Khamis, 8 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Juadah pelbagai tema

Posted: 04 Oct 2012 07:47 AM PDT

MENU menarik dan menyelerakan mengikut pelbagai tema bakal menemui pengunjung Hotel Impiana sepanjang Oktober ini.

Dimulakan dengan bufet Pan Asian Treats pada harga RM68++ pada setiap Isnin hingga Khamis, pengunjung berpeluang menjamu hidangan Mediterranean pada setiap Jumaat dan Sabtu, sementara Ahad dipenuhi pelbagai juadah tempatan pada harga RM48++ seorang.

Menariknya, ais krim Baskin Robbins turut disediakan sebagai pencuci mulut untuk semua hidangan bufet ini.

Pada masa sama, Tonka Bean juga mengalu-alukan pengunjung merasai bufet tengah hari menu antarabangsa yang menggabungkan cita rasa tempatan pada harga RM58++ seorang.


Ais krim Baskin Robbins sekali lagi menjadi tarikan, selain beberapa variasi pencuci mulut yang pasti menepati selera pengunjung.


Andai ada masa senggang di hujung minggu, Tonka Bean tidak ketinggalan menyediakan bufet minum petang yang menawarkan bermacam hidangan antaranya burger mini, kuih-muih, dim sum, roti jala, sate ayam dan daging, nasi lemak, ayam goreng berempah, sosej, mi kari, piza, apam balik serta ubi sambal.

Tidak sekadar menjamu selera, pengunjung juga berpeluang melihat keindahan sekeliling serta Menara Berkembar Petronas yang terletak berhadapan kafe dalam keadaan tenang tanpa gangguan hiruk-pikuk kota.

Untuk tempahan, boleh hubungi 03-21471111 sambungan 3034 atau 3035.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04




Syukur generasi bebas penjajah

Posted: 30 Aug 2012 09:25 AM PDT

PERASAANNYA berbunga riang sambil melahirkan rasa syukur yang tidak putus-putus setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung, malah tidak ketinggalan meraikan hari bersejarah itu bersama-sama jutaan rakyat Malaysia berbilang kaum yang tahu menilai serta menghargai erti kebebasan di tanah air sendiri.

Walaupun lahir selepas merdeka, suri rumah, Noriah Hashim, 49, mampu merasai keperitan kehidupan penduduk negara ini sebelum mencapai kemerdekaan, melalui kisah yang diceritakan suami serta arwah ibu mentuanya yang sering berkongsi pengalaman mengenai penderitaan mereka ketika Tanah Melayu menjadi kawasan jajahan British dan Jepun.

Setiap kali tarikh keramat 31 Ogos menjelang tiba, beliau antara orang yang paling gembira kerana mengenangkan keadaan rakyat negara ini yang dapat hidup aman dan harmoni selepas bebas daripada cengkaman ketakutan akibat duduk di bawah pemerintahan bangsa asing suatu ketika dulu.

Noriah berkata, setiap kali mendengar kisah kepayahan hidup yang diceritakan ibu mentua dan suaminya, beliau berasa betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia yang bukan saja boleh hidup bertolak-ansur bersama kaum lain dalam keadaan damai, malah diuruskan kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin dan menjaga kebajikan rakyat.


Daripada apa yang diceritakan kepadanya, dia mendapat tahu kehidupan sebelum merdeka dipenuhi rasa takut yang amat sangat terutama ketika penjajahan Jepun hingga orang kampung tidak mahu keluar rumah kerana bimbang diserang.


"Mereka hidup dalam ketakutan, tidak seperti kita hari ini. Menurut ibu mentua saya, adik-adik perempuannya yang masih muda dan belum berkahwin ketika itu disorok bapanya dan tidak dibenarkan keluar.

"Ibu mentua saya berasal dari Tapah, Perak dan adik-beradiknya semua mempunyai rupa paras yang cantik dengan kulit putih mulus. Disebabkan itu, mereka disorok kerana bimbang diapa-apakan tentera Jepun.

"Sekiranya hendak keluar juga, terpaksa sorok-sorok kerana tentera Jepun ketika itu yang terkenal dengan sikap rakus dan kejam, berani melakukan jenayah sesuka hati mereka termasuk membunuh," katanya.

Menurut Noriah, selain terseksa dari segi emosi kerana tidak bebas dan rasa terkurung, hidup majoriti rakyat di Tanah Melayu ketika itu juga sangat susah dan banyak bergantung kepada ubi kayu sebagai sumber makanan.

Menurut suaminya, peniaga, Mat Daud Ayob, 60, hidup pelajar sekolah ketika itu juga terbatas kerana mereka terpaksa pergi dan balik sekolah dalam keadaan menyorok, malah sesi persekolahan pernah terganggu sementara dengan kehadiran tentera Jepun.

Keadaan pada masa itu sangat berbeza dengan zaman ini. Rakyat Malaysia bukan saja bebas dan hidup aman damai, malah semakin maju mengejar pencapaian setanding negara luar.

"Taraf hidup rakyat ketika ini juga jauh berbeza sekiranya hendak dibandingkan zaman sebelum merdeka kerana ekonomi kita yang semakin kukuh dan nama negara semakin harum di peringkat antarabangsa.

"Saya selalu menceritakan kisah sebelum zaman merdeka seperti yang diceritakan kepada saya dan sering berpesan kepada anak-anak supaya mereka bersyukur dapat tinggal dan menjadi rakyat negara ini.

"Walaupun ke mana kita pergi, Malaysia adalah negara terbaik pada mata saya kerana ia seimbang dari semua segi, tidak seperti sesetengah negara lain yang rakyat hidup melarat biarpun sudah lama maju," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, golongan muda juga harus tahu mengenai kisah sebelum merdeka supaya mereka sedar betapa berharganya nilai kebebasan serta tidak menimbulkan sebarang kekacauan yang boleh merosakkan keharmonian negara.

Beliau bukan saja rasa bersyukur, malah berasa amat beruntung menjadi rakyat negara ini, bersama-sama dengan bangsa lain yang berbilang kaum.

"Tidak perlulah kita hendak bergaduh atau membuat kacau kerana perbezaan fahaman politik kerana apa yang negara ada ketika ini sudah cukup bagus. Kerajaan kita melakukan tugas dengan baik dan tidak perlulah ada pihak yang hendak membuat kacau-bilau," katanya.

Setiap kali Hari Kemerdekaan, rasa bangga menjadi anak Malaysia membuak dalam dadanya. Justeru, dia dan suami sanggup bangun awal pada hari cuti umum itu untuk membawa anak-anak meraikan hari penuh bersejarah di Dataran Merdeka bersama rakyat lain. Ia boleh dikatakan sudah menjadi 'aktiviti tahunan yang wajib' untuk mereka sekeluarga.

Malah, setiap tahun dia sekeluarga akan turut sama menghias rumah dan kereta dengan bendera Malaysia bagi mengingati hari bermakna kepada negara ini.

"Kami juga akan bergerak dari rumah di Kajang ke Dataran Merdeka untuk sama-sama meraikan dan merasai nikmat kemerdekaan yang dicapai sejak 55 tahun lalu bersama rakyat lain.

"Sungguh menggembirakan apabila dapat melaungkan Merdeka bersama-sama rakyat negara ini yang berbilang kaum. Ia menunjukkan majoriti rakyat tahu menghargai erti kebebasan dan keamanan," katanya.

Sementara itu, juruteknik, Abdullah Hashim, 55, yang dilahirkan tepat pada 31 Ogos 1957 berkata, berkongsi tarikh lahir dengan Hari Kemerdekaan sememangnya memberi makna tersendiri kepada dirinya.

Katanya, beliau dilahirkan di rumahnya di Kampung Gelam, Melaka dan hanya menyedari tarikh lahirnya sama dengan sambutan kemerdekaan negara sekitar usia 10 tahun apabila diberitahu bapanya.

"Ketika kecil, saya tidak tahu tetapi apabila sudah mula faham, saya berasa amat bangga dilahirkan sama dengan tarikh negara bebas daripada cengkaman bangsa luar, apalagi rakyat Malaysia beramai-ramai meraikannya," katanya.

Abdullah berkata, beliau sering mendengar cerita betapa susahnya kehidupan zaman sebelum merdeka terutama daripada ibu bapanya di mana kehidupan seharian rakyat pada waktu itu sangat susah dan sentiasa tertekan.

Dia masih ingat bagaimana orang kampung ketika itu sangat takut dengan tentera Jepun hingga pergerakan mereka menjadi terbatas dan tidak dapat keluar rumah kecuali dengan cara menyorok.

"Kekejaman tentera Jepun menyebabkan penduduk takut hingga tidak berani bergerak di luar rumah. Tidak seperti hari ini, tiada rasa takut dan semua orang bebas untuk ke mana-mana saja.

"Apabila kita diisytiharkan merdeka, ia seolah-olah satu nikmat yang sukar diucapkan dan hanya difahami mereka yang pernah hidup tertindas sebelum ini. Hidup rakyat menjadi lebih tenang dan gembira," katanya.

Kisah mengenai zaman sebelum kemerdekaan seharusnya selalu diketengahkan supaya generasi muda tahu betapa seksanya hidup di bawah cengkaman asing dan lebih bersikap patriotik terhadap negara.

Katanya, golongan yang suka menimbulkan kekacauan seharusnya sedar segala ketenangan dan kedamaian yang dikecapi hasil kemerdekaan yang diperoleh dan tidak seharusnya diperjudikan dengan sikap mementingkan diri sendiri.

"Saya tidak setuju dengan perbuatan demonstrasi yang sering diadakan sesetengah pihak kerana bagi saya ia bukan saja membuang masa, malah tidak memberi sebarang faedah kepada bangsa dan negara.

"Generasi muda harus tahu mengenai keadaan sebelum merdeka dan jangan huru-harakan negara kerana sikap mementingkan diri sendiri," katanya.

Abdullah bersama isteri, Sharifah Hashim, 54, dan anak-anak, Shahrul, 27, Nurhaniza, 25, dan Ahmad Shahir, 18, menghias rumah mereka dengan mengibarkan bendera bersaiz besar pada hadapan rumah bagi meraikan hari bersejarah negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/31




Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


‘Jangan kata DBKL kejam’

Posted: 07 Nov 2012 02:27 PM PST

KUALA LUMPUR: "Bila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ambil tindakan, mereka kata kerajaan kejam sedangkan tindakan mereka menyewakan rumah awam DBKL kepada orang lain telah menutup peluang lebih 38,000 lagi pemohon.

"DBKL sudah batalkan perjanjian dengan 50 penyewa kerana menyewakan rumah dan sedang mengenal pasti 450 penyewa lagi untuk dikenakan tindakan undang-undang," kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.


Menurut beliau, penyewa di kira-kira 56,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) yang disewa daripada DBKL dengan bayaran RM124 sebulan tidak sepatutnya mengaut untung mudah.

Raja Nong Chik berkata, ada segelintir penyewa PPR dan PPA menyewakan semula rumah berkenaan pada harga lebih tinggi, iaitu antara RM600 hingga RM700 bergantung kepada lokasi.


"Sepatutnya, jika sudah tidak tinggal lagi di rumah terbabit, mereka perlu serahkannya semula kepada DBKL untuk disewakan pula kepada kira-kira 38,000 pemohon yang layak sejak 2005.


"Jangan nanti bila DBKL ambil tindakan, mereka kata kita kejam, sedangkan mereka yang melanggar undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Deepavali kepada 450 keluarga miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Keramat Mall, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Sukiman Surahman.


Sukiman dalam pada itu berkata, DBKL akan mengeluarkan notis 30 hari kepada kepada 450 penyewa PPR dan PPA sebelum mengunci rumah itu dalam tempoh 14 hari dan merampasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Kebakaran kilang perabot awal pagi bongkar rahsia

Posted: 07 Nov 2012 02:27 PM PST

SUBANG JAYA: Kebakaran besar membabitkan dua kilang perabot di Subang 4, Zon Industri USJ 1, di sini, awal pagi semalam, membongkar rahsia pemilik premis itu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba, Mohd Khairi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.27 pagi sebelum api berjaya dikawal kira-kira dua jam kemudian.


Menurutnya, dua jentera bersama 20 anggota masing-masing dari balai Subang Jaya dan Seksyen 7, Petaling Jaya serta jentera tangki air dari Shah Alam digegaskan ke tempat kejadian.

"Kebakaran disedari seorang pekerja warga Indonesia yang menghuni di kawasan berhampiran selepas ternampak asap tebal keluar dari kilang yang terbakar.


"Dia kemudian menghubungi pihak bomba dan tindakan pantasnya itu membolehkan kami sampai tepat pada masanya dan dapat mengelak kebakaran lebih besar berlaku berikutan kedudukan premis di situ yang rapat antara satu sama lain.


Mohd Khairi berkata, ketika kejadian tiada sesiapa dalam kawasan itu, namun kilang yang menjadi tempat menghasilkan perabot musnah terbakar 100 peratus "Bahagian tingkat satu yang menempatkan ruang pejabat kilang runtuh dan api marak berjaya dikawal 30 minit selepas itu.

"Kami percaya kebakaran bermula dari sebuah kilang sebelum merebak ke unit terletak bersebelahan. Kerja pemadaman dilakukan pantas bagi mengelak api merebak ke premis lain," katanya.


Katanya, Jabatan Forensik Bomba sudah melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian, malah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan. "Siasatan awal mendapati kilang terbabit tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba ketika ia dibina dan dipercayai beroperasi secara haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Makin parah

Posted: 07 Nov 2012 09:06 AM PST

KEBIMBANGAN semakin memuncak buat peminat bola sepak tempatan selepas dihidang aksi longlai skuad negara yang kecundang 0-2 kepada Thailand dalam aksi persahabatan di Bangkok, malam tadi.

Kekalahan di Stadium Muang Thong itu hadir selepas kecundang 0-1 kepada Vietnam dalam satu lagi aksi persahabatan, Sabtu lalu ketika saingan sebenar mempertahankan Piala AFF hanya berbaki kurang tiga minggu lagi. Lebih membimbangkan, ketumpulan jentera serangan terus menghantui skuad kendalian Datuk K Rajagobal apabila gagal mengancam kubu lawan dengan gerakan berbahaya secara konsisten hingga penjaga gol lawan lebih banyak berehat dengan ujian sebenar baginya hadir menerusi percubaan dua pemain gantian, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani pada separuh masa kedua.


Pada perlawanan malam tadi, Rajagobal melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding senarai pemain yang tewas 0-1 kepada Vietnam, termasuk merehatkan kapten skuad negara, Mohd Safiq Rahim dan Khairul Fahmi Che Mat yang berada di bangku simpanan dengan Mohd Safee Sali diberi kepercayaan menjadi kapten.

Ketiadaan Safiq yang juga perancang utama skuad negara menyebabkan barisan tengah skuad negara yang dikemudi Gary Steven Robbat seolah-olah hilang punca dan gagal mengatur sebarang gerakan menarik untuk mengancam kubu lawan ketika Norshahrul Idlan Talaha dan Safee amat dahagakan jaringan selepas gagal meledak ketika berdepan Vietnam. Kesilapan penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias membawa padah apabila membuka peluang kepada pemain pertahanan Thailand, Prayat Bunya meledak jaringan pada minit ke-26.


Pemain kelab Ratchanburi FC itu meluru pantas menyambut hantaran sepakan sudut rakan sepasukan ketika Farizal dilihat lambat menutup ruang yang dimiliki Prayat untuk meledak jaringan buat tuan rumah yang turut berada dalam fasa akhir persiapan menghadapi Piala AFF.


Malah Thailand yang dikendalikan Winfried Schafer mendapat beberapa peluang keemasan melebarkan kedudukan menerusi beberapa serangan balas ketika barisan skuad negara masih tercari-cari rentak mengimbangi corak permainan lawan yang bertali arus mengancam benteng negara.

Barisan pemain negara turut gagal mengambil kesempatan apabila Thailand beraksi 10 pemain pada minit ke-72 selepas Adul Lahsoh dibuang padang apabila lawan sebaliknya menggandakan jaringan menerusi rembatan kencang Arthit Sunthornphit dari luar kotak penalti pada minit ke-80 bagi menewaskan Farizal buat kali kedua.


Kekecewaan bertambah memuncak buat pemain negara apabila Mohd Aidil Zafuan Adha Abd Radzak dilayangkan kad kuning kedua lima minit selepas lawan meledak jaringan itu.

Skuad negara dijangka kembali hari ini dengan Hong Kong menjadi lawan terakhir Rabu ini sebelum memulakan kempen Kumpulan B mempertahankan Piala AFF di Kuala Lumpur menentang Indonesia, Singapura dan Laos.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Magis Ozil

Posted: 07 Nov 2012 08:59 AM PST

MADRID: Sentuhan magis Mesut Ozil pada lewat perlawanan membantu Real Madrid seri 2-2 dengan Borussia Dortmund di laman sendiri, awal pagi semalam sekali gus mengukuhkan peluang layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara sebagai juara Kumpulan D.

Cristiano Ronaldo biasanya mengambil sepakan percuma buat Real namun membiarkan Ozil melencongkan satu sepakan menarik menerjah jaring selepas terkena palang pada minit ke-89, dengan penjaga gol Dortmund, Roman Weidenfeller lambat memberikan reaksi dan membolehkan anak buah Jose Mourinho menyamakan kedudukan buat kali kedua.


Gol Ozil menentang pasukan yang dipenuhi rakan sepasukan skuad Jerman menafikan Dortmund kemenangan berganda yang boleh meletakkan mereka dalam kedudukan selesa selepas menundukkan skuad Mourinho 2-1 di Jerman bulan lalu.

Jaringan voli Marco Reus meletakkan juara Jerman itu di depan pada minit ke-26 sebelum Pepe menanduk masuk gol penyamaan enam minit kemudian sebelum pemain Real, Alvaro Arbeloa tersepak bola ke dalam jaring sendiri pada masa kecederaan babak pertama di Bernabeu.


Real banyak menguasai bola namun tidak banyak mencipta peluang dan taktik Dortmund melakukan serangan balas pantas hampir membolehkan mereka meraih satu lagi kemenangan bersejarah.


Keputusan seri itu membolehkan Dortmund mengungguli kumpulan dengan lapan mata selepas empat perlawanan manakala Real di tangga kedua dengan tujuh mata di depan Ajax Amsterdam (empat) dan Manchester City (dua) berikutan keputusan seri 2-2 dalam satu lagi perlawanan.

Mourinho, yang cuba mengemudi Real menjulang trofi Eropah ke-10 selepas gagal menjuarainya sejak 2002 tidak kisah sama ada mereka berakhir di tangga pertama atau kedua kumpulan itu. Mereka berkunjung ke City pada 21 November dan menanti kedatangan Ajax pada 4 Disember.


"Jika menduduki tangga kedua, ia mencetus masalah buat juara kumpulan satu lagi kerana mereka tidak jangkakan bertemu pasukan seperti kami," kata pengendali dari Portugal itu.

"Namun saya yakin kami boleh muncul juara kumpulan. Kami bermain dengan amat baik pada babak kedua di sini, agresif, dinamik. Penontonpun suka dengan perlawanan seperti ini. Perlawanan lain lebih seperti Liga Europa saja." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Bunuh bilal solat

Posted: 07 Nov 2012 01:47 PM PST

TANAH MERAH: "Ketika baru nak pakai telekung, saya terdengar bunyi orang bergelut diikuti bunyi orang jatuh. Apabila dijenguk menerusi tirai, saya lihat suami terbaring dengan kepala berlumuran darah," kata Ramlah Ahmad, 67, menceritakan kejadian menyebabkan kematian suaminya, pagi semalam.

Dalam insiden itu, suami Ramlah yang juga seorang bilal, Abdullah Nawang, 77, menemui ajal selepas dipukul di kepala dengan objek keras oleh seorang lelaki ketika menunaikan solat sunat menjelang waktu Subuh di surau Kampung Gual Petai Lima, Gual Ipoh, di sini, jam 5.40 pagi.

Ramlah berkata, sudah menjadi rutin dia dan suaminya keluar dari rumah pada jam 5.30 pagi untuk menunaikan solat Subuh di surau yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

"Ketika itu hanya saya dan suami di surau kerana jemaah lain belum tiba. Suami membuka pintu dan lampu manakala saya pula terus ke bahagian solat wanita," katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, selepas melihat suaminya berlumuran darah, dia menjenguk melalui tirai yang memisahkan jemaah lelaki dan wanita, dia terus meluru mendapatkan Allahyarham yang ketika itu sudah tidak sedarkan diri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Ular Romi jadi gergasi

Posted: 07 Nov 2012 01:46 PM PST

JITRA: Seekor ular sawa diberi nama timangan Gaban kini mampu digelar 'ular gergasi' apabila beratnya mencecah lebih 130 kilogram dengan panjang lapan meter selepas dipelihara sejak 11 tahun lalu.

Reptilia milik Nor Hizan Abd Ghani, 55, atau Pak Atan mula dipelihara dari saiz sepanjang 60 sentimeter pada 2001 selepas anak saudaranya, Romi Nor Izham, (kini 21 tahun) meminta hadiah berkenaan ketika mahu berkhatan.


Pak Atan yang mengusahakan inap desa Kampung Pulau Pisang, Tunjang, di sini, berkata dia berminat memelihara reptilia berkenaan yang diperoleh dari pihak tertentu di Perlis bagi menunaikan hasrat Romi ketika berusia 10 tahun sebagai hadiah.

"Romi meletakkan syarat mahu ular sawa sebagai hadiah sebelum berkhatan, jadi sebagai tanda kasih kepadanya, saya berusaha mendapatkan reptilia berkenaan.


"Ia hanya sepanjang 60 sentimeter ketika diambil dan boleh diletakkan atas tapak tangan serta boleh dibawa ke mana-mana, namun selepas itu saya mengambil tanggungjawab memelihara ular sawa berkenaan memandangkan Romi masih bersekolah ketika itu," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Pak Atan berkata, ular sawa itu terpaksa diletakkan dalam pelbagai saiz akuarium di rumahnya hingga berusia enam tahun sebelum dimasukkan dalam sebuah sangkar khas dibina di luar rumahnya ketika berusia tujuh tahun hingga sekarang.

Menurutnya, dia memperuntukkan RM200 membeli 10 ayam daging untuk makanan Gaban setiap bulan dan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit untuk makan seekor ayam.


"Saya tidak rasa hobi ini satu bebanan kerana turut menjadi minat seluruh ahli keluarga, malah mereka sudah tidak takut dengan Gaban selain menjadi daya tarikan kepada inap desa kami yang sering dikunjungi pengunjung dalam dan luar negeri setiap hari.

"Setiap hari hampir 40 pengunjung datang melihat sendiri ular sawa berkenaan, namun ada juga pengunjung inap desa yang membatalkan niat menginap selepas mengetahui terdapat ular sawa dipelihara di sini," katanya.


Dia bercadang membuat 'roadshow' dengan mempamerkan Gaban kepada orang ramai di mana-mana karnival bermula tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Adi, Abil berkongsi perasaan

Posted: 07 Nov 2012 07:40 AM PST

MALAM Ahad lalu, riuh juga laman sosial twitter dan memuji lakonan hebat dua bintang terkenal ini menerusi drama Maharku Untukmu yang bertanding dalam Anugerah Skrin 2012 (ASK2012) yang khabarnya meletakkan drama penuh emosi ini antara saingan terhebat bagi merangkul trofi drama terbaik.

Selain plot ceritanya yang menarik, Maharku Untukmu sebenarnya adalah naskhah yang bergantung kepada dua teraju utamanya yang berjaya memancing perhatian penonton untuk terus menyaksikan perjalanannya hingga ke sudah.

Ternyata lakonan Nabila Huda (Abil) sebagai Tengku Aishah dan Adi Putra yang menghidupkan watak Putera tidak perlu disangkal kerana masing-masing kemas dan sempurna dalam membuatkan Maharku Untukmu menjadi perhatian pada malam kemuncak ASK2012 yang bakal ditayangkan secara langsung malam esok.

Usik Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim yang segak dengan senyuman panjangnya pada sesi fotografi itu akui segala pujian serta kritikan yang diterima adalah penyuntik semangat untuk terus berdiri sebagai anak seni.


"Alhamdulillah kalau ada pihak yang menghargai lakonan saya dan Abil dalam Maharku Untukmu. Bagi saya sendiri ia sebuah karya yang menarik dengan pembangunan watak yang begitu tersusun.


"Saya sebagai pelakon sendiri merasakan tekanan melakonkan watak itu. Lebih menarik pula saya digandingkan dengan Abil," katanya.

Hakikatnya, lakonan Abil dan Adi sudah lama berjaya dibuktikan. Bukan sehari dua mereka berjaya mempamerkan lakonan bersahaja malah setiap filem dan drama yang dibintangi ada kekuatan sendiri.

Bagaimanapun, segala pujian dan kritikan positif itu bukan membuatkan mereka berdua yakin akan menang kerana mereka berlakon bukan semata-mata kerana memburu trofi.

Membintangi berpuluh-puluh drama dan filem sejak hampir sedekad lalu, nama dua bintang terkenal ini belum lagi pernah diangkat dalam mana-mana majlis penganugerahan sekali gus merangkul trofi walaupun lakonan mereka sering dipuji.

Jelas Abil yang menyifatkan dirinya sudah lali dengan situasi itu, anugerah bukanlah titik utama untuk dia menjadi anak wayang, sebaliknya apa yang penting melunaskan setiap karakter yang dipertanggungjawabkan oleh pengarah dan produser.

"Bukan setahun dua saya berlakon. Awal dulu pernah juga terdetik di hati saya untuk merangkul penghargaan, maklumlah ketika itu masih belum matang. Namun lama-kelamaan, saya sudah lupa akan ruang untuk menjulang trofi.

"Saya percaya kalau ada rezeki sudah tersurat, ia tidak akan ke mana. Bagi saya apa yang lebih penting, lakonan saya meninggalkan kesan di hati penonton. Itu sudah cukup memberikan saya nikmat kepuasan," kata ibu kepada Keisha Laila, 3.

Selit Adi yang akan muncul dengan gimik persembahan istimewa sebagai penyampai anugerah ASK2012, trofi juga bukan perkara yang dikejar olehnya selama ini kerana dia sedar lebih ramai lagi aktor yang hebat ada di luar sana.

"Alhamdulillah lebih lapan tahun bertapak di lapangan lakonan, tanpa sebarang anugerah yang saya menang pun, rezeki dan tawaran tidak pernah terhenti. Ada saja pihak dan produksi yang percaya dan yakin dengan hasil kerja saya selama ini.

"Malah kalau diberi pilihan untuk saya memilih antara trofi dan peluang, saya pastinya pilih peluang kerana itu adalah kesinambungan kepada rezeki untuk diri saya dan keluarga. Bagi saya anugerah itu suatu bonus dan saya akan tetap berlakon seperti biasa sama ada menang atau kalah," kata pelakon filem Aku Terima Nikahnya ini.

Mungkin betul apa yang dikatakan Adi itu, walaupun tanpa anugerah, wajahnya tidak henti mewarnai drama televisyen di Malaysia. Abil juga tidak henti terkejar-kejar ke lokasi penggambaran. Habis sebuah drama, esoknya mereka terus memegang skrip baru bagi produksi yang berbeza.

Sebelum ini, Abil yang dianggap calon terbaik merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) atas lakonan bersahaja melalui filem Bohsia. Namun dia kecundang di tangan aktres lain.

Bukan saja FFM atau ASK2012 malah nama Adi sendiri pernah tidak langsung tersenarai dalam anugerah Blockbuster 2012 sedangkan hasil kerjanya bersusun panjang.

Enggan menuding jari atau menjatuh hukum, sebaliknya jelas kedua-dua pelakon terkenal ini, semuanya adalah percaturan yang diaturkan Tuhan dan mereka tidak pernah menyesal menjadi anak wayang.

Aktor berusia 31 tahun ini juga gembira apabila kehadiran Zara Adelia Haadi yang baru berusia sebulan.

Tujuh tahun lamanya menanti bersama isteri tersayang, Zuhaida Yusof, 37, yang lebih mesra disapa Aida, akhirnya rumah tangga mereka lebih bahagia dengan kehadiran Adelia pada 24 Oktober lalu.

Jelas Adi yang membahasakan dirinya sebagai Walid kepada Adelia, anaknya itu adalah permata buat dia dan isterinya.

"Jika dulu saya hanya berlakon dan bekerja untuk diri sendiri dan isteri, sekarang apa saja yang saya lakukan adalah untuk membesarkan Adelia.
Alhamdulillah saya dan isteri dipertemukan dengan Adelia dan siapa sangka, kuasa Allah SWT berjaya mengubah keseluruhan kehidupan kami berdua dan menjadikan ikatan kasih sayang semakin kuat berbanding sebelumnya.

"Tidak bermaksud sebelum ini kami berdua ambil mudah dengan perkahwinan namun tanpa anak yang menceriakan rumah tangga, masing-masing hanya sibuk mencari rezeki dan bekerja tanpa satu hala tuju. Sekarang kami sudah ada tanggung jawab baru.

"Kelakarnya, saya rasa macam baru bermula berlakon kerana semangat dan perasaan sudah berubah 360 darjah. Terus-terang, sebelum ini saya hanya mendengar cerita daripada kawan-kawan mengenai bayi mereka dan apabila sudah menjadi ayah, barulah saya dapat rasakan pengalamannya sendiri," katanya tersenyum sambil menunjukkan gambar-gambar Adelia dalam telefon bimbitnya.

Namun pinta dalam nada lembut Adi, usahlah diletakkan status anak angkat kepada Adelia kerana ia sedikit sebanyak akan mengundang rasa kurang selesa kepada mereka. Bayi comel berkulit putih itu dilahirkan pada 18 Oktober lalu.

"Sama macam pasangan ibu bapa lain, kami berdua bergilir-gilir bangun pagi membancuh susu dan menyalinkan lampin. Walaupun penat dan mengantuk, kami puas kerana inilah yang kami tunggu-tunggu selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07


Perkasa Padu Citra

Posted: 07 Nov 2012 07:31 AM PST

KELANTANGAN Othman Hafsham yang menerajui Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) sejak 31 Mac lalu, untuk menguatkuasakan semula Padu Citra yang memberi perlindungan terhadap hak, kepentingan dan profesionalisme pengarah ternyata membuahkan hasil apabila mendapat reaksi daripada Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Ketiga-tiga mereka akhirnya duduk semeja dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Bersama (MTB) yang berlangsung di pejabat FDAM pada 24 Oktober lalu bagi membincangkan mengenai Padu Citra.

Mesyuarat ini dipengerusikanh Naib Presiden FDAM, Abdul Rahim Awang yang mewakili Othman Hafsham serta Presiden Seniman, Zed Zaidi dan wakil Profima, Dewa Sapri.

Lain-lain wakil FDAM yang terbabit ialah M Yusoff Mohamed, Jeffery Wong dan Thorpe Ali. Mejar (B) Zainal dari Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) bertindak sebagai pemerhati.


Menurut Abdul Rahim, matlamat utama MTB ditubuhkan ialah untuk berbincang dan membela nasib pekerja filem merangkumi karyawan, artis dan kru yang diwakili ketiga-tiga persatuan mereka.


"Ini ialah langkah pertama ke arah pembelaan nasib karyawan, artis dan pekerja filem dengan memperkasakan Padu Citra. Kami juga menitikberatkan perkara lain seperti yang termaktub dalam Padu Citra.

"Padu Citra yang mula dikuatkuasa sejak 1997, jelas menyatakan bahawa pengarah mestilah ahli FDAM, pelakon ahli Seniman dan pekerja ahli PPFM yang kini dikenali dengan nama Profima.

"Produser yang ingin membuat penggambaran dikehendaki memastikan setiap individu yang terbabit dalam penggambaran menjadi ahli atau berdaftar dengan persatuan. Dengan itu, semua artis dan karyawan hendaklah menjadi ahli kepada persatuan yang diwakili mereka.

"FDAM telah menemui Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Finas, Fatimah Ahmad dan pegawai lain pada 15 Oktober untuk berbincang mengenai cara memperkasakan Padu Citra.

"Pihak Finas bersetuju memperkuatkuasakan peruntukan para 7 Padu Citra ketika mempertimbangkan permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dengan mewajibkan pemohon SPP mengepilkan salinan kad keahlian yang sah laku (valid) bagi setiap nama/ jawatan yang disenaraikan dalam borang permohonan.

"Unit Penguatkuasa Finas juga akan membuat pemeriksaan di lokasi penggambaran dari masa ke masa. Mereka berjanji menguatkuasakannya bermula 1 Januari 2013," katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga persatuan pula bertanggungjawab membantu Finas dengan membekalkan data keahlian yang lengkap dan terkini dan membekalkan kad keahlian kepada ahli serta memberi maklumat mengenai penggambaran 'haram' kepada Unit Penguatkuasa Finas.

"Mesyuarat juga bersetuju soal gaji minimum karyawan dan pekerja filem perlu diperhalusi dan dikemukakan kepada pihak berwajib. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Satu mesyuarat khas untuk membincang perkara ini akan diadakan nanti. Kami juga sepakat bersetuju waktu kerja harian penggambaran kerap kali terlalu panjang dan menimbulkan kesusahan kepada pengarah, pelakon dan pekerja.

"Namun, kami sedar waktu kerja dalam industri filem tidak boleh disamakan dengan profesion lain memandangkan ia bergantung kepada pelbagai perkara seperti keadaan cuaca, lokasi dan sebagainya. Justeru, satu mekanisme perlu diwujudkan untuk menentukan jangkamasa kerja maksimum. Seandainya terpaksa bekerja lebih masa, satu bentuk pembayaran tambahan perlu diwujudkan.

"Isu ini juga akan diperhalusi pada mesyuarat akan datang. Kami juga sedar mengenai beberapa kemalangan, bahkan kematian yang berlaku semasa penggambaran.
Untuk itu, kami mencadangkan supaya disarankan kepada penerbit untuk mengambil insuran berkelompok bagi semua lapisan pekerja sepanjang tempoh kontrak/ penggambaran.

"Zed Zaidi juga memberitahu Seniman telah mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan untuk mendapat perlindungan insuran kepada pekerja filem seperti yang diberikan kepada ahli Rela. Zed diminta memberikan senaskhah kertas cadangan itu supaya boleh diubahsuai dan dikemukakan semula dengan membabitkan ketiga-tiga persatuan," kata Abdul Rahim lagi.

Merujuk kepada Swam, ketiga-tiga persatuan ini bersetuju penulis skrip juga perlu dijemput untuk menyertai MTB sekiranya dapat menyelesaikan masalah dalaman yang mereka hadapi. Setakat ini, Swam tidak disenaraikan dalam Padu Citra. Bagaimanapun, Swam akan diminta berusaha supaya ia turut disenaraikan.

Selepas ini giliran Seniman pula , menjadi tuan rumah pada mesyuarat yang akan ditentukan tarikhnya nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Rompakan ala filem James Bond

Posted: 07 Nov 2012 01:55 PM PST

LONDON: Enam perompak mengejutkan orang ramai apabila melakukan rompakan bermotosikal dengan pantas.

Mereka mengenakan pakaian hitam dan topi keledar penuh sambil menunggang tiga motosikal berkuasa tinggi dalam sebuah pusat beli-belah sebaik saja ia dibuka, semalam.

Pembonceng ketiga-tiga motosikal itu melompat turun lalu memecahkan dinding kaca kedai barang kemas menggunakan kapak dan kayu pemukul.

Saksi berkata, perompak itu menunggang motosikal ke bahagian atas menuju ke kedai barang kemas Fraser Hart di pusat beli-belah Brent Cross di utara London.


Mereka dipercayai mengambil jam tangan jenama Cartier dan Rolex serta barang kemas lain sebelum melarikan diri.


Menurut saksi, orang ramai menjadi panik apabila melihat kejadian itu. Ada yang melarikan diri ke pintu keluar manakala beberapa kedai tidak membenarkan pelanggan mereka keluar ketika rompakan itu berlaku.

Michelle Webber, 36, yang berada di situ berkata, dia masuk dari pintu yang digunakan oleh kumpulan itu, berdekatan dengan kedai John Lewis dan New Look.

Katanya, dia masuk kira-kira 10 minit sebelum rompakan itu berlaku dan mendengar seorang lelaki di belakangnya berkata, "Mari mulakan keseronokan."

Tidak lama selepas itu, Michelle berkata, keadaan di dalam pusat beli-belah itu menjadi tegang.

"Seorang lelaki berlari ke arah kami dan menjerit supaya semua orang keluar. Waktu itu saya terfikir mungkin ada bom dan saya mula teringatkan anak saya dan keluarga. Saya mula ketakutan dan orang ramai mula berlari keluar dalam keadaan panik," katanya.

Michelle berkata, orang ramai mula berlari ke arahnya dan cuba menjauhkan diri daripada tempat rompakan itu.

"Di sekitar kami, kedai mula ditutup dan barulah kami sedar sesuatu yang serius telah berlaku. Seorang lelaki memberitahu saya ada perompak bermotosikal di bahagian atas memecah kedai emas dengan kapak," katanya.

Seorang jurugambar, Rick Treister yang dalam perjalanan ke kedai Apple di Brent Cross mendengar suara orang berteriak dan kaca pecah.

Beberapa saat kemudian, tigag motosikal dipecut dengan laju ke arahnya melepasi kedai kasut Clarks.

Katanya, "Saya tidak sempat untuk merasa takut, kejadian itu seperti mimpi."

"Ia seperti filem James Bond dan anda tidak percaya kejadian seperti ini berlaku dalam pusat beli-belah Brent Cross," katanya.

Rick terus mengeluarkan telefon bimbit dan berjaya merakam satu gambar.

"Lelaki yang menunggang motosikal di hadapan menjerit sesuatu kepada saya ketika dia melintas di hadapan saya," katanya.

Katanya, keadaan menjadi huru hara. Wanita yang bekerja di kedai John Lewis menjerit manakala lelaki yang bekerja di kedai emas itu menjerit mengeluarkan kata-kata kesat ke arah perompak. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Dera sampai mati lalu campak dari tingkat 15

Posted: 07 Nov 2012 01:53 PM PST

LONDON: Seorang pemilik anjing, menyiksa haiwan peliharaannya hingga mati sebelum mencampakkannya dari balkoni flat tingkat 15 untuk menutup perbuatan jahatnya.

Dean Edwards, 44, memukul anjing Staffordshire Bull Terrier bernama Diesel berusia dua setengah tahun dengan teruk di rumahnya di Bloxwich, Walsall sehingga menyebabkan organ dalaman haiwan itu mengalami "kecederaan dahsyat".

Semalam, Dean dijatuhkan hukuman enam bulan penjara selepas Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (RSCPA) dan polis menemui Diesel terbaring berlumuran darah di atas tanah.

Dean mendakwa dia tahu mengenai Diesel yang terbaring selepas diberitahu oleh jirannya. Dia memberitahu jiran, Diesel mungkin tidur di balkoni dan terjatuh.


Polis mengesyaki Dean berbohong kerana mereka menemui tompokan darah anjing di balkoni dan di dalam flat itu. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved