Selasa, 20 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Elak kotoran tanam uri

Posted: 20 Sep 2011 06:31 AM PDT

BAGI mereka yang baru saja bergelar ayah, selain gementar ketika kali pertama melaungkan azan atau iqamat di telinga bayi, pastinya perasaan itu lebih bertambah tatkala menerima bungkusan daripada jururawat yang di dalamnya terkandung uri bayi.

Pasti mereka tertanya-tanya bagaimana menguruskan uri kerana sebelum ini tidak pernah diberitahu mengenainya. Ada yang mengambil jalan mudah dengan menyerahkan kepada ibu, nenek atau bidan kampung untuk dibersihkan dan ditanam dengan alasan tidak tahan melihat darah atau jijik untuk membasuhnya.

Ramai ibu bapa membuat persediaan menyambut kelahiran bayi dengan menyediakan pelbagai kelengkapan tetapi terlupa mendapatkan maklumat mengenai cara menguruskan uri mengikut syariat Islam sebenar.

Oleh itu muncullah pelbagai cara yang menjadi amalan di kalangan masyarakat Melayu, seperti uri yang ditanam bersama pelbagai benda seperti jarum, paku dan kain batik berfungsi untuk melindungi bayi.


Malah di sesetengah kawasan penanaman uri dipasang lilin pada waktu malam selama tujuh malam bagi mengelak kejadian pelik menimpa bayi.


Mengikut kepercayaan masyarakat zaman dulu, uri haruslah dibasuh bersih sehingga tiada darah tertinggal. Kemudian tempurung kelapa yang dicuci luar dan dalam dijadikan bekas mengisi uri ini. Tempurung berisi uri perlu dibungkus dengan kain putih dan diletakkan di dalam lubang yang digali di halaman rumah.

Sebelum lubang dikambus, paku, jarum dan asam keping yang diikat bersama ditanam sekali.

Barangan ini adalah simbolik melindungi uri daripada dihurung ulat di dalam tanah. Tidak habis di situ, tradisi diteruskan dengan menghidupkan bara api di permukaan tanah tempat uri ditanam kerana dipercayai mampu mengelak bayi mengalami kembung perut dan menangis sepanjang malam.

Mereka percaya uri yang ditanam mempunyai 'hubungan' dengan kehidupan bayi yang baru lahir. Selain itu, uri akan dibungkus menggunakan sarung bantal terpakai dan sebatang paku bagi mengurangkan masalah bayi menangis malam.

Menurut Pengarah Urusan ANP Solutions, Ade Azreena Mahadi, secara saintifik uri atau plasenta adalah 'sarung' yang terbentuk di dalam rahim ketika kehamilan dan bersambung dengan bayi menerusi tali pusat agar janin mendapat oksigen dan makanan daripada ibunya.

Oleh kerana ia sebahagian daripada tempat bayi maka ia bersih dan perlu diperlakukan dengan baik seperti ditanam dan tidak ditinggalkan merata-rata bagi mengelak dimakan anjing atau binatang lain.

Berdasarkan pengalaman sendiri, Ade Azreena mengakui dia turut melepaskan tanggungjawab menguruskan uri kepada ibu mentuanya ketika melahirkan anak pertama.

"Ketika itu saya dan suami tidak terfikir menyediakan kelengkapan menguruskan uri dan menyerahkan kepada ibu saja.

"Lama kelamaan selepas melihat rakan turut mengalami masalah sama, saya terfikir mengapa peralatan menguruskan uri tidak dijual di pasaran. Jika ada sudah tentu tidak perlu bersusah payah mencarinya," katanya.

Ujar Azreena set asas pengurusan uri di pasaran itu, sama seperti set bengkung dan pakaian bayi, set pengurusan uri juga harus disediakan lebih awal sebelum kelahiran.

Selepas mendapatkan pandangan agama maka lahirlah set asas pengurusan uri Grandma Secret yang baru saja dilancarkan dua bulan lalu.

Set berharga RM35 itu mengandungi bahan asas seperti periuk tanah, garam, asam jawa, kain putih dan sarung tangan getah. Fungsi periuk tanah adalah untuk meletakkan uri di dalamnya dan memudahkan ditanam supaya tidak dimakan binatang.

Asam jawa dan garam untuk membuang lendir dan darah ketika membersihkannya supaya tidak menarik deria binatang untuk menggali dan memakan uri.

"Uri adalah darah lendir yang keluar ketika melahirkan anak. Justeru bagi memudahkan cucian, garam dan asam jawa boleh digunakan. Selepas itu barulah dibalut menggunakan kain putih dan dimasukkan di dalam periuk tanah sebelum ditanam. Bagi yang geli memegangnya, mereka boleh menggunakan sarung tangan disediakan," katanya.

Ade Azreena berharap dengan kehadiran set asas pengurusan uri, ibu bapa terutama yang baru pertama kali mempunyai anak tidak lagi tercari-cari bahan untuk menguruskan uri. Mereka hanya perlu membeli di kedai dan mengikut peraturan yang tertera pada kotak itu.

Walaupun terdapat pelbagai amalan ketika menanam uri, sebenarnya ia lebih kepada kepercayaan yang menjadi amalan sejak turun temurun. Namun sekiranya amalan berkenaan boleh memesongkan akidah ia adalah haram.

"Jika kita benar-benar percaya bahawa kita kena tanam uri dengan bahan tertentu supaya anak tidak berkudis, mengelak daripada menangis malam dan sawan, keadaan itu jelas bertentangan dengan syarak dan boleh membawa kepada khurafat.

"Misalnya, ada juga yang percaya sekiranya uri ditanam bersama jarum atau paku, ia boleh mengelak daripada gangguan makhluk halus. Ini jelas salah dan berdosa kerana kita dilarang terus daripada percaya selain Allah," katanya.

Tambahnya, tiada doa khusus dibacakan ketika menanam uri cukup sekadar membaca Bismillah dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw. Jika ada yang berkata cara menanam uri ada kaitan dengan perilaku anak, ini tidak benar.

Sebenarnya bagi mendapatkan anak soleh dan solehah, pasangan ibu bapa harus memainkan peranan. Mereka berdua haruslah menjaga kelakuan, makanan dan minuman anak-anak serta memastikan halal, bukannya di mana dan bagaimana uri ditanam.

Pada majlis itu juga turut dilancarkan set lengkap pengurusan jenazah Ar-Raudah di bawah syarikat HNZ Industries yang menyediakan peralatan lengkap menguruskan jenazah seperti kain putih, kapas, akar sintok dan kapur barus bagi memudahkan waris menguruskan kematian terutama pada waktu malam.

Menurut Nik Mohd Erizal, dia terpanggil untuk menjalankan perniagaan ini selepas anak saudara meninggal dunia pada jam 2 pagi.

"Disebabkan kedai belum dibuka, jadi sukar untuk menyediakan keperluan sedangkan jenazah perlu dikebumikan keesokan harinya. Selepas mendapatkan pandangan daripada Majlis Agama Islam Kelantan dan memenuhi semua kriteria ditetapkan barulah saya mencari pembekal bahan untuk dimuatkan dalam Ar-Raudahkit ini," katanya yang kini memperluaskan pasaran Ar-Raudahkit ke seluruh negara terutama di hospital, masjid dan rumah orang tua.

Gubahan guna balang kaca

Posted: 20 Sep 2011 05:52 AM PDT

RINGKAS dan tidak perlu menghabiskan banyak masa memikirkan bentuk dikehendaki kerana ia bergantung kepada balang kaca yang dibeli serta jumlah bunga yang ingin digunakan.

Menurut pemilik laman jualan gubahan bunga secara dalam talian CikJah Flowers, Lijah Othman, bentuk yang dihasilkan kali ini dikategorikan dalam rekaan minimum.

Dia yang turut menyediakan kelas mempelajari teknik gubahan bunga berkata, terdapat banyak cara membuat gubahan bunga bergantung kepada keperluan.

"Bentuk dihasilkan juga bergantung kepada sudut atau lokasi bunga berkenaan akan ditempatkan. Jika sudut rumah maka gubahannya akan lebih tinggi agar

menampakkan bentuk gubahan.

"Untuk meja makan pula, ia bergantung kepada bentuk meja sama ada lebih gemarkan gubahan bunga penuh bentuk memanjang ataupun menegak," katanya.

Malah katanya, menggubah bunga juga boleh dijadikan terapi minda terutama
apabila menghadapi tekanan.

Untuk menghasilkan gubahan balang kaca lutsinar, bahan yang diperlukan amat ringkas iaitu balang kaca lutsinar, bunga plastik serta batu kaca hiasan untuk dijadikan pemberat di bahagian dasar balang berkenaan.

Ikuti langkah mudah menggubahnya yang disediakan Lijah di rumahnya di Cyberia Smarthomes, Cyberjaya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Penyamun dua beranak diburu

Posted: 19 Sep 2011 11:24 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dua beranak yang menjadi dalang beberapa kes samun dan pecah rumah di Brickfields sejak awal tahun ini diburu selepas polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil curi dengan anggaran nilai RM100,000 di sebuah rumah di Setapak, di sini, Rabu lalu.

Suspek, Lee Tai Ping, 64, pemandu teksi dan anak lelakinya, Lee Kok Yew, 27, diminta tampil bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri sebaik mengetahui mereka dikehendaki polis.


Terdahulu, isteri suspek, suri rumah berusia 60 tahun serta anak perempuannya, 23, pelajar kolej swasta direman tiga hari untuk diambil keterangan. Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata ketika tangkapan, polis merampas pelbagai barangan curi termasuk skrin komputer, televisyen, komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenis, pengering rambut dan geran kereta pemilik lain di rumah suspek.


"Selain itu, polis menemui alat yang digunakan untuk kegiatan itu seperti parang, kapak, pistol tiruan, alat ganti kereta yang diubah suai, penebuk lubang dan pemutar skru.


"Berdasarkan pemeriksaan, suspek pertama tiada rekod kesalahan lampau, bagaimanapun, anak lelakinya pernah disabitkan atas beberapa kesalahan pecah rumah.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan polis meminta kedua-dua suspek tampil ke balai polis bagi membantu siasatan," katanya.


Menurutnya, kejayaan penemuan barangan itu hasil aduan seorang pengurus wanita sebuah syarikat persendirian berusia 40 tahun yang membuat laporan selepas pejabatnya dipecah masuk dan barangannya dilarikan pada 10 September lalu.

Belasah ibu tak tahan dileter

Posted: 19 Sep 2011 11:21 AM PDT

AMPANG: Hanya kerana menasihati anak lelakinya yang sering menghabiskan masa di kafe siber, seorang ibu cedera dipukul dengan kayu, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berusia 40 tahun bersama suaminya berada di dalam rumah mereka di Pandan Mewah, di sini, sebelum anak mereka pulang.


"Remaja berusia 16 tahun itu mengadu kurang sihat sebelum dinasihati mangsa supaya tidak menghabiskan masa di kafe siber.

"Berang mendengar 'leteran' si ibu, remaja terbabit naik angin lalu memaki hamun dan memukul ibunya," katanya.


Sumber berkata, mangsa yang marah dengan tindakan anak lelakinya itu mengambil kayu untuk mempertahankan diri dan memarahi anaknya supaya tidak bertindak sedemikian.


Bagaimanapun, anak mangsa yang dipercayai tidak berpuas hati bertindak lebih kejam apabila mengambil kayu berkenaan dan memukul mangsa.

Malah, remaja terbabit turut menendang mangsa menyebabkan dia terjatuh sebelum remaja itu melarikan diri.


Difahamkan, suami mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu, namun tidak berhasil.

Menurutnya, mangsa dibawa suaminya untuk rawatan di hospital berhampiran sebelum ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan kejadian itu.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Siti bangga dapat Sean Kingston

Posted: 19 Sep 2011 10:46 AM PDT

KEMUNCULAN Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bersama suaminya, Datuk K, pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman kakak iparnya, Datin Zaiton Muhd Jiwa (Kak Ton) di Kemansah Heights, Hulu Klang, baru-baru ini mendapat perhatian tetamu.

Siti yang memakai busana satin ala kaftan bersama seluar dan alas serban tampak ceria melayan tetamu sambil mendukung seorang bayi lelaki comel. Apabila ditanya, rupanya anak kepada bekas pengacara TV3, Aziah Jasmin Azizul iaitu Putera Mecca Azlan Shah, berusia enam bulan.

Kata Siti, ketika ini dia sangat teruja menantikan album Inggeris pertamanya, All Your Love, yang akan dipasarkan 26 September ini.

Majlis pelancaran album itu akan diadakan di Shook! Starhill, Kuala Lumpur. Lebih menarik, album itu akhirnya berjaya mempertemukan Siti dengan penyanyi terkenal Sean Kingston dalam lagu Remember You.


Selain Sean, Siti juga berduet dengan King of R & B Australia, Christian Alexander (Chris), dalam lagu I Wait Forever. Malah semua 10 lagu Inggeris yang dimuatkan dalam album Inggeris itu ciptaan Chris.


"Siti tergerak hati merakam album Inggeris atas permintaan peminat. Siti mahukan sebuah album Inggeris sebagai kenangan dalam kerjaya sebagai seorang penyanyi. Siti tidak mahu fikir sangat mengenai cara nyanyian mahupun sebutan lirik Inggeris kerana Siti orang Asia. Yang penting sebutan biar jelas dan mesejnya sampai. Lagipun Siti sentiasa merujuk penerbit album itu mengenai corak nyanyian dan dia berpuas hati.

"Dari segi penerbitan album ini, kebetulan anak DK (panggilan untuk suaminya) iaitu Adib, ada syarikat rakaman sendiri, What's Up Entertainment dan antara artis yang menaungi label itu adalah Chris.

"Sewaktu pergi ke studio Adib, Siti tertarik dengan lagu dan hasil kerja Chris dan tidak lama selepas itu Siti meminta menulis beberapa lagu untuk album Inggeris ini. Sebanyak 10 lagu disiapkan dan semuanya Siti suka sehingga Siti terlintas pula untuk berduet dengannya.

"Produser untuk album ini adalah Brian B. Dia berkawan baik dengan Sean Kingston. Jadi Brian yang bertanggung jawab mengadakan kerjasama antara Siti dengan Sean untuk lagu Remember You.

"Sebenarnya Siti tidak pernah menyangka pembikinan album ini akan jadi lebih besar atau sejauh ini kerana asalnya Siti hanya mahukan sebuah album yang biasa. Tapi mungkin ia rezeki dan semuanya sudah siap," katanya.

Jika diizinkan Tuhan, Siti bersedia untuk menembusi pasaran antarabangsa bagaimanapun buat permulaan biarlah di sekitar Nusantara dulu.

Ditanya, apakah dia ada perancangan menghasilkan muzik video bersama Sean, Siti berkata, tiada masalah kalau Sean ada kelapangan.

Dengan statusnya sebagai penyanyi terunggul di Malaysia, mungkin ramai berpendapat Siti sepatutnya bergabung vokal dengan artis wanita terkenal seperti Mariah Carey, Celine Dion atau Christina Aguilera.

"Itu terlalu awal, biarlah Siti bermula dengan yang ini dan siapa tahu, kalau ada rezeki, ia boleh menjadi kenyataan. Tahu sajalah, harga mereka juga mahal. Contohnya sebelum ini, Siti mahu dapatkan penyanyi rap, Pitbull kerana dia tengah laris sekarang namun harganya juga terlalu tinggi," katanya.

Sementara itu, ramai artis berkunjung ke rumah terbuka Kak Ton pada hari itu termasuklah, Eja, Rizman Khuzaimi, Arash Mohamad, Rozie Rashid, Kartina Ayob, Fahrin Ahmad, Noniswara dan Anne Abdullah.

‘Tak ragui Eira walau sesaat’

Posted: 19 Sep 2011 07:36 AM PDT

LAFAZ nikahnya lancar dan kemas. Dengan sekali ucap, bintang berimej 'Penang' Azad Jazmin, sah menjadi suami kepada buah hatinya juga seorang pelakon Eira Syazira, malam Jumaat lalu.

Lebih dramatik, air mata Azad tidak henti menangis sejurus ibu yang setia di sisinya mendakap mengucap tahniah. Jelas, tangisan mereka itu punya erti yang sangat besar bersulam kesyukuran.

Soalan itu dilontarkan kepada Azad yang tidak lekang memegang erat tangan isteri tersayang sebaik selesai majlis akad selesai, dia menyifatkan keputusan mereka berkahwin adalah pengalaman terindah.

"Eira memiliki segala kriteria yang saya cari-cari. Dia begitu lembut, bersopan-santun, pandai berbual dan berjenaka. Dia juga memahami serta begitu bijak memenangi hati kedua-dua orang tua saya serta sanak- saudara kami.


"Sejak awal perkenalan kami, saya sudah yakin dan percaya dialah insan terbaik buat diri saya dan tiada sesaat pun saya meraguinya. Tidak sekadar faham akan kerja dan keadaan saya, Eira adalah kawan karib yang tidak henti memberi galakan.


"Lantas saya sifatkan perkahwinan ini adalah satu keputusan terbaik yang saya lakukan kerana Eira benar-benar melengkapkan hidup saya," katanya tersenyum.

Tiga tahun menyemai cinta atas paksi ikhlas dan memahami, akhirnya pasangan romantis yang bertunang pada pertengahan Mei lalu disatukan dalam sebuah majlis pernikahan meriah dengan kehadiran ahli keluarga terdekat dan teman-teman rapat.

Majlis pernikahan yang diadakan di kediaman keluarga Eira di Presint 14, Putrajaya malam Jumaat lalu memberi jawapan kepada teka-teki yang selama ini membelenggu ramai pihak mengenai hubungan cinta mereka.

Meskipun agak tergesa-gesa kerana keputusan untuk bernikah, jelas Eira, 27, semuanya sudah tertulis sebagai jodoh buat mereka berdua.

"Memang semuanya berjalan begitu cepat. Mana tidaknya sebaik ayah saya pulang dari umrah pada Ramadan lalu terus dia inginkan kami bernikah pada minggu kedua pada Aidilfitri sedangkan perancangan awalnya ingin kami laksanakan pada tahun depan.

"Mujur semuanya berjalan lancar kerana keluarga kedua-dua belah pihak banyak membantu dan meringankan segala urusan. Jadual kerja kami kebetulan padat dan kerana ingin juga dilangsungkan secepat mungkin, kami curi juga masa untuk menyiapkan segala persediaan.

"Bagaimanapun kami memang bertuah kerana banyak pula kawan-kawan dan pihak yang ingin menaja. Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan kini kami sudah sedia untuk meniti satu lagi fasa kehidupan yang sudah lama kami impikan.

"Apa yang penting kami ingin membina sebuah keluarga yang bahagia dan sempurna. Soal anak tidak pula kami bincangkan kerana ia rezeki dan ketentuan," katanya yang bakal berbulan madu di Jakarta atas tajaan Poto Travel.

Azad, 35, dinikahkan ayah Eira sendiri, Shuhaimi Haji Acheh dengan disaksikan Imam Besar Masjid Putra Jakim Putrajaya, Abdul Manaf Mat.

Dengan sekali lafaz, pelakon yang popular menerusi filem Kongsi dan Ngangkung ini sah menjadi suami Eira. Hadir sama pada malam pernikahan itu keluarga Azad dan ibu bapanya, Jeffri Abdullah dan Rosidah Kadir.

Pasangan mengenakan busana putih rekaan Hairi Tajuddin dan Wanpa. Eira menerima sembilan dulang hantaran berbalas 11 yang ditaja sepenuhnya Zaha Wedding Planner dan Ari Wedding Couture.

Selain jam tangan, tas tangan lelaki, kasut dan tali pinggang, Eira turut menghantar jambangan coklat, gubahan buah-buahan, sejadah dan al-Quran, sirih junjung, satu set barangan sukan dari jenama pasukan bola sepak kegemaran Azad, Chelsea serta sepersalinan baju Melayu berona putih. Malah sebentuk cincin yang dirahsiakan harganya juga dihadiahkan kepada Azad.

Manakala pihak Azad pula membalas dengan beg tangan berjenama Tod's, jam tangan Fossil, sepasang kasut, buah-buahan dan coklat, telekung, sejadah, al-Quran, sirih junjung, iPad2 serta sebentuk cincin berlian.

Menyentuh soal kerjaya, Azad berkata tiada apa yang bakal berubah kerana sejak awal lagi sudah sedia maklum dia kerja dan tanggungjawab masing-masing.

"Alhamdulillah sambutan dan reaksi peminat terhadap album solo saya, Di Hati Ini yang dilancarkan Julai lalu. Jadi selepas ini saya akan sibuk dengan promosi album ini dengan mengadakan jelajah seluruh Malaysia.

"Menariknya, kami juga begitu seronok untuk mempromosikan lagu duet kami berjudul Lagu Jiwa," katanya.

Pasangan ini akan melangsungkan majlis resepsi mereka pada 19 November depan di sebelah keluarga perempuan di Presint 14, Putrajaya dan 26 November di Dewan Merin, Georgetown, Pulau Pinang.

PROFIL

NAMA PENUH: Syazira Shuhaimi
TARIKH LAHIR: 19 Julai 1984
USIA: 27 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada enam adik-beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
DRAMA: Lara Sunti, Cinta Balqis, Ku Milikmu, Kemboja Putih, Bait Cinta, Meniti Bara dan Tangisan Bulan Madu Filem: Ngangkung, Bisikan Remaja, Sini Ada Hantu, Aku Bukan Tomboy
TEATER: Lorong 2/90, Bangsawan Lela Manja

PROFIL

NAMA PENUH: Azad Jazmin John Louis Jeffri
TARIKH LAHIR: 11 Februari 1976
USIA: 35 tahun
TEMPAT LAHIR: Seremban, Negeri Sembilan
KELUARGA: Anak sulung daripada empat adik-beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Madras, India
DRAMA: Adnan Sempit, Anak Mami Mek Ani, Anak Mamak Menantu Mami, Cinta Balqis, Laila Majnun, Edisi Khas, www.cikgushida.com, Kopi O Kopi Susu
FILEM: Bohsia 2, Ngangkung, Kongsi, Sifu & Tongga, 3 Rasa Potato, Nana Tanjung 2, S.A.M, Khuralap, Anak Hantu Pulau

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tikaman cemburu

Posted: 19 Sep 2011 12:15 PM PDT

SUNGAI PETANI: "Abah, ada orang pengsan di depan rumah," kata pesara tentera, Azmi Md Salleh, 50, mengungkap semula kata-kata anak lelakinya yang memaklumkan kejadian seorang wanita pengsan dan berlumuran darah di depan rumah mereka di Taman Semarak, Sungai Pasir, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, wanita pengkid berketurunan Siam berusia 25 tahun itu menikam teman serumahnya, Suriani Md Saad, 29, yang juga rakan sekerjanya di sebuah kilang di Bakar Arang, dekat sini, menggunakan sebilah pisau akibat cemburu.

Suriani meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah sewa mereka sebelum mayatnya ditemui penduduk berhampiran.

Suspek kemudian bertindak menikam dirinya sebelum dipercayai cuba meminta pertolongan daripada jiran.


Azmi yang sedang berehat di rumahnya segera keluar dan terkejut apabila mendapati seorang wanita dalam keadaan lemah tiba-tiba rebah di tepi pintu rumahnya.


Menurutnya, dia kemudian menarik wanita berkenaan masuk ke rumahnya lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Kereta putus lekat di tiang

Posted: 19 Sep 2011 12:15 PM PDT

PUTRAJAYA: "Ketika sampai di tempat kejadian, saya melihat kereta mangsa putus dua, kaki mangsa terperosok di bahagian pedal minyak manakala beberapa cebisan dipercayai otak mangsa melekat di tempat duduk belakang," kata seorang saksi kemalangan maut di sini, semalam.

Menurut saksi yang enggan dikenali itu, dia adalah antara yang terawal melihat kejadian terbabit di Kilometer 7.2, Persiaran Selatan berhampiran susur keluar Pusat Konvensyen Antarangsa Putrajaya (PICC).


"Saya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakan mengenai kemalangan berkenaan, namun sebaik tiba saya melihat anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

"Ketika itu saya ingat mangsa masih hidup, tetapi rupanya dia sudah meninggal dunia. Keadaan kereta mangsa terputus dua, enjin serta dua tayar depan tercampak tidak jauh dari tiang lampu yang dilanggarnya," katanya, ketika ditemui di tempat kejadian.


Dalam kemalangan pada jam 5.25 petang itu, mangsa Mohammad Rasydan Rasid, 20, yang dikatakan dalam perjalanan dari Dengkil, Sepang ke Putrajaya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis, Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu laju mengakibatkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu.


Katanya, akibat rempuhan itu, kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa terputus dua.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh lalu merempuh tiang lampu di tempat kejadian.


"Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Pihak Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Rital, Ritag dipisah

Posted: 19 Sep 2011 10:55 AM PDT

LONDON: Dua bayi perempuan kembar siam yang bercantum di kepala telah selamat dipisahkan oleh kumpulan doktor di Britain.

Rital dan Ritag Gaboura, yang berusia 11 bulan adalah pasangan kembar siam, satu antara 10 juta di dunia.


Pasangan kembar ini telah melalui empat pembedahan kompleks di Hospital Kanak-kanak Great Ormond Street di London.

Mereka yang dilahirkan di Khartoum, Sudan, dibawa oleh ibu bapa mereka, Abdelmajeed Gaboura 31 dan Enas, 27,kedua-dua mereka adalah doktor perubatan ke Britain untuk menjalani pembedahan. Sewaktu mereka tiba, jantung Ritag sungguh lemah.


Doktor melakukan empat fasa pembedahan. Dua pembedahan awal dilakukan Mei lalu sebelum penambahan tisu dilakukan Julai lalu.


Akhirnya pembedahan untuk memisahkan kembar siam itu dilakukan pada 15 Ogos lalu.

Ibu bapa bayi kembar itu telah meminta bantuan kewangan daripada satu badan kebajikan untuk kanak-kanak, Facing the World, yang bersetuju untuk membiayai kos pembedahan itu.


Bayi kembar siam itu mengalami keadaan yang jarang ditemui iaitu 'craniopagus' di mana mereka bercantum di bahagian kranium dan pembedahan itu dilakukan oleh sepasukan doktor yang diketuai oleh Dr David Dunaway.

Kenyataan Facing the World berkata, "Dalam masa beberapa hari saja, kembar itu sudah ditempatkan di wad biasa dan mereka berinteraksi dan bermain seperti biasa.


"Tawa dan kegembiraan mereka memberi inspirasi setelah berbulan merasa bimbang terhadap kesihatan mereka.


"Tidak lama lagi, ibu bapa mereka boleh membawa anak kembar mereka yang sihat, pulang." Kata ibu bapa kembar itu, "Kami bersyukur kerana akan dapat membawa anak-anak kami yang sudah terpisah dan sihat, pulang.


"Kami juga berterima kasih kepada semua doktor atas usaha merka dan juga kepada Facing the World yang telah membantu dari segi logistik dan membiayai kos pembedahan ini. "Kami merasa bertuah anak kembar kami dapat menjalani pembedahan yang diperlukan, tapi kami juga faham ada kanak-kanak lain yang memerlukan pembiayaan pembedahan dan keluarga mereka yang terpaksa bertungkus-lumus cuba mendapatkan bantuan." Kembar siam jarang berlaku. Ia hanya terjadi, satu dalam 100,000 kelahiran dan tiga kali ganda kes berlaku kepada bayi perempuan.


Dalam dua pertiga kes yang berlaku, kembar siam bercantum di bahagian tengah badan. Hanya empat peratus dari kes kembar siam yang bercantum di kepala dan kebanyakannya meninggal ketika dilahirkan atau tidak dapat hidup lebih daripada 24 jam.


Kembar Rital dan Ritag merupakan kes kembar siam yang sangat serius kerana mereka berkongsi salur darah dan aliran darah yang ketara ke otak mereka.


Ritag membekalkan separuh daripada darah ke otak saudara kembarnya dan mengalirkannya kembali ke tubuhnya - ini bermakna jantungnya bekerja untuk kedua-dua mereka. Sekiranya berlaku kekurangan dalam tekanan darah mereka yang ketara ketika pembedahan, akan menyebabkan kecederaan otak. - DM

6 pemuda Jepun berenang 120km ke Taiwan ucap terima kasih

Posted: 19 Sep 2011 10:22 AM PDT

SUAO (Taiwan): Enam lelaki Jepun berjaya berenang sejauh 120 kilometer secara bergilir-gilir dalam laut yang bergelora ke Taiwan semalam, sebagai tanda terima kasih mereka kepada rakyat Taiwan yang membantu mangsa bencana ombak tsunami.

Enam pemuda itu mula berenang pada hari Sabtu dari Yonakuni, sebuah pulau kecil di Jepun, 110 kilometer timur Taiwan, walaupun tahu bahaya serangan ikan jerung dan keadaan Laut Pasifik yang bergelora. Kumpulan perenang itu diapit oleh beberapa bot pengawal pantai ketika berenang ke Suao, sebuah pelabuhan perikanan di timur laut daerah Ilan dan beberapa ratus orang yang mengibarkan bendera Taiwan dan Jepun ketika mereka tiba di situ.


Ketua kumpulan perenang itu, Suzuki Kazuya menjerit gembira, "Kita berjaya! Kita berjaya! Terima kasih Taiwan!" Mereka berpelukan apabila tiba di pantai dekat Suao selepas berenang 72 batu.

Kumpulan perenang itu yang berusia antara 20 dan 30 tahun membawa bersama-sama mereka, surat terima kasih daripada ketua tempatan di tiga wilayah yang dilanda ombak tsunami, Mac lalu.


Taiwan telah menderma kira-kira 20 bilion yen (RM8.1 juta) kepada Jepun, menjadikan ia salah satu daripada penderma tertinggi untuk mangsa ombak tsunami,.


Hubungan Taiwan dengan Jepun masih baik walaupun Jepun pernah menjajah Taiwan dari tahun 1895 hingga 1945 dan juga Jepun lebih mengiktiraf Beijing daripada Taipei. - AFP.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Jepun tertekan

Posted: 19 Sep 2011 12:09 PM PDT

"JEPUN memang bukan calang-calang pasukan. Mereka sudah beraksi di Piala Dunia dan juga Sukan Olimpik tapi itu tidak bermakna mereka akan sentiasa tenang.

"Sebagai pasukan pilihan dan beraksi di tempat sendiri, mereka juga pasti tertekan," kata jurulatih Olimpik negara, Ong Kim Swee (gambar) mengenai pertembungan getir aksi pembukaan Kumpulan C, kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Tosu esok.


Menurutnya, bukan mudah buat sesebuah pasukan mendapat rentak dalam perlawanan pertama sesuatu kejohanan dan beliau berharap anak buahnya mampu mengambil setiap kesempatan terhidang untuk menghukum skuad Samurai Blue yang dikendalikan Takashi Sekizuka.

"Kita pasukan bukan pilihan, tak perlulah terlalu memikirkan sangat kekuatan lawan. Saya hanya mahu menumpukan terhadap strategi sendiri dan mudah-mudahan kita boleh meraih satu mata daripada perlawanan ini," katanya yang dihubungi Arena Metro di Fukuoka semalam.


Malaysia wakil tunggal Asia Tenggara yang mara ke pusingan ketiga peringkat kumpulan kelayakan Olimpik London memulakan kempen memburu satu slot automatik daripada Kumpulan C selepas menewaskan Pakistan 2-0 dan Lubnan 2-1 pada peringkat awal.


Bagaimanapun ia tidak semudah diimpikan kerana Jepun yang mengintai beraksi di Olimpik buat kali kelima berturut-turut bakal menjadi penghalang utama selain dua lagi wakil dari negara Arab - Syria dan Bahrain.

Kim Swee yang sudah berada di Jepun sejak Jumaat lalu berkata, anak buahnya sudah bersedia berdepan Jepun meskipun persiapannya sedikit terjejas apabila tonggak utama Mohd Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor mengalami kecederaan.


"Irfan dan Wan Zack tidak menjalani latihan bersama pasukan hari ini (semalam). Saya akan memantau tahap kecederaannya dan akan membuat keputusan sama ada akan menurunkannya pada perlawanan itu nanti selepas sesi latihan malam esok (hari ini).

"Ketiadaan pemain ini memang dirasai tapi saya ada pemain lain yang boleh menggantikan tempat mereka seperti A Thamil Arasu dan Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria).


"Bagi saya semua pemain sudah bersedia dan dari segi strategi semua pemain sudah faham sewaktu kami menjalani latihan di Slovakia lagi. Di sini saya hanya menggilap dan memperbaiki sedikit kelemahan saja," katanya.


Ketika ditanya mengenai sambutan penduduk Jepun di sana khususnya pihak media tempatan dengan kehadiran skuad Olimpik negara, Kim Swee menyatakan beliau tidak membenarkan orang luar mengikuti sesi latihan mereka.


"Saya tidak benarkan media Jepun membuat liputan sesi latihan sejak kami tiba di sini, saya tidak mahu pemain terganggu. Saya hanya membenarkan mereka datang esok (hari ini)," katanya yang akan membawa anak buahnya menguji venue pertandingan, Stadium Tosu buat kali pertama hari ini.


Juara setiap kumpulan layak secara automatik ke Sukan Olimpik London manakala naib juara akan bersaing sekali lagi untuk menentukan tempat dalam perlawanan play-off menentang wakil dari Afrika untuk baki satu lagi slot.

Bakat Zaqhwan

Posted: 19 Sep 2011 11:36 AM PDT

PENGURUS pasukan Pachie Yuzy Honda Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini puas hati prestasi ditunjukkan anak didiknya, Mohd Zaqhwan Zaidi sepanjang Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 dan berharap agar pelumba remaja itu terus tampil cemerlang apabila Pusingan 7 berlangsung di Stadium Kluang, Johor pada Sabtu dan Ahad ini.

Yuzy percaya Zaqhwan sudah membuktikan bakatnya apabila beraksi dengan konsisten menyaingi pelumba berpengalaman sepanjang musim penuh pertamanya dalam kategori CP130. Senario itu meletakkan pelumba berusia 16 tahun itu di tangga ketujuh keseluruhan dengan 53 mata, hanya 10 mata ketinggalan kepada pelumba di tangga kedua, Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) yang mengumpul 63 mata dan tujuh mata ketinggalan berbanding Mohd Affendi Rosli (Harian metro TEQ SCK Honda Racing) di tangga ketiga, 60 mata. Mendahului senarai adalah rakan sepasukan Affendi, Norizman Ismail, 87 mata.


"Tangga ketujuh adalah pencapaian yang agak baik buat pelumba baru sepertinya kerana kebanyakan pelumba kategori CP130 ini sudah beraksi selama beberapa tahun. Dalam masa yang singkat, Zaqhwan sudah menunjukkan banyak peningkatan dan berdasarkan pencapaian ini, saya yakin dia mampu pergi lebih jauh," kata Yuzy.

Zaqhwan turut mempunyai pendapat sama dengan pengurus pasukannya dan percaya masih mampu menamatkan musim ini dalam senarai lima pelumba teratas.


"Saya puas hati dengan prestasi dalam kategori CP130. Namun pada masa sama, saya sedar ia belum mencukupi. Pada lima pusingan awal, saya beraksi dengan begitu baik apabila berada di kalangan enam pelumba terawal yang melintasi garisan penamat kecuali pada Pusingan 4 di Putrajaya apabila mengalami kemalangan. "Di Alor Setar, saya cuba untuk kembali merapatkan diri dengan pelumba di depan namun masalah teknikal menyebabkan saya terpaksa memulakan perlumbaan di barisan belakang. Sukar bagi saya mengejar pelumba di depan, saya sekadar mengekalkan kedudukan dan menamatkan perlumbaan dengan memungut enam mata saja," katanya.


Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com atau menyertai laman Facebook di www.facebook.com/ malaysiancubprix.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved