Selasa, 23 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kesedaran ibu bapa penting

Posted: 23 Apr 2013 10:12 AM PDT

Susu ibu sememang­nya makanan terbaik yang diberikan sebaik bayi lahir untuk menguatkan daya ketahanan tubuh si kecil itu terhadap penyakit.

Namun, ada ketikanya golongan ibu tidak berupaya memberikan susu badan kepada anak mereka dan beralih kepada susu formula sebagai jalan penyelesaian.

Tahukah anda pemberian susu formula berkenaan ada kalanya boleh mendatangkan bahaya sekiranya bayi mengalami alahan protein susu lembu (CMPA)?

CMPA adalah alahan makanan paling lazim berlaku pada bayi. Walaupun statistik alahan tempatan agak terhad, tetapi susu lembu dipercayai menjadi punca utama alahan makanan dialami bayi di Malaysia dan negara Asia lain.

Foto

LANCAR risalah panduan pengurusan alahan protein susu lembu.


Namun, ia sering disalah tafsir kerana kesannya merangkumi pelbagai tindak balas alahan berlainan.


Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI), Dr Amir Hamzah Abdul Latiff berkata, ibu bapa perlu peka terhadap masalah kesihatan dialami anak kerana CMPA adalah satu perkara serius.

"Gejala alahan terhadap protein susu lembu boleh menyebabkan berlakunya anafilaksis iaitu reaksi alahan teruk dan ia boleh meragut nyawa.

"Penting untuk mendapatkan rawatan awal terutama daripada pegawai kesihatan bertauliah bagi mengurangkan kesan alahan dialami kanak-kanak berkenaan," katanya ketika pelancaran Kempen CMPA, baru-baru ini.

Kempen CMPA ini di­adakan sempena Minggu Alahan Sedunia 2013 bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik ibu bapa mengenai masalah yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Pediatrik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Lee Way Seah dan pakar pediatrik, Dr Chai Pei Fan.

Menurutnya, istilah terkini untuk alahan yang diiktiraf Pertubuhan Alahan Sedunia ialah sebarang tindak balas hiper sensitif terhadap susu.

Ia terbahagi dua iaitu CMPA dan tidak toleransi laktosa. Kedua-dua keadaan ini amat berbeza sama sekali.

Dr Amir Hamzah berkata, tidak toleransi laktosa ialah ketidakupayaan untuk menghadam laktosa disebabkan kekurangan enzim laktase manakala CMPA pula ditakrifkan sebagai tindak balas alahan hiper sensitif terhadap protein susu lembu.

"Kebanyakan ibu bapa ada kalanya membuat penilaian sendiri apabila anak mengalami alahan dan membuat keputusan memberikan rawatan dengan cara masing-masing.

"Tetapi ia boleh membahayakan nyawa anak sekiranya bahan digunakan mengakibatkan reaksi alahan yang lebih teruk," katanya.

Menurut kajian membabitkan 807 kanak-kanak yang mengalami alahan protein susu lembu, satu pertiga daripadanya berlarutan sehingga remaja dengan 12 peratus mengalami alahan susu lembu sehingga usia 18 tahun.

Dr Chai berkata, ibu bapa perlu mendapatkan pengesahan mengenai alahan dialami anak dan bukan mengambil sikap bersahaja dan membuat langkah pencegahan dengan hanya menukar susu formula digunakan.

Alahan terhadap protein susu lembu ini bukan masalah buat seumur hidup kerana ia akan hilang dengan sendirinya, namun masih ada sebilangan kecil individu yang berterusan mengalaminya tetapi jumlahnya sedikit.

Disebabkan itu, kesedaran dan pengetahuan ibu bapa penting dalam menangani masalah ini begitu juga dengan pegawai kesihatan profesional.

"Mereka perlu mengetahui dan boleh membuat penilaian terbaik terhadap kesan alahan dialami kanak-kanak berkenaan bagi menentukan sama ada keadaan terbabit adalah CMPA atau sebaliknya.

"Reaksi dialami berkemungkinan sama dengan masalah alahan lain, tetapi ada cara bagi menentukan masalah itu dengan sebaik mungkin. Apa yang penting, mereka perlu peka dan fokus serta bertanggungjawab," katanya.

Antara reaksi dikesan pada kanak-kanak yang mengalami alahan protein susu lembu

  • Reaksi segera - Ia boleh berlaku beberapa minit selepas meminum susu dan bermula dengan keradangan kulit, masalah penghadaman, keradangan teruk dan berlaku kemungkinan tindak balas alahan lebih teruk iaitu anafilaksis.
  • Reaksi pertengahan - Pada peringkat ini, ia berlaku antara 45 minit hingga 20 jam selepas meminum susu dan kebiasaannya bayi mengalami muntah dan cirit-birit.
  • Reaksi lewat - Muncul selepas 24 jam diberi susu dan antara gejala umum ialah cirit-birit, ekzema dan sesak nafas.

    Rawatan CMPA

    Faktor terpenting adalah menyingkirkan protein susu lembu daripada diet kanak-kanak. Formula gantian tidak diperlukan bagi bayi menyusu badan dan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.

    Ibu yang menyusu badan harus meneruskan penyusuan, tetapi perlu berhenti mengambil sebarang protein susu lembu.

    Bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun yang tidak menyusu badan, susu lembu boleh digantikan dengan formula gantian. Pilihan utama ialah susu formula yang dinyahhidro.

    Harus diingatkan, formula berasaskan soya tidak sesuai bagi kanak-kanak di bawah enam bulan kerana kesan jangka panjang bagi kandungan aluminium dan phytoestrogen yang tinggi tidak diketahui.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24
  • Balang kaca dihias kreatif

    Posted: 23 Apr 2013 09:35 AM PDT

    Apa yang akan anda lakukan pada balang kaca yang pecah penutupnya? Pasti ramai antara kita mengambil langkah mudah dengan membuangnya lantaran bekas ini tidak boleh digunakan lagi.

    Tetapi bagi individu kreatif, menggunakan bahan terbuang untuk dijadikan sesuatu yang boleh diguna pakai bukan saja mengelakkan pembaziran, tetapi mampu menjadikan seseorang itu lebih kreatif menghasilkan sesuatu yang baru.

    Bagi pereka hiasan dalaman, Nazruddin Daud, sejak kecil dia mempunyai pandangan berbeza dan melihat sesuatu berlainan berbanding orang lain. Misalnya, dia menjadikan barangan terbuang sebagai sesuatu yang boleh dipakai kerana ibunya pengumpul barang seperti cawan, bunga telur dan pelbagai hiasan yang lama-kelamaan bahan ini dibuang begitu saja.

    "Melihat barangan ini, saya terfikir alangkah baiknya sekiranya dapat dijadikan sesuatu yang boleh digunakan. Bermula dari situ saya mencipta sesuatu daripada barangan terbuang," katanya.


    Balang kaca yang sudah pecah penutupnya selain dijadikan bekas pensel, dapat dijadikan produk hiasan asalkan tahu cara menghias.


    Hanya gunakan reben dan manik sepadan supaya balang ini dapat dijadikan perhiasan menarik.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    'Jeti Tanjong Sepat dah reput'

    Posted: 22 Apr 2013 05:43 PM PDT

    Tanjong Sepat: "Kami berharap ada pihak memperbaiki kerosakan pada jeti Tanjong Sepat. Kami bimbang sekiranya tidak diperbaiki menyebabkan kejadian tidak diingini seperti jeti runtuh sehingga berlaku kemalangan dan kecederaan kepada orang awam," kata Pengerusi Persatuan Nelayan Tanjong Sepat Lai Ching Tong, 63.

    Menurutnya, sebelum ini ada pihak berjanji kepada penduduk di Kampung Tanjong Sepat untuk memperbaiki jeti kira-kira 200 meter (m) itu namun sehingga kini ia belum diperbaiki.

    "Jeti ini sudah dibina lebih 10 tahun lalu untuk kemudahan nelayan serta penduduk Kampung Tanjong Sepat. Bagaimanapun, ia mengalami kerosakan berikutan usia jeti sudah agak lama.

    "Tiang asas pada jeti ini iaitu bahagian jeti yang diperbuat daripada simen mengalami kerosakan dan sudah tiba masanya ia diperbaiki manakala bahagian jeti diperbuat daripada kayu ada yang sudah reput," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada calon Barisan Nasional (BN) Tanjong Sepat Nisman Yusof di sini, semalam.


    Dia berkata, walaupun kawasan jeti Tanjong Sepat tidak secantik jeti di tempat lain, pengunjung termasuk dari luar negara sering datang ke jeti itu pada hujung minggu untuk melihat pemandangan di kawasan pantai.


    "Justeru, kami mahu pihak terbabit memperbaiki jeti berkenaan. Kami bimbang kehadiran lebih ramai pengunjung di jeti ini menyebabkan kerosakan jeti bertambah teruk," katanya.

    Sementara itu, Nisman berkata, beliau berusaha membantu penduduk kampung memperbaiki jeti berkenaan bagi memudahkan mereka terutama nelayan untuk turun ke laut.

    "Saya akan membincangkan perkara ini dengan Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed yang juga calon BN kerusi Parlimen Sepang untuk mengatasi masalah jeti ini," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Drebar bas kesal menang loteri

    Posted: 22 Apr 2013 10:02 AM PDT

    London: Di sebalik 'tuah' kerana memenangi loteri bernilai puluhan juta ringgit, seorang bekas pemandu bas mengakui, kadang-kadang dia berharap kemenangan itu tidak pernah berlaku dalam hidupnya.

    Sebelum ini, John Noakes berkongsi dengan 11 lagi pemandu bas membeli loteri dan mereka disahkan memenangi hadiah bernilai £38 juta (RM176.5 juta) Kata lelaki berasal dari Corby itu, pada awalnya dia menyangka kemenangan itu akan membolehkan segala impiannya tercapai. Namun, Noakes, 50, berkata selain kegembiraan, wang loteri itu datang bersama pelbagai bala.


    "Sebab itu sesekali saya berharap saya tidak memenangi loteri berkenaan," katanya. Bekas Pemandu Bas Terbaik itu berkata, setiap daripada mereka yang berkongsi membeli loteri itu memperoleh kira-kira £3 juta (RM13.9 juta) seorang.

    Sejak memenangi loteri itu, kata Noakes, mereka mula didatangi pelbagai masalah, daripada isu keluarga sehingga membabitkan aspek kesihatan.


    Noakes kini masih menetap di rumah lamanya bersama isteri, Jean, di bandar Northamptonshire.


    Kata Noakes, masalah itu memaksa sebahagian daripada rakannya berpindah dari Northamptonshire.

    Foto

    NOAKES bersama isterinya, Jean.

    Foto

    SEJURUS selepas memenangi loteri, Noakes dan rakanya meraikan kemenangan mereka pada Mac tahun lalu.

    "Malah, dua daripada kami terpaksa meninggalkan Britain.


    "Saya dan Jean pula sedang bersiap-siap memulakan hidup baru di Cyprus," katanya.

    Sejak menjadi jutawan, kata Noakes, hidup mereka berubah sama sekali, tetapi tidak semuanya membawa kebaikan. Noakes sendiri mula menjadi perokok baru-baru ini akibat dilanda kemurungan. "Walaupun saya gembira memenangi wang yang banyak, perubahan daripada hidup susah menjadi kaya-raya sebenarnya mencabar," katanya. Antara kesulitan yang dialaminya, dia terpaksa meneliti segala wang yang dibelanjakan bagi memastikan ia bertahan.


    "Kebanyakan rakan saya juga enggan bersahabat dengan saya lagi," katanya. Noakes turut selalu didatangi orang tidak dikenali dan meminta wang di jalanan.


    Majikan Noakes juga menolak tawarannya untuk membantu syarikat pengangkutan itu secara percuma ketika London menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tahun lalu.


    Satu lagi cabaran Noakes ialah untuk berlaku adil kepada semua anggota keluarga tanpa menyebabkan sesiapa kecewa.


    Justeru, katanya, dia dan Jean bercadang berpindah ke Cyprus.


    Kata Noakes, sejak memenangi loteri itu, dia berhenti kerja tetapi menafikan hidup mereka berubah.


    "Kami masih berbelanja di kedai sama, menggunakan kereta terpakai dan tetap cuba tawar-menawar ketika membeli pakaian," katanya ketika ditemui, semalam. Seorang rakan Noakes yang memenangi loteri itu kini berpindah ke Sepanyol bagi mengelak berdepan perselisihan faham sesama keluarga. - Daily Mail

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

    Anak itik dibakar untuk cegah H7N9

    Posted: 22 Apr 2013 09:55 AM PDT

    Beijing: Penternak terpaksa membunuh semua anak itik peliharaan mereka ketika wabak selesema burung kembali merebak di China.

    Setakat ini seramai 20 orang disahkan terbunuh dan 70 lagi dirawat di hospital kerana dijangkiti virus baru selesema burung, dikenali sebagai virus H7N9.


    Bagi mengelak virus itu merebak, pekerja ladang ternakan itik di wilayah Fujian membunuh beribu-ribu anak itik yang baru menetas. Dengan menutup hidung, mereka menggunakan penyodok untuk mengangkat anak itik itu dan mencampaknya ke relau bagi memastikan tiada virus yang terselamat.

    Beberapa hari lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran, lebih ramai manusia akan dijangkiti virus H7N9. - The Sun

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Dua jam terperangkap banjir

    Posted: 22 Apr 2013 05:36 PM PDT

    Petaling Jaya: Ribuan pengguna Lebuhraya Pantai Baru (NPE) terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama dua jam apabila banjir kilat di persimpangan ke Taman Datuk Haron, di sini, semalam.

    Banjir kilat akibat longkang yang tidak diselenggara itu kerap berlaku apabila hujan lebat melanda kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

    Jurucakap New Pantai Expressway Sdn Bhd berkata, pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat bermula jam 4.37 petang ketika hujan lebat dan air mula surut jam 6.25 petang.

    "Keadaan itu mengakibatkan ribuan pengguna NPE terperangkap dan tidak dapat meneruskan perjalanan mereka berikutan air naik hingga 0.2 meter.

    Foto

    PETUGAS NPE mengawal lalu lintas di laluan yang ditenggelami air, semalam.


    "Bagaimanapun, trafik kembali lancar selepas hujan reda dan banjir mulai surut," katanya ketika dihubungi semalam.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

    Tahan sakit demi rakan

    Posted: 22 Apr 2013 05:36 PM PDT

    Putrajaya: Mengalami sakit kepala yang teruk berikutan penyakit akut ketinggian (AMS) menjadi cabaran utama kepada Ketua Pendaki Everest Felda 2013, Siti Hanisah Sharuddin, 23.

    Namun, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat gadis kental itu untuk terus mendaki sehingga sampai ke puncak Island Peak.

    Siti Hanisah berkata, dia masih mampu bertahan kerana tidak mahu masalah berkenaan menggugat semangat dan tumpuan pendaki lain yang turut menjayakan
    misi Everest Felda 2013.

    Foto

    MOHD Asyraf dan Mohamad Ashaziq bergambar di puncak Island Peak.

    "Pada mulanya saya hanya mengalami sedikit tanda AMS dan masih boleh bertahan kerana ia tidak mengganggu tumpuan saya, bagaimanapun, kesakitan makin terasa sewaktu saya meneruskan pendakian.

    "Saya berdoa dan cekalkan hati supaya dapat menamatkan pendakian hingga
    ke puncak Island Peak. Alhamdulillah, akhirnya saya selamat tiba ke puncak bersama pendaki lain," katanya melalui e-mel kepada Harian Metro dari Kem Induk
    Everest, semalam.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Advertorial: Demam Star Trek Bermula

    Posted: 22 Apr 2013 05:40 PM PDT

    Sekuel kepada filem 'Star Trek' (2009), 'Star Trek Into Darkness' bakal menemui pengunjung pawagam bermula 17 Mei depan setelah tarikh tayangan ditunda dari 29 Jun tahun lalu tanpa alasan yang dapat didedahkan.

    Petanda awal menunjukkan peminat Trekkies sudah tidak sabar menonton 'Star Trek Into Darkness' apabila comicbookmovie.com melaporkan sistem tempahan atas talian BFI dan Odeon di United Kingdom mengalami masalah teknikal gara-gara permintaan yang memberangsangkan untuk tempahan awal tiket.

    Selepas kejayaan 'Star Trek' memungut kutipan mencecah US$385 juta di box office serta kemenangan di beberapa majlis penganugerahan termasuk Academy Awards dan Screen Actors Guild Awards, pihak penerbit memutuskan untuk meneruskan kisah James T. Kirk bersama krew kapal USS Enterprise.

    Malah semua pelakon utama dikatakan telah menandatangani kontrak untuk dua sekuel termasuk Chris Pine, Zachary Pinto, Karl Urban, Zoe Saldana, Simon Pegg, John Cho dan Anton Yelchin.


    Filem kedua dalam siri reboot yang bermula pada tahun 1966 ini turut menampilkan pelakon Inggeris popular, Benedict Cumberbatch yang melakukan transisi dari watak Sherlock Holmes abad ke-21 ke karektor antagonis yang lebih futuristik.


    Kepulangan J. J. Abrams kepada kerusi pengarah turut disambut baik peminat, lebih-lebih lagi bila dia disahkan bakal mengarah 'Star Wars Episode VII'. Abrams juga membawa bersama rakan-rakan koloborasinya iaitu Alex Kurtman dan Roberto Orci sebagai penulis skrip (dan kini, penerbit) serta Damon Lindelof yang masih berfungsi sebagai penerbit tetapi telah meluaskan lagi portfolionya sebagai penulis bersama.

    Kisah 'Star Trek Into Darkness' bermula dengan kepulangan USS Enterprise ke Bumi. Semua krew terkejut dengan keadaan Bumi yang huru-hara. Lebih memeranjatkan bila Starfleet menjadi mangsa serangan. Kini, Kapten Kirk bersama krewnya ditugaskan untuk mencari individu yang bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

    Jangan terlepas menonton 'Star Trek Into Darkness' yang menjanjikan babak-babak aksi yang mendebarkan di pawagam bermula 17 Mei depan.

    VIDEO:

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

    Penghormatan Search

    Posted: 22 Apr 2013 07:48 AM PDT

    Pengalaman Search ketika mula-mula mahu bertapak di Singapura pada tahun 1980-an dulu cukup menarik dan menyentuh perasaan. Persepsi negatif sebahagian masyarakat dan kerajaan negara itu terhadap band rock ketika itu sama saja situasinya di negara ini.

    Muzik rock sering dipandang serong dan dilabel sebagai negatif. Bukan kerana lagu-lagu yang disampaikan, tetapi perlakuan segelintir penonton yang gemar mencetuskan masalah, bertindak di luar kawalan termasuklah pergaduhan.

    Persepsi ini membuatkan persembahan Search di Singapura ketika itu sering berhadapan dengan pembatalan saat-saat akhir.

    "Pada satu ketika kami sudah tiba di lokasi persembahan, tetapi dimaklumkan konsert kami sudah dibatalkan. Ia memang mengecewakan kami, tetapi kami hormat keputusan penganjur tambahan pula Search masih baru. Kami dan pihak syarikat rakaman, Polygram Records yang berpangkalan di Singapura bagaimanapun tetap berusaha mengetengahkan Search.


    "Berkat kesabaran, akhirnya kerajaan Singapura membuka jalan kepada kami dengan syarat kami sendiri harus memainkan peranan dengan menyampai mesej kepada penonton supaya konsert berlangsung dalam suasana aman," kata 'frontman' dan vokalis Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, 54.


    Sejak itu, nama Search semakin hari semakin besar dan berpengaruh di Singapura. Dan buktinya hari ini pentas berprestij di Singapura, The Star Theatre yang menyamai kehebatan dan kepakaran setanding Royal Albert Hall di London bakal menjadi lokasi konsert Acoustica Malam Edan Search - Live In Singapore pada 1 Jun depan jam 8 malam.

    Konsert anjuran Sound Check Pte Ltd itu nyata istimewa buat Amy dan anggota Search yang lain, Yazit (drum), Noordin (gitar), Kid (gitar) dan Nasir (bass) kerana konsert itu mengimbau kembali kenangan mereka beraksi dalam konsert Gema Di Timur Jauh Unplugged yang pernah dipentaskan 18 tahun lalu di Shah Alam dan Kuala Lumpur pada 1995.

    Amy berkata, Search memang ternanti-nantikan tawaran seperti ini kerana sejak beberapa tahun lalu, walaupun kerap membuat konsert tapi ia bukan persembahan akustik.

    "Justeru, apabila penganjur datang kepada kami dan membawa berita ini, Search seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Paling membuatkan kami terharu sekali apabila penganjur mencadangkan pentas The Star Theatre yang kami sendiri pernah mendengar kehebatan pentas prestij itu dengan gelaran 'Royal Albert Hall Singapura'.

    "Lebih membanggakan, Search adalah artis pertama Malaysia yang diberi penghormatan mengadakan persembahan di situ. Saya dimaklumkan penganjur bukan sebarang acara dibenarkan menggunakan lokasi itu. Ini bagi menjaga prestij pentas yang sering menjadi pilihan artis antarabangsa antaranya kumpulan Deep Purple," katanya.

    Amy berkata, dia percaya dengan kemudahan yang ada di The Star Theatre dan rupa bentuknya yang bulat akan menghasilkan dan mencipta satu persembahan muzik yang indah.

    Berupaya memuatkan 15,000 penonton sekali gus, bagi membolehkan peminat-peminat Search di Malaysia untuk menyaksikan konsert hebat itu, Sound Check Pte Ltd bekerjasama dengan Triangle Travel and Holidays yang akan menganjurkan satu trip perjalanan dan penginapan ke Konsert Acoustica Malam Edan Search Live In Singapore! Tiga kategori pakej di perkenalkan bagi memudahkan peminat yang jauh ke konsert itu.

    Magis Amy beraksi di pentas

    Bercerita mengenai persiapan konsert, pemain bass, Nasir berkata, penganjuran konsert ini satu pelaburan besar dan Search mengambil cabaran yang besar untuk memastikan ia berjaya.

    "Muzik akustik pada pendengaran lebih ringkas dan rileks, tetapi dari sudut teknikal ia menuntut pemuzik menjadi lebih fokus. Penataan bunyi yang digunakan khas untuk akustik dan susunan lagu perlu dirombak kerana susunan muzik akustik tidak boleh sama dengan elektrik.

    "Tidak sama dengan muzik elektrik, bermain muzik secara akustik harus lebih halus selain kesilapan tidak boleh dilakukan kerana akustik bunyinya bersih dan jika berlaku kesalahan sangat mudah untuk didengar," katanya ditemui di studio Bustaman, White Studio yang beroperasi di Cheras, Kuala Lumpur.

    Ditanya, sebagai kumpulan rock yang terkenal dengan persembahan energetik, apakah konsep akustik ini bakal membataskan pergerakan mereka nanti terutamanya vokalis kumpulan itu, Amy.

    "Amy mengambil cabaran besar saat mempersetujui tawaran ini selepas hampir 18 tahun tidak melakukannya. Bagaimanapun, saya percaya kredibiliti Amy di atas pentas. Dia seakan ada magis dan berbeza apabila mengenalinya secara peribadi.

    "Amy orangnya lemah-lembut dan tidak banyak bercakap. Tetapi apabila di atas pentas, Amy miliki aura dan menjadi orang yang lain. Berhubung peranan ahli kumpulan Search lain, semestinya kami giat berlatih dan ia bukan masalah untuk kami.

    "Cuma pembaharuan yang dilakukan adalah pada susunan muzik supaya ia kedengaran baru, segar dan menarik. Untuk persembahan itu nanti, Yazid, ingin melakukan kejutan dan menonjolkan kemampuannya untuk bermain perkusi," katanya.

    Difahamkan, sekiranya konsert itu berjaya dan mendapat sambutan hebat daripada peminat Search di Singapura, penganjur bercadang untuk memanjangkan persembahan itu di Malaysia.

    Tiket-tiket bagi "Acoustica Malam Edan Search" - Live In Singapore boleh mula dengan harga Standard -$168, $148, $128, $98, Box A & C- $168 dan Restricted View- $78. Tiket-tiket boleh didapati di sistic.com.sg. sebarang pertanyaan mengenai konsert ini bolehlah dibuat dengan melayari www.facebook.com/SoundCheckPteLtd atau enquiries@soundcheck.com.sg.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Gantung Raja?

    Posted: 22 Apr 2013 09:43 AM PDT

    Kuala Lumpur: Sama ada Datuk K Rajagobal bersalah ataupun tidak, semuanya bakal terjawab apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membicarakan kes ketua jurulatih kebangsaan itu esok.

    Perbicaraan kes itu menyusul selepas hampir dua minggu Rajagobal menjawab surat pertuduhan kerana didakwa melanggar Perkara 4.5.8 Kod Tatatertib FAM selepas mengkritik dasar diputuskan badan induk bolasepak tanah air itu mengenai penggunaan pemain import.


    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM (JKPT) Datuk Taufek Abd Razak, menerusi surat jawapan diterima, Rajagobal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan akan membela diri pada hari perbicaraan.

    "Datuk Rajagobal mengaku tidak bersalah dan kami akan mengadakan perbicaraan Rabu ini (esok). Apa saja keputusan bergantung kepada pembelaannya pada hari perbicaraan itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


    Kerana kes itu kedudukan Rajagobal sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya kini terancam kerana jika bersalah, beliau boleh digantung enam bulan dan denda RM8,000 mengikut Kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM.


    Semuanya berpunca daripada kenyataannya mengenai kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang menyebabkan negara ketandusan penyerang semula jadi.

    Kenyataan pengendali berusia 56 tahun itu dibuat pada sidang media selepas beliau menyaksikan anak buahnya tumpas di tangan Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.


    Taufek berkata, selain kes Rajagobal, pihaknya juga akan membicarakan pendakwaan terhadap dua pemain Selangor, Mohd Afiq Azmi dan Abdul Shukor Jusoh yang terbabit dengan insiden pergaduhan dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 25 Januari lalu.

    "Keputusan mengenai dua pemain Selangor ini juga dibuat pada Rabu ini, pendakwaan ke atas Afiq dan Shukor adalah berdasarkan insiden dalam perlawanan dan bukannya selepas tamat perlawanan itu," katanya.


    Sebelum ini JKPT sudah mengenakan hukuman penggantungan dua hingga empat perlawanan kepada pemain ATM iaitu Mohd Fitri Omar, G Jeevanthan, R Surendran dan Mohd Shukor Adan kerana terbabit dengan pergaduhan itu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

    Juve hampiri juara Serie A

    Posted: 22 Apr 2013 09:38 AM PDT

    Turin: Juventus menghampiri kejuaraan Itali ke-29 selepas menewaskan AC Milan, 1-0 hasil sepakan penalti Arturo Vidal pada babak kedua, awal pagi semalam.

    Juve memerlukan empat mata daripada lima perlawanan terakhir selepas pencabar terdekat Napoli, ketinggalan 11 mata, menundukkan Cagliari 3-2 di Stadio San Paolo.


    Milan kini perlu memikirkan ancaman Fiorentina yang mengalahkan Torino, 4-3 dan kini hanya ketinggalan satu mata di tangga keempat.

    Fiorentina kini memiliki kelebihan lima mata ke atas Inter Milan, yang berjaya meraih semula sentuhan kemenangan apabila menewaskan Parma, 1-0 menerusi jaringan penyerang veteran Tommaso Rocchi pada minit ke-82 sekali gus mengendurkan sedikit tekanan buat jurulatih Andrea Stramaccioni.


    Babak pertama yang hambar di Turin menyaksikan hanya satu peluang dicipta tapi penjaga gol Milan, Christian Abbiati hebat menyelamatkan sepakan percuma Andrea Pirlo.


    Abbiati mengalami kecederaan berikutan tindakan akrobatik itu dan digantikan Marco Amelia.

    Tuan rumah mendahului pada minit ke-58 apabila Kwadwo Asamoah dijatuhkan Amelia. Vidal tampil dan menyempurnakan penalti menarik ke penjuru kanan gol.


    Jurulatih Juve Antonio Conte gembira dengan kemenangan itu namun enggan mengulas mengenai kejuaraan.

    "Milan adalah Milan, mereka sering bermain untuk menang," katanya. "Ia tidak mudah buat kami, jika tumpas, Napoli akan merapati dan kami pasti tertekan." Milan kini tidak menang dalam tiga perlawanan namun jurulatih Massimiliano Allegri percaya mereka akan menamatkan musim dengan bergaya.


    "Kami kalah tipis kepada Juventus kerana kami tidak banyak mencipta peluang," kata Allegri. - Reuters

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved