Ahad, 9 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Makanan tentukan kesihatan diri

Posted: 09 Sep 2012 09:38 AM PDT

TIDAK dinafikan setiap individu mahu kesihatan mereka berada pada tahap optimum, sama ada dari segi fizikal atau mental. Namun cara hidup yang semakin pantas, sibuk dan sentiasa mengejar masa menyebabkan ramai hilang fokus hingga mengabaikan diri demi mencapai kejayaan yang bersifat materialistik.

Walaupun wang yang dicari, ia bukan penyelesaian kepada segala persoalan hidup dan apabila kesihatan merosot, kualiti hidup juga merudum hingga menyebabkan seseorang itu menjadi murung.

Kesihatan mental dan fizikal saling berkait rapat. Kedua-duanya perlu bergerak seiringan kerana sekiranya mental tidak sihat, ia akan memberi kesan negatif kepada fizikal dan begitu juga sebaliknya.

Perangkaan di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat menunjukkan kes bunuh diri banyak berlaku. Ini terjadi apabila wujud masalah mental akibat pengurusan minda yang tertutup, harapan tinggi yang tidak tercapai serta tekanan hidup yang mendorong perbuatan negatif itu.


Antara faktor yang menyumbang kepada kes bunuh diri semakin meningkat adalah masalah pengangguran, ekonomi, kemurungan dan tekanan daripada masyarakat sekeliling.


Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail berkata, minda adalah bahagian yang paling penting pada tubuh dan sekiranya ia tidak dijaga, pemikiran seseorang menjadi bercelaru hingga menyebabkannya gagal mengurus diri serta hidup dengan baik.

Apabila mental menjadi tidak sihat termasuk mengalami tekanan akibat masalah hidup seperti putus cinta, bergaduh dengan rakan atau bercerai, hormon menjadi tidak seimbang hingga ia kelihatan pada kulit.

"Kulit boleh timbul ruam dan kering akibat hormon yang bercelaru disebabkan tekanan pada minda. Kadangkala kita ingatkan kulit kering kerana tidak sapu losen tetapi sebenarnya ia terjadi kerana stres.

"Apabila mental tidak stabil, perubahan pada tubuh dapat dilihat dengan nyata, antaranya fizikal menjadi tidak terurus, rambut kusut atau kulit kering," katanya.

Beliau berkata, sebaliknya juga akan berlaku apabila seseorang gembira dan berfikiran positif, mindanya akan tenang membuatkan hormon menjadi stabil, seterusnya kulit kelihatan cantik dan berseri-seri.

Selain pemakanan yang teratur dan seimbang, kesihatan fizikal seseorang turut mempunyai hubung kait yang rapat dengan mindanya hinggakan pemikiran yang negatif mampu dilihat pada perubahan fizikal yang mungkin menjadi tidak bermaya dan kulit kusam.

Menurutnya, pemakanan turut menyumbang kepada kesihatan diri. Apabila seseorang itu mengambil pemakanan banyak karbohidrat, tubuh akan menjadi lesu fizikal dan ia memberi kesan secara tidak langsung pada minda.

Begitu juga apabila seseorang mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dalam diet, ia akan membuatkan diri menjadi terlalu aktif dan mungkin mudah naik marah.

"Makanan sememangnya mempunyai hubung kait dengan kesihatan mental kerana ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Nutrien makanan seperti zat besi dan protein memberi kesan pada tubuh.

"Setiap makanan yang diambil mempengaruhi tubuh. Oleh itu, untuk mendapat mental yang sihat, pemakanan juga perlu dijaga kerana minda memerlukan zat daripada pemakanan yang disalurkan ke dalam tubuh," katanya.

Dr Khaidzir berkata, seseorang itu perlu menjaga kesihatan mentalnya dalam usaha memelihara kesihatan dirinya secara menyeluruh termasuk mengambil pendekatan sentiasa berfikiran positif walaupun berhadapan dengan cabaran.

Menurutnya, setiap orang perlu mengetahui keupayaan diri masing-masing supaya mereka dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara tidak sepatutnya.

"Seseorang itu tidak seharusnya suka menyalahkan pihak lain, sebaliknya menerima sebarang dugaan yang datang dengan hati yang terbuka, reda dan tenang kerana ia boleh menjaga kesihatan mental diri mereka.

"Mereka juga perlu tahu kaedah untuk mengawal diri sendiri kerana minda yang tidak tenang akan menyebabkan seseorang berasa penat dan mudah diserang penyakit, mudah meracau selain sukar menerima gurau senda rakan," katanya.

Beliau berkata, minda perlu sentiasa positif dan menerima dugaan serta cabaran hidup dengan hati terbuka, seterusnya membuatkan seseorang memperoleh kesihatan mental yang baik.

Bagi orang Islam pula, mereka perlu menjaga solat dan sentiasa berdoa dalam usaha memperoleh ketenangan diri, seterusnya dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

"Selain positif dan menikmati setiap saat hidup dengan gembira, manusia perlu berkawan dan tidak seharusnya berseorangan. Ini kerana seseorang perlu berkongsi apa yang ada dalam hatinya termasuk susah senang demi minda yang sihat.

"Seseorang juga digalakkan terbabit dalam kegiatan riadah dan aktiviti yang mampu menyibukkan diri mereka, berkawan dengan ramai orang selain mempunyai hobi bagi membuatkan minda mereka sentiasa bekerja dan berfikir.

"Ada kata-kata hikmah yang mengatakan, minda yang kosong mudah dimasuki syaitan dan ada kebenaran pada ayat itu. Oleh itu, kita perlu sibukkan diri dengan perkara berfaedah," katanya.

Cara mendapat minda yang sihat:

Uji fizikal, mental

Posted: 09 Sep 2012 09:10 AM PDT

BAGI penggemar aktiviti lasak, usah lepaskan peluang menyertai cabaran musim kedua AXA Affin AXN Big Challenge Malaysia yang dibawakan AXN dengan kerjasama AXA Affin Life Insurance Berhad.

Pelbagai inovasi terkini dimasukkan dalam format pertandingan asal dengan membawakan cabaran fizikal dan mental ke tahap serba baru untuk peserta.

Malah, penganjur turut mengadakan cabaran terbuka untuk lelaki dan perempuan yang akan bersaing sesama sendiri dalam pertarungan kumpulan antara jantina sebagai seorang daripada tiga peserta terbaik di setiap negeri.

Tiga pemenang utama bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita akan dipilih dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.


Hadiah wang tunai bernilai RM84,000 menanti peserta. Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah bernilai RM8,000, pemenang kedua RM4,000 manakala tempat ketiga RM2,000.


Warga negara yang berumur 18 tahun dan ke atas yang ingin menyertainya boleh mendaftar di www.axn-asia.com/AXNBigChallenge/my untuk pusingan kelayakan sebelum tarikh akhir di setiap negeri masing-masing.

Bagi mereka yang terlepas tarikh akhir pendaftaran secara dalam talian, mereka masih layak untuk menyertai pertandingan ini sekiranya mendaftar dan lulus pusingan kelayakan di tempat masing-masing pada hari ia diadakan.

Selain pendaftaran secara dalam talian dan pendaftaran di lokasi, AXA Affin AXN Big Challenge turut mengadakan jelajah prapromosi di tiga lokasi terbabit sebelum hari pertarungan sebenar berlangsung.

Hanya 100 peserta di setiap negeri yang berjaya melengkapkan pusingan kelayakan dalam masa terpantas akan ke cabaran utama.

Daripada jumlah terbabit, 10 peserta yang berjaya menamatkan cabaran utama dalam masa terpantas saja akan layak ke peringkat cabaran akhir dan bersaing untuk menjadi tiga pemenang utama.

Di samping itu, antara tarikan unik cabaran musim kedua pertandingan ini ialah penggunaan alat media sosial yang membolehkan peserta berkongsi keseronokan mereka serta-merta.

Peserta berminat boleh mendaftarkan diri dan berkongsi pengalaman cabaran di akaun Facebook atau Twitter AXN dan berpeluang memenangi hadiah ketika pertandingan itu berlangsung apabila mereka twit dan memuat naik gambar di Twitter atau Instagram.

Menurut Naib Presiden Jualan Pengiklanan dan Pemasaran, Rangkaian, Asia, Sony Pictures Television, Jack Lim, berikutan kejayaan dalam pertandingan musim pertama tahun lalu, kali ini lebih banyak keseronokan dibawakan kepada penonton tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AXA Affin Life Insurance Berhad, Loke Kah Meng, berkata pertandingan sebegini memberi tumpuan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan gaya hidup sihat.

Malah, aktiviti ini juga selaras dengan tema tanggungjawab sosial korporat dibawakan iaitu penyelidikan risiko dan pendidikan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari www.axn-asia.com/AXNBigChallenge/my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Terbunuh rempuh rombongan pengantin

Posted: 08 Sep 2012 09:00 AM PDT

ENDAU: "Kami tidak sangka perjalanan menghantar adik ipar melangsungkan pernikahan malam ini (kelmarin) di Rompin, Pahang, berakhir di hospital dan bukannya rumah pengantin apabila Proton Exora kami naiki bertembung sebuah Proton Wira," kata Zaiton Abdul Fatah, 44, menceritakan kemalangan maut di Kilometer 13 Jalan Mersing-Endau di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 7.15 malam itu, seorang remaja Fadhil Ariffin, 18, dari Simpang Renggam yang duduk di tempat penumpang belakang Proton Wira meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala dua lagi rakannya cedera ringan.


Proton Wira dinaiki arwah dari Endau menuju ke Mersing dikatakan hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh Proton Exora dinaiki tujuh sekeluarga itu menyebabkan pasangan warga emas, Abdul Fatah Idris, 84, serta isterinya, Indok Akok Dayang Sitakak, 78, cedera parah.

Penumpang lain cedera ringan dan semua mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Mersing.


Zaiton berkata, walaupun hujan dia dapat melihat Proton Wira itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung kenderaan dipandu suaminya, Mohd Amin Masot, 48.


"Kejadian berlaku dalam keadaan hujan dan jalan licin selain cuaca gelap. Sebaik tiba di selekoh itu, kereta itu memasuki laluan kami menyebabkan kami bertembung.

"Akibatnya, saya dapat melihat seorang penumpang kereta itu tercampak dari kenderaan itu namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana cedera," katanya.


Menurutnya, mereka sekeluarga dari Benut, Pontian dan menuju ke Rompin, Pahang, untuk perkahwinan adik iparnya.

Katanya, mereka dibawa ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan manakala sebuah MPV lain dinaiki saudara mara lain terpaksa meneruskan perjalanan menghantar bakal pengantin yang melangsungkan pernikahan malam kelmarin.


"Kejadian itu menyebabkan kami terpaksa membatalkan hasrat menghantar pengantin. Kami reda dengan kejadian ini dan kini, bimbangkan keselamatan ibu bapa yang cedera parah.


"Walaupun tidak dapat menghadiri majlis berkenaan, kami bersyukur kerana semuanya selamat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas berkenaan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira hilang kawalan sebelum berpusing lalu bertembung Proton Exora dari Mersing itu.


"Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Tentera pilu terlanggar kawan

Posted: 08 Sep 2012 08:57 AM PDT

KUANTAN: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak dapat menahan kesedihan apabila secara tidak sengaja terlanggar rakan setugasnya sehingga menyebabkan mangsa maut, di Simpang 3, Jalan Tebuan, di Kem Batu 10, Jalan Gambang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam, mangsa, Jasmelia Jafari berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) ketika sedang menerima rawatan.


Pegawai Penguatkuasa Trafik dan Pentadbiran, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata siasatan awal mendapati, pemandu terbabit dipercayai tidak menyedari mangsa sedang berjalan sebelum melanggarnya.

Menurutnya, akibat rempuhan secara tidak sengaja itu, mangsa tercampak dan terjatuh atas permukaan jalan sebelum dikejarkan ke HTAA untuk mendapat rawatan.


Katanya, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.40 malam ketika sedang menerima rawatan.


"Pada masa sama, polis sudah menahan reman rakan sepasukan mangsa untuk mengambil keterangan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Jenazah mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarganya sebelum dibawa pulang ke Pangkalan TUDM, pagi semalam," katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


EU fikir campur tangan di Syria

Posted: 08 Sep 2012 08:12 AM PDT

PAPHOS (Cyprus): Peningkatan konflik di Syria menimbulkan persoalan mengenai "tanggungjawab untuk campur tangan" di negara itu, kata Menteri Luar Belgium, Didier Reynders, semalam.

Menurut Reynders, Eropah kini berasa konflik di Timur Tengah itu menjadi perang saudara yang semakin mendalam.


"Timbul persoalan sama ada kita membiarkan perang saudara ini - yang semakin ganas - untuk berterusan, atau perlu mengambil tanggungjawab campur tangan," katanya kepada media.

Reynders memberi komen ketika Persidangan Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) selama dua hari di Cyprus yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Syria.


Kelmarin, Menteri Luar EU menggesa supaya bantuan besar-besaran ditingkatkan kepada orang awam di Syria ekoran kemungkinan berlaku krisis kemanusiaan di negara berkenaan.


Krisis di Syria juga boleh memberi kesan kepada keselamatan Eropah. Reynders berkata, EU perlu memikirkan sama ada terus kekal dalam rangka kerja Majlis Keselamatan PBB dan veto atau sebaliknya.

"Jika kita bertindak dalam batasan itu, ia untuk selama mana?" katanya. Majlis Keselamatan PBB cuba memberikan tekanan tambahan ke atas Damsyik dalam tiga usul dikemukakan sebelum ini tetapi digagalkan melalui kuasa veto dua anggota tetap badan itu, China dan Russia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Bunuh, robek jantung rakan

Posted: 08 Sep 2012 08:12 AM PDT

CRESCENT CITY (California): Seorang pengamal seni mempertahankan diri dituduh merobek jantung dan memotong lidah rakannya - yang ketika itu khayal - mengaku salah atas tuduhan membunuh, semalam.

Menurut pendakwa, Jarrod Wyatt bersetuju membuat pengakuan itu dan memungkinkan dia menjalani hukuman penjara antara 50 tahun hingga seumur hidup.


Penghakiman rasmi ke atas Wyatt dijadual dibuat 4 Oktober ini. Wyatt mengaku salah bagi tuduhan kelas pertama dalam kejadian pada 21 Mac 2010 itu.

Pendakwa, Jon Alexander, berkata tertuduh didakwa membunuh rakan seperguruannya, Taylor Powell, 21.


"Paling awal Wyatt boleh bertemu lembaga parol (untuk mendapatkan pembebasan awal) adalah pada 2062," katanya.


Sementara itu, peguam Wyatt, James Fallman, berkata tertuduh tidak mahu memberi keterangan dalam perbicaraan dan enggan membenarkan keluarganya dipanggil sebagai saksi. "Justeru, kami memohon persetujuan yang membolehkan Wyatt diberi sekurang-kurangnya peluang mendapat parol pada satu hari nanti," katanya.

Kata Fallman, dipenjara selama 50 tahun hingga seumur hidup lebih baik daripada dipenjara tanpa kemungkinan diberi parol," katanya. Persetujuan di antara Wyatt, 29, dengan pendakwa dicapai empat hari sebelum perbicaraan dimulakan. Ketika polis tiba di rumah Wyatt yang terletak di muara Sungai Klamath, mereka menemui dia berbogel dan berlumuran darah.


Dia juga mengaku membunuh, membelah dada Powell serta memotong lidah mangsa.

Polis juga menemui mayat Powell terbaring di sofa dengan dadanya terbelah, manakala jantung, lidah dan kulit mukanya hilang.


Jantung Powell kemudian ditemui pihak berkuasa rentung dalam dapur kayu di rumah berkenaan.


Dokumen dikemukakan kepada mahkamah menyatakan, bedah siasat menunjukkan organ Powell diambil ketika dia masih bernyawa. Saksi pula berkata, sebelum insiden itu berlaku, Wyatt dan Powell memakan sejenis cendawan beracun.


Saksi juga percaya mereka terbabit dalam sejenis ritual membabitkan "pertembuangn kuasa baik dan jahat." - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Guna untuk jenayah

Posted: 08 Sep 2012 09:22 AM PDT

KUALA LUMPUR: Asalnya ia hanya digunakan untuk sukan terutama di kalangan golongan remaja dan belia. Bagaimanapun, akhir-akhir ini beberapa senjata yang digunakan untuk paintball sama ada berbentuk senapang atau pistol disalah guna termasuk untuk tujuan jenayah.

Ini berikutan ada antara senjata ini yang dipanggil 'marker' hampir 95 peratus menyamai senjata asli, bahkan bentuk luaran, saiz, kelongsong dan kelopak peluru, picu serta warnanya menyamai warna asal senjata tulen.

Lebih membimbangkan, selain boleh dijadikan muslihat untuk melakukan jenayah, senjata berkenaan menjadi lebih berbahaya jika diubah suai hingga boleh menggunakan 'peluru' berbahaya seperti bebola besi, guli atau paku yang mampu mencedera atau meragut nyawa jika terkena manusia.

Berdasarkan tinjauan Metro Ahad, senjata ini bukan saja digunakan secara berleluasa, malah mudah diperoleh di negara ini, sama ada membelinya di kedai ataupun melalui Internet.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Mayat suami bawah bata

Posted: 08 Sep 2012 09:20 AM PDT

KOTA KINABALU: Perasaan bimbang seorang wanita terhadap suaminya yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin terjawab apabila lelaki terbabit ditemui mati dalam timbunan batu bata sebuah kedai di Kompleks Citymall, Luyang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa dikenali sebagai Yunus Osman, 37, dipercayai bekerja sebagai buruh ditemui ahli keluarganya dalam keadaan tidak bernyawa selepas dihempap dinding yang dipercayai runtuh.

Menurut seorang ahli keluarga yang enggan dikenali, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah di Kampung Kalansanan, Inanam, meskipun selepas habis waktu bekerja.

Oleh kerana risau dengan keadaan mangsa, mereka mencarinya di premis berkenaan dan ketika ditemui, mangsa tertimbus di bawah timbunan batu-bata

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Ziyad rangkul gangsa

Posted: 08 Sep 2012 08:29 AM PDT

ATLET elit olahraga negara, Muhamad Ziyad Zolkefli meraih pingat gangsa lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Paralimpik London, semalam.

Muhamad Ziyad, 22, menghadiahkan pingat kedua buat Malaysia pada temasya edisi ke-14 dengan lontaran sejauh 15.21 meter.


Sebelum ini, pemanah elit negara Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama negara, pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2, Isnin lalu.

Pingat emas dimenangi Todd Hodgetts dari Australia dengan jarak 16.29m dan perak milik Jeffrey Ige dari Sweden, 15.50m.


Ketiga-tiga atlet melepasi rekod berusia 12 tahun milik Krzysztof Kaczmarek dari Poland, 13.10m dicipta di Paralimpik Sydney 2000.


"Saya bersyukur memenuhi sasaran untuk menang pingat di Sukan Paralimpik ini. Pingat ini untuk ibu bapa dan seluruh rakyat Malaysia," kata Muhammad Ziyad yang kali pertama mewakili negara di Sukan Paralimpik.

Lontaran pingat gangsa Muhammad Ziyad dicatat pada cubaan kedua selepas lontaran pertama menyamai rekod terbaik peribadi, 13.79m. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Amukan England

Posted: 08 Sep 2012 08:23 AM PDT

CHISINAU: Frank Lampard memastikan England bermula langkah kanan untuk laluan ke Brazil selepas pemain tengah Chelsea itu meledak dua gol bagi membolehkan pasukannya membelasah Moldova, 5-0 pada aksi pertama kelayakan Piala Dunia, semalam.

Selepas tersingkir di suku akhir Euro 2012, penting buat pasukan Roy Hodgson mempamerkan aksi meyakinkan di Chisinau dan jaringan ke-24 dan 25 Lampard bersama England menjadi pemangkin kepada amukan terhadap pasukan kerdil Kumpulan H itu.


Lampard memberi England permulaan cemerlang apabila menyempurnakan penalti dan sekali lagi menjaringkan gol sebelum akhir babak pertama manakala penyerang Tottenham, Jermain Defoe turut menyumbang jaringan sebelum James Milner dan Leighton Baines masing-masing menjaringkan gol pada saat akhir.

Ukraine pasti memberikan ujian lebih getir terhadap mereka apabila berkunjung ke Wembley, Selasa ini tapi ini adalah permulaan positif buat England untuk mara ke Piala Dunia 2014.


Tanpa Wayne Rooney dan Andy Carroll yang cedera, Defoe yang selama ini terpinggir berjaya membuktikan kemampuannya dengan gol kedua dalam dua perlawanan antarabangsa terakhir selepas Hodgson memilihnya menggantikan Danny Welbeck.


Aksi matang pemain tengah muda Manchester United, Tom Cleverley turut memberikan suntikan semangat buat Hodgson yang bertekad memperbaiki reputasi negara itu selepas Euro 2012.

"Saya puas hati terutama pada babak pertama," kata Hodgson. "Kami menyerang dan bertahan dengan baik dan pantas merampas bola kembali." "Kedudukan 3-0 pada separuh masa pertama memang memuaskan. Ada risiko ia mungkin kelihatan terlalu mudah tetapi kami mempamerkan aksi bola sepak hebat dan menjaringkan dua lagi gol." Pertahanan Chelsea, John Terry dikeluarkan dari perlawanan pada hujung perlawanan dan Hodgson ingin mendapat penjelasan mengenainya daripada doktor.


Pemain Moldova dijanjikan imbuhan 2,500 (RM12,443) seorang jika menewaskan England dan ia bukan satu jumlah kecil bagi negara termiskin di Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved