Isnin, 29 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tak lemah semangat

Posted: 29 Apr 2013 08:47 AM PDT

Pelbagai tanggapan mengenai pemandu teksi wanita. Ada yang ragu-ragu, ada juga yang memuji.

Ada juga yang mengatakan mereka kurang cekap mengendalikan teksi. Tidak kurang yang mengatakan pemandu teksi wanita ­lebih berisiko tinggi untuk ­berhadapan dengan jenayah yang boleh berlaku pada bila-bila masa ketika membawa penumpang.

Apa jua kata-kata yang melemahkan semangat, namun sekumpulan wanita ini memilih kerjaya sebagai pemandu teksi kerana berasa ia tetap memberi peluang menambah pendapatan keluarga.

Bagi Amirah Saadullah, 46, dia tidak pernah menyesal bergelar pemandu teksi sejak 10 tahun yang lalu. Walaupun pernah mengalami mimpi ngeri akibat nyaris diperkosa, wanita berhati waja ini meneruskan kerjayanya untuk memperoleh sumber kewangan mencukupi bagi menyara anaknya.


Menceritakan kembali kenangan pahit yang masih terpahat di ingatannya itu, dia kini lebih berhati-hati untuk mengambil penumpang, tidak mengira lelaki mahupun perempuan.


"Peristiwa hitam itu berlaku ketika saya ingin membantu seorang lelaki Arab dengan membawa barangnya yang banyak. Apabila tiba di hotel, dia meminta saya membantunya membawa barangan miliknya kerana ketika itu hujan.

"Hasrat di hati hanya mahu menghantarnya hing­ga ke pintu hotel, tetapi kasihan pula. Kemudian, saya membantu membawa barangannya hingga ke bilik hotel.

"Tanpa disangka lelaki berkenaan menolak saya ke dalam bilik dan cuba untuk merogol. Namun, saya berasa sangat bersyukur kerana niat jahatnya itu tidak dapat diteruskan disebabkan saya bertindak melawan bersungguh-sungguh," jelasnya.

Sejak itu, dia nyata lebih berhati-hati. Malah, kelebihan mempelajari ilmu silat di zaman persekolahan sedikit sebanyak membantu dirinya untuk mempertahankan diri ketika berhadapan dengan perkara yang tidak diingini.

Semangatnya menjadi bertambah yakin apabila bekas suaminya juga adalah guru silat. Ini membuatkan dia berasa lebih bersedia untuk bekerja sebagai ­pemandu teksi dan

pada masa sama, masih mampu menjaga ­keselamatan dirinya ketika bertugas.
"Pada saya asalkan penumpang berasa gembira ketika saya membawa mereka, itu sudah memadai daripada terlalu memikirkan mengenai bahaya yang akan dihadapi.

"Tidak kurang ada juga penumpang yang ­berterima kasih kerana bantuan kepada mereka dan melaporkan keprihatinan saya kepada Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat (SPAD)," ­katanya ­tersenyum.

Sepanjang menjadi pemandu teksi, dia masih teringat saat pertama kali mengambil keputusan bekerja di bidang berkenaan.

Bekas suami adalah pemandu teksi dan Amirah mendapati teksi milik suaminya itu lebih lama tersadai di restoran sehingga enam hingga lapan jam lantas dia terfikir untuk mencuba membawa teksi itu bagi mendapatkan pendapatan lebih.

"Pada mulanya, saya ­nekad memandu teksi walaupun tidak mempunyai Lesen Memandu Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) selama setahun. Ketika itu anak masih kecil dan memerlukan perbelanjaan yang banyak.

"Walaupun ketika itu saya menjahit baju selepas pulang daripada memandu, saya tidak pernah berasa penat atau susah.

"Biasanya saya memandu teksi seawal jam 6.30 pagi di sekitar Kuala Lumpur dan pada waktu malam pula menjahit baju sehingga jam 1 pagi," kata ibu kepada lima cahaya mata ini.

Baginya, selagi dia terdaya memandu teksi tiada salahnya untuk meneruskan pekerjaan berkenaan asalkan ia halal dan dapat membantu menaikkan taraf hidup keluarganya.

Jelas wanita yang berasal dari Seremban itu, walaupun pada mulanya dia tidak tahu jalan untuk menghantar penumpang, ia ­tidak menjadi penghalang, malah dijadikan pengajaran bagi menambah pengetahuannya mengenai selok-belok jalan di sekitar Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/30

Asah bakat, tambah pendapatan

Posted: 29 Apr 2013 08:37 AM PDT

Kedua-dua wanita ini baru berjinak-jinak menjadi pemandu teksi. Mereka banyak belajar dan mendengar pengalaman daripada Amirah untuk mengetahui lebih lanjut cabaran sebagai pemandu teksi.

Padzilah Shafie, 39, dan Noor Siti Aishah, 48, turut berasa seronok jika dapat bercakap, berkenalan dan melihat pemandangan berlainan setiap hari walaupun tidak mempunyai pengalaman sebagai pemandu teksi sebelum ini.

Masih baru dalam bidang berkenaan apatah lagi belum pernah memandu teksi, kedua-duanya bersedia untuk menggalas tugas bagi menambah pendapatan keluarga.

Bagi Noor Siti Aishah, walaupun dia mempunyai perniagaan sendiri, disebabkan mahu menambah pengetahuan dalam bidang keusahawanan sambil menjana pendapatan, dia sanggup mencabar diri untuk menjadi pemandu teksi.


"Saya difahamkan, kami bukan hanya memandu teksi tetapi menerusi KOPETIWI ini, kami juga boleh mengasah bakat dalam bidang keusahawanan dan ini turut membuka peluang perniagaan.


"Sambil membawa penumpang, saya juga boleh memperkenalkan produk yang diberikan kepada penumpang. Disebabkan minat dalam dunia perniagaan, hati saya terbuka untuk menjadi pemandu teksi," katanya.

Berbeza bagi Padzilah, dia bertuah kerana suaminya juga menyokongnya untuk menjadi pemandu teksi bagi menambah pendapatan.

Dia akui tidak gemar memandu dan jarang memegang stereng kereta walaupun memiliki lesen memandu. Namun, disebabkan pernah diberi peluang mengambil alih tugas suaminya sebagai pemandu teksi, sedikit demi sedikit minatnya mula bercambah.

"Apabila memandu, minda terbuka dan membuatkan minat saya terarah untuk menjadi pemandu teksi. Saya juga berasa iri hati dengan teman lain yang boleh memandu sedangkan saya tidak boleh.

"Justeru, saya ambil keputusan untuk membawa teksi kerana yakin ia dapat memberi pendapatan lebih berbanding menjadi jurujual seperti sebelum ini.

"Antara pengajaran yang diperoleh daripada teman lain yang berpengalaman adalah pemandu perlu bersikap ramah," jelasnya yang masih menunggu masa sesuai untuk memandu teksi.

Sementara itu, baru-baru ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan peningkatan seramai 300 pemandu teksi wanita pada penghujung April ini hasil inisiatif KOPETIWI dan Enem Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama KPWKM.

Malah, kerjasama yang terjalin antara KOPETIWI dan 12 syarikat perniagaan individu di sekitar Selangor itu membantu membuka peluang perniagaan kepada pemandu teksi wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/30
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Barang terpakai dapat sambutan

Posted: 28 Apr 2013 10:26 AM PDT

Bangi: Program jualan amal 'Car Boot Sales' anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung termasuk 25 kereta yang mengambil bahagian sebagai peserta.

Pengurus Kedai Amal IRM Datin Norelan Ismail berkata, acara yang diadakan di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini pada Ahad terakhir setiap bulan, menjadi lokasi strategik orang ramai membeli barang terpakai.


"Hari ini (semalam) adalah kali kedua ia diadakan selepas bulan lalu. Sambutan yang positif ini menunjukkan ramai pengunjung yang masih berminat membeli barang terpakai," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, acara ini yang berterusan pada masa akan datang mendapat kerjasama Komuniti Pemilik MPV Malaysia dan Majlis Perbandaran Kajang.


"Kami berhasrat menjadikan acara ini sebagai satu budaya yang menggalakkan orang ramai berbelanja secara berhemah dengan membeli barang terpakai," katanya.


Norelan berkata, acara ini bermatlamat membantu pelbagai lapisan masyarakat bersama menjual barang terpakai dan menarik minat pengunjung datang membeli.

Foto

ANTARA pengunjung yang membeli pada program 'Car Boot Sales' di Bandar Baru Bangi, semalam.

Foto

PELBAGAI jenis barangan terpakai ditawarkan peniaga.

"IRM turut melakukan kerja amal apabila yuran sewa tapak RM25 yang dikenakan pada peserta disumbangkan kepada tabung kami untuk digunakan dalam program amal lain pada masa hadapan," katanya.


Program bermula dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari, dan antara barang terpakai yang dijual ialah buku, pakaian, kasut, pinggan, mainan kanak-kanak dan basikal.

Katanya, IRM mempunyai matlamat mahu mengembangkan acara yang sama di negeri lain jika mendapat kerjasama pihak berkaitan.


"Jika ada pihak lain yang ingin bekerjasama, kami sudi datang ke tempat mereka. Pada Februari lalu, kami turut mengadakan program 'Pre-love Coffee Morning' iaitu aktiviti bersama Alam Flora yang memberi peluang pada orang ramai menyampaikan sumbangan barang terpakai seperti akhbar, botol dan plastik.


"Seperti mana program Car Boot Sales, acara ini menjadi aktiviti riadah untuk seisi keluarga berkumpul sama. Malah, program ini akan diteruskan pada pada November nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


'Saya tikam mata buaya'

Posted: 28 Apr 2013 10:46 AM PDT

Kuching: "Saya tikam mata buaya itu dengan pisau sebelum menyelamatkan diri," kata mangsa serangan buaya dikenali sebagai Micheal, 43 di Sungai Bako, semalam.

Menurut Micheal, dalam kejadian jam 11 pagi itu, dia yang berasal dari Kampung Jagoi Gunung, Bau pergi ke Sungai Bako berseorangan untuk memancing.

Katanya, sebaik memasang umpan pada mata kail, dia turun ke tebing sungai untuk membasuh kaki dan secara tiba-tiba kakinya digigit sesuatu sebelum ditarik masuk ke dalam sungai.

"Saya yakin benda yang menggigit saya itu buaya dan ia cuba mengheret saya ke tengah sungai. Saya cuba berpaut pada pokok di tebing sungai dan pada masa sama menyepak kepala reptilia itu beberapa kali.

Foto

MANGSA dibawa ke HUS untuk mendapatkan rawatan, semalam.


"Ketika bergelut dengan buaya itu, mujur saya teringat pisau disimpan dalam poket seluar dan menggunakannya sebagai senjata menyerang matanya," katanya ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Kaki budak tersangkut lubang air

Posted: 28 Apr 2013 10:46 AM PDT

Bau: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menahan kesakitan lebih sejam selepas kaki kanannya tersangkut dalam lubang saluran air di bilik mandi di rumahnya di Seniawan Villa, di sini, semalam.

Kejadian jam 8.30 pagi itu berlaku ketika Cathriosa Doseba Nicholas dimandikan ibu saudaranya yang berusia 20-an, namun keadaan lantai licin menyebabkan mangsa tergelincir dan kaki kanannya terperosok dalam saluran air berkenaan.

Ibu saudara mangsa yang enggan dikenali itu berkata, anak saudaranya menjerit kesakitan ketika melumurkan sabun di seluruh badannya.

"Saya ingatkan dia terjatuh dan cuba membantunya bangun, tetapi dia menjerit kesakitan. Ketika itu baru saya perasan kakinya tersangkut dalam lubang saluran air.

Foto

ANGGOTA bomba menarik kaki mangsa daripada saluran lubang air yang dipecahkan.

Foto

ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan mangsa.


"Saya cuba mengeluarkan kakinya perlahan-lahan dan memanggil ahli keluarga yang lain untuk membantu, namun masih tidak berjaya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Terbongkarnya Kejahatan

Posted: 28 Apr 2013 12:03 PM PDT

Saat diumumkan francais 'Star Trek' akan dilanjutkan dengan filem ke-12nya, teka-teki terus bermula untuk watak antagonis yang bakal bertarung kebijaksanaan dengan Kapten James T. Kirk dan krew Enterprise dalam 'Star Trek Into Darkness'. Awalnya, ramai peminat meneka barangkali pengarah J.J Abrams akan memperkenalkan salah seorang penjahat kesayangan Star Trek iaitu Khan Noonien Singh.

Diperkenalkan dalam episod 'Space Seed' (1967) dalam musim pertama siri televisyen 'Star Trek: The Original Series', watak tersebut diperkembangkan dalam filem 'Star Trek II: The Wrath of Khan' (1982). Watak Khan Noonien Singh dilakonkan arwah Ricardo Montalban.

Laporan awal media mengatakan pelakon Benicio del Toro telah ditawarkan watak penjahat itu malah pernah bertemu Abrams untuk berbincang. Namun dia kemudiannya menarik diri. Pelakon kelahiran Mexico, Demian Bichir juga pernah dikaitkan dengan watak Khan. Akhirnya, watak itu jatuh kepada Benedict Cumberbatch. Tetapi bukan sebagai Khan, sebaliknya satu watak baru telah dicipta iaitu pengganas misteri John Harrison.

Cumberbatch bukanlah nama baru dalam industri. Antara karya-karya lakonannya termasuk filem 'War Horse', 'Atonement' dan 'The Hobbit'. Tetapi ramai hanya mula memberi perhatian kepada pelakon Inggeris ini melalui drama 'Sherlock', di mana dia menghidupkan kembali watak ternama rekaan Sir Arthur Conan Doyle, penyiasat terulung Sherlock Holmes.


Seorang peminat Star Trek sebelum penglibatannya dalam filem tersebut, Cumberbatch berkongsi telah menonton filem 'Star Trek' (2009) dan begitu mengagumi hasil kerja Abrams. Menggambarkannya sebagai sebuah filem yang bijak dan lucu, pada masa yang sama ia juga setia kepada cerita asal.


Bagi menjayakan wataknya sebagai Harrison yang banyak melibatkan aksi pertarungan, Cumberbatch terpaksa menjalani pelbagai latihan. Dedahnya, dia banyak mendapat pertolongan dari Chris Pine dan Zachary Quinto.

Di kalangan teman-teman pelakon 'Star Trek Into Darkness', babak-babak emosi antara Pine dan yang paling di nantikan mereka. Malah Pine sendiri merasakan Cumberbatch berjaya mencipta detik-detik istimewa yang akan termaktub di dalam sejarah Star Trek.

"Pembawaan wataknya begitu tepat dan terperinci. Sebagai seorang peminat dan pelakon saya kagum melihatnya. Persembahannya menyeramkan dan menakutkan. Dia telah mencipta detik-detik istimewa yang akan terus diperkatakan di kalangan peminat Star Trek sampai bila-bila."

Tarikh Tayangan Di pawagam 16 May 2013 (3D)

VIDEO:

Jika anda peminat setia Star Trek, cuba jawab soalan disini & menangi hadiah yang menarik! Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Ejad tak fikir bersara

Posted: 28 Apr 2013 08:48 AM PDT

Selepas dua tahun menyepi, pelakon Siti Elizad nampaknya sudah bersedia untuk membuat 'comeback', sekali gus kembali merancakkan persada hiburan tanah air.

Jika sebelum ini, pemilik nama sebenar Siti Elizad Mohd Sharifudin atau lebih mesra disapa Ejad hanya berani menerima watak pembantu dan penampilan khas dalam drama kerana masalah kesihatan, kini tidak lagi.

Antaranya watak pembantu dalam drama bersiri Opah generasi baru untuk RTM, penampilan khas dalam filem Mael Lambong arahan Ahmad Idham terbitan Excellent Pictures dan drama bersiri Lelaki Yang Dicintai.

Malah, Ejad, 28, mengakui dia sudah bersedia dari segi mental mahupun fizikal untuk menyahut cabaran beraksi sebagai watak utama dalam drama mahupun filem.

Sebelum ini, Ejad berehat panjang kerana menjalani pembedahan membuang ketumbuhan 'cyst' pada November tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya sudah sihat sepenuhnya untuk kembali ke lokasi penggambaran. Terus terang, bidang seni sudah sebati dalam diri sejak dulu.

Saya juga tidak terfikir untuk bersara daripada bidang lakonan ketika ini. Tawaran berlakon masih ada dan saya juga tidak mampu menolak tawaran yang datang kerana ia rezeki daripada Allah.

"Justeru, selepas berehat panjang kerana masalah kesihatan sebelum ini, saya percaya sudah sampai masanya saya kembali berlakon dan mengubat rindu pada bidang lakonan.

"Malah, saya juga ingin beritahu kepada produser dan pengarah drama mahupun filem di luar sana, saya sudah bersedia untuk berlakon kerana masih ada orang yang fikir saya masih belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun, kata Ejad, dia juga masih dalam proses menurunkan berat badannya yang naik mendadak kerana menjalani rawatan susulan dan pengambilan pil hormon selepas pembedahan berkenaan.

"Saya juga perlu menjaga aspek pemakanan dan mengawal diet kerana tidak mahu nampak berisi depan kamera. Pada masa sama, saya juga ingin menurunkan berat badan sebanyak tiga hingga empat kilogram lagi dalam misi untuk buat 'comeback' dalam bidang hiburan tanah air," katanya.

Pada sesi fotografi bersama RAP yang berlangsung di Studio Balai Berita, baru-baru ini, Ejad tampil jelita dengan rambut pendek separas bahu yang turut menyerlahkan lagi penampilannya.

Wajahnya nampak cukup berseri-seri dengan sentuhan solekan daripada kakak iparnya sendiri yang juga jurusolek artis terkenal, Lisa Amri yang sudah berkecimpung sekian lama dalam bidang persolekan.

Selain solekan, Lisa juga mengubah penampilan Ejad dengan mengenakan aksesori jenamanya sendiri, rzlisajewelry khusus untuk sesi fotografi petang itu.

"Walaupun ada ramai jurusolek artis di luar sana, saya tetap selesa dengan sentuhan Lisa sejak dulu. Walaupun dia kakak ipar, saya juga perlu membuat temu janji dengan Kak Lisa untuk mana-mana sesi fotografi kerana jadualnya juga padat selaku jurusolek untuk produksi.

"Pada pandangan saya, sentuhan Kak Lisa memang mengikut 'trend' solekan terkini kerana dia juga berpengalaman luas dalam bidang persolekan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Juara era berbeza

Posted: 28 Apr 2013 09:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua pemain harapan negara dalam era berbeza, Datuk Lee Chong Wei dan Misbun Ramdan Misbun meraih kejuaraan semalam, kebetulan kedua-duanya bekas dan juara terbaru GP Kebangsaan.

Di New Delhi, Chong Wei meraih gelaran kedua pada Siri Super Terbuka India selepas menewaskan pemain utama Jepun Kenichi Tago.


Begitupun Chong Wei tidak mendapat laluan mudah meskipun menang set pertama 21-15, apabila tunduk 18-21 pada set kedua, sebelum bangkit memenangi perlawanan 21-17 pada set penentuan.

Sementara itu, Ramdan merangkul kejuaraan pertama kejohanan senior antarabangsa apabila menewaskan pilihan utama Pablo Abian dari Sepanyol di final Kejohanan Antarabangsa Terbuka Portugal.


Ramdan, pilihan kedua kejohanan langsung tidak dijangka akan menang mudah 21-8, 21-9.


"Kami di Nusa Mahsuri tidak menjangka Ramdan akan meraih kejuaraan seawal ini, namun ini adalah satu perkembangan positif," kata jurulatih Nusa Mahsuri Rahman Sidek.

Foto

Datuk Lee Chong Wei

Rahman berkata, meskipun Ramdan mula menunjukkan tanda-tanda akan menjuarai lebih banyak kejuaraan, pemain berusia 22 tahun itu akan terus menyertai kejohanan berstatus Cabaran Antarabangsa terlebih dulu, bagi membiasakan diri dengan kejuaraan di peringkat rendah selain meningkatkan lagi keazaman seseorang pemain untuk memburu kejuaraan lebih tinggi.


"Saya sering berpesan kepada Ramdan, untuk menjadi seorang juara, dia perlu menjadi pemain yang berbeza berbanding pemain lain," katanya.

Terbuka Portugal adalah siri jelajah Eropah kedua Ramdan selepas mara ke separuh akhir Terbuka Belanda, minggu lalu dan selepas ini dia akan terus berada di Eropah untuk menyertai tiga lagi kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Aksi Queen mantap

Posted: 28 Apr 2013 09:00 AM PDT

Des Moines (Iowa): Pelari Amerika Syarikat (AS), Queen Harrison memenangi acara 100 meter lari berpagar wanita di Kejohanan Drake Relays kelmarin dengan merakamkan 12.71 saat untuk menewaskan pemenang pingat perak, gangsa dan keempat Olimpik London 2012.

Catatan masa Harrison adalah salah satu daripada lima yang terbaik dicatatkan tahun ini pada hari terakhir edisi ke-104 kejohanan itu. Harrison menunjukkan AS mempunyai bakat yang tidak terhad dalam acara 100m lari berpagar apabila menamatkan saingan mengatasi rakan senegara Dawn Harper yang juga juara Olimpik 2008 dan tempat kedua di London, selain pemenang pingat gangsa London Kellie Wells serta pilihan peminat tempatan Lolo Jones yang berada di tempat keempat di London.


Keempat-empat pelari itu melakukan empat masa terpantas di dunia tahun ini yang menjanjikan saingan sengit dalam acara 100m lari berpagar di Kejohanan Dunia AS yang turut berlangsung di trek Des Moines pada Jun.

"Saya merasakan ia adalah saat yang hebat, terutama pada awal musim dengan saingan yang diberikan," kata Harrison. "Saya sedikit gementar pada peringkat awal namun saya menunjukkan latihan yang saya jalani sekarang berjalan lancar dan yakin mencipta kejayaan tahun ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved