Isnin, 7 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Penat lelah hampir 11 tahun berbaloi

Posted: 07 Jan 2013 09:39 AM PST

Melihat aksi ramai anak orang asing yang bukan saja ligat berenang malah mampu menyelam hingga ke dasar laut ketika bercuti di luar negara lebih 10 tahun lalu, menimbulkan kesedaran yang cukup kuat dalam diri Syed Abdul Rahman Syed Hassan, 47, untuk mencurahkan ilmu yang ada pada dirinya bagi mendidik anak bangsa.

Syed Abdul Rahman yang juga pengasas dan Pengarah Kids Scuba, membuat penyelidikan selama dua tahun pada 2002 dengan menjadikan anaknya sendiri, Sharifah Nadhirah, yang ketika itu hanya berusia lapan tahun sebagai pelajar pertamanya.

Hasil tunjuk ajarnya, Sharifah Nadhirah berjaya diiktiraf sebagai Penyelam Skuba Termuda PADI Seal Team yang pertama di Malaysia oleh Pejabat PADI Asia Pasifik berpusat di Sydney, Australia.

Kejayaan membanggakan itu seterusnya mendorong Syed Abdul Rahman untuk menubuhkan Kids Scuba iaitu pusat latihan skuba kanak-kanak Malaysia pada 2004. Ia bukan saja membuka peluang kepada kanak-kanak untuk belajar menyelam, malah turut memupuk aspek kesedaran untuk menjaga dan memulihara khazanah laut.

Foto

KANAK-KANAK teruja belajar menyelam.

Foto

ANTARA kanak-kanak yang belajar menyelam.

Foto

ANTARA kanak-kanak yang belajar menyelam.


Syed Abdul Rahman mengakui ketika melancong, dia sering melihat hanya kanak-kanak bangsa asing saja yang pandai menyelam lantas hatinya terdetik untuk melatih kanak-kanak tempatan. Ini kerana dia yakin mereka juga boleh menyelam sehebat orang luar, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk merasai sendiri pengalaman berada di bawah air.


"Apabila saya melihat anak saya mampu menyelam biarpun masih muda, saya berpendapat anak orang lain juga boleh melakukan perkara yang sama dan itu membuatkan saya yakin untuk menubuhkan pusat latihan skuba kanak-kanak.

"Saya mahu kanak-kanak di Malaysia turut berpeluang membabitkan diri dalam aktiviti popular di peringkat antarabangsa seperti skuba," katanya.

Mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam skuba, Syed Abdul Rahman sehingga kini sudah melatih lebih 1,000 pelajar termasuk daripada golongan kenamaan dengan dibantu 15 tenaga jurulatih dan pembantu jurulatih.

Atas usaha gigih Syed Abdul Rahman untuk membantu kanak-kanak serta orang dewasa mahir dalam aktiviti skuba, kejayaan demi kejayaan dirangkul Kids Scuba selain mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Lebih membanggakan, Kids Scuba pernah menerima pengiktirafan Anugerah Program Skuba Kanak-Kanak Terbesar Dunia di Bangkok, Thailand pada 2008 dan Anugerah Program Skuba Kanak-Kanak dan Skuba Kanak-Kanak Paling Cemerlang di Dunia yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2010.

Pada Julai 2012, Kids Skuba menerima Anugerah Pendidikan Penyelam Muda PADI di Ekspo Selam Antarabangsa Malaysia (Mide) bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Menurut Syed Abdul Rahman yang juga Jurulatih PADI Seal Team, tidak sukar untuk melatih kanak-kanak kerana mereka tidak mempunyai ketakutan seperti orang dewasa, sebaliknya tidak sabar-sabar dan bersemangat untuk belajar menyelam.

"Seperti kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya, kanak-kanak senang dibentuk dan selepas hanya lima kelas mereka sudah pandai menyelam," katanya.

Dengan pusat latihan di Putra Heights, Subang Jaya, pelajar dilatih menyelam di kolam terlebih dulu dalam kelas yang diadakan setiap Sabtu di pusat renang Akademi Latihan Maybank, Bangi.

Dia melatih kanak-kanak dan remaja dari usia lapan hingga 16 tahun selain golongan dewasa yang berminat untuk belajar skuba. Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak, mereka akan didedahkan dengan aktiviti berkenaan melalui kursus selama sehari dikenali sebagai Scuba Discovery.

Bagi kanak-kanak pula, mereka didedahkan menerusi kursus PADI Seal Team manakala remaja mengikuti kursus Laut Terbuka (Open Water) Junior PADI yang direka khas bagi membantu mereka mahir dalam aktiviti skuba.

Katanya, ibu bapa yang berminat juga boleh belajar menyelam kerana pihaknya menyediakan kursus Laut Terbuka untuk golongan dewasa kerana memahami mengenai keinginan mereka yang turut berminat selepas melihat anak mahir menyelam.

Selain latihan praktikal, Kids Scuba turut menyediakan pusat latihan bertemakan suasana dasar laut di dalam kelas bagi memberi maklumat mengenai aktiviti menyelam kepada mereka yang baru pertama kali ingin merasai pengalaman berkenaan.

"Kids Scuba juga menyediakan latihan lanjutan, menyelamat dan kecemasan untuk penyelam berlesen. Kami juga ada menyediakan kursus khas untuk melatih kanak-kanak menggunakan analogi khas menggunakan pendekatan teori dan praktikal," katanya.

Selepas kanak-kanak mahir menyelam di kolam, mereka kemudian dibawa ke pulau di sekitar Malaysia untuk dilatih menyelam pada kedalaman lima meter bagi kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun dan kedalaman 12 meter untuk remaja sehingga usia 16 tahun.

Setiap kali musim cuti sekolah, Kids Scuba turut menganjurkan kem di kepulauan menarik dan taman marin di sekitar Malaysia antaranya Tioman, Lang Tengah, Perhentian, Langkawi, Mataking, Mabul dan Sipadan.

Lebih membanggakan, pada Expo Penyelam Asia yang dianjurkan di Singapura pada April 2006, Kids Scuba mendapat Anugerah Rising Star untuk pencapaiannya melahirkan ramai penyelam atau Scuba Rangers di Asia dan penganjuran Kem Kids Scuba pada Mac 2005.

Pada 2006, Kids Scuba secara rasmi mendapat sijil sebagai Kelab Scuba Rangers paling banyak melahirkan penyelam di Asia Tenggara, sebelum menerima pula pengiktirafan sebagai kelab Scuba Rangers terbesar di dunia.

Pusat latihan menyelam yang sudah merealisasikan impian ramai kanak-kanak di negara ini juga menerima pengiktirafan antarabangsa melalui kerjasama program selam di Denmark.

Menerusi kerjasama berkenaan, satu-satunya sekolah menyelam untuk kanak-kanak di negara itu, Kids Scuba Denmark, kemudiannya diasaskan Nick J Visser, selepas menjalani latihan selama tiga tahun di Malaysia di bawah penyeliaan Syed Abdul Rahman.

Menurut Syed Abdul Rahman, latihan skuba yang diterapkan bukan kosong, sebaliknya ia memberi banyak manfaat kepada pelajar. Mereka mendapat kelebihan yang tidak ada pada semua orang selain dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

"Pelajar juga akan mendapat sijil yang membolehkan mereka mengambil kursus sesuai dengan laut seperti marin sains, marin biologi, kejuruteraan marin dan sains laut.

"Bagi mereka yang sudah sampai ke peringkat profesional iaitu Dive Master, mereka boleh bekerja dalam bidang skuba di mana-mana tempat di dunia kerana kursus disediakan Kids Scuba mendapat pengiktirafan antarabangsa," katanya.

Aktiviti skuba disiplinkan anak

Perubahan sikap anak yang lebih berdisiplin dan mendengar kata selepas didedahkan dengan aktiviti skuba antara sisi positif yang mengejutkan perunding teknikal, Zulkifli Abd Aziz, 36, dan isterinya, Hasnita Halim, 36.

Zulkifli mendedahkan dua anaknya, Danial Harris, 8, dan Danial Hafiz, 10, kepada aktiviti itu sejak Ogos tahun lalu untuk mengisi masa lapang mereka sekeluarga.

"Pada awalnya, saya dan isteri mencari aktiviti yang boleh dilakukan sekeluarga kerana selain mengisi waktu cuti dengan perkara bermanfaat, ia boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Kami kemudian teringatkan aktiviti skuba yang pernah disaran oleh jiran lama kami dan dari situ, bermulalah latihan skuba setiap minggu.

"Bermula dengan anak-anak, saya dan isteri juga sudah pandai menyelam dan sudah pergi ke beberapa pulau untuk skuba," katanya ketika ditemui baru-baru ini ketika melihat anaknya berlatih skuba.

Disebabkan kesibukan masing-masing setiap hari, mereka jarang menghabiskan masa bersama melakukan aktiviti keluarga dan setiap kali cuti, tidak tahu hendak membuat apa.

Jika sekadar duduk di rumah, ia sudah tentu membuang masa tanpa aktiviti bermanfaat kepada anak-anak atau ibu bapa. Selepas berfikir, tergerak hatinya untuk mencuba skuba dan tidak sangka ia serasi untuk mereka sekeluarga.

Hasnita yang juga seorang pensyarah berkata, paling menggembirakan dia dan suaminya apabila anaknya yang sebelum ini sering bergaduh kini menjadi rapat dan sering berbual mengenai minat mereka dalam aktiviti skuba.

Selain itu, agak mengejutkan kerana mereka juga secara tidak langsung menjadi lebih berdisiplin dan mengemas permainan dan bilik mereka tanpa perlu disuruh.

"Aktiviti skuba yang menekankan disiplin dan melakukan perkara dengan teratur membuatkan anak-anak saya secara tidak sedar mula mengamalkan tabiat positif itu.

"Lebih menggembirakan kami, anak-anak juga nampaknya semakin suka membaca terutama berkaitan laut dan tidak lagi banyak membuang masa dengan permainan video.

"Dulu anak-anak saya takut dengan air tetapi selepas mereka pandai menyelam, keyakinan diri mereka juga meningkat dengan mendadak," katanya.

Melihat perubahan positif anak-anak, pasangan suami isteri itu tekad untuk terus menjadikan skuba sebagai aktiviti riadah mereka sekeluarga.

Pensyarah, Samir Muhazzab Amin, 36, turut menghantar anaknya, Puteri Nur Dahlia, 9, dan Ahmad Zarif, 7, belajar skuba bagi mendedahkan mereka dengan aktiviti sihat serta membantu membina masa depan yang lebih baik.

Dia yang baru tiga minggu pulang ke Malaysia selepas melanjutkan pelajaran di Universiti Queensland, Australia selama tiga tahun, mahu anak-anaknya membiasakan diri dengan aktiviti renang.

"Ketika di Australia, anak-anak saya didedahkan dengan aktiviti renang yang menjadi silibus pelajaran di sekolah mereka.

"Apabila pulang ke sini, saya tidak mahu mereka meninggalkan aktiviti renang, jadi saya masukkan mereka dalam kelas skuba ini.

"Lagipun saya mahu anak saya mengalami sendiri perasaan berada di dalam air dan melihat keindahan ciptaan Tuhan yang begitu banyak di dalam laut," katanya.

Samir sendiri amat gemarkan aktiviti skuba dan rasa agak rugi kerana hanya mula terbabit dengan aktiviti itu ketika usianya sudah menjangkau 30 tahun. Justeru, dia mahu anak-anaknya merasai pengalaman itu sejak usia kanak-kanak lagi supaya mereka boleh memilih sendiri jalan karier masing-masing kelak.

Ng Ni Cxiang, 10, sangat gembira dapat belajar skuba kerana mampu melihat banyak ikan dan hidupan laut yang semuanya cantik memukau.

Dia yang sudah ke beberapa pulau untuk menjalani latihan skuba berkata, ibu bapanya memberi galakan kepadanya untuk terus aktif dalam aktiviti sihat itu.

"Apabila mengikuti kem skuba di mana-mana pulau, saya rasa seronok kerana dapat berkenalan dengan ramai orang dan dapat melihat keindahan laut di banyak tempat," katanya.

Seorang lagi pelajar cilik, Danial Hafiz, 10, mengakui walaupun baru aktif belajar skuba, dia semakin meminati aktiviti itu dan mahu terus menyelam kerana tertarik dengan kecantikan hidupan laut.

"Saya rasa gembira dapat belajar skil menyelam. Malah saya bercita-cita untuk menjadi juruterbang kerana saya mahu pergi ke banyak negara dan melakukan skuba di negara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Rizzini hampir putus asa

Posted: 07 Jan 2013 09:15 AM PST

Rizzini Alexis Gomez nyaris berputus asa dalam dunia pertandingan dan peragaan. Namun, inspirasi yang dicetuskan bapanya membolehkan wanita dari Filipina itu akhirnya berjaya menewaskan 55 peserta lain bagi merangkul mahkota Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2012/2013, hujung tahun lalu.

"Bapa saya sering me­ngatakan bahawa jika ingin memperoleh sesuatu, saya perlu menyimpan harapan dan mengharapkan yang terbaik.

"Dengan berpegang pada katanya itu, saya berusaha kuatkan diri dan semangat ketika menyertai pertandi­ngan Ratu Cantik Pelancongan Filipina hingga akhirnya berjaya ke tahap ini," katanya.

Rizzini, jururawat terlatih, tercicir daripada senarai peserta pertandingan Binibining Pilipinas 2012 dan tidak lama selepas itu gagal dicalonkan ke pusingan akhir pertandingan Ratu Dunia Filipina 2012.


"Saya rasakan mahkota itu sesuatu yang sukar dicapai dan mustahil untuk mendapatkannya. Ada empat anugerah sampingan yang diberikan sebelum final dan saya langsung tidak memenangi sebarang kategori.


"Saya cuba kekal positif tapi dalam masa sama secara perlahan-lahan saya cuba menerima apa jua keputusan juri tanpa ada rasa sedih dan kecewa," ujarnya yang disifatkan peserta veteran kerana menyertai pertandingan pada usia 22 tahun.

Lalu ketika dinamakan sebagai penerima anugerah Miss Sunway Charm sebelum pengumuman lima peserta terbaik, Rizzini menganggap ia sudah memadai untuk dibawa pulang ke Filipina.

"Semuanya berlaku begitu pantas. Selepas Anugerah Miss Sunway Charm, nama saya disebut untuk lima kedudukan terbaik. Kemudian disebut sekali lagi sebagai Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa untuk 2012.

"Apabila saya bangun tidur keesokannya, berulang kali saya tanyakan pada diri sama ada ia benar-benar berlaku. Saya lihat mahkota itu masih ada di meja solek dan nyata saya tidak bermimpi," katanya.

Selain mahkota, wanita berketinggian 172sm itu menerima biasiswa bernilai RM100,000 bagi memboleh­kannya melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Rizzini kini menghabiskan masa berehat di negaranya sebelum dijangka kembali ke Kuala Lumpur bagi menyertai aktiviti sosial yang menjadi salah satu tanggungjawabnya selaku duta pelancongan global.

Rizzini adalah peserta Filipina kedua yang merangkul mahkota itu selepas kejayaan Peachy Manzano pada tahun 2000. Sebelum Rizzini, Barbie Salvador muncul di kedudukan kelima terbaik pada saingan 2010 dan dinamakan Ratu Kosmopolitan Antarabangsa.

Hotel Sunway Resort & Spa menjadi lokasi utama final yang disertai tetamu kehormat seperti Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin Shah; Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz; Pengasas dan Pengerusi Sunway Berhad, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, Datuk Danny Ooi dan Datuk DJ Dave.

Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa adalah pertandingan kecantikan tahunan yang dikendalikan Yayasan Antarabangsa D Touch's Sdn Bhd.

Ia diperkenalkan pada 1994 di Kuching, Sarawak dan Malaysia menjadi tuan rumah setiap tahun kecuali pada 2006, di mana pertama kali ia dianjurkan di Guangzhou, China.

Lazimnya pertandingan diadakan sehari sebelum sambutan tahun baru dan menyaksikan penyertaan daripada lebih 50 negara dari benua Asia, Afrika, Amerika dan Eropah.

Filipina mencatat kemenangan terbanyak dengan dua ratu pada 2000 dan 2012, selain India (2001, 2008) dan Poland (1998, 1999).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Polis maut motor terbabas

Posted: 06 Jan 2013 02:31 PM PST

Petaling Jaya: Seorang anggota polis Balai Bukit Puchong, Subang Jaya, maut apabila motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika melalui lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran pusat beli-belah Empire Gallery, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Konstabel Khairul Naim Mohd Saudi, 25, yang menunggang motosikal Yamaha CRS 800 seorang diri menghala ke ibu negara meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dijalankan sebelum jenazah diserahkan kepada warisnya.

Foto

ANGGOTA polis mengangkat jenazah mangsa.

Foto

JENAZAH Khairul Naim dibawa ke PPUM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


M Nasir, Erra & Najwa terbang tinggi

Posted: 06 Jan 2013 09:56 AM PST

Merentasi 22 tahun usia Harian Metro mendam­pingi rakyat dalam membina jenama, hingga bergelar Akhbar Nombor Satu Malaysia, tiga wajah penghibur terkenal dari tiga zaman ini turut sinonim dengan kedewasaan akhbar ini mahupun detik pembaharuannya.

Datuk M Nasir, Erra Fazira dan Najwa Latiff dirasakan pilihan yang tepat untuk menggambarkan apa yang dilalui Harian Metro dan merekalah ikon dalam bidang muzik, lakonan dan nyanyian yang menjadi nadi dunia hiburan. Merekalah paling relevan.

Siapa tidak kenal M Nasir, seniman serba boleh yang mula terkenal sejak awal 1980-an bersama Kembara dan kemudian bergerak secara solo. Lagu karyanya bukan saja untuk diri sendiri malah sudah menaikkan nama terkenal seperti Alleycats, Datuk Sharifah Aini, Jamal Abdillah, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Search dan Hafiz.

Erra Fazira Wan Chek pula satu-satunya bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 yang paling berjaya membina nama dalam bidang seni tanah air yang sentiasa dijolok sebagai Primadona Moden Filem Melayu. Tanpa Erra Fazira tidak akan ada sejarah Sembilu sebagai antara filem Melayu terhebat pada carta 'box-office'.


Bergerak ke dunia siber, kini sejarah YouTube tempatan terukir bersama populariti Najwa Latiff, yang boleh dianggap antara remaja paling kreatif dalam penciptaan lagu bersama karya seperti Cinta Muka Buku dan Kosong.

Jom kita dekati tiga insan hebat ini.

RAP: Harian Metro bakal meraikan ulang tahunnya yang ke-22, Mac ini. Bagaimana anda bertiga melihat perkembangan ini?

M NASIR: Harian Metro sebuah akhbar yang sentiasa mengikuti peredaran zaman dan perubahannya sentiasa saya rasai. Tidak keterlaluan rasanya saya menyifatkan ia sebagai sebuah akhbar cukup sensasi dan mungkin itulah strategi perniagaan akhbar ini.

ERRA: Status Harian Metro sebagai akhbar terlaris membuktikan bahawa akhbar ini tahu apa yang masyarakat Malaysia mahukan. Sebagai artis, saya akui Harian Metro banyak membantu saya memperkenalkan nama dan memajukan kerjaya seni saya.

Mungkin ramai generasi sekarang tidak tahu pada 1991, Harian Metro adalah akhbar pertama yang menemu bual saya selepas saya muncul dalam satu majlis di sebuah hotel dengan motosikal berkuasa besar.

Ketika itu saya belum menyertai pertandingan ratu cantik dan wartawan pertama yang menemu bual saya adalah Roslen Fadzil yang sekarang sudah menjadi Pengarang Hiburan akhbar ini. Gara-gara diketengahkan Harian Metro, ada pihak terus merisik saya untuk menjadi artis. Itulah sejarah saya bersama Harian Metro.

NAJWA: Sebagai penyanyi baru yang dikenali menerusi YouTube, peluang yang diberikan Harian Metro sangat penting untuk memperkenalkan karier nyanyian saya di luar daripada Internet. Hakikatnya, tidak semua orang melayari YouTube, jadi bantuan pihak akhbar seperti Harian Metro cukup membantu diri saya. Kerap juga saya diundang menjayakan acara hiburan seperti Karnival Gegaria Harian Metro.

RAP: Isu atau artikel yang bagaimana sering menarik perhatian anda tatkala membaca akhbar ini?

M NASIR: Secara jujur saya membaca semua jenis bahan berita yang dihidang­kan baik dari isu semasa, hiburan hinggalah sukan. Penting untuk artis mendapatkan seberapa banyak ilmu.

ERRA: Selain berita-berita panas yang disiarkan, saya dapati Harian Metro selalu memberikan laporan terperinci berhubung sesuatu kes yang mana, hal ini mungkin tidak begitu diberi fokus dalam laporan lain. Dulu ada pihak berpendapat Harian Metro akhbar untuk golongan 'tipikal' Melayu tetapi saya pula tidak fikir begitu kerana ternyata usaha Harian Metro memperkenalkan Sisipan M sebagai satu pendekatan menarik minat golongan 'urban'.

NAJWA: Harian Metro, adalah akhbar yang cukup popular di kalangan penduduk di Johor. Sebelum bergelar artis, saya sendiri pun sering membaca Harian Metro dan sukakan ruangan hiburan.

RAP: Apa pandangan anda terhadap rakan artis dalam sesi fotografi ini?

M NASIR: Bercakap soal tarikan dan daya tahan, Erra ada semua kualiti yang membuatkan dia terus relevan di mata peminatnya. Najwa pula mewakili era masa kini. Terlalu awal untuk meramalkan jangka hayatnya dalam bidang seni. Namun mengambil kira usaha yang dilakukan, dia berjaya mencipta eranya sendiri.

ERRA: M Nasir bagi saya seorang legenda seni serba boleh. Seorang yang sangat dihormati dan beliau antara individu yang banyak me­nyumbang pada industri hiburan menerusi karya yang dihasilkan. Najwa saya sifatkan dia anak muda yang cukup bertuah kerana memperoleh jalan yang mudah untuk berada dalam industri hiburan. Dia hadir dengan gaya tersendiri. Tanpa perlu kelihatan 'extravanganza', Najwa tetap menawan peminat kerana bakat dan karyanya yang bersahaja.

NAJWA: Sewaktu Pegawai Perhubungan NAR Records memaklumkan saya akan menjalani fotografi dengan dua ikon Malaysia, Datuk M Nasir dan Erra Fazira, saya memang tak percaya. Tambahan pula dapat bertemu Kak Erra secara empat mata. Banyak filem lakonannya saya tonton termasuklah program Gugu Gaga Erra di Astro Ria. Lebih membuatkan saya terharu, kak Erra sempat ajar saya berposing.

RAP: Terus relevan meng­hiasi dada akhbar dan majalah (M Nasir – 3 dekad/Erra – 2 dekad) selama berkecimpung dalam bidang seni, bagaimana anda mengekal­kan populariti?

M NASIR: Saya sentiasa sensitif dengan perubahan termasuk kemahuan orang dan kemahuan diri sendiri dengan melahirkan karya yang disukai. Tidak semestinya mengikuti perkembangan saja, kalau boleh biarlah kita yang menjadi pencipta kepada segala pembaharuan yang ingin dilakukan. Sering kita mendengar, penggiat seni ingin melakukan perubahan tapi ada kalanya perubahan itu tidak menarik. Perubahan yang dilakukan haruslah mening­galkan impak kepada masyarakat.

ERRA: Saya percaya dari semasa ke semasa seorang artis harus mengikuti perkembangan industri, harus selalu 'up-to-date'. Usah lekas berasa puas dalam zon selesa. Sebagai artis, kita perlu sedar bahawa masyarakat sentiasa mahu melihat pembaharuan pada diri kita mahupun hasil kerja kita. Selain itu, hasil kerja yang baik dan jujur akan menjadi penentu jang­ka hayat kepada seseorang artis.

NAJWA: Rasanya saya tidak layak menjawab lagi soalan ini kerana saya baru setahun jagung berkecimpung dalam bidang muzik. Pun begitu, saya sangat berharap akan mampu pergi sejauh dua ikon seni yang amat saya hormati ini. Apapun terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dan tahniah buat Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Snap-Snap AJL27, tiga beradik bolot RM10,000

Posted: 06 Jan 2013 09:40 AM PST

Keberanian dan kreativiti tiga beradik menggayakan kostum ahli sihir melayakkan mereka untuk dipilih pemenang peraduan 'Snap-Snap' sempena Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Nurul Izzan Faizzah Idrus, 25; Nurul Izzah Farizzah, 26; dan Nurul Iffah Hazirah, 20, membawa pulang wang tunai RM10,000 dan cenderamata eksklusif AJL27.

Tiga beradik itu yang mengenakan kostum ahli sihir wanita berwarna hitam lengkap dengan topi, tongkat sakti dan penyapu terbang serta mekap seperti ahli sihir dalam filem Hollywood dipilih pemenang berdasarkan kreativiti, keberanian dan kelainan ditampilkan.

Peraduan bermula dalam sesi roadshow AJL27 dari 23 hingga 30 Disember lalu memerlukan peserta bergambar dengan aksi paling kreatif di arca terbesar AJL27 yang diletakkan di tiga lokasi berbeza iaitu Karnival Jom Heboh, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dan Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka.


Peserta kemudian perlu memuat naik gambar itu menerusi Instagram atau Twitter dengan menggunakan `hash tag' #AJL27.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Belasah polis, larikan van

Posted: 07 Jan 2013 12:26 AM PST

BUTTERWORTH: Sekumpulan tahanan dalam perjalanan dari Penjara Reman Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth, melarikan sebuah van polis selepas membelasah empat anggota polis pengiring di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth berhampiran susur keluar ke Pantai Bersih di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi, sebahagian daripada sembilan tahanan terbabit dikatakan mencetuskan kekecohan dengan bergaduh sesama sendiri menyebabkan kenderaan itu diberhentikan di tepi jalan dekat Pantai Bersih di sini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata empat anggota polis yang mengiringi tahanan terbabit turun dari kenderaan untuk meleraikan pergaduhan tahanan terbabit.

"Tiba-tiba seorang daripada tahanan membaling serbuk cili ke arah anggota kami sebelum melakukan serangan. Tahanan itu membelasah anggota terbabit dan meninggalkan mereka di tepi jalan sebelum melarikan kenderaan polis," katanya kepada pemberita selepas melawat empat anggota terbabit yang mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Seberang Jaya, petang tadi.


Abdul Rahim berkata, van polis itu ditemui ditinggalkan di Padang Cempedak kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian di mana tujuh tahanan melarikan diri manakala dua lagi tahanan tidak berbuat demikian dan ditahan semula.


"Kita percaya kejadian ini dirancang lebih awal dan pergaduhan sesama tahanan di dalam van berkenaan sengaja diadakan bagi melarikan diri," katanya menjelaskan gerakan memburu tahanan terbabit giat dijalankan terutama di sekitar Kampung Tun Sardon, Tasek Gelugor.

Polis juga mengeluarkan beberapa gambar suspek bagi memudahkan pegecaman dan meminta orang ramai menghubungi balai polis berdekatan jika mempunyai maklumat mengenai tahanan yang melepaskan diri itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Gol Suarez cetus kontroversi

Posted: 06 Jan 2013 03:22 PM PST

LONDON: Luis Suarez mencetuskan kembali isu menggunakan tangan untuk membantu Liverpool menumpaskan Mansfield Town 2-1, pada persaingan pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.

Suarez menjaringkan dua gol untuk memberikan Liverpool kelebihan selepas Daniel Sturridge menjaringkan gol pembukaan bagi kemunculannya yang kemudian menimbulkan kemarahan tuan rumah yang selepas itu membalas gol penyamaan menerusi Matt Green.

Pemain antarabangsa Uruguay yang terkenal sebelum ini kerana menahan insiden sama pada saingan suku akhir Piala Dunia 2010 ketika menentang Ghana, kelihatan menahan bole berkenaan tetapi pegawai perlawanan membenarkan jaringannya.

Liverpool kini akan bertemu Oldham Athletic untuk menempah tiket seterusnya.


Sturridge yang berhijrah dari Chelsea cuba untuk mencari gol pembukaan di Field Mill apabila melepasi Jonjo Shelvey dan menumpaskan penjaga gol Mansfield, Alan Marriott.


Marriott turut menafikan dua percubaan Sturridge pada babak pertama.

Mansfield turut memberikan tekanan ke arah gawang Liverpool apabila babak kedua bermula sehinggalah pasukan pelawat beralih kepada Suarez, yang kemudiannya memberikan gol kontroversi dan pertama pada minit ke-59.

Selepas melepasi dua pemain pertahanan awal, pemain itu memperoleh bola lantungan yang sebelum itu diselamatkan penjaga gol tetapi terkena tangan kanannya sebelum dia menyudahkan usaha itu dengan jaringan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Macam Thunderbird

Posted: 06 Jan 2013 01:39 PM PST

CALIFORNIA: Sebuah kapal yang akan merevolusikan pengangkutan kargo didedahkan. baru-baru ini.

Ia kelihatan seperti pesawat dalam siri televisyen, Thunderbird 2.


Pesawat 79 meter panjang itu, ML 866, boleh berlepas dan mendarat secara menegak serta mampu mengangkut barangan sehingga seberat 66 tan.

Prototaip ini yang dinamakan Dragon Dream berwarna hijau, sama seperti jet pengangkut Penyelamat Antarabangsa yang dikendalikan Virgil Tracy dalam siri kegemaran ramai zaman 60-an itu.


Pesawat itu yang dibina oleh Worlwide Aeros Corp di California dengan dibiayai tentera Amerika Syarikat dan Nasa akan menjalani ujian penerbangan sepenuhnya beberapa bulan lagi.


Ketua syarikat itu, Igor Pasternak berkata: "Anda boleh mengangkut banyak barangan pada satu masa dan terbang jarak jauh.

Foto

THUNDERBIRD 2 yang asal.

Ini adalah permulaan kepada penyelesaian pengangkutan global secara menegak, mungkin untuk 100 tahun akan datang. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Satu tangan jaga anak

Posted: 06 Jan 2013 01:34 PM PST

London: Andy, 36, bimbang dia tidak akan memperoleh anak kerana kecederaan teruk yang dialami selepas terpijak jerangkap samar dipasang Taliban di Afghanistan.

Tetapi, dia kini berbahagia menjadi bapa yang penyayang kepada William Alexander, menukar lampin, memberi makan dan menyarungkan pakaian kepada bayi itu hanya menggunakan satu tangan.


Andy yang dianugerah pingat Sun Millies pada 2010, berkata: "Saya sungguh bahagia melakukan tugas bapa. Ia sungguh menakjubkan. "Menjadi bapa adalah proses pembelajaran dan bukan mudah. Namun, saya sudah dapat menyesuaikan diri. William tidak meragam selagi dia kenyang! " Isterinya, Claire, 31, dari St Helens, Merseyside berkata: "Mereka sudah menjalinkan ikatan yang amat baik. Andy adalah bapa semula jadi. Dia tahu apa yang perlu dilakukan.

"Saya tidak terkejut. Apa saja masalah yang dihadapinya, dia akan mencari jalan untuk menanganinya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Chong Wei optimis pertahan kejuaraan

Posted: 06 Jan 2013 01:31 PM PST

Datuk Lee Chong Wei membayangkan saingan pembuka tirai 2013 di Terbuka Korea bakal menjadi miliknya meskipun persiapannya tidak cukup sempurna.

"Persiapan kurang sempurna, masa banyak dihabiskan untuk mengembalikan tahap kecergasan, lagipun saya baru saja berkahwin dua bulan lalu. "Tapi saya mahu pastikan kejuaraan tahun lalu kekal milik saya," kata Chong Wei yang ingin mempertahankan kejuaraan Terbuka Korea berstatus Siri Super Premier.


Sambil mengaku tahap kecergasan kini belum berada di tahap terbaik, Chong Wei berkata, kejohanan pembuka tirai itu menjadi penanda aras penting untuk saingan sepanjang tahun ini kerana dia tidak akan beraksi dalam semua kejohanan seperti sebelum ini.

"Tahun ini saya sasarkan kejohanan besar saja termasuk Kejohanan Dunia. Saya tidak kisah apa juga keputusan di sini (Korea) tapi lebih baik jika saya menang.


"Saya sukakan Terbuka Korea kerana ketika ini suhunya amat sejuk. Saya gemar beraksi di tempat sejuk kerana tenaga saya boleh bertahan lebih lama." Chong Wei membuka cabaran menentang Wang Zheng Ming dari China sebelum dijangka berdepan Chen Jin di separuh akhir dan Chen Long di perlawanan akhir, Ahad ini.


Tahun lalu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu menewaskan Lin Dan pada perlawanan akhir sekali gus membalas dendam ke atas juara Olimpik London itu dan kini memburu gelaran ketiga, selepas 2010 dan 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Messi pilihan utama

Posted: 06 Jan 2013 01:25 PM PST

Lionel Messi dijangka muncul pemain pertama memenangi anugerah Ballon d'Or buat kali keempat berturut-turut sekali gus melengkapkan statusnya sebagai pemain terhebat generasinya.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi pilihan utama untuk memenangi anugerah itu, mengetepikan pencabarnya iaitu rakan sepasukan di Barcelona, Andres Iniesta dan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.


Ia akan menjadi pencapaian terbaik pada permulaan tahun baru bagi pemain antarabangsa Argentina itu yang muncul penjaring terbanyak La Liga musim ini dengan meledak 25 gol selepas memperbaharui rekod 40 tahun Gerd Mueller sebagai penjaring terbanyak dalam tempoh setahun.

Dia menamatkan tahun lalu dengan menjaringkan 91 gol dalam semua pertandingan.


Namun Messi menegaskan, rekod jaringannya itu tidak bermakna jika Barcelona tidak memenangi kejuaraan La Liga atau gagal pada saingan Liga Juara-Juara.


"Amat menarik dapat memperbaharui rekod tapi yang penting adalah kemenangan pasukan. Sasaran saya adalah memenangi kejuaraan bersama pasukan ini iaitu liga Sepanyol, Piala Raja Sepanyol atau Liga Juara-Juara," katanya.

Messi tetap merendah diri menjelang pengumuman anugerah itu awal pagi esok di Zurich.


"Jika Iniesta menang, ia satu penghormatan atas segala sumbangannya selama ini," katanya.

Messi dan bekas bintang Perancis yang juga Presiden UEFA, Michel Platini, adalah dua pemain yang memenangi anugerah itu tiga kali berturut-turut sementara bintang Belanda, Johan Cruyff dan Marco Van Basten turut pernah memenanginya tiga kali.


Ronaldo yang juga kapten Portugal, mengaku dia pastinya gembira jika memenangi anugerah itu tapi tidak menganggap ia penamat segala-galanya jika tidak menang.


"Jika saya menang sudah pasti bagus. Jika tidak, saya tidak kisah. Memang saya mahu menang. Saya tidak mahu menipu atau bersikap hipokrit," kata penyerang Real berusia 27 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved