Selasa, 14 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tunggang kuda riadah sihat

Posted: 14 May 2013 06:24 AM PDT

Kehidupan pagi wanita ini bermula dengan aktiviti berkuda di hadapan rumah berkeluasan tiga ekar. Setiap pagi dia menarik tali kuda dan berjalan mengelilingi tanah lapang berpagar sebagai cara memanaskan badan sebelum menunggang kuda diberi nama Queen sambil diperhatikan suaminya, Shaipudin Shah Harun yang bertindak sebagai tenaga pengajar.

Selepas satu jam melakukan aktiviti riadah, Riznida Eliza Hamzah kemudian menyambung tugas di dapur sambil menyediakan hidangan tengah hari. Dia tidak perlu beratur panjang atau bersesak di pasar untuk mendapatkan barang basah kerana semuanya tersedia di belakang rumah. Sebut saja apa yang ingin dimasak, daging ayam kampung, kambing, rusa atau ikan juga sayur-sayuran dan ulam-ulaman ada disediakan.

Lebih istimewa haiwan peliharaannya seperti ayam kampung, kambing, ikan keli dan tilapia diberi makanan tradisional iaitu palet organik dan diletakkan dalam kolam berisi air bukit.

"Ikan keli dan tilapia peliharaan kami lebih bersih dan tidak hanyir. Malah isinya lebih manis kerana diberi makan palet organik dan hidup dalam air bukit yang tidak bercampur klorin. Dulu kami pelihara untuk makan sendiri tetapi apabila ikan semakin bertambah, kami jual di pasar. Begitu juga dengan sayur seperti kunyit, serai, bayam, kangkung, kacang botol dan pegaga juga dihantar ke tempat yang sama," kata Riznida memulakan bicara.

Foto

GEMBIRA memberi makan rusa di belakang rumah.


Melihat bentuk badannya yang langsing serta memiliki wajah menawan, ibu kepada dua cahaya mata ini meng­akui menetap di kampung dengan hanya 30 minit jarak perjalanan dari Kuala Lumpur satu pilihan yang tepat. Sebelum ini dia bertugas sebagai peguam dan tinggal di Damansara hampir 15 tahun. Dalam tempoh itu, kehidupannya setiap hari banyak dihabiskan di jalan raya melalui kesesakan lalu lintas.


"Seperti wanita lain, saya keluar bekerja pada waktu pagi kala matahari belum muncul dan pulang ketika matahari sudah mula terbenam. Apabila pulang ke rumah saya perlu menyediakan makan malam, melayan anak-anak, menyemak kerja sekolah sehingga mereka tidur dan begitulah rutin harian setiap hari sehinggakan saya rasakan tiada masa untuk diri sendiri. Penat usah cerita kerana perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pekerja di pejabat," ujarnya jujur.

Cadangan suami supaya mereka berpindah ke kawasan pinggir bandar Hulu Langat kerana mahu menikmati kehidupan yang lebih damai dan menenangkan sememangnya satu keputusan yang sangat meng­gembirakan. Walaupun pada mulanya ada rasa gusar memikirkan penerimaan anak-anak yang mungkin sudah terbiasa dengan kehidupan di kota, dia yakin itu tidak menjadi masalah.

"Pada mulanya agak sukar juga meyakinkan anak-anak maklumlah mereka masih kecil. Pelbagai soalan diajukan kepada kami berdua. Lama kelamaan apabila sudah terbiasa dan suami pula melatih mereka melakukan kerja di kebun, sedikit demi sedikit mereka mulai ceria. Tambahan pula dengan laman yang luas, kolam mandi yang besar dan persekitaran yang bersih menyebabkan mereka mula menyukainya dan ingin terus menetap di sini," kata wanita yang murah senyuman ini.

Menurut Riznida, jika dulu kehidupannya agak sibuk tetapi sejak menetap di sini hampir separuh masa diluangkan bersama anak-anak. Seawal pagi dia sudah bangun mandi menggunakan air bukit yang sejuk tetapi menyegarkan kemudian menyediakan sarapan untuk dua anaknya sebelum menghantar mereka ke sekolah.

Kemudian dia membawa sayur-sayuran ke pasar untuk dijual dan menukarnya dengan barang keperluan rumah. Sekitar jam 9 hingga 10 pagi, dia bersama suami menunggang kuda di halaman rumah.

Mulanya mereka hanya membeli kuda padi untuk tunggangan sendiri. Lama kelamaan orang kampung meminta agar diadakan kelas menunggang kuda kerana Shaipudin mempunyai pengalaman dan mengetahui asas mengendalikan kuda.

"Sejak dibuka kepada orang ramai dua tahun lalu, sambutan diberikan amat menggalakkan. Ramai yang datang belajar secara peribadi dengan saya. Ibu bapa pula membawa anak-anak termasuk anak orang kelainan upaya (OKU) apabila mereka mengetahui menunggang kuda mampu memberi reaksi positif terutama bagi anak autisme," kata Shaipudin.

Menunggang kuda adalah riadah paling berkesan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Pergerakan kuda akan melancarkan peredaran darah ke seluruh tubuh dan memberi manfaat pada pinggang dan perut. Otot akan menjadi lebih kental juga mengurang­kan sakit otot, sendi dan lutut.

"Sebab itu bagi mereka yang baru kali pertama menunggang akan mendapati lutut dan tapak kaki menjadi panas disebabkan peredaran darah ke seluruh tubuh. Selain itu, kuda haiwan paling istimewa kerana mampu membaca perasaan manusia. Sebagai contoh kuda tahu sama ada penunggangnya sedang marah, seorang yang lembut atau bersikap berani. Jadi kuda akan menunjukkan emosinya menerusi cara bergerak," katanya.

Riznida yang baru saja mahir menunggang sekitar 2007 selepas diajar suami mengakui, kini dia tidak perlu ke gimnasium, berenang atau melakukan aktiviti senaman di padang kerana menunggang kuda bukan saja memberikan kepuasan malah baik untuk kesihatan. Selain membentuk tubuh menjadi lebih langsing dan cantik, aktiviti ini juga menjadikannya lebih sihat dan bertenaga.

"Saya dapati masalah sakit badan dan letih semakin berkurangan. Malah selepas menunggang saya masih bertenaga melakukan kerja di kebun, melihat ayam, ikan dan kambing di belakang rumah serta menguruskan kerja rumah," katanya.

Shaipudin yang pernah terbabit dalam bidang perbankan selama 25 tahun dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) menjelaskan, selepas meletak jawatan dengan SPNB pada 2008, dia kini menemui cinta baru dengan menjadi seorang petani, tukang kayu, tukang paip dan ahli veterinar separuh masa di Uluhati.

Tanah ladang ini dibeli 10 tahun lalu dengan dikelilingi kebun buah-­buahan saja. Dua tahun lalu ia ­dibangunkan sebagai tempat rekreasi dan penginapan selepas Shaipudin dan keluarga terlebih dulu menetap di sini untuk menikmati kehidupan berbeza.

Menyedari mempu­nyai tanah yang luas dengan pelbagai tanaman pokok buah-buahan seperti durian, mempelam, rambutan, langsat, manggis, cempedak dan nangka yang berbuah mengikut musim iaitu sekitar Jun, buah-buahan ini turut menjadi hasil pendapatan mereka sekeluarga disebabkan terlalu ­banyak dan tidak habis dimakan.

Begitu juga dengan haiwan ternakan yang pada mulanya ­hanya dipelihara untuk ­dimakan sendiri saja. Namun lama kelamaan selepas menyedari sukar mendapatkan ayam kampung di bandar, Shaipudin menjualnya di pasar.

"Dengan tanah yang luas, pelbagai aktiviti boleh dilakukan. Bukan setakat menternak ayam atau memelihara kambing tetapi juga boleh bercucuk tanam seperti kata pepatah, berbudi pada tanah banyaklah hasilnya. Ladang ini juga diuruskan sepenuhnya oleh saya dan isteri serta anak-anak tanpa menggunakan tenaga kerja luar," katanya yang turut membina chalet di bahagian tepi rumah.

Pembinaannya mengambil inspirasi rekaan rumah panjang Borneo dan dibangunkan menggunakan hasil hutan sepenuhnya. Bumbung beratapkan nipah manakala dinding dan lantai diperbuat daripada buluh.

"Walaupun ia dibina ­dalam ladang yang menempatkan banyak haiwan ternakan, chalet ini diselenggara dengan baik bagi memastikan ia sentiasa bersih dan tidak berbau. Ia mempunyai enam bilik dengan setiap bilik mampu ­menampung maksimum seramai empat tetamu," ujarnya.

Jelas Shaipudin, antara aktiviti yang boleh diadakan di Uluhati adalah parti buah-buahan tempatan (semasa musim buah), hari keluarga organisasi korporat, majlis hari lahir, kem berkuda dan barbeku. Tanah ladang yang luas itu juga amat sesuai untuk aktiviti perkhemahan yang selamat dan selesa.

Menariknya untuk setiap aktiviti, Riznida akan menyediakan hidangan ber­asaskan makanan Negeri Sembilan yang menjadi kepakarannya menggunakan sumber ternakan serta sayur-sayuran sendiri.

Antara yang popular dan menjadi kegemaran ramai adalah masak lemak cili api, sambal belacan tempoyak, ikan tilapia goreng dan rendang rusa.

"Dengan binaan ruang seperti kedai kopi, diperbuat daripada sumber alam seperti atap dan dinding daripada buluh, menikmati makan tengah hari berlaukkan ikan keli yang menjadi bahan utama serta hidangan lengkap ulam-ulaman, ikan goreng, sambal belacan dan tempoyak sebagai pelengkap menjadikan sesiapa saja seperti berada di kampung sendiri. Lebih mendamaikan sambil menjamah hidangan, ­telinga disajikan dengan kokokan ayam serta kambing berkeliaran meragut rumput," ­katanya.

Bagi Riznida, dengan ­keadaan yang selesa dan mendamaikan, dia tidak pernah terfikir untuk kembali menetap di kota. Malah pada setiap hujung minggu, tidak menjadi masalah sekiranya hanya duduk di rumah melayan anak-anak sambil melakukan aktiviti harian bersama haiwan ternakan. Apabila malam menjelma, dia lebih suka berborak bersama suami di luar rumah, membaca buku atau mengaji al-Quran.

Bagi pembaca yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Uluhati dan perkhidmatan disediakan, boleh melayari laman sesawang http://diuluhati.blogspot.com atau e-mel diuluhati@gmail.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Bunga tangan serlah penampilan

Posted: 14 May 2013 05:41 AM PDT

Walaupun ada yang meng­anggapnya remeh, bunga tangan perlu ada dalam majlis perkahwinan bagi menyerlahkan penampilan anggun mempelai pada hari bahagia. Sama ada memin­ta perunding majlis perkahwinan menyediakannya atau menggubah sendiri, bunga tangan harus serasi mengikut tema majlis pernikahan atau persandingan.

Ketika ini, bunga pegang tidak hanya menjurus kepada penggunaan bunga segar atau bunga plastik, sebalik­nya menggunakan cantuman kerongsang bersama reben menjadikannya satu gubahan yang menarik dipandang.

Menurut perunding perkahwinan, Shajaratul Ismail, sesuai dengan peredaran semasa, bunga tangan tidak hanya dipilih berdasarkan konsep majlis tetapi juga bergantung kepada bentuk tubuh mempelai. Dalam hal ini, ukuran tubuh pengantin sama ada kecil, sederhana atau besar akan mempengaruhi ukuran bunga tangan.

"Pengantin bertubuh genit sebaiknya memilih bu­nga tangan kecil sama ada menggunakan bunga segar atau kerongsang manakala si gadis tinggi lampai boleh memilih bunga tangan jenis memanjang dengan sedikit juntaian pada hujungnya bagi memberikan kesan lebih menyerlah," jelasnya.


Shajaratul yang kreatif menghasilkan pelbagai jenis bunga tangan berkata, bagi mempelai yang inginkan gaya mewah, penghasilan bunga tangan menggunakan pelbagai jenis kerongsang, reben dan kristal akan memberikan kesan segar dan menawan kepada mempelai. Ia juga sesuai dijadikan bahan untuk sesi bergambar kerana nampak lebih cantik.


"Bagi mereka yang inginkan kelainan saya memberikan idea supaya memilih bunga tangan daripada manik, kristal dan kerongsang kerana selain nampak mewah, ia memberikan keanggunan tersendiri terutama apabila bersanding di atas pelamin berikutan cahaya lampu akan memberikan pantulan kepada bunga yang dipegang," jelasnya.

Apa yang penting bu­nga tangan juga harus sesuai dengan rona kulit dan busana raja sehari. Mempelai berkulit cerah tidak digalakkan memilih bu­nga rona putih sebaliknya menggantikannya dengan rona krim, merah atau merah jambu. Begitu juga dengan warna baju serta perhiasan dipakai.

"Untuk gaya bu­nga tangan daripada kerongsang dan kristal, ia sesuai digayakan untuk majlis perkahwinan dalam taman kerana kebiasaannya pengantin tampil ringkas bersama padanan busana. Sudah pasti bu­nga tangan akan menyerlahkan lagi penampilan mereka," ujarnya.

Bagi mereka yang ingin menghasilkan sendiri bunga pegang, Shajaratul menunjukkan teknik ring­kas menggunakan kerongsang dan reben daripada aksesori rambut.

Terima kasih: http://www.shajaratul.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Kilang papan musnah terbakar

Posted: 13 May 2013 10:15 AM PDT

Kajang: Sebuah kilang papan berkeluasan 30 meter persegi di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, dekat sini, musnah dalam kebakaran malam semalam.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran terbabit kira-kira jam 7.16 malam.


Menurutnya, empat jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Bangi dan Hang Tuah bergegas ke tempat kejadian dan tiba beberapa minit kemudian.

"Keadaan kilang terbabit yang dipenuhi papan menyebabkan api merebak dengan cepat, namun kita berjaya mengawal sepenuhnya pada jam 9.17 malam.


"Dalam kejadian kebakaran itu tiada mangsa yang terkorban dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.


Mohd Sani berkata, jumlah kerugian juga belum diketahui, namun kilang terbabit musnah teruk dalam kejadian itu.

Foto

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan kilang papan.

"Seramai 29 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi memadam kebakaran yang merebak dengan cepat itu.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran terjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Saya tumpang gembira'

Posted: 13 May 2013 10:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Hendrawan (gambar) tumpang gembira dengan kejayaan Misbun Ramdan Misbun yang merangkul kejuaraan kedua di Terbuka Slovenia kelmarin, namun menafikan dakwaan beliau gagal menjadikan anak legenda badminton negara, Misbun Sidek sebagai juara ketika bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Prestasi Ramdan sememangnya meningkat ketika berada di BAM lagi dan tahun lalu, kami juga mengatur untuk pemain saya beraksi di tiga kejohanan Eropah, tapi hanya sempat beraksi di dua kejohanan kerana terpaksa pulang untuk menyertai Piala Axiata. Malah Ramdan ketika itu mara ke final Terbuka Belanda," kata jurulatih pemain perseorangan negara itu.


Begitupun jurulatih berasal dari Indonesia itu berkata: "Lebih penting ketika ini Ramdan terus mengekal dan meningkatkan prestasinya selepas keluar dari BAM kerana dia seorang pemain berkualiti." Begitupun ketika ditanya adakah tindakan Ramdan keluar dari BAM itu satu langkah tepat, beliau berkata: "Itu saya tidak pasti".

Hendrawan juga enggan meramal, berapa lama masa diperlukan Ramdan untuk tampil sebagai pemain kelas dunia kerana beliau tidak tahu perancangan dan program Nusa Mahsuri serta jurulatihnya, Misbun Sidek.


Begitupun Hendrawan menganggap prestasi Ramdan ini sebagai satu cabaran kepada pemain bimbingannya, bukan satu tamparan menyakitkan.


"Sekarang Ramdan menunjukkan prestasi yang amat baik, pemain saya tidak boleh lagi selesa. Bagi saya siapapun pemain terbaik di negara ini layak mendapat peluang mewakili negara, malah saya tidak pernah ada masalah dengannya.

"Malah ketika berada di luar negara, pemain saya juga berlatih bersama-sama dengan Ramdan, begitu juga dengan Zulfadli Zulkifli." Ketika ditanya apakah Ramdan patut berada dalam senarai skuad Piala Thomas negara, di New Delhi, India tahun depan, beliau berkata: "Terpulang kepada polisi BAM. Secara peribadi saya mahu pemain terbaik mewakili negara dan untuk merebut tempat dalam pasukan itu, saya rasa apa yang ditunjukkan Ramdan ini memberi cabaran yang baik kepada Iskandar Zulkarnain dan Goh Soon Huat."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Nadzmi enggan buat andaian

Posted: 13 May 2013 09:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh enggan membuat andaian, kemungkinan tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), memberi tiket wild kad kepada Lin Dan untuk beraksi di Kejohanan Dunia, sebagai konspirasi 'balas dendam' terhadapnya yang menarik diri daripada menjadi calon Presiden BWF dan berpaling menyokong calon Asia, Justian Suhandinata dari Indonesia.

Ketika diajukan soalan terbabit, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu ringkas berkata: "Itu saya tidak tahu." Pemangku Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC) itu lebih gemar meletakkan tindakan BWF dari sudut positif, iaitu Lin Dan sebagai bahan tarikan kejohanan.


"Kejohanan Dunia BWF satu pertandingan berprestij, jadi ia memerlukan pemain ternama untuk bersaing," katanya mengenai penyertaan Lin Dan dalam kejohanan itu, sekali gus menyaksikan China mempunyai empat wakil yang meningkatkan lagi peratusan peluang mereka memenangi kejuaraan, seandainya bukan Lin Dan yang akan mempertahankannya.

Namun definisi 'ternama' tidak semestinya terletak kepada nama yang popular, sebaliknya atlet yang berada di ranking tertinggi. Mungkin dari sudut ini, BWF tersilap pengiraan.


"Saya berpendapat, mungkin juga BWF ingin Lin Dan beraksi atas nilai komersil, dia bukan hanya mampu menarik peminat tapi juga penajaan. BWF juga perlukan wang bagi setiap penganjuran," kata Nadzmi.


Isu tiket tiket wild kad dan kaitan dengan Nadzmi cuma satu daripada teori dalam mencari punca yang menjadi penyebab BWF berbuat demikian dan jika China memberikan satu slot daripada tiga yang mereka peroleh kepada Lin Dan dengan mengorbankan dua pemainnya yang layak secara merit, mungkin tindakan itu dilihat lebih adil.

Namun kebanyakan media antarabangsa mempertahankan betapa pentingnya kehadiran Lin Dan kerana menganggap pemain itu sebagai pemain badminton terbaik sepanjang zaman.


Tapi adakah BWF akan menawarkan tiket wild kepada Datuk Lee Chong Wei, sekiranya dia yang sering dilanda kecederaan tidak layak secara merit kerana Chong Wei juga mempunyai sejarah besar apabila menakluk takhta nombor satu dunia untuk jangka masa yang lama biarpun belum ada koleksi kejuaraan tersohor dunia seperti Kejohanan Dunia dan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Francais 'Fast & The Furious' Ubah Konsep

Posted: 13 May 2013 07:11 AM PDT

Seawal Februari 2010, pelakon dan juga penerbit Vin Diesel telah mengumumkan bahawa perancangan untuk filem keenam dalam francais 'Fast and the Furious' telah dimulakan. Tetapi penggambaran hanya bermula pada July 2012 di London, England.

Selepas lima sekuel, 'Fast & Furious 6' adalah filem pertama daripada siri yang sudah berlanjutan selama 12 tahun itu untuk beralih dari tema perlumbaan kereta underground yang dilihat telah mengehadkan jumlah penonton. Dengan 'Fast Five' sebagai filem peralihan, ia diolah konsepnya menjadi sebuah 'heist film' dengan aksi kejar-mengejar kereta seperti filem-filem 'The Italian Job' (1969) dan 'The French Connection' (1971).

Pertaruhan itu membuahkan hasil yang lumayan apabila 'Fast Five' mendapat sambutan yang memberangsangkan baik dari pengkritik mahupun penonton, sekaligus melihatnya mencatat kutipan panggung sebanyak USD626 juta!

Pada awalnya, terdapat laporan mengatakan pihak produksi akan menjalani penggambaran untuk filem keenam dan ketujuh 'Fast & The Furious' pada masa yang sama. Idea di sebaliknya ialah untuk satu cerita di lanjutkan kepada dua filem. Malah Diesel mengesahkan perkara ini pada Disember 2011.


"Kita mesti mengakhiri cerita ini dengan baik. Kita mesti menyelesaikan setiap perhubungan di antara watak-watak ini. Tetapi bila kita mula menulis, ia menjangkau 110 muka surat. Pihak studio pula berkata, 'Kamu tidak boleh memuatkan semua itu di dalam satu filem!'."


Bagaimanapun, disebabkan masalah cuaca di lokasi-lokasi penggambaraan, produksi untuk filem ketujuh hanya akan bermula selepas berakhirnya 'Fast & Furious 6'. Tetapi bukan lagi di bawah arahan Justin Lin yang mula terlibat dalam francais ini sejak 'The Fast and the Furious: Tokyo Drift' (2006). Tugas tersebut diserahkan kepada James Wan, anak kelahiran Kuching, Sarawak yang terkenal dengan filem seram 'Saw'.

Kisah 'Fast & Furious 6' bermula selepas peristiwa 'Fast Five'. Penjenayah profesional Dominic Toretto dan krewnya kini kaya-raya tetapi rekod jenayah mereka menjadi penghalang untuk pulang ke negara kelahiran sendiri.

Sehinggalah ditawarkan peluang oleh agen US Diplomatic Security Service Luke Hobbs yang berjanji akan membersihkan rekod mereka sebagai balasan untuk menumpaskan sebuah kumpulan pemandu upahan yang diketuai Owen Shaw. Shaw merupakan seorang bekas pegawai 'special forces' British. Orang kanannya adalah Letty Ortiz, kekasih Dominic yang diingatkan telah meninggal dunia.

'Fast & Furious 6' dibintangi oleh Vin Diesel, Paul Walker, Dwayne Johnson, Jordana Brewster, Tyrese Gibson, Michelle Rodriguez, Sung Kang, Chris Bridges, Luke Evans, Gina Carano dan John Ortiz. Ia bakal menemui penonton bermula 24 Mei ini.

Fast and Furious 6 menemui peminat di pawagam mulai 23 Mei 2013

VIDEO:

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13

G-Dragon sanggup 'tahan' sakit

Posted: 13 May 2013 07:01 AM PDT

Oleh Georgie Joseph (Yang membuat liputan konsert G-Dragon World Tour: One of A Kind di Taipei Arena, Taipei, Taiwan, baru -baru ini)

Tampil secara berkumpulan sebelum ini, berdiri solo di atas pentas beraksi untuk konsert besar tentu tidak mudah ke­rana dialah yang perlu me­nguasai keseluruhan acara tanpa bergantung pada orang lain.

Apapun, situasi 'baru' itu nampaknya menjadi mudah apabila meletakkan seorang penghibur yang memang layak seperti G-Dragon, ke­adaannya tiada beza dengan atmosfera luar biasa apabila bersama BigBang.

Berpeluang melihat sendiri konsert, pemilik nama sebenar Kwon Ji-yong itu di Taipei Arena, Taiwan, baru-baru ini, pertama kali membuat penampilan siri jelajah secara solo, dia memang benar-benar sudah bersedia.

Meskipun bertongkat di pentas berikutan mengalami kecederaan kaki pada konsert sebelum itu di Beijing, China, alat itu sekadar umpama 'prop' semata-mata kerana persembahannya tidak terjejas langsung.

Foto

AKSI seorang superstar, G-Dragon berinteraksi dengan penonton.


Bagaimanapun, di sebalik penampilan gah pada konsert berjudul G-Dragon World Tour: One Of A Kind, rupa-rupanya penyanyi berkenaan agak terkesan juga apabila ketiadaan anggota lain berkongsi pentas dengannya.


"Sendirian di atas pentas sebenarnya membuatkan saya berasa sunyi. Lebih-lebih lagi sewaktu saya me­ngalami kecederaan di Beijing tempoh hari, saya berharap mereka ada di sisi pada ketika itu membantu saya.

"Beraksi solo demi memenuhi slot konsert selama lebih dua jam juga tidak dinafikan benar-benar memenatkan. Lain hal lagi apabila saya kena tukar kostum, memang agak kelam-kabut dan tidak sempat.

"Bagaimanapun, saya semakin terbiasa dengan rutin itu selepas melakukan beberapa konsert dan paling me­nyentuh hati sebenarnya adalah sokongan peminat yang sekali gus menghilangkan semua 'kesakitan' itu," katanya ditemui pada sidang media pada sebelah petang sebelum konsert malam itu.

Berbaris seawal jam 12 tengah hari demi menunjukkan kesetiaan kepada idola mereka, peminat G-Dragon di Taiwan sememangnya boleh dikategorikan 'gila'.

Mereka sanggup berbuat apa saja dan bukan halangan untuk berpanas semata-mata membeli tiket serta barangan eksklusif penyanyi berkenaan.

Kuasa serta aura ketua kumpulan BigBang itu memang sukar untuk disangkal lantaran setakat beberapa kota yang dilawatinya untuk konsert terbabit, tiket terjual begitu pantas. Demikian juga di Taiwan, meskipun diadakan pada hari bekerja iaitu pada 9 Mei (Khamis) dan 10 Mei (Jumaat), sambutannya tetap luar biasa.

Memiliki kelompok peminat yang kebanyakannya daripada golongan muda-mudi, bagaimanapun ternyata tidak di Taiwan apabila golongan berusia turut serta memeriahkan stadium berkenaan.

Menyaksikan sendiri 'kegilaan' lebih 12,000 penonton yang hadir pada malam pertama saja bagaikan satu kerugian sekira­nya mereka terlepas menonton konsert selama kira-kira dua jam 15 minit itu.

Apalagi yang boleh dikritik mengenai G-Dragon jika berkisar persembahan di atas pentas? Abaikan wajah tampan yang mampu mencairkan peminat wanita­nya apabila dia menakluk pentas, memang punya magis tersendiri.

Tidak dinafikan, lagu­nya mungkin menjadi antara sebab utama dia dipuja di samping kemampuan hebatnya dalam pembikinan lagu, menari serta seorang 'fashionista', tapi dia juga unggul berdiri solo di atas pentas tanpa anggota lain BigBang.

Dengan kebolehan fasih berbahasa Inggeris juga, dia mengikat momentum konsert yang ke-11 untuk siri jelajah berkenaan tanpa penonton sedikit pun berasa bosan.

Taeyang 'tolong' G-Dragon

Bagaimanapun, apa yang jelas, di sebalik kecederaan kakinya, baru-baru ini, G-Dragon tidak sedikit pun goyah untuk memberikan persembahan paling mantap. Sesekali dia 'lenyap' sebentar daripada pandangan penonton, mulalah, kedengaran sorakan bergema menandakan penonton tidak sabar melihat persembahan seterusnya.

Menggunakan khidmat dua pengarah konsert tersohor yang pernah membuat koreografi untuk konsert This Is It (Michael Jackson) iaitu Travis Payne dan Stacey Walker, segala perkara di pentas menjadi sempurna buat penyanyi berkenaan.

Daripada lagu, kostum, 'props', penataan cahaya dan bunyi, kugiran dan penari, semuanya jadi lengkap serta bersatu dengan aura G-Dragon sehingga ke penamat konsert.

Membuka tirai dengan muncul di tengah sebuah replika kereta kaca, kelincahannya menari, menyanyi sambil menaiki skuter dan memanjat pentas bertingkat menyemarakkan lagi sorakan peminat buatnya.

Turut membuat kemunculan, rakan BigBang, Taeyang juga sempat 'mencuri' seketika pentas dan tampil bertenaga mendendang­kan beberapa lagu hit termasuklah Where You At dan Break Down.

Menyanyikan lagu popular dan berbisanya termasuklah One of a Kind, That XX, Crayon, Michigo, Heartbreaker, Light It Up dan Baby Honey, G-Dragon juga tidak ketinggalan membuat 'encore' lagu Fantastic Baby serta lagu 'cover version' lagu This Love dan Don't Stop Believing.

Sementara itu, bakal beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Jun nanti, sewaktu pelancaran pembelian tiket konsert berkenaan di Fahrenheit88, Bukit Bintang, Sabtu lalu, ternyata mendapat sambutan hebat.

Rekod itu sekali gus mengulangi kejayaan penjualan tiket konsert BigBang tahun lalu di mana seawal Rabu lagi sudah ada peminat berbaris di kaunter berkenaan.

Tiket VIP berharga RM588 sudah habis terjual manakala tiga kategori lain berharga RM488, RM388 dan RM188 masih boleh dibeli secara 'online' menerusi www.airasiaredtix.com dan www.ticketcharge.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tempah maut

Posted: 13 May 2013 10:38 AM PDT

Rembau: Tindakan berani mati seorang pekerja kilang memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan, malam kelmarin, bukan saja meragut nyawanya, malah nyaris membawa musibah kepada pengguna lain apabila keretanya merempuh tiga kenderaan.

Dalam kejadian jam 9.27 malam di Kilometer 228 itu, mangsa, Lee Yoke Seng, 44, yang memandu Proton Saga FLX dalam perjalanan dari rumahnya di Puchong Utama, Selangor menuju ke Melaka maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Tiga pemandu kereta lain, bagaimanapun terselamat dan mengalami kecederaan ringan serta dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan teruk lebih dua kilometer.

Foto

KENDERAAN dipandu Lee remuk pada bahagian hadapan selepas kemalangan di Kilometer 228 Lebuhraya Utara-Selatan.


Isteri Lee, Tan Sau Lan, 47, berkata, suaminya bekerja di sebuah kilang di Melaka sejak setahun lalu dan setiap minggu akan pulang ke rumah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

'Maafkanlah Sakinah'

Posted: 13 May 2013 10:38 AM PDT

Kuala Lumpur: "Tolong maafkan dia (Sakinah) kerana dia masih muda.

"Niat Sakinah hanya bergurau, bukan meraih publisiti murahan atau berkongsi mengenai pakaian dalam," kata Sharifah Shahira, kakak kepada pelakon, Sharifah Sakinah, 24, yang memohon maaf atas tindakan adiknya memuat naik video di laman sosial Keek minggu lalu apabila meluahkan cerita mengenai warna pakaian dalamnya.

Tindakan memalukan itu mencetuskan kontroversi panas apabila Sharifah Sakinah dikecam pengguna di laman sosial itu dan YouTube sejurus kebanyakan mereka menyifatkan tindakan berkongsi pakaian dalam sebagai keterlaluan dan amat memalukan.

Sharifah Shahira dihubungi semalam memohon maaf berhubung kejadian itu dan menegaskan adiknya sekadar bergurau.

Foto

SHARIFAH Sakinah


"Saya cukup mengenali Sakinah. Dia hanya bergurau dan hanya 'test market' yang akhirnya memakan diri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Tunduk! pesawat nak mendarat

Posted: 13 May 2013 09:23 AM PDT

Philipsburg (St Maarten): Berjemur di bawah cahaya matahari bukan satu-satunya alasan pelancong bertumpu ke Pantai Maho di St Maarten - sebuah wilayah autonomi di bawah kerajaan Belanda.

Bagi kebanyakan orang, Pantai Maho adalah tempat cukup unik untuk melihat kapal terbang dari jarak dekat tanpa perlu membahayakan diri. Seperti yang dapat disaksikan pada gambar ini, Pantai Maho terletak di hujung landasan kecil Lapangan Terbang Antarabangsa Puteri Juliana.


Ketenangan yang sepatutnya dialami di kawasan pantai sering terganggu oleh deruan enjin pesawat Boeing 747 yang membawa ramai pelancong dari seluruh dunia ke pulau seluas 34 kilometer persegi itu.

Pada masa tertentu, sesetengah pengunjung dapat dilihat cuba menyentuh badan kapal terbang bersedia untuk mendarat di permulaan landasan berhampiran, manakala sebahagian yang lain jelas tidak terganggu dengan bunyi bingit pesawat berkenaan. Walaupun gambaran yang dipaparkan seolah-olah bencana boleh berlaku pada bila-bila masa, rekod keselamatan pihak berkuasa menunjukkan sebaliknya. Untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini, pentadbir St Maarten meletakkan papan tanda di kawasan itu untuk mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati.


Menurut papan tanda itu, sesiapa yang berani berdiri di hujung landasan lapangan terbang mungkin boleh terhumban jatuh akibat ledakan enjin pesawat.


Selain boleh menyebabkan kecederaan, ia juga mungkin boleh meragut nyawa. Seorang jurugambar Amerika Syarikat, Paul Souders, dapat merakamkan beberapa imej pengunjung pantai yang menikmati keunikan St Maarten itu.

Foto

PELANCONG mengambil gambar ketika kapal terbang penumpang bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Puteri Juliana.

Foto

PAPAN amaran mengingatkan bahaya yang mungkin dialami pelancong akibat ledakan enjin pesawat.

Menurut Souders, Pantai Maho memang unik berbanding kawasan percutian lain. - Mirror

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Kapal terbang tanpa pilot buat penerbangan sulung

Posted: 13 May 2013 09:15 AM PDT

London: Sebuah pesawat udara tanpa juruterbang melakukan penerbangan sulung di ruang udara Britain semalam, sekali gus membuka jalan kepada permulaan operasi kapal terbang penumpang tanpa juruterbang.

Kapal terbang eksekutif BAE Jetstream itu terbang sejauh kira-kira 483 kilometer dari Warton, Lancashire ke Inverness di Scotland.


Pesawat itu dikendalikan sepenuhnya melalui komputer oleh seorang juruterbang di darat.

Jurucakap BAE berkata, ada dua juruterbang menaiki pesawat berkenaan untuk mengendalikan pesawat itu ketika berlepas dan mendarat.


"Bagaimanapun, selain daripada berlepas dan mendarat, pesawat berkenaan - yang terbang pada ketinggian 20,000 kaki - dikendalikan pakar di Warton serta dipantau pengawal trafik udara," katanya. Pengarah BAR, Lambert Dopping-Hepenstal berkata, projek bernilai £62 juta (RM 285 juta) itu adalah detik baru dalam sejarah penerbangan.


"Pesawat tanpa juruterbang bakal menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tidak lama lagi," katanya. Lebih banyak penerbangan percubaan dijangka dilakukan dalam tempoh lima tahun akan datang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved