Selasa, 5 Februari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Reka sendiri kartun animasi

Posted:

Minat terhadap gambar simbol dan logo di dalam buku mahupun majalah menjadi petanda kecenderungannya pada dunia grafik dan animasi.

Turut menyukai karakter kartun animasi dan mempunyai koleksi komiknya sendiri, Muhammad Wasif Baharudin, 13, mengambil keputusan mengikuti kelas komputer khusus mengajarnya mengenai dua bidang digemarinya itu.

Mendapat sokongan penuh daripada bapanya, Baharudin Abdul Latif, 40, Muhammad Wasif berusaha bersungguh-sungguh me­nguasai subjek itu supaya dia boleh menghasilkan animasi sendiri secara perlahan-lahan.

"Saya seronok belajar seni grafik dan animasi sebab ia memberi satu kepuasan selain mengajar saya menjadi seorang yang lebih sabar.

Foto

Suasana pembelajaran di studio Chili Padee.

Foto

Suasana pembelajaran di studio Chili Padee.


"Pada awal pembelajaran, ia bukan sesuatu yang mudah kerana membaca dan membuatnya secara praktikal dua perkara yang amat berbeza. Daripada kosong hinggalah mampu menggerakkan, memasukkan bunyi (suara) dan seumpamanya pada karakter tertentu, ia menjadi satu pencapaian terbesar buat saya.


"Saya dan rakan harus belajar daripada kesilapan serta mendengar tunjuk ajar cikgu dengan sebaik­nya agar dapat menghasilkan karya yang bagus," katanya.

Menurut Baharudin, sejak usia Muhammad Wasif dua tahun, dia memang mudah tertarik dengan imej, simbol dan logo yang terdapat di mana-mana saja.

Sekiranya dia melihat di dalam buku atau majalah, imej berkenaan akan digunting dan dilekatkan di dalam buku untuk dijadikan kolek­si peribadi.

Sehingga kini, terdapat lebih 500 imej berada dalam simpanannya. Justeru, apabila mendapat tahu mengenai studio Chili Padee yang menyediakan kemudahan pembelajaran seni grafik dan animasi, Baharudin menghantar anaknya ke situ.

"Profesion saya ialah guru pendidikan seni dan mungkin sebab itu, darah seni itu menular ke dalam diri Wasif, cuma perbezaannya apabila dia tidak pandai melukis manakala saya pula kurang mahir menggunakan komputer.

"Bakat Wasif turut memberi kelebihan kepada saya kerana dia boleh membantu saya membuat bahan bantu mengajar menggunakan grafik dan animasi agar dapat menarik perhatian pelajar.

"Secara tidak langsung, saya juga berpeluang mempelajarinya menerusi Wasif sedikit demi sedikit. Bahan bantu mengajar melalui kaedah ini sememangnya berkesan kerana pelajar saya lebih menumpukan perhatian dan fokus ketika di dalam kelas.

"Pergerakan, bunyi dan warna yang dipilih membuatkan mereka sentiasa berasa teruja serta ternanti-nanti topik yang mahu dibincangkan," katanya.

Sementara itu, pengasas studio Chili Padee, Sazrul Zakri Zakariya berkata, penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bukan ha­nya tertakluk kepada pelajar dewasa tetapi juga dalam pembelajaran kanak-kanak.

Mempunyai ilmu dalam bidang grafik dan animasi, Sazrul Zakri yang mesra disapa Zack mahu berkongsi ilmu itu dengan masyarakat.

Bermula mengajarnya kepada kanak-kanak, Zack percaya pendidikan pada awal usia memudahkan mereka menguasai ilmu de­ngan lebih sempurna. Di luar negara, perkara ini bukan lagi sesuatu yang luar biasa kerana mereka sudah jauh ke depan berbanding kita.

Pembelajaran di studio berkenaan mempunyai dua tahap iaitu tahap satu untuk animasi wajah manakala tahap dua animasi seluruh tubuh. Ia bermaksud, pelajar akan mempelajari dan menduduki peperiksaan terlebih dulu pada tahap pertama yang memerlukan mereka menggerakkan dan memasukkan bunyi pada bahagian wajah sebelum lulus untuk ke tahap seterusnya.

Perisian yang digunakan iaitu Real Illusion didatang­kan khas dari Amerika Syarikat dan amat mudah untuk dikendalikan.

"Tujuan saya membuka studio ini bukan semata-mata mahu mendidik, memberi pendedahan serta peluang kepada anak muda mendalami dunia grafik serta animasi tetapi ia lebih daripada itu.

"Saya mahu menyediakan satu landasan kepada mereka iaitu bakat, kebolehan dan kelebihan mereka ini mampu membuatkan mereka mempu­nyai nilai tambah diri.

"Hal ini bermaksud, mereka mempunyai perbezaan dengan individu lain yang hanya handal dalam satu bidang. Sekiranya mereka sudah dewasa kelak dan memilih kerjaya masing-masing serta mahu menambah duit poket, mereka juga boleh menggunakan kelebihan ini untuk tujuan berkenaan," katanya.

Kelas yang dijalankan di studio Chili Padee hanya berlangsung setiap hujung minggu dan tidak sesekali mengganggu aktiviti harian sekolah pelajar melainkan mendapat persetujuan keluarga untuk melakukan kelas tambahan.

Dia juga berinteraksi dan mendekati pelajarnya seorang demi seorang agar mereka dapat memahami setiap topik dengan lebih berkesan.

Baharudin turut berpendapat, dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak contohnya di pering­kat prasekolah dan sekolah rendah, multimedia memainkan peranan penting kerana kanak-kanak memerlukan satu pembelajaran yang menarik bagi memastikan proses menimba ilmu lebih berkesan.

Justeru, tidak salah guru menggunakan pengajaran yang berorientasikan penggunaan multimedia agar proses pengajaran dan pembelajaran itu mudah dan cepat.

Sehubungan itu, kemahiran yang tinggi diperlukan bagi menggabungkan pelbagai media berkenaan dalam satu produk multimedia terutama dalam bidang pendidikan.

Ini kerana pelbagai aspek seperti reka bentuk grafik, pemilihan audio, cara mempersembahkan animasi serta pemilihan warna sesuai perlu diambil kira dalam membangunkan sesebuah produk multimedia agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan de­ngan lebih berkesan.

"Bukan tiada langsung pembelajaran cara begini dilakukan di sekolah tetapi ia tidak terlalu memberangsangkan. Sememangnya sesuatu pengajaran itu akan lebih menarik dan kefahaman akan meningkat sekiranya penjelasan dibuat menggunakan alat bantu mengajar bersesuaian.

"Kita tahu tidak semua orang menerima dan menye­rap pembelajaran dengan cara yang sama. Ada orang boleh menumpukan perhatian dengan cara pende­ngaran manakala yang lain perlu melihat gambar dan contoh.

"Jadi, perlu untuk pe­ngajar mempelbagaikan kaedah penyampaian de­ngan beberapa cara atau menggabungkan beberapa kaedah supaya tahap kefahaman menjadi lebih tinggi, bukannya dengan penulisan nota semata-mata," kata­nya.

Selain itu menerusi cara ini juga, kanak-kanak boleh menjadi lebih kreatif dan berimaginasi. Studio Chili Padee terletak di Taman Industri Bolton, Batu Caves, Selangor. Untuk maklumat lanjut, layari http://www.facebook.com/ChiliPadee.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Bunga telur songket

Posted:

Menjelang majlis perkahwinan, pastinya gubahan hantaran dan cenderahati antara perkara yang perlu dititikberatkan agar majlis berjalan lancar manakala tetamu menerima bara­ngan yang lain daripada yang lain.

Walaupun kini pemberian bunga telur masih menjadi kemestian, rekaan bunga semakin berubah sesuai dengan kehendak mempelai yang inginkan cenderahati lebih eksklusif dan mewah.

Jika sebelum ini bunga daripada fabrik stoking, reben dan pelbagai kain digunakan, tetapi pemilik Shajaratul Design, Shajaratul Ismail mempunyai idea tersendiri dalam penghasilan rekaan bunga telur supaya nampak unik dan menyerlah iaitu dengan penggunaan kain songket.

"Penggunaan songket dalam penghasilan bunga telur mampu memberi kelainan kepada tetamu. Selain menonjolkan keaslian tradisi bunga telur, songket mampu mengangkat martabat fabrik yang berada dalam kelas tersendiri," katanya.


Walaupun nampak rumit kerana fabrik perlu dipotong dan dilekatkan pada dawai berbentuk daun, jika dilakukan dengan teliti, kelopak mampu dibentuk menjadi kuntuman mawar yang indah. Selain itu, teknik pembentukan kelopak juga harus dilakukan dengan berhati-hati bagi menjadikannya sekata dan sama di antara satu sama lain.


"Bagi mereka yang baru menghasilkannya, mungkin ia mengambil masa yang lama, tetapi penyudahan bunga telur songket akan membuatkan tetamu berpuas hati ketika menerimanya," katanya.

Menariknya, bunga telur ini bukan saja boleh dijadikan cenderahati perkahwinan, tetapi boleh menjadi hiasan meja. Apa yang perlu dilakukan, kuntuman berbentuk mawar dimasukkan di dalam bekas tinggi kemudian diletakkan di sudut meja atau ruang tamu. Selain menjaga daripada habuk, bunga songket ini juga tahan lama sekiranya diletakkan di tempat yang betul.

Shajaratul yang kerap menerima tempahan bunga telur, sentiasa menghasilkan idea baru dan segar dalam penghasilan cenderahati seperti bunga telur kristal, kerongsang serta reben pelbagai warna dan gaya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari http://blog.shajaratul.com atau Facebook ShajaratulDesign.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Api dari bilik tidur

Posted:

Kuala Lumpur: Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas unit pangsapuri mereka di Sentul Murni Blok 209 tingkat 12, Taman Dato Senu yang disewa sejak 10 tahun lalu musnah dalam kebakaran, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, kebakaran dipercayai bermula dari bilik tidur dan disedari jiran yang kemudian menjerit memaklumkan kebakaran berkenaan sebelum semua ahli keluarga terbabit bergegas keluar menyelamatkan diri. Penghuni di tingkat bawah unit itu turut keluar menyelamatkan diri bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Mangsa, Azami Yusof, 37, berkata, dia mengetahui rumahnya terbakar jam 11.45 pagi selepas dihubungi kakaknya yang tinggal di tingkat 11.

Menurutnya, sebaik mendapat berita itu, dia bergegas pulang sebelum mendapati bomba memadamkan kebakaran.


"Kebakaran itu menyebabkan semua barangan dalam rumah musnah dan gagal diselamatkan namun bersyukur kerana isteri dan dua anak saya sempat menyelamatkan diri.


"Saya diberitahu api mula merebak dari bilik tidur namun tidak mengetahui bagaimana punca kebakaran itu berlaku," katanya ketika ditemui.

Foto

ANGGOTA bomba memecahkan siling rumah berhampiran bagi mengelak api merebak.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.43 pagi dan tiba di tempat kejadian 13 minit kemudian bersama enam jentera dan 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Titiwangsa, Gombak Selatan dan Hang Tuah. Menurutnya, api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 12.56 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


"Malah, tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sebuah lagi rumah bersebelahan dengan kediamannya.

"Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sentul Muzammir Mohd Salim berkata, kerja memadam kebakaran pada mulanya berlaku sedikit masalah apabila pili bomba yang ditempatkan di pangsapuri berkenaan tidak berfungsi angkara vandalisme.


"Kami menggunakan tangga ke tingkat 12 bersama hos pili bomba bagi memadamkan kebakaran dan berjaya mengawal api walaupun pada mulanya berdepan kesukaran.


"Sehubungan itu, saya berharap masyarakat lebih peka dan sepatutnya pili bomba di pangsapuri ini perlu berada dalam keadaan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Salah bedah paru-paru

Posted:

London: Satu siasatan dilancarkan semalam selepas pakar bedah di sebuah hospital yang dikecam mengalihkan bahagian salah paru-paru pesakit.

Pembedahan tidak senonoh itu dijalankan di Hospital Basildon di Essex menyaksikan pakar bedah mengalihkan bahagian bawah paru-paru pesakit wanita walaupun mereka sebenarnya perlu memindahkan bahagian atas paru-parunya.


Kesilapan besar itu dikenali sebagai "pembedahan bahagian yang salah" dirujuk sebagai kesalahan dalam nota perubatan pesakit terbabit.

Pesakit wanita berkenaan bagaimanapun terselamat dalam prosedur Disember lalu itu, tetapi siasatan dilancarkan bagi mengetahui bagaimana kesilapan sebesar itu boleh berlaku.


Sumber hospital yang enggan dikenali berkata: "Kelihatannya nota perubatan pesakit dari Hospital Broomfield itu diisi secara salah dan menunjukkan bahagian salah pada paru-paru yang dibedah.


"Hospital Broomfield berkata, itu bahagian yang salah. Kelihatannya kesilapan itu dilakukan di Broomfield, tetapi siasatan akan menentukan sama ada ia dilakukan di Basildon." Pengarah Perubatan di Basildon dan Hospital Besar Thurrock, Dr Steve Morgan berkata: "Pada Disember lalu terdapat insiden pembedahan bahagian yang salah. Kajian sedang dibuat terhadap insiden serius itu.

Foto

HOSPITAL Basildon dikecam kerana pakar bedahnya dipercayai melakukan kesilapan dalam pembedahan.

"Tiada siapa digantung dan situasi insiden itu agak rumit." Jurucakap Hospital Broomfield di Chelmsford, Essex, berkata: "Hospital Basildon menyedari insiden itu dan seiring dengan polisi keselamatan dalaman dan pemerintahannya, siasatan penuh akan dilakukan.


"Ia akan mengkaji prosedur klinikal dalaman selepas siasatan itu." - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Sah rangka Richard III

Posted:

Leicester: Saintis berkata, mereka menemui sisa rangka pemerintah England Raja Richard III yang berusia 500 tahun di bawah ruang parkir kereta di bandar ini.

Penyelidik Universiti Leicester berkata, ia "melewati keraguan munasabah" bahawa rangka manusia yang digali tahun lalu itu ialah raja berkenaan yang mati ketika pertempuran di medan Bosworth pada 1485. Ahli Osteologi Jo Appleby semalam berkata, kajian terhadap tulang terbabit menunjukkan ia adalah "kes pengenalpastian identiti Richard III yang meyakinkan".


Dan DNA daripada rangka itu juga berpadanan dengan sampel yang dibawa daripada saudara jauhnya yang masih hidup.

Anggota monarki Inggeris yang mati dalam peperangan, Richard digambarkan dalam pementasan oleh William Shakespeare sebagai si perampas bongkok yang meninggalkan jejak mayat termasuk anak saudaranya yang dibunuh di Menara London dalam usahanya untuk meraih kuasa pemerintahan.


Ramai ahli sejarah berkata, imej kejam itu tidak adil. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pakej lengkap tarik peminat

Posted:

Kuasa media sosial mengangkat ramai bakat terutama YouTube memang trend paling sebati dalam industri muzik masa ini. Tidak perlu disebut nama yang sudah menempa kejayaan dan pastinya medium ini ketara menjadi lubuk mencungkil penyanyi baru.

Terbaru, muncul seorang remaja berusia 16 tahun yang pada mulanya hanya suka-suka berkongsi suara sedapnya di laman berkenaan. Namun, Austin Mahone kini bukan lagi bermimpi kerana syarikat rakaman gergasi, Chase/Universal Republic Records akhirnya mempercayai kebolehan anak jati San Antonio, Texas, Amerika Syarikat itu.

Dicanang hebat menjadi saingan terbaru Justin Bieber, selain bakat menyanyi, Austin juga memiliki wajah tampan yang pastinya boleh dijadikan sandaran menarik peminat.

Sebelum dilamar syarikat rakaman, Austin sudah mencetuskan fenomena di YouTube apabila klip video nyanyiannya ditonton jutaan orang. Sehubungan itu, Austin dilihat cukup berpotensi mengikut jejak bintang YouTube muda lain termasuklah Grayson Chance dan Bieber.

Foto

FENOMENA terbaru YouTube ini berazam menjadi bintang terkenal.


Dalam temu bual eksklusif bersama RAP menerusi telefon, baru-baru ini, Austin mengakui biarpun alam glamor ini terlalu baru buatnya namun dia cukup teruja untuk menempuhnya dan tidak sabar berkongsi muziknya di seluruh dunia.


"Saya sebenarnya tidak menjangkakan akan pergi sejauh ini kerana apa yang saya tunjukkan di YouTube adalah sekadar untuk mengisi masa lapang, suka-suka dan kepuasan sendiri.

"Minat terhadap muzik yang mendalam itu mendorong saya berani tampil dan membikin video nyanyian menerusi lagu 'cover version' di laman itu. Sejurus dihubungi mengenai tawaran untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Universal, saya terkedu seketika dan seakan-akan bermimpi adakah benar panggilan itu," katanya yang kelihatan masih kekok de­ngan sesi temu bual itu.

Memperjuangkan muzik genre pop, Austin yang tidak ketinggalan membuat 'cover version' beberapa lagu Justin di YouTube termasuklah Baby dan Mistletoe tidak kisah disamakan dengan penyanyi berkenaan.

"Siapa boleh nafikan, Justin memang bukan calang-calang artis dan menjadi inspirasi buat penyanyi muda di luar sana tidak terkecuali saya sendiri. Bukan saja dia memiliki pakej lengkap berwajah tampan dan bakat nyanyiannya besar, malah muziknya sungguh bagus.

"Dia mempunyai rekod cemerlang dan setiap kali muncul dengan karya baru, pasti lagunya menjadi hit. Jadi melihat kejayaannya itu, mengapa tidak saya menjadikan dia inspirasi?" katanya.

Austin berkata, tawaran daripada syarikat rakaman itu peluang yang tidak boleh disia-siakan dan dia bercita-cita mahu menakluk dunia tidak lama lagi.

"Inilah yang saya idam-idamkan selama ini untuk berkarya dan bersyukur usaha keras selama ini membuahkan hasil. Bukan mahu terlalu riak tapi saya akan terus berusaha selepas ini lebih-lebih lagi kini mempunyai pengurusan yang cukup kuat.

"Pastinya impian utama saya untuk mencipta fenomena dan nama kukuh dalam industri setanding artis terkenal yang ada dan dikenali sehingga saat ini.

"Akhirnya dapat peluang berjabat tangan dan bertemu sendiri dengan beberapa superstar termasuklah Taylor Swift serta Jason Derulo untuk menguatkan lagi sema­ngat memberikan yang terbaik," kata­nya.

Sambung belajar di rumah

Mendapat sokongan penuh daripada keluarganya, sebaik menandatangani kontrak dengan Universal, Austin yang belajar di Lady Bird Johnson High School mengambil keputusan berhenti sekolah.

Disebabkan popularitinya semakin memuncak dan jadual karier yang baru bermula itu semakin padat, dia memilih untuk belajar di rumah.

Tidak kesal mengambil keputusan itu, Austin mendapati dia lebih selesa dengan persekitaran begitu.

"Di sekolah terlalu banyak komitmen yang perlu kita hadapi dan tidak mustahil akan terganggu dengan kesibukan saya sekarang ini. Jadi, daripada saya bingung memikirkan semua itu, lebih baik terus berhenti dan belajar di rumah.

"Apapun, ia bukan alasan untuk saya bersenang-lenang kerana saya masih perlu fokus kepada pelajaran pada masa sama. Bagaimanapun, saya rasa lebih bebas begini kerana boleh membahagikan masa mengikut kehendak saya," katanya yang tinggal bersama ibunya.

Austin mula dikenali pada 2011 apabila memuat naik beberapa videonya di YouTube menyanyikan 'cover version' pelbagai lagu popular. Dari situ, pengikutnya meningkat sedikit demi sedikit dan akhirnya 2012 jadi titik permulaan baru baginya.

Sehingga kini, dia sudah melancarkan dua single dan yang terbaru, Say Something pada Jun 2012 selepas 11:11 (Februari 2012). Say Something berjaya menduduki tempat ke-34 carta Billboard Pop Songs dan turut menjadi penyanyi termuda tersenarai di carta Billboard Social 50 di kedudukan ke-38.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Didenda curi gas dalam makmal

Posted:

Semalam, siri pertama Jejak Bintang mengimbas cerita Umie Aida ketika zaman kanak-kanak dan remajanya hingga bergelar aktres disegani tanah air seperti diceritakan ibunya, Asmah Mohd Ali, 65.

Dalam siri kedua Jejak Bintang hari ini, kita singkap pula zaman persekolahan Umie di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur.

Bagaimanakah sikap dan perwatakan Umie ketika di bangku sekolah? Kenapa Umie dan rakannya pernah ditangkap guru disiplin ketika di tingkatan satu Seroja?

Ikuti kisahnya seperti yang diceritakan rakan karibnya, Rosemelia Sulaiman, 40.


"Saya mula berkawan rapat dengan Umie selama tiga tahun iaitu ketika sama-sama menuntut di tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Kami dari sekolah rendah yang berbeza dan bertemu ketika di sekolah menengah.


"Kami ditempatkan dalam kelas yang sama dan duduk sebelah menyebelah. Selepas itu, kami terus berkawan rapat selama tiga tahun belajar di situ," katanya.

Rosemelia berkata, dia selesa berkawan dengan Umie kerana dia seorang kawan yang baik, prihatin dan suka membantu orang lain. Umie juga seorang pelajar yang bijak dan sifat kepemimpinannya cukup terserlah ketika mereka menuntut di sekolah menengah.

"Selain bijak dalam akademik, Umie juga seorang yang tegas, berani dan mempunyai sifat kepemimpinan ketika di sekolah. Umie juga banyak pegang jawatan di sekolah iaitu Penolong Ketua Kelas 1 Seroja dan seterusnya ketua kelas apabila masuk tingkatan dua dan tiga.

"Pelajar kelas kami pula ramai yang keturunan Cina kerana kelas peralihan dan mereka memang takut dengan Umie yang garang dengan mereka yang nakal dalam kelas," katanya.

Katanya, jika nak diikutkan, terlalu banyak kena­ngan manis yang dikongsi Rosemelia dengan Umie sepanjang menuntut di sekolah menengah dulu.

"Sebagai remaja, kami selalu meluangkan masa bersama lepas habis sekolah setiap Jumaat dan tempat lepak popular ialah di Perpustakaan Negara yang ketika itu di Jalan Raja Laut.

"Selain itu, rumah Umie di Setapak Garden juga selalu menjadi tempat lepak 'wajib' bila habis sekolah untuk menikmati lauk kegemaran kami berdua iaitu sambal tumis ikan bilis yang dimasak pembantu rumahnya.

"Maklumlah, saya tinggal di Sentul dan rumah Umie sering menjadi tempat lepak kami. Boleh dikatakan kami sangat rapat hingga makan pun sepinggan dan tidur sebantal ketika itu," katanya.

Rosemelia berkata, mereka juga berkongsi minat sama dengan menyertai pasukan hoki sekolah.

"Kami berdua memang suka glamor, sebab itu kami masuk pasukan hoki sekolah kerana boleh pakai 'skirt' pendek. Saya juga tidak nafikan, Umie juga popular di sekolah dan pernah ada guru lelaki yang menaruh hati padanya," katanya.

Didenda gara-gara warnakan rambut

Berkongsi kenangan yang sukar dilupakan pula, kata Rosemelia, mereka pernah didenda guru disiplin kerana berani mewarnakan rambut warna perang di sekolah.

"Saya masih ingat, kami memang nakal dan berani kerana mewarnakan rambut perang dengan mencuri gas hidrogen dalam kelas makmal sains. Apa lagi, kami terus dipanggil guru disiplin ke dalam biliknya diminta menghitamkan semula rambut dengan segera. Apa yang lucu, kami terus hitamkan semula rambut dengan menggunakan celak India saja!

"Antara kenangan lain yang masih segar di ingatan ialah ketika kami didenda dengan menghantuk kepala sama sendiri kerana bercakap ketika cikgu mengajar dalam kelas Perdagangan ketika itu," katanya.

Ditanya bila Umie menunjukkan minatnya dalam bidang seni, Rosemelia berkata, dia sudah nampak bakat Umie dalam bidang nyanyian kerana sering memasuki pelbagai pertandingan nyanyian peringkat sekolah.

"Dia memang minat menyanyi sejak di tingkatan satu. Masa di tingkatan empat, dia sudah terbabit sebagai model dan wajahnya juga sudah keluar majalah hiburan. Saya juga tahu kakaknya, Erma Fatima terbabit dalam bidang lakonan dan saya turut tumpang glamor sebab berkawan dengan adik artis," katanya.

Rosemelia berkata, selepas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) (sekarang Penilaian Menengah Rendah - PMR), mereka terpaksa berpisah kerana dia memohon ke Sekolah Vokasional untuk mengikuti kursus kecantikan.

"Umie masih meneruskan persekolahannya di SMK Puteri Titiwangsa hingga tamat tingkatan lima. Selepas saya berpindah ke sekolah vokasional, Umie juga sudah mula berkawan dengan Erra Fazira. Namun, kami tetap berjumpa bila musim cuti sekolah untuk melepaskan rindu," katanya.

Selepas sekian lama terpisah, mereka bertemu semula apabila Umie terbabit dalam drama Pengantin Popular ketika berusia 18 tahun.

"Saya juga sudah berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Secara kebetulan, suami saya terbabit dengan produksi Erma dan di situlah kami bertemu semula dan mengimbas kenangan ketika zaman persekolahan dulu.

"Apapun, sebagai kawan baiknya ketika zaman sekolah, saya tetap ikuti perkembangan Umie di akhbar mahupun majalah termasuk menonton drama dan filem lakonannya. Terus terang, kenangan kami ketika zaman persekolahan dulu tetap terpahat dalam ingatan," katanya menutup perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tinggal anak sebab judi

Posted:

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri sanggup meninggalkan empat anak berusia empat hingga 14 tahun di rumah yang baru diduduki dua bulan hanya kerana hendak melepaskan gian bermain judi Internet, dalam satu serbuan di Metro Prima, di Kepong, di sini, kira-kira 8.30 malam semalam.

Dalam serbuan dijalankan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu, pasangan, masing-masing berusia 48 dan 42 mendakwa baru pertama kali datang ke premis berkenaan untuk berjudi.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Elis, mereka baru sepuluh minit memasuki pusat judi berkenaan bertujuan melepaskan tekanan selepas penat menjalankan urusan harian.

"Kami tidak pernah datang ke sini dan tidak sangka kali pertama menjejakkan kaki ke premis ini kami terus ditahan.


"Saya baru bertaruh RM10 dalam permainan 'Safari Heat' apabila tiba-tiba beberapa lelaki memasuki premis dan mengenalkan diri sebagai polis," katanya yang berasal dari Filipina.


Operasi yang diketuai Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mohd itu memeriksa empat premis di kawasan berkenaan dan menahan tiga pelanggan serta lima penjaga premis warga Indonesia.

Katanya, polis turut merampas 127 unit komputer serta RM1,110 tunai.

Dalam perkembangan lain, satu serbuan Ops Limau turut dijalankan pihak D7 Bukit Aman bersama D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras diketuai Pegawai Turus (D7) Bukit Aman Deputi Superintendan Tan Tin Heng di Kampung Pandan Luar, di sini.

Tan berkata, pihaknya menyerbu lima premis sebelum merampas 150 mesin judi Internet dan RM2,258 tunai.

"Dua puluh enam pelanggan turut ditahan manakala enam lagi adalah penjaga premis yang masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

"Semua premis berkenaan baru diserbu IPD Cheras dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini, namun mereka tetap berdegil meneruskan perniagaan," katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Bapa pemalas zalim!

Posted:

Johor Bahru: Hanya kerana berterus-terang dan memberitahu bapanya malas bekerja, seorang remaja perempuan didera termasuk kepalanya dipijak lelaki itu sehingga mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Mendedahkan perkara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjual burger menjadikan enam anaknya berusia antara lima hingga 13 tahun sebagai mangsa dera terutama anak sulungnya hingga cedera.

Menurutnya, lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai berbuat demikian kerana tersinggung dengan perbuatan anaknya mendedahkan sikapnya yang malas bekerja hingga kebajikan keluarga terabai.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu mengugut akan mengancam keselamatan anaknya sendiri sekiranya menceritakan kehidupan sebenar kepada individu lain.


Perbuatan lelaki itu, katanya, bagaimanapun terbongkar apabila JKM menerima aduan daripada beberapa jiran yang bersimpati dengan keadaan anaknya kerana kerap menjadi mangsa penderaan bapa mereka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Sinar terbaik Irfan, Rozaimi

Posted:

Brisbane: Peluang kini terbuka buat kapten Harimau Muda A, Irfan Fazail dan penyerang berbakat, Rozaimi Abdul Rahman mengetuk pintu kelab di Australia.

Aksi kedua-dua pemain terbabit mendapat tumpuan pencari bakat di Australia, Brad Maloney yang juga bekas pemain kebangsaan negara itu.


"Saya akan melihat aksi mereka dalam perlawanan menentang Brisbane Roar, hari ini. Namun ia bukan saja terhad kepada mereka berdua saja tapi pemain lain juga sekiranya mampu menarik perhatian," katanya.

Beliau yang turut hadir menyaksikan sesi latihan skuad kendalian Ong Kim Swee petang semalam turut kagum dengan persefahaman, teknik, kemahiran dan kepantasan pemain muda negara.


Kedua-dua pemain terbabit terlebih dulu menarik perhatian bekas pemain Sabah, Scott Ollerenshaw yang kemudian memaklumkan kemampuan mereka kepada Maloney.


"Kedua-dua pemain itu memiliki teknik yang bagus. Permainan mereka lebih matang berbanding usia. Saya harap mereka mampu mempamerkan persembahan yang biasa dilakukan ketika latihan tanpa sebarang tekanan dan semuanya berjalan lancar."

Irfan yang juga perancang tengah pasukan antara pemain paling lama dalam skuad Harimau Muda A dan turut membantu negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011.

Rozaimi yang baru dipanggil menyertai Harimau Muda A tahun ini melakukan kejutan apabila meledak 10 gol pada kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Sepanyol tersungkur

Posted:

London: Pilihan utama, Sepanyol tersingkir pada pusingan pertama Piala Davis buat kali pertama sejak 2006 apabila Milos Raonis mengalahkan Guillermo Garcia-Lopez untuk memberikan Kanada kemenangan 3-2 pada perlawanan peringkat Kumpulan Dunia, semalam.

Juara lima kali yang hadir tanpa pemain bintang, bergelut sejak awal di Vancouver dan Raonic menamatkan cabaran mereka dengan kemenangan 6-3, 6-4, 6-2 ke atas Garcia-Lopez bagi meraih kemenangan pertama Kanada pada peringkat itu.


Terdahulu, penyandang juara, Republik Czech layak ke suku akhir apabila Tomas Berdych menumbangkan pemain Switzerland, Stanislas Wawrinka sehari selepas kedua-dua pemain beraksi dalam pertembungan maraton acara beregu.

Berdych meraih kemenangan mudah 6-3, 6-4, 3-6, 7-6 ke atas Wawrinka, membolehkan Czech mendahului 3-1, sehari selepas dia dan Lukas Rosol melepasi halangan pertembungan tujuh jam ke atas Wawrinka dan Marco Chiudinelli dengan keputusan 24-22 pada set terakhir.


Czech kini akan berkunjung ke Kazakhstan, April ini selepas negara Asia Tengah itu melengkapkan kemenangan 3-1 ke atas Austria.


Amerika Syarikat turut mengatasi kebangkitan Brazil di Jacksonville sebelum menempah tiket ke suku akhir dan mereka akan bertemu Serbia.

Sam Querrey melunaskan tugasnya dengan kemenangan 4-6, 6-3, 6-4, 7-6 ke atas Thiago Alves pada perlawanan penentuan selepas Thomaz Bellucci menyamakan kedudukan 2-2 dengan mengatasi John Isner 2-6, 6-4, 6-7, 6-4, 6-3.


Itali turut layak ke suku akhir dan berjumpa Kanada, selepas Fabio Fognini menundukkan pemain Croatia, Ivan Dodig pada perlawanan penentuan.

Sepanyol, hadir tanpa Rafael Nadal, David Ferrer dan Nicolas Almagro, ketinggalan 0-2 selepas dua perlawanan perseorangan pertama.


Juara lima kali itu menghidupkan kembali peluang selepas menang acara beregu namun Raonic menamatkan sebarang impian kebangkitan mereka.


"Ia amat menakjubkan," kata Raonic. "Ia sesuatu yang patut kami banggakan. Ia sesuatu yang saya harap dapat menyemarakkan minat semua terhadap sukan tenis di seluruh Kanada." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved