Ahad, 27 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Proses metabolisme terjejas

Posted:

Ada satu perkara menarik yang berlaku dalam Unit Wanita Harian Metro. Bermula tahun baru ini, kami mula membawa bekal air masak dari rumah.

Semuanya bermula daripada masalah dihadapi salah seorang teman di sini yang sukar ke tandas sehingga dinasihatkan doktor untuk minum banyak air masak, membuatkan kami semua ketawa.

Namun dalam ketawa, kami jadikan ia satu pengajaran. Selama ini memang sudah diketahui pentingnya mengambil air secukupnya untuk kekal cantik, cergas dan sihat, tetapi nasihat umum itu sering dipandang ringan.

Malah tidak terhitung jumlah hari badan dibiarkan 'menderita' dalam diam kerana kita hanya minum tiga atau empat gelas air sehari apatah lagi dalam cuaca panas seperti negara kita.


Ramai tidak sedar me­ngantuk selepas makan tengah hari ialah petanda penting badan kita kekurangan air.


Air diperlukan untuk proses pencernaan dan metabolisme makanan. Untuk menjalankan proses ini, badan mengambil air daripada sel badan (termasuk darah).

Oleh kerana air membabitkan dua komponen iaitu dua molekul hidrogen dan satu molekul oksigen (H2O), apabila ia digunakan untuk proses pencernaan, bekalan oksigen ke otak berkurangan.

Ini sebabnya kita berasa mengantuk, letih dan sukar menumpukan perhatian kepada kerja selepas makan.

Air turut menjadi bahan asas paling utama untuk aktiviti enzim dan kawalan suhu badan yang membolehkan darah menghantar oksigen dan nutrien kepada sel di seluruh badan.

Kekurangan air menjejaskan semua proses ini dan khasiat makanan mungkin tidak dapat diagihkan dengan baik ke seluruh badan.

Badan kita terdiri daripada 70 peratus air dan jika air ini bersih, sel badan jadi lebih segar dan kuat.

Air bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal, mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan merendahkan peluang mendapat jangkitan.

Seorang jurulatih gimnasium pernah memberitahu penulis, jika mahu mengurangkan berat badan minumlah banyak air masak.

Air ialah elemen penting untuk membantu meningkatkan metabolisme badan dan mempercepatkan proses pembuangan lemak. Untuk kekal sihat dan bertenaga, setiap orang perlu minum sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas air kosong sehari.

Katanya, ramai orang keliru antara isyarat `lapar' atau `dahaga'. Kekeliruan ini menyebabkan ada orang mencari makanan setiap kali salah satu daripada isyarat ini diterima otak.

Ini membuatkan berat badan bertambah tanpa disedari kerana apa yang diperlukan badan ialah air, bukan makanan. Masalah ini lebih ketara dalam kalangan orang tua kerana deria rasa mereka menjadi kurang sensitif.

Tidak hairan jika ramai orang tua mengalami masalah kekurangan air dalam badan.

Saranannya, langkah terbaik untuk diambil bagi individu yang alami kekeliruan ini ialah minum air setiap kali terasa lapar.

Kajian menunjukkan segelas air kosong boleh menghilangkan kelaparan di tengah malam dan berita baiknya, air tidak mengandungi kalori. Jadi isu pengumpulan tenaga berlebihan yang akhirnya disimpan sebagai lemak tidak timbul.

Untuk mendapat kesan penurunan berat badan yang lebih cepat (di samping bersenam dan mengawal pengambilan makanan) ialah minum setiap kali sebelum makan.

Ini kerana air boleh membuatkan kita terasa cepat kenyang dan ia secara tidak langsung dapat mengelak kita makan banyak.

Sekali lagi diingatkan, air yang dimaksudkan di sini ialah air masak sama ada suam atau sejuk. Minuman manis mengandungi kalori kosong daripada gula iaitu kalori yang tidak diperlukan badan.

Badan kita tidak memerlukan gula tambahan kerana karbohidrat daripada makanan akan diproses dan ditukarkan ke bentuk gula ringkas supaya boleh digunakan sebagai tenaga.

Jadi walaupun tanpa makanan atau minuman manis, badan kita sudah mendapat gula secukupnya.

Kembung air

Pakar berselisih pendapat mengenai jumlah air yang perlu diambil setiap hari, bagaimanapun kebanyakannya menyarankan kita perlu minum air enam hingga lapan gelas.

Ada juga menyarankan kita minum sehingga dua liter sehari yang kelihatan sangat banyak namun apabila dihitung jumlahnya lebih kurang sama dengan enam atau lapan gelas.

Ada yang bimbang jika minum sebanyak itu, tidakkah akan berlaku kesan sampingan? Satu-satunya kesan sampingan yang akan kita alami akibat terlalu banyak air ialah kerap berulang ke tandas, namun ia dianggap perkara baik.

Secara umumnya kita tidak akan mengalami masalah `terlalu banyak air' kerana badan kita sangat bijak dan bertindak secara automatik untuk mengeluarkan air berlebihan.

Inilah juga nasihat yang diberikan doktor kepada pesakit gout, walaupun ramai tidak selesa untuk berulang-alik ke tandas.

Saranan minum air sebanyak dua liter sehari adalah untuk memastikan air kencing pesakit sentiasa dalam keadaan cair. Kerap berulang ke tandas dianggap baik kerana ia menandakan lebih banyak garam dibuang dari badan.

Gout ialah penyakit yang disebabkan pengumpulan asid urik dalam badan. Asid urik yang terbentuk dalam darah adalah hasil pemecahan pelbagai proses kimia. Biasanya darah dibersihkan melalui proses penapisan di dalam buang pinggang dan asid urik kemudian dibuang melalui air kencing.

Air kencing mengandungi pigmen urokrom yang memberinya warna kuning. Warna ini berubah-ubah setiap hari daripada kuning gelap hinggalah kuning cair, bergantung kepada kepekatan air kencing kita.

Air kencing yang gelap biasanya menandakan kita tidak minum cukup air. Badan kita memerlukan air secukupnya setiap hari untuk membolehkan ia berfungsi dengan cekap.

Apabila badan kekurangan air, ia mengekalkan jumlah cecair dalam badan dengan mengurangkan penghasilan air kencing.

Ini sebabnya air kencing menjadi pekat dan berwarna gelap. Sebaliknya jika kita minum banyak air, lebih banyak air kencing dihasilkan dan warnanya menjadi lebih cerah dan cair.

Pengambilan air secukupnya walaupun tidak berasa dahaga boleh membantu menjaga kesihatan buah pinggang - organ penapisan darah yang amat penting.

Pada peringkat awal, anda memang kerap ke tandas, tetapi ia hanya untuk sementara waktu sehingga badan dapat menyesuaikan diri dengan peningkatan jumlah air yang anda minum.

Bagaimanapun, bagi anda yang sudah ada masalah buah pinggang, dapatkan nasihat doktor mengenai jumlah air yang boleh diambil.

Sebaliknya bagi individu yang me­ngalami batu karang atau gout, mereka perlu minum lebih banyak air untuk mengawal penyakit.

Jangan takut untuk minum banyak air kerana kajian menunjukkan ia boleh mengurangkan risiko 45 peratus kanser usus, kanser payudara (79 peratus) dan kanser pundi kencing (50 peratus).

Air penting untuk melarutkan hasil sampingan metabolisme seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke buah pinggang.

Air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan ini dari badan dengan berkesan kerana kekurangan air memaksa buah pinggang bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama-kelamaan ia boleh menyebabkan kerosakan organ penting ini.

Air juga diperlukan untuk menjadi pelincir kepada pergerakan sendi dan kajian menunjukkan pengambilan lapan hingga 10 gelas air sehari boleh mengurangkan kesakitan sendi pada 80 peratus pesakit artritis.

Masalah berlebihan air sebenarnya jarang berlaku, tetapi apa yang lebih kerap dialami kebanyakan orang ialah kekurangan air (dehidrasi).

Ramai orang tidak sedar mereka mengalami kekurangan air yang kronik. Antara contoh kekurangan air yang kronik ialah apabila anda hanya pergi tandas satu atau dua kali sehari, berasa dahaga, kulit menjadi kering dan me­ngalami masalah retensi atau tegasan air.

Retensi air yang menyebabkan perut terasa kembung atau kaki nampak bengkak adalah tanda kekurangan air, bukan sebab terlalu banyak air. Kita berasa kembung kerana badan cuba mengekalkan keseimbangan garam galian.

Cara untuk atasi masalah ini adalah dengan minum air secukupnya iaitu antara lapan hingga 10 gelas sehari. Anda akan dapat lihat perubahan positif secara perlahan-lahan.

Badan kehilangan air melalui:

1. Pernafasan (satu gelas air - 14 peratus)
2. Air kencing (5 1/2 gelas air atau 50 peratus)
3. Peluh ( dua gelas air - 34 peratus)
4. Najis (1/2 gelas air - dua peratus)

Kekurangan air menyebabkan bahan buangan yang perlu dikeluarkan dari badan terkumpul dan lama-kelamaan boleh mengakibatkan masalah kesihatan, contohnya pembentukan batu karang.

Kehilangan hanya dua peratus air boleh menyebabkan otak kurang cerdas, ingatan jangka pendek menjadi kabur, sukar mengira dan menumpukan perhatian ketika membaca.

Jadi usah risau jika anda perlu selalu ke tandas kerana ia antara cara meningkatkan kepekaan fikiran, khususnya bagi individu yang banyak duduk ketika bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Khasiat perencah

Posted:

Setiap kali ke dapur untuk memasak, penulis pastikan bahan untuk membuat 'bumbu' atau perencah ada dalam simpanan.

Tanpanya, pasti hida­ngan yang disediakan tidak enak dan kurang membangkitkan aroma menyelerakan.

Teringat pesanan ibu ketika memasak di dapur, katanya untuk menghasilkan hidangan yang enak, bahan untuk membuat bumbu mestilah banyak.

Justeru, tidak hairanlah masakan yang dihasilkan ibu sememangnya sedap walaupun dinikmati setiap hari.


Dalam menikmati keenakan hidangan, barangkali ramai yang

tidak sedar mengenai khasiat bahan yang digunakan untuk membuat bumbu itu.

Bawang merah

Bawang merah mengandungi khasiat yang berguna untuk tubuh badan seperti vitamin C, potasium, serat, asid folik, kalsium, zat besi dan protein yang tinggi.

Menerusi penyelidikan mengenai khasiat bawang merah kepada kesihatan manusia, ia didapati mengandungi dua sebatian utama. Sebatian berkenaan ialah sulfur seperti allyl propyl disulphida dan flavonoid seperti quercetin.

Flavonoid dipercayai dapat membantu mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan kencing manis kerana ia mempunyai unsur antikanser, antibakteria, antikuman, antialahan dan antibengkak.

Bawang juga boleh membantu hati membuang toksin daripada badan selain mengandungi saponin untuk menghalang sel kanser.

Memakan bawang merah setiap hari boleh membantu proses pertumbuhan tisu tulang dan mengurang­kan risiko osteoporosis sehingga 20 peratus.

Kandungan sulfurnya juga boleh membantu kulit kelihatan muda. Selain itu, bawang merah didapati boleh membantu mengelakkan daripada terkena kanser perut.

Membantu meningkatkan fungsi otak sekali gus mengurangkan risiko penyakit Alzheimer, Bawang merah dipercayai membantu untuk menurunkan tahap gula bagi mereka yang mempunyai penyakit kencing manis dengan mengehadkan keberkesanan insulin dan meninggikan metabolisme glukosa.

Pengkaji dari India pula mendapati, lebih banyak makan bawang merah semakin rendah gula dalam darah. Mereka mendapati, tiada perbezaan bawang merah mentah dan bawang merah yang direbus.

Bawang putih

Bawang putih digunakan sebagai makanan dan perubatan sejak beribu tahun lalu malah terus berkembang hingga ke hari ini.

Masyarakat Mesir purba percaya bawang putih boleh membantu merawat masalah cacing, jantung dan sakit kepala.

Jika dicampurkan bawang putih bersama minyak kelapa, ia boleh digunakan sebagai minyak urut yang baik dan ia banyak digunakan oleh orang Melayu.

Ada juga yang berpendapat, bawang putih boleh membantu membuang angin dalam badan dan mengurangkan panas selain menambah ke­enakan rasa dalam masakan.

Kajian vitro mendapati bawang putih mempu­nyai ciri-ciri antibakteria, antikuman dan antikulat.

Ia juga dikatakan dapat membantu mencegah penyakit jantung, masalah kolesterol yang tinggi, tekanan darah ting­gi dan kanser.

Jurnal Pemakanan Klinikal Amerika melaporkan, bawang putih dapat membantu menurunkan tahap kolesterol.

Pengambilan 7.2 gram pati bawang putih setiap hari selama enam bulan oleh 56 lelaki yang memiliki tahap kolesterol tinggi berjaya menurunkan tahap kolesterol mereka sehingga tujuh peratus.

Apabila ditumbuk, bawang putih akan menge­luarkan sejenis enzim dipanggil allinase yang menukarkan alliin kepada allicin, sejenis antibiotik yang mengandungi tindakan antibakteria bersamaan satu peratus penisilin.

Disebabkan itu, bawang putih dikatakan sesuai untuk merawat luka manakala memakan bawang putih dengan kadar yang tetap memberi perubahan yang besar kepada pesakit jantung.

Selain itu, bawang putih yang kaya dengan protein, vitamin A, C, tiamin dan galian seperti tembaga, zink, kalsium, potasium, sulfur, germanium dan selenium, sangat baik untuk mereka yang menghidap selesema.

Halia

Mahu awet muda? Halia muda mungkin dapat membantu.

Halia memang banyak khasiatnya. Selain mengurangkan gejala demam, batuk, sesak dada, migrain, senggugut, sakit kepala, sakit gigi dan sakit tulang, ia juga membantu mereka yang sakit perut.

Selain itu, ia juga membantu untuk meningkatkan pengaliran darah dengan lebih baik. Disebabkan mengandungi sejenis minyak bersifat antibakteria, ia boleh digunakan untuk memanaskan badan.

Ada juga yang mereneh halia di dalam air kira-kira 10 minit untuk diminum setiap pagi bagi membantu menyembuh­kan penyakit.

Hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia pula mendapati halia sesuai untuk membuang angin dalam badan, melawaskan pembuangan air kecil dan besar, membantu penghadaman, mengecutkan otot termasuk rahim, merangsang pergerakan otot serta antikulat pada kulit seperti panau.

Walaupun secara umumnya halia diiktiraf sebagai sumber selamat, ia boleh menimbulkan alahan untuk sesetengah orang misalnya ruam, pedih ulu hati, kembung, sendawa dan loya.

Kunyit

Kunyit hidup sering digunakan untuk memberikan warna kuning pada masakan.

Ia terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu dan India kerana khasiatnya selain dijadikan ubat pembersih dalaman badan serta mencantikkan kulit.

Bukan hanya buah­nya saja yang menjadi perhatian malah daun­nya dimanfaatkan sebagai ulam dan membangkitkan aroma wangi dalam masakan.

Kunyit banyak digunakan wanita selepas bersalin selain menghilangkan selesema dan sakit perut yang dihidapi oleh kanak-kanak atau dewasa.

Digunakan sebagai ubat antigatal dan antikejang, ia juga dapat mengurangkan bengkak serta selaput lendir di dalam mulut menerusi jus kunyit.

Berdasarkan perubatan tradisional Cina, akar kunyit digunakan sebagai ubat untuk sakit dada, perut, lengan dan sakit ketika datang haid serta luka.

Bagi mereka yang mengalami masalah haid tidak teratur, ada yang menggunakan kunyit hidup sebagai penawar kerana ia membantu untuk melancarkan aliran darah dan melarutkan darah yang bergumpal.

Kajian yang dilakukan mendapati kunyit mempunyai sejenis bahan aktif dikenali sebagai curcumin dan jika diambil dalam dos yang tinggi, ia memberi kesan terapeutik untuk menentang keradangan.

Kajian di India pula menunjukkan kunyit dapat membantu perokok mengurangkan bahan penggalak barah (carcinogen) yang terdapat dalam air kencingnya.

Asam jawa

Asam jawa atau celagi ialah sejenis pokok saka malar hijau yang menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan. Selain di Malaysia, ia tumbuh secara semula jadi di benua Afrika.

Terdapat dua jenis buah asam jawa iaitu manis dan masam. Kandu­ngan utama dalam asam jawa ialah asid, gula, vitamin B dan kalsium yang tinggi.

Untuk tujuan komersial, didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung.

Sama ada dimakan begitu saja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa berkesan dalam membantu mengatasi masalah penghadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (skurvi) menyebabkan ia sering diamalkan di beberapa negara seperti India.

Buah asam jawa boleh dimakan segar atau dijadikan jus minuman segar yang dicampur bersama air gula.

Selain itu, asam jawa juga bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan atau makanan seperti kari, acar, pembuatan sos dan bahan awet.

Bukan itu saja, asam jawa turut digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan atau bahan kumur mulut bagi mengurangkan sakit
tekak.

Daun asam jawa sama ada yang kering atau direbus juga boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh.

Lengkuas

Rupanya yang hampir sama seperti halia kadangkala mengelirukan. Namun, ia dapat dibezakan melalui bau yang lebih lembut serta teksturnya keras sedikit.

Ia juga sering digunakan dalam masakan seperti rendang, kari atau gulai untuk menghilangkan bau hanyir ikan, ayam dan daging.

Lengkuas banyak digunakan dalam masakan untuk wanita yang berpantang kerana dikatakan dapat membantu menghilangkan angin dan merangsang peredaran darah.

Selain itu, ia juga membantu menambah selera makan, membersihkan darah, mencairkan kahak dan merangsang otot.

Kandungan antioksidan di dalam lengkuas membantu mengurangkan kerosakan disebabkan radikal bebas dan racun lain di dalam badan.

Cili padi

Rasanya amat pedas namun ia disukai kerana dapat membangkitkan selera apatah lagi jika dibuat sambal, masak lemak, rendang, kerabu dan nasi goreng.

Walaupun pedas, ia juga mempunyai khasiat yang jarang diketahui seperti kaya dengan vitamin A, B, C kompleks dan komposisi vitamin lain seperti protein, karbohidrat serta karotin.

Tidak ramai yang tahu, cili padi juga boleh digunakan bagi menghilangkan bau hangit nasi yang menjadi petua nenek moyang.

Bukan hanya buahnya saja yang menjadi penyedap dalam masakan, daun dan akarnya juga memiliki khasiat untuk membantu menyembuhkan bisul, luka, sakit sendi, sengal otot, bengkak, mengurangkan tekanan darah tinggi serta merawat cirit-birit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


12 jam tergantung cari kambing

Posted:

Selayang: Seorang gembala kambing nyaris maut selepas tergelincir ketika mencari ternakannya di kawasan bukit berhampiran kuil Batu Caves, di sini, dan tergantung pada akar kayu lebih 12 jam pada waktu malam sebelum ditemui orang ramai, pagi semalam.

Lelaki berusia 40-an itu dikatakan mendaki bukit berkenaan lewat petang kelmarin untuk mencari kambingnya tetapi terjatuh dari tebing bukit setinggi 25 meter, namun bernasib baik apabila kaki kirinya tersangkut pada akar kayu sebelum ditemui jam 8 pagi semalam.


Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Selayang menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam dan menghantar pasukan bagi menjalankan operasi menyelamat.

"Sepasukan tujuh pegawai dan anggota bomba tiba ke lokasi kejadian 13 minit selepas mendapat maklumat. Sebaik tiba, lelaki terbabit didapati tersangkut serta tergantung di akar pokok dengan kepalanya ke bawah.


"Bomba mengambil masa hampir sejam bagi menyelamat dan menurunkan mangsa sebelum ambulans membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, berdasarkan laporan awal, lelaki terbabit dipercayai tergelincir dari bukit berkenaan ketika mencari kambingnya, lewat petang kelmarin.

Foto

Gembala kambing yang tergantung pada akar kayu di tebing bukit.

"Kejadian tak disedari sesiapa dan mangsa dipercayai tergantung di tebing bukit itu lebih 12 jam sebelum ditemui orang ramai yang berada di kuil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Jangan ponteng latihan

Posted:

Kuala Lumpur: Jaguh terjun negara, Bryan Nickson Lomas bukan saja digilai peminat sukan tempatan malah turut diminati barisan atlet cilik yang memilihnya sebagai idola untuk bergelar penerjun bertaraf dunia.

Namun bagi Bryan, 23, untuk sampai ke tahap dunia, keupayaan harus digilap seawal usia lima hingga tujuh tahun selain perlu mempunyai disiplin tinggi.


Bagi dua pelapis negara yang meminati Bryan, Nur Dhabitah Sabri dan Muhammad Nazreen Abdullah, kunjungan Bryan menyaksikan sesi latihan di Cheras baru-baru ini amat bernilai. Sekalipun kejayaan Pandelela Rinong memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik London membanggakan negara, Bryan tetap menjadi pilihan kerana semangat juang serta keramahannya yang tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada 'junior'.

Kemesraan Bryan bersama skuad pelapis jelas terserlah apabila mereka menyambutnya dengan penuh kemesraan serta hilai ketawa. Ikuti sesi temu bual Nur Dhabitah dan Muhammad Nazreen yang berkesempatan berbicara secara dekat bersama idola kesayangan mereka, Bryan.


SOALAN: Bagaimana Bryan boleh terbabit dengan sukan terjun hingga bergelar penerjun bertaraf dunia serta layak ke Olimpik? JAWAPAN: Sebenarnya secara tidak sengaja kerana terpilih di sekolah disebabkan struktur badan bersesuaian. Kemudian diberi galakan ibu dan bapa untuk berkecimpung dalam sukan ini secara serius hingga sampai ke tahap dunia sekarang ini.


Apakah tips menjadi penerjun terbaik? Untuk menjadi penerjun terbaik dan berjaya, seseorang itu perlu menanam sifat rajin, disiplin dan sentiasa mendengar tunjuk ajar jurulatih. Jangan sesekali malas dan ponteng latihan.

Foto

BRYAN (kanan) beri nasihat kepada Dhabitah (dua dari kiri) dan Nazreen (kanan).

Bagaimana membahagikan masa dengan baik, terikat dengan sesi jadual padat, bergelar mahasiswa Universiti Malaya (UM), berjumpa dengan keluarga serta rakan? Perlu bijak membahagikan masa, jadual saya memang sibuk. Misalnya sesi latihan di sebelah pagi dan petang, sibuk pula menghadiri kuliah. Malam pula akan siapkan tugasan diberikan pensyarah dan selebihnya mengulang kaji pelajaran. Sama juga dengan Sabtu. Ahad pula masa untuk berehat dan keluar bersama rakan. Bagi melepaskan rindu dengan keluarga di Kuching, Sarawak, saya akan hubungi mereka menerusi telefon.


Selain sukan terjun, mungkin ada meminati sukan lain? Bola sepak. Amat meminati sukan ini sejak kecil kerana terpengaruh dengan ayah yang aktif bermain bola sepak. Ayah bukanlah pemain negara tetapi aktif bermain di tempat kerja bersama rakan-rakannya.

Apakah aktiviti riadah di masa lapang? Suka bermain permainan komputer. Itu memang wajib jika ada masa terluang.


Siapakah penerjun yang menjadi idola? Pastinya penerjun dari Kanada, Alexandre Despatie. Dia adalah juara dunia dalam tiga kategori iaitu 1 meter papan anjal, 3m papan anjal dan 10m platform.


Kini sudah terkenal di peringkat antarabangsa, bagaimana Bryan melayan peminat? Setakat ini belum pernah diserbu peminat seperti artis atau pemain bola sepak popular tempatan (ketawa). Tapi jika ada yang menyapa dan ingin bergambar, saya sentiasa layan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Chelsea hati-hati

Posted:

London: Chelsea cuba menghidupkan kembali cabaran musim ini meskipun tanpa kelibat Eden Hazard apabila turun beraksi menentang Brentford di pusingan keempat Piala FA, malam ini.

Hazard digantung selepas diarah keluar padang pada perlawanan separuh akhir Piala Liga di Swansea selepas menendang budak pengutip bola dan berdepan tindakan susulan FA Inggeris.


Insiden itu mengaburi kegagalan Chelsea menundukkan pasukan kendalian Michael Laudrup dan mereka perlu bangkit pada pertemuan di Griffin Park.

Jika kalah buat kali kedua minggu ini, Blues hanya tinggal saingan Liga Europa untuk bergelar juara musim ini sekali gus meningkatkan tekanan kepada pengurus pasukan, Rafael Benitez.


Ketiadaan Hazard memburukkan lagi keadaan terutama di saat pasukan ingin memburu kemenangan sejak awal musim ini.


"Amat mengecewakan kerana kami gagal menjaringkan gol ketika menentang Swansea," kata penjaga gol, Petr Cech.

"Kami tahu perlu menjaringkan gol untuk mengukuhkan kedudukan tapi gagal melakukannya.


"Malah ketika menentang Southampton kami gagal konsisten selepas mendahului 2-0 dan mereka berjaya menjaringkan dua gol untuk menyamakan kedudukan.

"Pasukan perlu lebih mantap di depan gawang kerana kami banyak mencipta peluang menjaringkan gol. Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol.


"Pasukan seharusnya lebih menyengat. Ketika menentang Arsenal dulu kami turut melakukan kesilapan sama meskipun menang 2-1.


"Kami terpaksa bekerja keras hingga hujung perlawanan kerana gagal menggunakan peluang yang terhidang." David Luiz tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan buku lali tapi kapten, John Terry mungkin boleh diturunkan dalam kesebelasan utama.


Benitez akur Brentford pasti bermain mati-matian.


"Pasti sukar kerana lawan mampu bermain bola jauh mahupun hantaran pendek. Mereka sebuah pasukan yang menarik," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


30 tahun terkurung

Posted:

Rio de Janeiro: Sebuah keluarga yang kehilangan kura-kura kesayangan tidak menyangka dapat bertemu haiwan peliharaan mereka 30 tahun kemudian, lapor media semalam.

Kura-kura bernama Manuela itu gagal dikesan pemiliknya pada 1982 walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mencarinya. Keluarga Almeida kemudian menganggap Manuela melarikan diri ketika pekerja pembinaan mengubah suai rumah mereka. Awal bulan ini, ketua keluarga Almeida, Leonel, meninggal dunia dan anak-anaknya bekerjasama membersihkan bilik di tingkat dua rumah mereka yang sarat berisi barangan elektrik rosak.


Selama ini, bilik berkenaan dibiarkan berkunci.

Anak lelaki Leonel Leandro berkata, dia terkejut apabila mendapati Manuela berada dalam sebuah kotak di bilik berkenaan, tetapi ia hanya disedari sejurus sebelum kotak berkenaan dibuang.


"Saya meletakkan kotak itu di kaki lima supaya pemungut sampah mengambilnya, tetapi ada seorang jiran bertanya, mengapa saya mahu membuang kura-kura?" katanya. Hairan dengan kata-kata jirannya, Leandro melihat kotak berkenaan sekali lagi dan terkejut melihat apa yang ada di situ.


Adik Leandro, Lenita, berkata kura-kura itu hadiah untuknya ketika dia masih kecil. Pada masa sama, Leonel tidak suka membuang barangan elektrik yang dirasakan boleh dibaiki. "Jika bapa terjumpa televisyen rosak dan dia berasa boleh diperbaiki, bapa akan menyimpannya di dalam bilik.

Foto

KELUARGA Almeida menunjukkan Manuela yang ditemui selamat selepas terperangkap dalam bilik rumah mereka selama 30 tahun.

"Lama-kelamaan, bilik itu penuh dengan barangan elektrik dan kami tidak berani masuk ke situ," katanya.


Mengenai penemuan Manuela itu, Lenita berkata, mereka sekeluarga sangat gembira apabila bertemu semula dengan kura-kura berkenaan.

Namun, kata Lenita, tiada siapa tahu bagaimana Manuela mampu bertahan dalam bilik berkenaan selama 30 tahun. Sementara itu, pegawai vaterinar Rio de Janeiro, Jeferson Pires berkata, kura-kura spesies berkaki merah mampu bertahan walaupun tanpa makanan untuk tempoh lama. "Kura-kura jenis itu boleh hidup tanpa makanan selama dua hingga tiga tahun.


"Jika di hutan, ia boleh makan buah-buahan, daun, bangkai haiwan atau najis," katanya.


Mengenai Manuela, Pires berkata, ia mungkin terselamat kerana makan anai-anai di lantai kayu rumah berkenaan. -Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Bayi jantung di luar dibenar pulang

Posted:

Houston: Seorang bayi yang dilahirkan dengan jantungnya berada di luar badan, dibenarkan pulang semalam selepas diberikan 'cangkerang' khas bagi melindungi organ penting berkenaan.

Audrina Cardenas dilahirkan pada 15 Oktober tahun lalu dengan menghidap penyakit dikenali sebagai ectopia cordis yang menyebabkan jantungnya terbentuk di luar dada. Penyakit itu hanya berlaku terhadap seorang daripada setiap lapan juta orang dengan sembilan daripada 10 penghidapnya meninggal dunia ketika lahir atau sekadar bertahan kurang dari tiga hari. Namun, selepas tiga setengah bulan, Audrina membuktikan kelaziman itu salah, sebaliknya dia dibenarkan keluar dari Hospital Kanak-kanak Texas di Houston.


Dia dilihat meninggalkan hospital itu dengan pelindung khas berkenaan bersama ibunya, Ashley, Audrina akan menjalani pembedahan untuk membetulkan kedudukan jantungnya dan memasang pelindung kekal beberapa tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


'Ngangkung' tepi rumah terbiar

Posted:

Raub: Kes pembunuhan kejam itu berlaku 20 tahun lalu, tetapi keghairahan untuk cepat kaya menyebabkan segelintir individu sanggup 'berkampung' di rumah lama Mona Fandey di Kampung Peruas, Ulu Dong, di sini, semata-mata untuk mengamalkan amalan khurafat 'menurun' atau 'ngangkung' nombor ekor.

Mona atau nama sebenarnya, Maznah Ismail, 46, bersama suami, Mohd Affandi Abdul Rahman, 45, dan pembantu mereka, Juraimi Husin, 32, didakwa membunuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris di rumah berkenaan pada 1993.

Perkara itu didedahkan seorang pemuda dikenali sebagai Azli, 38, dari kampung berhampiran yang mendakwa pernah menyaksikan sekumpulan pemuda pergi ke rumah berkenaan kononnya untuk mendapat 'petunjuk' nombor ekor, sekali gus berpeluang meraih hadiah utama mencecah puluhan ribu ringgit.

Azli berkata, dia pernah bertemu seorang kaki nombor ekor dan bertanya mengapa perlu melakukan upacara karut itu di situ, dan jawapan diterimanya ialah, 'memuja' Mona lebih membuahkan hasil bagi mendapatkan nombor dihajati.

Foto

KEDIAMAN Mona Fandey yang menjadi berita hangat kes pembunuhan Datuk Mazlan pada tahun 1993 yang sudah runtuh.


"Itu yang mereka percaya, jika menurun nombor ekor di situ, lebih mujarab. Mungkin disebabkan latar belakang Mona yang juga bomoh dan kes pembunuhannya tidak lama dulu.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Cacah tatu di lokasi sulit

Posted:

Kota Kinabalu: Memalukan apabila segelintir remaja Islam di bandar raya ini, termasuk pelajar sekolah, tidak mengendahkan larangan agama yang mengharamkan cacahan tatu pada mana-mana anggota tubuh, sebaliknya melakukannya untuk tujuan suka-suka berikutan dipengaruhi rakan sebaya.

Trend itu jika tidak dibendung pihak berkuasa dan institusi kekeluargaan dikhuatiri boleh merosakkan akidah remaja terbabit kerana ia perbuatan zaman jahiliah selain boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Lebih membimbangkan, remaja berkenaan bijak menyembunyikan kegiatan mereka daripada pengetahuan keluarga, terutama ibu bapa, apabila mencacah tatu di bahagian sulit seperti payudara dan ari-ari.

Siasatan Metro Ahad mendapati ada gadis Islam berusia antara 17 hingga 30 tahun mengenakan tatu di badan sebagai hiasan kerana beranggapan ia unik dan menarik selain dianggap simbol seks.

Foto

Ukiran rama-rama dan bunga ros dicacah di bahu.

Foto

ANTARA tatu yang dipaparkan di premisnya.


Seorang remaja yang mahu dikenali sebagai Laila, 19, mengakui tertarik memiliki tatu selepas melihat pelbagai gaya dan lakaran tatu pada tubuh rakannya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved