Selasa, 27 Disember 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Teruja tambang murah

Posted: 26 Dec 2011 10:48 AM PST

PORT DICKSON: "Kami teruja dengan tambangnya yang murah dan mampu dibayar secara ansuran membuatkan kami bersetuju dengan pakej percutian bersama keluarga dirancang sejak Mac lalu," kata Noorhaslinda Sharudin, 37, seorang daripada mangsa penipuan program percutian artis Nur Kasih, Tiz Zaqyah Razak bersama 35 peminatnya ke Perth, Australia, sepatutnya dijadualkan berlepas pada 21 Disember lalu.

Menurut Noorhaslinda, dia tidak menyangka hasrat ingin bercuti bersama ahli Kelab Peminat Tiz Zaqyah Razak (TZRFC) terkubur apabila seorang daripada mereka dikenali sebagai Sherry, 45, yang juga bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Batu 9, Cheras, Selangor, melarikan wang percutian RM60,000.

"Kami mengenali suspek kerana dia sudah bersama dengan TZRFC sejak setahun lalu, dan tidak menyangka wanita itu sanggup melesapkan duit percutian kami dan melarikan diri begitu saja," katanya ketika ditemui di Pantai Mas, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden TZRFC, Bibi Barizah Ahkau berkata, pada mulanya dia tidak menyangka suspek sanggup melakukan perkara sebegitu walaupun gerak hatinya mula sangsi apabila suspek kelihatan berubah selepas mula menerima bayaran daripada ahli kelab.


Katanya, banyak kesilapan dilakukan tetapi lidah seperti terkunci untuk menegur kesilapan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Full content generated by Get Full RSS.

Parkir berlapis menyusahkan!

Posted: 26 Dec 2011 10:33 AM PST

KUALA LUMPUR: Biarpun kebanyakan kawasan utama di ibu negara agak lengang berikutan cuti umum tiga hari sehingga semalam, namun kawasan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman terus menjadi tumpuan ramai.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan seperti sekitar Jalan P Ramlee dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) agak lengang termasuk jumlah kenderaan di jalan raya.


Namun begitu, cuti umum sempena perayaan Krismas tidak menghalang Jalan TAR untuk terus menjadi tumpuan termasuk sikap sesetengah pemandu yang meletakkan kenderaan secara berlapis di tepi jalan menyebabkan jalan menjadi sempit.

Menurut Asnah Ramli, 35, kesempatan cuti umum menyebabkan kawasan itu terus dikunjungi ramai.


"Selain harga murah, kawasan ini juga banyak menawarkan pelbagai barang. Oleh itu, apabila ramai yang berkunjung ke Jalan TAR akan sesak sehingga kekurangan parkir.


"Walaupun sudah biasa, namun tetap mendatangkan masalah kepada orang ramai kerana semua jalan hanya cukup untuk laluan dua kenderaan," katanya.

Tindakan meletakkan kenderaan secara berlapis itu termasuk di garisan kuning menyebabkan jalan untuk dua laluan kenderaan menjadi satu.


Bagi Asman Amir, 29 walaupun jumlah kenderaan berkurangan berbanding biasa, tindakan meletakkan kenderaan di tepi jalan dianggap mementingkan diri.

"Tidak kira sama ada parkir sekejap atau lama, tindakan itu tetap menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menyusahkan orang ramai.



Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


7 ditembak di pagi Krismas

Posted: 26 Dec 2011 09:27 AM PST

GRAPEVINE (Texas): Tujuh orang yang mempunyai pertalian keluarga terbunuh ketika leka mengemas rumah yang berselerak dengan kertas bungkusan Krismas di apartmen di pinggir Fort Worth, kata polis semalam.

Menurut pihak berkuasa, mereka percaya penyerang adalah seorang daripada korban di kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui jika ada kemungkinan lain.

Empat wanita dan tiga lelaki - berusia di antara 18 dan 60 tahun - ditemui di kawasan dapur yang bersambung dengan ruang tamu ketika polis memasuki apartmen itu tengah hari semalam.


Jurucakap polis Grapevine, Robert Eberling, berkata dua pistol ditemui berhampiran mayat dalam apartmen yang dihias cantik dengan pokok Krismas.


"Nampaknya mereka baru saja meraikan Krismas dan membuka hadiah," katanya.

Semua mangsa belum dikenal pasti tetapi Eberling berkata, semuanya dipercayai mati akibat ditembak.

Setakat ini, katanya, belum diketahui punca kejadian itu.

Pegawai polis Grapevine, Todd Dearling, berkata penyiasat percaya semua mangsa ada pertalian tetapi sesetengahnya tidak tinggal di apartmen berkenaan.

Katanya, polis cuba mendapatkan maklumat tambahan daripada ahli keluarga mangsa.

"Tidak pernah ada tujuh orang tinggal dalam satu rumah di Grapevine," katanya.

Dearling berkata, polis menjalankan siasatan teliti di apartmen itu dan menjangkakan mereka akan berada di situ untuk tempoh agak lama.

Insiden itu diketahui selepas polis dan bomba berkejar ke apartmen Lincoln Vineyards apabila menerima panggilan kecemasan 911 kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurut Dearling, kakitangan di situ curiga apabila menerima panggilan kecemasan tetapi tiada sesiapa bercakap di talian.

Justeru, polis bergegas ke apartmen di kawasan pertengahan di pinggir Grapevine itu.

Menurut polis, jiran tidak mendengar sebarang bunyi aneh pada pagi Krismas walaupun keadaan di situ agak sunyi kerana tidak ramai orang tinggal.

Mekanik jentera berat, Jose Fernandez, 35, berkata dia berpindah ke situ kira-kira enam bulan lalu dan berasa selamat dengan persekitarannya.

Bagaimanapun, katanya, kini dia bimbang untuk membiarkan anak lelakinya berusia 10 tahun bermain di luar.

"Kejadian ini memang tidak boleh diterima, terutama ketika kami menyambut Krismas," katanya.

Menurut Fernandez, kejadian itu menakutkan semua orang.

"Memang insiden ini boleh berlaku di mana-mana saja, tapi dengan tujuh kematian serentak - ia amat menggerunkan," katanya.

Pembantu penerbangan, Christy Posch, berpindah ke situ kira-kira enam bulan lalu dengan anak lelakinya bagi memudahkan dia ke sekolah.

Katanya, dia tinggal tidak jauh dari lokasi pembunuhan itu tetapi tidak mendengar sebarang bunyi tembakan.

"Penduduk di sini berkeluarga dan tenang.

"Keadaan itu mendorong saya berpindah ke sini," katanya.

Sementara itu, Eberling berkata, keadaan di kawasan penempatan itu agak tenang.
"Ini mungkin kejadian pembunuhan pertama di Grapevine sejak 2010," katanya. - AP



Full content generated by Get Full RSS.

Budak perempuan parah dibaham anjing bapa

Posted: 26 Dec 2011 09:24 AM PST

LONDON: Seorang budak perempuan berusia empat tahun cedera parah selepas diserang anjing peliharaan bapanya, semalam.

Jorja Caze-Ramscar dilaporkan diterkam dan diheret anjing Alaska - dinamakan sebagai Luna - dari kerusi secara tiba-tiba.

Ibu Jorja, Karine, 36, berkata mereka bersiap-siap untuk makan malam apabila budak terbabit diterkam Luna yang sebelum itu duduk di sebelah mangsa.

"Luna mengheret Jorja ke lantai dan membaham mukanya dengan mulut yang besar," katanya.


Akibat serangan itu, Jorja menerima 20 jahitan di mukanya, selain perlu mendapatkan rawatan pakar mata.


Luna, 15 bulan, dipelihara bapa Jorja, Clive Ramscar, 42, yang menetap di Dunstable, Bedfordshire. - TS



Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Chong Wei mahu Fred

Posted: 26 Dec 2011 09:49 AM PST

HASRAT untuk berguru semula dengan Datuk Misbun Sidek selagi berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin suatu yang mustahil kepada pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei sehinggakan dia meminta supaya persatuan itu berusaha mendapatkan semula khidmat pakar psikologi sukan Frederick Tan yang kini berada di Pulau Pinang.

Chong Wei mengakui permainannya sedikit merosot tapi dia percaya kemerosotan itu ada kaitan dengan mentalnya yang tidak sekuat dulu.


"Sejak tewas kepada Lin Dan di Kejohanan Dunia, mental saya amat teruk dan saya perlu tingkatkan keyakinan diri," kata Chong Wei.

"Saya harap Fred Tan kembali membantu saya dalam saat-saat genting berbaki lapan bulan ke Olimpik.


"Saya tahu beliau dinaikkan pangkat ke Pulau Pinang tapi saya harap BAM dapat berbincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). "Saya rasa memerlukan seorang pakar psikologi yang bagus untuk bangkit semula dan Fred Tan sudah mengenali saya dengan baik."


Dalam pada itu, jurulatih yang bertanggungjawab menjaga Chong Wei, Tey Seu Bock berkata Chong Wei ada meminta supaya Fred Tan kembali membantu dirinya memperkuatkan mental.

Namun beliau tidak boleh memberi jaminan pakar psikologi itu akan kembali membantu Chong Wei.


"Chong Wei ada berbincang dengan saya mengenai Fred Tan tapi saya tidak boleh memberi kata putus. Perkara ini akan diketengahkan kepada pengurusan BAM dan hal ini hanya boleh ditentukan oleh pihak pengurusan," kata Seu Bock.

Fred Tan meletak jawatan sebagai Pegawai Pusat Satelit Sarawak di ISN pada 31 Oktober 2010. Ketika itu beliau ditugaskan untuk membantu Chong Wei memperkuatkan mental yang menyaksikan Chong Wei memenangi sembilan gelaran.


Kini Fred Tan berkhidmat sebagai Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang bermula Januari lalu.


Beliau berpengalaman sebagai pakar psikologi, pakar motivasi dan berkemampuan menguruskan kem pengurusan jati diri.



Full content generated by Get Full RSS.

‘Ketepi soal jaga air muka’

Posted: 26 Dec 2011 09:46 AM PST

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Datuk Misbun Sidek mencari satu formula untuk mengubat 'kerinduan' pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei terhadap bekas jurulatihnya itu.

Beliau berkata kedua-dua pihak perlu meletakkan soal menjaga air muka masing-masing ke tepi, sebaliknya meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan demi masa depan badminton negara.


"Kedua-dua perlu mencari formula, jangan terlalu fikir soal air muka masing-masing kerana kepentingan negara lebih penting. Ini bukan soal nak jaga air muka sesiapa kerana tiada air muka sesiapa pun yang terjejas.

"Sekarang ini Misbun takut air muka beliau terjejas kalau kembali, BAM pula takut dikatakan menjilat ludahnya kembali. Yang paling penting sekarang air muka negara yang perlu dijaga," katanya mengulas hasrat Chong Wei yang ingin mendapatkan Misbun sebagai jurulatihnya.


Bagaimanapun Misbun dalam laporan akhbar semalam seakan merajuk dengan BAM dan enggan memikirkan soal itu kerana berpendapat badan induk badminton negara itu mempunyai ramai pakar yang layak menentukan apa yang terbaik untuk Chong Wei mengapai misi mencapai emas dalam Sukan Olimpik London 2012 nanti.


Prestasi Chong Wei kebelakangan ini menimbulkan kerisauan apabila gagal melayakkan diri dalam tiga kejohanan terakhir yang disertainya iaitu Terbuka Hong Kong, Terbuka China dan Siri Super Master.

Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata perkara itu perlu dipandang serius pihak berkenaan.


"Ini soal kerinduan Chong Wei yang boleh diubat Misbun, sebab sebelum ini banyak bola (percaturan dan strategi) terletak di kaki Misbun.

Apakah untuk mengubat rindu Chong Wei, beliau perlu melepaskan diri daripada BAM? "Atau apakah Misbun perlu bersedia berkompromi kembali ke BAM atau BAM mencari formula lain utuk membolehkan Chong Wei berdampingan dengan BAM tanpa perlu terikat dengan BAM," katanya.


"Yang penting kita nak lihat Chong Wei boleh beri pingat emas dalam Sukan Olimpik. Demi kepentingan negara, kedua-dua perlu buka pintu rundingan. Kalau dahulu isunya panas hati dan rasa terkilan, tetapi perkara ini dah lama.


"Berapa lama lagi nak berbalah, kepentingan negara mesti diletakkan sebagai keutamaan mengatasi segalanya," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Belum tinggalkan Hot, Fly FM

Posted: 26 Dec 2011 05:09 AM PST

UMUM mengetahui, dua wanita jelita ini penyampai radio. Seorang bertugas di stesen bahasa Melayu popular, Hot FM dan seorang lagi di stesen radio Inggeris, Fly FM. Namun, program bual bicara Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9, menyatukan mereka.

Sempena tahun baru 2012 dan berkuat kuasa 1 Januari nanti, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid atau Leeya, 28, dan Hani Farhana Mohd Hatim atau Hunny Madu, 27, akan muncul sebagai pengacara NLKO baru yang disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Ketika ditemui pada sesi fotografi diadakan baru-baru ini, Leeya dan Hunny mengakui mereka sangat teruja dan berbesar hati apabila mendapat lamaran daripada TV9 untuk mengacarakan program NLKO yang menemui penonton dari jam 8 hingga 10 pagi itu.

Leeya berkata, dia tidak keberatan memikul tanggungjawab sebagai hos kerana cukup meminati bidang pengacaraan. Katanya, agak lama juga tidak mendapat peluang diidamkan itu dan apabila diperoleh, takkan mahu dilepaskan pula.


"Jika sebelum ini, saya terpaksa mengundur diri daripada pengacaraan atas sebab tak dapat dielakkan, kini, saya akan pastikan buat yang terbaik. Ditambah lagi, saya sangat selesa dengan pengacaraan dan hanya perlu bijak sesuaikan diri.


"Biarpun ada perasaan gementar untuk muncul 1 Januari nanti, saya sedikit tenang dengan adanya AG yang turut menjadi pengacara di NLKO. Saya yakin AG akan membantu dan penyertaan dalam NLKO mungkin kerana inilah masanya.

"Lagipun, saya seorang yang suka belajar dan menimba pengalaman baru. Barangkali, kemunculan saya juga bertepatan dengan cita rasa dan gaya baru yang diketengahkan program ini. NLKO juga tidak terlalu formal dan sesuai dengan diri saya," katanya.

Menurut ibu kepada dua anak ini, dia juga yakin mampu membahagikan masa dengan baik antara karier sebagai penyampai radio dan pengacara. Ini kerana, Leeya kini turut aktif berlakon semula dan baru selesai menjayakan drama Karma untuk TV9.

Katanya, lakonan juga sebati dengan jiwanya dan atas sebab itu dia tidak mampu menolak. Menurut Leeya, dia juga bukan seorang pelakon yang memandang pada bayaran. Jelasnya, dia boleh bekerjasama dengan mana-mana pengarah atas dasar kepercayaan.

"Saya seronok berlakon dan teringin sangat untuk berlakon filem jika diberi peluang. Malah, saya juga suka buat apa saja kerja demi rezeki. Saya seorang yang suka bekerja kerana saya cintakan kerja saya. Oleh itu, saya takkan menolak rezeki yang datang.

"Apapun, berlakon dalam Karma adalah pengalaman yang indah. Produksi di bawah Erma Fatima ini cukup menyeronokkan kerana kami semua umpama keluarga. Biarpun, tak kenal rapat, masing-masing boleh jalin hubungan yang baik," katanya.

Menyentuh soal gandingan bersama Hunny Madu, ujar Leeya kombinasi mereka mungkin sesuai. Katanya, Hunny juga memiliki bakat tersendiri dalam pengacaraan. Cuma, bagaimana agaknya penerimaan penonton terhadap kemunculan mereka berdua?

Hunny sudah dua tahun tak mengacara

KEPETAHAN Hunny Madu ketika berbicara tidak perlu disangkal. Ini kerana, wanita tinggi lampai itu bukan saja mahir berbahasa Inggeris, tetapi dia juga boleh berbahasa Melayu dengan baik. Asal-usul nyata tidak dilupakan Hunny yang ramah menyusun kata.

Menyentuh pembabitannya dalam NLKO, Hunny berkata semuanya berlaku secara kebetulan selepas dua tahun meninggalkan 8TV Quickie. Katanya, dia muncul dalam NLKO untuk mempromosikan album sulung, Pulau Janji dan tidak sangka dilamar Penerbit Eksekutif, Wan Sabariah Sheikh Ali.

"Beliau (Wan Sabariah) meminta saya menghadiri uji bakat untuk pengacara wanita baru NLKO. Saya pula tiada masalah untuk menerima dan apa salahnya mencuba nasib. Saya datang ke uji bakat diadakan itu hanya sekadar untuk mencuba saja.

"Tak sangka diterima dan apabila dimaklum pada keluarga, nenek saya memberikan sokongan penuh. Nenek minta saya menerima kerana NLKO adalah program yang bagus dan dia juga selalu menontonnya. Jadi, saya harap nenek lebih gembira.

"Apapun, semoga saya tidak kekok untuk bergandingan dengan pengacara lain seperti Sharifah Nor, Farah Diana Anuar, AG, Fizo Omar dan Lokman. Saya akan cuba sebaik mungkin terutama dalam menyampaikan isu semasa yang berlaku," katanya.

Menurut Hunny, sebagai persediaan dia kini bersiap sedia mengisi pengetahuannya dengan pelbagai pengetahuan am dan isu semasa. Katanya, dia akan pastikan ilmu pengacaraan dimiliki mencukupi supaya apa yang disampaikan asli dan tidak kelihatan stereotaip.

"Sebelum ini, saya sudah terbiasa dengan penyampaian dalam bahasa Inggeris. Jadi, memandangkan NLKO dalam bahasa Malaysia, maka saya fikir persediaan yang lebih sangat penting. Bagi saya, persediaan melampau itu membawa kebaikan.

"Selain itu, saya juga selesa dapat melakukan penyampaian yang bersahaja. Malah, apa yang diharapkan pada kemunculan pertama nanti, semuanya berjalan lancar. Semoga tiada perkataan yang tersekat atau tersasul ketika bersiaran langsung," katanya.

Menyentuh mengenai keluarga, Hunny berkata dia juga mengharapkan 2012 akan mengeratkan lagi hubungan bersama suami dengan kehadiran cahaya mata. Ujarnya, dia tidak pernah merancang memiliki anak, tetapi hingga kini masih tiada rezeki.

Kata Hunny lagi, suaminya sangat mengharapkan kehadiran zuriat. Namun, apa boleh buat kerana semua ini ketentuan Tuhan. Bagaimanapun, katanya, suami seorang yang sangat memahami dan turut memberi sokongan terhadap karier diceburinya.

PROFIL

NAMA: Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid
PANGGILAN KOMERSIAL: Leeya
TARIKH LAHIR: 27 April 1983
UMUR: 28 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyampai radio Hot FM, pelakon, pengacara
KELUARGA: Anak sulung
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Muhammad Ashraf Aasimudin (Ashraf)
ANAK: Aza Ameena, Asha Ameena, 2 tahun (kembar)
SIRI TV: The Breakfast Show (ntv7), Nasi Lemak Kopi O (TV9)
FILEM: Idola, Diari Romeo, Trauma, Mukhsin dan Man Laksa

PROFIL

NAMA: Hani Farhana Mohd Hatim
PANGGILAN KOMERSIAL: Hunny Madu
TARIKH LAHIR: 1 April 1984
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyampai radio Fly FM, pengacara, pencipta lagu dan penyanyi
KELUARGA: Anak kedua
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Khairul Azhar Abdul Wahid
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dan Kewartawanan
ALBUM: Pulau Janji
PROGRAM TV: 8TV Quickie (8TV), Nasi Lemak Kopi O (TV9)



Full content generated by Get Full RSS.

Asmidar dah ‘sampai ke bintang’

Posted: 26 Dec 2011 05:09 AM PST

WANG tunai RM50,000 dan trofi sudah cukup untuk membuatkan pelajar Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Norhasmidar Ahmad atau Asmidar tersenyum puas sebagai juara program realiti TV, Vokal - Bukan Sekadar Rupa.

Namun, ramai pula berpendapat Asmidar tidak berdepan banyak sangat isu rupa kalau dibandingkan dengan peserta lain kerana dia masih dianggap menarik seperti kebanyakan penyanyi sedia ada.

Bagaimanapun, mungkin rezeki sudah tersirat untuk Asmidar muncul juara kerana rupa menarik adalah satu bonus. Selama berminggu-minggu ke udara, program itu memang sedaya upaya cuba memberikan ruang sama rata kepada peserta lain yang berbadan besar untuk mencuba nasib serta menonjolkan bakat mereka di depan mata juri dan penonton.

Acara kemuncak itu berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, kelmarin.


Asmidar, 25, menewaskan saingan terdekat, Mafarikha Md Akhir atau Mafa, 19, yang membawa pulang wang RM30,000 berserta trofi kemenangan.


Asmidar sebelum itu perlu bersaing hebat sebanyak tiga pusingan dengan pencabar terdekatnya dalam konsert peringkat akhir itu, Mafa yang turut mempunyai kelebihan tersendiri.

Tirai konsert akhir dimulakan dengan persembahan hos program, Faizal Ismail (FBI) yang menyanyikan lagu hit kumpulan Maroon 5, Moves Like Jagger yang turut menampilkan penampilan khas, penyanyi handalan, Adibah Noor.

Persembahan terbabit mengundang tawa penonton dan juga juri tetap program itu, Azmeer dan Erra Fazira. Suatu kelainan diletakkan apabila Faizal diberi penghormatan untuk memulakan majlis dan percubaan itu ternyata berjaya kerana penonton terhibur dengan aksi bersahaja penyampai Hot FM itu.

Penonton di studio turut 'sporting' dengan sentiasa tepuk tangan dan kelihatan teruja apabila setiap kali Faizal mengumumkan kemunculan kedua-dua pesaing akhir yang akan membuat persembahan pada malam itu.

Pusingan pertama menyaksikan persembahan lagu pilihan mereka dengan Asmidar memilih menyanyikan lagu klasik Frank Sinatra, My Way sementara Mafa memilih lagu hit P Ramlee, Jangan Tinggal Daku.

Pada setiap pusingan yang dijalankan, juri perlu memilih seorang antara Asmidar dan Mafa sebagai peserta yang dilihat menonjolkan kekuatan vokal yang mantap dan dinamik sepanjang penyampaian lagu.

Kedua-dua juri tetap, Erra dan Azmeer serta juri jemputan, Ziana Zain rata-rata memuji persembahan kedua-dua mereka yang dilihat semakin matang.

Persembahan pada malam itu diteruskan dengan pusingan kedua apabila peserta menyampaikan lagu baru yang dicipta khas untuk mereka. Asmidar menyampaikan lagu ciptaan komposer terkenal, Ajai bertajuk Biar Sampai Ke Bintang.

Selain itu, Asmidar menyampaikan lagu itu dengan penuh penghayatan dan seakan-akan serasi dengan lagu itu walaupun setiap peserta hanya mempunyai enam hari saja untuk menghafalnya.

Finalis yang berasal dari Perak, Mafa pula mengalunkan lagu baru ciptaan komposer Audi Mok. Pada mulanya, Mafa kelihatan selesa menyampaikan lagu itu, tetapi kebanyakan penonton bersetuju dengan komen Erra yang mengatakan suara Mafa kedengaran tenggelam terutama pada bahagian 'low note'.

Lagu 'catchy' yang bercorak pantas itu walau bagaimanapun turut menghiburkan dengan irama muzik yang segar ditonjolkan Audi Mok.

Satu kelainan yang diterapkan program Vokal - Bukan Sekadar Rupa adalah segmen Battle yang mula diperkenalkan pada minggu ketujuh lalu.

Penerbit eksekutifnya, Muhammad Sufian Che Isa, berkata segmen Battle adalah tugasan yang mencabar kepada finalis selain memberi kelainan dan keunikan yang tidak ada pada mana-mana program realiti TV lain.

"Oleh itu, kedua-dua finalis, Asmidar dan Mafa perlu bijak mengatur strategi untuk menonjolkan kehebatan masing-masing selain mencabar pesaing dengan pemilihan lagu yang tepat," katanya.

Asmidar memilih lagu Datuk M Daud Kilau bertajuk Laksamana Raja Li Laut sementara Mafa memilih lagu Hurt nyanyian Christina Aquilera.

Pusingan Battle ini ternyata memihak kepada Asmidar di mana ketiga-tiga juri terpukau dengan penyampaian lagu oleh Asmidar yang dikatakan sangat 'versatile' serta Azmeer turut menyatakan Asmidar merupakan salah satu penyanyi yang dapat mengawal pernafasannya dengan begitu baik.

Malam kemuncak itu turut dimeriahkan dengan penampilan bekas peserta program itu seperti Azmarul, Irsa, Fakhrul dan Boby yang menyampaikan gabungan lagu Cinta Tak Harus Memiliki, Someone Like You, Gerhana dan Tapi Bukan Aku sebelum menutup tirai konsert dengan nyanyian lagu tema Aksi Suara disampaikan bersama Adibah Noor.

Format pemarkahan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 50 peratus daripada juri dan 50 peratus lagi melalui undian SMS.

Asmidar yang ditemui pada sidang media sejurus tamat konsert itu berkata, dia langsung tidak menduga menjadi juara kerana merasakan Mafa adalah pesaing yang sangat hebat.

Sambil mengucapkan rasa kesyukuran atas kemenangan itu, Asmidar mahu menggunakan wang habuan itu untuk menghasilkan 'single' terbaru selain mempromosikan lagu Biar Sampai ke Bintang.

Mafa, sementara itu tetap bersyukur biarpun tidak meraih gelaran juara kerana baginya adalah lebih penting untuk membuktikan kepada masyarakat di luar sana yang sebelum ini lebih kerap memandang rupa..



Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


2 banglo disamun, bakar

Posted: 26 Dec 2011 10:58 AM PST

KAJANG: Samun dan bakar. Itulah tindakan kejam kumpulan penyamun yang memecah masuk dan mencuri barangan berharga sebelum membakar dua banglo di Bandar Rinching, Semenyih di sini, dipercayai bagi menghapuskan bukti dalam kejadian awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, kumpulan terbabit tidak menghiraukan kehadiran anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berusaha memadam kebakaran di rumah pertama, sebaliknya mereka terus membakar rumah kedua yang kedudukannya hanya bersebelahan.


Difahamkan, akibat perbuatan itu jumlah kerugian membabitkan kedua-dua banglo berkenaan dianggarkan mencecah RM1 juta namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tiada penghuni ketika insiden berlaku.

Sumber polis berkata, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan pemotong besi untuk memotong mangga bagi memecah masuk ke rumah pertama.


"Selepas mencuri barangan berharga di rumah pertama, kumpulan terbabit kemudian membakar rumah itu dan meninggalkannya.


"Kumpulan terbabit kemudian memecah masuk rumah kedua yang terletak bersebelahan dengan rumah pertama dipercayai menggunakan kaedah sama," katanya.

Menurutnya, pasukan bomba dan penyelamat yang menerima laporan mengenai kejadian itu segera bergegas ke lokasi kejadian sebelum usaha memadamkan kebakaran itu dilakukan.


"Ketika bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di rumah pertama, anggota bomba ternampak rumah kedua turut dijilat api," katanya yang menyatakan anggota bomba mula mengesyaki punca kebakaran itu bukannya disebabkan masalah teknikal sebaliknya kegiatan jenayah. Pihak berkuasa yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian manakala anggota bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran di rumah kedua itu.

Sumber berkata, selepas meninggalkan rumah kedua, kumpulan itu dilaporkan cuba memecah masuk ke rumah ketiga yang terletak selang tujuh rumah dari lokasi pertama dan kedua.


"Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila sistem penggera rumah berkenaan berbunyi menyebabkan kumpulan terbabit segera melarikan diri," katanya.


Katanya, pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan kumpulan sama melakukan perbuatan itu kerana modus operandi dilakukan dalam insiden berkenaan hampir sama dengan kejadian sebelum ini.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kebakaran itu.


"Sehingga kini kami (polis) masih menunggu laporan daripada pihak forensik dan bomba mengenai nilai kerugian serta punca sebenar kebakaran itu," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.

Ceroboh rumah berkhalwat

Posted: 26 Dec 2011 10:56 AM PST

ALOR GAJAH: Seorang wanita yang juga isteri orang ditemui dalam keadaan mengaibkan apabila berpelukan dalam telanjang bulat dengan teman lelakinya dalam bilik di sebuah rumah Kampung Baru Lendu, Alor Gajah, pagi kelmarin.

Lebih memalukan apabila kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu disedari pemilik rumah berkenaan, Sutini Hamzah, 61, bersama anak lelakinya, Ainol Adnan, 38, yang datang ke rumah itu selepas dimaklumkan jiran mengenai tindakan sepasang kekasih tidak dikenali menginap di rumah mereka tanpa kebenaran.

Ainol ketika ditemui berkata, sebaik dia dan ibunya tiba di rumah itu, mereka mendapati pintu pagar depan, tingkap dan pintu utama rumah terbuka luas seperti sudah lama ditinggalkan.

Katanya, dia memberi salam sebanyak tiga kali, namun tidak bersahut sebelum masuk ke dalam rumah yang mempunyai empat bilik itu untuk melakukan pemeriksaan, namun mendapati tiada sebarang kesan rumah itu diceroboh.


"Bagaimanapun, apabila saya dan ibu masuk ke bilik terakhir, kami terkejut apabila terserempak sepasang kekasih bertelanjang bulat dalam keadaan berpelukan nyenyak tidur seperti orang kepenatan.


"Gelagat mereka sedang berpelukan intim di atas katil amat mengaibkan, malah mereka tidak sedar kehadiran kami," katanya

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved