Isnin, 1 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Sekali mencuba terus jatuh cinta

Posted:

Kebanyakan warga kota tidak sabar menantikan waktu hujung minggu kerana pada masa inilah mereka boleh beristirahat di rumah selepas sibuk sepanjang minggu dengan tugasan di pejabat serta tuntutan lain.

Selain itu, ada juga yang memilih keluar berjalan-jalan bersama keluarga sama ada di taman burung atau kompleks beli-belah. Tidak kurang yang melepaskan 'dendam' di atas katil empuk, tidur seharian bertemankan bantal dan selimut.

Bagaimanapun, bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak dengan pelbagai jenis sukan rekreasi luar seperti mendaki bukit dan gunung atau menaiki motosikal, hujung minggu paling dinantikan untuk melepaskan gian mengikuti pelbagai aktiviti berkenaan.

Lelaki mahupun wanita, ramai yang beranggapan aktiviti seperti ini memenatkan badan, membuang masa dan tidak berfaedah kerana perlu bersusah payah masuk ke hutan sambil memikul beg yang berat serta berkemungkinan kaki dan tangan dihinggapi pacat.

Foto

PUNCAK Gunung Besar Hantu berjaya ditawan oleh Fatin dan rakan-rakan.

Foto

BEREHAT di bawah khemah ketika hujan.

Foto

KERIANGAN tiba di puncak gunung sukar digambarkan dengan kata-kata.

Foto

KERIANGAN tiba di puncak gunung sukar digambarkan dengan kata-kata.

Foto

FATIN (kiri) dan rakan-rakan menikmati buah-buahan di puncak gunung.

Foto

PASUKAN Maziah (depan, dua dari kanan) berjaya menakluki Gunung Kinabalu.


Fikir mereka lagi, lebih baik berehat di rumah dengan menonton televisyen siri drama kegemaran ramai daripada mendaki bukit dan gunung yang tinggi.


Namun jika sudah minat, peluang dapat melakukan aktiviti ini sukar dilepaskan sekalipun sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata.

Pelajar di Management & Science University (MSU), Fatin Mohamed, 23, berkata, minatnya terhadap aktiviti lasak terutama yang membabitkan alam semula jadi terbit sejak sekolah lagi. Cuma dia hanya berkesempatan melakukannya dengan serius ketika menuntut di universiti berkenaan pada 2008.

Muncul kumpulan terbaik dalam sesi orientasi pelajar baru, dia dan rakan-rakan mendapat peluang mendaki Gunung Nuang di Hulu Langat kelolaan pihak universiti.

Pertama kali mendaki gunung tertinggi di Selangor itu tanpa sebarang pengalaman mahupun stamina mencukupi, Fatin terus jatuh cinta selepas melihat panorama indah alam semula jadi di sepanjang proses pendakian.

Pelbagai jenis flora dan fauna yang unik dapat disaksikan. Semakin tinggi dirinya mendaki, semakin tinggi juga perasaan cintanya terhadap aktiviti itu.

"Sebenarnya, ketika pertama kali saya mendaki tanpa pengalaman dan latihan sepatutnya itu, saya sudah tetapkan azam dan tekad di dalam hati bahawa ini bukanlah kali pertama dan terakhir saya melakukan aktiviti ini.

"Kebetulan dikelilingi rakan-rakan yang suka mendaki, saya teruskan hobi saya ini bersama mereka selain meletakkan diri saya sebagai sebahagian daripada alam semula jadi yang cantik.

"Terlalu banyak perkara yang saya peroleh menerusi aktiviti ini. Antaranya adalah keseronokan, kepuasan, kawan baru, erti ikhtiar hidup dan paling penting, tentu saja pengalaman.

"Pengalaman itu mengajar saya mengenai hakikat hidup dan pada masa sama, membuatkan kita berfikir perihal keindahan dunia ciptaan Tuhan yang tiada bandingan," katanya.

Peristiwa 'disesatkan', tidur dalam hujan, jumpa serangga unik dan tapak haiwan liar, menjaga kawan yang sakit serta cedera ketika mendaki, secara perlahan-lahan mendewasakan pemikirannya.

Tatkala berjaya menjejakkan kaki di puncak gunung pula, Fatin bagai mendapat trofi kemenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi meraihnya selepas menempuh pelbagai cabaran dan kesulitan.

Selalunya, dia mendaki bersama rakan seperjuangan di MSU. Jika berkesempatan mereka akan menganjurkan aktiviti mendaki untuk pelajar MSU yang lain juga.

Aktiviti mendaki yang dilakukannya bukan setakat pendakian semata-mata, sebaliknya turut diselitkan dengan kegiatan kemasyarakatan lain seperti khidmat bakti bersama masyarakat Orang Asli dan anak yatim.

Sekiranya mengalami masalah kekangan waktu, Fatin hanya mendaki bukit berdekatan yang tidak memerlukannya bermalam di puncak contohnya Bukit Broga di Semenyih.

Cabaran mendaki Gunung Liang Timur dan Barat di Tanjung Malim, Perak, paling diingati kerana selain perlu menempuh laluan tanah yang agak teruk, dia juga harus menjaga rakannya yang cedera.

Jarak perjalanan yang memakan masa hampir tujuh jam untuk sampai ke tapak perkhemahan amat menyulitkan pergerakan mereka. Sewaktu mahu turun dari puncak pula, mereka sesat hampir enam jam dan menyebabkan orang kampung memulakan operasi mencari mereka.

Sepanjang tempoh sukar itu, mereka diuji dengan pelbagai perkara antaranya terdengar bunyi harimau, nampak ular berbisa, pokok tumbang serta hujan lebat.

Selain Gunung Nuang dan Gunung Liang Timur dan Barat, sehingga kini, dia sudah menawan puncak Gunung Datuk, Gunung Besar Hantu, Gunung Berembun, Gunung Santubong dan Bukit Broga.

Hajatnya pada masa depan, dia ingin sekali ke puncak Gunung Rinjani di Indonesia kerana mendapat tahu laluan dan kawasan di situ mencabar serta cantik.

Ditanya sama ada dia bimbang jika keadaan kulitnya menjadi gelap, jawab Fatin ringkas tidak.

"Mungkin kerana saya memang sudah tahu inilah risiko yang saya perlu ambil jika ingin melakukan sesuatu yang saya suka. Justeru, saya mengambil sikap tidak kisah asalkan saya dapat melakukan sesuatu menyeronokkan serta memberi kepuasan kepada diri sendiri.

"Lelaki tipikal memang sering mengutuk atau memandang rendah terhadap apa yang dilakukan wanita. Zaman sudah semakin maju dan rasanya wanita kini boleh diibaratkan berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki.

"Justeru, tidak ada masalah kalau seorang perempuan itu sukakan aktiviti lasak kerana ia hak individu. Jika mereka (lelaki) ada hak untuk memberi pandangan terhadap wanita yang sukakan aktiviti lasak, jangan dilupa wanita juga berhak melakukan sesuatu yang disukai asalkan ia tidak melanggar undang-undang negara serta hukum agama," katanya yang turut suka sukan berbasikal dan memanjat tembok batu.

Nasihat Fatin kepada wanita yang menggemari aktiviti ini, mulakan dengan langkah mudah terlebih dulu supaya lama kelamaan kita akan terbiasa. Jika tidak tahu bagaimana mahu bermula, jangan malu untuk bertanya dan ikuti kumpulan pendaki atau aktiviti lasak di luar.

Kalau sudah minat

Bagaikan sudah mengalir di dalam darah keluarga mereka, ibu saudara Fatin, Maziah Mazuki, 38, turut berkongsi minat yang sama. Seorang yang sukakan aktiviti mencabar yang menguji kekuatan fizikal serta mental, peluang meneroka sisi lain alam membuatkan dia jatuh cinta dengan aktiviti ini.

Kerap mendaki bersama ahli keluarga dan rakan, dia yang mesra dengan panggilan Maz akan melakukan persiapan rapi dari segi fizikal dan mental. Antaranya, bersenam secara konsisten untuk mengekalkan stamina, mengamalkan diet pemakanan sihat yang seimbang, menyediakan peralatan mendaki secukupnya dan melakukan kajian mengenai kawasan gunung yang hendak didaki.

"Setakat ini, tiada peristiwa mencemaskan yang berlaku terhadap saya ketika mendaki sebab segalanya berjalan lancar. Apa yang boleh dikatakan, minat mengatasi segalanya.

"Mengetahui saya boleh menghadapi cabaran sepanjang perjalanan ke puncak gunung cukup menggembirakan. Saya tidak kisah apa orang lain hendak kata mengenai hobi dan aktiviti seperti ini kerana setiap individu berhak melakukan apa yang mereka gemari.

"Seperti saya, aktiviti lasak yang dilakukan adalah untuk kepuasan diri sendiri dan bukannya untuk mencabar kaum lelaki atau minta disanjung serta dikagumi orang lain," katanya yang sudah mendaki lebih 10 gunung seperti Gunung Kinabalu, Sabah; Gunung Brinchang, Cameron Highlands dan Gunung Senyum di Bukit Fraser.

Pilih motosikal

Anak kelahiran Perak, Normazni Ayub, 26, pula meminati motosikal dan lebih rela menunggangnya ke mana saja daripada memandu kereta.

Mula menunggangnya secara haram tanpa lesen seawal usia 15 tahun, dia tekad untuk memiliki lesen sah selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

Memilih motosikal berbanding kenderaan lain, Normazni menyatakan kosnya lebih rendah dan jika jalan sesak pada waktu puncak, dia boleh mencelah dengan mudah dan tiba di rumah pada waktu ditetapkan.

Mudah dikendalikan dan suka dengan kelajuan juga menjadi salah satu faktor Fatin memilih motosikal. Walaupun pernah mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia patah tangan, peristiwa itu tidak membuatkannya serik untuk terus menunggang motosikal.

"Saya rasa bebas apabila dapat memecut laju dan paling suka ketika memandu dalam keadaan hujan lebat. Peluang mencelah di antara kereta yang banyak di tengah jalan juga membuatkan saya berasa seronok kerana ia menguji tahap kemahiran saya mengendalikan kenderaan ini.

"Seorang wanita yang mahu menunggang motosikal perlu berani dan berjiwa kental kerana dia perlu bersaing dengan ramai penunggang lain di jalan raya," katanya yang memasang impian untuk memiliki motosikal jenis Ducati Monster satu hari nanti.

Selain gemar menunggang motosikal, Noormazni juga suka membaca buku dan menulis puisi selain berhajat melakukan terjun tali anjal (bungee) serta berlumba motosikal di litar Sepang jika mempunyai kesempatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Tak lokek kongsi ilmu

Posted:

Tersentak selepas mendengar nasihat seorang pakar motivasi yang menyatakan jangan sesekali kita lokek berkongsi ilmu dengan sesiapa saja, Noor Hidawati Mohd Juki, 36, mengambil keputusan mengajar seni kraftangan kepada golongan wanita daripada pelbagai latar belakang berbeza.

Wanita bergelar ibu tunggal, suri rumah dan guru antara mereka yang setia menjadi anak muridnya untuk satu tujuan iaitu menambah ilmu di samping boleh menjana pendapatan lebih sekalipun hanya melakukannya di rumah.

Ibu kepada empat cahaya mata ini percaya sekiranya kita jujur dan ikhlas berkongsi kebolehan bersama orang lain, Tuhan akan memudahkan serta memberi lebih rezeki dalam kehidupan mereka.

"Saya kerap mendengar keluhan ramai wanita yang mahu belajar seni kraftangan atau apa saja kemahiran tetapi tidak tahu cara memulakannya. Selain itu, ada juga wanita yang mahu dijadikan guru itu tidak sudi mengajar mereka.


"Alasannya, mereka khuatir hasil tangan dan perniagaan sedia ada terjejas sebab akan ditiru bulat-bulat lalu me-nutup pintu rezekinya.


"Saya memang tidak bersetuju de-ngan cara ini kerana bagi saya, jika kita berusaha dan tidak lupa berdoa kepada Tuhan, pasti bahagian yang selayaknya kita terima akan dirasai juga.

"Soal tiru atau tidak hasil seni kraftangan seseorang, berkaitan dengan kreativiti dalam menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain. Jika kerja seni kita ditiru, cuba hasilkan rekaan baru yang lebih menarik hati dan disukai orang ramai. Ia semudah itu saja," katanya.

Mengajar kira-kira 30 wanita, sambutan yang diterimanya itu membuat-kan dia teruja kerana dapat membantu mereka melakukan perkara positif dan berpotensi untuk dikembangkan menjadi perniagaan pada masa depan.

Malah, dia juga gembira apabila bukan setakat golongan wanita, kanak-kanak juga antara pelajarnya yang bijak dan banyak melontarkan idea baru dalam penghasilan kraftangan mengikut perkembangan semasa.

Antara barangan atau kraftangan yang dihasilkannya adalah sarung kotak tisu, potpuri pelbagai bentuk, bekas jarum dan lapik cawan menggunakan kain felt berkualiti.

Menyoroti kisahnya dalam bidang ini, Noor Hidawati mengakui ia berlaku secara tidak sengaja. Segalanya bermula di hospital ketika menjaga dan menemani anak ketiganya yang tidak sihat sekitar 2009.

Sambil menunggu di tepi katil, dia memulakan jahitan menggunakan pek permulaan bersaiz kecil yang dibeli lalu mula membentuknya. Siapa sangka perlakuannya itu diperhatikan ramai jururawat bertugas lalu seorang daripada mereka memuji hasil kerjanya.

Terkejut dengan pujian itu, dia dihujani pula de-ngan idea daripada mereka yang menyatakan seni kraftangan moden seperti ini boleh menjana pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Mengambil cadangan itu dari sudut positif, dia mengatakan pada diri sendiri ada betulnya apa yang disarankan jururawat berkenaan.

Justeru, secara perlahan-lahan dan atas restu suami tercinta, dia mula membuka perniagaan dalam talian menerusi kedaiadik.blogspot.com walaupun pada ketika itu turut sibuk menguruskan karier sebagai setiausaha dan rumah tangga.

"Saya mula membuat potpuri dan beberapa barangan lain kemudian memberikannya kepada rakan di tempat kerja. Bermula dari situ, saya mendapat maklum balas meyakinkan sehingga menerima tempahan dalam kuantiti banyak untuk satu majlis perayaan.

"Lama-kelamaan, tempahan yang saya terima semakin banyak dan disebabkan masalah kekangan waktu antara kerja serta keluarga, saya membuat keputusan berhenti kerja secara rasmi pada Februari 2011 selepas berbincang bersama suami.

"Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Apabila mula mendapat pertanyaan daripada pelanggan yang mahu belajar membuat krafta-ngan, saya tidak mahu menghampakan mereka dan berkongsi segala ilmu yang ada ini bersama-sama," ujarnya yang sudah belajar menjahit sejak berusia sembilan tahun lagi.

Tambahnya, tanpa minat dan kesungguhan juga mungkin dia, malah sesiapa yang mencuba bidang ini tidak akan berjaya kerana minat dan mempunyai idea kreatif menjadikan penghasilannya lebih mudah.

Jika tiada kesinambungan antara kedua-dua elemen itu, sudah pasti hasilnya tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Justeru, jika sudah berminat tetapi tidak mempunyai pengetahuan mendalam untuk mencorakkannya, Noor Hidawati menasihati berguru terlebih dulu dengan sesiapa yang mempunyai kemahiran berkenaan.

Baginya, menerusi kelas seni kraftangan yang dihadiri pula pasti memberi manfaat kerana dapat bertukar fikiran dan mencari idea baru untuk menambah baik penghasilan apa saja jenis seni kraftangan yang mahu dilakukan.

Menyentuh perancangannya pada masa depan, dia berhajat membuat bufet manisan bersama rakan kongsinya dari Seremban, Negeri Sembilan dan mengetengahkan seni kraftangan moden kontemporari ke peringkat lebih tinggi.

"Saya akan berusaha membawa kraftangan moden kontemporari tempatan ini untuk lebih dikenali dalam kalangan masyarakat amnya dan dunia khasnya menerusi pameran di ekspo besar yang disertai ramai penggiat seni kraftangan sama ada secara serius mahupun tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pekedai rugi RM1j

Posted:

Kapar: "Tiada kata yang mampu saya ungkapkan selepas melihat kedai runcit yang diusahakan bersama keluarga sejak enam tahun lalu hangus dijilat api. Walaupun terpaksa menanggung kerugian RM300,000, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku," kata Ng Kau Tee mengenai kejadian kebakaran kedai runcitnya di Batu 10, Pekan Kapar, di sini, awal pagi semalam.

Dipercayai kejadian berlaku jam 2.50 pagi itu, tujuh rumah kedai masing-masing dua kedai runcit manakala sebuah kedai barangan terpakai, bengkel motosikal, kedai gunting rambut, kedai pakaian dan sebuah kedai kosong musnah.


Kerugian dialami semua pekedai terbabit mencecah RM1 juta berikutan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan dalam kedai masing-masing.

Menurut Ng, 65, dia mengetahui kedai runcitnya yang disewanya itu terbakar jam 3 pagi selepas dimaklumkan rakannya yang melalui jalan berkenaan ketika kejadian.


Katanya, sebaik tiba, dia hanya mampu melihat kedainya sudah terbakar dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang berikutan api marak.


"Barangan dalam kedai tidak dapat diselamatkan termasuk stok barangan seperti beras dan minyak yang baru sampai dihantar pengedar Jumaat lalu dan semuanya dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit. "Saya belum terfikir untuk mencari lokasi kedai baru kerana mahu membersihkan kedai runcit ini terlebih dulu kerana barangan yang hangus perlu dibuang supaya memudahkan pemilik membaiki kerosakan kedai berkenaan," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Foto

RUMAH kedai yang musnah dalam kebakaran di Batu 10, Pekan Kapar, semalam.

Foto

PEKERJA membersihkan kedai.

Tinjauan Harian Metro ke tempat kejadian semalam mendapati ada pemilik kedai membersihkan premis masing-masing.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.55 pagi dan jentera pertama tiba di tempat kejadian jam 3.10 pagi.

Beliau berkata, dua jentera masing-masing daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, BBP Sungai Pinang dan BBP Kota Raja dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran.


"Bomba dapat mengawal sepenuhnya kebakaran jam 4.10 pagi dan tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan.


"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan pasukan forensik bomba dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan," katanya. Operasi memadam kebakaran diketuai Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Zaidi Safuwan dibantu 29 anggota. Pengarah Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Jabatan Perdana Menteri D Ravindran ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya melalui Jabatan Perdana Menteri akan menyalurkan bantuan kepada semua pekedai terbabit dalam kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Terlahirnya 'Oblivion'

Posted:

Pada tahun 2005, lima tahun sebelum Joseph Kosinski mengarahkan filem pertamanya, 'TRON: Legacy' (2010), dia telah menghasilkan sebuah karya setebal 12-muka surat yang diberi judul 'Oblivion'. Karya bergenre aksi pengembaraan itu berlatarbelakangkan Bumi pada tahun 2077, enam dekad selepas pencerobohan makhluk asing yang meninggalkan Bumi terdedah kepada radiasi. Watak utama bernama Jack Harper, seorang juruterbang berani mati yang kini bertugas di Bumi.

Realiti yang Jack selama ini percaya sebagai kebenaran musnah dalam sekelip mata apabila dia dipertemukan dengan seorang wanita misteri. KesedarJack akhirnya melihat lelaki ini menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin kepada mereka yang masih berada di Bumi.

Impian Kosinski ialah untuk mengadaptasi 'Oblivion' buat layar perak. Malangnya, masa sering tidak menyebelahinya. Sehinggalah beberapa tahun kemudian bila dia ditemukan dengan pengasas Radical Studios, Barry Levine dan Jesse Berger.

Ketika itu, mereka bertiga mendapat idea untuk mempersembahkan cerita 'Oblivion' dalam versi novel grafik. Tujuannya bagi memudahkan mereka mendemonstrasikan halatuju 'Oblivion' kepada pelabur yang berminat. Arvid Nelson dipertanggungjawabkan untuk menulis novel tersebut sementara ilustrasi oleh Andree Wallin.


Pada masa yang sama, mereka ingin mendapatkan maklum balas dari orang-orang awam terhadap 'Oblivion'. Sebanyak 30,000 salinan novel grafik itu diedarkan di Comic-Con International 2010 dan mendapat sambutan yang memberangsangkan.


Kosinski ingin berkongsi pengalaman dan minatnya mengarah sebuah karya sains fiksyen. Beliau membesar dengan filem-filem klasik seperti 'The Omega Man', 'Blade Runner' dan '2001: A Space Odyssey' dan buku termasuk 'Hyperion' serta rancangan TV seperti 'The Twilight Zone'. Pengarah muda ini memberitahu, dia gemar melihat teknologi canggih yang dipersembahkan dalam rekaan bergaya ditemukan dengan latarbelakang yang 'rugged'.

Bagi Berger dan Levine, mereka tertarik dengan 'Oblivion' kerana ia bukan sahaja sebuah filem aksi-penggembaran yang hebat tetapi pada terasnya, ia mengisahkan tentang seorang individu yang sedang mencari kemanusiaannya dan sebagai penonton, anda mahu menyokong dan melihatnya berjaya.

Selepas kejayaan mereka di Comic-Con, Universal Pictures dan Chernin Entertainment bersetuju untuk bekerjasama merealisasikan impian Kosinski. Sementara kerja-kerja mengadaptasikan 'Oblivion' untuk layar perak dimulakan, Kosinski perlu fokus pada pencarian pelakon-pelakon yang akan menghidupkan watak-wataknya.

Berbeza dari filem aksi-penggembaraan lain yang dipopulasikan dengan ramai pelakon, 'Oblivion' hanya mengetengahkan beberapa watak sahaja, lebih-lebih lagi Bumi pada waktu itu sudah ditinggalkan penduduknya.

Buat Kosinski, pelakon A-list Hollywood, Tom Cruise merupakan calon teratas di dalam senarainya. Walaupun begitu, dia mengakui terkejut bila dihubungi wakil Cruise yang memaklumkan bahawa pelakon tersebut sudah membaca novel grafik 'Oblivion' dan ingin duduk berbincang dengannya. Dalam tempoh tiga jam, pertemuan yang berlangsung di sebuah hangar kapal terbang di Burbank berakhir dengan berita gembira yang Cruise ingin terlibat sama dalam projek Kosinski.

Tentang koloborasi mereka, Kosinski menjelaskan, "Tom tahu apa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah filem yang hebat. Berpeluang bekerjasama dengannya sesuatu yang menakjubkan, bukan sahaja di set ketika penggambaran tetapi dari awal lagi sewaktu kami bersama-sama membentuk skrip dan wataknya.

Bagi Tom pula, alasannya menawarkan diri untuk 'Oblivion' mudah sahaja - dia tartarik dengan ceritanya.

"Pertama kali kami bertemu, saya sudah kagum dengannya (Kosinski). Joe seorang yang berbakat. Dia seorang pengarah yang mencipta dunia lain dan visinya untuk 'Oblivion' membuatkan saya tertarik. Belum pernah lagi saya melihat visi sebegitu di dalam karya-karya lain. Walaupun sudah lama saya tidak terlibat di dalam sebuah filem sains fiksyen sejak 'Minority Report' tetapi saya suka genre itu dan saya tahu Joe mampu menghasilkan sebuah karya yang hebat."

'Oblivion' bukan sahaja percubaan pertama Cruise bekerja di bawah arahan Kosinski tetapi ia juga pertama kali dia digandingkan dengan pelakon tersohor Morgan Freeman yang membawa watak Beech, pemimpin revolusi.

Kongsi Cruise, "Pada tahun 1990, kami berdua telah dicalonkan untuk Oscars. Saya untuk watak saya dalam 'Born on the Fourth of July dan dia untuk 'Driving Miss Daisy'. Saya begitu mengaguminya dan saya ingat lagi di malam Oscars, saya memberitahunya saya meminati hasil kerjanya dan mencadangkan kami patut bekerjasama. Agak sedih ia telah mengambil masa bertahun lamanya untuk kami digandingkan tetapi saya gembira diberikan peluang ini. Dia seorang individu yang hebat dan pelakon yang luar biasa."

Barisan pelakon lain yang turut terlibat di dalam 'Oblivion' termasuk Olga Kurylenko (sebagai Julia Rusakova, penggembara misteri yang telah merentas masa dan ruang untuk mencari cinta sejati), Andrea Riseborough (Victoria 'Vika' Olsen, pembantu setia Jack), Nikolaj Coster-Waldau (Sykes, orang kanan Beech) dan Melissa Leo (Sally, ketua pegawai yang ditugaskan mengendalikan pemindahan penduduk dari Bumi).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Hairul, Dazrin juara FFSM

Posted:

Berlangsung selama 13 minggu di bumi Capeteown, Afrika Selatan dan terpaksa menempuhi perubahan cuaca, 26 cabaran lasak yang berbeza serta menghadapi pelbagai kecederaan, persaingan Fear Factor Selebriti Malaysia (FFSM) ak–hirnya sampai ke kemuncak.

Gandingan mantap menewaskan 14 pasangan lain mencipta rekod baru dalam dunia selebriti apabila pasa–ngan ideal, Hairul Azreen dan Dazrin Kamarudin dinobatkan sebagai juara FFSM yang pertama.

Sebelum disahkan menang, mereka terpaksa bertanding dengan tiga pasangan selebriti lain pada pering–kat akhir dan segala dugaan yang dihadapi bertukar menjadi kenangan paling manis buat mereka berdua.

Dazrin berkata, sokongan padu ibu bapa menjadi dorongan utama sepanjang berada dalam persai–ngan cabaran itu.

Foto

HAIRUL (kiri) dan Dazrin juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama.


"Selain itu persefahaman dengan rakan sepasukan memainkan peranan utama dan terima kasih juga kepada peminat terutama daripada kelab peminat saya Flying D's yang tidak henti-henti mendoakan kejayaan kami di Afrika Selatan.

"Walaupun terlalu berdebar sewaktu berhadapan cabaran, kami ketepikan segala getaran yang melanda," katanya.

Dinobatkan sebagai juara, mereka masing-masing mempunyai kelemahan diri apabila berdepan situasi yang tidak dijangkakan.

"Cabaran yang paling ngeri apabila terpaksa berhadapan dengan ular. Ketika itu terdapat pelbagai spesies ular di dalam kotak yang perlu saya pindahkan ke kotak lain dalam masa paling singkat. Binatang itu membuatkan saya rasa geli dan takut. Namun, selepas berhadapan situasi itu, saya dapat mengatasi masalah fobia dengan ular," katanya.

Hairul pula berkata, dia menggalas tugasan yang amat berat sewaktu melangkah masuk ke program itu.

"Kerjaya sebagai pelakon lagak ngeri dan kemenangan pada minggu pertama sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya. Namun, saya melihat cabaran ini dari sudut positif dan berusaha sehingga ke peringkat akhir. Saya juga membuktikan bahawa selebriti yang sering digelar 'jambu' juga berupaya melakukan pelbagai aktiviti ngeri," katanya.

Akur kepada kelemahan diri, dia meletakkan dirinya sebagai penyahut cabaran untuk mara ke pering–kat seterusnya.

"Setiap cabaran wajib ditempuhi peserta. Walaupun takut lipas, pada masa itu saya mesti buktikan tiada satu faktor pun yang dapat menghalang saya dan Dazrin mara ke hadapan," katanya.

Dengan kemenangan itu mereka menerima hadiah wang RM200,000 di samping wang tunai terkumpul RM20,000 melalui ganjaran hadiah yang dimenangi sewaktu sesi cabaran mingguan.

Masing-masing memasang niat murni apabila Hairul ingin menunaikan haji bersama kedua-dua orang tuanya manakala Dazrin pula ingin me–nyumbangkan sejumlah wang kepada anak yatim.

"Terima kasih Astro khususnya Astro Ria kerana peluang kepada selebriti untuk membuktikan kepada masyarakat mengenai keberanian kami," kata Hairul lagi.
FFSM dikendalikan Aaron Aziz.

Pusingan akhir yang disiarkan semalam menyaksikan dua cabaran lasak yang perlu ditempuhi empat pasangan selebriti.

Cabaran pertama, 'Catapult To Net' , tetapi malangnya, pasangan Zoey dan Dafi serta Ajak dan Elfira tersingkir pada pusingan itu.

Dazrin dan Hairul serta Hefny dan Hafizul mara ke pusingan seterusnya iaitu pusingan penentu juara FFSM. Mereka di bawa ke sebatang jalan di Durbanville untuk melakukan aksi stunt terakhir yang dinamakan Car Canon.

Dalam aksi itu, setiap pasukan perlu meletupkan kereta supaya melambung dan terseret ke hadapan. Salah seorang jadi pemandu dan seorang lagi menekan butang letupan. Pasukan yang berjaya menghentikan kereta paling hampir dengan pusat sasaran adalah juara bagi FFSM pertama.

Rancangan itu yang bersiaran sejak 29 Disember tahun lalu melalui Astro Ria menjadi fenomena di Malaysia apabila mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada penonton. Malah, kejayaan rancangan realiti seperti FFSM membuktikan sekali lagi Astro Ria sangat komited dalam memberikan kepuasan maksimum kepada penonton di samping menjadi saluran hiburan Melayu utama di negara ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada peminat ranca–ngan itu yang rata-ratanya inginkan rancangan itu diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/31
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


'Tak bantu pengganas'

Posted:

Lahad Datu: "Saya memang ada memberi bantuan kewangan kepada pewaris Sultan Sulu, tetapi bukan kepada Jamalul Kiram III," kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Malaysia (Al-Ehsan), Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman.

Ketika mengulas kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib bahawa polis sedang mencarinya, Muhammad Ridzwan berkata, bantuan yang disalurkan itu terus kepada seorang daripada pewaris Sultan Sulu iaitu Muedzul Lail Tan Kiram atas dasar sesama Islam dan langsung tidak ada kena-mengena dengan pencerobohan oleh pengganas di Sabah.

Malah, katanya, bantuan itu diberikan dari semasa ke semasa sejak dulu.

"Saya hanya mengetahui dikehendaki polis selepas dihubungi rakan. Ketika itu saya dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis di Kedah. "Saya akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi esok (hari ini) bagi memberikan kerjasama penuh terhadap pihak polis.

Foto

HAMZA menunjukkan gambar Ridzwan yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penyaluran dana dalam kejadian pencerobohan di Sabah.


"Ingin saya tegaskan, saya menolak keras kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, apatah lagi memberikan apa saja bantuan kepada pengganas terbabit," katanya ketika dihubungi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Gigil lihat betis digerudi

Posted:

Gaza (Palestin): Teruja, berdebar dan gementar. Itu perasaan saya tatkala mendapat kebenaran membuat liputan penuh pembedahan seorang mangsa perang Palestin-Israel di bilik pembedahan, Hospital Sahabat Pesakit, di sini, kelmarin.

Liputan eksklusif berkenaan dilakukan ketika pembedahan bagi merawat Helme Abed, 32, mangsa kekejaman tentera Israel pada 2008 yang ditembak di paha menyebabkan otot kaki kanannya rosak. Disebabkan itu, Helme tidak mampu menggerakkan kakinya.

Untuk makluman, pembedahan itu dilakukan secara koloborasi bersama Pakar Ortopedik Hospital Senawang Malaysia Dr Zairul Nizam Zainol Fithri yang menyertai Misi Perubatan Aman Palestin dan Pakar Ortopedik Hospital Shifa di Gaza Dr Muhammed Ali Rantisi bermula jam 2.29 petang dan selesai jam 3.45 petang (waktu Palestin).

Bagi saya, pengalaman berada dalam bilik pembedahan hampir satu jam 15 minit selain menyaksikan sendiri perjalanan pembedahan dari awal hingga akhir adalah detik manis yang cukup bermakna.

Foto

WARTAWAN (kiri) bersama Dr Muhammed dan Dr Zairul (kanan) selepas pembedahan Helme.


Jujurnya, ia pengalaman pertama yang agak menakutkan namun saya menguatkan semangat kerana mengetahui ia peluang yang sukar diperoleh di Malaysia apatah lagi membabitkan mangsa peperangan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


'Lelaki hamil' gagal bercerai

Posted:

Phoenix: Seorang hakim menolak tuntutan cerai daripada lelaki yang asalnya wanita dan melahirkan tiga anak selepas berkahwin.

Hakim mahkamah keluarga daerah Maricopa, Douglas Gerlach menegaskan bahawa larangan perkahwinan sesama jantina di Arizona menyebabkan perkahwinan sembilan tahun Thomas Beatie tidak boleh disahkan.

Beatie dilahirkan perempuan tetapi menjalani pembedahan untuk menjadi lelaki. Bagaimanapun, dia masih mengekalkan organ pembiakan wanita dan melahirkan tiga anak.

Gerlach berkata, dia tiada kuasa untuk meluluskan perceraian kerana tiada bukti mencukupi menunjukkan Beatie adalah lelaki ketika dia mengahwini Nancy di Hawaii. Menurutnya, pasangan Beatie tidak pernah memberikan rekod yang dapat menjelaskan apa yang sebenarnya telah dilakukan Beatie untuk menjadi lelaki.

Foto

BEATIE ketika hamil anak pertamanya empat tahun lalu.


Jurucakap Beatie, Ryan Gordon berkata, komen hakim itu mengejutkan dan Beatie bercadang merayu keputusan itu.


Menurutnya, Beatie berkahwin sebagai lelaki secara sah dan tidak disyaratkan untuk mendedahkan bahawa dia mengekalkan organ pembaikan wanita ketika memohon dan memperoleh sijil kelahiran baru di Hawaii sebagai lelaki.

Dia berkata, Beatie menghentikan rawatan testosteron agar dia dapat melahirkan anak.

"Malang sekali kerana hakim di sini tidak mengiktiraf perkahwinan di negeri lain," katanya.

Beatie benar-benar mahu mengakhiri perkahwinannya.

Bagaimanapun, hasratnya tertangguh apabila Gerlach mengatakan dia tidak dapat menemui klausa dalam undang-undang yang mendefinisikan lelaki boleh melahirkan anak.

Thomas Beatie yang dikenali sebagai "Lelaki Hamil" dilahirkan sebagai Tracy Lehuanani Lagondino di Oahu, Hawaii.

Dia berkahwin dengan pasangannya Nancy pada awal 2003 di Honolulu dan hamil kerana Nancy tidak dapat melahirkan anak. Beatie melahirkan anak yang kini berusia empat, tiga dan dua tahun selepas hamil melalui sperma yang didermakan. Pasangan itu kemudian berpindah ke Arizona.

Beatie mendapat liputan meluas media, tampil dalam rancangan bual bicara seperti Larry King dan Oprah Winfrey serta memenangi tempat dalam senarai "10 Individu Paling Mempesonakan" Barbara Walters pada 2008. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Polis gagal seludup lelaki

Posted:

Abu Dhabi: Seorang lelaki dari Asia yang pernah cuba memasuki Emiriah Arab Bersatu secara haram ditahan dalam but kereta yang dipandu seorang pegawai polis semalam.

Ini adalah percubaan kali keduanya memasuki negara itu. Pegawai polis terbabit turut ditahan bersama lelaki itu, lapor akhbar Al-Bayan. Menurut laporan pejabat pendakwa raya di Abu Dhabi, penguatkuasa imigresen menahan kedua-duanya di pusat pemeriksaan imigeresen di Al-Ain.


Lelaki Asia itu dikatakan membayar 500 dirham (RM420) kepada polis terbabit untuk membawanya memasuki negara itu. Pegawai itu memandu dari Al-Beremy sebelum keretanya diperiksa sebaik tiba di pusat pemeriksaan Al-Ain. Penguatkuasa imigresen terkejut apabila mendapati ada lelaki bersembunyi dalam but kereta dipandu pegawai itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


FAM tutup mulut

Posted:

Kuala Lumpur: Situasi panas yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan dakwaan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad mengenai ada komplot dalaman cuba menjatuhkan jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang memaksa Presiden Sultan Ahmad Shah untuk campur tangan.

Sultan Ahmad Shah semalam mengarahkan agar Azzuddin supaya tidak membuat sebarang kenyataan lanjut berhubung perkara itu.


"Saya tidak mahu mengulas lebih panjang mengenai isu itu. Lagipun, baginda (Sultan Ahmad Shah) telah bertitah supaya perkara ini tidak dipanjangkan," katanya.

Dakwaan Azzuddin mengenai kemungkinan ada komplot di kalangan keluarga FAM untuk menyingkirkan Rajagobal disiarkan Arena Metro Sabtu lalu.


Ia satu dakwaan yang agak berat dan sepatutnya disiasat sekiranya ia benar berlaku dan jika tidak, Azzuddin seharusnya bertanggungjawab dengan dakwaannya itu.


Malah kenyataan Setiausaha Agung itu yang dilihat cuba membela Rajagobal dianggap tidak wajar dikeluarkan kerana ditakuti boleh mempengaruhi keputusan Jawatankuasa Tatatertib selepas ini.

Foto

SULTAN AHMAD SHAH (dua dari kanan) bersalaman dengan pemain Harimau Malaya pada perlawanan amal di Stadium Darul Makmur.

Azzuddin mempertahankan kenyataannya itu dan tidak mahu ia disalahtafsirkan oleh mana-mana pihak. "Biarlah tumpuan lebih diutamakan kepada aksi kelayakan Piala Asia 2015 yang mana kita sama-sama memberikan sokongan kepada skuad negara dalam usaha merealisasikan hasrat untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi," tegasnya.


Kedudukan Rajagobal kini goyah apabila beliau bakal dibicarakan di bawah Artikel 88 Statut FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib selepas surat pertuduhan dikeluarkan minggu ini. Pengendali negara itu didakwa mengkritik Liga M dengan menyatakan kehadiran pemain import menyebabkan skuad negara ketandusan penyerang semula jadi selepas tewas 1-4 kepada Arab Saudi dalam satu aksi pemanas badan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.

Keputusan mengembalikan semula kehadiran pemain import adalah keputusan yang menjadi dasar FAM dan tidak sepatutnya dipertikaikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Skuad 1Malaysia jagoan KKTB

Posted:

Melaka: Pasukan 1Malaysia muncul juara Kejohanan Futsal Kolej Komuniti Tangga Batu (KKTB) selepas menang 3-1 ke atas Berangan 6 dari Serkam di pentas final yang berlangsung di A Sports Klebang Melaka baru-baru ini.

Kejohanan julung kali dianjurkan kolej terbabit menyaksikan juara dan naib juara lelaki dan wanita meraih wang tunai RM700 dan RM300 serta hadiah iringan.


Tempat ketiga dan ke-4 pula milik pasukan Arena FM dan BB FC dari Bukit Beruang, manakala juara kategori wanita diungguli Judas B selepas mengatasi Judas A , 1-0 di final.

Pengarah KKTB Khairul Anuar Muhamad berkata, sebanyak 20 pasukan lelaki bersaing dan 12 kategori wanita memperaga persembahan terbaik masing-masing.


Katanya, program bertujuan mendekatkan masyarakat bersama pemimpin selain memperkenalkan kolej terbabit kepada umum.


Program dirasmikan Lim Ban Hong mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang Datuk Seet Har Cheow. Turut hadir setiausaha program Nazal Risal.

Beliau berkata, sambutan menggalakan itu memberi input berkesan terhadap peranan KKTB menjadi destinasi pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved