Selasa, 20 Disember 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Cawangan ke-28 Aeon

Posted: 19 Dec 2011 08:59 AM PST

RAWANG: AEON Co (M) Bhd (Aeon) membuka cawangan ke-28 pusat beli-belah itu kepada orang ramai di Anggun Rawang, Bandar Country Homes, di sini, semalam.

Lebih 5,000 membanjiri pusat beli-belah berkenaan yang turut menyediakan lebih 100 lot kedai, pelbagai restoran dan barangan khusus buat pengguna.


Tinjauan mendapati hampir semua lot kedai yang baru dibuka mengambil peluang membuat promosi jualan barangan sebagai satu tarikan kepada pengunjung.

Difahamkan ramai pengunjung mengambil kesempatan memohon cuti pada hari berkenaan bagi menghadirkan diri ke pusat beli-belah terkenal itu.


Pengunjung, Norhayati Alias, 42, berkata, pembukaan Aeon di kawasan itu sudah lama dinanti apatah lagi pelbagai kemudahan disediakan di samping lokasi strategik dan selesa.


"Saya lega dengan pembukaan Aeon di sini, setelah bertahun menunggu akhirnya saya tidak perlu bersusah payah untuk ke pusat beli-belah yang jauh seperti di Selayang dan Sungai Buloh.

"Dengan pelbagai jenis kedai yang disediakan saya berharap dapat melakukan segala urusan pembelian untuk keluarga. Disamping itu saya berharap, akan ada pejabat pos dan pusat pembayaran bil bagi memudahkan segala urusan yang boleh dibuat sambil membeli-belah," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

1,620 rumah mampu milik

Posted: 19 Dec 2011 08:58 AM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membangunkan beberapa kawasan perumahan awam (PA) baru bagi penempatan setinggan dengan menyediakan 1, 620 unit rumah mampu milik kepada mereka yang layak mendudukinya.

Datuk Bandar, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tapak pembangunan terbabit, namun ia memerlukan kajian terperinci bagi menentukan kesesuaian tapak berkenaan.


"Kami memerlukan sedikit masa dalam proses perancangan sebelum menjalankan projek seperti ini bagi memastikan kos pembangunan yang akan digunakan bagi tujuan ini nanti berada pada tahap munasabah dan berpatutan.

"Setakat ini, kos pembangunan yang dianggarkan bernilai RM230.8 juta dan bagi tahun depan, empat kawasan PA akan dibangunkan terlebih dulu membabitkan hampir RM35 juta," katanya ketika pembentangan Belanjawan DBKL 2012 di Menara DBKL, di sini, semalam.


Menurutnya, empat kawasan yang bakal memulakan pembinaan tahun hadapan adalah PA Kampung Wira Jaya, Setapak yang menelan belanja RM10 juta, PA India Settlement, kampung Pandan (RM10 juta), PA Sungai Udang, Segambut (RM5 juta) dan PA Kos Rendah Setia Jaya, Setapak (RM10 juta).


Sementara itu, beliau berkata, DBKL turut memperuntukkan RM5 juta bagi membeli 350 unit rumah yang ditawarkan YTL Corporation bagi tujuan sama iaitu sebagai penempatan 90 keluarga setinggan yang masih tinggal di kawasan Sentul dan selebihnya dijual kepada orang awam.

Pada masa sama, Ahmad Fuad berkata, RM121.64 juta turut diperuntukkan bagi membaiki dan menyelenggara rumah pangsa yang membabitkan kerja awam, elektrik, mekanikal, baik pulih lif serta kontrak pembersihan yang masih di bawah pengurusan DBKL.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Hobi pelik bekas madu

Posted: 19 Dec 2011 09:17 AM PST

KUALA LUMPUR: Dia cuma mahu mendapatkan nafkah untuk menampung kehidupan dua anak yang masih kecil, namun permintaan itu dikenakan syarat gila oleh bekas suami yang rakus memintanya terlebih dulu menyerahkan tubuh sebagai balasan.

Sedar dirinya terperangkap dosa zina, Elina, 39, pernah cuba menolak permintaan bekas suami, tapi akhirnya mengalah apabila lelaki durjana itu bertindak kasar dengan memecahkan pintu rumah dan mengugut mahu menyimbah asid ke wajahnya.

Tanpa sedikit rasa malu dan bersalah, bekas suami juga memaksa Elina menghalau dua anak lelaki mereka berusia satu dan empat tahun keluar rumah buat sementara waktu bagi membolehkan mereka melakukan hubungan seks sebelum wanita malang itu diberi 'nafkah' sekadar RM50.

Elina berkata, itulah penderitaan yang dilaluinya selama setahun lalu setiap kali ingin meminta wang saraan dua anak hasil perkahwinan dengan bekas suaminya sejak mereka bercerai penghujung 2010.


"Derita saya bukan sekadar hari ini, tapi bermula sejak dipaksa bekas suami menjadi isteri kedua secara senyap-senyap dengan alasan saya sudah banyak menghabiskan duitnya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Maut hantar jenazah

Posted: 19 Dec 2011 09:17 AM PST

RAUB: Dua lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Subang, Selangor, selepas menghantar jenazah ke Kuala Krai, Kelantan, terbunuh selepas van jenazah milik Masjid An-Nur Kampung Melayu, Subang, Selangor yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di kilometer 333, Jalan Raub-Lipis di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pemandu van, Zaini Tamsir, 42, dan penumpang belakang, Saffii Sajat, 61, masing-masing dari Kampung Melayu, Subang, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


Dua lagi penumpang iaitu anak Zaini, Zulhilmie, 15, yang duduk di kerusi penumpang depan, cedera ringan di telinga manakala penumpang belakang, Amran Sewa, 38, dari Jalan Merbau, kampung sama, patah tangan kanan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata siasatan awal mendapati, ketika tiba di tempat kejadian Zaini dipercayai hilang kawalan menyebabkan van berkenaan terbabas ke kiri dan terbalik apabila termasuk ke dalam longkang.


Menurutnya, akibat kejadian itu, Zaini dan Saffii meninggal dunia di tempat kejadian manakala Zulhilmie dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Raub (HR).


Namun, Amran terpaksa ditahan di wad hospital berkenaan kerana patah tangan.

Katanya, seorang daripada mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Raub yang mengambil masa beberapa minit.


"Kami tidak menolak kemungkinan kemalangan dipercayai akibat pemandu mengantuk kerana ketika kejadian keadaan cuaca baik manakala permukaan jalan kering.

"Jenazah mangsa sudah dituntut keluarga selepas bedah siasat selesai dijalankan di HR, petang semalam," katanya.


Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Zol tak mahu komen

Posted: 19 Dec 2011 08:10 AM PST

ANGIN kemelut dalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berterusan biarpun presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa hanya beliau yang layak memberi komen kepada media.

Kelmarin, S Rajasegram yang berstatus ahli majlis KOM, tampil sekali lagi dengan memberi kenyataan berhubung kemelut dalaman KOM sekali gus menjadikan isu KOM terus hangat.


Berdasarkan rekod Rajasegram dalam kesatuan itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong tidak mahu tampil memberi sebarang komen terhadap hak Rajasegram untuk bersuara.

"Rumah tangga mereka biar mereka uruskan. Presiden sudah mengeluarkan polisi jadi saya serah kepada kebijaksanaan presiden untuk menguruskan masalah ini.


"Saya tidak mahu masuk campur atau campur tangan lagi. Apa tindakan sepatutnya diambil oleh presiden itu terpulang kepadanya kerana ini bukan kali pertama Rajasegram tampil memberi komen," katanya. Rajasegram antara ahli kesatuan yang sering tampil untuk membidas segala kemelut yang melanda KOM justeru timbul persoalan siapa Rajasegram dalam KOM. Terdahulu satu kata sepakat dicapai ketika berlangsungnya mesyuarat Exco di Kangar, Sabtu lalu untuk membentuk "Jawatankuasa Imej" dalam usaha menjaga reputasi kesatuan itu daripada terus tercalar. Jawatankuasa itu akan menggubal garis panduan kepada anggota Majlis KOM serta atlet olahraga yang bernaung di bawah kesatuan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh diberitahu kepada media dan lanjutan daripada keputusan itu anggota majlis bersetuju hanya presiden yang boleh bercakap mengenai hal ehwal dalaman kesatuan dan larangan ini turut dikenakan terhadap Timbalan Presiden, Datuk Karim Ibrahim. Bagaimanapun, Rajasegram turus memberi komen dan selepas isu Noraseela Khalid, Rajasegram tampil mencabar bekas atlet negara Zaki Sadri yang dikatakan mengkritik pucuk pimpinan KOM untuk tampil bertanding dalam badan induk itu tahun depan.

Full content generated by Get Full RSS.

Eksperimen menjadi

Posted: 19 Dec 2011 07:55 AM PST

SKUAD Olimpik negara menamatkan siri jelajah di Sydney, Australia dengan cemerlang apabila menewaskan kelab Liga Australia (Liga-A), Central Coast Mariners FC 4-1 pada aksi persahabatan, semalam.

Pada perlawanan di padang Akademi Central Coast Mariners, Mingara itu, skuad kendalian Ong Kim Swee membuka tirai jaringan menerusi gol penyerang Ahmad Fakri Saarani di minit ke-13 selepas menolak masuk hantaran lintang Mohd Fandi Othman.


Bersambung babak kedua, Kim Swee membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan penyerang Ahmad Hazwan Bakri dan A Thamil Arasu.

Ternyata percaturan itu membuahkan hasil dengan pemain Kuala Lumpur, Hazwan meledak dua gol pada minit ke-48 dan 60 manakala Thamil menjadikan kedudukan 4-0 menerusi jaringan di minit ke-71.


Pendahulu Liga-A, Mariners yang menurunkan enam pemain dari skuad utama dalam perlawanan itu berjaya meraih gol sagu hati selepas percubaan Ben Jerman di minit ke-85 menewaskan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.


Bagi Kim Swee, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain kali ini selepas mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sydney FC pada aksi pertama sebelum tumpas 1-0 kepada Mariners dalam aksi terdahulu.

"Pemain bermain lebih baik berbanding ketika kita tewas 1-0 sebelum ini, banyak aspek positif kita dapat lihat terutama jentera serangan apabila penyerang Hazwan, Fakri dan Thamil berjaya menjaringkan gol," katanya.


Sementara itu, jurulatih Mariners, Graham Arnold memuji permainan yang ditunjukkan pemain skuad bawah 22 negara.

"Mereka mempamerkan permainan yang mengagumkan. Mereka masih muda dan jika terus dikekalkan dalam skuad ini dan terus diberikan pendedahan saya percaya mereka mempunyai masa depan yang baik," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Dua tahun tidak beraksi

Posted: 19 Dec 2011 06:44 AM PST

BERAKSI sebagai Murni yang juga watak utama dalam filem Penanggal, ternyata memberi impak yang cukup besar pada lakonan pelakon berwajah Melayu asli, Ummi Nazeera di layar perak.

Apatah lagi, pelakon kelahiran Kuala Lumpur yang juga pemilik nama sebenar, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin ini berpeluang bekerja dalam filem arahan pelakon dan pengarah berkaliber yang menjadi idolanya dalam bidang seni, Ellie Suriaty Omar.

Maklumlah, dalam filem lakonannya sebelum ini, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan filem epik terbitan KRU Studios, Hikayat Merong Mahawangsa, Ummi hanya sekadar bawa watak pembantu saja.

Dalam filem Penanggal, terbitan bersama Astro Shaw dan Grand Brilliance, Ummi bergandingan dengan heronya, pelakon Azri Iskandar yang juga suami Ellie.


Secara peribadi, Ummi mengakui watak Murni yang secara tidak sengaja mewarisi ilmu penanggal adalah watak berat yang pernah dilakonkannya dalam filem setakat ini.


"Sebenarnya, sudah dua tahun saya tidak berlakon dan peluang keemasan bawa watak Murni bagaikan pucuk dicita ulam mendatang.

"Pada mulanya, saya takut untuk bawa watak Murni tapi Ellie yang banyak membimbing dan memberi keyakinan pada saya bawa watak itu sepanjang di lokasi penggambaran. Sebelum penggambaran dimulakan, kami juga menghadiri kelas lakonan yang dikendalikan Ellie selama tiga hari," katanya.

Secara peribadi, Ummi mengakui sudah buat persiapan mental dan fizikal untuk melakonkan watak Murni seperti dikehendaki pengarahnya.

"Ia kali pertama saya bekerja dengan Ellie dan pada masa sama, memang banyak saya dengar cerita kontroversi mengenai dirinya termasuk dia garang tapi ia sebaliknya pula bila kami bekerjasama. Pada pemerhatian saya, Ellie seorang pengarah yang penyayang di lokasi.

"Walaupun Ellie mengandung empat bulan tapi dia aktif dan bertenaga sepanjang di lokasi penggambaran. Saya pula yang bimbang jika kandungannya terjejas kerana dia aktif seperti tidak mengandung.

"Ketika buat babak Murni yang terjatuh dalam lumpur dan hampir lemas pada hari pertama penggambaran, Ellie pula yang berlari pantas memeluk saya sebaik babak berakhir kerana dia bimbang jika ada perkara yang tidak diingini berlaku pada saya ketika itu.

"Saya juga tidak kisah masuk dalam lumpur kerana ia sebahagian tuntutan watak. Saya tahu, bukan saja babak masuk lumpur mencabar kerana setiap hari adalah cabaran buat kami sebagai pelakon bagi merealisasikan watak sebaik mungkin," katanya.

Bercerita lanjut mengenai karakter Murni, gadis malang yang tidak sengaja mewarisi ilmu penanggal daripada Mak Ajeng dan melarikan diri ke Kampung Jawa untuk perlindungannya. Ketika di sana, Murni didera orang kampung yang dapat tahu dia adalah penanggal.

"Murni adalah gadis yang keliru dan tiada pegangan agama. Apabila dia dengar bacaan surah Al-Ikhlas, dia hanya menarik kepalanya kerana dia tidak pernah diajar membaca ayat suci sebelum ini.

"Saya sudah mula jatuh cinta dengan watak penanggal selepas melakonkan watak itu. Saya percaya, penonton sendiri akan simpati dengan karakter Murni nanti yang mewarisi ilmu penanggal tanpa kerelaannya sendiri," katanya.

Filem genre seram Penanggal memulakan penggambarannya bermula 10 Disember lalu. Berlatarbelakangkan era 1930-an, penggambaran selama 45 hari dan dijangka berakhir pada penghujung Januari nanti. Ia membabitkan lokasi sekitar Hulu Langat, Taman Melawati, Banting, Kuala Terengganu dan beberapa perkampungan di Perak.

Ia dimantapkan lagi dengan barisan pelakon iaitu Fasha Sandha, Zul Ariffin, Normah Damanhuri, Latif Borgiba, Kuswadinata dan Fauziah Nawi.

Ummi mengaku sudah ada kekasih

SEKALIPUN enggan mengulas lanjut soal teman istimewa, Ummi mengakui hatinya sudahpun dimiliki seseorang ketika ini. Jejaka bertuah itu sama-sama menuntut dengannya di Melbourne. Ummi juga menuntut dalam jurusan Perniagaan dan Pemasaran di Royal Melbourne Institute of Technology di Australia.

"Kami berkawan sudah lama iaitu ketika sama-sama menuntut di Melbourne. Bagaimanapun, pengajiannya di universiti di Melbourne sudah pun selesai.

"Terus terang, saya berasa seronok sepanjang dua tahun menuntut di Melbourne dan pengajian juga berjalan lancar seperti direncanakan. Saya juga belajar erti hidup berdikari dengan menyewa kediaman bersama seorang rakan sepanjang pengajian di sana," katanya yang menyukai lelaki bertanggungjawab, menghormatinya dirinya dan rajin bekerja.

Ditanya sama ada keluarga menyokong minatnya berlakon, Ummi yang bercuti selama empat bulan di sini berkata, keluarga cukup memahami minatnya itu.

"Keluarga tidak ada masalah kerana saya berlakon ketika cuti semester dan pastikan ia tidak menjejaskan prestasi pengajian di universiti. Insya-Allah, saya akan menyambung lagi pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas membawa pulang segulung ijazah nanti.

"Setiap kali cuti semester, saya akan mengisi masa dengan berlakon di sini yang memang bidang yang sudah sebati dalam diri. Maklumlah, saya memang tidak boleh duduk rumah lama-lama, seminggu saja saya sudah berasa bosan dan rindu ingin kembali ke lokasi," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin
UMUR: 21 tahun
TARIKH LAHIR: 20 Ogos 1990
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon dan penuntut jurusan Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran, Royal Melbourne Institute of Technology di Australia
TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Nur Kasih, Pesona Bintang, Takdir Yang Terindah, Dinasti Bilut, Ali Din, Awan Dania, Klon Teja dan Kejar
FILEM: Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hikayat Merong Mahawangsa

Full content generated by Get Full RSS.

Darren kembali ke Warner Music

Posted: 19 Dec 2011 04:21 AM PST

SETINGGI-tinggi bangau terbang, akhirnya hinggap di belakang kerbau juga. Mungkin ini perumpamaan yang sesuai ditujukan terhadap Darren Choy Kin Ming.


Meninggalkan syarikat rakaman EMI dengan jawatan Pengarah Urusan pada hujung 2004 untuk menyertai Adidas (M) dengan jawatan sama, lelaki berusia 46 tahun ini dilihat seakan mahu meninggalkan terus bidang seni yang diceburinya sejak 1998.


Kariernya cemerlang kerana awalnya Darren memegang jawatan Timbalan Pengarah Urusan sebelum dinaikkan ke jawatan utama di EMI. Kecemerlangan itu diulangi lagi apabila sepanjang tiga tahun bersama Adidas, dia ditugaskan mengendalikan rangkaian pasaran di Malaysia dan Singapura untuk setahun.

Selepas itu, Darren dinaikkan pangkat mengendalikan pasaran Adidas untuk negara Asean kecuali Myanmar dan Kemboja. Dengan lamaran Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd (AirAsia), Tan Sri Tony Fernandes, Darrey beralih arah menyertai Pasukan Formula Satu (F1), Team Lotus dengan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif untuk pemasaran minuman tenaga jenama EQ8.

Namun, siapa sangka setahun di bumi Norwich City, Darren akhirnya kembali ke Malaysia apabila secara rasmi bergelar Pengarah Urusan Warner Music (M).

Tindakannya ini mungkin agak mengejutkan kerana Darren dilihat seakan selesa dengan jawatannya. Namun menurutnya, biarpun meninggalkan bidang seni hampir tujuh tahun, minat dan cintanya dalam bidang muzik tidak pernah padam.

"Waktu saya tinggalkan industri, pasaran muzik mula menurun. Tapi saya tengok pada 2005, ada model baru yang mula diterima iaitu Ring Back Tone, True Tone dan Wallpaper.

"Saya tak nampak muzik akan mati kerana pengguna perlukan muzik. Cuma, mentaliti orang kita anggap muzik itu sesuatu yang percuma.

"Saya tetap aktif berhubung dengan penggiat seni kerana Adidas bekerjasama dengan artis tempatan dalam penajaan. Saya anggap ia promosi bersilang kerana kami saling dapat mempromosikan diri masing-masing. Saya tak hilang 'contact' dengan artis. Lamaran Tan Sri Tony pula diterima kerana saya sudah lama kenal dia, apatah lagi dia pun percayakan saya.

"Kebetulan saya pun minat F1 dan ada banyak idea nak dikembangkan. Produk minuman tak pernah saya buat dan saya anggap ia cabaran besar. Bagusnya, saya berpeluang belajar benda baru. Usaha saya membuahkan hasil kerana jenama EQ8 sudah dikenali di sana dan masuk ke pasar raya besar," katanya.

Bagaimanapun, kerinduan terhadap keluarga yang menetap di Kuala Lumpur membuatkan Darren mengaku kalah. Sedar ini bukan minatnya yang sebenar, dia tidak teragak-agak menerima tawaran keluarga Warner Music yang mempunyai sejarah tersendiri dalam pembangunan muzik di negara kita pada 1 November lalu.

"Apabila balik ke sini, saya sedar akan cabarannya kerana banyak benda yang dah berubah. Namun saya percaya pengalaman sebelum ini boleh
diguna pakai dalam memajukan dunia seni.

"Walaupun syarikat rakaman besar semakin mengecil kerana penggabungan, saya tengok ada positifnya. Dari sini, syarikat hanya mengekalkan pekerja yang bagus dan boleh berikan hasil yang terbaik.

"Ini boleh menjimatkan kos pengeluaran. Apabila besar sangat, susah nak dikawal. Contohnya syarikat audit dan bank, lebih senang diuruskan apabila digabungkan. Semua perkara ini boleh berlaku. Saya juga dah sediakan pelbagai perancangan untuk dapatkan semula pulangan menerusi penajaan, konsert dan pelbagai sumber lain. Pulangannya memang ada.

"Untung kerana buat masa ini demam program realiti sudah tiada. Unit A&R akan bekerja mencari semula artis berbakat seperti Yuna. Tugas mereka lebih berat kerana perlu keluar mencari bukannya hanya ambil peserta program realiti. Tapi saya tetap hormat pada artis produk sebegini yang berbakat besar," katanya mengakui Warner Music melamarnya selepas menilai rekod kariernya yang cemerlang.

Menetapkan dalam industri seni mesti ada dua pakej iaitu rupa dan bakat semulajadi, Darren bercadang membuat perubahan agar unit domestik Warner Music yang mempunyai lapan artis lebih dikenali berbanding sekarang.

"Kalau boleh saya nak lihat Awi Rafael akan popular dalam tempoh lima tahun lagi. Begitu juga Jinbara akan lebih popular dalam tempoh tiga tahun. Kami bercadang nak hasilkan artis yang sesuai untuk pasaran," katanya yang mungkin akan bekerjasama dengan artis popular EMI yang kini bergerak sendiri.

Mengulas kerjasama dengan kakitangan Warner Music, Darren berkata, ada di kalangan mereka sudah dikenalinya sekian lama, sekaligus memudahkan perancangan yang diatur.

"Saya dah lama kenal Che Moq (Pengurus A&R Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad). Yang lain kebanyakannya kakitangan baru. Pada saya, ia bagus kerana mereka masih muda dan senang 'tangkap' apa yang diajar serta boleh tukar konsep dan mentaliti kerja.

"Mereka boleh belajar dan timba pengalaman daripada kakitangan senior," katanya
yang mahu menjadikan Warner Music syarikat rakaman yang melahirkan artis ikutan peminat.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Jong-Un pemimpin baru Korea Utara

Posted: 19 Dec 2011 08:21 AM PST

SEOU: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat serangan sakit jantung.

Kematian itu yang diumumkan media kerajaan Korea Utara semalam meletakkan negara yang bersenjata nuklear itu dan dengan penduduk yang berdepan dengan kebuluran dan terpencil dari dunia luar menghadapi krisis pewarisan dinasti kali kedua.


Pyongyang menggesa rakyat negara itu menyokong anak bongsu Kim, Jong-Un dengan menyifatkannya sebagai 'pewaris terbaik.' Seorang pembaca berita wanita mengumumkan dengan terisak-isak kematian Kim menerusi televisyen yang turut menyiarkan rakaman dari Pyongyang, menunjukkan penduduknya, tua dan muda, melutut sambil meratap kematian pemimpin itu.

Sementara itu, Korea Selatan meletakkan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga tetapi mendesak rakyatnya bertenang.


Penganalisis berkata, kekacauan besar tidak mungkin berlaku di Korea Utara, sekurang-kurangnya untuk masa terdekat ini.


Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, Kim mati 'akibat ketegangan mental dan fizikal' ketika menaiki kereta api dalam satu lawatan rasminya.

Agensi itu menggesa rakyat menyokong Kim Jong-Un yang berusia 20-an dan lulusan dari Switzerland. Anak bongsu mendiang Kim itu dilantik menjadi jeneral empat bintang tahun lalu serta diberikan jawatan kanan dalam parti.


Upacara pengebumian Kim akan diadakan pada 28 Disember tetapi tidak ada perwakilan asing dijemput. - Reuters

Full content generated by Get Full RSS.

Potong hidung, bibir isteri

Posted: 19 Dec 2011 08:19 AM PST

ISLAMABAD: Seorang lelaki memotong hidung dan bibir isterinya selepas pertengkaran besar mengenai perbuatan si isteri yang banyak menghabiskan masa dengan ibu bapanya.

Ghulam Qadir, 22, yang dikatakan mempunyai hubungan tegang dengan isterinya, Salma, 18, bertindak menoreh muka wanita itu dengan pisau Sabtu lalu di Karhana, kampung terpencil yang terletak kira-kira 475 kilometer ke barat daya Islamabad.


"Ghulam memotong hidung dan bibir isterinya sebelum melarikan diri," kata Nadir Khan, pegawai pentadbir daerah Musa Khel yang terletak di wilayah Baluchistan.

"Mereka sering bertengkar kerana si isteri lebih banyak menghabiskan masa bersama ibu bapanya," kata Nadir. Pasangan itu berkahwin setahun lalu.


Menurut Nadir, pihak berkuasa kini berusaha mennangkap Ghulam.


Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani mendesak supaya tindakan diambil terhadap kes itu.

Bagaimanapun, kebanyakan kes membabitkan keganasan terhadap wanita di Pakistan terlepas tanpa sebarang hukuman dikenakan terhadap pesalah.


"Ibu bapa si isteri membawanya ke hospital di Multan dan mangsa dilapor selamat," kata Penolong Pesuruhjaya di Muhsa Khel, Aftab Hasnain.

Rangkaian televisyen Express menyiarkan rakaman gambar Salma terlantar di hospital dengan hidung dan bibirnya berbalut.


Kumpulan hak asasi manusia berkata, wanita Pakistan berdepan dengan diskriminasi, termasuk keganasan rumah tangga dan pembunuhan 'menjaga maruah.' - AP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved