Rabu, 3 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Darah pesakit sumber sel stem

Posted: 03 Oct 2012 09:09 AM PDT

MELIHAT sendiri proses rawatan suntikan Platelet Rich Plasma (PRP) menggunakan darah pesakit, ia seakan memberi dimensi baru dalam bidang kecantikan. Penulis yang baru kali pertama menyaksikannya agak teruja kerana proses ini menggunakan darah pesakit yang diproses bagi mengasingkan plasma darah. Malah ia berbeza berbanding rawatan menggunakan laser atau botox.

Di negara maju seperti Jepun dan Eropah, PRP digunakan dalam bidang perubatan seperti pembedahan jantung, ortopedik, urologi dan kini semakin meluas dalam perubatan sukan seperti merawat ligamen serta tendon terkoyak.

Namun seiring perkembangan teknologi, sekitar 1987, rawatan ini mula digunakan dalam bidang perubatan estetik di negara maju, tidak terkecuali di negara kita.

Menerusi kajian yang pernah dilakukan di Eropah, England, Asia (termasuk Jepun) dan Afrika Selatan, ia menunjukkan PRP berfungsi memulihkan keremajaan kulit, mengurangkan parut serta menghilangkan pigmentasi, garis dan lekuk pada wajah serta ulser diabetes membabitkan penggunaan plasma yang kaya platelet.


Ini kerana platelet ialah partikel kecil dalam darah yang mempunyai nilai estetik yang tinggi serta merangsang hormon tumbesaran. Hormon ini berfungsi merangsang penyembuhan, pembaharuan serta meningkatkan keupayaan sel sekali gus menambah keanjalan kulit.


Menurut pakar estetik dari Marissa Aesthetic & Wellness, Dr Rushmini Maris Ismail, dalam bidang kecantikan, darah pesakit digunakan sebagai sumber mendapatkan sel stem. Ini kerana darah lebih mudah diproses berbanding sumber daripada lemak atau sum-sum tulang.

"Darah terbina daripada sel hidup. Terdapat empat sel utama yang membina darah iaitu sel darah merah, sel darah putih, platelet dan plasma darah. Setiap sel mempunyai fungsi tersendiri dan struktur yang amat penting untuk tubuh manusia.

"Sel darah merah berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh, manakala sel darah putih ialah sel hidup yang membantu melawan penyakit," katanya.

Menerusi rawatan PRP, darah diambil sebanyak 10cc dari lengan pesakit. Kemudian ia diletakkan di dalam tabung uji khas sebelum dimasukkan di dalam mesin selama 10 hingga 15 minit untuk memisahkan serum dan sel darah merah. Setelah menjalani beberapa tahap pemprosesan, serum yang mengandungi sel stem, platelet dan hormon dihasilkan.

"Menerusi proses ini, plasma iaitu cairan bening pada bahagian atas mengandungi banyak sel penyembuhan. Apabila bahan ini dimasukkan kembali ke bahagian tertentu ia akan membina sel baru.

"Suntikan ke bahagian wajah akan mula menyembuh dan memudakan kulit muka secara semula jadi. Kulit akan menjadi lebih gebu, bersinar, bersih dan tegang. Jika ia disuntik di kulit kepala, ia mampu membuatkan rambut lebih lebat dan sihat," katanya.

Rawatan ini selamat dilakukan kerana hanya sel stem manusia saja boleh digunakan untuk merawat dan memudakan sel manusia. Sel stem buah-buahan, contohnya sel stem epal atau durian tidak boleh bertukar atau merawat sel manusia.

"Rawatan ini tidak menggunakan bahan lain kecuali sel stem dari badan kita sendiri. Oleh itu tidak timbul masalah alahan atau kes sampingan yang lain. Sel stem ialah satu-satunya sel yang memiliki keupayaan untuk memperbaharui dirinya. Sel stem kulit mempunyai fungsi khusus untuk memperbaharui dan memperbaiki kulit. Tubuh merangsang sel kulit untuk menghasilkan protein, karbohidrat dan lipid bagi mengurangkan garis halus dan kedutan di samping mengembalikan dan mengekalkan keanjalan kulit. Pembahagian sel stem kulit juga penting untuk penghasilan sel kulit yang sihat," ujarnya.

Satu lagi faktor penting adalah sel stem tidak boleh dibotolkan atau disimpan di bawah suhu biasa. Sel stem sama ada disimpan di makmal dengan persekitaran dan suhu tertentu atau diproses dan digunakan serta-merta oleh manusia.

Suntikan PRP memberi banyak manfaat kepada kulit wajah dan badan. Kesannya akan mula kelihatan selepas dua minggu melakukannya. Malah selepas sebulan, kulit akan lebih segar dan tampak lebih anjal berbanding sebelumnya. Kaedah ini sesuai bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas kerana pada peringkat ini, kulit mula mengalami kesan penuaan. Hormon yang berkurangan turut memburukkan keadaan menyebabkan seseorang tampak tua dan kaedah PRP mengembalikan semula keremajaan kulit seseorang.

Bagi mereka yang mempunyai parut terutama bekas jerawat pada muka, kaedah ini mampu mengurangkan kesan parut selepas tiga minggu. Selain itu, PRP boleh bertindak sebagai isian (filler) semula jadi yang berupaya mengisi ruang pada garis dan lekuk pada wajah.

"PRP akan diaktifkan dengan campuran kalsium sehingga berubah bentuk menjadi filler semula jadi. Filler bererti bahan atau matrik kulit yang mengisi wajah. Penuaan membuatkan garisan pada wajah menjadi ketara. Garis ini akan membuatkan wajah tampak murung. Garisan di antara kening misalnya menjadikan kita tampak seolah-olah sedang memikirkan sesuatu," katanya.

Bagi mereka yang mengalami masalah botak, PRP mampu mengatasi masalah keguguran rambut dengan merangsang pertumbuhan sel rambut sehingga tumbuh semula.

Bagi pesakit kencing manis pula, biasanya mereka mudah mendapat luka serta lambat sembuh. Ini kerana kurangnya faktor rangsangan sel endotelium. Oleh kerana pesakit kencing manis mempunyai kadar gula yang tinggi di dalam tubuh, kuman juga mudah menyerang. Suntikan PRP pula mampu merangsang penyembuhan luka sekali gus membantu pesakit diabetes.

"Bagi pesakit yang mempunyai masalah ketara, mereka dinasihatkan menjalani rawatan sebanyak enam bulan atau setahun sekali. Hasilnya akan bertahan selama setahun sehingga dua tahun setelah suntikan dihentikan. Bagi mereka yang baru kali pertama melakukannya, mereka akan merasa sedikit sakit dan kurang selesa manakala kulit akan menjadi sedikit sembap disebabkan bekas suntikan serta proses reaksi yang mengambil masa sehari atau dua hari," ujarnya yang menasihati pesakit supaya mendapatkan rawatan daripada pakar bertauliah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


1001 khasiat teh

Posted: 03 Oct 2012 09:01 AM PDT

PELBAGAI jenis teh sama ada jenis hijau, hitam, merah mahupun putih boleh dianggap kunci kepada kulit yang cantik. Bagi mereka mengamalkan penggunaannya, ia mengandungi bahan antioksidan yang tinggi bersama kumpulan vitamin penting termasuk vitamin C dan E serta karotenoid dan flavonoid.

Semua vitamin itu berserta antioksidan di dalam teh berfungsi mewujudkan pertahanan yang dapat melindungi kulit daripada elemen merosakkan dari persekitaran dan pemakanan kita sendiri.

Vitamin C berperanan mengurangkan pengeluaran pigmen melanin kulit, sekali gus membantu mendapatkan kulit yang lebih cerah dan bercahaya. Ia juga diperlukan bagi proses sintesis kolagen untuk mengurangkan kedutan dan memperbaiki kulit.

Vitamin E ialah antioksidan yang berkuasa dan mampu menghalang radikal bebas bertindak merosakkan kulit dan keupayaannya memperbaiki tekstur kulit turut diperkuatkan dengan kehadiran vitamin C.


Karotenoid pula ialah antioksidan yang mampu menyerap dalam lemak dan mampu menahan serangan radikal bebas yang diaktifkan oleh selaran ultraungu.


Pada masa sama, teh juga mengandungi kira-kira 30 peratus flavonoid yang dapat mengurangkan serta menenangkan masalah radang kulit, seterusnya menghalang penuaan pramatang serta risiko barah kulit.

Gabungan semua antioksidan semula jadi berkenaan mampu memperbaiki kesihatan kulit, menjadikannya lebih lembut, cerah dan berseri.

Selain diminum, teh juga boleh disapu pada kulit bagi mendapatkan faedahnya yang besar. Ia boleh digunakan untuk mengawal kulit berminyak terutama ketika cuaca panas memandangkan teh mempunyai sifat menenangkan yang mampu mengawal kelenjar terlalu aktif.

Caranya, dengan memasukkan teh ke dalam bekas ais dan bekukan sebelum digunakan pada wajah bagi mengawal peluh dan minyak, lalu membantu membuatkan solekan tahan lebih lama.

Teh juga boleh digunakan untuk menghapuskan bau badan yang tengik melalui cara mencampurkan teh bersama kelopak bunga ros dan dibiarkan rendam semalaman. Hasil rendaman itu kemudiannya dicampur dalam air mandian dan hasilnya, tubuh berbau harum sepanjang hari.

Ia juga boleh digunakan untuk mencuci wajah bagi mendapatkan faedah antioksidan bahan itu yang tinggi.

Melembapkan kulit kering, teh yang mengandungi bahan tambahan chamomile, lavender dan pudina boleh digunakan dengan memanaskannya dan wap yang terhasil diasapkan pada wajah.

Selain itu, teh yang mengandungi campuran herba seperti burdock, dandelion, echinacea, valerian wangi, goldenseal, akar marshmallow, selada air, daun strawberi dan akar yarrow boleh digunakan bagi merawat masalah kulit seperti jerawat.

Campuran teh bersama bunga raya pula mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan mampu menghalang kulit daripada kerosakan akibat pelbagai elemen persekitaran dan dalaman.

Pusat Perubatan Universiti Maryland, Amerika Syarikat, turut melaporkan teh hijau mengandungi vitamin K yang mampu mengawal darah beku, sekali gus berkesan untuk mengurangkan kegelapan di kawasan orbit mata.

Oleh itu, uncang teh yang sudah digunakan tidak perlu dibuang sebaliknya boleh diletak pada kawasan mata dan dibiarkan seketika.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


250 pemandu teksi mogok

Posted: 02 Oct 2012 11:38 AM PDT

KUALA LUMPUR: Tidak puas hati dengan perkhidmatan bas percuma Go KL yang didakwa menyebabkan kemerosotan pendapatan sehingga 70 peratus, lebih 250 pemandu teksi bertindak mengadakan mogok di Jalan Bukit Bintang, petang semalam.

Himpunan secara aman itu bermula kira-kira jam 2 petang hingga 7.30 malam membabitkan sekitar kawasan pusat beli-belah Pavillion hingga ke Lot 10.

Perbuatan pemandu terbabit yang kebanyakannya ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur menyebabkan kawasan di sekitar Bukit Bintang sesak teruk apabila laluan digunakan untuk melakukan bantahan itu terpaksa ditutup.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat persatuan itu kelmarin, perhimpunan juga dibuat sebagai bantahan terhadap masalah ulat teksi 'Arab' dan perkhidmatan teksi sapu serta beberapa tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mereka anggap menekan pemandu teksi berlesen.


Pemandu teksi, R Ramakrishnan, 52, berkata, pendapatan hariannya merosot secara mendadak sejak sebulan lalu kerana ramai pelancong asing beralih untuk memilih menggunakan perkhidmatan bas Go KL yang tidak mengenakan sebarang bayaran ke destinasi sekitar ibu kota berbanding teksi.


Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, Mohd Jamal Abdul Nasir Mohd Saad berkata, pihaknya pernah membuat 14 laporan polis ke atas aktiviti ulat dan perkhidmatan teksi sapu di Bukit Bintang namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkaitan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Assisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian mogok terbabit mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) kerana berhimpun tanpa permit dan menyebabkan kesesakan selain mengganggu ketenteraman awam.

Difahamkan wakil persatuan dan pemilik teksi akan mengadakan rundingan dengan pihak SPAD di pejabat suruhanjaya berkenaan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Penyamun takut dikesan GPS

Posted: 02 Oct 2012 11:36 AM PDT

KAJANG: Bimbang jejak mereka dikesan polis selepas menyedari terdapat alat sistem pengesanan global (GPS) dalam kereta yang disamun, tiga lelaki nekad meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan di Subang Bestari, Shah Alam bersama pemiliknya yang diikat, Ahad lalu.

Difahamkan, mangsa yang berusia 30 tahun sebelum itu disamun kumpulan lelaki terbabit di tempat letak kereta di rumahnya di Jalan Bukit Mewah, Kajang sebelum dibawa bersama menaiki kereta berkenaan.


Menurut isteri mangsa yang mahu dikenali sebagai Shida, 28, suaminya bagaimanapun berjaya diselamatkan dan ditemui di kawasan itu selepas dia membuat laporan polis beberapa jam kemudian.

"Seperti biasa, suami menghubungi saya memberitahu sudah berada di tingkat bawah meminta saya membuka pintu.


"Namun, selepas menunggu lebih 30 minit, suami tidak kelihatan dan saya mula berasa tidak sedap hati," katanya yang menghubungi telefon bimbit suaminya berulang kali, tetapi dijawab seorang lelaki dalam keadaan marah kononnya tersalah nombor.


"Saya mula curiga dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku sebelum menghubungi rakan sekerja memberitahu kejadian itu dan membuat laporan polis," katanya.

Shida yang kini tinggal bersama keluarga mentuanya berkata, suaminya disamun tiga lelaki yang sudah sedia menunggu di tempat letak kereta sebelum menyerang dan memukul mangsa.


"Saya mengesyaki lelaki terbabit mahu menculik suami saya kerana mereka membawanya bersama-sama kereta yang disamun, bagaimanapun hasrat itu dibatalkan kerana bimbang tindakan mereka dikesan polis melalui GPS yang dipasang dalam kereta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Kecil-kecil dah samseng

Posted: 02 Oct 2012 12:10 PM PDT

PETALING JAYA: Baru berusia sembilan tahun, tapi lima murid tahun tiga sebuah sekolah di sini sudah berani berlagak samseng apabila membelit leher seorang rakan sekelas mereka dengan tali pinggang selain memukul mangsa dengan kasut dan pembaris besi, kelmarin.

Malah, lima samseng cilik terbabit turut mengugut untuk membunuh serta mencampak rakan mereka itu ke dalam hutan dan mereka berbuat demikian hanya kerana tidak menyukai mangsa.

Sumber polis berkata, kejadian itu berlaku jam 1.30 tengah hari di sekolah berkenaan dan kelima-lima murid terbabit terlebih dulu mengepung mangsa sekelas mereka ketika berada dalam bilik darjah.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Rayu dikasihani

Posted: 02 Oct 2012 12:09 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tetak, rampas dan lari. Itu taktik sekumpulan enam peragut bermotosikal bersenjatakan parang dan kayu ketika menyamun seorang wanita di depan rumahnya di satu kawasan perumahan di Jalan Ipoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Wong Rui Kee, 23, patah tangan kanan dan retak beberapa jari akibat ditetak seorang daripada suspek, selain kerugian kira-kira RM1,000 selepas beg tangannya yang mengandungi wang tunai serta telefon bimbit dilarikan.

Wong berkata, ketika kejadian dia membuka pintu kereta di hadapan rumahnya kerana mahu pergi kerja.

"Tiba-tiba muncul enam lelaki menaiki tiga motosikal dan seorang daripada mereka terus menetak saya dengan parang.


"Mereka tidak memberikan apa-apa amaran tapi terus menyerang saya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Masih kuat bekerja

Posted: 02 Oct 2012 07:35 AM PDT

SEKILAS pandang, bagai langsung tidak mengenali siapa yang sedang menghayun langkah perlahan, mengendong beg dan berkaca mata, gayanya tidak ubah seperti seorang selebriti yang sedang sarat mengandung.

Namun makin dekat kelibatnya, seterusnya menegur bertanya khabar, wanita jelita yang berseri-seri itu adalah pelakon popular, Syazira Shuhaimi atau lebih dikenali sebagai Eira Syazira.

Tidak berdandan seperti biasa dengan susuk tubuh yang berisi, dramatis jelita yang kini sarat mengandung lima bulan ini setia hadir di Balai Berita bagi menemani suaminya juga pelakon popular, Azad Jazmin yang terikat dengan komitmen fotografi.

Terlanjur bersembang dengannya, bertanyakan khabar dan pengalaman manis mengandung anak sulung, terus jurugambar petang itu menyelaras lensa kamera ke arahnya.


Jelas wanita yang tidak henti mengukir senyum ini, ramai yang mengatakan wajahnya berseri sejak mengandung namun secara peribadi, Eira begitu bimbang akan susuk tubuhnya yang tidak lagi seperti dulu dan memikirkan proses untuk kembali langsing kemudian nanti.


"Suami dan teman-teman memang ramai yang memuji. Kononnya wajah saya bertambah ceria sejak mengandung namun sebagai seorang wanita yang begitu mementingkan soal penampilan dan berkerjaya sebagai pelakon, sudah pastinya timbul rasa bimbang juga apabila melihat keadaan diri kerana inilah pertama kali saya berisi sebegini.

"Namun itulah istimewanya menjadi seorang bakal ibu. Cuma saya perlu bersedia untuk bekerja keras bagi mendapatkan bentuk tubuh seperti sebelum ini selepas habis berpantang nanti," katanya membuka bicara.

Petang itu, pelakon berbakat besar berusia 28 tahun ini begitu bersemangat berkongsi pengalamannya sepanjang hari menjadi wanita mengandung.

Selain mengakui dilayan bagai seorang permaisuri, pelakon yang dikenali menerusi banyak drama termasuk Ku Milikmu, Embun Mutiara dan Cinta Balqis ini menyifatkan setiap saatnya kini seakan diaturkan cerita tersendiri dengan pelbagai pengalaman berbeza.

"Alhamdulillah akhirnya apa yang saya dan suami impikan sebelum ini menjadi kenyataan. Memang sejak awal kami berkahwin lagi, masing-masing tidak sabar untuk menimang cahaya mata, cuma rezeki itu lewat hadir buat kami berdua.
Justeru apabila saya dikhabarkan mengandung saja, suami adalah insan paling bahagia dan seronok sekali.

"Kini selepas mengandung lima bulan, saya merasakan hidup ini banyak berubah.
Dari seorang anak gadis yang kemudiannya mengambil keputusan untuk berkahwin, kini saya diberi pengalaman luar biasa pula dengan mengandung. Jujurnya ia memberikan saya perspektif baru sebagai seorang wanita, isteri dan bakal ibu.

"Saya bersyukur kerana diberikan seorang suami yang begitu mengambil berat mengenai diri saya, menyayangi dan begitu sensitif dengan keadaan saya. Azad tidak pernah merungut walaupun terpaksa melayan kerenah saya dan syukur kerana kami berdua memang berkongsi keserasian dan persefahaman yang sempurna sejak dulu lagi.

"Betul kata orang, mengandung akan diberikan satu perasaan luar biasa. Sukar diceritakan atau dikongsi, namun hakikatnya ia begitu istimewa dan memberikan kebahagiaan dan keharmonian dalam sanubari. Hubungan kami berdua juga kian akrab dan sukar untuk berenggang walaupun ada kalanya masing-masing berlari-lari ke lokasi penggambaran.

"Jika ditanya soal alahan atau mengidam, syukur setakat ini saya masih stabil dan sihat cuma Azad pula yang mengambil alih alahan itu. Dia yang muntah-muntah teruk dan sering kali berdepan rasa loya. Itulah bukti suami yang begitu menyayangi saya rasanya," katanya berseloroh sambil memerhati suaminya yang begitu bijak mengusik di sisi.

Tambah anak kedua daripada enam beradik juga kelahiran Kuala Lumpur ini lagi, istimewanya berbadan dua apabila rezeki mereka suami isteri tidak pernah putus dan ada saja peluang dan kepercayaan yang diberi.

Memegang kata-kata orang lama, anak yang dikandung memang memberikan rezeki.
Itu juga yang dipegang pasangan suami isteri yang berkahwin pada September tahun lalu ini.

"Percaya atau tidak, saya masih lagi berlakon hingga Ramadan yang lalu.
Sebanyak tujuh drama sempat saya habiskan termasuk yang terakhir bulan lalu, sebuah telefilem untuk stesen TV AlHijrah di samping Aqasha dan suami sendiri.
Tawaran tidak putus datang buat saya hingga niat awalnya ingin berehat sepanjang puasa tidak kesampaian kerana menyudahkan penggambaran drama.

"Mujur saya kuat dan tidak mudah rasa penat walaupun ketika itu perut sudah mula nampak membuncit. Memang saya sengaja tidak mahu memanjakan diri dan tidak mahu menjadi lesu atau lemah hingga menjejaskan rutin harian. Lantas saya masih mengemas rumah, memasak dan menguruskan hal-hal kebajikan suami.

"Namun kini selepas kandungan sudah berusia hampir enam bulan, saya memang mengambil keputusan untuk berehat seketika. Azad sendiri tidak membenarkan saya terlalu aktif kerana bimbangkan keadaan kandungan anak kami itu nanti," katanya.

Eira bagaimanapun masih sempat menghabiskan dua telefilem lagi berjudul Antara 2 Deru dan Bungkusan Leman yang akan ditayangkan di RTM tidak lama lagi.

"Kelakarnya, ada produksi yang sanggup mengubah skrip semata-mata mengetahui saya sudah mengandung ketika ini. Alhamdulillah rezeki anak kami," katanya lagi.

Pelakon yang pernah membintangi beberapa filem termasuk Bisikan Remaja, Ngangkung dan Aku Bukan Tomboy ini dijangka akan melahirkan anaknya pada Januari depan. Berdasarkan pemeriksaan doktor, pasangan yang mula menyemai cinta lebih tiga tahun sebelum berumah tangga ini akan dikurniakan seorang anak perempuan namun itu bukanlah soalnya lagi.

Mengakui suami memang idamkan seorang puteri, namun jelas Eira, apa yang lebih penting adalah kesihatan dan kesempurnaan bayi itu nanti.

"Tidak kisah lelaki atau perempuan anak itu nanti kerana apa yang penting saya doakan zuriat sulung kami itu nanti sihat. Ikutkan Azad memang dia inginkan anak perempuan supaya boleh menjadi kawan baiknya nanti namun semua itu saya serahkan pada takdir saja," katanya.

Menyentuh soal kerjaya si suaminya pula, penyanyi lagu Prasasti Cinta ini memanjat rasa penuh syukur kerana tawaran filem tidak henti buat Azad walaupun kini terkejar-kejar memantau keadaannya sepanjang hamil.

Eira yang kini berhenti seketika daripada bidang nyanyian berkata, dia dan suami bakal berduet dalam lagu berjudul Sajak Dari Hati selepas melahirkan anak nanti.

Azad pula yang baru saja mempamerkan lakonan penuh emosi dalam filem S.A.M pada Aidilfitri yang lalu, akan kembali muncul dalam filem Paku, Mamak Cupcakes dan Naga dalam tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Lawak antarabangsa

Posted: 02 Oct 2012 07:12 AM PDT

LAWAK Ke Der? yang diilhamkan oleh Hans Isaac memberi dimensi baru kepada lawak jenaka tanah air dan seterusnya menaikkan imej pelawak tempatan. Lawak tidak lagi sekadar jenaka di kedai kopi atau warung, tetapi sudah mampu dipersembahkan di Istana Budaya (IB).

Dua kali dipersembahkan, Lawak Ke Der? mendapat sambutan yang cukup bagus dan penonton tak kering gusi ketawa. Nabil, Zizan dan Johan yang dilahirkan daripada program realiti Raja Lawak adalah angkatan pelawak baru yang mencetuskan idea segar. Mereka mampu menepis tanggapan ramai yang pelawak hanyalah 'penumpang' dalam industri.

Lawak Ke Der? 2 dipentaskan mulai 28 September lalu dan akan berakhir malam ini. Untuk mengetahui sejauh mana kehebatan mereka bertiga beradu 'akal' di IB, jangan ketinggalan untuk menontonnya.

Penerbit Lawak ke Der? 2, Hans Isaac bercerita kepada Wartawan RAP, NOR AKMAR SAMUDIN mengenai rahsia kejayaannya itu.

RAP: Siapa yang mengilhamkan Lawak Ke Der?

HANS ISAAC: Itu idea saya. Kira-kira 10 tahun lalu iaitu ketika saya mula terbabit dalam industri ini, saya buat persembahan Minggu Komedi Malaysia di Actor Studio yang terletak di Bangsar. Waktu itu studio berkenaan kecil saja hanya boleh memuatkan 260 orang. Saya usahakan seorang diri, tetapi waktu itu semua lawak dalam bahasa Inggeris. Sehingga sekarang pun saya suka menyisipkan elemen lawak dalam setiap produk yang diterbitkan syarikat saya.

Apabila mula berfikir mahu membuat pementasan Lawak Ke Der? ini, saya berbincang dengan Harith Iskandar dan atas sokongan serta persetujuan kawan-kawan, lahirlah projek ini. Orang yang terawal saya cari untuk menjayakannya adalah Nabil Raja Lawak kerana saya perhatikan dia seorang yang kuat bekerja dan berdisiplin. Kemudian saya panggil Zizan dan tampil pula Johan.

Selepas pasukan yang saya mahukan ada sudah lengkap, kami berbincang lagi untuk mencari nama persembahan ini. Keluarlah beberapa nama dan saya terfikir untuk menamakannya, Lawak Ke Der? kerana ada kala bila kita buat lawak, orang akan tanya lawak sangat ke?

Semua ilham saya datang ketika mahu melelapkan mata kerana saya orang yang susah nak tidur. Selagi mata tak terpejam, selagi itulah saya terus berfikir nak buat apa dan apabila dapat idea, terus tulis dalam buku yang memang sentiasa ada di atas meja kecil sebelah katil saya. Esok pagi, sebaik saja bangun, saya akan teliti semula idea yang saya tulis malam tadi.

RAP: Pada persembahan Lawak Ke Der? yang pertama awal tahun ini, timbul cerita kononnya ia 'merampas' satu lagi projek yang dikatakan berkonsep sama?

HANS ISAAC: Saya tak tahu pasal orang lain. Saya buat persembahan di IB kerana mereka yang minta kerana ketika itu satu produksi dari luar negara tarik diri pada saat akhir, jadi slot itu kosong. Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani bertanya kepada semua produksi sama ada mereka berminat untuk mengisi kekosongan slot itu, tetapi mereka tak sanggup kerana masa yang ada hanya tiga minggu saja. Apabila saya berjumpa dengan Juhari, dia bertanya kepada saya berminatkah untuk mengisi slot itu? Oleh kerana idea sudah ada, saya pun berbincang dengan kumpulan saya dan mereka kata boleh. Maka Lawak Ke Der? pun dipentaskan buat kali pertama dan sambutannya sangat baik.

Mungkin ada produksi lain juga mahu membuat persembahan lawak, tetapi mungkin dengan cara yang lain. Industri kita terbuka kepada sesiapa nak buat apapun.
Saya tak pernah curi idea orang lain. Cuba tengok, berapa banyak syarikat filem yang menerbitkan filem seram, tetapi masing-masing mempersembahkannya dalam pelbagai bentuk jalan cerita. Sama juga dengan filem cinta. Apabila filem itu berjaya, produksi yang lain akan ikut, tetapi menggunakan garapan yang berbeza dan ada yang mendapat sambutan ada juga yang gagal di pasaran. Jadi tidak timbul saya menceduk idea orang.

RAP: Dua kali persembahan, sambutan sangat bagus. Apakah resipi kejayaan Lawak Ke Der?

HANS ISAAC: Idea Lawak Ke Der? berkonsep antarabangsa. Ia tiada format dan lebih kepada 'stand up' komedi. Di merata dunia orang dah buat konsep lawak sebegini, tetapi di Malaysia belum lagi. Persembahan ini berjaya kerana ia dijayakan oleh pelawak terbaik dan paling popular di Malaysia. Mereka yakin untuk berlawak. Nabil misalnya, dia dapat banyak idea daripada Harith. Mereka banyak berkongsi idea. Kami semua bekerja berpasukan dan saling melontar serta meminjamkan idea, barulah boleh berjaya.

Masalahnya di Malaysia, ramai yang rasa dia lebih popular daripada orang lain dan tak mahu bekerjasama. Orang macam inilah yang akan cepat 'jatuh' dalam industri. Sebab itu dalam pasukan saya, kalau sudah ada orang yang merasakan dia sangat popular, saya rela lepaskan dia 'pergi'. Menyimpan orang seperti itu bagaikan menyimpan penyakit dalam produksi. Untuk Lawak Ke Der? saya mencari pelawak yang matang dan tidak dinafikan sekarang pelawak adalah artis yang paling popular.

RAP: Akan adakah Lawak Ke Der? yang ketiga?

HANS ISAAC: Dalam Lawak Ke Der?, saya sudah pun beri 'sedikit' kepada penonton dan saya akan kembangkan idea. Sebaik selesai saja persembahan ini malam esok, saya akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan projek baru. Ia adalah projek yang lebih besar daripada Lawak Ke Der? Sama ada sekali lagi saya akan melangkah ke pentas IB, tunggu pengumumannya nanti.

RAP: Adakah projek itu nanti akan mengekalkan pelawak yang sama?

HANS ISAAC: Ada yang dikekalkan, yang lain-lain itu saya masih memikirkannya. Bukan saya tidak yakin dengan pelawak lain, tetapi ramai yang hanya terikut-ikut menjadi pelawak dan akhirnya jenaka mereka tidak menjadi.

Baik Nabil atau pun Jozan (Johan dan Zizan), mereka dilahirkan menerusi program Raja Lawak terbitan Astro, tetapi bukan semua yang menjadi peserta program realiti itu boleh berlawak. Ada yang sekadar terikut-ikut dan bila habis program, entah ke mana mereka pergi. Samalah juga dengan pelajar Akademi Fantasia, beberapa orang saja yang berjaya dan yang lain tak nampak muka. Ada berkahwin dan ada yang mencari pekerjaan tetap semula. Bukan Raja Lawak dan Akademi Fantasia saja, mana-mana program realiti yang dianjurkan oleh stesen TV lain pun sama.

RAP: Desas-desus bertiup kencang kononnya hubungan baik anda dengan Ketua Pengarah IB memberi laluan mudah kepada anda untuk ke IB?

HANS ISAAC: Memang kami berkawan baik, tetapi kalau tiba soal kerja, dia serius. Sebagai kawan, saya kena faham waktu bekerja dan waktu santai. Kalau buat salah, saya tetap dimarahi dan setiap kali pementasan bukannya percuma.
Saya sewa beratus-ratus ribu ringgit kepada IB. Dalam soal kerja, saya dilayan sama seperti produksi lain.

Sebagai ketua, dia kena membuat keputusan secara profesional untuk kebaikan industri dan budaya. Mungkin saya dalam suasana yang berbeza dengan penerbit lain kerana apabila saya merancang untuk menjalankan sesuatu projek saya sudah ada duit sendiri tanpa perlu menunggu duit penaja atau pun dana kerajaan.

Setiap projek, saya rancang selama tiga tahun dan pastikan duit ada dulu barulah saya menjalankannya. Kebanyakan produksi bila projek dah nak jalan, baru nak cari duit. Sebab itu saya tiada masalah untuk membuat pementasan di IB walaupun masa diberikan pendek kerana saya sudah ada duit.

RAP: IB memperjuangkan budaya dan relevankah Lawak Ke Der? masuk ke 'istana'?

HANS ISAAC: Lawak juga adalah sebahagian daripada budaya kita. Sejak zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee, dia buat filem komedi. Sudah berpuluh-puluh tahun lawak jenaka 'hidup' dalam budaya kita. Saya mahu tengok pelbagai budaya dan tradisi dipentaskan di IB.

RAP: Berikutan sambutan hebat, adakah Lawak Ke Der? bersambung lagi?

HANS ISAAC: Cukuplah enam hari saja kerana akan umumkan projek baru.

RAP: Cerita peribadi, ada kejutankah?

HANS ISAAC: Tak ada apa-apa yang 'mengejutkan'. Saya gembira dengan apa yang ada sekarang. Sudah terlalu banyak fokus pasal peribadi, saya mahukan menghentikannya dan beri tumpuan pada kerja.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


3 kali lahir anak kembar

Posted: 02 Oct 2012 09:43 AM PDT

LONDON: Seorang wanita menjadi ibu pertama di Britain melahirkan anak kembar tiga kali.

Kejadian itu dianggap ganjil kerana kemungkinan ia berlaku adalah satu dalam setiap 500,000.

Keeva dan Ceira, dilahirkan Jun tahun lalu oleh Sara Jones, 33, dari Southport, Merseyside.

Kelahiran pasangan kembar itu meningkatkan jumlah anak Sara kepada 10 kerana dia juga mempunyai empat anak lain.


Keluarga itu menerima bantuan lapan pain susu dan dua buku roti sehari di samping dua bungkusan besar lampin seminggu.


Meskipun mempunyai keluarga yang besar, Sara yang mempunyai adik kembar seiras berkata, kediamannya adalah lebih daripada normal.

"Bagi kebanyakan keluarga, mempunyai anak kembar adalah sesuatu yang luar biasa. Tetapi bagi saya, adalah sesuatu yang ganjil apabila saya tidak melahirkan anak kembar," katanya kepada akhbar Sunday Mir- ror.

Kisahnya bermula 10 tahun lalu apabila dia melahirkan Liam dan Niamh.

Sara kemudian berpisah dengan bapa kanak-kanak itu, Rhys, sebelum menjalinkan hubungan dengan teman lelakinya sekarang, Craig Morgan, 31.

Pada 2010, dia sekali lagi melahirkan anak kembar, Shay dan Aoife, yang kini berusia dua tahun.

Wanita itu juga mempunyai anak lain sebelum itu, Brogane, 16, Siobhan, 13, Calam, 12, dan Sean, empat.

"Sebahagian keluarga gagal memperoleh anak. Saya melihat setiap kelahiran anak saya itu sebagai rahmat," katanya.

Walaupun kelahiran kembar kedua agak menyulitkan kehidupannya, tetapi menjelang kelahiran Keeva dan Cerira, Sara berkata, dia sudah tahu 'apa yang dilakukannya.'

Namun, ia bukan tugas mudah.

Craig, pembuat perabot, tidak bekerja sementara bagi Sara, membesarkan anak adalah tugas sepenuh masa. Sudah pasti ia sesuatu yang sukar untuk mencukupkan perbelanjaan pada setiap bulan.

"Kami terpaksa berhati-hati berbelanja. Saya cuba mendapatkan semuanya dengan kira-kira 100 (RM500) seminggu. Tetapi, setiap hari saya ke pasar raya, saya terpaksa menambah 15 (RM75) dalam perbelanjaan," kata Sara.

Menurutnya, memandangkan setiap anaknya unik, dia tidak menurunkan pakaian anaknya yang tua kepada adik mereka.

"Dan saya berharap mereka semua akan menjaga saya apabila saya tua kelak," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


600 dapat kuali percuma

Posted: 02 Oct 2012 09:41 AM PDT

GLOUCESTER: Sebuah syarikat menanggung kerugian akibat kesilapan komputer. Kesilapan berkenaan menyebabkan kuali tidak melekat yang biasanya dijual dengan harga 18 (RM90) setiap satu diiklankan menerusi Internet dengan harga 0.00.

Berita mengenai tawaran menakjubkan itu tersebar begitu pantas di Internet pada Jumaat dan Sabtu lalu.


Kira-kira 600 orang memesannya dan ada yang memesan sehingga 40 buah.

Dengan harga jualan RM90 setiap satu, syarikat itu dianggarkan rugi sebanyak RM250,000 jika ia memenuhi semua pesanan itu.


Bagaimanapun ProCook mengambil keputusan untuk memberi secara percuma satu kuali kepada setiap pelanggan yang memesannya sebagai tanda muhibah.


Jurucakap syarikat, Sarah Savory-Smith berkata: "Kami tidak terikat dengan undang-undang untuk membekalkan kuali itu secara percuma. Tetapi kami memutuskan untuk memberikan secara percuma satu kuali kepada setiap orang yang memesannya." - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Hutang along demi PFA

Posted: 02 Oct 2012 10:37 AM PDT

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mengaku terpaksa berhutang dengan tiga along bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda persatuan itu.

Biarpun sedar berisiko, beliau mendakwa terpaksa melakukannya kerana perlu menyelesaikan segera masalah kewangan itu dengan apa cara sekalipun.


"Saya tidak ada pilihan dan terpaksa berhutang dengan mereka kerana perlu menstabilkan semula kewangan persatuan," katanya yang bagaimanapun enggan memberitahu jumlah sebenar dipinjam kecuali mengatakan memerlukan RM2 juta bagi menstabilkan kembali kedudukan kewangan PFA.

Menurutnya, beliau boleh meminjam daripada bank tapi perlu mencagarkan pelbagai benda bagi membolehkannya berhutang dan proses itu dianggapnya merumitkan.


Shahidan berkata, PFA tidak akan berada dalam situasi terdesak itu jika semua pihak menghulurkan bantuan melunaskan janji mereka, namun hingga kini tiada yang mengotakannya.


"Saya sedar ramai tidak mahu membantu PFA kerana saya sudah tidak berkuasa, namun insya-Allah satu hari nanti saya akan kembali berkuasa. Jika hari itu tiba, pada masa itu, saya tidak akan melayan sesiapa yang enggan bekerjasama dan berjuang dengan saya," katanya.

Menurutnya, kedudukan kewangan PFA pada masa ini di bawah paras negatif dan beliau menyifatkan perkara itu sesuatu yang membimbangkan tapi belum mencapai tahap tenat.


"Kami memang tiada duit untuk membayar gaji tertunggak pemain dan jika masalah ini terus berlaku, kami akan dilanda masalah dan sukar menaikkan kembali imej bola sepak negeri," katanya yang mengaku ada beberapa pemain ingin menyarung jersi pasukan itu tapi membatalkan hasrat selepas mengetahui masalah kewangan itu. Difahamkan PFA belum membayar setengah bulan gaji kepada pemain.

Justeru, Shahidan memberi bayangan sedia berundur jika Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu sudi menerima lamarannya menyertai PFA bagi menyelesaikan kemelut kewangan itu.


"Saya sudah menghubungi beliau, menyatakan hasrat mahu membawanya masuk dalam persatuan ini. Jika Menteri Besar menyertai kami, sudah tentu saya bukan lagi Presiden PFA. Saya serius bukan ajak-ajak ayam kerana sedar langkah menyelesaikan masalah kewangan PFA adalah dengan pembabitan Menteri Besar. Tapi setakat ini beliau menolak atas alasan tidak berminat dan tidak tahu bermain bola sepak." Sementara itu, Shahidan berkata, kerajaan negeri juga masih belum membayar penuh bantuan diminta apabila hanya baru melunaskan RM100,000 daripada RM300,000 yang dipohon.


Namun, menurutnya, beliau tidak akan merayu namun memberitahu jika ada yang ingin berjuang bersama untuk melihat PFA kembali seperti dulu supaya menghulurkan sumbangan.


"Kami mengamalkan konsep berjuang bersama dan menang bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Misi realistik

Posted: 02 Oct 2012 10:30 AM PDT

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan sasaran emas negara perlu realistik walaupun mendapat peruntukan besar menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Kontinjen negara yang membelanjakan RM20 juta gagal merealisasikan misi meraih emas pertama pada pertengahan tahun ini di Olimpik London apabila sekadar membawa pulang satu perak dan gangsa menerusi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong dalam acara terjun.


"Tidak mahu menaruh harapan yang tinggi, saya sudah minta maaf. Saya tidak mahu minta maaf banyak kali, kasihan menteri yang akan datang. Kita perlu realistik, mungkin boleh sebut dua atau tiga pingat emas tapi siapa (mampu memenanginya)? "Sebab itu kita perlukan program jangka panjang untuk sekurang-kurangnya mampu menghadapi dua edisi Olimpik dan memiliki jumlah atlet yang ramai," katanya yang pernah menyatakan empat pingat emas berada dalam jangkauan kontinjen negara di London.

Emas sulung negara pada temasya sukan terbesar dunia itu masih belum dicapai sejak mula bertanding pada Olimpik 1956 di Melbourne namun dengan peruntukan RM50 juta selama empat tahun, ia turut menghadirkan harapan tinggi untuk merangkul lebih daripada satu pingat emas.


"Untuk Rio, peruntukan awal adalah RM50 juta, ertinya ia masih lagi boleh dibincangkan dan berbeza apabila kami sebelum ini dibenarkan menggunakan RM20 juta. Peruntukan ini secara tidak langsung membolehkan kita mempersiapkan atlet dengan lebih baik lagi," katanya.


Mengenai sukan yang terpilih dalam program Olimpik Rio, Ahmad Shabery berkata, pihaknya terpaksa membuat penyesuaian selaras dengan peruntukan diberikan namun masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana boleh mengguris persatuan yang tidak terpilih.

"Dulu (Olimpik 2012), lawan pedang dan renang tiada dalam program Road To London namun berjaya layak dan kita tidak bolehkan nafikan ia sudah menjadi asas untuk dikembangkan. Sukan berpasukan seperti bola sepak dan hoki juga perlu dijadikan sebahagian daripada program," katanya.


Beliau terdahulu hadir menziarahi keluarga Allahyarham Tan Si Abdul Ghani Minhat dan mewakili Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb) memberi sumbangan berjumlah RM11,000 dan akan memikirkan jalan terbaik mengenang jasa legenda bola sepak negara itu secara abadi kerana sumbangan besarnya tiada tolak ganti dalam sejarah sukan negara.

Sementara itu Pengerusi Yakeb, Datuk Jamil Salleh berkata, kehilangan 'Raja Bola' itu amat dirasai terutama kerana beliau sentiasa terbabit secara langsung dalam setiap program dianjurkan organisasi itu dan berusaha membukukan cerita tentang diri dan perjuangannya dalam bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved