Isnin, 19 Disember 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Produk berkualiti, reka bentuk menarik

Posted: 19 Dec 2011 05:18 AM PST

AKHBAR lama biasanya dibuang atau dibuat kertas pembalut makanan, namun bagi kaum ibu di Kampung Janda Baik, Bentong, bahan buangan itu mempunyai nilai yang tersendiri dan boleh menghasilkan pendapatan sampingan.

Walaupun sentiasa sibuk dengan tugas menguruskan rumah tangga, kaum ibu ini masih mempunyai masa dan tenaga untuk 'melontar' idea kreatif menghasilkan produk kraf daripada kertas surat khabar, majalah, rotan dan daun mengkuang yang tidak mempunyai nilai pada pandangan sesetengah pihak.

Kesempatan penulis bertemu kumpulan 'wanita kreatif' ini sempena program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M)-Pahang baru-baru ini mengungkap keunikan empunya jejari kreatif ini dalam menghasilkan bakul sampah, pasu bunga, kotak tisu, bakul telur dan bakul hiasan daripada bahan buangan ini.

Bagi memenuhi masa senggang selepas selesai urusan rumah tangga, golongan ini mengambil kesempatan berkumpul dan mengadakan kelas kraftangan dengan bimbingan tenaga pengajar Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah.


Sejak lebih lima bulan lalu, wanita termasuk pelajar tidak melepaskan peluang mendapatkan bimbingan daripada 'guru' berkenaan yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar sehingga menghasilkan produk berkualiti dengan reka bentuk yang menarik.


Lebih menarik, ketika musim perkahwinan, kaum ibu ini tidak menang tangan menyiapkan bakul telur daripada surat khabar yang ditempah dalam jumlah besar, sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada mereka.

Konsep tolong-menolong sesama jiran ini jelas 'mewarnai' kehidupan seharian mereka, malah beberapa hari dalam seminggu mereka berkumpul dan menyiapkan kerja tangan ini.

Bagi Jasmani Abdul Malik, 31, walaupun memiliki kemahiran dalam bidang jahitan, dia tetap berminat membuat produk kraftangan bagi menambah pendapatan.

Ibu kepada dua anak ini berkata, kebanyakan suri rumah kini semakin aktif menjalankan aktiviti sampingan yang dapat meningkatkan lagi pendapatan keluarga.

"Walaupun sibuk menjahit, saya curi-curi masa belajar membuat kraftangan daripada kertas surat khabar dan majalah yang selama ini dibiarkan 'berlonggok' di sudut rumah.

"Tidaklah susah mempelajarinya, malah ia tidak memerlukan modal yang besar kerana hanya menggunakan bahan asas, gunting, gam dan varnis untuk mengilatkannya supaya kelihatan menarik dan tahan lebih lama," katanya.

Jasmani berkata, walaupun produk itu kelihatan mudah untuk dihasilkan, kerja melipat dan menggulung kertas yang dililit pada lidi tetap memerlukan ketelitian bagi mengelakkan kertas yang digulung longgar, sekali gus menyebabkannya 'mudah patah'.

"Ada masanya bosan juga kerana beratus-ratus gulung kertas perlu dibuat terlebih dahulu sebelum membentuknya menjadi produk yang kita hajatkan seperti bekas pasu bunga, kotak tisu, bakul telur atau bakul kain.

"Bagaimanapun, daripada rasa bosan itulah terbitnya kepuasan kerana menghasilkan produk sendiri, malah boleh dijual pula kepada pengunjung inap desa di sini," katanya.

Katanya, keindahan kraf tangan daripada kertas akhbar lama setanding barangan yang diperbuat daripada rotan atau buluh jika kena cara pembuatannya.

"Saya melakukannya hanya untuk mengisi masa lapang. Namun siapa sangka bakul yang dihasilkan akhirnya menarik hati jiran tetangga dan mereka sama-sama ingin mempelajarinya," katanya.

Jirannya, Sarimah Mat Daud, 39, berkata, kebiasaannya mereka berkumpul pada sebelah petang selepas waktu Asar untuk berkongsi ilmu dan bertukar pendapat serta mencari kaedah meningkatkan lagi pengeluaran produk kraftangan itu.

"'Daripada duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti lain saya rasa lebih baik membuat kraftangan bakul, tempayan dan pasu daripada akhbar lama kerana bahan ini mudah diperoleh.

"Kebiasaannya, kami membuat demonstrasi kepada pengunjung inap desa dan berkumpul di rumah pemilik inap desa terbabit," katanya.

Suri rumah sepenuh masa yang juga ibu kepada enam cahaya mata ini banyak menghasilkan bakul hiasan dan bekas telur dan pernah menerima tempahan untuk majlis perkahwinan.

"Walaupun jari kebas kerana asyik melilit kertas ini untuk dijadikan gubahan, ia satu aktiviti yang menyeronokkan kerana kita dapat menggunakan idea dan kreativiti tersendiri dalam menggubah barangan yang kita minat.

"Saya harap lebih ramai kaum ibu di kampung ini menceburi aktiviti ini kerana ia boleh menjana pendapatan keluarga jika dijual kepada tetamu di sini terutama pelancong asing yang sudah pasti terpikat dengan hasil seni ini," katanya.

Menurutnya, sebuah bakul daripada kertas akhbar lama dapat disiapkan dalam masa tiga hari dan dijual pada harga antara RM12 hingga RM45 sebuah manakala tudung saji antara RM40 hingga RM50.

Bagi Siti Rose Ahmad, 52, aktiviti yang pada peringkat awalnya dilakukan secara suka-suka akhirnya menjadi sumber kewangan tambahan kepada keluarganya apabila kerap menerima tempahan daripada pihak luar.

"Pada awalnya, saya sekadar suka-suka menghasilkan barangan ini tetapi lama-kelamaan ia memberi keseronokan pada saya, tambahan pula boleh memberi keuntungan kepada keluarga.

"Biasanya pada musim perkahwinan, permintaan untuk bakul telur sangat tinggi, kadang-kadang boleh terlupa makan kerana terlalu sibuk,"' katanya.

Bercerita lebih lanjut, Siti Rose berkata, pada peringkat awal dia hanya menghasilkan barangan yang kecil kerana kurang yakin dengan kemampuan dirinya selepas belajar membuat kraf itu melalui jirannya.

"'Pada peringkat awal dulu, saya mengambil masa agak lama kadang-kadang sampai dua hari untuk menyiapkan satu bakul telur yang kecil. Tapi kini boleh menyiapkan dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh beberapa jam saja," katanya.

Bagi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jengka, Nur Ain Norisam, 18, aktiviti itu dapat meningkatkan kemahirannya dalam bidang kraftangan selain memenuhi masa lapangnya ketika pulang bercuti.

"Saya memang berminat dengan kerja kraftangan ini terutama daripada surat khabar dan majalah lama kerana ia adalah satu seni kreatif yang boleh menghasilkan pendapatan sampingan keluarga.

"Walaupun saya baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini, saya tidak menganggapnya sebagai satu pembaziran kertas atau masa kerana ia adalah satu kaedah menggunakan semula bahan kitar kitar semula.

"Daripada kita menjualnya kepada orang lain atau menggunakannya sebagai kertas bungkusan, lebih baik kita jadikannya sebagai produk yang mendatangkan hasil dan boleh dijual pula kepada mereka yang berminat dengan keunikan dan keasliannya," kata pelajar jurusan Diploma Sains Komputer ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Cuti sekolah masa melatih anak berdikari

Posted: 19 Dec 2011 04:48 AM PST

SEINGAT Saufi, setiap kali cuti sekolah, ibunya menghantar dia pulang ke kampung rumah neneknya di utara. Di situ, dia menghabiskan cuti sekolah sehingga cuti itu tamat sepenuhnya. Bukan hanya Saufi tetapi adik-adiknya juga begitu.

Memang seronok balik kampung kerana Saufi dapat lepas bebas ke sana ke mari tidak seperti di rumahnya yang sempit kerana dia tinggal di rumah pangsa. Dia juga sudah sebati berkawan dengan budak kampung yang juga saudara-maranya.
Berbasikal, berpanas atau merentas desa menjadi aktiviti Saufi sepanjang cuti sekolah.


Menghantar anak pulang ke kampung apabila cuti sekolah adalah fenomena biasa bagi ibu berkerjaya. Antara sebabnya, risau anak sendirian di rumah sedangkan sebelum itu masa mereka banyak dihabiskan di sekolah dan kelas agama.

Ibu bapa mengambil pendekatan menghantar anak pulang ke kampung kerana hati lebih tenang. Ada orang menjaga dan mereka tidak susah hati memikirkan makan pakai si anak.

Namun ada anak-anak yang merungut kerana sudahlah hari biasa jarang bertemu dan berkomunikasi dengan ibu bapa yang sibuk, cuti sekolah pun dihantar balik ke kampung!

Ada juga ahli keluarga nenek di kampung yang tidak senang kerana setiap kali cuti sekolah, orang tua itu akan kepenatan melayan kerenah cucu yang nakal dan manja. Menjaga kanak-kanak atau mengemas rumah yang berkecah bukanlah kerja yang mudah.

Anak-anak senasib Saufi sebenarnya boleh dihantar pulang ke kampung nenek mereka ketika cuti sekolah tetapi bukan begitu lama, mungkin hanya beberapa hari atau bagi cuti yang panjang, seminggu dua. Selebihnya mereka sepatutnya menghabiskan cuti dengan ibu bapa dan keluarga sendiri.

Waktu cuti sekolah, ibu bapa boleh memantau sikap sebenar anak sendiri. Melatih anak berdisiplin dari segi tanggungjawab terhadap keluarga dan juga terhadap Allah.

Ketika ini, ibu bapa (walaupun kedua-duanya bekerja) boleh mula melatih ciri-ciri kedewasaan kepada anak terutama sekiranya mereka sudah 11 atau 12 tahun.

Bagi ibu yang berkerjaya, tidak mendapat cuti pada cuti sekolah, apa yang boleh anda lakukan?

Cuti sekolah ini elok melatih anak sama ada lelaki atau perempuan membuat kerja asas di dapur. Ajar cara memasak nasi dan kemudian beri tanggungjawab memasak nasi kepada mereka manakala anda sendiri sebagai ibu menyediakan lauk yang ringkas sebelum pergi kerja.

Kemas rumah. Sekiranya hari biasa anak-anak anda kepenatan dengan jadual sekolah yang padat, cuti sekolah bahagi-bahagikan tugas kepada mereka untuk mop lantai, mengemas bilik dan ruang tamu atau mengganti langsir baru. Jangan bezakan anak lelaki dan perempuan. Beri tugas sama rata.

Aktiviti berfaedah tidak semestinya ke kem cuti sekolah. Anda boleh merancang aktiviti sekeluarga walaupun tidak perlu keluar rumah. Aktiviti ini tidak perlu menunggu musim hari raya. Cat baru ruang tamu bersama ayah pada hujung minggu.
Ibu pula menyediakan hidangan lazat selepas penat bekerja.

Memasak? Bukan hanya masak kek atau puding yang sesuai dijadikan aktiviti keluarga pada hujung minggu tetapi juga masakan lain. Anda juga boleh merancang majlis barbeku sekeluarga. Jika masa terhad, biarkan anak membantu menjayakannya.

Ambillah hati anak anda pada waktu cuti sekolah ini. Mungkin selama ini hubungan anda dan anak agak jauh kerana kesibukan masing-masing, gunalah cuti sekolah untuk merapatkannya kembali.

Bawa anak ke kelas pengajian agama di masjid atau surau. Dengar pengajian agama bersama-sama sama ada kuliah siang mahupun malam.

Riadah. Joging bersama-sama di taman beberapa jam pada waktu petang atau pagi pada hujung minggu sangat menyeronokkan. Bawa bekalan makanan dan selepas itu berkelah bersama-sama.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Hanya sehelai baju berjaya diselamatkan

Posted: 18 Dec 2011 10:23 AM PST

KLANG: "Memang terlalu sedih, hanya sehelai baju saja dapat diselamatkan. Barangan lain termasuk kelengkapan persekolahan anak untuk sesi tahun depan rentung," kata Rubiah Jantan, 44, mangsa kebakaran di Lorong Ahmad, Kampung Rantau Panjang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, lapan rumah binaan separuh kayu dan batu sederet turut musnah membabitkan 27 mangsa.


Rubiah yang juga seorang ibu tunggal, ketika ditemui sebak lebih-lebih lagi mengenangkan peralatan sekolah yang dibeli untuk dua anaknya, Muhammad Iswan Alias, 15, dan Mohd Hafis Alias, 13, musnah sekelip mata.

"Pada 24 November lalu, saya mendapat baucar RM360 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak untuk membeli kelengkapan sekolah.


"Baju sekolah, kasut, beg dan peralatan tulis anak-anak disediakan dan diletakkan di atas meja di ruang tamu.


"Api marak sangat cepat iaitu kira-kira 15 minit dan kami hanya mampu menyelamatkan nyawa dan kad pengenalan saja," katanya.

Menurut Rubiah dia melihat api sedang marak di sebuah rumah berhampiran sebelum memaklumkan hal itu kepada jiran lain.


Rubiah yang menetap di Kampung Rantau Panjang selama 14 tahun tidak menyangka ditimpa kejadian malang itu.

Ketika ini, Rubiah dan mangsa kebakaran ditempatkan sementara di Rumah Komuniti Anti Dadah Daerah Klang di sini.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Ishak Bakar, ketika dihubungi berkata, punca kebakaran masih disiasat dan anggaran kerugian adalah RM500,000.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil turut turun padang menziarahi mangsa kebakaran itu untuk menyampaikan bantuan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiga beranak diikat penyamun

Posted: 18 Dec 2011 10:21 AM PST

HULU SELANGOR: Tiga beranak berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Bandar Sungai Buaya, di sini, dimasuki tiga penyamun bersenjatakan parang dan pemutar skru sebelum mengikat tangan dan kaki mereka.

Difahamkan, mangsa yang sedang tidur terkejut sebaik menyedari kehadiran penyamun terbabit sebelum barang berharga milik keluarga mangsa dilarikan dengan nilai kerugian lebih RM10,000.


Menurut sumber, mangsa hanya berjaya membebaskan diri daripada ikatan kira-kira tiga jam selepas kejadian sebelum ke Balai Polis Bukit Sentosa membuat laporan, kelmarin.

"Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, pasangan suami isteri dan anak perempuannya sedang tidur di dalam dua bilik berasingan sebelum si suami mendengar bunyi bising.


"Mangsa cuba keluar untuk melihat apa yang berlaku, namun terkejut sebaik menyedari kehadiran penyamun terbabit sebelum mereka mengacukan parang dan pemutar skru kepada mangsa," katanya.


Sumber berkata, mangsa diarah masuk semula ke dalam bilik sebelum kedua-dua tangan dan kaki mangsa dan isteri diikat dengan dawai.

"Suspek yang dipercayai warga asing itu mendesak mangsa menyerahkan barang berharga. Mereka menarik isteri mangsa menunjukkan tempat simpanan barang kemas.


"Sebaik mengambil semua barang kemas milik mangsa, mereka menolak wanita terbabit masuk ke dalam bilik anak perempuannya dan turut mengikat tangan dan kaki anaknya itu," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan dipercayai dipandu seorang lagi suspek yang menunggu di luar rumah.


Menyedari suspek melarikan diri, mangsa berusaha melepaskan diri dan berjaya meleraikan ikatan tiga jam kemudian.


Sumber berkata, mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan mendapati barang kemas, barangan elektrik dan wang tunai bernilai lebih RM10,000 dilarikan suspek.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bayi dibungkus, ditembak ibu

Posted: 18 Dec 2011 08:50 AM PST

ILLINOIS: Seorang wanita dipercayai membunuh teman lelaki dan tiga anaknya di sebuah bandar kecil di sini sebelum menembak dirinya.

Gambar yang dirakam 10 bulan lalu menunjukkan Sara McMeen dan Daniel Warren tersenyum bersama-sama-sama anak yang baru dilahirkan, Maggie.


Ketiga-tiganya mati bersama dengan dua anak Sarah yang lain, Skyler, lapan dan Ian, tujuh, dalam kes pembunuhan dan bunuh diri yang melenyapkan seluruh keluarga terdiri daripada lima orang itu di Emmington, Illinois.

Seorang jiran menceritakan bagaimana Sarah meletakkan Maggie di atas tanah, menyelimutkannya dan kemudian menembaknya dari jarak dekat dengan sepucuk pistol separuh automatik. Dia sebelum itu dipercayai sudah menembak mati teman lelakinya, Warren, 29, dan dua anaknya, lapor akhbar Pontiac Daily Leader.


Jiran itu lari untuk meminta bantuan tetapi apabila kembali, Sarah juga sudah mati selepas menembak dirinya.


Jiran itu memberitahu Daily Leader, dia keluar dari rumah apabila mendengar bunyi tembakan dan melihat Sarah membungkus anaknya dengan selimut di atas tanah di belakang rumahnya.

Apabila jiran berkenaan bertanya mengenai keadaannya, Sarah menjawab: "Tidak, semuanya tidak OK." "Dia kemudian membongkok dan menembak bayi itu," kata jiran berkenaan.


Pihak berkuasa tidak mengesahkan laporan Daily Leader tetapi berkata, pembunuhan itu adalah kes bunuh dan bunuh diri.

Ia berlaku di sebuah rumah di Emington, bandar yang mempunyai hanya 100 penduduk, tempat Skyler dan Ian, dia anak Sarah yang lain, dilihat turun dari bas sekolah tidak lama sebelum dibunuh. - Agensi

Full content generated by Get Full RSS.

Wanita tua mati dibakar dalam lif

Posted: 18 Dec 2011 08:45 AM PST

NEW YORK: Seorang wanita mati semalam selepas seorang lelaki berpakaian seragam pekerja pemusnah serangga menyemburnya dengan minyak sebelum membakarnya dalam lif sebuah bangunan.

New York Daily News melaporkan, wanita itu, Delores Gillespie, hendak melangkah keluar dari lif di kediamannya di Prospect Heights, Brooklyn apabila bertembung dengan lelaki itu Kamera keselamatan merakam gambar penyerang menyembur Delores dengan minyak dan kemudian menyalakan api serta membakar mangsa.


Delores yang berusia 64 tahun, disahkan mati di tempat kejadian. - AP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Empat nyawa melayang

Posted: 18 Dec 2011 11:14 AM PST

KOTA TINGGI: Mereka baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bersama-sama meninjau peluang melanjutkan pengajian di pameran pendidikan dan kerjaya di Johor Bahru.

Bagaimanapun, semua harapan itu terkubur apabila empat daripada enam remaja yang menaiki Toyota Innova terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna itu melanggar bucu penghadang jalan serta papan tanda lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 90 meter.


Lebih mengerikan, bumbung kenderaan itu terkopak menyebabkan seorang mangsa tercampak keluar dalam kejadian jam 5.30 petang di Kilometer 33.7 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, dekat sini, kelmarin.

Empat yang maut ialah Ng Sin Yun, 17, dari Jalan Kelu Ramu, Kota Kecil; Winnie Ng, 18, dari Jalan Moi Hiang, Kota Kecil; Tey Jia Xin, 17, dari Kampung Lukut Cina serta Ching Hui Sean, 18.


Ng yang duduk di tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan itu dan mati di tempat kejadian.


Pemandu, Victor Ng Wee Tai, 17, cedera dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke hospital swasta di Johor Bahru atas permintaan keluarga.

Rakan mangsa, Tee Heng Chong, 17, berkata keenam-enam rakannya itu baru selesai menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di sini.


"Kami mengunjungi pameran pendidikan dan kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor Bahru dan ketika kejadian, dalam perjalanan pulang.

"Kami pergi dengan menaiki Innova berkenaan manakala yang lain menaiki bas," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKT.


Menurut Tee, dia baru tiba di rumah apabila dimaklumkan kejadian itu dan amat sedih kerana apabila kehilangan empat rakan baik sekali gus.


"Keempat-empatnya bercita-cita tinggi dan semuanya mahu berjaya dalam pelajaran serta kerjaya," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Cik Mahazan Cik Aik, berkata seorang daripada mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala tiga lagi mati ketika dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).


"Semua mangsa mati akibat kecederaan pada badan dan kepala. Dua lagi mangsa masih dirawat dan keadaan mereka stabil.


"Kejadian berlaku ketika cuaca baik dan setakat ini siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan," katanya.


Menurut beliau, pihaknya juga masih menunggu untuk merekodkan kenyataan daripada mangsa terselamat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Sanggup basah kuyup

Posted: 18 Dec 2011 11:04 AM PST

MELAKA: Hujan sepanjang berlangsungnya Konsert Gegaria Harian Metro (KGHM) 2011 di Dataran 1Malaysia, Klebang, dekat sini, kelmarin, tidak menghalang lebih 30,000 penonton membanjiri dataran berkenaan menyaksikan persembahan artis bermula jam 9 malam.

Malah, pengunjung tidak berganjak biarpun dibasahi hujan sepanjang konsert hampir empat jam yang dimeriahkan dengan celoteh pengacara Along Cham dan Didie Alias.


Persembahan dimulakan pendatang baru industri seni negara, Awie Rafael yang menghiburkan penonton dengan tiga lagu iaitu Bila Aku Jatuh Cinta, Pulanglah dan Fell nyanyian Robbie Williams.

Suasana bertambah meriah dengan jerit pekik penonton apabila Najwa Latif mendendangkan lagu popularnya Cinta Muka Buku. Biarpun masih baru, Nawja bijak menarik perhatian peminatnya apabila turun dari pentas dan bersalaman dengan peminat dalam gerimis.


Penampilan Anuar Zain mendendangkan lagu Ku Berjanji Kerna Cinta dan Cinta Harus Memiliki memukau penonton dengan suara lunaknya.


Disusuli gabungan Black bersama kumpulan Moderate menghiburkan penonton dengan beberapa lagu antaranya Sofea Jane, Kopi Dangdut dan Di Alam Fana Cinta.

Suasana dataran bertukar hangat apabila kumpulan XPDC tampil menutup tirai konsert mempersembahkan lagi popular mereka, termasuk Ntahapapantah, Semangat Yang Hilang, Di Tepi Pantai, Apa Nak Dikata, dan C.I.N.T.A.


Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, Pengerusi Karnival Gegaria Harian Metro (KGHM) 2011 yang juga Pengarang Eksekutif (Pengeluaran), Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif (Berita), Othman Mamat.

Sementara itu, pengunjung nyata berpuas hati dengan barisan artis yang ditampilkan pada konsert berkenaan.


Isa Muda, 56, berkata, penganjuran konsert sempena KGHM itu dinantikan mereka sekeluarga yang sanggup datang dari Alor Gajah bagi menyaksikan persembahan Anuar Zain.


"Kami tiba petang tadi (kelmarin) kerana mahu menyaksikan konsert secara lebih dekat, persembahan hebat artis yang ditampilkan terutama Anuar Zain membuatkan kami tidak berganjak biarpun hujan lebat," katanya.


Sementara itu, Suria Ariffin, 38, dari Taman Sri Bertam berkata, lokasi konsert kelmarin memudahkan pengunjung.


"Pilihan lokasi tepat kerana di sini mudah meletakkan kenderaan berikutan kawasannya luas.


"Sejak tersiar laporan penganjuran konsert ini kami merancang untuk ke sini. Biar pun hujan namun ia berbaloi," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


‘Saya harus buktikan kemampuan diri’

Posted: 18 Dec 2011 06:32 AM PST

MUNGKIN sudah tiba masanya pelakon Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri menyahut cabaran melakonkan watak gadis bercinta. Ditambah usia yang kini di alam remaja, sudah pasti gadis yang mesra dengan panggilan Elfira ini perlu mencuba watak baru.

Sehubungan itu, produksi Cube Film Sdn Bhd yang diterajui pengarah berkaliber, Michael Ang nyata tidak gusar dengan kemampuan lakonan Elfira. Barangkali, sudah selalu bekerjasama membuatkan Michael arif apa yang sesuai buat si manis itu.

Justeru, buat pertama kalinya Elfira diberi kepercayaan melakonkan watak yang menuntut dia menjalin cinta menerusi telefilem menarik dan hebat, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang untuk siaran Astro Ria (saluran 104) pada Khamis ini, jam 9.30 malam.

Mampukah Elfira menjiwai watak yang pertama kali dilakonkannya itu? Apatah lagi, dia turut digandingkan bersama pelakon sinetron popular Indonesia, Randy Pangalila sebagai hero yang berjaya menawan hatinya. Apakah mereka mampu memupuk keserasian?


Elfira, 17, yang ditemui pada majlis ramah mesra di Alexis, Garden Mid Valley, baru-baru ini berkata, dia gementar juga pada mulanya. Maklumlah, pertama kali melakonkan watak bercinta yang dia sendiri tidak pernah melaluinya lagi.


"Jujur saya katakan, ia memang agak sukar untuk diri ini kerana tiada pengalaman bercinta. Saya tidak tahu macam mana perasaannya (bercinta) hingga terfikir perlu menonton lakonan pelakon lain. Apapun, tak adil juga untuk buat begitu.

"Ini kerana, jika saya menonton lakonan mereka (pelakon lain) sudah pastilah akan terikut dengan cara yang dilakukan. Jadi, mana keaslian dalam diri saya? Oleh itu, saya fikir ada baiknya berlakon dengan cara sendiri kerana lebih selesa.

"Bahkan, saya juga berbincang dengan penulis skrip apa sepatutnya dilakukan. Mujur, dia (penulis skrip) pun mengesyorkan perkara sama iaitu saya jadi diri sendiri kerana watak diilhamkan itu berdasarkan karakter saya sendiri," katanya.

Berkongsi pandangan mengenai Randy, luah si manis ini lagi, dia tak menyangka aktor dari negara seberang itu seorang yang baik dan mudah bekerjasama. Katanya, Randy juga tidak banyak songeh atau berlagak yang dirinya bagus.

"Saya senang sepanjang bekerja dengannya walaupun kami perlu melakonkan babak pasangan kekasih. Tak dinafikan, geli juga saya dibuatnya tetapi inilah cabaran yang harus disahut. Michael sudah memberikan peluang yang besar kepada saya.

"Jadi, buat apa saya mensia-siakannya. Apatah lagi, Michael sudah membawa saya keluar daripada kepompong lama. Kini, saya harus buktikan kemampuan diri," katanya yang baru memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK).

Mengulas mengenai kemenangannya, Elfira berkata, sehingga kini, dia masih berasa terkejut dan bagaikan tidak percaya dirinya yang dipilih sebagai pemenang. Menurutnya, ini kerana nama pesaing berentap dengannya adalah hebat dan berbakat.

Menurutnya, mereka semua (calon bertanding) pun sudah lama berkecimpung sebagai anak seni serta luas pengalaman. Jika dibandingkan dirinya yang masih terlalu baru itu, tentulah ada banyak yang perlu dipelajari serta diperbaiki lagi.

Apapun, Elfira berkata, dengan anugerah dimenanginya membantu bakat lakonan dimiliki terus menonjol. Akuinya, kini dia semakin dikenali sebagai pelakon dan tawaran kian bertambah. Cuma, dia tidak mahu tamak dan hanya menerima tawaran sesuai.

"Bagaimanapun, saya masih bukan seorang pelakon yang 'demand' (meletak harga). Bagi saya, bayaran yang ditetapkan sekarang ini untuk lakonan saya sudah berpatutan. Malah sebelum menang anugerah lagi, bayaran untuk lakonan saya tetap sama.

"Namun yang mengecewakan apabila ada pihak produksi yang mempertikaikan kerana ketika itu saya belum menang sebarang anugerah. Jadi, soal 'demand' pada saya bukan terletak sepenuhnya pada seseorang pelakon, tetapi ada segelintir produksi berpandangan begitu," katanya.

Elfira yang sudah tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, selain berlakon, dia juga mengatur perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Malah, kini dalam proses memilih bidang diminati.

Sinopsis Biar Mimpi Sampai Ke Bintang

TELEFILEM romantik berkisarkan percintaan remaja ini menceritakan Alya (lakonan Elfira), seorang gadis yang menghabiskan masa dengan membantu ibunya, Peah menjual ayam di pasar borong. Alya juga seorang gadis bijak yang memiliki impian.

Namun ibunya lebih selesa Alya sekadar membantunya di pasar daripada memilih melanjutkan pelajaran. Peah juga lebih mengutamakan pendidikan anak lelaki, Adib yang dianggap lebih penting untuk membantu keluarga mereka pada masa akan datang.

Biarpun hidup miskin, Alya berkawan dengan Kinah yang kaya raya tetapi kurang bijak. Sementara itu, Andy (Randy) pula adalah seorang remaja yang berasal dari Indonesia dan anak jutawan. Bagaimanapun, kehidupannya terlalu bosan dan tak seronok.

Kehadiran ibu tiri, Jenny dan dikelilingi rakan yang hanya berkawan dengannya kerana dia anak orang berada membuatkan Andy kecewa. Justeru, bagi menghilangkan kebosanan itu, dia sering melawat bekas pembantu rumahnya, Mak Yam yang sudah berhenti kerja.

Latar belakang kehidupan Alya dan Andy yang berbeza membuatkan mereka cuba mencari kelainan dengan menyamar diri menjadi 'orang lain' di laman sosial facebook (FB) iaitu Alya adalah anak orang kaya dan Andy sebagai pemuda miskin.

Apapun, pertemuan mereka kali pertama sudah membuahkan bibit cinta pandang pertama. Bermula saat itu, pelbagai perkara suka duka berlaku dalam hidup mereka hingga masing-masing semakin rapat dan tidak mampu menafikan perasaan yang hadir.

Andy berterus terang bahawa dia adalah anak kepada jutawan Hardiyanto Rasputra. Begitu juga, penyamaran Alya terbongkar dan itu mengecewakan Andy. Pemuda itu jauh hati dan menganggap Alya sama seperti gadis lain yang pernah dikenalinya.

Adakah cinta Andy dan Alya kembali bertaut? Apakah yang berlaku seterusnya dan bagaimana Andy boleh terluka dengan Alya. Jadi, telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang pastinya ada semua jawapan untuk persoalan yang berlaku.

PROFIL

NAMA PENUH: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
PANGGILAN KOMERSIAL: Elfira Loy
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1994
USIA: 17 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik
KARIER: Pelakon, model iklan
PENGALAMAN SENI: Sejak 2006
IKLAN: Motosikal Honda, Sunway Lagoon, Mee Sedap, Institut Jantung Negara, Bank RHB dan Mamee Slurrp
TEATER: Ali Baba, Ibu Zain 1 & 2
DRAMA/TELEFILEM: Chinta, Tentang Bulan The Series, Persis. Kak Long, Permata Hati, Qalesya, Persinggahan, Sanggar Cinta, Raudhah, Syurgamu Ramadhan, Waktu Rehat, Cinta Itu Buta, Air Mata Nursalina, Senja Permai, Kum Kum, Hani dan Biar Mimpi Sampai Ke Bintang
PROGRAM TV: Berani Jadi Bos (Astro Ceria), Cuti-Cuti Famili (TV1), Selamat Pagi Putera Puteri musim 1 dan 2 (TV1), Shana & Nina, Kids n Cash (TV3)
ANUGERAH: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin (ASK)

Full content generated by Get Full RSS.

Galak mohon RM500

Posted: 18 Dec 2011 06:23 AM PST

KEWUJUDAN persatuan seharusnya memberi manfaat kepada ahli dalam menjaga kebajikan. Dalam industri hiburan, banyak persatuan ditubuhkan semata-mata meletakkan matlamat ingin memperjuangkan nasib artis tempatan.

Namun ada kalangan persatuan ini hanya gah berdiri atas nama tanpa pencapaian menerusi aktiviti yang dianjurkan. Ini berbeza dengan apa yang dilakukan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengotakan janji mereka dalam mengadakan pelbagai aktiviti demi kebaikan ahlinya.

Berdepan pelbagai kontroversi termasuk masalah kewangan, Karyawan tidak putus asa mencari jalan agar aktiviti yang dirancang mencapai matlamatnya.

Perkembangan baru, Karyawan menyokong usaha kerajaan yang berbesar hati mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada warganegara yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.


Usaha kerajaan ini disambut baik Karyawan yang tidak ter-kecuali menyarankan artis tempatan mengambil peluang memohon bantuan ini.


Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, mengakui ramai artis yang tidak tahu atau mungkin tidak sedar mereka juga boleh memohon mendapatkan bantuan RM500.

"Saya percaya 90 peratus artis kita mempunyai pendapatan kurang RM3,000 sebulan. Ini termasuk sama ada pelakon, penyanyi dan pemuzik kumpulan tradisional mahupun mereka yang beraksi di kelab malam.

"Kebanyakan artis kita mempunyai pendapatan tidak menentu hingga tiada penda-patan tetap. Adanya bantuan ini, ia sekurang-kurangnya dapat menampung kehidupan artis yang berpendapatan rendah.

"Bagi Karyawan, saya me-ngucapkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan membantu mereka yang berpendapatan rendah termasuk golongan artis" katanya ketika dihubungi.

Merujuk pada bantuan itu, Freddie menjelaskan Karyawan bertindak sebagai orang tengah dalam membantu artis agar mudah memohon mendapatkan wang bantuan ini. Bagi mereka yang berminat, mereka boleh mendapatkan borang bantuan ini di pejabat Karyawan.

"Karyawan akan membantu artis dalam memberi borang dan menghantar permohonan mendapatkan bantuan ini sehingga 30 Disember ini. Agihan wang bantuan dijangka diberikan dalam tempoh sebulan dari 15 Februari 2012," katanya.

Mengenai aktiviti baru Karyawan, Freddie menyatakan, perancangan lebih tertumpu pada Biro Karyawan Muda untuk mengadakan beberapa aktiviti seperti sukan menerusi boling dan persembahan konsert.

"Ketika ini, Karyawan juga rancak mengemas kini laman sesawang kami untuk memaparkan aktiviti terbaru yang boleh disertai anggota. Untuk 2012, Karyawan merancang pelbagai aktiviti dan kami akan terus aktif demi kebajikan anggota.

"Dalam pada itu, saya difahamkan beberapa jawatan kuasa akan ditubuhkan untuk membantu industri muzik di peringkat kerajaan dan saya berkemungkinan akan terbabit sama.

"Begitu juga hubungan Karyawan bersama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) semakin baik. Atas faktor itu, kami akan terus bekerjasama dalam membantu industri muzik dan nasib artis.

"Mengenai Skim Pencen, ia masih belum boleh diteruskan kerana tiada dana. Apa yang perlu difokuskan kini adalah melakukan aktiviti yang boleh menjana pendapatan persatuan agar skim ini dapat disambung semula.

"Dalam merancang bermacam-macam aktiviti dan kerjasama pada tahun depan, saya berharap artis kita tidak melepaskan peluang dan bertindak cepat memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia ini," katanya.

Skim Pencen yang diperkenalkan Karyawan sejak lima tahun lalu terpaksa dihentikan sejak November tahun lalu akibat masalah kewangan persatuan yang
tidak mencukupi. Seramai 26 penerima dibantu di bawah skim ini yang berpeluang menerima sumbangan RM500 sebulan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rajasegram bela KOM

Posted: 18 Dec 2011 10:27 AM PST

"JANGAN kerana hanya nyamuk seekor, kelambu dibakar." Demikian sindiran pedas Ahli Majlis Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), S Rajasegram kepada pihak luar terutama bekas atlet yang tidak henti-henti mengkritik badan induk olahraga itu sejak kebelakangan ini.

Bukan mempertahankan persatuan itu, namun Rajasegram yang sering dikenali dengan sikap lantang mengkritik orang atasannya sendiri, berkata adalah tidak adil bagi bekas atlet seolah-olah terus meletakkan kesalahan di bahu semua kepemimpinan KOM berikutan beberapa kemelut yang tercetus.


Mengakui KOM sedang menghadapi kemelut dalaman ketika ini, Rajasegram berkata, pihak luar boleh mengkritik KOM, namun kritikan itu perlu lebih positif sekali gus membantu mereka untuk memperbaikinya pada masa depan.

"Jangan suka-suka lepas cakap beritahu semua kepemimpinan atasan KOM perlu undur diri kerana prestasi tidak memberangsangkan atlet kita.


"Mereka tak boleh kata begitu, kalau betul-betul menyayangi sukan olahraga, saya cabar bekas atlet ini bertanding pada pemilihan KOM akan datang," katanya.


Jelas Rajasegram, untuk mengkritik memang mudah tetapi bagi individu yang bekerja dalam badan induk olahraga itu, mereka terpaksa mengorbankan segala-galanya bagi memastikan apa yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Tahukah mereka yang kami terpaksa berkorban duit dan masa bersama keluarga? Janganlah asyik mengkritik saja. Sebab beberapa individu dalam KOM yang menimbulkan masalah, semua jadi mangsa.


"Janganlah pula ambil kesempatan daripada kemelut yang melanda KOM untuk terus mengkritik kami," katanya.

Baru-baru ini, bekas atlet negara, Zaki Sadri secara terbuka mengkritik pengurusan KOM dengan mencadangkan supaya semua pemimpin atasan berundur dengan cara terhormat iaitu dengan meletakkan jawatan dan memohon maaf kerana gagal menerajui badan induk itu selepas sekian lama.


Cadangan Zaki itu berikutan rasa kecewanya terhadap KOM yang ketika ini dilihat gagal dalam menjalankan tugas serta sering mencetuskan kontroversi.

Full content generated by Get Full RSS.

Lauretta, Arfy tunjuk taring raih emas

Posted: 18 Dec 2011 09:32 AM PST

PELUMBA berbasikal trek pelapis negara menutup tirai Kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia ACC 2011 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam dengan menyumbang dua pingat emas.

Kedua-dua pingat emas dipungut oleh Lauretta Eva Adrian dan Muhd Arfy Qhairant Amran, masing-masing dalam acara keirin remaja wanita dan lelaki.


Bagi Lauretta Eva, 17, kemenangan pingat emas itu adalah di luar jangkaan dan pingat emas pertama yang pernah dimenanginya.

"Saya tidak sangka dapat meraih pingat emas. Saya hanya sempat berlatih cuma seminggu saja sebelum kejohanan ini bermula kerana menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.


"Saingan sememangnya sengit dan saingan utama saya adalah pelumba dari Iran, dia begitu kuat," kata pelumba yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu.


Pada perlumbaan acara keirin remaja wanita itu, Lauretta Eva yang mencatat masa 13.781 saat berjaya mengatasi saingan daripada Reihaneh Talebisomeehsaraei dari Iran dengan perbezaan hanya 0.001 saat.

Lauretta Eva berharap dia mampu meraih pingat emas dalam acara sama pada Kejohanan Berbasikal Asia Februari depan.


Sementara pingat gangsa acara itu menjadi milik pelumba negara Umi Hamimah Mohamad dengan catatan masa 14.136s.

Bagi Muhd Arfy Qhairant, ia adalah pingat emas keduanya apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dimenanginya pada siri kejohanan yang sama tahun lalu.


Pingat perak acara itu dimenangi Warayut Kapunya dari Thailand manakala pingat gangsa menjadi milik seorang lagi pelumba Malaysia, Malek Marcus McCrone.


Dalam kategori elit keirin lelaki, wakil negara Mohd Fattah Amri hanya meraih pingat gangsa, sementara pingat emas dan perak dimenangi dua pelumba Iran, Mahmoud Parash dan Mahmoud Rasouli.


Secara keseluruhan Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas mengumpul tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved