Rabu, 24 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Damai ketika rawatan

Posted: 24 Apr 2013 08:55 AM PDT

Dalam masyarakat Melayu, amalan mandi bunga biasanya dikaitkan untuk membuang sial atau sesuai untuk mendapatkan jodoh. Namun, kini seiring dengan peredaran masa, mandi bunga mula mendapat perhatian dalam kalangan wanita sama ada yang sudah berumah tangga atau pasangan pengantin baru untuk kelihatan cantik, berseri dan menarik.

Bukan itu saja, ia bertujuan meredakan tekanan selepas seharian bekerja, menghilangkan bau badan serta menaikkan aura.

Menurut pemilik Spa Alammi, Maziana Yahya, untuk tujuan mandi bunga, Maziana menyediakan tujuh jenis bunga berlainan warna dan berbau harum kerana dari segi saintifik, warna dan bauan mempunyai tenaga yang akan bertindak balas dengan tenaga dalaman manusia.

"Mandi bunga membawa banyak faedah. Ini kerana bunga dikatakan pencerap tenaga matahari yang paling baik manakala mandi dengan air bercampur bunga membolehkan kita mendapat kebaikan sama ada dari segi aura dan tenaga yang diserap dan diproses oleh bunga," ujarnya.

Foto

MANDI bunga baik untuk kesegaran badan.

Foto

PINTU masuk Spa Alammi yang mendamaikan.

Foto

RUANG untuk melakukan rawatan.

Foto

URUTAN badan untuk wanita dilakukan ahli terapi terlatih.

Foto

URUTAN untuk lelaki turut disediakan.


Sebab itu, mandi bunga dikatakan mampu menaikkan seri wajah, mengembalikan kesegaran tubuh serta membuatkan diri lebih tenang, gembira dan ceria kerana khasiat pada bunga ini menyerap ke dalam tubuh manusia.


Antara bunga yang biasa digunakan ialah mawar merah bertujuan menjadikan seseorang itu lebih berani dan berkeyakinan tinggi, mawar putih untuk kesegaran dan menyucikan badan, cempaka putih melembut dan mewangikan badan, cempaka kuning menyerikan wajah, melur putih dan kuning sebagai bahan cucian dalaman manakala kenanga menaikkan seri dan disenangi ramai orang.

"Biasanya semua jenis bunga ini saya rendam semalaman dan diembunkan terlebih dulu bagi menjadikannya lebih harum. Kemudian rendaman ini saya campurkan bersama air di dalam bekas mandian bersama campuran bunga segar yang lain. Bagi membuang kotoran dan membuka pori kulit, saya campurkan dengan limau purut untuk mendapatkan kesan lebih menyerlah," katanya.

Menyedari keperluan pengantin yang semakin meningkat, dia akui kini mandi bunga diperbaharui mengikut cara moden di kebanyakan salun kecantikan. Ini kerana rata-rata wanita terikat dengan tugasan dan sibuk sepanjang hari di pejabat.

Jadi dengan mengunjungi spa dan mendapatkan perkhidmatan mandi bunga, mereka berpeluang memanjakan diri dengan rawatan lain seperti mandi susu, lulur, urut, penyental badan dan sauna yang mempunyai keistimewaannya.

"Di Spa Alammi kami menyediakan perkhidmatan mandi bunga bukan saja khusus untuk bakal pengantin, tetapi kepada suri rumah, wanita bekerja yang ingin mengembalikan kesegaran serta meningkatkan keceriaan. Walaupun boleh melakukan sendiri di rumah, layanan diberikan di salun nyata berlainan dan pelanggan berpeluang merasai perbezaan bergantung kepada keperluan," katanya yang memulakan operasi spa di Hotel Concorde, Shah Alam, sejak 2011 lalu.

Selepas mandi bunga, Maziana menggalakkan bakal pengantin melakukan mandi susu, sauna dan urutan badan bagi melancarkan peredaran darah. Selain itu, kulit menjadi lebih lembut dan segar kerana pori lebih terbuka. Sebaiknya rawatan dilakukan tiga bulan sebelum melangsungkan perkahwinan dan seeloknya sekali setiap bulan untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

Menariknya Maziana menggunakan produk Tanamera dengan 100 peratus bahan semula jadi diperbuat daripada kelapa, daun pandan dan beras pulut yang terbukti mampu memulihkan keceriaan kulit.

Untuk wanita juga disediakan pakej selepas bersalin dengan rawatan berurut dan bertungku sebalik saja melahirkan anak atau selepas melepasi tempoh berpantang.

Spa yang dikongsi bersama E'zham Dhani turut menyediakan rawatan untuk bakal pengantin lelaki di dalam bilik berbeza. Ini disebabkan permintaan daripada pengunjung hotel yang ingin mendapatkan rawatan urutan badan.

"Ramai beranggapan cantik itu hanya menjurus untuk wanita, tetapi sebenarnya tidak. Apa yang disediakan di spa bukanlah untuk kecantikan semata-mata, tetapi lebih kepada kesihatan badan. Dengan mendapatkan urutan aromaterapi, ia dapat menenangkan badan dan fikiran terutama selepas seharian bekerja.

"Bagi bakal pengantin lelaki pula, spa ini menyediakan perkhidmatan bertungku menggunakan batu panas diletakkan daun mengkudu, kunyit dan limau purut. Tungku dituam pada seluruh badan bagi melancarkan peredaran badan," kata E'zham yang menyediakan empat terapi untuk pelanggan lelaki dan tiga terapi untuk wanita.

E'zham yang sebelum ini membuka spa sendiri di rumah mengakui banyak menerima permintaan daripada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan mandi bunga, sauna dan urutan badan. Oleh itu, dia mengambil keputusan membuka spa di Sooka Sentral pada 2008 khusus untuk lelaki dan wanita.

Dengan mengambil ahli terapi berpengalaman, pelanggan boleh memilih jenis urutan diinginkan sama ada cara tradisional, Bali atau aromaterapi.

"Selain perkhidmatan spa, saya juga berhasrat membuka akademi untuk mengajar kepelbagaian jenis urutan bagi melahirkan ahli terapi terlatih di seluruh negara. Tujuan utama adalah membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan supaya membabitkan diri dalam bidang spa dan kecantikan kerana ia memberi peluang yang cerah terutama kepada lelaki disebabkan terapi dalam kalangan kaum Adam tidak ramai," katanya yang akan mengetengahkan latihan cara Islam.

Spa yang dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 11 pagi hingga 8.30 malam itu menyediakan harga terendah daripada RM120 sehingga RM600 bergantung kepada pakej disediakan. Selain ahli terapi terlatih, susun atur serta persekitaran mendamaikan dengan dekorasi alam menjadikan setiap pelanggan berasa damai ketika melakukan rawatan.

Berkonsepkan tradisional dengan penggunaan kayu, buluh dan atap, ia memberikan ketenangan berganda kepada pelanggan. Begitu juga dengan muzik latar serta haruman daun serai wangi menambah kesegaran tatkala mendapatkan rawatan. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi Hotel Concorde, Shah Alam yang terletak di aras tiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Amoi kopitiam

Posted: 24 Apr 2013 08:13 AM PDT

Hampir setiap hari bermula jam 6 pagi, Nicole Wong Siaw Ting, 33, yang ketika itu sedang sarat mengandung berada celah pasar pagi di kawasan Seputeh bagi memberikan khidmat kepada masyarakat. Dengan tangan memegang sebakul oren, dia bergerak dari satu meja ke meja memberikan buah oren kepada pengunjung.

Di setiap lokasi dikunjungi, dia bertanya khabar sambil mendengar luahan hati mereka mengenai sebarang masalah.

Pada mulanya walaupun reaksi diterima amat mengecewakan kerana masih ramai belum mengenali dirinya, Wong tidak berputus asa dan terus menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat setempat dengan memperkenalkan diri dan berjanji menyelesaikan masalah mereka.

Selepas menyelesaikan tugasan di pasar, di bergerak ke kedai kopi dan kopitiam yang terletak di kawasan sama sambil duduk semeja dengan penduduk terutama golongan tua. Dia berbual dari meja ke meja untuk mengetahui apa yang tersirat di hati mereka.


Perkara ini dilakukannya secara rutin pada setiap Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat sehingga ada yang memberi gelaran 'amoi kopitiam' kepada calon Barisan Nasional (BN) kawasan Seputeh ini. Apa yang dilakukannya hanya mendengar dan menyelami apa yang mereka inginkan. Walaupun masalah dilihat kecil misalnya longgokan sampah, longkang tersumbat atau jalan berlubang, bagi penduduk setempat ia sangat besar dan memerlukan penyelesaian segera.


Wong memilih kedai kopi sebagai lokasi bertemu penduduk melalui kios Nicole Wong Work Station kerana memahami kebanyakan masyarakat di situ meluangkan masa bersarapan dengan ahli keluarga biar sesibuk mana sekalipun mereka.

"Suasana waktu pagi biasanya lebih meriah dan santai. Jadi saya mengambil peluang berbual dengan pengunjung kedai kopi kerana mereka lebih jujur dan ikhlas berbicara. Biasanya, tauke kedai kopi memberi satu ruang kepada saya menjalankan tugas, jika tidak kami mendirikan khemah mini sama ada di bawah pokok berdekatan medan selera atau di pasar pagi," katanya.

Selepas enam bulan berkhidmat di kios bergerak, akhirnya Wong membuka pusat perkhidmatan Nicole Wong Work Station dengan menyewa rumah teres di Taman Gembira berikutan kemahuan penduduk inginkan lokasi tetap bagi mereka mendapatkan bantuan.

"Mujur ada rakan menawarkan rumah untuk dijadikan pusat perkhidmatan dan di sinilah saya bersama kaki tangan menjalankan semua urusan khidmat kepada orang ramai," katanya.

Malah sejak beroperasi, pusat khidmat ini menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada untuk meminta bantuan, membuat aduan dan ada memberi sokongan kepadanya.

Dalam usaha memperoleh kepercayaan penduduk sebagai calon BN, Wong mengakui banyak rintangan dihadapi terutama ketika menjalankan tugas apatah lagi banyak aduan tidak dapat diselesaikan ahli parlimen mereka sekarang.

"Setiap kali berkunjung ke kedai kopi, saya sering mendengar rungutan daripada masyarakat bahawa ahli parlimen tidak menghiraukan masalah mereka. Apa yang saya lakukan adalah cuba menyelesaikan setiap masalah sedikit demi sedikit," katanya.

Setiap kali masalah penduduk diselesaikan, dia berasa begitu puas kerana segala usahanya berbaloi. Tambahan pula apabila menerima ucapan terima kasih daripada masyarakat setempat.

Sebagai calon BN, Wong akui tugasnya lebih berat kerana dia ingin menjadi wakil kepada masyarakat setempat dengan mendengar luahan hati mereka. Oleh sebab itu, tujuh manifesto yang diperkenalkan adalah apa yang diinginkan rakyat dan bukannya pembaharuan yang cuba dilakukan.

"Tujuh manifesto yang dilancarkan semuanya perkara yang diinginkan masyarakat. Bagi saya ia bukan sesuatu perubahan besar yang sukar dilakukan, tetapi semuanya mengenai perkara asas yang menjadi jaminan kepada kehidupan lebih sejahtera," katanya.

Menyambung warisan ayah

Anak kelima dalam enam beradik ini mengakui sangat disayangi keluarga disebabkan sifatnya yang manja dan rapat dengan semua orang. Ibu bapanya memberi kebebasan kepada Wong dalam menentukan hala tuju sendiri.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana, sejak kecil Wong belajar untuk lebih berdikari. Malah, ketika di tingkatan lima dia bekerja bagi menampung perbelanjaan pengajian. Dari situ, Wong menjadi seorang yang sangat berdisiplin dan komited dalam apa juga dilakukan sehingga mampu membeli kereta dan rumah hasil titik peluhnya sendiri.

"Saya akui peribadi banyak dibentuk daripada didikan keluarga yang mementingkan disiplin dan usaha bersungguh-sungguh. Oleh kerana ayah adalah ahli MCA, secara tidak langsung saya turut terbabit dalam kerja politik seawal usia 21 tahun.

Namun, semuanya bermula secara kecil-kecilan saja. Selepas ayah meninggal dunia pada 2006, saya menyambung warisannya dalam politik. Namun, saya tidak sangka perjalanan karier menjadi lebih kukuh kerana asalnya saya hanya sekadar suka-suka," katanya.

Pada 2005, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini aktif di kawasan Kuala Lumpur sehingga dilantik sebagai Ketua Wanita MCA untuk Jalan Jelatek, Naib Pengerusi Wanita MCA Titiwangsa serta Ahli Jawatankuasa Wanita MCA Wilayah Persekutuan. Dari situ, Wong terus mengukuhkan minatnya dalam politik walaupun dulu dia hanya bertugas menyusun kerusi dan memasang bendera apabila aktiviti diadakan.

Wong yang baru saja melahirkan cahaya mata kedua, Xavern Kok, 38 hari lalu kini baru saja habis tempoh berpantang mengikut masyarakat Cina. Namun, dia mengakui selepas seminggu melahirkan anak, dia sudah keluar bagi memenuhi program disediakan BN.

"Oleh kerana saya melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan pada 18 Mac lalu, memang terasa sedikit perit pada bahagian perut kerana luka pembedahan masih belum pulih sepenuhnya. Namun, saya mengamalkan pantang makanan tertentu, banyak makan makanan kesihatan sama ada tradisional dan moden serta memakai stokin apabila berjalan.

"Mujur saya mempunyai kaki tangan yang sangat memahami dan sentiasa menyediakan kerusi ketika berada di pasar bagi membolehkan saya duduk sementara. Mereka juga mengingatkan untuk makan apabila tiba waktu makan serta ubat-ubatan yang perlu dihabiskan," ujarnya yang memastikan tidak terlalu aktif dan banyak bergerak pada satu-satu masa.

Menyedari tugasan yang kian bertambah menjelang pilihan raya, Wong mengakui terpaksa berkorban dengan meninggalkan bayi kecil dan anak pertama Xavier, 2, di bawah jagaan ibu dan suaminya, Alan Kok. Pada masa sama, Wong mempunyai sistem sokongan yang sangat kukuh iaitu keluarga kedua-dua pihak yang sangat membantu dan memberikan sokongan kepadanya.

"Oleh kerana suami membuka perniagaan sendiri jadi saya menyerahkan tugasan menjaga anak kepadanya tatkala saya keluar bekerja. Ibu pula menjaga anak
di rumah jadi saya kurang tertekan kerana anak dijaga individu yang sangat dipercayai," jelasnya.

Sebelum keluar, Wong pasti bertemu kedua-dua anaknya, meminta kebenaran untuk meninggalkan mereka dengan nenek di rumah.

"Saya pasti mencium mereka sebelum keluar bekerja, menyatakan harapan sambil menjelaskan mengapa saya meninggalkan mereka di rumah setiap hari. Saya faham sebagai ibu ia satu tugas yang berat, namun saya terpaksa berkorban demi masyarakat.

"Selepas dipilih sebagai calon, ramai yang bertemu dan memberi sokongan kepada saya. Mereka berharap saya mampu melakukan perubahan. Sangat menyentuh hati apabila ada yang memeluk dan mencium saya sebagai tanda terima kasih padahal dua tahun lalu tiada siapa mengenali saya," katanya.

Baginya, menjadi yang berhormat bukan setakat pangkat, apa yang penting bersama-sama mereka. Tidak boleh sombong dan sentiasa berada walau di mana saja mereka memerlukan.

"Untuk PRU13 kali ini, apa yang ingin saya lakukan adalah memberi kesedaran kepada pengundi mengenai penting dan bernilainya setiap undian. Ia bukan saja memberi makna kepada diri tetapi juga penduduk setempat," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tergamam zink tercabut

Posted: 23 Apr 2013 12:13 PM PDT

Kuala Lumpur: "Jiran terpaksa dukung dan bawa saya keluar rumah dengan keadaan yang basah kuyup sebab saya tergamam bila zink rumah tercabut satu persatu," kata Muhammad Abdul Rahman, 70.

Muhammad antara tiga penduduk di Kampung Pantai Dalam, di sini, yang rumahnya mengalami kerosakan seperti zink tercabut dan bekalan elektrik terputus akibat hujan lebat dan ribut, petang kelmarin.


Menurut Muhammad, ketika hujan lebat jam 4 petang itu, dia tinggal berseorangan di rumah sebelum dua cucunya pulang dari sekolah.

Warga emas itu berkata, dia hanya duduk diam kerana tidak tahu berbuat apa-apa sebelum jirannya mengetuk pintu rumah dan mendukungnya keluar.


"Saya tergamam kerana terlalu sedih bila melihat keadaan rumah yang sudah dibasahi hujan," katanya yang ditemui di rumahnya selepas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin melawatnya, malam kelmarin.


Raja Nong Chik turun padang melawat tiga rumah mangsa ribut di Kampung Pantai Dalam serta beberapa rumah yang terbabit di kawasan lain sambil menyampaikan sumbangan daripada Tabung Amal Barisan Nasional (BN) kepada mereka bagi pembersihan rumah.

Foto

RAJA Nong Chik menenangkan Muhammad yang kesedihan.

Beliau yang juga calon BN Parlimen Lembah Pantai sudah menyediakan beberapa perancangan bagi menyelesaikan masalah perparitan yang tidak memuaskan dan tersumbat yang sering menyebabkan air melimpah dalam rumah di kawasan itu ketika hujan lebat.


"Untuk jangka masa panjang, saya akan pastikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau agensi dan syarikat yang terbabit mengkaji dan menyelesaikan masalah perparitan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Khianat profesional

Posted: 23 Apr 2013 11:48 PM PDT

NIBONG TEBAL: Kejadian letupan berhampiran bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal malam tadi adalah daripada alat letupan rekaan (IED).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis percaya bahan letupan IED yang diletakkan dalam longgokan sampah di kawasan ceramah itu adalah perbuatan khianat yang dirancang sekumpulan profesional.

"Polis menemui dua IED dalam longgokan sampah dan percaya ia bertujuan menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana tidak tenteram serta huru hara di kawasan ceramah," katanya selepas melawat tempat kejadian.

Beliau berkata, berikutan itu, polis menubuhkan satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah bagi menyiasat kejadian itu dan mengesan mereka yang terbabit.


"Sehingga ini, polis sudah merekodkan keterangan dari tujuh saksi," katanya.


Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam tadi, seorang petugas keselamatan berusia 35 tahun cedera di kaki kanan terkena serpihan sampah akibat letupan itu.

Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang.

Abdul Rahim berkata, kedua-dua bahan letupan sebesar kotak rokok yang disembunyikan dalam sampah itu telah ditetapkan masa berbeza untuk menghasilkan dua kali letupan.

"Selepas letupan pertama, sepasukan anggota polis dan forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menemui satu lagi bahan IED itu yang kemudian diletupkan pada kira-kira 3 pagi," katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, bahan letupan itu bukan untuk mencederakan orang tetapi bagi menghasilkan bunyi yang kuat untuk menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana huru hara di tempat ceramah.

Polis memandang serius kejadian itu dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menimbulkan keadaan huru hara di negeri ini.

"Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian tetapi ia tidak berfungsi dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Petugas BN parah akibat letupan

Posted: 23 Apr 2013 12:57 PM PDT

NIBONG TEBAL: Seorang petugas keselamatan Barisan Nasional (BN) cedera parah di kaki akibat letupan dalam timbunan sampah di belakang Bilik Gerakan Pilihan Raya BN di Jawi, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu mengejutkan kira-kira 3,000 orang yang hadir bagi mendengar ceramah yang ketika itu disampaikan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki berusia lingkungan 30-an itu berada berhampiran longgokan sampah berkenaan sebelum ia tiba-tiba meletup menyebabkan kaki kanannya berlubang.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Bakap oleh petugas BN bagi mendapatkan rawatan lanjut.


Beberapa saksi yang turut berada di tempat kejadian turut tergamam dan tidak sempat berbuat apa-apa berikutan ia berlaku begitu pantas.


Saksi, A Michael, 39, berkata, ketika kejadian, dia mendengar ceramah bersama isterinya, M Jenytuba, 36, berhampiran kereta sebelum longgokan sampah yang berada di hadapan mereka meletup.

"Letupan itu sangat kuat. Saya tidak nampak sesiapa mencurigakan sebelum itu, hanya ada beberapa orang kanak-kanak bermain berhampiran longgokan sampah itu.

"Kejadian itu mengejutkan saya, malah isteri turut trauma," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat, bergegas ke lokasi kejadian bersama anggotanya bagi menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan maklumat lanjut berikutan kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman, yang turut berada di tempat kejadian mengutuk kejadian itu dan meminta polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Mengaku berkawan VIP

Posted: 23 Apr 2013 09:13 AM PDT

Dia hadir dengan pakej lengkap dengan hasrat 'menjual' bakat besarnya dalam bidang lakonan. Sayangnya, ramai yang lebih mengenali pelakon jelita Nur Fathia kerana gosip cintanya dengan golongan VIP berbanding perkembangan karier seninya.

Itukah harga perlu dibayar Fathia sejak terjun dalam dunia glamor ini tiga tahun lalu?

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Nur Fathia Abd Latiff, 25, ini mengakui dia sendiri tidak mahu menjaja kisah cinta berbanding karier seni yang semakin sebati dalam dirinya.

"Saya sedih kerana sering menjadi sasaran gosip liar yang tidak berasas sama sekali. Malangnya, itulah yang perlu saya lalui dalam meniti perjalanan sebagai anak seni.


"Saya berlakon kerana minat dan mahu orang kenal saya sebagai pelakon serius dan bukan untuk kejar glamor. Saya memang berusaha untuk menaikkan lagi kredibiliti dalam bidang lakonan dari semasa ke semasa," katanya.


Justeru kata Fathia, dia berharap cerita gosip cintanya dengan golongan VIP itu dihentikan segera kerana tidak mahu peminat terlepas pandang karier seninya.

"Saya tidak mahu peminat berasa mual dengan gosip cinta seperti itu. Maklumlah, pihak media memainkan peranan yang sangat besar dan saya tidak mahu peminat terpengaruh dengan gosip sedemikian.

"Memang saya mengaku ada berkawan dengan seorang daripada golongan VIP ini, tetapi hubungan itu tidak lebih daripada itu. Saya masih muda dan berstatus solo. Apa salahnya saya berkawan dan mengenali hati budi mereka," katanya.

Terus terang Fathia juga menafikan dakwaan dirinya mengejar cinta golongan kenamaan dan VIP seperti yang heboh diperkatakan orang ketika ini.

"Saya hanya seorang gadis biasa dan cara hidup saya pun ringkas saja. Ciri-ciri lelaki idaman saya ialah yang berpendidikan tinggi, merendah diri dan setia kerana saya seorang yang cemburu.

"MaIah, ibu bapa saya pun mencari calon menantu yang berpendidikan dan bukannya memandang dari segi status, pangkat mahupun harta seseorang itu.

"Semoga kenyataan ini akan menghentikan gosip saya kejar cinta VIP kerana ia mencalar nama baik saya keluarga," katanya yang turut digosipkan dengan pelakon dari seberang, Keith Foo.

Bakal peguam impi jadi aktres berkaliber

Jangan memperlekehkan bakat lakonan Fathia kerana impiannya untuk bergelar aktres berkaliber di persada hiburan tanah air pada masa depan.

Pelakon yang menjadikan Datuk Jalaluddin Hassan sebagai inspirasi mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan prestasi lakonan sedia ada.

"Saya menceburi bidang lakonan kerana minat mendalam dan bukan untuk suka-suka. Malah, masih banyak impian yang belum tercapai dalam bidang seni tanah air.

"Masih banyak lagi watak ingin dilakonkan, sekali gus mencabar diri dalam lakonan. Antara watak yang diimpikan ialah psiko dan orang cacat kerana saya ingin watak buat saya nampak hodoh dan bukan tampil cantik saja dalam drama mahupun filem," katanya.

Ketika ditemui, Fathia sibuk menghabiskan baki penggambaran drama bersiri 13 episod Deandra arahan Eoon Shuhaini bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza yang bakal bersiaran untuk slot Lestary di TV3 pada Jun ini.

"Impian saya untuk berlakon watak tomboy yang kasar dan gila-gila akhirnya tercapai. Saya tiada masalah menjiwai watak ini kerana memang macam tomboy ketika di bangku sekolah dulu.

"Saya juga sudah selesai penggambaran telefilem Tercipta Untukku arahan Aziz M Osman yang mula bersiaran bulan ini di stesen TV2. Selain itu, saya bakal beraksi dalam filem genre romantik komedi berjudul Superstar arahan Kabir Bhatia dan bergandingan dengan Awie nanti," katanya.

Sesibuk manapun berlakon, penuntut tahun akhir jurusan undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini tetap mengutamakan pengajiannya dalam segala hal. Saya hanya berlakon pada hujung minggu dan ketika cuti semester kerana tidak mahu aktiviti seni menjejaskan pengajian di UiTM.

"Minat macam manapun dalam bidang seni, saya tetap akan tunaikan impian keluarga yang ingin melihat saya membawa pulang segulung ijazah dalam bidang undang-undang. Pelakon juga perlu berilmu kerana ijazah yang dimiliki sebagai jaminan masa depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fathia juga berlepas ke Perancis untuk mempromosikan pesawat Air France bersama dua lagi artis iaitu Tasha Shila dan Fizo Omar pada 23 hingga 29 April ini. Menyusul selepas itu, dia akan ke Uzbekistan pula bersama pihak Rafflesia selama 10 hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


'Saya tidak akan berhenti menari'

Posted: 23 Apr 2013 11:36 AM PDT

Boston: Seorang guru tari yang hilang sebelah kaki dalam serangan bom Maraton Boston berikrar untuk menari lagi dan lari dalam acara itu tahun depan.

Doktor gagal menyelamatkan kaki kiri Adrianne Haslet-Davis selepas dia terkena bom kedua ketika menonton perlumbaan itu minggu lalu. Mereka terpaksa memotong kakinya sebanyak lima inci dari bawah lutut.


Meskipun menjalani pembedahan yang mengubah hidupnya, wanita berusia 32 tahun itu berkata, dia tidak akan meninggalkan minatnya.

"Ketika menari, saya merasakan tidak perlu melakukan apa-apa lagi. Saya mencapai kegembiraan sepenuhnya," kata Adrianne kepada media.


"Saya tidak boleh membiarkan orang lain datang dan meragut seluruh kehidupan saya. Kerana itu saya akan menari lagi. Dan tahun depan, walaupun tidak pernah berlari, saya akan menyertai acara maraton itu.


Gambar yang dibekalkan oleh Studio Arthur Murray Studio di Park Plaza menunjukkan Adrianne begitu bersemangat mengajar orang lain untuk menari dan dia sendiri menari dengan lemah lembut.

Foto

Adrianne menari di Pusat Tarian Arthur Murray.

Foto

Adrianne bersama suami, Adam Davis.

Perasaan kehilangan kakinya jelas pada fikiran Adrianne apabila dia dan suami, Kapten Tentera Udara Adam Davis, merasai kesan letupan itu. "Saya masih ingat letupan bom pertama. Ketika itu saya memegang Adam, suami saya dan terfikir, pasti ada bom kedua.


"Saya tahu sesuatu akan berlaku dan saya mula menjerit. Kemudian bom kedua meletup. Saya masih ingat jatuh ke belakang kerana kesan letupan itu," katanya dalam wawancara dengan CNN.

Dia bangkit dan menyangka semuanya berjalan dengan baik sehingga suaminya menunjukkan ke arah kakinya. - Dailymail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Tamara rebut Lamborghini dengan bekas kekasih

Posted: 23 Apr 2013 11:32 AM PDT

London: Pewaris F1, Tamara Ecclestone semalam terbabit dalam perbicaraan untuk mendapatkan semula kereta Lamborghini model Aventado yang berharga RM1.9 juta daripada bekas kekasihnya.

Model berusia 28 tahun itu, anak bilionair F1, Bernie Ecclestone, hadir di Mahkamah Tinggi untuk menuntut kenderaan itu daripada bekas kekasihnya, Omar Khyami.

Tamara yang meninggalkan bekas broker saham berkenaan Julai lalu selepas kemunculan pita seks yang menunjukkan Omar curang terhadapnya bertegas menyatakan dia adalah pemilik kereta itu.

Bagaimanapun, Omar mendakwa, Tamara menghadiahkan kereta berkenaan sempena hari jadinya yang ke 38 pada April tahun lalu.


Mahkamah menetapkan kereta itu yang sudah dijual dua kali sejak dirampas perlu disimpan secara selamat sehingga pertikaian mengenainya berakhir.


Tamara yang memutuskan hubungannya dengan Omar selepas menonton pita seks 30 saat itu yang menunjukkan lelaki itu turut memakai dua gelang emas Cartier berharga RM150,000 yang diberikan kepada lelaki itu.

Dia membeli kereta itu daripada Elite Performance Cars Ltd.

Omar yang mendakwa video itu dirakam beberapa tahun lalu tidak memberitahu Tamara bahawa dia menggunakan kereta itu sebagai jaminan untuk meminjam wang berjumlah RM1.25 juta daripada Elite, syarikat yang dimiliki rakannya dengan kadar faedah 70 peratus.

Peguam Tamara, Andreas Gledhill berkata, kereta itu didaftarkan atas nama Omar semata-mata untuk membolehkannya mendapat permit parkir di kediaman mereka di Chelsea.

Kereta itu dirampas dari sebuah garaj oleh pegawai mahkamah selepas Tamara membawanya untuk penyelenggaraan.

Omar dilapor berusaha memujuk kakitangan mahkamah supaya melepaskan kereta berkenaan.

Apabila dia membawanya ke Elite, Tamara mendapat perintah mahkamah untuk menghalangnya daripada dijual.

Tetapi perintah itu dilanggar dan Elite menjualnya kepada Four Seasons Autos. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tak rela terlepas mata

Posted: 23 Apr 2013 11:27 AM PDT

Kuantan: FELDA United tidak rela terlepas mata apabila bertandang ke Stadium Darul Makmur, Jumaat ini bertemu Pahang biarpun sedar laluan kelab itu sedikit berliku.

Ia diakui kapten Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain yang mahukan rakan sepasukan memperkemaskan jentera pasukan untuk menyekat Pahang yang beraksi baik di depan penyokong sendiri.


"Skuad Tok Gajah memiliki kelebihan apabila beraksi di gelanggang mereka tapi kami tidak akan membenarkan mereka meraih sebarang mata biarpun sedar Pahang memiliki pemain mantap.

"Jika semua pemain dapat mempamerkan aksi terbaik dan tidak melakukan kesilapan, kejayaan pasti milik kami," katanya.


Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata, perubahan skuad kendalian Dollah Salleh terutama kemasukan dua pemain import baru antara faktor kekuatan mereka.


Namun, dia yakin dengan sokongan rakan sepasukan yang kini memperlihatkan kematangan biarpun tewas 1-2 di tangan Terengganu minggu lalu.

Foto

KAIRONNISAM (kanan) mahu sekat aksi Pahang.

"Saya perhatikan pada pusingan kedua liga, Pahang memiliki kekuatan di semua bahagian terutama dengan kehadiran Matias Conti dan Damion Stewart." Bagaimanapun minggu lalu, Pahang dan FELDA United gagal meraih mata apabila tewas 1-2 kepada Terengganu manakala Pahang tunduk 0-1 di tangan Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

WARS 15 cipta sejarah

Posted: 23 Apr 2013 11:18 AM PDT

Kuching: Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2013 (KFMHB) peringkat Negeri didominasi skuad futsal WARS 15 apabila muncul juara kategori Bawah 12 dan 16 Tahun di Arena Sukan Simpang Tiga, Kuching, baru-baru ini.

Pada final kategori B-12, WARS 15 menang tipis 1-0 ke atas Akademi Kg Tupuns Tengah Wirajaya B manakala kategori B-16, WARS 15 mudah mengetepikan cabaran skuad Shafie Bohari 7732 Juniors, 3-0.


Empat pasukan terbaik masing-masing dua daripada kategori B-12 dan 16 akan ke Kuala Lumpur pada 7 Julai untuk bersaing pada peringkat Grand Final.

WARS 15 turut mencipta sejarah kerana melakar rekod cemerlang  apabila layak ke Grand Final buat kali kelapan berturut-turut sejak KFMHB diperkenalkan pada 2006.


Hadiah kedua-dua kategori disampaikan Eksekutif Pemasaran Sukan, Nestle Products Sdn Bhd Kerwin Lim dan Pengurus Sampling dan Acara, Cawangan Nestle Sarawak, Tony Merril.


Siri ketujuh pada Sabtu ini berlangsung di Masterscaff Indoor, Paka, Dungun, Terengganu. Borang penyertaan boleh diperoleh di semua 14 venue atau layari laman www.syoknyasukan.com dan hubungi Nik Muhd Radzi menerusi talian 019-3519934, Zack 019-9444334.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved