Jumaat, 28 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Galeri Seri Endon pembuka ruang

Posted: 28 Jun 2013 07:59 AM PDT

Batik dan masyarakat Melayu memang tidak dapat dipisahkan. Bak irama dan lagu, batik sejak dulu menjadi fabrik pilihan utama dalam keluarga Melayu, malah Cina dan India yang menyarung­kannya setiap hari.

Mengikut sejarah awalnya, batik mula diperkenalkan di Kelantan pada era 1910-an. Bagaimanapun, ketika itu rekaan dan pemakaiannya amat terhad sehingga pernah ke satu tahap di mana ia cuma boleh dipakai kerabat diraja sahaja.

Seiring dengan peredaran zaman, pemakaian batik kini tidak lagi terhad sebagai kain basahan atau kegunaan harian, sebaliknya menjadi salah satu koleksi rasmi pakaian kebangsaan.

Di samping usaha Yayasan Budi Penyayang yang memperluaskan pemakaian batik hingga ke persada antarabangsa, semakin ramai pereka muda mula membabitkan diri dalam seni rekaan batik ini.

Foto

KOLEKSI batik Aidilfitri 2013 serlahkan cetakan moden dan segar.

Foto

REKAAN eksentrik banyak diketengahkan dalam koleksi kali ini.

Foto

KEINDAHAN musim bunga cetus inspirasi Masrina dalam menghasilkan koleksi ini.


Dilatari elemen moden dan kontemporari, barisan pereka generasi baru ini nyata me­nyuntik ilham baru dalam arena penghasilan batik yang selama ini hanya dikuasai golongan warga emas.


Lebih menarik apabila pereka muda ini bukan hanya dalam kalangan Melayu tapi berjaya memikat pereka bukan Melayu menceburi bidang ini.

Buktinya ketika persembahan koleksi terkini Galeri Seri Endon, minggu lalu, yang me­nyaksikan dua pereka berbangsa Cina, Karl Ng dan Zoe Tan digandingkan bersama Jaludin Zaini, Jamilah Shukri, Khalid Shamsuddin, Masrina Abdullah dan Suhairi Marlina.

Menurut Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah, Galeri Seri Endon sentiasa membuka pintu kepada pereka tempatan yang mahu meningkatkan martabat batik di peringkat global.

"Galeri Seri Endon sentiasa mempersembahkan pereka lama dan baru yang mahu turut serta membantu mengekalkan budaya warisan kita ini.

"Selain itu, platform yang disediakan Galeri Seri Endon ini diharap dapat mengembangkan lagi bakat baru agar dapat berkongsi daya kreativiti dan produk yang ingin ditonjolkan," katanya.

Koleksi baru yang dihasilkan khusus untuk Aidilfitri ini dimulakan dengan tema 'Pop Art' oleh Jaludin Zaini. Pereka dari Sarawak ini bermain dengan rona pop lalu diterjemahkan pada batik dengan cetusan etnik segar dan moden.

Rekaan Jamilah Shukri menyusul dengan tema 'The Soft Shades of Borneo'. Rekaan etnik Sarawak ini dimanifestasikan oleh Jamilah dalam palet warna lembut dan pastel.

Baginya, palet warna itu menggambarkan rona alam semula jadi yang indah dan menenangkan.

Karl Ng seterusnya mengang­kat tema 'Mahsuri' yang me­ngadun rona alam seperti perang, hitam, kelabu dan biru.

Pereka senior, Khalid Shamsuddin kemudiannya tampil dengan tema 'Kool' yang menitikberatkan mainan warna dingin, selain ton hijau ­dengan suntikan merah jambu.

Keindahan musim bunga menjadi inspirasi Masrina Abdullah yang memper­sembahkan rekaan 'The Colours of Spring Allure' dengan teknik lapisan warna.

Suhairi Marlina pula kekal dengan Aboriginal Abstract yang menjadi tanda pengenalannya selama ini. Rekaan abstrak nyata menarik kala diadun pada batik yang membuatkan rekaannya seakan-akan penuh dengan unsur keremajaan.

Tema 'Simply Modern' pula menjadi platform Zoe Tan yang berpegang kepada falsafah ringkas, moden dan pantas. Zoe cuba lari seketika daripada motif flora dan daun pada batik tradisional lalu digantikan ­dengan cetakan eksentrik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Kaki selesa setiap langkah

Posted: 28 Jun 2013 07:48 AM PDT

Pemilihan kasut yang sesuai memainkan peranan dalam setiap aktiviti harian. Bukan saja perlu kelihatan bergaya ketika melangkah, malah keselesaan dalam setiap langkah itu paling diutamakan pemakai.

Tanpa mengira jantina baik si jejaka mahupun wanita, pastinya peng­gayaan kasut yang membantu melegakan tekanan pada kaki sentiasa menjadi pilihan.

Memahami kehendak yang sering diperkatakan ini, jenama kasut terkemuka, Scholl memperkenalkan beberapa koleksi kasut musim bunga dan panas 2013.

Mulakan lang­kah dengan gaya koleksi Edna. Siri ini direka anggun dengan dua ton warna dan reben feminin yang ideal untuk aktiviti santai ataupun bekerja. Ia dilengkapi penyokong lengkungan bagi memastikan keselesaan kaki sepanjang hari.

Foto

COMEL dengan pilihan sandal menarik.

Foto

MENARIK untuk gaya ringkas yang selesa.


Selain itu, rangkaian koleksi Elva pula menampilkan pelbagai pilihan kasut baji yang bukan saja membantu diri untuk kelihatan tinggi berbanding ketinggian asal tetapi selesa apabila digayakan.


Kedua-dua koleksi Edna dan Elva direka menggunakan teknologi sokongan Arch agar kasut yang dipakai dapat membantu merehatkan kaki walaupun digunakan dalam tempoh yang lama.

Bagi wanita yang inginkan gaya santai pula, pilihan rangkaian kolek­si Lidia dan E-va paling bersesuaian dengan diri.

Siri selipar platform Lidia diserikan dengan aksesori rekaan ­bunga berwarna kuning, ungu dan oren menghiasi bentuk selipar yang diketengahkan.

Sementara itu, bagi mereka yang menggemari kasut Biomechanics, rekaan koleksi E-va yang mengete­ngahkan warna piuter dan merah pasti menceriakan suasana.

Di samping itu, untuk si jejaka pula, koleksi rangkaian Festive tampil dengan rekaan kasut yang bergaya dan kemas serta disediakan dengan pilihan siap sarung ataupun bertali. Warna universal hitam dan coklat gelap menjadikan ia pilihan sesuai sepanjang masa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Mak nyah vitamin C

Posted: 27 Jun 2013 02:41 PM PDT

Kuala Lumpur: Kelicikan seorang mak nyah berusia 40 tahun menjual produk suntikan vitamin C tidak berdaftar melalui Internet sejak dua tahun lalu berakhir apabila rumahnya di Cheras, di sini, diserbu Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor (CPFS), semalam.

Hasil serbuan jam 10 pagi itu, pelbagai jenis produk suntikan vitamin C bernilai RM55,750 yang disimpan dalam sebuah bilik yang dijadikan sebagai stor, dirampas.


Ketua Seksyen Pencegahan dan Kesedaran Pengguna, CPFS Halimi Mat Piah berkata, pihaknya mengambil masa sebulan untuk menjejaki suspek berikutan alamat pengirim yang digunakan berbeza dan ada antaranya palsu.

"Sebaik menerima aduan awam, kami menjalankan siasatan dan seperti biasa menyamar sebagai pelanggan sebelum membuat pembelian bagi mendapatkan alamat pengirim pada bungkusan yang diterima.


"Bagaimanapun, taktik itu gagal kerana suspek sentiasa bertukar alamat dan semua yang tertera pada bungkusan itu bukan alamat miliknya," katanya.


Katanya, lebih merumitkan lagi apabila mereka turut menggunakan nama samaran pada akaun Facebook dan blogspot untuk mempromosikan dan memasarkan produk terbabit.

Foto

PEGAWAI CPFS merampas produk vitamin C terbabit.

Menurut Halimi, suspek menjual produk berkenaan RM200 hingga RM350 sekotak iaitu dua kali ganda daripada harga kos.


"Ramai yang tidak tahu sebenarnya tiada satu pun vitamin C dalam bentuk suntikan yang berdaftar dengan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) kerana tiada jaminan kualiti, keberkesanan dan keselamatan," katanya.

Difahamkan, suntikan vitamin C turut mempunyai kesan mudarat yang membahayakan kesihatan seperti cirit-birit, alahan, gastrik, batu karang dan masalah kegagalan fungsi buah pinggang sekiranya diambil dalam jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Rumah 'sampah'

Posted: 27 Jun 2013 10:14 AM PDT

London: Seorang tuan rumah terkejut mendapati rumah yang dibelinya dengan harga £450,000 (RM2.25 juta) menerusi satu lelongan berisi sampah sarap setinggi lebih satu meter setengah yang berlonggok selama bertahun-tahun.

Pemaju hartanah Mehmet Koch, 33, membeli rumah teres empat tingkat itu di utara London untuk dijadikan pelaburan bersama adiknya, Abbas.


Pasangan tua yang tinggal di situ sebelum ini tidak membenarkan Mehmet memasuki rumah itu sebelum dia membelinya. Apabila dia memperoleh kunci baru-baru ini, Mehmet terkejut mendapati rumah itu begitu semak sehingga dia tidak boleh menaiki tangga ke tingkat atas.

Mehmet yang syarikatnya, Kaya Properties memiliki 10 rumah di sekitar London, terkejut apabila membuka pintu rumah yang terletak di Finsbury Park itu.


"Saya sangka saya bermimpi. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini sebelum ini. Kami berkata sesama sendiri, Bagaimana kami hendak membersihkannya," kata Mehmet.


Setiap bilik penuh dengan baju lama, beg beli-belah, pembungkus yang terbiar dan surat khabar lama setinggi paras bahu.

Foto

KEADAAN rumah yang dibeli Mehmet penuh dengan sampah-sarap.

Foto

BAHAGIAN luar rumah Mehmet.

Mehmet tidak dapat menaiki tangga ke tingkat atas kerana ia juga penuh dengan sampah.


Lebih buruk lagi, rumah empat tingkat berkenaan tidak mempunyai bekalan air, elektrik atau gas dan berbau busuk.

"Kami simpati kepada mereka yang menetap di rumah ini sebelum ini. Bagaimana mereka boleh tinggal dengan keadaan seperti ini dalam abad ke-21?" kata Mehmet.


Menurut jiran, sepasang suami isteri berusia 70-an yang tidak bergaul dengan orang ramai menetap di rumah itu sejak 1960-an.


"Kami menjenguk rumah itu dari luar tetapi pasangan berkenaan yang tinggal di dalam tidak membenarkan kami masuk. Mereka hanya mengguna satu atau dua bilik rumah itu. Taman di luar dah macam hutan," katanya. - Dailymail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Gadis mengalir air mata darah

Posted: 27 Jun 2013 09:51 AM PDT

Purranque (Chile): Doktor di Chile bingung apabila seorang wanita mengalirkan air mata darah.

Yaritza Oliva ketakutan apabila kejadian ganjil itu mula menimpanya awal bulan ini.


Sejak itu, tanpa sebarang amaran, mata wanita berusia 20 tahun itu mengalirkan darah beberapa kali sehari.

Yaritza mengunjungi doktornya tetapi apabila tiada tanda jangkitan ditemui, dia disuruh pulang dengan diberikan ubat titis mata untuk menangani kesakitan yang menurutnya, tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.


Ibu bapa Yaritza meminta rakan dan jiran di Purranque untuk membantu mereka mengumpul wang secukupnya bagi membolehkan wanita itu dirawat pakar mata.


Bapanya, Jose yang bekerja sebagai tukang kayu, merayu dalam satu rancangan televisyen tempatan dengan berkata: "Letakkan tangan di dada anda, lihat keadaan kami dan bantu anak kami." Yaritza mungkin menghidap penyakit yang jarang berlaku yang dikenali haemolacria. Penyakit itu menyebabkan penghidapnya mengalirkan air mata mengandungi darah.

Setakat ini hanya terdapat tiga kes yang dicatatkan yang mungkin menjadi tanda kepada penyakit lebih serius atau ketumbuhan atau berpunca daripada paras hormon yang tinggi pada wanita subur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Presiden murka!

Posted: 27 Jun 2013 09:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah membidas segelintir pihak yang melemparkan kritikan mempertikai tugas badan induk itu tanpa berfikir panjang.

Menurutnya biarpun negara memiliki kebebasan bersuara, beliau berkata, ada masanya setiap komen yang ingin diberikan perlu difikirkan terlebih dulu sebelum memberikan pandangan masing-masing.


"Sudah tentu anda boleh memberi komen kerana Malaysia negara bebas untuk bersuara tapi fikir dulu implikasinya, adakah ia memberi faedah kepada FAM atau persatuan bola sepak lain di Malaysia ini.

"Sudah 28 tahun saya menjadi presiden dan saya yang memperkenalkan liga profesional di Malaysia, siapa yang memberi komen itu perlu tahu apa yang dia cakap, tidak kisah siapa anda dan jawatan yang anda pegang, anda perlu bersedia untuk menerima kritikan," katanya.


Sultan Ahmad Shah memberi kenyataan itu bagi menjawab kritikan dilemparkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang menganggap bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad tidak memahami situasi bola sepak negara apabila membidas sikap persatuan negeri kerana terlalu bergantung kepada sumber kewangan badan induk itu. Annuar berkata, FAM sepatutnya menghulurkan bantuan kepada persatuan negeri memandangkan mereka menjana pendapatan kepada badan induk bola sepak tanah air itu, antaranya menerusi penjualan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia kepada Astro bernilai RM30 juta setahun. "Untuk pengetahuan umum, FAM membelanjakan purata RM45 juta setahun untuk Liga Malaysia dan tajaan diterima dari Astro hanya RM30 juta. Ia tidak mencukupi. Mereka yang komen itu tidak tahu kesulitan dihadapi FAM kerana tidak berada dalam badan induk. Biarpun tidak cukup, kami perlu berkerja, segala urusan perlu diteruskan," katanya.


Annuar yang menjalani penggantungan 30 bulan akibat kritikannya terhadap prestasi skuad bola sepak kebangsaan, dilapor berkata pasukan yang terbabit dalam Liga Malaysia turut mempunyai hak ke atas wang itu dan bukannya milik FAM semata-mata.

Foto

SULTAN Ahmad Shah (kanan) pada sidang media di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Nombor 10 milik Tevez

Posted: 27 Jun 2013 08:45 AM PDT

Rome: Carlos Tevez meluahkan rasa bangganya selepas diberikan jersi ikon nombor 10 sebaik mengikat kontrak tiga tahun bersama Juventus.

Pemain Argentina berusia 29 tahun itu melengkapkan perpindahan ke kelab juara Serie A semalam selepas empat musim bersama Manchester City, malah sebelum melengkapkan ujian perubatannya di Turin dia dilihat berada di balkoni ibu pejabat Juventus memegang jersi nombor 10.


Jersi itu, yang sebelum ini digunakan penyerang terkenal Michel Platini, Liam Brady dan Roberto Baggio tidak digunakan sejak penyerang veteran dan bekas kapten Bianconeri Alessandro Del Piero meninggalkan Turin untuk ke Sydney FC tahun lalu.

Yuran perpindahan Tevez tidak diumumkan lagi namun difahamkan Juve melunaskan bayaran pendahuluan £10 juta (RM48.5 juta) kepada City sebelum dijangka meningkat kepada £12 juta (RM58.2 juta).


"Saya menyedari usaha keras Juventus untuk membawa saya ke sini.


"Saya berasa bertanggungjawab memakai nombor ini dan saya sedar tugas getir mewakili Juventus dan bermain buat kelab ini jadi nombor ini pastinya satu cabaran.

"Pemain ternama sudah memakainya sebelum ini dan saya memakai nombor 10 bersama Boca (Juniors) sebelum ini dan (Diego) Maradona turut memakainya, jadi ia satu tanggungjawab besar sekarang tapi saya akan melakukan yang terbaik.


"Sudah tentu saya tidak mahu melupakan Del Piero yang juga pemain terakhir menyarung jersi nombor 10. Dia seorang pemain dan individu yang amat saya hormati.

"Adalah menggembirakan dan bagaikan satu penghormatan menyarung jersi ini dengan nombornya." Tevez menangguhkan seketika percutiannya di Argentina untuk menyertai Juve dan sebaik tiba di lapangan terbang Malpensa di Milan semalam, dia disambut lebih 200 penyokong Bianconeri.


Dia akan menghabiskan percutiannya di Amerika Selatan selepas diperkenalkan secara rasmi semalam sebelum menyertai jurulatih Antonio Conte dan rakan sepasukan barunya bagi latihan pramusim pada 12 Julai ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Pembunuh Dirang dihukum mati

Posted: 28 Jun 2013 12:15 AM PDT

JOHOR BAHRU: Pembunuh Nurul Nadirah Abdullah, 4, atau Dirang iaitu Muidin Maidin, 25, yang akan ke tali gantung disifatkan sebagai penjenayah paling kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak berhati-perut.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman sebelum menjatuhkan hukuman terbabit berkata, manusia seperti tertuduh adalah amat bahaya berada di kelompok masyarakat.

Beliau berkata, tertuduh juga memiliki nafsu umpama binatang dan sanggup melakukan apa saja bagi memuaskan nafsunya.

"DNA kamu berada dalam anus (dubur) dan vagina (kemaluan) si mati.

Foto

Muidin (tengah) dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin


"Si mati adalah insan kerdil yang tidak mengerti apa-apa namun kami menekup mulut dan tekak hingga dia lemas dan tidak bernyawa.


"Kamu cuba melupuskan mayat dengan cara membakarnya di rumah terbengkalai dan kami menjangka kamu bijak," katanya.

Abdul Halim berkata, sebelum perlakukan demikian, Muidin mengumpan mangsa dengan gula-gula strawberi dan membawa mangsa ke arah kebun kelapa sawit.

Beliau berkata, pihaknya berasa mustahil kerana tiada penduduk yang tampil menyata mereka melihat tindakan Muidin sedangkan flat itu memiliki ramai penghuni.

Menurutnya, bagaimana pun sikap tidak berani, takut dan tidak mahu bercampur tangan dengan hal orang lain kerana bukan keluarga mendorong penduduk di situ (saksi) mendiamkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Tujuh tiket RM560

Posted: 27 Jun 2013 02:50 PM PDT

Kota Bharu: "Ini yang dikatakan 'Semangat Kelate'. Walaupun tiket berharga RM80 saya tetap beli demi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan.

"Bagaimanapun, saya harap isu ulat tiket dan jualan tiket habis dalam tempoh tidak munasabah tidak berlaku lagi pada masa akan datang," kata penyokong The Red Warriors, Mohd Amiruddin Mohamad, 25.

Penyokong dari Kampung Tiong, dekat sini, itu berkata dia terpaksa membeli tiket perlawanan akhir Piala FA daripada ulat tiket berharga RM80 sekeping, semalam.

"Saya membelanjakan RM560 membeli tujuh tiket daripada ulat tiket. Saya terpaksa membeli daripada ulat tiket kerana tidak berpeluang membeli tiket dijual di kaunter.


"Jika tidak beli tiket, sia-sia saja persiapan ke Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilakukan bersama rakan sebelum ini," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


1 Lawan Satu: Filem aksi identiti Malaysia

Posted: 27 Jun 2013 03:41 AM PDT

Ia bukan saja filem genre aksi pertama garapan pengarah muda Pierre Andre, tetapi 1 Lawan Satu turut mempertaruhkan barisan pelakon baru berbakat besar selaku teraju utamanya.

Filem terbitan MIG yang mula menjengah pawagam seluruh negara semalam ini menampilkan barisan pelakon iaitu Mikail Andre, Azlan Komeng, Fyza Kader, Along Eyzendy, Mimi Ernida, Putri Balqis dan Khatijah Tan.

Secara peribadi, Pierre yang lebih sinonim dengan genre seram dan romantik ini mengakui sudah lama mengimpikan untuk mengarah filem bercorak aksi.

"Sebenarnya, saya memang sudah lama berminat ingin menghasilkan filem aksi yang pernah dilakukan rakan pengarah lain seperti Syamsul Yusuf dan Farid Kamil, tetapi belum bersedia sebelum ini.

Foto

ANTARA babak menarik dalam 1 Lawan Satu.

Foto

PIERRE (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo (dua dari kanan) dan pelakn 1 Lawan Satu, Alonng Eyzendy, Mimi Ernida, Fyza Kader dan Mikail Andre.

Foto

MIKAIL sanggup turunkan berat badan dari 150 kg kepada 80 kg untuk berlakon dalam filem ini.


"Namun, bila sudah mengarah filem aksi ini saya berasa seperti sudah berjumpa sesuatu yang menyeronokkan pula," katanya.


Dari segi idea, Pierre akui dia juga mendapat inspirasi daripada filem aksi Korea Selatan dan Hollywood untuk menghasilkan filem berkenaan.

"Antara filem yang menjadi sumber inspirasi buat saya dalam menghasilkan filem ini ialah Fight Club dan banyak lagi. Saya tidak meniru filem itu, sebaliknya hanya mendapat idea dari filem berkenaan.

"Saya juga tidak mahu menggunakan khidmat kepakaran seni mempertahankan diri dari luar kerana tidak mahu filem ini nampak seperti filem aksi luar pula. Sebagai pengarah saya inginkan sebuah filem aksi yang beridentitikan Malaysia.

"Apa yang menarik, filem ini menampilkan sebanyak 80 peratus babak seni mempertahankan diri membabitkan muay thai, silat, taekwando, karate, tapoeira dan banyak lagi

"Walaupun ia filem genre aksi, tetapi saya tetap selitkan mesej kekeluargaan di dalamnya sebagai tarikan pada penonton," katanya.

Pierre ditemui di majlis pratonton filem 1 Lawan Satu yang berlangsung di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ditanya kenapa memilih adiknya sendiri iaitu Mikail Andre selaku teraju utama filem itu, Pierre berkata, dia yakin dengan bakat dan kesungguhan yang ada pada Mikail.

"Saya sudah nampak watak Radhi yang juga 'street fighter' dalam filem aksi ini tepat untuk dilakonkannya. Mikail juga sanggup berkorban menurunkan berat badannya dari 150 kilogram (kg) kepada 80 kg dengan tidak makan nasi selama setahun sebagai persediaan untuk menceburi bidang seni.

"Mungkin Mikail memiliki kelebihan dari segi lakonan, tetapi kurang dalam kemahiran seni mempertahankan diri, tapi dia sanggup belajar untuk menjiwai watak Radhi dalam filem itu.

"Sebab itu, saya seimbangkan kelebihannya itu dengan menggandingkannya dengan Azlan Komeng yang juga bekas juara silat kebangsaan," katanya.

Pada masa sama, kata Pierre, dia mengakui lebih selesa bekerjasama dengan pelakon baru kerana mereka tidak menimbulkan banyak masalah di lokasi.

"Kalau pelakon terkenal, kita kena ikut jadual mereka pula. Selain itu, pelakon baru seperti Mikail lebih mudah dibentuk berbanding pelakon yang sudah ada nama.

"Apapun, sudah menjadi cara saya memang tidak menjual nama pelakon untuk melariskan sesebuah filem sebaliknya jual cerita yang boleh diketengahkan, sejak dulu lagi," katanya.

Kecewa dengan klasifikasi 18PL

Selaku pengarah yang julung kali mengarah genre aksi, Pierre akui dia berasa sedikit kecewa kerana filem 1 Lawan Satu itu diklasifikasikan untuk tontonan 18 PL iaitu untuk tayangan penonton berusia 18 tahun ke atas oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Saya memang tidak harap pun filem aksi ini ditonton kanak-kanak berusia lima tahun, tetapi saya harapkan ia dapat ditonton golongan sasaran seperti remaja atau diklasifikasi 13 PL kerana aksi yang dipaparkan tidak ganas atau keterlaluan.

"Filem aksi ini juga untuk memberi kesedaran kepada golongan remaja supaya tidak menceburi gejala sosial yang tidak sihat.

Namun, saya terpaksa akur apabila LPF pula putuskan ia lebih sesuai ditonton golongan berusia 18 tahun dan ke atas," katanya.

Beralih soal kutipan pula, kata Pierre sudah pasti dia menaruh harapan tinggi filem 1 Lawan Satu itu mencatat kutipan yang bagus di pawagam.

"Maklumlah, filem yang dihasilkan sebelum ini seperti Chantek tidak mencatat kutipan seperti diharapkan," katanya.

Filem 1 Lawan Satu menceritakan Saleh dan Radhi yang berasal dari latar belakang berbeza, tetapi mereka dipertemukan dalam perlawanan Malaysian Super Fighter 2012.

Saleh yang dibesarkan dengan ilmu mempertahankan diri penuh di dada diwarisi daripada keluarganya terpaksa berlawan di gelanggang kerana ingin menyelamatkan adiknya Saleha yang hilang.

Manakala, Radhi pula berlawan kerana ingin menyelamatkan nyawa adiknya, Sara yang sakit tenat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Jac: 'Inilah diri saya'

Posted: 27 Jun 2013 03:26 AM PDT

Dibesarkan dalam kekuatan jiwa seorang ibu tunggal, Maggie Barrie membuatkan Jaclyn Victor gigih berusaha untuk menempa kejayaan dan berdikari. Apatah lagi, sebagai anak sulung dalam keluarga membuatkan Jaclyn harus bertanggungjawab.

Justeru, kesetiaan ibu yang sentiasa menyokongnya dari belakang diakui amat membantu Jaclyn yang mesra dengan panggilan Jac untuk cekal dan tak mudah mengalah.

Jadi, Jac tetap bersabar menunggu gilirannya muncul dengan album baru.
Kini, segala penantian itu sudah berakhir. Walaupun mengambil masa selama satu tahun setengah untuk album diidamkan itu siap dan menjadi kenyataan, Jac mengakui hasilnya amat berbaloi bagi satu penantian yang panjang.

Kelmarin, bertempat di Zouk, Jalan Ampang di ibu kota, Jac yang pernah popular dengan lagu Gemilang melancarkan kemunculan album terbaru, Ikut Rentakku yang juga album kelimanya sepanjang sedekad membina nama dalam industri muzik tanah air.

Apatah lagi, bernaung di bawah KRU Studios kini, Jac dapat melihat betapa perancangan peluang untuknya teratur dengan jelas. Bahkan, sebagai bukti Jac mendapat peluang untuk menghasilkan lagu duet, Magical Moment bersama kumpulan Az Yet dari Amerika Syarikat.

Jac berkata, mula-mula dimaklumkan mengenai kerjasama duet dengan Az Yet yang popular pada era 90-an itu, dia seperti tidak percaya kerana tidak pernah difikirkan langsung.

"Saya memang sangat teruja dapat bekerja de­ngan mereka (Az Yet) kerana inilah peluang keemasan saya. Tak dinafikan, pada awalnya saya memang terasa kerdil di dalam studio sewaktu bersama Az Yet untuk merakamkan lagu berkenaan.

"Namun, saya menjadi bersemangat apabila melihat mereka sangat profesional. Hing­gakan, saya yang mulanya berdebar-debar dan tak pasti kedudukan diri sebagai pe­nyumbang vokal kelima untuk lagu Magical Moment itu, akhirnya mampu melakukannya dengan baik.

"Justeru, dengan kegigihan yang saya lakukan untuk menyiapkan album ini, diharap mendapat sambutan baik peminat. Apa yang pasti, saya sangat berpuas hati dengan semua lapan lagu yang dimuatkan dalam album ini," katanya.

Ujar penyanyi berusia 35 tahun ini lagi, ternyata Edry selaku komposer yang bertanggungjawab menyumbangkan lagu untuk album itu berjaya memberikan sentuhan berbisanya, sekali gus menepati cita rasa dan kehendak Jac.

"Sudah lebih 10 tahun saya aktif dalam bidang nya­nyian. Semestinya, seiring dengan peningkatan usia itu, saya perlulah nampak lebih matang. Jadi, saya berbincang dengan Edry supaya album ini nanti adalah diri saya.

"Nampaknya, Edry tidak menghampakan saya dan jujur dikatakan saya sangat menyukai semua lagu dimuatkan di dalam album Ikut Rentakku ini. Apatah lagi, ia lagu yang mesra radio dan mudah mendapat perhatian," katanya.

Jac berkata, dia sangat suka bekerja dengan Edry kerana mereka mengutamakan perbincangan.

Katanya, Edry seorang yang banyak idea, namun pada masa sama, dia juga bersikap terbuka untuk mendengar setiap luahan pendapat orang lain.

Jac sudah minta izin Anuar Zain

Melihatkan rakaman istimewa lagu Sedetik Lebih yang turut dimuatkan sebagai salah satu single di dalam album Ikut Rentakku, ia menerbitkan tanda tanya mengapa perlu Jac merakamkan semula lagu yang pernah dinyanyikan Anuar Zain itu?
Jac berkata, Sedetik Lebih memang istimewa kepadanya kerana menerusi lagu itulah dia kali pertama menjalin kerjasama de­ngan KRU Studios.

Ujarnya, lagu itu memiliki lakaran sejarah sangat bermakna buat dirinya.
Apapun, menyedari lagu Sedetik Lebih itu pernah menjadi milik Anuar sebelum ini, Jac berkata, dia tidak berniat untuk bersaing atau mahu dibandingkan dengan vokal Anuar.

"Jangan cuba bandingkan cara nya­nyian saya dengan Anuar kerana kami saling menghormati antara satu sama lain. Bahkan, sebelum merakamkan semula lagu ini pun, saya lebih dulu menghubungi Anuar untuk meminta persetujuannya.

"Dia nyata seorang yang cukup profesional. Saya ingat­kan dia akan marah tetapi Anuar sebaliknya bersetuju dan memberi sokongan kepada saya kerana dia tahu cara kami berbeza. Saya juga sudah menjelaskan kepadanya takkan cuba meniru dia.

"Anuar pun memang meminta saya menjadi diri sendiri sepanjang merakamkan lagu ini. Jadi, saya harap peminat dapat menerimanya. Apatah lagi, rakaman istimewa ini dibuat juga bersandarkan kepada permintaan ramai," katanya.

Jac yang masih selesa meneruskan kehidupan solo berkata, apa yang berada dalam fikirannya kini adalah fokus terhadap karier.

Ujarnya, urusan peribadi seperti hasrat untuk mendirikan rumah tangga biarlah takdir menentukannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved