Khamis, 15 Disember 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ilham kreatif aksesori butang

Posted: 28 Oct 2011 07:29 AM PDT

MUDAH serta tidak memerlukan banyak masa untuk menghasilkan sesuatu rekaan, itulah yang menjadi pegangan pemilik laman aksesori ber–asaskan butang SNf Craft, Siti Norfathiah Md Afandi, 24.

Paling penting, suai padankan bentuk serta corak butang berkenaan dengan kombinasi warna menarik serta perhiasan tambahan yang digunakan untuk mencantikkan lagi perhiasan dihasilkan.

Untuk aksesori butang, dia banyak menumpukan pada koleksi sepit rambut, cekak dan juga kerongsang. Kelengkapan yang diperlukan untuk proses pembuatannya pula ringkas yang hanya menggunakan tampalan gam pistol dan daya kreativiti kerana ia hanya perlu dilekatkan bagi membentuk corak serta bentuk diingini.

"Masa untuk membuatnya juga tidak lama, malah ia boleh disiapkan dalam masa 15 minit saja tanpa perlu bertungkus-lumus seharian.


"Ia lebih menjimatkan masa memandangkan saya tidak gemar menjahit terutama menggunakan mesin tetapi lebih mudah menjahit tangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan Dalam, Ampang, baru-baru ini.


Idea yang digunakan untuk menyediakan koleksi aksesori berkenaan banyak diperoleh melalui pemerhatian laman aksesori di Internet terutama blog aksesori luar negara.

Pemerhatian sebegitu dijadikan panduan untuk mencipta dan mereka aksesori mudah dan ringkas tetapi masih nampak comel dan sesuai dengan kehendak persekitaran tempatan.

"Kebiasaannya kanak-kanak meminati aksesori kepala sebegini untuk digayakan dan dipadankan dengan busana pilihan. Ia bukan saja ringkas, malah harganya juga berpatutan serta mengikut permintaan pelanggan," katanya.

Walaupun baru memulakan perniagaan aksesori berkenaan secara dalam talian awal Februari lalu, Norfathiah tidak sesekali menjadikannya sebagai bebanan walaupun masih bergelar pelajar.

"Saya hanya memfokuskan pada pembuatan aksesori setiap hujung minggu dan tidak akan mencampuradukkan minat dengan pengajian.

"Kedua-duanya amat penting dan untuk itu, saya akan me–nyeimbangkan masa," katanya.

Untuk melihat lebih banyak lagi koleksi aksesori butang yang dihasilkan Norfathiah, layari itsacrafttime.blogspot.com/ teyare.tumblr.com ataupun sertainya di laman facebook.com/snfcrafttilicious.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Judi talian kafe siber

Posted: 14 Dec 2011 10:34 AM PST

SERI KEMBANGAN: Dengan berselindung di sebalik cermin gelap dan beroperasi 24 jam, ada kafe siber di kawasan ini yang bukan saja menyediakan perkhidmatan Internet, malah turut menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Biarpun diberi amaran dan diarah tutup lebih tiga kali oleh polis dan Jabatan Penguat kuasa, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pengusaha terbabit berdegil dengan meneruskan aktiviti haram mereka.


Dalam operasi bersepadu bersama Unit D7, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Subang Jaya di Taman Pinggiran Putra, di sini, baru-baru ini, tiga kafe siber di Putra Walk yang menjalankan aktiviti perjudian haram diserbu dan menyita 110 set peralatan komputer.

Pengarah Penguat kuasa MPSJ, Ahmad Hasan, berkata semua premis terbabit disita mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 iaitu menjalankan perniagaan kafe siber tanpa lesen.


Beliau berkata, kesalahan itu boleh didenda maksimum RM1,000 dan dalam operasi itu, TNB menyita tiga meter elektrik di premis terbabit.


"Permintaan tinggi terhadap aktiviti perjudian secara dalam talian menyebabkan perniagaan itu beroperasi hingga kini walaupun beberapa kali disita.

"Berdasarkan aduan orang ramai, selain di Putra Walk, Taman Pinggiran Putra, ada dua lagi premis menjalankan aktiviti sama di Jalan PP32 dan PP33, tetapi hasil serbuan mendapati premis itu kosong, tiada sebarang aktiviti perniagaan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini.


Ahmad berkata, operasi bersepadu itu bertujuan mengelakkan pengusaha pusat perjudian haram terus menjalankan aktiviti perjudian, mengurangkan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja dan kaki judi yang sering berkunjung ke premis perjudian haram.

Menurutnya, pemantauan berterusan akan dijalankan polis dan penguat kuasa MPSJ bagi mengelakkan premis terbabit beroperasi semula selepas tindakan pemotongan bekalan elektrik diambil dan operasi sama dijalankan di kawasan Subang Jaya dan Puchong.

Full content generated by Get Full RSS.

100 lega mahkamah lulus permohonan injunksi

Posted: 14 Dec 2011 10:32 AM PST

SHAH ALAM: Seramai 100 peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini, lega apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam, kelmarin, meluluskan permohonan injunksi yang menghalang PKNS daripada menaikkan kadar sewa premis perniagaan di kompleks itu.

Perintah yang dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Zaki Husin itu turut memerintahkan peniaga di kompleks terbabit tidak diganggu atau dihalang untuk meneruskan operasi perniagaan mereka pada kadar sewa lama.


Peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili persatuan itu berkata, perintah itu secara tidak langsung menghalang PKNS untuk meneruskan tindakan mengosongkan premis terhadap peniaga terbabit sehingga pelupusan pendengaran permohonan secara inter-partes (kedua-dua pihak) didengar pada 4 Januari tahun depan.

Katanya, perintah injunksi itu diteruskan sehingga perbicaraan kes itu dimulakan antara Mei hingga Jun tahun depan.


"Kami mohon PKNS menangguhkan usaha mereka untuk memindahkan kompleks ini ke lokasi lain dan berharap mereka menangguhkan hasrat untuk meminta penyewa di sini mengosongkan premis sementara kes ini masih berjalan di mahkamah," katanya pada sidang media di Kompleks PKNS, di sini, semalam.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Tinggal karier lumayan demi lakonan

Posted: 14 Dec 2011 07:15 AM PST

USIA pembabitannya dalam bidang lakonan masih hijau. Namun, nama Tasha Shilla semakin mencuri perhatian peminat di persada hiburan tanah air.

Jika pelakon baru lain hanya bermimpi untuk memegang watak utama, pemilik nama sebenar, Natasha Sheila Abd Razak, 24, pula sudah beraksi dalam dua filem dan lima drama bersiri yang rata-ratanya watak utama.

Selepas diperkenalkan melalui filem Ratu The Movie arahan A Razak Mohaideen, Tasha berjaya menambat hati penonton dengan watak antagonis, Hartina yang cemburu dengan kakaknya dalam drama bersiri Sahara arahan Jamal Khan dan watak Cikgu Ruhana dalam siri Gemilang arahan Kabir Bhatia.

Namun ada harga yang perlu dibayar anak jati Kuala Lumpur ini apabila bergelar anak seni kerana tidak dapat lari dari kontroversi. Terbaru, ada pihak menyebarkan cerita Tasha dikatakan sombong, berlagak dan pilih bulu apabila sudah dikenali ramai.


Bagaimanapun, dalam pertemuan dengan Tasha, baru-baru ini, gadis yang memiliki wajah iras Kris Dayanti dan juga Atilia mengatakan, dirinya tidak ingin cepat melatah apabila dilanda kontroversi sedemikian.


"Orang fikir saya sombong mungkin sebab raut wajah yang tajam dan serius ini. Sudah banyak kali saya dengar orang cakap saya sombong terutama apabila saya tidak senyum pada orang.

"Hakikatnya, saya bukanlah seperti tanggapan negatif orang itu. Justeru, saya berharap orang jangan mudah berprasangka buruk jika tidak kenal siapa diri saya.

"Pada masa sama, saya terus berusaha membetulkan tanggapan negatif orang itu. Saya yakin Tuhan bersama pihak yang benar dan saya juga tidak kecewa dalam bidang seni apabila perkara seperti ini timbul," katanya.

Lebih memeritkan, anak sulung daripada tiga beradik ini dikatakan terjun dalam bidang lakonan untuk mendekati golongan kenamaan dan cara singkat untuk hidup mewah. Apatah lagi, dia memiliki paras rupa jelita dan bertubuh seksi yang pasti digilai golongan kenamaan.

"Sebenarnya, saya boleh berkawan dengan sesiapa saja tapi memang ada peminat
di kalangan orang kenamaan. Tapi cukup setakat berkawan saja, tak lebih daripada itu. Maklumlah, saya bekerja sebagai Eksekutif Kanan Jualan di butik jenama Mewah, Prada sebelum menceburi bidang lakonan.

"Semua pelanggan butik adalah kalangan golongan kaya dan berada. Kalau saya hendak cari golongan kenamaan, saya sudah dapat dari dulu lagi dan tak perlulah susah payah cari tapak dalam bidang lakonan.

"Orang cakap memang senang tapi mereka tak tahu pahit getir saya untuk berada pada tahap sekarang. Demi cinta pada lakonan, saya sanggup tinggalkan karier lumayan di butik demi menceburi bidang seni yang diminati bersandarkan bakat sedia ada.

"Terus terang, saya masih belum mempunyai teman istimewa lagi kerana fokus saya untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan," katanya.

Kematangan Tasha juga terserlah kerana dia tidak cepat melatah apabila dilanda gosip liar mahupun kontroversi kerana menganggapnya sebahagian asam garam dunia seni.

"Saya percaya cerita negatif disebarkan pihak tidak bertanggung-jawab yang tidak kenal siapa diri saya yang sebenar. Ia gosip biasa yang dilalui pada pelakon baru. Apa yang penting, anggota keluarga terdekat terutama ibu bapa tidak termakan dengan gosip tidak betul itu," katanya.

Bintang Tasha semakin bersinar dalam lakonan

SELEPAS beraksi cemerlang dalam Gemilang dan Sahara, pelakon berbakat besar yang sangat mengagumi Vanidah Imran, Siti Shahrizah (Eja), Ellie Suriaty dan Eman Manan ini, mempertaruhkan siri Bunga April yang kini bersiaran di TV3 melalui slot Samarinda.

Dalam siri arahan Along Kamaludin ini, Tasha bergandingan dengan Shahz Jaszle bersama barisan pelakon lain, Zack X-Factor, Mustapha Kamal, Redzuan Hashim, Noniswara, Aida Aris dan Hanez Suraya.

Drama ini yang disiarkan setiap selasa hingga khamis jam 10.30 malam sejak 22 November lalu, benar-benar mencabar kredibiliti Tasha sebagai pelakon apabila diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai April.

"April anak orang kaya yang tegas, manja dan berdikari. Selain watak utama, April juga judul yang digunakan dalam drama ini. Lebih bermakna, saya menimba pengalaman berharga bekerja dengan Along yang juga pengarah yang teliti ketika bekerja.

"Saya juga serasi bekerja dengan Shahz Jaszle kerana kami pernah bekerjasama dalam drama Gemilang. Selain itu, saya juga pernah berlakon dengan Zack dalam Cinta Dalam Botol.

"Saya percaya, sudah berikan yang terbaik iaitu komitmen sebanyak 200 peratus dalam drama ini dan kini terpulang pada penonton untuk menilai hasilnya di kaca TV pula," katanya.

Ditanya mengenai pencapaiannya setakat ini, akui Tasha, perjalanan seninya masih jauh lagi. Apapun kata Tasha, dia percaya sudah berada di landasan betul.

"Tawaran berlakon yang mencurah juga adalah rezeki daripada Tuhan. Saya juga melihat watak utama ditawarkan sebagai peningkatan dalam aspek lakonan.

"Saya juga selesa dengan watak antagonis dilakonkan kerana ia senang melekat di hati penonton. Sebagai pelakon, saya akan terus perbaiki kelemahan sedia ada dalam lakonan, sekali gus beri kepuasan pada peminat.

"Saya banyak menimba ilmu lakonan dengan pelakon berpengalaman, Nanu Baharudin dalam Sahara. Dari segi impian, saya ingin bawa watak orang cacat dan sakit mental pula selepas ini," katanya.

Antara drama lakonannya ialah siri 26 episod, Sejundai arahan Fairuz Loy untuk Slot Lagenda di TV3.

Tidak ketinggalan, drama bersiri Dottie, telefilem Panggilan Arwah bergandingan dengan Zizan Nin dan watak utama dalam telefilem Mila Kejar Cinta bergandingan dengan Zack X-Factor.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Natasha Sheila Abd Razak
NAMA KOMERSIAL: Tasha Shilla
ASAL: Ampang, Selangor
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1987
USIA: 24 tahun
STATUS: Bujang
KERJAYA: Model dan pelakon
FILEM: Ratu The Movie dan Klik 3GP
DRAMA: Dottie, Gemilang, Sahara, Panggilan Arwah, Mila Kejar Cinta, Ramadan Terakhir dan slot Samarinda, Bunga April

Full content generated by Get Full RSS.

Konsert reunion XPDC

Posted: 14 Dec 2011 06:00 AM PST

XPDC merencanakan sebuah konsert reunion tahun depan membabitkan semua bekas anggota dan ahli terkini kumpulan itu. Bagaimanapun, sebelum ia direalisasikan, kumpulan heavy metal Malaysia itu terlebih dulu akan beraksi di Karnival Gegaria Harian Metro 2011 (KGHM2011) yang bakal menamatkan penjelajahannya di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka pada 17 dan 18 Disember ini.

Dengan menampilkan vokalis asalnya, Mael, XPDC bakal memperdengarkan lagu hit mereka seperti Ntahapaapantah, Semangat Yang Hilang, Hidup Bersama, Apa Nak Dikata dan C.I.N.TA.

"Kami sebenarnya sudah lama tidak mengadakan persembahan seumpama ini yang membabitkan pihak media sebagai penganjurnya dan apabila menerima tawaran daripada pihak Harian Metro, ia ibarat kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.

"XPDC berasa cukup terharu dengan peluang yang diberikan. Tatkala ruang terbuka luas kepada artis muda, yang lama seperti kami tidak dilupakan Harian Metro.


"Kami menyeru pada Konsert Gegaria itu nanti peminat XPDC dapat bersama-sama membanjiri Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka untuk memeriahkan acara itu," kata Mael.


Selain XPDC, Konsert Gegaria yang berlangsung jam 9 malam pada Sabtu (17 Disember) turut menampilkan penyanyi lelaki tersohor, Anuar Zain yang muncul dengan single terbaru, Cinta Harus Memiliki.

Lokasi terakhir KGHM2011 ini umpama sirih pulang ke gagang buat Anuar kerana penyanyi yang popular dengan lagu lelaki Ini, berasal dari Merlimau, Melaka. Ini juga kali pertama Anuar menjayakan KGHM.

Turut memeriahkan konsert, Najwa Latif dan Awi Rafael. Tidak ketinggalan, persembahan daripada Black yang sering mengikuti jelajah karnival itu. Bagaimanapun, kali ini Black tampil berbeza apabila muncul bersama kumpulan Moderate.

"Ini kali ketiga saya terbabit dalam Konsert Gegaria dan sebelum ini membuat persembahan secara solo dan pernah sekali di Pulau Pinang, saya membuat penampilan khas bersama kumpulan Meet Uncle Hussain untuk menyampaikan lagu Drama King dan Lagu Untukmu.

"Berbeza di Melaka, sepanjang persembahan saya akan diiringi kumpulan Moderate. Pada malam itu, mereka yang hadir tidak hanya diperdengarkan lagu hit saya, malah membawakan lagu popular rock seperti She's Gone dipopularkan kumpulan Steelheart dan Di Alam Fana Cinta (Fotograf).

"Saya juga akan menyanyikan sebuah lagu dangdut. Kalau hendak tahu lagu apa, nantikan persembahan saya nanti," katanya yang cuba merahsiakan judul lagu berkenaan.

Konsert yang berlangsung selama dua jam setengah itu bakal dikendalikan Along Cham yang akan digandingkan bersama pelakon, Didie Alias.

Selain konsert, seperti biasa 'booth' meja hiburan, Rap (Rentak Artis Popular) masih meneruskan program Pencarian Gadis Metro dan Metro Idol. Kedua-dua pertandingan ini diadakan pada 17 Disember.

Pendaftaran Metro Idol yang hanya mengenakan bayaran RM20 dibuka seawal jam 10 pagi hingga jam 11 pagi. Seramai 10 atau lebih peserta (bergantung kepada keputusan juri) yang mengambil bahagian dalam pertandingan Metro Idol akan dipilih ke final diadakan keesokan hari (Ahad), jam 4.30 petang.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM500, tempat kedua (RM300) dan ketiga (RM200). Persembahan peserta akan diadili Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil dan penyanyi terkenal, Alyah yang akan menyampaikan single terbarunya, Pesananmu buat pertama kali.

Pertandingan ala ratu cantik, Gadis Metro pula menawarkan hadiah berupa wang tunai RM250 untuk juara, RM150 (Naib Juara) dan RM100 (tempat ketiga). Pendaftaran pertandingan ini dibuka pada Sabtu bermula jam 10 pagi hingga 2 petang dan peserta diminta berpenampilan menarik.

Menyerikan aktiviti hari Sabtu di 'booth' Rap, tentunya sesi 'Meet & Greet' di antara artis dan pengunjung yang membabitkan bintang filem Sesuatu Yang Tertinggal iaitu Zahiril Adzim dan isterinya, Shera Aiyob, jam 3 petang. Diikuti sesi ramah mesra bersama bintang filem Songlap, Syafie Naswip dan Sara Ali.

Satu penghormatan buat Harian Metro selaku penganjur apabila penerima anugerah Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular

Berita Harian 2010, Shaheizy Sam turut hadir mempromosikan filem Songlap yang ditayangkan di pawagam mulai hari ini.

Menyentuh aktiviti hari Ahad (18 Disember), Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali, Zaharil Adzim, Shera Aiyob, Najwa Latif, Awi Rafael dan Kumpulan Forteen akan terbabit dalam acara dinamakan Inflatable Balloon Games jam 9 pagi.

Manakala jam 2.30 petang, aktiviti di booth Rap kembali hangat dengan kemunculan Forteen yang dianggotai empat jejaka kacak, diikuti kumpulan Chocolat dibarisi tiga gadis juga produk sulung di bawah syarikat milik penyanyi Alyah yang popular dengan lagu Kisah Hati. Mereka akan menyampaikan lagu Boomerang.

KGHM2011 sebelum ini melewati beberapa lokasi bermula di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 23 dan 24 Julai sebagai destinasi pertama diikuti Dataran Bandaraya Ipoh, Perak Darul Ridzuan (24 & 25 September), Taman Kubang Gajah, Temerloh, Pahang (29 dan 30 Oktober) dan Dataran Millennium, Kepala Batas, Seberang Prai (19 dan 20 November).

Aktiviti Booth Rap 17 Disember 2011 (Sabtu)

10.00 pagi: Pendaftaran Metro Idol dan Gadis Metro.
11.00 pagi: Pertandingan Metro Idol.
3.00 petang: Sesi Meet & Greet bersama bintang filem Sesuatu Yang Tertinggal. - Zahiril Adzim dan Shera Aiyob.
3.40 petang: Sesi Meet & Greet bersama bintang filem Songlap. - Shaheizy Sam, Syafie Naswip dan Sara Ali.
4.30 petang: Pertandingan Gadis Metro.
5.40 petang: Penyampaian Hadiah Pertandingan Gadis Metro.
9.00 malam: Konsert Gegaria.

Aktiviti Rap 18 Disember 2011 (Ahad)

9.00 pagi: 'Inflatable Games' membabitkan artis dan peminat. Artis yang terbabit- Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali, Shera Aiyob, Najwa Latif, Awi Rafael dan Kumpulan Fourteen.
10.30 pagi: Penyampaian hadiah.
2.30 petang: Meet & Greet bersama kumpulan Forteen.
3.10 petang: Meet & Greet bersama kumpulan Cokelat.
4.30 petang: Final Metro Idol.
5.40 petang: Persembahan Istimewa Juri Metro Idol: Alyah.
6.00 petang: Penyampaian Hadiah Metro Idol.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Belum sedia jumpa

Posted: 14 Dec 2011 09:37 AM PST

"SAYA tak fikir kalau saya berdamai dengan dia akan menyelesaikan segala masalah. Selama inipun saya sudah terlalu banyak bertolak ansur tapi dia tak pernah henti-henti timbulkan masalah."

Demikian reaksi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong yang jelas menyambut dingin kesediaan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim yang mahu bertemu dengannya bagi menyelesaikan segala kemelut antara kedua-dua pihak itu selama ini.


Bukan tidak mahu berdamai tapi bagi Zolkples sudah cukuplah segala tohmahan buruk Karim ke atas MSN selama ini yang sekali gus turut membuatkannya hilang sabar dan tidak henti-henti menepis segala tuduhan tidak berasas.

"Ingat tak isu trek MSN yang tak sepatutnya timbul tapi saya terpaksa membuang banyak masa untuk jelaskan kepada umum kerana dia (Karim) menuduh kita yang bukan-bukan.


"Sampai masa itu, oleh kerana terlalu kecewa, saya buat kenyataan kalau saya sudah tak boleh lagi melayan kerenah beliau, tak ada orang lain yang boleh (melakukannya) kerana dia sudah membuatkan saya sudah amat hilang sabar.


"Dia pernah hantar surat pada PM (Perdana Menteri) tuduh saya bukan-bukan hingga saya terpaksa jawab segala tuduhan beliau. Apapun saya percaya PM tahu apa saya lakukan," katanya.

Jelas Zolkples, Karim sebenarnya bukan hanya bermasalah dengan beliau, malah turut mencetuskan masalah kepada orang di sekelilingnya.


"Bukan kepada saya saja tetapi banyak pihak seperti atlet, jurulatih dan ahli majlis KOM.

"Kalau setakat berdamai dengan saya tentunya tidak akan memberikan apa-apa kesan. Oleh itu, rasanya buat masa ini tak perlulah dulu. Sayapun tak lagi memikirkan sangat tentang beliau," katanya.


Karim ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24 kelmarin menyuarakan kesediaan untuk bertemu Zolkples atas permintaan peminat sukan bagi menyelesaikan segala kemelut yang tercetus.


Karim berkata, beliau akan menulis sepucuk surat kepada Zolkples dan menghantarnya selewat-lewatnya hari ini.


Katanya, kesediaan untuk menyelesaikan kemelut yang sudah lama berlarutan itu adalah demi kebaikan sukan olahraga negara selain meletakkan kembali sukan itu ke era kegemilangan.

Full content generated by Get Full RSS.

Irfan tidak teruja

Posted: 14 Dec 2011 09:34 AM PST

JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim seakan tidak teruja dengan kemenangan besar 5-0 anak buahnya ke atas MP Muar pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.

Pengendali berusia 60 tahun itu berkata, beliau belum puas hati dengan aksi pemainnya biarpun ia kemenangan kedua pada siri persiapan musim baru Liga Malaysia 2012 sejak dia mengikat kontrak bersama gergasi Merah.


"Saya lebih berminat untuk membicarakan persembahan pemain dan bukannya jumlah jaringan yang kami hasilkan dalam tempoh persiapan.

"Saya tidak mahu pemain mengambil mudah tidak kira siapakah lawan yang akan ditentang. Masih banyak aspek perlu diperbaiki namun saya puas hati dengan tahap disiplin dalam permainan yang ditunjukkan pemain dalam perlawanan tadi (semalam)," katanya.


Aksi menentang pasukan Liga Perdana, MP Muar semalam adalah perlawanan pra-musim kedua Selangor selepas menewaskan Sime Darby, 2-0 minggu lalu.


Gol pasukan Merah Kuning kali ini dijaringkan kapten, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-22, Fitri Shazwan Raduwan (m-41), Mohd Bunyamin Omar (M-60), Adib Aizuddin Abd Latif (m-68) dan Solihin Kanasian (m-88).

Biarpun belum dapat menguji penyerang import dari Congo, Lelo Mbele yang belum pulih kecederaan, Irfan sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega kerana pemain pertahanan Ramez Dayoub dari Lubnan sudah menunjukkan keserasian.


"Tahap kecergasan pemain masih belum mencapai tahap 100 peratus, saya juga belum puas hati dengan bahagian tengah dan juga serangan. "Ramez sudah mempamerkan peningkatan bersama pasukan dan tidak mempunyai masalah untuk bermain dalam pasukan ini," kata Irfan yang diberikan tugas untuk mengembalikan kegemilangan Selangor yang gagal meraih sebarang piala musim lalu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Koleksi Liz catat rekod dunia

Posted: 14 Dec 2011 08:51 AM PST

NEW YORK: Koleksi barang kemas milik Elizabeth Taylor yang dilelong dalam satu acara lelongan di New York, mencecah AS$115 juta (RM367 juta), rekod tertinggi setakat ini, termasuk AS$11.8 juta (RM37.6 juta ) untuk kalung mutiara dan AS$8.8 juta (RM 28.02 juta) untuk sebentuk cincin berlian, kedua-duanya pemberian Richard Burton.

Kalung mutiara yang mengandungi sebuah mutiara bersejarah dikenali sebagai 'La Peragrina' dibeli oleh Burton pada 1969 yang waktu itu berharga AS$37,000 (RM117,852).

Kalung yang dilelong malam tadi mencapai rekod dunia AS$11,842,500 (RM37.6 juta)

Kalung itu dianggarkan dapat dijual pada harga AS$2 (RM6.37 juta) hingga AS$3 juta (RM9.6 juta) dalam lelongan yang dibuat oleh pusat lelongan barangan kemas Christie serta barangan memorabilia kepunyaan mendiang.


Mutiara La Peregrina dikatakan satu daripada mutiara terpenting di dunia. Ia dihasilkan pada kurun ke-16 dan pernah dilukis oleh Velasquez.


Ia pernah dimiliki oleh Raja Sepanyol, Philip II dan Ratu Mary I.

Burton meminta Cartier untuk menghiaskan mutiara itu pada kalung bertatah berlian dan batu delima.

Cincin berlian 33.19 karat juga diberikan oleh Burton kepada Elizabeth, yang dikahwini sebanyak dua kali itu, dibeli daripada seorang pembeli dari Asia dengan harga AS$8,818,500 (RM 28.0.2 juta).

Thomas W. Burstein daripada Christie berkata, hanya sekali saja cincin itu ditanggalkan daripada jari Elizabeth, iaitu ketika dia memberikan kepada sahabatnya untuk mencuba.

Elizabeth, dewi layar perak, bekas bintang kanak-kanak dalam National Velvet.

Dia yang pernah berlakon sebagai Cleopatra dan dalam filem 'Who's Afraid of Viginia Woolf?', meninggal dunia di Los Angeles Mac lalu, ketika usianya 79 tahun.

Elizabeth adalah seorang daripada wanita tercantik dunia, pernah berkahwin lapan kali dan sering dihadiahkan barang kemas oleh peminatnya.

Koleksinya yang terkenal termasuk barang kemas daripada Cartier, Van Cleef & Arpels dan Chopard.

Barang-barang kemas yang dimiliki sepanjang lima dekad itu mempunyai kisah mengenai kehidupannya yang penuh warna-warni.

Antara barang yang dilelong termasuk pakaian gaun 'couture' yang dikenakan ketika perkahwinannya dengan Burton (dua kali).

Full content generated by Get Full RSS.

Upah penari bogel di majlis kahwin anak

Posted: 14 Dec 2011 08:42 AM PST

BEIJING: Polis China memberkas seorang lelaki yang mengupah dua orang penari bogel untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan anaknya, setelah penduduk kampung menyerbu tempat persembahan itu, menurut laporan akhbar, semalam.

Zhang Cheng, dari Xuzhou di timur wilayah Jiangsu pada mulanya mahu mengupah sebuah kugiran membuat persembahan di majlis perkahwinan itu, tetapi telah dinasihati dia boleh mendapat 'persembahan istimewa' sekiranya mengupah dua orang 'penghibur' itu.

"Setelah menyaksikan persembahan itu, Zhang membuat keputusan ia sesuai untuk majlis perkahwinan anak lelakinya dan mengupah dua orang penari bogel itu," kata laporan akhbar Global Times.

Tidak sampai lima minit, beratus-ratus penduduk kampung yang konservatif telah menyerbu untuk menyaksikan persembahan itu.


Zhang telah ditahan keesokan harinya tetapi tidak diberitahu atas dakwaan apa. - Reuters

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Jampi rambut kekasih

Posted: 14 Dec 2011 11:08 AM PST

KUALA LUMPUR: "Hampir setahun saya mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan lebih teruk saya turut mengabaikan tanggungjawab kepada anak yang ketika itu berusia setahun kerana lupa semua itu.

"Dalam ingatan hanya terbayang bekas teman lelaki dan jika boleh, saya ingin bersamanya setiap masa walaupun ketika itu sudah mendirikan rumah tangga," kata wanita yang ingin dikenali sebagai Rina, 31, mendakwa menjadi mangsa 'dukun asmara' mengakibatkan nafsunya hanya terdorong apabila melihat bekas teman lelakinya.

Menurutnya, dalam tempoh itu, dia langsung tidak 'berminat' apabila melihat suami, sebaliknya perasaan itu bertukar setiap kali melihat wajah bekas teman lelaki dan tambah teruk ketika menerima SMS daripada lelaki itu juga turut membuatkannya ghairah.

Katanya, dia tidak menyangka lelaki itu menggunakan 'cara halus' sedangkan mereka berpisah secara baik tanpa perselisihan faham dan dulu lelaki itu beranggapan perpisahan mereka ketentuan tanpa menaruh dendam.


Rina berkata, dakwaannya terhadap lelaki terbabit dirasakan berasas selepas menjumpai botol kecil dibungkus kain kuning mengandungi rambutnya di dalam kereta bekas teman lelakinya ketika mereka keluar makan malam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Pudu pula dilanda banjir kilat

Posted: 14 Dec 2011 11:06 AM PST

KUALA LUMPUR: Hujan lebat di ibu negara selama dua jam bermula jam 5 petang, semalam menyebabkan beberapa kawasan terutama di Jalan Chan Sow Lin, Jalan Brunei dan Jalan Brunei Utara, dekat Pudu dilanda banjir kilat separas 0.5 meter.

Banjir kilat dan cuaca buruk itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di ibu negara lebih dua jam.


Tinjauan Harian Metro di jalan itu mendapati peniaga bertungkus-lumus mengalihkan barangan ke tempat lebih tinggi selepas air memasuki kedai.

Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) ketika dihubungi berkata, banjir kilat berkenaan memberi kesan kepada aliran trafik di jalan terbabit yang bermula jam 5.15 petang.


Katanya, jalan lain turut terjejas termasuk Jalan Sultan Ismail menghala Jalan Tuanku Abdul Rahman, bulatan Segambut menghala Jalan Ipoh, Jalan Genting Klang dan Jalan Kuching menghala Selayang.


"Turut terjejas aliran trafik di Jalan Kinabalu menghala Jalan Loke Yew dan bulatan Cheras, Jalan Maharajalela menghala Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak menghala bulatan Pahang," katanya.

Sehingga jam 7 malam keadaan trafik di jalan lain juga dilaporkan turut terjejas.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved