Jumaat, 5 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Koleksi diberi nafas baru

Posted: 05 Oct 2012 09:48 AM PDT

SEBAIK melangkah ke rumah anak muda ini, mata terus tertumpu kepada bahagian ruang tamunya yang menempatkan beberapa patung dengan busana pengantin indah membalutinya.

Rekaannya ringkas tetapi elegan. Itu yang dapat disimpulkan mengenai koleksi busana pengantin Dwen Raha, hasil tangan anak muda bernama Mohd Redzuan Abdul Rahim ini.

Perincian seperti manik, labuci dan kristal dijahit kemas pada busana berkenaan malah ia menjadi keutamaan Dwen tatkala menyiapkan setiap tempahannya.

Mahu pelanggannya berasa selesa ketika bergaya di hari bahagia sebagai pasangan raja sehari, Dwen turut mementingkan pemilihan fabrik berkualiti tinggi seperti kain sifon, renda, bridal satin, net dan kapas.


Tambah menarik, kebijaksanaannya sebagai pereka juga terserlah apabila dapat menghasilkan busana pengantin yang juga boleh digunakan untuk menghadiri majlis kasual mahupun makan malam.


Apatah lagi sekiranya potongan busana itu mengetengahkan unsur moden kontemporari yang memang digemari ketika ini.

Menurut Dwen, permintaan untuk tempahan pakaian pengantin memang menggalakkan kerana kebanyakan bakal mempelai inginkan kelainan, malah mereka juga selalunya ingin menyimpan sehelai persalinan pengantin untuk dijadikan kenangan.

"Mereka memilih rekaan ringkas tapi menarik dan boleh digayakan kembali sama ada untuk ke majlis rasmi atau perayaan.

"Selain jahitan manik, pakaian pengantin akan menjadi lebih menarik dengan tampalan renda di atas material berkualiti dalam ton kontra yang bersesuaian.
"Justeru, saya akan pastikan sentiasa mengikuti peredaran fesyen semasa terutama daripada segi pilihan gaya dan warna.

"Sedikit ilmu yang ada itu dapat membantu saya memberikan rundingan ketika pelanggan datang bersama rekaan sendiri," katanya yang menjadikan Internet, televisyen dan majalah sebagai sumber rujukan.

Gaun moden dengan tampalan renda juga menjadi pilihan digayakan sama ada pada majlis akad nikah atau persandingan. Ramai pelanggannya memilih menggunakan warna pastel seperti krim, biru elektrik, merah jambu dan ungu.

Menyoroti beberapa koleksinya, setiap helaian diberi nafas baru dan lebih fleksibel. Contohnya, menerusi kebaya peplum ala gaya primadona Saloma yang boleh digayakan dalam beberapa gaya berbeza.

Sama ada dipakai bersama kain atau seluar, ia kekal memikat dan serasi untuk semua wanita.

"Ilham menghasilkan potongan seperti ini dengan sedikit kembang pada bahagian bawah sebagai memenuhi impian wanita yang ingin tampil dalam rekaan berbeza.

"Sekurang-kurangnya mereka mempunyai pilihan bukan saja pada potongan tradisional malah anggun mengenakan busana moden yang boleh dipakai untuk acara bertema atau makan malam," katanya yang mendapat bantuan daripada isteri tercinta, Nazierah Che' Lah.

Selain itu, terdapat juga busana pengantin yang kelihatan cukup comel apabila digayakan. Ini kerana ia menggunakan kain kapas bercorak polka dot berwarna merah jambu lembut.

Di bahagian pinggang ke bawah busana itu disaluti pula kain net untuk memberikan kelainan. Pintalan kelopak bunga buatan sendiri pula dijahit pada bahagian dada dan hujung tangan. Busana dilengkapkan dengan potongan kain kembang.

Walaupun hanya menjual produknya menerusi dalam talian iaitu di laman Facebook, ia sudah cukup membuatkan Dwen tidak menang tangan kerana sambutan daripada pelanggan amat memberangsangkan.

Mampu menyiapkan sepasang baju dalam masa tiga jam saja, nyata kelebihan ini membuatkan Dwen mampu menerima tempahan daripada individu perseorangan dan juga butik pengantin.

Tidak terhenti di situ, Dwen juga berbakat dalam solekan dan turut menerima tempahan untuk tujuan berkenaan.

Terima kasih;

- Pemilik butik Dwen Raha, Mohd Redzuan Abdul Rahim
- http://www.facebook.com/dwenrahatouch
- Model: Bobo Kama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Manik sumber rezeki

Posted: 05 Oct 2012 09:29 AM PDT

ORANGNYA kecil molek saja. Tidak nampak pun dia kreatif dengan kerja tangannya. Tetapi pandangan mata selalunya tidak benar dan gagal menceritakan kebenaran selagi kita tidak betul-betul mengenali seseorang itu.

Begitulah suri rumah dan ibu kepada tiga cahaya mata, Wan Atiqah Wan Nasir, 21. Wanita berwajah manis dari Perlis ini mempunyai kelebihan tidak dijangka.
Tangannya kreatif menyusun manik dan menjadikannya hasil menarik termasuk beg tangan, bekas tisu, dompet kecil dan bekas telefon bimbit.


Produk dihasilkan Atiqah tampak berlainan kerana pemilihan warnanya ceria dan corak rekaannya menjadikannya terserlah. Beg tangan manik berwarna-warni tentu saja mudah menjadi perhatian. Semuanya bermula tiga tahun lalu.

"Apabila saya dan suami menetap di Rumah Teratak Rahmat, kami dan rakan lain berbincang mengenai idea perniagaan supaya dapat membantu menampung perbelanjaan keluarga. Daripada situ, kami mendapat idea untuk memulakan perniagaan manik ini. Sebahagian daripada keuntungan disalurkan kepada rumah amal ini," katanya.

Suami Atiqah ialah warden tetap di Rumah Anak Yatim Teratak Rahmat, Perlis dan sebagai isteri, Atiqah turut membantu.

"Sewaktu rumah amal ini mula beroperasi, saya juga warden, tetapi pada tahun kedua saya melahirkan anak jadi saya berhenti sebagai warden. Sejak itu, bermulanya perniagaan manik saya," katanya.

Sebenarnya, Atiqah sudah mula belajar membuat manik ketika umurnya 12 tahun lagi. Dia mempelajarinya dengan ibu rakan sekolahnya dan akhirnya mencuba sendiri sehingga mahir. Minatnya terhadap kraf, manik dan kait mengait semakin berkembang.

"Keluarga saya sendiri terkejut dengan bakat saya dalam membuat kraf sejak kecil. Mereka beri sokongan kerana ia memang minat saya.

"Kini bagi menambah ilmu, saya membuat penyelidikan melalui Internet," beritahu Atiqah yang mendapat bekalan maniknya di sempadan Malaysia-Thailand.

Baginya, kualiti manik di sana lebih baik dan banyak pilihan, tambahan pula dia boleh berbahasa Thai, jadi ia memudahkan urusan jual beli.

Atiqah menyiapkan produk maniknya bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu produk. Sekiranya ia membabitkan corak yang unik, ia memerlukan lebih masa kerana perlu diberi tumpuan.

Menyiapkan satu bekas tisu contohnya, Atiqah memerlukan masa sehari memandangkan tumpuan tugasnya tidak sepenuhnya pada manik tetapi dibuatnya sambil mengasuh anak-anaknya.

Pada awal pembabitan memasarkan hasil perniagaannya, Atiqah hanya mengambil tempahan daripada rakan terdekat.

"Kemudian permintaan semakin meningkat melalui mulut ke mulut dan ini memberikan saya idea untuk mempromosinya di laman sosial Facebook," katanya.

Dari sehari ke sehari, manik buatan tangan Atiqah makin mendapat sambutan. Tambahan pula pelanggan boleh menempah mengikut cita rasa mereka.

"Pelanggan boleh menetapkan warna melalui corak yang saya paparkan atau berdasarkan rekaan mereka sendiri. Tetapi jika mereka hendak memberikan rekaan sendiri, perbincangan perlu dibuat sebelum ia disiapkan," katanya.

Pelanggan Atiqah biasanya terdiri daripada peminat kraf manik serta mereka yang menempah berdasarkan upacara seperti acara pernikahan.

Dengan bakat yang ada, Atiqah sebenarnya tidak kisah berkongsi ilmu dan mengajar orang lain.

"Jika ada peluang dan kelapangan, apa salahnya. Sehingga kini saya hanya melakukannya sendirian kerana belum ada pembantu tetap," katanya.

Antara produk manik yang dibuat Atiqah ialah kotak tisu, beg duit, beg tangan, bantal, kotak pensel dan bingkai gambar. Kotak tisu dan beg tangan paling popular.

Selain itu, Atiqah juga membuat dan mengambil tempahan jahitan manik pada baju dan tudung. Selain produk manik, dia juga handal dalam bidang kerja tangan yang lain.

"Saya juga membuat produk kait antaranya baju bayi, kasut bayi, beg galas, beg duit, kain alas meja, selendang dan cendera mata," katanya.

Harga yang ditawarkan Atiqah berpatutan. Kotak tisu ditawarkan pada harga antara RM30 hingga RM50, beg manik dan beg kait antara RM8 hingga RM70 manakala kasut bayi berharga antara RM20 hingga RM30 dan baju kanak-kanak RM40 hingga RM100.

Walaupun membuat manik kini antara sesuatu yang sering dilakukannya, Atiqah tetap mendahulukan keutamaannya sebagai isteri dan ibu.

"Saya tidak ada masa tertentu untuk menyiapkan manik. Apa yang penting saya memanfaatkan masa terluang. Semuanya selepas memastikan tuntutan saya sebagai isteri, ibu dan sebahagian daripada keluarga besar Teratak Rahmat didahulukan. Saya juga mengajar anak-anak yatim di situ sekiranya mereka berminat membuat produk manik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Remaja diculik tiga lelaki guna van putih

Posted: 04 Oct 2012 12:59 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang remaja perempuan berpura-pura pengsan selepas dipukul tiga lelaki yang menculiknya dalam sebuah van menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol, bunuh dan bakar dalam kejadian di Bandar Sri Permaisuri, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 17 tahun berjalan keseorangan ke sebuah sekolah di kawasan berhampiran untuk menjemput sepupunya berusia lapan tahun pulang apabila tiba-tiba van putih berhenti dan terus menariknya masuk ke dalam kenderaan itu.

Bagaimanapun, selepas 500 meter perjalanan, mangsa berpura-pura pengsan sejurus dipukul sebelum berjaya melarikan diri ketika tiga lelaki terbabit keluar untuk menculik seorang lagi gadis berhampiran jambatan laluan komuter di Salak Selatan.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang ingin dikenali sebagai Iqa berkata, setiap hari dia menghantar sepupunya itu ke sekolah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Lulus ubah suai rumah sehari

Posted: 04 Oct 2012 12:23 PM PDT

KUALA LUMPUR: Permohonan kelulusan mengubah suai rumah sekitar bandar raya ini diproses selama sehari berbanding seminggu sebelum ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, ini berikutan pihaknya memperkenalkan inisiatif baru yang membolehkan permohonan bagi kerja ubah suai rumah dikemukakan, dibincangkan dan diluluskan di 11 pejabat cawangan DBKL.


"Sebelum ini orang ramai perlu ke ibu pejabat DBKL untuk berbuat demikian. Tetapi, kini mereka boleh melakukannya di pejabat cawangan yang berhampiran rumah masing-masing.

"Ia akan memudahkan urusan orang ramai kerana tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas, berhadapan kesukaran mencari parkir dan tidak perlu membayar parkir yang tinggi untuk ke ibu pejabat.


"Selain itu, di peringkat DBKL pula, tempoh permohonan dan kelulusan itu boleh dipendekkan kerana permohonan dipecahkan mengikut kawasan.


"Misalnya, jika di ibu pejabat DBKL sehingga 60 permohonan pengubahsuaian rumah diterima setiap minggu, maka jumlah itu boleh dikurangkan kepada 20 permohonan apabila ia diagihkan di pejabat cawangan," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan kelulusan Ubah Suai Rumah Kediaman Untuk Permohonan B1 dan B2, di sini, semalam.

Katanya, mesyuarat akan dilakukan di tiga lokasi mengikut zon iaitu Pejabat Cawangan Setiawangsa yang mengendalikan zon utara meliputi kawasan Parlimen Kepong, Batu dan Wangsa Maju, Pejabat Cawangan Segambut (zon tengah meliputi kawasan Bukit Bintang dan Lembah Bintang) dan Pejabat Cawangan Bandar Tun Razak (zon selatan meliputi Cheras, Titiwangsa dan Seputeh).


"Bagaimanapun, tempoh kelulusan itu hanya berjalan lancar sekiranya arkitek, pelukis pelan dan jurutera mematuhi garis panduan ditetapkan DBKL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Fida serasi di lokasi

Posted: 04 Oct 2012 07:24 AM PDT

BIARPUN drama lakonannya dalam setahun tidak sebanyak pelakon muda lain yang bagaikan tidak menang tangan, Rafidah Ibrahim atau mesra dengan panggilan Fida nyata berada di tahap tersendiri. Bahkan tatkala muncul, pasti dengan drama yang menaikkan namanya.

Jika tahun lalu, Fida mempertaruhkan drama Kasih Alia menerusi slot Akasia di TV3, kini dia tampil pula dengan rantaian 13 episod Runtun Qalbu arahan Ahmad Khalid Ahmad Nadzri. Disiarkan dalam slot Zehra di TV3, setiap Jumaat, jam 9 malam, ia sudah menemui penonton sejak 21 September lalu.

Masih kekal melakonkan watak 'putih' sebagai Ustazah Fatihah, gadis kelahiran ibu kota ini mengakui cukup teruja bergandingan buat kali pertama dengan tiga pelakon utama lain iaitu Kamal Adli sebagai Qalbu, Fasha Sandha (Idayu) dan Shah Iskandar (Kelabu). Katanya, ia pengalaman yang cukup menyeronokkan.

Di bawah terbitan produksi Excellent Pictures Sdn Bhd, Fida berkata, dia bersyukur tidak berhadapan sebarang masalah sepanjang menjayakan drama itu.

Ujarnya, biarpun ini adalah gandingan sulung mereka berempat, tetapi masing-masing mampu bersikap profesional dan saling membantu antara satu sama lain.

"Hinggakan saya sendiri tidak kekok, apatah lagi berasa janggal. Maklum sajalah, saya melihat mereka sebagai pelakon hebat kerana banyak drama sudah dibintangi. Bahkan, Kamal dan Fasha pula nama mereka juga dikenali di layar perak. Jadi, semestinya tahap lakonan mereka sudah cukup terbukti.

"Manakala, Shah pula semakin dikenali ramai menerusi drama dan telefilem lakonannya. Jadi, apabila digandingkan bersama mereka, ia bagaikan satu cabaran kepada saya. Justeru, jika mereka memberikan lakonan yang bagus, mengapa pula saya harus mensia-siakan peluang yang datang. Saya juga perlu berikan yang terbaik.

"Apapun, saya memang seronok berlakon di samping mereka. Rasanya, tiada sebarang tekanan berat dan Khalid pun selaku pengarah tahu apa yang diinginkan.
Jadi, tidak sukar untuk kami semua mempersembahkan lakonan seperti dikehendakinya. Pun begitu, jalan cerita drama ini memang saya suka," katanya.

Berbicara lanjut mengenai wataknya, Fida berkata, Ustazah Fatihah adalah guru agama yang tinggal bersama bapa saudaranya, seorang imam masjid. Biarpun bersikap pendiam, tetapi Fatihah seorang yang mudah didekati dan mesra.
Ujarnya, dia dan Idayu bersahabat dalam drama itu.

Menyorot sinopsis drama Runtun Qalbu ini, ia mengisahkan Qalbu yang melakukan penghijrahan dalam hidupnya daripada seorang yang lalai pada agama berubah menjadi hamba yang taat. Namun, sejauh mana dia cuba melupakan sejarah pahit itu, semakin dekat Qalbu dengan hakikat yang pernah dilaluinya.

Pun begitu, Qalbu sentiasa menjadi perhatian jirannya, Idayu yang menaruh hati terhadapnya. Tidak kisah dengan kerja Qalbu sebagai penjaga bilik mayat dan memiliki personaliti pelik, Idayu tetap menyukainya. Namun, dalam diam sebenarnya Qalbu lebih menyukai Fatihah yang ditemuinya di masjid.

Apapun, muncul pula Kelabu yang hilang ingatan dan dijaga baik oleh Qalbu.
Justeru, Kelabu menjadi perantara di antara Qalbu dan Fatihah. Justeru, apakah yang berlaku seterusnya? Apakah cinta Qalbu menjadi milik Ustazah Fatihah atau pun Idayu? Semuanya dapat disaksikan penonton dalam Runtun Qalbu.

Sehubungan itu, barisan pelakon lain yang turut membintangi drama ini ialah Shukri Yahya sebagai Bon, Reen Rahim (Amy), Kaza (Zaidi), Razak Ahmad (Imam Musa), Rosnah Johari (Rahimah), dan Juhara Ayob (Hajah Zubaidah).

Tidak hanya berlakon, Fida juga memiliki minat mendalam pada nyanyian. Kalau sebelum ini, single dendangannya pernah menjadi lagu tema drama, kini dia tampil merakamkan semula lagu Apo Kono Eh Jang? yang diberi nafas baru. Malah, kerjasama dijalin dengan Datuk AC Mizal dan Stella Band.

Menyingkap idea merakamkan lagu itu, Fida berkata dia mendapat cadangan daripada komposer dan penulis lirik terkenal, Sheikh Qalam yang bertindak sebagai penerbit. Apatah lagi, ujarnya ia idea yang bagus serta dia juga sememangnya mahu mencuba sesuatu yang baru untuk menilai vokal sendiri.

"Saya menerima cadangan Sheikh Qalam itu berikutan berasakan ia idea yang bagus. Malah daripada pemilihan lagu serta susunan muzik, kesemua dibuat olehnya (Sheikh Qalam). Jadi, proses rakaman lagu ini yang menggabungkan elemen solo, rap dan band dilakukan saya pada Ramadan lalu dan kini mula berkumandang di radio.

"Tak dinafikan, pada mula selepas merakamkan lagu ini saya tak nampak ke mana hala tujunya. Bagaimanapun, apabila sudah siap sepenuhnya, saya baru nampak kelainan itu. Malah saya percaya lagu ini akan menepati cita rasa pendengar kerana kepelbagaian. Memang seronok didengar," katanya.

Selain nyanyian, Fida juga memaklumkan dia kini sibuk mengusahakan perniagaan minuman kesihatan, misai kucing. Katanya, kini sambutan diterima daripada pengguna semakin menggalakkan. Bahkan, ujarnya dia mula menceburi perniagaan ketika terbabit dalam program Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya.

"Saya tak sangka akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.
Jadi, saya putuskan untuk menceburi perniagaan ini secara serius. Kini, stokis yang berminat untuk menjadi pengedar produk ini dan maklumat lanjut, bolehlah berkunjung ke laman sosial facebook saya," katanya.

Tatkala menyentuh soal status BBM miliknya yang bengang dengan pihak tidak bertanggungjawab menghantar bahan lucah kepadanya, Fida berkata, dia sudah melalui perkara itu sejak tiga bulan lalu.

Pun begitu, selepas puas bersabar, dia masih lagi menerima gangguan itu. Akibat sudah tak mampu berhadapan tekanan yang datang maka Fida meluahkan perasaan kecewanya dalam BBM dan menghantar kepada senarai rakan. Katanya, dia berharap sangat supaya rakan BBM miliknya lebih peka terhadap apa yang mahu dihantar mereka.

Katanya, janganlah berburu-buru menghantar apa saja bahan diterima di dalam BBM kepada orang lain. Katanya alangkah lebih bagus supaya menilai dulu kandungan yang dikirim, sebelum terus menghantar kepada orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Noraniza kuasai etnik

Posted: 04 Oct 2012 07:17 AM PDT

JULUNG kalinya dalam sejarah penganjuran Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM), kategori Lagu Pop Etnik Terbaik mencalonkan hanya seorang penyanyi menerusi lima lagu dendangannya.

Calon berkenaan tidak lain tidak bukan adalah, Noraniza Idris. Apa yang lebih menarik kesemua lagu yang layak liriknya ditulis oleh pengacara program temu bual pagi Malaysia Hari Ini iaitu Ahmad Fedtri Yahya.

Bagaimanapun, lagu-lagu itu dicipta oleh komposer yang berbeza. Endang-Endong Cintaku Satu misalnya, menyaksikan kolaborasi antara Wan Mohammad Logan, Hari Demi Hari (Mohd Shahril/Noraniza Idris), Kuasa Cinta (Edrie Hashim), Mahligai (Helen Yap) dan Menarik Hati (Asmin Mudin).

Kelayakan kesemua lagu dendangan Noraniza itu secara jelas menunjukkan persada seni muzik kekurangan lagu-lagu etnik sekali gus menimbulkan persoalan mengapa tidak saja kategori itu dibubarkan.


Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM19, Rosmin Hashim, berkata, pihaknya ada memikirkan untuk membubarkan kategori berkenaan pada mulanya, bagaimanapun selepas berbincang dengan pihak juri juga ahli jawatankuasa AIM, keputusan itu tidak adil bagi pihak komposer.


"AIM dianjurkan untuk mengiktiraf pengkarya muzik iaitu komposer, penulis lirik dan penyanyi. Dalam penjurian yang dilakukan saban tahun, melodi mewakili peratus pemarkahan yang besar kemudian baru lirik dan 20 peratus penyampaian penyanyi.

"Jika kategori ini hendak dibubar kerana kesemua lagu yang dicalonkan mengenengahkan penyanyi yang sama, itu bermakna kami tidak berlaku adil buat komposer dan penulis lirik yang seharusnya diraikan.

"Seperkara lagi, jika kategori berkenaan dibubarkan, ia mendorong kepada kepupusan lagu-lagu etnik yang sememangnya sudah tidak kompetitif.

"Untuk pengetahuan umum, kategori ini tidak mempunyai saingan daripada mana-mana artis lain malah kelima-lima lagu yang tercalon ini adalah seleksi lagu yang menghantar penyertaan mereka kepada kami. Dengan mengekalkannya akan mendorong pengkarya muzik untuk terus menghasilkan lagu berirama etnik," katanya.

Merungkai persoalan, mengapakah album Cintaku Satu tidak tersenarai sebagai top 5 kategori Album Terbaik mahupun Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Album, sedangkan lima daripada 10 lagu yang terkandung berjaya membolosi top 5 kategori Lagu Pop Etnik Terbaik.

Ini secara tidak langsung membuktikan pembikinan album Noraniza juga dikenali sebagai pejuang irama Malaysia itu layak ditempatkan di dalam dua kategori yang disebutkan.

"Segala pemarkahan dilakukan juri profesional yang mempunyai latar belakang hebat dalam bidang muzik. Cintaku Satu mungkin mempunyai seleksi lagu yang hebat tetapi barangkali ada lagi produk album yang lebih baik daripada itu," katanya ringkas.

Ditemui di majlis pengumuman calon top 5 AIM19 di Hotel Royale Chulan, Rosmin juga memberi jaminan bahawa 57 barisan juri yang terbabit dalam penghakiman AIM19 kali ini terdiri daripada kalangan pengamal muzik yang sememangnya berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi termasuklah jurutera bunyi.

Sebelum ini, penghakiman dilakukan oleh ahli-ahli Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) termasuk pihak media, ahli akademik, wakil stesen radio dan televisyen serta individu daripada syarikat rakaman.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan iaitu Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) , Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Terbaik dan Album Terbaik.

Manakala, sama seperti tahun sebelumnya dua anugerah khas juri diberikan kepada penggiat muzik yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa juga sumbangan bakti orang-orang lama menerusi Anugerah Wirama dan Kembara.

Berbanding penganjuran AIM yang lepas, AIM19 tidak banyak membariskan lagu-lagu hit dalam senarai Top 5 meskipun kebelakangan ini banyak lagu popular dihasilkan oleh pengkarya muzik.

"Kami akui memang ada banyak lagu hit tetapi mungkin karya mereka itu tidak menepati kriteria ditetapkan juri profesional yang mengadili setiap kategori memandangkan kami amat menitikberatkan soal kualiti. Bagaimanapun itu tidak bermakna lagu mereka tidak bagus, cuma ada yang lebih baik pada pendengaran juri," katanya.

Walaupun reputasi AIM dan RIM pernah dipersoalkan pada edisi tahun lalu, namun bagi Rosmin, ia adalah satu perkara yang lumrah.

"Pihak kami berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi anugerah berprestij yang diwujudkan untuk memartabat serta mengiktiraf hasil kerja dan kreativiti karyawan muzik tempatan kita ini," katanya.

Baginya, apa yang penting adalah kredibiliti AIM dan berharap ia akan lebih telus dengan adanya forum dan pemilihan yang lebih teliti daripada barisan pihak juri menerusi prosedur penghakiman yang telah disediakan.

AIM edisi ke 19 ini bakal berlangsung pada 17 November 2012 di Stadium Malawati, Shah Alam dan akan dipancarkan Astro Ria secara langsung di saluran 104.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


2kg rambut, kapur dalam perut

Posted: 04 Oct 2012 09:49 AM PDT

NEW DELHI: Apabila seorang remaja mengadu tidak boleh makan atau minum selama beberapa hari, sekumpulan doktor memutuskan untuk mencari puncanya.

Tidak seperti dijangka, apa yang mereka temui sangat luar biasa.

Di dalam perut remaja perempuan itu ialah gumpalan rambut seberat hampir dua kilogram yang tersangkut di antara perut dan usus kecilnya.

Pakar perubatan India mendapati, remaja berusia 19 tahun itu mempunyai tabiat suka memakan rambut sendiri, selain kapur tulis jika dia berada di sekolah.


Gabungan 'makanan' aneh itu kemudian berkumpul dalam tubuh remaja terbabit sebelum lama-kelamaan menjadi besar.


Sepasukan pakar bedah dimaklumkan mengenai penemuan itu selepas remaja terbabit - dari Rajgarh dan Madhya Pradesh - berkunjung ke Hospital the Maharaja Yeshwantrao di Indore bulan lalu.

Diketuai Dr Parvinder Singh Lubana, mereka akhirnya berjaya mengeluarkan gumpalan rambut yang 'membungkus' kapur berkenaan.

Seorang daripada pakar bedah itu, Dr Amit Agarwal, berkata saluran usus remaja terbabit tersumbat menyebabkan dia tidak boleh mengambil makanan atau minuman selama beberapa hari.

Bagaimanapun, gumpalan rambut itu bukanlah yang terbesar pernah dikeluarkan dari tubuh seseorang dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Pada November 2007, doktor di Amerika Syarikat (AS) menemui gumpalan rambut seberat hampir lima kilogram dalam perut seorang remaja perempuan.

Berusia 18 tahun ketika itu, remaja terbabit mendapatkan bantuan doktor selepas mengalami kesakitan dan bengkak perut selama lima bulan.

Imbasan menunjukkan ada gumpalan besar di bahagian perut remaja terbabit.

Lima hari selepas dikeluarkan, pesakit kembali makan secara normal dan dibenarkan pulang. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Guna jengkaut rempuh bank, larikan ATM

Posted: 04 Oct 2012 09:46 AM PDT

LONDON: Sekumpulan perompak merempuh dinding sebuah bank menggunakan jengkaut curi, menyebabkan lubang sebesar kira-kira empat meter, sebelum mereka melarikan mesin teler automatik (ATM) di situ, semalam.

Polis kini memburu empat lelaki bertopeng kerana merempuh Bank Barclays cawangan Long Sutton di Lincolnshire.


Jurucakap polis berkata, perompak terbabit menggunakan jengkaut yang dicuri dari sebuah ladang di Gedney sebelum mengangkut ATM menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Walaupun sepatutnya insiden itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV), tiada bukti dapat digunakan polis pada alat berkenaan kerana ia tidak dihidupkan ketika itu. Ahli Majlis Tempatan, John Clarey, berkata dia amat terkejut insiden itu boleh berlaku di tengah bandar ketika dua CCTV terarah ke dinding bank berkenaan. "Apa guna membayar wang yang banyak untuk kamera CCTV jika tiada apa dapat dirakam?" katanya. Awal tahun ini, pihak berkuasa tempatan Clare Clarey menggantung pembiayaan skim kamera rasmi bagi membolehkan siasatan dibuat memastikan ia benar-benar berfungsi. Siasatan dibuat selepas sekumpulan pencuri melarikan hampir 700,000 (RM3.5 juta) dari mesin tunai pasar raya di seluruh Britain menggunakan mesin gergaji.


Mereka bagaimanapun didapati bersalah dan dipenjara bulan lalu. Sepanjang 14 bulan, mereka mencuri 33 pasar raya dan kediaman. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


45 tahun tiada dendam

Posted: 04 Oct 2012 05:43 PM PDT

KUALA PILAH: "Berpuluh-puluh tahun saya mencari, namun hanya kini kami dapat bertemu kembali. Saya mahu memohon berbanyak maaf kepadanya," kata Ab Aziz Othman, 63, yang tak sengaja tertetak kepala Kamarul Baharin Shariff, 67, menyebabkan rakan pesilatnya itu lumpuh separuh badan.

Kejadian yang berlaku 45 tahun lalu itu mengubah keseluruhan hidup Kamarul Baharin apabila dia tidak mampu berdiri dan berjalan, namun nasib menyebelahinya apabila mampu berumah tangga dan hidup bahagia bersama lima anak seperti dipaparkan Harian Metro, semalam.

Insiden antara Ab Aziz dan Kamarul Baharin berlaku ketika kedua-dua mereka yang juga pesilat Silat Seni Gayong Malaysia membuat persembahan untuk siaran televisyen pada 1967.

Sejak kejadian itu, Ab Aziz yang juga bekas jurulatih Silat Seni Gayong Malaysia 'merajuk' daripada aktiviti silat dan menghilangkan diri sehingga dia dipertemukan semula dengan Kamarul Baharin oleh Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah, baru-baru ini.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


‘Memang saya’

Posted: 04 Oct 2012 12:55 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Memang benar itu video seksi saya, tetapi ia dirakamkan tiga tahun yang lalu," kata pelakon Izara Aishah Hisham, 20, mengenai penyebaran klip video dan gambar seksi dikaitkan dengannya dengan aksi 'Cell Tango Girl' yang kini tersebar di laman Youtube.

Menurutnya, aksi itu dirakamkan sekitar 2009 ketika dia mengikuti pengajian di Kolej Univerisiti Sunway, Bandar Sunway, Selangor dan dia tidak mahu hipokrit menafikan perkara terbabit sebaliknya lebih suka berterus-terang mengenai apa sebenarnya berlaku.


"Sekarang saya sudah matang dan dapat membezakan mana yang baik atau sebaliknya," kata pemegang Diploma Seni Persembahan itu ketika dihubungi Harian Metro, semalam. Menurutnya, klip video yang tersebar di Internet itu adalah rakaman ketika dia membuat projek akhir semester dan dia memegang watak utama sebagai pengemis. Izara berkata, kehendak tugasan ketika itu memerlukan dia berpakaian seksi dan beraksi sedikit ghairah.

Menurutnya, dia tidak menyangka video terbabit dimuat naik di Youtube selepas dikongsi rakannya di Facebook menyebabkan beberapa peminat menyatakan kekecewaan mereka selepas menyaksikan video tarian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Resipi, falsafah terbukti berjaya

Posted: 04 Oct 2012 11:19 AM PDT

BIAR apapun kritikan dan pandangan orang luar, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal tetap akan terus melakukan 'eksperimen' kerana yakin pendekatan itu terbukti berkesan apabila menamatkan penantian negara memenangi Piala Suzuki AFF 2010.

Katanya, beliau akan terus menguji pemain dalam aksi persahabatan termasuk menentang Hong Kong di gelanggang lawan pada 16 Oktober ini sebelum mendaftarkan 35 pemain bagi Piala AFF November depan, sembilan hari selepas perlawanan itu.


"Ini resipi dan falsafah saya dan sudah terbukti memberikan kejayaan sebelum ini. Biasalah dalam persiapan kami akan menang dan kalah tapi proses ini sudah saya gunakan pada Piala AFF 2010.

"Bermula Januari hingga September saya sudah menguji 72 pemain dan saya akan mendaftar 35 pemain untuk Piala AFF. Saya uji ramai pemain kerana sebagai persediaan jika ada pemain mengalami kecederaan. Inilah masanya untuk saya menguji pemain," katanya pada sidang media perkembangan skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam.


Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, pengurus pasukan Datuk Subahan Kamal dan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.


Sebelum ini tindakan Rajagobal yang terus menguji pemain mengundang rasa kurang senang peminat tempatan serta pemerhati bola sepak antaranya bekas pemain kebangsaan yang kini Penasihat Global Blackburn Rovers, Serbegeth Singh selepas kekalahan 0-2 kepada Vietnam pada aksi persahabatan September lalu.

Serbegeth dalam laporan Arena Metro berkata, skuad Rajagobal perlu meraih keputusan baik dalam tempoh persiapan terakhir ini dan bukannya terus memberikan alasan mahu melakukan eksperimen.


Sementara itu, Rajagobal tetap mengulangi pendirian sama berhubung kepentingan ranking kepada skuad negara yang kini jatuh enam tangga di kedudukan 162 dunia berkongsi tempat dengan Singapura. Ranking itu yang terburuk sepanjang tahun ini selepas Malaysia berada di tangga ke-148 Januari lalu.

"Ranking hanyalah untuk menentukan kedudukan dalam sesuatu kejohanan, ranking dikira menerusi berapa perlawanan kami harungi dalam setahun dan pada tahun ini kami hanya menentang Filipina dan Singapura secara timbal balik serta satu perlawanan dengan Sri Lanka.


"Ranking ini tidak mencerminkan kekuatan sesebuah pasukan. Kami berada pada landasan terbaik, kami hanya tewas kepada Vietnam tahun ini dan dalam perlawanan lain kami tidak kalah," jelasnya.


Selain bertemu Hong Kong, Harimau Malaya juga menentang Vietnam untuk siri perlawanan persahabatan manakala Thailand dalam rancangan terbaru FAM.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Congak ATM

Posted: 04 Oct 2012 11:11 AM PDT

KAPTEN Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar mengingatkan rakan sepasukan aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang LionsXII bukan saja memburu tempat ke final namun membabitkan maruah negara.

Juara Liga Perdana mahu menafikan hasrat wakil kelab Singapura itu membawa pulang trofi kebanggaan bola sepak Malaysia, sejak kali terakhir melakukannya pada 1994.


"Kami tidak boleh menyerah mudah dalam pertemuan ini," kata bekas pemain kebangsaan itu menjelang pertemuan di Stadium Jalan Besar, malam ini.

Pemain yang menjulang Piala Malaysia untuk tiga musim berturut-turut itu menyedari LionsXII akan menggunakan kelebihan padang rumput tiruan selepas berjaya menewaskan naib juara Liga Perdana, Pahang menerusi kemenangan 2-0 walaupun tewas 1-2 pada suku akhir pertama di Kuantan.


"Kami perlu waspada, permainan dan pergerakan bola lebih pantas di padang itu. Paling penting kami mesti cepat menyesuaikan diri dan mencatat keputusan positif bagi menghadapi aksi timbal balik di tempat sendiri minggu depan," katanya.


Skuad ATM hanya berkesempatan menjalani satu sesi latihan menggunakan padang rumput tiruan di Wisma FAM.

ATM layak ke separuh akhir selepas menyingkirkan juara bertahan, Negeri Sembilan dengan agregat 6-3 tapi malangnya kehilangan tonggak serangan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak akibat penggantungan satu perlawanan.


"Saya masih perlu menunggu saat akhir sama ada boleh bermain atau sebaliknya kerana lutut kiri bengkak ketika beraksi di Paroi, Selasa lalu," katanya.

Jentera serangan ATM bakal diketuai bintang import, Marlon Alex James yang juga penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan sembilan gol bagi memacu kelab itu mengulangi pencapaian mara ke final pada 1966 (Piala HMS Malaya).


ATM dan LionsXII pernah bertemu dalam aksi pra musim di Stadium MBPJ dengan dua gol lewat penyerang LionsXII, Agu Casmir mengikat kedudukan 3-3.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved