Selasa, 13 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tak boleh jamah makanan

Posted: 13 Sep 2011 07:49 AM PDT

JIKA dilihat pada zahirnya dia sama seperti kanak-kanak lain. Membesar dengan sempurna, keletah dan manja serta memiliki kulit cerah tanpa sebarang cela.

Hakikatnya tiada siapa tahu kanak-kanak ini mempunyai penyakit 'misteri' iaitu tidak boleh menjamah makanan sejak dilahirkan.

Akibatnya, Muhammad Daniel Mohd Idham, 10, hanya bergantung sepenuhnya kepada susu tepung yang dibancuh di dalam cawan atau minum Milo dan soya untuk meneruskan hidup.

Walaupun diumpan dengan segala makanan yang sedap dan enak, anak pertama daripada dua beradik ini langsung tidak teruja. Malah boleh dikatakan makan tiada dalam kamus hidupnya atau tidak pernah diprogramkan dalam otak Daniel.


Menurut ibunya, Shuhaila Saidon, 37, Daniel akan menolak apabila disuruh makan. Pernah satu ketika Daniel muntah-muntah apabila melihat iklan makanan ringan di televisyen. Bagi Daniel, makan tidak penting dan dia langsung tiada nafsu ke arah itu.


Ketika sedang menikmati segelas susu, penulis bertanya kepada Daniel, apakah rasa Milo? Dia lalu memberitahu rasanya sedap, masin dan berlemak. Itulah saja gambaran rasa bagi Daniel, dia tidak pernah menyebut deria rasa yang lain.

Malah ada pakar perubatan yang ditemui Shuhaila memberitahu kemungkinan Daniel mempunyai masalah saraf yang menyebabkan dia tidak mempunyai deria rasa seperti orang lain.

"Mungkin ada kebenarannya kerana pernah satu ketika Daniel yang pernah diberi minum air Laut Mati dari Makkah mengatakan minuman itu sedap sehingga dia menjilatnya berkali-kali sedangkan rasanya terlalu masin sehingga tidak mampu ditelan orang lain," jelas Shuhaila.

Menceritakan detik bagaimana mengandungkan Daniel, menurut Shuhaila, dia tidak mengalami sebarang alahan atau perkara pelik ketika mengandung. Namun disebabkan mengalami masalah uri di bawah, Daniel dilahirkan sebagai bayi pramatang pada 12 Oktober 2001 di Hospital Selayang, Selangor. Ini menyebabkan dia bergantung kepada mesin inkubator selama 10 hari.

Namun, Daniel mudah dijaga dan tidak banyak kerenah. Seperti kanak-kanak lain, ketika empat bulan Daniel diberi makan tetapi dia tidak dapat menerimanya sehinggalah usianya mencecah setahun dan Daniel langsung tidak boleh merasa sebarang jenis makanan.

"Kami sekeluarga mula menyedari keganjilan Daniel seawal usia empat bulan apabila dia meluahkan apa saja makanan yang disuap ke mulutnya. Saya juga sudah mencuba banyak cara agar dia menelan makanan seperti memasukkan makanan pejal yang dikisar halus ke dalam botol susu tetapi semua tidak berhasil.

"Setahun saya berulang-alik ke klinik dan doktor yang merawat Daniel memberitahu ini perkara biasa bagi kanak-kanak dan hanya berkaitan psikologi. Apabila usianya meningkat, dia akan berubah dan gemar kepada makanan.

"Selepas usia Daniel menjangkau tiga tahun, saya membawanya berjumpa pakar kanak-kanak. Namun masih sama, dia menunjukkan perlakuan seperti jijik pada makanan," katanya.

Sebagai ibu, Shuhaila bimbang memikirkan perkembangan Daniel. Walaupun ada yang berkata, buat apa risau sedangkan Daniel sihat namun naluri keibuannya tidak tenang. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan sejak tiga tahun lalu kesihatan Daniel semakin merosot. Dia mudah penat, kerap asma dan gastrik yang teruk sehingga adakalanya tidak dapat ke sekolah. Sudah tentu ini mengganggu pembelajaran Daniel di sekolah.

"Jika berada di luar, Daniel ibarat tidak cukup oksigen. Nafasnya tercungap-cungap kepenatan. Sebab itu dia langsung tidak boleh melakukan sebarang aktiviti luar bilik darjah. Di sekolah saya meminta guru memantau pergerakan Daniel dan tidak membenarkannya menyertai aktiviti sukan.

"Pernah dia cuba berpuasa tetapi tidak sampai ke petang Daniel pitam. Sejak itu saya tidak pernah menyuruhnya berpuasa lagi," katanya ketika ditemui di Kuala Kubu Baru, baru-baru ini.

Oleh kerana tidak makan di sekolah, Daniel hanya dibekalkan susu serta Milo. Namun dalam keadaan cuaca panas Daniel memerlukan jumlah cecair yang banyak untuk dia kekal bertenaga sepanjang hari.

Sebab itu satu tin susu 900 gram yang berharga RM70 hanya bertahan untuk satu setengah hari saja. Malah pada usia 10 tahun, jadual minum susu dalam kadar tidak menentu. Dia akan minum apabila lapar, adakalanya sehingga berbelas kali sehari. Ini menyebabkan doktor memberitahu kemungkinan buah pinggang Daniel akan rosak disebabkan kadar minum yang tidak menentu.

"Ketika berusia tujuh tahun, Daniel mengambil susu tidak kurang 16 kali sehari dengan kuantiti 250 mililiter setiap kali pengambilan. Apabila usia meningkat, jumlah susu semakin bertambah dan dia minum tanpa mengikut jadual sehingga mencecah puluhan kali sehari.

"Saya bimbang memikirkan keadaan Daniel kerana sehingga setakat ini, tiada cara atau rawatan dilakukan ke atasnya disebabkan pakar perubatan tidak dapat mengesan puncanya. Jika ini berlarutan, ia akan menjejaskan kesihatan Daniel," ujar Shuhaila.

Shuhaila memberitahu, bagi memantau perkembangan Daniel, dia sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat perbankan semata-mata untuk memastikan kesihatan anaknya. Pada masa sama, pelbagai kaedah perubatan sama ada moden atau tradisional dicuba namun tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Dia juga banyak mendapatkan maklumat menerusi Internet mengenai penyakit yang menimpa Daniel. Dari situ, Shuhaila banyak belajar mengenai istilah dalam bidang perubatan yang selama ini tidak pernah diketahuinya.

Oleh kerana kes ini jarang berlaku di Malaysia, Shuhaila menerima maklum balas daripada masyarakat yang meminta dia bersyukur dan menerima keadaan Daniel seadanya kerana Daniel sihat dan tidak sakit.

"Malah ramai pula berkata, saya beruntung kerana anak tidak makan dan ini menjimatkan kos. Pada saya perbelanjaan Daniel tidak penting kerana kami sanggup melakukan apa saja asalkan Daniel pulih seperti kanak-kanak lain. Saya dan suami tidak sampai hati melihat keadaannya. Bayangkan jika ini berterusan untuk 10 tahun akan datang?" katanya.

Bagi menampung pendapatan suami, Mohd Idham Atan, 36, Shuhaila melakukan kerja sambilan seperti membuat pembungkusan hamper dan katering di kawasan perumahan. Sekurang-kurangnya duit itu dapat digunakan bagi membeli susu Daniel.

"Walaupun saya tidak perlu menyediakan makanan untuk Daniel, kos untuk membeli susu sangat mahal," katanya.

Melihat keadaan anaknya yang adakalanya pucat tidak bermaya dan tidak boleh berada di luar rumah melebihi dua jam, Shuhaila tidak tahu kepada siapa dia harus mengadu. Bukan mahu menyerah kalah tetapi sekurang-kurangnya dia dan suami boleh merujuk pada mana-mana pakar perubatan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai penyakit Daniel dan mendapatkan rawatan sesuai.

Walaupun kes ini masih baru di Malaysia dan pakar perubatan masih belum dapat mengesan puncanya, Shuhaila dan suami sangat berharap agar ada pihak tertentu tampil membantu mengurangkan bebanan emosi yang ditanggungnya kini.

"Saya sangat berharap sekiranya ada sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan atau mengetahui tempat rawatan untuk Daniel. Siang dan malam saya berdoa agar Daniel mampu menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain. Saya sangat sayangkannya dan tidak mahu melihat masa depannya gelap kerana masalah ini," katanya.

Sirih junjung pembuka kata

Posted: 13 Sep 2011 07:36 AM PDT

SIRIH junjung menjadi keutamaan bagi mendahului upacara merisik, bertunang dan pernikahan yang digunakan sebagai pembuka kata oleh masyarakat Melayu.

Ia dikategorikan sebagai 'kepala' atau ibu kepada barang hantaran untuk majlis pertunangan dan pernikahan. Kehadirannya yang menjadi simbolik kepada adat bangsa Melayu yang masih kekal hingga kini adalah perkara wajib yang mesti ada pada hari istimewa itu.

Jika dulu sirih junjung digubah menggunakan tujuh lapis daun sirih berbeza saiz kemudian dicucuk secara bertingkat pada batang pinang muda, namun kini gubahan moden lebih digemari raja sehari.

Sirih atau nama saintifiknya piper betle kebiasaannya akan digubah dengan bunga-bungaan segar mengikut tema warna digemari pasangan bagi menarik perhatian mereka yang memandangnya.


Bagaimanapun, kini terdapat penggunaan daun sirih diperbuat daripada plastik bagi menggantikan daun asli dalam menghasilkan gubahan hantaran. Ini kerana sukar mendapatkan daun sirih manakala perjalanan jauh untuk sampai ke rumah pengantin menyebabkan gubahan sirih junjung mudah layu.


Menurut penggubah hantaran, Shajaratul Dur Ismail, penggunaan daun sirih segar masih lagi digunakan walaupun kini terdapat sirih plastik bagi menggantikannya.

"Daun sirih yang diperbuat daripada plastik masih belum berjaya menandingi kelebihan dan kesegaran bau sirih segar yang masih mendapat permintaan daripada pelanggan sehingga kini.

"Ada sesetengah bakal pengantin masih mahukan penggunaan daun sirih asli walaupun jarak yang jauh terpaksa ditempuh untuk tiba di lokasi rumah pasangan. Namun, ia perlu digubah pada saat akhir sebelum rombongan bergerak.

"Gubahan sirih akan menjadi lebih menarik jika ia digubah bersama bunga-bungaan segar, sekali gus mewujudkan bau harum untuk diberi sebagai balasan kepada pasangan pengantin.

"Kini, gubahan sirih junjung yang pelbagai memberikan pilihan menarik kepada pelanggan sama ada ingin mengekalkan tradisi yang digubah secara bertingkat pada batang pisang atau ringkas dan lebih rendah mengikut cita rasa bakal pengantin," katanya ketika menunjukkan cara menggubah sirih junjung untuk tatapan pembaca.

Bagi yang ingin mencuba, ikuti langkah mudah gubahan sirih junjung disediakan Shajaratul.

Terima kasih:

Shajaratul Design,
No 148-1, Jalan PUJ 3/2, Taman Puncak Jalil, Selangor (http://www.shajaratuldesign.com).

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pasangan zina 5 tahun gemar rakam aksi seks

Posted: 12 Sep 2011 10:17 AM PDT

GRIK: Seorang wanita menangis sambil merayu supaya dibenarkan masuk semula ke dalam bilik tidur teman lelakinya bagi membolehkan dia memakai semula seluar dalam sejurus diberkas pegawai pencegah maksiat, pagi kelmarin.

Permintaan itu dipenuhi pegawai agama Islam daerah Grik, di sini, apabila mendapati wanita terbabit dalam keadaan 'mengghairahkan' kerana hanya memakai seluar ketat nipis.

Wanita berusia 21 tahun dan kekasihnya 26 tahun sekali lagi mengejutkan pihak berkuasa apabila mengaku melakukan zina sejak lima tahun lalu selain gemar merakamkan aksi seks haram menggunakan telefon bimbit.

Mereka yang berasal dari kampung berlainan di pinggir pekan ini membuat pengakuan itu sejurus ditahan penguat kuasa pada jam 10 pagi kelmarin ketika memadu asmara dalam sebuah bilik di rumah kongsi di sini.


Penolong Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Grik, Mohd Jonid Abdul Syukor berkata, enam pegawainya dibantu dua anggota Rela menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat orang awam mengenai perlakuan pasangan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Empat beradik terabai 8 bulan

Posted: 12 Sep 2011 10:12 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Luluh hati saya apabila melihat cucu yang ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa makanan dan keperluan lain. Tak sangka menantu meninggalkan mereka dalam keadaan begini tanpa pengawasan sejak lapan bulan lalu ketika ibu mereka keluar bekerja. Mujur tiada apa berlaku," kata S Ponusamy.

Datuk berusia 59 tahun itu bukan saja tidak percaya melihat apa yang berlaku ke atas cucunya, malah sukar menerima hakikat pada usia lima tahun, dua daripada kanak-kanak berkenaan ditinggalkan bersendirian dan menjaga adiknya berusia lima bulan di rumah mereka di Projek perumahan Rakyat (PPR) Desa Rajang.


Katanya, hanya tuhan yang tahu isi hatinya ketika melihat keadaan rumah terbabit dengan dua beradik itu tinggal di dalam persekitaran kotor selain tiada elektrik selepas dipotong akibat tidak mampu membayar bil tertunggak sejak setahun lalu.

Ponusamy berkata, anak dan menantunya itu tinggal di PPR berkenaan sejak empat tahun lalu dan segalanya bermula baik sehingga menantunya yang berusia 31 tahun mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan tidak pulang ke rumah mengakibatkan anaknya keluar mencari kerja.


"Akibatnya, keempat-empat cucu saya berusia lima bulan hingga 10 tahun dibiarkan bersendirian di rumah tanpa pengawasan. Malah, ketika saya sampai untuk menjenguk ke rumah itu, mereka tidak disediakan makanan atau minuman, hanya sebotol susu untuk cucu saya yang bongsu.


"Keadaan di dalam rumah kotor menyebabkan saya terfikir soal kesihatan mereka. Namun, saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana kurang sihat selain tidak mempunyai pendapatan tetap," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua MIC bahagian Setiawangsa, S Rajah dan Timbalan Pengerusi Penduduk perumahan itu, Indra Shahril Abdul Rahman di rumahnya, semalam.

Kehidupan yang menghimpit keluarga itu menyebabkan cucu sulung Ponusamy bersekolah setakat tahun dua di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jalan Fletcher sebelum berhenti manakala adiknya yang sepatutnya memasuki alam persekolahan tahun ini juga terkandas.


Kesusahan mereka tidak terhenti setakat itu kerana menanggung tunggakan bayaran perumahan terbabit kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah hampir RM3,000 selain bil elektrik RM2,000 mengakibatkan ibu kanak-kanak terbabit nekad meninggalkan mereka di rumah untuk mencari kerja.

Sementara itu, Rajah berkata, MIC Setiawangsa akan membawa masalah keluarga berkenaan kepada pihak berwajib bagi membantu mereka mendapatkan bantuan sewajarnya memandangkan keadaan begitu daif serta keperluan mendesak termasuk kemungkinan berdepan masalah kesihatan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Ejen Nora atur strategi

Posted: 12 Sep 2011 08:16 AM PDT

TIDAK akan kembali seorang aktres ini ke pentas teater sekiranya tiada keperluan. Contohnya, kalau mahu, dia boleh saja muncul dalam pementasan P Ramlee The Musical (PRTM) kerana itu produksi terbitannya sendiri.

Bagaimanapun seperti yang dinyatakan, dia tidak perlu memaksa-memaksa diri memegang watak yang bukan lahir daripada jiwanya.

Begitulah prinsip kerja Datin Seri Tiara Jacquelina - seorang pencinta seni yang sentiasa teruja membangunkan kesenian melalui ideanya yang tidak pernah kering-kering.

Sebelum ini, kita sudah melihat kejayaan Tiara membina satu karakter epik yang gah. Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah muncul di pentas Istana Budaya (IB) pada 2006 selepas diperkenalkan dalam sebuah filem epik yang hebat pada 2005.


Seterusnya apabila pementasan PRTM dipersembahkan pada 2007, Tiara hanya bertindak selaku Produser Eksekutif dengan memantau produksi di belakang tabir.

Dia lebih ghairah menonjolkan bakat Liza Hanim sebagai Saloma, Musly Ramlee sebagai P Ramlee dan Melissa Saila (Seniwati Norizan).

Namun tahun ini, Tiara sudah bersedia untuk kembali ke IB. The Secret Life of Nora (TSLON) akan menjadi satu lagi medan ujian dan pentas kepuasan Tiara dalam mempersembahkan satu lagi karya berkualiti.

Mungkin bagi yang mengikuti perkembangan Tiara sejak awal dulu, mereka masih ingat bahawa dia pernah dan masih menguruskan sebuah kumpulan persembahan bergelar Kit Kat Klub.

Melalui Kit Kat Klub, Tiara mengumpul serta mengasah bakat anak kota yang meminati bidang tarian dan seni persembahan (performing arts). Antara mereka yang pernah bersama Kit Kat Klub adalah pelakon Sofia Jane, Maria Farida, Pat Ibrahim (koreografer), Jay KOOL, Khalid Ahmad (Asiarasa), Sheila Haran, Datin Ezureen Malek (Baby) dan Nasha Aziz.

Mereka sering membuat persembahan pada majlis pelancaran produk, makan malam, pesta hari jadi serta bermacam lagi agenda hiburan.

Dalam pertemuan dengan Tiara, baru-baru ini, dia akui muzikal terbarunya itu, TSLON boleh diibaratkan sebagai satu 'tribute' kepada persembahan Kit Kat Klub tetapi dalam skala yang jauh lebih besar.

"Memang saya puas kerana sebelum ini impian saya untuk melakonkan watak epik sudah tercapai dalam filem dan pementasan Puteri Gunung Ledang. Selepas berehat beberapa tahun, sudah sampai masanya saya kembali ke pentas dengan watak moden yang berbeza pula dan selepas mencari idea, terlintas di fikiran saya ini watak Nora.

"Saya tidak nafikan Kit Kat Klub memang ada nilai sejarah dan sentimental buat diri saya dan rakan artis yang pernah bersama saya dulu. Jadi kali ini, saya mahu 'enjoy' di pentas dengan meminjam 'mood' Kit Kat Klub untuk dipindahkan ke dalam Nora," katanya.

Ramai tahu, Tiara juga sangat gemarkan elemen 1Malaysia serta antarabangsa dalam persembahannya. Kalau dalam filem Puteri Gunung Ledang dia berjaya meminang Christine Hakim, Alex Komang dan Dian Sastrowardoyo, menerusi pementasan itu pula Tiara berjaya mengetengahkan Stephen Rahman-Hughes dan pelakon bukan Melayu, Sukania Venugopal.

Kali ini dalam TSLON, Tiara menampilkan pula pelakon handalan dari West End London, Ryan Silverman sebagai watak utama Ejen Roger untuk bergandingan bersamanya yang mendukung peranan primadona (Nora) di sebuah pusat hiburan yang akhirnya turut menjadi ejen perisik.

Ryan akui walaupun ini kali pertama dia beraksi di rantau Asia, namun dia tetap optimis dengan pembabitannya dalam TSLON kerana tertarik dengan jalan cerita watak serta perjalanan produksi itu yang begitu terancang, mengikut acuan pementasan bertaraf antarabangsa.

Tiara berkata, dia mendapat inspirasi watak Ejen Nora itu daripada filem Melayu klasik, Nora Zain yang pernah dilakonkan Seniwati Saadiah. Namun pementasan itu bukanlah 'remake' ke atas filem itu, sebaliknya mempunyai jalan cerita tersendiri serta latar belakang watak berbeza.

Menambahkan lagi tarikan komersial, Tiara turut menyunting pengacara paling popular Aznil Nawawi sebagai Mr J. Barangkali ramai peminat ingin melihat apakah lagi kejutan Aznil selepas berjaya dengan watak Profesor Klon dalam filem Cicak-Man.

Penyanyi terkenal, Adibah Noor turut memegang peranan penting dan kehadiran Adibah pastinya memantapkan lagi sisi vokal pementasan ini. Adibah memegang watak sebagai Khatijah iaitu rakan baik Nora di kala susah dan senang. Seorang lagi pelakon watak penting ialah Stephanie Van Driesen yang melakonkan peranan wanita pesaing Nora.

Pementasan ini bukan saja dipenuhi dengan lakonan dan nyanyian tetapi juga babak aksi dan 'stunts' yang hebat, sesuai sebagai pelengkap kisah cinta berbaur ejen perisikan.

Khas bagi mempromosikan teater muzikal ini juga, sebuah klip video lagu Siapa Dia dihasilkan. Ia berupa lagu lama yang pernah dipopularkan penyanyi veteran Zainab Majid tetapi digubah semula oleh Roslan Aziz yang turut bertindak selaku pengarah muzik TSLON.

TSLON diarahkan Steven Dexter dengan skrip tulisan Elliot Davis bagi versi Inggeris dan Mamat Khalid (versi Melayu). Ia akan mula dipentaskan di IB pada
29 September hingga 16 Oktober ini.Tiket boleh dibeli di kaunter box-office IB atau di laman web www.airasiaredtix.com atau telefon 03-87754666 untuk
pertanyaan.

Mamat cari kelainan

Posted: 12 Sep 2011 05:32 AM PDT

SESUDAH filem Hantu Kak Limah Balik Rumah mencipta sejarah dengan kutipan box-office, pengarahnya, Mohamad Mohd Khalid atau Mamat Khalid terus melajukan langkah dengan menghasilkan beberapa lagi filem pelbagai genre.

Selain filem aksi Apokalips, terbaru beliau mara dengan filem bertemakan seram, Rentaz.

Menampilkan pelakon punya nama besar seperti Awie, Khir Rahman dan Shah Jaszle, ia mengisahkan Bob, lakonan Awie yang mengikut telunjuk syaitan yang menyerupai manusia bernama Taisyan (Khir Rahman).

Walaupun melalui pelbagai dugaan hidup sewaktu kecil, Bob berjaya membina hidup lebih baik tatkala dewasa. Bagaimanapun, satu hari dia mengalami kemalangan dan dalam keadaan koma, syaitan datang menuntut janji Bob.


Ditemui pada sesi penggambaran Rentaz di Perangin Mall, Georgetown, Pulau Pinang, Mamat berkata, idea untuk menghasilkan Rentaz diperoleh menerusi minatnya pada motosikal berkuasa besar dan spiritual.


"Sudah lama sebenarnya dua perkara ini bermain di kepala saya. Boleh dikatakan hampir dua tahun saya cuba menggabungkan dua perkara ini untuk dimuatkan dalam Rentaz.

"Saya memang minat dengan motosikal berkuasa besar dan pada waktu sama dalam usia sekarang saya lebih gemar mendekati perkara yang dapat meningkatkan pengetahuan dan mengukuhkan keimanan. Dua elemen ini sangat kuat bermain di kepala saya kebelakangan ini dan menyebabkan timbul idea menghasilkan Rentaz.

"Untuk membangunkan skrip dan lakon layar pula mengambil masa lapan bulan.
Begitu pun ingin saya nyatakan, tajuk filem Rentaz belum ditetapkan lagi kerana saya ada lagi satu tajuk iaitu Lebuh Raya Ke Neraka untuk digunakan terhadap filem terbaru arahan saya ini," katanya.

Menurut Mamat lagi, dia lebih menggemari tajuk Lebuh Raya Ke Neraka kerana ia menggambarkan apa yang berlaku dalam filem ke-10 arahannya terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd itu. Bagaimanapun, dia memilih satu lagi tajuk iaitu Rentaz kerana bimbang sekiranya tajuk pertama pilihannya itu dianggap kurang sesuai atau menjadi kontroversi, ia boleh ditukar serta-merta.

"Rentaz pula timbul daripada perkataan asal rentas iaitu menggambarkan keadaan Bob yang sedang koma, rohnya mula merentasi ke alam barzakh," katanya yang turut mengakui bertuah kerana dapat bekerja dengan pelakon hebat.

Kata Mamat lagi, selain itu, dia berasakan mahu menghasilkan sesuatu yang segar menyebabkan lahirnya Rentaz. Lebih daripada itu, peluang diberikan GBSB membolehkan apa yang diimpikannya sebelum ini dapat dizahirkan.

"Saya sendiri teruja sepanjang proses penggambaran Rentaz kerana jarang ada filem tempatan menampilkan kedua-dua tema ini dalam satu filem iaitu aksi dan spiritual. Malah pembikinannya pula dibuat berbeza berbanding filem lain.

"Memang benar sebelum ini kita ada filem mengenai rempit yang turut menampilkan motosikal kapcai tetapi dalam Rentaz, motosikal berkuasa besar menjadi cabaran untuk saya menonjolkan aksi seperti 'willy' dan babak kemalangan," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kedai muzik jerat gengster

Posted: 12 Sep 2011 09:10 AM PDT

LONDON: Anggota polis yang menyamar, berjaya memerangkap beberapa kumpulan gangster dengan membuka sebuah kedai menjual muzik hip hop dan menjadikannya sebagai pusat jenayah.

Selama sebelas bulan, penyangak yang datang ke kedai itu digalakkan untuk menggunakan bilik belakang.

Di situ, mereka menjalankan kegiatan jenayah menjual dadah, senjata api dan barang curi kepada pegawai polis yang menyamar sebagai peniaga yang tidak jujur. Setiap urusniaga dirakam menggunakan kamera dan mikrofon tersembunyi.

Operasi bernilai 500,000 pound (RM2.4 juta) itu berjaya menahan 37 orang dan dipenjarakan sejumlah 150 tahun.


Kedai yang diberi nama Boombox, dibuka di Edmonton, utara London pada Mac 2008, setelah lima kejadian bunuh berlaku di kawasan itu.


Tiga anggota polis belajar menjadi mahir dalam muzik rap dan menjaga kedai itu sepenuh masa. Kebanyakan pelanggan yang datang ke kedai itu untuk membeli album muzik.

Daam beberapa minggu dibuka, penyangak mula datang ke kedai itu.

Kata Superintenden Lucy D'Orsi, "Pegawai polis yang ditugaskan sudah diberi latihan mengenai muzik dan menjalankan perniagaan.

"Mereka berjaya mendapatkan keyakinan pelanggan dan berjaya menghadapi apa saja situasi.

"Selain mendapatkan bukti, mereka juga menghalang orang daripada melakukan kesalahan - termasuk mereka yang mungkin boleh membunuh."

Dalam jangka masa 11 bulan itu, pihak polis membeli 19 pistol yang diubah suai berharga kira-kira 400 pound (RM 1,922) dan juga kuantiti dadah yang banyak.

Kesemua 37 penjenayah yang berusia antara 16 dan 41 tahun akan menghadapi tuduhan jenayah termasuk menjual dadah dan senjata api dan pengubahan wang haram. - AFP

Amitabh berlakon percuma untuk filem Hollywood pertamanya

Posted: 12 Sep 2011 09:09 AM PDT

MUMBAI: Pelakon megastar Amitabh Bachan berkata, dia akan berlakon secara percuma untuk filem Hollywoodnya yang pertama di bawah arahan terbaru Baz Luhrmann, sebuah adaptasi novel 'The Great Gatsby.'

Aktor berusia 68 tahun itu menulis di dalam blognya semalam, dia akan tampil "dalam satu babak saja atas dasar persahabatan" dalam filem itu yang turuti dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, Tobey Maguire dan Carey Muilligan.

Karektor Amitabh adalah sebagai Meyer Wolfsheim, seorang ketua penjenayah yang membantu seorang jutawan misteri Jay Gatsby mendapatkan wang dalam novel terkenal oleh F. Scott Fitzgerald yang diterbitkan pada tahun 1925.

Dikenali sebagai 'Big B' oleh berjuta peminatnya di India dan serata dunia, Amitabh bersetuju untuk berlakon selepas Luhrmann, seorang peminat filem Bollywood, datang melawat India, tahun lepas.


"Dia menelefon bulan lepas dan bertanya sama ada saya mahu berlakon dalam filemnya. Atas dasar persahabatan, saya tidak akan menerima bayaran," katanya dalam blog "bigb.bigadda.com" dalam komen pertamanya tentang filem itu.


Amitabh telah melawat Australia bulan lepas, tetapi tidak memberitahu mengapa dia ke sana. Semalam dia berkata, dia berada di Sydney untuk proses membaca skrip dengan pelakon lain, dan membuat latihan untuk rambut, mekap dan pakaian.

"Ia satu pengalaman yang menarik menjadi salah seorang daripada sistem Hollywood dan melihat bagaimana telitinya mereka bekerja," katanya.

Amitabh dianggap sebagai ahli politik untuk filem Hindi dan telah berlakon kira-kira 150 filem. - AFP

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rexy gembira

Posted: 12 Sep 2011 11:52 AM PDT

REXY Mainaky lebih gembira dengan posisi baru melatih beregu wanita kerana bersifat lebih terbuka berbanding beregu lelaki sebelum ini.

Rexy yang bertukar portfolio selepas diputuskan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Khamis lalu yakin mampu membentuk persefahaman yang baik dengan beregu wanita dan campuran.


"Saya selesa dengan beregu wanita dan gembira selepas diberitahu menggalas tanggungjawab ini. Pemain wanita Malaysia amat mudah ditangani kerana bersikap lebih terbuka," kata Rexy yang menganggap situasi berbeza di negara lain apabila pemain lelaki lebih terbuka.

Sikap terbuka yang dimaksudkan Rexy itu adalah keinginan pemain untuk berkongsi pendapat dengan jurulatih jika ada rasa tidak kena dengan permainan.


"Saya ada jumpa dengan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui Sabtu lalu dan kami berbincang. Mereka memberitahu apa yang mereka lakukan selama ini dan sedia menerima cadangan latihan saya yang mana saya tidak akan mengubah sepenuhnya corak permainan.


"Namun saya menyeragamkan waktu latihan beregu wanita dan campuran iaitu bermula pukul 8.30 pagi," kata Rexy.

Sebelum ini, beregu wanita menjalani latihan pada pukul 7.30 pagi manakala beregu campuran lapan pagi.


Begitupun dalam sesi latihan pertama bersama beregu wanita dan campuran semalam, Rexy hanya bersama empat pemain Ng Paou Leng, Lim Yin Loo, Lai Pei Jing dan Tan Aik Quan yang baru kembali dari Terbuka Taiwan manakala pemain lain sudah bertolak ke ke China Masters, Ahad lalu.

"Saya juga perlu memastikan beregu wanita dan campuran kedua mendapat pendedahan kejohanan yang mencukupi kerana jika apa-apa kecederaan dialami pasangan utama Pei Tty-Eei Hui (beregu wanita) atau Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran), kita ada beregu lain untuk memungut mata melayakkan diri ke Olimpik." Rexy yang akan dibantu Jeremy Gan diberi sasaran memastikan satu pasangan beregu wanita dan campuran layak ke Olimpik London tahun depan.


"Saya perlu pastikan Pei Tty tidak mengalami kecederaan selepas ini. Jika semuanya berjalan lancar, saya yakin Pei Tty-Eei Hui ada harapan untuk mencapai kedudukan terbaik di Sukan Olimpik," kata Rexy yang pernah menaikkan gandingan itu ke ranking nombor satu dunia pada 2009.

KL membara

Posted: 12 Sep 2011 11:49 AM PDT

JUARA 32 kali Piala Malaysia, Selangor perlu meneruskan rentak kemenangan ke atas skuad warga kota, Kuala Lumpur, malam ini bagi mencerahkan peluangnya ke suku akhir.

Namun ia bukan tugas mudah buat skuad K Devan itu terutamanya selepas kejayaan Kuala Lumpur meraih dua kemenangan berturut-turut ke atas PDRM, 3-0 dan T-Team, 2-1.


Malah skuad kendalian Mohd Razip Ismail itu pastinya berkobar-kobar meneruskan rentak kemenangan tiga perlawanan berturut-turut dalam usaha mereka mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Kumpulan D dan meraih salah satu tempat ke suku akhir.

"Harapan tinggi diletakkan kepada kami untuk mengejutkan Selangor dan saya harap ia mampu direalisasikan kerana ini peluang terbaik selepas mencatatkan dua kemenangan terutamanya mengejutkan T-Team, Sabtu lalu," kata Mohd Razip.


Beliau bagaimanapun tetap menganggap Selangor sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Kumpulan D kerana mempunyai barisan pemain berpengalaman berbanding Kuala Lumpur.


"Seperti dua perlawanan sebelum ini, kami akan mempamerkan semangat juang tinggi dan kerja keras untuk memastikan kemenangan dicapai," katanya.

Selangor kini menghuni tangga ketiga selepas hanya mencatatkan satu kemenangan berbanding Kuala Lumpur yang meraih mata maksimum.


Pada saingan Liga Super sebelum ini, Selangor diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam namun mencatatkan kemenangan 3-1 apabila bertandang ke tempat lawan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Dua ‘merisik’ guna parang

Posted: 12 Sep 2011 12:04 PM PDT

KUALA LUMPUR: Satu majlis merisik bertukar huru-hara apabila dua penjenayah bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam rumah dan menyamun wang tunai serta barang kemas dipakai anggota rombongan merisik, selain menetak dua daripada mereka yang cuba melawan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin di sebuah rumah di Batu 4, Jalan Gombak, dekat sini, dan nilai keseluruhan barang kemas serta wang tunai yang dilarikan dianggar RM50,000.

Difahamkan, anggota rombongan merisik itu membabitkan ibu, bapa, abang dan kakak serta bakal pengantin lelaki berusia 20 hingga 50 tahun pergi ke rumah bakal pengantin wanita untuk merisik dan menetapkan tarikh perkahwinan
Sumber polis berkata, ketika perbincangan keluarga kedua-dua pihak, dua lelaki berusia 30-an yang bersenjatakan parang meluru ke dalam rumah.

Menurutnya, dua penjenayah itu mengacukan parang dan mengarahkan semua mangsa menyerahkan wang tunai dan barang kemas dipakai.

"Bimbang dicederakan, keluarga kedua-dua bakal pengantin patuh arahan itu dan menyerahkan barang kemas seperti gelang, rantai dan subang kepada suspek.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Komen Anda

Hantar pendapat anda mengenai isu yang dipaparkan dalam artikel ini :

Terima kasih diatas penyertaan anda. Harian Metro berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.
saya amat simpati dengan nasib yang menimpa bakal pengantin, niat adik baik mendirikan rumahtangga, semoga tidak memutuskan hasrat tersebut, biarlah bersederhana tidak mengapa, asalkan niat anda berdua hidup bersama tercapai..IsyaAllah

Mohd

saya suka artikel ini

nur kasih

saya harap agar saya dapat isu semasa yang terkini

MohdAmin

adakan penjenayah yg sama menyamun di Restoran mamak??

pakmattempe

perlu lebih berhati hati dmase akn dtg bg mgelak pkare yg tak diingini..

syahrilganu

Malaysia terlalu tinggi kadar jenayah. Menjadikan seakan-akan Africa Selatan di-Asia.Hukuman yang tegas tiada mengira sasiapa termasok hukuman sebat tidak kurang 20X kapada penjenayah.Ada=kan hukuman mati sasiapa yang di-dapati salah menggunakan asid dalam rompakan.

Haji Mohd Hamzah B.Jimin

bagi pendapat saya,keadaan seperti ini tidak wajar berlaku..Selepas ini kalau nak pergi merisik,jgn bawa wang tunai,cek berpalang adalah sesuai bagi mengelakkan kejadian samun berlaku.

Myz Elly

Moral of the story.. jgn letak hantaran byk2. Atau tulis guna cek je.. tak perlu bawa cash atau emas.

Norzeaty Basirron

SEKRG NI X BLH PAKAI LANGSUNG BARANG EMAS. KAT MANA _MANA ADA PENYAMUN TARBUS. KENA PAKAI AKSESORI JE. TMPAT KENDUARI DAN DLM RMH ORG PUN DI SAMUN. APA NAK JADI DUNIA KINI.X ADA DUIT SANGGUP BUAT APA SAJA.

Norhazana Ahmad

Apa dah jadi dgn tanah meLAYU ,

karim bin ariffin

mulai dr hr nie semua rumbgan merisik x payah bwa wang tunai ke rumah bkl pengantin masuk kn sahaja wang tu kedlm bank.dan x payah nak tayang wang tu pd semua masykt.bila dah terjadi baru nk menyesal dah tak guna.menyusah kn org yg x berkenaan sahaja.

siti salwana bte misman

Jenayah semakin berleluasa. Tak terfikirpun dalam suasana begitupun boleh jadi mangsa. Oleh itu kita perlu sentiasa berwaspada walau apa keadaan, masa dan tempat.

Daud

Manusia semakin hilang kewarasannya...duit dan harta dunia jadi rebutan.Terdesak untuk kemewahan, kesenangan dan keegoan.Tanpa memikirkan kesengsaraan, kepayahan orang lain.Iman semakin nipis....menjadi rakan dan teman syaitan dan iblis....Insaflah!

Ishak BP

Memang tak berhati perut, ini akibatnya kalau terlalu manjakan HARIMAU" ( pendatang asing yg malas berkerja, memang ada ketikanya "harimau" tak bersalah, tetapi walau jinak macamana pun lama kelamaan akan terkam tuan akhirnya...tetapi ini adalah hasil "pelbelajaran" yang diajar oleh kebnyakan "harimau tadi" kepada warga negara tempatan yang dulunya "ada sifat takut" nak lakukan perbuatan yang menyalahi undang2. Apa pun la ni bah kata orang kedah semuanya kena pakai "pengawal keselamatan" nampaknya "harimau" akan terkam tak kira tempat, waktu atau majlis. Sama-sama gua and lu fikir sendiri la....

Salby

Safura reda

Posted: 12 Sep 2011 11:26 AM PDT

KUALA LUMPUR: Anak kepada penyanyi, pelakon dan penggiat teater, Safura Yaacob, Nur Aisyah Mariam, tiga tahun meninggal dunia semalam selepas Maghrib kerana demam berpanjangan sejak tiga hari lalu.

Anak ketiga kepada penyanyi yang popular menerusi lagu Sedalam Mana Cintamu itu adalah anak sulung hasil perkahwinannya dengan Sharonizam Noor juga seorang pelakon.

Safura ketika dihubungi berada di Hospital Ampang Puteri sedang menunggu jenazah anaknya dimandikan sempat menyatakan rasa hibanya kerana kehilangan anak secara tiba-tiba.

"Saya tidak tahu dan tidak mampu berfikir ketika itu kerana semuanya mengejut. Apapun saya menyifatkan kehilangan Mariam adalah ketentuan dan suratan buat saya sekeluarga. Saya terima walaupun hakikatnya begitu pedih untuk ditelan.


"Saya memang tidak tahu punca kematiannya kerana apa yang saya tahu, anak saya demam dan badannya panas sejak tiga hari lalu. Lantas Mariam saya hantarkan ke Hospital Ampang Puteri, namun ketika itu doktor hanya mengklasifikasikan demam biasa. Peliknya selepas pulang dan mengambil beberapa ubat yang diberi, suhu badannya tidak menurun.


"Justeru petang tadi selepas beberapa hari suhu badannya masih sama malah lebih teruk, saya bawa sekali lagi Mariam ke hospital yang sama petang semalam. Namun selepas beberapa jam dirawat, doktor mengesahkan Mariam sudah meninggal dunia dan tidak dapat diselamatkan.

"Jadi saya memang tidak tahu untuk menjelaskan bagaimana," katanya yang tidak mampu memberi kenyataan lanjut kerana tidak mampu menahan perasaan sebak.

Safura ketika dihubungi berada di hospital bagi menunggu jenazah anaknya dimandikan sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Ampang. Jenazah Mariam akan dikebumikan hari ini sebelum Zuhur.

Hasil perkahwinan Safura sebelum ini, dia dikurniakan dua anak, Nurul Natasha 17 dan Muhammad Daniel Khaqim 11. Bersama suami sekarang, Sharonizam Noor, pelakon itu dikurniakan dua anak Nur Aisyah Mariam dan Yusoff Firdaus yang masih berusia setahun.

Malah Safura yang pernah tampil bersahaja menerusi teater Ronggeng Rokiah dan Terima Kasih Cinta kini sedang sarat mengandung lima bulan.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved