Isnin, 18 Julai 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


‘Dr kerabat’ kaki temberang

Posted: 17 Jul 2011 10:27 AM PDT

KUALA LUMPUR: Bermodalkan gelaran sebagai kerabat diraja, seorang lelaki menggunakan status itu untuk menipu pemilik sebuah syarikat pembinaan kononnya boleh menyediakan modal permulaan bagi projek terbaru mereka.

Seorang mangsa yang juga bekas pekerjanya, Hew Kim Soong, 49, berkata lelaki yang dipanggil Dr itu meminta dia menjadi Pegawai Perhubungan Awam (PRO) syarikatnya dengan menjanjikan gaji RM3,000 sebulan.


Bagaimanapun, selepas lapan bulan bekerja, dia tidak menerima sebarang bayaran dan lebih malang lagi apabila lelaki itu sering meminjam wang daripadanya untuk menampung perbelanjaan harian.

"Melihat kepada status dan latar belakangnya, saya yakin akan mendapat pekerjaan lebih baik tambahan pula kami hidup berjiran. Ini memudahkan saya berulang-alik ke pejabat yang terletak di rumahnya.


"Malangnya, sudahlah tidak dibayar gaji, duit saya pula yang dihabiskan dengan alasan projek dilaburkan tidak menjadi dan terbatal," katanya ketika ditemui di Taman Pudu Ulu, di sini, semalam.


Menurut Kim Soong, selepas menyedari ditipu, dia mula menyelidik latar belakang lelaki itu melalui jiran tetangga dan pelanggan pernah berurusan dengannya.

"Hasil daripada siasatan sendiri, saya menemui dua mangsa Dr berkenaan yang mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana terpedaya dengan janji lelaki itu.


"Namun, apa menyedihkan, mereka enggan membuat laporan polis demi menjaga status kerana ada segelintir daripada mangsanya adalah individu berpengaruh memiliki syarikat hartanah dan pembinaan terkenal di negara ini," katanya.

Katanya, selepas menyiasat latar belakang lelaki itu, beberapa penduduk setempat turut mendakwa lelaki itu gemar memancing kanak-kanak dan remaja ke rumahnya sebelum mencabul mangsa.


"Dia akan memilih kanak-kanak atau remaja lelaki yang 'ada wajah' saja sebelum meminta mangsa ke rumahnya dengan alasan mahu meminta bantuan untuk mencuci kipas angin.


"Bagaimanapun, sebaik mangsa berada di rumahnya dia bertindak melakukan perbuatan tidak senonoh kepada mangsa dan kebanyakan mangsa sempat melarikan diri," katanya.


Katanya, bimbang kejadian itu berlarutan, dia akhirnya membuat laporan polis selepas berjumpa dengan jirannya yang turut mengakui taktik digunakan lelaki itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lelaki terkejut jumpa plastik berisi mayat bayi di belakang rumah

Posted: 17 Jul 2011 09:54 AM PDT

KAJANG: Seorang lelaki yang ingin meracun rumput di belakang rumahnya tergamam apabila menjumpai bungkusan plastik mengandungi mayat bayi berulat dalam kejadian di Kampung Sungai Ramal Baru, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.52 pagi itu, lelaki berkenaan melalui kawasan belakang rumahnya dan pelik apabila terhidu bau busuk yang datang dari bungkusan plastik yang terletak berhampiran pintu belakang rumahnya.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, sejurus menemui bungkusan mengandungi mayat bayi itu, lelaki terbabit terus menghubungi polis.

"Beberapa minit kemudian sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian dan mengesahkan bungkusan berkenaan mengandungi mayat bayi.


"Mayat bayi lengkap bertali pusat itu dipercayai ditinggalkan di belakang rumah berkenaan kira-kira lima hari lalu sebelum dijumpai," katanya.


Rashid berkata, mayat bayi malang terbabit kini dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi dan jika sabit kesalahan, hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Usah buat andaian’

Posted: 17 Jul 2011 10:48 AM PDT

KUALA TERENGGANU: "Saya tak pernah terfikir sampai ke situ," kata pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 37, yang menyangkal dakwaan dia terkena sihir atau penyakit misteri sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dua kali sepanjang bulan lalu.

Sehubungan itu, ibu tunggal kepada dua anak itu meminta orang ramai terutama peminatnya tidak membuat sebarang andaian buruk terhadap status kesihatannya dan menjelaskan dia kini sudah pulih. Menurutnya, pada awal Jun lalu, dia dimasukkan ke Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Selangor kerana mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya sehingga menyebabkan ligamen kakinya terkoyak.


Rozita berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dia baru saja pulang daripada penggambaran episod terakhir drama bersiri Anissa yang kini bersiaran menerusi slot Samarinda di TV3.

"Pada awalnya saya sangka hanya sakit biasa, tetapi ketika hendak tidur kaki saya semakin sakit dan segera menghubungi abang saya meminta dia menghantar ke hospital.


"Ketika hendak mendapatkan rawatan, kaki saya terlalu sakit dan tidak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung abang untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital," katanya ketika ditemui pada Pertunjukan Peragaan Fesyen Garden Of Bliss oleh butik Klasique dan My Couture di sebuah hotel di sini, kelmarin.


Menurutnya, selepas pemeriksaan x-ray dilakukan, doktor mendapati ligamen kakinya terkoyak dan dia diberi rehat seminggu serta terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran.

"Doktor kata ia tidak teruk, tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh," katanya.


Rozita berkata, selepas kecederaan kakinya pulih, pada pertengahan Jun lalu dia sekali lagi terpaksa dirawat ke hospital. "Saya berasa sakit kepala dan sekali lagi mendapatkan rawatan di hospital sama. Selepas pemeriksaan, doktor memberitahu saya menghidap demam kuning dan terpaksa dimasukkan ke wad selama lima hari," katanya. Ketika ditanya mengapa dia tidak mahu menerima pelawat sepanjang dirawat di hospital, Rozita berkata, dia hanya mengikut nasihat doktor yang mahukannya berehat sepenuhnya. "Bukan semua orang tak boleh melawat saya di hospital kerana ahli keluarga terdekat dibenarkan berbuat demikian. Hakikatnya, saya sakit biasa saja dan menerima rawatan seperti orang lain di hospital, selain mengikut nasihat doktor supaya tidak melakukan sebarang kerja.

"Jika doktor tidak tahu punca penyakit saya memang saya takut juga kerana mungkin ada sebab lain, namun apabila doktor beritahu saya menghidap demam kuning, saya yakin tiada apa yang perlu dibimbangkan. Malah, kini saya sudah sihat dan boleh kembali bekerja," katanya.


Rozita yang menerajui butik My Couture bersama rakan kongsinya, Hanim Sahrom kini meluaskan empayar perniagaannya apabila membekalkan busana untuk wanita sopan rekaan mereka kepada butik Klasique di bandar raya ini.


Pelakon jelita itu turut menafikan andaian sesetengah pihak kononnya dia menceburi bidang perniagaan sebagai persediaan untuk bersara daripada arena seni.


"Saya memang minat berniaga sejak dulu lagi, malah saya juga merancang membuka sebuah butik tahun depan. Pada masa sama, saya masih aktif berlakon," katanya.


Rozita berkata, rezekinya dalam lakonan tidak putus-putus apabila baru saja selesai membintangi telefilem, Kiah Raya Solo di Perlis dan kini memulakan penggambaran drama bersiri 13 episod, Biarlah Rahsia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Kakak panggil anak, suami sebelum ajal’

Posted: 17 Jul 2011 10:48 AM PDT

MAUT...seorang mangsa nahas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 305.5 Lebuhraya Utara-Selatan.
MAUT...seorang mangsa nahas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 305.5 Lebuhraya Utara-Selatan.

SERDANG: "Sayu hati saya ketika mendengar kakak memanggil nama suami dan anaknya sebelum suara itu senyap," kata Nur Effindi Sungip, 17, menceritakan kejadian kemalangan di Kilometer 305.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) susur keluar Serdang dari arah Sungai Besi menuju Seremban di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, tiga beranak terbunuh manakala tujuh lagi cedera apabila kereta yang dinaiki 10 bersaudara terbabas sebelum melanggar tiang lampu di tempat kejadian.


Mereka yang terbunuh ialah kakak Nur Effindi, Nur Nazirah Sungip, 20, suaminya yang memandu kereta, Zulkifle Zainul, 29, serta anak tunggal mereka, Muhammed Danish Adam Zulkifle, 2.

Tujuh yang cedera pula ialah Nur Effindi, dua kakaknya, Nur Jumaatul Shuhaida, 24; Nur Atiqah, 19, dua adiknya, Nur Khairuddin, 12, Nurul Ashura, 7, serta dua anak saudaranya, Nur Shahiratul Syafiqa, 4, dan Muhammad Amirul Aiman Muhammad Nuralif, berusia setahun.


Nur Effindi berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga baru pulang daripada menziarahi bapa saudaranya, Ahmad Razli, 40-an, yang sakit tenat di Hospital Pusrawi di ibu negara dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Sri Intan, Kajang.


Dia yang berada di tempat duduk sebelah pemandu berkata, sebelum kejadian dia tertidur seketika namun dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

Selepas itu, katanya, Proton Wira yang mereka naiki berpusing beberapa kali sebelum semua penumpang dan pemandu kereta berkenaan tercampak keluar.


"Kami bergelimpangan di atas jalan dalam jarak satu meter dari kereta dan saya sempat melihat Muhammed Danish Adam berada di tepi kenderaan dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

"Walaupun cedera, saya gagahkan diri untuk bangun melihat mangsa lain termasuk abang ipar (Zulkifle yang bekerja sebagai penghantar akhbar) juga sudah tidak bernyawa," katanya ketika ditemui di Hospital Serdang di sini, semalam.


Nur Effindi berkata, dia cuba memberi bantuan kepada mangsa lain tetapi tidak berdaya sebelum orang ramai datang membantu dan menghantar mereka ke Hospital Serdang.


Menurutnya, jenazah kakak, abang ipar dan anak saudaranya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Jengka 4, Pahang, selepas selesai bedah siasat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang tiang lampu.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Pecahkan empayar Murdoch: Miliband

Posted: 17 Jul 2011 09:01 AM PDT

MURDOCH.
MURDOCH.

LONDON: Ketua pembangkang Britain, Ed Miliband semalam meningkatkan tekanan terhadap Rupert Murdoch dan News International dengan berkata, empayar bilionair media itu di Britain perlu dipecahkan.

Ketua Parti Buruh itu menggesa semua parti politik bersetuju terhadap undang-undang baru berhubung hak pemilikan media yang akan memecahkan monopoli ke atas pemilikan imedia - serangan secara langsung terhadap empayar Murdoch.


Tekanan yang semakin meningkat daripada Miliband itu dilakukan selepas dakwaan daripada satu sumber Scotland Yard bahawa eksekutif di News International, termasuk anak Murdoch, James, disiasat berhubung kemungkinan menyembunyikan skandal merakam bualan telefon.

James dan Rebeka Brooks, bekas Ketua Eksekutif News International menafikan mengetahui sebarang salah laku. Akhbar Sunday Telegraph melaporkan bahawa Scotland Yard ingin tahu mengapa beberapa siri e-mel tidak diserahkan kepada polis sehigga Januari tahun ini, empat tahun selepas ia disampaikan oleh News International kepada sebuah syarikat guaman luar.


Dalam temuramah dengan akhbar Observer, Miliband berkata, undang-undang yang ada sekarang sudah lapuk dan perlu dipinda, sesuai dengan era digital penerbitan dan penyiaran.


Meskipun dengan penutupan akhbar News of the World dan tindakan News International menarik diri daripada membida televisyen satelit BSkyB serta perletakan jawatan pegawai kanannya, Rebeka Brooks, Miliband berkata, Murdoch tidak bertindak secukupnya untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap industri media yang tercemar teruk. "Saya berpendapat, kita perlu melihat kepada keadaan di mana seorang hanya boleh memiliki tidak lebih daripada 20 peratus pasaran akhbar, platform Sky dan Sky News.

"Jika anda mahu mengurangkan penyalahgunaan kuasa, pemilikan monopoli seumpama itu memang berbahaya," kata ketua pembangkan itu.


Beliau menuduh Murdoch mempunyai terlalu banyak kuasa terhadap kehidupan rakyat Britain. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Filem terakhir Harry Potter catat rekod baru AS

Posted: 17 Jul 2011 08:58 AM PDT

LOS ANGELES: Filem terakhir siri Harry Potter mencatatkan rekod box office untuk tayangan hari pertama.

Pengedar, Warner Bros melaporkan, 'Harry Potter and the Deathly Hallows: Part 2" mencatatkan jualan tiket sebanyak $92.1 juta (RM276.3 juta di Amerika Syarikat pada tayangan pembukaan Jumaat lalu.


Jumlah itu melebihi RM60 juta berbanding pemegang rekod lalu, 'The Twilight Saga: New Moon.' - AP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Farah simpan rahsia 6 tahun

Posted: 17 Jul 2011 08:10 AM PDT

RAHSIA percintaan yang berlangsung selama enam tahun disimpan rapi penyanyi dan pengacara, Farah Diana Anuar atau Farah, 26.

Sehinggalah tahun lalu dia mula membuka mulut mengenai jejaka yang berjaya memenangi hatinya seorang usahawan, Johan Johari, 26, berasal dari Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Walaupun sudah mengikat tali pertunangan Disember lalu, Farah masih lagi berahsia mengenai Johan yang hanya mahu dikenali dengan panggilan 'J' sebelum ini.

Apabila ditanya lanjut terutama membabitkan kisah cinta mereka, bintang Akademi Fantasia 2 (AF2) itu sekadar menjawab, nantikan saja apabila mereka benar-benar bernikah nanti.


Jumaat lalu Farah akhirnya merungkai segala persoalan timbul membabitkan hubungannya dengan Johan. Hanya dengan sekali lafaz, mereka selamat dinikahkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohd Sheikh Abd Aziz dengan disaksikan kira-kira 60 anggota keluarga kedua-dua mempelai.


Menarik pula majlis pernikahan berlangsung di atas kapal persiaran, Cruise Putrajaya sekali gus mencipta sejarah pasangan pertama mengadakan majlis pernikahan di atas kapal.

Pada majlis pernikahan itu, Johan menyerahkan mas kahwin berjumlah RM2,500 dan wang hantaran RM25,185.00 bersempena dengan tarikh lahir Farah diiringi tujuh dulang hadiah dibalas sembilan oleh pihak perempuan.

Ditemui sebaik majlis selesai, Farah menjelaskan dia pertama kali bertemu Johan sewaktu menjayakan persembahan di negeri kelahiran suami itu.

Rakan Johan waktu itu bertindak sebagai penganjur persembahan yang dijayakan.
"Pertama kali kami bertemu adalah di lobi hotel tempat saya menginap. Kami saling berpandangan dan Johan memberikan senyuman.

"Waktu itu hati saya terdetik. Mungkin inilah yang dikatakan orang cinta pandang pertama, dari mata terus turun ke hati.

"Kemudian kami bertemu lagi beberapa kali di lobi hotel itu apabila saya hendak mengadakan persembahan. Mungkin dia berada di situ untuk bertemu dengan rakannya," kata Farah.

Kata Farah lagi, dia benar-benar berasa ada sesuatu yang istimewa pada Johan. Bagaimanapun perasaan berbunga itu disimpan kedap di dalam hati.

Penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Antara Dua itu, sekali lagi terkejut apabila melihat ayahnya mesra berbual dengan Johan bersama rakannya. Ternyata Johan agak berani.

"Menerusi ayah juga saya memperoleh nombor telefon Johan. Pada peringkat awal, saya cuba menyamar dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Johan memberikan maklum balas.

"Saya masih belum memberitahu identiti sebenar sehinggalah apabila dia menghubungi saya. Waktu itulah saya memperkenalkan diri," katanya.

Sepanjang enam tahun menjalinkan hubungan jelas Farah, dia turut berdepan pelbagai dugaan terutama sepanjang tempoh bertunang. Apatah lagi percintaan berlangsung secara jarak jauh.

"Pada peringkat awal memang kami kerap bertemu iaitu sebulan sekali dan lama kelamaan dua bulan sekali dan tiga bulan sekali.

"Kami terpaksa menjalani hubungan ini sebaik mungkin walaupun payah kerana jarak jauh. Ada rakan sebelum ini turut menjalani percintaan jarak jauh putus di tengah jalan dan saya takut ia turut berlaku kepada saya. Namun syukur kerana sepanjang tempoh itu Johan menunjukkan kesungguhan," katanya.

Jelas Farah lagi, sepanjang tempoh itu dia turut menduga bagi melihat sejauh mana kesungguhan dan sayangnya suaminya itu terhadapnya, sekali gus membuka pintu hati untuk menerima Johan.

"Selepas setahun kami berhubungan, saya pernah 'melarikan diri; daripada Johan selama enam bulan. Setiap kali dia menghubungi saya mendiamkan diri.

"Sampaikan adik menegur mengapa saya tidak menjawab panggilan Johan. Kata saya. biarkan kerana saya mahu melihat sejauh mana dia benar-benar mahu dan sayangkan saya.

"Sepanjang masa saya lihat Johan terus menghubungi saya. Kalau lelaki lain mungkin mereka sudah mencari pengganti, tetapi dia tidak. Selepas tempoh itu kami bertemu kembali dan saya lihat dirinya seperti tidak terurus kerana terlalu merindui saya, mungkin. Terus saya yakin bahawa Johan benar-benar menyayangi diri saya," katanya.

Bagi Johan sendiri sewaktu pertama kali berkenalan dia tahu Farah seorang penyanyi, tetapi tidak menyedari isterinya itu artis popular memandangkan dia sendiri kurang mengikuti perkembangan industri hiburan tempatan.

"Sewaktu Farah menyamar saya dapat rasakan bahawa itu dia, tetapi saya sengaja buat-buat tidak tahu. Selepas tahu identitinya yang sebenar barulah kami mula berkenalan lebih rapat.

"Waktu itu juga barulah saya tahu bahawa Farah pernah menyertai AF2 dan menyaksikan kembali rancangan realiti TV itu kerana sering di ulang tayang. Sejak itu saya sering mengikuti perkembangannya," katanya.

Johan turut menafikan bahawa sebaik berkenalan dia sering mengawal kerjaya seni Farah dan memintanya agar bertudung.

Apa yang dilihat peminat dan umum atas perubahan berlaku kepada isterinya itu datang tanpa dipaksa.

"Saya mula yakin terhadap Farah selepas membawanya bertemu dengan keluarga. Saya lihat dia begitu senang dan mudah bergaul dengan semua ahli keluarga saya. Saat itu saya rasakan dialah wanita tepat untuk dijadikan isteri. Saya melamar Farah pada 2008, bagaimanapun kerana kesibukan kerja menyebabkan keputusan untuk bertunang dibuat akhir tahun lalu," katanya.

Seperti juga Farah, Johan turut beberapa kali menguji isterinya bagi melihat sejauh mana dia menyayangi dirinya. Bagaimanapun apabila ditanya ujian yang bagaimana dia tidak dapat ingat.

Selepas bernikah, Johan mahu Farah tetap meneruskan kerjaya seninya seperti biasa dan dia tidak pernah menghalang.

Pada majlis itu, Farah turut membuat kejutan kepada Johan apabila memberitahu bahawa mereka akan berbulan madu di Maldives seperti apa yang diimpikan suaminya.

Mengikut perancangan awal mereka tidak memikirkan soal itu memandangkan majlis perkahwinan dan pernikahan berlangsung hampir dengan Ramadan yang akan tiba awal Ogos ini.

Namun rezeki menyebelahi pasangan ini apabila mendapat tajaan dari sebuah agensi percutian yang sering bekerjasama dengan Farah sewaktu dia menjayakan rancangan Rasa Halal Orient.

Majlis persandingan pasangan ini berlangsung kelmarin di Pusat Maritim Putrajaya bertemakan 'Love Lake Wedding.'

Selepas ini Farah akan mengikut suaminya menetap di Pulau Pinang. Bagaimanapun dia akan pulang ke Kuala Lumpur sekiranya ada tuntutan kerja.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Karnival Gegaria diteruskan!

Posted: 17 Jul 2011 05:59 AM PDT

EDISI baru Karnival Gegaria Harian Metro muncul kembali lagi. Untuk musim seterusnya, pelbagai lagi kelainan serta aktiviti menarik disediakan.

Memulakan siri penjelajahan pada 23 dan 24 Julai ini dengan memilih Plaza Angsana, Johor Bahru sebagai lokasi pertama, karnival ini akan turut mara ke Ipoh, Temerloh, Seberang Prai dan Klebang, Melaka.

Kelima-lima lokasi ini dimaklumkan menerusi majlis pelancaran karnival hebat itu yang berlangsung di Stesen KL Sentral, Rabu lalu yang dirasmikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Mustapa berkata, Johor Bahru dipilih sebagai destinasi pertama kerana Harian Metro mempunyai jumlah pembaca yang tinggi di negeri itu.


"Pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi pertama karnival tanda penghormatan kepada penduduk negeri itu yang menjadi penyumbang terbesar kejayaan Harian Metro selama ini.


"Pada masa sama mengeratkan lagi hubungan akhbar ini dengan pembaca. Kami menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai dan dimenangi pengunjung," katanya.

Sebagaimana penganjuran yang lepas, di setiap lokasi dikunjungi Harian Metro pasti diserikan dengan Konsert Gegaria yang menampilkan artis-artis pujaan.

"Di Johor Bahru antara artis yang akan turun padang ialah Hattan, Misha Omar, Alyah, Jinbara dan Adam AF2, Ifa Raziah dan Zizan Raja Lawak dan beberapa artis baru.

"Mereka akan muncul di pentas konsert dan dalam acara sukaneka. Pelbagai aktiviti lain disediakan di 'booth' RAP seperti promosi filem terbaru dan sesi autograf bersama peminat.

"Terima kasih diucapkan kepada semua artis terbabit dan pihak penaja. Dengan kerjasama padu, acara itu dapat dianjurkan lagi tahun ini," katanya.

Beliau menambah, sepanjang dua hari berlangsung karnival itu turut diisi dengan forum agama pada Jumaat malam membabitkan panel terkenal mengupas isu semasa masyarakat.

Selain itu ada juga pertandingan Metro Idol, peraduan karaoke, pameran foto dan pelbagai cara lagi.

Sementara akhbar mingguan Metro Ahad pula akan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti Madhop dan Trek Lokasi.

Mengimbas majlis pelancaran karnival itu diserikan dengan kehadiran wakil penaja iaitu Pengurus Promosi Perak Tourism Management Berhad, Badrul Hamidi; Pengarah Eksekutif LR International Marketing Sdn Bhd (X Power Cafe); Mohd Asri Ahmad, Eksekutif Acara SCA Hygiene Marketing Sdn Bhd (Libresse); Madeline Low serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Varuges VM Abraham.

Turut kelihatan pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pengiklanan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Badrul Hisham Mahzan; Pengarah Jabatan Pemasaran NSTP, Zuraida Mohamad; Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail; Pengerusi Karnival/ Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad Salim Bachok dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil.

Menghangatkan lagi suasana pelancaran yang dihoskan Nana Hot FM itu, beberapa artis terkenal diundang seperti Akim AF7, Salma (Mentor 5) dan penari remaja lincah, Wakaka Crew.

Selepas menyanyi, artis sempat melayan peminat yang ingin bergambar dan mendapatkan autograf.

Tahun lalu Karnival Gegaria Harian Metro sempat mengembara ke Teluk Batik, Perak; Temerloh, Pahang; Kota Tinggi, Johor serta Alor Gajah, Melaka. Kemuncak konsert dibuat serentak dengan sambutan ulang tahun Harian Metro ke-20 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang berjaya menarik kira-kira 100,000 pengunjung.

Antara artis yang menjayakan konsert hebat pada malam itu termasuklah, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Ahmad Jais, Alyah, Bunkface, Ramli Sarip, Shahir AF, Stacy dan Jozan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved