Khamis, 22 September 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Bekas kilang RM5j hangus

Posted: 21 Sep 2011 09:34 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Ketika saya leka menyiapkan kerja di ruang tamu, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi bising seakan orang bergaduh di luar rumah.

"Sebaik meninjau, saya terkejut apabila mendapati beberapa lelaki berlari menyelamatkan diri kerana api marak memusnahkan bekas kilang getah di hadapan rumah saya," kata Hamidi Mohd, 31, saksi kejadian kebakaran bekas kilang getah Lian Hin Rubber di Kampung Padang Balang, di sini, awal pagi semalam.

Beliau berkata, ini kebakaran pertama dan terbesar yang pernah disaksikannya sejak menyewa di kawasan itu lima tahun lalu dan rumahnya kira-kira 100 meter dari kilang terbabit.

Kilang getah 11 tingkat yang dianggarkan bernilai RM5 juta itu kini dijadikan gudang penyimpanan barangan pembinaan, makanan selain menjadi kilang perabot hangus dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah malam.


Ketua Bomba Wilayah Persekutuan, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Khirudin Drahman, berkata bomba menerima panggilan kecemasan jam 12.41 tengah malam dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

2 lelaki dakwa dikasari

Posted: 21 Sep 2011 09:31 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang ditahan dalam satu tangkapan memfailkan saman terhadap tujuh anggota polis kerana menyebabkan kecederaan terhadap mereka dalam siasatan yang dijalankan tiga tahun lalu.

B Prabakar, 30, dan C Solomon Raj, 20, masing-masing plaintif pertama dan kedua memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini, semalam. Mereka menamakan tujuh anggota polis, Sarjan Mohd Shafiee Abdul Halim, Sarjan Mohd Diah Sulaiman, Sarjan Zulkiplly Taib, Koperal Abdullah Musa, Koperal Zamrin Zaid, Lans Koperal Matila@Saudi Ismail dan Lans Koperal Nizam Abdul Wahab sebagai defendan pertama hingga ketujuh. Mereka turut menamakan Ketua Polis daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid sebagai defendan kelapan dan kerajaan Malaysia, defendan kesembilan. Mengikut pernyataan tuntutan, kedua-dua plaintif mendakwa mereka ditahan pada 23 Disember 2008 jam 9.30 malam, di sebuah tempat letak kereta di hadapan Kelab My Place, Sri Hartamas, dekat sini, dalam satu operasi tangkapan.


Mereka mendakwa ketika disoal siasat, mereka didera, dipukul, disimbah air panas dan dikasari secara fizikal oleh defendan pertama hingga ketujuh.

Pada 12 September lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Mohd Shafiee dan Mohd Diah membela diri terhadap tuduhan berkenaan. Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.


Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan lima lagi tertuduh yang menghadapi pertuduhan sama iaitu Zulkiplly, Abdullah, Zamrin, Matila@Saudi dan Nizam daripada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD sama.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Farahdhiya bintangi Gemersik Kalbu

Posted: 21 Sep 2011 05:35 AM PDT

LAKONANNYA sebagai Fatin dalam drama bersiri Spa Q sememangnya meninggalkan impak besar buat Farahdhiya Mohd Amin, 26, atau nama manjanya, Farah, sehingga ke hari ini.

Pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu berjaya membawa karakter tersendiri dalam drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu sehingga ia meninggalkan emosi yang mendalam kepada penonton. Malah ada peminat yang turut geram dan membenci karakter itu.

Perkembangan watak menerusi drama popular itu turut menyerlahkan bakatnya dalam Spa Q musim kedua dan Spa Qistina.

Impak daripada lakonan itu membuktikan Farahdhiya sememangnya mampu melaksanakan pelbagai watak yang diberikan. Sama ada sebagai wanita baik sehingga watak antagonis, ia cuba dilaksanakan dengan cukup berkesan.


Kini selepas sekian lama tidak bekerja sama dengan Global Station penyanyi yang popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati ini berasa teruja untuk membawakan watak yang lebih mencabar lagi daripada penampilan sebelumnya.


Farahdhiya bakal bergandingan dengan pelakon popular tanah air, Aqasha dan pelakon kontroversi Neelofa untuk drama bersiri 26 episod bagi slot Akasia (TV3) berjudul Gemersik Kalbu yang bakal memulakan penggambaran Oktober ini.

Walaupun mendapat maklum balas yang pelbagai mengenai lakonan, Farah tidak mudah puas dengan pencapaiannya itu. Bukan hanya berpeluang melakonkan pelbagai watak malah boleh dikatakan bakat lakonannya mendapat perhatian peminat.

"Saya tidak berdepan apa-apa masalah jika sering ditawarkan watak jahat atau antagonis. Pada saya melakonkan watak antagonis atau mencabar seperti ini memberi kepuasan tersendiri. Apatah lagi apabila peminat mula memperkatakan mengenai watak dalam drama itu. Ia menunjukkan ada yang menerima dan tidak kurang yang benci dengan watak itu.

"Pada saya ini satu bonus bagi pelakon. Bukan semua pelakon yang boleh diberikan watak seperti ini. Saya bersyukur kerana pembabitan saya dalam lakonan turut menerima maklum balas positif daripada peminat. Hendak diikutkan sejak dulu lagi saya agak memilih soal watak," kata Farah.

Pembabitan dalam lakonan turut membuatkan ramai tertanya mengenai karier nyanyiannya. Walau bagaimanapun, Farah memaklumkan masih aktif menyanyi dan tampil dengan beberapa lagu. Komitmen pada lakonan cukup berbeza dengan nyanyian. Memandangkan nyanyian membabitkan persembahan hujung minggu atau waktu tertentu manakala lakonan membabitkan tempoh penggambaran yang panjang.

Dia yang pernah terbabit dalam pementasan teater muzikal, Terima Kasih Cinta mengakui nyanyian masih menjadi keutamaannya.

Walaupun agak berwaspada dengan situasi dunia seni suara yang perlahan dengan penjualan album dan jemputan menjayakan persembahan tidak menentu.

"Setakat ini Kau Telah Pergi ciptaan Julfekar yang sudah siap dirakamkan awal tahun ini antara lagu terbaru saya. Begitupun, entah di mana silapnya lagu ini tidak begitu mendapat perhatian.

"Sebelum ini saya sudah merakamkan tiga lagu ciptaan dan di bawah kelolaan Julfekar. Kesemua lagi berkenaan berentak balada. Saya masih mempunyai dua lagi lagu baru yang perlu dirakamkan. Begitupun, disebabkan faktor masa yang tidak sesuai selain terbabit dengan penggambaran drama membuatkan proses rakaman lagu berkenaan tidak dapat dijalankan.

"Saya tidak berani meletakkan sasaran bila album ini akan siap. Namun saya berharap album ini dapat disiapkan secepat mungkin," katanya.

Sering kali imej seksi dan kisah cinta dikaitkan dengan gadis cantik ini. Cukup terkenal dikalangan rakan-rakan dan mereka yang rapat dengannya Farah ternyata seorang yang suka berterus terang. Malah penampilan di majlis hiburan tidak kurang menarik perhatian.

Biarpun, Farah sendiri memaklumkan dirinya seorang yang sangat ringkas ketika tampil di majlis-majlis. Malah mengenakan kemeja-T, jeans dan topi hampir setiap masa bagaikan sinonim dengan peminat sukan golf ini.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman beberapa kali gagal dalam percintaan. Farah menganggap tidak istilah serik bercinta bagi dirinya. Sebaliknya dia mengakui selesa dengan kehidupannya sekarang.

"Walaupun beberapa kali gagal dalam bercinta namun saya tidak pernah serik. Sudah tentu saya mahu kahwin. Tapi tidak tahu bila. Saya belum jumpa orang yang sepatutnya.

"Setakat ini saya masih berkawan dengan semua orang dan belum memikirkan soal serius. Jika ada yang sesuai saya pasti tidak mahu berkawan lama seperti pasangan saya sebelum ini. Kalau boleh saya hendak melangsungkan pernikahan cepat-cepat," katanya.

PROFIL

Nama Penuh: Farahdhiya Mohamed Amin
Tarikh Lahir: 28 April 1984
Tempat Lahir: Sarzana, Itali
Status: Bujang
Kerjaya: Penyanyi, pengacara, pelakon
Album: Bertakhta Di Hati (2005), Yang Ku Puja (2006)
Drama/sitkom: SpanarJaya, Senario Raya, Mencari Arah Kiblat, Kau Curi Cinta Ku, Ku Milik Mu, Spa Q 1 & 2, Spa Qistina
Program TV: Jaguh Futsal (RTM), Discovery Smiles Treasure (TV3)

Misteri tapi mendidik

Posted: 21 Sep 2011 05:21 AM PDT

FILEM atau drama bersiri genre seram selalunya kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak namun Astro Ceria (611) mengambil pendekatan baru menyiarkan drama bersiri komedi misteri yang menonjolkan nilai positif untuk hiburan kanak-kanak.

Mula ditayangkan sejak 18 September lalu, drama bersiri Cuak ke udara setiap Ahad, jam 10.30 pagi itu hasil garapan pengarah Azmi Hatta dimantapkan lagi dengan penulisan skrip oleh panel Orangtree.

Ia menampilkan gabungan pelakon kanak-kanak popular Mia Sara di samping pelakon senior Delimawati dan Shahrulzaman Kamaludin.

Penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Seperti Aku, Aliff Satar turut memegang teraju utama digandingkan dengan pendatang baru dalam industri seni lakon, Anis Al-Idrus dan Aiti Azar Ameerah.


Azmi berkata, ketika dia mendapat skrip perkara pertama yang dia fikirkan mencari pelakon sesuai dengan watak namun itu bukanlah cabaran utama. Pada mulanya, drama itu mensasarkan kanak-kanak sebagai penonton namun Azmi menarik nafas lega apabila skop penonton sasaran diluaskan sebagai tontonan seisi keluarga.


"Bukan senang untuk kita hasilkan drama komedi seram dan menjadikan kanak-kanak sebagai penonton sasaran kerana mereka mereka adalah golongan susah untuk kita penuhi kehendak mereka," katanya dalam sidang media di Bora Ombak, Ampang, baru-baru ini.

Katanya dia bersyukur kerana pihak produksi yang terbabit dapat bekerjasama menyiapkan drama itu kerana bukan mudah untuk bekerja dengan kanak-kanak.

"Semua membantu agar pelakon kanak-kanak yang terbabit dengan drama ini sentiasa fokus kepada penggambaran yang dijalankan," ujarnya.

Pengurus Astro Ceria, Evon Koh, yakin Cuak mampu menarik perhatian segenap lapisan penonton terutama golongan kanak-kanak yang menjadi golongan sasaran utama.

"Kekuatan drama bersiri ini pastinya berdasarkan jalan cerita dan skrip yang padat dengan gabungan imaginasi dan kehidupan realiti tetapi disampaikan dengan bersahaja serta dekat dengan jiwa penonton.

"Kami percaya, kanak-kanak sentiasa menggunakan imaginasi mereka sewaktu menonton rancangan televisyen maka drama ini menghasilkan banyak kelebihan dan daya kreativiti dalam proses pembesaran anak-anak mereka. Ibu bapa patut meluangkan masa untuk menemani anak-anak mereka menonton drama ini," katanya.

Sebagai pendatang baru dalam seni lakon, Anis gembira diberikan peluang untuk memenuhi impiannya sebagai pelakon. Bekerja sebagai model, sudah lama dia menyimpan hasrat untuk menjadi anak seni. Tanpa berfikir panjang, dia menerima lamaran Orangetree untuk memegang watak sebagai Thea dalam Cuak.

"Perbezaan antara modeling dan berlakon bagai langit dengan bumi. Kalau model, saya hanya perlu 'catwalk' saja untuk menggayakan pakaian dan terus balik ke rumah apabila sudah selesai. Ia tidak mengambil masa yang lama," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Laung takbir sebelum maut

Posted: 21 Sep 2011 09:56 AM PDT

MERSING: "Sebaik tiba, saya dengar dia menjerit Allahuakbar serta mendengus kuat sebelum nafasnya tidak lagi kedengaran," kata Mohd Khamsani Kassim, 43, bapa mentua Mohd Shafadrul Afandi Shukor, 24, yang terbunuh ketika mendulang emas di sini, kelmarin.

Mohd Shafadrul maut apabila terowong di dalam lubang sedalam lebih lima meter yang digalinya di ladang kelapa sawit milik Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mersing (PKAYM) di Kilometer 13, Jalan Endau-Mersing di sini, runtuh kira-kira jam 9 malam.


Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Hubung di sini, menggali terowong itu berseorangan.

Mohd Khamsani berkata, menantunya memaklumkan kepadanya untuk keluar membeli barangan keperluan harian pada jam 6 petang kelmarin, namun sehingga jam 9 malam dia tidak pulang ke rumah.


"Saya keluar mencarinya di sekitar kampung sebelum ke ladang berkenaan kerana arwah sudah beberapa kali ke situ untuk mendulang emas sebelum ini walaupun saya melarang," katanya.


Sejurus Mohd Khamsani tiba di tempat kejadian, dia menemui motosikal, beg dan peralatan mendulang emas milik mangsa berhampiran lubang digalinya.

"Saya hampir menangis apabila terdengar suaranya melaungkan Allahuakbar sebelum nafasnya tidak lagi kedengaran. Saya berusaha menggali lubang itu untuk menyelamatkan arwah, namun gagal.


"Saya menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Menurutnya, ladang milik PKAYM itu sering menjadi tumpuan pendulang emas haram kerana lokasi itu dikatakan mengandungi banyak emas.


Selain itu, kekerapan pihak berkuasa membuat pemantauan di kawasan hutan simpan seperti Hutan Simpan Gunung Twiss yang dijadikan sasaran pendulang emas haram membuatkan mereka beralih ke ladang berkenaan.


Sementara itu, ibu mentua mangsa, Ayati Othman, 43, berkata Mohd Shafadrul yang bekerja sendiri seperti mengambil upah menebas di kebun pernah meluahkan hasrat untuk mendapatkan pendapatan lebih dengan mendulang emas kerana bakal mendapat anak kedua, tiga bulan lagi.


"Dia gembira kerana bakal menimang anak kedua dan disebabkan itu dia mahu mencari pendapatan tambahan. Saya dan suami sudah melarangnya ke sana kerana kerja itu bahaya, tetapi dia tetap melakukannya secara sembunyi-sembunyi," katanya.


Menurutnya, perubahan sikap anak sulung mangsa, Mohd Adam Haikal, 18 bulan, daripada ceria kepada muram seolah-olah petanda bapanya bakal dijemput Ilahi.


Ayati berkata, sejurus mangsa meninggalkan rumah pada jam 6 petang, Adam mula muram dan ia berterusan hingga jam 9 malam.


"Kami gagal menghubungi arwah sebelum mengadakan bacaan Yasin dan tahlil sesama ahli keluarga bagi memohon keselamatannya. Pada masa sama, Adam terus muram dan enggan melayan kami," katanya.


Menurutnya, Mohd Shafadrul yang berasal dari Batu Pahat tinggal bersamanya sejak berkahwin dengan anak sulungnya, Nurul Saufeqah, 20.


Jenazah Mohd Shafadrul dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semaloi.

Hanya tinggal nama besar

Posted: 21 Sep 2011 09:56 AM PDT

PASIR SALAK: Rumah pejuang tersohor, Datuk Maharaja Lela Pandak Lam, di sini, bukan saja dijadikan sarang maksiat, malah menjadi 'port' penagih dadah di kawasan ini.

Kediaman warisan yang terletak bertentangan dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak itu berada dalam keadaan terbiar dan menunggu masa roboh.


Penduduk, Ramli Abas, 43, berkata, dia sedih apabila menyaksikan rumah peninggalan pahlawan negeri itu terbiar begitu saja tanpa sebarang tindakan membaikinya diambil kerajaan negeri. "Saya kecewa kerana perjuangan Datuk Maharaja Lela dipandang sebelah mata sesetengah pihak apabila kediamannya dibiarkan tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.

"Jasa dan pengorbanannya diiktiraf dengan beberapa jalan, sekolah serta kawasan dinamakan bersempena namanya tetapi menyedihkan apabila keadaan kediaman dan kawasan sekitar yang pernah menjadi kubu pertahanan masyarakat daerah ini satu ketika dulu, menunggu masa untuk menyembah bumi," katanya.


Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati, rumah Maharaja Lela yang pernah dibaik pulih, kini dipenuhi belukar serta sukar dimasuki.


Tambah mengejutkan, selain barangan hiasan di dalam rumah berkenaan hilang dan rosak, ia dijadikan lokasi 'selamat' oleh penagih dadah dan remaja melakukan maksiat.

Ia berdasarkan penemuan beberapa barangan untuk menghisap dadah dan tilam buruk di bahagian dapur kediaman berkenaan yang didakwa Ramli angkara golongan muda tempatan.


Mengikut sejarah, selepas mendapat persetujuan dan sokongan penduduk sekitar Pasir Salak, Kampung Gajah dan pemimpin tempatan, Datuk Maharaja Lela mengepalai perjuangan menentang penjajahan British di Perak yang membawa kepada pembunuhan James Wheller Woodfird Birch (JWW Birch) iaitu Residen British pertama Perak.

Malangnya, daripada sanjungan sebagai pejuang, beberapa individu kalangan bangsa sendiri yang dipercayai sebelum itu, berpaling tadah dengan menuduh beliau serta beberapa lagi rakan seperjuangannya, selaku pemberontak sebelum beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.


Lebih tragik, difahamkan sebagai pengajaran kepada 'pemberontak-pemberontak' lain supaya tidak mengikut jejak Maharaja Lela dan teman seperjuangannya, pihak penjajah British difahamkan mengarahkan supaya mayat Maharaja Lela dikerat tiga dan ditanam secara berasingan di tepi tebing Sungai Perak. Biarpun tiada fakta sahih mengenainya, perkara ini masih menjadi persoalan sehingga kini kerana bukti juga tiada untuk mengatakan 'Makam Maharaja Lela' yang terletak di Taiping, benar-benar milik perwira sejati ini.


"Saya meminta pihak bertanggungjawab memandang serius perkara ini kerana selain kediaman Maharaja Lela, keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak juga dalam keadaan menyedihkan.


Keadaan sekarang cukup menyedihkan berbanding beberapa tahun lalu kerana ini adalah kawasan bersejarah yang mempunyai nilai begitu penting dalam sejarah Malaysia," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Samurai tepati ramalan

Posted: 21 Sep 2011 08:29 AM PDT

KETUA jurulatih, Ong Kim Swee akur dengan kehebatan Jepun yang menguasai setiap babak perlawanan sehingga sukar buat skuad Olimpik negara untuk bangkit menentang sehingga tewas 0-2 pada perlawanan pembukaan Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012, semalam.

Sekalipun tidak gembira dengan apa yang disaksikannya, beliau lega apabila pintu gol Malaysia hanya bolos dua gol.


Katanya pujian harus diberikan kepada ketangkasan kapten yang juga penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Dia bukan saja menafikan banyak percubaan berbahaya tuan rumah, tetapi bijak menyusun semula rakan di benteng pertahanan agar tidak goyah apabila kerap diasak. "Tidak dinafikan Khairul Fahmi memastikan keputusan perlawanan ini kekal 2-0 sehingga tamat," katanya.


Ditanya apakah sebenarnya yang berlaku ke atas persembahan pasukan yang tidak bermain seperti kebiasaan, Kim Swee memberikan alasan bahawa menentang pasukan sehebat Jepun bukan mudah.


Andai pasukan hilang konsentrasi dan fokus permainan, mereka akan dihukum.

"Inilah yang berlaku seperti apa yang anda saksikan. Malahan pemain langsung tidak dapat bergerak apabila pemain Jepun pantas mengawal kawasan serta mengecilkan kebebasan untuk bergerak.


"Malah mereka tidak langsung membenarkan kita kembali menyusun pergerakan dengan melancarkan asakan dari segenap penjuru padang," katanya.

Apapun Kim Swee percaya bahawa perlawanan pembukaan kebiasaannya tidak menjadi seperti yang diharapkan.


Jepun memang berhajat meraih kemenangan besar tetapi cuma menjaringkan satu gol pada setiap babak.


"Bagi kami pula, perlawanan ini yang semestinya cukup penting untuk kita mengutip mata, mungkin memberi sedikit tekanan untuk pemain memberikan yang terbaik.


"Terus terang saya memuji komitmen ditunjukkan setiap pemain. Memang bukan mudah menentang Jepun dan keputusan malam ini tidak begitu melukakan," katanya.

‘Bukan salah saya seorang’

Posted: 21 Sep 2011 08:24 AM PDT

PUNCA kemerosotan prestasi dialami gergasi Lembah Klang, Selangor musim ini tidak boleh diletakkan ke atas bahu jurulatih semata-mata.

Walaupun tampil bertanggungjawab berikutan situasi itu, bekas ketua jurulatih Merah Kuning, K Devan menegaskan ia tidak bermakna semua faktor yang hampir menyebabkan Selangor menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi berpunca daripada dirinya.


"Saya memang bertanggungjawab namun ia tidak bermakna saya bersalah 100 peratus. Terdapat faktor lain yang menyumbang kepada perkara ini," katanya Bekas pengendali berusia 50 tahun itu mengaku antara faktornya adalah kehilangan penyerang utamanya, Mohd Safee Sali yang berhijrah ke Pelita Jaya FC pada awal saingan Liga Malaysia 2011 selain masalah kecederaan tonggak utama yang sering kali membelenggu pasukannya musim ini.

Pandangan Devan itu ada kebenarannya apabila penyerang lain yang dimiliki Selangor gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu sehingga terpaksa menggunakan dua pemain tengah di jentera serangan dalam aksi pembukaan Piala Malaysia awal bulan ini.


"Tindakan penonton Selangor yang membawa sepanduk mendesak saya meletakkan jawatan ketika tewas 2-1 kepada T-Team (Sabtu lalu) membuatkan saya terfikir untuk berundur. Mereka seolah-olah tidak mengenang jasa saya membawa lima piala kepada Selangor sejak 2009," katanya yang meraih Liga Super (2009 dan 2010), Piala FA (2009) dan Piala Sultan Ahmad Shah (2009 dan 2010).


Beliau bagaimanapun mengaku kekalahan besar kepada Kelantan (5-1) pada separuh akhir Piala FA pertama adalah titik tolak kepada kemerosotan pasukan Merah Kuning walaupun dibarisi sejumlah pemain berkualiti.

"Selepas tewas perlawanan itu, moral, semangat, motivasi dan semangat satu pasukan sudah merosot dan saya gagal kembalikan semula empat perkara ini dalam diri pemain. Namun saya tidak salahkan pemain, mungkin nasib tidak menyebelahi kita kali ini," katanya.


Mengenai tindakan FAS menamakan bekas penolongnya, P Maniam sebagai pengganti bagi meneruskan cabaran mengharungi Piala Malaysia yang sedang berlangsung, Devan berkata pihak pengurusan mempunyai keyakinan dan mereka lebih bijak dalam memilih siapa pengganti dirinya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Ibu, anak selamat dihempap lori

Posted: 21 Sep 2011 08:05 AM PDT

LEEDS: Sepasang anak-beranak terselamat daripada maut walaupun kereta mereka terperosok di bawah lori membawa ribuan ayam, semalam.

Dalam kejadian itu, seorang wanita memandu kereta berkenaan bersama ibunya di laluan A64 berhampiran York apabila lori berkenaan terbabas, terbalik dan menghempap mereka.


Jurucakap polis berkata, wanita terbabit berbaring di atas ibunya ketika kereta Peugeot 107 itu dihempap lori.

"Kedua-dua mangsa berbaring serapat mungkin ke lantai kereta bagi mengelak badan lori berkenaan mencederakan mereka.


"Mangsa berbaring begitu sehinggalah penyelamat tiba," katanya.


Selepas ditarik keluar, mereka dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan hanya mengalami calar dan lebam.

Polis berkata, pemandu lori berkenaan juga tidak mengalami kecederaan. Pegawai polis trafik yang menyiasat kejadian itu, Andy Quigley, berkata dia tidak pernah melihat insiden sebegitu sejak bertugas di jalan raya 16 tahun lalu. - TS

Aib kerana rambut afro

Posted: 21 Sep 2011 08:02 AM PDT

ATLANTA: Seorang wanita mengalirkan air mata sejurus selepas dia dibenarkan melepasi kawalan keselamatan lapangan terbang hanya kerana rambut keriting melampaunya.

Pendandan rambut, Isis Brantley, dilaporkan berjalan menuruni eskelator di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson di Atlanta, Georgia, apabila dia ditahan pegawai keselamatan di situ.


Sebelum itu, Isis dibenarkan ke dewan menunggu apabila melepasi alat pengimbas keselamatan.

Kata Isis, dia terkejut apabila terdengar seseorang menjerit ke arahnya dan menyuruhnya berhenti.


"Dua anggota keselamatan mengarahkan saya berhenti untuk memeriksa rambut kerana disyaki menyembunyikan bahan letupan," katanya.


Berasal dari Dallas, Texas, Isis berkata, dia terpaksa menurut kehendak anggota keselamatan itu dan membiarkan mereka memeriksa rambutnya dengan teliti.

Katanya, dia menangis kerana malu diperlakukan begitu.


"Sepatutnya mereka boleh membawa saya ke tempat tertutup sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurut Isis, dia rasa terhina diperlakukan begitu.


Selepas disahkan selamat, Isis dilepaskan semula, tetapi dia membuat aduan rasmi kepada penyelia keselamatan di lapangan terbang itu.


Pegawai di situ kemudian meminta maaf atas perbuatan kakitangannya.


Sering mengunjungi pelbagai bandar raya di seluruh Amerika Syarikat untuk bertemu pelanggannya, Isis berkata, rambut keriting itu adalah semula jadi dan disimpannya sejak 20 tahun lalu.


Katanya, selama ini rambut lebatnya itu tidak pernah menimbulkan kecurigaan atau dianggap mengancam keselamatan sehinggalah dia berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson semalam.


"Insiden itu menyebabkan saya ketakutan kerana ada kemungkinan saya dimalukan sekali lagi," katanya.


Sementara itu, pegawai keselamatan berkata, walaupun peralatan keselamatan dipasang di lapangan terbang mampu memastikan ketenteraman awam terjaga, kadang-kadang langkah tambahan diperlukan.


"Pemeriksaan lanjut mungkin diperlukan ke atas pakaian, topi atau rambut yang mungkin digunakan untuk menyembunyikan objek larangan," katanya.


Jurucakap itu berkata, kakitangan keselamatan menawarkan Isis ke bilik pemeriksaan tetapi dia menolaknya. - DM

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved