Selasa, 29 November 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Sukar kesan punca sebenar

Posted: 29 Nov 2011 07:39 AM PST

SALAH satu masalah penjagaan anak yang sering dihadapi kebanyakan ibu bapa adalah menguruskan bayi yang menghidap ekzema. Ekzema kanak-kanak atau lebih dikenali ekzema atopik bukan lagi asing di kalangan masyarakat hari ini.

Dianggarkan satu daripada lapan bayi menghidap ekzema dan jumlah ini semakin bertambah setiap tahun. Malah, pakar dermatologi menyifatkan ekzema penyakit negara perindustrian kerana kadar kelazimannya yang kian meningkat di negara maju.

Walau bagaimana sukar sekalipun merawat ekzema, sebenarnya penyakit ini boleh diuruskan dengan bijak sekiranya ibu bapa mengetahui cara pengurusan ekzema dengan betul.

Menurut pakar kanak-kanak daripada Klinik Pakar Kanak-kanak Baby & Beyond, Dr Su Lin Chow, ekzema atopik ialah sejenis penyakit kulit yang berlaku akibat tindak balas hipersensitif yang menyebabkan radang, gatal-gatal, kulit kering dan bersisik.


Ekzema boleh terjadi pada semua peringkat usia, paling umum pada bayi dan biasanya akan hilang selepas bayi berusia tiga tahun. Namun ada juga yang mengalaminya seumur hidup. Kebanyakan penghidap ekzema sering mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai masalah yang sama serta alahan lain seperti asma atau rhinitis.


Kebanyakan pakar perubatan tidak mengetahui dengan tepat punca ekzema, tetapi mungkin disebabkan kepincangan dalam sistem imunisasi iaitu kelainan pada protein tertentu yang penting dalam mempertahankan permukaan kulit.

"Kebiasaannya ekzema terjadi disebabkan beberapa perkara seperti alahan kepada sabun, kosmetik, pakaian dan bahan pencuci selain persekitaran yang menyebabkan reaksi makanan, perubahan suhu atau kelembapan.

"Malah ada juga bayi yang alah kepada susu lembu. Bayi ini biasanya akan menunjukkan tanda seperti ruam setiap kali diberi susu formula berasaskan susu lembu atau ibu yang menyusu badan minum bahan daripada susu lembu," katanya.

Sebab itu sekiranya ibu bapa mengesyaki kelainan pada kulit bayi, mereka digalakkan berjumpa doktor seberapa segera sebelum lebih memudaratkan bayi.

Menurutnya, doktor akan memastikan ruam yang timbul pada kulit bayi itu ruam biasa atau ekzema, ini kerana rawatan yang digunakan untuk kedua-dua masalah kulit ini berbeza.

Salah satu cara untuk melihat anak yang mengalami ekzema ialah apabila mudah berpeluh dan berasa gatal terutama ketika cuaca panas.

Selain itu, tanda lain ialah kulit kering dan merah. Kadang-kadang, ekzema boleh menyebabkan kulit melecet dan berdarah. Paling teruk apabila kulit menjadi kering dan bersisik sementara menggarunya berulang kali boleh menyebabkan kulit menebal dan berkerak.

"Ekzema biasanya terjadi pada wajah, leher dan di bahagian siku, lutut dan pergelangan kaki manakala pada bayi biasanya mudah kelihatan di sekitar dahi, pipi, lengan, kaki, kulit kepala dan leher," jelasnya.

Perlu juga diingatkan kepada ibu bapa penggunaan bahan kimia dalam sabun bayi boleh membawa kepada timbulnya penyakit ini. Ini kerana sabun biasanya mengandungi bahan kimia tinggi dan mengeringkan kulit bayi seterusnya menyebabkan ekzema semakin teruk.

"Disarankan supaya ibu bapa yang mempunyai bayi menghidap ekzema menggunakan sabun khas yang tidak mengandungi steroid dan bahan kimia. Pemilihan produk sesuai kulit ini sangat berkesan bagi memastikan ekzema dapat dikawal supaya tidak menjadi lebih kronik," katanya.

Selama lebih 50 tahun krim berasaskan steroid meluas digunakan untuk penghidap ekzema. Malangnya krim ini boleh menyebabkan kerosakan serta penipisan kulit yang akan mengurangkan sifat pelindung semula jadi kulit bayi. Kulit bayi juga mudah berparut akibat kesan jangka panjang krim berasaskan steroid. Malah penggunaan yang keterlaluan menyebabkan bahan ini masuk ke dalam saluran darah dan membawa kesan negatif yang lain.

Mengetahui kesan sampingan ini, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan I-Green (M) Sdn Bhd, Soo Kian Kheng menghasilkan produk untuk penghidap ekzema atopik.
Ini berdasarkan pengalamannya sendiri membesarkan dua anak, Soo Hui Xin dan Soo Hui Jing yang turut mengalami ekzema yang teruk.

"Selepas menyaksikan kesakitan dan ketidakselesaan dua anak yang menghidap ekzema, saya terpaksa melakukan sesuatu dengan menghasilkan produk rawatan kulit menggunakan bahan asli dan organik daripada pati tumbuh-tumbuhan.

"Saya inginkan produk yang bebas steroid kerana tidak mahu anak-anak terdedah kepada bahan kimia pada usia muda. Akhirnya selepas menjalankan kajian dan pelbagai percubaan, saya gembira kerana formula rangkaian produk Buds dapat dihasilkan seterusnya dipasarkan kepada pengguna," katanya.

Ujarnya, penggunaan krim ini memberi tindak balas serta-merta. Ruam merah semakin berkurangan dan dalam masa beberapa hari ia hilang.

"Saya dan isteri begitu lega dan semua kerisauan dan kebimbangan kami hilang kerana kini bayi yang menghidap ekzema mampu dikawal dengan produk yang selamat," jelasnya.

Selain tidak mengandungi steroid dan disahkan organik oleh EcoCert, rangkaian produk Buds Organics Super Soothing dipertingkatkan dengan seni prabiotik semula jadi iaitu mengandungi glucan alfa oligosaccharide yang menggalakkan kesihatan kulit serta meningkatkan kehadiran bakteria sihat dan pada masa sama, menghalang pertumbuhan bakteria yang tidak diperlukan.

Rangkaian Buds Organics Super Soothing mengandungi mandian dan losen serta buku mengenai pengurusan ekzema dan panduan penggunaannya.

Pembersih mandian mengandungi aloe vera, fructan dan prabiotik manakala losen membantu merawat dan menyembuhkan ekzema menerusi kandungan bahan yang menenangkan seperti daun lidah buaya, zaitun minyak jojoba serta bunga matahari.

"Pengurusan ekzema bukanlah sekadar memilih mandian dan krim badan yang tepat saja tetapi bagaimana membantu bayi untuk berada dalam situasi yang selesa.
Sebab itu rangkaian Buds Super Soothing ini dilancarkan dengan harapan dapat membantu ibu bapa menangani masalah ekzema anak mereka," kata Pengarah Pemasaran I-Green (M) Sdn Bhd, Soo Siew Peng.

Selain pelancaran produk, majlis turut dihadiri 40 ibu bapa bersama bayi masing-masing yang menghidap ekzema.

Rangkaian produk ekzema Buds Super Soothing kini boleh didapati di farmasi Caring, Vitacare, butik Mothercare Mom's Care dan rangkaian farmasi yang memasarkan produk organik. Dijual pada harga RM80 untuk satu pek.

Sementara itu, seorang ibu yang bayinya mengalami ekzema, Nor Fadzillah Haron, 27, berkata, walaupun ekzema pada bayi perempuannya yang baru berusia 10 bulan tidak begitu teruk namun Damia Nadyne Hannah kerap tidak selesa dengan keadaan itu.

"Selepas dilahirkan dua bulan, Damia mula mengalami ekzema pada seluruh badan yang menyebabkan saya membawanya berjumpa doktor. Doktor memberi ubat dan keadaan ekzema Damia pulih. Namun selepas beberapa bulan ekzemanya datang semula. Apa yang saya tahu produk mengandungi steroid tidak bagus untuk bayi jadi saya cuba elakkan dan mencuba produk organik Buds.

"Saya juga berpantang makan dan memastikan keadaan rumah bersih dan bebas habuk. Alhamdulillah selepas patuh pada arahan doktor, sedikit demi sedikit ekzema Damia mula berkurangan," katanya.

Menurut Fadzillah, Damia mudah berasa tidak selesa apabila cuaca panas dan ruam akan timbul di merata tubuh daripada kepala hingga hujung kaki. Sebab itu dia akan pastikan suhu di rumah dalam keadaan terkawal juga tidak membawa Damia ke tempat terbuka dan panas.

Panduan pengurusan ekzema:

  • Elakkan mandi terlalu lama.
  • Jangan mandi air panas atau agak suam.
  • Gunakan sabun yang lembut, mempunyai kelembapan tinggi tanpa bahan kimia yang mengeringkan kulit.
  • Elakkan tersentuh sabun, minyak wangi, serbuk pencuci, barang perhiasan dan persekitaran yang boleh menyebabkan ekzema.
  • Memakai baju longgar, nipis dan diperbuat daripada kapas.
  • Elakkan makanan yang menjadi alahan kepada bayi seperti susu lembu, telur dan kekacang.
  • Sapu pelembap di seluruh badan selepas mandi.
  • Mempertahankan suhu sejuk di kawasan bilik tidur kerana panas boleh menyebabkan berpeluh yang memburukkan keadaan gatal dan rengsa.
  • Pastikan persekitaran rumah bersih dan bebas daripada habuk dan kotoran.
  • Pastikan kuku anak sentiasa pendek agar dia tidak boleh menggaru dan seterusnya memudaratkan lagi ekzema.
  • Full content generated by Get Full RSS.

    Menyara diri urus jenazah

    Posted: 29 Nov 2011 06:45 AM PST

    MENYARA diri di usia senja dengan mengambil upah memandikan serta menguruskan jenazah wanita pasti memerlukan daya ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.

    Namun bagi Rapiah Jamaludin, 73, ia adalah pekerjaan yang cukup mulia dan ikhlas bagi memperoleh sesuap nasi memandangkan kudrat yang ada kini untuk melakukan pekerjaan lain tidak lagi seperti dulu.

    Menurutnya, dengan upah yang diberikan sebanyak RM150 bagi setiap proses memandikan jenazah, dia berjimat selain mengagihkannya untuk membeli barangan keperluan harian.

    "Tidak dinafikan mungkin ramai beranggapan upah yang diberikan amat kurang dengan keadaan ekonomi sekarang manakala harga barangan melambung tinggi.


    "Tetapi bagi saya, apa yang dilakukan terbit daripada hati yang ikhlas untuk membantu keluarga di samping menyara hidup sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


    Rapiah berkata, pendapatan diperoleh melalui kerja memandikan jenazah tidak tetap kerana ia bukan diperoleh secara bulanan sebaliknya bergantung kepada bilangan jenazah yang perlu diuruskan.

    "Mungkin dalam masa sebulan, hanya tiga kali saja khidmat saya diperlukan ataupun kurang daripada itu dan ia pasti menjejaskan pendapatan diperoleh.

    "Tetapi bukan bermakna ia kurang baik. Jika kurang kerja, saya boleh berehat kerana penyakit yang saya alami tidak membolehkan saya bergerak dan banyak berjalan," katanya.

    Ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak pernah mengeluh ataupun bersungut dengan apa yang tidak dimilikinya kerana mengetahui pasti ada hikmah di sebalik semua perkara yang berlaku.

    Bagaimanapun, dia kini mengalami masalah berjalan ataupun berdiri terlalu lama kerana cepat berasa kebas di kedua-dua kaki dan tangan.

    "Mungkin keadaan ini disebabkan penyakit yang saya hadapi iaitu darah tinggi dan kencing manis, tetapi saya tetap bersyukur kerana masih tetap mampu bertahan walaupun sukar sedikit.

    "Saya akan melakukan apa yang termampu selagi terdaya dan tidak akan meminta-minta daripada sesiapa terutama anak kerana mengetahui mereka mempunyai masalah sendiri," katanya.

    Dia yang menjadi ibu tunggal sejak 33 tahun lalu mengakui jumlah pendapatan diperoleh dengan tambahan bantuan Baitulmal sebanyak RM350 sememangnya tidak mencukupi.

    Katanya, walaupun anak-anak tidak lagi tinggal bersama, jumlah perbelanjaannya masih lagi tinggi kerana kos sara hidup kini yang tinggi.

    "Walaupun tinggal berasingan, mereka tetap menjenguk saya apabila mempunyai kelapangan dan saya selesa berada di rumah sendiri biarpun serba kekurangan.

    "Tidak terlintas di fikiran saya untuk berhenti daripada terus berkhidmat menguruskan jenazah wanita kerana selagi termampu, saya akan meneruskannya tanpa rasa letih," katanya.

    Malah, kini rumah tempatnya menumpang teduh sejak 30 tahun lalu juga sudah uzur dan memerlukan bantuan tambahan untuk membaik pulih bahagian yang rosak itu.

    Boleh dikatakan bahagian dapur rumahnya sudah tidak boleh digunakan lagi kerana jika hujan lebat, bahagian berkenaan akan digenangi air longkang sehingga paras buku lali.

    Rapiah berkata, keadaan itu menyebabkan barangan perkakasan dapur rumahnya berada dalam keadaan berselerak kerana sering dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain terutama ke kawasan lebih tinggi.

    "Saya tidak mempunyai kudrat untuk terperuk di situ dalam jangka waktu lama mengemaskan barangan terbabit setiap kali dipindahkan kerana tinggal berseorangan.

    "Apa yang boleh dilakukan hanyalah membiarkan barangan di situ dan pastikan ia tidak berterabur ataupun pecah hingga menyukarkan pergerakan," katanya.

    Dengan pendapatan yang hanya cukup makan saja, ia menyukarkan Rapiah meneruskan niatnya membaik pulih bahagian yang rosak berkenaan.

    "Sebelum ini pun rumah saya pernah dimasuki pencuri dari dinding bahagian dapur yang berlubang kerana ia hanya dihadang dengan kayu.

    "Namun, saya bernasib baik kerana pencuri itu hanya mengambil barangan perkakasan dapur lama, mungkin untuk dijual tetapi saya tetap bersedih kerana ia adalah barangan kenangan," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    ‘Bersih zoo tak popular’

    Posted: 28 Nov 2011 11:01 AM PST

    AMPANG: "Remaja sekarang fikir buat aktiviti amal seperti bersihkan zoo tidak popular," kata pelajar dari University of Management and Technology (Umtech), Ahmad Suhaimi Sanny Toh, 20, apabila ditanya sama ada dia mengajak rakannya untuk melakukan aktiviti sukarelawan di Zoo Negara, di sini, semalam.

    Menurutnya, ini pertama kali dia menyertai aktiviti seumpama itu selepas mendapat peluang daripada pensyarahnya jika tidak mana mungkin dia mahu melakukan kerja khidmat masyarakat lebih-lebih lagi tidak mendapat sokongan rakan.


    "Tanggapan saya berubah selepas melakukan kerja membersihkan kandang haiwan kerana pada mulanya saya anggap busuk dan kotor, tetapi tidak seteruk mana.

    "Jika suatu hari nanti pihak zoo menghubungi dan minta saya datang menolong mereka melakukan aktiviti seperti ini, saya tidak tolak," katanya.


    Sementara itu, Pensyarah Umtech, Normaziah Che Musa, 37, berkata tujuan beliau melakukan aktiviti itu untuk melatih pelajarnya mengenai kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, keyakinan diri dan pemikiran kritikal selain mendedahkan realiti cara mengurus dan mentadbir sesebuah organisasi.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Penyanyi rap kena keroyok

    Posted: 28 Nov 2011 10:59 AM PST

    KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi rap cedera di kepala dan badan selepas diserang 10 lelaki dipercayai samseng jalanan di Jalan Selangor, di sini, kelmarin.

    Difahamkan, dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun dalam perjalanan ke sebuah kedai bagi membeli barangan keperluan harian.


    Menurut sumber, ketika tiba di jalan berkenaan, mangsa didatangi sekumpulan lelaki seramai 10 orang menaiki dua kereta dan tiga motosikal.

    Sumber berkata, mangsa menyedari dikepung kumpulan samseng terbabit sebaik pintu keretanya ditendang dari luar.


    Katanya, mangsa yang sibuk menyiapkan persiapan majlis resepsi perkahwinannya yang bakal berlangsung dua hari lagi keluar dari kereta dan bertanyakan punca tindakan mereka menendang pintu keretanya.


    "Akibatnya, seorang daripada mereka merampas kunci kereta mangsa sebelum menyerang dan memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan batu, kayu dan batang besi.

    "Mangsa yang tidak tahu punca diserang cuba mempertahankan dirinya, tetapi gagal kerana bersendirian ketika kejadian," katanya.


    Beliau berkata, kumpulan terbabit turut memecahkan cermin depan dan merosakkan pintu serta bumbung kereta Proton Iswara mangsa.

    "Serangan itu menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka dan badan, malah mangsa memberitahu kumpulan lelaki itu berhenti menyerang selepas dia merayu beberapa kali," katanya.


    Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang.


    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.


    Katanya, mangsa yang juga seorang artis tempatan itu diserang individu tidak dikenali dan tindakan pantas anggota polis berdasarkan maklumat yang diterima, semua lelaki berusia 30-an ditahan di sekitar ibu kota.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Esakan di makam keramat

    Posted: 28 Nov 2011 11:33 AM PST

    KUALA TERENGGANU: "Tiga lelaki berserban dan berjubah itu merayu sambil menangis teresak-esak kepada saya meminta pertolongan menunjukkan jalan keluar dari kawasan makam Tok Pulau Manis selepas semalaman berlegar-legar kerana tidak nampak pintu keluar," kata Imam Masjid Pulau Manis di sini, Kori Endut.

    Kori, 68, berkata demikian ketika mendedahkan mengenai padah menimpa tiga lelaki berlagak alim yang melakukan upacara pemujaan nombor ekor di kubur ulama terkenal, Syeikh Abdul Malik Syeikh Abdullah di Kampung Pulau Manis, Serada, di sini.

    Beliau berkata, tiga lelaki berusia 40-an terbabit lengkap berserban dan berjubah bagi mengabui mata orang ramai ketika memuja nombor ekor di kubur ulama yang lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis itu.

    Menurutnya, kejadian yang menimpa tiga sahabat itu yang tidak dapat mencari jalan keluar selepas melakukan aktiviti pemujaan, antara padah yang menimpa mereka yang melakukan perbuatan khurafat di kubur berkenaan.


    Kori bertanggungjawab menjaga kubur berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari Masjid Pulau Manis berkata, dia melihat tiga lelaki itu menangis teresak-esak sambil berlegar-legar di sekeliling kawasan makam itu jam 7 pagi.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Culik tak sengaja

    Posted: 28 Nov 2011 11:33 AM PST

    KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menempuh detik hitam hampir lima jam apabila 'diculik' secara tidak sengaja oleh seorang lelaki yang melarikan kenderaan mewah jenis BMW milik bapanya, semalam.

    Dalam kejadian di Jalan KIP 1, Desajaya, di sini kira-kira jam 9.30 pagi itu, kanak-kanak malang terbabit ditinggalkan bapanya berusia 37 tahun dalam kenderaan di bahu jalan seketika kerana mahu membeli makanan di sebuah restoran di kawasan berhampiran.


    Difahamkan, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba meluru masuk ke dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjinnya itu ketika bapa mangsa baru meninggalkan kenderaan itu.

    Menyedari kenderaan dan anak lelakinya dilarikan, bapa mangsa bergegas membuat laporan di Balai Polis Kepong, sebelum kes dirujuk ke Balai Polis Desajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


    Menurut sumber, suspek yang melarikan kenderaan mewah itu dikatakan hanya menyedari ada seorang kanak-kanak lelaki di tempat duduk belakang selepas mangsa menangis ketakutan lima minit kemudian.


    "Suspek bagaimanapun masih meneruskan niatnya melarikan kenderaan berkenaan tanpa menghiraukan tangisan kanak-kanak itu," katanya.

    Sumber berkata, sebaik laporan mengenai insiden itu diterima pihak berkuasa, usaha mengesan kanak-kanak terbabit giat dijalankan.


    "Selain menghebahkan kejadian itu kepada semua unit peronda, beberapa sekatan jalan raya dilakukan bagi mengesan suspek di sekitar ibu negara," katanya.

    Usaha hampir lima jam itu membuahkan hasil apabila pihak berkuasa menerima maklumat mengatakan mangsa sedang di disembunyikan di sebuah hotel di Sri Damansara.


    Sumber berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Sri Damansara yang dimaklumkan bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan empat individu termasuk seorang wanita masing-masing berusia antara 20 hingga 34 tahun, kira-kira jam 2 petang. "Ketika ditahan, pihak berkuasa turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Latio dipercayai milik kumpulan terbabit," katanya.


    Katanya, sebaik ditahan, seorang daripada suspek mengaku hanya berniat melarikan kenderaan mewah milik bapa mangsa tanpa menyedari terdapat kanak-kanak dalam kereta berkenaan.


    "Semua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran kawasan itu untuk soal siasat," katanya yang turut memberitahu, pihak berkuasa sudah mengenal pasti lokasi kereta BMW milik mangsa disembunyikan.


    Difahamkan, selepas merakamkan percakapan bapa mangsa, kanak-kanak malang itu kemudian diserahkan kembali kepada keluarganya.


    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi, mengesahkan penahanan keempat-empat suspek.


    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A kerana menculik daripada penjaga yang sah.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    ‘Pejam mata, tulikan telinga’

    Posted: 28 Nov 2011 04:31 AM PST

    PROFIL kerjayanya belum pun penuh selebar kertas. Terlalu hijau dan baru untuk diukur menjadi penggiat seni yang berjuang dalam gelanggang hiburan. Namun itu, bukanlah kayu pengukur bagi melihat populariti si empunya senyuman manis ini kerana entah apa formula yang digarap kemas, nama Nur Anzalna Md Nasir lekas meniti bibir peminat.

    Memiliki wajah jelita dengan tutur bicara yang tersusun, Anzalna juga finalis Dewi Remaja 2010 berjaya mencipta nama terlebih dulu apabila muncul dalam drama bersiri Suria Di Cordoba.

    Akuinya berkali-kali, semua rezeki dan peluang yang hadir buatnya adalah sesuatu yang tidak sekali disangka kerana sejak awal lagi tidak terlintas untuknya menceburi lapangan lakonan.

    "Mungkin inilah dikatakan rezeki dan ketentuan. Selepas mencipta nama dalam pertandingan Dewi Remaja, cepat saya ditawarkan berlakon. Alhamdulillah, percubaan sulung itu mengundang rasa percaya pihak produksi terhadap saya dan kini saya sedang mencatur untuk meletak sepenuh fokus pada bidang ini. Lakonan sudah menjadi kerjaya buat saya meskipun ia adalah satu bidang terjun pada awalnya," katanya berseloroh.


    Bertemu dengannya di lokasi penggambaran filem pertama lakonannya, Sepah The Movie bertempat di Johor Bahru bulan lalu memberi ruang terbaik untuk mengenali gadis berusia 23 tahun ini.


    Meskipun beberapa kali kisah nakal mengenainya pernah singgah ke telinga sebelum ini, kononnya gemar meraih publisiti murahan, kontroversi gambar bersama bekas kekasih dan dipalit pula percintaannya dengan aktor muda Shahz Jaszle, namun pertama kali bertemu dan melontar setiap persoalan, tidak sekelumit berbekas rasa kurang selesa buatnya.

    Usik Anzalna, kontroversi dan spekulasi adalah makanan dalam dunia hiburan, lantas pejamkan mata dan tulikan telinga saja jika ingin kekal lama.

    "Kalau saya sibuk memikirkan apa orang bercakap, memang sudah lama saya mati. Maklumlah belum sempat bernafas ada saja yang datang menghimpit. Namun itulah cabaran yang harus saya telan," katanya.

    Meneliti personalitinya dengan raut wajah kacukan Cina Punjabi serta memahami sepak terajang dunia seni, bukan mustahil buat Anzalna menjadi tumpuan tembakan kontroversi.

    Mengakui ada yang datang menghimpit namun katanya terbuka, hatinya sudah punya insan istimewa. Walaupun masih terlalu baru membina empayar sebagai anak seni, ia tidak langsung menjadi penghalang buatnya mengakui kisah cintanya.

    "Sejak dalam Dewi Remaja lagi saya sudah didedahkan dengan permainan sebegini. Ada saja yang datang dekat ingin berkenalan dan tidak kurang yang mencari kelemahan untuk dijadikan sasaran. Namun alhamdulillah saya kuat dengan sokongan keluarga dan teman-teman yang tidak lekang memberikan nasihat dan tunjuk ajar.

    "Saya sudah mempunyai teman istimewa. Kami masih dalam proses mengenali hati budi dan mencari keserasian. Namun itulah hakikat yang ada buat masa ini. Saya selesa berkawan dengannya dan memang mengharapkan ia kekal ke fasa yang lebih baik. Soal populariti atau takut kehilangan peminat hanya kerana mengakui sudah berpunya tidak menjadi masalah buat saya kerana apa yang penting adalah jujur dan sentiasa ikhlas.

    "Lelaki yang kini rapat dengan saya adalah Hanif Zaki yang seusia dan masih lagi menuntut dalam jurusan automotif di sebuah institusi pengajian tempatan. Dia adalah satu-satunya teman yang menjadi tempat saya mencurah segala perasaan dan berkongsi kegembiraan. Saya bersyukur Hanif memahami dan tidak henti memberi sokongan untuk saya terus kuat mengejar apa yang diinginkan.

    "Bagaimanapun tidak pula kami berdua memikirkan soal untuk berkahwin kerana masing-masing masih sibuk membina kerjaya. Saya sendiri masih muda dan tidak mahu soal cinta membebankan perjalanan kerjaya yang baru hendak bermula ini. Biarlah saya dapat apa yang saya impikan tercapai dulu dan Hanif sendiri dapat mengejar cita-citanya. Kemudian nanti baru kami bercerita soal seterusnya pula.

    "Insya-Allah jika diberi rezeki dan jodoh, pastinya saya akan berkongsi dengan peminat," katanya yang mengakui mengenali Hanif sejak enam tahun lalu menerusi laman sosial MySpace sebelum menjalin hubungan serius lima bulan lalu.

    Anak kelahiran Pulau Pinang yang pernah menetap lama di Tasmania, Australia sebelum ini tidak henti berkongsi pengalaman indahnya sebagai pelakon. Belumpun setahun usia pembabitan, gaya ceritanya seakan sudah lama bertapak memperjuangkan seni.

    Jelasnya yang kini baru saja selesai menghidupkan watak Ayu Sofea dalam filem Sepah The Movie, peluang dan tawaran lakonan sentiasa ada buatnya meskipun masih baru dan tidak punya pengiktirafan dalam kerjayanya itu.

    "Saya bersyukur sangat kerana ada saja yang datang memberikan skrip kepada saya. Awalnya saya sendiri tertanya kepada diri sendiri mengapa begitu yakin sekali mereka mengundang saya berlakon namun saya fikirkan itu semua satu rezeki dan menuntut untuk saya terus berusaha memberikan yang terbaik.

    "Filem Sepah The Movie adalah sebuah karya komedi dan aksi yang begitu menarik. Saya memang peminat kepada kumpulan Sepah dan pastinya saya berbangga kerana berpeluang beraksi bersama mereka dan pelakon handalan lain termasuk Jehan Miskin. Ini satu permulaan yang baik buat saya sebelum terus ke lokasi naskhah besar yang lain.

    "Selepas ini saya akan kembali sibuk untuk drama siri terbaru, Gemersik Kalbu bersama Aqasha dan Ayu Raudhah untuk slot Akasia TV3 dengan memegang watak sebagai Tasha. Kemudiannya saya masih dalam pertimbangan untuk dua lagi filem baru yang akan menyusur akhir tahun nanti. Jika ada kelapangan pastinya peluang ini tidak sekali saya tolak," katanya.

    Namun kelakarnya dalam pada bersembang bercerita soal rezeki lakonan yang mencurah, anak kedua dari lima beradik ini masih gementar setiap kali ditawarkan watak utama dan pernah juga dia menolak untuk membintangi beberapa drama hanya kerana diberikan teraju utama.

    "Memang ada kalanya saya sendiri ketawa tapi itulah realitinya. Saya masih takut dan bimbang untuk memikul watak utama. Lantas beberapa juga saya menolak tawaran drama kerana mereka inginkan saya memegang watak utama. Mungkin saya perlukan lagi ruang untuk belajar dan melihat kelemahan sendiri sebelum benar-benar yakin melakonkan watak besar," katanya tergelak.

    Jika tepat percaturannya membina nama sebagai pelakon, Anzalna yang turut pernah membintangi drama Ramadan Terakhir ini akan mencuba melebarkan sayapnya sebagai penyanyi kerana itulah lapangan seni yang pernah menjadi angan-angannya.

    PROFIL

    Nama Penuh: Nur Anzalna Md Nasir
    Tarikh lahir: 9 Januari 1988
    Umur: 23 tahun
    Tempat lahir: Tasik Gelugor, Pulau Pinang
    Keluarga: Anak kedua daripada lima beradik
    Pendidikan: Diploma Bahasa Perancis dari Launceston College, Tasmania, Australia
    Pencapaian: Finalis Dewi Remaja 2010
    Komersial: Trenz (Siaran TV Indonesia), Celcom, Franch Oil dan Ecpi
    Drama: Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir dan Gemersik Kalbu
    Filem: Sepah The Movie

    Full content generated by Get Full RSS.

    MJL diterima wanita

    Posted: 28 Nov 2011 04:25 AM PST

    BERSANDARKAN genre fantasi drama, filem Misteri Jalan Lama (MJL) arahan penerbit, pelakon, pengacara, pelawak dan sutradara terkenal, Afdlin Shauki mampu mencatat kutipan RM400,000 dalam tempoh tiga hari tayangan bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

    Bagaimanapun, Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB), Gayatri Su-Lin Pilai selaku penerbit memaklumkan jumlah kutipan untuk tayangan Ahad hingga semalam, masih belum diperolehnya. Apapun, angka kutipan diraih itu nyata tidak menghampakan.

    Menurut Gayatri, lagi pun MJL adalah filem serius pertama karya Afdlin. Katanya, Afdlin yang cukup sinonim dengan filem komedi, sebenarnya sudah mengambil langkah berani dengan mengetengahkan genre baru seperti fantasi drama untuk tatapan penonton.

    "Malah, mengikut maklum balas positif diterima menunjukkan penonton wanita rata-rata menyukai filem ini. Cuma, penonton lelaki saja agak kurang. Namun, kelompok penonton lelaki yang berusia 25 tahun dan ke atas nampaknya tiada masalah untuk terima.


    "Bagi saya sendiri, jalan cerita filem ini (MJL) pun bagus kerana pertama kali menonjolkan kelainan dengan memaparkan kisah kasih sayang dua beradik lelaki. Apapun, barangkali genre ini masih baru dan penonton nyata belum terbiasa dengannya.


    "Selain itu, saya juga tidak melihat filem ini gagal apatah lagi berasa kecewa de-ngan jumlah kutipan diraih. Sekurang-kurangnya, Afdlin sudah cuba membawa kelainan dalam filemnya untuk dikongsi bersama penonton tanah air," kata Gayatri.

    Jelas Gayatri lagi, sememangnya benda baru sukar untuk diterima. Dalam soal ini, ujarnya ada orang yang suka dan tidak terkecuali sebaliknya. Begitu juga dengan Afdlin, tidak semua karyanya disukai kerana penerimaan penonton yang berbeza-beza.

    Membabitkan kos pembikinan dan promosi sebanyak RM1.8 juta, filem MJL sudah disiapkan Afdlin kira-kira dua tahun lalu, tetapi 'terperap' agak lama berikutan penggunaan teknik janaan komputer (CGI) yang terperinci dan ia mengambil masa panjang.

    Selain Afdlin, barisan pelakon lain yang membintangi MJL ialah Hans Isaac, Liyana Jasmay, Que Haidar dan Vanidah Imran. Berkisar pada hubungan dua beradik Indra dan Ilya yang saling menyayangi antara satu sama lain. Namun, satu tragedi menimpa mereka.

    Dalam perjalanan pulang ke kampung ketika mengikut jalan lama, dua beradik itu tiba-tiba masuk ke dunia lain. Pelbagai peristiwa pelik, dialami mereka seperti diganggu makhluk ngeri sehinggalah kepada perkara yang menyeronokkan. Apa sebenarnya yang berlaku?

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    16 anak dengan 14 wanita

    Posted: 28 Nov 2011 08:54 AM PST

    LONDON: Bapa paling pemalas dan tidak bertanggungjawab di Britain dijangka menyambut kelahiran anaknya yang ke-16 hari ini.

    Anak-anaknya itu dilahirkan oleh 14 wanita berlainan beberapa hari lagi.


    Dalam pada itu, seorang lagi anaknya akan dilahirkan dalam masa beberapa minggu lagi.

    Penganggur, Jamie Cumming dan teman wanitanya menjangka anak itu akan dilahirkan Jumaat lalu.


    Bagaimanapun, bakal ibu yang berusia belasan tahun itu dihantar pulang dari hospital selepas doktor mendapati masa kelahirannya belum tiba.


    Cumming, 34, dari Dundee yang sudah menjadi bapa kepada 15 anak hasil hubungan dengan 13 wanita berlainan sebelum ini, juga menanti kelahiran seorang lagi anak dari seorang wanita lain pada Januari depan.

    Kekasihnya ketika ini ialah gadis berusia 19 tahun, Chelsea, sementara seorang lagi teman wanitanya, juga berusia 19 tahun, melahirkan anaknya yang ke-15 dua minggu lalu.


    Cumming yang berasal dari Dundee tidak mampu menyara anaknya yang ramai itu dan kebanyakan wanita yang melahirkan anaknya juga bergantung kepada bantuan kebajikan.

    Ibu Cumming, Lorraine yang tidak bercakap dengan anaknya itu berkata, dia malu dengan perbuatan Cumming dan menggesa dia bekerja lebih keras untuk menyara semua anaknya.


    "Dia sudah begitu lama menganggur tetapi tidak ada tanda-tanda mahu bekerja. "Kami tidak bertegur sapa antara satu sama lain dan walaupun saya begitu menyanyanginya kerana dia anak saya, saya begitu kecewa dengan sikapnya. "Sungguh sukar untuk berdepan dengan keadaan ini tetapi saya berusaha untuk menjenguk semua cucu saya. Dia langsung tidak peduli walaupun dia menyangka dia bapa yang baik kerana tinggal dengan tiga daripada mereka.


    Lorraine juga menyelar sikap bebas anaknya dalam memilih teman. "Saya sungguh sedih kerana dia langsung tidak mempedulikan anak sulungnya, Samantha yang saya pelihara sejak dilahirkan. Usia wanita yang digauli anak saya ketika ini tidak jauh beza daripada Samantha. Dia sungguh sukakan gadi remaja. Saya boleh sifatkan dia sebagai pemangsa seks." Cumming berusia 17 tahun apabila Samantha dilahirkan pada 1995.


    Lorraine dan suaminya terpaksa membesarkan Samantha, yang kini berusia 16 tahun, seperti anak mereka sendiri.


    Antara 1997 dan 2002, Cum- ming menjadi bapa lima anak hasil hubungan dengan lima wanita berlainan.


    Pada 2004, dua anak perempuan dan seorang lelaki dilahirkan selang beberapa bulan dan antara Disember 2007 dan Ogos 2008, bekas pekerja bar itu memperoleh tiga lagi anak. - Agensi

    Full content generated by Get Full RSS.

    Potong tangan untuk tuntut insurans

    Posted: 28 Nov 2011 08:53 AM PST

    TAIPEI: Seorang lelaki yang berkata tangannya perlu dipotong berikutan satu rompakan di China, disoalsiasat oleh polis di sini kerana dakwaan kecederaan itu dipercayai akibat perbuatannya sendiri.

    Polis berkata, syarikat insurans Hu Chi-yang, 59, memohon supaya kes itu disiasat dan memetik polis China sebagai berkata, lelaki itu membeli polisi insurans berjumlah AS$1 juta (RM3 juta) sebelum kejadian.


    Gambar Hu dengan tangan kirinya yang kudung disiarkan menerusi televisyen ketika dalam perjalanan ke balai polis.

    Kes itu timbul awal bulan ini apabila Hu, bekas ahli perniagaan memberitahu media Taiwan, dia diserang berulang kali oleh tiga lelaki di Fujian, tenggara China.


    Menurutnya, dia dirompak kira-kira AS$600 dan perompak terbabit hampir memotong tangannya hingga putus untuk melarikan cincin dan jam Rolex. Dia terpaksa menjalani pembedahan memotong tangan itu selepas doktor di China berkata, ia terlalu teruk untuk diselamatkan.


    Hu kemudian mendakwa polis China enggan membenarkan dia membawa pulang tangan itu ke Taiwan, menyebabkan dia tidak boleh menggunakannya sebagai bukti.

    Pada sidang akhbar Isnin lalu, polis di Fujian berkata, mereka percaya kecederaan Hu adalah akibat perbuatannya sendiri dan berkata, tangan itu dipotong dengan cermat dan darah yang diambil dari tempat kejadian mengandungi bahan bius.


    Menurut agensi berita China News Service, polis turut menemui kesan jari Hu pada pisau yang ditemui di kawasan berhampiran dan bukti menunjukkan dia membelinya dari sebuah kedai tempatan.

    Polis dan pendakwa raya di Taipei berkata, mereka membuka kes terhadap Hu.


    "Kami diminta oleh sebuah syarikat insurans tempatan supaya menjalankan siasatan," kata Timbalan Ketua Biro Siasatan Jenayah Taiwan,Yang Yuan-ming kepada wartawan.


    Yang memetik penyiasat China sebagai berkata, Hu membeli polisi insurans bernilai AS$1 juta sebelum berlepas ke China. - AP

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    ‘Gilap pemain muda’

    Posted: 28 Nov 2011 08:06 AM PST

    SECARA realistik, skuad Olimpik negara sudah boleh mengucapkan selamat tinggal lebih awal kempen kelayakan Sukan Olimpik negara meskipun saingan peringkat Kumpulan C masih berbaki tiga perlawanan.

    Tewas dalam tiga perlawanan termasuk dikejutkan dengan kebangkitan Bahrain 3-2 dalam aksi di Stadium Bukit Jalil, kelmarin meletakkan skuad negara terperosok di tangga terbawah kumpulan yang diterajui pasukan pilihan Jepun yang mengumpul sembilan mata, diikuti Syria enam mata di tangga kedua.


    Aksi Malaysia selepas ini menentang Bahrain di Manama pada 5 Februari 2012, Jepun di Kuala Lumpur (22 Februari) dan Syria di gelanggang berkecuali (14 Mac) bolehlah dianggap sekadar pelengkap jadual. Hanya juara kumpulan layak secara automatik manakala pasukan di tangga kedua akan beraksi di play off untuk menempah tiket ke London.

    Bagaimanapun, Kim Swee tetap serius menghadapi aksi pusingan kedua kumpulan itu yang disifatkan sebagai medan terbaik untuknya membuat persiapan bagi Sukan Sea 2013 di Myanmar dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.


    "Secara realistik memang sukar untuk kita layak walaupun sebagai pasukan kedua terbaik kumpulan tapi baki tiga perlawanan lagi akan saya gunakan untuk pendedahan pemain muda yang bakal beraksi pada Sukan Sea 2013 dan Sukan Asia 2014.


    "Pada perlawanan dengan Bahrain semalam (kelmarin) saya hanya menurunkan tiga pemain yang tidak boleh beraksi di Sukan Sea 2013 iaitu Mahali Jasuli, Khairul Fahmi Che Mat dan Affize Faisal Mamat kerana mereka akan berusia lebih 23 tahun.

    "Pemain pertahanan Mohd Amer Saidin yang baru berusia 19 tahun beraksi dengan baik dalam perlawanan dengan Bahrain dan pemain muda seperti ini perlu diberikan lebih banyak peluang selepas ini," katanya.


    Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan 1980 di Moscow tewas kepada Jepun 0-2 pada perlawanan pertama kemudian tewas dengan jumlah jaringan yang sama kepada Syria, dua hari selepas muncul juara Sukan Sea Indonesia.

    Mengulas kekecewaan ditanggung anak buahnya apabila tewas pada perlawanan 'hidup atau mati' menentang Bahrain, Kim Swee menganggap ia sebagai pengajaran berguna untuk semua pemain.


    "Menang atau kalah adat permainan tapi untuk tewas dalam tempoh 10 minit terakhir dengan pasukan yang beraksi dengan 10 pemain cukup pahit untuk ditelan. Sukar untuk dipercayai seminggu lalu kami adalah juara dan selepas enam hari kami dimalukan. Saya sedih kerana pemain tidak dapat meraikan nikmat sebagai juara dan memohon maaf kepada penyokong," katanya.


    Semua pemain diberikan cuti sebelum melaporkan diri semula pada 5 Disember depan dan akan berangkat ke Australia lima hari selepas itu bagi siri perlawanan persahabatan dengan tiga kelab Liga A.

    Full content generated by Get Full RSS.

    ‘Noraseela tak salah’

    Posted: 28 Nov 2011 08:01 AM PST

    JAGUH 400 meter lari berpagar negara, Noraseela Khalid mempunyai hak untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap pengurusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang didakwa mengabaikan kebajikan atlet olahraga negara.

    Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selaku atlet senior dalam skuad kebangsaan, Noraseela mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat bagi memastikan kebajikan atlet lain termasuklah atlet pelapis terjamin.


    "Kita melihat Noraseela atlet senior yang banyak berjasa kepada sukan olahraga selain menjadi pembimbing kepada atlet lain termasuk atlet junior.

    "Tidak salah sekiranya dia meluahkan apa yang terbuku di hati sebagai seorang atlet olahraga," katanya.


    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan anggota majlis KOM, S Rajasegram terhadap Noraseela yang seolah-olah tidak tahu menghargai jasa dicurahkan badan induk itu kepada atlet itu selama ini.


    Noraseela sebelum itu dilapor mengkritik pengurusan KOM yang dikatakan tidak menghargai jasa dan pengorbanan atlet olahraga selepas mempertahankan pingat emas 400 meter lari berpagar pada Sukan Sea Indonesia, baru-baru ini.

    Ahmad Shabery berkata, isu pertikaman lidah antara KOM dan atlet olahraga negara sebenarnya sudah terlalu lama timbul namun gagal diselesaikan mengikut saluran dan cara yang betul.


    "Saya tidak akan campur tangan dalam isu ini kerana ia isu dalaman KOM dan mereka harus selesaikan masalah itu sendiri," katanya sambil berharap agar Noraseela terus menyumbang bakti kepada sukan olahraga negara.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved