Selasa, 28 Ogos 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ibu bapa jadi sahabat terbaik

Posted: 28 Aug 2012 10:03 AM PDT

APABILA menginjak usia remaja, beralih daripada dunia kanak-kanak, sedar atau tidak anak-anak sebenarnya harus menyesuaikan diri dengan perubahan yang mereka alami. Mereka bukan saja berubah secara fizikal, tetapi lebih besar lagi ialah secara mental.

Mental mereka perlu menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran baru dan keadaan yang berubah menjadi serius. Kita selalu meletakkan tahap membezakan golongan kanak-kanak dan remaja dengan mengkategorikan mereka sebagai 'budak sekolah rendah' atau 'budak sekolah menengah'.

Perkataan 'budak' digunakan kerana kanak-kanak dan remaja masih diandaikan sebagai terlalu muda atau 'masih budak-budak'. Selalunya ibu bapa dan masyarakat amnya terlepas pandang bahawa perubahan yang dilalui anak mereka dalam menyesuaikan diri daripada fasa kanak-kanak dan remaja bukan perkara kecil. Ini kerana, ia terlalu dekat dan tidak begitu ketara. Apa yang kelihatan pada pandangan mungkin dari segi tubuh badan saja. Dulu rendah sekarang tinggi. Dulu bersuara halus sekarang semakin garau. Remaja yang mengisi kedewasaan tetap juga dianggap 'budak-budak'.

Apabila ibu bapa sendiri sukar menerima atau menganggap kecil tahap perubahan yang dilalui remaja, mungkin ini antara sebab ramai remaja memberontak dan mengatakan diri mereka tidak difahami. Mereka kononnya tidak dilayan sewajarnya dan dianggap tidak boleh membuat keputusan. Setiap keputusan masih dibuat ibu bapa, maka remaja mula memendam rasa dan berahsia.


Pegawai Psikologi, Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohammad Afizul Mohammad berkata, istilah 'remaja' adalah perubahan zaman anak-anak ke zaman yang berlainan.


"Jika dulu sebagai kanak-kanak dia dibelai, dikasihi, mendapat kasih sayang dan dijaga ibu bapa, namun zaman remaja adalah zaman untuk mereka mula mencuba membelai dan memberi kasih sayang kepada orang lain pula. Mereka mula berubah dan mahu menjaga orang lain. Zaman remaja sebenarnya unik kerana ia adalah pertengahan antara jiwa kanak-kanak dan dewasa," katanya.

Dalam proses perubahan dan pembesaran itu, memang remaja mula inginkan kebebasan dan ingin membuat keputusan sendiri tanpa membabitkan ibu bapa.

"Malah, ramai remaja yang rasa malu untuk 'rapat' dengan ibu bapa kerana takut diejek dan sindiran kawan-kawan bahawa 'rapat' dengan ibu bapa adalah 'anak emak' atau 'anak manja'.

"Ibu bapa yang baik dan prihatin pasti serba tahu permasalahan anak-anak mereka. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa supaya mendekati anak-anak secara 'bijak' untuk membantu atau mengajar anak-anak erti kehidupan sebenar. Ajaran, didikan dan cara ibu bapa merapatkan hubungan dengan anak-anak adalah faktor utama sejauh mana akrabnya hubungan anak dan ibu bapa," katanya.

Menurutnya, sekiranya ibu bapa sudah akrab dengan anak-anak sejak awal, pasti anak akan kurang berahsia malah selesa menjadikan ibu bapa sebagai 'kawan' mereka. Biasanya ibu bapa yang terlalu risau akan menambahkan lagi jurang hubungan mereka dengan anak-anak.

Apakah yang harus dilakukan ibu bapa supaya anak-anak tidak menjauhkan diri dengan mereka di samping tidak lemas dengan kongkongan?

"Ibu bapa harus meletakkan diri mereka di tahap pemikiran anak-anak. Kita semua pernah alami zaman remaja dan kanak-kanak. Mungkin zaman kita dengan mereka sudah berubah, tetapi dari segi emosi dan kemahuan, ia tidak lari jauh. Jika dulu, kita mahu difahami, remaja zaman Internet juga sama. Jadi sangat penting ibu bapa terus mengekalkan hubungan dengan anak-anak supaya ini tidak menjadikan mereka menjauhkan diri," katanya.

Dia menegaskan ibu bapa harus menjadi sahabat terbaik anak-anak mereka sendiri. Ini akan membuatkan anak-anak meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada ibu bapa.

"Memang nampak sukar, tetapi percayalah banyak kebaikannya. Pengalaman
saya melakukan sesi kaunseling kelompok dengan remaja mendapati kemahiran utama yang banyak dilupakan ibu bapa adalah kemahiran mendengar.

"Kuasa untuk mengawal anak-anak adalah dengan adanya kemahiran bersama anak-anak dan paling penting, kemahiran melayan. Bayangkan jika anak-anak terkongkong dan tertekan, pasti jiwanya memberontak," katanya.

Berdasarkan kes dikendalikannya, dia melihat majoriti remaja ada keinginan untuk lari dari rumah kerana rasa terkongkong dan tertekan di rumah. Alasan mereka, ibu bapa tidak memahami dan tidak mahu mendengar masalah anak-anak.

"Anak-anak lelaki lebih suka mendekatkan diri dengan kawan-kawan dan mudah rasa malu untuk mendekatkan diri dengan ibu bapa. Sebaliknya anak-anak perempuan lebih suka dekat dengan ibu jika ibunya bersifat feminin. Daripada pengalaman saya mengendalikan kes kaunseling, anak perempuan lebih selesa dengan bapa jika ibunya lebih kasar dan kurang mengambil berat terhadap anaknya. Remaja perempuan biasanya suka bercerita kepada ibu bapa dan kawan-kawan, tetapi remaja lelaki suka memendam perasaan terutama dengan ibu bapa dan lebih selesa bersama kawan-kawan," katanya.

Apabila remaja terlalu mempercayai rakan-rakan, mereka sering tersilap langkah. Bagaimana ibu bapa boleh mengelakkan perkara ini secara halus?

"Membebel adalah sesuatu yang tidak disukai semua orang terutama remaja. Ibu bapa perlu tahu keadaan yang sesuai untuk 'membebel' secara halus dan berkesan. Ramai ibu bapa yang tersalah langkah mendidik anak-anak dengan membebel sepanjang masa mengakibatkan remaja makin jauh daripada ibu bapa.

"Niat ibu bapa membebel sebenarnya baik untuk kebaikan anak-anak, namun pada anak-anak ia sesuatu yang menjengkelkan kerana ibarat perlu mendengar semua arahan ibu bapa. Ini menambahkan lagi rasa terkongkong. Daripada membebel, gunakan pendekatan berbincang dan bukan memberi arahan, kurangkan membebel sebaliknya dengar penjelasan mereka bersama sentuhan kasih sayang," katanya.

Dunia yang semakin pesat membangun memang terlalu banyak memberi keburukan kepada remaja. Ibu bapa perlu peka terhadap persekitaran sekarang.

"Sikap remaja yang dianggap berisiko sekarang ialah pergaulan sesama jantina.
Ibu bapa perlu memerhatikan pergaulan dengan meletakkan had tertentu. Contohnya, ibu bapa perlu memahami persekitaran dan tahu sebab anak-anak ingin tidur di rumah rakan atau jiran. Jika ada sikap anak-anak yang suka bersendirian, pastikan ia tidak berpanjangan, rujuk kaunselor berdaftar atau ahli psikiatri jika berpanjangan," katanya.

Taksub kepada laman sosial atau Internet juga memberi kesan yang sangat negatif sekiranya tidak dipantau. Ibu bapa boleh memastikan komputer atau laptop berada di tempat yang boleh dilihat bagi mengelakkan hubungan yang tidak sihat dengan rakan Internet atau laman web yang tidak senonoh.

"Perbezaan dalam memberi kebebasan kepada remaja lelaki dan perempuan oleh ibu bapa juga perlu kerana dari perspektif psikologi, perkembangan remaja mengikut jantina juga berbeza. Contohnya, remaja perempuan cepat berubah dari sudut fizikal dan mereka juga cepat mahu bercinta kerana ingin mendapatkan perhatian lebih daripada orang lain. Remaja lelaki pula berubah bentuk badan menjadi lebih tegap serta suara yang lebih garau. Kebebasan setiap anak mengikut jantina perlu dibezakan mengikut tahap perkembangan mereka.

"Malah, jika dilihat dari segi keselamatan, remaja perempuan lebih berisiko kerana terdedah kepada masalah sosial seperti seks bebas atau isu rogol. Sebaliknya remaja lelaki hanya berisiko masalah sosial seperti merempit, penyalahgunaan bahan larangan, mencuri dan seumpamanya," katanya.

Mengenai remaja mencari duit sendiri dengan bekerja sambilan walaupun masih bersekolah, menurutnya, bergantung kepada keadaan kerana ibu bapa lebih memahami perangai anak-anak mereka. Jika peluang untuk bekerja sambilan digunakan sebaik mungkin, ia memberi kelebihan dari aspek penambahbaikan kemahiran serta pengalaman bekerja di dunia sebenar.

"Namun, jika peluang yang diberikan akan menambahkan lagi gejala tidak sihat, ia harus dipantau dan jangan digalakkan. Paling penting, adakah bekerja sambilan itu mengganggu pelajarannya?"

Afizul berpendapat, seeloknya biarlah bekerja digalakkan sebaik habis belajar supaya fokus zaman persekolahan tidak terganggu. Remaja bersekolah, kemudian bekerja pula, ini mungkin membuatkan mereka semakin jauh daripada ibu bapa.
Berikut tip berguna untuk ibu bapa:

Petua buat mufin gebu

Posted: 28 Aug 2012 09:57 AM PDT

SELAIN biskut, kek cawan dan mufin kini menjadi antara manisan yang dihidangkan kepada tetamu ketika majlis rumah terbuka. Selain nampak comel, mufin memberi kelainan kepada kek atau makanan yang sedia terhidang di meja.

Teknik asas membuat mufin juga mudah. Hanya campurkan bahan di dalam bekas kemudian diputar sehingga sebati. Tanpa menggunakan mentega, mufin yang lembut dengan tekstur yang halus mampu diperoleh.

Menurut pemilik My Mum's Bakery, Siti Saleha Idris, resipi mufin coklat yang tidak meng–gunakan mentega diperoleh turun temurun daripada ibunya.

"Biasanya mufin menggunakan mentega, susu atau dadih sebagai bahan utama, tetapi sebenarnya tanpa mentega, mufin yang lembut, halus dan gebu mampu diperoleh dengan hanya menggunakan bahan asas. Apa yang penting adalah teknik memutar menerusi satu arah supaya dapat menghasilkan adunan sekata," katanya.


Selain itu, pastikan adunan mufin tidak dikacau melebihi 15 saat. Adunan yang terlalu dikacau akan membuatkan mufin liat, mendap dan tidak sedap.


"Adunan yang bergumpal dan tidak rata memang biasa sewaktu membuat mufin. Jadi pastikan bahan sebati dan lembut selepas dikacau," katanya yang turut menerima tempahan kek cawan, mufin dan kek untuk majlis perkahwinan dan hari jadi.

Untuk mendapatkan mufin yang diinginkan, Siti Saleha menasihatkan agar menggunakan tepung mufin yang dijual di pasar raya. Elak menggunakan tepung kek atau pastri kerana ia akan membuatkan mufin terlalu lembut dan bentuknya akan berubah.

Isian cawan mufin pula haruslah sebanyak tiga suku penuh untuk adunan ringan bagi membolehkan tepung naik ketika dibakar. Gunakan sudu, senduk kayu ataupun sudu ais krim untuk mengisikan adunan ke dalam cawan agar kemas dan tidak comot.

Paling penting untuk mendapatkan mufin yang segar dan gebu, pastikan ketuhar dipanaskan terlebih dulu sebelum dibakar.

Bahan:

1 kilogram tepung mufin
350 gram telur ayam
225 gram air
280 mililiter minyak jagung

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Malang bertimpa

Posted: 27 Aug 2012 11:56 AM PDT

JOHOR BAHRU: "Ia bagaikan 15 minit paling malang dalam hidup saya. Saya bukan saja ditikam dan kereta dilarikan, malah tiga lelaki yang menawarkan diri untuk membantu sebenarnya mahu menyamun, menyebabkan saya nekad terjun semasa kereta bergerak," kata mangsa samun, M Kamal, 30, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi Sabtu lalu, dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura sebelum singgah di sebuah stesen minyak di Jalan Tebrau, di sini.

Katanya, ketika mahu mengisi petrol pada Proton Waja miliknya, seorang lelaki berjaket hitam menghampiri dan bertanya sama ada dia berasal dari Melaka, memandangkan keretanya menggunakan nombor pendaftaran negeri itu.

Selepas menjawab dia adalah penduduk Johor, katanya, dia cuba memasuki kereta kerana bimbangkan keselamatannya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


4 berputih mata

Posted: 27 Aug 2012 11:35 AM PDT

SHAH ALAM: Malang berganda bagi empat lelaki apabila mereka bukan saja gagal menyamun seorang wanita di Taman Paling Jaya, Semenyih, di sini, malah mereka kemudian ditahan polis kurang dua jam selepas kejadian itu di Plaza Tol Sungai Ramal di sini, awal pagi kelmarin.

Semua mereka yang menaiki kereta Perodua Myvi kelabu ditahan di kawasan plaza tol berkenaan kira-kira jam 2 pagi oleh sepasukan polis selepas menerima laporan daripada mangsa berusia 45 tahun yang juga peniaga sebuah kedai makanan.


Menceritakan semula kejadian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ketika mangsa ingin bersiap untuk pulang selepas selesai berniaga, dia didatangi sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat lelaki kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Katanya, dua daripada suspek kemudian keluar darikereta dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa dipercayai untuk menyamun barangan berharga miliknya.


Beliau berkata, terkejut dengan tindakan itu dan bimbang akan dicederakan suspek, mangsa kemudian segera memecut keretanya ke arah jalan utama untuk menyelamatkan diri.


Difahamkan, ketika kejadian beberapa orang ahli keluarga mangsa juga berada di dalam kereta berkenaan. Beliau berkata, sebaik berjaya melarikan diri, mangsa segera membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

Mangsa dan ahli keluarganya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan barangan berharga dan wang tunai tidak berjaya dilarikan suspek.


"Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis kemudian menjalankan operasi mengesan suspek sebelum terserempak dengan sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di Plaza Tol Sungai Ramal kira-kira jam 2 pagi.

"Sebaik berjaya memintas kereta berkenaan, polis kemudian berjaya menahan kesemua suspek dan hasil pemeriksaan polis menemui dua bilah parang, pisau dan besi kuku kambing," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.


Menurutnya, polis percaya suspek yang berusia antara 19 dan 26 tahun yang berasal dari Shah Alam dan Klang itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes samun yang dilaporkan sebelum ini namun siasatan lanjut sedang dijalankan.


Siasatan awal polis juga mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Rempuh lori melintang

Posted: 27 Aug 2012 11:53 AM PDT

MELAKA: Seorang guru yang juga jurulatih hoki di Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 197.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Ayer Keroh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa Mohamad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, dalam perjalanan pulang ke SSBP selepas menyambut hari raya bersama isteri dan mentuanya di Cheras, Kuala Lumpur.

Turut terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu Perodua Myvi, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang parah di kepala, manakala pemandu lori, Rosli Md Nor, 37, patah kaki kanan kerana tersepit dalam kenderaannya, sementara empat sekeluarga yang menaiki Proton Iswara cedera ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu Rosli merempuh bahagian belakang sebuah treler sebelum lori berkenaan dirempuh Perodua Myvi dipandu Muhammad Farid.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Terpedaya helah loteri RM1.2j

Posted: 27 Aug 2012 11:50 AM PDT

GEORGETOWN: Terpengaruh dengan tipu helah seorang lelaki kononnya dia memenangi loteri RM1.2 juta, seorang suami tergamak mengkhianati isterinya dengan mencuri pelbagai jenis deposit tetap serta barang kemas bernilai hampir RM900,000 bagi membayar wang pengurusan, derma serta membeli beras dan kertas azimat sebelum boleh menerima hadiah loteri berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, seorang wanita dari Balik Pulau berusia 60-an membuat laporan polis pada 19 Ogos lalu, mengenai kehilangan lapan keping dokumen deposit tetap CIMB Bank dan Maybank bernilai RM800,000 serta barang kemasnya bernilai RM100,000.

Menurutnya, siasatan kemudian mendapati suami mangsa yang berusia 60-an, disyaki mengambil dokumen serta barang kemas berkenaan tanpa pengetahuan isterinya.

Katanya, polis menahan suami wanita itu dan selepas disoal siasat, dia mengaku mengambil semua barangan berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Tidak lokek kongsi rezeki

Posted: 27 Aug 2012 07:59 AM PDT

PENING dan garu kepala saja reaksi yang diberi tatkala persoalan mengenai sambutan Aidilfitri pertama bagi tiga anak muda ini.

Bagi semua finalis program Mentor musim keenam yang baru pertama kali meraikannya dengan status selebriti, persediaan mereka juga lebih berganda berbanding tahun sebelumnya.

Masing-masing tidak henti berkongsi barang apa yang dibeli, cenderahati yang sesuai diberikan kepada keluarga dan tetamu, tarikh mengadakan rumah terbuka dan bermacam-macam lagi.

Kata juaranya juga protege kepada ratu rock negara, Ella, Puteri Caroline Mohd Kamel dan dipersetujui dua lagi temannya, protege kepada Fauziah Ahmad Daud iaitu Noor Nazatul Farahin (Zatul) dan lelaki tunggal di bawah naungan Faizal Tahir, Anas Ridzuan, dia memang sudah memasang niat untuk membelikan ibu bapa dan adik-beradik yang lain sepasang baju raya.


"Alhamdulillah, tahun ini saya sudah mempunyai wang sendiri dan bertanggungjawab membantu keluarga dalam menyediakan juadah dan kuih-muih pada hari raya. Itu sudah pasti menjadi tugas saya tahun ini dan saya sendiri tidak sabar untuk melakukannya.


"Mujur saya ada Kak Ella, Kak Jojie dan pembantu untuk menemani saya membeli-belah. Maklumlah, pertama kali menyambutnya sebagai penyanyi, saya memang kekok dan janggal. Namun, seronoknya saya melalui pengalaman sepanjang berpuasa bersama mentor sendiri. Kami bangun sahur bersama, berbuka puasa dan pergi ke bazar bersama-sama.

"Setiap tahun, itu adalah rutin kami sekeluarga menyambut Syawal. Walaupun tidak mewah, kami amalkan cara bersederhana namun penuh kemeriahan dan kali ini, saya menghargai keluarga dengan membantu selagi yang mampu," katanya yang kini tinggal bersama Ella di kediaman penyanyi terkenal itu.

Tambah Caroline yang kini berusia 20 tahun ini lagi, jika diberi kelapangan dan rezeki, keluarganya akan mengadakan rumah terbuka khas untuk peminat pada hari raya nanti cuma belum tetap tarikhnya saja.

"Saya diangkat menjadi juara untuk sebuah program realiti. Pastinya kemenangan itu adalah sokongan peminat dan mereka yang mengundi. Untuk saya bertemu setiap seorang mereka dan mengucapkan terima kasih pasti sukar, jadi saya hanya ingin mendekati mereka dengan menjemput semuanya datang ke rumah pada hari raya ini.

"Sambutan Aidilfitri keluarga saya sebenarnya sangat meriah apabila kami berkumpul di rumah nenek untuk masak bersama. Saudara dan sepupu saya semuanya ada untuk menyambut raya bersama. Memang meriah dan seronok setiap kali datangnya raya. Makanan wajib saya pada hari raya sudah tentu rendang daging dan ketupat.

"Tahun ini saya beraya di kampung halaman di Tanah Merah, Kelantan dua hari sebelum raya dan berada di sana selama seminggu memandangkan banyak lagi kerja harus dilakukan. Selepas raya, saya sibuk dengan promosi lagu baru, Melawan Arus Cintamu dan kemudian kembali ke studio untuk merakamkan lagu bersama Kak Ella.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kerjaya nyanyian semakin baik dan banyak undangan persembahan yang diterima. Saya sungguh bertuah kerana Kak Ella sentiasa ada untuk membantu dan mengajar saya," kata anak kelima daripada tujuh beradik ini lagi.

Mendengar kisah Caroline yang bersemangat bercerita mengenai sambutan Aidilfitri di kampungnya yang meriah, Anas yang juga graduan jurusan Filem, Teater dan Animasi dari Universiti Teknologi Mara yang kini berusia 23 tahun lekas menyampuk mengenai kesedihannya.

Katanya yang turut terbabit dalam program raya, Sampaikan Salam di TV3 pada malam raya lalu, dia juga pulang lewat ke Ipoh sebaik habis program secara langsung berkenaan.

"Itulah pengorbanan saya yang pertama sebaik keluar daripada Mentor. Komitmen dan tanggungjawab sebagai seorang artis, saya terpaksa pulang lewat untuk bersama keluarga kerana terbabit dalam Sampaikan Salam. Namun itu bukanlah masalah kepada saya kerana sudah biasa berjauhan daripada keluarga dan seronok dapat merasai pengalaman pulang ke kampung pada pagi raya.

"Kebetulan saya anak sulung daripada empat beradik, jadi sudah tentu tahun ini saya perlu menyediakan kelengkapan raya untuk adik seperti pakaian dan kelengkapan lain. Saya juga sudah berniat membelikan mak dan ayah sepersalinan baju raya. Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu membazir dan membeli apa yang perlu saja.

"Duit raya pula sudah pasti saya sediakan. Maklumlah kali pertama menjadi penyanyi, memang ramai anak saudara, sepupu dan tetamu yang datang. Memang setiap tahun, ramai kanak-kanak yang datang beraya di rumah dan saya pula memang tugasnya melayan mereka. Jadi kali ini, saya memang berniat menyediakan mereka duit raya hasil titik peluh sendiri.

"Pada raya ketiga, saya mengadakan rumah terbuka untuk sanak saudara, teman-teman dan peminat di Ipoh," katanya yang menggemari biskut nestum conflakes buatan ibunya.

Bakal muncul dengan lagu Hanya Dirimu ciptaan Audi Mok dan liriknya tulisan mentornya sendiri, Faizal Tahir, anak muda ini kembali daripada bercuti raya selama seminggu untuk memberi tumpuan kepada kerjanya.

"Saya muncul dalam drama raya berjudul 2 Dalam 1 bersama Anzalna dan Akim Aidilfitri ini dan insya-Allah selepas itu, saya sibuk dengan membintangi pementasan teater kecil berjudul Kawan-Kawan Yang Kita Suka di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka. Itu sudah minat sejak dulu lagi, namun keutamaan memang pada nyanyian.

"Peminat yang tidak sabar mendengar lagu baru daripada saya, jangan lupa untuk mendengar Hanya Dirimu," katanya lagi.

Bersandar pada raut manis dengan persalinan kebaya moden petang itu, Zatul yang ditemani ibunya berkongsi kisah lebih menarik. Meskipun masih muda, rupa-rupanya anak kedua daripada tiga beradik ini seorang yang pandai memasak. Lantas bercerita soal persiapan dan juadah pada pagi raya, itu sudah menjadi rutinnya setiap tahun.

"Saya memang minat masak dan alhamdulillah keluarga memang suka dengan masakan saya. Ibu yang banyak mengajar dan kebetulan saya memang minat masak. Hari raya juga sudah menjadi tugas saya untuk menyediakan juadah dan masakan untuk tetamu terutamanya makanan kegemaran saya iaitu soto, lontong dan rendang daging.

"Saya juga mengadakan rumah terbuka selepas selesai berpuasa enam nanti. Jemputlah kepada semua peminat dan mereka yang pernah menyokong saya ketika di Mentor untuk turut sama beraya bersama saya dan keluarga," katanya.

Zatul yang tampil hebat pada malam akhir Mentor lalu menerusi lagu Tinggalkan Yang Lalu akan kembali sibuk merencana untuk lagu keduanya.

"Alhamdulillah Kak Ogy banyak membantu dan membimbing. Saya akan kembali ke studio untuk lagu kedua nanti dan ketika ini, saya dan Kak Ogy masih tercari-cari material terbaik yang sesuai untuk saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Cinta pertama Afdlin

Posted: 27 Aug 2012 07:47 AM PDT

UNTUK Tiga Hari adalah filem genre cinta pertama diarahkan Afdlin Shauki. Dikenali menerusi hasil karya berunsurkan komedi, nyata tanggungjawab menghasilkan filem itu memberi cabaran sangat besar buat pengarah, pelakon dan produser berkenaan.

"Filem ini adalah sebuah karya adaptasi novel, justeru saya perlu memanfaatkan durasi hampir 120 minit untuk memberi gambaran yang jelas mengenai perjalanan cerita seperti terdapat dalam novel.

"Memang mustahil untuk merakamkan semua saat berharga, jadi saya bekerja sangat dekat dengan penulis novel merangkap penulis skrip iaitu Ahadiat Akashah untuk memastikan setiap babak yang mengisi filem itu adalah yang terbaik kerana dia lebih tahu apakah momen penting patut diketengahkan.

"Sebagai pengarah, saya amat teliti dalam pemilihan pelakon kerana mereka haruslah memenuhi kriteria untuk menerajui watak yang terdapat dalam novel berkenaan.


"Rashidi Ishak, Vanidah Imran, Ayu Raudhah, Zizan Nin, Dira Abu Zahar, Zizan Raja Lawak dan Fauziah Ahmad Daud adalah pelakon yang paling sesuai untuk menerajui karakter novel ini.


"Keindahan novel ini turut merangsang saya untuk melakonkan salah satu watak iaitu Armi menerusi filem bertemakan cinta kompleks dan jodoh daripada Tuhan ini," katanya.

Filem yang bakal menjengah pawagam pada 20 September ini disuntik dengan kekuatan emosi dan memperlihatkan sekali lagi bagaimana Afdlin masih menitikberatkan unsur tradisi Melayu melalui adegan perkahwinan dan adat resam dalam Untuk Tiga Hari.

Ini secara tidak langsung mampu memperkembangkan budaya dan adat resam orang Melayu kepada penonton bukan berbangsa Melayu.

Untuk Tiga Hari adalah lanjutan daripada kejayaan filem Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu yang merangsang Tarantella Pictures (M) Sdn Bhd untuk menerbitkan lebih banyak filem adaptasi novel popular.

Untuk Tiga Hari, karya nukilan novelis terkenal, Ahadiat Akashah memaparkan kisah cinta dan perkahwinan diatur keluarga serta kesengsaraan dalam percintaan apabila darjat dan kedudukan lebih diutamakan.

Bertitik tolak daripada novel ini, pihak penerbit bertemu muka dengan Ahadiat untuk berbincang akan kemungkinan memindahkan naskhah novel ini ke medium filem.

Apabila persetujuan ini dicapai, pihak Tarantella juga menawarkan Ahadiat untuk menjadi penulis skrip filem ini di samping Armantono, pembikin filem terkenal Indonesia.

Bukan mudah untuk menghasilkan filem berdasarkan novel, apatah lagi ia biasa dibaca dan diminati ramai pembaca novel tegar. Namun begitu, harus difahamkan bahawa beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan bagi menjayakan proses adaptasi ke filem ini.

Selain jalan cerita dan pendekatan emosi di sebalik humor yang dipertontonkan, kekuatan sinematografi oleh Helmi Yusof harus dipuji.

Beliau yang pernah bekerja dengan Afdlin Shauki sebagai pengarah fotografi menerusi filem Papadom dan juga Sumo-lah ternyata mampu memberikan hasil yang terbaik menerusi filem ini. Dia juga pernah memenangi Anugerah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22.

Proses praproduksi berjalan dan lokasi yang sesuai mula dicari Ketua Produksi, Ahmad Zaidi. Filem ini banyak membabitkan lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Filem ini menampilkan era moden, namun masih mengekalkan tradisi dan nilai kemelayuan. Walaupun ada adegan perkahwinan di hotel, namun pakaian masih mengekalkan konsep Melayu tradisional.

Hazama dan Fina AF9 dipilih untuk menyanyikan lagu tema Untuk Tiga Hari yang bertajuk 'Dilema Hati'. Hasil paduan dua suara hebat ini berjaya menghasilkan runut bunyi hasil ciptaan Azman Abu Hassan yang baik dan sedap didengar.

Terdapat juga lagu hasil nyanyian Joe Flizzow, DJ Fuzz dan Aizat yang rancak untuk menghasilkan mood ketika adegan di kelab yang sering dikunjungi Armi ketika muda.

Ternyata filem garapan Afdlin ini walaupun yang pertama, namun dijangka mampu mencengkam jiwa penonton mengenai kisah cinta dan jodoh dua pasangan di dalam filem Untuk Tiga Hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Wanita 15 suami diburu

Posted: 27 Aug 2012 10:12 AM PDT

KERALA: Seorang wanita yang melarikan diri dari bandar raya ini diburu polis selepas meninggalkan setiap lelaki yang dikahwininya.

Shahanaz, 33, dipercayai berkahwin dengan puluhan lelaki sejak beberapa tahun lalu. Walaupun sesetengah laporan mendakwa dia 'berkahwin' lebih 50 kali, pihak berkuasa berkata hanya 15 lelaki yang tampil membuat laporan.


Shahanaz pertama kali berkahwin kira-kira 11 tahun lalu dengan seorang lelaki bernama Siddique dan mempunyai seorang anak.

Bagaimanapun, berita mengenai perkahwinannya hanya terbongkar apabila dua daripada suaminya tampil di balai polis Chennai dan aduan susulan dibuat oleh beberapa mangsa lagi.


Keseluruhannya tujuh aduan rasmi sudah dibuat terhadapnya, tetapi tidak mustahil lebih ramai lagi mangsa yang akan muncul.


Aduan pertama dibuat oleh Manikandan, 24, yang bekerja di bilik pameran kedai kereta.

Shahanaz memberitahunya dia mencari lelaki yang menipu kawannya selepas berjanji untuk mengahwininya.


Menurut akhbar Indian Express, mereka banyak kali bercakap di telefon dan kemudian menjadi rapat.

Shahanaz memberitahunya dia anak yatim sejak kecil dan mendakwa bekerja sebagai peguam bela di mahkamah tinggi Madras. Dia juga memberitahu sedang belajar untuk menduduki peperiksaan perkhidmatan awam.


Mereka berkahwin April lalu tanpa restu ibu bapa Manikandan.


Dua bulan kemudian, Shahanaz meyakinkan Manikandan dia perlu tinggal di asrama supaya dapat bersedia untuk menduduki peperiksaan.


Manikandan mendakwa dia menjual barang kemas yang dibeli untuk perkahwinan mereka untuk digunakan Shahanaz. Dua minggu kemudian, Shahanaz hilang dari asrama dan tidak dapat dikesan.


Ketika polis mula menyiasat kes itu, seorang lagi lelaki, Prasanna, pemain bola sepak daerah tampil mengatakan dia juga berkahwin dengan Shahanaz beberapa tahun lalu.


Polis kini mendapati Shahanaz turut berkahwin dengan orang lain termasuk Rajesh, Chandrababu dan Saravanan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Doktor palsu rawat 500 pesakit

Posted: 27 Aug 2012 09:57 AM PDT

AUSTELL (Georgia): Seorang lelaki mencuri identiti rakannya dan menyamar sebagai doktor selama enam bulan, merawat hingga 500 warga emas di seluruh Columbia, Carolina Selatan.

Ernest Addo, 48, dari Austell, Georgia, ditahan Jumaat lalu dan didakwa kerana mempraktikkan bidang perubatan secara haram.


Pusat Jagaan Orang Tua Agape, mengambilnya bekerja Februari lalu menerusi dokumen sokongan dan dia merawat pesakit hingga Rabu lalu sebelum berhenti kerja.

Timbalan polis daerah Lexington kini berada di Georgia untuk menyoal siasat suspek dan memulakan proses ekstradisi, kata Sheriff James Metts. Addo menggunakan dokumen milik rakannya, doktor di Orangeburg untuk meyakinkan Pusat Jagaan Orang Tua Agape bahawa dia doktor berkelayakan.


Polis cuba untuk memastikan sama ada Addo mempunyai sebarang latihan perubatan dan masih menyiasat jenis rawatan yang diberikan kepada pesakit di pusat Agape di Columbia Barat, Irmo dan Columbia.


Hari dia berhenti kerja adalah hari sama rakannya menyedari Addo mendaftar kad kredit menggunakan namanya dan segera menghubungi polis. Pihak pentadbiran Agape berkata, semua kelayakan dan nama rujukan yang diberikan Addo adalah sokongan daripada majikan sebelumnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rancang kahwin

Posted: 27 Aug 2012 10:44 AM PDT

BEKAS pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei bakal mengikut jejak langkah Lin Dan yang akan melangsungkan perkahwinan selepas merancang menamatkan zaman bujangnya tahun depan.

Pemain yang kini berada di ranking kedua dunia bakal mengahwini bekas ratu badminton negara Wong Mew Choo, meskipun pernah berpisah.


Begitupun Chong Wei belum menetapkan tarikh dan tempat melangsungkan perkahwinan.

"Mungkin saya akan berhenti bermain tahun depan kerana tiada kejohanan besar dan mahu merancang perkahwinan. Saya tidak lagi muda seperti dulu," kata Chong Wei.


Mew Choo, 29, kini bergelar jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) selepas bersara sebagai pemain tahun lalu.


"Kami saling mengenali sejak sekian lama. Ada kalanya berdepan situasi sukar dan bahagia, itulah hubungan kami kerana saya fokus kepada kerjaya dan salah faham sering berlaku," kata Chong Wei mengulas mengenai kisah cintanya dengan Mew Choo yang pernah terputus sekitar 2009, ketika dia menjalani latihan di Korea Selatan. -Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Sathia tolak andaian

Posted: 27 Aug 2012 10:41 AM PDT

JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan menolak andaian beliau memiliki kelebihan untuk mengatasi pasukan yang dibentuknya sebelum ini, Kelantan apabila mereka bertemu dalam perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia malam ini.

Jurulatih berusia 54 tahun itu dianggap individu penting dalam pembentukan pasukan Kelantan bermula pada 2009 dan setahun kemudian menuai hasil membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama ke Kota Bharu.


Selepas jodohnya bersama The Red Warriors hanya bertahan sehingga 2011, beliau kini hadir bersama skuad 'serba baru' ATM yang mampu menghadirkan ancaman buat Kelantan dalam kempen kali ini.

Hampir semua pemain utama Kelantan ketika di bawah kendaliannya kini masih beraksi dan beliau sudah pasti tahu mengenai rahsia kekuatan dan kelemahan pasukan juara Liga Super itu apabila membuat perhitungan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.


"Bagi saya ini bukan satu kelebihan, mereka juga tahu cara saya, apa yang saya ajar sama dengan apa yang saya gunakan dengan ATM, kedua-dua pasukan ada kelebihan. Bagi saya pasukan mana yang mendapat rentak lebih awal, mereka mempunyai peluang untuk menang perlawanan esok (malam ini)," katanya.


Biarpun sudah mencatat dua kemenangan berturut-turut mengatasi Kedah 2-0 dan Terengganu 2-1, Sathianathan masih belum mahu mendabik dada kerana baginya, laluan untuk melepasi Kumpulan Maut ini masih terbuka.

"Pasukan saya akan bertemu gergasi bola sepak Malaysia Kelantan yang saya bentuk pada 2010. Mereka ini mempunyai keserasian yang baik sedangkan pasukan saya masih 'muda'. Kami menghormati mereka tapi kami tidak takut.


"Kemenangan ke atas Kelantan belum menjamin untuk kami layak ke suku akhir tapi ia akan memudahkan kerja kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved