Rabu, 5 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bina keyakinan diri

Posted: 05 Sep 2012 07:17 AM PDT

WANITA mana yang tidak ingin cantik, namun lain pula halnya dengan mereka yang terpaksa melalui pelbagai rawatan radioterapi dan kemoterapi akibat barah.

Kulit mereka kelihatan kering disebabkan kesan ubat-ubatan serta kusam dan tidak bermaya.

Justeru, jenama kecantikan diri terkemuka, Estee Lauder mengadakan bengkel Feel Better Beauty sempena kempen kesedaran barah payudara.

Bengkel ini bertujuan membantu wanita yang berhadapan dengan barah meningkatkan kembali keyakinan dan harga diri mereka melalui penggunaan mekap.


Peserta diajar teknik yang betul menggunakan pelbagai kombinasi warna dalam menghasilkan kesan mekap lebih menyerlah.


Menurut Pengurus Penjenamaan Estee Lauder, Katrina Liew, perkara paling penting perlu dititikberatkan sebelum memakai mekap dalam apa jua keadaan
ialah memastikan kulit wajah berada dalam keadaan bersih.

Sekiranya sudah mengenakan mekap, gunakan penanggal mekap terlebih dulu pada keseluruhan wajah, kemudian bersihkan muka bagi memastikan tiada lebihan kesan kotoran.

"Mungkin bagi sesetengah pihak, menggunakan mekap satu perkara yang cukup menguji kesabaran. Ini kerana ia perlukan ketelitian bagi menyempurnakan sapuan bedak, pembayang mata, pemerah pipi serta maskara.

"Tetapi percayalah, jika cara digunakan betul, ia boleh menjadi semudah satu, dua dan tiga. Tidak perlu mengenakan mekap dengan tebal, cukup sekadar menjadikan wajah lebih berseri serta kembali bermaya," katanya.

Di samping itu, Katrina berkata, kempen kesedaran yang dianjurkan itu juga bertujuan menangani barah payudara melalui pendidikan dan penyelidikan perubatan.

"Pengesanan awal adalah langkah terbaik untuk mencegah barah dan ia perlu dilakukan tanpa sebarang alasan.

"Setiap wanita perlu bangkit dan berani, bukan sekadar berserah tanpa melakukan sesuatu untuk menangani keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Kunyit cantikkan kulit

Posted: 05 Sep 2012 06:45 AM PDT

INDIA adalah negara yang penuh warna-warni dan terkenal dengan penggunaan rempah ratus termasuk kunyit yang bukan saja menjadi bahan wajib dalam masakan mereka, malah digunakan bagi tujuan kecantikan kulit tubuh dan wajah.

Mungkin ramai masih tidak menyedari kunyit yang berada di dapur sebenarnya bukan sekadar boleh digunakan untuk menyedapkan atau memberi warna pada makanan, tetapi fungsinya melangkaui batasan itu.

Kunyit yang terkenal dengan warnanya yang kuning berseri mengandungi banyak kebaikan untuk kulit. Malah semakin banyak kajian membuktikan penggunaan kunyit untuk tujuan kecantikan terutama dalam masyarakat India sememangnya mempunyai alasan yang kukuh.

Sejak zaman purba lagi, sejarah menunjukkan masyarakat India sudah lama menyedari kebaikan kunyit apabila amalan menyapu kulit dengan kunyit mampu memperbaiki tekstur kulit.


Kunyit didapati mempunyai bahan yang mampu melawan keradangan kulit serta memberi kesan antiseptik kepada kulit.


Ia adalah sumber vitamin C dan magnesium yang baik, kandungan serat yang tinggi, vitamin B6, zat besi, potasium dan mangan tetapi kandungan sodium yang sangat rendah.

Masyarakat di India juga lebih terdorong menyapu kunyit pada luka kecil, lebam atau bengkak kerana rempah itu mampu mengurangkan bengkak sama seperti kesan yang diberikan oleh pek ais.

Kandungan antiseptik yang pelbagai dalam kunyit mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka kecil, kecederaan dan melecet.

Disebabkan kesannya yang mengagumkan pada kulit, pakar kecantikan di seluruh dunia kini mula menyedari kebaikan kunyit dan menggunakannya dalam produk kecantikan masing-masing.

Serbuk kunyit boleh digunakan dengan dicampur sedikit dengan air dan disapu pada wajah bagi membantu kulit lebih bercahaya, selain mengurangkan masalah tompokan pigmen seterusnya meratakan warna kulit.

Penggunaan kunyit mudah dan murah kerana ia boleh dibuat di rumah saja, antaranya dengan mencampurkan serbuk kunyit dengan sedikit jus limau nipis atau timun dan disapu ke seluruh wajah.

Sapuan berkenaan perlu dibiarkan beberapa minit pada wajah sebelum dicuci dan penggunaan kunyit secara berterusan mampu membuatkan kulit wajah lebih berseri-seri.

Kunyit juga baik untuk merawat kulit wajah yang dipenuhi jerawat kerana kandungan antiseptik dalam rempah berkenaan.

Ia adalah bahan kecantikan yang berkesan, murah dan mudah didapati tetapi pada masa sama tidak memberi kesan berbahaya terhadap kulit serta kesihatan seseorang.

Campuran kunyit bersama serbuk kayu gaharu serta sedikit air yang disapu pada kulit muka mampu mengurangkan jerawat. Cara itu semestinya jauh lebih murah berbanding menggunakan pelbagai jenama produk yang mungkin tidak sesuai untuk kulit sensitif.

Serbuk kunyit juga boleh digunakan sebagai bahan sental yang boleh membuang sel kulit mati dan ia boleh dilakukan dengan mencampurkan kunyit bersama tepung dan air serta digosok ke seluruh tubuh sebelum mandi.

Amalan rutin itu mampu membersih dan menyihatkan kulit sekali gus membantu mencantikkan penampilan diri seseorang.

Cara itu juga digunakan bakal pengantin di India yang menyapu kunyit ke kulit mereka berminggu-minggu sebelum melangkah ke alam perkahwinan bagi mendapatkan kulit yang bebas segala noda.

Lebih menarik, serbuk kunyit yang dicampur dengan yogurt boleh disapu pada kesan regangan kulit terutama bagi mereka yang pernah mengandung dan mempunyai banyak kesan regangan pada bahagian abdomen.

Campuran yang dibiarkan selama lima minit sebelum dicuci itu mampu mengekalkan kekenyalan kulit serta menghindari regangan sekiranya diamalkan selalu tanpa jemu.

Kandungan antiseptik serta antiradikal bebas kunyit turut berguna untuk melegakan masalah ruam serta membantu merawat kulit selepas seseorang menghidap penyakit yang memberi kesan pada kulit seperti demam cacar.

Kehadiran bulu roma yang banyak di wajah serta tubuh juga mungkin menyebabkan seseorang itu hilang keyakinan diri tetapi sapuan kunyit dapat membantu mengurangkan masalah berkenaan.

Kesan terbakar pada kulit juga lebih lega dengan sapuan serbuk kunyit bersama aloe vera, seterusnya memberi pelbagai faedah lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


350 rumah tenggelam

Posted: 04 Sep 2012 03:29 PM PDT

KUALA LUMPUR: Lebih 350 buah rumah dan 100 kenderaan ditenggelami air sedalam satu meter dalam kejadian banjir kilat di Taman Sri Serdang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata hujan lebat selama dua jam bermula 4.30 petang itu menyebabkan air dari longkang besar di kawasan berkenaan melimpah dan menenggelamkan rumah serta kenderaan penduduk sekitar.

"Turut terperangkap kira-kira 300 pelajar dan 23 guru dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Serdang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Indah, namun berjaya diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat kira-kira jam 9.30 malam tadi," katanya ketika meninjau keadaan banjir di sini semalam.

Abdul Razak berkata pihaknya menyediakan pusat pemindahan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) namun tiada penduduk yang dipindahkan.


"Air mula surut sejak pukul 7 malam, dan saya dimaklumkan oleh penduduk kali terakhir berlaku banjir kilat di kawasan ini adalah 27 tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


RM60,000 harga putus cinta

Posted: 04 Sep 2012 03:23 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Serahkan RM60,000 atau banyak lagi gambar bogel awak akan disebarkan!," begitu ugutan diterima seorang wanita selepas dia memutuskan hubungan dengan teman lelakinya sejak seminggu lalu sehingga hidup ketakutan.

Ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chow, 29, menerima ugutan berkenaan menerusi kiriman mesej di laman sosial, facebook miliknya daripada seorang lelaki berserta gambar bogel yang dirakam secara curi ketika dia keluar dari bilik air di rumahnya di Sentul, di sini, tidak lama dulu.


"Saya mengesyaki ia perbuatan bekas teman lelaki yang tidak puas hati kerana saya memutuskan hubungan selepas tidak tahan melayan kehendak nafsunya sejak menjalin hubungan dua bulan lalu," katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. Dia yang menemui jalan buntu mendapatkan khidmat nasihat pengerusi biro, Datuk Seri Micheal Chong sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Dalam kes berasingan, seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Jenny, 30, menerima nasib sama apabila gambar bogelnya disebarkan menerusi facebook sejak April lalu.


Menurut Jenny, dia memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya berikutan perbuatan ganas suspek yang selalu memukulnya sejak menjalin hubungan intim tahun lalu.


Sebaik saja memutuskan hubungan, Jenny menerima SMS daripada suspek mengatakan dia akan menjadi 'terkenal' kerana meninggalkannya, bagaimanapun dia tidak mengendahkan ugutan itu sehingga dihubungi rakannya pada April lalu mengatakan terdapat akaun facebook menggunakan nama berserta beberapa gambar bogel miliknya.

Sementara itu, Chong berkata, kedua-dua mangsa tidak menyedari gambar bogel mereka dirakam bekas teman lelaki masing-masing.


"Satu pertemuan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah diadakan pagi tadi (semalam) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan polis akan menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Demi sebuah pementasan

Posted: 04 Sep 2012 07:33 AM PDT

IRONINYA, dua wajah ini sedang gigih membuat persiapan untuk beraksi di pentas teater Kawan-Kawan Yang Kita Suka meskipun profil kerjaya mereka sudah jauh menyimpang.

Berbeza personaliti dan lain pada sudut identiti dan gaya yang ditampilkan, baik Anas Ridzuan mahupun Karl Shafek mampu mencari titik persefahaman untuk menghidupkan kesungguhan mereka di pentas teater.

Anas terlebih dulu dikenali sebagai penyanyi apabila berjaya membina nama dalam program Mentor musim keenam di bawah penyanyi popular, Faizal Tahir. Lain pula Karl yang namanya mula bersinar sebagai pengacara televisyen selepas berjaya memancing perhatian umum menerusi program Hip TV dan kemudiannya On Air.

Hakikatnya, mereka berdua anak muda yang penuh semangat dan dinamik sebagai pemain teater.


Jelas Anas yang sememangnya sudah lama bergiat aktif dalam pementasan seni lakon ini menyifatkan peluang dan ruang buatnya dikenali sebelum ini tiada. Lantas Mentor umpama sebuah jambatan yang akan memudahkannya 'menjual' setiap karya yang dilakonkannya.


"Lama sebelum Mentor lagi, saya memang pelakon teater antaranya Juta-Juta, 1 Plastik Hitam dan beberapa pementasan lain namun semuanya hanya pada skala kecil tanpa publisiti. Namun bukan soal popular yang saya cari ketika itu, sebaliknya berlakon di pentas teater hanya untuk menterjemah minat dan kesungguhan yang akhirnya memberikan saya kepuasan.

"Bagaimanapun peluang untuk saya ke depan sebagai penyanyi datang lebih awal dan saya terima rezeki itu dengan hati terbuka. Alhamdulillah saya sudah boleh merangkak perlahan-lahan untuk membina nama dalam industri tempatan ini. Walaupun bukan sebagai pelakon teater, namun nyanyian juga satu cabang seni yang memang saya minat sejak dulu.

"Justeru, dengan adanya populariti dan sekurang-kurangnya wajah mula dikenali, ia mampu membantu projek khas teater skala kecil seperti ini untuk diberi peluang ke depan. Saya lihat itu satu tanggungjawab pula buat saya untuk memaut sekali nama teater pada saya bagi memastikannya dikenali dan mendapat sambutan baik," katanya.

Graduan jurusan Filem, Teater dan Animasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini bagaimanapun meletakkan keutamaannya pada nyanyian yang jelas menyerlahkan namanya ke tahap hari ini.

"Teater adalah aktiviti seni yang saya perjuangkan ketika di UiTM dan saya dapat rasakan bakat dan minat itu ada. Mana tidaknya, teater memberikan satu dimensi berbeza yang menterjemahkan keikhlasan dan rasa jujur daripada dalam jiwa. Membaca skrip, memahami mesej dan emosinya, saya menyifatkan pementasan teater adalah seni lakon paling realistik dan mengundang rasa puas yang berbeza.

"Namun selepas berjaya menyertai Mentor dan kini saya memikul komitmen kerja dengan Faizal Tahir terutamanya dalam proses pembikinan album dan rangka promosi, sudah tentu nyanyian ini dijadikan fokus utama. Teater pula saya letak sebagai hobi yang menjadi ruang terbaik untuk melepaskan tekanan dan pastinya hobi adalah sesuatu yang tidak mampu untuk kita tinggalkan.

"Faizal sendiri tidak pernah mempunyai masalah untuk saya sesekali berlakon cuma tidak kerap dan selagi tidak mengganggu fokus pada nyanyian," katanya yang kini sedang sibuk mempromosikan lagu terbarunya, Hanya Dirimu sentuhan Omar K dan Audi Mok.

Melakonkan watak Nuar, teman serumah Agus, lakonan Karl Shafek dalam teater terbitan MASK Team itu, anak muda berusia 23 tahun kelahiran Perak ini yakin ia satu lagi naskhah yang telus dan mudah diterima penonton.

Kawan-Kawan Yang Kita Suka mengangkat tema persahabatan namun dalam suntikan seni berlapik untuk menyindir yang mampu mencerminkan satu sisi berbeza daripada Anas.

Tambahnya, plot cerita dan pembangunan watak yang ingin disampaikan dalam Kawan-Kawan Yang Kita Suka jarang sekali dipersembahkan dan bukan produk sembarangan.

"Cabarannya kali ini saya perlu lebih berhati-hati bermain dengan emosi Nuar kerana perwatakannya sedikit misteri dan aneh, namun ada suntikan komedi dan ringan. Apa yang penting adalah karakter ingin cepat senang padanya membuatkan Nuar pentingkan diri sendiri. Penonton yang menyaksikan teater ini nanti akan nampak apa yang ingin diceritakan di sebalik sikap dan personaliti Nuar ini nanti," katanya.

Alih topik perbualan kepada Karl, jejaka berusia 32 tahun yang murah senyuman. Peluang menyertai sekali lagi dalam teater terbitan MASK Team selepas 1 Plastik Hitam tahun lalu adalah pengalaman paling manis kerana setidak-tidaknya dapat merealisasikan impiannya mengasah bakat lakonan.

Meskipun jadual hariannya padat dengan komitmen selaku pengacara dan lakonan, Karl yang popular ketika menyertai program Masterchef Selebriti, baru-baru ini mengharapkan Kawan-Kawan Yang Kita Suka mampu membuka peluang untuknya memperbaiki kesilapan lalu.

"Saya memang minat untuk berlakon teater kerana ia adalah institusi terbaik untuk belajar berlakon. Memahami skrip dan menterjemahkan mesej itu satu tanggungjawab yang besar dan di sini juga saya belajar melakukannya. Kawan-Kawan Yang Kita Suka memang satu naskhah hebat dan menarik dan saya bertuah kerana dipilih menyertainya.

"Kali ini saya melakonkan watak Agus, anak orang kaya namun bersahaja dan rendah diri. Ironinya, walaupun anak orang kaya, Agus masih terikat dengan kemelut berhutang iaitu dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Lantas mesej ingin disampaikan pada Agus adalah konflik berhutang yang kini bagai menjadi satu senario biasa kepada kebanyakan mahasiswa.

"Saya yakin dan percaya Kawan-Kawan Yang Kita Suka mampu memberikan sesuatu yang segar dan baru kepada penonton secara lebih telus dan jelas," katanya yang mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana meletakkan fokus pada sesi latihan teater ini.

Menyentuh soal kerjaya pengacaraan dan lakonannya, anak muda berjiwa besar yang muncul menerusi drama Dan Bila Esok, Lemang Sebatang dan program Ketupat Drop ini bersyukur kerana rezekinya murah sejak akhir-akhir ini.

Kawan-Kawan Yang Kita Suka yang menterjemah ideologi penulis skrip dan pengarahnya, Fasyali Fadzly ini mula dipentaskan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 9 September 2012.

Teater yang turut menampilkan dua lagi pelakon hebat, Fazleena Hishamuddin sebagai Fara dan Ameera Ramly menghidupkan watak Huda ini akan dipentaskan bermula jam 8.30 malam.

Sesiapa yang berminat ingin menyaksikan teater menarik ini boleh mendapatklan pas masuk dengan harga RM30 pada hari persembahan atau menghubungi Ajun di talian 012-2789352.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Sedia bergelar ibu

Posted: 04 Sep 2012 07:14 AM PDT

SEDANGKAN lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Bagi penyanyi pop soprano popular, Ning Baizura, kontroversi yang pernah melanda rumah tangga dan suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton (Chris) sebelum ini ternyata mengukuhkan lagi ikatan sedia ada.

Malah, pemilik nama sebenar Ning Baizura Sheikh Hamzah, 37, mengakui sampai masa–nya rumah tangga yang dibina selama enam tahun itu diserikan dengan kehadiran cahaya mata yang diimpikan setiap pasangan yang berumah tangga.

"Secara peribadi, saya dan Chris sepakat tahun ini adalah masa yang sesuai untuk kami merancang memiliki cahaya mata dan membesarkan lagi keluarga. Maklumlah, selama ini, saya dan Chris terlalu sibuk bekerja hingga kami belum bersedia untuk memikirkan soal anak.

"Bagaimana kami ingin memiliki anak jika tidak mempunyai rehat yang cukup dan sentiasa sibuk terkejar ke sana ke mari dengan pelbagai agenda seni yang sudah diatur? Nak dapat anak bukannya perkara yang boleh dibuat main-main kerana ia memerlukan perancangan yang betul.


"Apapun, saya memang sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk bergelar ibu. Begitu juga Chris yang sudahpun bersedia untuk memegang status bapa pada tahun ini. Namun, kita hanya mampu berusaha, merancang dan berdoa kerana semuanya bergantung pada soal rezeki dan ketentuan Tuhan," katanya.


Ning juga percaya, sekarang adalah masa yang tepat buatnya memikirkan soal anak kerana karier seninya kini lebih teratur apabila mempunyai pengurus baru, Aylwin Santiago, sejak tiga bulan lalu (bermula Mei).

"Saya dan Aylwin sudah kenal lama dan setakat ini, dia berjaya mengatur karier seni saya dengan baik seperti direncanakan. Aylwin tidak dapat hadir pada sidang media ini kerana dia terbabit dengan satu konsert yang tarikhnya sama dengan sidang media pelantikan saya sebagai duta produk Dr Backbone.

"Aylwin juga baru mengambil alih tugas menjadi pengurus saya daripada Chris, baru-baru ini. Chris menguruskan sementara karier seni saya dulu kerana dia lebih pakar dalam menyusun strategi pemasaran untuk mengukuhkan lagi karier seni saya sebagai duta produk dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, kata Ning, selepas berbincang mereka juga putuskan untuk Chris kembali bekerja demi masa depan yang lebih terjamin.

"Kini, Chris bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Sumatec Resources Berhad (syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia Securities Berhad). Saya juga percaya, kami lebih serasi berada di rumah berbanding dia menguruskan karier seni.

"Kami juga ada lebih banyak kualiti masa untuk bersama sebagai pasangan suami isteri di rumah apabila Chris kembali bekerja dan pada masa sama boleh serius memikirkan soal anak pula," katanya.

Ditanya soal pembikinan album solonya pula, kata Ning yang pernah muncul dengan bingkisan album Dewa, ia masih dalam proses perancangan lagi.

"Saya memang tak suka nak heboh kalau cerita itu masih dalam proses lagi dari segi pemilihan material dan komposer yang terbabit dalam album solo itu nanti. Bila sampai masanya, pasti saya beritahu pihak media dan peminat nanti," katanya.

Ning ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk kesihatan Dr Backbone daripada Million Board Industries yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, penasihat produk yang juga pakar bedah tulang, Dr Mohd Ismail Maulut dan pencipta produk, Jay dan pemilik syarikat, Nur Hafiza Zakaria. Penyanyi terkenal ini turut menghiburkan tetamu dengan lagu raya pada petang itu.

Pada majlis petang itu, pihak Hard Rock juga mengadakan kejutan dengan meraikan hari jadi Chris yang ke-38 tahun yang jatuh pada 30 Ogos lalu.

Ning juga meraikan majlis hari jadi Chris di sebuah restoran kegemaran suaminya di Bangsar bersama keluarga terdekat pada sebelah malamnya.

"Pada mulanya, saya nak buat kejutan untuk majlis hari jadinya tapi nampaknya sudah tak ada kejutan lagilah sekarang. Majlis hari jadi ini ringkas saja bersama keluarga terdekat. Saya juga ada 'hadiah istimewa' untuk suami tapi apa hadiahnya biarlah ia menjadi rahsia kami," katanya.

Mengulas pelantikannya sebagai duta Dr Backbone dengan kontrak selama dua tahun, Ning berkata, dia sudah mencuba produk itu selama enam bulan sebelum bersetuju untuk menjadi dutanya, sekali gus mempromosikan cara hidup sihat kepada masyarakat.

"Produk kesihatan ini membantu memudahkan kehidupan seharian kita yang sentiasa sibuk dan selalu terkejar-kejar ke sana sini. Jika kita dapat
mengambil masa tujuh minit bersenam menggunakan Dr Backbone, ia dapat membantu memelihara kesihatan tulang belakang dan postur bentuk tubuh wanita," katanya yang juga duta beberapa produk iaitu Neubodi dan Flow (Ning's Fling) selama enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Senduk berdarah

Posted: 04 Sep 2012 03:50 PM PDT

PASIR PUTEH: Penantian selama tiga jam seorang anak menunggu ibunya mengambil senduk kayu sebagai alat memasak hidangan jamuan Aidilfitri berakhir dengan kejutan apabila wanita itu ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Jebak, Jeram, dekat sini, semalam.

Lebih memilukan, senduk kayu yang sepatutnya diambil mangsa, Wan Kelthum Wan Hussain, digunakan penjenayah untuk memukul belakang kepala dan mukanya beberapa kali hingga peralatan memasak itu patah.

Secara kebetulan Wan Kelthum yang juga guru al-Quran mati dibunuh sehari sebelum usianya genap 68 tahun hari ini dan mayatnya ditemui cucunya, Nik Muhammad Imran Razali, 13, dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bilik tidur rumahnya, jam 1 tengah hari.

Sebelum itu, warga emas terbabit beredar dari rumah anaknya, Raja Zalilah Raja Husin, 40, yang hanya terletak kira-kira 100 meter, pada jam 10.30 pagi untuk mengambil senduk berkenaan.


Raja Zalilah yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram berkata, penyerang emaknya mengambil gelang tangan emas dipakai mangsa dianggarkan bernilai RM4,000 sebelum melarikan diri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Suami lanyak sampai lembik

Posted: 04 Sep 2012 03:50 PM PDT

IPOH: Seorang wanita muda nekad merakam aksi dia dibelasah suaminya selama hampir setengah jam sebelum rakaman itu dimuat naik ke Internet menerusi laman YouTube sehingga menarik perhatian lebih 35,878 pelayar.

Klip video bertajuk 'Suami Belasah Isteri' itu memaparkan mangsa, Amanda Fong Kim Yen, 19, yang mengandung dua bulan ditumbuk, disepak, ditampar dan dicekik suaminya yang berusia 20-an hingga cedera teruk.

Kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang 23 Ogos lalu di sebuah butik menjual aksesori dan pakaian yang diusahakan pasangan terbabit di Ipoh Garden South, di sini.

Rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu dimuat naik sendiri oleh Amanda ke akaun facebook (fb) miliknya pada 30 dan 31 Ogos lalu sebelum ia turut dimuat naik ke laman YouTube kelmarin.


Lebih mengejutkan, Amanda turut berkongsi pengalaman pahit itu menerusi catatan di laman facebook termasuk menyiarkan gambar kesan lebam dan luka akibat dibelasah suaminya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bas terpanjang dunia

Posted: 04 Sep 2012 08:58 AM PDT

LONDON: Bas yang terpanjang di dunia mula berada di jalan raya di Jerman minggu ini.

Bas yang dicipta oleh pakar dari Institut Untuk Sistem Trafik dan Infrastruktur Fraunhofer, berukuran hampir 30 meter dan mempunyai empat gandar stering serta boleh membawa 256 penumpang.

Bas besar yang fleksibel itu mula dipamerkan kepada orang ramai di Dresden minggu ini, tempat khidmatnya dengan pihak berkuasa pengangkutan tempatan akan digunakan untuk ujian percubaan.

Pihak berkuasa bandar raya Beijing dan Shanghai sudah memesan bas berkenaan yang berharga kira-kira RM31 juta setiap sebuah.


Berita baik untuk aktivis alam sekitar ialah ia boleh bergerak jauh dengan menggunakan kuasa elektrik.


Pengarah institut itu, Matthias Klingner berkata: "Terdapat banyak pengetahuan yang dicurahkan untuk menghasilkan bas ini.

"Kecekapan sistem komputernya sungguh tinggi. Inovasi AutoTram ini bukan terletak pada kepanjangannya saja, tetapi yang paling penting ialah keupayaannya untuk bergerak seperti bas biasa yang sepanjang 12 meter.

"Tidak ada masalah dengan pergerakan dan kestabilannya tetapi kami terpaksa melihat bagaimana bas sepanjang itu akan memberi kesan kepada keadaan trafik di bandar."

Bas itu menggabungkan kapasiti penumpang sebuah kereta api kecil dan pergerakan sebuah bas. Ia bergerak menggunakan enjin hibrid yang hidup apabila menerima kuasa daripada bateri elektrik, mengecasnya ketika ia menggerakkan kenderaan itu.

Pemandu bas tidak perlu mendapatkan lesen khas bagi memandu bas ini kerana ia menggunakan sistem pemanduan komputer yang unik yang mengawal kepanjangan bas selaras dengan gerabak di depan.

Sistem itu tidak mahal untuk dikendalikan dan lebih murah untuk menggunakannya berbanding sistem kereta api komuter, mendorong bandar lain untuk mendapatkan maklumat mengenainya.

Klinger berkata: "Autotram mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding sistem kereta api ringan."

Meskipun ia bas terpanjang di dunia, bas dengan kapasiti paling ramai ialah Siri New Liner buatan China yang mempunyai 300 tempat duduk dalam sebuah bas yang sepanjang 25 meter.

Bas seumpama itu diharamkan di beberapa laluan di London pada 2009 selepas di dapati ia menjadi punca kepada kebanyakan kemalangan.

Datuk Bandar London, Boris Johnson berusaha keras untuk menjual 31 bas itu selepas ia didakwa tidak selamat dan menggalakkan penumpang mengelak membayar tambang.

Perkhidmatan bas itu ditamatkan pada 2005 selepas tiga terbakar.

Akhirnya, kebanyakan bas itu dijual kepada Malta pada 2011. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Ibu lemas ketika selamat anak

Posted: 04 Sep 2012 08:54 AM PDT

BUDE: Seorang wanita mati lemas selepas dihanyutkan ke laut ketika cuba menyelamatkan anaknya, beberapa jam selepas khidmat petugas penyelamat di pantai berkenaan ditamatkan.

Wanita berkenaan yang berusia awal 50-an mandi di pantai Northcott Mouth berhampiran Bude di Cornwall Utara, bersama-sama anaknya apabila mereka menghadapi masalah.

Mereka dipercayai terperangkap dalam arus air pasang. Pengawal Pantai Falmouth berkata, wanita itu ditemui oleh dua lelaki.

Anggota penyelamat berusaha menyedarkan semula mangsa dan dia dihantar dengan helikopter ke Hospital Devon Utara tetapi diisytiharkan mati.


Anak lelaki mangsa berjaya diselamatkan sementara seorang lagi anaknya hanya dapat memerhati tragedi itu dari tepi pantai. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


SPRM siasat Sharbinee

Posted: 04 Sep 2012 04:02 PM PDT

ENGGAN dirinya disalah tafsir dan mahu membersihkan namanya, kesediaan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli yang merelakan dirinya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjadi realiti.

Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain berkata, siasatan ke atas penjaga gol berusia 25 tahun itu, kini dilaksanakan dan beberapa pemain termasuk jurulatih, Peter Butler sudah diminta memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.


Bekas penjaga gol kebangsaan yang kini digugur daripada skuad Penyu, mendapat perhatian SPRM selepas membuat kenyataan dalam media cetak dan elektronik yang dirinya sedia disiasat untuk membersihkan namanya.

Prestasi kurang memuaskan pemain itu yang melepaskan gol mudah ketika menentang Kedah dalam perlawanan kumpulan B saingan Piala Malaysia menimbulkan keraguan ramai terutama penyokong Terengganu.


Lebih malang, tindakannya itu mengundang rasa tidak puas hati Butler yang berang dengan aksi Sharbinee yang cuba menangkap bola tendangan sudut pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar, di minit ke-62 tapi akhirnya tertampan ke dalam gol sendiri.


Beberapa minit kemudian dia melakukan kesilapan sekali lagi apabila gagal mengeluarkan bola daripada kawasan penalti dikeluarkan dan diganti penjaga gol kedua, Shamiza Yusof pada perlawanan berakhir 1-1 itu.

Menurut Md Yusoff, bukan Sharbinee saja disiasat SPRM malah beberapa pemain lain juga berada dalam pemerhatian pihak berkuasa.


"Pegawai SPRM yang sentiasa hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium bukan saja memantau apa yang berlaku di padang, malah di luar juga," katanya.

Sementara itu, Sharbinee mengalu-alukan siasatan SPRM kerana mengaku tidak melakukan kesalahan kecuali cuai ketika cuba menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi lawan.


Katanya, dia tidak sengaja tertampan bola ke gol sendiri dan amat kesal serta sedih dengan apa yang berlaku kerana jaringan penyamaan Kedah itu menyukarkan hasrat mereka untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia.


"Saya tidak tahu mengapa nasib saya tidak berapa baik sejak beberapa perlawanan lalu seperti yang berlaku ketika turun bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, baru-baru ini," katanya.


Pada perlawanan itu, Sharbinee tiba-tiba diserang kegatalan yang teramat sangat 10 minit selepas masa rehat hingga pengsan seketika dan terpaksa dikejarkan ke hospital.


"Saya dikatakan mengalami alahan makanan atau ubatan, tetapi yang peliknya, saya tidak pernah mengalami alahan kepada mana-mana makanan termasuk udang.


"Namun saya reda dengan apa yang terjadi kerana tahu siapa diri saya sebenarnya dan sesungguhnya tidak pernah terbabit dengan rasuah bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Sasar ulangi magis

Posted: 04 Sep 2012 09:54 AM PDT

PENYANDANG juara, Joonas Granberg menanam tekad untuk mengulangi magis tahun lalu tapi menghadapi masalah untuk menenangkan dirinya menjelang saingan Worldwide Holdings Selangor Masters, hari ini.

Granberg, 25, dari Finland, sedar mesti mengawal perasaan gemuruh untuk mempertahankan takhta dimenanginya tahun lalu ketika berdepan cabaran hebat termasukd dari bintang meningkat naik Thailand, Panuphol Pittayarat yang muncul naib juara, tahun lalu.


"Saya perlu melakukan perkara mudah dan tidak cuba melakukan apa-apa yang luar biasa. Entah mengapa saya tidak berasa tenang. Saya perlu menenangkan diri sendiri," kata Granberg yang turut mencipta rekod lapangan dengan 10 bawah par 62 pada pusingan pertama, tahun lalu.

"Pusingan pembukaan tahun lalu amat menakjubkan. Saya masih ingat hanya mempunyai dua jam tidur kerana kepenatan penerbangan jauh tapi selepas melakukan eagle pada lubang pertama dan birdie pada lubang kedua, rasa mengantuk saya hilang. Sudah tentu, saya akan cuba melakukan magis sama sekali lagi." Panuphol, 19, yang menjalani analisis biomekanikal 3D di Switzerland minggu lalu, menaruh harapan gaya hayunan barunya akan mencerahkan peluang untuk menjulang takhta pertama Jelajah Asia.


"Saya begitu bersemangat selepas melakukan analisis biomekanikal itu kerana tahu apa yang perlu dilakukan dan kesilapan sebelum ini," katanya.


Pemain Thailand itu berkata, dia menganggap saingan kali ini lebih sukar, terutama dengan kehadiran pemain veteran seperti Mardan Mamat dari Singapura yang meraikan penampilan ke-300 di Jelajah Asia.

Mardan pula gembira kerana masih berupaya bersaing pada usia 45 tahun.


"Saya sangat bernasib baik dan mahu beraksi lebih baik setiap hari. Itu kunci kejayaan saya selama ini," kata pemenang tiga kali Jelajah Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved