Selasa, 18 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Peka keadaan sekeliling

Posted: 18 Jun 2013 05:52 AM PDT

Sebut saja lokasi sama ada di rumah, dalam kereta, tepi jalan, kaki lima, lampu isyarat, stesen minyak, mesin ATM dan kini kawasan paling banyak berlaku kemalangan iaitu parkir kenderaan, hampir semuanya menjadi lokasi popular jenayah membabitkan wanita sebagai mangsa.

Malah ada antaranya berlaku di kawasan yang diang­gap paling selamat seperti di rumah. Memang benar kemalangan tidak mengenal mangsa tetapi apa yang boleh dilakukan adalah membantu mengurangkan jenayah serta mengubah keadaan menjadi lebih baik.

Menyedari kebanyakan wanita mempunyai kesedaran yang sangat rendah me­ngenai ancaman jenayah, satu modul keselamatan peribadi untuk wanita diperkenalkan yang memberi penekanan mengenai pengetahuan dan kemahiran menerusi simulasi, permainan dan latihan dalam kumpulan.

Modul SAiF yang berasal daripada perkataan Arab bermaksud pedang atau aplikasi terpilih dalam pertempuran, diasaskan oleh Tuan Mazlan Tuan Hussein daripada Seven Layer Traning & Consultancy Sdn Bhd. Ia memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pendekatan cara hidup kepahlawanan dengan memberi tumpuan kepada diri dan organisasi.

Foto

JANGAN meletak kenderaan berhampiran tembok atau tiang kerana ia lokasi persembunyian penjenayah.

Foto

ELAK menggunakan telefon bimbit ketika masuk ke kereta.

Foto

DUDUK dengan meletakkan pinggul terlebih dulu memberi ruang kepada wanita mempertahankan diri jika diserang.

Foto

JIKA ada individu mencurigakan, jangan masuk ke dalam lif.

Foto

JANGAN duduk di barisan hadapan kerana ia mendedahkan diri kepada penjenayah di belakang anda.

Foto

TELEFON bimbit, beg tangan dan kunci kereta jangan diletakkan di meja ketika sedang makan.


"Modul keselamatan peribadi wanita SAiF memberi tumpuan bagaimana wanita boleh mengelak sebelum berlaku krisis, menangani kejadian dan selepas berlaku kemalangan. Ia dihasilkan kerana setiap individu mempunyai gaya hidup berlainan jadi pendekatan bagi mena­ngani situasi ini turut menggunakan kemahiran berbeza menerusi permainan ketika kursus dijalankan.


"Bagi memberi pemahaman jelas kepada wanita, kami menyediakan situasi, membiarkan mereka merasai dan memberikan tekanan terhadap penjenayah," katanya yang banyak memberikan latihan kepada badan bukan kerajaan seperti Malakoff, Proton, Permata dan Maktab Tentera Diraja.

Perkara asas yang perlu diketahui dan diamalkan adalah mengenali kuasa jajahan dan tempat tinggal. Ini boleh dilakukan dengan mengambil tahu persekitaran, perjalanan pergi dan balik dari rumah ke tempat kerja, jarak di antara pondok polis terdekat dan nombor balai polis berhampiran untuk dihubungi.

"Wanita terutamanya harus mengambil tahu. Setidak-tidaknya jika berlaku perkara yang tidak diingini mereka tidak panik dan mampu mengatasinya," ujarnya.

Arus kemodenan yang menyebabkan nilai kejiranan semakin luntur harus dikembalikan semula. Ini boleh dilakukan dengan mengenali jiran terdekat, ketua kampung atau ahli jawatankuasa kawasan serta nombor telefon mereka. Sekiranya berlaku kemalangan atau jenayah, individu boleh mendapatkan bantuan mereka.

Sekiranya terdapat perkara mencurigakan atau perasaan takut, segera hubungi polis. Kebiasaannya kata hati pertama itu benar dan harus dipercayai. Jangan berasa bersalah untuk menganggap seseorang mungkin berbahaya. Ini kerana kadang-kadang lelaki yang sopan atau mempunyai wajah yang baik sebenarnya mempunyai niat yang buruk. Jadi keselamatan itu lebih penting daripada keramahan orang yang tidak dikenali.

Perkara yang tidak diketahui wanita, kebanyakan jenayah berlaku disebabkan diri sendiri. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan adalah mengetahui sama ada anda menjadi tarikan kepada penjenayah. Misalnya, kejadian pecah cermin kereta yang sering berlaku disebabkan ada pemilik kenderaan meletakkan barang berharga seperti komputer riba, beg tangan, dompet, kasut, pakaian atau apa saja yang boleh menyumbang perasaan ingin tahu kepada penjenayah.

Bukan itu saja wanita yang sering menggunakan kemudahan awam turut menjadi mangsa penjenayah kerana mereka berang­gapan golongan ini mudah diperdaya, tidak melawan dan mempunyai nilai.

Selain itu, wanita juga patut mengelak berada di tempat sunyi secara berseorangan selain menjaga batas berpakaian supaya tidak mendorong kepada rangsangan penjenayah. Walaupun cara berpakaian tidak boleh dijadikan ukuran kepada suatu kes jenayah, wanita dan remaja perempuan juga sukar untuk menafikan risiko mereka menjadi mangsa rogol, berbanding lelaki yang terdedah kepada samun, rompak dan ragut.

Malah kecenderungan penjenayah untuk mendekati wanita yang seksi berbanding mereka yang berpakaian menutup penuh sememangnya tinggi kerana akan timbul anggapan wanita begini mudah didekati.

"Bagi mengelak kejadian buruk atau mempertahan diri, wanita seharusnya mempunyai senjata yang dapat digunakan ketika berlaku ancaman. Senjata ini bukan semestinya benda tajam seperti pisau, sebaliknya semburan lada hitam, wisel, payung, kunci dan kasut dapat dijadikan senjata segera untuk menyelamatkan diri. Sekiranya diugut mereka seharusnya mempunyai dompet palsu untuk diserahkan kepada penjenayah," ujar­nya.

Perkara paling penting dan harus dielakkan adalah jangan berada di tempat yang salah, pada masa yang salah dan dengan individu yang salah kerana semua ini akan mengundang bahaya. Wanita juga sebolehnya harus mengetahui kemahiran mempertahankan diri yang diperoleh menerusi bengkel atau seminar.

Ini kerana kemungkinan seni bela diri seperti karate, silat atau taekwando yang dipelajari tidak dapat digunakan ketika dalam keadaan bahaya disebabkan panik dan takut.

Sasaran penjenayah

Penjenayah juga mempunyai senarai atau sasaran individu yang mungkin menjadi fokus dalam aktiviti jenayah mereka. Antaranya wanita yang kelihatan sungguh mesra, peramah, mereka yang tersesat jalan, pelupa atau mabuk. Golongan ini senang dimanipulasi dan dijadikan mangsa penjenayah.

Ujarnya, penggunaan gajet seperti telefon bimbit sering mengundang bahaya kepada wanita. Ini kerana penjenayah akan mencari wanita yang leka atau sedang menggunakan telefon bimbit dan fon telinga kerana mereka tidak mengambil tahu keadaan persekitaran.

"Bagi mengelak ancaman jenayah, wanita dinasihat­kan tidak menggunakan telefon bimbit atau menghantar pesanan ringkas ketika berjalan kerana ia bakal mengundang padah. Penggunaan telefon juga akan menyebabkan wanita tidak sedar yang dia sedang diekori," katanya.

Tuan Maz­lan yang juga Ahli Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menasihatkan wanita supaya berhati-hati ketika berada di parkir kereta kerana kawasan ini menjadi lokasi popular penjenayah. Apa yang boleh dilakukan adalah mengelak meletakkan kenderaan berhampiran kenderaan besar, dinding atau tiang kerana ia biasanya menjadi tempat persembunyian pemangsa.

Akhir sekali, seseorang yang 'digari' iaitu mereka yang sedang mengangkat beg, barang atau menggendong kanak-kanak antara sasaran penjenayah. Untuk keselamatan, pastikan anda berteman dan jika barang terlalu banyak, minta pekerja kedai atau pengawal keselamatan membantu membawa barang ke kereta.

Selain mengetahui sasaran penjenayah, wanita harus berhati-hati ketika berada di lokasi tertentu seperti tempat letak kenderaan, lif, meja makan dan perhentian bas kerana ia biasanya menjadi tumpuan. Kelalaian akan menyebabkan anda menjadi mangsa. Terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti ketika berada di lokasi ini antaranya:

Parkir kenderaan

1. Pilih kawasan letak kereta yang selamat

Jika anda mempunyai pilihan, letak kenderaan di kawasan yang mempu­nyai sistem keselamatan seperti kamera litar, peronda, berpagar, di bawah cahaya lampu terang, berhampiran laluan pejalan kaki dan pintu masuk. Elakkan daripada menjawab atau menggunakan telefon ketika berjalan ke dalam bangunan.

2. Jalan terus dan jangan berlengah

Sebaik saja meletak kenderaan, jangan terus matikan enjin, perhatikan persekitaran dulu. Jika anda selesa, barulah matikan enjin dan keluar dengan cepat dan tidak berlengah-lengah. Sebaik keluar, kunci dan terus beredar menggunakan laluan kenderaan ke destinasi anda. Jangan lalu di antara celah kenderaan di situ.

3. Pastikan kereta dikunci

Pintu dan tingkap mesti sentiasa dikunci supaya penjenayah tidak boleh mencapai pemegang pintu dari luar kereta. Sejurus masuk ke dalam kereta, kunci segera pintu menggunakan kekunci pusat atau automatik.

4. Sorok barangan berharga

Jangan biarkan barang berharga seperti dompet, komputer dan beg bimbit terbiar di atas kerusi atau dapat dilihat dari luar. Ini mengundang pencuri memecah ­cermin tingkap dan meragut barangan berharga. Sebaiknya, sorok atau simpan di dalam but atau di tempat selamat.

5. Pastikan anda boleh melihat kereta

Jika berhenti sebentar untuk membuat pembayaran melalui mesin bayar automatik, cuba letakkan kenderaan anda paling hampir dengan mesin itu. Sediakan wang secukupnya supaya pembayaran dapat dilakukan dengan cepat. Perlu diingatkan, walaupun mesin itu dekat dengan kenderaan, anda hendaklah matikan enjin dan mengunci kenderaan. Jangan biarkan ia hidup walaupun sebentar.

6. Jangan letakkan kereta di tempat tersorok

Lori, van dan kenderaan berat lain menjadi tempat untuk penjenayah bersembunyi. Justeru, elak daripada meletakkan kereta di sebelah kenderaan lain atau di sebalik tiang atau tembok.

7. Masuk segera

Buka pintu dan masuk ke dalam kereta dengan segera tanpa berlengah. Perbuatan menanggalkan kot atau me­nyusun barang yang dibawa masuk mendedahkan anda kepada bahaya untuk diserang.

8. Imbas kawasan letak kereta

Apabila hendak pulang ke kereta, imbas persekitaran terlebih dulu. Waspada terhadap individu yang mencurigakan terutama yang duduk di dalam kenderaan sambil memerhatikan anda kerana mereka mungkin penjenayah yang menanti peluang atau merancang melakukan jenayah.

9. Pastikan anda masuk ke dalam kenderaan dengan meletakkan pinggul dulu kemudian kaki.

Ini kerana sekiranya anda diserang anda boleh menggunakan kaki untuk mempertahankan diri.

10. Kembali ke tempat selamat jika diekori

Jika merasa anda diekori ketika hendak ke kereta anda, segera kembali ke tempat yang lebih selamat. Cuba minta bantuan kawan atau kenalan untuk menemani anda ke kereta.

11. Pastikan kunci sentiasa di tangan

Pegang kunci kereta sehingga anda sampai ke destinasi. Begitu juga ketika hendak kembali ke kereta. Anda tentunya tidak mahu teraba-raba mencari kunci dan memberi peluang penjenayah menyerang dari belakang.

Lif

1. Elak menggunakan lif jika ada orang yang meragukan di dalamnya.

2. Wanita dinasihatkan supaya berada di hadapan pintu lif bukannya di belakang. Ini memudahkan sekiranya berlaku perkara tidak diingini dan senang melarikan diri.

Perhentian bas

1. Ambil tempat duduk paling belakang atau akhir. Jangan sesekali membiarkan ada individu lain di belakang anda kerana ini akan mengundang perkara tidak diingini.

2. Sekiranya ada individu mencurigakan, elakkan daripada duduk berhampiran dengannya. Pastikan beg tangan atau barang berharga berada dalam keadaan baik.

Mesin ATM

1. Jangan mengambil wang ketika tiada orang atau pada waktu malam.

2. Jangan keluarkan jumlah wang yang banyak sebaliknya guna kaedah pemindahan atau membayar bil menerusi dalam talian.

3. Sekiranya ada individu mencurigakan pergi ke kaunter lain atau bawa sesiapa menemani anda.

Meja makan

1. Pastikan cari meja di bahagian dalam dan bukan tepi kaki lima jalan.

2. Selepas duduk pastikan beg tangan diletakkan di atas riba dan bukannya di kerusi kosong.

3. Elakkan meletakkan telefon bimbit, kamera atau dompet di atas meja ketika sedang makan kerana ia akan menyebabkan barang berharga dicuri.

Jika bersama bayi

Semasa meletakkan bayi ke dalam kereta (pastikan bayi diletakkan selepas anda memasukkan barang). Masuk ke tempat duduk kereta belakang bersama bayi dan kunci pintu kereta. Pastikan tali pinggang keselamatan dipakai pada bayi.

Kemudian lihat keadaan sekeliling dan sentiasa bersedia dengan semburan lada dan terus ke tempat duduk pemandu dan kunci kereta.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus atau latihan, boleh menghubungi Seven Layer Traning & Consultancy Sdn Bhd
(03-55236821 atau 03-61858260)

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Bunjut cantik kayu arang

Posted: 18 Jun 2013 05:27 AM PDT

Peti sejuk akan meninggalkan bau kurang menyenangkan terutama apabila diisi pelbagai jenis makanan kering seperti ikan masin, belacan atau durian. Bau ini turut menyebabkan ia melekat pada makanan lain dan memberikan rasa kurang enak.

Ada pelbagai cara untuk menghilangkan bau peti sejuk antaranya menggunakan kayu arang. Ini kerana bahan ini penyerap bau terbaik kerana mengandungi 85 peratus karbon aktif yang ada pada liang seni kayu arang yang terbentuk ketika proses pembakaran pada suhu tinggi.

Kebaikan kayu arang mula diketahui seawal 1,500 Sebelum Masihi (SM) apabila masyarakat Mesir menggunakan arang sebagai medium penyembuh luka dan pembersih usus. Ini terbukti apabila ahli perubatan pada tahun 460 SM, Hipokrates menggunakan bahan berwarna hitam itu untuk merawat penyakit sawan, klorosis dan penyakit berjangkit disebabkan bakteria yang dipanggil antraks. Kaedah rawatan ini banyak menampakkan hasil, sekali gus menyelamatkan banyak nyawa.

Lantaran kemahiran manusia semakin tinggi, sisa kayu terbakar itu kini diubah suai dan dipermodenkan menjadi produk kegunaan rumah seperti penyegar peti sejuk, bekas bunga, perhiasan meja dan dinding rumah. Bahkan di Taiwan, arang dijadikan baju, selimut, sarung kaki dan langsir.


Menurut pereka hiasan dalaman, Dean Daud, arang memiliki kemampuan menyerap atau menghilangkan gas beracun, ubat-ubatan, bahan kimia, bakteria penyebab jangkitan dan virus. Arang berkualiti boleh diperoleh daripada kayu putih dan cemara.


Menyedari banyak kegunaan kayu arang, Dean menunjukkan kaedah mudah menghasilkan bahan penyerap bau daripada arang. Jika sebelum ini individu terutama suri rumah meletakkan arang begitu saja, namun dengan membalut menggunakan kain diikat reben, ia menjadi lebih cantik dan mudah digunakan.

"Kayu arang yang diletakkan begitu saja mungkin boleh mengundang pemandangan kurang menarik, apatah lagi jika diambil kanak-kanak. Jadi dengan membalutnya seperti bunjut, ia nampak lebih cantik dan mempunyai nilai komersial," katanya.

Dean juga terfikir menjadikan kayu arang sebagai penyerap bau-bauan selepas menyedari bahan ini mempunyai fungsi yang sangat bagus terutama bagi menghilangkan bau-bauan.

Selain kayu arang, roti putih dan lemon juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau peti sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


'Nyawa kami jadi taruhan'

Posted: 17 Jun 2013 11:37 AM PDT

Shah Alam: Nyawa penduduk Pangsapuri Indahria terus menjadi teka-teki berikutan maklum balas yang berbeza daripada Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu 3 Rodziah Ismail.

Rodziah ketika ditemui berkata, pangsapuri berkenaan selamat untuk diduduki kerana tiada arahan mengosongkan bangunan dikeluarkan daripada sesiapa walaupun IKRAM melaporkan terdapat pergerakan tanah tempat letak kereta pangsapuri itu.


"Saya rasa penduduk tidak perlu risau kerana ia selamat buat masa ini. Pembaikan akan menyelesaikan masalah agar ia tidak berulang. Kalau tidak selamat saya dah lama suruh keluar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama penduduk, wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan IKRAM di Wisma MBSA, di sini, semalam.


Dalam satu pertemuan antara penduduk, MBSA dan IKRAM, pegawai daripada institut berkenaan membentangkan laporan bahawa wujudnya pergerakan tanah yang boleh mempengaruhi struktur pangsapuri 15 tingkat itu. Percanggahan laporan antara IKRAM dan kenyataan Rodziah menyebabkan penduduk semakin tertekan kerana tiada kata sepakat yang dicapai bagi menyelesaikan masalah ini.


Sementara itu, seorang penduduk, Shukri Suleiman, 37, yang menghadiri sesi mesyuarat itu memaklumkan IKRAM mengakui terdapat pergerakan aktif aliran air di kawasan letak kereta sehingga memberi kesan terhadap struktur bangunan.

Foto

WAKIL penduduk, Aimanudin Kamaruddin (dua dari kiri) berbincang dengan pegawai IKRAM.

"Kita keliru dengan dua kenyataan berbeza daripada Rodziah dan IKRAM. Bagaimana dia boleh kata selamat, tetapi menurut laporan yang dibentangkan IKRAM berbeza. Mana satu yang perlu kita ikut? "Dalam sesi pertemuan itu juga, IKRAM memaklumkan pergerakan yang berlaku berdekatan blok pangsapuri ini berkemungkinan besar akan mempengaruhi blok dalam masa yang akan datang.


"Jadi maksudnya nyawa kami jadi taruhan. Masalah yang sudah berlaku sejak 2009 sehingga kini tiada jalan penyelesaian dan IKRAM hanya dapat memberi maklum balas selewat-lewatnya Ogos ini. Dalam tempoh itu pelbagai perkara boleh berlaku," katanya.

Shukri berkata, terkini pihaknya dikejutkan dengan beberapa retakan pada kawasan balkoni rumah mereka dan hanya mampu berdoa agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.


Ketika tinjauan dilakukan di lokasi kejadian, beberapa wakil IKRAM turun padang melawat lokasi rekahan dan mendapan di pangsapuri itu namun usaha mendapatkan kenyataan balas gagal berikutan mereka enggan untuk mengulas lanjut mengenai keadaan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Putus kasih 3 anak

Posted: 17 Jun 2013 11:32 AM PDT

Pasir Mas: "Sebaik dimaklumkan jiran mereka (tiga beradik) mandi sungai, saya sudah memintanya mengarahkan anak saya pulang kerana bimbangkan keselamatan mereka.

"Tetapi ketiga-tiga mereka dipercayai kembali ke sungai berkenaan dengan memberi alasan tertinggal baju sebelum dipercayai mandi semula sebelum lemas," kata Nor Asikin Abdul Rahman, 41, yang kehilangan tiga anak serentak dalam kejadian di Sungai Golok di Kampung Rahmat Hilir, Rantau Panjang di sini, semalam.

Menurutnya, jiran ada memaklumkan anaknya sudah pulang ke rumah selepas diarahkan berbuat demikian tapi kemudian dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang saudara memberitahu ketiga-tiga mereka hilang di sungai.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus pulang dan sempat melihat ramai penduduk di tempat kejadian. Saya ketika itu cuma berharap mereka (anak) dapat ditemui saja.


"Ketika menerima berita itu saya hanya mampu memohon kepada Allah supaya Adik (Muhammad Syahmi), 'Baby' (Muhammad Irfan Rahman) dan abang (Muhammad Zulhilmi) ditemui segera.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Musibah brek rosak

Posted: 17 Jun 2013 11:27 AM PDT

Bentong: Berpantang maut sebelum ajal. Itu perumpamaan buat seorang pemandu treler yang terselamat walaupun treler membawa muatan tiang konkrit dipandunya terbabas sebelum terbalik sehingga remuk teruk dalam kemalangan di Kilometer 43.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran Karak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, pemandu berkenaan, Wan Mohd Nor Hassyim Abdul Aziz, 41, tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun struktur treler yang dipandunya dalam perjalanan ke Kuantan, remuk keseluruhannya.

Menceritakan semula kejadian, Wan Mohd Nor Hassyim berkata, treler dipandunya mengalami kerosakan brek ketika menuruni bukit selepas mengambil besi di Klang, Selangor.

"Lebih memburukkan keadaan, kereta di hadapan tidak memberi laluan menyebabkan saya terpaksa mengelak dengan melanggar tembok pembahagi jalan sebelum treler berpusing dan terbabas dalam longkang," katanya.


Sementara itu, jurucakap konsesi lebuh raya itu, ANIH Berhad mengesahkan kejadian berkenaan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi pusat pertanyaan dan treler berkenaan didapati terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Brad Pitt tertarik!

Posted: 17 Jun 2013 08:56 AM PDT

"Apa yang akan anda lakukan jika anda bangun keesokan harinya dan semua benda tidak berfungsi lagi. Tiba-tiba anda terpaksa berlari sepantas-pantasnya untuk menyelamatkan keluarga anda. Apa yang akan anda lakukan?" tanya Brad Pitt selaku penerbit dan juga teraju utama filem yang paling dinanti-nantikan tahun ini, 'World War Z'.

"Itulah adalah pembukaan kepada babak-babak awal 'World War Z' dan begitulah rentak ceritanya dari awal hingga akhir."

Jelas Pitt, pada awalnya dia tertarik dengan projek 'World War Z' kerana meminati aspek penceritaannya yang mengetengahkan aksi yang mendebarkan serta perlumbaan watak protagonis terhadap masa dalam misinya menyelamatkan dunia.

"Cerita tentang kemusnahan dunia ni sebenarnya agak menakutkan tetapi itu yang penonton inginkan. Semua ini juga berpunca daripada keinginan saya menghasilkan sebuah filem yang akan disukai anak-anak lelaki saya sebelum mereka berumur 18 tahun."


Sesuai dengan statusnya sebagai ayah, Pitt yang mempunyai enam orang anak bersama Angelina Jolie turut mendedahkan satu lagi faktor yang membuatkannya tertarik kepada watak Gerry Lane, seorang bekas penyiasat United Nations.


"Dia bukan seorang 'typical hero'. Sebaliknya, dia seorang ayah yang berusaha untuk memastikan keselamatan keluarganya. Seorang insan biasa yang cuba melakukan sesuatu yang luar biasa tanpa dikurniakan sebarang kuasa luar biasa.

"Dia tidak boleh terbang, dia tidak boleh membelasah orang-orang jahat. Dia hanya boleh bergantung pada akal, naluri dan pengalamannya untuk menyelesaikan masalah ini. Namun begitu, saya boleh menjanjikan filem ini adalah filem paling 'intense' dan menyeronokkan yang anda akan tonton di pawagam."

'World War Z' akan menemui penonton di pawagam bermula 20 Jun ini.

Ingin berjumpa dengan zombi World War Z? Klik disini & menangi hadiah yang menarik! Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Sajian rohani Ramadan, Syawal

Posted: 17 Jun 2013 05:15 AM PDT

Kejayaan menguasai sebanyak 77 peratus bersamaan lebih 10 juta penonton Melayu yang memilih TV3 dan TV9 sepanjang Ramadan serta Syawal tahun lalu membuatkan Media Prima Berhad (MBP) kini bersiap sedia mengatur strategi lebih utuh.

Sebagai konglomerat media popular dan menjadi pilihan ramai, maka pelbagai program menarik diatur untuk tatapan penonton pada Ramadan serta Syawal ini bersandarkan tema 'Seindah Ramadan' dan 'Anugerah Syawal'.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, TV3 berjaya menjadi saluran nombor satu pilihan penonton Melayu manakala TV9 pula di tempat kedua, tahun lalu.

"Tidak hanya pada Ramadan, kedua-dua stesen ini terus menjadi pilihan penonton ketika meraikan Syawal juga. Jadi, ia penanda aras kejayaan yang sangat baik untuk kami memantapkan usaha mengekalkan kecemerlangan ini.

Foto

KUMPULAN Bunkface muncul membuat persembahan.

Foto

AHMAD Izham yakin sembutan penonton kekal hebat.

Foto

AHMAD Izham ( tengah) bersama Adi Putra (kiri) dan Nicholas Saputra.


"Apatah lagi, sempena Ramadan dan Syawal nanti kami sudah merancang membawa penonton termasuk pengiklan yang banyak memberikan sokongan untuk terbang lebih tinggi. Justeru, bersandarkan beberapa strategi sudah dikenal pasti, maka kami di MPB dengan tema sesuai 'Terbang Tinggi Bersama Kami' sekali lagi yakin untuk terus menyediakan pelbagai program menarik untuk ditonton sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini.


"Bahkan, bukan hanya TV3 dan TV9 saja tetapi kami juga memastikan rangkuman program menarik turut diatur untuk tayangan di dua lagi stesen TV di bawah MPB iaitu 8TV serta ntv7," katanya.

Pun begitu, terdahulu Ahmad Izham muncul melakukan pembentangan sempena majlis pratonton 'Media Prima TV Networks Ramadan Raya Screenings 2013' di Hotel Alof, Jalan Stesen Sentral, Khamis lalu.

Beliau juga berkata, bagi memberi ruang kepada penonton menyaksikan pelbagai program disediakan di mana saja berada tidak kira waktu, ia boleh diikuti secara digital menerusi portal video Tonton.

"Kini, kami juga pastikan tontonan tidak hanya di televisyen semata-mata. Apatah lagi, catatan jumlah penonton Tonton di www.tonton.com.my pun menggalakkan iaitu sudah mencecah tiga juta orang.

"Apapun, perkara utama adalah program menarik disediakan mengikut cita rasa penonton. Bertepatan dengan kualiti program bertaraf dunia, ia turut disokong pembabitan pelakon terkenal tanah air," katanya.

Justeru, Ahmad Izham juga memaklumkan bahawa pelakon di negara ini hendaklah akur dengan populariti yang ada pada diri mereka untuk menjamin peluang muncul di televisyen khususnya stesen di bawah MPB.

Tarikan 'rating' barisan pelakon popular

Menyedari permintaan penonton lebih menjurus pada barisan pelakon yang popular dan sudah ada nama membuatkan TV3 dan TV9 cukup bersikap selektif. Keutamaan nyata diberikan kepada pelakon dikenali ramai.

Walaupun sering menjadi keluhan, pemilihan berdasarkan populariti pelakon oleh stesen penyiaran terbabit adalah salah satu faktor penting sebagai resipi kejayaan untuk mendapat rating tinggi.

Dalam soal ini, Ahmad Izham berkata, pemilihan pelakon popular sangat penting untuk memastikan setiap drama atau telefilem disiarkan stesen TV di bawah MPB berjaya mencatat jumlah tontonan yang tinggi.

"Pelakon yang sesuai dan popular sememangnya memainkan peranan utama. Justeru, langkah diambil ini adalah tepat kerana mengikut kehendak penonton serta demi memberikan yang terbaik.

"Atas sebab itu, campur tangan stesen televisyen untuk memilih sendiri pelakon diinginkan dalam sesebuah penerbitan itu perlu supaya drama atau telefilem dihasilkan tidak gagal

"Pun begitu, saya tahu memang ramai yang mengeluh tentang hal ini apabila stesen televisyen yang menentukan pemilihan pelakon.

Tetapi pada masa sama, kami juga tak lupa membantu pelakon yang kurang mendapat tawaran menerusi watak tertentu," katanya.

Ahmad Izham menegaskan, walaupun sering memilih nama pelakon popular, tetapi pihaknya tidak pernah mengabaikan bakat baru sebagai cara perkenalan kepada penonton.

"Walaupun kami memilih hanya yang popular, tetapi bakat pelakon itu juga mesti bagus kerana penonton sekarang sudah bijak menilai yang mana berkualiti dan sebaliknya," kata beliau.

Justeru, menjelang sambutan Ramadan dan Aidilfitri pada Julai dan Ogos depan, Media Prima meneruskan tradisi menyediakan pelbagai program menarik merangkumi pelbagai genre program seperti persembahan muzikal, dokumentari terbaik, filem, drama popular serta animasi.

Sehubungan itu, sempena Ramadan ini TV3 dan TV9 akan menyiarkan program khas seperti Qari Junior 2, Jejak Rasul 19, Bersamamu... Penuhi Impian, Madrasah 2, Sarapan Ramadan, Sembang Sahur dan Tanyalah Ustaz Edisi Ramadan.

Malah, bagi sambutan Aidilfitri pula, antara drama terbaik dan eksklusif disiarkan TV3 ialah Karlos Raya, Adnan Sempit Raya, Setia Hujung Nyawa Raya, Melodi Raya 2013, Dikir Stail, Kisah Mualah dan FC Barcelona Asia Tour 2013.

Selain itu, ntv7 pula membawakan variasi rancangan bertemakan 'Rasa Raya Rasa Ceria' iaitu konsert Westlife: The Farewell Concert, Big Bang Big Show Concert 2011 serta edisi suntingan khas anugerah Bella Awards 2013.

8TV pula akan menyiarkan program Muslim In China 2013, The 8TV Quickie Raya Special-The Will, Kpop Music Fest In Sydney dan M Countdown: Hello Japan pada Aidilfitri nanti.

Pada majlis pembentangan itu juga, MPB mengundang kemunculan penyanyi terkenal, Anuar Zain yang menghiburkan tetamu dengan lagu Lelaki Ini termasuk penampilan khas bintang ternama Indonesia, Nicholas Saputra dan Adi Putra.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bot jadi rumah pelajar

Posted: 17 Jun 2013 09:24 AM PDT

London: Seorang pelajar yang tidak mampu membayar sewa rumah membeli sebuah bot untuk didiami ketika belajar di universiti.

Langkah pelajar geografi fizikal, Joe Pearce membolehkan dia berjimat sebanyak £5,600 (RM28,000).


Bot itu dibelinya secara atas talian pada harga £800 (RM4,000), bersamaan dengan sewa dua bulan.

Pearce tinggal di bot kelas Falmouth Gypsy sepanjang tujuh meter itu selama 14 bulan ketika belajar untuk ijazah sarjananya di Universiti Aberystwyth.


Meskipun masih boleh belayar, Pearce mengaku botnya itu, Golden Cloud boleh diibaratkan sebagai khemah kayu Ia dibina di Penryn, Cornwall, 32 tahun lalu. Badannya diperbuat daripada gentian kaca. "Ketika belajar mendapatkan ijazah sarjana, saya menyedari saya tidak mampu tinggal di rumah pangsa. Saya berkongsi rumah itu dengan teman wanita saya dan kami membahagikan bayaran sewa £100 seminggu itu antara kami," kata Pearce.


Menurutnya dia membeli bot berkenaan daripada pemiliknya di Porthmadog, Wales Utara.

Foto

PEARCE tinggal selama 14 bulan di dalam botnya.

Foto

PEARCE terpaksa membongkok untuk berjalan di dalam bot.

Foto

PEARCE berdiri di hadapan botnya.

"Rakan saya teruja dan menyangka saya membeli kapal layar yang glamor. Mereka terkejut apabila melihat bot yang saya beli. Zamannya untuk belayar sudah berlalu dan bagi saya, hidup di dalamnya seperti menjalani perkhemahan mewah atau tinggal di dalam khemah kayu!" Bot itu dilengkapi enjin buatan 1970 dan bahagian tertingginya ialah 1.7 meter, Ia menyukarkan Pearce bergerak kerana ketinggiannya hampir dua meter.


"Saya menyimpannya di limbungan bot Ynslas, kira-kira 13 kilometer dari Aberystwyth dan saya akan berbasikal pergi dan balik ke universiti bagi menjimatkan wang.

"Semua orang di limbungan itu begitu baik dan membantu saya memasang bot berkenaan kerana saya tidak berpengalaman. Saya hanya perlu membayar £1(RM5) sehari untuk menyimpannya di situ.


"Kadang kala ia menjadi sesak kerana ketinggian bumbungnya tidak sesuai. Saya terpaksa membongkok. Bagaimanapun, bot itu menjadi tajuk perbualan. Saya juga mengadakan parti di dalam bot itu," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Wanita cakap loghat Perancis lepas nahas

Posted: 17 Jun 2013 09:18 AM PDT

Melbourne: Seorang pemandu bas Tasmania bercakap dengan loghat pekat bahasa Perancis selepas cedera serius di kepala dalam satu kemalangan kereta.

Leanne Rowe ialah seorang daripada 62 orang di dunia dan yang kedua di Australia disahkan menghidap penyakit yang amat jarang berlaku yang dikenali sebagai 'Sindrom Loghat Asing.' Leanne mula bercakap bahasa yang berbunyi seperti loghat Perancis apabila terjaga di Hospital Austin di Melbourne selepas patah tulang belakang dan rahang akibat kemalangan kereta.


"Ketika rahang saya mula pulih mereka berkata saya bercakap dengan bahasa tidak jelas kerana ubat yang saya makan," katanya dalam wawancara dengan stesen televisyen ABC.

Tetapi, selepas lapan tahun pulih, masalah itu masih berterusan dan loghat bahasa Perancisnya masih pekat.


Leanne. anggota tentera simpanan sebelum kemalangan berkata, dia semakin biasa dengan keadaan itu.


"Ia membuat saya begitu marah kerana saya orang Australia, bukan Perancis. Saya tidak berdendam dengan orang Perancis," katanya.

Anak Leanne, Kate Mundy kini banyak bercakap untuknya di tempat awam.


"Ia banyak menjejaskan kehidupannya. Orang ramai hanya melihatnya dari segi jenaka dan berpendapat ia menarik. Tetapi, saya sendiri melihat kesannya ke atas ibu saya," kata Kate.

Doktor keluarga mereka, Robert Newton percaya Leanne mengalami Sindrom Loghat Asing teruk dan mengaku tidak pernah berdepan keadaan seperti itu.


"Dia datang kepada saya dan bercakap dalam loghat bahasa Perancis yang pekat. Saya terkejut. Memang dia belajar bahasa Perancis di sekolah, tetapi tidak pernah ke Perancis dan langsung mempunyai rakan orang Perancis."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Jangan ganggu dia..'

Posted: 17 Jun 2013 10:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Jangan ganggu Paul Revington dan pihak pengurusan perlu berhenti daripada bermain politik.

Itu desakan seorang pemain kebangsaan yang berharap pengendali skuad hoki negara itu tidak diganggu lagi selepas beliau bersetuju untuk menarik balik keputusan meletak jawatan.


Bagi pemain berkenaan yang enggan namanya di dedahkan, Revington tahu apa yang dilakukannya dan beliau sememangnya tidak suka diganggu ketika menjalankan tugas sebagai ketua jurulatih.

"Sebagai pemain kami memahami apa yang dimahukan oleh Revington dan memang benar beliau tidak suka mana-mana pihak mengganggunya ketika bersama skuad negara kerana ia mungkin hanya akan menjejaskan tumpuannya.


"Kami tidak nafikan beliau seorang serius tetapi kadang kala boleh di bawa berbincang. Apa yang dilakukannya adalah untuk kebaikan kami semua," katanya.


Mengulas lanjut, pemain senior itu berkata, pihak atasan juga tidak perlu terus bermain politik demi menjaga periuk nasi masing-masing.

Foto

PEMAIN hoki negara tetap berlatih walaupun tanpa kehadiran Revington.

"Saya tak nafikan ada individu dalam MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) menjalankan tugas untuk kepentingan tertentu," katanya.


Malah pemain yang sering mewakili skuad negara itu jelas tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Majid Manjit Abdullah yang mahu melantik bekas jurulatih negara, Sarjit Singh sebagai ketua jurulatih sekiranya Revington benar-benar mahu berundur.

"Tanyalah kepada semua yang arif dengan dunia hoki tempatan, mereka pasti kenal siapa sebenarnya Sarjit.


"Adakah kita mahu melantik seorang jurulatih bermasalah untuk membimbing skuad negara? Sudah pasti tidak.


"Saya pun pasti rata-rata rakan sepasukan pasti tidak bersetuju jika Sarjit dilantik sebagai ketua jurulatih.


"Kenapa beliau (Majid) tiba-tiba 'petik' nama Sarjit? Itu kena tanya beliau sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Khairy tak mahu bazir wang rakyat

Posted: 17 Jun 2013 10:05 AM PDT

Putrajaya: Masih belum ada sebarang keputusan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung pembinaan velod rom tertutup bertaraf antarabangsa.

Beliau menegaskan, biarpun ada sentimen kenegerian berhubung pembinaan velodrom itu di Negeri Sembilan, Khairy berkata banyak aspek perlu diambil kira kerana ia wang rakyat. Katanya, apa yang dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad adalah tidak tepat justeru beliau sudah meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong untuk menegur Naim.


"Kenyataan yang dibuat Naim bukan pada tempatnya kerana keputusan pembinaan velodrom itu adalah keputusan kerajaan dan KBS.

"Saya tidak hadir pada perbincangan minggu lalu dan ia hanya di peringkat awal perbincangan berhubung pembinaan velodrom itu sama ada di Nilai atau mengikut cadangan daripada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) di Cheras.


"Biarpun ada sentimen kenegerian, ini adalah duit rakyat tapi sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya perlu melihat perkara ini secara menyeluruh kerana jika dapat bina dua buah velodrom siapa yang tak nak, tapi kerajaan juga ada kekangan," katanya. Sebelum ini, Naim pernah mengeluarkan kenyataan cukup hanya satu velodrom bertaraf dunia dibina dengan bajet selebihnya disalurkan kepada negeri-negeri bagi membina velodrom asas untuk kemudahan latihan pelumba di setiap negeri. Sukan berbasikal negara sebelum ini menerima perkhabaran gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan velodrom pada Bajet 2013. Namun perkara itu turut mendapat perhatian DBKL yang berhasrat mahu meruntuhkan Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dan menggantikannya dengan velod rom tertutup bernilai RM80 juta yang dijangka dibina berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved