Rabu, 24 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Terpesona lirikan mata

Posted: 24 Oct 2012 12:23 PM PDT

TANPA mengira acara dihadiri, teknik untuk menyerlahkan keanggunan mata sering diutamakan.

Apa tidaknya, melalui teknik yang betul bentuk mata kecil boleh dibesarkan dan mata yang besar pula mampu dikecilkan melalui gabungan teknik dan kombinasi warna pembayang mata.

   
  • Foto

    SEBELUM...wajah Hilany sebelum menggunakan mekap.

  • Foto

    UKUR...untuk menentukan kedudukan alis agar sepadan dengan simetri wajah, ukur kedudukan sebenar bermula dari hujung dalam kening agar sekata dengan bibir.

  • Foto

    SAPU...selesai merapikan kening, sapu bedak asas pada seluruh wajah untuk melindungi kesan jerawat atau parut.

  • Foto

    TAMBAH...kemudian guna penyamar cela untuk menutup lingkaran gelap bawah mata serta kawasan bermasalah. Oles hingga rata. Kemudian sapukan bedak kompak. Untuk mekap lebih semula jadi, gunakan warna bedak asas lebih gelap dengan gabungan bedak berwarna cerah.

  • Foto

    BENTUKKAN...lukis bentuk kening menggunakan penggaris pensel berwarna coklat. Jika menggunakan warna hitam, wajah kelihatan lebih garang.

  • Foto

    WARNAKAN KELOPAK MATA...sapukan warna dasar pada kelopak mata sebelum gunakan pembayang mata hitam untuk menghasilkan gaya smokey. Campur beberapa warna pembayang mata seperti hitam, perak, biru gelap, coklat, emas, biru firus dan tembaga. Untuk menonjolkan tulang pipi, gunakan teknik pembayang. Akhiri dengan membentuk bibir dan gunakan gincu serta pengilat bibir agar kelihatan lebih mungil dan seksi.

  • Foto

    WARNAKAN KELOPAK MATA...sapukan warna dasar pada kelopak mata sebelum gunakan pembayang mata hitam untuk menghasilkan gaya smokey. Campur beberapa warna pembayang mata seperti hitam, perak, biru gelap, coklat, emas, biru firus dan tembaga. Untuk menonjolkan tulang pipi, gunakan teknik pembayang. Akhiri dengan membentuk bibir dan gunakan gincu serta pengilat bibir agar kelihatan lebih mungil dan seksi.

Siapa yang tidak tertawan dengan lirikan mata menawan dan bagi menghasilkan riasan mata lebih menyerlah, gabungan tujuh warna pembayang mata boleh digunakan.

Malah, kombinasi ini juga dapat memberikan ilusi mata yang menarik.


Untuk riasan mata kali ini, penggunaan warna dasar bagi menonjolkan bahagian diingini amat penting justeru, gunakan pembayang mata warna hitam, perak, biru gelap, coklat, emas, biru firus dan tembaga.


Menariknya, gabungan setiap warna itu berubah mengikut sudut pandangan individu yang melihatnya.

Tip solekan mata:

Nutrien penting

Posted: 24 Oct 2012 11:31 AM PDT

NUTRIEN yang cukup bukan saja mampu menjaga kesihatan tubuh malah ia menyumbang kepada kecantikan kulit dan rambut, tanpa memerlukan bantuan kosmetik yang mungkin merosakkan lagi kulit terutama kulit sensitif.

Kulit mulus dengan rambut lebat berkilau boleh dicapai sekiranya seseorang menjaga pemakanan dan hanya mengambil bahan terbaik bagi menyalurkan zat yang diperlukan tubuh.

Ada lapan makanan yang boleh diamalkan dalam mendapatkan penampilan menarik antaranya me-ngambil sayuran hijau seperti bayam yang kaya dengan zat dan antioksidan.

Ia juga penuh dengan lutein iaitu zat yang mampu menjaga kesihatan mata. Bayam juga sumber kaya dengan dengan vitamin B, C dan E serta potasium, kalsium, zat besi, magnesium dan asid lemak omega-3.


Apabila perlu mengambil salad, tukar menu salad kepada daun bayam sebagai makanan ringan atau snek segera.


Tiram juga salah satu makanan yang mampu membolehkan kita memiliki kulit cantik kerana ia kaya dengan zink yang membantu memulihkan serta membantu penukaran sel kulit. Zink juga menjaga kesihatan kuku, rambut dan mata.

Sejenis lagi sayuran yang baik untuk kulit dan rambut ialah tomato kerana ia kaya dengan lycopene yang bersifat antioksidan dan mampu melambatkan penuaan kulit.

Lypocene yang terkandung dalam tomato lebih mudah diserap tubuh apabila
tomato dimasak atau diproses contohnya sos tomato, jus tomato atau tomato dalam tin.

Kacang walnut yang boleh dimakan begitu saja sebagai snek juga kaya dengan asid lemak omega-3 dan vitamin E yang menyumbang kepada kulit lebih lembut, rambut sihat, mata lebih terang dan tulang lebih kuat.

Selain dimakan begitu saja, walnut boleh dimasukkan dalam masakan harian bagi mendapat kebaikannya.

Antara buah yang banyak memberi kelebihan kepada pengamalnya ialah kiwi.

Ia penuh dengan vitamin C dan antioksidan, sekali gus membantu menganjalkan kulit, menghalang kedutan, menguatkan tulang dan gigi.

Coklat juga boleh memberi kebaikan kepada penampilan seseorang,tetapi pilih coklat gelap kerana ia kurang gula dan lebih kaya dengan kandungan coklat.

Selain membantu kulit kekal lembap, coklat juga menjaga kulit daripada kerosakan akibat selaran matahari. Pilih coklat yang mengandungi sekurang-
kurangnya 60 peratus kandungan coklat kerana ia tinggi kandungan flavanol.

Selain itu, secawan yogurt rendah lemak mempunyai kandungan kalsium yang lebih tinggi berbanding satu cawan susu tanpa lemak, sekali gus bagus untuk postur tubuh, kuku dan gigi.

Yogurt boleh diamalkan sebagai sarapan yang penuh khasiat sekiranya ia dicampur dengan buah-buahan segar serta dimakan sebagai snek sihat.

Keledek juga memberikan nutrien terbaik untuk kulit dan rambut kerana ia kaya dengan beta karotena atau vitamin A, sejenis antioksidan yang melawan penuaan.
Rasanya yang lazat juga membolehkan ia dimakan pada bila-bila masa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/25


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Mati kehabisan oksigen

Posted: 23 Oct 2012 04:00 PM PDT

ALOR SETAR: "Arwah sedang menyelam, tetapi masih tidak timbul untuk tempoh lama menyebabkan kami tidak sedap hati sebelum seorang rakan terjun ke dasar laut untuk melihat apa yang berlaku dan menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri," kata Azman Yusof, 39, rakan kepada juruteknik Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Rosli Mohamad Isa, 32, yang lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Perak, kira-kira 60 batu nautika dari Langkawi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa bersama sembilan lagi rakan dikatakan pergi memancing di perairan berkenaan sejak Ahad lalu.


Bagaimanapun, mangsa dipercayai lemas selepas alat pernafasannya kehabisan oksigen dan tidak timbul ke permukaan dalam jangka masa lama sebelum ditemui kira-kira jam 11.45 pagi.

Azman berkata, arwah sedang menyelam bersama beberapa rakan lain di perairan berkenaan, namun tidak timbul selepas beberapa jam menyebabkan seorang daripada mereka menyelam semula untuk mencari mangsa.


"Seorang rakan kami, Haris Abdullah, 44, terus menyelam untuk mencari arwah kerana dia tidak timbul selepas beberapa jam menyebabkan kami risaukan keselamatannya.


"Apabila Haris menemui arwah didapati dia sudah meninggal dunia dipercayai alat pernafasan kehabisan oksigen manakala Haris dalam keadaan kritikal sebaik naik ke atas bot," katanya yang ditemui di Jeti Kuala Kedah, semalam.

Abang mangsa, Yusof, 42, berkata arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan bersikap seperti biasa kerana meminati hobi memancing dan menyelam.


"Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua anak. Kami pasrah dengan kejadian ini dan berdoa arwah ditempatkan dalam kalangan golongan beriman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


Kontraktor tak patuh

Posted: 23 Oct 2012 03:30 PM PDT

KUALA LUMPUR: Syarikat kontraktor dilantik bagi pengubahsuaian banglo yang runtuh di Shah Alam, Khamis lalu hingga mengakibatkan kematian seorang pekerja disahkan gagal mematuhi peraturan ditetapkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Menurut siasatan awal CIDB dan Jawatankuasa Amalan Terbaik Industri Pembinaan (CIBPAC), syarikat itu melanggar peruntukan mengikut Seksyen 34 (1), Akta 520 dengan tidak memaklumkan projek ubah suai kepada CIDB, selain menggaji pekerjaan binaan tanpa tauliah.


Pengurus Besar Bahagian Korporat CIDB, Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, sebagai kontraktor yang berdaftar dengan CIDB, syarikat itu sepatutnya arif dengan tanggungjawab memaklumkan projek membabitkan syarikatnya bagi tujuan keselamatan.

"Lebih-lebih lagi, mereka juga kena akur terhadap penggunaan pekerja binaan bertauliah yang mempunyai Kad Hijau CIDB seperti diperuntukkan mengikut Peraturan Pendaftaran Kontraktor 1995, tetapi dalam kes ini ia tidak berlaku berdasarkan siasatan awal kami.


"Kami juga dapati hanya pekerja yang meninggal dunia dan seorang lagi cedera (putus kaki) mempunyai Kad Hijau, sekali gus layak dilindungi di bawah skim insurans kad, sedangkan pekerja selebihnya tidak memiliki kad membolehkan mereka berkhidmat sebagai pekerja binaan.


"Surat tunjuk sebab sudah dihantar kepada kontraktor terbabit pagi tadi (semalam) untuk beri penjelasan kegagalan mereka melakukan apa yang sepatutnya dan mereka perlu beri maklum balas dalam tempoh tujuh hari sebelum tindakan lanjut diambil," katanya di sini, semalam.

Sidang media khas itu dihadiri Ahli CIBPAC, Dr Tan Loke Mun dan wakil jawatankuasa lain termasuk daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia, Persatuan Jurutera Malaysia dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.


Dalam kejadian itu, Totok Mochamd Anthony warga Indonesia meninggal dunia, manakala lima lagi parah selepas sebahagian bumbung konkrit banglo mewah milik seorang ahli perniagaan di Seksyen 7, Shah Alam itu runtuh.

Jumaat lalu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pemilik banglo terbabit bakal berdepan tindakan undang-undang kerana pengubahsuaian dilakukan tidak mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Ahmad Asri turut memberitahu, lesen kontraktor itu boleh dibatalkan atau digantung sehingga tiga tahun sekiranya didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin CIDB.


Sementara itu, Dr Tan berkata, pihaknya menjangkakan hasil siasatan penuh kes berkenaan diperoleh bulan depan, sekali gus menentukan pihak mana bertanggungjawab dan wajar diambil tindakan atas kejadian terbabit.


"Perkara mengenai keselamatan tak boleh dipandang ringan. Ketika ini kita juga tak wajar menuduh mana-mana pihak sehingga siasatan menyeluruh membuktikan siapa bersalah.


"Runtuhan berlaku pastinya bersebab dan itu akan diputuskan serta kami bertindak berdasarkan bukti yang ada," katanya.


Mengambil iktibar kejadian terbabit, beliau menyeru orang ramai supaya mendapatkan lesen dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum menjalankan kerja pengubahsuaian rumah mereka serta melantik kontraktor yang bertauliah untuk melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


120 penampar dalam 1/2 jam

Posted: 23 Oct 2012 02:43 PM PDT

BEIJING: Seorang guru prasekolah didapati mendera muridnya dengan menampar serta menendang mereka berkali-kali.

Perbuatan kejam itu terbongkar selepas aksi guru terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah pusat pendidikan di Taiyuan, utara Shanxi.


Melalui rakaman video selama 30 minit itu, guru terbabit dilihat menampar empat muridnya lebih 120 kali apabila mereka gagal menjawab soalan diberi. Insiden itu disiasat selepas seorang daripada bapa murid terbabit - cuma dikenali sebagai Han kehairanan apabila muka anak perempuannya merah dan bengkak. Media semalam melaporkan, Han pergi bertemu pentadbiran prasekolah berkenaan dan menuntut untuk melihat rakaman CCTV di situ.

Menurut Han, melalui rakaman berkenaan, dia melihat anaknya serta tiga kanak-kanak lain menjadi mangsa dera seorang guru.


"Dalam tempoh setengah jam, guru wanita terbabit menampar anak saya 43 kali, selain menendangnya dua kali," katanya. Mengenai tiga kanak-kanak lain, Han berkata, mereka masing-masing ditampar 43, 27 dan 10 kali dalam tempoh sama. "Wanita itu tidak sepatutnya menjadi guru. Dia bukan manusia, tetapi jembalang!" katanya. Menurut Han, bukan sekali anak perempuannya pulang dengan muka merah dan membengkak tetapi menyangka ia disebabkan kecederaan ketika bermain. Melalui rakaman itu, Han berkata, guru matematik terbabit meminta anaknya mencampurkan dua angka lebih daripada 10.


Apabila anaknya mengaku tidak tahu, guru terbabit menamparnya. Sementara itu, media China melaporkan, guru wanita itu kini dipecat dari sekolah berkenaan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


Sindiket rasuah guru untuk jual jawapan peperiksaan dibongkar

Posted: 23 Oct 2012 02:41 PM PDT

DHAKA: Kegiatan sekumpulan penuntut yang cuba menipu dalam peperiksaan terbongkar selepas polis menahan mereka kerana menggunakan telefon bimbit berbentuk jam tangan, kata pihak berkuasa semalam.

Seramai 10 dalang di sebalik penipuan itu dipamerkan kepada media bersama beberapa peralatan elektronik yang digunakan ketika ujian kemasukan ke universiti serta permohonan mendapatkan kerja.


Timbalan Pesuruhjaya Polis, Moshiur Rahman, berkata sindiket terbabit merasuah guru atau pegawai pendidikan bagi mendapatkan soalan sejurus sebelum peperiksaan bermula.

"Mereka kemudian menghantar jawapan soalan itu melalui mesej teks kepada telefon bimbit penuntut yang kelihatan seperti jam itu," katanya. Menurut Moshiur Rahman, calon penuntut universiti utama atau bakal pekerja bank serta kakitangan kerajaan boleh mendapatkan perkhidmatan itu dengan bayaran sekurang-kurangnya RM4,500.


Sementara itu, ketua sindiket berkenaan mengaku, mereka membeli 120 unit telefon bimbit buatan China dan menggunakannya sejak 2009. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Safiq tekad tolak pelawaan Arema

Posted: 23 Oct 2012 02:36 PM PDT

"KEPIMPINAN menerusi teladan". Semangat itu yang dipamerkan kapten skuad negara, Mohd Safiq Rahim yang bertekad menolak pelawaan kelab Indonesia, Arema-Pelita yang mahukannya menjalani ujian pemilihan.

Baginya kem latihan skuad negara yang berada dalam fasa akhir untuk menghadapi tugasan getir mempertahankan Piala AFF lebih penting walaupun pelawaan kelab Indonesia itu dianggap peluang keemasan dalam mengembangkan karier dan cita-citanya untuk beraksi di luar negara selama ini.


"Walau sekalipun saya tidak mahu terlepas sesi latihan skuad negara kerana keutamaan pada masa kini adalah mempertahankan Piala AFF selepas kancah liga tempatan berakhir baru-baru ini," kata perancang tengah berusia 25 tahun itu yang mengalami kecederaan penggelangan kaki kanan namun tidak serius.

Katanya, surat kelab terbabit memintanya untuk menghadiri diri bagi menjalani ujian pemilihan pada Jumaat hingga Ahad ini dengan satu perlawanan persahabatan turut diatur.


"Tujuan pelawaan mereka kali ini adalah lebih kepada mahu melihat sendiri corak permainan dan keupayaan saya. "Malah saya difahamkan dua pemain dari Singapura turut dipanggil bagi menjalani ujian percubaan ini.


"Jadi untuk kali ini saya terpaksa menolak kerana misi skuad negara lebih penting. Mereka boleh mengadakan ujian pemilihan lain seandainya benar-benar mahu menggunakan khidmat saya. Kalau ada rezeki saya adalah dan mereka perlu tunggu (masa yang sesuai) jika mahukan saya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara semalam. Menurut pakar sepakan percuma negara itu, walaupun belum mendapat pelepasan daripada mana-mana pihak, dia sudah membuat keputusan untuk menolaknya.

Difahamkan skuad Arema-Pelita kendalian bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun Indonesia, Rahmad Darmawan merancang untuk menguji beberapa pemain termasuk Safiq dalam perlawanan persahabatan menentang Gresik United pada Ahad.


Gaya permainan pemain tengah Selangor itu dilaporkan mirip bekas bintang Arema Indonesia, Ahmad Bustomi dan Rahmad amat mahukan Safiq kerana menganggap kualiti yang dimilikinya lebih baik berbanding empat pemain tengah lain yang sudah dimilikinya iaitu Hendro Siswanto, I Gede Sukadana, Dedi Kusnandar dan Elgi Melgiansyah.

Kelab yang dilaporkan akan bergabung itu turut mempunyai empat pemain asing yang lain seperti Thierry Gathuesi (Cameroon), Alberto Beto Gonalves Da Costa (Brazil), Keith Jerome Kayamba Gumbs (St. Kitts and Nevis) serta jutawan pertama bola sepak negara, Mohd Safee Sali yang kini turut berada dalam kem latihan negara di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


Melaka Baru unggul

Posted: 23 Oct 2012 02:33 PM PDT

PASUKAN Taman Melaka Baru muncul juara Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia Parlimen Bukit Katil, Melaka di Taman Merak Mas, Melaka baru-baru ini.

Skuad terbabit cemerlang selepas menang 1-0 ke atas Mohamas FC bagi membolehkan juara meraih RM1,000 dan naib juara (RM700) manakala tempat ketiga dan keempat milik Taman Tasek Utama (RM500) dan Melaka Baru B (RM300).


Kejohanan yang turut membabitkan tiga gelanggang lain di Taman Rumpun Bahagia Bachang, Air Molek dan Taman Tasik Ayer Keroh itu disertai 70 pasukan termasuk kategori bawah 15 tahun dan wanita terbuka.

Timbalan Pengerusi Kejohanan, Razak Abu Hasan berkata, bagi saingan bawah 15 menyaksikan pasukan Taman Jati muncul juara selepas mengatasi Bachanglona AFM 2-1 di pentas final untuk masing-masing meraih RM400 dan RM300.


Tempat ketiga dan keempat menjadi milik KBU A (RM200) dan Mama Black (RM100) selepas mereka sebelum itu kecewa pada aksi separuh akhir.


Acara penutup yang diadakan di Taman Merak Mas, Bukit Katil berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu yang turut dihadiri Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Zailaini Siran.

Taman RB FC pula muncul juara kategori wanita selepas menang ke atas Marble FC manakala Dream Team ketiga dan Bachanglona keempat dengan masing-masing meraih RM500, RM300, RM200 dan RM100.


Razak berkata, kejohanan berkenaan pentas mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta, pemimpin dan masyarakat setempat.

Katanya, sambutan penyertaan yang amat mengalakkan jelas mengetengahkan bakat terpendam di kalangan pemain muda, wanita dan veteran parlimen terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Ketar lihat nahas ngeri

Posted: 23 Oct 2012 03:53 PM PDT

GUA MUSANG: "Sejurus terdengar dentuman kuat, tubuh saya menggigil apabila melihat seorang wanita berlumuran darah dan tubuhnya hampir putus dua di bahagian pinggang akibat diseret kereta."

Demikian kata lelaki yang mahu dikenali sebagai Hussin, 45, saksi kemalangan ngeri di Kilometer 10 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang juga ibu kepada tiga anak, Halijah Satar, 26, dari Kampung Batu Dua, Kuala Nerus, dekat sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.

Rakannya, Masitah Ramli, 30, membonceng motosikal ditunggang Halijah cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai.


Dalam kejadian itu, motosikal dinaiki mereka dikatakan dirempuh sebuah Proton Satria yang gagal memotong sebuah lori, menyebabkan Halijah terseret di bawah kereta itu dalam jarak beberapa meter.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


Tragedi pulang awal sambut Aidiladha

Posted: 23 Oct 2012 03:53 PM PDT

ENDAU: "Kami sekeluarga bercadang pulang awal menyambut Aidiladha bersama keluarga di Kota Bharu dan bertolak dari rumah sebelum subuh bagi mengelak kesesakan, malangnya kami terbabit dalam kemalangan hingga meragut nyawa suami," kata Nor Suriati Yusuff, 42, isteri kepada anggota polis yang maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Mersing-Endau di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Koperal Lajat Padilat, 52, yang memandu kereta Proton Persona dari Johor Bahru maut apabila kereta dipandunya memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta Toyota Vios dinaiki tiga guru dari Endau.


Difahamkan, tiga guru berkenaan dalam perjalanan ke Felda Endau di sini untuk mengambil seorang rakan mereka sebelum menghadiri kursus di Batu Pahat.

Dalam kejadian itu, Nor Suriati dan dua anaknya, Mohd Afik, 10, dan Farah, 13, cedera akibat pertembungan dua kereta berkenaan di kawasan berbukit berhampiran Felda Endau.


Pemandu kereta Toyota Vios, Koh Chong Sia, 50, dan penumpang depan, Zaidi Tahar, 37, cedera ringan, manakala penumpang belakang, Amizah Baharom, 29, cedera parah di kepala.


Menceritakan kejadian itu, Nor Suriati berkata, selepas dua jam perjalanan mereka berhenti berehat di satu simpang berhampiran lokasi kemalangan selama beberapa minit, sebelum meneruskan perjalanan.

"Ketika itu, semuanya seperti biasa dan suami meneruskan perjalanan, manakala saya dan anak tertidur di dalam kereta.


"Saya tidak ingat apa-apa dan tersedar apabila kereta kami terbabit dalam kemalangan.

"Ketika itu, saya terasa sakit di kepala akibat terhantuk cermin kereta," katanya.


Sementara itu, Mohd Afik ketika ditemui di Klinik Kesihatan Endau masih trauma dengan kemalangan itu dan tidak dapat mengingati kejadian.


Ketika itu, dia dan ibunya belum mengetahui mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan itu.


Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, kecuali Zaidi yang meminta dibawa ke Hospital Kuantan, Pahang untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua anak Lajat hanya dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Endau.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Belum berpuas hati

Posted: 23 Oct 2012 09:30 AM PDT

DEMI mengejar cita-cita, Soo Wincci sanggup meninggalkan teman lelakinya kerana dia tidak mahu jejaka itu terus menunggunya demi sebuah impian yang belum dilaksanakan. Daripada membiarkan terus menanti, bimbang ada yang patah hati.

Cerita Wincci, kini bekas kekasihnya itu akan berkahwin dan Wincci pula semakin deras memacu langkahnya untuk menguasai industri seni. Ternyata impian si jelita itu bukan sekadar angan-angan kerana dia sudah pun mengambil langkah dengan mencuba nasibnya sebagai penyanyi dan pelakon di Taiwan. Sebahagian dari masanya, dia akan berada di negara itu.

"Ketika saya sibuk merancang ke Taiwan, dapat pula tawaran menyertai Masterchef Selebriti Malaysia dan pada masa sama menghasilkan mini album lagu Melayu.
Selepas setahun lebih mengadakan perancangan untuk ke sana, baru sekarang saya berpeluang.

"Sedang album ini masih pada peringkat promosi, saya dapat lampu hijau untuk memulakan projek di Taiwan menghasilkan album penuh memuatkan 10 lagu dalam bahasa Mandarin. Sejak dua minggu lalu saya berulang-alik antara Taiwan-Kuala Lumpur kerana saya tidak boleh mengabaikan kerjaya seni dan peminat saya di Malaysia. Lama menghilang, nanti mereka lupakan saya.

"Isnin hingga Jumaat saya di Taiwan. Pada hujung minggu saya balik ke Kuala Lumpur untuk melakukan aktiviti seni dan memenuhi undangan persembahan di sini pula. Proses rakaman album di Taiwan hampir siap yang menyisipkan dua lagu baru dan bakinya kompilasi lagu daripada album Mandarin saya yang terdahulu. Album itu dijangka akan keluar di pasaran pada Disember ini.

"Menghasilkan dua album serentak, cabaran yang besar kerana saya terpaksa memberikan sepenuh komitmen. Saya tidak boleh mengabaikan salah satu daripadanya kerana kedua-dua adalah impian saya.

"Jarak antara dua negara pula tidak menjadi halangan kerana mudah direntasi dengan pengangkutan udara. Saya berada dalam industri hiburan tempatan sudah tiga empat tahun dan saya lihat laluan saya bukanlah mudah. Saya tidak puas hati dengan apa yang saya ada dan saya perlu bekerja keras lagi," katanya.

Jelas Wincci, dia memilih mengembangkan kerjayanya di Taiwan kerana negara itu adalah pusat pop muzik terbesar untuk pasaran di China.

"Industri muzik di Taiwan sangat besar dan saya perlu mencipta nama di negara itu sebelum boleh mengembangkan kerjaya di negara lain seperti Hong Kong. Bakat saya perlu dikenali dan diiktiraf di Taiwan sebelum membolehkan saya merintis jalan ke negara lain.

"Di Taiwan, saya bekerjasama dengan syarikat rakaman bebas berpengaruh di sana selepas saya menghubungi mereka dan menghantar kertas kerja. Ia bukan proses yang senang kerana selepas setahun setengah barulah terjadinya kerjasama itu.

"Sebagai pengenalan diri kepada peminat seni di sana, saya tampil dengan imej baru berambut paras bahu. Saya terpaksa mengorbankan rambut panjang saya.
Walaupun penat dengan jadual kerja yang padat, tetapi saya menyukainya dan dengan kesibukan itu tiada masa untuk saya memikirkan perkara lain.

"Sebab itulah saya sanggup korbankan cinta saya kerana saya tidak mahu si dia terus menunggu. Impian saya bukan hanya mahu terkenal di Malaysia dan Taiwan, tetapi juga di Hollywood. Sebelum itu, saya akan menguasai pasaran di Asia dulu. Kalau saya mahu berjaya, saya kena harungi satu persatu dan melakukan semua perkara.

"Di Taiwan persaingan sangat sengit dan saya ke sana dengan persediaan yang lengkap," katanya.

Wincci mengagumi kejayaan Shila Amzah yang berjaya menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 di Shanghai, China, sekali gus membuka peluang kepada artis Malaysia yang ingin mencari ruang di sana.

"Dia bagus dan sebutannya ketika menyanyikan lagu Mandarin sangat sempurna.
Saya tidak cemburu dengan kejayaannya bahkan bangga dengannya. Sekurang-kurangnya mereka di sana tahu artis Malaysia juga berkebolehan," katanya.

Menurut bekas Ratu Malaysia 2008, dia juga akan berlakon di Taiwan dalam drama 30 episod yang bakal disiarkan di stesen televisyen paling popular di negara itu, Set TV.

"Perancangan dan strategi mesti tepat. Saya menghasilkan album dulu dan selepas orang di sana mengenali saya sebagai penyanyi, barulah saya akan berlakon.
Kalau terus berlakon, nanti mereka tertanya-tanya siapa saya," katanya.

Aktiviti dan perjalanan seninya di Taiwan akan direkodkan dalam tesis pengajian PhDnya. Wincci akan mengupas tajuk bagaimana mahu mengembangkan bakat artis Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Dia sudah pun memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Reading, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Segi, Kota Damansara dan kini mendapat biasiswa melanjutkan pengajian PhD (Pentadbiran Perniagaan) dari Open University Malaysia (OUM).

Dia juga ada sijil vokal, bermain piano dan menggubah lagu.

"Saya menggunakan diri sendiri sebagai bahan uji kaji kerana lebih senang merekodkan perjalanan kerjaya seni sendiri dan saya sanggup belajar lagi sebagai contoh kepada remaja. Saya tidaklah pandai, tetapi saya kena belajar untuk jadi orang pandai.

"Untuk melakukan semua kerja pada satu masa, saya kena korbankan masa tidur saya," katanya.

Wincci ditemui pada pelancaran klip video single Terus Teranglah, lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Ajai serta Joe Flizzow.

"Saya gembira kerana berjaya menghasilkan album Melayu yang pertama. Album ini akan dipasarkan pada November ini yang memuatkan lima lagu," katanya.

Lagu lain terdapat dalam album itu, Musim Asmara, Jangan Risau, Nombor 1 dan Terus Teranglah (minus one).

Klip video itu diarahkan oleh Jin dari New Stream Production dan dirakamkan di Museum Restoran Bar, Setia Walk Puchong, Sentimas Auto, Jalan Gombak dan Bluwater Bungalow, The Mines Seri Kembangan.

"Saya puas hati dengan pembikinan klip video walaupun rakamannya dibuat di Malaysia, tetapi dengan kreativiti Jin, ia nampak seperti di Hollywood," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


Perginya Raja Filem Cinta

Posted: 23 Oct 2012 09:02 AM PDT

PASTI peminat filem Hindi sukar melupakan kehebatan filem cinta, Dil To Pagal Hai yang menampilkan lakonan hebat Datuk Shah Rukh Khan, Madhuri Dixit dan Karisma Kapoor. Filem itu diterbitkan pada awal 1990-an oleh produser dan penerbit lebih dikenali sebagai Raja Filem Cinta, Yash Rash Chopra.

Bagaimanapun, malam Ahad lalu, peminat filem Hindi menerima khabar yang Yash sudah pergi buat selamanya dengan meninggalkan khazanah filemnya yang sangat berharga. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Lilavati, Mumbai, selepas seminggu diserang demam denggi serta tidak memberikan tindak balas terhadap rawatan diberikan.

Dia dimasukkan ke hospital itu pada 13 Oktober lalu untuk mendapatkan rawatan demam denggi, tetapi kerana usianya yang sudah lanjut, demam itu dengan cepat memberi kesan kepada organnya yang lain apabila ia tidak dapat berfungsi.
Upacara pembakaran mayatnya dikatakan berlangsung kelmarin.

Sebelum pergi meninggalkan keluarga dan pencinta karyanya buat selama-lamanya, Yash sempat meraikan hari jadinya yang ke-80 tahun dan juga menghadiri majlis hari jadi bintang filem legenda, Amitabh Bachchan ke-70.

Dengan pemergiannya itu, dia tidak sempat untuk menyaksikan pelancaran filem terbaru terbitan syarikatnya yang berjudul Jab Tak Hai Jaan.

Selama 53 tahun menjadi pengarah bebas, karyanya sangat istimewa dan sukar ditandingi pengarah lain. Yash adalah pengarah filem cinta yang dapat merasai segenap ruang rasa cinta dan kasih sayang sesama manusia.

Sedikit latar Yash, dia dilahirkan sebagai anak bongsu daripada lapan beradik di Lahore, India. Meningkat dewasa, dia mengikuti abang sulungnya, Baldev Raj (B R) Chopra ke Mumbai. Berbekalkan pengalaman bekerja dengan abangnya itu, dia mengorak langkah mengarah filemnya sendiri yang berjudul Dhool Ka Phool (1959) dan menjadi 'super hit'.

Berikutan kehebatan sentuhannya, dia satu-satunya pengarah filem yang berjaya mengutip tiket pecah panggung selama lima dekad. Selepas mengarah beberapa filem, dia menubuhkan Yash Raj Films (YRF). Antara filem arahannya yang menyentuh hati ialah Waqt, Ittefaq, Daag, Deewaar, Kabhi Kabhie, Trishul, Chandni, Darr dan Veer-Zaara.

YRF juga berjaya melahirkan ramai pengarah baru termasuklah anaknya sendiri, Aditya Chopra diikuti oleh Kabir Khan dan Sanjay Gadhvi. Yash pernah memenangi anugerah antarabangsa sebagai menghargai jasanya selaku pembikin filem dan sumbangannya dalam sektor pelancongan terutama kepada negara Switzerland yang menjadi lokasi penggambaran kegemarannya. Yash kini tinggal dalam kenangan isterinya, Pamela Chopra dan dua anaknya, Aditya dan Uday.

Antara artis yang terawal menziarahi mayatnya di hospital ialah Shah Rukh Khan, Anil Kapoor, Karan Johar, Madhur Bhandarkar, Dilip Kumar dan Saira Banu.

Mayatnya dibawa balik ke banglo sebelum diletakkan di YRF untuk dilawati keluarga, rakan penggiat seni dan peminat buat kali terakhir. Aktor dan aktres yang kelihatan memberikan penghormatan terakhir, Madhuri Dixit, Lata Mangeshkar dan Mahesh Bhatt.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved