Isnin, 17 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tanam sikap suka membantu

Posted: 17 Jun 2013 07:31 AM PDT

Siapa yang tidak takut apabila dikejar orang kurang siuman. Niatnya sekadar mahu meng­hulurkan makanan dan minuman kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur, namun disalah erti pula.

Apa sekalipun pengalaman ditempuh sukarelawan Kindess.My (Kindness), Nurul Syima Zulkipli, dia tabah menjalankan tanggungjawab sebagai masyarakat yang prihatin.

Malah pengalaman itu dijadikan sebagai memori yang cukup memberi kesan mendalam di jiwa wanita berusia 28 tahun ini.

"Walaupun takut me­ngenang pengalaman itu, saya tetap meneruskannya kerana bagi saya, setiap pertolongan perlu dilakukan dengan ikhlas.

Foto

NAZIHAH luangkan masa untuk mengajar kanak-kanak Rohingya.

Foto

TIGA sukarelawan wanita ini sering berbincang dengan Muhammad untuk melaksanakan projek kemasyarakatan.


"Jika saya dapat mengurangkan kesusahan orang lain dengan bantuan itu, saya berasa sangat puas," katanya yang mengakui sejak kecil arwah ayah sudah mendedahkannya dengan kerja kebajikan.


Dorongan dan sikap murah hati arwah ayahnya juga dijadikan penguat semangat untuk wanita ini mencontohi ayahnya.

Tambahnya, selain arwah ayahnya, Nurul Syima yang ketika itu berusia 23 tahun bersama rakan sekerja gemar membantu tukang cuci di syarikat tempat dia bekerja dengan memberi sumbangan berbentuk barangan.

Namun, sejak berhenti kerja, dia berasa bosan dan ingin melakukan sesuatu untuk mengisi masa lapang pada hujung minggu.

"Saya mencari di Internet sekiranya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan sukarelawan. Walaupun sudah cuba memohon di pelbagai NGO, tiada sebarang jawapan diterima.

"Hampir lebih setahun mencuba, akhirnya pada September 2012 Muslim Aid Malaysia menerima permohonan yang dibuat menerusi laman sosial Facebook," jelasnya.

Bagi dirinya, kriteria penting yang perlu ada pada sukarelawan adalah ikhlas dan memberi bantuan tanpa meminta ganjaran.

Sejak hari itu, dia juga berkenalan dengan Muhammad Kamarulazizi yang kini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kindness.

Disebabkan tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak, Nurul Syima memilih untuk menghulurkan khidmat dari segi tenaga bagi mengumpul dana dan menyampaikan sumbangan penderma kepada golongan memerlukan.

Kini, dia yang aktif dan bertanggungjawab me­ngumpul dana di Kindness tidak kisah meluangkan masa untuk melakukan aktiviti bersama sukarelawan lain ketika hujung minggu walaupun bekerja pada hari biasa.

Tambahnya, untuk memberi kepercayaan kepada orang ramai lebih gemar menderma, Kindness berkongsi gambar serta maklumat projek yang dijalankan menerusi laman Facebook, fb.com/kindness.my.

Nurul Syima yang kini menguruskan Projek Biskut, bertanggungjawab me­ngumpul dana bagi memberi sumbangan berbentuk juadah minum petang kepada rumah anak yatim.

"Selepas bergelar sukarelawan, ia sedikit sebanyak mengubah sikap tidak serius atau malas untuk ambil tahu dengan keadaan yang berlaku di sekeliling.

"Apabila lihat kesusahan orang lain, sekurang-­kurangnya ia dapat membantu diri membuang sikap negatif seperti pemarah, suka membazir dan tamak.

"Jika ingin memberi bantuan pula, jangan sesekali memilih orang atau bangsa kerana bagi saya, masing-masing mempunyai kesusahan berbeza," katanya.

Budaya membantu

"Saya lihat budaya memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan masih rendah dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Justeru saya terfikir jika tidak mulakan dari sekarang, ia tidak akan menjadi budaya wajib dalam kala­ngan generasi akan datang.

"Ini satu cabaran buat saya dan rakan lain untuk menjadikan amalan menderma sebagai budaya," kata seorang sukarelawan Kindness, Norharirdayu Hashim, 30.

Bagi dirinya, menjadi sukarelawan banyak faedahnya. Bukan hanya dapat berkenalan dengan rakan baru, ia juga mampu memberi kepuasan apabila melihat senyuman yang terukir di wajah setiap penerima sumbangan.

Rakan yang ditemui juga bukan daripada calang-­calang orang kerana keba­nyakannya mempunyai hati yang murni dan tidak sampai hati melihat orang lain hidup dalam kesusahan.

Walaupun rakan baru tidak semestinya mempunyai pendidikan tinggi, ­keikhlasan hati mereka memberi bantuan membuatkan dia sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan sahabat seperti itu.

Ketika pertama kali menjadi sukarelawan, dia bermula dengan menyertai badan NGO lain selama empat tahun dan berpe­ngalaman mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Palestin.

"Atas pengalaman itu, saya bersama empat sahabat lain menubuhkan Kindness selari dengan matlamat sejak dulu lagi iaitu mahu menjadikan sikap murah hati sebagai budaya di negara ini.

"Walaupun sebelum ini saya hanya menjadi tulang belakang atau urus setia, kini saya perlu lebih aktif menjalankan pelbagai projek bersama sukarelawan lain untuk memberi bantuan kepada rumah anak yatim, orang tua dan gelandangan," katanya.

Tegasnya, bagi sukarelawan yang hanya bersikap 'hangat-hangat tahi ayam' dan memberi bantuan dalam tempoh ­singkat, sebaiknya jangan berputus asa.

Jika tidak boleh bergerak secara berkumpulan, mereka boleh menjalankan tanggungjawab berkenaan secara sendirian.

"Pahala akan menyusul kerana kebajikan adalah 'sewa' yang harus dibayar oleh setiap manusia yang hidup di dunia ini," kata­nya.

Bagi seorang lagi sukarelawan Kindness, Nazihah Rusli, walaupun masih bergelar siswazah, dia tetap menjalankan tanggungjawab memberi pertolongan kepada golongan memerlukan.

Berusia 28 tahun, kisahnya sebagai sukarelawan bermula pada 2010. Disebabkan rasa bosan dan tidak tahu aktiviti menarik untuk dilakukan pada hujung minggu, dia mencari sesuatu yang dapat memberi faedah kepada dirinya dan masyarakat.

Sejak itu, pelbagai aktiviti berbentuk kerja kebajikan dilakukan sehinggalah terpanggil untuk menyertai sukarelawan di Kindness.

"Pada mulanya, saya didedahkan kepada projek makan malam amal untuk rumah anak yatim daripada NGO berbeza dan ia menjadi pe­ngalaman pertama bergelar sukarelawan.

"Kini, apabila bersama Kindness, saya diberi kepercayaan untuk memastikan kelancaran Projek Vitamin C bagi mengumpul dana mendapatkan keperluan makanan tambahan yang akan disumbangkan kepada Madrasah Tahfiz Hashimiah di Selayang.

"Menariknya, saya memerlukan masa dua minggu untuk mengumpul dana bernilai RM5,000 dan bantuan yang diperlukan itu dihebahkan menerusi laman sosial Facebook saja," katanya.

Perkara pertama yang dirasakan ketika itu ­hanya ungkapan syukur kerana ada insan yang baik hati untuk membantu 170 pelajar pelarian Rohingya berkenaan.

Walaupun ada yang mempersoalkan mengenai bantuan yang disumbangkan kepada pelajar bukan kalangan rakyat Malaysia, ia dianggap sebagai cabaran buat dirinya serta rakan lain. Baginya, jika ingin membantu kita seharusnya tidak memilih bulu atau golongan tertentu.

Bagi meneruskan semangat suka membantu, kadangkala dia turut membawa adik-beradiknya ketika ditugaskan membeli keperluan buat golongan memerlukan sebagai usaha untuk mendidik generasi muda.

Sepanjang menjadi sukarelawan, banyak pengalaman yang ditimba wanita ini termasuk ketika me­ngunjungi rumah anak yatim.

"Melihat keadaan mereka, saya ­sangat bersyukur kerana dapat belajar di sekolah seperti biasa malah mampu melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi.

"Sedikit sebanyak kisah kesusahan orang lain yang berlaku di depan mata boleh dijadikan iktibar kepada diri sendiri untuk terus membantu," katanya.

Walaupun sibuk me­ngulang kaji pelajaran, Nazihah sedaya upaya cuba menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dirinya.

Dia berasa bertuah kerana kerja amal yang dilakukan itu mendapat sokongan daripada keluarga dan ibu bapa selain sahabat yang banyak mempengaruhinya untuk menjadi sukarelawan.

Baginya, dia tidak pernah berasa rugi membantu orang lain kerana setiap sumbangan begitu dihargai oleh si penerima.

Kindness kini menjadi perantara yang menghubungkan dermawan dan sukarelawan selain mengadakan pelbagai projek berbentuk kemasyarakatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Tenang, seronok buat kerja amal

Posted: 17 Jun 2013 07:23 AM PDT

Tidak sanggup melihat kesusahan orang lain mendorong wanita ini terus aktif menjalankan kerja kebajikan bagi membantu golongan memerlukan.

Walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan keperitan membantu golongan kurang bernasib baik, Puan Sri Siti Sara Husin tetap meneruskan usahanya.

Bukan hanya bantuan semata-mata malah dia juga gemar menghulurkan kasih sayang kepada mereka yang kurang mendapat perhatian di rumah penjagaan orang tua.

Wanita berasal dari Pulau Pinang dan dilahirkan di Selangor ini sudah menjangkau usia 80 tahun, namun dia kekal cergas dan bersemangat menjalankan kerja sosial.

Foto

SITI SARA (tiga dari kanan) dan suami ketika meraikan sambutan ulang tahun hari lahirnya ke-80.


Ditanya me­ngenai rahsia badan sihat dan cergas, Siti Sara tersenyum sambil menegaskan itu semua berpunca daripada kerja yang dilakukan selama ini.


"Tiada apa rahsia yang ­ingin dikongsi. Mungkin saya kelihatan muda dan bertenaga kerana banyak membuat kerja kebajikan dan ikhlas melaksanakannya.

"Saya juga rasa lebih tenang dan sangat seronok apabila dapat melakukan kerja seperti ini, apatah lagi melihat mereka yang memerlukan juga gembira dengan kehadiran kami.

"Disebabkan itu juga, saya tidak pernah rasa sunyi kerana ada saja aktiviti yang dilakukan bersama rakan lain," kata Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LPKIM) ini ketika meraikan sambutan ulang tahun hari lahirnya yang ke-80 di kediamannya, baru-baru ini.

Walaupun nampak tegas, wanita berhati lembut ini tetap memberi bantuan walaupun terpaksa berpindah ke beberapa negeri disebabkan mengikut suami, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh yang bertugas sebagai pegawai daerah ketika itu.

Dari Klang ke Kuala Lumpur kemudian berpindah ke Sabak Bernam, Siti Sara menyertai Women Institute (WI) dan menjadi ahli komuniti kerana baru berjinak-jinak dalam kerja sosial.

Apabila terpaksa berpindah ke Alor Gajah, Melaka, dia juga tidak mensia-siakan masa terluang malah tetap memilih WI untuk terus bergiat aktif sehingga dilantik menjadi pengerusi.

Ketika itu, dia sangat aktif dan mengadakan aktiviti bersama orang kampung setiap minggu untuk mengajar kemahiran seperti memasak dan menjahit.

Menariknya, minat terhadap kerja kebajikan itu bermula sejak zaman persekolahan apatah lagi dia diberi pendedahan awal daripada neneknya mengenai sikap dermawan.

"Saya lihat sendiri contoh kebaikan dan teladan daripada nenek sejak kecil. Sewaktu muda, nenek gemar membantu orang yang susah.

"Ketika itu, kami tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan saya lihat sendiri segala aktiviti nenek. Secara tidak langsung ia mendorong saya untuk mengikut jejak langkahnya," katanya sambil tersenyum.

Jelasnya, apabila melihat nenek yang gemar melakukan kerja amal, apatah lagi rezeki yang diberikan semakin bertambah, hatinya yakin untuk meneruskan usaha murni itu.

Tambah membanggakan apabila suaminya turut me­nyokong setiap aktiviti amal yang dilakukannya walaupun sentiasa sibuk setiap hari.

Suaminya sendiri tidak gemar dia duduk berdiam diri di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti berfaedah.

Walaupun sibuk, wanita ini tidak pernah melupakan tang­gungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada lima anaknya.

"Setiap hari saya bangun seawal jam 5 pagi. Disebabkan anak-anak semua ke sekolah, saya ambil kesempatan itu untuk melakukan kerja amal.

"Pada waktu petang, barulah saya mula memasak untuk sekeluarga. Saya sangat bertuah kerana suami memang tidak cerewet dalam bab makanan," katanya yang masih berupaya memandu kereta sendiri untuk ke mana saja.

Mengimbas kembali ketika aktif melakukan kerja amal, dia akui sanggup membawa cucunya bersama untuk mengutip dana bagi membantu golongan memerlukan.

Asalkan dia dapat memberi kesenangan kepada orang lain, ia sudah cukup buat ­dirinya daripada duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.

"Bagi saya, jangan buang masa tidak tentu hala dan melakukan perkara ­tidak berfaedah. Semua orang ­boleh melakukan kerja amal dan yang penting, ia terletak pada diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


2 lemas di lombong tinggal

Posted: 16 Jun 2013 12:26 PM PDT

Kajang: Dua sahabat baik lemas manakala dua lagi rakan mereka sempat menyelamatkan diri selepas bot dinaiki untuk memancing di sebuah lombong tinggal di Taman Seri Melor, Seksyen 7, di sini, terbalik, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mayat mangsa, Ng Goon Kit, 26, ditemui tersangkut pada pukat lama di dalam lombong berkenaan jam 8 pagi manakala mayat seorang lagi, Chia Kok Leong, 32, ditemui empat jam selepas itu oleh pasukan bomba dan penyelamat.


Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Deputi Superintendan Mohd Yusof Ismail berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama dua rakannya yang terselamat pergi ke lombong tinggal itu untuk memancing.

"Mereka menggunakan sampan PVC sebelum tiba-tiba ia terbalik sebaik tiba di tengah lombong menyebabkan dua daripada mangsa tenggelam manakala dua lagi berjaya berenang ke tebing.


"Mangsa pertama ditemui jam 8 pagi manakala mangsa kedua pada jam 12.30 tengah hari, kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.


Keempat-empat lelaki terbabit berkawan rapat dan sering memancing bersama di lombong berkenaan.

Foto

ANGGOTA penyelamat mencari mangsa lemas.

Menurut sumber, Ng bekerja sebagai penarik kereta manakala Chia bekerja sebagai mekanik di bengkel sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Rempuhan pembunuh

Posted: 16 Jun 2013 12:18 PM PDT

Shah Alam: Rempuhan kuat pada pembahagi jalan menyebabkan tiga remaja termasuk pemandu maut tercampak dan terperosok di belakang luar kereta dipandunya di sini, semalam.

Kemalangan ngeri di Kilometer 14.5 Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur kira-kira jam 5.15 pagi itu membabitkan kereta Perodua Viva dinaiki dua remaja lelaki dan dua perempuan, semuanya berusia 18 tahun.

Mangsa yang terbunuh ialah Adam Ab Rahman (pemandu), Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan Dali manakala Nurfarina Mokhtar yang duduk di bahagian penumpang hadapan hanya cedera ringan.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa yang terbunuh mati serta-merta di tempat kejadian. Mayat Nurul Maizura yang duduk di bahagian belakang ditemui tercampak di lorong bertentangan manakala Ameer Asyraf ditemui terperosok di tempat duduk belakang.

Foto

PETUGAS lebuh raya mengangkat serpihan kereta mangsa yang hancur.


Kejadian berlaku ketika empat sahabat terbabit dalam perjalanan pulang dari i-City, di sini sebelum kereta dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Gempar tapak kaki misteri

Posted: 16 Jun 2013 12:13 PM PDT

Kuala Pilah: Penemuan lebih 200 kesan tapak kaki bersaiz besar dengan bentuk luar biasa dalam kebun getah berhampiran Kampung Kepis Baru, di sini, kelmarin, menggemparkan penduduk setempat.

Penduduk kampung itu, Adnan Pungut, 48, yang mendakwa orang pertama menemui kesan tapak kaki ganjil itu berkata, dia ke kebunnya jam 3 petang untuk membersih serta membakar longgokan kayu pokok getah yang ditebang.

Bagaimanapun, dia terkejut dan segera pulang selepas menemui kesan tapak kaki ganjil yang tidak pernah dilihatnya sepanjang hidup.

"Sebaik melihat kesan tapak kaki bersaiz luar biasa yang ganjil itu, saya melarikan diri pulang kerana sangat takut. Saya memaklumkan kepada jiran dan penduduk kampung sebelum kami bersama-sama pergi semula ke kebun getah itu.

Foto

PENDUDUK menunjukkan kesan tapak kaki yang luar biasa ditemui penduduk Kampung Kepis Baru.


"Kami menemui lebih 200 kesan tapak kaki ganjil bersaiz sama sepanjang menjejaki binatang itu. Kesan tapak kaki yang ditemui itu berbentuk hampir bulat dengan garis pusat dianggar 18 sentimeter dengan lima jari bersaiz lima sentimeter panjang dan lima sentimeter lebar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Anugerah Blokbuster: Malam Hantu Kapcai

Posted: 16 Jun 2013 11:45 AM PDT

Bagai menepati ramalan umum, filem Hantu Kapcai yang dibintangi pelakon terkenal memonopoli kategori utama pada anugerah Blokbuster yang berlangsung di Stadium Tertutup, Johor Bahru, malam Sabtu lalu.

Anugerah yang ditayang­kan secara langsung di saluran Astro Ria itu dilihat ruang terbaik untuk Hantu Kapcai menghargai pelakonnya apabila Zizan Razak berjaya merangkul trofi kategori Hero Terhebat dan aktres jelita, Neelofa pula dinobatkan Heroin Baru Terhebat.

Tiga lagi trofi adalah Filem Kelakar Terhebat, Filem Aksi Terhebat dan penghargaan tertinggi Filem Terhebat, sekali gus membawa pulang trofi serta wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000.

Menurut pengarahnya, Ghaz Abu Bakar yang ditemui selepas majlis berlangsung menyifatkan kemenangan besar itu sebagai cenderahati istimewa buat semua tenaga pekerja produksi kerana kesungguhan dan yakin atas naskhah komedi arahannya itu.

Foto

Syamsul menang anugerah Tuan Direktor Terhebat.

Foto

Neelofa raih anugerah pertama miliknya, Heroin Baru Terhebat.


"Saya harus memberi 'kredit' kepada Zizan kerana kejayaan malam ini tentunya atas usaha dan undian peminatnya. Saya berasa amat bangga kerana filem ini berjaya menyentuh perasaan penonton.


"Insya-Allah filem Hantu Kapcai 2 akan dilaksanakan tahun depan dan ia semestnya lebih baik daripada yang pertama. Hantu Kapcai 1, pada saya sendiri sememangnya sebuah filem yang dekat dengan penonton," katanya.

Meskipun lima trofi selesa di genggaman profil Hantu Kapcai, Ghaz bagaimanapun gagal dinobatkan sebagai Tuan Direktor Terhebat, sekali gus tewas di tangan pengarah Syamsul Yusof, Jalan Kembali: Bohsia2.

Ghaz optimis dan melihat itu pilihan peminat.

"Memang mulanya pelik tapi saya tidak pasti mana silapnya hingga Hantu Kapcai tertinggal untuk kategori itu. Tapi semuanya adalah pilihan peminat dan saya terima dengan hati terbuka," katanya.

Anugerah Blokbuster malam kelmarin turut mengukir sejarah peribadi bagi Neelofa yang pertama kali berjaya menggenggam anugerah pertamanya.

Jelasnya yang bersyukur dengan keputusan itu terkejut kerana tidak langsung meletakkan harapan.

"Mungkin sudah beberapa kali tewas, jadi saya tidak langsung mengharap. Namun saya bersyukur atas kemenangan ini dan sokongan peminat yang tidak pernah henti.

"Sebentar tadi, Ghaz ada memaklumkan kemungkinan besar Hantu Kapcai 2 akan diterbitkan dan saya berasa amat teruja, malah tidak sabar untuk kembali ke set penggambaran filem ini," katanya.

Selain pengacara program Nona dan Meletop dan Ghaz yang tidak henti berkongsi kisah manis mereka, hero kepada Hantu Kapcai, Zizan Razak turut gembira
mengucapkan syukur selepas kali kedua dinobatkan Hero Filem Terhebat menerusi filem Hantu Bonceng, tahun lalu.

Mengulangi kejayaan bagi kategori yang sama, pelawak juga pengacara terkenal
itu membuktikan dirinya masih kekal menjadi pilihan peminat selain mengakui tanggungjawab membawa status itu makin berat.

"Alhamdulillah, peminat masih percaya dengan saya dan terus mengundi hingga berjaya sekali lagi tahun ini. Meskipun kemenangan saya berdasarkan undian, itu tidak bermakna kejayaan ini diukur daripada populariti saja, sebaliknya percaya peminat serta pengundi turut mengambil kira soal kualiti. Lihat saja, Syamsul yang masih mempertahankan gelaran sebagai Pengarah Terhebat, sudah pasti dia dipilih kerana keyakinan peminat pada karya arahannya.

"Apapun, saya percaya kejayaan besar Hantu Kapcai malam ini bukan kerana populariti saja, sebaliknya filem itu sememangnya naskhah yang menghiburkan, terdapat mesej dan berbaloi untuk ditonton," katanya.

Mengangkat tema 'hipster' pada tahun kedua penganjurannya ini, anugerah Blokbuster 2 dilihat penuh warna dengan sambutan meriah selain menampilkan persembahan hebat.

Sebanyak 16 kategori yang membabitkan 49 pencalonan (bagi setiap kategori) diperkenalkan menggunakan 100 peratus undian daripada orang ramai.

Segmen persembahan segar

Biarpun ada sebahagian keputusan kemenangan bagi kategori yang dipertandingkan dilihat sebagai tidak layak, namun seperkara yang menarik mengenai anugerah itu adalah segmen persembahannya.

Acara pengenalan anugerah ini menyaksikan Datuk AC Mizal dan Scha Al-Yahya, selaku pengacara majlis membuat persembahan secara 'rap'.

Kemudian ia dirancakkan lagi dengan persembahan bertenaga daripada Stacy menerusi lagu Bosan manakala Adam, menyampaikan medley tiga lagu antaranya Tension dan Tak Tahu. Bagaimanapun persembahan Adam terlalu lama.

Diselang-selikan dengan segmen pengumuman pemenang, antara persembahan yang paling mendapat perhatian adalah Waris yang cukup popular dengan lagu Rembau Most Wanted. Segmen persembahan itu turut dimeriahkan dengan DJ Fuzz, Justhine dan PSP.

Agak mengganggu, hampir setiap kali usai persembahan disusuli bunyi mercun yang terlalu kuat sehingga beberapa kali penonton terkejut.

Selain Waris, sudah semestinya persembahan membabitkan Shea dan bintang Parody, Bobo amat dinanti-nanti. Nyata walaupun kAli pertama beraksi dalam sebuah anugerah, Bobo kelihatan tidak kekok lantas mengundang tawa penonton.

Namun, jika mahu diukur daripada kehebatan suara semestinya, paduan vokal Dayang Nurfaizah dan Jaclyn Victor menyampaikan lagu This Girl Is On Fire selain membawakan lagu solo masing-masing, Bisikan Rindu dan Sebelah Jiwaku.

Turut beraksi di segmen persembahan adalah kumpulan Kristal yang menyampaikan lagu Selagi Ada dan Dilaila, Spider (Ngm Ho/Aladin), Zizan Razak dan Kaka (Bawaku Pergi/Infiniti), Aizat (Kau dan Aku/ Jerrypah/ Sungai Lui/ Hanya Kau Yang Mampu), Roman (Misiku Kuza), Apek, Altimet dan Isma (Pak Pong),
sebelum persembahan berakhir dengan lontara vokal Azlah & Typerwriter yang membawakan lagu Tanda Tanya.

Senarai Pemenang Anugerah Blokbuster 2012

1. Anugerah Filem Terhebat: Hantu Kapcai
2. Anugerah Tuan Direktor Terhebat: Syamsul Yusof (Jalan Kembali Bohsia 2)
3. Anugerah Direktor Baru Terhebat: Dharma Harun Al-Rashid (Adik Manja Returns)
4. Anugerah Filem Aksi Terhebat: Hantu Kapcai
5. Anugerah Filem Kelakar Terhebat: Hantu Kapcai
6. Anugerah Filem Takut Terhebat: Sumpahan Kum Kum
7. Anugerah Drama Muzikal Terhebat: Aku Ada Kau Ada?
8. Anugerah Hero Terhebat: Zizan Razak (Hantu Kapcai)
9. Anugerah Heroin Terhebat: Yana Samsudin (3 Temujanji)
10. Anugerah Watak Penyangak Terhebat: Sofi Jikan ( Jalan Kembali Bohsia 2)
11. Anugerah Lagu Tema Terhebat: Beginilah Caranya (Aku Ada Kau Ada?)
12. Anugerah Hero Baru Terhebat: Izzue Islam (29 Februari)
13. Anugerah Heroin Baru Terhebat: Neelofa (Azura)
14. Anugerah PFM: David Teo
15. Anugerah Astro First Terhebat: Ombak Rindu

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Gadis M2 kembali semula Ahad ini

Posted: 16 Jun 2013 04:49 AM PDT

Program pencarian selebriti terunggul, Gadis M2 tidak bersiaran di saluran Astro Ria, semalam kerana memberi laluan kepada Anugerah Blockbuster yang berlangsung di Stadium Tertutup Johor Bahru, malam Sabtu lalu.

Selepas berehat minggu lalu, Gadis M2 kembali semula Ahad, 23 Jun ini dengan menyaksikan tujuh lagi peserta meneruskan perjuangan mereka untuk merebut gelaran juara yang menawarkan kontrak pengurusan bernilai RM100,000.

Mereka ialah Nur Syifa Athirah Amirol Melvin (Syifa),19, dari Parit Buntar, Perak; Alia Afiqah Abden (Lia) 21, Tawau, Sabah; Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf (Sarah) 22, Ampang, Selangor; Nur Afiqah Mohd Azmi (Fify), 22, Subang Jaya, Selangor; Siti Nursyahira Nabila (She) 23, Subang Jaya, Selangor; Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra) 21, Setapak, Kuala Lumpur serta Nur Asikin Kamarudin (Ekin) 24, Masjid Tanah, Melaka.

Program ini turut menawarkan tiket penerbangan ke Paris oleh AirFrance, barangan Rafflesia bernilai RM30,000, tajaan pembiayaan daripada Snips Institute of Creative Arts bernilai RM20,000 dan turut menghiasi enam muka surat majalah Intrend.


Rancangan terbitan I Like Entertainment Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Sedania yang dihoskan Awal Ashaari ini juga mendapat tajaan lokasi daripada Setia City Convention Centre dan Local Sim Kad.


Saksikan episod seterusnya Gadis M2 hanya di saluran Astro Ria 104, setiap Ahad, jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Johor DT tekad sekat LionsXII

Posted: 16 Jun 2013 11:48 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) mahu melupakan seketika bahang final Piala FA, 29 Jun ini sebaliknya tumpuan terarah kepada persiapan menentang LionsXII pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini yang dianggap misi memburu kejuaraan liga dan usaha menyekat piala itu menyeberangi Tambak Johor.

Malah penolong jurulatih Ismail Ibrahim yang mengambil alih tugasan daripada Fandi Ahmad yang berada di Argentina atas urusan keluarga mengakui latihan di padang rumput sintetik amat penting bagi memastikan pemain dapat menyesuaikan diri dengan keadaan padang.


Beliau juga mengesahkan pemain tengah Jazsarin Jamaluddin terpaksa diketepikan akibat penggantungan satu perlawanan dan tempatnya bakal diisi kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang baru kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Australia.

"Buat masa ini kita tumpukan pada aksi liga kerana perlawanan itu juga penting bagi mencari kemenangan ke atas LionsXII dan latihan lebih kepada kekuatan fizikal manakala taktikal akan dilakukan oleh Fandi (Ahmad) sebaik pulang dari Argentina dan kemungkinan kita akan menjalan latihan selama empat hari di Stadium Kluang atau di Singapura yang memiliki padang rumput sintetik.


"Apa yang penting kita perlukan komitmen Safiq dalam mengimbangi kekuatan barisan tengah LionsXII dan saya yakin latihan di Australia itu memberi keyakinan pemain itu membantu Johor DT.


"Final Piala FA juga penting tetapi kita ambil pendekatan perlawanan satu demi satu tanpa menjejas konsentrasi pemain dan seterusnya baru kita fikirkan Piala FA," katanya pada majlis pelancaran majalah rasmi Harimau Selatan di Persada Johor, kelmarin.

Foto

SAFEE pamer peningkatan aksi pada perlawanan persahabatan di Australia.

Johor DT kini berada di tangga kedua liga ketinggalan empat mata di belakang LionsXII yang tampak masih gah mengungguli tangga teratas selepas mengumpul 38 mata selain masih mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri.


Ismail juga menegaskan kemungkinan khidmat Safee Sali yang menunjukkan peningkatan di Australia bakal tersenarai dalam kesebelasan utama namun apa jua keputusan terletak kepada percaturan taktikal Fandi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Dharma bakal kena pecat

Posted: 16 Jun 2013 09:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad remaja negara Muhammad Dharma Raj Abdullah jelas kecewa dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Majid Manjit Abdullah yang bersedia untuk memecatnya dalam usaha memujuk semula Paul Revington menarik balik hasratnya daripada meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad senior.

Nama Dharma serta Pengarah Program Pembangunan 1MAS Lim Chiow Chuan tiba-tiba menjadi hangat selepas dikaitkan menjadi punca kepada keputusan Revington meletak jawatan.


"Secara jujur, saya benar-benar rasa kecil hati dengan kenyataan itu sebab tiba-tiba saya nama saya dikaitkan dengan isu ini.

"Pihak Jawatankuasa Kejurulatihan juga tidak ada menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan sehinggalah hari ini (semalam).


"Malah saya sendiri tahu perkara ini melalui berita di televisyen," katanya.


Jelas Dharma, beliau sedia untuk mengadakan perbincangan dengan Revington serta beberapa pihak yang berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

"Pada pertemuan itu, saya ingin tahu apakah salah saya sebab rasanya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan ke atas Revington.


"Perkara ini boleh selesai hanya dalam masa lima minit sekiranya semua pihak bekerjasama. Jika benar saya ada buat kesalahan, saya sendiri sedia untuk melepaskan jawatan ini," katanya.

Dharma bagaimanapun mengakui kadang kala berlaku salah faham antaranya bersama Revington tetapi beliau sama sekali tidak menyangka ia akan mengheret kepada masalah lebih besar.


"Saya tetap akan menjalankan tugas sebagai jurulatih seperti biasa selagi belum dapat apa-apa arahan kerana ini adalah satu tanggungjawab yang diberikan kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved