Isnin, 25 Februari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


'Ubah dunia ikut cara sendiri'

Posted:

Siapa yang tidak suka melihat wanita cantik. Apatah lagi sekiranya kecantikan itu datang bersama pakej kesempurnaan, bukan saja dari segi gaya dan personaliti malah bijak memberikan pendapat.

Hakikatnya golongan wanita kini bukan saja berperanan sebagai pengurus keluarga malah menjadi inspirasi kepada masyarakat menerusi kejayaan di dalam pelbagai bidang. Mereka mampu memainkan peranan sebagai isteri dan ibu, di samping menzahirkan keupayaan menerusi kebijaksanaan menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.

Mungkin antara kita kurang mengenali nama seperti Andrea Fonseka, Gloria Ng, Vivy Yusof, Asha Gill dan Yasmin Rasyid. Namun kelima-lima wanita anggun dan berjaya ini diiktiraf atas sumbangan mereka kepada masyarakat. Justeru, sebagai meraikan dan memberi penghormatan kepada wanita atas pencapaian hebat dan sumbangan yang penuh inspirasi, stesen televisyen, NTV7 mencipta kelainan apabila memperkenalkan rancangan anugerah wanita pertama di Malaysia, Bella Awards 2013 yang julung kali diadakan.

Ilham menerbitkan rancangan ini hadir daripada rancangan temu bual wanita, Bella iaitu program yang memberi inspirasi kepada wanita menerusi topik bermaklumat yang padat dengan pengisian khusus untuk golongan hawa.

Foto

GLORIA mahu masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Foto

ANDREA dicalonkan untuk anugerah Gaya Bella.

Foto

VIVY membuka butik alam maya.

Foto

ANAK inspirasi Asha Gill.

Foto

YASMIN komited dalam pemuliharaan alam sekitar.


Dicalonkan dalam kategori Anugerah Gaya Bella, pemegang mahkota Ratu Universe Malaysia 2004, Andrea Fonseka cukup teruja apabila dipilih bersama empat peserta lain. Baginya, anugerah ini mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk serius dalam bidang masing-masing sekali gus menyumbang kepada masyarakat.


Dia yang juga Pengarah Nasional Miss Universe Malaysia menjelaskan, pencapaian membanggakan dalam bidang peragaan apabila melakukan transformasi pertandingan ratu cantik sebagai program realiti televisyen dan juga menyediakan biasiswa penuh untuk empat peserta akhir yang berpeluang melanjutkan pengajian di universiti swasta.

Malah duta pusat kecergasan True Fitness ini berkempen bersama bintang Hollywood, Roland Kickinger (daripada Terminator Salvation), untuk menggalakkan kecergasan, yoga dan tarian kepada masyarakat terutama wanita.

"Apa yang saya lakukan bukanlah sekadar untuk menyumbang kepada masyarakat sebaliknya setiap anugerah diterima satu penghargaan dan seharusnya saya perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Saya percaya berbuat baik secara berterusan akan membawa kesan positif kepada masyarakat," ujarnya.

Wanita jelita yang pernah membintangi filem berjudul Carrotcake Conversations yang ditayangkan di Festival Filem Cannes ini mengakui dia sentiasa berpegang kepada prinsip sentiasa melakukan yang terbaik dalam hidup serta tampil positif dalam apa juga dilakukan.

"Walaupun mungkin hanya dapat dilakukan dalam masa singkat, jika saya mampu berbuat demikian secara positif saya boleh mengubah dunia mengikut cara saya sendiri," katanya yang juga dianugerahkan Wajah Malaysia sempena Minggu Fesyen Antarabangsa.

Dia bukan bergelar doktor, pakar pemakanan atau jurulatih malah tidak boleh melakukan solekan atau dandanan rambut namun harapan pemilik dan Pengarah Syarikat Dirigo Events Sdn Bhd, Gloria Ng begitu tinggi untuk melihat amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan di Malaysia.

"Menyedari tahap obesiti di Malaysia yang tinggi dengan pelbagai masalah kesihatan berkaitan berat badan seperti serangan jantung dan kencing manis, saya merangka program gaya hidup aktif menerusi larian tahunan Maraton KL Standard Chartered untuk menggalakkan orang ramai berlari sebagai satu aktiviti menyihatkan badan," katanya.

Pada tahun lalu, maraton terbabit mencecah rekod 28,000 pelari malah dijangka meningkat sehingga 30,000 orang tahun ini. Sebagai peneraju utama, Gloria juga menganjurkan klinik berjalan untuk orang awam bersama jurulatih bertauliah serta bekerjasama dengan badan kerajaan bagi membangunkan program latihan untuk belia Malaysia.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Universiti Deakin, Melbourne, Australia ini, perkara paling membanggakan apabila acara maraton ini berjaya mengumpulkan pelari dari lebih 45 negara di dunia setiap tahun.

Malah larian amal Race With a Heart berjaya mengumpul RM700,000 untuk golongan autisme, alam sekitar dan orang buta menerusi Yayasan Standard Chartered dan kebajikan haiwan.

"Lanjutan daripada program ini, lebih 20 kanak-kanak autisme menghadiri klinik latihan berjalan dan mengambil bahagian dalam kategori larian kanak-kanak Maraton KL Standard Chartered. Dengan kejayaan ini, kemungkinan aktiviti ini akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada program kurikulum NASOM," jelasnya.

Gloria yang begitu bersungguh-sungguh dan bersemangat dalam apa juga dilakukan mengakui, masyarakat adalah sebahagian daripada hidup dan menjadi tanggungjawab semua untuk mewujudkan kehidupan yang lebih baik berbanding semalam. Dia juga berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan ialah gabungan beberapa unsur dan bagi mencapai impian, kita harus membina hubungan yang baik dengan semua orang.

"Anak saya sumber inspirasi setiap hari. Saya juga sering bertanya pada diri sama ada sudah melakukan yang terbaik. Jika jawapannya tidak, perlu untuk menilai semula kehidupan dan melaluinya dengan positif," ujarnya yang berazam ingin menempatkan Dirigo Events di barisan hadapan dalam acara sukan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Secara peribadi, wanita yang gemar melakukan aktiviti air ini ingin menjadi ibu terbaik serta menjadikan kehidupan lebih positif setiap hari. Semuanya bermula sebaik saja dia dan suami menamatkan pengajian di United Kingdom dan berasa kekurangan apabila sukar membeli-belah menerusi dalam talian. Ketika itu perniagaan dalam talian masih belum berkembang di Malaysia.

Ini mendorong Vivy Yusof membuka butik alam maya FashionValet pada 2010 atas kesedaran ingin memberi keselesaan serta pengalaman berharga kepada pelanggan.

"Dengan kehidupan yang sibuk menguruskan kerjaya dan keluarga, sudah tentu wanita memerlukan sistem membeli-belah yang mampu mengurangkan bebanan mereka.

"Menerusi pembukaan FashionValet, kami mendapat maklum balas positif pengguna yang mengatakan mereka mempunyai banyak masa bersama keluarga.

"Selain memenuhi keperluan wanita, ia juga dianggap sebagai jambatan antara pereka dan pengguna. Malah pengguna bukan setakat dari Malaysia malah seluruh dunia termasuk Indonesia, Brunei, Australia dan United Kingdom," jelasnya yang dicalonkan untuk anugerah Perniagaan Bella.

Dalam tempoh yang singkat bergelar usahawan, Vivy mengakui tanpa sedar dia mendidik masyarakat untuk menjadi lebih celik maklumat. Ini kerana sedar atau tidak, maklumat hanya di hujung jari oleh itu mereka yang tidak mengambil tahu pasti akan ketinggalan.

Selain itu, perbankan dan pembayaran dalam talian membuka mata semua pihak mengenai kebaikannya malah industri perniagaan menjadi lebih luas dan mudah.

"Bagi memberi pendedahan kepada generasi muda, FashionValet dijemput menyampaikan ceramah kepada usahawan muda terutama di kolej dan universiti bagi berkongsi pengalaman mengenai perniagaan," katanya yang kini mempunyai pengunjung 18,000 sehari.

Berpegang kepada prinsip perniagaan tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak, Vivy sangat menghargai kakitangan syarikatnya kerana beranggapan mereka sebahagian daripada syarikat.

"Sebagai pemimpin, saya mengekalkan budaya seperti satu keluarga di pejabat. Untuk itu kami makan bersama dan mengambil peluang untuk bercakap mengenai masa depan, hala tuju syarikat dan berkongsi pendapat dengan semua orang," katanya yang menjelaskan erti kebahagiaan apabila mempunyai keseimbangan antara kerjaya, keluarga, cinta dan agama.

Pada masa depan, Vivy mempunyai impian ingin menjadikan FashionValet sebagai salah satu perintis dalam e-dagang Asia serta mempunyai jenama dalaman yang berjaya membawa pelbagai label dari pereka di seluruh Asia.

Meminati penulisan sebagai bentuk terapi diri, Vivy mengakui akan terus menjadi penulis blog kerana melaluinya dia dapat memberi inspirasi kepada wanita muda untuk bekerja keras dalam pendidikan dan kerjaya.

"Sesuatu yang saya harapkan daripada penulisan saya supaya dapat membantu wanita menjadi lebih matang serta percaya pada diri sendiri. Saya akan terus bekerja keras mengembangkan perniagaan ke peringkat global, bagi membuktikan wanita di Malaysia boleh berjaya setanding wanita luar negara," jelasnya.

Penyampai radio yang juga pengacara televisyen Asha Gill mengakui sangat teruja dengan pencalonan untuk anugerah Kreatif Bella.

Menerusi anugerah ini, ia mampu menjadi pendorong kepada wanita untuk melakar kejayaan dalam apa juga bidang diceburi mereka. Asha percaya kejayaan hari ini kerana hasil kerja keras serta tumpuan diberikan selain sentiasa memberikan yang terbaik dalam hidup.

Sebagai ibu tunggal, wanita ini sentiasa optimis walaupun masih terdapat stigma masyarakat yang memberikan label tertentu terhadap golongan ini.

"Saya ingin melakukan lebih banyak aktiviti berkaitan ibu tunggal bagi menghapuskan stigma masyarakat terhadap golongan ini. Tidak kira siapa kita, semuanya sama," ujarnya.

Dilahirkan di United Kingdom, wanita yang memiliki ketinggian 180 sentimeter ini mengakui tidak mempunyai sebarang resipi untuk berjaya tetapi percaya, setiap orang mempunyai tuah dan ia akan muncul apabila masing-masing memberikan yang terbaik serta berusaha bersungguh-sungguh.

"Saya tidak mempunyai sebarang perancangan besar untuk jangka masa terdekat tetapi mahu berkongsi pengalaman dengan wanita terutama mereka yang teraniaya dan tidak mendapat pembelaan. Fokus saya hanya pada anak bagi memberikan yang terbaik kepadanya.

"Saya bercadang mahu membuka rumah kebajikan yang akan menempatkan bukan saja individu memerlukan tetapi haiwan terbiar. Saya mahu mendidik anak mengenai kehidupan serta nilai positif dalam hidup," ujarnya.

Meskipun pertubuhan alam sekitar yang diasaskannya masih baru, Yasmin Rasyid boleh disifatkan antara tenaga utama yang berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Atas usahanya sejak beberapa tahun lalu, Presiden EcoKnights ini berjaya memberi impak dalam kalangan generasi muda untuk terbabit dalam kerja sukarelawan selain mewujudkan Festival Filem Eko yang melahirkan ramai bakat baru, bukan saja dalam industri perfileman malah alam sekitar.

Jelas Yasmin, pengalamannya menghabiskan cuti musim panas di makmal marin Universiti Duke di sebuah pulau kecil berhampiran Beaufort, Carolina Utara, Amerika Syarikat menjadi titik permulaan kepada pembabitan dalam isu penjagaan alam sekitar.

"Apabila tidak berkesempatan pulang ke Malaysia ketika musim cuti, saya bekerja sambilan di makmal itu bagi membantu saya memahami lebih mendalam subjek biologi yang dipelajari di universiti.

"Bermula dari situ, saya berminat dengan aktiviti kajian luar dan membuka minda saya meneroka lebih lanjut mengenai dunia kita," katanya yang dicalonkan untuk anugerah Hati Bella di atas kesungguhannya berhadapan isu alam sekitar.

Mengakui inspirasi datang daripada pelbagai bentuk serta perkara yang berlaku di sekelilingnya, wanita kecil ini mengakui sentiasa bersederhana dalam kehidupan kerana percaya pada hukum karma yang baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat.

Wanita kelahiran Ipoh, Perak ini yang dilantik sebagai pegawai saintifik
di bawah program Forests for Water, Water for Life yang mengkhususkan kepada kajian sumber pencemaran berasaskan tanah di lembangan sungai sekitar Selangor, bertanggungjawab memantau aspek fizikal dan kimia anak sungai yang menyumbang kepada pembangunan dalam pengurusan bersepadu di lembangan sungai.

Besar harapan Yasmin supaya masyarakat tidak hanya mengharapkan badan bukan kerajaan dan kerajaan bagi menangani isu alam sekitar sedangkan alam sekitar musnah disebabkan manusia sendiri.

"Kalau bukan kita yang berubah, siapa pula yang akan melakukannya? Kita beruntung kerana Malaysia masih mempunyai banyak sumber alam dan persekitaran yang masih elok. Sebaik-baiknya hargai anugerah itu dan berterusan menjaganya," tegas Yasmin mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Rezeki bahan buangan

Posted:

Berkunjung ke Chuping, Perlis bagaikan melalui pengalaman manis kerana pemandangan desa di kiri dan kanan yang sungguh menyenangkan. Memang seronok tinggal di desa, kata hati penulis. Boleh dapat banyak idea.

Pengalaman itu bertambah manis apabila dapat bertemu Asmanyza Ahmad, 39, suri rumah yang tinggal di situ. Sebelum ini, perkembangan Asmanyza diikuti di laman Facebook menggunakan nama eiyma craft.

Dari luar kediamannya, sudah nampak jelas mengenai penghuninya yang berjiwa kreatif. Kata-kata aluan selamat datang dilukis cantik. Terompah kayu unik gabungan warna putih dan merah jambu dengan tulisan 'terima kasih' di atasnya memberikan rasa berbeza pada idea kreatif itu.

Menghuni kuarters kediaman majikan suaminya, sebaik melangkah masuk ke rumah Asmanyza, semuanya menggambarkan sentuhan wanita itu. Dindingnya penuh dengan hiasan kraf lukisannya sendiri, begitu juga keseluruhan rumahnya. Sekecil-kecil sudut semua mendapat sentuhannya.


Di sudut berdekatan dinding pembahagi ruang tamu dan dapur, di situ sudut khas Asmanyza bekerja atau berkarya. Asmanyza mengakui, bakat seni yang ada dalam dirinya diwarisi daripada bapanya sendiri yang juga pandai melukis.


Cerita kreatif Asmanyza sebenarnya tidak berhenti setakat itu. Dia juga mengamalkan kitar semula dalam hasil seninya. Cukup membanggakan.

Tidak hanya Asmanyza menggunakan bahan buangan sebagai tapak asas melukis, dia juga tidak menggunakan berus untuk melukis seperti kebiasaan pelukis lain.

"Saya hanya menggunakan jari dan tidak pernah menggunakan berus," katanya sambil menunjukkan kepada penulis cara dia mewarnakan papan yang sedia dicorakkan asas reka bentuk bagi memudahkan dia mewarna.

Menggunakan cat kilat, akrilik dan varnis, Asmanyza merapikan lukisannya menggunakan lidi.

Asalnya sekitar 2008, Asmanyza mahu menghias rumah sendiri kerana banyak ruang kosong. Memikirkan cara menghias yang menjimatkan, dia berasa mengapa hiasan itu tidak dibuat sendiri.

Dari situ dia mula melukis di atas papan buangan, kotak, kadbod dan tapak kek. Tapak kek paling banyak digunakan kerana bentuknya yang pelbagai misalnya bulat, empat segi dan bermacam ukuran. Ia juga ringan.

Asmanyza, anak jati Perlis, menggunakan semua bahan terbuang itu untuk dijadikan hiasan dinding dalam dan luar rumah. Selain itu, bingkai gambar, penyangkut kunci dan bermacam lagi bahan juga dijadikan idea, malah batu sungai yang menghias pasu bunganya juga diberi sedikit sentuhan warna.

Sudip kayu lama juga digunakan ibu lima anak itu. Dia mewarnakannya dan kini hasilnya menjadi begitu cantik yang dijadikan antara bahan hiasan di rumahnya.

Minat Asmanyza ini berkembang menjadi perniagaan apabila orang sekitarnya mulai mengetahui kelebihannya.

"Mereka mula beri papan kek terpakai supaya saya lukiskan untuk mereka. Kemudian, saya sekadar memuat naik gambar hasil tangan di laman sosial.

"Mula-mula sekadar mahu berkongsi minat dengan kawan, tetapi rupanya ia mendapat perhatian dan ramai yang mahu membeli. Sekiranya pembelian melalui dalam talian, saya akan mengeposnya dan bayaran pos tambahan RM6 dikenakan bagi penghantaran seluruh Malaysia," katanya.

Cuma apabila memenuhi tempahan, Asmanyza tidak menggunakan bahan terbuang atas permintaan pelanggannya. Harga yang dikenakan bagi setiap rekaan hanya RM5 sehingga RM30.

Antara tujuh hingga lapan barang boleh disiapkan setiap hari. Dia menerima anggaran lima tempahan setiap hari membuatkan wanita bertubuh kecil itu memang sentiasa sibuk di samping tugas hariannya menguruskan rumah tangga yang juga tidak kurang sibuknya.

Asmanyza dilihat sangat puas hati apabila berada di sudutnya melakukan sesuatu yang sangat serasi dengannya iaitu melukis. Lukisannya tampak kemas dan mempunyai seni tersendiri. Melihat hasilnya di hadapan mata, mudah saja hati tertawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tak serik kaki berskru

Posted:

Kuala Lumpur: Meskipun pernah terbabit dalam kemalangan hingga menerima rawatan lebih setengah tahun di hospital, seorang lelaki berusia 20 tahun masih tidak serik apabila sekali lagi nyaris kemalangan apabila cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Dia membonceng motosikal bersama rakannya berusia 15 tahun memilih untuk menunggang melawan arus apabila menyedari ada sekatan jalan raya di Jalan Raja Laut, semalam.


Ketika disoal polis, dia mengakui pernah terbabit dalam kemalangan hingga cedera parah dan patah kaki kirinya pada 2010 selepas membonceng motosikal rakan yang masuk ke laluan salah sebelum dilanggar kereta di Dataran Merdeka.

Dia yang patah kaki kiri hingga membengkok 90 darjah ketika kejadian terlantar di hospital lebih setengah tahun.


Menurutnya, tiga skru di paha, lutut dan betis itu menyebabkan dia mengambil masa lebih setahun untuk berjalan semula, namun minatnya untuk bermotosikal tidak pernah pudar.


Dia mendakwa tidak takut apabila kawannya mula menunggang laju dan melawan arus apabila menyedari ada sekatan jalan raya kerana yang penting bagi mereka adalah mengelak dicekup polis.

Foto

ANGGOTA polis memeriksa lelaki yang ditahan dalam Ops Bersepadu.

Bagaimanapun, akhirnya mereka kalah juga apabila berjaya dicekup anggota polis trafik yang mengejar hingga ke Jalan Dang Wangi.


Ketua Unit Kuat Kuasa Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, anggota U3K yang sedang membuat pemeriksaan dalam Ops Bersepadu di ibu kota menyedari tindakan penunggang motosikal itu yang membuat pusingan balik.

Katanya, selepas mengejar hingga ke Jalan Dang Wangi, mereka berjaya dicekup dan mengaku lari dari sekatan jalan raya kerana tidak memiliki lesen memandu.


"Tindakan ke atas penunggang motosikal berusia 15 tahun itu diambil mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya. "Manakala belia berusia 20 tahun yang masih tidak serik meskipun pernah terbabit dalam kemalangan yang nyaris meragut nyawanya itu pula disiasat mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Azmi berkata, turut dicekup seorang penunggang motosikal apabila mendapati nombor plat kenderaan itu palsu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


War's 15 80's A cipta nama juara

Posted:

Kuching: War's 15 80's A mencipta sejarah apabila muncul juara Terbuka Lelaki Karnival Futsal Harian Metro edisi Sarawak yang kali pertama diadakan di negeri Bumi Kenyalang semalam.

Pada perlawanan akhir, pasukan dari Kuching itu menewaskan KTT Wirajaya dengan kemenangan tipis 1-0 di Arena Sukan.


Ketua pasukan Aishamuddin Anuarmahdi berkata, kemenangan semalam cukup bermakna kerana kali pertama mereka muncul juara tahun ini.

"Sebelum ini kami menyertai banyak kejohanan tapi sering terkandas di suku akhir dan apabila ke final, kalah pula.


"Sudah tentu kami berasa gembira kerana kali pertama karnival ini dianjurkan, kami berjaya muncul juara," katanya selepas perlawanan semalam.


Mengenai KTT Wirajaya yang ditemui pada aksi final semalam, Aishamuddin berkata, mereka memang sering bertemu lawan mereka itu.

Foto

TIGA pemain War's 15 80's A mengawal ketat pemain KTT Wirajaya.

"Minggu lalu kami baru saja bertemu mereka tapi kami tewas. Hari ini (semalam) akhirnya kami berjaya membalas dendam.


"Memang kebiasaannya kedua-dua pasukan sering bertemu dan perlawanan sering berlangsung sengit," katanya.

Selaku juara, War's 15 membawa pulang wang bernilai RM3,000 manakala KTT RM2,000 pada saingan yang dibawa oleh Ambank.


Tempat ketiga diraih Yow FC yang membawa pulang wang RM1,000 selepas menewaskan Red 8 Fansuri.


Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.


Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali; Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat serta Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Razali Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Pertembungan dua jagoan

Posted:

Marana, Arizona: Juara bertahan, Hunter Mahan dan pemenang 2010, Ian Poulter menempah pertembungan menarik pada separuh akhir Kejohanan Match Play Dunia WGC-Accenture selepas memenangi pertembungan suku akhir mereka semalam.

Mahan dari AS menang 1-up selepas perlawanan sengit dengan juara Terbuka AS, Webb Simpson manakala Poulter dari Britain mara dengan kemenangan 3 & 2 ke atas pemain veteran Amerika, Steve Stricker di Dove Mountain.


Satu lagi pertembungan separuh akhir antara pemain Amerika, Matt Kuchar dan Jason Day dari Australia, pemain termuda yang meneruskan saingan pada usia 25 tahun.

Kuchar muncul pemain pertama layak ke separuh akhir apabila menewaskan rakan senegara, Robert Gar rigus 3 & 2, sebelum Day bangkit mengatasi pemain Ireland Utara, Graeme McDowell 1-up dalam satu pertarungan sengit.


Kebanyakan mata bagaimanapun akan tertumpu kepada pertemuan antara Mahan dan Poulter, kedua-duanya membida untuk layak ke perlawanan akhir Match Play buat kali kedua.


Poulter pasti lebih cergas, apabila mendahului 4-up ke atas juara Match Play 2001, Stricker selepas 12 lubang sebelum melengkapkan kemenangannya dengan menolak masuk pukulan par dari jarak 10 kaki pada lubang ke-16.

Pemain Inggeris itu, yang terkenal dengan kehebatannya dalam permainan matchplay serta pukulan putt, mendahului kali pertama pada lubang ketiga par-tiga apabila dia membenam birdie dari jarak 40 kaki manakala Stricker tersasar percubaannya dari jarak tujuh kaki.


"Steve dilihat akan mendahului di sana tapi saya menolak bola masuk dan dia terlepas," kata Poulter selepas mencatat enam birdie dan satu eagle dalam 16 lubang.

"Dari situ saya mengambil alih dan mendahului. Saya sedar, saya perlu mempamerkan permainan terbaik untuk mengatasi Steve." Terdahulu, Stricker, yang meraikan hari jadi ke-46 Sabtu lalu, layak ke suku akhir dengan persembahan mengagumkan lapan birdie apabila dia menundukkan rakan senegara dari Amerika, Scott Piercy 1-up. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


'Romantik saya kasar'

Posted:

Sebelum ini namanya sekadar berlegar di mulut pencinta drama dan jika ditanya drama lakonannya, pasti ada yang menggaru kepala. Dibandingkan dengan pelakon baru lain, dia tidaklah dikenali sangat pun.

Namun Amar Asyraf, 27, sedikit pun tidak terkesan dan terus mencurahkan bakat dalam lapangan impiannya iaitu berlakon. Dalam tempoh tiga tahun, usahanya tidak pernah berkurang malah semakin berkobar di set penggambaran.

Akhirnya, nasib Amar berubah sekelip mata apabila lakonannya sebagai Zain Hakimi dalam drama Setia Hujung Nyawa mencetus fenomena. Namanya terus jadi sebutan dan terkesan daripada lakonan cemerlangnya itu, lantas membuka mata peminat terhadapnya.

Jika sebelum ini dia boleh menjamu selera di kedai makan dengan 'aman' namun kini tidak lagi gara-gara dilimpahi populariti tempias daripada drama berkenaan.


Pernah membintangi drama Nilapura dan Dalam Hati Ada Taman, Setia Hujung Nyawa benar-benar menjadi drama keramat apalagi impaknya masih boleh dirasakan sehingga kini meskipun sudah tamat siaran.


Mendengar sendiri pengalaman 'baru' itu, Amar jelas terkejut dengan penerimaan hebat demikian dan masih menyesuaikan diri berhadapan populariti yang menerpanya.

"Saya masih rasa seperti bermimpi kerana selama kira-kira tiga tahun menjadi pelakon, tidak pernah meraih perhatian sebegini. Kalau sebelum ini, apabila saya keluar ke mana-mana tidak ramai pun kenal.

"Namun sekarang ini, ada saja peminat yang akan menegur dan mengambil gambar apabila terserempak dengan saya. Pelbagai reaksi juga saya dapat di laman sosial termasuklah Twitter kesan daripada siri berkenaan," katanya terharu.

Kemanjaan serta sifat romantiknya dalam siri berkenaan pastinya paling dirindui peminat apatah lagi dia sangat bersatu de­ngan heroin, Nelydia Senrose menghidupkan kisah percintaan itu.

Mengenali sifat Amar yang cukup sopan, kelakar dan senang didekati, dia bagaimanapun mengakui cabaran terbesar sebenar­nya adalah menonjolkan karakter romantik itu sendiri.

"Mungkin ramai yang ingat saya seperti melakonkan karakter sebenar saya di luar namun bukan senang untuk menjadi romantik. Kadang-kadang, agak lama juga saya hendak dapat 'feel' menjadi romantik sebegitu dan memang kelakar.

"Saya akui dalam kehidupan sebenar pun saya memang ada sifat itu juga. Cuma, cara saya lebih kepada romantik yang kasar," kata anak jati Melaka itu.

Bukan pada penerimaan peminat saja, Amar ternyata kini menjadi buruan ramai produser impak daripada drama yang mendapat 'rating' sebanyak empat juta penonton pada episod penamatnya.

Kejayaan itu sekali gus menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus berjuang dan bersyukur tawaran demi tawaran hadir ketika ini.

"Tidak mahu riak namun saya gembira kerana jadual padat penggambaran padat sehingga Jun nanti. Ter­nyata drama ini benar-benar buka mata ramai pihak dan tidak ketinggalan, lebih peluang.

"Permulaan tahun 2013 sangat manis buat saya dan dengan peluang terkang­kang luas itu, saya juga mahu 'all-out' tahun ini," katanya yang bakal tampil dalam slot Azalea TV3 menerusi siri Sujud Di Bawah Langit pula selepas ini.

Teater masih di hati

Berada di kemuncak kerjayanya sekarang, graduan Diploma Seni Pengarahan dan Lakonan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu juga memutuskan untuk mula memilih skrip mulai sekarang.

Baginya, kualiti produk dan mutu lakonan itulah yang perlu dijaganya sekarang memandangkan peminat semestinya mengharapkan lebih selepas ini.

"Kini saya sedang meniti kemuncak kerjaya saya di mana orang sudah mengenali dan tahu produk saya. Semestinya mereka akan ternanti-nanti apa lagi yang mampu saya lakukan selepas ini.

"Disebabkan itulah saya rasa tiba masanya untuk lebih berhati-hati menerima tawaran dan perlu mempertimbangkan banyak perkara. Saya mahu pastikan persembahan saya semakin bagus dan bagus selepas ini," katanya.

Cekal memperjuangkan industri teater, Amar juga tidak akan menjadikan alasan sibuk di lokasi penggambaran untuk menyisihkan aktiviti berkenaan. Juga bukan nama asing di pentas itu, kecintaannya terhadap teater juga tidak pernah berubah.

"Sejak di Aswara lagi saya sudah bermula dengan teater dan cukup melekat di hati saya. Meskipun nanti saya lebih sibuk di lapangan komersial namun tidak sekali saya akan ting­galkan teater," katanya.

Pernah menghasilkan teater Rugabadi, dia juga bakal tampil dalam naskhah berjudul Lelaki Dari Gua yang akan diadakan bermula 28 Februari sehingga 3 Mac nanti bertempat di Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka (DBP).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Insan bermotivasi, kreatif

Posted:

Biarpun jasad penghibur tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad sudah 21 tahun bersemadi, namun jasa ditinggalkan dalam karier sebagai anak seni serta kenangan indah ketika hayatnya, masih dikenang hingga kini.

Sama ada dalam kala­ngan keluarga, kenalan rapat peminat setia dan wakil media yang berkesempatan bekerjasama dengannya, Sudirman disifatkan sebagai seorang artis merendah diri. Keperibadiannya cukup disenangi dan begitu menghormati orang lain.

Anak saudara kesaya­ngannya, Razman Azrai Zainudin atau Atai, 39, berkata, apa yang dilakukan Sudirman dalam bidang seni kerana minat mendalam dan tidak pernah terfikir hanya mahu mengejar nama dan popular.

"Saya melihat apa yang dilakukan Cok Man (panggilan mesra Sudirman dalam keluarga) dalam karier seninya atas dasar minat dan ikhlas pada kerja. Justeru, di setiap persembahannya, arwah cukup teliti pada persiapan dibuatnya sendiri dalam pelbagai sudut.


"Arwah tidak hanya memilih lagu yang sesuai untuk dinyanyikan tetapi turut memastikan perjalanan rancangan berjalan lancar seperti dimahukannya. Pada saya, arwah seorang yang bermotivasi, kreatif dan setiap apa dilakukannya demi kepuasan peminat. Arwah sentiasa mahu peminatnya terhibur," katanya.


Atai yang memulakan langkahnya dalam bidang seni pada usia 12 tahun kerana sering mengikuti persembahan Sudirman berkata, bapa saudaranya itu mendidiknya menjadi lebih berani demi merealisasikan segala impian menjadi realiti.

"Terlalu banyak kena­ngan saya bersama arwah dan apa yang boleh dikatakan ia pengalaman positif dan amat bermakna. Arwah berjaya mendidik saya menjadi berani dan ikhlas pada apa yang dilakukan untuk memperoleh kejayaan. Pokok pangkalnya gigih berusaha.

"Walaupun kadang-kadang arahannya itu memberi tekanan, namun saya anggap ia cabaran dan enggan melihat arwah kecewa. Jadi, saya berusaha sebaik mungkin dan walau sesukar mana sekali pun, saya tetap lakukannya hingga berjaya," katanya ketika ditemui di majlis tahlil Sudirman di Restoran Puteri, Sungai Pencala, Jumaat lalu.

Atai yang tidak menafikan Sudirman lebih disanjung ramai selepas meninggal dunia berkata, dia lebih selesa jika segala usaha pernah dilakukan Sudirman itu dipandang positif.

Katanya, bukanlah untuk disanjung tinggi, tetapi cukup sekadar menjadikan usaha Sudirman sepanjang kariernya itu sebagai pencetus inspirasi. Pelajari kegigihannya itu untuk dijadikan pemangkin semangat bagaimana ingin berjaya.

Bagi penulis lirik terkenal yang juga rakan karib Sudirman, Habsah Hassan berkata, majlis tahlil itu selain bertujuan untuk memanjatkan doa ke hadrat Ilahi sempena mengenang tarikh Sudirman meninggal dunia pada 22 Februari 1992, ia juga secara tidak langsung dapat memberi ruang kepada anggota keluarga, kenalan rapat, peminat setia dan wakil media yang pernah bekerjasama dengan Sudirman berkumpul bersama.

"Apa yang boleh saya katakan, selain mengenang pemergian arwah, ia juga memberi peluang buat kami semua yang mengenalinya terus mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Atas sebab itu, saya tidak mengundang ramai orang dan cukuplah sekadar ia dihadiri individu yang pernah kenal dan bekerja bersama arwah.

"Saya mengundang wakil media untuk turut sama menyertai majlis ini pun bukanlah untuk mendapatkan publisiti, tetapi bagi me­ngeratkan silaturahim semata-mata.

Turut hadir di majlis itu ialah kakak Sudirman, Datin Rodziah Arshad, rakan artis seperti Aida Khalida, Zakiah Anas dan lebih 50 orang tetamu terdiri daripada keluarga Allahyarham, kenalan rapat, peminat setia Sudirman dan wakil media.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kereta melambung, 33 penonton cedera

Posted:

Daytona Beach (Florida): Sekurang-kurangnya 33 peminat Nascar cedera apabila sebuah kereta melambung ke tempat duduk penonton di gelanggang antarabangsa Daytona Speedway kelmarin.

Nahas berlaku dalam pusingan akhir perlumbaan peringkat kedua Nationwide Series menjelang pembukaan musim Piala Sprint Daytona 500.


Kemalangan terjadi selepas pendahulu perlumbaan, Regan Smith cuba menghalang Brad Keselowski daripada memenangi pertandingan.

Keadaan itu menyebabkan pemandu baru, Kyle Larson melanggar kereta di depannya sebelum kenderaan dipandunya melayang ke udara dan merempuh pagar tempat duduk penonton.


Bahagian depan kereta Larson berkecai dan enjinnya terperosok pada lubang pagar berkenaan. Serpihan daripada kereta itu, termasuk sebuah tayar melayang ke arah tempat duduk penonton yang hampir dengan trek perlumbaan.


Larson, 20, yang tercampak keluar dari keretanya. -Reuters

Foto

KERETA dipandu Larson melayang ke arah tempat duduk penonton di gelanggang antarabangsa Daytona Speedway.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Naomi disyaki simbah sendiri asid

Posted:

London: Polis dipercayai merampas komputer milik seorang wanita muda yang cedera parah dalam serangan asid kerana mencurigai dia mungkin mencederakan dirinya sendiri.

Namun, keluarganya bimbang polis tidak membuat yang terbaik untuk menangkap pesalah itu dan hanya menumpukan kepada sesi 'soal siasat tak masuk akal.'

Naomi Oni, 20, cedera parah ekoran insiden yang berlaku ketika dia pulang dari tempat kerja pada akhir tahun lalu sebelum dimasukkan ke hospital hampir sebulan untuk rawatan.

Polis mengambil komputer riba Naomi dan dikatakan menemui bukti bahawa wanita muda itu telah membuat pencarian di Internet mengenai serangan asid sebelum insiden malang itu menimpanya.


Pencarian dikatakan termasuk maklumat mengenai Katie Piper, bekas model yang berkempen untuk mangsa yang berwajah cacat sejak dia sendiri menjadi mangsa serangan asid pada 2008.


Polis dikatakan menyoal saudara-mara Naomi untuk mengetahui sama ada dia mencederakan dirinya sendiri, tetapi teman lelakinya Ato Owede, 23, menganggap soal siasat itu 'gila.'

Dia memberitahu Sunday Times: "Polis perlu terus menyiasat.

"Mereka menumpukan kepada perkara yang salah berikutan pencarian Naomi mengenai maklumat serangan asid dan perkara seumpamanya.

"Mereka membuat kesimpulan yang bodoh," katanya.

Naomi mengalami cedera parah di muka, kaki, lengan dan kepala dan separuh buta selepas seorang yang memakai purdah menyimbah asid ke arahnya ketika dia berjalan pulang ke kediamannya di Dagenham ekoran tugas syif malam di kedai Victoria Secret di pusat beli-belah Westfield di Stratford.

Dia juga kehilangan rambut dan bulu mata dalam insiden itu serta terpaksa menjalani beberapa pembedahan sejak kejadian terbabit.

Doktor pada awalnya bimbang dia mungkin buta sepenuhnya, tetapi selepas mengikuti rawatan intensif di unit khas, mata kirinya boleh melihat semula, manakala mata kanannya separuh buta. - Sunday Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Sindiket palsu kad ATM, kredit tumpas

Posted:

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) dan kad kredit antarabangsa didalangi warga Kanada dan Sri Lanka dengan tertangkapnya 25 suspek dalam Ops Helang yang dilakukan minggu lalu.

Dalam beberapa serbuan dilakukan di beberapa bank sekitar ibu negara serta premis kediaman suspek, polis berjaya merampas 533 keping kad kredit dan ATM pelbagai bank luar negara selain RM74,703 wang tunai yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan penipuan berkenaan.

Sindiket berkenaan didalangi warga Kanada dan Sri Lanka serta dibantu beberapa suspek warga tempatan dipercayai aktif dinegara ini sejak Ogos tahun lalu dan sudah menyebabkan kerugian melebihi RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Argo filem terbaik

Posted:

HOLLYWOOD: Filem Argo terbitan Ben Affleck, George Clooney dan Grant Heslov berjaya memenangi anugerah Oscar bagi kategori Filem Terbaik pada acara Academy Awards, yang diadakan pagi tadi.

Argo mengalahkan lapan filem lain termasuk Armour, Beasts of the Southern Wild, Django Unchained, Les Miserables, Life of Pi, Lincoln, Silver Linings Playbook dan Zero Dark Thirty.

Pemenang kategori itu diumumkan oleh Jack Nicholson, yang berada di Hollywood dan isteri Presiden Amerika Syarikat, Michelle Obama yang menggunakan link video.

Argo mengisahkan mengenai operasi menyelamat diplomat Amerika Syarikat dari Teheran selepas Revolusi Islam pada 1979.

  • Filem Terbaik: Argo
  • Pengarah terbaik: Ang Li (Life of Pi)
  • Pelakon lelaki utama terbaik: Daniel Day-Lewis (Lincoln)
  • Pelakon wanita utama terbaik: Jennifer Lawrence (Silver Linings Playbook)
  • Pelakon pembantu lelaki terbaik: Christoph Waltz (Django Unchained)
  • Pelakon Pembantu Wanita terbaik: Anne Hathaway (Les Miserables)
  • Lagu original terbaik: Skyfall (muzik dan lirik oleh Adele and Paul Epworth)
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved