Ahad, 30 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Jangan terlalu ekstrem

Posted: 30 Sep 2012 08:42 AM PDT

MENGAPA pelan diet anda gagal? Ramai yang hendak mengurangkan berat badan mempunyai pelan diet tersendiri. Keazaman mengamalkan cara hidup sihat ini amat digalakkan agar menjamin masa depan yang sihat dan cergas.

Namun, masih ramai yang sering melakukan kesilapan diet seperti mengikuti program diet segera. Jika berjaya dengan cara ini, paling lama ia bertahan antara tiga hingga lima tahun. Selepas itu, berat badan kembali seperti asal.

Itulah yang dinamakan diet yoyo. Kesilapan dalam mengamalkan diet seperti ini kadangkala memberikan kesan negatif untuk masa depan. Justeru kali ini, mari kita lihat antara sebab pelan diet atau pemakanan anda gagal.

1) Melakukan diet 'kelaparan'

Diet yang mengehadkan penggunaan kalori ini mengakibatkan metabolisme anda menjadi perlahan. Bahkan, diet yang melaparkan diri ini merugikan pembakaran kalori. Menerusi diet berkalori rendah, bukan lemak yang dibuang, tetapi otot berdaging yang hilang lalu membuatkan kita lemah dan lesu.

Sebagai panduan, jangan mengambil kalori kurang 50 peratus daripada keperluan kalori seharian (DCR) anda untuk mengurangkan berat. Contohnya, jika DCR anda 2,400 kcal, jangan makan kurang daripada 1,200 kcal. Apa yang penting, anda harus makan kerap dengan jumlah sederhana untuk mengawal nafsu.

2) Terlalu ekstrem terhadap diet

Makanan lazat sepatutnya dinikmati, tetapi diet yang tidak enak akan melemahkan nafsu makan. Akibatnya, berat badan menjadi susut. Bagi saya, biarlah diet anda itu mempunyai konsep beri dan ambil.

Tidak semua pilihan pemakanan itu sempurna. Contohnya, jika hari Isnin hingga Jumaat anda menjaga diet dengan betul dan penuh disiplin, tidak salah kita memberi bonus pada diri sendiri ketika hujung minggu.

Kita harus memberi ganjaran dengan menyambut kejayaan mengawal pemakanan dan mengamalkan diet yang seimbang sepanjang tempoh berdiet. Tetapi harus diingat, anda perlu mengawal kualiti dan kalori makanan yang diambil. Kemudian, mulakan semula pelan diet pada minggu seterusnya.

3) Cuma makan tiga hidangan sehari atau melangkau makan.

Tiga hidangan sebenarnya tidak cukup untuk mengawal nafsu makan dan tidak dapat meningkatkan metabolisme. Paling kurang, makan lima kali sehari.

Ini tidak mengira sama ada anda ingin mengurang, mengekal atau menambahkan berat badan. Hendak makan malam juga boleh selagi bajet keperluan kalori seharian anda mencukupi. Selain itu, sesetengah orang meletakkan pelan diet mereka dengan mengelak daripada makan.

Jangan melangkau mana-mana hidangan terutama sarapan. Ia amat merugikan!
Sarapan itu penting untuk mencetus metabolisme harian anda. Jangan tunggu sampai di pejabat baru hendak makan. Makanlah sarapan untuk memastikan pembakaran kalori dilakukan seawal pagi.

4) Gagal mengawal nafsu makan

Cabaran paling besar adalah kawalan nafsu makan. Ia salah satu sebab pelan diet gagal diamalkan secara berterusan.

Kawal jumlah kalori pemakanan kita ibarat mengawal kewangan harian. Pastikan anda makan dengan kerap dan makan hidangan yang berkualiti serta cukup khasiatnya. Selain itu, kita harus tahu kuantiti makanan yang diambil seperti makan nasi hanya segenggam atau roti dua keping.

5) Kurang melakukan aktiviti riadah atau senaman

Walaupun senaman tidak wajib dalam usaha menurunkan berat badan, ia memberikan semangat dan lebih menyempurnakan diet anda.

Tambahan pula, pada masa sama kita menjadi cergas dan cerdas. Pengurusan berat badan bukan hanya mengenai penyerapan kalori (melalui makanan), tetapi juga melalui senaman.

6) Melakukan diet jangka masa pendek

Apabila mendengar perkataan diet, ramai menganggap ia sebagai suatu program pendek yang mungkin mengambil masa hanya 12 minggu, tetapi persepsi itu salah.

Diet sepatutnya menjadi amalan sepanjang masa. Definisi diet adalah amalkan pemakanan. Oleh itu, pastikan anda amalkan diet dengan betul dan bukan untuk jangka masa pendek sebaliknya sepanjang hayat.

Untuk peringatan, pastikan pelan pemakanan anda dibina berdasarkan ilmu pengetahuan yang bernas.

Pastikan juga anda faham dan mempersoalkan fakta sains di sebalik setiap diet.

Kesimpulannya, lakukan diet anda untuk jangka masa berterusan agar berat badan tidak akan turun atau naik secara mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Susu ibu elak alahan

Posted: 30 Sep 2012 08:00 AM PDT

ALAHAN terhadap makanan di kalangan kanak-kanak kecil bukan masalah baru, malah perangkaan menunjukkan masalah berkenaan semakin meningkat di negara membangun di rantau Asia Pasifik.

Menurut Pertubuhan Alahan Dunia (WAO), antara 30 hingga 40 peratus daripada masyarakat dunia kini terjejas akibat satu jenis keadaan alahan atau lebih.
Sekiranya gaya berkenaan berterusan meningkat tanpa sebarang langkah pencegahan, 50 peratus rakyat Malaysia dijangka akan mendapat sekurang-kurangnya satu jenis alahan menjelang 2020.


Pakar Pediatrik Alahan, Bahagian Alahan dan Imunologi Hospital Royal Children, Melbourne, Dr Ralf Heine, berkata peningkatan terkini itu pada asalnya memberi kesan kepada masyarakat Barat, tetapi ia kini semakin jelas di negara membangun seperti rantau Asia Pasifik.

Keadaan itu sesuatu yang membimbangkan kerana kanak-kanak kecil lebih mudah terdedah kepada penyakit alahan dan kebanyakan masalah alahan berlaku pada dua tahun pertama kehidupan.

"Saya menyarankan ibu bapa untuk mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar alahan dan lakukan langkah pencegahan dalam berhadapan dengan masalah alahan kanak-kanak.

"Strategi pencegahan alahan kini menjadi keutamaan dalam kesihatan awam selari dengan peningkatan terbaru alahan terhadap sesetengah jenis makanan dan penyakit kulit ekzema," katanya.

Antara strategi pemakanan yang efektif adalah kepentingan memberikan susu badan kerana ia mempunyai faedah dalam menentang keadaan alahan melalui cara menggalakkan toleransi oral.

Kumpulan pakar pediatrik juga mengesyorkan kepentingan bercerai susu dan pemakanan dalam mengurangkan masalah alahan selain peranan penting probiotik dan prebiotik bagi mencegah kewujudan masalah alahan di kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata, masalah alahan semakin meningkat, tetapi risikonya mungkin berbeza mengikut rantau seiring dengan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat.

"Ibu bapa dan semua golongan yang bekerja dengan kanak-kanak termasuk penjaga, pengasuh, guru dan pakar perubatan perlu diberi kesedaran dan pengetahuan mengenai maklumat terkini alahan memandangkan ada kes yang tidak wujud 20 tahun lalu, tetapi kini semakin meningkat," katanya.

Ibu bapa perlu dididik dengan tanda amaran alahan supaya dapat mengenal pasti sekiranya anak mereka mengalami masalah berkenaan.

Dr Heine berkata, masalah kulit ekzema yang selalunya wujud pada tahun pertama kanak-kanak boleh memberi petunjuk wujudnya alahan terhadap sesetengah makanan.
Contohnya, timbul ruam pada kulit anak dalam tempoh satu jam selepas diberi susu atau makanan dan kesan itu berlaku setiap kali selepas diberi minuman atau makanan yang sama.

Katanya, jika keadaan itu berlaku, ibu bapa perlu membawa anak berjumpa pakar pediatrik alahan bagi menjalani ujian darah dan kulit. Sekumpulan kecil makanan seperti telur, susu lembu, soya, gandum, kacang tanah, kekacang, ikan dan kerang mempunyai kadar alahan yang tinggi pada kanak-kanak iaitu sehingga 95 peratus.

"Kanak-kanak boleh menjadi alah kepada mana-mana makanan itu kerana kandungan protein di dalamnya sukar untuk dicerna oleh perut mereka.

"Namun mengelak terus daripada mengambil kumpulan makanan itu boleh meningkatkan risiko alahan lalu pendekatan terbaru adalah memperkenalkan makanan berkenaan sebelum usia kanak-kanak setahun dalam kuantiti yang sedikit dengan pengawasan pakar pediatrik.

"Ibu bapa tidak digalakkan melakukannya sendiri, tetapi merujuk serta dipantau oleh pakar bagi mengelak risiko alahan yang teruk," katanya.

Beliau berkata, jika salah seorang ibu atau bapa mempunyai alahan terhadap makanan, kemungkinan anak mengalami alahan juga meningkat, tetapi sekiranya ibu dan bapa ada alahan, anak mempunyai 70 peratus risiko mengalami alahan yang sama.

Katanya, jika hanya ibu yang ada alahan, risiko anak untuk mendapat alahan adalah antara 50 hingga 60 peratus dan meningkat sekiranya ibu dan bapa mempunyai masalah ekzema atau asma.

Namun jika hanya bapa atau adik-beradik lain ada alahan, maka kanak-kanak itu mempunyai risiko paling rendah untuk terkena alahan makanan.

"Tetapi gaya terkini menunjukkan walaupun di kalangan keluarga yang tidak merekodkan sebarang alahan, ada kanak-kanak yang mengalami alahan pada makanan dan ia semakin meningkat. Oleh itu, kesedaran perlu dipertingkatkan dan bukan hanya tertumpu kepada populasi berisiko tinggi," katanya.

Dr Heine berkata, ada sesetengah makanan didapati kini semakin kerap menyebabkan alahan dan semakin sukar dihadamkan tubuh seterusnya membuatkan gaya alahan juga semakin berubah.

Lebih menarik, melahirkan anak secara pembedahan Caesarean juga boleh meningkatkan risiko alahan anak kepada makanan antara 30 hingga 40 peratus. Ini kerana ia menghalang mereka daripada melalui saluran peranakan yang mempunyai bakteria baik yang memasuki perut dan merangsang sistem pertahanan badan mereka.

Beliau berkata, sebaliknya jika perut anak dimasuki bakteria yang salah, ia akan menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada masalah risiko alahan yang meningkat pada masa depan.

"Pendedahan pertama terhadap bakteria baik pada perut penting kerana ia dapat merangsang sistem imun tubuh kanak-kanak dan melindunginya daripada masalah alahan.

"Oleh itu, ibu perlu mengelak meminta untuk melahirkan anak mereka melalui pembedahan hanya untuk kemudahan mereka sebaliknya ia hanya dilakukan atas alasan yang betul, sekiranya benar-benar perlu dan membabitkan nyawa kedua-duanya," katanya.

Ramai juga ibu bapa semakin berminat mengambil tahu mengenai risiko alahan dan semakin ramai ibu yang bermotivasi untuk memberi anak mereka susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan pertama.

Ibu bapa juga perlu sedar mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil untuk mengelak anak mereka terdedah kepada alahan dengan memulakan pendidikan awal dan mencari sebanyak mungkin maklumat bagi mendidik diri sendiri.

Menurutnya, di New York, Amerika Syarikat, terdapat kajian yang menggunakan perubatan tradisional Cina dalam mencari penyelesaian kepada masalah alahan walaupun ketika ini tiada ubat yang dapat mengelak atau menyembuhkan alahan.

Oleh itu, mencegah lebih baik daripada merawat selain penyediaan rawatan lebih baik dan sempurna serta bertemu dengan pakar perubatan terlatih bagi mendapatkan rawatan kerana alahan juga dikategorikan sebagai penyakit kronik.

"Ia tidak boleh dipulihkan sepenuhnya, tetapi boleh dikawal jika diuruskan dengan baik dan dijaga daripada terdedah kepada faktor yang mencetuskan alahan.
Ibu bapa yang mempunyai masalah asma, ekzema dan demam alergi perlu merawat penyakit mereka dengan berkesan," katanya.

Dr Heine berkata, penggunaan probiotik iaitu bakteria baik juga didapati dapat merangsang sistem imun tubuh seterusnya mampu mengurangkan masalah kulit seperti ekzema pada kanak-kanak.

Beliau menyarankan wanita mengandung mengambil langkah mengurangkan risiko anak mereka terkena alahan iaitu dengan mengambil probiotik sepanjang kehamilan, suplemen minyak ikan dan menghindar daripada merokok.

Selepas melahirkan pula, katanya wanita disaran untuk memberikan susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya untuk enam bulan pertama, tidak memberikan anak makanan yang berisiko tinggi dan mampu mencetuskan alahan serta memperkenalkan makanan tambahan daripada semua kumpulan makanan secara sedikit dan perlahan-lahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Terlanggar anak sendiri

Posted: 29 Sep 2012 10:13 AM PDT

PADANG TERAP: "Sedangkan kucing pun kalau boleh kita elak, ini kan pula anak sendiri," kata Muhammad Uzair Zul, 22, bapa kepada Auni Iylia Aifa, 13 bulan, yang meninggal dunia selepas digilis kereta dipandu bapanya di pekarangan rumah mereka di Felda Lubuk Merbau, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, kanak-kanak terbabit dikatakan bermain di luar kawasan rumahnya yang terletak bersebelahan stesen minyak milik keluarganya sebelum dilanggar oleh kereta dipandu bapanya yang tidak menyedari kehadiran anaknya.


Menceritakan semula kejadian itu, Muhammad Uzair berkata, dia baru pulang dari Sik ketika itu dan tidak menyangka akan melanggar anaknya sebaik selesai mengisi minyak di stesen minyak keluarganya.

"Sebaik mengisi minyak, saya terus memandu sebelum terdengar satu bunyi seperti terlanggar kerusi.


"Saya segera menoleh ke belakang bagi melihat apa yang dilanggar, namun tiada apa berlaku hinggalah terdetik melihat di bawah kereta lalu ternampak tubuh anak saya di bawah kereta dengan kesan darah yang banyak.


"Ketika itu, saya hanya mampu bertakbir dan menjerit namanya dan meminta tolong ahli keluarga yang berehat di rumah," katanya di rumahnya, semalam.

Dia berkata, ibunya, Jamilah Ahmad, 45, yang berada di dalam rumah ketika kejadian, segera mendukung anaknya menuju ke Klinik Kesihatan Felda Lubuk Merbau, 50 meter dari rumah mereka.


Katanya, anaknya tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu akibat cedera parah di muka dan kepala.

"Saya terkilan namun menerima takdir ini dengan tabah," katanya.


Sementara itu, ibu mangsa, Nor Diana Amira Saidin, 20, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu manja dan sentiasa berada dalam kawalannya jika bermain di luar rumah.


Namun, katanya, pada petang kejadian dia tidak menyedari anaknya bermain di luar tanpa dikawal dan kejadian yang berlaku benar-benar di luar dugaan serta menyedihkan mereka sekeluarga.


"Saya meraung bagaikan 'dirasuk' selama satu jam sebaik melihat keadaan anak saya yang berlumuran darah sebelum ditenangkan ahli keluarga lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Cam pakaian abang

Posted: 29 Sep 2012 09:41 AM PDT

KUKUP: "Syukur Alhamdulillah, memang benar itu jenazah abang saya," kata adik mangsa lemas, Fatimah Mohd Johari, 41, selepas diminta membuat pengecaman terhadap mayat yang ditemui di hutan bakau di Pulau Kukup, di sini, jam 10.50 pagi semalam.

Fatimah diminta hadir ke jeti Kukup Laut untuk membuat pengecaman selepas dihubungi bomba dan penyelamat yang menemui mayat seorang lelaki terapung di celahan hutan bakau itu.


Menurut Fatimah, dia cam pakaian yang dipakai Isham, 45, walaupun sudah tiga hari tidak bertemu abangnya.

"Sebelum kejadian, sudah tiga hari saya tidak bertemunya. Selalunya, setiap kali abang hendak ke laut, saya akan berjumpanya.


"Bagaimanapun, pada hari kejadian, saya tidak berbuat demikian kerana sibuk dengan kerja. Saya benar-benar kesal kerana tidak berjumpanya pada hari berkenaan," katanya.


Menurut Fatimah, ibunya, Saodah Abdullah, 69, tidak dapat hadir ke jeti Kukup Laut kerana kurang sihat.

"Jenazah abang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penerok dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mengesan arwah selain memberi sokongan kepada kami sekeluarga," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Zulbahry Sulong berkata, jenazah Ihsam ditemui terapung oleh pihaknya di celah hutan bakau di Pulau Kukup.

"Mayat mangsa yang memakai baju T berwarna merah serta seluar berwarna gelap ditemui 4.8 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.


"Ketika menyusuri perairan Pulau Kukup, kami terlihat objek seperti badan manusia di celah pokok bakau dan apabila dihampiri, ia sah mayat manusia sebelum dicam sebagai Ihsam," katanya di lokasi kejadian.


Menurut Zulbahry, selepas pengecaman, jenazah dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan operasi mencari dan menyelamat disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung itu ditamatkan secara rasmi pada jam 12 tengah hari.


Kelmarin, mangsa dan rakannya, Khairul Kassim, 27, pergi menjaring ikan di perairan Laut Rambah sebelum mengambil keputusan pulang selepas dilanda ribut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


RM6,000 seminggu

Posted: 29 Sep 2012 10:44 AM PDT

KUALA LUMPUR: Bagi mendapat keuntungan segera dalam tempoh singkat, sekali gus mengelak kerugian jika diserbu pihak berkuasa, ada sindiket atau kumpulan tertentu memasang perangkap asmara kepada lelaki hidung belang yang kepingan gadis genit luar negara dengan menawarkan khidmat teman wanita sewaan melalui pakej 'kekasih kontrak'.

Caranya mudah, pelanggan hanya perlu membuat bayaran tertentu dengan harga serendah RM400 sehari dan harga berkenaan boleh mencecah hingga RM6,000 seminggu berdasarkan rupa paras dan kebijaksanaan pelanggan membuat tawaran.

Selain menjadikan pelancong dan golongan kenamaan sebagai sasaran, pihak terbabit kini mula membuka ruang kepada lelaki hidung belang tempatan untuk melanggan wanita berkenaan untuk hiburan.

Sebelum ini, pakej biasa sekadar memuaskan nafsu semata-mata kerana tempahan hanya untuk beberapa jam dan sehari perkhidmatan, tapi kini dengan pakej terbaru ini, wanita boleh disewa sehingga satu minggu, malah sebulan, asalkan bayaran mengikut persetujuan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Reda tolak tiga lamaran

Posted: 29 Sep 2012 10:41 AM PDT

KOTA BHARU: Pada usia 32 tahun, Yati (bukan nama sebenar) masih gebu, subur dan bergetah, namun sebab kelicikan suaminya dan kerenah birokrasi mahkamah rendah syariah, nafkah zahir dan batinnya terabai sejak lima tahun lalu hingga terpaksa menolak lamaran tiga lelaki.

Seperti wanita normal lain, terutama yang pernah mengecapi nikmat berumah tangga, Yati dari Pengkalan Chepa, di sini, seboleh-bolehnya mahu menikmati kehidupan lebih baik dan berpisah dengan suami yang tidak lagi dicintai, tapi tidak mampu berbuat demikian akibat kesalahan pihak lain.

Bukan saja tuntutan nafkah zahir dan batinnya tidak dipenuhi, dia terpaksa menghentikan persekolahan dua daripada tiga anaknya akibat kemiskinan selepas kes tuntutan cerai dan nafkah dirinya dan anak yang difailkan di mahkamah sejak 2007 belum selesai sehingga kini.

Yati berkata, dia memfailkan kes tiga tahun selepas melangsungkan perkahwinan apabila mengetahui suaminya penagih dadah.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Skandal gambar Kate berterusan

Posted: 29 Sep 2012 09:11 AM PDT

LONDON: Hanya dua minggu lalu, dunia dikejutkan dengan penyebaran gambar separuh bogel isteri Putera William, Kate Middleton oleh majalah Perancis.

Semalam, majalah gosip Denmark, Se og Hr menyiarkan lebih banyak gambar yang memalukan bakal Permaisuri Britain berkenaan yang dirakam oleh paparazi ketika pasangan terbabit bercuti di Provence, Perancis.

Tetapi kali ini, ia lebih teruk, gambar yang disiarkan termasuk menunjukkan Kate tanpa seluar dalam.

Gambar itu disiarkan majalah terbabit selepas ia mengiklankan janji untuk menunjukkan isteri William berbogel sepenuhnya minggu lalu.


Pengarang Se og Hr, Kim Henningsen memberitahu Belfast Telegraph sebelum ini: "Ia gambar unik seorang selebriti Kelas-A. Kami adalah majalah gossip paling unggul di Denmark dan sudah menjadi tugas saya untuk menyiarkannya.


"Jika keluarga diraja Britain ingin menyaman, kami terima dan kami akan menanganinya."

Majalah Perancis, Closer yang mula menyiarkan gambar separuh bogel Kate sudah menerima arahan mahkamah supaya tidak menyiarkannya lagi.

Malah, tiga hakim Perancis mengarahkan majalah itu menyerahkan setiap salinan digital gambar itu serta diarah membayar kos perundangan.

Bagaimanapun, ramai yang menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan tidak bermakna untuk William dan Kate kerana ketika itu, lebih 500,000 naskhah majalah itu sudahpun terjual.

Tambahan pula, keputusan itu hanya membabitkan Closer.

Dalam pada itu, majalah gosip Amerika Syarikat, Gawker, semalam turut menyiarkan gambar seperti yang terkandung dalam Se og Hr. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Buah berisi dadah

Posted: 29 Sep 2012 09:09 AM PDT

LONDON: Penyeludup menyumbatkan kokain seberat 7.5 kilogram bernilai RM3.8 juta ke dalam buah yang sudah dikorek isi dalam usaha menyeludupnya ke Britain dengan pesawat.

Pegawai kastam di Lapangan Terbang Heathrow menemui dadah itu tersembunyi di antara bungkusan buah dan sayur selepas memeriksa barangan yang tiba dengan pesawat dari Ghana, minggu lalu.


Kokain itu disembunyikan dalam buah berbentuk pusang (gambar). Isi buah itu dikorek keluar dan disumbat dengan dadah berkenaan sebelum ia dilekatkan semula dan dimasukkan ke dalam kotak bersama-sama buah lain.

Pegawai percaya kumpulan sama bertanggungjawab menyeludup 1.5 tan ganja yang disembunyikan dalam penghantaran buah dan sayur, juga dari Ghana, yang ditemui di lapangan terbang sama, sehari sebelumnya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Raja Bola dalam kenangan

Posted: 29 Sep 2012 09:20 AM PDT

KEHEBATAN Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat di atas padang sebagai pemain lebih banyak diperkatakan berbanding kariernya sebagai jurulatih.

Pelbagai kejuaraan dikecapi Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung Jumaat lalu sebagai pemain tidak kira di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia.


Gelaran Raja Bola yang diberikan Persatuan Bola Sepak Selangor, kekal hingga ke akhir hayat apatah lagi dengan kehebatannya di padang meletakkan Selangor sebagai pasukan terkuat di Malaysia ketika itu. Beliau turut mencatat rekod dengan 34 gol dalam sembilan perlawanan pada 1960.

Namun selepas bersara sebagai pemain, Allahyarham memulakan karier sebagai jurulatih apabila mendapat lesen pada 1969 dan menjadi jurulatih kebangsaan dari 1971 hingga 1976.


Selain itu Allahyarham turut menyumbang segala pengalamannya dengan membimbing Selangor pada 1970-1972 dan 1983-1984 untuk muncul pemain dan jurulatih yang memenangi Piala Malaysia.


Bagi bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Azlan Johar, Allahyarham mempunyai sentuhan magis sebagai jurulatih bukan saja dalam menggilap kemahiran pemain di atas padang malah dalam aspek kehidupan.

"Allahyarham yang memberi peluang kepada saya bermain dengan Kelab Sultan Selangor pada 1979, ketika itu saya baru berusia 16 tahun. Dalam tempoh tiga tahun saja di bawah bimbingan Allahyarham, saya berjaya menyertai Selangor dan pasukan kebangsaan. "Bagi saya Allahyarham adalah seorang jurulatih yang mempunyai magis bukan hanya mendidik pemain tentang bola sepak tapi juga mengajar untuk menjadi manusia yang baik. Sebut saja nama pemain-pemain hebat dulu seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Shukor Salleh semuanya berguru dengan Allahyarham," katanya yang ditemui pada majlis pengebumian jenazah Abdul Ghani di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 petang Jumaat lalu.


Menurut Azlan, Allahyarham yang dilahirkan di Negeri Sembilan seorang yang suka berseloroh dan mengambil berat rakan-rakan seperjuangan dan bekas pemain yang dilatihnya.

Sehingga kini, beliau masih berpegang kepada kata-kata Allahyarham : "Setiap langkah yang kita atur, kita lakukan untuk diri sendiri, ibu-bapa dan keluarga." Bagaimanapun, Azlan berkata, Allahyarham juga tidak menyembunyikan kekecewaan mengenai perkembangan bola sepak kebangsaan ketika ini. "Allahyarham kecewa dengan bola sepak negara, kita lebih suka bagi alasan daripada memberi pandangan," jelasnya.


Sementara itu turut berkongsi kesedihan dengan pemergian Abdul Ghani buat selama-lamanya adalah Chin Aun yang pernah menimba ilmu dengan Allahyarham ketika menyarung jersi Selangor pada 1970.


"Saya kenal beliau sejak kecil, saya anggap beliau sebagai abang. Bagi saya, pemergiannya satu kehilangan cukup besar kepada bola sepak negara," katanya.


Rakan seangkatan Chin Aun, Santokh yang turut hadir pada majlis pengebumian itu bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh yang cukup disegani itu turut menyatakan kesedihan.


"Beliau adalah jurulatih pertama saya bagi Kejohanan Remaja Asia 1972 di Bangkok. Beliau mengajar pemain-pemain erti kesungguhan, disiplin dan dedikasi untuk mengharumkan nama negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Podolski rela tak disanjung

Posted: 29 Sep 2012 09:15 AM PDT

LUKAS Podolski masuk ke bilik di pusat latihan Arsenal dengan menyarung kemeja T bergambar Mike Tyson.

Bintang Jerman itu amat meminati sukan tinju, masih belum bertemu idola sukannya itu biarpun menganggap seorang lagi ikon sukan sebagai teman rapatnya.


Podolski berasal dari Bergheim, tidak jauh dari Cologne, 25 minit pemanduan dari bandar dipanggil Hurth yang melahirkan pelumba Formula Satu, Michael Schumacher.

Bagaimanapun, sewaktu harapan Schumacher untuk kembali menakluk litar semakin pudar, Podolski pula memecut laju dalam bola sepak Inggeris.


Pemain bernilai 11 juta (RM54.3 juta) itu kini menjadi permata baru Arsenal. Dia menjaringkan tiga gol dan tidak dinafikan, pemain paling berbaloi dibeli musim ini.


Begitupun pemain yang memiliki 103 cap bersama Jerman sentiasa waspada.

"Anda datang ke kelab baru, liga baru dan tidak tahu bagaimana ia bermula, begitu juga dengan corak permainan pasukan," kata Podolski.


"Gaya bola sepak seperti ini yang saya suka. Satu atau dua kali saja menyentuh bola. Hantaran pantas terus ke hadapan.

"Bagaimanapun saya hanya bermain enam perlawanan. Masih terlalu awal untuk menyatakan 'Podolski adalah seorang wira. Dia pemain terbaik dan Arsenal memang hebat'. Saya tidak sukakannya.


"Selepas 20 perlawanan, kami tewas enam perlawanan pasti orang akan berkata 'Arsenal tidak boleh diharap' dan 'Podolski tidak boleh diharap. Kami perlu tunggu.


"Liga Inggeris yang terbaik di dunia dengan pasukan, permainan bola sepak dan penyokong yang hebat serta stadium baru.


"Stadium sentiasa penuh, tidak seperti di Itali kerana perlawanan Liga Juara-Juara hanya mampu menarik 20,000 orang." Podolski turut menyedari kegagalan Arsenal memenangi sebarang trofi sejak 2005 tapi berpendapat corak permainan menarik dan digemari pemain sama penting dengan kejayaan menjulang trofi.


"Kemenangan semata-mata tidak penting. Ramai menang Piala Dunia dan kini mereka tidak memiliki apa-apa. Mereka tidak melakukan apa-apa. Orang tidak lagi bercakap mengenai mereka.


"Kami akan berjuang untuk muncul juara Liga Juara-Juara tapi ketika menandatangani kontrak, saya tidak berkata 'Mereka tidak menang apa-apa selama tujuh tahu. Saya tidak akan ke sana'. Saya sukakan kelab ini dan orangnya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved