Ahad, 26 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tekad hidup tanpa rokok

Posted: 26 May 2013 06:40 AM PDT

Macam-macam usaha sudah dilakukan untuk mengurangkan jumlah perokok di negara kita termasuk meletakkan gambar yang mengerikan di kotak rokok, namun masih tidak dapat memberi kesan kerana bagi perokok ia hanyalah gambar hiasan.

Bukan tidak sedar bahawa gambar yang dipamerkan itu adalah satu hakikat dan mungkin sama keadaannya dengan organ dalam badan mereka, tetapi ia tetap tidak dapat menandingi tarikan tembakau dan asap rokok yang mengandungi beribu-ribu bahan kimia berbahaya itu.

Memang, ketagihan merokok ini amat sukar untuk ditangani. Hakikat ini diakui sendiri perokok, bekas penagih dan pakar perubatan yang menyifatkan usaha menangani ketagihan merokok lebih sukar daripada berhenti menagih dadah.

Justeru tidak hairanlah jika peratusan orang yang sudah berhenti tetapi kembali merokok itu amat tinggi. Sebenarnya dalam kalangan perokok, ramai yang menyimpan hasrat untuk berhenti. Atas sebab itu, bermacam usaha dilakukan termasuk mengunyah gula-gula getah, menggunakan kaedah terapi penggantian nikotin serta rokok elektrik (bagi mengatasi ketagihan tabiat).


Mereka sedar, antara garis panduan umum untuk mengelakkan penyakit atau mengekalkan kesihatan yang diberikan mana-mana doktor ialah berhenti merokok. Ini kerana merokok boleh menjadi agen perangsang kepada pelbagai masalah kesihatan dan penyakit kronik.


Bersempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei ini, tanamkan tekad untuk membebaskan diri anda daripada belenggu rokok. Untuk berhenti merokok bukan mudah, anda memang amat memerlukan sokongan terutama daripada keluarga, sahabat baik, rakan sekerja dan doktor.

Setiap hari anda berhadapan dengan cabaran besar yang boleh merangsang keinginan merokok dan keadaan ini dipanggil perangsang atau pencetus. Anda mungkin terdorong untuk merokok jika:

Cuba kenali perkara yang boleh merangsang anda kembali kepada rokok. Cuba lakukan beberapa langkah di bawah untuk membantu anda berada di landasan yang betul iaitu hidup tanpa rokok.

  • Senaraikan semua faktor yang boleh merangsang keinginan untuk merokok dan tulis pelan bagaimana anda dapat mengelakkan atau menanganinya.
  • Sentiasa fokus dan tanamkan tekad yang kuat untuk bebas daripada rokok. Jangan cuba capai sasaran lain ketika anda dalam usaha berhenti merokok. Ia akan mengganggu tumpuan.
  • Beri ganjaran kepada diri sendiri atas kejayaan setiap langkah meskipun ia usaha yang kecil. Ganjaran ini mungkin boleh diberikan atas kejayaan anda tidak merokok dalam satu hari atau satu minggu.
  • Selalu dapatkan sokongan daripada orang terdekat. Selain keluarga, kawan-kawan dan doktor, anda juga boleh mendapatkan bantuan daripada kumpulan sokongan yang biasanya terdiri daripada bekas perokok dan ahli keluarga mereka. Mungkin ada kaedah mereka yang anda boleh tiru.
  • Apabila terfikir pasal rokok, segera alihkan perhatian anda kepada perkara lain.
  • Jadilah individu yang kreatif, supaya masa anda tidak terluang dan banyak memikirkan soal rokok.
  • Jangan cuba-cuba merokok semula walaupun satu sedutan. Ini kerana daripada satu sedutan boleh menjadi satu batang dan akhirnya membatalkan semua usaha sebelum ini.

    Selain itu, ada banyak sebab anda perlu berhenti merokok. Bulan Rejab ini masa terbaik untuk melatih diri berpuasa sunat dan pada masa sama mengurangkan kekerapan merokok. Semoga pada Ramadan nanti anda benar-benar dapat meninggalkan tabiat merokok dan bukannya berbuka dengan sebatang rokok.

    Manfaat daripada berhenti merokok ini tidak terhad kepada diri anda seorang, bahkan kesan positifnya turut dirasai seisi keluarga secara tidak langsung. Di bawah disenaraikan beberapa fakta yang diharap dapat mengukuhkan semangat untuk anda berhenti merokok.

    Alzheimer - Merokok menyebabkan fungsi otak merosot lima kali lebih cepat terutama bagi perokok berumur. Berdasarkan kajian ke atas 9,200 perokok lelaki dan wanita berumur 65 tahun ke atas yang disiarkan dalam jurnal Neurologi, didapati fungsi otak perokok merosot lebih cepat walaupun mereka tidak mempunyai sejarah keluarga mengalami masalah dementia (nyanyuk).

    Bagaimana ini boleh berlaku? Merokok memberi kesan kerosakan berpanjangan terhadap salur darah, menyebabkan darah boleh membeku yang meningkatkan risiko serangan strok dan kemerosotan daya ingatan.

    COPD dan kanser paru-paru - Satu-satunya punca kepada dua penyakit kronik ini ialah rokok. Risiko penyakit ini boleh dikurangkan dengan berhenti merokok seawal mungkin. Perokok tegar yang merokok sejak muda akan mengalami kerosakan paru-paru yang lebih teruk dan sedihnya kerosakan ini tidak boleh dipulihkan. Ada banyak kes pesakit terpaksa bergantung kepada bekalan gas oksigen untuk bernafas yang perlu dibayar dengan harga mahal sedangkan kita sememangnya dikelilingi oksigen percuma!

    Kanser mulut - Banyak kajian menunjukkan antara punca utama kanser mulut ialah merokok selain tabiat makan sirih. Risiko kanser mulut akan hilang jika anda berhenti merokok dan semua masalah lain seperti ulser juga akan sembuh.

    Lupus - Sistemik Lupus Eritematosus atau lupus adalah penyakit auto imun di mana sistem imun tersilap tafsir dan menganggap badan sendiri sebagai bahan asing yang perlu dihapuskan. Ini adalah penyakit auto imun yang kronik dan boleh mengakibatkan keradangan, kesakitan dan kerosakan tisu badan.

    Penyelidik Universiti Harvard mendapati perokok mempunyai risiko yang agak tinggi untuk mendapat lupus. Ini bukanlah penemuan yang menghairankan kerana asap rokok mengandungi lebih 4,000 jenis racun yang boleh menukar mana-mana fungsi badan termasuk sistem imun. Bagaimanapun risiko ini boleh dihilangkan dengan berhenti merokok.

    Sindrom bayi mati mengejut (SIDS) - Kajian yang dijalankan penyelidik Eropah ke atas 2,400 bayi mendapati daripada 745 kes SIDS, kurang daripada separuh (50 peratus) kematian disebabkan bayi tidur meniarap atau mengiring. Hampir 16 peratus kematian dikaitkan tidur bersama ibu terutama yang merokok dan risikonya dikatakan 17 kali ganda lebih tinggi.

    Risiko mati pucuk - Pasti ada perokok yang mendakwa walaupun kuat merokok, mereka tetap ramai anak. Itu bagi perokok yang bertuah dan anda perlu bersyukur dikurniakan cahaya mata. Kurniaan itu seharusnya dipelihara sebaiknya dengan tidak mendedahkan anak-anak anda kepada racun asap rokok.

    Prestasi di bilik tidur memang penting bagi lelaki dan untuk mengekalkannya, anda perlu berhenti merokok. Soal selidik ke atas hampir 5,000 lelaki di China mendapati mereka yang merokok lebih sekotak sehari mempunyai kecenderungan sebanyak 60 peratus mengalami masalah mati pucuk berbanding bukan perokok.

    Mati pucuk bukan sekadar masalah di bilik tidur saja. Ia sebenarnya menjadi petanda paling penting kepada pelbagai masalah kesihatan lain dan merokok akan menyebabkan tahap kesihatan anda bertambah buruk.

    Hilang penglihatan - terutama perokok berumur. Perokok mempunyai risiko empat kali lebih tinggi untuk menjadi buta disebabkan kemerosotan makular akibat penuaan. Lebih 25 peratus kes kemerosotan makular yang boleh membawa kepada kebutaan berkaitan dengan tabiat merokok. Berhenti merokok boleh merendahkan risiko ini dan memanjangkan hayat penglihatan anda.

    Artritis reumatoid - Individu yang mempunyai genetik lemah akan lebih mudah mendapat artritis reumatoid jika mereka merokok. Kajian penyelidik Sweden mendapati risikonya ialah 16 kali lebih tinggi berbanding individu tidak merokok.

    Berdengkur - Masalah yang memalukan ini biasanya lebih buruk dalam kalangan perokok. Bahkan pasangan anda yang tidak merokok juga akan mendapat kesannya. Lebih 24 peratus perokok tidur berdengkur berbanding 20 peratus kumpulan yang sudah berhenti merokok dan hanya 14 peratus bagi golongan tidak pernah merokok.

    Perokok sekunder (orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok) juga mendapat tempiasnya. Kajian mendapati 20 peratus individu yang menghidu asap rokok di rumah berdengkur.

    Kanser payudara - Wanita yang mula merokok sebelum berumur 20 tahun atau sekurang-kurangnya lima tahun sebelum mereka hamil dan merokok bagi tempoh yang lama mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara.

    Kadar kelaziman kanser payudara dalam kalangan perokok dan perokok sekunder ialah 30 peratus dan ini adalah jumlah yang membimbangkan kerana jumlah perokok wanita kian bertambah setiap tahun. Kanser payudara pula antara penyakit yang belum ada cara untuk mencegahnya.

    Memang kebanyakan pesakit kanser payudara di negara kita tidak merokok, tetapi pernahkah anda terfikir mungkin asap daripada rokok anda yang menjadi antara faktor pembantu kepada penyakit mereka? Jadi sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini marilah kita sama-sama bekerja sama menjaga kesihatan diri sendiri dan semua orang di sekeliling kita dengan menyediakan persekitaran bebas asap rokok.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26
  • Hero masih trauma

    Posted: 26 May 2013 06:11 AM PDT

    Nama Mamun disebut dan disanjung sebagai hero kerana keberaniannya menyelamatkan mangsa runtuhan bangunan kilang Plaza Rana di Bangladesh, tetapi di sebalik jasa besarnya itu, dia dihantui kenangan ketika menarik tangan wanita muda yang tersepit di celah batu dalam kejadian berkenaan.

    "Sebelum ini saya tidak pernah menyentuh tangan perempuan tetapi hanya itulah satu-satunya cara untuk menyelamatkan dia dan mangsa lain.

    "Selepas menyelamatkan mangsa, tangan saya berlumuran darah dan saya masih tidak boleh lupakan pengalaman itu. Keadaan itu masih tergambar di fikiran saya," kata lelaki muda berusia 22 tahun itu dalam satu wawancara sebulan selepas kejadian malang itu.

    Sebanyak 1,127 nyawa terkorban apabila bangunan setinggi sembilan tingkat runtuh pada pagi 24 April di Savar, yang terletak di pinggir bandar Dhaka, menjadikan ia antara tragedi industri yang paling teruk di Bangladesh.

    Foto

    MAMUN masih tidak dapat lupakan kenangan ketika menyelamatkan mangsa runtuhan kilang.

    Foto

    KEADAAN runtuhan kilang yang mengorbankan 1,127 nyawa.


    Namun tragedi itu tidak berhenti di situ saja kerana ia turut memberi kesan kepada orang lain termasuk kumpulan sukarelawan yang bukan saja membantu menyelamatkan beratus-ratus mangsa tetapi turut berhadapan dengan pelbagai 'pemandangan mengerikan' seperti menemui mayat reput sehingga sukar ditentukan identitinya.


    Ramai daripada beratus sukarelawan yang bertung­kus-lumus selama hampir tiga minggu menyelongkar sisa runtuhan untuk mencari mangsa mengatakan mereka turut mengalami gejala trauma - seperti yang dilalui Mamum.

    Mamun, tukang jahit sambilan, sanggup mempertaruhkan keselamatannya merangkak masuk ke dalam lubang di celah runtuhan untuk mencapai tangan tiga mangsa wanita pada hari kedua misi menyelamat, tetapi mendapati tangan seorang daripada mereka tersepit di bawah bongkah konkrit dan keadaan itu menyebabkan orang lain tidak dapat keluar.

    "Dia merayu pada saya: 'Tolong potong tangan saya'. Ketika itu ubat bius tidak ada, jadi saya terpaksa pinjam gergaji besi daripada anggota penyelamat," kata Mamun menceritakan semula kejadian berkenaan yang masih berbekas dalam hatinya.

    Pasukan penyelamat berkata sekurang-kurangnya 2,438 orang - kebanyakannya pekerja kilang wanita - diselamat­kan termasuk 968 yang mengalami kecederaan teruk. Sebahagian besar terpaksa dipotong anggota badan sama ada ­tangan atau kaki sama ada di tempat kejadian atau hospital.

    Tragedi besar ini membuatkan pelajar dari kolej perubatan yang bersebelahan Hospital Enam dipanggil bagi memberikan bantuan untuk melakukan pemotongan anggota mangsa. Adakalanya pembedahan terpaksa dilakukan tanpa ubat bius dan raungan kesakitan yang memilukan bergema di seluruh hospital.

    Pihak hospital berkata, mereka sudah merawat kira-kira 60 sukarelawan penyelamat yang mengalami trauma, termasuk beberapa pelajar perubatan sendiri.

    Doktor pelatih, Sushmita Nargis berkata, dia sudah mengambil ubat antikeresahan untuk menangani masalah trauma yang dihadapinya.

    "Ada satu ketika saya rasa seolah-olah satu-satunya bunyi yang saya dengar ialah siren ambulans. Ia berlegar-legar dalam kepala saya, tidak berhenti.

    "Kemudian pada ketika lain, saya terdengar pula suara tangisan mangsa dan saudara-mara mereka yang menyedihkan. Apa perasaan awak kalau setiap hari melihat beratus pesakit terbaring di sekeliling kita menangis dan mengerang kesakitan?" jelasnya.

    Kumpulan sukarelawan turut membabitkan pelajar, penjaja dan suri rumah selain pekerja kilang pakaian itu sendiri yang mula-mula sampai ke tempat kejadian.

    Kadangkala hanya dengan berbekalkan tukul dan penyodok tanah, mereka terus berusaha cuba mencari mangsa yang boleh dilihat atau berdasarkan tangisan mahupun suara meminta tolong yang didengar.

    Ada juga yang mengeluarkan simpanan untuk didermakan ke tabung khas bagi membeli peralatan menggerudi.

    Dalam keadaan yang serba kekurangan begini, malangnya kerajaan ­Bangladesh menolak ­bantuan pakar daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan negara lain, menyebabkan pasukan tentera terpaksa bertindak sebagai penyelaras untuk semua kerja menyelamat.

    Hari demi hari berlalu, jumlah mangsa yang berjaya diselamatkan semakin berkurang. Keadaan inilah - menemui mayat yang tidak dapat dikenali serta bau daripada mayat yang semakin mereput - menjadi kenangan ngeri sehingga membuatkan ada sesetengah sukarelawan mengalami trauma.

    Walaupun sukarelawan berjaya mengesan kedudukan mangsa yang masih hidup, adakalanya mereka tidak dapat diselamatkan kerana terperangkap di bawah runtuhan besar.

    Asma Akter Liza, menderma wang untuk membeli peralatan menggerudi dengan menjual buku dan pakaiannya, menahan air mata apabila mengenangkan kematian seorang perempuan muda.

    "Saya menemui seorang remaja perempuan, namanya Bakul dan dia menghulurkan tangannya dari celah lubang di bawah runtuhan. Berjam-jam saya pegang tangannya dan kami berbual mengenai macam-macam perkara.

    "Dia panggil saya kakak, tapi akhirnya kami tidak dapat selamatkan dia. Dia terperangkap dalam lubang yang kecil dan amat sukar untuk diselamatkan. Sampai hari ini pandangannya, suaranya meminta tolong menghantui fikiran saya sepanjang masa. Kadangkala saya tidak dapat menahan air mata," kata Asma.

    Trauma seperti inilah yang menyebabkan ramai sukarelawan mendapatkan kaunseling atau ubat kerana tidak mahu terus dihambat kenangan menyedihkan itu.

    "Setiap kali saya hendak tidur, saya rasa seolah-olah berada di tempat gelap, terkurung dan tidak boleh keluar," kata Mamun.

    "Pernah terlintas dalam fikiran saya hendak pergi ke hospital mental, tapi saya tidak cukup duit," kata Mohammed Badal, yang menyelamatkan 18 rakan sekerjanya, juga mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam.

    "Setiap kali saya cuba untuk tidur, saya terdengar suara mereka memanggil-manggil saya: 'Abang, tolong selamatkan saya, tolong selamatkan saya'.

    "Kadangkala pada waktu siang pun saya terdengar tangisan mereka," kata lelaki berusia 25 tahun itu - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Jalan tak sesak lagi

    Posted: 25 May 2013 10:30 AM PDT

    Kuala Lumpur: Beberapa laluan keluar ibu kota seperti Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Utara-Selatan dari arah utara dan selatan tidak mengalami kesesakan teruk disebabkan orang ramai sudah mula pulang ke kampung, sejak Khamis lalu.

    Jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) berkata, laluan keluar ibu kota masih sesak kelmarin disebabkan kebanyakan warga kota mula bercuti sempena perayaan Hari Wesak dan cuti persekolahan, tetapi aliran trafik berkurangan semalam.

    Katanya, tiada kemalangan dilaporkan di kedua-dua lebuh raya berkenaan pada sebelah pagi.

    "Kita juga membuka lebih banyak laluan tol dan pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan serta bagi pengguna yang memiliki Touch n Go dan Smart Tag, mereka boleh menggunakannya bagi mempercepatkan urusan di plaza tol," katanya ketika dihubungi.

    Foto

    ALIRAN kenderaan di tol Sungai Besi menghala selatan mula berkurangan.


    Orang ramai dinasihatkan supaya mengikut jadual cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan PLUS Expressways Bhd (PLUS) bagi Lebuhraya Utara-Selatan.


    Bagi 23 Mei hingga 9 Jun, waktu perjalanan dicadangkan ialah dari Lembah Klang ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang melalui Juru serta Johor melalui Skudai, Senai Utama, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak sebelum 12 tengah hari.

    Sementara perjalanan dari Lembah Klang ke Perak Utara melalui Kuala Kangsar, Changkat Jering dan Taiping serta Melaka melalui Jasin dan Ayer Keroh antara 12 tengah hari hingga 3 petang.

    Kenderaan yang berakhir dengan nombor plat ganjil bagi semua perjalanan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang pula dinasihatkan memasuki lebuh raya setiap jam ganjil, manakala kenderaan yang berakhir dengan nombor plat genap bermula pada setiap jam genap.

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSline 1800-88-0000 atau mengikuti laman Twitter PLUSTrafik.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Selamat tinggal Santos!

    Posted: 25 May 2013 08:26 AM PDT

    Rio de Janeiro: Bintang muda bola sepak Brazil Neymar kini hampir memilih satu daripada dua tawaran dipercayai daripada kelab Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid selepas Santos bersetuju melepaskannya semalam.

    Pengurusan Santos berkata, mereka akhirnya mengalah selepas berjuang tiga tahun untuk mempertahankan pemain berusia 21 tahun itu yang dikatakan menjadi harapan Brazil untuk Piala Dunia tahun depan dan bersetuju untuk melepaskannya, memberikan pemain itu pilihan untuk menerima tawaran yang dikehendakinya meskipun keputusannya masih belum pasti.


    "Berdepan tawaran dan kontrak pemain itu, jawatankuasa pengurusan kelab bersetuju menjual pemain itu," jelas Santos dalam satu kenyataan di laman web mereka.

    "Pada pertemuan dengan wakil jawatankuasa pengurusan Santos, penyerang Neymar Jr diberitahu mengenai tawaran yang diterima pengurusan kelab dan akan mempertimbangkan perkara itu selama beberapa hari sebelum membuat keputusan.


    "Saya gembira dengan minat yang ditunjukkan kedua-dua kelab, ia membuat saya bangga tetapi kini saya pulang ke rumah kerana ibu sudah menunggu," Neymar dipetik Gazeta Esportiva sewaktu dia meninggalkan Vila Belmiro bersama bapanya.


    Gazeta melaporkan, Neymar akan turun bersama Santos dalam perlawanan pembukaan kejuaraan Brazil menentang Flamengo di Brasilia, hari ini.

    Foto

    NEYMAR mendukung anaknya, Davi Lucca sebelum beraksi bersama Santos.

    Wakil dua kelab ternama Sepanyol itu berada di Brazil dan akhbar Folha de Sao Paulo melaporkan tawaran terkini Barcelona didakwa berjumlah AS$36.12 juta (RM109.5 juta).


    Jika Neymar memilih untuk pergi ke Barcelona, dia akan bermain bersama pemain Argentina, Lionel Messi, pemenang Bola Emas sejak empat tahun lalu.

    Neymar yang dianggap pengganti seorang lagi pemain legenda Santos, Pele adalah satu-satunya pemain yang tidak berpangkalan di Eropah di antara 23 finalis anugerah pemain terbaik tahunan FIFA 2012 dan menjadi sasaran beberapa kelab Eropah sejak tiga tahun lalu termasuk Chelsea pada 2010.


    Neymar turut mencapai status selebriti, turut membintangi drama televisyen dan ramai yang mengagumi gaya rambut Mohican yang dimilikinya.


    Dia menandatangani kontrak baru dengan Santos sehingga selepas Piala Dunia, November lalu tetapi sering menyuarakan minatnya untuk menyertai Barcelona. - Reuters

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

    Korea musnah hasrat Thailand

    Posted: 25 May 2013 08:21 AM PDT

    Kuala Lumpur: Korea Selatan, pasukan kedua terbaik di belakang China sepanjang zaman, sekali lagi ke final selepas membenam cabaran Thailand 3-1 pada separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

    Perlawanan sengit itu bagaimanapun tidak diheret dalam tempoh yang panjang selepas semua empat perlawanan tamat dalam pertarungan dua set.

    Beregu campuran Korea, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na cemerlang mengekang cabaran Saralee Thoungthoungkam-Sudket Prapakamol 21-18, 21-19.

    "Saya rasa kami beraksi dengan amat baik, cuma kesilapan mudah memberikan mata kepada pasangan Korea," kata Sudket.


    Sementara Sung Hyun pula menganggap mata pertama yang disumbangnya bersama Ha Na itu boleh menjadi sebaliknya kerana Thailand beraksi tanpa tekanan,

    "Bagi saya perlawanan pertama memang sengit. Thailand mengubah strategi berbanding pertemuan peringkat kumpulan," kata Sung Hyun.

    Thailand yang sebelum ini merehatkan Boonsak Ponsana akhirnya menurunkan pemain berpengalaman itu pada perlawanan penting ini.

    Perseorangan lelaki Korea Lee Dong Keun nyata bukan tandingan Boonsak apabila dia tewas 9-21, 12-21 dalam masa 34 minit, menjadikan kedudukan 1-1.

    Sung Hyun sekali lagi turun bergandingan dengan Lee Yong Dae dan gandingan nombor dua dunia itu tiada masalah mengatasi Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech 21-12, 21-11.

    Menyedari risiko tewas andai perlawanan berlarutan ke perlawanan kelima, Sung Ji Hyun yang turun dalam perseorangan wanita tiada pilihan kecuali menewaskan serikandi Thailand, Ratchanok Inthanon.

    Pertembungan pemain nombor lima dan enam dunia ini sengit namun strategi dan persediaan fizikal Ji Hyun akhirnya membantunya menang 21-17, 21-14 sekali gus membantu Korea melangkah ke final.

    "Ratchanok kepenatan selepas terpaksa bermain dalam perlawanan sukar dengan Jepun di suku akhir tiga hari lalu. Untuk final, saya tidak mahu fikir banyak kecuali mempamerkan permainan terbaik, itupun jika perlawanan berlarutan ke perlawanan kelima," kata Ji Hyun.

    Kali terakhir Korea ke final pada 2009 di Guangzhou, China dan mereka tewas 0-3 kepada kuasa badminton dunia itu.

    Pencapaian terbaik terakhir mereka adalah pada 2003, menewaskan China 3-1 di Eindhoven, Belanda.

    Korea pernah tiga kali menjuarai Piala Sudirman pada 1991, 1993 dan 2003 namun China lapan kali menjuarai kejohanan ini manakala Indonesia sekali.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Hidup semula selepas 3 dekad

    Posted: 25 May 2013 07:56 AM PDT

    London: Rakan Christine Greenslade terkejut apabila mendapat tahu dia meninggal dunia pada usia baru 34 tahun.

    Bagaimanapun, mereka lebih terkejut apabila Christine menghubungi mereka semula untuk menganjurkan pertemuan semula, tiga dekad kemudian.

    Hakikatnya, Christine masih hidup dan menyedari sebuah akhbar tempatan tersilap dalam laporannya kerana mendakwa dia meninggal dunia pada 1980.

    Ketika itu sebenarnya ibu Christine, Pamela yang meninggal dunia, tetapi ketika dia menguruskan notis kematian untuk disiarkan dalam akhbar, nama mereka tertukar.

    Foto

    GAMBAR zaman remaja ketika Christine (dua dari kanan) bersama rakan sekelasnya, termasuk Viv (dua dari kiri).


    Bagaimanapun, Christine tidak menyedari kesilapan itu dan berpindah ke tempat lain selepas kematian Pamela tanpa memaklumkan perkara itu kepada rakannya di Penzance, Cornwall yang berkabung.


    Kekeliruan itu hanya terlerai apabila Christine menelefon rakan lamanya di Penzance untuk mengadakan majlis pertemuan semula baru-baru ini.

    Kini berusia 66 tahun dan menetap di Perancis, Christine bersiap sedia melawat rakan zaman persekolahannya.

    Kata Christine, ketika kali pertama bercakap dengan rakan karibnya, Viv Albright, dia kedengaran sangat aneh.

    "Ia bukan reaksi yang saya jangkakan daripada sahabat lama," katanya semalam.

    Sejurus kemudian, Viv menelefon Christine semula untuk meminta maaf dan memberitahu, mereka menyangka dia meninggal dunia pada 1980.

    Christine kemudian mengenang semula detik dia membuat tempahan notis kematian di akhbar tiga dekad lalu.

    Katanya, seorang lelaki secara khusus meminta nama penuh ibunya, sebelum bertanya namanya sendiri di akhir perbualan.

    "Ketika itu nama saya ialah Christine Downing dan ibu pula Pamela Greenslade.

    "Ia kelihatan mustahil untuk kedua-dua nama kami tersilap," katanya.

    Keesokan harinya, notis kematian itu memaparkan "Christine Greenslade menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan tiga anak dan seorang suami."

    Untuk kali pertama sejak 33 tahun, Christine akan kembali ke kampung halamannya di Penzance minggu depan.

    Ibu kepada dua anak itu berkata, amat menyedihkan apabila mengenangkan 'kematian' itu diratapi rakan-rakannya bertahun-tahun.

    "Tetapi, saya pasti ada banyak cerita untuk dikongsikan bersama mereka," katanya.

    Notis 'kematian' Christine itu disiarkan akhbar mingguan tempatan Penzance, The Cornishman, yang diterbitkan sejak 1878. - Daily Mail

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

    Basmi jenayah guna kereta mewah

    Posted: 25 May 2013 07:46 AM PDT

    Dubai: Polis trafik Dubai menerima sejumlah kereta mewah untuk digunakan pasukan itu bagi membasmi jenayah.

    Selepas seunit kereta Lamborghini Aventador bernilai RM1.4 juta tiba di Dubai pada bulan lalu, polis tempatan kini menerima empat unit tambahan, masing-masing daripada jenama Ferrari, Bentley, Mercedes dan Aston Martin One-77 yang bernilai RM7.3 juta.

    Setiap kenderaan itu mampu dipandu dengan kelajuan maksimum 300 kilometer sejam.
    Dubai seperti wilayah lain yang bergabung dalam Emiriah Arab Bersatu memang dikenali kerana sumber kewangan yang melimpah-ruah.

    Baru-baru ini, polis mengumumkan sesiapa yang didapati memandu melebihi 200 kilometer sejam akan dikenakan tindakan undang-undang.

    Jurucakap polis berkata, penggunaan kereta mewah dan memiliki 700 kuasa kuda itu diharap dapat membuat pemandu degil berfikir dua kali sebelum melanggar undang-undang jalan raya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Derita mati pucuk

    Posted: 25 May 2013 10:38 AM PDT

    Kuala Lumpur: "Saya amat menyesal. Kini, kehidupan rumah tangga saya tidak sebahagia dulu lebih-lebih lagi apabila saya gagal menunaikan kewajipan sebagai seorang suami.

    "Mujur, isteri masih lagi menyayangi saya, bersabar dan setia bersama saya. Dia jugalah yang mencari doktor dan pelbagai cara lain bagi menjadikan saya kembali sebagai seorang suami sejati," luah Arif, 33.

    Arif, salah seorang daripada ribuan lelaki di negara ini yang berdepan masalah mati pucuk dan lemah tenaga batin kesan penggunaan produk perangsang seks yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Menurut Arif, pada mulanya dia menggunakan produk berkenaan dengan tujuan untuk kekal lama ketika bersama isterinya.


    "Saya menggunakan produk terbabit sejak tiga tahun lalu. Memang tidak dinafikan ketika mula menggunakannya, saya dapat bertahan lama dan isteri juga puas apabila saya tidak lagi kecundang awal. Namun, lama-kelamaan, kelakian saya semakin hilang dan produk itu tidak lagi berkesan kepada saya. Sejak itu, saya mula risau dan cuba mendapatkan pandangan kawan.

    Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26

    Parah dirempuh mat rempit

    Posted: 25 May 2013 10:19 AM PDT

    Ipoh: Seorang anggota RELA kini dilaporkan koma selepas dirempuh seorang mat rempit ketika bertugas dalam Operasi Samseng Jalan Raya di sini, awal pagi semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi di Jalan Pasir Puteh itu, mangsa dikenali Tiong Yoon Meng, 44, dari Menglembu, di sini dirempuh oleh sebuah motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang mat rempit berkenaan.

    Difahamkan, mangsa bersama dua rakan sekerja lain sedang berkawal di satu lorong bagi menghalang sekumpulan mat rempit meloloskan diri apabila laluan itu dikepung polis.

    Bagaimanapun, beberapa motosikal menuju ke lorong dikawal mangsa sebelum sebuah motosikal berkenaan merempuh mangsa menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter.

    Foto

    BUKTI Chang Keong menunjukkan motosikal yang merempuh mangsa.


    Rempuhan menyebabkan mangsa mengalami cedera parah di kepala namun penunggangnya berjaya meloloskan diri.

    Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved