera serangan, mempunyai peluang terhidang menerusi hantaran Marco Verratti namun Thuram-Ulien berjaya menafikannya.

Troyes melakukan beberapa gerakan menarik dan hampir membuka jaringan selepas lapan minit namun sepakan kencang Stephane Darbion sekadar menggegar tiang.


Tuan rumah terus berusaha membuka jaringan namun gagal menewaskan Sirigu yang ampuh bertahan di gawang apabila turut menafikan usaha yang dilakukan Marcos dan Fabien Camus pada pertengahan separuh masa pertama. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bawa dendam sampai pusara

Posted: 14 Apr 2013 11:17 AM PDT

London: Kerana dendam, seorang wanita tua sanggup mencemar pusara isteri seorang lelaki yang pernah melukakan hati temannya.

Perbuatan wanita berusia 78 tahun itu, Clare Burke bagaimanapun terbongkar apabila lelaki terbabit memasang kamera litar tertutup di sebalik pokok berhampiran kubur isterinya.

Ron Wilks, 77, melihat Clare mencampakkan bunga layu dan batu kerikil pada kubur mendiang isterinya, Jill Wilks dan cucunya, Haryley Reynold selepas memasang kamera itu.

Majistret di Cheltenham, semalam diberitahu Clare bertindak mencemar kubur itu kerana berdendam terhadap Wilks.

Foto

WILKS (kiri) dan anaknya di kubur isterinya yang diganggu Clare.

Foto

Clare


Dia mendakwa Wilks bertunang dengan seorang wanita yang pernah berpacaran dengan bekas temannya.


Pendakwa raya Sharon Jomaa berkata, video itu merakam perbuatan Clare mencampakkan beg penuh dengan bunga layu dan batu kerikil di atas kubur isteri Wilks.

Dia juga mencabut bunga segar dan menanam pokok yang sudah mati pada pasu di kubur di Coney Hill itu.

Wilks memberitahu mahkamah, dia mengenali Clare ketika bekerja dengan sebuah syarikat kewangan dan Clare pelanggan syarikat itu.

Kerana kesalahannya itu, Clare dikenakan hukuman tertunda selama 12 bulan dan dilarang melawat tanah perkuburan itu.

Wanita itu juga diarah membayar kos ganti rugi berjumlah £100 (RM480).

Ini bukan kali pertama Clare berdepan dengan kes mahkamah. Dia pernah dituduh mengganggu bekas teman lelakinya dengan menghantar poskad mengecop lelaki itu sebagai penagih Viagra dan penipu. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Guna dinamit lari dari penjara

Posted: 14 Apr 2013 11:03 AM PDT

Lille (Perancis): Seorang perancang kumpulan perompak bersenjata ganas memboloskan diri dari tahanan semalam selepas meletupkan lima pintu penjara.

Dianggap penjenayah paling digeruni di Perancis, Redoien Faid menjadikan empat warden Penjara Sequedin sebagai tebusan.


Dia kemudian meletupkan lima pintu besi penjara menggunakan dinamit.

Polis percaya Faid memperoleh bahan letupan itu yang diseludup isterinya menggunakan balutan sapu tangan sebelum ini. Sebaik saja bolos, Faid membebaskan warden terbabit dan melarikan diri menaiki sebuah kereta.


Kenderaan itu kemudian ditemui dibakar berhampiran bandar Ronchin. Jurucakap polis berkata, pihak berkuasa sedang mengesan kenderaan kedua yang digunakan Faid bagi melarikan diri.


Jurucakap penjara berkata, tindakan nekad Faid ternyata dirancang teliti.

"Kami masih mengumpul maklumat," katanya.


Faid dinamakan sebagai suspek utama kejadian rompakan bersenjata mengorbankan seorang pegawai polis pada 2010.

Seramai 27 orang ditahan dalam operasi selepas rompakan itu, tetapi Faid bukan seorang daripada mereka. Bagaimanapun, dia akhirnya diberkas pada Jun 2011 dan dipenjara lapan tahun.


Faid yang membesar di kawasan perumahan kerajaan di pinggir Paris dianggap ganas dan sering menjadikan kenderaan membawa wang sebagai sasarannya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Bisa Nasri, Aguero

Posted: 14 Apr 2013 01:07 PM PDT

LONDON: Dua jaringan daripada Samir Nasri dan Sergio Aguero membawa Manchester City ke perlawanan akhir Piala FA untuk bertemu Wigan Athletic selepas menumpaskan Chelsea 2-1, di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Juara 2011 akan kembali ke gelanggang sama pada 11 Mei ini, selepas pasukan itu berhempas-pulas mengekang kebangkitan Chelsea pada babak kedua perlawanan.

Pemain antarabangsa Perancis, Nasri membuka jaringan City, yang turut membantu kemenangan pasukannya ke atas Chelsea pada pertemuan Piala Sumbangsih.

Kemenangan yang memang milik mereka selepas dia merembat gol pertama pada minit ke-35 manakala Aguero pula menanduk masuk gol kedua hanya dua minit perlawanan babak kedua bermula.


Demba Ba kemudiannya melakukan libasan akrobatik untuk merapatkan jurang pada minit ke-65 tetapi gagal untuk memberikan lonjakan yang diperlukan untuk menumpaskan City.


Wigan pula yang masih belum selamat pada persaingan Liga Perdana mengatasi Millwall 2-0, di stadium yang sama, Sabtu lalu, untuk ke perlawanan akhir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

'Tak payahlah bakar'

Posted: 14 Apr 2013 01:07 PM PDT

Kajang: "Dia nak curi, curilah, tapi tak payah bakar rumah kami," kata ahli perniagaan, Zolkifle Ahmad, 53, yang kerugian lebih RM350,000 selepas kediamannya bukan saja dipecah masuk, malah turut dibakar dalam kejadian di Saujana Impian, di sini, awal pagi semalam.

Zolkifle bagaimanapun bersyukur ketika kejadian dia dan lima ahli keluarganya berada di kampung mereka di Ipoh, Perak sejak kelmarin.

Menurutnya, dia dihubungi jirannya kira-kira jam 4.40 pagi memaklumkan rumahnya terbakar, namun tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat sehingga dimaklumkan bomba yang memadamkan kebakaran berkenaan.

"Sebaik saja kebakaran berjaya dipadamkan, anggota forensik bomba memaklumkan terdapat kesan rumah saya dipecah masuk dan selepas memeriksa bahagian bawah rumah yang tidak terbakar, saya dapati beberapa barangan seperti komputer riba, barang kemas serta wang tunai pelbagai mata wang bernilai kira-kira RM5,000 lesap.

Foto

TINGKAT atas kediaman mangsa musnah dibakar penyamun.


"Suspek memasuki rumah melalui pintu belakang dengan mengumpil pintu jeriji dan juga tingkap sebelum menggeledah bahagian bawah dan kemudian membakar bahagian tengah tingkat atas yang memusnahkan seluruh bahagian atas rumah saya," katanya kepada wartawan Harian Metro.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: 'Oblivion' Filem Imaginasi Futuristik

Posted: 14 Apr 2013 01:21 PM PDT

Filem arahan Joseph Kosinski ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat filem bergenre aksi pengembaraan. Begitu juga dengan peminat setia pelakon A-list Hollywood, Tom Cruise. Pengalaman menyaksikan 'Oblivion' baru-baru ini membuatkan saya tertanya-tanya bilakah produksi Malaysia mampu menghasilkan filem sehebat ini? Teknologi yang digunakan berjaya membawa imaginasi Kosinski di layar perak dengan cukup berkesan.

Walau bagaimanapun saya menyedari dan faham produksi Malaysia terikat dengan bajet yang ketat. Mengikut entri di Wikipedia, 'Oblivion' dikatakan menelan belanja sebanyak USD 120 juta.

Berbeza dari filem aksi-penggembaraan lain yang dipopulasikan dengan ramai pelakon, 'Oblivion' hanya mengetengahkan beberapa watak sahaja, lebih-lebih lagi Bumi pada waktu itu sudah ditinggalkan penduduknya. Berlatar belakangkan bumi pada tahun 2077, Oblivion memperlihatkan 'keuzuran' bumi selepas enam dekad diceroboh makhluk asing.

Watak utama bernama Jack Harper (Tom Cruise), seorang juruterbang berani mati yang kini bertugas di Bumi. Realiti yang Jack selama ini percaya sebagai kebenaran musnah dalam sekelip mata apabila dia dipertemukan dengan Julia Rusakova yang diselamatkan daripada sebuah kapal angkasa yang terhempas ke bumi. Julia bukan sahaja mengingatkannya kepada seseorang, malah dia juga menghidupkan memori-memori lama.


Kecelaruan fikirannya membuatkan Jack berusaha mencari jawapan. Ternyata apa yang dilihat dengan mata kasarnya selama ini tidak seperti yang disangkakan. Kesedaran Jack akhirnya melihat lelaki ini menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin kepada mereka yang masih berada di bumi.


Terdapat beberapa eleman futuristik yang saya rasakan benar-benar menyuntik semangat filem ini. Satu, rekaan pesawat yang digunakan oleh Jack ketika membuat rondaan di bumi. Pesawat yang dinamakan Bubbleship ini merupakan gabungan jet pejuang dan helikopter Bell 47. Bukan mudah mencipta pesawat ini.

Saya difahamkan kerja-kerja membina pesawat ini mengambil masa lebih setahun dan ia dibina di di sebuah gudang di Los Angeles sebelum ia dileraikan dan dihantar ke Louisiana, Iceland dan Mammoth, California untuk penggambaran. Kerja-kerja pemasangan pula mengambil masa lima jam.

Selain itu, saya suka kagum dengan tempat tinggal Jack dengan pembantunya, Victoria atau Vika Olsen (Andrea Riseborough) yang terletak 3,000 kaki di permukaan troposfera. Bagaikan sebuah dunia di awang-awangan, keadaan di Skytower menampilkan persekitaran yang bersih, sintetik dan berteknologi tinggi. Kosinski tindak menggunakan skrin biru untuk set Skytower, sebaliknya menggunakan rakaman keadaaan langit dari siang sehingga malam di kemuncak Haleakala Crater, Maui, Hawaii.

Seterusnya, saya tertarik dengan robot drone yang diprogramkan untuk membunuh pemangsa. Dilengkapi dengan animatronik, robot ini boleh bergerak, berpusing dan menyala dengan alat kawalan jauh.

'Oblivion' bukan sahaja percubaan pertama Cruise bekerja di bawah arahan Kosinski tetapi ia juga menyaksikan gandingan pertamanya dengan pelakon tersohor Morgan Freeman yang membawa watak Beech.

Secara keseluruhan, saya berpendapat 'Oblivion' merupakan sebuah filem bijak pandai yang harus ditonton oleh peminat filem. Selain mempamerkan kecanggihan teknologi, 'Oblivion' sebenarnya membawa mesej tersirat. Ia menyedarkan kita bahawa tidak semua perkara yang dilihat dan dipercayai itu benar. Sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran, kita seharusnya berani mencari kebenaran.

'Oblivion' sudah mula ditayangkan di pawagam sejak 11 April lalu.

VIDEO:

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Gagasan dengan Modread

Posted: 14 Apr 2013 08:17 AM PDT

Berbanding empat kumpulan lain, Manifesto yang menampilkan kolaborasi Tomok dan band indie, Modread adalah satu-satunya 'projek band' yang bertanding serta memberikan saingan sengit dalam program realiti Versus 2.

Kolaborasi mereka yang memiliki latar belakang muzik berbeza dalam Manifesto dijangka dapat mencetuskan kreativiti muzik yang baru dan segar, sekali gus untuk memartabatkan lagi bidang muzik tanah air ke tahap yang lebih tinggi.

Selaku vokalis Manifesto, Tomok yang juga bekas juara One In A Million (OIAM) ini mengakui dia terima tawaran menyertai Versus 2 kerana ingin mengetengahkan lagi kreativitinya dalam bidang muzik.

"Apabila ditawarkan menyertai Versus 2, saya terus terfikir untuk bergabung dengan Modread. Walaupun sudah kenal lama tapi kami tidak pernah membuat persembahan bersama di atas pentas.


"Mungkin gabungan kami masih baru, tetapi masing-masing sudah mempunyai pengikut dan pengaruh tersendiri. Ia memang tugas berat untuk sebuah projek band, tapi kami bersedia menyahut tugas berat itu. Justeru, kami banyak berlatih di studio sebagai band Manifesto dan bukan sebagai Tomok mahupun Modread," katanya.


Pemilik nama sebenar, Shah Indrawan Ismail yang bernaung di bawah payung Monkey Bone ini juga hanya memberi fokus dengan band Manifesto sepanjang dua bulan bermula April hingga Mei nanti.

"Kami ingin berikan yang terbaik sepanjang sembilan minggu bersaing dalam program ini. Saya juga yang pilih nama Manifesto kerana ia bermaksud 'gagasan' antara saya dan Modread dan ia dipersetujui mereka.

"Saya akui setiap kumpulan yang bertanding dalam Versus 2 mahu menang. Kalah atau menang soal kedua jika menang ia satu bonus tapi kalau kalah kita akan cuba lagi pada masa akan datang.

"Apa yang menarik, program ini tiada penyingkiran berbanding program realiti lain dan semua band yang bertanding juga bebas untuk berkarya dengan menonjolkan kreativiti masing-masing mengikut tema setiap minggu," katanya.

Belum tinggalkan Newboyz

Ditanya kenapa dia tidak menampilkan Newboyz dalam Versus 2, penyanyi yang popular dengan lagu Arjuna, Bidadari, Aku Datang dan Berlari ini berkata, dia ingin mencuba sesuatu yang baru berkolaborasi dengan band yang menampilkan genre muzik indie seperti Modread.

"Saya sudah berbincang dengan Newboyz dan mereka juga bersetuju dengan gabungan saya dan Modread untuk projek band Versus ini. Pada masa sama, Newboyz juga ada komitmen dengan kerja masing-masing ketika ini.

"Walaupun saya berkolaborasi dengan Modread ia bukan bermaksud kami sudah berpecah kerana Tomok dan NewBoyz masih wujud dalam bidang seni. Saya juga masih menyanyi lagu popular Newboyz dan kalau ada kelapangan kami masih jayakan undangan persembahan," jelasnya.

Ketua kumpulan Modread selaku gitaris dan vokalis kumpulan ini, Muhammad Fahmi Ikhwan Othman atau lebih dikenali sebagai Fami, 28, pula berkata pihaknya menganggap pembabitan mereka dalam Versus 2 sebagai platform untuk 'band indie' memasuki muzik 'mainstream'.

"Kami juga berharap gabungan kami yang unik ini diterima peminat Tomok dan Modread di luar sana. Pada masa sama, kami percaya bersandarkan pengalaman 'back up' persembahan penyanyi Black dalam persembahannya sebelum ini sedikit sebanyak membantu mereka untuk bekerjasama dengan Tomok dalam Versus 2.

"Lebih menarik, kami dapat jayakan persembahan mengikut tema yang ditetapkan setiap minggu. Walaupun kami gubah semula lagu dendangan penyanyi asal berkenaan, kami tetap pastikan ia tidak menjejaskan keaslian atau merosakkan lagu asal berkenaan," katanya.

Kumpulan ini turut dianggotai Shahfiq Shahrudin @ Sapik (gitar), 26; Mohd Azri Mohd Noor @ Kirk (bass), 27; Ainol Eqraf Ramli @ Ainol (drum), 26 dan Johan Shamsudin @ Ahmad (keyboard), 27.

Fahmi yang bertugas sebagai arkitek berkata pihaknya juga ingin bersaing secara sihat dalam konsert Versus 2.

"Kami tidak ada masalah untuk membahagikan masa antara karier dan sesi latihan untuk versus 2 kerana kami berlatih di studio hanya pada hujung minggu. Demi memberikan komitmen terbaik pada Versus 2, salah seorang anggota Versus, Ainol sanggup mengambil cuti dari tugasnya di syarikat penerbangan AirAsia selama dua bulan.

"Selain itu, setiap anggota kami juga memiliki kelebihan tersendiri seperti Shapik yang pernah diangkat sebagai gitarus terbaik sempena Asean Beat 2008 dan pemain keyboards kami, Ahmad juga memiliki ijazah dalam jurusan muzik di Aswara," katanya.

Pada konsert pertama Versus 2 (rakaman) bertemakan Band Malaya yang disiarkan pada 5 April lalu melalui TV9, Manifesto mempersembahkan lagu popular kumpulan Dinamik iaitu Biar Putih Tulang.

Mengimbas latarnya, band Modread ditubuhkan pada penghujung 2008 dan masih aktif sampai sekarang. Kumpulan ini pernah menghasilkan dua album Neeruza (2009) dan Pengembaraan Neeruza Ozawa (2012).

Konsert Versus musim kedua akan berlangsung setiap jumaat jam 9.30 malam di Space U8, Shah Alam. Empat band lain yang turut bertanding adalah Estranged, Kristal, Kyoto Protocol dan Oh Chentaku.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved