Selasa, 9 Julai 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Amal sikap profesional

Posted: 09 Jul 2013 06:43 AM PDT

Hubungan suami isteri sungguh istimewa tetapi ia akan menjadi lebih menarik lagi apabila pasangan suami isteri mampu bergabung tenaga dan bekerjasama dengan baik serta senada dalam banyak hal, termasuk usaha mencari rezeki bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.

Bagi sesetengah pasangan, membina perniagaan dan menjadikan pasangan mereka sebagai rakan kongsi mungkin tidak mungkin dapat dibayangkan kerana bimbang tugas akan dibawa pulang hingga ke rumah dan kehidupan antara kerja dan peribadi sukar dipisahkan.

Selain itu, mereka turut bimbang dengan kemungkinan sebarang perbezaan pendapat mampu menjadi pencetus pertengkaran serta perbalahan yang seterusnya boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan.

Apalagi sekiranya dua orang yang mempunyai perbezaan pendapat yang ketara tetapi masing-masing mempunyai sikap keras kepala dan enggan mengalah, pasti menyukarkan kerjasama dalam membangunkan perniagaan.

Foto

FEONA dan Tengku Azaroo mengamalkan perbincangan dalam setiap keputusan yang diambil.


Namun keadaan ini amat berbeza buat Tengku Azaroo Tengku Chik, 36 dan isterinya, Feona Othman, 37, yang mengasaskan firma seni bina, rekaan dalaman, perundingan serta pengiklanan, FA Concept, yang kini bertapak di Wangsa Maju.


Lebih menarik, pasangan itu memulakan perniagaan berkenaan semasa bercinta 14 tahun lalu ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Mengamalkan sikap saling menghormati dalam perhubungan sebagai suami isteri dan rakan kongsi, pasangan yang mempunyai tiga anak perempuan ini, mampu saling bekerjasama dan menjadikan hubungan mereka lebih rapat kerana menghabiskan setiap waktu bersama-sama dalam menguruskan perniagaan dan membuat keputusan.

Menurut Feona, kelebihan membina perniagaan secara bersama adalah mereka tidak perlu menetapkan sebarang peraturan antara tugas di pejabat serta kehidupan peribadi dan boleh berbincang di mana-mana saja mengenai keputusan perniagaan yang perlu diambil, tanpa perlu membuat temu janji atau mesyuarat.

Katanya, hampir setiap masa dia dan suami berada bersama, sama ada keluar untuk ke tempat kerja, menyusun tugas pemasaran, bertemu pelanggan ataupun keluar melihat tugas luar yang sedang dijalankan.

"Yang menariknya, apabila kami perlu ke luar kawasan atau luar negara untuk mendapat bahan bagi menyempurnakan tugas binaan, hiasan dalaman atau pengiklanan, kami boleh bawa anak-anak sekali dan ia seperti satu percutian.

"Walaupun kami suami isteri, tetapi dalam kerja kita tetap bersikap profesional. Pada masa sama, apa saja yang dilakukan ketika di rumah atau di pejabat, kita perlu mencari keseimbangan dan masih tetap perlu menjaga hati satu sama lain," katanya.

Sambil mengakui setiap perkara yang dilakukan pasti ada kelebihan dan kekurangan, Feona berkata sikap saling bertolak-ansur dan menghormati bidang tugas masing-masing amat penting dalam membangunkan syarikat.

Lebih membanggakan, kejayaan membina perniagaan secara bersama-sama kini membolehkan pasangan itu memiliki kilang sendiri di Sungai Buloh bagi menyediakan bahan binaan yang digunakan bagi kerja pengubahsuaian dan hiasan dalaman pejabat, rumah atau restoran.

Menurutnya lagi, sebagai suami isteri, mereka boleh berbincang dan menyelesaikan dengan serta-merta sesuatu masalah berkaitan permintaan pelanggan dan membuat keputusan pantas mengenai perniagaan, apalagi mereka sudah sangat memahami antara satu sama lain, membuatkan keputusan mudah dicapai.

"Sebagai suami isteri, ada masanya kami tetap sekali-sekala bertelagah mengenai sesuatu perkara selalunya mengenai pemilihan bahan untuk kerja hiasan dalaman tetapi ia perlu bijak dikawal supaya tidak melarat hingga ke rumah.

"Lagipun sebagai rakan kongsi perniagaan, bila bergaduh saya tidak dapat merajuk lama, malah tidak sampai 10 minit pun. Mahu tidak mahu kita perlu bercakap dan berbincang mengenai keputusan yang hendak dibuat apabila pelanggan menghubungi kita.

"Ketika di awal perkahwinan banyak juga perselisihan faham berkaitan tugas namun saya berfikir sampai bila harus berterusan begini. Jadi kami mula menyusun kerjasama yang lebih berkesan," katanya.

Lebih istimewa, mereka sentiasa menghabiskan masa bersama dan hampir tidak berenggang disebabkan keperluan perniagaan, menjadikan hubungan mereka lebih rapat, sehinggakan sekiranya ada sedikit perbalahan pun, anak-anak akan dapat menghidu dengan pantas dan memujuk ibu bapa mereka.

Feona berkata, setiap keputusan yang hendak diambil akan dibincangkan bersama terlebih dulu biar sekecil manapun, dia akan memaklumkan kepada suami dan begitu juga suaminya.

Sementara itu, Tengku Azaroo berkata apabila bekerja sekali, suami atau isteri tidak boleh mempunyai sikap ego kerana bukan saja tidak baik untuk perhubungan, malah juga perniagaan.

Katanya, suami isteri yang bekerjasama perlu bersikap profesional dan sedia meletakkan diri mereka di tempat sepatutnya, kadang-kala sebagai pembuat keputusan atau yang mengikut keputusan, mengikut bidang tugas yang sudah ditetapkan buat diri masing-masing.

"Dalam perniagaan yang diusahakan bersama, kadang-kala isteri boleh bertindak sebagai pembantu suami dan ada masanya pula suami bertindak sebagai pembantu isteri, bagi mencapai hasil terbaik untuk pelanggan.

"Kami mempunyai kepakaran masing-masing, misalnya saya lebih kepada pembinaan dan isteri pula lebih kepada pemasaran. Jadi kita perlu saling menghormati bidang tugas dan bersedia menerima pendapat," katanya.

Menurut Azaroo, dia menyerahkan urusan kewangan kepada isterinya kerana percaya golongan wanita mempunyai kemahiran dalam perkara itu, seterusnya membolehkan dirinya memberi tumpuan penuh kepada urusan pentadbiran syarikat.

Katanya, hasil kerjasama yang mantap antaranya dan isteri berjaya mengembangkan syarikat berkenaan dan hingga kini mereka mempunyai lima pekerja tetap yang sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Malah, pekerja turut diingatkan untuk memberi keutamaan kepada keluarga dan sekiranya berlaku pertembungan hal penting di antara keduanya, keluarga perlu didahulukan.

"Pada permulaan perniagaan iaitu ketika kami masih bercinta dan sedang belajar, saya dan Feona menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah dan lebih memfokus kepada perkhidmatan mereka hiasan dalaman.

"Mula-mulanya kami berkawan baik dan menjalankan projek perniagaan secara sambilan tetapi akhirnya kami menjadi lebih rapat, jatuh cinta dan mengambil keputusan untuk berkahwin.

"Selepas berkahwin, saya rasa lebih bersemangat untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan apalagi lebih mudah untuk kami bergerak berdua ke mana-mana untuk bertemu pelanggan," katanya.

Tengku Azaroo berkata, biarpun ada masa mereka berselisih pendapat tetapi ia sebenarnya adalah untuk perkara yang membina dan kaum lelaki perlu tanam dalam diri mereka bahawa golongan wanita juga berkaliber.

Katanya, dia tidak pernah menetapkan kepada isterinya untuk memasak atau melakukan sebarang kerja di rumah kerana baginya mereka sama-sama sibuk dan faham kepenatan isteri selepas pulang dari pejabat.

Selain bertugas bersama, pasangan suami isteri itu juga mengambil pendekatan menguruskan urusan rumah dan anak secara bersama-sama, termasuk dalam hal memasak.

Hasil kecemerlangan syarikat itu, mereka juga pernah dilantik sebagai perunding bagi bilik pameran dan pusat servis syarikat kenderaan, Chevrolet, di 43 pusat pengedarannya di seluruh negara, antara 2004 hingga 2007.

Mereka juga pernah memberi khidmat rundingan hiasan dalaman serta promosi pengiklanan antaranya kepada agensi kerajaan, jabatan kerajaan, DRB Hicom, syarikat minyak dan gas serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Disebabkan rekod cemerlang dalam bidang berkenaan, pasangan itu mendapat kepercayaan daripada pelanggan yang sedang berada di luar negara dan hanya berurusan mengenai rekaan dalaman menerusi emel. Sebaik tiba di tanah air, rumah mereka sudah siap diubahsuai dalam tempoh yang ditetapkan, lengkap dengan hiasan dalaman.

Syarikat berkenaan juga mempunyai dua perkhidmatan dalam satu iaitu rekaan dalaman dan rekaan grafik. Biarpun kedua-duanya berbeza tetapi ia saling berkaitan dan memudahkan tugas pelanggan yang memerlukan kedua-dua perkhidmatan itu.

Hubungan yang rapat dengan pekerja juga membuatkan suami isteri berkenaan memberi kepercayaan kepada pekerja dan kelonggaran, tanpa peraturan yang terlalu ketat seperti syarikat lain.

Kerjasama berpasukan dan idea dari setiap pekerja amat dihargai malah setiap hari mereka akan duduk bersama dan berkongsi sebarang buah fikiran yang boleh dikembangkan bagi menjayakan sesuatu projek.

Menurut Feona, kelebihan bekerja bersama pasangan adalah ia mengurangkan beban kerja kerana ia dikongsi bersama dan masa menyiapkan sesuatu tugas juga dapat dipendekkan melalui gabungan tenaga.

"Dalam satu hari, kami boleh menyiapkan banyak perkara kerana biarpun ada dua kereta, kami akan bergerak bersama-sama. Bukan saja lebih menjimatkan tetapi tidak perlu meletakkan kenderaan sekiranya salam seorang perlu keluar sekejap untuk menyiapkan urusan.

"Disebabkan kami selalu bersama, biarpun sesibuk manapun, masa untuk keluarga tetap ada. Apabila cuti sekolah, kami akan bawa sekali anak-anak terutama urusan kerja ke luar negara merangkap cuti. Saya akui saya seronok bekerja bersama suami dan ia merapatkan lagi hubungan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

Biskut coklat kacang hazel

Posted: 09 Jul 2013 06:41 AM PDT

Biskut coklat kacang hazel sememangnya menyelerakan dan menjadi kegemaran ramai apalagi dihidangkan untuk tetamu yang bertandang ke rumah pada Syawal nanti. Namun harganya agak tinggi membuatkan ada yang berkerut dahi.

Bagaimanapun, sekiranya mempunyai peralatan leng–kap di rumah, ia sebenarnya mudah disediakan, malah tidak mengambil masa yang lama, selain lebih segar, terus dari ketuhar untuk dinikmati seisi keluarga.

Mengambil kesempatan Aidilfitri ini, sekiranya rajin, ia juga boleh dihasilkan untuk dijual bagi menjana pendapatan buat persediaan beraya. Lebih penting, rasanya boleh ditentukan sendiri mengikut cita rasa masing-masing, sama ada inginkan lebih kacang hazel atau lebih rasa coklat.

Menurut jurutera, Ida Rozani Mat Wali, 40, yang sememangnya gemar memasak, penyediaan biskut berkenaan tidak sukar dan hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk berpindah dari dapur ke meja makan.


"Yang penting, ketika bahan-bahan diadun, panaskan dulu ketuhar pada suhu 180 darjah Celsius dan dibakar adunan selama 10 minit bagi mendapatkan hasil yang rangup.


"Satu tip yang saya boleh kongsi untuk memudahkan kerja memecahkan kacang hazel adalah memasukkannya ke dalam beg plastik lut sinar dan ketuk dengan senduk atau sudip kayu sehingga pecah kepada kepingan kecil mengikut cita rasa," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ikuti langkah mudah menyediakan biskut coklat kacang hazel seperti yang ditunjukkan oleh Ida Rozani. Untuk pertanyaan atau tempahan boleh hubungi Ida di cookies_by_ida@yahoo.com.

Bahan-bahan:

  • 1/2 cawan mentega
  • 1/2 cawan kacang sapuan coklat hazel
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik
  • 1/2 sudu baking soda
  • 1/3 sudu teh garam
  • 1/2 cawan gula kastor
  • Sebiji telur
  • 1/2 cawan gula merah
  • 1 1/3 cawan tepung gandum
  • 3/4 cawan kacang hazel

    Cara penyediaan:

    1. BAHAN untuk menyediakan biskut.

    2. CAMPURKAN gula kastor, gula merah, mentega dan sapuan coklat hazel dalam mangkuk pengadun. Pukul sehingga sebati selama empat minit.

    3. MASUKKAN telur dan esen vanila sebelum dipukul lagi sehingga sebati.

    4. TEPUNG gandum, baking soda, serbuk penaik dan garam digaul menggunakan teknik mengaut dengan spatula.

    5. MASUKKAN kacang hazel yang sudah dipecahkan.

    6. LETAKKAN kertas baking pada dulang pembakar.

    7. GUNAKAN sudu dan letak adunan ke atas dulang mengikut saiz yang disukai.

    8. BAKAR 10 minit pada suhu 180 darjah celsius.

    9. BISKUT coklat kacang hazel siap untuk dimakan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09
  • Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Kempunan beraya sedondon

    Posted: 08 Jul 2013 10:03 PM PDT

    Johor Bahru: Lima beranak yang tinggal di Jalan Mewah Ria 2/6, Taman Bukit Mewah, di sini, bercadang memakai pakaian sedondon berwarna biru muda dan sudah membelinya kelmarin.

    Bagaimanapun, semalam, impian itu lebur selepas rumah dua tingkat dihuni keluarga Mazlan Marijan, 50, sejak 10 tahun lalu musnah terbakar.


    Dalam kejadian jam 2 petang itu, kebakaran memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan menyebabkan pelbagai barangan persediaan Ramadan serta Aidilfitri musnah.

    Menurut Mazlan, ketika kejadian, mereka sekeluarga tiada di rumah.


    "Saya bertugas sebagai penjaga stor di sebuah kilang di sekitar bandar raya ini manakala isteri, Saripah Talam, 51, memandu van sekolah.


    "Tiga anak juga tiada di rumah. Saya dimaklumkan berkaitan kebakaran oleh jiran sebelum bergegas pulang," katanya.

    Bagaimanapun, menurut Mazlan, tiada apa dapat diselamatkan kerana api marak dengan pantas.


    Katanya, dia membeli baju Melayu dan baju kurung untuk menyambut Aidilfitri di sebuah pasar raya di Tampoi dan tidak sabar untuk memakainya.

    "Kami mengemas rumah semalam (kelmarin) sebagai persediaan menyambut Ramadan.


    "Saya menghabiskan RM400 untuk membeli pakaian berkenaan namun hajat untuk beraya sedondon tidak kesampaian," katanya.


    Mazlan berkata, keluarganya sedih dengan kejadian itu memandangkan isterinya meninggalkan kediaman dalam keadaan baik ketika keluar bekerja.


    Bagaimanapun, Mazlan berkata, dia reda dan bersyukur kerana ahli keluarganya selamat.


    "Kami akan berpindah ke sebuah lagi kediaman keluarga di Taman Cempaka, Tampoi namun kemudahannya tidak selengkap rumah yang terbakar ini.


    "Kami akan menyambut Aidilfitri di kediaman berkenaan," katanya.


    Keluarga Mazlan turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat yang turut menyampaikan bantuan wang dan barangan keperluan.


    Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Johor Bahru Pegawai Bomba Kanan II Razman Abdul Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 2 petang.


    Menurutnya, operasi memadam kebakaran dijalankan oleh 16 anggota dengan dua jentera bomba, mereka tiba di lokasi pada jam 2.12 petang.


    "Api marak ketika kami tiba dan ia memusnahkan 95 peratus kediaman berkenaan. Bagaimanapun, kami berjaya memadamkan kebakaran itu dan mengelaknya daripada merebak ke rumah jiran," katanya.


    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Sarah GM2: 'Saya tak jangka menang'

    Posted: 08 Jul 2013 07:53 AM PDT

    Keyakinan dan jati diri tinggi serta persembahan konsis­ten sepanjang minggu ternyata memberi kele­bihan kepada peserta dari Ampang, Selangor, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf, 22, dinobatkan sebagai juara pada malam kemun­cak program pencarian selebriti terunggul Gadis Muka Dua (GM2) yang bersiaran di saluran Astro Ria 104, malam Ahad lalu.

    Selepas lima minggu mengharungi cabaran ternyata tuah menyebelahi gadis kacukan Melayu-Jerman-Amerika Syarikat itu sekali gus berjaya menawan hati barisan juri untuk dipilih sebagai pemenang dan mengetepikan empat lagi finalis lain.

    Dengan kemenangan itu, Sarah yang mendapat markah tertinggi sebanyak 135.1 markah membawa pulang kontrak pengurusan bernilai RM100,000, dua tiket penerbangan ke Paris tajaan AirFrance, barangan Rafflesia bernilai RM30,000 dan tajaan pembiayaan bernilai RM20,000 dari Snips Art Academy serta menghiasi enam muka surat majalah InTrend.

    Secara peribadi, Sarah yang kelihatan sebak pada malam itu mengakui dia memang tidak menjangka kemenangannya pada malam itu.

    Foto

    SARAH gadis kacukan Melayu-Jerman-Amerika Syarikat.

    Foto

    FINALIS muncul dengan gaya 'avant garde'.

    Foto

    PEMENANG tempat kedua, She.

    Foto

    LIA terpaksa puas hati di tempat ketiga.

    Foto

    SEMPAT pose dengan 'Big Sister', Dynas Mokhtar ketika majlis 'Amazing Red, Kurung, Kebaya & Hijab', baru-baru ini.


    "Terus terang, semua finalis GM2 musim pertama ini memiliki kelebihan masing-masing dan peserta yang paling memberikan saingan yang sengit pada saya sudah pasti She yang turut menyerlah sepanjang minggu. Namun, saya bersyukur kerana kemenangan akhirnya berpihak pada saya.


    "Saya juga akan menjadikan GM2 sebagai platform untuk mengembang­kan bakat dalam bidang lakonan ataupun pengacaraan selepas ini. Namun, janganlah menilai saya dari segi wajah kacukan saja tetapi biarlah ia seiring dengan bakat dipertaruhkan," katanya.

    Pada malam yang cukup bermakna itu, Sarah turut menerima kejutan apabila ibunya Che Arbi Hashim, 60, muncul di pentas untuk sama-sama berkongsi saat-saat manis kemenangan­nya itu.

    "Saya juga memakai 'skirt' yang dihadiahkan emak untuk digayakan pada malam kemuncak ini. Soal hadiah percutian pula, sudah pasti saya akan membawa emak untuk bersama-sama menikmati percutian ke Paris nanti.

    "Selain itu, saya juga merancang untuk meng­gunakan biasiwa Snips sepenuhnya sebagai persediaan lengkap untuk menceburi bidang seni tanah air selepas ini," katanya.

    Peserta dari Subang Jaya, Selangor, Siti Nursyahirah Nabila, 23, atau She yang mendapat markah sebanyak 134.5 markah nampaknya terpaksa berpuas hati de­ngan sekadar menduduki tempat kedua GM2 serta membawa pulang barangan Rafflesia bernilai RM20,000.

    Walaupun kalah tipis pada Sarah, She tidak kecewa dengan kekalahannya itu sebaliknya akur dengan keputusan barisan juri berkenaan.

    Walaupun kalah tipis saya harap semua orang nampak bakat saya kerana selain modeling saya juga boleh berlakon dan mengacara.

    "Saya sudah menjang­ka Sarah menang dan ia memang rezekinya. Pada masa sama, saya juga baru habis bengkel sehari bersama Pak Nil. Apapun, saya harap ade peluang untuk menceburi bidang seni selepas ini." katanya.

    Peserta dari Tawau, Sabah, Alia Afiqah Abden (Lia) 21 (108.95 markah), pula menduduki tempat ketiga dan turut membawa pulang barangan Rafflesia bernilai RM10,000.

    Manakala, dua lagi peserta Top 5 GM2 iaitu Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra) 21 (107.75 peratus) dari Setapak, Kuala Lumpur sekadar berpuas hati dengan tempat keempat dan Nur Afiqah Mohd Azmi (Fify), 22 (103.05) dari Subang Jaya, Selangor pula tempat kelima. Keputusan barisan pemenang GM2 pada malam itu diumumkan pe­ngacara, Awal Ashaari.

    Sarah miliki ciri-ciri GM2

    Setiap juri memiliki pendapat dan peserta pilihan masing-masing untuk di nobatkan sebagai pemenang. Itulah yang dapat disaksikan bila barisan juri tetap, Datin Sofia Jane, Zaihani Zain serta juri jemputan, Bill Bora bila diminta memberi komen persembahan peserta membabitkan dua cabaran akhir GM2 iaitu bertemakan 'avant garde' dan 'tergantung' berlatar belakang bangunan KLCC serta memperagakan busana rekaan pereka terkenal, Azura Azwa sempena ma­j­­lis bertemakan 'Amazing Red, kurung, kebaya & hijab' yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Meskipun ada pertelagahan pendapat antara Bill dan Zaihani, namun, masing-masing tetap sepakat memilih Sarah sebagai juara GM2 musim pertama ini.

    Mengulas kemenangan Sarah, Bill berkata, berbanding peserta lain, Sarah memang memiliki ciri-ciri yang dicari dalam program GM2 iaitu pakej lengkap untuk diketengahkan dalam bidang seni.

    "Bukan saja tampil yakin ketika cabaran akhir di pentas 'catwalk' dan ketika 'tergantung untuk tema avant garde', dia juga memiliki pakej lengkap untuk bergelar aktres terkenal satu hari nanti.

    "She juga memiliki pakej dan kelebihan yang tiada pada peserta lain. Saya nampak She lebih ke arah bidang peragaan dengan ketinggian dan wajah fotogenik serta mampu menjadi model terkenal satu hari nanti," katanya.

    Pada malam kemuncak GM2, semua peserta Top 5 mendapat sentuhan tata rias tajaan Snips. Selepas lima minggu melalui pelbagai cabaran dari segi solekan, fesyen, peragaan, Cover Girl dan lakonan, peserta tampil lebih anggun dan bersedia untuk meletakkan diri mereka sebaris dengan golongan seleb­riti di luar sana.

    Rancangan terbitan I Like Entertainment Sdn Bhd anak syarikat Kumpulan Sedania ini menjanjikan satu kelainan konsep realiti TV dengan mencari artis yang bukan saja memiliki rupa paras yang cantik tetapi pelbagai kebolehan untuk diketengahkan dalam bidang seni.

    Ia turut mendapat penajaan lokasi dari Pusat Konvensyen SP Setia dan Local Sim Kad.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

    Shila 'radio bergerak'

    Posted: 08 Jul 2013 07:07 AM PDT

    Siri pertama Jejak Bintang, semalam menceritakan kisah Shila Amzah yang hampir menemui ajal ketika baru berusia dua minggu akibat demam selsema dan sesak nafas seperti diceritakan bapanya yang juga penyanyi, pelakon dan pengacara, Amir Amzah Salleh, 51, atau ND Lala dan ibunya, Fauziah Sarman, 44.

    Hari ini, menerusi siri kedua kita dekati pula sahabat baiknya, Siti Munirah Abdul Ghani, 23, sejak mereka di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah, Kuala Lumpur.

    Penulis dan jurugambar tiba lewat 20 minit di pusat beli belah Pavilion, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi pertemuan dengan Siti Munirah atau mesra disapa Qira pada petang Khamis lalu.

    Ini berlaku selepas kami 'sesat' ketika mencari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lee Rubber di Jalan Gombak yang juga sekolah pertama Shila Amzah ketika tahun satu dan dua.

    Foto

    BERSAMA sahabat karib sejak tingkatan empat, Siti Munirah Abdul Ghani atau Qira.

    Foto

    SHILA (berdiri tengah, tujuh dari kanan) ketika di tingkatan empat SMK Setapak Indah.

    Foto

    SMK Setapak Indah yang menjadi sekolah Shila belajar.

    Foto

    SEKOLAH Jenis Kebangsaan Cina Lee Rubber di Jalan Gombak, tempat Shila belajar ketika di tahun satu dan dua.


    Pavilion dipilih sebagai lokasi temubual kerana di situlah 'port' kegemaran Shila untuk membeli-belah. Berbalik pada zaman persekolahan, Qira dan Shila bersahabat baik sejak tingkatan empat hingga sekarang meskipun kebelakangan ini jarak bagaikan memisahkan mereka. Namun, ia tidak pernah mengehadkan perbualan dua sahabat itu yang sering berhubung melalui medium komunikasi yang ada.


    "Siapa tidak kenal Shila di sekolah. Dia sudah terkenal sejak kecil lagi, lebih-lebih lagi perwatakannya gila-gila, sangat 'sempoi' dan 'low profile'. Dia tak pernah menganggap dirinya artis dan disebabkan itulah semua orang selesa dengan dia," kata Qira membuka bicara.

    Menyambung perbualan, Qira berkata, dia dan Shila berada di kelas berbeza ketika tingkatan satu hingga tiga. Bagaimanapun, mereka menjadi sahabat baik ketika di tingkatan empat dan lima apabila ditempatkan dalam kelas prinsip akaun, Utarid.

    "Walaupun bersekolah ketika itu, Shila sudah aktif menyanyi dan saya sendiri selalu menemaninya membuat persembahan. Boleh dikatakan saya adalah pembantu peribadi tak rasmi Shila.

    "Kami selesa bersama kerana walaupun saya datang dari keluarga susah, dia tidak pernah memandang semua itu kerana katanya dia juga pernah merasai kesusahan hidup," katanya.

    Menyingkap kembali memori Shila di sekolah, menurut Qira, dia seorang bijak, tetapi nakal, namun seorang yang cepat 'pick up'. Soalan diberikan guru biasanya Shila dapat menjawab dengan baik.

    "Bagi subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik, dia memang menjadi buah hati guru. Tetapi subjek paling dia tidak minat ialah Sejarah.

    Setiap kali guru Sejarah masuk, dia akan menyanyi sampaikan semua pelajar dalam kelas memanggilnya sebagai 'radio bergerak!'

    "Saya pula sukakan Sejarah, tetapi lemah dalam Bahasa Inggeris. Jadi, kami saling meniru kerja masing-masing dan itu saya kira antara kenakalan zaman sekolah yang pernah kami buat.

    "Apapun, dalam pada dia tidak menyukai Sejarah, pengetahuan am Shila sangat bagus mungkin kerana bapanya sering mendedahkan dan bercerita kepada berhubung perkembangan isu semasa.

    "Bukan itu saja, jika terasa bosan kami minta dia menyanyi. Dia seorang yang gila-gila dan sikapnya itu membawa keceriaan kepada kami semua," katanya.

    Shila banyak ubah Qira

    Sejak mengenali Shila, Qira mengakui sahabat baiknya itu banyak mengubahnya untuk menjadi gadis yang lebih feminin.

    "Dia menyolek wajah saya dan memberi saya pakaiannya serta membuat 'facial' untuk wajah saya. Malah, Shila juga mengajar saya untuk mengenali 'cinta monyet' dengan seorang pelajar lelaki di sekolah kami," katanya tersenyum.

    Menurutnya, Shila juga menjadikannya seorang yang lebih positif sekali gus melupakan masalah keluarganya.

    "Ada satu lagi perkara yang sangat manis Shila lakukan di mana dia menghadiahkan saya satu 'teddy bear' sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-16, pada 1 Ogos 2006 iaitu 13 hari lebih awal daripada ulang tahun Shila.

    "Pemberian itu cukup bermakna kepada saya kerana itulah hadiah pertama saya dapat sempena ulang tahun saya. Sebelum ni saya tidak pernah menerima hadiah daripada sesiapa pun," kata Qira yang berbintang Leo sama seperti Shila.

    Ditanya pernahkah Qira menjangkakan nama Shila akan menjadi sebesar ini dan jawapannya cukup ringkas iaitu ringkas jawapannya 'sangat percaya'.

    "Semasa kami tingkatan empat, saya pernah cakap, 'Satu hari awak akan jadi sehebat Datuk Siti Nurhaliza, apapun menjaga tingkah laku awak seperti sekarang ini adalah yang terbaik. Kekal merendah diri.

    "Nah! Sekarang sudah terbukti. Kalau ikutkan Shila juga terkejut dengan perubahan hidup yang dilaluinya sekarang," katanya yang mahu bercuti ke Shanghai, China selama dua minggu dengan Shila.

    ESOK: Hanya 40 minit rakam sebuah lagu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Mana ada pinjaman!

    Posted: 08 Jul 2013 09:19 AM PDT

    Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu pembatalan penggunaan pemain pinjaman pada kempen Piala Malaysia bermula Ogos ini dijadikan isu memandangkan peraturan baru itu sudah dipersetujui semua pasukan sebelum ini.

    Setiausaha Agung Hamidin Mohd Amin berkata, semua 16 pasukan bertanding tidak dibenarkan mengambil pemain pinjaman berbanding sebelum ini apabila mereka boleh meminjam tiga pemain daripada pasukan lain yang tidak layak beraksi.


    "Peraturan ini sudah diputuskan sebelum Liga Malaysia (Liga-M) bermula musim ini dan isu ini tidak boleh disensasikan kerana semua pasukan sudah diberitahu lebih awal," katanya.

    Sama ada sedar ataupun tidak, masih ada pasukan berhajat mengambil pemain pinjaman bagi mengharungi Piala Malaysia bermula 17 Ogos, antaranya pasukan kelab dari Terengganu, T-Team.


    Menerusi laporan BERNAMA kelmarin, pengurusan T-Team menyuarakan hasrat meminjam tiga pemain luar untuk memperkuatkan cabaran skuad itu bagi kempen Piala Malaysia, namun mereka belum mengumumkan pemain berkenaan.


    "Saya tahu memang ada pasukan mahu memohon menggunakan pemain pinjaman tapi perkara ini tidak boleh dilakukan kerana ia sudah diputuskan sebelum ini." Sepuluh pasukan teratas Liga Super, LionsXII, Selangor, Johor Darul Takzim (DT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan, Pahang, PKNS FC, Perak, Terengganu dan T-Team layak automatik manakala empat pasukan Liga Perdana yang turut menempah tempat ialah Sarawak, Sime Darby, Johor dan Kedah.

    Foto

    Hamidin Mohd Amin

    Empat pasukan lagi akan beraksi dalam perlawanan play-off esok iaitu Felda United menentang Pos Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala Negeri Sembilan berdepan Sabah di Stadium Shah Alam bagi merebut dua lagi tiket bersaing dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

    'Zaha hak United'

    Posted: 08 Jul 2013 09:10 AM PDT

    London: Pengurus Crystal Palace, Ian Holloway tidak akan cuba mendapatkan semula Wilfried Zaha kerana mahu memberi peluang kepada bintang muda itu menikmati aksi di Manchester United.

    Pemain antarabangsa England berusia 20 tahun itu dibeli United Januari lalu sebelum dipinjamkan semula kepada Palace yang memenangi aksi play-off Liga Kejuaraan.


    Palace dilapor mungkin meminta United melanjutkan tempoh pinjaman Zaha ketika mereka berusaha untuk kekal dalam Liga Perdana namun Holloway tidak merancang sebegitu.

    "Saya tidak pernah terfikir walaupun seminit untuk meminta David Moyes meminjamkan Zaha kepada kami," kata Holloway.


    "Saya tidak fikir ia adil buat Zaha. Dia perlu bersama United.


    "Saya amat mengenali Moyes, jika ada kelab selain United yang ingin diwakili Zaha, pastinya Crystal Palace. Justeru, kami rasa biarlah dia kekal di situ.

    "Secara jujur saya merasakan pemain itu seronok apabila mendapat peluang bermain di United dan saya yakin dia akan tampil dalam skuad utama.


    "Saya mengharapkan yang terbaik dalam kariernya dan tahniah kepada United kerana membelinya.

    "Sir Alex Ferguson jarang melakukan kesilapan dan David Moyes pasti gembira apabila mendapati beliau mempunyai pemain berbakat, kerana dia mampu memenangi perlawanan pada tahap tinggi." - Agensi

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Wanita dalam badan kanak-kanak

    Posted: 08 Jul 2013 09:15 AM PDT

    New Delhi: Laxmi Yedev secara tragis bagaikan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup - wanita yang selamanya terperangkap dalam tubuh kanak-kanak.

    Dia masih mampu mengukir senyuman ketika diwawancara walaupun jelas Laxmi kelihatan berusaha untuk mengekalkan semangatnya.

    Dengan ketinggian 0.99 meter (3 kaki 3 inci) dan mempunyai berat 19.05 kilogram, penyakit hormon yang karang berlaku meragut kehidupan biasa daripada Laxmi. Dia tidak lagi membesar sejak berusia lima tahun dan sehingga ini masih memakai baju kanak-kanak berusia enam tahun.

    Dia melihat kawan-kawannya membesar menjadi wanita, sepanjang masa mengetahui dia tidak akan mencapai akil baligh.

    Foto

    LAXMI


    Mereka akan menjadi isteri dan ibu, manakala Laxmi terpaksa menjalani kehidupan dalam ketakutan dan cemuhan.


    Laxmi berkata: "Saya dibuli sepanjang usia dewasa kerana saiz yang kecil. Saya jarang keluar rumah kerana takut disakiti."

    Bapanya, pengawal keselamatan, Bahadur, 58 meraih 8,000 rupee (RM423) sebulan, tidak mampu untuk mendapatkan hormon pembesaran yang mungkin dapat membantu keadaan Laxmi jika diambil sebelum dia mencecah usia 16 atau 17 tahun.

    Nasib baik Laxmi yang berasal dari Gurgoan dekat ibu negara India, New Delhi dapat pergi ke sekolah yang sama seperti Azad dan adiknya, Suman, 15, yang mempunyai ketinggian normal.

    "Saya benci bertemu dengan rakan baru kerana ia menyakitkan apabila setiap kali direnung dan dibuli. Saya kini belajar untuk tidak mempedulikan mereka dan kadangkala saya agak biadap dan memberitahu mereka apa yang saya fikirkan," katanya. - Sunday People

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

    Kisah Uda dan Dara versi Yaman

    Posted: 08 Jul 2013 09:09 AM PDT

    Sana'a: Seorang lelaki Yaman yang ditolak bapa saudaranya apabila dia melamar anak perempuan lelaki tua berkenaan menembak wanita terbabit di kepala sebelum membunuh diri.

    Lelaki berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Bassam itu pergi ke kediaman bapa saudaranya di Sana'a dan memberitahu, dia ingin berkahwin dengan sepupunya.


    Bassam terkejut apabila bapa saudaranya menolak permintaannya kerana dia dan sepupunya itu saling mencintai.

    Selepas lamarannya ditolak, Bassam mengeluarkan pistol dan menembak sepupunya di kepala. Dia melihat ke arah keluarga sepupunya yang terkejut dan memberitahu mereka jika dia tidak dapat memiliki wanita itu, mereka juga tidak akan memilikinya. Bassam kemudian berkata: "Biarkan dia (sepupunya) ke syurga," lapor akhbar harian Kuwait Al Rai. "Bassam kemudian mengacukan pistol ke kepalanya sambil melihat semula ke arah bapa saudaranya dan berkata: "Dan saya akan ke neraka" sebelum menembak dirinya sendiri. - Agensi

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    1 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Pelajar disamun

    Posted: 08 Jul 2013 12:49 PM PDT

    Kaherah: Seorang pelajar Malaysia cedera ditumbuk dihidung selain belakang tubuhnya dikelar dengan pisau oleh sekumpulan lima perompak di tengah bandar raya bersejarah ini, malam kelmarin.

    Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa seorang pelajar jurusan Syariah, Mohamad Mohd Azlan, 21, cuba disamun penjenayah warga tempatan Mesir ketika pulang ke asrama penginapan pelajar Malaysia dengan berjalan kaki.

    Kejadian itu menyebabkan hidung mangsa bengkak dan mengalami pendarahan serius akibat ditumbuk penjenayah yang sebelum itu menyerang mangsa di tepi jalan 200 meter dari kediaman pelajar di Haiyul Asyar, di sini.

    Seorang rakan mangsa, Abdullah Afif Said, 21, berkata kejadian berlaku ketika mereka sedang berjalan kaki pulang sebelum menyedari beberapa lelaki tempatan cuba menghampiri mereka.

    Foto

    MOHAMAD menunjukkan kecederaan di muka dan badannya.


    "Saya yang tidak sedap hati kemudian mempercepatkan langkah sebelum dua daripada penjenayah itu menangkap seorang rakan saya, Abdul Rahman Ahmad, 21. Tiga lagi penjenayah yang muncul entah dari mana kemudian menangkap Mohamad.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

    3 das cabut nyawa

    Posted: 08 Jul 2013 12:49 PM PDT

    Bachok: "Saya melihat mangsa terkulai dan terketar-ketar menahan kesakitan. Saya cuba membantunya mengucap dua kalimah syahadah tetapi tidak sempat sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir," kata Mohamad Deris, 64, yang sempat melihat Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Beris Panchor di sini, Hashim Mat Zain, 43, nazak sebelum meninggal dunia akibat ditembak sebaik keluar dari sekolah tempat dia mengajar.

    Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, Hashim yang mengajar mata pelajaran muzik ditembak ketika memandu keretanya jenis Mercedes Benz keluar dari pintu pagar sekolah dipercayai untuk pulang ke rumah selepas selesai sesi persekolahan.

    Mangsa dipercayai ditembak empat das oleh penyerangnya dengan tiga tembakan berkenaan terkena badan. Selepas ditembak, mangsa dikatakan sempat memandu keretanya sejauh kira-kira 300 meter sebelum kenderaan itu terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebuah rumah di kawasan berhampiran sekolah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk pengebumian.

    Foto

    ANGGOTA polis memeriksa kereta dipandu mangsa.

    Foto

    NUR Haziani bersama anak-anak.


    Mohamad berkata, sebelum kejadian, dia sedang tidur tetapi terjaga sebaik dikejutkan bunyi letupan.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved