Selasa, 18 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Analisis fungsi otak

Posted: 18 Sep 2012 08:35 AM PDT

SEJAK dilahirkan, kanak-kanak memiliki bakat semula jadi yang secara lazimnya dapat diperhatikan ketika mereka masih kecil lagi.

Bakat semula jadi ini bukan dibina melalui proses penyesuaian luar atau dilatih tetapi potensi diri mereka berdasarkan kecenderungan atau cara minda bertindak balas terhadap lingkungan stimulasi.

Ia boleh dikenal pasti sejak awal melalui analisa cap jari anak yang bertujuan untuk memberi idea kepada ibu bapa berusaha menyokong si kecil menerusi bakat dimiliki.

Justeru, satu program analisis cap jari diperkenalkan melalui kempen Kenali Potensi Si Manja Dutch Lady bagi mengesan bakat semula jadi si kecil.


Menerusi analisis berkenaan, jari yang paling dominan dianalisis menerusi ukuran biometrik untuk mengkaji profil fungsi otak.


Analisis 10 jari tangan yang dilakukan selama 15 minit itu akan memberikan keputusan mengenai potensi sebenar anak untuk dijadikan panduan kepada ibu bapa.

Menurut Ketua Pembangunan Bahagian Psikologi Universiti Maranatha Christian, Indonesia, Efnie Indrianie, menggunakan analisis cap jari bagi mengenali perbezaan susunan formasi saraf otak adalah untuk membantu mengesan potensi kanak-kanak.

Meneroka potensi si kecil dianggap satu kaji selidik yang sangat menarik dari segi penyelidikan pemikiran (kognitif) dan fungsi otak.

Penyelidikan berkenaan berjaya membuktikan corak cap jari terbentuk di dalam janin di antara minggu 13 hingga 19 semasa dalam kandungan.

"Setiap kanak-kanak adalah individu yang unik kerana mempunyai profil fungsi otak berbeza antara satu sama lain yang terbentuk sejak dilahirkan.

"Analisis cap jari adalah salah satu kaedah yang boleh membantu ibu bapa mengenal pasti potensi bakat yang paling hebat di dalam diri si anak.

"Ia boleh membantu ibu bapa menentukan rangsangan yang betul untuk memupuk potensi anak dengan lebih giat. Misalnya, seorang kanak-kanak yang berbakat dalam muzik tetapi lemah matematik boleh menggunakan bakatnya sebagai penyokong dalam pembelajaran," kata Efnie.

Dia percaya kajiannya dapat membantu si kecil membina kemahiran muzik serta matematik pada masa sama.

Jelasnya, analisa berkenaan juga dapat membantu ibu bapa yang mempunyai zuriat daripada kalangan orang kelainan upaya (OKU) bagi mengesan potensi dimiliki untuk mereka berjaya.

Tinjauan penelitian yang dijalankan di Indonesia oleh Makmal Psychobiometric (Spectrum Synergy Biometric) mendapati 75 peratus kanak-kanak biasanya menunjukkan sifat yang selari dengan keputusan analisa cap jari manakala 25 peratus lebih cenderung kepada pengaruh dan pendidikan daripada alam sekitar serta budaya.

Analisa cap jari yang dikendalikan melalui kempen berkenaan membolehkan ibu bapa mengenal pasti lima cabang luas bakat semula jadi anak mengikut kumpulan yang ditentukan oleh corak cap jari.

Antara kategori potensi anak yang dapat ditentukan melalui cap jari adalah Si Kreatif, Si Berani, Si Mahir, Si Fasih dan Si Pemerhati.

Sementara itu, menurut Pengarah Kanan Jenama, Dutch Lady Malaysia, Wong Vai Chi, analisa cap jari adalah kaedah inovatif untuk mengenal pasti potensi bakat dan cara pembelajaran anak bagi membantu ibu bapa mengoptimumkan rangsangan dan bimbingan mengikut bakat dimiliki.

"Di Dutch Lady Malaysia, amat penting bagi kami untuk memainkan peranan sebagai rakan seperjuangan kepada ibu bapa bagi memenuhi keperluan rangsangan dan pemakanan anak untuk perkembangan otak yang lebih baik.

"Justeru, kami memperluaskan skop ini dengan memperkenalkan inovasi analisa cap jari yang terbaru untuk ibu bapa mencari cara memberikan yang terbaik kepada anak mereka," jelasnya ketika memperkenalkan program berkenaan, baru-baru ini.

Tambahnya, untuk memperkenalkan teknologi analisa cap jari dan mendidik ibu bapa mengenai cara memupuk potensi anak mereka, jenama berkenaan akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bermula 5 Oktober hingga 25 November ini.

Untuk maklumat lanjut, layari www.smartmoments.com.my atau lawati laman Facebook Kelab Ibu Dutch Lady di www.facebook.com/DutchLady.SmartMoments.

Fakta:

Analisa jari untuk menentukan potensi kanak-kanak apabila mereka dewasa:

1. Si Kreatif. Bakat semula jadi yang mewakili ibu jari mempunyai ciri unik kreatif iaitu keupayaan mengenal pasti, mencari dan mengembangkan idea baru. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu Si Kreatif Sistem dan Si Kreatif Pengantara.

Si Kreatif Sistem dapat dikesan melalui ibu jari kanan. Seorang kanak-kanak dengan bakat semula jadi dalam bidang ini mempunyai potensi menjadi pereka bentuk dan membangunkan sistem organisasi yang kecil ataupun besar. Kerjaya yang sesuai oleh Si Kreatif Sistem adalah ahli psikologi dalam bidang sumber manusia dan pengarah syarikat jika terbabit dalam sektor perniagaan.

Si Kreatif Pengantara diwakili oleh ibu jari kiri. Biasanya kanak-kanak ini mempunyai potensi menjadi seorang pengantara dalam pelbagai jenis perhubungan secara rasmi atau tidak rasmi. Jika anak memilih kerjaya di bidang politik, dia berupaya menjadi diplomat berjaya atau berkeupayaan bekerja sebagai kaunselor dan ahli terapi.

2. Si Berani boleh dikenal pasti melalui analisa pada jari telunjuk yang berkeupayaan dalam penyelesaian masalah. Ia mempunyai dua kategori berbeza iaitu Si Berani Berinisiatif dan Si Berani Yang Inovatif.

Si Berani Beinisiatif diwakili oleh jari telunjuk kanan. Kanak-kanak yang mempunyai bakat semula jadi dalam bidang ini lazimnya mempamerkan keupayaan yang menyokong pilihan kerjaya dalam bidang sains. Kerjaya sesuai dengan mereka adalah bidang teknologi maklumat, saintis, ahli antropologi atau penganalisa perniagaan.

Si Berani Yang Inovatif pula boleh dikenal pasti menggunakan jari telunjuk kiri. Mereka mempunyai keupayaan bekerja dalam satu kumpulan kreatif yang bebas melahirkan idea menarik. Kerjaya yang sesuai dengan mereka adalah bidang pembinaan seperti arkitek atau pereka hiasan dalaman, pengarah di dalam industri perfileman dan komposer.

3. Si Mahir boleh diwakili melalui analisa jari tengah. Ciri unik Si Mahir adalah berkeupayaan mengendali sistem atau program dengan cekap. Ia mempunyai dua kategori iaitu Si Mahir Teknikal dan Si Mahir Artistik.

Si Mahir Teknikal diwakili melalui jari tengah kanan yang dapat menjelaskan kejayaan mereka di dalam kerjaya sebagai pengurus operasi, juruteknik atau juruterbang.

Si Mahir Artistik mempunyai keupayaan bekerja dalam apa juga jenis kerjaya berhubung seni pergerakan badan dan membabitkan ketangkasan. Ia dapat ditentukan melalui imbasan jari tengah sebelah kiri dan pilihan kerjaya yang sesuai adalah atlet profesional, jurulatih, pereka seni tari, pelukis, doktor gigi, pakar bedah dan pakar estetik.

4. Si Fasih boleh dikenal pasti melalui imbasan jari manis yang berkeupayaan menyampaikan maklumat secara lisan mahupun bertulis dengan baik. Bidang kerjaya yang sesuai dengan mereka boleh dipastikan melalui imbasan jari manis di sebelah kiri dan kanan.

Si Fasih Bersistematik boleh dikesan menerusi jari manis kanan. Mereka mempunyai keupayaan mencapai kejayaan sebagai penyampai secara lisan, bertulis dalam cara berstruktur. Misalnya, kanak-kanak yang mempunyai mempunyai bakat semula jadi ini berpotensi dalam bidang politik, wartawan atau pembaca berita.

Si Fasih Yang Kreatif pula diketahui dengan menganalisa jari manis kiri. Mereka berpotensi menjadi pereka grafik, pengarah muzik atau cemerlang sebagai ejen publisiti bagi kumpulan pemasaran.

5. Si Pemerhati boleh dilihat menerusi analisa jari kelengkeng. Ciri unik kanak-kanak di dalam kategori ini adalah mempunyai keupayaan memerhati fenomena sosial atau peristiwa di sekitarnya.

Si Pemerhati Rujukan diwakili oleh jari kelengkeng kanan. Seorang kanak-kanak dengan bakat semula jadi ini mempunyai keupayaan memerhati perubahan dalam trend atau inovasi yang berlaku di sekitarnya. Kerjaya yang sesuai dengan mereka adalah penganalisa fesyen.

Si Pemerhati Fenomena ini diwakili oleh jari kelengkeng kiri. Kanak-kanak ini mempunyai keupayaan memerhati fenomena sosial atau peristiwa di sekitarnya.
Potensi mereka dapat digilap dalam bidang sosiologi, boleh menjadi penganalisa atau pemerhati sosial. Sekiranya menceburi bidang penjagaan kesihatan, kanak-kanak ini akan menunjukkan prestasi baik dalam bidang perkhidmatan kesihatan awam sebagai penganalisis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Program Pengarah Wanita

Posted: 18 Sep 2012 07:50 AM PDT

SEHINGGA kini, seramai 200 wanita sudah mendaftarkan diri mereka bagi menyertai Program Pengarah Wanita (WDP) sejak ia dilancarkan Jun lalu dengan 34 daripadanya berjaya menamatkan kursus dan kini sedia untuk ditempatkan dalam lembaga.

Lebih 120 peserta sudah melalui modul Penilaian Kesediaan Wanita Lembaga manakala kira-kira 80 lagi sudah menamatkan modul Latihan Persediaan Pengarah Wanita.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) menetapkan sasaran untuk melatih sekurang-kurangnya 200 wanita menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Institut NAM bagi Penguasaan Wanita (NIEW), Tan Sri Dr Rafiah Salim, berkata bagi meningkatkan wakil wanita dalam lembaga dan pembuat keputusan, perlu ada program tindakan dipacu oleh kuota dan sasaran.


"Negara yang mengamalkan pembahagian kuota jantina termasuk Norway, Perancis dan Sepanyol.


"Keputusannya, pecahan wanita dalam lembaga dan pembuat keputusan dalam syarikat utama di Eropah meningkat daripada lapan peratus pada 2004 ke 12 peratus pada 2010," katanya.

Pada Jun 2011, kerajaan membuat mandat yang mensasarkan 30 peratus pembuat keputusan dalam lembaga korporat terdiri wanita menjelang 2016.

Sejak itu, KPWKM melalui NIEW memperkenalkan WDP yang mensasarkan untuk menyediakan wanita berpotensi dan layak bagi peranan pengarah dalam syarikat penyenaraian awam.

Rafiah berkata, kejayaan awal program itu dapat dilihat melalui pendekatan sistematik yang diambil kerajaan dalam merangka program dan menguruskan pelaksanaan keseluruhan.

WDP terdiri daripada modul komprehensif penilaian lembaga secara dalam talian, penyediaan latihan untuk lembaga serta latihan pengetahuan dan kemahiran dalam bilik lembaga.

Sebaik tamat modul, calon wanita berpotensi akan melalui latihan simulasi lembaga yang akan membiasakan mereka dengan cabaran sebenar berada di peringkat pembuat keputusan.

Wanita yang memenuhi kriteria perlu mendaftarkan diri di www.wcdregistry.com.

Syarikat juga boleh mencari calon pembuat keputusan wanita melalui pendaftar berkenaan.

NIEW turut mengadakan promosi bergerak di bandar utama seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran di kalangan wanita supaya mereka mempunyai peluang sama rata dalam program berkenaan.

Selepas Sarawak dan Johor Bahru, promosi ketiga akan diteruskan pada 19 September ini di Hotel Equatorial, Pulau Pinang.

Maklumat lanjut program boleh didapati di www.niew.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Duit bayar sewa rumah jadi abu

Posted: 17 Sep 2012 03:45 PM PDT

SHAH ALAM: "Sedih bila mengenangkan duit sewa rumah berjumlah RM1,000 yang sepatutnya saya bayar kepada tuan rumah beberapa hari lagi hangus terbakar.

"Kini, saya terpaksa mengumpul semula duit sewa dan bekerja lebih kuat untuk membayar duit sewa rumah yang sudah dua bulan tertangguh," kata K Ramu, 40, menceritakan kesedihan yang dialami selepas bilik stor di rumahnya di Kampung Jawa, dekat sini, hangus dijilat api, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dia sekeluarga tiada di rumah kerana keluar untuk membeli barangan keperluan.


Katanya, sebaik tiba di rumah kira-kira jam 6 petang, dia terkejut apabila melihat banyak asap tebal keluar dari rumah.

Menurutnya, tanpa berfikir panjang, dia segera meninggalkan isteri dan anaknya sementara dia segera berlari ke dalam rumah dengan membawa baldi berisi air kerana mahu memadamkan kebakaran.


Bagaimanapun, usahanya untuk memadamkan kebakaran ternyata tidak berhasil kerana api semakin marak walaupun turut dibantu beberapa orang jiran untuk memadamkannya.


"Beberapa minit kemudian, pasukan bomba tiba dan berjaya memadamkan kebakaran, namun saya tidak dapat menyelamatkan barangan berharga seperti wang, barang kemas dan pakaian yang disimpan dalam stor berkenaan.

"Walaupun terkilan wang dan barangan berharga lain hangus saya bersyukur kerana keluarga selamat," katanya.


Beliau berkata, anggaran awal kerugian dialami ialah RM15,000.

Ramu berkata, ini adalah kejadian pertama berlaku sejak mendiami rumah itu kira-kira dua tahun lalu.


Sementara itu, jurucakap bomba sewaktu dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.21 petang dan tiba beberapa minit kemudian.


Katanya, tujuh anggota bomba bersama pegawai tiba di tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya kira-kira jam 7 malam.


Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak forensik bomba.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Tiada kompromi hotel bajet tidak patuhi syarat

Posted: 17 Sep 2012 03:43 PM PDT

KUALA LUMPUR: Masalah berkaitan permit pekerja menjadi antara punca utama hotel bajet di dalam kawasan seliaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) enggan memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala berkata, selain masalah itu, pekerja hotel didapati gagal memenuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa, malah ada di antaranya menyalah guna pas lawatan sosial.


Katanya, pihaknya mengesan terdapat beberapa pemilik hotel bajet tetap beroperasi seperti biasa walaupun lesen perniagaan mereka sudah tamat tempoh.

"Terdapat lebih 50 hotel bajet sekitar kawasan MPS dan kami menerima aduan beberapa hotel bajet beroperasi secara haram, namun kami yakin masalah ini diatasi memandangkan penguatkuasaan dilakukan semakin kerap dengan kerjasama beberapa pihak lain termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).


"Prosedur memperbaharui lesen perniagaan perlu dipatuhi. Oleh itu, kami tidak akan melayakkan mana-mana lesen diperbaharui sekiranya pemilik premis melanggar syarat," katanya.


Zainal Abidin berkata, hotel bajet lebih tertumpu di lokasi yang menjadi tarikan pelancong seperti Batu Caves, Selayang, Rawang dan Gombak, justeru pemeriksaan lebih kerap dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, setiap hotel ditetapkan untuk mempunyai buku daftar keluar masuk pelanggan bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan kelak.


Menurutnya, walaupun membabitkan masalah pekerja, tindakan akan diambil bagi pemilik hotel yang gagal mematuhi prosedur.

"Amaran akan diberikan pada peringkat pertama dan diikuti dengan kompaun sebanyak RM1,000 sekiranya pemilik masih gagal dan jika masih berdegil tindakan lebih tegas akan dikenakan di mana premis perniagaannya akan disita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Padah mulut celupar

Posted: 17 Sep 2012 01:47 PM PDT

KECELUPARAN pengendali Terengganu, Peter Butler mengeluarkan kenyataan media tanpa merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung masalah disiplin dua pemain skuad Penyu, Muhamad Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ri, akhirnya membawa padah apabila beliau digantung enam bulan.

Bekas pemain West Ham United itu yang mula melatih skuad Penyu sejak Jun lalu, juga turut didenda RM4,000 berikutan kesalahan pertama yang dilakukan itu.


Kesalahan kedua pula iaitu memaki hamun dan menolak penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramlie, berdekatan bangku pemain simpanan ketika perlawanan menentang Kedah lantas jurulatih kelahiran England itu turut dikenakan denda pemotongan gaji 15 peratus sebulan daripada gaji pokok.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Ahmad Shukri Zakaria dalam satu sidang media di Pejabat PBSNT di Kuala Terengganu, Terengganu, semalam selepas mesyuarat lebih sejam.


Selain Butler, Ahmad Shukri berkata, turut menerima hukuman adalah Muhamad Muslim dan Ismail Faruqi yang didakwa atas kesalahan keluar dan masuk bilik penginapan hampir jam 3 pagi tanpa kebenaran PBSNT sebelum perlawanan bertemu Kedah di Alor Star pada 28 Ogos lalu. Mereka didakwa membawa wanita ke bilik oleh Butler.


Berikutan kesalahan itu, dua bekas pemain kebangsaan itu didenda RM1,000 setiap seorang selain diberi amaran keras oleh PBSNT.

Sementara itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee yang didakwa membaling botol air ke arah Butler ketika perlawanan menentang Kedah pada 1 September lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu, turut berdepan amaran keras dan denda RM1,000.


Nasib sama turut menimpa penyerang import Terengganu dari Liberia, Francis Forkey Doe apabila dia didenda pemotongan gaji 10 peratus sebulan berikutan kesalahan menyiku dengan sengaja pertahanan Kedah, Mohd Sabri Abu pada 1 September lalu di Kuala Terengganu.

Malang berganda buat Forkey Doe, penjaring terbanyak Liga Super musim ini apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengenakan tindakan gantung empat perlawanan dan denda RM2,000.


"Semua hukuman dan pemotongan gaji terhadap jurulatih dan empat pemain berjalan serentak berkuatkuasa hari ini selepas jawatankuasa disiplin bersetuju mengenakan tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan," kata Ahmad Shukri.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Minggu cemerlang!

Posted: 17 Sep 2012 01:37 PM PDT

SELEPAS merentasi tiga negara dengan menyaksikan Proton Satria Neo beraksi di Kejohanan Rali Dunia (SWRC) di Britain, Kejohanan Rali Asia-Pasifik di Hokkaido (APRC), Jepun dan Siri Super Malaysia (MSS) di Litar Antarabangsa Sepang, Proton R3 Motorsports meraikan kejayaan penuh bermakna hujung minggu lalu apabila menjejak podium.

Pemandu muda dari Wales, Tom Cave yang memandu jentera Proton Satria Neo S2000 menamatkan perlumbaan di tempat kedua buat pasukan Proton R3 Motorsports dalam kategori Super 2000 WRC, aksi kedua bersama pasukan Proton tahun ini.


Cabaran Per-Gunnar Andersson di SWRC lebih sukar selepas terpaksa menarik diri pada pusingan pertama tapi bangkit mempamerkan pemanduan hebat selepas itu untuk memenangi dua peringkat dan menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan.

Keputusan itu menyaksikan Andersson mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu SWRC dengan perbezaan lapan mata manakala Hayden Paddon dari New Zealand berkongsi tempat kedua bersama pelumba Ireland, Craig Breen.


Perlumbaan itu dimenangi Breen yang memandu Ford Fiesta S2000 manakala Yazeed Al-Rajhi turut memberikan podium buat Ford apabila menduduki tempat ketiga. Sementara itu, pasukan rali R3 Cusco mempamerkan aksi membanggakan dalam saingan APRC di Rali Hokkaido 2012 apabila menyapu bersih kedudukan podium kategori 2WD.


Pelumba legenda negara yang juga juara keseluruhan tiga kali berturut-turut APRC, Karamjit Singh menggunakan segala pengalaman biarpun berdepan kesukaran apabila tayarnya pancit untuk mengungguli kategori 2WD.

Manakala rakan sepasukan Karamjit dari Jepun, Akira Bamba turut meraikan kejayaan apabila muncul juara Remaja APRC buat kali kedua selepas menjuarai kategori APRC remaja dan menduduki tempat kedua saingan 2WD.


Pemandu muda negara, Kenneth Koh melengkapkan minggu sempurna buat pasukan itu apabila meraih tempat kedua kategori remaja dan ketiga saingan 2WD.

Keseluruhan, hujung minggu lalu disifatkan minggu penuh bermakna buat Proton biarpun kedua-dua kereta Proton Satria Neo S2000 yang dipandu Alister McRae dan Juha Salo terpaksa menarik diri.


Sementara itu pelumba pasukan Proton R3, Syafiq Ali dan James Veerapan yang mengendalikan Proton R3 Satria menguasai aksi di MSS di Sepang ketika saingan berbaki satu lagi pusingan.


Biarpun berdepan kesukaran apabila kereta dipandu Veerapan terbabas ke laluan kelikir, dia bangkit meneruskan perlumbaan selepas mendapat bantuan marsyal untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat sekali gus muncul juara keseluruhan dengan kelebihan 70 mata, satu jurang yang tidak mampu digugat mana-mana pemandu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Jiwa serikandi Milla Jovovich

Posted: 17 Sep 2012 08:38 PM PDT

TIDAK kekok langsung apabila dia memegang senjata api. Gerak tubuh dan permainan matanya sangat bersahaja. Lasaknya memang hebat sekali malah mampu menyaingi lelaki.

Berbanding kebanyakan bintang Hollywood lain, semangat serikandi dan bayangan seorang pejuang begitu terserlah dalam jiwanya itu.

Mungkin tidak salah kalau dikatakan semua itu datang daripada pengaruh keluarganya sendiri yang terbabit dalam dunia ketenteraan.

Milla Jovovich, 36, wanita hebat yang penulis maksudkan itu, pernah dibesarkan dalam sebuah keluarga Russia yang ortodoks di Kiev, Ukranian, Soviet Union.


Dilahirkan pada 17 Disember 1975, Milla adalah anak pasangan Bogdan Bogdanovic Jovovic dan Halina Mikhaylovna Loginova.


Moyangnya Bogic Camic Jovovic, pernah berkhidmat dengan King Nicholas I dari Montenegro manakala datuknya, Bogdan Jovovic, pula seorang komander di Pristina.

Kemudian ayah Milla, mengikuti pengajian perubatan dan berkahwin dengan ibunya, seorang aktres di Russia.

Pada 1980, keluarga Milla berhijrah ke London dari Soviet Union atas sebab-sebab politik. Kemudian, mereka berpindah pula ke Sacramento, California sebelum menetap di Los Angeles. Akhirnya kedua ibu bapanya bercerai.

Seterusnya, ibu Milla terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga mereka dengan menjadi pelakon dan pembantu produksi kepada pengarah Brian De Palma.

Selepas menetap di California, Milla semakin lancar berbahasa Inggeris. Namun apa yang merimaskan, ketika zaman persekolahannya, Milla pernah diejek sebagai ejen perisik Russia oleh rakan-rakannya. Dia memang tidak diterima oleh kumpulan yang mengejeknya itu.

"Memang kalau dikenang, keluarga saya terpaksa menempuh banyak cabaran dalam hidup. Mungkin semua kesusahan itu mengajar saya menjadi seorang yang kuat dan berusaha mencapai impian segala saya. Tiada yang senang dalam hidup ini. Memang saya akui saya seorang tegas dan fokus kalau bekerja. Kita mahu orang melihat yang terbaik. Jadi kita sendiri kena memberikan komitmen yang terbaik," kata Milla kepada Harian Metro.

Petang itu, Milla muncul ke dalam bilik wawancara dengan gaya rambut pendek dan bergaun pendek coklat. Duduk di sofa empuk, model yang pernah menjadi pelaris produk ternama seperti L'Oreal, Banana Republic, Christian Dior, Versace, Revlon, Giorgio Armani dan DKNY itu menyambung lagi ceritanya dengan renungan tajam dan sesekali terselit tawa kecil. Dia kelihatan begitu tertarik menjawab soalan mengenai modelling yang menjadi kerjaya keduanya.

"Ramai anak-anak muda di luar sana bercita-cita dan berangan-angan untuk menjadi terkenal, popular dan glamor, malah kalau boleh, dalam sekelip mata.
Namun sedarlah semua itu tidak akan datang dengan pantas. Saya sendiri kena bermula dari bawah dan mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk sampai ke tahap sekarang.

"Terus terang, kadang-kadang saya lihat model-model baru hanya cantik di mata tetapi mereka sebenarnya membosankan. Mereka jangan ingat kecantikan saja sudah cukup. Kita tidak perlu menjadi wanita paling cantik dalam dunia untuk berada di puncak kerana apa yang lebih penting adalah pakej yang baik.

"Masalah saya dengan model-model baru, mereka kadangkala merasakan mereka tidak perlu belajar. Saya bertuah kerana ketika saya mula-mula menjadi model dulu, saya belajar daripada ibu saya sendiri terutama dari sudut fotografi dan penggayaan fesyen.

"Namun ia tidak terhenti di situ saja kerana saya juga banyak membaca buku dan majalah untuk belajar. Dari situ kita akan tahu siapa jurugambar yang bagus, siapa pereka fesyen yang paling hebat. Rujukan dan pengetahuan itu sangat penting," katanya yang pernah memiliki jenama fesyen Jovovich-Hawk.

Dunia lakonan Milla bermula pada 1988 apabila dia mencuba bakat dalam filem untuk kaca TV, The Night Train to Kathmandu. Setahun selepas itu, dia muncul dalam filem pertama, Two Moon Junction, diikuti Fair Exchange dan seterusnya filem yang menjadi sebutan, Return to the Blue Lagoon pada 1991.

Namanya nama Milla terus melonjak lagi apabila membintangi filem sains-fiksyen The Fifth Element pada 1997 bersama Bruce Willis. Dalam filem itu, dia memegang watak Leelo dan menggayakan fesyen rekaan Jean-Paul Gaultier (JPG). Filem itu arahan bekas suaminya, keduanya Luc Besson.

Tidak terhenti di situ, Milla semakin membuka mata ramai karyawan filem apabila muncul dalam The Messenger: The Story of Joan of Arc pada 1999.

Akhirnya pada 2002, Milla ditawarkan watak utama dalam filem yang diilhamkan daripada permainan video popular, Resident Evil. Ia kemudiannya muncul sebagai filem sekuel dengan empat lagi siri iaitu Resident Evil: Apocalypse (2004), Resident Evil: Extinction (2007), Resident Evil: Afterlife (2010) dan terbaru yang sedang ditayangkan, Resident Evil: Retribution.

Bercakap mengenai filem Resident Evil: Retribution, Milla berkata dia selesa apabila berlakon di bawah arahan suaminya sendiri, Paul W S Anderson.
Bagaimanapun dia tidak pernah menjalankan tugasnya dengan sambil lewa kerana tidak mahu peminat kecewa dengan filem itu yang sudah berjaya mengumpul jutaan peminat setia khususnya mereka yang sukakan permainan video.

"Saya tidak pernah menganggap tugas saya menjadi lebih senang apabila bekerja dengan suami sendiri. Sebaliknya saya menggunakan peluang itu untuk berbincang dengan sebaik mungkin agar saya dapat memberikan hasil yang terbaik.

"Bagi saya Resident Evil yang terbaru itu lebih menyeronokkan dan banyak aksi-aksi yang menarik apatah lagi kesan 3D yang ditonjolkan juga semakin baik dan teliti. Perjuangan Alice di Umbrella Corporation tidak pernah selesai dan tugas terbarunya semakin mencabar," katanya sambil membetulkan juntai rambut di dahi.

Untuk meneruskan legasi watak yang mencabar itu, Milla yang pernah merakamkan album The Divine Comedy, akui membuat banyak persiapan dari segi fizikal terutama seni mempertahankan diri seperti 'kick-boxing'' dan seni kombat.

Filem itu turut dibintangi Michelle Rodriguez, Sienna Guillory, Aryana Engineer, Johann Urb, Li Bingbing dan ramai lagi.

Menceritakan mengenai pra-pembikinan filem itu, Milla berkata dia pernah meradang seketika apabila pertama kali mendapat skrip filem sekuel itu.

"Mulanya saya tidak berpuas dengan dengan Paul kerana watak saya sangat hambar.
Saya cakap kepada Paul sendiri, 'inikah watak pelakon yang pernah menjadi 'Joan of Arc dan Leelo'? Selepas itu, barulah kami duduk dan mula membaca semula skrip itu - satu demi satu muka surat dan saya meminta Paul memindanya," katanya dengan terus terang.

Apapun Milla gembira kerana pembikinan filem itu berjaya disiapkan dan hasilnya cukup memuaskan hati. Dia akui tiada masalah sekiranya perlu berlakon lagi dalam sekuel seterusnya andai kata ada keperluan dan semuanya bergantung kepada kehendak studio yang memerbitkan filem itu.

Resident Evil: Retribution diedarkan di Malaysia oleh Sony Pictures Releasing International.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Advertorial: World of Movies Dibawakan Oleh Astro

Posted: 17 Sep 2012 08:35 PM PDT

Saksikan koleksi filem terbaru menerusi Astro First dan Astro Best bersama pustaka filem yang menarik melalui Astro B.yond VOD.

Helakan nafas dan duduk bersandarlah pada sofa empuk anda di rumah. Lalu bertanya pada hati anda: "Apakah filem yang mahu ditonton hari ini?

Usah gusar kerana jawapan itu ada pada Astro Best dan Astro B.yond VOD yang kini boleh dinikmati pada hujung jari anda.

Cukup membanggakan kerana Astro kini melancarkan Astro Best yang menawarkan 3.1 million pelanggannya untuk menikmati filem-filem Hollywood dan Asia menerusi satelit DTH (Direct-To-Home) dan platform IPTV (Internet Protocol Television).


Dengan Astro Best, anda mampu menonton judul-judul filem Hollywood dan Asia seawal 3 bulan selepas ia ditayangkan di pawagam dalam bentuk Definisi Tinggi (HD) yang berkualiti di rumah.


Sebagai contoh, anda boleh menyaksikan filem seperti The Avengers, The Hunger Games dan filem hit Korea yang menaikkan nama bintang-bintang K-Pop, I AM: SM Town Live Tour in Madison Square di saluran Astro 481, pada harga RM10 untuk setiap filem, bagi tempoh 48 jam selepas tempahan dibuat.

Judul akan datang bagi Astro Best termasuklah What to Expect When You're Expecting dan The Cabin in The Woods.

Henry Tan, Ketua Pegawai Operasi Astro berkata, Astro Best dilancarkan selepas kejayaan Astro First yang mencetuskan fenomena baru di Malaysia.

Pelanggan boleh membeli filem Astro Best melalui SMS di Astro Channel 481 pada harga RM10 untuk setiap filem dalam tempoh 48 jam selepas menempah.

Untuk pakej ini, Astro bekerjasama dengan studio filem antarabangsa seperti Walt Disney Company, Lionsgate, Sundance Channel, Animax, Fortune Star, CJ Media dan Unitel Classica agar peminat di Malaysia boleh mendapatkan akses yang hebat kepada pustaka filem-filem Hollywood dan Asia.

Amit Malhotra, Pengurus Besar Jualan & Pengedaran Media bagi The Walt Disney Company (Asia Tenggara) pula berkata: "Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Astro dengan menawarkan karya Disney, Pixar dan Marvel terus kepada penonton di rumah yang berada di Malaysia."

Ujar Wendy Reeds, Timbalan Presiden Eksekutif Kandungan Jualan & Pengedaran Celestial Tiger Entertainment (CTE) pula pihaknya sangat berbangga dapat bergabung dengan Astro untuk melancarkan The Hunger Games, filem blockbuster pertama dalam bentuk francais dan filem akan datang, Cabin in The Woods serta What to Expect When You're Expecting.

"Astro adalah rakan kongsi kami yang penting dan kami yakin kerjasama ini akan mencipta satu jalinan baru ke arah hiburan komersial yang menarik termasuk yang ditawarkan oleh Lionsgate."

Mengulas mengenai pembabitan SPT Networks, Ricky Ow, Timbalan Presiden Eksekutif dan Pengurus Besar Sony Pictures Television Asia berkata, kerjasama stratregik dengan Astro memberi peluang kepada pihaknya memperkenalkan Animax video kepada peminat di Malaysia.

"Ini memberi peluang kepada peminat untuk menonton anime terbaru dari Jepun mahupun seleksi siri anime yang popular dari studio-studio animasi ternama. Ia lengkap dengan sarikata bahasa Malaysia," katanya.

Tidak ketinggalan gembira menjalinkan usahasama dengan Astro adalah Bruce Tuchman, Presiden AMC/Sundance Channel Global.

"Kami di Sundance Channel, berbangga dapat menjalinkan kerjasama dengan Astro. Dengan ini penonton Astro akan dapat menonton karya berkualiti daripada pembikin filem bebas yang mana filem-filem mereka ada yang masih lagi ditayangkan di pawagam di Amerika Syarikat.

Antara judul filem terbaru yang ditawarkan kepada Astro B.yond VOD adalah seperti 50/50, Man On A Ledge, Abduction, Here, Teddy Bear dan karya dari Asia dan Bollywood termasuk Nightmare, Ghost On Air, Ashoka, Chalte Chalte, Penny Pinchers dan pelbagai lagi.

Judul bagi Catch Up TV termasuklah Oh My English, drama Korea dan China seperti City Hunter, Palace II dan The Other Truth, tidak ketinggalan karya Disney seperti Phineas and Ferb serta Upin & Ipin dan banyak lagi setiap hari.

Di samping itu, kandungan VOD terpilih juga disediakan secara online dan mobile melalui perkhidmatan Astro On-The-Go untuk semua pelanggan.

Untuk informasi lanjut mengenai Astro Best dan Astro B.yond VOD, sila layari https://www.facebook.com/Astroworldofmovies.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Hafiz sebenar tegur bacaan ‘Sheikh’

Posted: 17 Sep 2012 04:07 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kemahirannya 'menjual air liur' kononnya bergelar hafiz dan mempunyai pendapatan lebih RM100,000 sebulan membuatkan seorang lelaki diberi kuasa dan dijulang dengan penuh hormat oleh kariah masjid dan surau.

Menggelarkan dirinya 'Sheikh', lelaki yang mengaku berusia 31 tahun dari Terengganu itu dilantik menjadi pengerusi masjid dan surau, malah mengislamkan seorang lelaki dan wanita dengan disaksikan jawatankuasa surau yang terpedaya dengan temberang kehebatannya.

Dia juga diberi kepercayaan sebagai imam dan mengajar tadarus al-Quran.

Namun, tembelangnya pecah apabila seorang hafiz sebenar menjadi makmumnya ketika solat dan menyedari kesalahan ayat dibaca lelaki terbabit, lalu menegurnya.


Bertitik tolak daripada itu, jawatankuasa surau satu kawasan perumahan di Kepong mula melakukan siasatan dan akhirnya mendapati Sheikh itu menipu mereka dan sejak itu dia tidak lagi kelihatan di situ.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Mayat atas pokok

Posted: 17 Sep 2012 04:07 PM PDT

PENAMPANG: "Saya ingatkan objek itu bangkai anjing atau kerbau yang sering terapung dan tersangkut di pokok di tebing sungai ketika memukat ikan di kawasan ini.

"Bagaimanapun, sangkaan saya meleset sebaik melihat ada rambut pada objek itu dan apabila diamati, ia mayat wanita dalam keadaan berbogel dan sudah busuk," kata Samual Abota, 22.


Mayat wanita berusia 20-an itu ditemui tersangkut pada dahan pokok di Sungai Moyog, Kampung Kodundungan Jalan Terawih, di sini, jam 10 pagi.

Samual berkata, ketika kejadian, dia memasang pukat di kawasan berkenaan sebelum terlihat objek seperti bangkai haiwan di kawasan itu dan tidak menghiraukan pada awalnya.


Bagaimanapun, katanya, tiba-tiba timbul rasa ingin tahu dan apabila diamati, dia mendapati ada rambut pada objek itu dan apabila dihampiri, dia terkejut apabila mendapati ia mayat manusia.


"Terkejut dengan penemuan itu, saya bergegas ke rumah kira-kira 300 meter dari tempat kejadian bagi memaklumkan penemuan mayat berkenaan kepada penduduk sebelum mereka menghubungi polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan. Setakat ini, katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, bagaimanapun polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian wanita itu.


"Saya meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kereta ‘terbang’ rempuh rumah

Posted: 17 Sep 2012 02:04 PM PDT

LONDON: Satu kemalangan membabitkan dua kenderaan bukan saja mencemaskan orang ramai, malah turut menyebabkan mereka kehairanan.

Dalam kejadian awal pagi semalam itu, sebuah kereta Lexus berwarna perak melayang sebelum merempuh dinding bilik tidur sebuah rumah di tingkat satu yang terletak kira-kira 24 meter dari situ.


Menurut saksi, sebelum itu, pemandu kereta Lexus berkenaan terbabas sebelum merempuh sebuah kereta lain yang diletakkan di kawasan sama. Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta terbabit melambung dan melayang merempuh rumah berkenaan.

Rempuhan itu menyebabkan dinding tingkat atas rumah berkenaan berlubang. "Penghuni rumah itu sedang tidur apabila kereta berkenaan merempuh bangunan mereka kira-kira jam 3 pagi," katanya. Bagaimanapun, pasangan suami isteri serta dua anak mereka yang ada di situ ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.


Pemandu kereta Lexus itu pula, katanya, hanya mengalami kecederaan ringan.


"Dua lelaki yang jadi penumpang juga dihantar ke hospital kerana kecederaan ringan," katanya. Sementara itu, jurucakap polis Epsom di Surrey berkata, selain bilik tidur utama, bilik air di sebelahnya juga rosak. "Lima kereta, satu peti surat dan pagar juga rosak," katanya. Seorang jurutera struktur menyiasat tempat kejadian bagi memastikan bangunan itu selamat ketika polis menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana ia boleh berlaku. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Pengguna tandas di hotel mewah terkejut aksi diperhati

Posted: 17 Sep 2012 01:56 PM PDT

NEW YORK: Ketika pelawat sebuah hotel eksklusif di New York boleh menikmati pemandangan indah dari tandas di tingkat 18 bangunan itu, keadaan yang sama tidak dirasai orang lain yang ada di sekitar kawasan berkenaan.

Pelanggan Kelab Boom Boom Boom di Hotel Standard di Manhattan dapat melihat ke luar melalui kaca yang menjadi lantai, dinding dan siling di tandasnya.


Pada masa sama, kaca itu juga membolehkan orang lain melihat aksi mereka di tandas. Keadaan itu membimbangkan sesetengah pengguna tandas kerana tiada sebarang notis diletakkan mengenai situasi berkenaan. Lebih memalukan, sesetengah aksi mereka turut dirakam orang tidak dikenali yang melihat mereka dari bawah. Pelancong dari Melbourne, Australia, David Langdon, 55, berkata melihat ke luar dari tandas itu memang menyeronokkan.

"Tetapi pemandangan di dalam tandas amat menakutkan," katanya. Menurut Langdon, dia melihat pejalan kaki melambai ke arahnya dari bawah.


Katanya, keadaan itu bukan sesuatu yang diharapkan apabila seseorang membuang air. Deretan mangkuk tandas pada dinding bilik itu dibina berhampiran dengan tingkap kaca dan ia membolehkan orang lain melihat setiap pergerakan yang ada di situ. Pemilik premis itu juga tidak memasang langsir atau bidai bagi melindungi pengguna tandas berkenaan. Menurut sumber, hotel berkenaan memang popular di kalangan selebriti.


Antara bintang yang pernah menggunakan tandas itu ialah Leonardo DiCaprio dan Cameron Diaz. Walaupun ada yang menyuarakan rasa tidak puas hati, sesetengah pengguna lain tidak keberatan aksi mereka dalam tandas menjadi tontonan. Malah, ada antara mereka sempat melambai ke arah orang lain yang melihatnya dari bawah. Pengurus hotel berkenaan pula enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi media. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved