Rabu, 14 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Mandian hidroterapi kembali langsing

Posted: 14 Sep 2011 07:47 AM PDT

HAMPIR dua minggu berhari raya, ramai mengeluh apabila berat badan semakin bertambah. Apa tidaknya setiap minggu terpaksa memenuhi undangan rumah terbuka dengan makanan menyelerakan terhidang di depan mata. Sudah tentu wanita sukar mengawal nafsu dan makan melebihi sepatutnya.

Jika sepanjang Ramadan berat turun dua kilogram tetapi kembali meningkat sehingga tiga kilogram selepas Aidilfitri. Sudah tentu ini memeningkan kepala dan memerlukan wanita melakukan aktiviti tertentu agar berat badan tidak naik sepanjang masa.

Bukan itu saja, bagi yang gemar mengadakan rumah terbuka masalah lenguh dan sengal pada anggota tubuh adalah perkara biasa. Ini mungkin kerana seharian di dapur dan berdiri melayan tetamu sepanjang hari menyebabkan otot tidak berehat secukupnya.

Ketika inilah anda memerlukan rawatan yang bukan saja mampu mencantikkan tubuh tetapi mengembalikan semula tahap kesihatan.


Melakukan rawatan spa dengan belaian haruman aromaterapi sambil tubuh diurut lembut pakar terapi mungkin bermain di semua fikiran wanita. Ini kerana ketika inilah wanita dapat berehat sepenuhnya sambil melupakan semua masalah sama ada di rumah atau di tempat kerja.


Jika anda biasa melakukan rawatan sauna atau mandi wap, apa kata anda cuba mandian hidroterapi yang berfungsi memperbaiki sistem peredaran darah, membersihkan kulit secara menyeluruh, memutihkan kulit serta mengembalikan kelangsingan tubuh. Lebih penting rawatan yang berasal dari Jerman ini membantu membakar lemak serta mengembalikan pola makan dan tidur menjadi lebih teratur.

Menurut pemilik dan juga Pengarah Urusan Edzscape Spa, Edzrina Esa, pengalaman melakukan spa hidroterapi di rumah empat tahun lalu mendorongnya membuka pusat kecantikan yang menyediakan perkhidmatan mandian hidroterapi bersama rawatan kecantikan yang lain.

"Naluri kewanitaan saya begitu kuat, saya gemar mengunjungi pusat rawatan kecantikan tetapi sukar mendapat perkhidmatan yang baik pada harga yang murah. Selepas membeli mesin hidroterapi untuk ibu yang menghidap kencing manis saya dapati banyak perubahan diperoleh.

"Selain mengurangkan berat badan, rawatan ini membantu mengatasi masalah kesihatan seperti kencing manis, gout dan asma. Hasilnya ibu saya semakin sihat, malah membantu pemulihan luka pada kaki dengan cepat sekiranya dilakukan secara teratur," katanya.

Tambahnya, rawatan ini sangat mudah dan tidak memerlukan banyak masa. Anda hanya perlu berendam dalam tab mandi yang airnya dicampur dengan minyak aromaterapi bersama sedikit garam bergantung kepada masalah pelanggan. Antara bauan yang ditawarkan seperti lavender, eucalyptus, juniper, pine, hayseed, rosemary dan camomile.

"Setiap bauan mempunyai kelebihan tersendiri, contohnya lavender dikenali kerana dapat menenang dan menghilangkan ketegangan urat, manakala eucalyptus baik untuk sistem pernafasan, masalah batuk dan resdung, juniper meredakan ketegangan dan sakit otot manakala spruce dan pine pula menyegar, menghilangkan kelesuan dan memulihkan tenaga," katanya yang berkelulusan ijazah dalam bidang kimia daripada Universiti Malaya.

Bagi wanita yang mempunyai masalah kesihatan mereka cuma perlu berendam dalam tab mandi yang dihubungkan dengan mesin hidroterapi selama 15 atau setengah jam.

Alat ini memberikan tiga kelebihan, iaitu ultrasonik semula jadi yang mampu mengeluarkan lebih daripada satu juta busa atau gelombang kecil infra merah setiap satu minit dan berfungsi memanaskan badan dari dalam, mengurut, membersih, mencantikkan, membentuk badan dan memberikan kesan seperti senaman kepada pengguna.

"Radiasi infra merah meresap ke dalam tubuh dan membantu memanaskan badan dari dalam sekali gus membantu melancarkan peredaran darah dan mengoptimumkan perjalanan sistem saraf. Infra merah juga dapat menghuraikan lemak sebagai proses penyah toksin, menyingkirkan air dalam tubuh, mengatasi rasa letih dengan cepat serta membantu meningkatkan ionisasi sehingga kadar ion dalam darah meningkat.

"Sebab itu hanya 15 minit berendam dalam tab mandi sama seperti berjoging sejauh tiga hingga lima kilometer dan membakar 300 hingga 500 kalori," katanya.

Sebelum berendam, ahli terapi akan menerangkan posisi yang boleh dilakukan bagi mendapatkan hasil mandian yang lebih berkesan iaitu posisi mencangkung, duduk, bersila, membongkok, duduk dengan meninggikan lutut dan mengiring. Setiap posisi ini mempunyai kebaikan daripada segi kesihatan.

"Namun sekiranya anda malas atau baru pertama kali mencuba, cukup dengan posisi berbaring anda akan dapat rasai tumbukan lembut yang terhasil daripada gelembung air.

"Rawatan yang menggabungkan teknik jakuzi, wap dan sauna ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan, namun bagi yang baru mencuba mungkin mereka akan rasa gatal di sekitar pori-pori atau mungkin kulit akan merah.

"Tetapi jangan bimbang kerana ini adalah kesan daripada proses pengeluaran racun dalam tubuh sehingga kelihatan serbuk hitam di sekitar tab mandi," jelasnya.

Untuk mendapatkan hasil optimum, wanita disarankan melakukan mandian hidroterapi dua kali sehari iaitu pagi dan malam terutama bagi yang mempunyai masalah kesihatan. Namun bagi yang susah tidur atau hanya untuk menenangkan cukup dengan sekali seminggu.
Selesai melakukan mandian, sebaiknya harus disusuli dengan urutan badan bagi melancarkan peredaran darah serta mengembalikan kesegaran tubuh.

Menurut Edzrina, rawatan hidroterapi ini sesuai untuk pasangan pengantin kerana lulur dan urut saja tidak mencukupi bagi mendapatkan hasil terbaik.

"Kebanyakan pasangan pengantin hanya melakukan mandi susu dan lulur selama dua kali rawatan. Namun, sebenarnya tidak mencukupi. Untuk lebih berkesan mereka seharusnya melakukan mandian hidroterapi kerana ini akan membuatkan pori-pori lebih terbuka dan sel kulit mati terhakis dengan mudah. Selepas itu baru dilakukan mandi susu, lulur dan urutan badan," katanya.

Selain itu, spa berkenaan yang terletak di Damansara Perdana, Petaling Jaya, turut menyediakan rawatan kuku tangan dan kaki untuk dewasa dan kanak-kanak daripada harga serendah RM35, rawatan muka, urut menggunakan batu, pakej pengantin dan urutan selepas bersalin.

Kebaikan spa hidroterapi:

Membantu melangsing dan mencantikkan bentuk badan, memutih dan menghaluskan kulit, memejal otot badan dan muka, menghilangkan bau badan, mengurangkan perut buncit dan mengetatkan organ peranakan.

15 minit mandian hidroterapi dan urutan buih ultrasonik sama dengan berjoging sejauh tiga hingga lima kilometer dan mampu membakar 300 hingga 500 kalori. Ia juga senaman pasif tetapi berkesan dan amat sesuai diamalkan sebagai gaya hidup terkini.

Penting untuk sistem pertahanan badan, menambah bilangan sel limfosit (sejenis sel darah putih) untuk melawan penyakit serta mengaktifkan sel limfosit untuk meningkatkan sistem kekebalan badan.

Buih ultrasonik yang terhasil ketika mandian selama 15 minit menyerupai kesan mengurut secara profesional selama tiga jam, tiada kesan sakit selepas mandian, tidak seperti urutan fizikal yang kadangkala boleh menyakitkan badan juga tiada kesan lebam.

Mengeluarkan bahan toksin dalam sel badan dan menyah toksin menyeluruh sehingga ke peringkat sel.

Produk Clinique perbetul kerosakan kulit

Posted: 14 Sep 2011 07:46 AM PDT

KESEMPURNAAN kulit tanpa cela akibat garisan halus dan kedutan menjadi idaman setiap wanita. Penampilan pelbagai produk kecantikan yang dihasilkan menggunakan teknologi canggih yang semakin berkembang membuatkan wanita kini tidak perlu lagi menjalankan pembedahan serta menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan kulit cantik dan sempurna.

Terbaru daripada Clinique menampilkan Repairwear Laser Fokus All Smooth Makeup SPF 15 yang dirumus dengan teknologi khas serum antipenuaan bagi menutup ketidaksempurnaan kulit wajah akibat kewujudan garisan halus dan kedutan.

Pemakaiannya juga membantu melicinkan wajah yang tidak memerlukan anda untuk menambah untuk memperbetulkan solekan sebelum menjalankan sesi fotografi bagi mendapatkan gambar sempurna.

Melalui penghasilannya yang menggunakan teknologi khas serum antipenuaan, ia dapat membantu mengurangkan kedutan, menghalang tanda penuaan dan memperbetulkan kerosakan kulit akibat terdedah dengan sinaran ultraungu (UV) setiap hari.


Dirumus dengan bahan seperti protein daripada ekstrak tumbuhan Siegesbeckiea orientalis dan Palimitoyl oligopeptide, ia dikatakan dapat membantu menyediakan sistem sokongan yang lebih baik pada garisan halus yang wujud di sekitar wajah.


Menyokong bahan yang digunakan bagi melindungi kulit, ia turut mengandungi biji benih mentega murumuru bagi membantu mengukuhkan halangan terhadap lembapan kulit, vitamin E untuk memberi perlindungan antioksidan dan SPF 15 yang dapat melindungi kulit daripada kerosakan UV.

Selain itu, penggunaannya juga dapat membantu memperbaiki tekstur kulit dari semasa ke semasa ketika bekerja bagi mencegah kerosakan.

Pemakaiannya dikatakan lebih ringan, mengandungi formula pelembap, liputan yang sederhana dan membantu menjadikan kulit kelihatan sempurna, muda dan kemas.

Sementara itu, solekan mata juga perkara penting yang perlu diambil kira bagi penampilan sempurna dan menarik. Clinique turut menampilkan pewarna mata antioksidan yang boleh bertahan selama lapan jam bagi memberikan pilihan terkini kepada mereka yang menggemari gaya berbeza untuk terus tampil menarik.

Penggunaan ekstrak vitamin E, lobak, brokoli, beri dan bayam memberikan formula antioksidan pada bahagian mata bagi memberikan penjagaan rapi di sekitar kawasan yang sensitif itu.

Selain itu, penghasilannya turut menggunakan bahan semula jadi lain seperti timun, aloe vera dan kafein bagi membantu menghilangkan kesan mata yang keletihan agar kelihatan lebih segar.

Dihasilkan dengan bahan berkhasiat, pemakaian solekan mata Lid Smoothie Antioxidant 8 hour Eye Colour membantu anda terus kekal menarik sehingga lapan jam selain menggunakan alat penyejukan unik serta formula penjagaan kulit bagi membantu kawasan mata yang halus agar kelihatan lebih remaja.

Solekan mata yang bersifat serba boleh itu mengetengahkan formula ringan bagi meninggalkan kemasan yang lembut, berkilat, berani dan dramatik yang mudah dihasilkan.

Boleh didapati dalam tujuh warna bertenaga seperti nude, keemasan hingga violet, biru dan beri, ia memberikan penampilan bertambah menarik dan berani yang lebih tahan lama.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Berang kandang haram diroboh

Posted: 13 Sep 2011 10:42 AM PDT

SERDANG: Gagal mengawal emosi kerana terlalu marah dengan tindakan pihak berkuasa merobohkan pusat ternakan haiwan yang didirikan 25 tahun lalu secara haram di Taman Serdang Jaya di sini, seorang wanita cuba memukul wakil pemaju.

Difahamkan, insiden itu bermula apabila penternak terbabit tidak berpuas hati dengan penjelasan diberi sehingga menyerang pemaju, cuba memukul dan membalingnya dengan tong air yang diletakkan berhampiran.


Menurut wanita itu, notis yang dikeluarkan pihak berkuasa terlalu singkat untuk memindahkan semua barang dan merobohkan kandang terbabit.

"Mereka patut beri lebih banyak masa untuk berpindah dan merancang semula perniagaan kami, bukan datang dan terus merobohkan kandang itu.


"Sudah 25 tahun kami menjalankan perniagaan di sini dan disuruh berpindah ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Nilam, Hulu Selangor, yang mengambil masa satu setengah jam perjalanan.


"Jika ingin membuka pusat ternakan di kawasan baru, kami terpaksa mengeluarkan modal kira-kira RM100,000 untuk menampung perbelanjaan pembinaan kandang dan urusan lain. Kami tidak ada wang sebanyak itu dan jika ada, sudah lama kami membuka pusat ternakan di kawasan lebih baik," katanya ketika ditemui.

Selain mendirikan premis di kawasan yang tidak dibenarkan, penternak mendapatkan bekalan utiliti daripada fius papan tanda dan paip berdekatan secara haram. Mereka juga difahamkan membenarkan orang ramai membuang lebihan bahan pembinaan di kawasan seluas kira-kira satu hektar itu.


Sementara itu, Penolong Pengarah Perancang Bandar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Asmidar Shaarin, berkata notis arahan mengosongkan tanah sudah dikeluarkan beberapa kali sejak 2002 dan notis terakhir diberikan minggu lalu.

Orang awam cekup suspek

Posted: 13 Sep 2011 10:36 AM PDT

KAJANG: Seorang pelajar warga Afrika diberkas orang ramai selepas dia mencabul seorang remaja perempuan berusia 19 tahun berhampiran sebuah pasar raya di Semenyih, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa yang juga jurujual di pasar raya itu keluar seorang diri untuk pergi ke kedai berhampiran untuk membeli barangan sebelum suspek menarik tangan dan membawanya ke tingkat dua pasar raya berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata sebaik menyedari suspek menarik tangannya dan membawanya ke tempat sunyi, mangsa meronta-ronta dan merayu dilepaskan, namun tidak diendahkan suspek.

Katanya, suspek bertindak lebih agresif apabila menarik mangsa naik ke tingkat tiga kerana khuatir jeritan mangsa didengari orang ramai sebelum suspek membuka seluarnya. "Suspek menunjukkan kemaluannya kepada mangsa selain meraba seluruh tubuh mangsa walaupun dia merayu tidak diperlakukan sedemikian.


"Bimbang diperlakukan lebih kejam, mangsa menjerit meminta tolong dan jeritan itu didengari seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan di kawasan berkenaan," katanya.


Ab Rashid berkata, pengawal keselamatan berkenaan ke tempat kejadian menyebabkan suspek terkejut dan cuba melarikan diri ke kawasan kedai berhampiran pasar raya berkenaan.

Tindakan pengawal keselamatan mengejar suspek menarik perhatian orang awam di kawasan berkenaan sebelum mereka membantu memberkas suspek.


Beliau berkata, suspek yang kepenatan ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa dan siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun dan masuk ke Malaysia sebagai pelajar kolej swasta di ibu kota.

Ab Rashid berkata, suspek kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Serina nafi cerita tak benar

Posted: 13 Sep 2011 07:15 AM PDT

SEMAKIN hari semakin sayang, begitulah ibaratnya hubungan cinta antara pelakon Ana Dahlia dan anak bujang Datuk Chef Wan, Mohd Nadzri Redzuawan atau lebih mesra dengan panggilan Chef Riz yang mula berputik sejak enam bulan lalu.

Tampil mendedahkan kisah cinta mereka kepada umum ketika rakaman Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada Ramadan lalu, pasangan ini sekali lagi muncul berdua pada Majlis Rumah Terbuka On The Table Restaurant Sdn Bhd dan syarikat Culinary Brilliance Sdn Bhd milik Chef Riz dan rakan kongsinya, Farhan Shafee, Sabtu lalu.

Bertempat di kawasan eksklusif Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, majlis ini dihadiri ramai tetamu antaranya rakan niaga, pelanggan korporat dan saudara-mara termasuk ibu dan adiknya, Serina.

Turut hadir, rakan artis seperti Amran Ismail, Ikhwan Hot FM, Amanda Misbun, Zoey, Shera Aiyob, Intan Nor Saina dan Mas Muharni.


Pasangan ini tidak menang tangan melayan tetamu yang mengajak mereka berbual.

Menghampiri tengah malam barulah tetamu mula beransur pulang.

Ana atau nama sebenar, Diyana Mastura Jaafar, 28, mengakui dia kini bertindak sebagai pengurus peribadi Chef Riz. Katanya, bukan berniat untuk sengaja campur tangan, sebaliknya langkah ini diambil kerana Riz begitu sibuk dengan karier sehingga tiada masa untuk melayan pihak yang ingin berurusan dengannya.

"Saya akan bantu dia setakat yang termampu. Riz sibuk tapi pada masa sama, dia kena jaga kariernya sebagai hos TV. Rasanya saya perlu ada di belakangnya bagi mengatasi masalah ini. Selain itu, saya juga tahu mengenai kontrak dan pengurusan jadual. Jadi sedikit sebanyak saya boleh buat yang terbaik untuk Riz.

"Pada saya, kerja ini tidak pula satu masalah besar buat kerjaya saya sebagai pelakon. Dulu ketika bekerja sebagai pramugari, saya juga bekerja sambilan sebagai 'baby sitter' untuk cari pendapatan lebih. Selepas itu, barulah saya membabitkan diri dalam lakonan.

"Sudah enam bulan saya uruskan Riz dan alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar," kata bintang Mantra ini membuka cerita.

Mengenai khabar angin mengatakan hubungan mereka sebelum ini dikatakan tidak direstui keluarga, Serina yang berada tidak jauh dari situ sempat berjenaka sambil mengatakan siapa kata hubungan mereka tidak direstui Chef Wan.

"Pandai-pandai saja buat cerita. Saya tahu semuanya dan nafikan perkara itu," katanya sebelum meminta diri untuk pulang bersama si comel, Tristan Tareef yang menginjak usia setahun pada 13 September ini.

Kata Ana, dia bersyukur kerana mengenali Riz serta keluarganya dan mengatakan semuanya berjalan lancar. Bahkan Riz juga sudah bertemu ibu bapa dan keluarganya ketika hari raya lalu, sekali gus membayangkan kesungguhan jejaka berusia 29 tahun ini untuk menyuntingnya sebagai isteri.

"Kalau ikutkan, kami semua termasuk ayah Riz sibuk tetapi kami sentiasa kemas kini perkembangan semasa menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Riz bertandang ke rumah keluarga saya di Taiping pada hari raya kedua dan keluarga saya sangat menyenanginya.

"Berkenaan gosip itu, saya sangat terkejut bagaimana cerita itu boleh timbul, sedangkan cerita sebenarnya lain," kata Ana.

Riz yang berada di sisi Ana sempat menyampuk apabila mengatakan kemungkinan berlakunya salah faham dari sudut penulisan sehingga bapanya terkejut dan menghantar SMS mengandungi kata-kata nasihat seolah-olah menampakkan tidak merestui hubungan mereka.

"Kami sebenarnya tidak baca artikel berkenaan dan ayah menasihatkan saya begitu. Dia mungkin terkejut apabila saya dikatakan melamar Ana sedangkan maksud saya sebenarnya lain. Sebelum ini ketika saya bawa Ana jumpa ayah ketika awal perkenalan, dia memang tiada masalah.

"Cuma dia nasihatkan saya kenal Ana dengan mendalam terlebih dulu sebelum buat apa-apa keputusan kerana kami baru kenal sebulan ketika itu. Dia suruh bersabar dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Jadi, mungkin setengah orang salah anggap kenyataan yang dikeluarkan itu," katanya.

Hujah Riz diperkuatkan lagi dengan kenyataan Ana yang sempat bertemu Chef Wan yang pulang ke Malaysia seminggu sebelum hari raya. Bahkan, dia turut menunjukkan mesej SMS perbualan antaranya dengan tokoh popular itu kepada media sebagai bukti keakraban mereka sebaik Chef Wan kembali ke New Zealand.

"Saya dah beberapa kali jumpa Chef Wan dan dia sangat baik. Saya memang menjaga hati Chef dan ibu Riz kerana orang kata kalau nak kahwin, kita kena kenal semua. Apabila bercakap mengenai ibu bapa Riz, saya memang takut kerana bimbang tidak disenangi mereka. Namun apabila bertemu dan kenal, saya dapati mereka sangat baik.

"Saya juga menafikan sukakan Riz kerana kedudukannya sebagai anak Chef Wan. Kalau diikutkan, orang tak kenal sangat dia berbanding ayahnya. Serina adalah penyebab kerana menemukan kami berdua untuk makan-makan.

"Mulanya saya memang tak sukakan dia. Ketika makan, saya tengok Riz sangat selamba dan dari situ, saya jatuh hati dengannya tanpa fikir siapa ayahnya.

"Dia memang anak Chef Wan tapi sebenarnya Chef Wan suruh dia berdikari tanpa mengharapkan bantuannya semata-mata. Saya pula nak Riz kenal keluarga sepenuhnya sebelum pilih saya. Itulah sebabnya saya bawa dia balik kampung untuk tengok keadaan sebenar keluarga kami. Apabila tengok sendiri, barulah buat keputusan untuk terima saya.

"Kalau saya nak cari suami kaya raya, masa bekerja sebagai pramugari dulu lagi saya dah boleh buat begitu kerana ramai yang cuba nak pikat. Saya hanya cari lelaki yang ikhlas sayangkan saya serta kerja yang berpada-pada kerana takkanlah saya nak makan pasir apabila pilih berkahwin dengannya. Itu sudah cukup buat saya," katanya yang kini berlakon drama 13 episod Metro Skuad terbitan Skop Production Sdn Bhd.

Sebagai anak kedua daripada enam beradik serta anak perempuan tunggal, Ana mengakui sangat rapat dengan ayahnya dan setiap perkara yang dibuat perlu mendapat persetujuan beliau. Akuinya, dia sentiasa berdebar-debar setiap kali membaca gosip mengenainya kerana bimbang keluarganya terluka.

"Saya boleh hadapi lagi semuanya, tapi takut keluarga terutama ayah akan terluka kerana dia tak sihat. Sejak dulu lagi, ayah sebenarnya tak suka lelaki datang ke rumah. Tapi apabila saya jelaskan hubungan dengan Riz adalah serius, baru dia okey. Saya juga nafi berselindung apa-apa dengan Riz kerana apa saja yang jadi, dia dan keluarganya tahu.

"Saya juga tak pernah rahsiakan apa-apa dengan Riz. Memandangkan umur saya sudah 28 tahun, ayah kata perkara yang baik eloklah dipercepatkan tapi kami perlu mendapatkan persetujuan daripada Chef Wan terlebih dulu. Untuk mendapatkan dia perlu makan masa kerana jadualnya sangat padat.

"Kalau ikutkan, saya tak kisah jika majlis perkahwinan diadakan secara sederhana tapi Chef Wan nak buat sesempurna mungkin untuk perkahwinan Riz. Apa yang boleh saya katakan, kami tak terburu-buru untuk ke arah ini tapi Insya-Allah tahun depan kami akan berkahwin dan akan mencuba seawal mungkin," ceritanya yang mengakui turut diduga dengan panggilan daripada wanita yang mengakui kekasih Riz.

PROFIL:

NAMA PENUH: Diyana Mastura Jaafar
PANGGILAN: Ana Dahlia
TARIKH LAHIR: 21 Jun 1983
USIA: 28 Tahun
KELUARGA: Anak kedua daripada enam beradik
BERAT: 47 Kilogram
TINGGI: 160 Sentimeter
ZODIAK: Gemini
ASAL: Taiping, Perak
PENDIDIKAN: SPM
PENCAPAIAN: Peserta program realiti, Pilih Kasih musim pertama (2009)
KERJAYA AWAL: Pramugari AirAsia (2005 hingga 2009)

DRAMA: Bonda, Delima, Loga Maya, Hati Lia, Salam Terakhir, Hadi, Orang Luar, Arjuna, 3 Serumah, Pulangnya Karina dan Metro Skuad

FILEM: Mantra

Tokoh muda negara

Posted: 13 Sep 2011 06:46 AM PDT

USIA mereka masih muda tetapi pelbagai pengiktirafan sudah diterima bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima, Aizat Amdan, 22, atau Aizat dan Syamsul Yusof, pengarah yang mencipta sejarah apabila filem arahannya, KL Gangster mencecah kutipan pecah panggung RM11 juta.

Terbaru, kedua-dua karyawan berbakat besar ini dipilih sebagai seorang tokoh muda negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54.

Kedua-duanya diberitahu mengenai pemilihan mereka menerusi surat yang dihantar Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Aizat dipilih berdasarkan kejayaan diraih dalam industri muzik tempatan sementara Syamsul, anak kepada pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam dipilih berdasarkan kejayaan diraih dalam bidang perfileman.


Kedua-dua anak muda ini bakal diarak pada Hari Kemerdekaan ke-54, Jumaat ini sempena Hari Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.


Sewaktu dihubungi, Aizat berkata, dia rasa terharu atas penghormatan yang diberikan negara terhadapnya kerana sekiranya hendak dinilai pembabitannya dalam industri muzik, ia masih baru.

"Saya difahamkan, selain saya, ada beberapa lagi penggiat seni golongan muda
turut dipilih untuk menyertai perarakan penuh bersejarah ini antaranya Syamsul Yusof yang mewakili industri perfileman. Ada lagi beberapa tokoh muda dipilih mewakili bidang atau industri tertentu," katanya lagi.

Kata Aizat, penghargaan yang diberikan negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 juga adalah kejayaan tertinggi yang pernah diraih sepanjang bergelar pencipta lagu atau penyanyi.

"Saya seperti tidak percaya apabila diberitahu dipilih untuk menyertai perarakan ini. Pada saya, ia memberikan banyak signifikan sama ada secara peribadi mahupun umum.

"Dalam hati tertanya-tanya juga, apakah benar saya dipilih. Bagaimanapun, saya percaya, sebelum keputusan dibuat, kerajaan mempunyai badan penilai bagi melihat adakah mereka yang mahu diangkat menjadi tokoh dalam bidang masing-masing ini layak atau tidak," katanya.

Pengiktirafan diberikan ini jelas Aizat lagi, akan dijadikan pembakar semangat untuk dia terus menghasilkan karya terbaik dan pada waktu sama penyumbang kepada ekonomi menerusi industri muzik tempatan.

"Selain itu, saya juga bercadang untuk menghasilkan lebih banyak karya yang melambangkan semangat patriotik agar ia akan terus membakar jiwa rakan muda sebaya saya," katanya yang turut terbabit dalam projek khas mendendangkan kembali lagu Warisan bersama beberapa lagi artis muda mewakili pelbagai kaum.

Bagi Syamsul pula sewaktu dihubungi menjelaskan, dia percaya pemilihannya dibuat berdasarkan apa yang dilakukan selama ini bagi meningkatkan lagi mutu industri perfileman, sekali gus mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi tempatan.

"Kalau hendak diikutkan, ramai lagi penggiat muda yang kalau kita lihat banyak sumbangannya dan jauh lebih berjaya, namun pemilihan saya ini mungkin dilihat dari sudut pengarahan saja. Dinilai dari sudut lain seperti lakonan, ada juga bintang muda lebih berbakat dan menonjol.

"Saya menganggap pemilihan saya sebagai wakil atau suara kepada penggiat filem muda tempatan sama ada yang aktif berkarya secara komersial mahupun bersendirian.

"Jelas pemilihan ini juga menunjukkan kerajaan sentiasa melihat perkembangan pengkarya muda dan pengiktirafan ini membawa maksud bahawa sekiranya apa yang diusahakan itu dilakukan bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan, pasti kerajaan akan menghargainya dan penghargaan itu diberikan dalam pelbagai bentuk," katanya.

Pada waktu sama, Syamsul meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan itu dan tidak menyangka apa yang dilakukan mendapat perhatian. Malah ia memberikan pengertian bahawa apa yang dilakukan penggiat muda ini sebenarnya turut diperhatikan sumbangan mereka.

Syamsul berkata, pengiktirafan diberikan itu turut menjadi inspirasi kepada dirinya untuk menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Panel KOAM perlu tegas

Posted: 13 Sep 2011 09:33 AM PDT

KETUA Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menyifatkan kes atlet olahraga melarikan diri daripada ujian dadah adalah satu kes yang mencurigakan dan tidak pernah berlaku kepada mana-mana atlet di dunia sebelum ini.

Justeru, barisan panel jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) bagi menyelesaikan kes itu harus bertindak berlandaskan kod kesalahan yang ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa Dunia (IAAF) dan Agensi Antidoping Dunia (Wada).


Katanya, keputusan perlu konsisten dengan kehendak kod Wada menerusi artikel 2.3 iaitu kerana percubaan mengelak daripada diuji.

"Perkara ini tidak pernah berlaku dan ini merisaukan ISN selaku badan yang membantu mencegah perkara itu terutama terhadap penyalahgunaan dadah.


"Apa yang berlaku ini memperlihatkan bahawa ia adalah perilaku yang mencurigakan dan pada masa sama, semua atlet terbabit perlu menjelaskan perkara sebenar termasuk jurulatih yang seharusnya bertindak memantau perkembangan atlet masing-masing.


"Jurulatih seharusnya memainkan peranan dalam hal seperti ini dan jangan bertindak seperti harapkan pagar, pagar makan padi," katanya. Ramlan yang ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Putra, Bukit Jalil berkata, seandainya keputusan panel KOAM tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh IAAF dan Wada, pengurusan antarabangsa itu berhak menjatuhkan hukuman lain sekali gus memansuhkan hukuman KOAM.

"Kini dua agensi dunia itu memantau kejadian itu. Semua keputusan perlu dimaklumkan kepada IAAF. Hukuman perlu dihukum semaksimum mungkin namun jika ada faktor lain seperti terdapat bukti atlet dipaksa atau secara suka rela, mereka seharusnya memaklumkan kepada barisan panel," katanya.


Ramlan yang turut berada dalam Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) menolak sebarang kemungkinan atlet olahraga yang terbabit dengan ujian dadah itu menggunakan sampel air kencing orang lain kerana ia tidak mungkin terjadi berdasarkan prosedur ketat Wada.

Tiga atlet olahraga mencetuskan kontroversi selepas enggan memberikan sampel air kencing apabila diminta berbuat demikian Mei lalu adalah Nurul Sarah Abd Kadir, Norjannah Hafiszah Jamaludin serta Nor Imran Hadi yang ketika itu berada di Bulgaria. Bagaimanapun keputusan ujian itu kemudian didapati negatif.

Kim Swee resah

Posted: 13 Sep 2011 09:29 AM PDT

ADA sebab kenapa perasaan jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee bercampur baur menyambut kehadiran tiga tonggak utama, Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail dan Mohd Fadhli Shas yang kembali menyertai skuad selepas dua minggu beraksi secara pinjaman dengan kelab Liga Satu Slovakia, Vion Zlate Moravce.

Kepulangan trio itu kelmarin kembali melengkapkan skuad Olimpik negara yang bakal mengharungi perlawanan persiapan terakhir menentang skuad Olimpik Oman esok di Stadium UiTM Shah Alam.


Namun apa yang menjejaskan perancangan Kim Swee apabila pemain sayap, Wan Zack Haikal dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha ketika menjalani latihan bersama kelab Vion.

"Sekembalinya tiga pemain ini dari Vion, saya akan mempunyai skuad lengkap untuk menghadapi Oman dan Jepun. Bagaimanapun Wan Zack mengalami kecederaan pangkal paha tapi saya akan pantau situasi dia selepas sesi latihan hari ini (semalam)," katanya.


Ketiadaan Wan Zack Haikal pastinya dirasai berdasarkan sumbangan besar yang dimainkan pemain lincah itu dalam pusingan kelayakan Olimpik dan juga siri perlawanan persahabatan di Slovakia sebelum ini.


Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu menyumbat satu gol untuk membantu skuad negara menewaskan Lubnan 2-1 pada pusingan kedua kelayakan Olimpik Jun lalu manakala prestasinya terus meningkat dengan menghasilkan tiga gol dalam tujuh perlawanan di Slovakia.

Sementara itu, Irfan yang dihubungi berkata, mereka tidak sabar untuk kembali bersama rakan sepasukan selepas terlepas aksi perlawanan persahabatan dengan kelab Iraq, Arbil SC minggu lalu yang berkesudahan seri 0-0.


Walaupun gagal mendapat tempat untuk beraksi dalam perlawanan liga bersama Vion, pemain tengah menyerang itu tetap berpuas hati dengan pendedahan yang diperoleh selama berada di sana.

"Bukan senang untuk pikat jurulatih (Vion), saya cuma dapat beraksi dalam perlawanan persahabatan saja tapi pengalaman berlatih bersama kelab itu amat berharga. Walaupun hanya berlatih tapi semua pemain bersemangat dan bersaing sesama sendiri untuk mendapat tempat dalam skuad," katanya.


Skuad Olimpik negara akan berlepas ke Jepun Jumaat ini bagi perlawanan pertama Kumpulan C Kelayakan Olimpik London di Stadium Tosu sebelum berdepan Syria 24 November dan Bahrain (27 November) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Hotel Lastel untuk si mati

Posted: 13 Sep 2011 08:34 AM PDT

YOKOHAMA: Ia adalah tempat di mana saudara-mara menempatkan anda apabila anda sudah tiada lagi di dunia ini.

Terletak di pinggir bandar Yokohama di Jepun, hotel berkenaan kelihatan seperti hotel penginapan kecil lain di bandar raya itu.


Namun demikian, ia bukan hotel biasa, tetapi hotel untuk orang yang sudah meninggal dunia.

Semua 18 tetamunya adalah mayat yang diletak dalam peti sejuk mayat dengan harga 12,000 yen (RM476) menunggu giliran di salah satu tempat pembakaran mayat di bandar raya itu.


Hisayoshi Teramura memperoleh pendapatan melalui kematian dan kini pasaran untuknya semakin melonjak di tengah-tengah kelembapan ekonomi Jepun.


Menurut rekod kerajaan, pada 2010, kira-kira 1.2 juta orang meninggal dunia, mencatat 0.95 peratus kadar kematian tahunan bagi negara itu berbanding kadar purata sedunia iaitu 0.84 peratus.

Kadar kematian tahunan dijangka meningkat kepada 1.66 juta pada 2040 berikutan sejumlah besar generasi dengan kadar kelahiran tinggi negara itu lupus.


Waktu itu, populasi Jepun mungkin menurun pada kira-kira 20 juta orang, kadar kematian yang tidak pernah berlaku dalam sesebuah negara sama ada akibat peperangan atau disebabkan oleh kebuluran.

Namun, walaupun dibelenggu masalah ekonomi di negara itu, rakyat Jepun masih berbelanja besar untuk upacara pengebumian.


Rakyat Jepun masih mebayar secara purata 1.2 juta yen (RM47,731) untuk bunga, bekas abu mayat, keranda dan perbelanjaan lain pengebumian - dua kali ganda yang dibelanjakan rakyat Amerika untuk pengebumian setahun.


Teramura yang mengasaskan syarikat perkuburan Nichiryoku, berkata: "Terdapat permintaan di pasaran."


Di Yokohama, purata tempoh menunggu untuk tempat membakar mayat lebih empat hari, menyumbang kepada permintaan yang tinggi bagi rumah mayat sementara seperti Lastel.


"Jikalau tidak, mereka perlu menyimpan mayat di rumah yang pastinya tidak cukup ruang," katanya. - DM

Kembar siam tertua di dunia rai hari jadi ke-50

Posted: 13 Sep 2011 08:29 AM PDT

LONDON: Kembar siam paling tua di dunia yang masih hidup melepasi ramalan doktor mencecah usia 50 tahun.

George dan Lori Schappell yang melekat di kepala meraikan hari jadi mereka Ahad ini. Pasangan itu bercadang meraikan hari jadi mereka dengan pergi ke London. Menakjubkan kerana kembar siam itu dapat menjalani kehidupan masing-masing secara berbeza. Lori ada menjalin hubungan dan George pula, memutuskan untuk hidup sebagai seorang lelaki. Lori juga juara boling 10 pin dan George adalah penyanyi country.


Lori berkata: "Ketika kami dilahirkan, doktor tidak fikir kami akan mencecah usia 30 tahun, tetapi kemi membuktikan yang mereka salah.

"Kami sudah belajar banyak perkara sejak 50 tahun lalu dan akan terus hidup dengan sepenuhnya." Lori yang berketinggian 5 kaki 1 inci dilahirkan bertubuh sempurna, sementara George, 4 kaki 4 inci mengalami penyakit spina bifida yang menyebabkan masalah pergerakan. George tidak boleh berjalan, dia duduk di kerusi roda yang ditolak Lori supaya mereka dapat bergerak. - TS

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Ustaz ghairah ‘kebun emas’

Posted: 13 Sep 2011 01:09 PM PDT

JOHOR BAHRU: Seorang isteri dan tiga anaknya kini terpaksa hidup bagai pelarian selepas diancam along berikutan tindakan suaminya meminjam wang sehingga RM20,000 untuk membeli 'kebun pokok emas' berkeluasan sembilan hektar yang kononnya terletak di alam ghaib.

Malah, suami wanita itu yang juga guru agama berzikir di tengah padang sekolahnya pada tengah malam kerana tindakan itu dikatakan membolehkannya mendapatkan kemewahan dengan lebih cepat.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lela, 42, berkata akibat tindakan suaminya yang dipanggil Ustaz Man, 45, dia terpaksa menggadai barangan berharga selain menjalani kehidupan umpama pelarian selepas diburu along sejak hampir sebulan lalu.

"Sebelum ini, sepanjang 15 tahun berumah tangga dia amat bertanggungjawab, malah menjadi rujukan beberapa individu untuk mendalami ilmu agama.


"Namun, sikapnya mula berubah sejak beberapa bulan lalu selepas menyertai satu kumpulan dipercayai menyebar ajaran sesat di Senai yang kononnya mampu menyedut kemewahan dari kebun emas yang wujud di alam ghaib," katanya ketika ditemui.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

20 disebat pengawas

Posted: 13 Sep 2011 01:08 PM PDT

BUTTERWORTH: Seramai 20 pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Utara (SPU) di sini, kesal dengan tindakan pengawas sekolah mereka yang mengambil alih kuasa guru disiplin dengan merotan mereka atas kesalahan merokok.

Berikutan tindakan itu, ada antara pelajar terbabit mendakwa terpaksa tidur meniarap kerana mengalami kesakitan di bahagian kaki dan belakang badan.


Pelajar terbabit berkata, mereka tidak mempertikaikan jika hukuman dilakukan guru disiplin secara tertutup dan bukannya oleh pengawas yang terikat dengan peraturan sekolah. Seorang daripada pelajar terbabit berkata kejadian itu bermula apabila gelagat mereka menghisap rokok di luar kawasan sekolah dikesan pengawas kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.

Berikutan itu, katanya, mereka dipanggil ke sebuah bilik oleh empat pengawas ketika berada di asrama sekolah kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.


"Kami diberitahu mengenai kesalahan merokok itu sebelum seorang daripada pengawas terbabit tiba-tiba merotan di kaki dan anggota badan kami.


"Ada rakan saya ditumbuk sebelum seorang pengawas mengarahkan beberapa pelajar memakan tembakau rokok.

"Kejadian berlaku lebih sejam sebelum kami diarah masuk ke bilik asrama masing-masing dan kejadian itu tidak diketahui guru disiplin sehinggalah pagi kelmarin," katanya. Pelajar berkenaan mendakwa dia disebat sekurang-kurangnya enam kali di kaki hingga terpaksa tidur meniarap kerana kesakitan.


"Memang kami melakukan kesalahan tetapi kesal kerana pengawas bertindak sendiri melebihi kuasa guru disiplin," katanya.

Seorang lagi pelajar berkata, ketika dipanggil masuk ke bilik berkenaan dia melihat beberapa pelajar sedang ditumbuk seorang daripada pengawas terbabit. "Saya dirotan kira-kira 10 kali di bahagian kaki dan badan hingga meninggalkan kesan," katanya.


Seorang waris pelajar yang enggan dikenali pula berkata laporan polis dibuat berhubung kejadian itu petang kelmarin, sebelum ditarik balik kerana tidak mahu kes itu berpanjangan.


Bagaimanapun, difahamkan polis meneruskan siasatan kes itu walaupun laporan sudah ditarik balik.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata beliau sudah mengarahkan pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah SPU menyediakan laporan berhubung kejadian itu.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved