Jumaat, 10 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Busana Muslimah ala Amerika

Posted: 10 May 2013 06:47 AM PDT

Perkembangan pesat industri fesyen busana Muslimah hari ini tidak hanya berlaku di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam tetapi turut menyinar di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) sehingga muncul ramai pereka fesyen wanita beragama Islam yang lahir daripada aktiviti pertunjukan fesyen di sana.

Menyedari kebanyakan pereka wanita ini mengete­ngahkan rekaan moden dan versatil mengikut peredaran fesyen semasa, ramai antara wanita Islam AS kini beralih kepada gaya yang lebih ang­gun dengan mengekalkan tuntutan syariah.

Oleh kerana pemakaian tudung di Amerika sebagai sesuatu yang baru dan masih belum berkembang seperti populariti seluar denim, satu pertandingan hijab gaya AS yang pertama diadakan di Chicago, diilhamkan peguam hak asasi manusia, Shaz Kaiseruddin.

Dengan pelbagai gaya bertudung diperagakan barisan model di pentas peragaan, ia menunjukkan fesyen Muslimah menganjak ke satu tahap yang lebih berani menjelang abad ke-21 serta memberi penghormatan ­kepada wanita Islam.

Foto

IMAAN Ali gemar memakai tudung ala serban.

Foto

GONUL Kolat dengan gaya ringkas wanita Turki.

Foto

DINA Tokio mengetengahkan gaya selebriti.

Foto

HANA Tajima mencetuskan gaya berani.

Foto

REKAAN Sarah Musa yang mendapat perhatian.


Pertandingan ini bukan saja terbuka kepada pereka fesyen tetapi juga bukan pereka bagi mengetengahkan satu gaya hijab ala Amerika, sekali gus menolak keganasan, kebencian serta diskriminasi yang berlaku di antara penduduk Islam dan bukan Islam.


"Di Amerika Syarikat, sebahagian besar Muslimah menggayakan fesyen tudung mengikut gaya Arab dipadankan pakaian moden Amerika. Namun kami tiada gaya tersendiri sama ada mengikut cara barat atau gaya Amerika. Seperti Arab dengan penggayaan tudung tersendiri, Malaysia mempunyai stail ikatan yang unik begitu juga India," katanya.

Menerusi pertandi­ngan ini, Shaz berharap dapat menghasilkan mod hijab Amerika yang bukan saja menjadi identiti Muslimah di sana, malah di seluruh dunia.

Pertandingan dimenangi Sarah Musa, pelajar Institut Teknologi Fesyen, Chicago yang menghasilkan gaun kain perca rona kuning bersama jaket merah menutupi leher.

Menariknya, Sarah menghasilkan rekaan tudung ala serban daripada kain kait. Dia memenuhi kehendak juri dengan menutup seluruh tubuh kecuali muka, tangan dan kaki malah pakaian longgar dan tidak jarang.

Sarah menerusi temu bual yang disiarkan dalam The Chicago Tribune menjelaskan, bagi mereka yang pernah mengkaji undang-undang syariah mendapati wanita wajib menutup aurat.

"Sama ada wanita memilih untuk memakai topi, baju berkolar penyu menutupi leher atau gaya serban, ia dikira masih berhijab. Apa juga kreativiti dalam penggayaan fesyen harus memenuhi kehendak syarak, jadi terpulang kepada pereka untuk menghasilkan rekaan mereka," kata Sarah.

Pemenang kedua pula dimenangi pereka Yasmeen Sabir yang menghasilkan selendang tropika dipadankan jaket dan seluar denim.

Pertandingan diadili tokoh terkenal seperti tenaga pengajar Sekolah Rekaan Parsons New York, Shireen Soliman; Pengarah Program Pengajian Dunia Islam Universiti DePaul, Aminah McCloud dan juri jemputan America Next Top Model, Derek Khan.

Selain pertandingan gaya tudung, Amerika tidak sunyi daripada pertunjukan fesyen yang kini diperluaskan kepada pertunjukan fesyen Muslimah seperti Fashion Fighting Famine yang diadakan sejak 2007 dan kini memasuki tahun keenam.

Selain mampu mencung­kil bakat pereka muda, ia menjadi medan meluahkan kreativiti, sekali gus mengangkat fesyen Muslimah ke tahap lebih tinggi. Antara yang sering mengambil bahagian adalah pereka dari Pakistan yang sudah lama menetap di Amerika iaitu Shalimar dengan label Needlez by Shalimar.

Tahun ini Shalimar menampilkan koleksi separuh formal dan baju pengantin di pertunjukan fesyen busana Muslimah di AS.

Bagi jenama Abaya Addict yang diperkenalkan pada 2010 di Chicago dan Dubai, ia menawarkan koleksi kaftan dan abaya yang lebih moden dan versatil serta tudung ­pel­bagai gaya. Pereka bersaudara, Nadia dan Nora dengan label Muslimah ­Rayan mengkhususkan ­rekaan ­untuk pakaian petang berwarna-warni berkonsepkan retro. Kedua-duanya mengambil inspirasi ­daripada tema berbeza.

Nadia misalnya lebih menggemari penampilan vintaj manakala Nora dengan pakaian berwarna terang. Gabungan kedua-duanya mewujudkan busana yang harmoni dan sempurna.

Kolaborasi pasangan suami isteri dengan mengetengahkan label Muslimah Inayah menawarkan ­busana sedia dipakai berkonsepkan gaya vintaj, etnik dan kontemporari. Diwujudkan sejak tiga tahun lalu, label ini mempunyai keistimewaan dari segi potongan minimalis.

Jenama Madamme Bk yang terkenal dengan koleksi pakaian renang dan olah­raga Muslimah dihasilkan dua pereka, Vanessa Lourenco dan Asmah Asmed yang kini terjual di tiga benua manakala label Mohajababes mengetengahkan rekaan kaftan etnik dihiasi manik yang dihasilkan pereka Afra di California dan London pada 2011.

Fesyen Muslimah menjadi ikutan

Fesyen Muslimah bukan saja turut mempengaruhi penampilan seseorang menerusi pemakaian tudung tetapi juga pakaian mereka. Ini boleh dilihat bagaimana seseorang itu berani memperkenalkan ikatan selendang atau tudung sehingga ia menjadi ikutan di seluruh dunia.

Di bawah disertakan beberapa nama yang semakin dikenali menerusi penampilan bertudung mereka.

Hana Tajima

Remaja berdarah kacukan Jepun Inggeris ini berjaya mewujudkan satu ledakan baru dalam fesyen busana Muslimah menerusi gaya bertudung yang diperkenalkan menerusi laman YouTube.

Bermula daripada hobi menulis blog, gaya bertudung ala Hana Tajima semakin dikenali di seluruh dunia sehingga memutuskan mempunyai label pakaian sendiri, Maysaa.

Imaan Ali

Sibuk meneruskan pengajian sebagai mahasiswa jurusan ilmu politik di Universiti Michigan, AS, Imaan dikenali kerana penampilannya yang unik. Dia ­memperkenalkan gaya tudung ala serban dipadankan blaus dan seluar dengan mengetengahkan ciri tersendiri.

Gonul Kolat

Pereka fesyen dari Turki ini masih menebal dengan rekaan gaya Turki iaitu kot labuh dipadankan seluar panjang mengembang. Seperti mana wanita Turki yang lain, Gonul gemar memakai selendang labuh diikat ke belakang.

Noor Tagouri

Gadis berumur 19 tahun berketurunan Libya dan Amerika ini bertugas sebagai penyampai radio di radio CBS, Washington. Dia kelihatan begitu versatil dan moden apabila memakai selendang segi tiga yang dililit sederhana menggunakan pashmina ditambah aksesori.

Gayanya bukan saja nampak ringkas tetapi menjadi ikutan kerana kemas dan senang digayakan. Selain aktif menjadi penyiar radio, Noor Tagouri banyak berinteraksi menerusi media sosial seperti Twitter, Facebook dan YouTube.

Yasemin

Yasemin yang begitu meminati bidang seni sering memuat naik tutorial solekan serta gaya pemakaian tudung di YouTube. Dia yang bekerja sebagai penghias kek berjaya mencetuskan kegilaan terhadap gaya hijab yang diperkenalkannya.

Baginya, imaginasi adalah satu cara meneroka diri sama ada dalam bidang pekerjaan, solekan atau gaya hijab. Ramai menyukai gaya cantik ala Yasemin atau sering dipanggil Yaz The Spaz.

Wanita yang mengaku mempunyai hobi bersolek dan berdandan ini mempunyai wajah menawan serta mata yang galak bersinar dengan pemakaian celak tebal.

Dia mula dikenali dalam kalangan remaja bertudung dengan nama YazTheSpaz89. Walaupun wajahnya kelihatan seperti wanita Arab, Yasemin berasal dari Turki.

Rabia Zargarpur

Pereka fesyen ini mempunyai label pakaian Rabia Z serta pernah digayakan menerusi Minggu Fesyen London 2009. Apa yang membuatkan dia menjadi perhatian apabila sering memakai tudung dengan tambahan skaf pada leher yang berfungsi sebagai bandana.

Dina Tokio

Inspirasi gayanya cenderung kepada selebriti Kim Kardashian, Nicky Minaj dan si kembar Olsen. Dina gemar menggunakan warna seperti semula jadi, keperangan atau perang cair dalam setiap penampilan serta menggunakan fabrik bermotif. Seperti kebanyakan penulis blog fesyen, Dina mempunyai label sendiri iaitu Lazy Doll.

Dian Pelangi

Di Indonesia, pereka muda Dian Pelangi begitu terkenal dengan fesyen berwarna-warni. Dia sering tampil ceria dengan padanan busana dan tudung serta rajin mengemas kini blog dan Instagram miliknya. Tidak hairan mengapa wanita ini sering menjadi idola dalam berfesyen.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10

Kerongsang bunga mawar

Posted: 10 May 2013 05:12 AM PDT

Kerongsang lazimnya antara pelengkap gaya wanita yang tampil polos serta bersahaja.

Malah pernah penulis saksikan, pin biasa bersaiz besar dan berwarna-warni juga boleh dijadikan aksesori pada kot, blaus, jaket dan tudung.

Tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, aksesori ini sesuai digayakan ketika menghadiri majlis santai, formal, perkahwinan, kenduri atau keraian istimewa.

Tidak lama dulu, kerongsang dengan batuan bergemerlapan amat indah menghiasi tudung manakala bagi golongan lelaki pula memakainya pada songkok.


Apabila dita­nya, rata-rata wanita me­ngakui kerongsang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia mampu menyerlahkan penampilan seseorang terutama ketika digayakan pada sambutan Aidilfitri, pertunangan, perkahwinan atau sekadar bersiar-siar.


Kini, kerongsang hadir dalam pelbagai jenis dan bentuk yang boleh digunakan sebagai aksesori pakaian mahupun disemat­kan pada beg tangan berasaskan fabrik kanvas.

Penghasilannya juga boleh dipelbagaikan jika kita bijak mengubah suai untuk kegunaan mengikut cita rasa masing-masing.

Bagi pemilik perniagaan menerusi laman sosial Instagram, Martabugs iaitu Noor Faridah Nordin, dia memilih untuk menghasilkan kerongsang bunga mawar daripada material satin yang tampak unik apabila dihasilkan sendiri.

Rekaannya ringkas namun mempunyai nilai estetika apabila diletakkan pada beg atau tudung polos kerana ia mampu mengubah gaya yang menarik dan membuatkan penampilan tampak berbeza.

Bunga fabrik juga boleh dianggap sebagai hiasan tiga dalam satu kerana mempunyai pelbagai fungsi yang berbeza dan boleh digunakan di mana saja.

Rekaan bunga fabrik boleh dijadikan kerongsang untuk digayakan wanita pada tudung atau baju polos untuk mengubah gaya.

Caranya, ­hanya tambah pin untuk memudahkan ia disemat pada tudung atau baju. Bunga fabrik juga boleh ditukar menjadi penghias cekak rambut kanak-kanak untuk menampilkan gaya yang lebih memikat dan ceria.

Untuk hiasan beg ­tangan, bunga fabrik hanya perlu digam dan diletakkan di bahagian depan beg yang tampil lebih feminin. Bagi menjadikan ia lebih menarik, tambah elemen perincian lain seperti manik atau batu berkilau.

Selain itu, Noor Faridah juga menghasilkan cincin bunga oribelle dengan pelbagai pilihan warna pastel dan terang untuk disesuaikan dengan pakaian si pemakai.

Setiap cincin mempunyai tiga kuntum bunga mawar palsu yang diikat pada gegelung cincin ­dengan kemas. Cincin itu kemudiannya boleh diubah suai mengikut saiz jari si pemakai.

Kerongsang bunga satin hasil tangan Noor Farida terdapat dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar yang boleh didapati pada harga antara RM15 hingga RM21 manakala cincin bunga oribelle dijual RM14 sebentuk.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Parah disamun kali ketiga

Posted: 09 May 2013 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lelaki terpaksa menerima lima jahitan di kepala dan kerugian RM35,000 selepas kedai aksesori telefon bimbit miliknya di Jalan Raja Laut, di sini, disamun Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, Looh Boon Hing, 41, turut mengalami kecederaan di tangan kiri selepas diserang dua lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang.


Beliau berkata, ketika kejadian, dia sedang melayan dua pelanggan yang ingin membeli telefon bimbit sebelum masuk ke dalam stor untuk mengambil barang.

"Bagaimanapun, sebaik keluar saya terkejut apabila tiba-tiba dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh dan bersenjatakan parang mengarahkan saya dan pelanggan berdiam diri dan tidak melawan.


"Dalam keadaan terkejut itu, saya cuba melawan namun gagal apabila seorang daripada mereka terus menetak di kepala dan tangan saya lima kali," katanya.


Menurutnya, lelaki terbabit kemudian mengambil wang tunai, telefon bimbit dan kad prabayar berjumlah RM35,000 sebelum melarikan diri.

"Saya yang cedera kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan terpaksa menerima lima jahitan di kepala.


"Bimbang kejadian sama berulang, saya membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi," katanya. Beliau berkata, kejadian itu kali ketiga berlaku, namun dua kejadian sebelum ini, perompak gagal melarikan sebarang barangan atau wang tunai.

"Bagaimanapun, kali ini saya tidak bernasib baik apabila menjadi mangsa samun dan cedera," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Formula Waris

Posted: 09 May 2013 06:07 AM PDT

Muka baru dunia muzik rap tanah air bergelar Waris ini sama sekali tidak menyangka formulanya memperdagangkan genre itu bersama dialek Negeri Sembilan berjaya mencuri tumpuan.

Jika diamati profil kerjaya anak jati Rembau, Negeri Sembilan ini, Waris cukup hijau dalam muzik perdana. Usianya sebagai artis rakaman tidak sampai enam bulan tetapi pertaruhannya semakin meraih tempat dalam masyarakat.

Ketika pemilik nama sebenar, Muzzammil Alias, 24, ini bertandang ke Balai Berita untuk sesi fotografi sulung bersama RAP, baru-baru ini, dia mengakui impak yang dirasai sebagai anak seni tercetus bagai sekelip mata.

Waris berkata, mungkin pada dasarnya khalayak belum cukup kenal pada dirinya tetapi penangan lagu pertamanya, Rembau Most Wanted terbukti melonjakkan jenamanya di mata umum.


"Jika ditanya mengenai populariti, saya akui semakin dikenali terutamanya di sekitar negeri asal saya di Negeri Sembilan. Tapi saya rasa orang lebih kenal pada lagu Rembau Most Wanted sekarang. Penangan lagu itu membuatkan orang tercari-cari dan ingin tahu siapa penyanyinya," katanya berseloroh.


Waris berkata, sebagai orang yang baru bertatih dalam lapangan ini, dia terpanggil untuk menjelaskan kekeliruan mana-mana pihak yang sering tersalah anggap mengenai identitinya.

Katanya, segelintir pihak kerap tersalah faham me­ngenai kewujudannya sebagai penyanyi kerana menyangka Waris itu adalah sebuah kumpulan rap.

"Selalu juga orang tersalah anggap dan menyangka Waris adalah sebuah kumpulan atau duo sebelum ini. Maklumlah saya ini pendatang baru dan khalayak lebih kenal pada lagu saya.

"Jadi atas kesempatan ini, saya mahu berkongsi dengan semua saya sebenarnya bergerak solo dan bukan berkumpulan.

"Individu lain yang sering bersama saya ketika beraksi adalah teman kolaborasi dan gandingan yang saya undang untuk memeriahkan lagu dan persembahan saja," katanya yang menggunakan nama pentas Waris bermaksud anak kepada suku di Negeri Sembilan.

Berkongsi perjalanan sing­kat kerjayanya, pelajar tahun kedua bidang Kejuruteraan Awam di Uniten ini berkata, dia bertuah apabila hasrat bergelar penyanyi sejak dua tahun lalu tercapai selepas dilamar DJ Fuzz sebagai artis rakaman Mixology Music, awal tahun ini.

Justera, katanya, sebagai suntikan kelainan, dia mengambil keputusan menggabungkan elemen rap dan dialek negeri asalnya sebagai identiti dalam bidang ini.

"Dialek Negeri Sembilan itu memang saya gunakan hari-hari dalam keluarga. Jadi, saya cuba ketengahkan gabungan rap dan dialek itu memandangkan belum ada lagi orang yang cuba begitu di sini.

"Pada mulanya, saya memang belasah saja sekadar untuk mencuba formula itu tetapi tidak sangka pula ia menjadi dan diterima baik," katanya.

Bagi Waris, konsep rap de­ngan dialek negeri itu juga adalah salah satu cara memartabatkan budaya bangsa dengan menggunakan platform muzik yang diterima ramai masa kini.

"Jujurnya saya bangga de­ngan penerimaan orang. Apabila ramai peminat dari Negeri Sembilan memuji usaha saya yang cuba mempopularkan dialek tempatan menerusi muzik rap, ia satu penghormatan buat saya.

"Formula begini adalah salah satu cara untuk saya selalu sedar diri dan tidak melupakan asal usul dan budaya sendiri. Insya-Allah saya akan terus berlagu dengan cara begini," katanya.

Tambah anak muda yang mengagumi kumpulan Too Phat ini, gabungan rap dan dialek setempat yang diperjuangkan itu turut dipengaruhi arwah datuknya, Abd Rahman Bakar.

"Saya rapat dan dibesarkan arwah datuk yang kebetulan seorang pemain biola ketika hayatnya. Saya didedahkan kepada budaya Negeri Sembilan ketika membesar.

"Malah banyak kata-kata arwah yang pernah dikongsi dengan saya dulu memberikan inspirasi. Kalau diikutkan banyak bait katanya yang saya selitkan sebagai lirik dalam lagu. Dia adalah inspirasi dan perjuangan ini juga dedikasikan kepadanya," tuturnya.

Bukan pengaruh negatif

Seperti nasib muzik rock dan dangdut yang sering dikaitkan dengan elemen negatif, genre pilihan Waris ini juga tidak terlepas daripada stigma serupa.

Katanya, walaupun masih baru, dia sudah diserang persepsi liar segelintir pihak yang menganggap perjuangannya itu membawa pengaruh negatif kepada masyarakat.

"Kebetulan ton suara dan imej saya sebagai penyanyi rap dekat dengan penampilan bintang rap dari luar yang sering dikaitkan dengan unsur negatif seperti jenayah, penyalahgunaan dadah atau alkohol dan seks.

"Hakikatnya saya bukan begitu. Janganlah ada yang salah anggap pula. Mungkin imej dan penampilan nampak seperti mereka tetapi perjuangan saya positif.

"Kalau diamati lagu-lagu saya, tiada unsur negatif atau memberontak pun. Sebaliknya, saya terapkan mesej kesedaran dan kehidupan menerusi muzik rap, itu saja," katanya yang turut menjadikan kumpulan rap Wu-Tang Clan dan Mobb Deep sebagai rujukan.

Beralih pada perkembangan terbaru, Waris berkata, sambutan memberangsangkan khalayak pada Rembau Most Wanted menambah keyakinan untuk dia terus melangkah dengan lagu kedua iaitu Boting­kek (menampilkan Juzzthin).

Katanya, jika Rembau Most Wanted adalah lagu pengenalannya sebagai artis, Botingkek yang mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan itu pula adalah sindiran kepada golongan hartawan agar hidup bersederhana dan merendah diri.

"Lagu ini saya hasilkan selepas berbincang dengan DJ Fuzz dan rakan duet Juzzthin. Lagu ini berdasarkan konsep yang diguna pakai kebanyakan penyanyi rap di mana mereka menggunakan kiasan lagu untuk menyindir pihak tertentu," ungkapnya yang menyasarkan untuk tampil dengan album penuh pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


'Mungkin ada mangsa lain'

Posted: 09 May 2013 09:26 AM PDT

Cleveland: Tulisan "R.I.P" yang dikesan pada sebuah dinding rumah tempat tiga wanita dikurung selama sedekad mencetuskan kebimbangan ada mangsa lain yang pernah ditawan di situ.

Menurut sumber, tulisan berkenaan ditemui di sebelah satu nama wanita. "Pihak berkuasa bimbang jika ada tawanan keempat di situ yang meninggal dunia sebelum ini," katanya. Sebelum itu, tiga wanita yang dilaporkan hilang 10 tahun lalu, Amanda Berry, Gina DeJesus dan Michelle Knight berjaya diselamatkan beberapa hari lalu.


Ketika disoal siasat, mereka menceritakan pengalaman ngeri mereka sepanjang tempoh dikurung di rumah berkenaan. Gina, 23, dipertemukan semula dengan keluarganya, termasuk ibu Nancy dan disambut ratusan penduduk setempat yang berkumpul di luar rumah mereka.

Ia berlangsung ketika suspek yang bertanggungjawab dalam penculikan itu, Ariel Castro, 52, didakwa atas empat tuduhan menculik serta tiga tuduhan merogol.


Bagaimanapun, pegawai polis Cleveland Ed Tomba berkata, dua saudara kandung tertuduh, Pedro, 54 dan Onil, 50, belum dikenakan sebarang tuduhan.


Difahamkan, mangsa memberitahu polis Pedro dan Onil tidak terbabit dalam penculikan berkenaan. Amanda, 27, diselamatkan bersama anak perempuannya yang berusia enam tahun, Jocelyn.

Foto

GINA mengangkat ibu jarinya sejurus tiba di rumah dan bertemu ahli keluarganya untuk kali pertama sejak 10 tahun lalu, semalam.

Foto

ADIK-BERADIK Castro (dari kiri) Onil, Pedro dan Ariel berbaris di Mahkamah Perbandaran Cleveland dalam sebutan kes penculikan dan rogol tiga wanita, semalam.

Dia bercadang membuat kenyataan kepada orang ramai yang berkumpul menyambut kepulangannya tetapi gagal kerana tidak dapat menahan emosi. Sebaliknya, kakak Amanda, Beth Serrano yang bercakap bagi pihaknya dan menceritakan bagaimana ibu mereka, Lowana, tidak pernah berputus asa mencari Amanda sehinggalah dia meninggal dunia pada 2006. Michelle, 32, masih dirawat di hospital bagi merawat kesan fizikal dan mental yang dialaminya, termasuk masalah pendengaran serta kecederaan pada mukanya yang dibelasah bertahun-tahun.


Difahamkan, Michelle memberitahu polis ada wanita lain di rumah itu ketika dia diculik dan dikurung mulai 2002.

Bagaimanapun, kata sumber, Michelle tidak pasti kerana dia dikurung dalam bilik berasingan.


Sementara itu polis berkata, ketiga-tiga mangsa terbabit mengalami beberapa kali keguguran dan seorang daripada mereka dipaksa menjadi bidan ketika seorang yang lain bersalin tanpa bantuan perubatan. Malah, dia diugut akan dibunuh jika bayi atau ibu terbabit meninggal dunia. Pengarah Keselamatan Awam Cleveland, Martin Flask berkata, tiada sebarang kesan menunjukkan ada mangsa lain ditemui di rumah berkenaan. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Penculik, perogol tiga wanita hilang kata-kata dalam mahkamah

Posted: 09 May 2013 08:59 AM PDT

Cleveland: Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah untuk dituduh memperkosa dan menculik tiga wanita yang hilang kira-kira sedekad lalu.

Ariel Castro hanya menunduk dan menggigit kolar bajunya ketika hampir keseluruhan pertuduhan dibacakan.


Dia kemudian menandatangani dokumen dengan tangan bergari. Dia tidak bercakap sepatah perkataan pun dan mahkamah menetapkan jaminan AS$2 juta (RM5.9 juta) untuk setiap kes yang dihadapinya.

Tiga wanita terbabit ditemui masih hidup selepas sedekad berada dalam tawanan dengan menjalani kehidupan penuh kesunyian dan kegelapan di kediaman yang sempit.


Mereka juga menjadi mangsa perkosa dan hanya dibenarkan keluar beberapa langkah untuk ke garaj sekali dua.


Castro, 52, yang pernah bekerja sebagai pemandu bas menjadi satu-satunya suspek setakat ini.

Pada masa sama, timbul pelbagai persoalan bagaimana Castro dapat mengawal ketat tiga wanita terbabit untuk tempoh yang lama sebelum seorang mereka berjaya melarikan diri Isnin lalu. Polis berkata, wanita berkenaan kadangkala diikat dengan tali dan rantai serta dikurung dalam bilik berasingan. Mereka menghadapi penderaan psikologi dan seksual secara berterusan dan pernah mengalami keguguran.


Mangsa culik dan Castro memberikan kenyataan yang panjang kepada anggota polis sebelum kes berkenaan dibawa ke mahkamah. Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada mangsa memberikan petunjuk bahawa dua saudara kandung Castro yang direman sejak Isnin lalu turut terbabit. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Guna polis di temasya Sukan SEA

Posted: 09 May 2013 09:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) tidak menolak kemungkinan akan menggunakan bantuan anggota polis bagi menjamin keselamatan kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata, meskipun perkara itu masih belum diputuskan, MSN memandang berat mengenai isu itu dan akan mendapatkan nasihat serta pandangan daripada pihak Wisma Putra terlebih dulu.


Myanmar ketika ini sedang berdepan krisis pergolakan perkauman membabitkan etnik Islam Rohingya serta penganut Buddha yang mencetuskan situasi tegang serta pertumpahan darah.

"Buat masa ini kita belum putuskan sebab kita pun tidak tahu siapakah yang akan dilantik sebagai CDM (Chef de Mission) ke Sukan SEA.


"Tapi kita memang akan sentiasa pantau dan seperti yang saya sebutkan tadi, kita akan dapatkan nasihat Wisma Putra," katanya.


Jelas Zolkples, penggunaan anggota keselamatan bagi menjaga keselamatan atlet serta pegawai negara bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah diterapkan pada temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India, tiga tahun lalu.

Foto

ZOLKPLES (dua dari kiri) merasmikan laman web dan detik 50 hari SUKMA Kuala Lumpur ke-16 disaksikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Datuk Ab Jalil Abdullah (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal Datuk Low Beng Choo.

"Kalau ia menjadi keperluan, kita akan laksanakan. Apa yang penting keselamatan kontinjen kita," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran laman web dan detik 50 hari Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16, semalam.


Sementara itu, berhubung masalah pertindihan atlet yang nama mereka didaftarkan oleh beberapa negeri pada temasya sukan itu, Zolkples berkata, pihaknya akan cuba mengatasi masalah itu dengan sebaik-baiknya.

"Jaminan untuk mengelakkan daripada berlaku pertindihan memang sukar kerana kita tidak pasti satu-satu atlet itu didaftarkan di bawah negeri mana dan sebagainya.


"Bila sudah didaftarkan baru kita tahu. Tapi setakat ini kebanyakan kes sebelum ini kita selesaikan dengan cara baik," katanya.


SUKMA ke-16 akan berlangsung dari 28 Jun sehingga 7 Julai yang menyaksikan pembabitan hampir 5,000 pegawai serta atlet.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

SMK Za'ba cemerlang

Posted: 09 May 2013 09:17 AM PDT

Seremban: Menepati ramalan apabila pasukan SMK Za'ba Kuala Pilah berjaya menewaskan SMK Pendeta Za'ba, Seremban, 7-0 dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Gothia 2013 di padang SMK King George V, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan SMK Za'ba meraih RM200,000 dan bakal mewakili Negeri Sembilan ke Kejohanan Akhir Piala Gothia 2013 di Sweden Julai depan.


Penyelaras kejohanan Husainizam Sulaiman berkata, kesebelasan utama SMK Za'ba berjaya mendominasikan hampir keseluruhan perlawanan.

"Status mereka sebagai Sekolah Sukan Negeri Sembilan jelas menunjukkan kemahiran yang mereka peroleh di situ dimanfaatkan dengan baik melalui persembahan mantap dipamerkan.


"Ini kali kedua kejohanan membabitkan pasukan perempuan dan mereka akan membawa cabaran negeri dan negara di Sweden, Julai depan," katanya.


Husainizam berkata, selain mencari pemenang, kejohanan itu juga adalah medan mengenal pasti pemain akar umbi berbakat untuk diketengahkan bagi mewakili negeri ke kejohanan besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA).

Kejohanan anjuran syarikat perkilangan dari Sweden, SKF Malaysia Industries yang berpangkalan di Nilai dan sudah memasuki edisi ketujuh selepas dimulakan pada 2007. Sebanyak 10 buah sekolah menengah di Negeri Sembilan mengambil bahagian.


Sementara itu, Pengurus SKF Malaysia Aminudin Kamarudin berkata, pemilihan pasukan perempuan kali ini memberi peluang kepada pihak sekolah mengembang dan memajukan lagi pasukan itu.

"Saya berharap pasukan SMK Za'ba menerusi penghantaran pasukan perempuan kali ini akan mencatatkan keputusan yang lebih baik kerana setakat ini pencapaian terbaik pasukan negara ini di kejohanan itu ialah mara ke suku akhir membabitkan pasukan lelaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Jasad kaku gadis sunti

Posted: 09 May 2013 12:11 PM PDT

Klang: "Sayu hati saya melihat keadaannya yang terbaring kaku dalam keadaan mata kanan terbuka dan mulut berbuih," kata R Kalaranjini, 19, saksi yang menemui mayat kanak-kanak berusia 11 tahun di tempat letak kereta di Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, di sini, malam kelmarin

Mangsa, Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor dipercayai mati kurang 24 jam sebelum mayatnya ditemui jam 10.30 malam dan polis percaya kanak-kanak itu menjadi mangsa jenayah seksual berdasarkan kewujudan kesan darah pada kemaluannya.

Kalaranjini berkata, dia lalu di lokasi kejadian untuk ke sebuah restoran bagi membeli nasi lemak dan terkejut sebaik melihat mangsa terbaring di kawasan yang kebiasaannya menjadi tempat parkir bas kilang.

Menurutnya, keadaan kawasan itu yang terletak 200 meter dari rumah mangsa agak terlindung serta gelap kerana tiada lampu jalan.

Foto

ACHA tidak dapat menahan kesedihan mengenang nasib anak perempuannya.


"Pada mulanya saya menyangka budak itu tidur, tapi mula curiga apabila dia langsung tidak memberi maklum balas apabila saya memanggilnya. Saya kemudian meminta seorang lelaki yang melalui kawasan itu menghubungi polis," katanya. Kalaranjini berkata, polis dan ambulans tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian dan selepas pemeriksaan, mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10

'Saya tidak terlibat'

Posted: 09 May 2013 12:07 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang wanita hidup dalam ketakutan selepas menerima ugutan bunuh orang ramai apabila fotonya dipercayai digunakan 'cybertrooper' dari negara jiran yang memalsukan akaun laman Facebook (FB) mencerca bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kini dirawat di hospital di Pulau Pinang seterusnya membangkitkan kemarahan orang ramai.

Foto Nor Amalina Nawi, 24, bersama temannya dimuat naik pada 13 Ogos 2012 dan dijadikan foto paparan utama FB didaftarkan dengan nama Lynn Rosmizan yang mencerca Azizan dengan kata-kata kesat selain banyak memaparkan bahan tulisan, foto dan video mengutuk pemimpin dan parti pembangkang dipercayai bertujuan mencetuskan kemarahan masyarakat dan melaga-lagakan penyokong kerajaan dan pembangkang.

Terdapat dua laman FB disyaki palsu menggunakan nama Lynn Rosmizan dengan kedua-duanya menggunakan foto Nor Amalina sebagai gambar profil didaftarkan di Singapura iaitu di Pasir Ris dan Woodlands pada Ogos dan Disember lalu.

Bagaimanapun, cubaan mengakses laman FB Lynn Rosmizan yang didaftarkan di Pasir Ris itu malam tadi gagal selepas dipercayai sudah dipadamkan pemiliknya. Sebuah lagi akaun FB Lynn Rosmizan yang tidak membicarakan hal politik dan didaftar di Woodlands pada 13 Disember 2012 masih wujud.

Foto

NOR Amalina menjadi mangsa 'cybertrooper' dari negara jiran yang memalsukan akaun laman Facebook (FB)nya untuk mencerca bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Foto

NOR Amalina menunjukkan ruangan Facebook yang menggunakan gambarnya.


Nor Amalina berkata, dia dimaklumkan rakannya, kelmarin melalui satu pesanan ringkas memberitahu namanya kini sedang hangat diperkatakan di laman FB itu.


"Saya terus membuka Facebook dinyatakan dan terkejut gambar digunakan itu adalah saya bersama kawan lelaki saya, tapi ia menggunakan nama individu lain.

"Facebook itu menerima kecaman hebat daripada lebih 700 pengguna (kini lebih 1,000 komentar) yang rata-ratanya tidak berpuas hati dan mengugut mahu membunuh sekiranya dapat mengesan saya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/10
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved