Selasa, 2 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Letak anak sebagai keutamaan

Posted: 02 Oct 2012 08:13 AM PDT

KANAK-KANAK di bawah 18 tahun merangkumi satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia. Malah di kebanyakan negara, kanak-kanak dan remaja paling ramai berbanding dewasa. Kepentingan kanak-kanak bukan dinilai daripada segi jumlah mereka, tetapi disebabkan mereka bakal bergelar pemimpin masa hadapan.

Kanak-kanak juga mempunyai hak seperti orang dewasa. Tambahan lagi, keadaan mereka yang masih belum matang dan tidak dapat membuat keputusan menyebabkan mereka memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk disediakan undang-undang sewajarnya.

Kanak-kanak berhak mendapat perlindungan, tidak didiskriminasi, menyuarakan pendapat serta hak lain yang termaktub di dalam perjanjian antarabangsa, undang-undang serta dasar negara.

Namun terdapat beberapa aspek yang jarang difikirkan iaitu mengenai hak kanak-kanak dan prinsip perniagaan. Mungkin ramai yang akan bertanya, mengapa kanak-kanak?


Jawapannya mudah. Dunia masih muda. Meletakkan anak sebagai keutamaan bermakna anda melindungi masa depan perniagaan.


Sebagai menghormati hak kanak-kanak dan prinsip perniagaan, Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bersama rangkaian Malaysia bagi UN Global Impact (UNGC) berganding bahu menyeru syarikat serta komuniti perniagaan memberikan keutamaan kepada kanak-kanak dalam agenda tanggungjawab korporat mereka.

Malaysia sebagai negara pertama di rantau Asia Tenggara memperkenalkan Hak Kanak-Kanak dan Prinsip Perniagaan yang dilancarkan pada minggu lalu.

Menerusi 10 prinsip ini, ia menekankan tanggungjawab korporat dalam pengukuhan perniagaan serta menyatupadukan rasa hormat dan sokongan terhadap kanak-kanak.

Dalam erti kata lain sama ada kecil atau besar sesebuah syarikat, pastinya akan berinteraksi dengan semua golongan termasuk kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak adalah pihak berkepentingan iaitu sebagai pengguna, ahli keluarga pekerja, pekerja muda dan pekerja masa depan.

Kajian terbaru menunjukkan perniagaan yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak di dalam persekitaran tempat kerja berupaya mengurangkan masalah kekurangan pekerja. Malah pekerja lebih setia dan bekerja bersungguh-sungguh bagi memberikan yang terbaik kepada syarikat.

Malah dengan memberi tumpuan kepada kanak-kanak dan menyokong hak mereka, ini akan mewujudkan masa depan yang lebih stabil dan mampan, mewujudkan pasaran baru dan berkembang bagi produk dan perkhidmatan, mendidik tenaga kerja, mempengaruhi kempen dan peningkatan jenama.

Ini diakui wakil Unicef di Malaysia, Wivina Belmonte yang mengatakan memberi perlindungan kepada hak kanak-kanak akan mencipta masa depan yang lebih stabil dan mantap, mewujudkan pasaran baru dan mendidik tenaga kerja.

"Justeru, kami menyeru ahli korporat mempertimbangkan untuk memberi tumpuan kepada kanak-kanak dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka sebagai satu bentuk pelaburan, bukan kos. Untuk melihat CSR sebagai elemen penting dalam perniagaan, ini boleh dilakukan dengan membantu program sokongan dan inisiatif membabitkan kanak-kanak," katanya.

Menurut Presiden Global Impact Network Malaysia, Dr Tan Lin Lah, bidang perniagaan berperanan melindungi kesejahteraan serta memajukan hak kanak-kanak menerusi tanggungjawab sosial korporat. Dengan memperkukuhkan hak kanak-kanak menerusi tanggungjawab sosial korporat serta menjadikannya amalan di Malaysia, ia mampu mewujudkan rasa hormat serta tanggungjawab yang tinggi kepada masyarakat.

Ketua Kumpulan Tanggungjawab Sosial Sime Darby Berhad, Nadiah Hanim Abdul Latif, memberitahu sembilan daripada prinsip yang ditekankan menjadi amalan Sime Darby. Malah prinsip mesra kanak-kanak dengan menyediakan pusat penjagaan di tempat kerja memudahkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak sekali gus menjadikan mereka lebih bersemangat bekerja.

"Ini kerana kebanyakan ibu bapa menghadapi masalah dalam menempatkan bayi kerana memikirkan keselamatan, jarak jauh dan kekangan masa. Dengan adanya pusat penjagaan di tempat kerja, masa ibu bapa menjadi lebih fleksibel malah lebih penting mereka dapat menjenguk dan memantau pergerakan anak-anak," katanya.

Selain itu, Sime Darby juga mengutamakan program membabitkan kanak-kanak dan ahli keluarga seperti kem cuti sekolah untuk remaja dan program kebajikan bersama hospital yang memberi peluang kaki tangan menjadi sukarelawan bagi membantu menyediakan kemudahan sepanjang program. Pembabitan keluarga bukan saja mengeratkan hubungan malah meningkatkan motivasi dalam kerjaya.

Menurut Ketua Komunikasi DiGi Communications, Joachim Rajaram, sebagai sebuah syarikat komunikasi, Digi sentiasa memastikan hak kanak-kanak terpelihara dalam apa juga program atau kempen yang dianjurkan. Antaranya memastikan keselamatan Internet, mengadakan program mengenai keselamatan siber serta peningkatan kesedaran komunikasi kepada kanak-kanak.

"Dalam setiap program anjuran Digi, kami sentiasa menjadikan kanak-kanak sebagai agenda utama sama ada program berunsur keselamatan atau pendidikan di samping mewujudkan produk mesra alam yang selamat," katanya.

Bagi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Truly Loving Company (TLC), Julia Chong, sebagai pengeluar produk kesihatan TLC sentiasa memastikan tanggungjawab sosial korporat dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara.

"CSR bukan setakat menyumbangkan dana kewangan tetapi lebih daripada itu. Menjaga kebajikan pekerja, memastikan keselamatan dan keselesaan adalah antara langkah diambil TLC bagi mewujudkan persekitaran selesa. Malah kajian terbaru menunjukkan perniagaan yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak di tempat kerja mampu mengekalkan kesetiaan pekerja," katanya.

Dalam usaha menyokong sektor swasta membangunkan inisiatif tanggungjawab sosial mereka dengan memberi tumpuan kepada kanak-kanak di seluruh dunia, Unicef, bersama-sama UN Global Compact dan Save the Children, menggubal Hak Asasi Kanak-kanak dan Prinsip Perniagaan dengan menetapkan 10 prinsip iaitu:

1. Memenuhi tanggungjawab menghormati hak kanak-kanak dan komited menyokong hak asasi mereka.

2. Menyumbang kepada penghapusan buruh kanak-kanak, termasuk dalam semua aktiviti perniagaan dan hubungan perniagaan.

3. Memberi kerja yang baik untuk pekerja, ibu bapa, muda dan penjaga.

4. Memastikan perlindungan dan keselamatan kanak-kanak dalam semua aktiviti perniagaan dan kemudahan.

5. Memastikan produk dan perkhidmatan adalah selamat dan berusaha menyokong hak kanak-kanak melaluinya.

6. Gunakan pemasaran dan pengiklanan sesuai untuk kanak-kanak.

7. Menghormati hak kanak-kanak melalui persekitaran dan pengambilalihan tanah dan penggunaan.

8. Menghormati hak kanak-kanak dalam aspek keselamatan.

9. Membantu melindungi kanak-kanak pada waktu kecemasan.

10. Mengukuhkan masyarakat dan kerajaan dalam usaha melindungi dan memenuhi hak kanak-kanak.

Tanggungjawab korporat termasuk:

1. Memberi kerja yang baik untuk pekerja muda

Menghormati hak kanak-kanak untuk umur minimum bekerja, pemberian keadaan kerja yang selamat, perlindungan daripada penderaan dan eksploitasi dan akses kepada kemudahan air, sanitasi dan kebersihan yang sesuai dengan gender.

2. Responsif kepada kelemahan pekerja muda

Semua perniagaan perlu menerima dan menyokong, di peringkat tertinggi mengenai hak kanak-kanak dan pekerja muda, hak untuk dilindungi daripada keganasan dan penderaan. Dasar ini harus melindungi kanak-kanak di atas umur minimum bekerja, jenis pekerjaan, mempertimbangkan had jam kerja, sekatan ke atas kerja
pada tahap yang berbahaya, serta kerja menggunakan jentera dan alat pengangkutan berat, pendedahan kepada bahan proses berbahaya serta keadaan yang sukar seperti bekerja pada waktu malam.

3. Menyokong pekerja

Menyediakan keadaan kerja yang baik dan sentiasa menyokong pekerja sesuai peranan mereka sebagai ibu, bapa atau penjaga. Selain itu, peruntukan untuk wanita hamil dan menyusu, cuti untuk ibu bapa, memudahkan akses kepada penjagaan kanak-kanak yang berkualiti, tanggungan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak.

4. Memastikan keselamatan dan risiko perlindungan

Memastikan kemudahan syarikat tidak digunakan untuk mendera, mengeksploitasi atau menimbulkan kemudaratan. Memastikan kawasan persekitaran selamat serta tidak memberi ancaman keselamatan kepada kanak-kanak, semasa atau di luar waktu perniagaan. Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang Unicef di www.unicef.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Pisang kataifi

Posted: 02 Oct 2012 08:08 AM PDT

PENGGEMAR masakan Timur Tengah mungkin terbiasa dengan kataifi iaitu sejenis bahan yang sering digunakan dalam hidangan pemanis mulut. Ia diperbuat daripada tepung filio pastri yang dihiris halus mirip bihun kering.

Rasanya manis dan sesuai dimasak sama ada digoreng atau dimasukkan begitu saja ke dalam hidangan.

Menurut Eksekutif Chef Sous PNB Darby Park, Ashar Daud, kataifi enak dijadikan hidangan pemanis mulut seperti pisang kerana campuran yang manis dan berlemak mampu memberikan keenakan apatah lagi sekiranya digoreng rangup.

"Untuk menjadikan gabungan hidangan yang sedap, saya memilih pisang montel sebagai bahan asas. Kataifi terbabit membaluti pisang dan digoreng bagi memberikan rasa rangup, lemak dan manis. Pisang pula perlu digoreng dalam minyak penuh dan panas supaya kerangupan pisang terasa," katanya.


Untuk lebih lazat, manisan campuran sos strawberi bersama oren menambah rasa masam. Bagi mereka yang ingin menambah ais krim pada manisan, ia juga idea yang menarik malah penambahan bahan perisa terpulang pada kreativiti masing-masing.


Kataifi dijual di pasar raya besar dan cara menyimpannya perlu diletakkan di tempat sejuk bagi mengelakkan ia mudah kering.

Bagi mereka yang ingin mencuba resipi pisang kataifi, Chef Ashar menunjukkan cara mudah menyediakannya.

Bahannya:

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Leher dihiris pembahagi besi jalan

Posted: 01 Oct 2012 10:26 AM PDT

SERDANG: Mengerikan apabila seorang penunggang motosikal maut selepas lehernya hampir putus terhiris besi pembahagi jalan dalam kemalangan di Kilometer 306.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran hentian Serdang arah tol Sungai Besi, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Alfa Sa'am, 39, berasal dari Pantai Dalam, dekat sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Seremban bersama tunangnya.


Bagaimanapun, tunang mangsa yang terjatuh dari motosikal cedera ringan.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya.


Sumber polis trafik berkata, akibat rempuhan itu, kepala mangsa tersangkut pada besi berkenaan dan terseret hingga lehernya hampir putus akibat terhiris besi itu.


"Mangsa mati di tempat kejadian manakala motosikalnya terseret beberapa meter menyebabkan tunangnya tercampak di atas jalan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Serdang di talian 03-80742222.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


100 pembeli emas berang

Posted: 01 Oct 2012 10:24 AM PDT

KUALA LUMPUR: Lebih 100 perunding dan pembeli emas berhimpun di depan sebuah syarikat memperdagang emas di Kuchai Lama, di sini, selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu premis itu, semalam.

Serbuan dijalankan mulai jam 2 petang dengan kerjasama polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas syarikat terbabit dipercayai menjalankan aktiviti mengambil deposit secara haram daripada lebih 50 ribu pelanggan.


Menurut jurucakap BNM, syarikat sama yang beroperasi sejak 2007 dan didaftarkan di bawah Sendirian Berhad, pernah didakwa kerana kesalahan sama pada 2009.

"Selepas didakwa, syarikat terbabit menukar nama pada tahun lalu dan meneruskan aktiviti perdagangan.


"Sehingga kini, BNM dan agensi berkenaan yang turut menjalankan serbuan sedang menyiasat mengikut akta dan kesalahan di bawah bidang kuasa masing-masing," katanya ketika dihubungi.


Katanya, serbuan serentak turut dijalankan ke atas sebuah lagi syarikat pelaburan emas yang didaftarkan mengikut nama sama di Singapura dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan sama ada syarikat itu mempunyai kaitan dengan syarikat di Malaysia.

Dalam serbuan itu, BNM merampas dokumen urus niaga syarikat terbabit, komputer, emas dan wang tunai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 25 (1) Bafia dan Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram.


Sehingga jam 10 malam tadi, tiga pejabat urusan syarikat terbabit dipenuhi ratusan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak penguat kuasa melakukan serbuan menyebabkan sepasukan polis ditempatkan di lokasi serbuan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Seorang perunding emas yang hanya mahu dikenali sebagai Eddy, 50, berkata, mereka dijangka memperoleh emas yang dibeli dua minggu lalu esok (hari ini).


"Serbuan ini menyebabkan kami gagal mendapat emas yang dibeli kerana ia mungkin disita pihak berkuasa untuk siasatan.


"Ini menyebabkan urusan pengagihan imbuhan pembelian emas kepada pembeli di bawah perunding masing-masing akan tergendala," katanya.


Sementara itu, BNM dalam kenyataan akhbar berkata, pihaknya mengadakan serbuan dengan kerjasama polis dan KPDNKK terhadap syarikat itu dan serbuan sama dijalankan terhadap syarikat nama sama di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Rela gadai nyawa demi anak jiran

Posted: 01 Oct 2012 09:15 AM PDT

LONDON: Seorang remaja lelaki memperjudikan nyawanya meredah api semata-mata mahu menyelamatkan seorang budak yang terperangkap dalam rumah terbakar, lapor media semalam.

Sejurus sebelum itu, Nelson Fonangwan, 16, lena tidur tetapi terjaga apabila terdengar jeritan jirannya meminta tolong di kawasan kediaman mereka di Southampton, Hampshire.


Menurut Fonangwan, dia mendapati asap tebal keluar dari sebuah rumah tidak jauh dari situ.

Pada masa sama, ibu kepada dua anak, Aneta Jedlikoswka, 32, menumbuk pintu dapurnya untuk membolehkan dia menggapai tangan anaknya yang baru berusia dua tahun, Adam.


Melihat keadaan itu, Fonangwan bergegas ke rumah berkenaan, manakala ibunya menghubungi talian kecemasan 999.


Kata Fonangwan, Aneta memecahkan kaca tingkap rumah itu bagi membolehkan Adam diselamatkan.

"Walaupun gementar, saya merangkak untuk sampai ke tempat Adam dan membawanya keluar dari situ," katanya. Bercakap kepada akhbar Southern Daily Echo, Fonangwan berkata, dia bagaikan tidak percaya melihat Aneta bersusah-payah memecahkan kaca tingkap dapur rumahnya.


"Wanita itu memang dapat membuat lubang pada tingkap dapurnya, tetapi pada masa sama tangannya luka dan berdarah akibat terkena serpihan kaca.

"Apa yang difikirkannya ketika itu cuma menyelamatkan Adam," katanya.


Menurut Fonangwan, Aneta tidak dapat berbahasa Inggeris dengan baik tetapi cuma mampu menunjuk ke arah dalam rumah berkenaan sambil berkata: "Baby." Melihat keadaan itu, kata Fonangwan, dia tahu tidak ada pilihan lain, kecuali bertindak pantas menyelamatkan anak Aneta. Insiden itu berlaku apabila Aneta keluar membuang sampah dan tiupan angin pula menolak daun pintu menyebabkan ia terkunci.


Ketika itu juga, kuali di atas dapur di dalam rumah Aneta mula terbakar. Fonangwan berasal dari Cameroon dan kini menuntut di Southampton. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Harimau Benggala 200kg, manusia bercanda untuk hiburkan pengunjung Zoo Arizona

Posted: 01 Oct 2012 09:12 AM PDT

PHOENIX: Seorang kakitangan zoo menunjukkan keyakinannya kepada seekor harimau Benggala dengan berenang bersama-sama haiwan liar itu pada setiap hari.

Rutin itu dilakukan Jeff Harwell, 30, bersama Akasha untuk menghiburkan ribuan pengunjung Zoo Arizona.


Akasha berusia 12 tahun dengan berat badan kira-kira 200 kilogram. Kata Harwell, dia melakukan pertunjukan itu bersama Akasha sejak mula bekerja di situ kira-kira lima tahun lalu. Kebanyakan pengunjung pula begitu kagum dengan kepercayaan tinggi yang terjalin di antara Harwell dan Akasha. Beberapa pengunjung percaya, aksi itu dapat dilakukan kerana wujud hubungan amat istimewa di antara manusia dan haiwan liar berkenaan.

Zoo Arizona adalah satu daripada lima zoo paling popular di kalangan kanak-kanak di Amerika Syarikat. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Bos suruh bakar kau’

Posted: 01 Oct 2012 10:51 AM PDT

JOHOR BAHRU: "Penculik memaksa saya diam sebelum mengatakan 'engkau ada cinta tak berbalas, bos kami suruh bakar engkau je. Aku pun tak nak buat tapi diupah. Aku dari jauh, dari Negeri Sembilan.'

"Pada masa sama, penculik turut menggunakan walkie-talkie dan mengikut arahan diberikan seseorang termasuk mengelar sedikit leher saya selain menoreh bahagian bawah ibu jari tangan kiri saya menggunakan pisau," kata deejay radio, Julie Diana Omar Shariff, 34, yang lebih dikenali sebagai JD di sini, semalam.

Menurut Julie, dia diculik pada jam 1 pagi, Sabtu lalu, di Danga Bay ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya.

Mengimbau kejadian, Julie yang ditemui berkata, sebelum kejadian dia yang memandu Proton Satria Neo diekori sebuah kereta Proton Iswara merah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Kencing likat darah

Posted: 01 Oct 2012 10:49 AM PDT

SEREMBAN: Air kencing dipenuhi darah berwarna hitam pekat, tidak boleh berjalan dan hanya boleh bersolat atas kerusi berikutan kaki berasa kebas.

Demikian masalah kesihatan dialami seorang mangsa buli di sebuah sekolah menengah agama di Pedas, dekat sini, akibat didera senior yang memaksa mangsa melakukan ketuk ketampi melebihi 200 kali hanya gara-gara tidak mengambil air minuman.

Mangsa, Muhammad Fahmi Mazzalan, 14, yang kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berkemungkinan menghadapi masalah buah pinggang dan hati akibat 'senaman' melampau dalam kejadian 26 September lalu.

"Tiga hari selepas kejadian itu, sejurus kencing saya terkejut mendapati mangkuk tandas dipenuhi darah berwarna hitam pekat," kata pelajar tingkatan dua itu ketika ditemui wartawan Harian Metro di wad HTJS, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Biar masa menentukan

Posted: 01 Oct 2012 07:31 AM PDT

PROFESIONALISME dan disiplin kerja pelakon juga pengacara muda berbakat besar, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih mesra disapa Lofa tidak perlu dipertikaikan lagi.

Meskipun hakikatnya, nama pemilik wajah jelita ini bagai tidak pernah berenggang dengan soal kontroversi dan pelbagai spekulasi yang menghujani, jelas dan nyata, kerjanya tidak pernah terganggu apatah lagi dipersoalkan.

Jelasnya berulang kali, inilah impian yang disimpan selama ini dan peluang yang dibentangkan depan mata ini bagai bulan jatuh ke riba, lantas tidak sekali ia akan dipersiakan, jauh sekali diambil mudah.

"Saya inginkan segala macam kerja yang sedang saya lakukan sekarang.

Alhamdulillah rezeki dan peluang ini bukanlah datang selalu. Justeru mengapa harus saya mengambil mudah ruang terbaik yang diberikan ini. Apa yang perlu saya lakukan adalah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan memastikan kredibiliti peribadi saya sentiasa baik.

"Bagaimanapun saya belajar banyak perkara sepanjang bergelar anak seni.
Walaupun saya begitu mementingkan kerja dan tugas yang diberi, ada kalanya saya tidak boleh terlalu terikat dengan pendirian dan prinsip diri kerana tidak semua orang boleh menerima dengan baik. Cuma apa yang perlu, saya seimbangkan soal kerja dan reputasi diri agar sesiapa yang berurusan dengan saya faham dengan kualiti kerja yang saya berikan.

"Mungkin kerana disiplin dan hasil kerja yang saya utamakan ini membuatkan peluang itu sentiasa diberikan kepada saya," katanya membuka cerita.

Lofa sempat meluangkan masa bersembang selepas lama tidak ketemu sejak pulang dari cuti Aidilfitri yang lalu. Hanya mencuri masa kurang seminggu berehat ketika itu, gadis putih gebu berusia 23 tahun yang juga bekas juara pertandingan Dewi Remaja 2010 lekas memenuhi jadual kerjanya semula.

Kronologi percaturan langkahnya memang kemas dan mengundang senyum panjang.
Bayangkan, dalam masa kurang setahun, sinarnya tangkas menyinar dan menyuluh laluannya laju ke depan.

Bersandarkan pada filem sulung lakonannya, Azura 2012 tahun lalu, hari ini pelakon kacukan Melayu, Pakistan dan Arab juga kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini sudah kukuh membina empayarnya sendiri.

Namun seperti yang acap kali diingatkan kepadanya, sebesar mana pencapaian yang diraih, sebanyak itu juga kontroversi yang datang hinggap tanpa alasan.

Belum reda lagi kisah perselisihan fahamnya dengan seorang bintang muda lain, nama Lofa terus dikaitkan dengan tersebarnya gambar percutiannya bersama kekasih hati juga pelakon dan penerbit kacak, Hans Isaac di Phuket, Thailand minggu lalu.

Jelasnya tersenyum tanpa memberi riak kurang selesa atau jelak, inilah permainan dunia seni dan apa yang perlu dilakukan, optimis dan telan saja sebaik mungkin.

"Sejak hari pertama lagi saya menjejakkan kaki dalam bidang ini, saya sudah dikaitkan dengan beberapa isu. Namun apabila saya dikaitkan dengan isu merampas kekasih orang, punca perpisahan, pergaduhan sesama pelakon, bising dengan produksi kerana soal masa hingga yang terbaru ini didakwa kononnya bercuti bersama Hans, saya hanya kosong dan tidak punya komen.

"Mungkin saya sudah terlalu lali dengan semua ini. Walaupun baru setahun jagung, namun dugaan dan cabaran yang diberikan begitu besar hingga menguatkan diri saya berdepan segala macam perkara," katanya.

Tambah Lofa, soal bercuti dengan Hans adalah mengarut sama sekali kerana apa yang disebarkan sebelum ini hanya omong kosong tanpa kesahihannya.

"Jujurnya saya bersama beberapa teman mencuri masa dua hari untuk lari berehat di pulau ketika itu. Maklumlah minggu sebelumnya jadual saya terlalu penuh dan membuatkan saya begitu penat. Namun niat asalnya ingin menenangkan fikiran itu rupa-rupanya membuatkan saya lebih pening dan letih menjawab persoalan lain pula.

"Saya rasa tidak perlu untuk diperjelaskan di sini kerana semuanya sudah saya terangkan sebelum ini. Ia hanya satu salah faham dan ada pihak memang suka menggembar-gembur cerita yang belum pasti sahih. Saya tidak langsung terusik cuma rasa begitu penat setiap kali perlu menjawab. Mungkin inilah realitinya, apa saja yang saya lakukan, ada saja pihak yang begitu mengambil berat.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana kerja saya dapat mengimbangkan semula situasi janggal mengenai gosip dan kontroversi. Alhamdulillah rezeki tidak pernah putus dan peminat sentiasa yakin dan percaya dengan apa yang saya lakukan. Setidak-tidaknya segala pencapaian dan hasil kerja itu dapat menyembunyikan sedikit semua kisah 'panas' itu untuk terus mendidih," tambahnya.

Seperkara yang pasti, Lofa seorang yang telus dan tidak pandai menyembunyi perasaan dan pendapatnya.

Apa yang saja yang terlintas, itu yang akan diluahkan. Suaranya lantang menterjemah pandangan dan kenyataannya. Apa yang saja yang ditanya, semuanya tenang dijawab walaupun sesekali terselit juga persoalan peribadi.

Terlanjur menyentuh mengenai cintanya, Lofa bagai sudah menjangka akan diterjah persoalan sama.

"Saya tidak mahu lagi memberi kenyataan mengenai hubungan saya dan Hans kerana ada lebih baiknya pihaknya pula yang bercerita jika ada yang ingin tahu. Selama ini rasanya pihak saya yang banyak memberi kenyataan dan ia tidak manis dan adil jika diukur daripada mata sekeliling. Biarlah kali ini Hans pula yang memberi komen.

"Hans juga baru saja kehilangan ibu tersayang dan saya tidak mahu terus membebankannya lagi. Kami lebih banyak membuka ruang dalam hubungan ini dan biarkan kerja dulu yang diutamakan. Saya begitu sibuk dengan pelbagai tanggungjawab dan komitmen dan Hans pula kini meletak sepenuh fokus pada pementasan Lawak Ke Der? 2 di Istana Budaya.

"Insya-Allah jika ada rezeki dan jodoh, ia tidak ke mana. Saya hanya berharap agar peminat mendoakan saja yang terbaik buat saya," katanya lagi.

Lofa yang masih menuntut dalam jurusan Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran di Universiti Kolej Sunway ini baru saja tamat penggambaran drama siri Kau Yang Terindah yang baru saja tamat tayangannya di TV3.

Ketika ini, lakonannya sedang hangat ditayangkan dalam filem Hantu Kapcai yang sudah pun mencecah lebih RM2 juta kutipan di panggung.

Selain itu, Lofa yang juga pengacara program bual bicara Nona dan bakal bergelar penyanyi selepas disunting pihak Tune Records kini sedang mempertimbangkan satu lagi tawaran untuk mengendalikan sebuah program hiburan pula tayangan sebuah stesen televisyen swasta.

Januari depan, Lofa akan kembali ke set penggambaran filem Pilot Kafe arahan Osman Ali yang belum lagi ditentukan tarikh tayangannya.

Pelaris tilam empuk

PETANG Khamis lalu, Neelofa sekali lagi mengumumkan percaturannya maju selangkah ke depan selepas dilantik pula menjadi duta pertama produk tilam jenama antarabangsa, King Koil.

Selesa sebagai duta kosmetik Avon, jenama jam U2 dan menjadi wajah rasmi siri jelajah Petronas ke Pantai Timur, Lofa yang pernah membintangi filem S.A.M tayangan Aidilfitri lalu bersyukur dengan peluang yang diberi buatnya ini.

Siapa sangka, dalam pada kontroversi dan gosip tidak henti mengenai dirinya, reputasi dan nama baik pelakon jelita ini tidak terusik sama sekali sebaliknya makin banyak pula pihak yang menaruh kepercayaan kepadanya.

Tilam yang terkenal dengan keselesaan dan kualiti terbaiknya, King Koil mengangkat Neelofa sebagai duta pertamanya untuk tempoh tiga tahun dengan beberapa komitmen termasuk fotografi, kehadiran di acara dan majlis serta rangkaian promosi bagi terus mengukuhkan jenamanya.

Memetik kata Pengurus Besar Pemasaran King Koil, Philip Mak, pemilihan pelakon terkenal ini adalah berdasarkan populariti dan reputasinya yang begitu baik dan kukuh.

"Lihat saja bagaimana Neelofa mengaturkan perjalanannya menjadi seorang artis.
Dalam masa setahun saja, dia sudah berada di gelanggangnya sendiri dan begitu besar jenamanya dalam industri tempatan. Saya kagum melihat bagaimana dia membina nama dengan cara kerja dan disiplinnya sebagai seorang bintang muda.

"Justeru saya yakin yang Neelofa mampu membawa jenama King Koil ke satu fasa yang lebih baik selain memimpin sama kualiti produk ini ke tahap yang jauh lebih dikenali," katanya.

Lofa turut mengakui yang dia sudah lama menjadi pengguna kepada produk tilam ini selain mengakui jenama dan kualiti King Koil yang baik membuatkan dia berani menerima tawaran menjadi duta.

Selaku duta dan wajah rasmi, Lofa turut berkongsi mengenai pengalamannya melawat ke kilang King Koil di Klang bagi melihat sendiri proses pembuatan produk jenama itu.

Selain itu mengikut jadual komitmennya bersama King Koil, Lofa juga bakal muncul dalam satu acara bersama peminat serta pengguna King Koil di Viva Furniture Mall pada 2 hingga 4 November ini di mana pelbagai aktiviti dan hadiah menarik bakal menanti mereka yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


Zainal berlagu rakyat

Posted: 01 Oct 2012 07:17 AM PDT

SEBAGAI penyanyi profesional dan berpengalaman, dia sentiasa perlu bersedia. Justeru penyanyi Zainal Abidin tidak menganggap peluang yang hadir untuknya beraksi pada konsert solo Damai Unplugged di Panggung Sari Istana Budaya (IB), pada 6 dan 7 Oktober ini sekadar tangkap muat bagi mengisi kalendar lokasi yang berprestij itu.

Dibawakan oleh ZI Production Sdn Bhd, Zainal akan tampil dengan lagu-lagu rakyat yang semakin terpinggir di kalangan masyarakat terutamanya generasi muda. Persembahannya bakal diiringi oleh 18 pemuzik daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan yang diketuai oleh Faizal Uzir serta 10 penyanyi latar.

"Saya bukan anggap diberi peluang, tapi dicabar untuk beraksi dalam masa yang singkat. Bolehkah buat konsert dalam masa yang singkat. Bagaimanapun, dengan pengalaman selama 30 tahun dalam seni, saya yakin mampu buat yang terbaik. Saya sebenarnya tak pernah buat show secara unplugged di tempat berskala besar begini.

"Sememangnya saya berpuashati dapat beraksi di IB kerana pelbagai aspek teknikal terbaik ada di sini. Persembahan saya akan berlangsung selama satu jam 30 minit dan sebanyak 18 lagu akan dinyanyikan antaranya Suriram, Oh Bulan dan Can Mali Can. Tak lupa saya akan tampilkan barisan lagu popular saya Hijau, Orak Orek, Gamal, Ikhlas Tapi Jauh, Puteri, Suraya dan Kau Di Hatiku.


"Sebagai penghibur, saya bertanggungjawab untuk kembalikan lagu-lagu rakyat bagi mengukuhkan jati diri anak kita. Malah anak saya sendiri membesar dengan lagu Inggeris. Di situ nampak ada sifat kesombongan padanya dan inilah yang perlu kita lakukan sekarang untuk memupuk kecintaan terhadap lagu-lagu rakyat," katanya.


Tambah Zainal, cabaran besar yang dihadapinya untuk persembahan ini hadir dari segi persediaan, susunan muzik dan latar belakang pentas dan pemuzik sendiri yang perlu bersedia sepenuhnya.

"Memang agak risau apabila difikirkan. Namun seperti yang saya kata, dengan pengalaman yang ada semuanya dapat diatasi. Dari segi penataan cahaya saya tak risau kerana kemudahan di IB sangat bagus. Saya juga beruntung kerana barisan pemuzik yang ada semuanya hebat. Sebagai ketua, Faizal dapat membimbing pemuziknya dengan baik.

"Melihat kepada waktu yang suntuk, konsep pentas saya akan dihiasi dengan pokok besar dan daun-daun kering. Skrin kesan khas akan turut digunakan bagi menampakkan suasana hutan. Selebihnya saya akan menggunakan penataan cahaya agar penonton dapat menjiwai konsep yang ditampilkan.

"Sekali lagi saya jelaskan tak pasti sama ada saya adalah pengganti kepada persembahan lain di IB. Apa yang saya tahu ialah IB memang banyak slot untuk persembahan mereka. Saya sudah diberitahu mengenai konsert ini sejak sebulan lepas. Sebenarnya nak anjurkan konsert sendiri pun saya mampu tapi yang menjadi penghalang ialah pasaran yang tak memberangsangkan.

"Banyak konsert percuma diadakan sehingga peminat susah nak membayar untuk beli tiket menonton konsert berbayar. Bagaimanapun saya percaya IB mampu menarik peminat kerana mereka ada kelompok peminat tersendiri. Saya sempat berlatih untuk persembahan ini. Memandangkan faktor usia dan pengalaman yang ada, saya yakin boleh memberikan persembahan menarik.

"Konsert Damai adalah satu konsert mengenai kedamaian, di antara individu-individu pelbagai bangsa, agama dan latar belakang yang ada di sekitar kita.

"Saya nak peminat yang menonton menghayati kedamaian, mendalami harmoni dan mengalami kebebasan," katanya yang menerima pelawaan IB kerana hubungan rapatnya dengan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Pengerusi ZI Production, Datuk Zulkifli Ishak.

Tiket bagi menyaksikan Konsert Zainalabidin Damai Unplugged dijual dengan harga RM283, RM223, RM183, RM123 dan RM83. Ia boleh didapati menerusi www.ticketpro.com.my atau menghubungi 03-78807999.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Khidmat Nazmi ditagih

Posted: 01 Oct 2012 09:26 AM PDT

KHIDMAT pemain kelab Portugal, S C Beira-Mar, Muhamad Nazmi Faiz Mansor mungkin diperlukan Ong Kim Swee yang kini berdepan masalah memantapkan bahagian tengah skuad bawah 21 tahun negara (B-21) bagi mengharungi kejohanan VFF Newspaper Cup 2012 di Gia Lai, Vietnam 11 Oktober ini.

Selepas tidak dapat menggunakan khidmat kapten, Mohd Irfan Fazail yang terpaksa berehat hampir lima minggu serta Gary Steven Robbart yang dipanggil menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan, Kim Swee kini kekurangan pemain perancang di bahagian tengah.


Bagaimanapun peluang untuk memanggil Nazmi yang menyertai S C Beira-Mar Julai lalu dan kini beraksi bersama skuad B-19 kelab itu pulang ke tanah air masih belum dipastikan.

"Saya akan menghubungi Nazmi esok (hari ini) untuk mengetahui program dia bersama kelab, saya bercadang untuk menyenaraikan Nazmi dalam skuad jika mendapat pelepasan kelab itu.


"Memang saya kini berdepan masalah untuk mengisi pemain di bahagian tengah kerana ketiadaan Irfan dan Gary. Saya memerlukan pemain yang berpengalaman beraksi dalam kejohanan antarabangsa," katanya.


Selain Gary, Kim Swee juga tidak dapat membawa bersama tonggak pertahanan tengah, Mohd Fadhli Shas, penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan dan pemain sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Noor yang mendapat panggilan ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal bagi persediaan menghadapi Hong Kong pada 16 Oktober ini.

Ketika ditanya adakah beliau tetap dengan sasaran untuk melihat anak buahnya melangkah ke final di kejohanan VFF Newspaper Cup selepas pasukannya dilihat tempang dengan ketiadaan pemain utama, Kim Swee berkata : "Saya tidak ada masalah untuk melepaskan pemain-pemain menyertai skuad kebangsaan kerana saya perlu mengutamakan kepentingan negara. Cuma kita kena realistik dengan pemain yang saya ada, mungkin saya mengharapkan kita mampu mara ke separuh akhir dan saya akan cuba membentuk skuad terbaik bagi memberi tentangan dalam kejohanan itu.


Dalam senarai awal, seramai 30 pemain dipanggil Kim Swee bagi menjalani latihan pemilihan skuad B-21 bermula semalam yang dibarisi 18 pemain Harimau Muda A, dua pemain Harimau Muda B serta 10 pemain dari negeri dan kelab.

Pada kejohanan yang membabitkan enam pasukan B-21 itu, Malaysia diundi bersama Iraq dan Indonesia dalam Kumpulan B manakala tuan rumah Vietnam, Singapura dan Syria berentap dalam Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


Peluang terbuka

Posted: 01 Oct 2012 09:06 AM PDT

ANDAI barisan 30 pemain yang bakal dipanggil menyertai kem latihan skuad hoki negara minggu depan berasakan tempat mereka sudah terjamin hasil penilaian daripada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), mereka sebenarnya silap.

Ini kerana ketua jurulatih skuad negara yang baru dilantik, Paul Revington tidak akan bergantung sepenuhnya kepada pemilihan pemain di saingan liga saja dalam usahanya mencari pemain terbaik menjelang beberapa kejohanan pada hujung tahun ini serta musim depan.


Sebaliknya, pengendali dari Afrika Selatan itu menegaskan, ruang masih terbuka luas kepada mana-mana pemain untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan dengan syarat mereka mampu membuktikan layak untuk berada dalam senarai pemain terbaiknya.

"Pintu untuk masuk ke dalam skuad negara sebenarnya sentiasa terbuka luas kepada mana-mana pemain. Siapa yang mempamerkan prestasi memberangsangkan, mereka tetapi mempunyai peluang untuk dipilih.


"Saya lebih gemar mempunyai kelompok pemain yang sebesar mungkin dan di sinilah tugas saya serta barisan jurulatih untuk memilih barisan pemain terbaik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Revington yang pernah mengendalikan pasukan Afrika Selatan serta Ireland mengakui, dia sudah mempunyai beberapa pemain pilihan untuk diserapkan ke dalam skuad negara selepas menyaksikan perlawanan pada saingan LHM.

Namun, pengendali berusia 39 tahun itu enggan mendedahkan walau satu pun nama pemain yang berjaya memikat hatinya, sebaliknya bakal mengumumkan senarai pemain itu dalam tempoh terdekat.


"Cukuplah saya boleh saya katakan mempunyai barisan pemain bagus di sini. Saya belum lagi bersemuka dengan mereka semua, jadi saya belum tahu perwatakan masing-masing," katanya.

Selain barisan pemain sedia ada ketika di bawah kendalian bekas jurulatih, Tai Beng Hai, beberapa pemain lain yang pernah menyarung jersi skuad negara dikatakan akan dipanggil semula oleh Revington.


Dua tugas utama menanti skuad negara pada hujung tahun ini iaitu Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina November ini dan Piala Kejuaraan Enam Negara Asia di Doha, sebulan selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved