Rabu, 17 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Serum buluh untuk cantik

Posted: 17 Oct 2012 02:45 PM PDT

KECANTIKAN wanita Korea yang rata-rata memiliki wajah yang halus dan bersih sering membuatkan ramai wanita lain iri hati.

Mereka yang punya kulit wajah yang cantik sememangnya bertuah tetapi hakikatnya, ramai wanita yang mengalami masalah kulit pada wajah. Malah adakalanya penampilan kulit yang bermasalah ini juga boleh menimbulkan kesan emosi termasuk berasa rendah diri.

Bertemu dengan Pengarah Pemasaran The Face Shop Korea, Hee Jeong Kim ketika lawatan anjuran The Face Shop Malaysia, Hee menyifatkan wanita Korea mementingkan bahan penjagaan kulit berbanding rangkaian kosmetik.

Keadaan ini berbeza dengan wanita Asia lain yang rata-rata lebih memberi penekanan kepada produk kosmetik untuk kelihatan cantik.


"Penjagaan kulit tidaklah sesukar mana. Misalnya, amalkan pencucian muka sebanyak dua kali dan jangan sesekali tidur dengan bahan kosmetik pada muka.


"Bagi jenama ini pula, kami tidak menggunakan satu jenis serum wajah, sebaliknya menggunakan dua jenis serum bagi menghasilkan kesan yang maksimum.

"Serum ini sangat ringan dan dapat memberikan perawatan yang berkesan untuk membaiki masalah kulit. Selaras dengan tujuan itu, The Face Shop turut memperkenalkan serum Arsainte Eco-Therapy yang diperbuat daripada buluh.

"Penggunaan bahan itu membolehkan teksturnya lebih mudah diserap dan menembusi ke dalam kulit serta berfungsi lebih baik daripada pelembap biasa," katanya.

Untuk hasil berkesan, biarkan serum pada muka selama lima minit sebelum menggunakan pelembap untuk penyerapan maksimum.

Bersama-sama serum ini, terdapat lima rangkaian produk lain dalam Arsainte Eco-Therapy termasuk krim Vitalist dan pembersih muka yang sesuai untuk kulit berminyak dan kering.

Selain itu, rawatan wajah dengan membuat senaman muka juga dapat memperbaiki pengedaran darah, sekali gus meredakan tekanan serta merangsang pengaliran oksigen pada bahagian kulit muka.

Hee berkata, penggunaan penyegar juga amat penting dalam penjagaan kulit kerana penyegar dapat menghapuskan sel kulit mati dan berfungsi sebagai pembersih.

"Pilih penyegar yang sesuai dengan kulit. Kami memperkenalkan pelbagai penyegar yang diperbuat daripada bahan semula jadi seperti Marine Stem Cell Revive Mist dan Pore Minimizer Controlling yang didatangkan dengan bedak bagi memberikan kesan berlainan mengikut jenis kulit.

"Kami turut mempraktikkan penggunaan lulur wajah. Malah bagi mereka yang inginkan lulur diperbuat daripada bahan asas soya, Nature's Gifts Soybean Firming sesuai untuk semua jenis kulit serta sesuai untuk wanita yang menjangkaui umur menopaus," katanya.

Mengenai penjagaan badan, Hee menyarankan produk melulur badan, Eau de L'ame untuk membersihkan kotoran dan sel mati pada permukaan kulit.

Bagi memenuhi permintaan wanita pada usia seawal 20-an, pihaknya memperkenalkan produk kecantikan Studio 20 yang sesuai untuk kulit yang masih muda.

"Produk yang sesuai untuk wanita berumur 20-an termasuk Clean Face Anti-Trouble Healing Spot , krim BB Lovely Meex Honey Spf20, lulur Baby Face Sleeping Massage Pack dan lulur Baby Face Hidrogel yang boleh didapati pada harga yang berpatutan.

"Studio 20 juga memperkenalkan beberapa bahan kosmetik seperti penggaris mata Lovely Meex , salap bibir Lovely Meex Tint dan pengilat kuku Lovely Meex yang sesuai untuk generasi muda," katanya.

Menurut Hee, rangkaian produk jenama terbabit menduduki tangga pertama dalam rangkaian produk kecantikan dan kosmetik di Korea. Ia memiliki rangkaian di lebih 23 negara dengan 1,300 kedai.

The Face Shop Malaysia pula membuka rangkaian pertamanya di negara ini pada 2006 dengan kedai pertama di pusat beli-belah Mid Valley. Sehingga kini, lebih 44 kedai sudah dibuka di seluruh negara dan dijangka pembukaan beberapa kedai lagi sebelum hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/18


‘Jangan sorok penyakit’

Posted: 17 Oct 2012 09:37 AM PDT

"TERKEJUT, sedih dan sering bertanya kepada diri sendiri kenapa aku terpaksa berhadapan dengan penyakit maut ini sedangkan aku jarang sakit dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang teruk.

"Kenapa aku diduga sebegini? Apakah aku pernah melakukan suatu kesilapan dalam hidup hingga mendapat 'pembalasan' sebegini," rintih bekas pesakit kanser payudara, Zainah Ismail, 60.

Namun, segala tanggapan berkenaan hanya berlaku pada peringkat awal selepas didiagnos menghidap kanser payudara tahap dua pada usia 50 tahun.

Pada mulanya dia bertemu doktor kerana ada 'bisul' pada bahagian payudara kanannya, tetapi apabila diperiksa, doktor berkenaan merasakan ada keganjilan dan meminta supaya dilakukan pemeriksaan lanjut.


Mendengar kata-kata doktor, fikirannya mula berkecamuk dan apa yang ditakuti menjadi kenyataan apabila dia disahkan menghidap kanser payudara dan ketika itu hanya air mata menjadi teman.


"Walaupun saya bukan orang pertama mengetahui menghidap kanser payudara, tetapi kesan emosi yang dirasakan amat besar dan berat.

"Tetapi saya bersyukur suami sentiasa menemani dan menjadi penyokong dalam membantu saya menghadapi dugaan terbesar dalam hidup ini yang membuatkan saya nekad untuk melawannya," katanya.

Tetapi yang nyata selepas hampir 10 tahun disahkan bebas daripada kanser, dirinya kini menjalani kehidupan yang lebih bermakna berbanding sebelum menghidap kanser payudara.

Zainah berkata, paling penting ialah ubah perspektif diri terhadap penyakit ini dan jangan beranggapan maut menunggu pesakit kanser kerana jika menjalani pemeriksaan awal, ia boleh dirawat.

Sementara itu, bagi NK Vallie, 46, pula dia tidak menyangka akan menghidap kanser payudara memandangkan tiada seorangpun daripada ahli keluarganya pernah menghidap kanser sebelum ini.

Dia disahkan menghidap kanser pada usia 39 tahun, tetapi yang pasti dia tidak berhadapan dengan kesakitan, sebaliknya mengalami kegatalan pada bahagian payudara kirinya.

"Tidak dinafikan berita yang disampaikan kepada keluarga ini sukar diterima, tetapi yang pasti mereka sentiasa memberikan sokongan demi memastikan proses pemulihan saya berjalan lancar.

"Selain itu, kita perlu bersikap ceria dan sentiasa memandang ke hadapan dengan berfikiran positif dan jangan sesekali menyembunyikan perkara ini," katanya.

Paling penting ialah setiap wanita perlu memahami struktur tubuh mereka sebaik mungkin dan melakukan pemeriksaan awal apabila merasakan terdapat benjolan asing pada payudara mereka.

Untuk memastikan masyarakat sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai kanser payudara, jenama produk pelembut fabrik terkenal, Softlan menganjurkan kempen amal kanser payudara Softlan sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia.

Bertemakan 'A Touch of love. A Touch of Life', kempen amal ini bertujuan mengumpulkan sejuta ikrar serta sumbangan RM100,000 sebagai tanda sokongan kepada promosi kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan awal kanser payudara.

Sumbangan terkumpul akan disalurkan kepada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk penghidap kanser antaranya Majlis Kanser Kebangsaan (Makna), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) bagi menyokong inisiatif menggalakkan pemeriksaan awal mengesan penyakit berkenaan.

Selain itu, buat kali pertama sepanjang empat kali penganjuran kempen amal sebegini, jenama terbabit memperkenalkan laman www.facebook.com/SoftlanBCC sebagai cara mudah untuk orang ramai termasuk generasi muda menandakan ikrar mereka terhadap kempen amal ini.

Laman ini menyediakan pelbagai maklumat berkaitan kesihatan payudara bertujuan mendidik gadis remaja dan wanita kepentingan pengesanan awal melalui pemeriksaan sendiri payudara.

Malah, sepanjang Oktober ini, Softlan bersama rakan amalnya akan mengadakan program jelajah ke tujuh pasar raya utama dan wanita dijemput hadir bagi mendapatkan pemeriksaan percuma dan mendapatkan maklumat mengenai pemeriksaan payudara daripada doktor serta jururawat terlatih yang mengikuti program berkenaan.

Antaranya di Carrefour Wangsa Maju, Mid Valley dan Pulau Pinang (5 hingga 7 Oktober lalu), di 1 Utama pada 17 hingga 21 Oktober dan di AEON Bukit Tinggi, AU2, Setiawangsa dan Tebrau City pada 19 hingga 21 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/18


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Samun bayar hutang along

Posted: 16 Oct 2012 03:33 PM PDT

SHAH ALAM: Terdesak mahu mendapatkan wang untuk membayar hutang along, lima lelaki yang juga anggota 'Geng Mambau Singh' nekad menyamun tiga beranak yang juga peniaga barang kemas dan melarikan barang kemas seberat lima kilogram (kg) bernilai RM700,000 dalam kejadian di Jalan Anggerik Doritis, Kota Kemuning, dekat sini, pada 27 September lalu.

Selain membayar hutang, suspek juga menggunakan wang yang disamun untuk membeli dua motosikal secara tunai selain menggunakan wang berkenaan untuk berjoli dan membeli minuman keras.


Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 50-an bersama dua anaknya berusia 30-an tiba dari Seremban, Negeri Sembilan, bagi menyerahkan barang kemas seperti cincin dan loket yang ditempah pelanggannya yang tinggal di kawasan berkenaan sebelum disamun suspek yang bersenjatakan parang. Bagaimanapun, keempat-empat suspek bersama dua pelebur dan seorang pembeli emas ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama BSJ IPD Seremban dalam beberapa siri serbuan bermula 3 Oktober hingga sehingga 12 Oktober lalu di Shah Alam dan beberapa tempat di Seremban. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, semua suspek berusia 30-an hingga 56 tahun direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Zahedi berkata, dengan penahanan suspek polis menemui semula dua ketulan emas seberat 780 gram bernilai RM140,000 daripada barang kemas milik mangsa yang sudah dileburkan suspek, wang RM18,950 dan dua motosikal yang dibeli secara tunai menggunakan wang jualan emas yang disamun.


Katanya, selain itu, polis merampas pelbagai peralatan untuk melebur emas yang digunakan suspek. Polis kini memburu seorang lagi anggota geng terbabit yang dikenali sebagai S Kanagaraja atau Prabu, 26, alamat terakhir di Taman Kelab Tuanku, Mambau, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Waris tiga bayi dicari

Posted: 16 Oct 2012 03:31 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat (PKMDHL) mencari waris atau ibu kepada dua bayi lelaki dan seorang bayi perempuan masing-masing berusia lebih sebulan.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Hulu Langat, Noor Adelin Nordin berkata, pihaknya menerima rujukan kes kanak-kanak itu yang ditinggalkan di Hospital Ampang, di sini, selepas dilahirkan.


Bayi lelaki, Daniesh Abdullah yang berusia tiga bulan ditinggalkan seorang wanita dikenali sebagai Nawiati sebaik dilahirkan dan hingga kini gagal dikesan, manakala Muhammad Raqeem Adryan lahir pada 4 Mac lalu berdepan masalah kesihatan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Mariam Maisarah lahir pada 6 September lalu pula ditinggalkan ibunya, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, nombor kad pengenalan 930803-04-5618 menghilangkan diri selepas beberapa hari melahirkannya.

Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat waris kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Noor Adelin di talian 03-87378007 atau tampil ke PKMDHL di Lot 2-58, Kompleks Hentian Kajang, Jalan Reko, Kajang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Saif, Kareena Kapoor kahwin

Posted: 16 Oct 2012 02:29 PM PDT

MUMBAI: Selepas bercinta selama lima tahun, bintang Bollywood, Kareena Kapoor and Saif Ali Khan akhirnya melangsungkan perkahwinan mereka dalam satu majlis kecil di Mumbai semalam.

Agensi berita Press Trust of India melaporkan, beberapa rakan dan anggota keluarga menghadiri majlis itu di kediaman Saif.


Bapa Kareena dan ibu Saif menjadi saksi kepada perkahwinan berkenaan, kata pendaftar, Sureka Ramesh.

Selepas majlis itu, Kareena, 32, dan Saif, 42, berdiri di balkoni dan melambai peminat mereka.


Saif mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertamanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


2 jiran derita sakit untut

Posted: 16 Oct 2012 02:25 PM PDT

ALEXANDRA: Dua jiran terlantar di katil sejak beberapa tahun lalu akibat menderita penyakit bengkak kaki yang jarang berlaku.

Esther Ntshanlintshali dan Busisiwe Zulu menghidap sakit untut selepas digigit nyamuk.

Pasangan itu yang tinggal tidak jauh antara satu sama lain juga dipercayai penghidap penyakit itu yang pertama tinggal begitu hampir.

Esther, 69, terlantar di katil sejak 12 tahun lalu selepas kakinya membesar empat kali ganda daripada saiz normal.


"Saya menghadapi masalah ini sejak sekian lama. Saya tidak boleh bergerak di sekeliling rumah atau keluar. Ia amat menyusah dan menyakitkan saya," katanya.


Dan Busisiwe, 53, ibu tiga anak menghidap penyakit berkenaan sejak lapan tahun lalu di bandar Alexandra, Afrika Selatan.

Anaknya, Mbali, 32, berkata: "Dia teperangkap di dalam bilik ini dan sentiasa dalam kesakitan."

Penyakit itu menjadi terkenal selepas filem 'The Elephant Man' yang diterbitkan pada 1980 oleh pengarah John Hurt.

Ia mengisahkan kehidupan penghidap sebenar, John Meerrick.

Penyakit untut berpunca daripada parasit bawaan nyamuk. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sandaran Saiful Nita

Posted: 16 Oct 2012 07:33 AM PDT

KEMUNCULANNYA dalam bidang ini diiringi pelbagai sudut pandangan, bukan saja diberi jolokan seksi, malah kerana dia juga darah daging kepada seorang penyanyi 1980-an popular, Rohana Jalil. Uniknya dia, namanya senang diingati dan tidak ketinggalan, wajah cantiknya juga mudah dikenali.

Mula menempa namanya menerusi lakonan dalam filem Karak, Syakila Nisha Jangir Khan atau Kilafairy, 20, tidak saja memperdagangkan bakatnya pada bidang lakon layar, malah turut berhasrat menjadi penyanyi.

Namun sejauh mana seriusnya dia untuk mengembangkan karier nyanyiannya pula, seolah-olah belum menampakkan apa-apa. Ditambah pula dengan kesibukannya menjalani pengajian di kolej, bagaimana agaknya dia hendak mencuri masa untuk semua itu.

Bertemunya pada sesi fotografi, baru-baru ini, dia yang juga kini sedang popular lantaran lakonannya menerusi siri Saiful Nita di TV3 ligat ditayangkan, Kilafairy rupanya hanya menunggu masa untuk melancarkan single keduanya.


"Akhirnya sampai juga masa untuk melancarkan single yang berjudul Pasti walaupun lagu berkenaan sudah lama siap. Lama juga menanti untuk mencari masa yang paling sesuai sebelum memperdengarkan lagu itu kepada peminat.


"Sebenarnya, saya rancang selepas Aidilfitri untuk pelancaran itu, namun terpaksa menangguhkannya kerana mendapat pula tawaran untuk berlakon dalam Saiful Nita.

"Lagu berentak R&B soul ini hasil ciptaan Amylea AF dan mengambil masa empat bulan untuk disiapkan. Saya memilih Amylea kerana dia faham apa kehendak saya, selain kami serasi dan dia juga seorang komposer yang sangat bagus.

"Agak berdebar juga kerana takut kelainan yang ada pada lagu ini tidak menepati cita rasa pendengar tempatan. Bagaimanapun, saya cukup berpuas hati dan berharap pendengar pun akan suka lagu ini," katanya yang pernah muncul dengan lagu Roman, sebelum ini.

Kembali semula ke set penggambaran selepas berehat seketika untuk memberi laluan kepada pengajiannya, Kilafairy atau manja dipanggil Kila berkata, antara sebabnya menerima tawaran untuk Saiful Nita adalah gara-gara hendak mencabar dirinya.

"Ini adalah drama pertama yang saya lakonkan dan kebetulan mendapat watak utama pula. Selama ini, saya hanya mendengar pelakon lain yang mengatakan, berlakon drama siri sangat memenatkan berbanding filem.

"Jadi, selain tertarik dengan watak yang diberikan, saya juga sebenarnya mahu melalui sendiri pengalaman berada lama di lokasi penggambaran. Ternyata, memang benar apa yang mereka sampaikan dan antara perkara paling saya dapat rasakan adalah apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga.

"Kila memang pantang berjauhan dengan keluarga dan mulalah rasa rindu yang teramat. Apapun, Kila bersyukur dapat berlakon dengan produksi terbabit kerana mereka memang seronok menyebabkan rasa rindu itu tidaklah terasa sangat," katanya.

Digandingkan bersama pendatang baru, Aidil Aziz, 25, dalam siri itu, Kila yang memegang watak Nita, seorang gadis berada tetapi hidupnya huru-hara juga terpaksa menolak beberapa tawaran demi memberi tumpuan kepada drama terbabit.

"Kila memang tidak suka mengambil banyak projek dalam satu masa dan lebih selesa memberi fokus kepada satu perkara saja. Bukan saja menolak tawaran berlakon, Kila juga terpaksa melepaskan tawaran nyanyian kerana jadual penggambaran memang padat, tambahan pula di luar Kuala Lumpur," katanya.

Aidil lepasi ujian

MENGENALI jejaka kelahiran Seri Kembangan, Selangor, yang mula mencuri perhatian ini, Mohd Aidil Abdul Aziz atau Aidil pula mempunyai perjalanan mencabar sebelum diberi peluang memegang watak utama.

Saiful Nita bukanlah drama pertama yang dilakonkannya, malah sudahpun mula menapak dalam industri sejak 2009 lalu. Bagaimanapun, pembabitannya dalam siri Trilogi Cinta menjadi titik tolak sebelum watak Saiful diberikan kepadanya.

"Dalam drama berkenaan, saya cuma berlakon sebagai watak tambahan saja dan di situlah saya berkenalan dengan pengarahnya, Amy Maziah. Sebenarnya, pada episod ke-29 siri itu, watak saya sepatutnya sudah dimatikan, namun pengarah mengambil keputusan untuk mewujudkan terus watak itu sehingga ke episod 40.

"Dia menguji saya lagi dan menawarkan untuk berlakon sebuah telefilem berjudul Lorong Cahaya. Maka dari situlah dia memberi kepercayaan kepada saya sehinggalah dapat memegang watak utama dalam Saiful Nita pula," katanya.

Menyifatkan dia bertuah kerana diberikan watak utama malah disiarkan pula dalam slot Samarinda TV3, Aidil menggunakan sepenuhnya pengalaman dan membuat yang terbaik demi memastikan wataknya itu meninggalkan kesan di hati penonton.

"Ruang sudah terbuka dan saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang sudah ada buat saya. Watak Saiful memang sangat mencabar kerana memerlukan saya untuk bermain emosi dalaman sesuai dengan karakter watak itu.

"Memainkan watak seorang lelaki yang kental jiwanya, dihambat pula dengan situasi mencabar setiap masa, Saiful memendam banyak perkara dan menyelesaikan semua masalahnya seorang diri.

"Memang berat sangat watak itu dan sebagai pelakon baru, saya berharap ia berjaya dirasai penonton," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16


Soseh Soseh: Isteri hero pilih heroin

Posted: 16 Oct 2012 07:04 AM PDT

MINGGU lepas ketika SS sedang membeli-belah di Damansara, tiba-tiba terserempak pula dengan seorang kawan lama yang juga bekerja dengan sebuah produksi tempatan. Mulanya borak mengenai sebuah majlis anugerah yang tidak sepatutnya diwujudkan di Malaysia, tapi lama kelamaan lain pula topiknya.

Kisahnya mengenai sikap seorang isteri kepada aktor terkenal yang tidak perlu SS jelaskan.

Memang pada industri dan penggiat seni mengenali sangat sikap isteri hero ini yang begitu cerewet dan banyak songehnya.

Khabarnya isteri kepada aktor ini bukan lagi memilih skrip dan pengarah mana yang perlu suaminya bekerja, tapi lebih kroniknya kali ini isterinya yang jelita ini sudah pun membabitkan diri dalam memilih siapa heroin yang harus digandingkan dengan suaminya. Dah macam agensi 'casting'.


Patutnya ada seorang pelakon wanita jelita yang berstatus janda digandingkan dengan suaminya dalam sebuah filem baru namun apabila mengetahui nama aktres itu yang disebut-sebut, terus isteri aktor tadi menghubungi pengarah dan penerbit itu untuk menggantikannya dengan pelakon lain.


Bukan saja meminta agar pelakon itu diubah tapi lebih teruknya isteri aktor tadi siap mengugut jika tidak ditukar, suaminya tidak akan lagi bekerja dengan produksi pengarah tadi.

Memikirkan soal keuntungan dan populariti, terpaksa pengarah tadi akur dan menukarkan gandingannya dengan seorang lagi pelakon wanita yang kurang popular, dan tidak secantik aktres awalnya tadi.

Pening juga SS memikirkan sebabnya kerana mengenali isteri aktor tadi, orangnya profesional dan tidak sebegitu cemburu.

Tapi kata kawan SS tadi, sikapnya jadi begitu kerana rupa-rupanya suaminya dengan aktres tadi pernah menjalin hubungan sulit ketika sama-sama beraksi dalam sebuah drama siri sebelum ini.

Skandal yang berlaku memang terancang hingga isteri aktor tadi yang berkepit 24 jam sekalipun tidak dapat menghidunya hinggalah ada orang produksi yang menyampaikannya.

Memang khabarnya suaminya ketika itu sudah mula jatuh cinta dengan aktres tadi namun mujur isterinya sempat memperbaiki keadaan sebelum terlambat. Disebabkan itu juga isteri aktor tadi tidak mahu lagi suaminya berdepan dengan aktres berkenaan kerana bimbang hubungan yang sudah terlerai itu kembali terjalin.

Tapi apa yang baiknya pada SS, pelakon baru yang digandingkan dengan suaminya dalam filem itu adalah seorang pelakon yang jauh lebih baik dari yang aktres sebelumnya itu.

Kiranya, melihat gandingan dua pelakon utama ini, SS pasti filem itu nanti akan memberikan impak tersendiri kepada penonton.

SS: Terdengar kisah pelakon lelaki yang kini sudahpun berantakan rumah tangganya kerana jatuh cinta dengan aktres muda.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Cerpen lucah telefon bimbit

Posted: 16 Oct 2012 03:52 PM PDT

IPOH: Kecanggihan aplikasi di dalam telefon bimbit masa kini disalahgunakan segelintir remaja untuk membaca cerpen lucah lengkap bergambar dari Indonesia dengan bayaran langganan RM17 seminggu.

Mendedahkan aktiviti tidak bermoral itu, seorang pelajar dikenali sebagai Rosli, 15, berkata, dia dan ramai rakan kini seronok, malah ada yang mula ketagih membaca cerpen lucah dari negara jiran itu.

Menurutnya, ada ratusan cerpen lucah boleh dilayari dan dibaca dengan mudah menerusi skrin telefon bimbit yang setiap satu turut memaparkan gambar pornografi wanita dari negara berkenaan.

"Dengan bayaran Internet RM17 seminggu, tidak sukar untuk memasuki laman web menawarkan bahan bacaan lucah itu kerana pautannya boleh dicapai dengan perkataan tertentu.


"Walaupun kebanyakan laman web lucah tempatan sudah disekat, kami masih boleh menikmati cerita lucah dari Indonesia dengan menggunakan perkataan tertentu menggunakan bahasa Indonesia," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Tembakan isi minyak

Posted: 16 Oct 2012 03:51 PM PDT

KOTA BHARU: "Saya baru saja mahu mengisi minyak kenderaan sebelum terdengar bunyi tembakan beberapa kali. Disebabkan panik, saya tidak sempat berfikir atau melihat apa-apa," kata Ong Sok Cha, 48, saksi kejadian samun dan tembak di sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Sultan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, seorang peniaga berbangsa Siam luka di bahagian kanan kepala dan lengan selepas terkena tembakan dilepaskan seorang suspek.

Mangsa, Samnuan Sunnuan, 21, dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Kejadian itu dikatakan berlaku apabila mangsa bersama rakan wanitanya, Lee Win Dee, 20, singgah di stesen berkenaan untuk mengisi minyak kereta Perodua Myvi sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang membawa sepucuk pistol dan memasuki kereta itu.


Akibat ketakutan, Lee berlari keluar lalu masuk ke dalam kereta Proton Wira milik Ong sambil diikuti suspek, Samnuan ditembak tiga das ketika cuba membantu rakannya itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Congak menjadi

Posted: 16 Oct 2012 01:56 PM PDT

PENYERANG prolifik Harimau Malaya, Mohd Safee Sali kembali menemui sentuhan penyudah di pentas antarabangsa selepas hampir setahun kemarau jaringan dengan meledak satu gol ketika skuad kebangsaan menewaskan Hong Kong 3-0 di Stadium Mongkok malam tadi.

Gol itu jaringan pertama Safee selepas kali terakhir menggegar gawang pada aksi persahabatan menentang India, November lalu sebelum pemain gantian, Safiq Rahim dan Ahmad Fakri Saarani melengkapkan kemenangan pertama Malaysia di gelanggang lawan sejak 2007 dengan gol di penghujung permainan.


Kemenangan ini pastinya meredakan tekanan dihadapi pengendali Datuk K Rajagobal yang mengharapkan keputusan baik untuk menyuntik semangat pemain selepas kekalahan 0-2 di tangan Vietnam bulan lalu dan mengelak ranking Malaysia di tangga ke-162 dunia daripada terus menjunam.

Disaksikan lebih 3,000 penonton di Stadium Mongkok, aksi di awal permainan agak hambar dengan Hong Kong lebih selesa menguasai bola ketika skuad negara tanpa tonggak utama dari Kelantan dan ATM, tercari-cari rentak.


Ketiadaan Safiq tampak memberi kesan kepada jentera tengah negara apabila Gary Steven Robbart dan Amar Rohidan seakan-akan ketandusan idea untuk mengatur gerakan.


Selepas 20 minit perlawanan berlangsung, barulah Harimau Malaya sedikit 'bernyawa', bermula dengan rembatan penyerang, Safee dari jarak 30 meter namun mudah ditangkap penjaga gol pasukan tuan rumah, Yapp Hung Fai.

Pemain sayap lincah, S Kunalan berjaya menyelinap ke kubu Hong Kong dari sebelah kiri selepas menewaskan dua pemain pertahanan tapi malang cubaannya berjaya diselamatkan Hung Fai.


Anak buah Rajagobal kempunan menamatkan aksi babak pertama dengan jaringan selepas percubaan kapten, Safee terkena palang pada minit ke-37 manakala penyudah Baddrol Bakhtiar pula ternyata lemah apabila rembatan leretnya lima minit sebelum rehat tidak cukup mampu menembusi gawang Hong Kong.

Bersambung babak kedua, skuad negara hampir mendahului namun tandukan Mohd Fadhli Shas berjaya dikeluarkan pertahanan Hong Kong di atas garisan gol.


Bagaimanapun keresahan kem negara akhirnya terlerai apabila Safee yang terselamat daripada penggantungan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) merembat kencang bagi gol pertama pada minit ke-59.


Hong Kong cuba bangkit dengan beberapa percubaan namun berjaya dikekang penjaga gol, Mohd Farizal Marlias. Kemasukan Safiq menggantikan Gary pada minit ke-74 membuahkan hasil apabila pakar sepakan percuma itu menyempurnakan peluang pada minit ke-82.


Dia juga mencipta gerakan gol ketiga apabila sepakan percumanya pada masa kecederaan gagal ditangkap kemas Hung Fai yang pantas disambar Fakri untuk menjadikan kedudukan 3-0.


Malaysia akan mengadakan tiga lagi perlawanan persahabatan sebelum sepak mula Piala AFF, bulan depan dengan menentang Vietnam di Hanoi pada 3 November, Thailand di Chiang Mai (7 November) dan Hong Kong di Shah Alam (14 November).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Cabaran baru futsal

Posted: 16 Oct 2012 01:47 PM PDT

DASHING For Men, jenama terkemuka produk dandanan diri lelaki akan menganjurkan kejohanan futsal neon pertama di Malaysia, bulan depan.

Kejohanan Cabaran Skor Dashing ini dianggap unik, terutama bagi mereka yang menginginkan cabaran baru sukan futsal apabila perlawanan dilangsungkan di gelanggang gelap dengan hanya disinari cahaya lampu neon. Justeru, segala-galanya, bermula dengan jersi pemain, bola hingga ke tiang gol juga akan menyinar dalam kegelapan gelanggang. Pastinya ia menjadi pengalaman unik untuk diharungi setiap peserta.


"Futsal adalah sukan digemari majoriti lelaki Malaysia. Justeru, kami ingin membawa konsep menarik ini kepada pelanggan dengan harapan ia menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan mencabar. "Konsep futsal neon ini membolehkan peserta menonjolkan bakat serta daya keyakinan diri tinggi, seiring dengan lambang identiti pengguna Dashing," kata Pengurus Besar Wipro Unza (Malaysia) Sdn Bhd, Christina Yong. Kejohanan itu akan diadakan di seluruh negara dengan membabitkan empat zon, Kuala Lumpur, Klang, Kuala Terengganu dan Pulau Pinang bermula bulan depan dengan Grand Final di Kuala Lumpur pada 8 Disember. Hadiah bernilai lebih RM20,000 menjadi rebutan dengan juara menerima RM7,000 serta lawatan khas ke Studio ESPN di Singapura. Pengambilan pasukan kini diadakan dan mereka yang berminat perlu membeli produk Dashing bernilai RM200 untuk layak menyertai pertandingan itu. Setiap pembeli juga berpeluang memenangi beg kasut gim eksklusif Dashing dengan pembelian bernilai RM40 dalam satu resit.

Borang penyertaan boleh didapati daripada promoter dan kru Trak Mobil Dashing serta laman facebook Dashing For Men. Layari laman Facebook Dashing untuk mengetahui lokasi kru Dashing dan maklumat lanjut mengenai kejohanan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved