Selasa, 18 Disember 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ikut ‘doktor muda’

Posted: 18 Dec 2012 06:21 AM PST

PENDEKATAN serampang dua mata yang dipraktikkan oleh 'doktor muda' Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan Ulu Kinta untuk menarik dan menggalakkan rakan pelajar mengamalkan tabiat menjaga kebersihan membuahkan hasil apabila sekolah itu diisytiharkan sebagai pemenang Program Doktor Muda bersama Lifebuoy 2012.

SK Perpaduan menduduki tempat teratas di kalangan 32 sekolah rendah yang bersaing dalam cabaran antara sekolah seluruh negara yang diterajui oleh Lifebuoy, salah satu jenama sabun perlindungan daripada kuman yang terkenal di dunia.

Pertandingan yang berlangsung selama 21 hari di bawah naungan Program Doktor Muda Kementerian Kesihatan dan disokong oleh Kementerian Pelajaran, bertujuan menggalakkan kanak-kanak sekolah mengamalkan tabiat menjaga kebersihan, khususnya membasuh tangan mereka dengan sabun.

Seorang guru dan lima pelajar yang memainkan peranan sebagai penggerak perubahan positif dicalonkan oleh setiap sekolah yang mengambil bahagian.


'Doktor muda' ini digalakkan untuk merancang dan menjalankan aktiviti inovatif dan interaktif yang dapat menarik rakan pelajar yang lain untuk mengamalkan tabiat menjaga kebersihan setiap hari sepanjang 21 hari berkenaan.


Berdasarkan senarai kriteria yang ditetapkan, pencapaian sekolah ini dinilai berdasarkan sejauh mana pelajar dapat mengamalkan tabiat menjaga kebersihan atas inisiatif 'doktor muda' mereka.

Pengarah Pemasaran Unilever Malaysia dan Singapura, Hugo Verkuil, berkata semangat dan kreativiti yang ditunjukkan oleh 'doktor muda' SK Perpaduan benar-benar menakjubkan.

"Dalam masa 21 hari, mereka berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk mengadakan ceramah kebersihan, demonstrasi membasuh tangan dan mendapatkan ikrar daripada rakan mereka untuk mengamalkan tabiat yang baik dengan menjaga kebersihan.

'Doktor muda' mereka juga mengambil inisiatif untuk menasihatkan pelajar dari sekolah lain dan anggota masyarakat," katanya.

Menurut Verkuil, menerusi pelbagai usaha yang berterusan ini, tidak hairanlah jika sekolah terbabit mencatat peningkatan paling tinggi daripada segi kesedaran kebersihan dan amalan penjagaan kebersihan di kalangan mereka.

Majlis penyampaian hadiah diadakan di sekolah pemenang iaitu SK Perpaduan.
Penolong Pengarah KoKurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Nor Haslan Nor Zaman, hadir untuk menyampaikan hadiah.

Sebagai pemenang tempat pertama, SK Perpaduan menerima wang tunai bernilai RM5,000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga jatuh kepada SK Raja Chulan Perak dan SK Marian Convent Perak. Masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan RM2,000.

Dalam pada itu, tiga sekolah iaitu SK Puchong Indah, Selangor; SK Daya 3, Johor dan SJKC Foon Yew 4, Johor, menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM1,000 setiap satu. Semua pemenang turut menerima bekalan sabun cecair Lifebuoy percuma selama setahun berserta 10 unit dispenser dengan jumlah keseluruhan bernilai RM5,000.

Program 'Doktor Muda Lifebuoy' tahun ini berjaya menyentuh kehidupan hampir 40,000 pelajar. Memandangkan usaha membentuk tabiat yang baik mengambil masa 21 hari, kami yakin ia akan menjadi amalan yang akan kekal sepanjang hayat," kata Verkuil.

Dengan sejarah yang bermula pada 1894, sabun Lifebuoy terus dipasarkan secara meluas pada harga berpatutan. Setakat ini, ia membantu lebih 1.6 bilion orang di seluruh dunia untuk hidup bebas daripada masalah kesihatan. Menerusi warisan ini, ia berhasrat untuk memperjuangkan amalan menjaga kebersihan bagi menjadikan Malaysia lebih sihat dengan meneruskan kempen "Malaysia, Jom Lebih Sihat!"

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Atasi anak meragam

Posted: 18 Dec 2012 05:47 AM PST

MENANGIS atau meragam sudah menjadi sifat semula jadi bayi yang normal. Kita tidak boleh mengharapkan anak yang sentiasa ceria dan tidak membuatkan ibu bapa pening menangani pelbagai kerenah mereka.

Menangis juga satu cara bayi berkomunikasi dengan penjaga kerana mereka masih tidak pandai meluahkan perasaan dengan kata-kata.

Menjaga bayi menuntut kesabaran yang tinggi kerana jika tidak, ibu bapa boleh hilang sabar dan ada yang bagaikan hilang kewarasan diri sehingga sanggup mendera anak sendiri.

Dengan pelbagai tekanan dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi setiap hari, kerenah anak yang menangis atau meragam apatah lagi pada malam hari memang boleh menyebabkan ibu bapa hilang sabar.


Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita tidak sepatutnya melepaskan kemarahan atau segala beban seharian terhadap anak kecil yang tidak berdosa dan mengerti apa-apa. Sebaliknya kita harus belajar untuk menjadi ibu bapa terbaik sekali gus memahami keadaan si kecil yang sering meragam itu.


Buat ibu bapa dan penjaga, teknik menangani bayi yang meragam dan sering menangis ini boleh dijadikan panduan:

1. Bersikap tenang

Perkara terbaik yang boleh dilakukan ibu bapa apabila anak meragam atau menangis dengan nyaring ialah bersikap tenang dan bukannya memarahi anak dengan suara yang tinggi.

Apabila tekanan dalam diri ibu bapa meningkat, anak juga akan menjadi bertambah tertekan, menyebabkan usaha menenangkan bayi tidak akan tercapai.

2. Periksa lampin bayi

Bayi menangis kerana pelbagai sebab, antaranya mereka tidak selesa apabila lampin sudah terlalu penuh atau mereka baru saja membuang air besar.

Jadi, apabila anak menangis, cuba periksa lampin untuk pastikan masalah anak mena–ngis bukan berpunca daripada lampin. Sekiranya basah lencun atau kotor, salin lampin supaya bayi lebih selesa.

3. Periksa suhu badan bayi

Kadangkala bayi menangis apabila dia berasa terlalu sejuk atau terlalu panas.
Mungkin ibu bapa boleh memegang tangan atau kaki anak untuk memastikannya.

Sekiranya sejuk, pakaikan baju yang menutup tubuh dan lebih tebal. Namun sekiranya panas, cuba gunakan termometer bagi memeriksa suhu bayi.

4. Kembung perut

Bayi selalu mengalami masalah kembung perut. Oleh itu, ibu bapa perlu memeriksa dengan menepuk lembut dengan jari bagi memastikan anak mereka mengalami masalah kembung perut. Sekiranya benar, sapukan minyak angin pada perut bayi untuk melegakan perutnya.

5. Beri susu atau makanan bayi

Sekiranya semua perkara di atas tiada pada bayi, kemungkinan besar dia lapar.
Tawarkan minuman atau makanan pada bayi. Ibu bapa perlu mempunyai jadual dan mengingati masa makan atau minum anak mereka.

Jangan ambil mudah kerana selain senang meragam akibat lapar, tumbesaran bayi juga boleh terjejas jika tidak mendapat zat mencukupi.

6. Bayi mengantuk

Bayi juga akan meragam dan menangis jika mengantuk. Selalunya mereka hanya
mahu didodoi oleh ibu atau bapa dan sebaik dipeluk, mereka menjadi tenang dan tidur dengan mudah.

Pelukan daripada ibu bapa bukan saja dapat menenangkan bayi, malah ia mampu menyalurkan kasih sayang yang sangat diperlukan oleh bayi untuk membesar dengan sempurna.

7. Mahu bermanja

Adakalanya bayi hanya mahu didukung, dipeluk, dilayan atau diberi perhatian penuh oleh ibunya. Bayi sememangnya manja dan mahu dibelai ibu.

Banyak kajian menunjukkan belaian daripada ibu bapa dapat meningkatkan sistem pertahanan bayi, membantu menstabilkan emosi, membantu selera bayi dan menjadikan anak mereka lebih ceria.

8. Alih perhatian bayi

Apabila anak menangis atau meragam tanpa dikenal pasti puncanya, antara kaedah yang boleh digunakan ialah mengalihkan perhatiannya.

Ada kemungkinan bayi itu bosan justeru, ibu bapa boleh menghiburkan bayi mereka. Lakukan perkara yang boleh membuat bayi ketawa seperti membuat aksi melucukan atau membawanya keluar bersiar-siar melihat sekeliling selain berbual-bual dengan bayi supaya mereka rasa disayangi.

9. Ubah cara dukung

Sesetengah bayi mempunyai posisi dukung yang digemarinya. Jika anak sukakan posisi tegak di bahu, jangan baringkan dia ketika mendukungnya kerana bayi pasti akan menangis.

Apabila menegak, bayi boleh melihat keadaan sekelilingnya dengan lebih baik seolah-olah berjalan dan ia penting bagi proses pembelajarannya.

10. Hiburkan bayi

Biarpun nyanyian anda sebenarnya sumbang namun bagi bayi anda, andalah penyanyi terhebat. Oleh itu, gunakan kesempatan ini untuk menyanyikan pelbagai lagu lembut kepadanya terutama lagu yang mempunyai unsur pendidikan kerana anak akan mengikut nyanyian sambil belajar dan pada masa sama, dia akan tenang dan berhenti menangis.

11. Menari bersama bayi

Ini antara teknik yang boleh dilakukan sekiranya ia dapat membuatkan anak anda
tersenyum serta membuatkannya berhenti menangis. Ajak anak menari dengan gaya yang disukai kanak-kanak seperti tepuk tangan, supaya mereka terhibur tetapi pada masa sama, berasa rapat dengan anda.

12. Tukar pakaian bayi

Ada fabrik yang kasar pada kulit bayi hingga menimbulkan rasa tidak selesa dan
akhirnya bayi menangis. Oleh itu, tukar pakaiannya kepada yang lebih selesa dan pastikan pakaian bayi diperbuat daripada fabrik lembut dan tidak panas seperti kain kapas.

13. Mandikan bayi

Bayi yang meragam sepanjang hari mungkin berasa tidak selesa atau ruam akibat lampin. Mandikan bayi dengan sabun yang mengeluarkan bau menenangkan dan sapukan tubuhnya dengan losen atau minyak mineral yang menghindarkan masalah ruam.

14. Urut bayi

Mengurut antara cara untuk menenangkan bayi. Sentuhan kulit ke kulit bukan saja menenangkan bayi tetapi hubungan ibu bapa dengan anak juga menjadi semakin rapat.

15. Kurangkan rangsangan sekeliling

Terlalu banyak rangsangan di sekeliling boleh membuatkan bayi terganggu, seterusnya menangis dan meragam. Bagi menenangkan bayi, cuba malapkan cahaya lampu, asingkan permainan yang banyak dan mengurangkan bunyi bising.

16. Bedung bayi

Bagi bayi kecil, mereka berasa tenang dan selamat apabila dibedung dengan kain dan dipeluk ibu bapa. Ini kerana bagi si kecil ini, keadaan yang terbuka menakutkan mereka. Oleh itu, sebaik-baiknya bedung bayi kecil, bukan saja mereka akan berasa hangat, ia juga membantu bayi tidur dengan lebih nyenyak.

17. Gunakan bunyi menenangkan

Ada sesetengah bunyi mampu menenangkan bayi apabila ia berbunyi terus-terusan contohnya bunyi kipas berputar atau bunyi kerincing angin yang digantung di tempat berangin.

18. Beredar dan menenangkan diri

Sekiranya semua cara yang dilakukan tidak mampu menenangkan bayi dan anda mula hilang sabar, tinggalkan sekejap bayi anda di tempat yang selamat dan tenangkan diri terlebih dulu.

Berfikir positif dan memahami bayi anda tidak melakukannya dengan sengaja kerana dia tidak memahami apa-apa dan masih kecil.

19. Bawa bayi bertemu doktor

Anda juga boleh membawa bayi bertemu doktor kanak-kanak bagi membuat pemeriksaan untuk memastikan tangisan bayi bukan berpunca daripada masalah kesihatan yang serius.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Maut dipercayai didera

Posted: 17 Dec 2012 11:14 AM PST

ALOR SETAR: "Ketika berbual melalui telefon bimbit ibunya malam tadi (kelmarin), dia memberitahu mahu pulang ke rumah kerana rindu neneknya. Tak sangka pula ia perbualan terakhir kami," kata Norhanisha Othman, 23, ibu saudara Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, 2, yang mati dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya.

Mangsa dipercayai meninggal dunia jam 3 petang ketika berada dalam jagaan ibunya di rumah mereka di Kampung Berjaya, Mergong, dekat sini, semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya mendapati ada beberapa kesan kecederaan termasuk lebam di muka, bahu dan tangan mangsa.

"Polis akan menyiasat dari segala sudut termasuk kemungkinan mangsa menjadi mangsa dera hingga menyebabkan kematiannya, namun masih menunggu keputusan bedah siasat sebelum mengklasifikasikan kes," katanya ketika dihubungi. Norhanisha berkata, kakaknya, Nurhafiza, 25, yang juga ibu mangsa menghubungi keluarganya bagi memaklumkan anaknya terjatuh dari tangga sebelum dibawa ke sebuah klinik.


"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya.


Menurutnya, sebelum ini arwah pernah mengadu dipukul ibunya dan suspek yang berusia 20-an, malah terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badannya setiap kali pulang ke rumah ibunya di Flat Simpang Kuala, di sini.

Norhanisha berkata, arwah dijaga oleh ibunya, Padzilah Ismail, 46, sejak dilahirkan sehingga kini disebabkan kakaknya yang bekerja sebagai pembantu restoran sudah berpisah dengan suaminya, Iskandar Abu Bakar, 29, ketika mangsa berusia lima bulan.


"Muhammad Faiz memang tinggal dengan ibu saya, tetapi sejak beberapa bulan lalu kakak kerap membawanya pulang ke rumahnya selepas mengenali lelaki terbabit yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Malah, saya pernah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Ogos lalu selepas menemui beberapa kesan gigitan dan lebam di badan Muhammad Faiz yang dipercayai dilakukan lelaki terbabit," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini.


Padzilah pula berkata, dia terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan cucu sulungnya yang sepatutnya pulang ke rumahnya semalam, walaupun baru dua hari kanak-kanak itu tinggal bersama ibu kandungnya dan lelaki terbabit.


Menurutnya, dia sememangnya tidak merestui hubungan anaknya dengan lelaki terbabit kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.


"Saya menghalang mereka berkawan rapat. Apa yang saya bimbangkan selama ini akhirnya berlaku apabila cucu saya menjadi mangsa dan meninggal dunia dipercayai akibat didera.


"Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku, tetapi pasti akan merindui arwah kerana dia seorang yang petah bercakap, aktif dan comel," katanya. Dalam pada itu, Iskandar berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak tunggalnya itu selepas Aidilfitri lalu berikutan Muhammad Faiz dijaga keluarga bekas mentuanya.


"Saya terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia dan tidak menyangka perkara seumpama ini berlaku, malah langsung tidak tahu mengenai hubungan bekas isteri dengan lelaki itu. Namun, saya reda dengan apa yang berlaku," katanya dalam nada sebak.


Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al Ghufran, Jalan Pegawai, di sini, pagi ini.


Dalam pada itu, pekarangan luar wad kecemasan HSB kecoh apabila datuk dan ibu saudara mangsa berang terhadap suspek.


Suspek yang dilihat menaiki kerusi roda mendakwa kakinya turut patah akibat terjatuh dari tangga bersama mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran mulut dengan datuk dan ibu saudara mangsa, sebelum dileraikan polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Pasar Pudu perlu bersih tarik pelanggan

Posted: 17 Dec 2012 09:08 AM PST

KUALA LUMPUR: Peniaga kecil di Pasar Pudu mampu memberi saingan perniagaan kepada pasar raya besar sekiranya mereka sentiasa mengutamakan kebersihan pasar terbabit.

Pengarah Jabatan Pemudahcara Perniagaan dan Pengurusan Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rolan Abd Rahman berkata, pasar itu mempunyai kelebihan kerana peniaga dapat menjual barang pada harga murah.


Menurut beliau, bagaimanapun, terdapat beberapa persatuan penjaja merungut kewujudan pasar raya besar berhampiran pasar itu menjejaskan jualan dan pendapatan mereka.

"Kalau soal harga, barangan di Pasar Pudu dijual lebih murah daripada pasar raya, tetapi pelanggan lebih suka membeli di pasar raya kerana persekitarannya yang bersih.


"Sebab itu, peniaga perlu meningkatkan kebersihan di kawasan ini," katanya selepas merasmikan Program Gotong-Royong Mega Pasar Pudu di sini, semalam.


Mengulas lanjut Rolan berkata, ke arah usaha itu, peniaga diminta menggunakan mesin pengisar sisa buangan moden (Spiral Waste Bin) yang disediakan DBKL.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Jackie bimbang susahkan orang lain

Posted: 17 Dec 2012 02:03 AM PST

BAKAL meninggalkan watak aksi lagak ngeri, pastinya peminat setia pelakon terkenal Jackie Chan terkilan dan akan merindui perwatakannya yang berani melakukan pelbagai aksi lasak sejak mula membabitkan diri dalam bidang lakonan pada tahun 1959.

Terkenal dengan keupayaannya melakonkan aksi 'bahaya', aktor kelahiran Victoria Peak, Hong Kong ini mengakui lebih selesa dan puas melakonkan aksi lagak ngeri bagi sesebuah drama atau filem itu sendiri.

Namun, sebagai hadiah terakhir daripadanya khusus buat peminat, filem Chinese Zodiac 2012 (CZ12) yang menemui penonton di pawagam seluruh Asia pada 20 Disember ini bakal mengubati rindu peminat yang ingin menyaksikan persembahannya bersama dua pelakon baru jelita, Zhang Lanxin dan Yao Xintong.

Memulakan karier sejak berusia 5 tahun, Jackie yang dilahirkan pada tahun 1954 turut dikagumi bukan saja di kalangan dewasa malah peminat remaja dan kanak-kanak juga.


Bagaikan satu kejutan kepada peminat mengenai keputusannya untuk berhenti melakonkan aksi lagak ngeri sendiri, Chan tampil membuat penjelasan pada pertemuan bersama media untuk melancarkan filem CZ12 di Kuala Lumpur, Ahad lalu.


Menurutnya, faktor umur memaksanya mengambil keputusan untuk berhenti daripada melakukan aksi lagak ngeri.

"Usia yang semakin meningkat membuatkan saya mengambil keputusan untuk berhenti. Jika dulu saya muda dan bertenaga, apa saja aksi yang diberikan saya mampu melaksanakannya.

"Sekarang bukan tidak boleh, saya bimbang perkara tidak diingini berlaku dengan keadaan stamina yang tidak mengizinkan, saya terlalu lasak bimbang akan menyusahkan pihak lain justeru saya tidak mahu perkara ini terjadi," katanya.

Jackie berkata, jika dia nekad melakonkan watak ngeri, bimbang risiko dia harus menghabiskan masa tua di kerusi roda dan itu tidak mungkin dilaluinya.

"Saya tidak akan berhenti daripada berlakon walaupun harus berhenti berlakon watak lagak ngeri, namun sama seperti pelakon lain jika sampai waktunya saya akan berhenti juga dan menghabiskan masa di rumah saja," katanya.

Mula terbabit dalam lakonan berjudul Little Fortunes dan Big And Little Wong Tin Bar, siapa sangka dia berjaya meletakkan hampir ke semua filem lakonannya setanding dengan industri perfileman antarabangsa.

Kemudian bapa kepada dua cahaya mata ini semakin mendapat perhatian pengarah di negaranya dan tampil menerusi pelbagai filem seperti The Love Eterne, King Hu's dan Come Drink With Me selain filem Kung Fu, A Touch of Zen.

Menginjak ke usia 17 tahun, bintang filem The Tuxedo ini melangkah jauh dengan bergelar pelakon lagak ngeri berdampingan dengan mendiang Bruce Lee, menerusi filem Fist of Fury dan Enter The Dragon. Di situlah bermula kariernya sebagai pelakon lagak ngeri sehingga ke hari ini.

Selepas itu, barulah bakatnya berjaya dikesan sehingga ditawarkan untuk membintangi filem pertamanya yang berjudul, Little Tiger of Canton.

Filem itu mengetengahkan seni mempertahankan diri yang mana memerlukan Jackie memainkan peranan sebagai Ah Lung yang dalam misi membalas dendam terhadap pembunuh ayahnya. Dia akhirnya berjaya membuka mata banyak pihak dalam industri seni Hong Kong menerusi lakonan mantap dan bertenaga sebagai Ah Lung.

Dalam pada itu, antara filem yang berjaya menaikkan namanya adalah Police Story, Drunken Master, Heart of The Dragon dan Rumble In The Bronx.

Selepas 50 tahun berlalu, seiring dengan usianya, Chan yang kini berusia 58 tahun sudah membintangi lebih 150 filem.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



7 tahun tulis skrip

Posted: 17 Dec 2012 01:53 AM PST

MENERUSI filem terbaru, Chinese Zodiac 2012 (CZ12), Jackie berkata, filem ini adalah filem aksi terakhir lakonannya. Jelas penerima anugerah bagi kategori Taurus Honorary Award di World Stunt Awards (2002) ini, filem terbabit amat penting baginya.

"Hampir keseluruhan filem ini menggunakan khidmat saya, bayangkan selama ini saya berhempas pulas mencari ruang dan masa untuk menulis skrip berkenaan.

"Akhirnya, selepas tujuh tahun menulis skrip dan setahun setengah melakukan penggambaran ia berjaya disiapkan dan kini tunggu masa untuk ditayangkan pula," katanya yang juga penulis skrip, pengarah dan penerbit bagi filem itu.

Berkongsi mengenai wataknya dalam CZ12, Chan memainkan peranan sebagai pemburu harta karun yang dalam misi untuk menghantar balik kepala patung 12 haiwan zodiak Cina, yang diambil dari Old Summer Palace di Beijing oleh tentera Perancis dan British semasa Perang Candu Kedua (1856-60).


Selain Chan, filem yang menelan belanja sebanyak RM186 juta itu turut dibintangi Kwone Sang Woo, Laura Weissbecker, Liao Fan dan Steve Yoo Seung Jun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tragedi main air

Posted: 17 Dec 2012 11:51 AM PST

KUALA KEDAH: "Selepas terjun, saya sempat capai seorang saja anak saudara, tapi sedih tak dapat selamatkan dua lagi kerana arus deras," kata Md Affendi Ismail, 27, bapa saudara kepada dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot gentian kaca dinaiki mereka di muara Sungai Kuala Kedah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua kanak-kanak iaitu Mohd Hafiz Anuar, 4, dan abangnya, Mohd Nashrik, 9, hilang selepas tercampak dari bot dinaiki mereka manakala pasangan kembar, Mohd Nashrik iaitu Mohd Ashraf, 9, sempat diselamatkan Md Affendi.


Md Affendi berkata, selepas menyelamatkan Mohd Ashraf, dia berenang sejauh 50 meter dari tempat kejadian sebelum diselamatkan rakan yang menaiki bot lain.

"Sebelum kejadian, mereka mendesak saya untuk bawa mereka bersiar-siar menaiki bot dan menunggu kepulangan saya dari laut sejak jam 8 pagi," katanya.


Menurutnya, dia membawa tiga anak saudaranya bersiar-siar di sekitar muara berkenaan sebelum berpatah balik selepas perjalanan sejauh 500 meter berhampiran Jambatan Tok Pasai, di sini.


Md Affendi yang juga nelayan berkata, dia tidak menyangka berlaku tragedi kerana ini kali pertama dia membawa tiga bersaudara berkenaan kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendesak sehingga sanggup menunggu di rumahnya di Taman Nelayan, di sini.

"Selain membawa mereka bersiar di muara, pasangan kembar itu mendesak saya membawa mereka lebih jauh kerana memaklumkan tidak puas menaiki bot bersama.


"Sejurus sebelum kejadian, saya melihat dua anak saudara bermain air dengan meletakkan tangan dalam laut di bahagian hadapan bot, namun tidak menyangka tindakan itu mengakibatkan bot hilang keseimbangan ketika saya cuba membelok. "Akibatnya, mereka tercampak dalam laut menyebabkan saya terjun untuk menyelamatkan mereka," katanya.

Md Affendi berkata, sebelum ini, mereka mendesaknya supaya membawa bersiar-siar menaiki bot di kawasan muara sungai, namun dia tidak mengendahkan kata-kata anak saudaranya itu dan mereka pulang ke rumah masing-masing tanpa menunggunya.


Katanya, dia tidak menyangka tindakannya menunaikan desakan pasangan kembar terbabit bertukar insiden memilukan memandangkan sebelum ini dia sering membawa Mohd Hafiz ke laut.


"Namun, hari ini (semalam) mereka benar-benar mendesak saya supaya membawa turun ke laut. Selalunya, mereka akan pulang jika saya tidak mengendahkan desakan mereka, tetapi kejadian hari ini (semalam) sebaliknya.


"Mereka sanggup mengejutkan saya daripada tidur, petang tadi (semalam) bagi menunaikan permintaan itu, namun perkara tidak diingini pula berlaku," katanya.


Bapa dua beradik terbabit, Anuar Ismail, 31, terpaksa ditenangkan ahli keluarga selepas sukar menerima hakikat dan menyalahkan Md Affendi di atas apa yang berlaku.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Izham Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung pada jam 5.07 petang sebelum melaksanakan gerakan mencari dan menyelamat serta-merta.


"Setakat ini, kami melakukan operasi mencari di permukaan air saja sementara menunggu Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani. Operasi mencari dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di samping beberapa bot nelayan," katanya.


Menurutnya, setakat jam 8 malam tadi, kedua-dua mangsa masih gagal dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Leher berdarah

Posted: 17 Dec 2012 11:50 AM PST

PETALING JAYA: "Saya lihat sekumpulan tujuh hingga lapan anjing berkerumun di sebuah kereta dengan pintu depan terbuka sebelum mendapati seorang wanita berlumuran darah pada leher dan dadanya di tempat duduk pemandu."

Demikian kata peniaga, Kamaruzaman Sanusi, 30, yang menemui mayat seorang wanita mati dibunuh dengan kesan kelar di leher di Jalan PJS5/16, berhampiran Flat Desa Mentari, di sini, tengah malam kelmarin.


Kamaruzaman berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam, dia dan keluarga baru tiba dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang sedang mencari tempat parkir kenderaan untuk ke rumah adik ipar, Rozaidi Mat Amin, 28, di flat berkenaan.

"Ketika mencari tempat parkir, saya terserempak sekumpulan anjing berhampiran sebuah kereta. Saya berhenti seketika dan menunggu kumpulan anjing itu beredar kerana haiwan itu menghalang laluan saya.


"Selepas anjing itu pergi, saya teruskan pemanduan dan ketika melepasi kereta berkenaan saya ternampak seorang wanita di tempat duduk pemandu seperti sedang tidur.


"Namun, saya hairan kerana pintu keretanya dibiarkan terbuka dan mengesyaki dia pengsan sebelum saya turun untuk memeriksa," katanya.

Menurutnya, sebaik menghampiri wanita berkenaan, dia terkejut melihat darah pada leher dan dada sehingga ke bawah kenderaan sebelum segera menghubungi adik iparnya itu untuk meminta bantuan menghubungi polis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, selepas menerima panggilan jam 1.15 pagi, sepasukan polis dengan bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K-9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bergegas ke lokasi kejadian bagi menyiasat.

"Siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai S Suntarambhal berusia 33 tahun dan sudah berumahtangga. Mangsa dipercayai sudah mati satu hingga dua jam sebelum mayatnya ditemui.


"Mangsa yang menetap di Cheras juga dilaporkan hilang oleh suaminya sebelum kejadian apabila dipercayai tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam," katanya.


Arjunaidi berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan setakat ini, polis menolak ia kejadian samun berikutan barangan berharga milik mangsa tidak diambil, manakala kereta yang didaftar atas nama suaminya juga berkeadaan baik.


"Malah, mangsa juga dipercayai tidak dirogol berikutan berpakaian lengkap iaitu blaus dan skirt berwarna gelap.


"Polis juga tidak menemui senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu," katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran.


"Suami mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan polis juga sudah mengambil keterangannya bagi membantu siasatan," katanya.


Difahamkan, mangsa baru saja berhenti menjual daripada bunga malai bulan lalu dan kini membantu suaminya yang berusia 36 tahun mengusahakan pusat jagaan orang tua di Cheras.


Suami mangsa melaporkan kehilangan isterinya kepada polis apabila wanita itu yang keluar dengan memandu sendirian kira-kira jam 10 malam tidak pulang ke rumah selepas beberapa jam, manakala telefon bimbitnya tidak dijawab.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Si Belang gagal terbang

Posted: 17 Dec 2012 11:35 AM PST

LEICESTER: Satu rancangan seorang pembunuh dan seorang ketua dadah melarikan diri dari penjara dengan helikopter berjaya digagalkan pengawal.

Ketua kumpulan dadah, Mark Osborne dan pembunuh, Wayne Collins merancang untuk melarikan diri dari Penjara Gartree di Leicester, tempat yang pernah menyaksikan satu-satunya tindakan melarikan diri dari penjara di Britain pada 1987.


Bagaimanapun, pengawal di penjara Kategori B itu mendapat maklumat mengenai rancangan itu dan bertindak ke atas kedua-dua banduan dengan memakaikan mereka pakaian berbelang yang biasa diberikan kepada tahanan yang berpotensi melarikan diri.

Menurut akhbar Daily Star, mereka dipindahkan ke penjara kawalan ketat, Osborne ke Whitemoor di Cambridgeshire dan Collins ke Full Sutton di Yorkshire Timur.


Satu sumber penjara memberitahu akhbar itu: "Osborne dan Collins merancang melarikan diri dan mengutip dana sejak beberapa bulan lalu." Pasangan itu dipercayai membayar operasi itu menerusi hasil perniagaan dadah dari dalam dan luar penjara.


Osborne, 29, dan abangnya, Tony pernah terbabit membekalkan kokain bernilai ratusan ribu paun di kawasan Romford di Essex.

Mereka mengupah Collins untuk membunuh Mark Tredinnick di depan anaknya berusia empat tahun pada Jun 2007.


Osborne menggunakan telefon diseludup masuk ke bilik kurungannya untuk mengarah pembunuhan Tredinnick, 39.

Mangsa ditembak sembilan kali selepas diserang hendap di Romford di depan teman wanitanya, Kerri Ann Shanahan dan anak mereka.


Tredinnick berhutang kepada Osborne yang dipenjarakan kerana kesalahan mencederakannya ketika pembunuhan itu. Dia percaya Tredinnick mencuri dadahnya.


Adik beradik Osborne itu dan Collins dihukum penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh Tredinnick pada 2009.


Rayuan mereka ditolak dan ia mendorong mereka melarikan diri dari penjara.


Sumber itu berkata lagi: "Mereka dipercayai masih terbabit dalam perniagaan dadah dan dikatakan berusaha mendapatkan orang luar menerbangkan sebuah helikopter dan mendaratkannya di perkarangan penjara," kata sumber. - DS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Mayat hakim Ukraine ditemui tanpa kepala

Posted: 17 Dec 2012 08:28 AM PST

KIEV: Mayat tanpa kepala seorang hakim Ukraine yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai pengumpul barangan antik, isteri, anak dan teman wanita anaknya ditemui di apartmen mereka di bandar Kharkiv, kata polis, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Vitaly Zakharchenko dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, beberapa barangan antik hilang dari rumah Volodymyr Trofimov, 58, yang memiliki koleksi syiling yang jarang ditemui, pingat tentera dan patung China.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, hasil siasatan yang dijalankan dari semua sudut merumuskan: "jenayah itu dirancang dengan teliti." Akhbar Segodnya memetik pendakwa raya sebagai berkata, kes yang dikendalikan hakim sebuah mahkamah daerah itu sejak beberapa tahun lalu hanya membabitkan pembayaran alimoni, jenayah kecil dan pungutan hutang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Satu penghormatan’

Posted: 17 Dec 2012 11:20 AM PST

JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee kekal fokus dengan misi disandarkan di bahunya untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun ini biarpun namanya dicanang sebagai calon terbaik menggantikan Datuk K Rajagobal bagi membimbing skuad kebangsaan.

Kim Swee yang enggan mengulas lanjut isu terbaru itu berkata, tidak wajar untuk beliau membicarakan kedudukan rakan sejawatnya itu dan menganggap keutamaannya lebih terarah kepada persiapan skuad muda negara menghadapi Sukan Sea.


"Bagi saya, orang ramai termasuk Shebbie (Serbegeth Singh) dan juga peminat tempatan berhak menyuarakan pandangan tapi saya tidak berhak mengulas lebih lanjut perkara ini.

"Tumpuan saya kini ke arah persiapan skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) untuk menghadapi Sukan Sea Myanmar. Soal mengambil alih tugas Rajagobal sepatutnya tidak perlu timbul kerana ia langsung tidak dibincangkan sebelum ini. "Jika ada pihak mengaitkan nama saya dengan tugas itu, saya hanya anggap ia sebagai penghormatan tapi segala-galanya terserah kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Nama Kim Swee, 42, mula menjadi sebutan apabila kedudukan Rajagobal tampak terancam berikutan kegagalan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 selepas disingkirkan Thailand menerusi agregat 3-1 pada peringkat separuh akhir minggu lalu.


Antara yang lantang menyarankan agar tugas membimbing skuad kebangsaan diserahkan kepada Kim Swee termasuk bekas pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Shebbie dalam laporan Arena Metro semalam.

Shebbie yang kini bertugas sebagai Penasihat Global kelab yang beraksi dalam saingan Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers berkata, sudah tiba masanya untuk Rajagobal mengundur diri selepas kegagalan Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF dan kempen kelayakan Piala Dunia 2014 serta persembahan hambar dalam beberapa siri persahabatan antarabangsa sejak bergelar juara Asia Tenggara dua tahun lalu.


Beliau menganggap Kim Swee yang berjaya membimbing skuad B-23 mempertahankan pingat emas dimenangi skuad Rajagobal di Sukan Sea Laos 2009 sebagai calon terbaik memandangkan jurulatih itu lebih mengenali pemain, khususnya daripada Harimau Muda A yang dilihat berpotensi beraksi bersama pemain senior.

Antara pemain muda yang menyerlah di bawah kendaliannya, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbart dan Mahali Jasuli.


Malah anak buah Kim Swee juga berjaya menduduki tempat keempat dalam penampilan pertama Liga Singapura serta muncul juara Piala SCTV menentang skuad B-22 Indonesia pada September serta mengungguli Kejohanan Bola Sepak Jemputan VFF Newspaper Cup di Vietnam, Oktober lalu.


Mengulas persiapan skuad Harimau Muda A yang menjadi tunjang skuad B-23 negara, Kim Swee berkata, mereka akan memulakan siri latihan dan perlawanan persahabatan di Australia bulan depan sebelum berkampung di Eropah pada Mac.


"Harimau Muda A akan membuat persiapan rapi menghadapi Sukan Sea dengan menimba pengalaman di luar negara dan saya yakin rancangan ini mampu membuahkan hasil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



30 beregu rebut Piala Presiden ketiga

Posted: 17 Dec 2012 08:20 AM PST

SEBANYAK 30 beregu bakal berentap bagi merebut hadiah keseluruhan RM6,000 Kejohanan Badminton Piala Presiden Ketiga di Dewan Persatuan Badminton Pahang (PBP), Indera Mahkota, Kuantan dari 10 hingga 13 Januari.

Kejohanan anjuran PBP dan Persatuan Badminton Daerah Kuantan itu dianjur untuk mewujudkan kegemilangan sukan badminton di Pahang, seiring dengan pembangunan sukan di negeri lain.


Pengerusi Pembangunan PBP, Razak Muda berkata, penganjuran diharap dapat melahirkan pemain badminton berprestasi tinggi bagi memikul cabaran negara di peringkat antarabangsa.

"Atas inisiatif Presiden PBP, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah (gambar) yang juga Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau menyumbangkan piala kejohanan bagi mencapai matlamat itu," katanya.


Kejohanan itu terbuka kepada semua persatuan daerah dan kelab badminton di Pahang. Dua kategori dipertandingkan, dua beregu terbuka dan satu beregu veteran 40 tahun ke atas.


Juara menerima wang tunai RM3,000, piala pusingan dan medal, naib juara (RM2,000 dan medal) manakala kalah separuh akhir menerima RM500.

Tahun lalu, juara beregu diraih Kelab Vetsis dari Kuantan. Sebarang pertanyaan berhubung penyertaan dan peraturan, hubungi PBP di talian 09-5734115.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved