Selasa, 4 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Tabah hadapi dugaan

Posted: 04 Sep 2012 04:04 PM PDT

TIDAK semua orang mampu menempuh dugaan dengan penuh cekal, apatah lagi apabila ia membabitkan ahli keluarga yang sakit.

Namun pasangan Zaleha Mohd Taib, 59, dan Idris Hamzah, 65, mengharungi segala dugaan yang mendatang dengan penuh kesabaran dan keredaan.

Bermula daripada peristiwa Idris yang mengalami serangan angin ahmar pada 2008 menyebabkannya lumpuh selama empat tahun, Zaleha pula menghadapi masalah kesihatan selepas mengalami kemalangan di tempat kerja dua tahun selepas suaminya lumpuh.

Mungkin pada sesetengah orang ia penamat kepada segalanya dan hanya berserah kepada takdir. Namun, bagi Zaleha, setiap dugaan buat dirinya dan keluarga itu dilalui dengan penuh keredaan dan kecekalan kerana pasti tersembunyi hikmah di sebalik segala dugaan itu.


Mengimbau kembali pengalamannya menjaga suami sakit, Zaleha menjalankan rutin hariannya seperti biasa, tetapi memperuntukkan masa untuk mengendalikan keperluan suami terlebih dulu.


"Saya bangun seawal jam 5 pagi setiap hari untuk melakukan urusan kerja rumah kemudian menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari untuk suami. Selepas itu, barulah saya bersiap untuk ke tempat kerja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kondo Rakyat, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia perlu berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah pada waktu makan tengah hari untuk menguruskan keperluan suami sebelum kembali ke tempat kerja semula selepas itu.

Tanpa banyak pilihan, Zaleha terpaksa meninggalkan suaminya bersendirian di rumah ketika itu memandangkan tidak mampu mengupah pembantu. Sebaliknya, dia bergantung kepada ihsan jiran tetangga untuk memantau keadaan suaminya sepanjang ketiadaannya.

"Walaupun bimbang dengan keadaan dirinya bersendirian di rumah, saya bertawakal dan berserah kerana hanya itu mampu dilakukan bagi memastikan kami dapat melunaskan perbelanjaan bulanan.

"Pada waktu rehat, saya balik ke rumah untuk menguruskan keperluan suami sebelum kembali bekerja pada waktu petang," katanya.

Sungguhpun terpaksa berpenat dan berulang-alik dari tempat kerja, baginya itu satu kewajipan demi memastikan keadaan serta kebajikan suami terjaga.

Jika sebelum ini pendapatan bulanan bergantung kepada gaji bulanannya bersama suami yang bertugas sebagai pengawal keselamatan, tetapi selepas kejadian itu, dia perlu mengambil alih tanggungjawab itu sepenuhnya.

Tidak dinafikan, sepanjang tempoh berkenaan, kedudukan kewangan bulanan keluarga agak sukar kerana dia bukan saja perlu menguruskan suami, malah menampung anak yang masih bersekolah ketika itu.

"Segalanya saya lakukan secara sederhana kerana mengetahui jumlah pendapatan hanya sekadar cukup makan.

"Tetapi saya bersyukur kerana walaupun perlu bersusah, kami masih mampu untuk makan dan tinggal di rumah sendiri," katanya.

Zaleha yang bekerja sebagai pencuci bangunan berkata, sebelum ini keadaan dirinya dan keluarga bertambah tidak menentu selepas dia mengalami kemalangan ketika di tempat kerja menyebabkan kepala lututnya patah.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, hanya Allah saja yang tahu betapa sukar untuk menguruskan diri sendiri dan membantu suami yang lumpuh.

Namun, dia bernasib baik kerana ketika itu suaminya berada dalam proses pemulihan dan sudah boleh melakukan sendiri aktiviti harian yang mudah walaupun masih lagi perlu dibantu.

"Disebabkan kemalangan itu, saya terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu melakukan tugasan seperti biasa dan terhad kepada aktiviti tertentu saja.

"Malah, pergerakan saya juga agak terbatas kerana tidak mampu berdiri terlalu lama dan sukar untuk bangun. Saya terpaksa mengambil masa untuk bangun dan berdiri," katanya.

Selepas empat tahun, suaminya kini sudah boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri walaupun masih belum dapat bertutur dengan baik.

Zaleha berkata, perkembangan ditunjukkan suaminya amat memberangsangkan dan dia berharap satu hari nanti dia akan kembali pulih seperti sedia kala.

"Saya kini menyara keluarga dengan memelihara anak jiran sebagai sumber pendapatan sambilan. Sekurang-kurangnya saya ada aktiviti untuk dilakukan memandangkan anak juga sudah besar dan ia mengisi ruang untuk terus aktif dengan cara tersendiri bersama suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Sedap, cantik, ringkas

Posted: 04 Sep 2012 06:17 AM PDT

NAMANYA kuih goyang kerana ketika hendak menggoreng dan mengeluarkannya daripada acuan, acuan berkenaan digoyang sedikit.

Satu lagi nama popularnya ialah kuih ros kerana bentuknya seperti bunga. Ia kuih tradisional yang popular ketika raya atau majlis perkahwinan kerana bukan saja rasanya sedap, bentuknya juga cantik dengan bahannya yang ringkas.

Kini kuih goyang atau ros boleh didapati sepanjang tahun kerana ia sudah dikomersialkan sebagai makanan kudapan.

Sering melihat kuih goyang, penulis sudah biasa dengan keadaan dan rasanya.

Tetapi perasaan penulis berubah 360 darjah apabila melihat kuih goyang dihasilkan Maria Rabikat.

Maria, 37, membuat sesuatu yang menjadikan kuih goyang tampil ceria dan glamor. Kuih goyang dibuat dengan pelbagai warna membuatkan sesiapa saja melihatnya pasti terpikat.

"Apabila membuat kuih goyang yang berwarna-warni, anak-anak saya sangat suka berbanding warna biasa sebelum ini," cerita Maria, ibu empat cahaya mata ini.

Kenang Maria, ketika kecil dia suka melihat arwah neneknya membuat kuih goyang.

"Kini untuk mendapatkan resipi, saya bertanya pula pada emak. Arwah nenek dulu biasa membuatnya menjelang raya. Waktu itu warna yang digunakan biasa saja.
Idea membuat kuih goyang warna-warni ini kerana saya sukakan kelainan dan sesuatu yang ceria," katanya.

Ada yang menempah, jadi dia mula menjualnya dengan harga RM20 bagi 50 keping.
Maria juga tidak kedekut berkongsi resipi, cara dan petua membuatnya.

"Antara petua, jika mahu gunakan pewarna, jenis serbuk memang terbaik tetapi ia sukar didapati. Saya tidak menggunakan kapur kerana ia menghasilkan bau yang kurang menyenangkan walaupun ada yang kata kapur merangupkan adunan.

"Saya juga gunakan telur untuk mendapatkan adunan yang lembut dan rangup. Bagi mengelakkan hanyir, saya campurkan esen ros," katanya mengakui, pada peringkat awal memang biasa melakukan kesilapan dan kemudian ia diperbaiki dari semasa ke semasa.

Akuinya, proses membuat kuih ini memang lama dan perlukan kesabaran.

"Setiap hari selama seminggu saya mencuba dan mendapatkan rentak membuatnya.
Pada awalnya adunan melekat, terkembang dan macam-macam lagi cabarannya. Kini setelah mengumpul pengalaman, saya boleh mengagak kepanasan minyak supaya adunan tidak melekat seperti peringkat awal dulu. Semakin lama, saya juga semakin mahir," katanya.

Walaupun Maria mengubah suai warna asal kuih goyang mengikut seleranya yang sukakan keceriaan, rasa kuih tetap tidak berubah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Dalang dadah miliki hotel

Posted: 03 Sep 2012 01:30 PM PDT

KUALA LUMPUR: Hasil menjadi perancang utama sindiket penyeludupan dadah menggunakan keldai dadah terdiri daripada wanita tempatan dan warga asing, seorang lelaki rakyat Nigeria dikesan mampu memiliki hotel sendiri di negara asalnya selain menginap di banglo dan menggunakan beberapa kereta mewah di Malaysia.

Lelaki berusia 31 tahun yang diburu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak lebih enam bulan lalu itu diberkas di Lukut, Negeri Sembilan, Sabtu lalu selepas polis mendapat maklumat hasil beberapa serbuan dan tangkapan dilakukan sejak 27 Ogos lalu membabitkan nilai rampasan dadah berjumlah RM7 juta.


Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam beberapa serbuan dilakukan di ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan minggu lalu, seramai sembilan suspek ditahan termasuk ketua sindiket dadah antarabangsa terbabit.

"Jumlah tangkapan seramai sembilan suspek berusia 25 hingga 38 tahun termasuk ketua sindiket terbabit iaitu lima lelaki dan seorang wanita warga Nigeria, seorang lelaki warga Iran serta masing-masing seorang wanita warga Zambia dan seorang lagi wanita tempatan.


"Dadah dirampas pula sebanyak 32.4 kilogram syabu dan 16.9 kilogram heroin dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, ketua sindiket dadah itu diberkas bersama seorang wanita tempatan yang mendakwa isteri suspek dan polis menyita dua kenderaan BMW dan Toyota Camry, namun tiada rampasan dadah di banglo mewah didiami pasangan terbabit.

"Sindiket dadah antarabangsa itu sudah beroperasi lebih daripada enam bulan dengan melakukan kegiatan menyeludup dan menjadikan Malaysia sebagai transit terutama dadah jenis syabu sebelum diedar untuk pasaran tempatan dan beberapa negara lain di Eropah, Asia dan Amerika Selatan.


"Antara modus operandi sindiket didalangi warga Nigeria itu adalah menggunakan beg pakaian yang diubah suai untuk menyembunyikan dadah sebelum diseludup masuk keldai dadah melalui lapangan terbang dan kami akan berhubung dengan Interpol untuk menyiasat rangkaian sindiket itu serta memburu ahlinya yang masih bebas" katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan kelmarin, Noor Rashid berkata, pihaknya menahan sepasang suami isteri dan anak perempuannya berusia 18 tahun serta warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merampas syabu seberat 2.4 kilogram.


"Pada hari sama, kami menahan dua beradik perempuan berusia 54 dan 57 tahun dari Iran di KLIA selepas hasil pemeriksaan menemui 4.2 kilogram syabu dalam bagasi mereka.


"Ini menjadikan keseluruhan dadah dirampas sepanjang minggu lalu dianggarkan bernilai RM8.3 juta membabitkan 39 kilogram syabu dan 16.9 kilogram heroin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Rempuh kereta perompak

Posted: 03 Sep 2012 11:45 AM PDT

SHAH ALAM: Akibat marah dan bengang apabila cuba dirompak, dua lelaki nekad mengejar perompak terbabit sebelum merempuh kereta penjenayah terbabit dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Subang Jaya, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa bersama majikannya pergi stesen minyak berkenaan untuk mengisi petrol terkejut dengan kehadiran dua lelaki tempatan menaiki Perodua Myvi yang kemudian mengacukan objek dipercayai pistol terhadap mereka.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa yang bersendirian didatangi suspek ketika majikannya membuat bayaran di kaunter.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 25 dan 43 tahun itu mengarahkan mangsa menyerahkan dompet dan wang, namun membatalkan hasratnya apabila majikan mangsa melihat ke jadian itu.


"Suspek melarikan diri dengan seorang lagi rakan yang sedia menunggu dalam kereta, namun dikejar mangsa dan majikannya.


"Mangsa mengejar suspek hingga ke sebuah kawasan perumahan di Seksyen 14, Subang Jaya," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, mangsa merempuh bahagian belakang kereta suspek sehingga hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan sebelum kedua-dua mereka keluar dari kereta dan melarikan diri.


Menurutnya, mangsa menghubungi polis dan sepasukan anggota dari balai berhampiran dikejarkan ke tempat kejadian dan menahan suspek yang bersembunyi di kawasan perumahan itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui satu objek dipercayai sepucuk pistol mainan, lampu suluh, telefon bimbit dan sebuah beg dalam kereta suspek.


"Hasil ujian air kencing dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berasal dari Petaling Jaya didapati positif dadah jenis syabu, namun tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kerat alat sulit teman lelaki

Posted: 03 Sep 2012 10:56 AM PDT

PERU: Seorang wanita berang yang cemburu mengerat kemaluan pasangannya sebelum membuang alat sulit itu dalam mangkuk tandas.

Dia bertindak demikian selepas mendapat tahu lelaki itu bermain kayu tiga.


Huaman Julia Muoz, 41, memutuskan untuk membalas dendam terhadap pasangannya, Ramon Arias Apayco, 46, ketika mangsa sedang tidur. Huaman didakwa mengerat kemaluan teman lelakinya dengan pisau ketika lelaki terbabit tidur di sebuah asrama di Brena, lapor laman web The New Age.

Wanita berkenaan cuba melarikan diri selepas melakukan perbuatan itu, tetapi ditangkap kakitangan asrama sebelum mereka menghubungi polis.


Ketika disoal polis mengenai serangan itu, Huaman, mengaku mendapat tahu pasangannya tidak setia dan bertindak sedemikan kerana berang. Apayco dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.


Ini bukan kali pertama wanita membalas dendam ekoran kejadian seumpamanya. Seorang wanita di selatan Bangladesh sebelum ini mengerat kemaluan seorang lelaki ketika percubaan untuk merogolnya. Dia membawa alat sulit itu ke balai polis sebagai bukti, lapor BBC.

Insiden itu berlaku di kampung Mirzapur, Jhalakathi, kira-kira 200 kilometer ke selatan Dhaka pada Mei tahun lalu.


Monju Begum, 40, yang sudah berkahwin memberitahu polis, jirannya, Mozammel Haq Mazi menceroboh masuk ke rumahnya dan mula menyerangnya. Mozammel yang menafikan tuduhan itu dimasukkan ke hospital berdekatan.

Dalam kejadian lain Julai tahun lalu, Catherine Kieu Becker dari California ditahan selepas memberi dadah kepada bekas suaminya. Catherine mengikat mangsa di katil, memotong kemaluan lelaki itu sebelum mencampakkannya ke dalam tong sampah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Lelaki letup pejabat kerajaan maut, enam lagi cedera

Posted: 03 Sep 2012 10:54 AM PDT

BEIJING: Seorang penduduk kampung di kawasan luar bandar di timur China yang tidak berpuas hati dengan ketidakadilan sosial, meletupkan bahan letupan di bangunan kerajaan tempatan semalam.

Tindakan itu menyebabkan dia terbunuh dan enam orang cedera, lapor akhbar milik kerajaan.


Qu Huaqiang, didakwa meletupkan bahan letupan buatan sendiri di pejabat kerajaan di Tengjia, wilayah Shandong, lapor agensi berita Xinhua. Tidak dapat dipastikan sama ada mereka yang cedera itu pegawai kerajaan. Berita mengenai pengeboman itu tersebar secara meluas di Internet dengan beberapa penulis blog meluahkan simpati terhadapnya dengan menganggap Huaqiang mangsa sistem petisyen di China, institusi tua yang mensasarkan untuk menangani ketidakadilan.

Seorang pegawai di Tengjia yang dihubungi media mengesahkan insiden pengeboman itu, tetapi menafikan Qu adalah pempetisyen. Pihak berkuasa majlis perbandaran masih menyiasat kejadian itu.


Kepesatan perkembangan ekonomi China sejak 30 tahun lalu menyebabkan jurang pendapatan melebar antara golongan miskin dan kaya di China, dengan mereka yang termiskin di negara itu sering mengadu dieksploitasi oleh kerajaan tempatan berkait dengan isu tenaga buruh dan kawasan perladangan yang murah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Buru hingga ke hospital

Posted: 03 Sep 2012 01:28 PM PDT

JEMPOL: Lima lelaki bertindak nekad mengekori seorang lelaki yang cedera dalam pergaduhan hingga ke Jabatan Kecemasan Hospital Jempol (HJ), di sini, sebelum menetak mangsa, dalam kejadian malam kelmarin.

Kejadian jam 8 malam itu turut disaksikan kakitangan hospital termasuk doktor serta jururawat yang terkejut melihat tindakan ala mafia suspek yang menyerang mangsa.

Sebelum itu, pada jam 6 petang hari sama, mangsa, lelaki berusia 35 tahun terbabit dalam pergaduhan dengan seorang daripada suspek berusia 21 tahun kerana tidak puas hati apabila lelaki itu mengganggu adiknya di Taman Satelit, Bahau, di sini.

Menurut sumber, dalam pergaduhan itu, suspek cedera di kaki, manakala mangsa cedera di kepala sebelum dibawa adiknya ke Hospital Jempol tanpa menyedari suspek masih tidak puas hati dan membawa empat rakan mengekorinya ke hospital.


"Lima lelaki berusia 20-an itu memasuki kawasan hospital berkenaan dengan membawa parang dan menyerang mangsa yang mendapatkan rawatan dengan ditemani keluarganya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Bilik kebal berlubang

Posted: 03 Sep 2012 01:28 PM PDT

SUNGAI SIPUT: Seorang pekerja kedai emas tergamam melihat dinding dan bilik kebal premis itu di Jalan Besar Sungai Siput, di sini, berlubang dipercayai ditebuk sekumpulan perompak awal pagi semalam.

Sumber polis berkata, kejadian berkenaan dipercayai dilakukan kumpulan penjenayah yang melakukan rompakan licik itu antara jam 12 tengah malam kelmarin hingga awal pagi semalam dan melarikan barang kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Menurutnya, pekerja berkenaan hanya menyedari rompakan yang berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam ketika hendak memulakan perniagaan apabila mendapati dinding batu di sebelah kiri premis itu yang bersambung dengan sebuah lagi premis kosong dipecahkan perompak.

"Penjenayah dipercayai merancang rapi rompakan itu dan turut berupaya menebuk bahagian atas peti besi di premis berkenaan sebelum menyapu bersih semua barang kemas disimpan di dalamnya," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes rompakan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Buat ujian poligraf

Posted: 03 Sep 2012 10:44 AM PDT

"MARI kita lakukan ujian poligraf (pengesan pembohongan)!" Itu saranan jurulatih Terengganu, Peter Butler kepada pemain pertahanan, Muslim Ahmad dan pemain tengah, Ismail Faruqi Asha'ri untuk menentukan siapakah yang bercakap benar.

Jemu dengan penafian berterusan kedua-dua pemain yang sudah digugurkan dari skuad Penyu, jurulatih berusia 46 tahun itu yakin, ujian poligraf mampu membuktikan sama ada pemain terbabit bercakap benar apabila berkata tidak ada wanita bersama mereka di hotel penginapan pada awal pagi hari perlawanan menentang Kedah di Alor Setar, minggu lalu.


Jurulatih bangsa Inggeris itu berkata, beliau sanggup membiayai segala perbelanjaan untuk kedua-dua pemain itu menjalani ujian pengesanan pembohongan di tempat yang mereka pilih sama ada dalam atau luar negara.

"Saya sanggup bayar harga tiket kapal terbang, penginapan dan bayaran ujian walaupun mereka pilih untuk melakukannya di luar negara kerana yang penting ialah mencari kebenaran.


"Saya juga sanggup menjalani ujian poligraf bersama mereka kerana saya tahu itu saja yang dapat memuaskan hati semua pihak," katanya.


Menurut Butler, usul menonton rakaman kamera litar tertutup mungkin menemui jalan buntu kerana pihak hotel cuma boleh menunjukkan pita rakaman kepada pihak berkuasa saja.

"Mungkin jika ada pihak yang membuat laporan polis, pita rakaman itu dapat diteliti pihak berkuasa tapi buat masa ini, tiada laporan polis dibuat.


"Pilihan yang ada sekarang ialah ujian poligraf dan sekiranya kos ujian itu saya yang tanggung, tidak ada sebab kedua-dua pemain itu menolak pelawaan ini," katanya.

Menurutnya bekas jurulatih Kelantan itu, ujian itu sebenarnya lebih penting kepada kedua-dua pemain berbanding dirinya kerana tindakan menggugurkan mereka daripada pasukan bukan kerana mereka berfoya-foya dengan wanita.


"Mereka mengaku pulang lewat ke hotel sedangkan masa ditetapkan untuk pemain tidur pada malam sebelum perlawanan adalah jam 10.30.


"Saya sudah jelaskan sebelum ini saya tidak kisah kelakuan mereka dengan wanita cuma tidak mahu mereka melakukannya pada masa tidur dan agak keterlaluan pulang ke hotel jam 3 pagi," katanya.


Katanya, beliau ada mendengar sebelum ini yang Ismail dan Muslim, memintanya memohon maaf dan ada juga laporan mengenai mereka mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.


"Saya mempunyai cukup bukti daripada keterangan ramai termasuk dua rakan sepasukan namun saya sanggup memberi peluang kepada mereka menjalani ujian poligraf sekiranya tidak ada apa yang disembunyikan," katanya.


Menurutnya, keputusan mengeluarkan Muslim, Ismail dan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, daripada pasukan dibuat selepas memberi pertimbangan sewajarnya.


"Sharbinee tahu apa yang dibuatnya ketika menepis bola ke dalam gol sendiri dalam pertemuan menentang Kedah (di halaman sendiri, Sabtu lalu) dan dia juga tahu tidak akan menjadi penjaga gol lagi selagi saya melatih pasukan.


"Namun, saya senang hati kerana pemain dan peminat, termasuk Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) menyokong tindakan saya kerana apa yang saya lakukan untuk kebaikan dan kemajuan bola sepak Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Dilema Faizal

Posted: 03 Sep 2012 08:37 AM PDT

"KALAU boleh memang saya mahu beraksi di sana tapi segala-galanya terpulang kepada keputusan jurulatih (Paul Revington) sama ada sedia melepaskan saya atau sebaliknya."

Demikian keluhan penyerang negara, Faizal Saari yang masih tidak pasti sama ada dapat memenuhi tawaran Athletic Terrassa Club dari Liga Sepanyol untuk beraksi bersama mereka ketika khidmatnya juga turut ditagih bagi menggalas tugas bersama skuad negara.


Satu-satunya pemain negara yang menerima dua tawaran dari kelab luar pada Julai lalu, Faizal nyata begitu berminat menyarung jersi kelab yang beraksi di Divisyen Satu Sepanyol itu berbanding satu lagi tawaran, Adelaide Southern Hotshots di Liga Australia.

Namun penyerang negara berusia 21 tahun yang beraksi untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini, tidak pasti sama ada impiannya itu bakal menjadi kenyataan kerana segala kata putus terletak kepada pengurusan skuad negara.


Ini kerana, andai beraksi bersama Athletic Terrassa, Faizal mungkin sukar untuk dilepaskan bagi membantu skuad negara, terutama pada tugasan Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina, November ini.


"Saya difahamkan sekarang masih di peringkat perbincangan antara skuad negara dengan kelab itu. Kalau ikutkan hati, memanglah saya mahu beraksi di Sepanyol.

"Tapi saya juga faham skuad negara memerlukan khidmat saya. Terpulanglah kepada keputusan mereka, jika saya tidak dibenarkan pergi, saya patuh arahan itu," katanya.


Pemain berasal dari Terengganu itu berkata, tidak seperti liga tempatan, Liga Sepanyol berlangsung dalam tempoh yang panjang iaitu hingga awal tahun depan dan ia pastinya menuntut dia memberikan komitmen sepenuhnya.

Andai mendapat lampu hijau, Faizal boleh menyertai kelab itu selepas berakhirnya saingan LHM pertengahan bulan depan.


Tahun lalu, Faizal bersama Mohd Sukri Abdul Mutalib pernah beraksi di Southern Hotshots. Malah dia berjaya meledak tiga gol sepanjang diturunkan dalam lima perlawanan di sana.


Faizal dan Sukri kembali ke Malaysia pada Ogos tahun lalu ketika liga berehat seketika. Mereka sepatutnya kembali ke Adelaide pada September untuk beraksi pada pusingan kalah mati tapi gagal melakukannya kerana berdepan masalah visa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Wawa anak emas MMP

Posted: 03 Sep 2012 06:02 AM PDT

BERNAUNG sebagai residen artis di bawah label produksi terkenal, Metrowealth Movies Production Sdn Bhd (MMP) nyata pilihan tepat buat kebanyakan pendatang baru industri seni. Apatah lagi, produksi milik David Teo ini begitu aktif dalam penghasilan filem dan drama untuk tatapan penonton tempatan.

Malah, sejak beberapa tahun ini filem terbitan MMP dilihat mendominasi tayangan di pawagam. Bahkan, boleh dikatakan setiap bulan ada saja filem terbitannya ditayangkan. Tidak terkecuali, pasti ada 'muka baru' turut diketengahkan bakat lakonan mereka kepada penonton.

Justeru, kini nama bintang meningkat naik seperti Wawa Zainal dan Mon Ryanti bukanlah asing lagi di kalangan peminat industri hiburan tanah air. Biarpun masih baru dan giat menimba pengalaman dalam lakonan, namun tawaran buat mereka membintangi filem nyata tak putus. Ada saja peluang diberikan David.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin kini dilihat umpama 'anak emas' buat MMP selepas aktres jelita, Lisa Surihani. Bukan saja berbakat, bahkan wajah jelita Wawa turut membuka ruang kepadanya dipilih menjadi duta produk jenama terkenal. Kini, dua produk dalam genggamannya.


Bersua Wawa pada sesi fotografi dengannya, baru-baru ini, gadis manis berusia 21 tahun itu memaklumkan dia kini menjadi duta produk untuk Lip Ice dan Syahirah. Katanya, tiada apa yang mampu diungkapkan selain bersyukur dengan rezeki diperoleh walaupun pembabitannya dalam industri seni tanah air masih baru.


"Saya mengikat kontrak dengan MMP selama lima tahun. Namun, dalam tempoh dua tahun ini nampaknya saya semakin mendapat peluang untuk menyerlahkan bakat lakonan. Malah, paling tidak saya duga apabila dipilih sebagai duta untuk produk ternama seperti Lip Ice dan Syahirah.

"Kini, saya akui jadual memang agak padat. Selain sibuk dengan penggambaran, saya juga kena turun padang untuk sesi promosi produk. Begitupun, sekarang saya amat gementar menunggu reaksi penonton untuk lakonan dalam filem komedi, Seram Sejuk yang kini berada di pawagam sejak 19 Ogos lalu.

"Saya tak nafikan amat teruja dengan filem ini kerana pertama kali mendapat peluang melakonkan watak utama. Apapun, watak Ros itu memerlukan saya menjadi gadis gedik yang manja. Ia agak sukar, tetapi saya berusaha memberikan lakonan terbaik dan mengikut saja apa yang disuruh pengarah, Azhari Zain.

"Jadi, apa yang merisaukan saya adalah pandangan penonton. Namun, sebagai seorang pelakon yang masih baru, saya sedar banyak yang harus dipelajari untuk menimba pengalaman. Saya harap lakonan akan disukai dan pada masa sama turut bersedia menerima sebarang kritikan penonton," katanya.

Menyentuh soal persaingan kerana Wawa kelihatan lebih menonjol berbanding pelakon baru di bawah MMP, kata anak jati dari Lahad Datu, Sabah ini, baginya semua orang mempunyai peluang. Katanya, dia juga tidak nampak wujudnya persaingan kerana mereka umpama satu keluarga.

"Kalau ada persaingan pun, ia sesuatu yang sihat. Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum puas dengan tahap lakonan dipersembahkan. Ini kerana, bagi saya setiap watak dilakonkan itu adalah proses pembelajaran. Jadi, rasanya masih banyak kekurangan yang perlu saya perbaiki untuk lebih bagus lagi.

"Kini, saya mengharapkan peluang melakonkan watak berat. Ia pasti lebih menguji sejauh mana mutu lakonan saya. Apapun, saya akan bersabar menunggunya," kata Wawa yang memiliki lesung pipit. Malah, Wawa juga dikenali menerusi drama seperti Klik, Bunga Dari Syurga dan terbaru, Takdir Qismah di TV3.

Mon 'setia' pada watak pembantu

JIKA diukur pada pembabitan Mon Ryanti dan Wawa di pentas lakonan, pastinya aktres kelahiran Johor Bahru ini yang lebih dulu 'makan garam' menjadi anak seni. Bagaimanapun, tuah gadis berusia 23 tahun itu nampaknya tidak secerah Wawa. Boleh dikatakan, Mon Ryanti lebih ketara melakonkan watak pembantu.

Oleh itu, apakah pemilik nama sebenar Mon Ryanti Muhammad Sahudina Lee ini benar-benar selesa dengan peluang watak diterimanya? Menjawab persoalan ini, anak kedua daripada tiga beradik itu memaklumkan dia sedia menerima apa saja watak diberikan kepadanya dengan hati yang terbuka dan ikhlas.

Katanya, setakat ini, peluang diterima daripada Metrowealth Movies Production adalah adil. Menurut Mon Ryanti, bukanlah dia tidak pernah melakonkan watak utama langsung kerana filem Hantu Dalam Botol Kicap dan Keramat adalah buktinya. Jadi, rasanya tiada salah juga untuk dia terima watak pembantu.

"Sama ada dapat watak utama atau pembantu, saya OK saja. Apa yang penting, setiap watak dilakonkan itu mampu memberi ruang kepada saya memperbaiki kekurangan lakonan. Lagi pun, saya juga masih baru dalam bidang lakonan diceburi dan dalam proses pembelajaran kerana bermula daripada kosong.

"Saya tiada asas dalam lakonan. Namun, atas peluang dan kepercayaan diberikan David, saya sahut cabaran dan mencuba. Kalau diikutkan pun, permulaan pembabitan saya dalam bidang seni ini bermula daripada potongan kaki yang terpilih untuk dijadikan poster filem terbitan MMP," katanya.

Menurut pemegang ijazah jurusan akaun dan kewangan ini, watak pembantu yang dilakonkan juga bukan sebarangan. Katanya, dia diberikan watak pembantu utama yang dianggapnya penting juga sebagai tulang belakang pada filem dibintangi. Selain itu, apa yang menggembirakannya apabila bergandingan dengan pelakon berpengalaman.

"Berlakon di samping pelakon yang sudah ada nama dan pengalaman ini perasaannya lain. Mereka bukan saja banyak membantu dari segi meningkatkan mutu lakonan, tetapi yang paling utama menyuntik semangat motivasi pada diri saya untuk memberikan aksi lebih baik. Siapa yang mahu lakonan sendiri tenggelam?

"Oleh itu, bagi saya watak pembantu juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Apapun, yang pasti saya tak kisah sampai bila harus melakonkan watak pembantu kerana ia juga rezeki. Malah, saya pun belum mendapat kepuasan daripada lakonan dipersembahkan. Justeru, saya akan terus mencuba sehingga berjaya," katanya.

Kini tampak jelita dengan penampilan rambut pendek, Mon Ryanti mengakui dia selesa dengan imej baru itu. Katanya, mudah untuk dia mendandan rambutnya berbanding ketika panjang dulu. Apapun, ujarnya, dia memotong rambut menjadi pendek bukan kerana putus kasih tetapi kerana rosak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Leftwings pertaruh bakat baru

Posted: 03 Sep 2012 05:56 AM PDT

DUA remaja ini bukanlah nama besar lagi di persada lakonan tanah air. Memasang angan-angan untuk mencipta nama dalam bidang ini, biarpun tanpa berbekalkan populariti yang jelas, laluan mereka terbuka selepas diberi kepercayaan membintangi sebuah filem.

Masing-masing ada kelebihan di mana Fiffy Natasya Suhaimi atau Fiffy Natasya, 19, sudah mula berlakon sejak berusia sembilan tahun manakala Zulkifli Hanafi atau Zouladeq, 24, pula mempunyai latar belakang muzik yang sangat kuat.

Dipertemukan menerusi filem Leftwings terbitan Bagus Tiasa Sdn Bhd, tekanan paling kuat semestinya dirasakan Zouladeq yang langsung tidak pernah berlakon sebelum ini. Menyifatkan pembabitannya di luar jangkaan, jejaka kelahiran Langkawi, Kedah ini mengakui dia sebenarnya tidak meminati bidang lakonan.

"Semuanya bermula apabila seorang rakan pemuzik menghubungi saya dan menanyakan sekiranya saya berminat untuk mencuba 'casting' berkaitan bidang muzik. Lantas, saya pun menghadirkan diri ke uji bakat berkenaan dan terkejut apabila ia sebenarnya adalah untuk pencarian pelakon.


"Namun, saya tertarik dengan watak yang diberikan kerana ia menuntut saya untuk bermain muzik kerana itulah kepakaran dan minat saya. Memang takut pada mulanya, kerana watak yang saya dapat iaitu Dino, adalah watak utama.


"Walaupun pernah menyertai persatuan teater Angkatan Budi Seni di Kota Mahsuri tidak lama dulu, namun ilmu lakonan saya memang masih lagi cetek dan terpaksa bermula dari bawah. Tentu sekali sukar buat pelakon 'kosong' seperti saya namun syukurlah sepanjang penggambaran, kami mendapat tunjuk ajar dan bimbingan yang sangat bagus daripada pengarah serta kru lain.

"Apabila sudah merasai sendiri dan terbabit dalam lapangan ini, terbit pula keseronokan dan kini minat saya mula timbul terhadap lakonan. Namun, saya tidak mahu menafikan sangat berdebar menunggu reaksi peminat yang bakal menonton filem ini nanti," katanya.

Bekerja sebagai pemuzik sepenuh masa sebelum 'terbabas' ke arena lakon layar, Zouladeq bagaimanapun tidak bercadang untuk meninggalkan terus dunia muzik kerana baginya itulah bidang paling sebati dalam dirinya. Berbakat bermain pelbagai instrumen muzik, jejaka yang cukup pakar bermain keyboard dan piano itu sudah mempunyai perancangan sendiri bagaimana hendak mengimbangi kedua-dua lapangan itu.

"Sejak terbabit dalam penggambaran Leftwings yang dijalankan tahun lalu, memang agak bergelut juga dengan jadual masa di set serta bermain muzik di luar. Dengan tempoh masa yang panjang dan jadual pun ketat, selepas ini saya kena bijak membahagikan masa antara kedua-dua perkara itu.

"Tetapi, saya positif mampu melakukannya dan agak rugilah dengan platform yang ada, saya tidak memanfaatkannya. Lagipun, sekarang saya memang sudah mula mencintai bidang lakonan dan mahu mencuba pelbagai watak lagi.

"Apa-apapun itu semua saya serahkan kepada rezeki, kalau ada, saya pasti mahu berlakon lagi," katanya.

Berbeza dengan Fiffy yang sudah mendapat banyak pendedahan, gadis ini ternyata yakin inilah masanya untuk membina nama dalam arena seni tanah air. Malah, sewaktu sesi fotografi berjalan pun, dia tampak sudah biasa beraksi di depan kamera tanpa perlu diajar.

Cuma, statusnya sebagai pelajar sebuah kolej swasta mungkin menekan anak jati Kota Bharu, Kelantan ini lantaran jadual penggambaran tidak pernah mengenal masa. Menyifatkan ia bukan halangan terbesar buatnya, mencungkil sisi latar belakang pendidikannya, tiada yang perlu dibimbangkan.

Sering mendapat keputusan yang sangat membanggakan sejak di sekolah rendah, Fiffy bertuah kerana keluarganya sentiasa memberi sokongan kuat.

"Sekarang sudah masuk semester ketiga saya berada di kolej dan memang tidak pernah timbul apa-apa masalah pun setakat ini. Saya akui sering juga saya ponteng kuliah kerana terikat dengan jadual penggambaran namun syukurlah pensyarah pun faham.

"Lagipun, dalam sibuk berlakon, saya tidak akan pernah mengabaikan setiap tugasan dan tetap mencuri masa untuk menyiapkan semuanya. Begitu juga dengan peperiksaan, syukurlah tidak pernah gagal menghadirinya," kata penuntut jurusan Farmasi ini.

Biarpun hanya memegang watak pembantu dalam filem Leftwings, anak kedua daripada dua beradik ini sangat gembira dengan watak berkenaan.

"Sekian lama tidak berlakon filem, tidak sangka pula saya diterima untuk memegang watak Rita selepas menghadiri 'casting' pada tahun lalu. Watak ini boleh saya katakan cukup mencabar juga kerana saya perlu menjadi seorang yang sangat jahat.

"Sudah pernah melakonkan pelbagai watak yang lebih kepada perempuan 'gedik' sebelum ini, agak sukar juga untuk menjayakan watak kejam ini. Nasib baiklah dapat juga saya hidupkan watak itu berkat bantuan pelakon senior selain pengarah" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved